Jumaat, 18 November 2011

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kita melepasi 40 emas

Posted:

Kita melepasi 40 emas

Kita melepasi 40 emas


JURULATIH skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee (dua dari kanan) bersama pembantunya, Hassan Sazali memantau latihan pemain di kawasan lapang hotel penginapan mereka di Jakarta, semalam. Malaysia akan menentang Myanmar pada perlawanan separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA, hari ini.


JAKARTA – Sedih bercampur gembira. Malaysia akhirnya berjaya melepasi sasaran 40 pingat emas (41 setakat semalam) tatkala berita kurang menggembirakan menyelubungi kem bola sepak negara apabila jurulatih Ong Kim Swee digantung perlawanan.

Ini bermakna, Kim Swee tidak boleh berada di tepi padang semasa anak-anak buahnya menentang Myanmar dalam babak separuh akhir hari ini, sebaliknya duduk di kerusi penonton.

Apa pun, atas kertas skuad Harimau Muda seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Myanmar hari ini, kerana Kim Swee masih boleh mengeluarkan arahan daripada 'walkie-talkie' kepada pembantunya, Hassan Sazali yang akan mengambil alih sementara tugas itu jika rayuan yang dibuat hari ini ditolak jawatan kuasa penganjur.

Satu lagi separuh akhir hari ini akan melibatkan tuan rumah, Indonesia menentang Vietnam yang akan berlangsung pada malam.

Dalam pada itu, tambahan empat pingat emas yang disumbangkan ski air, lawan pedang dan boling pada hari kelapan Sukan SEA semalam membolehkan kontinjen Malaysia mengatasi sasaran minimum 40 emas dan dengan saingan temasya berbaki empat hari lagi, angka 50 atau lebih dilihat bukan sesuatu yang mustahil.

Emas sulung semalam dihasilkan oleh ratu ski air negara, Phillipa Yoong di Tasik Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang apabila dia menambah koleksi emas kedua peribadi menerusi kategori keseluruhan.

Selang beberapa jam kemudian, tiba giliran abangnya yang juga bekas pemandu F1, Alex Yoong mempamerkan dia bukan sekadar hebat memandu di darat tetapi juga di atas permukaan air, dengan mengungguli kategori keseluruhan.

Emas tersebut sekali gus menebus kekecewaan Alex yang pada sehari sebelumnya, sekadar berpuas hati dengan dua perak dalam acara jumping dan slalom.

Tatkala tiada kepastian dari mana akan datang lagi emas seterusnya semalam, skuad lawan pedang tampil menceriakan kem Malaysia.

Trio atlet lawan pedang yang terdiri daripada Muhamad Radhi Hasim, Yu Peng Kean dan Liong Ming Chang cemerlang menumpaskan Vietnam dalam perlawanan akhir berpasukan Sabre lelaki.

Ia merupakan emas kedua yang dihasilkan pasukan lawan pedang selepas kejutan emas sulung dihadiahkan Joshua Koh, Ahad lalu.

Emas keempat kita yang juga terakhir untuk hari kelapan, datangnya tidak lain tidak bukan dari skuad boling yang terus menggegar pusat boling Ancol Bowl di Jakarta.

Gandingan mantap kesemua enam pemain lelaki kita - Adrian Ang, Zulmazran Zulkifli, Alex Liew, Aaron Kong, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Muhd. Nur Aiman Khairudidn - mengukuhkan status mereka selaku pasukan lelaki terkuat Asia Tenggara dengan menjuarai acara berpasukan, mengalahkan Filipina dan Indonesia.

Bagaimanapun, tiada keceriaan berganda diberikan oleh skuad wanita seperti yang dilakukan ketika acara beregu, apabila mereka sekadar meraih gangsa, tidak terdaya menggugat keunggulan Singapura yang mendahului sejak game pertama lagi.


PASUKAN boling lelaki Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas berpasukan di Pusat Boling Jaya Ancol, Jakarta, semalam.


Namun, pujian tetap diberikan kepada semangat juang tinggi Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Jacqueline Sijore, Zatil Iman Abdul Ghani, Sharon Koh, Sin Li Jane yang memintas Thailand pada game terakhir untuk merampas kedudukan ketiga.

Emas keempat boling itu bermakna mereka sudah menyamai pencapaian temasya lalu di Korat 2007, dan pasukan bimbingan Holloway Cheah berpeluang memburu baki dua emas yang ditawarkan dalam acara Masters lelaki dan wanita esok, memandangkan semua pemain kecuali Zatil dan Dayang Khairuniza telah melayakkan diri ke peringkat itu.

Memanah pula sedikit mengecewakan kerana tidak kesampaian menambah pungutan dua emas sebelum ini, sekalipun memiliki peluang terbaik untuk berbuat demikian.

Pasukan berpasukan campuran Recurve dan Compound senasib apabila kecundang pada halangan terakhir kepada lawan masing-masing.

Terdahulu, gandingan Cheng Chu Sian dan Nurul Syafiqah Hashim tewas kepada pasangan tuan rumah, berpunca daripada kegugupan gadis berusia 17 tahun itu sehingga menyebabkan dia gagal melakukan bidikan tepat.

Hasrat pemanah Compound, Muhammad Zaki Mahazan dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh untuk menebus rakan sepasukan juga tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada Myanmar.

Sementara itu, wusyu yang membuka gelanggang semalam sekadar memberikan sebutir pingat perak dan gangsa menerusi dua acara pertama Nanquan lelaki dan wanita.

Namun, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana Malaysia diramal mampu mengaut sekurang-kurangnya dua emas daripada baki 18 emas yang dipertandingkan untuk tiga hari akan mulai hari ini. – Utusan

Full content generated by Get Full RSS.

Sultan Ahmad yakin pertahan kejuaraan

Posted:

Sultan Ahmad yakin pertahan kejuaraan

Sultan Ahmad yakin pertahan kejuaraan

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my


Sultan Ahmad Shah


KUANTAN - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah yakin skuad kebangsaan akan mempertahankan kejuaraan bola sepak pada Sukan SEA Laos 2009 dalam temasya yang sama di sini kali ini.

Menurut baginda, keyakinan itu mengambil kira persembahan cemerlang skuad negara dalam beberapa perlawanan sebelum ini termasuk kejayaan menewaskan Indonesia 1-0 di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, kelmarin.

"Pasukan bola sepak kita telah menunjukkan prestasi yang cukup baik pada Sukan SEA kali ini. Untuk mempertahankan kejuaraan, mereka perlu meningkatkan permainan dan memperbaiki kesalahan.

"Antaranya adalah seperti teknik pengendalian bola, cara menghantar bola dan tidak memegang bola terlalu lama ketika berada di hadapan pintu gol sendiri," titah baginda.

Sultan Ahmad bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas mencemar duli merasmikan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan dan Majlis Cakna Kasih sempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan baginda di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kelmarin, Malaysia yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee melenyapkan ego Indonesia selepas mencatat kemenangan 1-0 untuk melangkah ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A.

Untuk perlawanan separuh akhir, Malaysia yang diwakili skuad Harimau Muda akan berdepan naib juara Kumpulan B, Myanmar di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, hari ini.

Sultan Ahmad yakin Malaysia akan mengalahkan Myammar dalam perlawanan separuh akhir hari ini dengan jaringan 2-0.

"Kita mesti menang dalam perlawanan separuh akhir bertemu Myammar hari ini seterusnya melayakkan kita ke pertandingan akhir.

"Berbekalkan prestasi dan semangat pasukan, siapa saja yang kita akan lawan pada pertandingan akhir nanti, beta yakin kita akan menang," titah baginda.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved