Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Angkat sumpah jika benar

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh RADHUAN HUSSAIN
sukan@utusan.com.my

HULU TERENGGANU - "Saya akan panggil pasukan T-Team dalam masa terdekat ini. Kita akan dapatkan penjelasan sebenar dan saya akan minta para pemain dan pengurusan yang saksikan insiden itu agar bersumpah al-Quran di depan saya, termasuklah Muhd. Irfan Ghani."

Demikian kenyataan tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, yang nyata kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak berpihak kepada T-Team berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM kelmarin memberi kemenangan 3-0 kepada JDT, sekali gus melayakkan pasukan Harimau Selatan itu ke suku akhir selepas T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru.

"Saya amat kecewa dengan keputusan FAM (beri kemenangan kepada JDT).

"FAM kena profesional, jangan double standard. Kalau beginilah cara, saya percaya bola sepak Malaysia tak akan ke mana," kata Ahmad lagi ketika ditemui pemberita ketika melawat Kampung Pelandan dekat sini semalam.

Ahmad yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut berkata, sumpah itu dijangka dibuat sama ada Isnin atau Selasa ini dalam usaha mencari kebenaran.

Beliau turut menyarankan agar pengurusan serta pemain JDT melakukan perkara yang sama (bersumpah dengan al-Quran) bagi memastikan siapa sebenarnya di pihak yang benar.

"Apakah dia (Muhd. Irfan) lihat sendiri apa yang berlaku, saya difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa bila rehat, dia tak masuk dalam terowong kerana kena 'warm up' di padang.

"Sebagai orang Islam saya ingin lihat perkara ini benar, saya juga minta JDT (pemain dan pengurusan) bersumpah al-Quran kerana kita orang Islam," katanya lagi ketika diminta mengulas keputusan JKPT FAM.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengumumkan keputusan itu berkata, JKPT membuat rumusan berdasarkan laporan dan soal siasat membabitkan komisioner perlawanan, pegawai penyelaras, pengadil dan pegawai kedua-dua pasukan.

Ahmad tetap mempersoalkan kewibawaan FAM sambil menyifatkan badan induk itu membuat keputusan yang tidak profesional kerana keengganan T-Team meneruskan perlawanan setelah mengambil kira faktor keselamatan pemain.

"Saya difahamkan ia (keputusan FAM) berasaskan laporan dan komisioner perlawanan, mungkin mereka tak terlibat dalam terowong dan mereka tak tahu apa cerita sebenarnya. Sepatutnya perlu diteliti dengan mendalam oleh pihak jawatankuasa FAM.

"Takkanlah Terengganu bodoh sangat, suka-suka nak tarik diri tanpa alasan tertentu, saya dimaklumkan mereka diiring keluar oleh polis dengan bas hingga ke Mersing. Jadi, sudah tentulah melibatkan soal keselamatan, sepatutnya ini diambil kira FAM," ujarnya.

Ahmad turut membandingkan tindakan yang diambil badan induk itu ekoran perlawanan bola sepak antara JDT dengan Pahang tahun lalu yang akhirnya memutuskan diadakan perlawanan ulangan.

"Dulu juga pernah berlaku apabila penonton terlalu ramai ketika menyaksikan perlawanan antara JDT dengan Pahang, kemudiannya diadakan perlawanan ulangan, kenapa boleh pula.

"Kalau ikut perasaan saya, lebih baik kita tarik diri saja (tidak sertai Liga Malaysia), tapi bila fikirkan peminat dan sukan bola sepak Malaysia, kita tidaklah buat begitu," jelasnya.

Beliau seterusnya menyerahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan pengurusan T-Team sama ada perlu mengemukakan surat bantahan atau sebaliknya berhubung keputusan FAM itu.

'No komen' - PBNJ

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

JOHOR BAHRU - Pengurusan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan memberi sebarang reaksi berhubung kenyataan terbaharu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mahukan kesemua pemain T-Team dan pihak pengurusannya melakukan sumpah al-Quran berhubung kemelut antara JDT dan T-Team.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd. Fahmy Yahya enggan mengulas dan hanya memberi jawapan tiada sebarang komen ketika dihubungi Utusan Malaysia.

"Wasalam (Waalaikumussalam)... No komen (tiada ulasan)... harap maklum... tq (terima kasih). Dalam kenduri arwah... jawapan saya tetap sama... harap maaf," katanya melalui mesej aplikasi WhatsApp.

Mohd. Fahmy berkata demikian sewaktu diminta mengulas berhubung kenyataan Ahmad yang mahu kesemua pemain T-Team dan pihak pengurusan mereka mengangkat sumpah serta meminta pihak JDT melakukan perkara sama.

Menurut Ahmad, tindakan tersebut adalah wajar dilakukan bagi mengenalpasti pihak mana yang berkata benar berhubung kejadian yang berlaku pada separuh masa pertama perlawanan pusingan kedua Piala FA antara dua pasukan terbabit yang dihentikan Sabtu lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Sindiket 'ayat-ayat cinta' tumpas

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
pengarang@utusan.com.my

Antara ahli sindiket warga asing yang menipu golongan yang terdesak bercinta di laman sosial yang ditangkap polis baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Polis menumpaskan satu sindiket penipuan penghantaran barang yang aktif di beberapa buah negeri sejak beberapa tahun lalu yang mengakibatkan kerugian mangsa mencecah RM7.8 juta.

Dalam beberapa serbuan di ibu negara semalam, seramai 15 suspek ditahan termasuk lima warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia 27 hingga 42 tahun yang disyaki menjadi dalang sindiket itu.

Lebih mengejutkan hasil kegiatan itu membolehkan seorang suspek wanita memiliki sejumlah wang berjumlah antara RM1.5 juta dan RM2 juta di dalam akuan banknya.

Kegiatan penipuan sindiket itu terbongkar selepas mereka menipu seorang janda yang juga ahli perniagaan berusia 60 tahun di Tampoi, Johor, sejak Julai tahun lalu dengan kerugian lebih RM550,000.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) II, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyasarkan golongan wanita dan lelaki berharta serta terdesak untuk bercinta di laman sosial.

"Mereka menggunakan gambar palsu individu cantik atau kacak di laman sosial bagi mengaburi mangsa, selain menggunakan kata-kata manis dan ayat-ayat cinta.

"Suspek menabur janji untuk hidup bersama dan menghadiahkan barangan tertentu seperti wang tunai, namun tersekat di lapangan terbang oleh penguat kuasa kastam dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan barangan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini hari ini.

Menurut Abdul Jalil, dalam kes penipuan terbaharu sindiket itu, janda tersebut membuat 12 kali transaksi pembayaran ke dalam nombor akaun bank berlainan penama setelah dijanjikan sejumlah wang tunai yang banyak.

"Bertindak atas maklumat, kesemua suspek yang turut beroperasi di Kelantan, Perak dan Johor ditahan di pelbagai lokasi sehingga pagi ini.

"Polis merampas 14 buah buku simpanan pelbagai bank, 21 keping kad mesin pengeluaran bank automatik (ATM), 10 telefon bimbit, buku pasport dan komputer riba," ujarnya.

Tambah Abdul Jalil, siasatan terhadap kelima-lima warga Nigeria tersebut juga mendapati mereka mengakui sebagai pelajar, namun sebenarnya hanya memasuki negara ini menggunakan pas golongan itu untuk melakukan kegiatan jenayah.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, sebanyak 16,661 kes komersial dilaporkan tahun lalu dengan kerugian RM1.8 billion iaitu menunjukkan penurunan kes sebanyak 4.9 peratus berbanding 2012 dengan jumlah 18,336 kes.

Nenek 80 tahun rentung rumah terbakar

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Pasukan forensik bomba dan penyelamat memeriksa tempat kebakaran rumah yang mengorbankan Andik Darma Fateh Bedu di Kampung Lama, Benut, Johor, semalam.

PONTIAN 7 Feb. - Seorang nenek berusia 80 tahun yang menghidap angin ahmar rentung dalam kebakaran rumahnya di Kampung Lama, bersebelahan Masjid Jamek Benut di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, Andik Darma Fateh Bedu berseorangan di rumah kerana cucunya, Andik Raizal Mohd. Salleh, 27, keluar makan di premis berhampiran.

Andik Raizal berkata, dia terkejut melihat kepulan asap ketika menghampiri rumah semasa pulang kira-kira pukul 1.30 pagi.

"Namun saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak dan asap tebal. Saya berusaha masuk untuk selamatkan nenek kerana dia tidak boleh berjalan tetapi gagal.

"Saya baru empat bulan tinggal bersama nenek kerana sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur. Saya berhenti kerja pun kerana mahu menjaga nenek kerana dia suka duduk bersendirian walaupun ada lima anak, 11 cucu dan dua cicit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Andik Raizal memberitahu, hatinya luluh saat melihat mayat neneknya ditemui dalam keadaan rentung di atas katil bilik tidur rumah pusaka keluarga mereka.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi memberitahu, mayat mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat sebaik sahaja api dipadamkan.

Pegawai Operasi, Balai Bomba Pontian, Jalan Alsagoff, Pegawai Bomba Kanan 1 Ayob Kamisan berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 1.36 pagi.

"Seramai 37 anggota serta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Jalan Alsagoff, Pontian Baru, Rengit dan dua jentera pasukan Bomba Sukarela Benut dikejarkan ke lokasi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


4 pelajar terbunuh, berpuluh lagi cedera dalam kemalangan lori

Posted: 07 Feb 2014 10:18 AM PST

JAKARTA 8 Feb. - Sekurang-kurangnya empat remaja terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera parah semalam, apabila sebuah lori yang membawa pasukan pengakap dari sekolah tinggi tempatan terbalik di wilayah Banten, semalam.

Menurut pegawai pengurusan bencana Dedi Hasan, insiden berkenaan terjadi apabila lori berkenaan menggelongsor sebelum terbalik sewaktu melalui kawasan curam di daerah Pandeglang barat negara ini. - DPA

4 polis antara mangsa bom buatan sendiri

Posted: 07 Feb 2014 10:13 AM PST

KAHERAH 8 Feb. - Sekurang-kurangnya enam orang cedera apabila dua butir bom buatan sendiri yang disasarkan kepada kenderaan polis meletup di pedalaman Kaherah, semalam.

Kejadian tersebut berlaku ketika kenderaan polis tersebut yang membawa pasukan polis rusuhan melalui jambatan Giza, kira-kira 20 kilometer di barat daya Kaherah.

Kementerian Dalam Negeri berkata empat anggota polis merupakan antara yang tercedera. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Lapor terus kepada SKMM

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Shahiruddin Ab. Moin (dua, kanan) menyatakan sesuatu kepada Nor Azhar Hassan dalam majlis taklimat di pejabat SKMM di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 7 Feb. - Para pengguna di negeri ini disaran mengemukakan aduan bertulis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya berasa terpedaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, beliau banyak menerima aduan dan rungutan daripada pengguna berhubung perkhidmatan yang tidak memuaskan serta caj yang melampau.

"Kebanyakan rungutan berkaitan rasa terbeban dengan caj perkhidmatan sesetengah syarikat telekomunikasi terutama talian prabayar yang menolak baki kredit mereka apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) tertentu.

"Saya berharap pengguna yang rasa tertipu dengan perkhidmatan seperti ini segera membuat aduan kepada pejabat SKMM berhampiran atau melalui talian 1-800-88-030 atau SMS ke SKMM ADUAN ke 15888," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada pengurusan SKMM negeri di sini semalam.

Menurut Shahiruddin, SKMM juga perlu memantau perkhidmatan syarikat-syarikat telekomunikasi agar tidak sewenang-wenangnya mengenakan caj kepada pengguna.

"Saya mencadangkan agar SKMM turun padang dan memantau perkhidmatan yang ditawarkan syarikat-syarikat tersebut agar tidak 'mendera' para pengguna.

"Dalam masa yang sama, SKMM perlu memberi penerangan kepada pengguna agar mereka tahu hak sebagai pengguna sekali gus tidak mudah terpedaya," jelasnya.

Pusat GiatMara RM3.47j bakal dibina di Kuala Krau

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Ismail Mohamed Said (kanan) melihat seorang penuntut mengayuh basikal selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra bersama warga GiatMara Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 7 Feb. - Sebuah pusat GiatMara bernilai RM3.47 juta yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bakal dibina di daerah ini bagi menggantikan pusat GiatMara yang sedia ada.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, berdasarkan perancangan pusat latihan kemahiran berkenaan akan dibina di kawasan tanah seluas 0.8 hektar berhadapan bangunan GiatMara yang beroperasi ketika ini.

"Saya telah menghantar kertas kerja mengenai perkara ini kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan berharap pembinaannya dapat dilaksanakan dengan segera.

"Pembinaan bangunan ini penting bagi memastikan lebih ramai pelatih ditempatkan di sini pada masa akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama warga GiatMara Kuala Krau di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi GiatMara, Datuk Jaujan Sambakong dan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Datuk Mohd. Rosdi Ismail.

Menurut Ismail, pusat GiatMara berkenaan akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bengkel, pusat inkubator, surau dan dua blok bangunan asrama.

Selain itu katanya, pusat berkenaan juga akan menyediakan lot-lot perniagaan dan pameran untuk pelatih memasarkan terus produk mereka.

Dalam pada itu Jaujan berkata, pihaknya akan membawa permohonan berkenaan kepada pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kementerian berkaitan untuk tindakan segera.

"Pada dasarnya kita menyokong usaha ini memandangkan pembinaan pusat GiatMara baharu di sini merupakan keperluan mendesak yang perlu dilakukan dengan segera," katanya.

Tambahnya, pembinaan pusat itu di tapak baharu juga selaras dengan fokus pihaknya bagi memastikan semua pusat GiatMara tidak menumpang di tanah pihak lain.

Sementara itu, beliau berkata, secara umum pihaknya memerlukan kira-kira RM150 juta bagi menaik taraf 231 buah GiatMara di seluruh negara.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf pusat latihan berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan kepada keutamaan.

Masyarakat perlu bekerjasama salurkan maklumat jenayah

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

JERANTUT 7 Feb. - Masyarakat diminta memainkan peranan proaktif menyampaikan maklumat jenayah kepada polis dalam usaha semua pihak mengurangkan kadar jenayah di daerah ini sehingga ke tahap sifar.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, sikap meletakkan tanggungjawab di bahu polis semata-mata perlu dikikis sebaliknya masyarakat perlu bekerjasama menyampaikan maklumat untuk menangani kes jenayah di tempat masing-masing.

"Usaha dan kerjasama dengan polis memerangi jenayah amat penting sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk melihat kawasan kediaman yang lebih selamat dan bebas jenayah.

"Usaha pembangunan kerajaan dan keselesaan penduduk akan tercalar jika jenayah tidak diperangi habis-habisan.

"Oleh itu, tanggungjawab berkenaan tidak wajar disandarkan ke atas bahu polis semata-mata," katanya sempena program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jerantut bersama-sama Ahli Parlimen dengan penduduk, di Kampung Sungai Putat, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritendan Azid Ismail.

Menurut Ahmad Nazlan, kerjasama bukan setakat maklumat jenayah tetapi tugas penduduk menerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pertubuhan belia boleh mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat dan kondusif.

Beliau berkata, kerjasama membanteras sebarang jenayah sewajarnya dipikul bersama-sama tanpa mengira batas kaum, kedudukan dan kepercayaan politik agar jaminan ketenteraman awam sepanjang masa.

"Walaupun statistik jenayah di daerah Jerantut menurun, namun penduduk tidak sewajarnya leka, sebaliknya terus menyalurkan maklumat jenayah supaya tindakan segera dapat diambil oleh polis.

"Justeru, PDRM akan lebih kerap turun padang di semua tempat bagi menerapkan aspek kesedaran keselamatan dan jenayah selain meningkat hubungan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Ahmad Nazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut berkata, kerajaan memuji usaha anggota PDRM kerana berjaya menurunkan kadar jenayah di daerah ini atas komitmen dan integriti pasukan berkenaan.

"Daerah Jerantut antara lokasi yang amat sedikit berlaku kejadian jenayah dan daerah yang terbaik di negeri ini menerusi peranan bersungguh-sungguh PDRM berjaya mengurangkan kes berkenaan.

"Ini adalah kerjasama dan hubungan yang erat antara PDRM, pemimpin setempat dan penduduk di daerah ini bagi membolehkan perkongsian idea dan menyampaikan maklumat ke arah membanteras jenayah di sini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pemandu lori ke tali gantung

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

R. Enthiran diiringi anggota ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 7 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati di tali gantung terhadap seorang pemandu lori yang didapati bersalah membunuh rakannya dengan tukul besi setelah mangsa dikatakan cuba mencabul anak perempuannya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memutuskan demikian setelah mendapati pembelaan R. Enthiran, 34, gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Enthiran didakwa membunuh M. Asokhkumaran, 34, menggunakan tukul besi dalam satu pergaduhan di rumah No 15, Lorong 10/SS3 Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, dekat sini pada pukul 3 pagi, 28 Ogos 2011.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, mayat Asokhumaran dicampak ke dalam longkang berhampiran sebuah kuil di Simpang Ampat sebelum tertuduh melupuskan motosikal mangsa di tepi sungai berhampiran.

Hakim Zamani dalam penghakimannya berkata, empat alasan pembelaan yang dikemukakan iaitu tertuduh mabuk ketika kejadian, provokasi daripada mangsa terhadap tertuduh, tindakan dibuat untuk pertahankan diri serta pergaduhan berlaku secara tiba-tiba tidak boleh diterima.

Selain kata, kata beliau, tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah gagal memberi penjelasan munasabah selain pembelaannya bercanggah dengan kecederaan yang dialami mangsa dan keterangan anak perempuannya.

Tertuduh yang memakai baju T berwarna putih berbelang hitam dan berseluar jean kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Arif Shaharuddin.

Muhammad Arif kemudiannya memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Mejar TUDM didakwa isu dakwat kekal

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Zaidi Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Seorang Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara TUDM Butterworth, Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tentera di sini hari ini atas lima pertuduhan melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dan dua pertuduhan melanggar Perintah Tetap Pangkalan Udara Butterworth, tahun lalu.

Mejar Zaidi Ahmad, 45, didakwa atas tuduhan-tuduhan itu berikutan tindakannya membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur politik dan hasutan.

Dia membuat pengakuan itu di hadapan panel enam pegawai tentera yang diketuai Yang Dipertua, Kolonel Saadon Hassan dari TUDM di sini.

Lima lagi anggota panel berkenaan ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd. Dom, Mejar Khuzairi Mohd. Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S. Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Lelaki itu didakwa membuat kenyataan media mengenai rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal yang sepatutnya perkara tersebut disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera dan membuat kenyataan itu tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pekarangan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kepala Batas, Pulau Pinang, 1 Mei 2013.

Dia yang mempunyai empat anak juga didakwa melakukan perbuatan sama dan menyiarkan maklumat rasmi iaitu kawat tumpangan keluar kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, 3 Mei 2013.

Pegawai kanan itu turut didakwa menghantar SMS tersebut semasa bertugas di Pangkalan Udara Butterworth, 1 Mei 2013.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 50(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau mana-mana yang lebih ringan termasuk dibuang kerja.

Pendakwaan dikendali oleh Pegawai Pendakwa TUDM, Mejar Ahmad Sanusi Ali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Dr. Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 8 April ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Meneruskan tradisi dakwah

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh MOHD. ZUBER ZAIN
PENULIS ialah Ketua Penerbitan Perkim.

Tertegaknya bangunan Perkim dan Balai Islam Perkim di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur menjadi testimoni atau bukti jelas sokongan padu kerajaan terhadap gerakan dakwah Islam di Malaysia.

PADA hari ini, warga Perkim akan menyambut ulang tahun penubuhan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia ini buat kali ke-54 di Masjid Assyakirin KLCC dengan acara ringkas bacaan Yasin dan tahlil. Majlis ini akan dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Yang Dipertua Perkim sejak 2005.

Dalam usia melebihi setengah abad, Perkim sering dikenali sebagai ikon Saudara Baru walaupun skop khidmat badan kebajikan ini sebenarnya lebih luas meliputi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim dan golongan yang ingin mendalami Islam.

Hal ini kerana sudah menjadi amalan - "jika mahu masuk Islam, pergilah ke bangunan Perkim di Jalan Ipoh."

Contohnya, Abdul Karim Raymond, 30, mengenali Malaysia menerusi seorang teman yang pernah berkunjung ke negara ini. Kebetulan pula, pada ketika itu melihat keadaan aman harmoni rakyat negara ini, hatinya semakin berkeyakinan dengan agama Islam yang hampir tiga tahun dikenalinya itu.

"Agama Islam di negara saya Ghana adalah agama kedua selepas Kristian. Pun begitu peratus yang beragama Islam adalah kecil berbanding dengan agama Kristian yang melebihi 54 peratus. Walaupun dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana keluarga dan masyarakat yang boleh dikatakan kuat pegangan kepada agama Kristian, saya masih merasa kosong. Demi mencari pengisian itulah, saya membawa diri ke negara-negara yang majoritinya beragama Islam. Namun hanya setelah ke Malaysia dan melihat sendiri Islam dipraktikkan dalam seluruh kehidupan, saya yakin inilah agama yang tepat buat saya," cerita Abdul Karim yang masuk Islam pada Disember 2007.

Abdul Karim ialah salah seorang daripada 10 penerima anugerah pelajar cemerlang Perkim Kebangsaan pada Ogos lalu. Mengikuti kelas-kelas pengajian Islam dan mengaji al-Quran yang dianjurkan Perkim, dia semakin memahami agama suci ini.

Mengenai Islam yang sering dilabel dengan perkara-perkara negatif, beliau tidak menyalahkan pihak terlibat termasuk media Barat yang berpandangan sedemikian. Hakikatnya, kata Abdul Karim, Islam adalah agama yang paling lengkap dan sempurna. "Sayangnya, umat Islam itu sendiri tidak memberi gambaran Islam yang sebenar. Sikap negatif merekalah yang turut mencemarkan imej Islam," katanya.

Alhamdulillah, dakwah yang dilakukan oleh Perkim berjaya menawan hati Abdul Karim dan ramai lagi mualaf, biarpun jarang diketahui masyarakat awam.

Jika badan-badan dakwah lain memberi tumpuan kepada orang Melayu, Perkim sejak ditubuhkan pada 19 Ogos 1960, telah memberi tumpuan kepada orang seperti Abdul Karim, yang berkelana ke negara ini untuk mencari ketenangan jiwa.

Pada masa ini, ramai peserta kelas-kelas agama Perkim terdiri daripada orang Afrika, Eropah dan Filipina yang tertarik kepada agama Islam apabila datang bekerja di Malaysia. Selepas mengucap syahadah dan diislamkan oleh mubaligh Perkim yang majoriti mereka juga ialah Saudara Baru, mereka perlu mengikuti kelas pengajian Islam yang diadakan setiap hari termasuk hujung minggu di Bangunan Perkim dan di Bahagian Perkim yang terdapat di setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

Selain teori, mereka diajar secara amali bagaimana berniat dan mengambil wuduk, sembahyang, puasa dan ibadah yang lain. Selain fardu ain, mereka juga diajar membaca al-Quran, tafsir, hadis, sejarah Islam, bahkan dibekalkan naskhah al-Quran dan pelbagai bahan bacaan mengenai Islam terbitan Perkim.

Sebarang persoalan agama atau masalah tentang alam kehidupan yang baharu, mereka boleh menghubungi atau berjumpa sendiri pegawai-pegawai dakwah Perkim yang sedia membantu 24 jam.

Laman web pertubuhan itu boleh diakses di mana-mana sahaja. Pusat Aduan di tingkat empat Bangunan PERKIM pula, bukan sahaja sedia memberi bantuan kepada masalah berkaitan agama bahkan berfungsi menerima pelbagai aduan berhubung masalah rakyat yang akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan sebagainya.

Sebenarnya kelas agama Perkim bermula sejak 1961 di sebuah banglo kerajaan di Jalan Ampang, dipimpin Haji M.N Qandil. Kemudian kelas agama ini berpindah ke Balai Islam Perkim di Jalan Ipoh yang dirasmikan oleh Allahyarham Tun Razak pada 1974. Mulai 1976, kelas-kelas agama ini diserapkan dalam Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) yang berpindah pula ke premis baru lengkap dengan asrama di Wisma Selangor, Jalan Universiti, Petaling Jaya. Sejak 1991, kampus tetap IDIP di Pengkalan Chepa, Kelantan, iaitu bekas tapak kem pelarian Islam Champa/Kemboja.

IDIP melatih mubaligh Islam yang sebahagian besar mereka terdiri daripada mualaf Cina, India, Orang Asli dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Memandangkan sumber dakwah yang paling penting ialah pendakwah yang terlatih dan berkaliber, Perkim merancang membina Kompleks IDIP Pusat di Kuala Kubu Baru di atas tanah seluas lima hektar. Namun kekangan dana membuatkan projek yang dianggarkan bernilai RM20 juta ini terpaksa ditangguhkan buat sementara.

Selepas 54 tahun, Perkim boleh berbangga kerana berjaya melaksanakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan yang dihasratkan oleh pengasasnya, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Walaupun tidak mendapat pendidikan Islam secara formal, agenda penyatuan dan perpaduan umat Islam cukup dekat di hati Almarhum.

Contoh jelas adalah usaha memperkenalkan Musabaqah Al-Quran selepas negara merdeka pada 1960.

Melalui Musabaqah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, Almarhum telah mengumpul qari dan qariah serta alim ulama dari seluruh negara dalam satu majlis tahunan. Musabaqah Peringkat Antarabangsa yang diadakan sejak 1961 pula menyatukan qari dan qariah serta alim ulama dari seluruh dunia Islam. Melalui Musabaqah Antarabangsa ini nama Malaysia tersebar dan terpancar ke seluruh dunia Islam.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, Perkim menjalin hubungan dengan BINA/HIKMAH (Sarawak) dan USIA (Sabah) menubuhkan Badan Dakwah Islam (Badai) bagi tujuan dakwah di Malaysia Timur.

Walaupun dengan peruntukan dan sumber yang cukup terhad, sekitar 1980-an, dianggarkan lebih 100,000 orang telah memeluk Islam melalui usaha dakwah Perkim, BINA dan USIA, dengan purata 5,000 orang setiap tahun. Anggaran terkini mungkin lebih 254,000 orang Saudara Baru.

Aktiviti kebajikan Perkim termasuk membuka rangkaian klinik dan klinik bergerak yang dikendalikan oleh doktor dan jururawat sukarela memberi rawatan secara percuma kepada pesakit.

Perkim juga membuka Pusat Pemulihan Dadah di Perak, Pusat Perlindungan Wanita di Negeri Sembilan dan Kompleks Anak Yatim di Kedah di samping Institut Perkim-Goon, yang menawarkan kursus peringkat diploma kepada Saudara Baru. Turut dibuka, Tasputra Perkim khas untuk anak kurang upaya (OKU) dan sebuah asrama untuk anak Orang Asli di Bukit Persekutuan Kuala Lumpur.

Sumbangan Perkim tidak terhad kepada rakyat tempatan, apabila membantu Pelarian Perang Islam (PPI) dari negara ASEAN yang bergolak antaranya Melayu Champa dari Kemboja, Mindanao (bangsa Moro), Myanmar (Rohingya) dan Bosnia, mendapat perlindungan sementara atau menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum berhijrah ke negara lain.

Melihat perlunya satu koordinasi antara badan-badan dakwah di rantau Asia Pasifik, pada 1980 Almarhum Tunku menubuhkan Regional Islamic Secretariat East Asia Pasifik (RISEAP). Di peringkat antarabangsa RISEAP bergabung dengan Kongres Islam Sedunia yang beribu pejabat di Karachi.

Usaha dakwah dan kepimpinan Almarhum Tunku mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Perkim terpilih menerima Anugerah Raja Faisal dan Anugerah Maal Hijrah dari Kerajaan Pakistan. Pada 1986, jasa dan sumbangan besar dalam bidang kebajikan diiktiraf kerajaan apabila dipilih menerima Anugerah Tun Razak.

Tertegaknya bangunan Perkim dan Balai Islam Perkim di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur menjadi testimoni atau bukti jelas sokongan padu kerajaan terhadap gerakan dakwah Islam di Malaysia.

Dr. Mahathir meneruskan cara dan gaya dakwah Perkim yang sederhana, mengorak langkah kerja yang lebih dinamik dengan berusaha menonjolkan imej Islam yang positif dan menepis label ekstremis yang dilukis oleh media antarabangsa.

Usaha beliau menganjurkan Konvoi Flotila Bantuan Kemanusian Gaza berjaya menonjolkan imej Malaysia sebagai negara Islam yang kecil tetapi berperanan besar dalam kerja-kerja membantu saudara seagama di seluruh dunia.

Dengan segala macam penyakit sosial yang melanda negara sekarang, Perkim kini memberi tumpuan dakwah kepada golongan muda.

Bahagian Tajdid Pemikiran Islami Era Globalisasi ditubuhkan bagi membolehkan Perkim menerang dan memperjelas keperluan nilai-nilai Islam menjadi pegangan hidup kepada 40,000 pensyarah dan guru agama di Kementerian Pendidikan.

Program Tajdid ini dikendali sendiri oleh Dr. Mahathir yang sanggup turun padang berdakwah berkongsi pemikiran dan pengalaman luas beliau dengan guru-guru agama, dengan harapan mereka akan menyebar luas fahaman Tajdid Islami ke 10,000 sekolah dan 28 maktab perguruan seluruh negara.

Perkim juga sedang giat mempromosi konsep Tajdid Islami di universiti awam dan swasta melalui Kelab-Kelab Perkim Universiti.

Fokus Perkim kini adalah kepada generasi muda di samping meneruskan kerja-kerja kebajikan yang menjadi tradisi PERKIM kepada anak-anak yatim, fakir miskin, OKU serta Saudara Baru.

Jangan terperangkap politik alih isu pembangkang

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Zulkiflee Bakar

TINDAKAN biadab Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menghina pemimpin negara melalui penerbitan klip video Tahun Baharu Cina baru-baru ini turut 'menghangatkan' arena politik negara yang ketika ini sudah 'dipanaskan' dengan wayang politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Perbuatan Teresa yang menganggap penerbitan video itu sekadar satira politik menunjukkan dengan jelas bahawa pemimpin DAP itu tidak berasa bersalah dengan perbuatan biadabnya.

Justeru tidak hairanlah jika setakat ini 243 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu. Pada masa yang sama, Teresa juga dikecam melalui laman-laman sosial sehingga mendorong sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan demonstrasi membantah perbuatan beliau.

Bagaimanapun persoalannya, sejauhmanakah semua tindakan itu akan memberi tekanan politik kepada Teresa, DAP dan sekutunya seperti PKR dan Pas? Setakat ini pemimpin kedua-dua parti itu tidak berkata apa-apa. Mungkin kerana pemimpin negara yang dihina oleh Teresa itu ialah pemimpin-pemimpin UMNO maka mereka menganggap ia tidak salah.

Namun begitu, dalam keghairahan pelbagai pihak membuat bantahan, kita juga harus berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan politik alih isu yang sememangnya sudah menjadi 'senjata politik' pakatan pembangkang sejak sekian lama.

Ketika ini, kecaman yang dilemparkan kepada Teresa, sudah dijadikan 'alat' oleh pembangkang untuk menyerang balas UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Mereka mengaitkan semua tindakan dan bantahan yang dilakukan oleh NGO-NGO didalangi oleh UMNO - tidak pasal-pasal UMNO dikaitkan - sedangkan apa yang berlaku kerana rakyat sudah bosan melihat kebiadaban pemimpin-pemimpin pembangkang sejak kebelakangan ini.

Apatah lagi, rentetan politik sebelum ini menunjukkan biarpun beratus-ratus laporan polis dibuat ke atas pemimpin pembangkang namun ia sepi begitu sahaja.

Keadaan inilah memungkinkan sesetengah pihak khususnya NGO terpaksa melakukan tindakan dengan tujuan menarik perhatian pihak berkuasa bahawa mereka mahu langkah tegas diambil sebagai pengajaran.

Kebiadaban Teresa tidak boleh didiamkan. Laporan polis yang dibuat harus disusuli dengan keberanian Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan.

Sudah terbukti kini tindakan Teresa telah menimbulkan kemarahan rakyat, oleh itu mereka mahu melihat pemimpin DAP itu 'diajar' untuk menghormati undang-undang.

Jika dikaji, adalah jelas tidak ada keinsafan pada diri Teresa untuk meminta maaf sebaliknya dia kembali menyerang pemimpin-pemimpin UMNO, dalam kata mudah seolah-olah dia sedikit pun tidak takut dengan laporan-laporan polis dibuat.

Apapun, kita mengharapkan semua pihak rasional dalam berhadapan dengan isu Teresa. Ini memandangkan jika mereka bertindak keterlaluan, ia boleh menyebabkan mereka termasuk dalam perangkap pembangkang yang sememangnya sedang cemas dengan isu wayang politik PKR di Kajang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Sepahtu juara Maharaja Lawak Mega 2013

Posted: 07 Feb 2014 09:25 AM PST

SHAH ALAM 8 Feb. - Persembahan yang menarik dan bersahaja, melayakkan kumpulan Sepahtu dijulang sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2013.

Kumpulan yang dianggotai Jepp, Rahim dan Shuib itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000 dan trofi dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Gelaran naib juara pula menjadi milik kumpulan Shiro diikuti Bocey yang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Sementara itu, tempat keempat dimenangi kumpulan Jambu manakala Nabil berada di tempat ke lima. -UTUSAN ONLINE

Yuka bukan peniru

Posted: 06 Feb 2014 09:33 PM PST

oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
gambar NOOR AZLINA JAAFAR

YUKA Kharisma, penyanyi yang berasal dari Indonesia ini bukanlah nama baharu dalam industri hiburan.

Sebelum ini dia pernah tampil dengan single berjudul Kita Harus Percaya dan Ku Bersedia ciptaan komposer Pay & Dewiq. Tetapi, percubaan pertama Yuka itu tidak mampu melonjakkan namanya seperti diharapkan.

Tidak pernah kenal erti putus asa, Yuka kini tampil lagi dengan single terkini berjudul Dengan Tiada Luka ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Shah Shamsiri.

Bagi Yuka, dia juga kecewa kerana lagu pertama dendangannya sebelum itu tidak mendapat sambutan apatah lagi jarang dimainkan di stesen radio.

Memang kecewa kerana itu buah tangan pertama saya untuk menarik pendengar tetapi apakan daya tidak mendapat sambutan. Tidak mengapa, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berada dalam industri muzik di sini," jelasnya.

Di kala Yuka masih bersemangat untuk meneruskan perjuangannya, ada yang mempertikai kehadirannya dalam industri muzik tempatan.

Mulut-mulut tidak berpuas hati mempertikaikan Yuka yang tidak popular di Indonesia, tetapi sudah berani mahu memasarkan lagu di Malaysia.

Apa lebihnya dia? Apa kurangnya penyanyi Malaysia sendiri sehingga artis seberang juga diberi peluang besar?

Tidak mudah melatah dengan apa yang diperkata orang, jelas Yuka, bakatnya mula disedari ketika menyertai rancangan realiti Indonesian Idol sekitar 2008.

Masa itu, saya tidak mendapat tempat pertama, sebaliknya hanya berada di tempat kelima.Selepas itu, saya telah dipanggil oleh penyanyi Titi DJ, untuk menyertai syarikat pengurusan kelolaannya.

Namun, selepas tiga tahun, saya kemudian beralih kepada pengurusan terbaharu iaitu Mentari Management Sdn. Bhd. yang berpengkalan di Malaysia," katanya.

Atas faktor itu, dia mula memasarkan dirinya di pasaran muzik tempatan dan mula mengatur langkah panjang.

Setiap lagu saya akan dipromosikan di Malaysia dahulu kemudian baharu ke Indonesia. Jadi, saya rasa tidak salah untuk berbuat demikian. Lagipun, industri muzik antara kedua-dua negara ini serumpun. Jadi, apa salahnya saya mencuba untuk berada di industri muzik di sini," katanya tenang.

Apa yang diharapkan Yuka menerusi single kali ini ialah supaya lebih ramai yang mengenali dirinya sebagai penyanyi dan menghargai bakat yang dimilik.

Antara Bunga Citra Lestari dan Anggun

Sebenarnya, bukan tidak ada langsung yang mengenali Yuka sebelum ini. Jika tidak, masakan ada yang berani membuat perbandingan suaranya dengan dua artis popular Indonesia. Perlu anda tahu, bukan sedikit yang memperkatakan bahawa suara Yuka sebenarnya mirip kepada penyanyi, Bunga Citra Lestari dan adakalanya persis Anggun Cipta Sasmi.

Sebenarnya, saya tidak sedikit pun terkesan dengan perbandingan itu. Sebaliknya, saya meletakkan penilaian itu kepada peminat. Memang sejujurnya, saya tidak pernah meniru gaya penyanyi lain dan sentiasa menjadi diri sendiri.

Mungkin sebab orang tidak kenal nama saya lagi ketika ini. Itu yang membuatkan orang tersilap dan membandingkan saya dengan dua penyanyi yang sudah hebat itu," jelas Yuka yang sedikit sebanyak rasa beruntung kerana dibandingkan dengan dua penyanyi hebat yang diminatinya itu.

Buat masa ini Yuka masih lagi dalam fasa untuk memperkenalkan dirinya sebagai seorang penyanyi dan dia tidak kisah dibandingkan dengan senior yang lain.

Saya akan lakukan secara beransur-ansur dan tidak mahu terburu-buru. Biar orang kenal saya dahulu, baharu saya akan tampilkan sisi sebenarnya genre muzik saya," katanya.

Bagi Yuka, elemen jaz adalah kekuatannya dalam bidang muzik dan sedang dalam proses untuk menyiapkan album dengan sentuhan jaz sekitar tahun ini.

Album yang akan diterbitkan pada tahun ini nanti sedikit sebanyak akan menampilkan sisi diri saya yang sebenar. Dalam album itu, akan dimuatkan antaranya lagu-lagu berirama jaz, R&B, soul dan sedikit irama tradisional," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Tersentuh hati melihat Rojaah

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

PASANGAN Othman Shafie dan Rojaah Samsuri bersyukur dapat memberikan pendidikan agama yang cukup kepada anak-anak.

Saya berkahwin kerana Allah dan agama bukan kerana nafsu. Itu sebab saya memberanikan diri untuk pergi berjumpa sendiri keluarga bakal isteri.

"Dalam pertemuan itu, saya bukan sekadar mahu melahirkan hasrat untuk menyunting anak mereka, tetapi ingin menyiasat latar belakang keluarga,"luah Othman Shafie, 63.

Pemenang Tokoh Keluarga Mithali Negeri Perak 2014 itu berkata, pendekatan tersebut dilakukannya ketika mahu melamar kedua-dua isterinya, Faizah Mahmudin (telah meninggal dunia kira-kira 14 tahun lalu) dan isteri sekarang, Rojaah Samsuri, 57, yang dinikahinya pada tahun 2002.

Beliau yang juga bekas pengurus tadbir di beberapa jabatan agama Islam serta juri tilawah peringkat negeri itu berkata, pendekatan itu digunakan kerana beliau percaya pasangan yang mempunyai asas agama meskipun sedikit, dapat menjadikan sesebuah keluarga itu berkat dan pasti akan dibantu setiap kali mengalami kesulitan Allah SWT.

''Allahyarham isteri saya, Faizah lulusan sekolah agama, sama seperti saya. Manakala Rojaah pula, meskipun sekolah aliran biasa, tetapi dia sangat rajin belajar agama.

''Biarpun dia pernah menangis ketika diajar, alhamdulillah ketika ini, dia sudah menguasai apa yang sepatutnya dilakukan sebagai hamba-Nya, sebagai isteri dan ibu segera kepada anak-anak saya yang ramai," cerita Othman kepada S2 baru-baru ini.

Othman memberitahu Faizah pergi menghadap Ilahi akibat uzur setelah hampir 25 tahun hidup bersamanya serta meninggalkan 11 anak yang ketika itu berusia antara lima hingga 20 tahun.

Menyingkap 'jodohnya' dengan Rojaah, Othman berkata, isterinya itu diperkenalkan kepadanya oleh kawan-kawan setelah melihat dia bertungkus lumus seorang diri menguruskan 11 anak termasuk tiga anak kurang upaya selepas hampir dua tahun Faizah meninggal dunia.

Malah ketika itu, menurut Othman, bukan hanya Rojaah seorang yang dicalonkan tetapi terdapat kira-kira 10 wanita lain turut dicadangkan oleh kawan-kawannya.

Namun, hati lelaki Othman tertarik kepada Rojaah yang bekerja sebagai jururawat di Tapah, Perak ketika itu setelah melihat kesungguhan dan kepandaian wanita itu melayan kerenah anak-anaknya.

''Masa itupun sebenarnya hati rasa memang dah tidak mahu berumahtangga kerana mahu menjaga anak-anak termasuk yang OKU.

"Lagipun hidup saya ketika itu amat sibuk sebagai jurulatih latihan di Felda Gugusan Trolak, selain memenuhi undangan ceramah agama dan mengajar agama.

''Namun, hati saya tersentuh melihat kesungguhan Rojaah melayan kerenah 11 anak saya sewaktu kami bertemu dalam satu majlis minum petang, kira-kira 12 tahun lalu.

"Meskipun dia terkejut melihat keluarga saya yang besar, tetapi dia tetap melayan kami dengan baik," kata pendakwah bebas itu sambil ketawa.

Ternyata, menurut Othman, Rojaah pilihan yang tepat apabila wanita itu mampu menggalas tanggungjawab dengan sempurna dalam membesarkan anak-anak, selain menyokong kerjayanya sehingga kini.

Menyingkap pula rahsia kejayaan beliau mendidik anak-anaknya sehingga terpilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali Negeri Perak, Othman memberitahu mereka sekeluarga sering melakukan solat berjemaah, selain membudayakan diri dengan membaca al-Quran dan majlis ilmu.

Othman yang kini menetap di Tapah mengakui selain sering solat berjemaah bersama keluarga, beliau berusaha mengelakkan sebarang ruang yang menjurus kepada perkara negatif di mana jua anak-anak berada.

Tidak menjangka menerima anugerah itu, beliau memberitahu akan terus memberi khidmat sukarela kepada yang memerlukan, selain terus bergiat aktif dalam aktiviti dakwah.

''Semua pendidikan al-Quran dan agama anak-anak, saya sendiri yang ajar mereka di rumah. Meskipun ramai melihat perwatakan saya tenang tetapi saya sangat tegas sehinggakan hampir semua anak-anak pernah menangis semasa saya mengajar mereka.

''Bagaimanapun, sebagai ayah, saya merasa amat gembira apabila melihat kesemua mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing," katanya.

''Saya sebenarnya tidak menyangka dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali. Walaupun mempunyai ramai anak dengan pendapatan yang tidak seberapa dahulu, saya tetap mengharungi cabaran hidup biarpun mempunyai tiga anak istimewa yang mana dua daripadanya telah meninggal dunia.

''Kini, saya bertugas sebagai pendakwah bebas dan guru takmir di masjid kerana mempunyai kelayakan tauliah daripada Jabatan Mufti. Dahulu, ketika saya baru mempunyai tiga anak, saya mengambil inisiatif untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

''Masuk anak keempat, saya tambahkan lagi pengetahuan dengan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke dalam bidang syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semuanya saya lakukan untuk masa depan keluarga," katanya yang sering membawa keluarganya menyertai majlis-majlis ilmu yang disertainya.

Jawatan pertama yang disandang Othman adalah imam di Maktab Tentera Sungai Besi pada 1976 hingga 1983, manakala jawatan terakhirnya adalah penerbit rancangan Suara Felda di RTM Ipoh.

Sementara itu, Rojaah memberitahu, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama sebelum bersetuju untuk menjadi isteri Othman kerana ketika itu dia berasa takut untuk memikul tanggungjawab besar yang menanti.

Namun, anak tunggalnya, Mohd. Shahril Shaharudin yang ketika itu berusia 17 tahun memujuk dan memintanya memilih Othman kerana merasakan lelaki itu mampu membimbing mereka dua beranak.

"Sebelum bernikah dengan ustaz (Othman), saya telah menjanda dan hidup sendirian selama 13 tahun.

"Perasaan takut timbul tatkala mengenangkan anaknya seramai 11 orang, membuatkan hati saya berbelah bahagi.

"Pada masa itu pun, ada beberapa orang lain turut mahu menjadikan saya isteri. Tetapi Mohd. Shahril sudah berkenan dekat ustaz, dia hanya mahu ustaz jadi ayahnya. Itu yang membuatkan saya akhirnya memilih ustaz," kata Rojaah sambil tersenyum.

Menurut Rojaah, menjadi ibu segera untuk anak-anak yang ramai bukan satu tugas mudah, lebih-lebih lagi dia perlu berulang alik dari Felda Trolak ke Hospital Tapah setiap hari sejauh 54 kilometer.

Untuk memudahkan urusan, Rojaah yang kini bertugas sebagai ketua jururawat di Hospital Tapah memberitahu, semua urusan berkaitan keluarga termasuk didikan anak-anak dibahagi sama rata antara mereka suami isteri.

"Ustaz orangnya sangat tegas dalam mendidik anak-anak. Dia akan memastikan saya dan anak-anak dapat menguasai apa yang diajarnya, selain mahu saya dan anak-anak makan bersama dan mendengarnya membaca al-Quran.

"Alhamdulillah, ternyata penat jerih kami selama ini berbaloi apabila anak-anak berjaya dalam hidup masing-masing. Saya juga amat bersyukur dipertemukan jodoh dengan ustaz.

"Ternyata kehadirannya dalam hidup saya memberi kebahagiaan dan kegembiraan yang saya cari selama ini," katanya.

Bapa kahwin janda, ibu nikah lelaki muda

Posted: 07 Feb 2014 11:12 AM PST

Setiap anak mahukan yang terbaik untuk masa depan mereka termasuk ibu bapa yang hidup dalam harmoni dan berkasih sayang serta kehidupan yang tenang bersama keluarga.

Pun begitu tidak semua impian akan menjadi kenyataan. Berlaku sahaja perceraian, anak-anak akan menjadi mangsa. Walau tidak teruk pasti terasa tempiasnya.

Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Dura (bukan nama sebenar) yang terpaksa menerima hakikat ibunya bernikah dengan lelaki muda setelah bercerai dengan ayah kandungnya setahun lalu.

Ingin tahu apa terjadi seterusnya? Kita ikuti cerita Dura selanjutnya seperti mana diberitahu kepada saya.

"Saya berusia 25 tahun, baru tamat belajar dan bekerja di sebuah syarikat swasta. Saya mempunyai ibu bapa yang telah bercerai setahun lalu kerana tidak ada persefahaman lagi setelah 26 tahun hidup bersama.

"Syukur saya tidak ada adik, kakak atau abang. Mudah cerita, saya anak tunggal. Alasan ibu, dia sibuk dengan kerjayanya, jadi tidak ada masa untuk menambah zuriat.

"Saya dibesarkan dengan penuh kasih sayang, kemewahan dan apa sahaja yang saya mahu..., semua dapat. Sayangnya saya kekurangan kegembiraan dan perhatian ibu dan ayah yang masing-masing sibuk mengejar duniawi.

"Namun begitu saya bersyukur kerana tidak lalai dengan keadaan. Saya gembira kerana mempunyai kawan-kawan dan keluarga yang membantu saya. Menjaga solat saya dan mengambil berat akan diri saya. Alhamdulillah.

"Enam bulan setelah berpisah, ayah kahwin lain, diikuti ibu kemudiannya. Ayah bernikah dengan seorang janda beranak dua.

"Ibu pula mengambil keputusan bernikah dengan seorang anak teruna berusia awal 30-an, berbeza usia 12 tahun dengannya.

"Bayangkan bagaimana dengan saya? Bapa cara dia, ibu juga begitu. Saya terumbang-ambing meneruskan hidup. Walaupun bapa mempelawa saya tinggal bersamanya, saya menolak, begitu juga ibu.

"Saya ambil jalan selamat dengan menyewa bersama kawan-kawan untuk menjaga kedua-dua pihak walaupun saya lebih berat untuk tinggal bersama ibu, tetapi saya tidak mahu mengganggu pengantin baru.

"Ibu terasa hati tetapi saya beritahu dia saya akan balik seminggu sekali. Begitu juga bapa. Sayangnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana saya agak pembaca sendiri boleh faham.

"Di rumah bapa, saya terpaksa berdepan dengan adik dan ibu tiri, di rumah ibu, saya ada bapa tiri yang masih muda. Susah untuk saya menyesuaikan diri. Mana lagi saya harus menjaga aurat saya.

"Saya bukan tidak suka keluarga baru bapa dan ibu tetapi sebagai anak, saya tentunya merasa sedih dengan keadaan berbeza yang saya lalui. Saya cuba balik ke rumah ibu tetapi saya tidak selesa. Bila ibu dan ayah tiri ada di ruang tamu, saya berkurung dalam bilik, begitulah sebaliknya.

"Saya memang tidak selesa sebab tidak kenal lagi hati budi ayah tiri saya yang masih muda itu, tambahan pula saya tidak tergamak melihat perangai ibu yang mengada-gada dengan suami barunya itu macam orang muda.

"Ibu tidak tahu menjaga dirinya dan tidak menutup aurat. Di rumah dia pakai sesuka hati, seluar pendek, kemeja T tanpa lengan...,maklumlah nak layan selera suami muda.

"Saya pula sejak sekolah, masuk asrama dan menuntut di universiti telah berhijab. Berbeza dengan ibu. Tapi saya tidak boleh menegur ibu kerana bimbang dia terasa hati. Saya berdoa siang malam agar ibu berubah.

"Bapa tidak banyak kerenah kerana dia faham keadaan saya. Tapi saya bimbangkan ibu, sampai bila ibu harus berperangai macam itu? Salah satu sebab bapa ceraikan ibu kerana sikapnya tidak pandai menjaga maruah bapa dan perangainya yang macam orang muda.

"Kini saat indah bersama ibu bapa kandung sudah berlalu dan tidak mungkin akan kembali. Di rumah bapa, saya agak selesa sebab ibu tiri boleh tahan juga baiknya. Dia tidak pernah menyakiti saya. Adik-adik tiri juga mesra dengan saya.

"Begitu juga apabila di rumah ibu, saya akan teringatkan bapa. Bayangkan 25 tahun, saya hidup bersama mereka, tiba-tiba keseronokan itu hilang sekelip mata. Walaupun saya sedang belajar mengenal ayah tiri saya tetapi saya tidak mungkin dapat menerimanya sepenuh hati.

"Saya juga pelik kenapa ibu tidak ada perasaan malu dengan saya apabila bersama suaminya. Sekurang-kurangnya jaga batas sebagai ibu di hadapan saya, ini macam sengaja nak menunjuk-nunjuk kepada saya.

"Saya pernah bercerita hal ini kepada nenek sebelah ibu tetapi nenek juga tidak mahu campur tangan kerana dia tahu perangai anaknya macam mana. Begitu juga dengan saudara ibu yang lain.

"Dalam apa juga keadaan, saya harus menerima hakikat yang kehidupan saya tidak sama lagi seperti dahulu. Mujur saya sudah dewasa untuk memahami keadaan ini. Saya selalu berdoa agar ibu akan berubah sikap dan menjadi wanita yang sebenarnya.

"Ibu dan suami barunya banyak menghabiskan masa dengan melepak dan membeli-belah dan bercuti macam orang muda. Saya tahu ibu mampu tetapi dalam usia yang hampir mencecah 50-an, saya harap ibu akan sedar dan berubah.

"Saya tidak ada masalah dengan bapa kerana saya tahu, dia seorang lelaki yang baik, penyayang dan bertanggungjawab. Untung bapa dapat isteri baru yang juga penyayang, mengambil berat dan sayang kepadanya. Itulah yang saya harapkan daripada ibu dahulu.

"Sebagai anak, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ibu dan bapa. Saya juga berharap saya akan segera dipertemukan jodoh agar saya dapat membina kehidupan saya sendiri. Pasti saya tidak akan merasa sunyi dan tersisih seperti sekarang, mudah-mudahan Allah makbulkan permintaan saya ini." kata Dura menamatkan ceritanya.

Begitulah lumrah dunia. Ada yang bahagia dan ada yang menderita. Saya gembira kerana Dura sudi berkongsi cerita ini dengan pembaca ruangan ini.

Saya percaya ramai pembaca di luar sana yang menghadapi masalah seperti Dura, dan saya berharap mereka bertindak bijak untuk menangani situasi ini seperti mana yang dibuat Dura.

Syabas! Dura mempunyai fikiran yang positif terhadap ibu dan bapanya. Doa saya agar Dura akan terus sabar dan memberi perhatian dan kasih sayang kepada kedua-duanya tanpa berbelah bahagi.

Menamatkan catatan, pesanan saya: "Biarpun kehidupan itu perit, kita perlu terus hidup untuk menikmati kegembiraan di penghujungnya."

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Rezeki nelayan terputus

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH
kota@utusangroup .com.my

Sebahagian nelayan menunjukkan pukat mereka yang rosak dilanggar bot pukat tunda di kawasan nelayan pantai di Pantai Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, semalam. - UTUSAN/UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH

SABAK BERNAM 6 Feb. - Nasib nelayan pantai di Sungai Haji Dorani di sini kini tidak menentu berikutan pencerobohan bot pukat tunda di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, sebanyak empat nelayan terbabit mengalami kerugian apabila pukat mereka rosak dilanggar bot pukat tunda yang menceroboh pada kira-kira pukul 10.30 malam, Isnin lalu.

Salah seorang mangsa, Othman Harun, 33, berkata, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku.

Menurutnya yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu, jumlah kerugian yang ditanggung oleh mereka dianggarkan RM12,000.

"Saya dan rakan-rakan tidak dapat turun ke laut kerana pukat kami telah dirosakkan

"Saya memang bergantung sepenuhnya kepada pencarian hasil laut untuk menampung dan menyara hidup sekeluarga namun selepas kejadian ini mungkin saya terpaksa mencatu perbelanjaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan kerosakan yang dialami, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam pada 4 Februari lalu.

Seorang lagi mangsa, Wahab Om, 53, memberitahu, berdasarkan pemerhatiannya, terdapat kira-kira 30 bot bukat tunda sering menceroboh di kawasan itu.

"Mereka memang bijak kerana ketika melakukan pencerobohan mereka akan menutup nombor pendaftaran bot dan memadamkan lampu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," ujarnya.

Rakannya, Abdul Talib Lambak, 55, pula berkata, dia pernah diugut oleh beberapa orang lelaki dipercayai pengusaha bot pukat tunda beberapa bulan lalu selepas pukatnya dilanggar.

"Mereka datang ke rumah saya pada pukul 4 pagi sambil mengugut akan melakukan sesuatu jika saya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Sungai Besar, Ahmad Samsuri Ahmad Mukri mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menceroboh itu.

Kata beliau, pihaknya akan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada nelayan terlibat.

Beliau juga berharap permohonan nelayan di Pangkalan Nelayan Sungai Haji Dorani untuk mewujudkan 'Rakan Fish' (RF) dipertimbangkan oleh Jabatan Perikanan.

"Dengan adanya RF dapat memastikan keselamatan kira-kira 120 nelayan di pangkalan ini dilindungi sepenuhnya berikutan terdapat sukarelawan nelayan berdaftar yang boleh mengawal perairan," katanya.

Perkenal aplikasi perbaharui lesen

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (tiga dari kiri) menyendukkan makanan kepada Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) selepas melawat enam premis restoran terpilih untuk diletakkan papan tanda harga patut di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang memperkenalkan kaedah memperbaharui lesen premis perniagaan dan pemberitahuan tarikh tamat lesen kepada semua peniaga di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha pihak berkuasa tempatan itu ke arah perkhidmatan yang lebih efisien.

Menurutnya, ini termasuklah memperkenalkan aplikasi menggunakan internet bagi memudahkan peniaga dan pihak berkuasa tempatan itu.

"Aplikasi ini akan memudahkan transaksi untuk peniaga memperbaharui lesen mereka dan boleh dicetak terus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melawat ke enam premis restoran terpilih untuk diletakkan papan tanda harga patut di sekitar Jalan Medan Tuanku, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, kementeriannya juga bercadang memperkenalkan aplikasi telefon pintar bagi membolehkan orang ramai berkongsi maklumat mengenai harga barangan serta makanan di kedai dan restoran di Lembah Klang.

"Aplikasi yang sedang dibangunkan itu bagi membolehkan orang ramai berinteraksi sesama mereka dan berkongsi maklumat mengenai tempat-tempat yang sesuai untuk berbelanja," katanya.

Dalam pada itu, Mhd. Amin Nordin berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira 1,000 pelekat kedai harga patut kepada semua premis perniagaan di sekitar ibu kota yang menetapkan harga patut kepada pengguna.

"Pelekat tersebut terbahagi kepada beberapa jenis iaitu khas untuk restoran, gerai penjaja dan premis runcit.

"Pemantauan berterusan akan dilakukan dan sekiranya didapati kedai berkenaan meningkatkan harga mereka, pelekat itu akan ditarik semula oleh DBKL," katanya.

Kempen tingkat kesedaran jalan raya

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Muhammad Heeza Hassan (kiri sekali) bersama Shahrul Azhar Mat Dali (kanan) menyarungkan jaket keselamatan dan topi keledar kepada seorang pembonceng kanak-kanak semasa Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Mingguan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur, semalam.

GOMBAK 6 Feb. - Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKJRWP) dan pelbagai agensi kerajaan berjaya meningkatkan kesedaran pengguna mengenai keselamatan di jalan raya.

Pengarahnya, Muhammad Heeza Hassan berkata, kadar kemalangan dan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di sekitar ibu kota pada tahun lalu mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelum itu.

Menurutnya, walaupun menurun, ia memberi cabaran besar kepada JKJRWP untuk terus memberi pendedahan dan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan di jalan raya.

"JKJRWP juga mempunyai misi untuk dijayakan iaitu Sifar Kematian. Sekurang-kurangnya tidak berlaku kematian akibat kemalangan jalan raya walaupun kita tidak dapat mengelakkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Mingguan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak, dekat sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan, Shahrul Azhar Mat Dali.

Kempen ini turut melibatkan pelbagai rakan kongsi jabatan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWKL), Skuad 1JPJ serta 1M4 Road Safety, Polis Trafik Kuala Lumpur dan Penguat kuasa Trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Muhammad Heeza berkata, kempen seumpama itu akan terus diadakan dari semasa ke semasa sehingga pengguna jalan raya terdidik untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved