Demi pembangunan tanah MelayuDemi pembangunan tanah Melayu
MENTERI Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini menyifatkan kegagalan usaha membangunkan semula Kampung Baru sebelum ini disebabkan ia dipengaruhi politik emosi.
Kecenderungan itulah, kata beliau, menyebabkan ada di kalangan pemilik atau pewaris tanah di kawasan itu melihat kesungguhan kerajaan membangunkan semula kawasan itu sebagai satu usaha untuk mengambil alih hak milik tanah mereka.
"Tidak dinafikan kecenderungan itu menyebabkan wujudnya kekeliruan di kalangan mereka hingga akhirnya tidak tahu apa yang hendak dilakukan terhadap tanah milik masing-masing.
"Kita bukan nak politik benda itu. Kita betul-betul nak tanah orang Melayu itu dibangunkan kerana kalau kita fikir politik, baik kita tumpu pada kawasan-kawasan lain dulu sebab terlalu sensitif dari segi politik," katanya.
Sebab itulah beliau tidak melihat satu kejayaan bila Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 pada awal bulan lalu.
Sebaliknya, ia sebagai satu langkah permulaan yang konkrit ke arah usaha membangunkan semula Kampung Baru.
"Kalau orang lain lihat ia satu modal pilihan raya untuk saya, terserahlah kepada mereka. Tetapi apa yang penting kita berjaya mewujudkan satu agensi kerajaan yang khusus untuk menguruskan pembangunan Kampung Baru," katanya.
Bagi mendapatkan ulasan lanjut mengenainya, wartawan Utusan Malaysia, HASHNAN ABDULLAH dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurugambar, ZAKI AMIRUDDIN menemubual beliau.
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh Datuk terangkan secara ringkas latar belakang Kampung Baru?
Raja Nong Chik: Kampung Baru adalah satu kawasan perkampungan orang Melayu yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur (KL). Status tanahnya adalah berbeza dengan kawasan perkampungan Melayu sama ada di sekitar KL atau luar kerana ia bukan rizab Melayu.
Lebih 100 tahun lalu, Sultan Selangor telah beri tanah kepada orang Melayu untuk digunakan sebagai penempatan orang Melayu sahaja. Maknanya orang asing atau bukan Melayu tidak boleh beli mahupun duduk di tanah itu.
Tetapi bila KL dibangunkan, yang banyak dilakukan oleh orang-orang Cina dan boleh dikatakan KL menjadi bandar berperwatakan Cina, Kampung Baru pula masih mengekalkan watak asalnya. Ia menjadi ikon orang Melayu di tengah-tengah kepesatan pembangunan di KL.
Boleh dikatakan kira-kira 30 tahun lalu, orang Melayu atau sesiapa sahaja yang mahu mencari barangan atau masakan Melayu, maka Kampung Barulah tempatnya.
Itulah menjadi satu tarikan emosi yang berbeza dengan kampung-kampung Melayu lain sekitar KL. Mereka tidak sentuh emosi seperti mana Kampung Baru.
Emosi itulah juga yang menjadi tarikan pelbagai pihak sama ada kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) cuba membangunkannya tetapi ia menemui kegagalan kerana macam-macam sebab.
Kali ini, pada saya, bila kerajaan yang ada kini berjaya memperoleh kelulusan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru bulan lalu dari Parlimen, maka ia adalah peluang terbaik untuk jayakannya.
Tetapi saya sedar ia bukan satu kerja yang mudah tetapi sekurang-kurangnya sudah ada kesedaran politik untuk menjadikannya satu usaha yang berterusan.
Datuk akui sendiri isu Kampung Baru sudah berlarutan bertahun-tahun dan banyak usaha untuk membangunkannya mati pertengahan jalan. Kenapa ia masih berlaku?
Raja Nong Chik: Antaranya adalah faktor emosi. Bila melibatkan Kampung Baru, emosinya menjadi lebih tetapi kalau kampung-kampung Melayu lain, ia tidak bawa semangat emosi seperti Kampung Baru.
Apa yang saya lihat selama ini, faktor itu dicetuskan oleh orang luar dari Kampung Baru. Mereka mungkin tidak pernah duduk atau memiliki tanah di kampung itu. Tetapi dari segi emosi itulah mereka seolah-olah nak jadi hero, tidak kiralah orang politik atau bukan orang politik.
Satu lagi melibatkan soal pemilikan. Kerana Kampung Baru sudah berusia lebih 100 tahun, jadi pemilikannya ramai. Dengan 800 lot tanah yang diberikan itu, kini mempunyai hampir 5,000 pemilik sebab ia telah masuk pewaris generasi ketiga atau keempat. Pemilik yang ramai dengan saiz tanah yang tidak begitu besar menyulitkan sesiapa yang nak bangunkannya atau bekerjasama dengan pemilik tanah. Ini kerana kena dapat persetujuan ramai dan ia akan mengambil masa yang panjang dan mungkin akan terima tentangan.
Ini cabaran yang memang kita ramal akan berlaku tetapi hanya melalui Perbadanan Pembangunan Kampung Baru itu, kita yakin ia dapat dibuat secara berterusan. Kalau buat usaha secara ad-hoc (tambahan) untuk selesai pada masa itu, bolehlah, tetapi Kampung Baru ini besar dan pemiliknya begitu ramai. Kita kena buat secara berterusan dan untuk itu mesti ada agensi kerajaan yang khusus untuk menguruskannya.
Ia tidak boleh sekali-sekala iaitu kementerian buat satu program untuk bangunkan satu kawasan. Ini satu usaha yang sekejap sahaja. Sedangkan mungkin akan mengambil masa 20 hingga 30 tahun.
Adakah Datuk optimis dengan perancangan yang pihak Datuk buat walaupun sehingga kini ia diuar-uarkan bermotif politik?
Raja Nong Chik: Saya nak asingkan politik. Kerana ada pihak yang dakwa ini usaha UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk ambil alih tanah orang Melayu untuk bagi pada orang lain. Ia betul-betul politik yang tidak bertanggungjawab.
Ini kerana akhirnya pembangunan Kampung Baru tidak berjaya sekali lagi dan siapa yang rugi? Orang Melayu juga rugi dan imej orang Melayu di tengah-tengah bandar raya KL jatuh. Pada saya, kita keluarkan elemen politik itu dan fikir betul-betul apakah hasil jika usaha itu berjaya?
Kita akan ada satu perkampungan moden orang Melayu yang kita boleh uar-uarkan pada seluruh dunia mengenai kemajuan orang Melayu yang selari dengan kepesatan KL. Tetapi apa yang kerajaan buat sekarang ini pun dikatakan bermotifkan politik. Saya pun tidak tahu apa yang dibuat itu ada nilai politik atau tidak.
Ini kerana kalau nak dikatakan kerajaan kemaruk nak majukan tanah-tanah orang Melayu, banyak tempat di KL ini ada dan tidak perlu susah payah bangunkan tanah di Kampung Baru yang sudah banyak kali menemui kegagalan.
Sebabnya kalau kita berjaya dapatkan satu perkampungan Melayu yang moden, kelak orang tidak boleh kata kita hanya ada Little India dan Jalan Petaling sedangkan tidak ada kampung Melayu di tengah-tengah KL.
Jadi, saya harap janganlah isu itu terus dipolitikkan sehingga Ketua Setiausaha (KSU) saya pergi beri penerangan pun ada pihak tertentu yang kata ia satu usaha untuk pergi ke neraka. Saya rasa tidak ada niat seorang pun nak pergi neraka.
Bagaimana pula dengan pilihan raya umum (PRU)? Tidakkah ia dilihat menjadi penghalang kepada kejayaan perancangan yang pihak Datuk usahakan itu?
Raja Nong Chik: Bagi saya mudah sahaja. Biar pilihan raya yang tentukan. Jika ia mengatakan untuk teruskan pembangunan itu, kita teruskan. Apa yang penting ialah kehendak majoriti. Cuma apa yang saya minta ialah agar mana-mana pihak jangan kelirukan mereka (pemilik atau pewaris) sehingga akhirnya mereka tidak tahu apa yang hendak dilakukan untuk memajukan tanah milik mereka.
Kita bukan nak politikkan perkara ini. Kita betul-betul nak tanah orang Melayu itu dibangunkan kerana kalau kita fikir politik, baik kita tumpu pada kawasan-kawasan lain dulu sebab ia terlalu sensitif dari segi politik.
Sebab itulah kita tidak kisah sangat mengenai pilihan raya umum kerana ia program jangka panjang.
Datuk ada menyatakan sebelum ini bahawa pembangunan di Kampung Baru memerlukan satu perancangan yang kekal. Bagaimana pihak Datuk lakukannya?
Raja Nong Chik: Sebab itulah, apa yang kita usaha itu sampai ke tahap Parlimen. Tidak seperti usaha-usaha sebelum ini yang menekankan soal pembangunan secara kecil-kecilan sahaja. Kita mahu buat pembangunan secara besar-besaran macam bangunkan kawasan Iskandar di Johor tetapi apa yang istimewanya adalah kerajaan bangunkan tanah milik orang, selalunya kita bangunkan tanah milik kerajaan.
Jika model ini berjaya, kita akan gunakannya pada kampung-kampung Melayu di sekitar KL atau lain-lain tempat.
Adakah sebab itu Perbadanan Pembangunan Kampung Baru diwujudkan?
Raja Nong Chik: Sebab itulah kita wujudkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru secara rasmi dan ia sah di sisi undang-undang sebagai penyelaras pembangunan secara keseluruhan. Tetapi ia bukannya nak ambil alih hak milik tanah.
Pada saya, peranan perbadanan itu patutnya tidak dipertikaikan pasal ia adalah entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. Ia bertanggungjawab kepada kerajaan dan kerajaan pula bertanggungjawab kepada rakyat. Kalau tidak percaya kepada agensi kerajaan, pada saya maknanya, mereka tidak percaya kepada kerajaan yang ada dan kalau tidak percaya, mereka kena tukar melalui pilihan raya.
Tetapi pada masa ini, mereka kena bagi kepercayaan kepada kerajaan yang memerintah. Saya tidak menolak mungkin peranan itu boleh dimainkan oleh NGO tetapi tapi ia bukan badan rasmi dan ia tidak ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bila ada perbadanan seperti itu, kerajaan senang nak salurkan peruntukan untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di Kampung Baru.
Adakah pemilik atau pewaris sudah diberikan penerangan berhubung perancangan yang dibuat itu?
Raja Nong Chik: Kita sudah banyak kali beri penerangan tentang pelan pembangunan yang dirancangkan oleh kerajaan. Setakat ini, majoriti pemiliknya sudah jelas tetapi mungkin orang luar tidak tahu. Namun itu tidak penting bagi kita.
Mereka perlu fahami kenapa perlu kita bekerjasama sesama sendiri kerana kalau tanah terlalu kecil (keluasan), ia tentu tidak ekonomi untuk bangunkan sendirian. Ini kerana keluasan paling minimum yang sesuai untuk dibangunkan adalah lebih kurang 20,000 kaki persegi.
Satu lagi, jika ada lot-lot tanah yang kecil, nilai tanah itu akan menurun kerana tidak ada orang berminat kerana saiz terlalu kecil.
Full content generated by Get Full RSS.