Ahad, 1 September 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Takraw: Malaysia tewas di tangan Korea Selatan

Posted: 01 Sep 2013 10:02 PM PDT

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Sering kali melakukan kesilapan menjadi punca Malaysia tewas kepada Korea Selatan dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf 2013/14.

Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan tersebut tewas 10-15, 11-15, 10-15 di Kompleks Sukan Indira Gandhi, India hari ini. - UTUSAN ONLINE

Malaysia tetap gembira dalam duka

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi kata perangsang kepada skuad kebangsaan di bilik persalinan selepas Malaysia tewas 1-3 kepada Pakistan pada perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Asia di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari

IPOH - Walaupun kecewa gagal menamatkan Piala Asia sekurang-sekurangnya di tempat ketiga selepas tumpas 1-3 kepada Pakistan semalam, namun Malaysia tetap menutup kempen di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah dengan keceriaan apabila mengesahkan tiket Piala Dunia 2014.

Mengikut format baharu kelayakan Piala Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia layak ke Belanda selepas Korea Selatan memuncul juara Piala Asia 2013 menewaskan India dengan 4-3.

Slot ke Piala Dunia sepatutnya diberi kepada juara Piala Asia tetapi disebabkan Korea sudah layak ke Belanda sebelum menyertai kejohanan di Ipoh, maka satu tiket tersebut diberi kepada Malaysia selepas mengambil kira pencapaian skuad kebangsaan yang meraih tempat kelima pada kejohanan separuh akhir Liga Hoki Dunia, Julai lepas di Johor Bahru.

Ini bermakna Malaysia tidak perlu menunggu slot daripada benua Ocenia untuk layak.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan Paul Revington berkata, masih banyak yang perlu diberi perhatian oleh skuad kebangsaan, terutama selepas gagal meraih kemenangan ke atas Pakistan.

Malah, Revington turut mengakui skuad kebangsaan gagal memanfaatkan banyak peluang untuk mendapatkan jaringan dengan baik sekali gus menyukarkan Malaysia mengejar kedudukan jaringan Pakistan dalam aksi perebutan tempat ketiga.

"Kita tidak bermain dengan baik hari ini (semalam), malah Pakistan menunjukkan bahawa mereka memang memerlukan kemenangan.

"Kekalahan ini memerlukan kami menilai semula segala kelemahan yang ada terutama untuk memperbaiki prestasi pasukan sebelum menyertai Piala Dunia tahun depan," kata Revington.

Kekalahan tersebut turut gagal mengulangi pencapaian terbaik meraih tempat ketiga kejohanan sama pada 2007 di Chennai, India.

Pada perlawanan semalam, skuad kebangsaan bermula baik biarpun beraksi dalam hujan, selain turut melakukan tiga percubaan merbahaya di kawasan D Pakistan.

Bagaimanapun, Malaysia yang mula dihadiahkan pukulan sudut penalti seawal minit kedua gagal memanfaatkan peluang mendapatkan jaringan apabila pukulan Muhammad Razie Abd. Rahim tersasar dari gawang lawan begitu juga ketika minit ke-32.

Percubaan penyerang, Mohd. Fitri Saari menerusi gerakan solo dalam kawasan D Pakistan juga tidak membuahkan hasil.

Skuad kebangsaan hanya mampu mendapatkan jaringan menerusi Faizal Saari pada minit ke-34 menerusi gol padang iaitu seminit sebelum Pakistan menyamakan kedudukan melalui Abdul Haseem Khan.

Bermula separuh masa kedua menyaksikan Pakistan terus menambah derita skuad kebangsan apabila menambah jaringan kedua menerusi Muhammad Imran pada minit ke-54.

Satu lagi jaringan Pakistan diperoleh hasil gol sendiri skuad kebangsaan pada minit ke-56.

Jaringan tersebut terhasil akibat lantunan bola yang terkena kayu Muhammad Razie, sebelum menerjah masuk ke gawang sendiri.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Prestasi Subaru XV teruji

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh NORILA DAUD
ekonomi@utusan.com.my

Subaru XV berwajah kontemporari dan sporty.

MEMANDU uji kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover berjenama Subaru sangat menarik kerana inilah kali pertama penulis berpeluang meneroka kepintaran kenderaan pacuan semua roda (all wheel drive) daripada varian Subaru XV yang dipasang di dalam negara (CKD).

Apa yang dirasai tatkala memulakan perjalanan ialah tentang kehalusan prestasi enjin 2.0i dengan pacuan semua roda symmetrical berserta enjin Subaru Boxer yang memberi kuasa dan tenaga untuk kenderaan itu bergerak.

Subaru XV juga dilengkapkan dengan penderia undur dan sistem kecemasan pintu; sistem pandu arah GPS; sistem audio serta pemain DVD+iPod/USB/ Bluetooth dengan panel sentuh.

Symmetrical All-Wheel Drive memberi kestabilan yang lebih baik, efisiensi dan tindak balas yang lebih cepat dalam keadaan yang licin. Enjinnya turut dibingkaikan sebaris dengan drivetrain yang menjana pemindahan kuasa tanpa batasan kepada kesemua roda.

Dengan kehalusan prestasi Subaru XV itu, maka moto Pandulah Prestasinya adalah bertepatan dengan kenderaan yang berwajah kontemporari dan sporty ini.

Walaupun SUV crossover ini dipandu dengan kelajuan 100 km/jam atau lebih rendah, namun kehalusan teknologi enjinnya tidak banyak berubah sehingga menjadikan pemanduan amat menghiburkan.

Tatkala Subaru XV ini diuji dengan menaiki bukit yang sederhana tinggi dan di luar jalan raya (off road), prestasinya amat meyakinkan tanpa perlu menggunakan banyak tenaga. Kenderaan ini tidak berat dan sangat mudah untuk dipandu. Walaupun agak tinggi, tetapi reka bentuknya memudahkan penumpang menaikinya.

Dalam pada itu SUV ini masih menggunakan kunci menghidupkan enjin konvensional dan brek tangan walaupun menggunakan transmisi automatik Lineartronic CVT. Dalam pada itu, pada konsol gear terdapat punat yang boleh digerakkan sama ada hendak menggunakan gear automatik ataupun manual.

Mengubah mod pemanduan daripada automatik kepada manual amat mencabar kerana anda perlu sentiasa peka.

Sekiranya terlalu leka berbual dengan penumpang di sebelah berikutan berhenti sekejap di persimpangan lampu trafik misalnya, anda akan dapati gear satu akan tertera pada cermin di bahagian dashboard walaupun sepatutnya ia berada pada gear dua atau tiga mengikut kelajuan.

Jika kedudukan gear tidak seragam dengan kelajuan kenderaan, anda akan dapati perjalanan tidak lancar. Jika kurang senang dengan keadaan itu anda boleh kembali menggunakan mod automatik yang lebih ringkas dan meyakinkan.

Menyentuh penjimatan tenaga, perjalanan sejauh 198 kilometer yang dilalui penulis, Subaru XV hanya menggunakan tiga takuk minyak.

Untuk SUV dengan enjin berkapasti 2,000cc, kos penggunaan minyak dianggap menjimatkan juga berikutan mod automatik dan manual diguna pakai dan lebih daripada itu Subaru XV ini hanya dipandu dengan kelajuan 120 kilomter (km)/jam kerana tidak mahu disaman kerana memandu laju.

Dengan harga RM150,735 di atas jalan tanpa insurans sudah pasti ciri-ciri keselamatan yang dimiliki kenderaan ini menjadi faktor tarikan untuk para pelanggan membelinya.

Antara ciri-ciri keselamatan yang didatangkan bersama ialah sistem keselamatan anti-kecurian dengan enjin tanpa bergerak; ISO-FIX - tempat duduk kanak-kanak yang diubahsuai dan bersauh (sauh penambat); empat penderia/empat saluran sistem antibrek (ABS) dengan brek elektronik- kuasa edaran; sistem bantuan brek, bantuan permulaan bukit; SRS beg udara depan (beg udara di bahagian lutut untuk pemandu sahaja) dan Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan.

Santa Fe SUV berimej futuristik

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

SANTA Fe terbaharu menampilkan gaya urban.

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) baru-baru ini melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Sante Fe terbaharunya dengan tujuh tempat duduk.

Reka bentuk Santa Fe menampilkan imej Hyundai sebelum ini iaitu menggabungkan gril enam segi (heksagon); bahagian hadapan sporty'; bumbung panorama yang luas; lampu tinggi HID dan LED di spoiler belakang dengan lampu henti berbingkai tinggi - yang seterusnya memberikan imej SUV yang futuristik dan bergaya 'urban'.

Santa Fe menawarkan dua pilihan enjin iaitu R2.2E-VGT versi diesel dan Theta ll 2.4 MPI versi petrol.

Enjin diesel R2.2VGT mempunyai 197 kuasa kuda (hp) pada 3,800 rpm sehingga 436Nm kilasan tenaga pada 1,800 hingga 2,500 rpm, manakala Theta ll 2.4 MPI menghasilkan 176 kuasa kuda pada 6,000 rpm sehingga 226Nm kilasan tenaga pada 3,750 rpm.

Sementara itu, semua enjin Santa Fe dipasang bersama transmisi enam kelajuan automatik bersama SHIFTRONIC - kawalan manual.

Santa Fe baharu terdapat dalam empat varian termasuk Theta ll 2.4 Elegance (RM163,888); Theta ll 2.4 Executive Plus (RM177,888); R 2.2VGT Elegance (RM176,888 dan R 2.2VGT Executive Plus (RM189,888) dengan harga atas jalan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


PBS penuhi Falsafah Pendidikan Negara

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Abdullah Abdul Rahman Guru Besar SK Pasoh 1 (F) Simpang Pertang, Negeri Sembilan

KETIKA ini Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sudah berjalan di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Di sekolah rendah PBS kini telah dilaksanakan di tahun 1, 2 dan 3. Pada tahun hadapan PBS akan dijalankan pula di tahun 4. Di sekolah menengah, PBS bermula pada tahun 2012.

PBS bukanlah satu sistem baharu malah kalau kita masih ingat, pentaksiran inilah yang selama ini dijalankan di sekolah-sekolah. Sebagai contoh mudah kita (guru) ada memberi murid kerja rumah, kuiz, projek, soal jawab, mengisi tempat kosong dan lain-lain lagi.

PBS ketika ini merupakan penambahbaikan kepada PBSA yang terdahulu dengan mengetengahkan pentaksiran merujuk standard dan penggunaan sistem PBS (SPPBS) untuk membantu guru-guru merekod pencapaian murid secara tersusun dan berterusan.

Soalnya mengapa pula PBS dilaksanakan ketika ini adalah disebabkan ia seiring dengan program transformasi kerajaan untuk menghasilkan modal insan bertaraf dunia.

PBS yang dibincangkan kini bukanlah isu walaupun ramai dalam kalangan guru yang tidak berapa suka dengan menganggap PBS ini membebankan malah telah meluahkan reaksi mereka melalui pelbagai medium.

Reaksi ini memang dijangka berpunca daripada ketidakfahaman mereka. Apabila sudah difahami, kerja menjadi mudah untuk dilaksanakan walaupun sedikit memenatkan.

Sememangnya saya bersimpati dengan perkara ini tetapi ini adalah dasar kerajaan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan perkara ini dengan niat yang baik setelah sekian lama pendidikan terabai daripada murid dan para pelajar.

Sebenarnya PBS ini dilaksanakan bagi tujuan pertama untuk meningkatkan pencapaian pelajar, kedua memperbaiki kelemahan atau masalah murid dalam pembelajaran, ketiga meningkatkan keyakinan kepada murid untuk belajar dan keempat untuk tujuan mengubahsuai strategi pengajaran.

Selama ini mereka dipadatkan dengan keampuhan peperiksaan yang meletakkan mereka tersasar daripada landasan sebenarnya.

Peperiksaan bererti mengutamakan keupayaan akademik dan hanya menilai aspek kognitif sahaja lantaran itu aspek yang bukan akademik tercicir dan terabai dek mengejar kualiti dan kuantiti 100 peratus.

Hal ini mengakibatkan lahirnya insan-insan yang tidak seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Menonjol dalam akademik, lemah dalam aspek rohani dan jasmani, kemahiran sosial dan nilai-nilai murni yang lain.

Tidak dinafikan sebelum PBS ini dilaksanakan semua guru yang terlibat telah mendapat maklumat mengenainya tetapi sebelum maklumat ini sampai ke sekolah telah berlaku ketirisan maklumat.

Akibatnya ada maklumat yang tertinggal dan ada maklumat yang sukar difahami malah mungkin disalah tafsir.

Guru-guru di bilik darjah akan menjadi tidak begitu faham sedangkan merekalah yang melaksanakan semua ini.

Pada saya, guru tidak wajar dipersalahkan namun kita adalah penggerak di peringkat akar umbi - mahu atau tidak kita kena cepat belajar dan memahami mengapa PBS ini hendak dilaksanakan di sekolah-sekolah.

PBS adalah untuk insan-insan bakal pemimpin pada masa akan datang. Melahirkan insan yang cemerlang, berketerampilan, mempunyai akhlak dan jati diri terpuji dalam pelbagai bidang sememangnya tugas manusia bernama guru.

Kita tidak mahu yang pekak hanya membakar meriam, yang kurap hanya memikul buluh, yang buta hanya bertongkat.

Setiap insan mempunyai kelemahan dan kekurangan tetapi semua itu adalah cabaran yang memberi kekuatan, keazaman, ruang dan peluang. Untuk mendapatkan semua itu PBS adalah jawapannya!

Kem Nilam galak budaya membaca

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

WAHID Hashim menerangkan kaedah menggunakan sisipan ADaP untuk membuat lembaran kerja dan latih tubi dalam Kem Nilam daerah Hulu Langat di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bagi menyemaikan dan menggalakkan minat membaca di kalangan murid, Pejabat Pelajaran dan Pusat Kegiatan Guru daerah Hulu Langat dengan sokongan Unit Pendidikan Utusan Malaysia menganjurkan Kem Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pegawai Teknologi Pendidikan Pusat Kegiatan Guru Kajang, Nor Mazrah Baharum berkata, program itu yang diwajibkan dilaksanakan di setiap sekolah oleh kementerian adalah untuk mengenal pasti murid yang mencapai tahap cemerlang dalam pembacaan mereka dan layak menerima anugerah Nilam.

''Kem Nilam merupakan saluran tertinggi bagi aktiviti Nilam untuk mengiktiraf murid-murid yang cemerlang dan dianjurkan sehingga ke peringkat kebangsaan pada setiap tahun,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam program itu yang bertemakan 'Hidup Lebih Bermakna Dengan Membaca'.

Sebanyak 40 murid Tahun Lima dan Tingkatan Empat daripada daerah Hulu Langat terpilih menyertai kem kali ketujuh yang dianjurkan bersama Bahagian Teknologi Pendidikan Selangor itu.

Dalam majlis itu, pejabat Pelajaran dan Pusat Kegiatan Guru Daerah Hulu Langat melanggan kira-kira 220 akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan akhbar pendidikan terbaru, Tutor untuk diedarkan kepada murid dan guru yang menyertai bengkel tersebut.

Selain itu menurut Nor Mazrah, berdasarkan kesedaran tersebut, pihaknya merasakan program berkenaan wajar digerakkan bagi mengetengah bakat murid ke peringkat negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan.

"Melalui program ini, murid mendapat pelbagai pendedahan dalam literasi maklumat melalui faedah membaca, mengikuti pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan.

"Di samping itu, mereka dapat bersaing secara sihat untuk berusaha menempatkan diri sebagai calon Nilam mewakili negeri dan kebangsaan,'' katanya.

Terdahulu, bengkel itu yang diselitkan dengan slot ceramah mengenai lembaran kerja dan pengurusan pusat sumber berlangsung selama dua jam, dikendalikan oleh Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Peserta yang sebahagian besarnya terdiri daripada murid tahun lima mewakili sekolah rendah dalam daerah Hulu Langat turut berpeluang membuat latihan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam sisipan pendidikan ADaP dan Tutor dalam slot tersebut.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang tiga hari program berlangsung termasuklah sesi Ice Breaking, ujian bertulis, temuduga murid merangkumi, isu semasa dan soalan berkaitan karya dan pengucapan awam.

Acara lain termasuk kuliah subuh, aktiviti dalam kumpulan, riadah, perkongsian ilmu, aktiviti jejak maklumat, aktiviti rakan membaca dan program lawatan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Suami isteri maut antara 3 maut nahas kereta-van

Posted: 01 Sep 2013 10:39 PM PDT

BESUT 2 Sept. - Pasangan suami isteri antara tiga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Kancil dan van Nissan Venette di Km88, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu dekat Kampung Gong Penaga, Jabi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata anak tunggal pasangan itu yang berumur empat bulan Mohd Iqbal Jefri patah tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau berkata ibu bayi itu Rubiah Ismail, 37, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya Jefri Othman, 38, dan pemandu van itu Ng Piah Huat, 67, meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Besut.

Katanya kemalangan kira-kira 2.50 petang itu dipercayai berlaku apabila van dipandu Ng dari arah Kuala Terengganu yang gagal memotong sebuah kenderaan bertembung dengan kereta Kancil dipandu Jefri dari arah bertentangan.

Menurutnya akibat rempuhan kuat menyebabkan ketiga-tiga mereka tersepit dalam kenderaan masing-masing dan polis mendapatkan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerteh untuk mengeluarkan mereka.

Katanya kemalangan itu menyebabkan kesesakan jalan raya lebih sejam.

Beliau berkata pasangan itu dari Blok J, Perkampungan Cenderawasih, Kuantan manakala Ng dari Jalan Kebun Sultan, Kota Baharu.

Difahamkan pasangan itu dalam perjalanan balik dari Kota Baharu selepas menghadiri Program Hari keluarga anjuran syarikat tempat Jefri bekerja, Jump Retail Sdn Bhd Kuantan. - BERNAMA

2, 433 PATI ditahan sepanjang Ops 6P Bersepadu

Posted: 01 Sep 2013 10:04 PM PDT

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA 2 Sept. - Seramai 2, 433 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Operasi 6P Bersepadu yang diadakan semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam operasi di seluruh negara itu PATI dari Indonesia dan Myanmar paling ramai ditangkap iaitu masing-masing seramai 717 dan 555 orang.

"Selain itu, seramai 387 PATI dari Bangladesh dan 229 dari Nepal turut berjaya ditahan.

"Lain-lain warganegara yang turut ditangkap ialah Kemboja, Vietnam, India, Pakistan, Filipina, Nigeria, Thailand dan China," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. = UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Paip henti operasi loji Jerantut

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 1 Sept. - Penduduk di daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air lebih kerap ekoran tindakan Pengurusan Air Pahang (Paip) menghentikan sementera operasi lojinya di sini, kerana kualiti air yang terlalu keruh.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris (gambar) berkata, langkah itu dibuat berikutan kekeruhan air mentah berada pada tahap tidak boleh diproses dengan bacaan Nephelometic (NTU) mencecah 4,100 iaitu rekod bacaan kekeruhan air mentah paling tinggi di Sungai Pahang.

"Sebelum ini saya menerima banyak aduan mengenai gangguan bekalan air daripada penduduk dan masalah itu terjawab sebaik sahaja saya menghubungi pihak Paip untuk mendapatkan penjelasan.

"Saya dan pegawai Paip juga membuat tinjauan ke Loji Pemprosesan Air di Kampung Batu Embun yang terpaksa ditutup kerana airnya terlalu keruh," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, tindakan itu pada masa kini bertujuan mengelak penduduk mendapat bekalan air tercemar.

Beliau berkata, air sungai Pahang tercemar akibat pencemaran alam semula jadi yang terletak berhampiran sungai dan hujan lebat menyebabkan air menjadi keruh serta berkelodak.

"Saya menggesa pihak yang bertanggungjawab segera menyiasat punca pencemaran ini serta mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan penduduk menikmati bekalan air bersih," ujarnya.

Beliau juga memuji langkah Paip menutup segera loji berkenaan sebelum kejadian buruk menimpa orang ramai.

Dalam pada itu, Pengurus Paip Daerah Jerantut, Ahmad Ramzi Jamaludin berkata, pihaknya terpaksa menanggung kos tinggi untuk merawat air tercemar sejak tiga tahun lalu bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih.

"Setiap tahun indeks bacaan NTU semakin meningkat sehingga kami terpaksa mengunakan sebanyak 60 tan bahan kimia perawat sebulan berbanding 30 tan sejak tiga tahun dahulu. Kualiti air yang bersih adalah pada tahan NTU lima dan ke bawah," jelasnya.

700 murid Kuala Lipis terima sumbangan raya Aidilfitri

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Mustapa Long (tiga dari kiri) menyampaikan duit raya kepada seorang murid sekolah dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di SK Penjom, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 1 Sept. - Sebanyak 700 murid termasuk 10 anak yatim Sekolah Kebangsaan (SK) Penjom di sini, menerima sumbangan duit raya bernilai RM4,000 daripada syarikat perlombongan, J Resources Penjom Gold Mine (JRPGM) Lipis dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sekolah tersebut di sini baru-baru ini.

Penasihat Eksekutif JRPGM, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim berkata, sumbangan itu merupakan keprihatinan syarikat tersebut selaras kewajipan sosial dalam membela kebajikan mereka yang tidak berkemampuan bagi meraikan Aidilfitri tahun ini.

"Program ini turut meraikan guru dan murid sekolah ini yang dipilih sebagai sekolah angkat JRPGM bagi meningkatkan bidang akademik, kokurikulum dan bina insan selaras hasrat kerajaan menerusi transformasi pembangunan modal insan.

"Segala bantuan kita sediakan bertujuan menyasarkan kecemerlangan 100 peratus murid di sini dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Menurutnya, majlis itu turut menghargai sumbangan pekerja lombong berkenaan yang terdiri daripada 30 peratus penduduk Kampung Penjom, Taman Muhibhah dan kawasan berdekatan.

"Kita juga merancang menyumbang van jenazah untuk masjid serta suntikan kewangan bagi program sekolah rendah dan menengah berdekatan dengan lombong ini," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, usaha syarikat tersebut merupakan langkah terpuji kerana mereka membantu penduduk di sekitar kawasan ini bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Kerjasama syarikat perlombongan itu dengan pemimpin setempat merupakan usaha murni dan sewajarnya diteladani syarikat korporat lain yang meluaskan perniagaan atau perusahaan di luar bandar," kata beliau.

40 mualaf terima sumbangan Pejabat Agama Islam Lipis

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

KUALA LIPIS 1 Sept. - Pejabat Agama Islam Lipis (PAIL) menyampaikan sumbangan wang tunai serta hamper makanan bernilai RM4,000 kepada sebanyak 40 mualaf Cina Tionghua dan kaum lain daerah ini di sini semalam.

Mereka yang tinggal di bandar Kuala Lipis, Padang Tengku, Benta dan Kechau di sini, menerima bantuan wang tunai bernilai RM50 dan hamper makanan.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan majlis itu turut dihadiri Kadi Daerah Lipis, Abu Bakar Ismail dan Ketua Penyelaras Saudara Baharu Muslim Lipis, Mohd. Fauzi Fong.

Abu Bakar berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan PAIL tidak meminggirkan golongan terbabit termasuk Orang Asli dan sentiasa melaksanakan usaha membela nasib mereka sepanjang masa terutama ketika menjelang hari perayaan.

"Setiap tahun kita terus melaksanakan usaha membela nasib golongan ini sempena sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina yang membuktikan keprihatinan kita menerusi usaha berkaitan kebajikan mereka," katanya di sini semalam.

Menurut beliau, langkah itu dapat meringankan beban golongan berkenaan untuk berbelanja di samping membuktikan keyakinan JAIP, PAIL dan pemimpin setempat dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah bagi kalangan saudara baharu Tionghua termasuk Orang Asli.

"Kita juga menghargai sokongan ahli keluarga yang belum memeluk Islam dalam kalangan anak-anak mereka yang sudah memeluk Islam dengan mengundang ke majlis ini untuk diberi bantuan di samping melihat kesungguhan usaha dakwah daripada JAIP," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada program pengisian dakwah Islam menerusi kemudahan beribadat dengan menaik taraf masjid serta pembinaan surau di kawasan perumahan bandar dan luar bandar.

"Projek berkenaan diberi keutamaan di kawasan penduduk yang semakin ramai khususnya keselesaan beribadat, pembangunan modal insan menerusi pendidikan agama dan sosial Islam.

"Kita mengambil berat kebajikan penduduk dan pembangunan agama di sesebuah kawasan bandar dan luar bandar termasuk saudara baharu Islam daripada kaum lain menerusi bantuan tertentu serta pengisian dakwah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Gempa bumi berskala 6.5 melanda Indonesia

Posted: 01 Sep 2013 10:39 AM PDT

JAKARTA 2 Sept. - Satu gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter telah melanda pantai timur Indonesia sehingga menyebabkan berlakunya panik di kalangan penduduk di Timor Leste, namun tiada sebarang kecederaan dan kerosakan dilaporkan.

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia berkata, gempa bumi tersebut tidak akan menyebabkan tsunami. - AGENSI

Tentera Mesir robohkan rumah, bina zon penampan

Posted: 01 Sep 2013 10:37 AM PDT

KAHERAH 2 Sept. - Tentera Mesir telah merobohkan 13 buah rumah disepanjang sempadan Semenanjung Gaza bertujuan untuk membina zon penampan bagi mengurangkan penyeludupan senjata dan kemasukan anggota militan secara haram .

Pegawai Kerajaan Sinai Utara berkata, tentera membayangkan kewujudan zon penampan tanpa sebarang pokok sejauh 500 meter lebar dan 10 kilometer panjang bermula di sempadan Rafah.

"Pihak tentera turut merobohkan rumah-rumah yang mempunya terowong bawah tanah sejak 10 hari lalu dalam usaha melaksanakan idea tersebut, kata pegawai. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Klausa saman bukan perkara baharu

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

BILA menyebut tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), mungkin tidak ramai rakyat biasa di luar bidang ekonomi dan perniagaan antarabangsa yang betul-betul memahami isi ceritanya mahupun implikasi terhadap hidup mereka kelak.

Antara isu terkini berkaitan TPPA adalah perenggan mengenai Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) di dalam bab mengenai pelaburan yang membolehkan syarikat atau pelabur asing menyaman Malaysia di tribunal antarabangsa jika berlaku pertikaian tertentu.

Bagi kumpulan majoriti negara ini, tentulah yang paling dibimbangkan adalah tahap kesediaan warga bumiputera menerima pelaksanaan TPPA berbanding bukan bumiputera yang lebih kukuh serta berpengalaman dalam pelbagai sektor ekonomi dan impaknya kepada generasi pewaris.

Felo Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Felo Kanan dan Perunding Luar World Trade Institute, Switzerland, Prof. Madya Dr. Sufian Jusoh cuba mengatasi kebimbangan umum itu dengan memberi penjelasan lebih terperinci tentang klausa saman ISDS tersebut.

Menurut beliau, ISDS memang membolehkan pelabur luar secara peribadi menyaman negara tetapi bukannya terbuka kepada semua perkara dan hanya boleh saman jika melibatkan projek yang telah pun diluluskan kerajaan negara terbabit

"Ada dua cara saman. Di dalam undang- undang perdagangan antarabangsa, selalunya negara boleh menyaman negara lain, tetapi dalam keadaan tertentu perjanjian perlindungan pelaburan membolehkan pelabur sendiri atau negara pelabur menyaman negara tempat pelaburan itu dibuat jika melanggar perjanjian.

"Skop saman juga terhad dan bukan boleh saman sesuka hati. Jika projek itu tiada kebenaran kerajaan maka tidak boleh saman, ada peraturan-peraturannya" jelasnya.

Tambahnya, sebarang tindakan terhadap pelabur perlu ada prosedurnya seperti maklumkan alasan tindakan itu diambil, beri peluang merayu dan jika tindakan merampas barang pelabur dibuat tanpa beri ganti rugi contohnya, maka mereka berhak saman seperti rakyat tempatan sendiri berhak saman jika menghadapi situasi serupa.

Beliau memaklumkan antara peruntukan yang membolehkan pelabur asing menyaman kerajaan seperti perlindungan aset pelaburan oleh polis jika ada demonstrasi tetapi tidak termasuk isu-isu keselamatan, rahsia negara, polisi alam sekitar dan banyak lagi.

"Ini bukan kali pertama peruntukan ISDS dimasukkan dalam perjanjian dua hala. Kita sudah tandatangan 70 perjanjian dengan 70 negara termasuk dengan negara-negara ASEAN yang ada peruntukan sama, membolehkan pelabur asing menyaman negara (jika ada pertikaian) dan saman itu bukan sehala sahaja.

"TPPA juga sama, jangan risau pelabur AS sahaja boleh saman kita, pelabur kita pun boleh saman AS. Perlukah dirungkai semua 70 perjanjian itu semata-mata risau TPPA yang melibatkan AS ini? Ini perlu dijelaskan agar orang ramai tidak risau tanpa sebab," ujarnya.

Beliau mendedahkan daripada 70 perjanjian sebelum ini, hanya dua kes pelabur asing menyaman Malaysia dan 2 kes pelabur Malaysia menyaman negara tempat mereka melabur iaitu sebahagian daripada 514 kes dicatatkan antara 1987 dan 2012 di seluruh dunia.

Jelasnya lagi, 224 kes telah diselesaikan dengan 42 peratus memihak kepada negara terbabit, 31 peratus kepada pelabur sementara bakinya diselesaikan di luar mahkamah dengan purata kes pelabur yang menang menerima tidak lebih AS$5 juta (RM16.44 juta).

"Orang mungkin takut nilai saman besar tetapi perjanjian ini bukannya untuk kita menyaman atau disaman sesiapa. Klausa ini untuk memastikan semua orang ikut peraturan yang ditetapkan dan selama ini pun (pelabur asing) tiada masalah dengan Malaysia kerana semua ikut peraturan.

"Negara kita juga bukan seperti negara-negara yang banyak disaman pelabur asing seperti Argentina, Ecuador, Venezuela, Mexico, Mesir dan lain-lain. Sebenarnya, AS adalah antara lapan negara teratas yang paling banyak disaman pelabur asing" tegasnya.

Sufian memaklumkan, negara-negara yang banyak disaman itu bertindak mengabaikan aduan yang dibuat pelabur asing dan akibatnya pelabur tiada pilihan selain menyaman mereka.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa klausa ISDS juga demi melindungi aset pelabur Malaysia di negara luar memandangkan rekod 2007 hingga 2012 menunjukkan aset pelabur Malaysia di luar lebih tinggi daripada aset pelabur luar di negara ini.

"Jika kita tidak tandatangani TPPA sekalipun, pelabur dari negara-negara yang sudah mempunyai perjanjian dua hala dengan kita tetap boleh saman Malaysia tetapi mengikut syarat-syarat tertentu.

"Perjanjian perlindungan kita dengan AS dan Kanada sekarang ini tidak ada peruntukan ISDS tetapi ada peruntukan untuk negara itu menyaman kita atau negara kita menyaman mereka bagi pihak pelabur. Tanpa TPPA, pelabur kita tidak boleh saman mereka (perlu harap kerajaan Malaysia saman) jika timbul pertikaian. Memang sistem (dalam ISDS) tidak sempurna sepenuhnya tetapi ada cadangan langkah dan peruntukan untuk elak saman," jelasnya.

Beliau turut membangkitkan keperluan satu sistem pencegahan konflik untuk kerajaan pusat memantau kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar faham isu-isu berbangkit melibatkan pelabur asing bagi mengelak aduan melarat ke peringkat tribunal.

"Saya harap tiada lagi sistem 'petik kertas', semua enggan mengaku aduan dibuat pelabur itu dalam bidang kuasa atau kerja hakiki mereka sehingga akhirnya membawa kepada saman.

"Kalau pelabur buat aduan, kena ada sistem untuk dia mengadu dan selesaikan masalah yang timbul. Jika tiada sistem untuk pelabur saman negara sekalipun, perlu ada pencegahan dan penyelesaian konflik ini kerana kerajaan masih boleh saman negara terbabit (bagi pihak pelabur)," katanya.

Berkaitan isu China tidak termasuk dan seperti diketepikan AS dalam TPPA, Sufian menjelaskan AS dan China mempunyai perbincangan perjanjian pelaburan dua hala mereka sendiri yang lebih tinggi nilaiya daripada TPPA dan sekalipun dicadangkan negara lain, terpulang kepada China sendiri mahu sertai TPPA atau tidak.

Beliau turut memaklumkan, Malaysia kini masih boleh berunding untuk situasi menang-menang tetapi jika tidak menandatangani TPPA dan memilih masuk selepas 10 tahun contohnya, maka negara tidak boleh lagi berunding ketika itu dan terpaksa terima apa juga syarat (termasuk syarat baru) ditetapkan.

"Dari sudut pelaksanaan pula, kita mudah dan cepat kerana hanya melalui Kabinet. Negara lain perlu melalui Parlimen, Dewan Senat atau Kongres untuk luluskan TPPA.

"TPPA tidak boleh dilaksanakan selagi semua negara peserta tidak meluluskannya dan saya jangka ia hanya boleh dilaksanakan empat ke lima tahun selepas ditandatangani," jelas beliau.

Tambahnya, tempoh itu memberi masa untuk Malaysia bersedia, khususnya dalam membantu rakyat yang masih mencari tapak kukuh untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

"Pandangan saya, kerajaan mahu tandatangani atau tidak, perlu ada analisis kesan TPPA kepada golongan yang berkepentingan terlebih dahulu.

"Tingkatkan tahap kesediaan pelbagai pihak termasuk bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebelum TPPA dilaksanakan, bantu jika mereka yang tidak cukup kepakaran, tiada sistem yang kukuh, tiada rakan kongsi di luar negara dan sebagainya. Kena lebih agresif bantu sebelum TPPA dimulakan," tegasnya.

Bertuahnya hidup di sebuah negara 'bebas'

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

SAMBUTAN ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 sudah berlalu pada Sabtu lalu. Acara perbarisan tahunan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur mendapat sambutan hebat. Segmen yang turut menarik perhatian adalah acara gayung perang war chant oleh VAT 69. Persembahan pasukan komando itu turut melibatkan pegawai-pegawai dan anggota yang terlibat dalam Op Daulat ketika pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Mac lalu. Insiden berdarah yang dipaparkan menerusi formasi gayung perang amat menyayat hati lebih-lebih lagi apabila layar yang tersedia memaparkan wajah balu anggota yang terkorban. Semoga segmen itu akan memperingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya mempertahankan sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. Walaupun persembahan itu hanya sandiwara atau lakonan tetapi sedikit sebanyak menginsafkan kita bahawa pencerobohan Lahad Datu boleh berulang di mana-mana sahaja sekiranya kita leka. Insiden ini bukan sandiwara yang sengaja direka. Nyawa bukan untuk dijual beli.

Persembahan atau perarakan kali ini khabarnya mendapat sambutan luar biasa. Ramai yang menunjukkan semangat patriotik. Semoga semangat itu tidak terbatas di Dataran Merdeka sahaja. Begitu juga dengan sambutan Ambang Merdeka 2013 di Putrajaya dan Dataran Merdeka yang disulami dengan pertunjukan bunga api. Dalam menyambut acara tahunan setiap 31 Ogos ini, berapa ramai daripada kita yang sama-sama mensyukuri nikmat kemerdekaan ini?

Berapa ramai yang memanjatkan doa kesyukuran atas nikmat yang dikecapi selama ini hasil menetap di sebuah negara berdaulat bernama Malaysia? Adakah setiap yang hadir pada malam Ambang Merdeka dan keesokannya pada hari perbarisan dan perarakan benar-benar mempunyai semangat patriotik? Bagaimana dengan mereka yang tidak hadir pada kedua-dua acara itu? Patriotik atau tidak, bukan terletak kepada kehadiran pada majlis-majlis berkenaan sebaliknya perasaan cintakan negara boleh ditunjukkan melalui pelbagai cara.

Salah satu daripadanya ialah melalui kibaran Jalur Gemilang. Malangnya pada kali ini, kibaran bendera yang mula diperkenalkan di pekarangan Istana Sultan Selangor pada tahun 1950 itu tidaklah sehebat tahun-tahun sebelumnya. Seorang sahabat memberitahu, pada tanggapannya, tahun ini paling teruk. Katanya, tidak kelihatan langsung kenderaan awam atau persendirian memasang Jalur Gemilang. Begitu juga dengan rumah, kedai, bangunan dan tempat awam. Jika ada pun, boleh dibilang dengan jari. Berapa banyak bas, LRT, monorel atau komuter dibaluti Jalur Gemilang? Begitulah kata sahabat berkenaan. Kenyataan itu tidak boleh dinafikan. Dua minggu sebelum detik 31 Ogos 2013, Selak sudah menyelak mengenai perkara ini di bawah tajuk Berlambak bendera semasa PRU, susah sangat Jalur Gemilang setahun sekali. Satu masa dulu, menjelang ulang tahun kemerdekaan negara, kibaran Jalur Gemilang amat meriah. Pernah satu ketika, boleh dikatakan setiap kenderaan akan kelihatan Jalur Gemilang. Ketika itu, ada yang dapat percuma atau membelinya. Lebih menarik, ada pihak yang menawarkan hadiah lumayan bagi kenderaan terpilih yang mengibarkan Jalur Gemilang. Maknanya, mereka mengibarkan bendera kerana mendapat bekalan percuma atau memburu ganjaran. Terserahlah sama ada mereka ikhlas atau tidak ketika mengibarkan Jalur Gemilang ini. Persoalannya sekarang, adakah rakyat Malaysia sudah hilang semangat patriotism? Adakah rakyat tidak lagi menyokong program-program yang dianjurkan oleh kerajaan untuk mengingatkan mereka tentang kemerdekaan? Atau adakah rakyat Malaysia sudah terpengaruh dengan temberang pihak yang mahu menukar Jalur Gemilang?

Ada juga yang memberi alasan, sukar untuk mendapatkan Jalur Gemilang. Berapa banyak kedai yang menjual atau mempromosikan bendera ini? Mudahkah mendapatkan Jalur Gemilang ketika berurusan di tempat-tempat awam seperti di institusi kewangan, pejabat pos, pasar raya besar atau ketika mengisi minyak kenderaan? Kerajaan tentu menyedari sambutan dingin terhadap kibaran Jalur Gemilang ini.

Maka tercetuslah idea untuk mewajibkan setiap premis dan bangunan kerajaan atau swasta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek, kerajaan akan melihat keperluan untuk mewujudkan undang-undang berkaitan kerana masih banyak premis dan bangunan terutama milik swasta tidak peka kepentingannya sebagai melahirkan rasa menghargai dan kecintaan kepada negara.

Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang- undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta... sekarang ini secara sukarela.

Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respons yang baik kerana masih banyak yang tidak berbuat demikian," katanya pada Program Pocket Show 2013 yang turut mengedarkan Jalur Gemilang di sekitar ibu negara anjuran Jabatan Penerangan.

Mewujudkan peraturan dan undang-undang memang mudah. Bagaimana pelaksanaannya? Ada ketikanya undang-undang gagal dilaksanakan kerana pelbagai ugutan . Undang-undang terpaksa tunduk kepada ugutan atau tidak mampu mengambil tindakan terhadap mereka yang secara terang-terangan melanggar undang-undang.

Kembali kepada Jalur Gemilang, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memainkan peranan untuk memastikan jalan-jalan utama serta bangunan di dalam kawasan mereka dihiasi Jalur Gemilang. Pada kali ini, ketiadaan Jalur Gemilang di beberapa jalan utama (tidak terhad di Kuala Lumpur sahaja) sudah menjadi pemandangan biasa. Adakah PBT tidak menyedari keadaan ini atau ada arahan supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang? Mungkinkah tidak ada peruntukan atau peruntukan sudah habis ?

Satu perkara lagi yang menarik perhatian ialah ada sesetengah papan iklan di jalan-jalan utama yang dibiarkan kosong dengan tulisan Ruang iklan untuk disewa. Kenapa tidak dimanfaatkan ruang ini dengan hiasan Jalur Gemilang atau tema sambutan kali ini? Sukar untuk melihat tema sambutan kali ini terpampang di papan iklan.

Rasanya masih belum terlambat untuk kita menyemarakkan bulan kemerdekaan ini sehingga Hari Malaysia. Bendera merupakan lambang kepemimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara. Walaupun hanya sebidang kain tetapi warna merah, putih, kuning, biru serta jalur, anak bulan dan bintang mempunyai makna tersendiri.

Malangnya, ada orang yang lebih bijak mahu menukarkan bendera ini termasuk sebidang kain berwarna merah putih serta dihiasi 12 bintang. Sehingga malam Ambang Merdeka, sudah beberapa kali Jalur Gemilang diperlekehkan. Selama mana warganegara Malaysia sendiri akan memandang rendah terhadap Jalur Gemilang? Mungkin mereka ini bernasib baik kerana tidak berada di negara lain termasuk jiran kita yang begitu tegas dengan isu-isu seperti ini. Begitulah kebebasan dan toleransi di- negara `Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Elfira belum lupa diri

Posted: 01 Sep 2013 06:27 AM PDT

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

HATINYA gundah gulana, jiwanya diselubungi rasa sedih tatkala cerita tentang dirinya yang dikhabarkan lupa diri mula diperkatakan umum. Tidak tahu di mana puncanya cerita tersebut boleh tersebar. Pintanya supaya cerita tak benar itu dihentikan segera.

Tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk meninggi diri, Elfira enggan tahu apakah punca segelintir orang berterusan menuduh dirinya tanpa usul periksa. Dia masih seperti dahulu, sama seperti di awal kemunculannya.

Memang saya terkejut membaca cerita yang tersiar minggu lalu. Kalau nak ikutkan saya masih seperti dahulu, sama sahaja seperti mana saya mula bertapak dalam industri seni.

Tapi mengapa tiba-tiba sahaja orang berkata macam tu pada saya? Yang menjadi masalah mereka yang menyebarkan cerita tersebut khabarnya adalah orang yang rapat dengan saya.

Kalau dia rapat kenapa dia buat begitu pada saya? Kalau dia baik kenapa perlu nak sebarkan cerita pada orang lain kemudian terus memburukkan saya.

Jika benar orang itu sayang pada saya tak mungkin dia akan buat begitu pada saya. Saya lebih rela jika ada yang tampil ke depan dan cakap sendiri apa salah dan silap saya selama ini.

Saya bukan orang yang tak boleh terima teguran tetapi biarlah kena pada tempat," jelas pelakon yang berusia 19 tahun ini.

Enggan terus melayan isu tersebut, pelakon yang terkenal menerusi drama Dalam Hati Ada Taman ini sedar dia tidak punya kuasa untuk memuaskan hati semua orang.

Sebagai gadis yang dididik dengan akar budaya Melayu yang kuat, sudah pasti segala gerak-gerinya terikat dengan asas agama dan sosio budaya sebagai orang Timur.

Sejujurnya saya sendiri tidak boleh menilai diri sendiri. Saya tak tahu adakah tindakan saya selama ini salah di mata umum sedangkan saya ingat betul.

Sebab itu saya masih memerlukan teguran orang lain untuk menilai diri saya. Kalau boleh biarlah teguran tersebut dilakukan dengan cara yang betul. Tak salah berjumpa dan bercakap apa yang bersarang di hati mereka.

Seandainya ada yang benar-benar terasa hati dengan perbuatan saya selama ini apa lagi yang boleh saya katakan selain memohon ampun dan maaf," katanya sayu.

Komen

MENGIMBAS kembali perjalanan seni gadis ini sebenarnya merupakan cerita menarik untuk diperkatakan. Tidak banyak ranjau dan duri yang terpaksa dihadapi olehnya untuk sampai ke tahap ini, pengalaman yang ditempuhinya disimpan rapi buat bekalan masa hadapan.

Meskipun begitu nama Elfira naik mendadak sejak dua tahun kebelakangan ini itu bukan jaminan untuknya membangga diri terutama dengan pelbagai tawaran berlakon yang tak putus-putus.

Saya anggap ini tahun transformasi saya kepada watak-watak yang lebih dewasa. Selama ini orang masih menganggap saya remaja mahupun kanak-kanak kerana variasi watak yang kurang pelbagai.

Tapi sejak akhir-akhir ini mereka mula buka mata dan percaya pada bakat lakonan saya. Sebab itu saya yakin inilah zaman peralihan untuk saya mengembangkan watak lain seperti yang diidam-idamkankan oleh sesiapa juga.

Memang tanggungjawab itu sedikit membebankan untuk menggalas watak isteri atau wanita yang lebih dewasa tetapi inilah cabaran menjadi anak seni," jelasnya yang baru sahaja pulang dari penggambaran telefilem Ketika Cinta Merintih di beberapa negara Eropah minggu lalu.

Selain mengembara, dia juga bergandingan dengan pelakon Baim Wong menerusi telefilem Di Sebalik Khasyafmu yang turut menjalani proses penggambaran di sana.

Jika ada yang ingat, duta kepada produk Maybelline ini acap kali diberikan peranan besar dalam setiap drama mahupun telefilem lakonannya.

Menganggap semua itu merupakan rezeki atas kerja keras selama ini, sudah tentu dia bersyukur kerana diberi kepercayaan sebegitu besar.

Mungkin orang nampak pada bakat yang ada dalam diri saya dan mereka memberikan peranan besar selama ini. Kepercayaan orang perlu saya balas dengan memberikan lakonan mantap seperti pelakon lain.

Cuma sebagai pelakon biasa saya tidak dapat mengelak bila dihujani dengan komen-komen negatif yang datang daripada peminat.

Adat orang suka kita atau tidak tapi yang pastinya komen-komen mereka saya dengar. Yang benar saya ambil buat pengajaran tapi masih ramai yang hentam keromo kata saya bukan-bukan.

Sebab itu saya selalu keliru dengan sesetengah kritikan. Kita sudah memberikan yang terbaik tetapi apabila orang dah tak suka, dia tetap akan hentam kita walaupun tak ada apa berlaku.

Tapi tak mengapa sebab saya sudah lali dengan perkara-perkara tersebut," katanya ringkas.

Misha nak saman siapa?

Posted: 01 Sep 2013 06:27 AM PDT

MISS J dapat tahu yang Konsert Jelajah 3 Permata membabitkan penyanyi Misha Omar, Adibah Noor dan Jaclyn Victor terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

Sepatutnya konsert tersebut berlangsung di enam buah negeri iaitu Sarawak, Sabah, Johor, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur bermula awal bulan ini.

Tapi terpaksa dibatalkan sebab penganjur ada masalah. Miss dapat tahu ada sedikit konflik yang berlaku di antara pihak penganjur dan artis. Tak tahulah Miss J.

Tapi yang Miss J kasihan adalah nasib ketiga-tiga artis yang terlibat. Sebab selama ini mereka bertiga memberi komitmen yang tinggi untuk menjayakan Konsert Jelajah 3 Permata itu.

Jadi apabila konsert itu batal, tak pasal-pasal jadual seni mereka turut terganggu. Mana nak cari ganti job yang ditolak sebelum ini untuk menampung kerugian sepanjang memberi komitmen dengan penganjur?

Atas dasar rasa tertipu, Miss J dengar cerita penyanyi Misha Omar nak saman penganjur konsert itu. Sebab Misha lebih terasa dirinya teraniaya. Banyak job yang ditolak semata-mata untuk memberi komitmen dengan pihak penganjur.

Miss J dapat tahu kawan-kawan yang lain turut menyokong hasrat Misha. Sebab dengan cara itu artis boleh ajar pengajur yang tak pandai tepati janji.

Tindakan Misha itu boleh dijadikan pengajaran kepada pihak penganjur sebelum membuat perjanjian dengan mana-mana artis. Beringat sebelum terkena!

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Seni jinak ular makin dilupakan

Posted: 01 Sep 2013 06:27 AM PDT

Susunan ADLINAHANI KHALIL

Seorang daripada penjinak ular memasukkan ular tedung 'gokhra' ke dalam mulutnya. - AFP

DEMI mendapatkan tuah yang baik atau restu dalam melakukan sesuatu perkara, masyarakat hari ini sanggup melakukan apa sahaja, biarpun berdepan dengan risiko maut.

Situasi itu berlaku di sebuah perkampungan di Purba Bishnupur, India apabila beratus-ratus penduduknya sanggup beratur panjang dalam cuaca panas semata-mata ingin mendapatkan 'restu' daripada ular dalam satu festival ular yang berlangsung baru-baru ini.

Ular dianggap sebagai tuhan atau Dewa Manasa dalam kalangan masyarakat yang beragama Hindu dan peluang untuk mendekati haiwan tersebut amat ditunggu-tunggu oleh mereka untuk memperoleh nasib yang baik dalam kehidupan.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk mendekati haiwan berbisa itu dan khidmat tukang penjinak ular diperlukan oleh mereka yang berhajat memohon nasib baik daripada haiwan tersebut.

Penjinak ular pada mulanya akan bertepuk tangan dan memukul gendang berwarna-warni bagi 'memukau' haiwan berbisa itu untuk keluar dari bakul atau bekas yang diperbuat daripada tanah liat.

Seorang daripada penjinak ular yang mengambil bahagian dalam festival tersebut, Hyder Mal berkata, menjinakkan ular adalah satu seni yang unik dan perlu dipelihara keasliannya.

Saban tahun, penduduk kampung dari kawasan berdekatan akan berkumpul di sebuah kawasan yang terletak kira-kira 85 kilometer dari Kolkata untuk menyembah Dewa Manasa.

Manasa dipercayai akan memberi tuah ketika musim menuai, selain dapat melindungi hasil tanaman daripada rosak.

Mal, 46, kelihatan tenang dan bersahaja ketika dia memegang seekor ular tedung sambil disaksikan orang ramai yang ingin menderma.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, pekerjaan sebagai penjinak ular kini berbeza berbanding zaman dahulu.

Hal ini kerana, masyarakat kini semakin moden dan berfikiran terbuka, menyebabkan tugasnya tidak lagi dipandang penting.

Mal menjelaskan bahawa, dia mengenakan bayaran setiap kali penduduk kampung menggunakan khidmatnya untuk menjinakkan ular.

"Namun, hasilnya tidaklah seberapa dan saya hanya memperolehi bayaran lumayan bagi mereka yang menginginkan bisa ular untuk dijadikan penawar patukan," katanya.

Mal turut menyatakan dia tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkahnya yang mencari pendapatan dengan menjinakkan ular.

Masa depan Mal sebagai penjinak ular semakin parah apabila kerajaan India menguatkuasakan undang-undang yang melarang orang awam menggunakan binatang liar sebagai tujuan komersial pada 2002.

Penguatkuasaan undang-undang tersebut menyebabkan ramai penjinak ular di India bertukar kerjaya, namun golongan itu masih boleh ditemui di kawasan kampung serta kawasan tumpuan pelancongan.

Kumpulan aktivis haiwan sebelum ini mengkritik kerjaya penjinak ular sebagai menganiaya binatang apabila kebanyakan haiwan berbisa itu diletakkan di dalam bekas tertutup yang boleh menyebabkannya mati akibat kekurangan oksigen.

Selain itu, taring haiwan berbisa itu dicabut dan mulut dijahit bagi mengelakkan patukan.

Bagaimanapun, Mal menafikan dakwaan tersebut sambil menjelaskan bahawa ular adalah Tuhan bagi mereka dan tidak mungkin akan menzalimi haiwan itu. - AFP

Pengertian merdeka buat Wanie

Posted: 01 Sep 2013 06:27 AM PDT

MESKIPUN berada di minggu akhir Syawal, sambutan Aidilfitri masih meriah. Bulan ini lebih bermakna apabila negara turut meraikan kemerdekaan yang ke-56 semalam

Begitu juga buat Siti Roswanie Haris Fazilah, 25 yang lebih mesra dengan panggilan Wanie menganggap perayaan berganda ini sungguh bermakna buat dirinya.

Bagi Wanie, dia dan keluarga menyambut Aidilfitri dan kemerdekaan dengan cara yang sederhana tetapi meriah.

Walaupun Wanie tidak pernah berada dalam zaman penjajahan tetapi dia tetap merasai keperitan orang dulu mendapatkan kemerdekaan melalui sejarah.

"Bagi saya merdeka adalah negara kita bebas daripada penjajahan, rakyat bebas berfikir dan kita boleh lakukan apa sahaja yang diingini selagi tidak melanggar undang-undang negara. Walaupun pelbagai kaum, kita semua rakyat Malaysia," katanya yang menjalankan perniagaan sendiri dan model sambilan

Ditanya apa perasaannya menyambut kemerdekaan, dia bangga dengan Malaysia dan transformasi yang telah dikecapi.

Wanie turut berkongsi pendapatnya tentang kemerdekaan di kalangan generasi muda sepertinya.

"Setiap generasi muda mempunyai pendapat yang berbeza. Ada yang masih menghayati kemerdekaan, ada yang anggap merdeka hanya sebuah acara untuk bergembira sahaja dan menyaksikan konsert hiburan. Saya rasa semangat merdeka itu masih ada cuma pengertian merdeka itu berbeza-beza," katanya penuh semangat.

Bercerita tentang aktiviti masa lapang, Wanie akan menghabiskan masanya dengan bercuti bersama keluarga.

Katanya, tuntutan kerja yang memerlukan dia berulang-alik Kelantan dan Kuala Lumpur sangat letih tetapi dia dapat mengawal stres tersebut dengan berehat di tempat peranginan seperti resort tepi pantai.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL arah bersihkan serta-merta

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Mhd. Amin Nordin

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui kawasan Jalan Chan Sow Lin sememangnya terkebelakang dari segi kebersihan dan berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, sehubungan itu, jabatan-jabatan berkaitan telah diarah untuk memperbaiki keadaan di Jalan Chan Sow Lin dengan segera dan dijangka keadaan akan berubah tidak lama lagi.

Selain itu, katanya, pihaknya juga telah meminta pengendali sisa pepejal, Alam Flora Sdn. Bhd. untuk mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan itu.

"Jalan Chan Sow Lin merupakan kawasan industri yang amat sibuk. Di situ terdapat pelbagai kilang termasuk kilang simen konkrit, bengkel kereta dan premis barang lusuh.

"Keadaan jalan amat kotor dan berdebu. Pihak DBKL telah mengarahkan jabatan berkaitan melaksanakan tindakan dengan kadar segera.

"Ini termasuk tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap lori simen konkrit, premis barang lusuh serta kitar semula, pembaikan jalan yang berlubang, rosak dan berdebu, papan tanda dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung nasib malang Jalan Chan Sow Lin khususnya di Jalan Lima dan Jalan Enam yang disiarkan pada Khamis lalu.

Menurut Mhd. Amin, aspek kebersihan merupakan tanggungjawab Alam Flora yang dipantau oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

"Apa yang kami lihat, Jalan Empat adalah yang paling teruk terjejas. Kami minta supaya Alam Flora membersihkannya sekurang-kurangnya tiga kali sehari di samping pihak DBKL akan bersama-sama memastikan perkara ini tidak berulang," jelasnya.

Sementara itu, Alam Flora memberikan penjelasan bahawa kutipan sisa pepejal milik industri di kawasan perindustrian bukan di bawah tanggungjawab syarikat konsesi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zain Hassan berkata, syarikatnya hanya bertanggungjawab mengutip sisa domestik di kawasan perumahan dan premis perniagaan sahaja.

"Contohnya seperti timbunan sampah di Jalan Lima dan Jalan Enam merupakan 'sampah haram' yang dipercayai dibuang oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab. Penyelia kami telah meronda kawasan terbabit pada Selasa lalu dan menyedari timbunan sampah itu.

"Sehubungan itu, Alam Flora telah menulis surat kepada pihak PPSPPA dan kami diarah membersihkannya. Jadi sampah itu telah dibersihkan," jelasnya ketika dihubungi.

Menurut Mohd. Zain, Alam Flora turut menyapu sampah seperti ranting kayu dan daun yang bertaburan di tepi jalan khususnya di Jalan Lima serta Jalan Enam tiga kali seminggu manakala enam kali seminggu di jalan-jalan besar.

"Kebiasaannya, masalah tersebut berlaku apabila pihak premis barang lusuh mengagihkan barangan dan ia tidak dibersihkan. Sampah kitar semula dibiarkan dan disimpan di tepi jalan, mereka tidak boleh berbuat demikian," ujarnya.

Krisis air: Derita penghuni pangsapuri berterusan

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Penduduk Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra di Ampang, Selangor beratur untuk mengambil air dari lori tangki Syabas akibat masalah ketiadaan air semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR 1 Sept. - "Pakcik tak larat nak mengangkat tong berisi air ini berseorangan naik ke rumah. Pakcik harap gangguan bekalan air ini pulih dengan segera supaya aktiviti harian kami berjalan seperti biasa."

Begitulah keluhan Ramli Talib, 59, yang terpaksa mengangkut air yang dibekalkan menggunakan lori tangki ke rumahnya di tingkat empat.

Dia yang ditemui Utusan Malaysia berkata, dia terpaksa melakukan kerja berat itu kerana anak-anaknya keluar bekerja.

"Pada musim Aidilfitri ini, sudah empat kali kami mengalami gangguan bekalan air. Rumah pakcik di tingkat empat, jika lif rosak, terpaksa kami mengangkat tong air dengan menaiki tangga. Tujuh buah tong yang pakcik bawa ini hanya mampu bertahan sekejap sahaja," katanya.

Kepayahan yang dialami oleh pakcik Ramli turut ditanggung penduduk lain di Pangsapuri Mesra Ria di Taman Pandan Mesra, Ampang, dekat sini sejak Jumaat lalu.

Penduduk memberitahu gangguan bekalan air di perumahan itu mula terputus pada pukul 8 malam semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di pangsapuri itu mendapati, walaupun hujan, penduduk beratur panjang untuk mendapatkan air yang dihantar ke situ oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dengan menggunakan lori tangki.

Bagaimanapun, beberapa penghuni pangsapuri 16 tingkat itu apabila ditanya mengakui tidak mengetahui punca sebenar masalah gangguan bekalan air yang berlaku kali ini.

Ruslimah Karso, 50, berkata, pangsapuri itu kerap kali berlakunya gangguan bekalan air.

"Di sini bekalan air sekejap ada, sekejap tiada sehingga menimbulkan keraguan di kalangan kami. Saya sendiri tidak tahu punca masalahnya," jelasnya.

Semalam, Syabas memberi jaminan pemulihan bekalan air secara berperingkat bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas akan mencapai ke tahap 80 peratus dalam tempoh tiga hari lagi sementara pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Gangguan bekalan air kali ini berlaku setelah empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat pencemaran tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.

Pemandu van, N. Raja, 32, yang tinggal di tingkat lima bersama-sama sembilan orang ahli keluarganya berkata, rutin harian keluarganya terganggu teruk akibat ketiadaan air.

"Saya memiliki keluarga besar jadi susah untuk kami menjalankan rutin harian seperti memasak, mencuci pinggan, mandi dan sebagainya. Seingat saya tahun ini, sebanyak dua kali tiada bekalan air," katanya.

Juruteknik, Mohd. Hafiz Taib, 35, yang mempunyai dua orang anak yang berusia tujuh dan 14 tahun pula membeli air dari sebuah mesin yang terletak di pangsapuri tersebut untuk kegunaan seharian.

"Isteri saya terpaksa mandi di tempat kerja. Kalau nak makan, kami pergi sahaja ke kedai-kedai makan berhampiran. Sehubungan itu, kami berharap masalah ini secepat mungkin," ujarnya.

Penghuni 28 buah rumah diarah pindah segera

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Penghuni 28 buah rumah di Taman Bukit Idaman, Selayang yang terlibat dalam kejadian tanah mendap pada 21 Ogos lalu telah diarahkan supaya berpindah buat sementara waktu dengan segera demi keselamatan mereka.

Ini kerana pergerakan tanah dikesan masih berlaku sehingga menyebabkan struktur bangunan di kawasan perumahan jenis dua tingkat di Jalan Bukit Idaman 1 itu didapati merekah dan retak. Kejadian merekah turut dikesan berlaku pada jalan raya.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, buat masa ini kawasan terlibat tidak selamat untuk didiami dan pihaknya telah mengarahkan para penghuninya berpindah segera.

"Pada Isnin depan, kami bersama-sama pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan wakil penduduk akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai penempatan sementara.

"Mereka dicadangkan berpindah ke kawasan berhampiran, antaranya kondominium Venicia, Ideal Heights atau Casa Mila jika ada kekosongan dan kos akan ditanggung," katanya selepas meninjau lokasi tanah mendap itu bersama wakil Kumpulan Ikram Sdn. Bhd., Syabas dan MPS baru-baru ini.

Menurut Nor Hisham, selain itu, siasatan awal mendapati berlaku paip bocor sepuluh hari sebelum kejadian tersebut dan pihak Syabas telah menjalankan kerja-kerja penggantian paip.

"Pihak MPS sedang melaksanakan pemantauan secara berkala selain memasang kepingan kaca bagi mengesan pergerakan tanah. Ia semakin membimbangkan ketika waktu hujan.

"Selain itu, rekahan permukaan jalan raya telah ditampal dengan simen oleh pihak Syabas untuk mengurangkan pergerakan dan mengelakkan air daripada masuk ke dalamnya," jelasnya.

Ikram pula, katanya, sedang mengkaji struktur tanah dan bangunan di kawasan terlibat serta kos pembaikan semula dan kajian dijangka mengambil masa tiga hingga enam bulan.

Dalam perkembangan sama, wakil Syabas ketika ditemui berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved