Selasa, 10 September 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Varian terbaharu Ford Fiesta 1.5 liter

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

FORD Fiesta 1.5 liter menampilkan jeriji lebih garang dan bakal dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 28 September ini.

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Sime Darby Auto Connexion Sdn. Bhd. (Auto ConneXion), sayap perniagaan automotif Kumpulan Sime Darby yakin pengenalan varian terbaharu Ford Fiesta 1.5 liter akan terus memacu jenama Ford di negara ini.

Pengurus Serantau, Operasi Eksport dan Pertumbuhan Ford Asia Pasifik, David Westerman berkata, sejak pengenalan dua varian enjin Ford Fiesta pada 2010 iaitu 1.4 liter dan 1.6 liter, lebih 10,000 unit telah terjual.

Menurutnya, pencapaian tersebut merupakan lonjakan sebanyak 82 peratus daripada segi jualan, menjadikan Ford Fiesta antara 10 model paling laris di Malaysia.

Katanya, varian terbaharu Ford Fiesta dalam versi sedan dinamakan Fiesta Titanium dan coupe Fiesta Sport akan ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk insurans) RM88,000 seunit.

"Matlamat kami dengan Ford Fiesta terbaharu ini ialah membawa sebuah kereta yang popular kerana penjimatan bahan api, prestasi dan personaliti, untuk menjadikannya lebih bagus.

"Varian terbaharu ini menampilkan rupa luaran yang diperkemaskan dan teknologi pintar yang menepati sasaran pembeli golongan muda hari ini," katanya pada sesi pandu uji bersama wartawan pemotoran di sini hari ini.

Difahamkan, pengenalan varian 1.5 liter ini juga menandakan Ford akan menamatkan model 1.6 liter dan pengumuman penuh mengenainya akan dibuat pada majlis pelancaran rasmi pada 28 September ini di Kampus Kolej Taylor di Subang Jaya dekat ini. - JOHARDY IBRAHIM

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Ayuh sokong Harimau Muda

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Pemain -pemain Harimau Muda ceria ketika menjalani latihan di Gambang, Kuantan semalam dalam persiapan menghadapi Thailand pada saingan Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, malam ini.

KUANTAN - Harga tiket sudahpun diturunkan. Sekarang tiada alasan lagi buat penyokong Harimau Muda untuk tidak memberi sokongan kepada pasukan negara yang bakal menentang Thailand, apatah lagi Ong Kim Swee berjanji akan memperagakan aksi terbaik untuk memburu tiga mata di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Walaupun sudah menempah tiket final sebaik menumpaskan Myanmar 2-1 kelmarin, skuad bawah 23 tahun negara berjanji bakal turun bersama fokus untuk menang kerana keputusan seri hanya akan membantutkan momentum kemenangan yang sudah dicipta sejak hari pertama saingan. Malaysia memulakan kempen dengan menewaskan Singapura 1-0.

"Tidak timbul sama sekali soal kami akan bermain untuk seri dalam perlawanan ini.

"Sebaliknya kita tetap cuba memburu tiga mata demi penyokong yang hadir ke stadium.

"Saya tahu Myanmar juga mahukan kita menang jika mereka hendak layak ke final, sambil mereka sendiri harus meraih tiga mata dalam perlawanan terakhir menentang Singapura.

"Kami akan ulangi persembahan yang sama seperti mana yang kami lakukan sebelum ini dengan bermain bersungguh-sungguh dan fokus mendapatkan kemenangan," kata Kim Swee pada sidang akhbar di Hotel Zenith, semalam.

Biarpun Kim Swee telah menjelaskan hasratnya untuk menurunkan ramai pemain simpanan dan merehatkan beberapa tonggak utama, tetapi beliau mengingatkan bahawa mereka tidak akan mengambil mudah perlawanan itu kerana tidak rela kalah di depan penyokong setia Malaysia.

Jika Thailand menang atau seri ke atas Malaysia, mereka akan melayakkan diri ke perlawanan akhir tanpa perlu menunggu keputusan Myanmar dan Singapura di Stadium Temerloh.

Namun segalanya akan berbeza jika skuad bimbingan Kairung Threejagsang itu kalah, dan Myanmar pula mengalahkan Singapura dengan kelebihan dua gol.

Layak ke perlawanan akhir lebih awal nyata melegakan Kim Swee kerana dapat merehatkan pemain utamanya yang sudah kepenatan selepas terpaksa beraksi dua perlawanan dalam masa tiga hari.

''Bagi saya satu perkembangan baik kerana kita berjaya layak lebih awal dan persediaan yang lebih teratur kerana para pemain pasti akan lebih cergas kerana bukan mudah untuk beraksi tiga perlawanan dalam masa enam hari.

''Selepas dua perlawanan, saya fikirkan ini adalah masanya untuk merehatkan pemain utama sebelum perlawanan akhir dan berikan peluang kepada pemain yang belum diturunkan.

''Beberapa pemain seperti Thamil digantung satu perlawanan, Wan Zack mengalami sedikit kesakitan di bahagian buku lali dan Reuben masih belum pulih daripada kecederaan," katanya.

Beberapa nama seperti Syahrul Azwari, Shahrul Saad, Muhd. Ferris Danial dan Nazirul Naim Che Hashim dijangka mendapat peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, hari ini.

Bagi jurulatih Thailand, Threejagsang, dia melihat Malaysia adalah pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

Pengendali skuad Gajah Putih itu turut memuji kelincahan pemain sayap lincah Malaysia, Wan Zack Haikal yang disifatkan sebagai bintang utama Harimau Muda.

''Malaysia adalah sebuah pasukan yang kuat dan kami akan mengubah sedikit cara permainan terutama daripada segi serangan.

''Tambahan kami juga kehilangan ketua pasukan, (Mahamasabri Awabuesa) kerana digantung satu perlawanan selepas mendapat dua kad kuning, kami terpaksa mengharapkan pemain lain.

''Kami akan berhati-hati dengan pemain nombor 10 (Wan Zack).

"Dia mempunyai skil yang hebat dan rembatan yang bagus," katanya.

Tiket Pestabola turun harga

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

KUANTAN - Setelah dua perlawanan sepi tanpa kehadiran penonton yang menggalakkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak penganjur akhirnya akur dengan desakan peminat apabila bertindak menurunkan harga tiket Pestabola Merdeka 2013.

Tiket perlawanan di antara Malaysia dan Thailand yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada jam 8.45 malam ini, boleh didapati dengan harga RM20 untuk tempat duduk bebas dan RM50 bagi tempat duduk utama.

Tiket perlawanan Myanmar menentang Singapura di Stadium Temerloh pada waktu yang sama pula berada di pasaran dengan harga RM20 (bebas) dan RM25 (tempat duduk utama).

Tiket perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini berharga RM20 (bebas) dan RM50.

Penurunan harga tiket itu diumum Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, yang mengharapkan ia akan membawa lebih ramai penyokong ke stadium untuk memberi sokongan kepada skuad kebangsaan.

"Malaysia sudah layak ke perlawanan akhir dan selepas berbincang dengan rakan komersial, kami bersetuju untuk menurunkan harga tiket bagi memberi peluang kepada peminat datang ke stadium menyokong pasukan negara," kata Hamidin pada sidang akhbar, semalam.

Harga tiket yang agak mahal sebelum ini menyebabkan penonton enggan memenuhi stadium selepas dua hari kejohanan.

Sebelum ini, tiket berharga RM30 dan RM38 dikenakan untuk tempat duduk bebas, manakala RM68 bagi tempat duduk utama.

Menurut Hamidin, punca mengapa harga tiket begitu mahal sebelum ini adalah kerana kejohanan berbentuk karnival seperti Pestabola Merdeka memerlukan perbelanjaan tinggi.

''Kita semua kena faham, kejohanan seperti ini memerlukan kos yang besar untuk diuruskan.

"Ia kena seiring dengan apa yang disyaratkan oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

''Setelah melihat sambutan tidak begitu baik, kami memberi kelonggaran agar harga tiket diturunkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Sindiket dadah terbesar tumpas

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my

Noor Rashid Ibrahim menunjukkan dadah jenis Heroin yang dirampas dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama pegawai penyiasat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd. Azizuddin Ibrahim (kanan). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar tahun ini yang didalangi warga tempatan selepas menangkap lima individu dan merampas dadah bernilai RM50 juta dalam dua serbuan di Cheras dan Bandar Sungai Long, Kajang dekat sini malam tadi.

Dalam dua operasi yang dijalankan serentak pada pukul 8.45 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, polis menyerbu dua buah rumah dan berjaya menangkap empat lelaki dan seorang wanita yang merupakan ahli sindiket tersebut.

Pengarahnya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan di kedua-dua rumah yang dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan dadah itu, polis menemukan pelbagai jenis iaitu 209.96 kilogram (kg) syabu, 40.47kg heroin dan 26.85kg ekstasi yang dibungkus di dalam bungkusan teh Cina.

"Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah wang tunai berjumlah RM51,229, AS$300 dan 450 bath dan menyita sembilan buah kenderaan mewah antaranya Mercedes-Benz yang telah dibina ruang khas di dalamnya untuk menyembunyikan dadah ketika menjalankan perniagaan haram mereka selain dua buah komputer riba dan barang kemas.

"Polis percaya semua dadah itu telah diseludup dari Myanmar dan negara ini dijadikan transit sebelum dihantar ke Australia dan beberapa negara jiran lain untuk dijual di pasaran antarabangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Noor Rashid berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 57 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Beliau memberitahu, polis juga sedang menyiasat modus operandi yang digunakan sindiket tersebut untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa.

"Kita sedang menyiasat sama ada suspek menggunakan jalan darat atau laut untuk membawa masuk dan keluar kesemua dadah tersebut," katanya lagi.

Menurut beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan rekod perjalanan keluar dan masuk kelima-lima suspek ke luar negara bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau turut menjelaskan, kejayaan besar polis itu adalah hasil risikan pihaknya sejak awal tahun ini selain maklumat daripada orang awam.

Polis kesan trend kumpulan kongsi gelap berselindung di sebalik majlis rasmi

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Polis mengesan ada kumpulan kongsi gelap berselindung di sebalik majlis rasmi masyarakat dengan menaja majlis terbabit bagi mengaburi mata masyarakat mengenai kegiatan haram mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata polis menyedari trend ini dan mereka (kongsi gelap) menyasarkan majlis masyarakat, terutama yang dihadiri orang kenamaan.

"Mereka akan menaja majlis tersebut untuk menunjukkan penglibatan mereka dengan masyarakat. Tujuan mereka tidak lain ialah untuk menunjukkan mereka pun ada membuat kebaikan. Mereka akan mengambil gambar bersama orang kenamaan dan masyarakat sebagai bukti menunjukkan mereka menjalankan kegiatan yang sah," katanya di sini.

Beliau berkata, trend seperti itu adalah untuk menyusup masuk ke dalam sesuatu komuniti bagi mengalih perhatian orang ramai berhubung aktiviti mereka yang sebenar.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan ada pemimpin kanan parti politik menghadiri sebuah majlis yang dianjurkan 'Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang' yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap geng '36'.

Ekoran itu satu laporan polis dibuat berikutan penyebaran sepucuk surat di internet yang mendakwa tiga pemimpin sebuah parti politik itu turut hadir dalam majlis yang dihadiri 6,000 peserta di Seri Kembangan pada 3 Disember lepas.

Abdul Jalil berkata, anggota kongsi gelap terbabit akan menjadi wakil dalam sesebuah komuniti dan menaja majlis-majlis anjuran masyarakat termasuk memanggil golongan kenamaan untuk menghadiri majlis yang diadakan.

"Kadang-kadang ada anggota masyarakat tidak sedar, mungkin mereka gembira ada tajaan di sebalik penganjuran majlis itu, (tetapi) sebenarnya di belakang mereka adalah kumpulan kongsi gelap. Mereka perlu berhati-hati," katanya.

Abdul Jalil turut menjelaskan pihaknya sentiasa memantau perkara itu dan turut menasihati jawatakuasa penduduk agar lebih berhati-hati untuk menganjur serta menerima sebarang penajaan daripada individu yang diragui latar belakang mereka.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta golongan kenamaan dan orang ramai agar menyemak latar belakang sesuatu majlis yang dianjurkan sesuatu komuniti bagi mengelak kumpulan kongsi gelap terbabit daripada 'menangguk di air yang keruh'. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


25,896 calon UPSR di Pahang

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Sebahagian ibu bapa mengaminkan doa yang dipimpin oleh guru agama bagi memohon kejayaan buat anak mereka yang menduduki UPSR di SK Tunku Azizah, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 10 Sept. - Sebanyak 25,896 calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama tiga hari bermula hari ini bertempat di 540 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Rosdi Ismail berkata, daripada jumlah tersebut Kuantan merupakan daerah paling ramai calon iaitu 8,138 manakala Cameron Highlands mencatatkan calon paling sedikit dengan jumlah 586 calon.

"Peperiksaan yang bakal berakhir Khamis ini bermula pada pukul 8 pagi dengan kertas pertama iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman).

"Saya berharap calon UPSR tahun ini dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan melakukan yang terbaik," katanya ketika dihubungi di sini.

Tengku Izaham Tengku Kamarulzaman (kanan) memberi kata perangsang kepada pelajar semasa mereka diberi sarapan percuma di Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah, Kuantan, Pahang, semalam.

Dalam pada itu tinjauan di Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah di sini, mendapati pelbagai cara dilakukan sebelum calon terbabit menduduki peperiksaan.

Pihak pengurusan sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil inisiatif menyediakan sarapan pagi dan makanan tengah hari kepada calon terbabit.

Menurut Pengerusi PIBG sekolah itu, Tengku Izaham Tengku Kamarulzaman, mereka menyediakan makanan berupa nasi lemak, telur goreng dan air sirap selepas selesai seisi pertama peperiksaan kertas Bahasa Melayu.

Katanya, sarapan tersebut merupakan sumbangan daripada dana PIBG serta kutipan tabung untuk calon terbabit anjuran sekolah berkenaan.

"Sebanyak 123 calon terbabit diberi sarapan dan makanan tengah hari secara percuma supaya mereka tidak perlu menghabiskan masa dan berebut ketika membeli makanan di kantin sekolah," katanya.

5,000 penduduk Felda Chini meriahkan pesta bakar lemang

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

sebahagian penduduk Gugusan Felda Chini membakar lemang sempena Pesta Lemang Chini dan sambutan Aidilfitri di Pekan, baru-baru ini.

PEKAN 10 Sept. - Pesta membakar lemang di Felda Chini 3 meriah dengan kehadiran lebih 5,000 penduduk dari sekitar Gugusan Felda Chini di sini baru-baru ini.

Acara g kali keenam dianjurkan itu diilhamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri.

Abu Bakar ketika ditemui berkata, sebanyak 15 pasukan dari seluruh gugusan Felda Chini menyertai pertandingan yang diberi nama Segoger Lemang Felda.

"Pada tahun ini kita membakar sebanyak 5,000 batang lemang dan kali ini agak berbeza kerana dianjurkan pertandingan yang disertai penduduk sekitar Chini yang mendapat sambutan menggalakkan," katanya sempena Pesta Lemang Chini dan sambutan Aidilfitri di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, penyertaan setiap lapisan masyarakat gugusan Felda, kampung tradisional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuktikan komitmen mereka menjayakan pesta tersebut walaupun masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dari sudut fahaman politik.

"Pertandingan ini menjadi platform kepada kita untuk bersatu serta membentuk satu keluarga besar dan memupuk rasa 'kekeluargaan' yang menjadi konsep utama pesta ini.

"Di sini kita dapat lihat bagaimana setiap peserta berganding bahu dan bekerjasama menyiapkan lemang mereka walaupun berdepan dengan suhu panas.

"Namun semua itu tidak dihiraukan kerana selain membakar lemang, peserta seronok mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat," jelasnya.

Abu Bakar berkata, bukan sahaja golongan muda yang turut serta dalam pesta itu tetapi juga warga emas dan wanita tidak ketinggalan menjayakannya.

Katanya, terdapat cabutan bertuah untuk peserta dan disajikan juga dengan persembahan nyanyian kugiran daripada anak-anak peneroka.

1,350 liter diesel dirampas

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

TEMERLOH 10 Sept. - Pihak berkuasa menahan dua buah lori tangki yang diubah suai bersama 1,350 liter diesel subsidi bernilai RM47,000 di sebuah stesen minyak di Jalan Karak dan tepi jalan di Mentakab di sini kelmarin.

Lori pertama muatan lima tan ditahan di stesen minyak itu manakala sebuah lagi muatan tiga tan ditahan di Mentakab ketika cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di premis tersebut.

Ketua Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Temerloh, Mohd. Yusoff Othman berkata, ketika lori pertama itu ditahan, pemandunya sedang mengisi diesel.

"Kita mengesan lori itu dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak berkenaan. Apabila diperiksa, anggota penguat kuasa menemukan empat resit pembelian 275 liter diesel subsidi daripada lelaki tersebut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tangki minyak itu telah diubah suai dan menemukan 1,100 liter diesel yang baru dibeli. Kebiasaannya lori dengan muatan lima tan itu hanya mampu mengisi 200 liter diesel," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Mohd. Yusoff, tidak lama selepas itu, sebuah lori cuba memasuki stesen minyak tersebut tetapi pemandunya berpatah balik sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Dua anggota penguat kuasa lalu mengejar lori terbabit dan dapat menahannya. Hasil pemeriksaan menemukan sebuah tangki simpanan khas di atas kenderaan itu dengan di dalamnya tersimpan 250 liter diesel," ujarnya.

Beliau memberitahu, operasi itu dijalankan di seluruh daerah ini bagi membasmi kegiatan penyeludupan bahan bakar tersebut.

Kata beliau, kedua-dua kenderaan itu dirampas dan pemandu terlibat ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Filipina pertimbang alih blok konkrit di kawasan pertikaian

Posted: 10 Sep 2013 10:36 AM PDT

MANILA 11 Sept. - Tentera Filipina mempertimbangkan langkah untuk mengalihkan blok konkrit yang dipercayai dipasang oleh China di kawasan pertikaian di Laut China Selatan, baru-baru ini.

Timbalan Admiral Tentera Laut, Jose Luis Alano semalam berkata, tiada aktiviti terbaharu dikesan di kawasan Terumbu Shoal sejak Jabatan Pertahanan menuduh Beijing memasang kira-kira 75 blok konkrit di kawasan rebutan itu.

Luis bagaimanapun berkata, keputusan untuk mengalihkan batu blok tersebut terletak kepada kerajaan dan bukannya pihak tentera.

Apa yang pasti, tentera akan terus memantau aktiviti semasa di kawasan terbabit," katanya.

Manila sebelum ini mendakwa, pemasangan blok itu mungkin permulaan kepada pembinaan struktur bangunan oleh China di kawasan beting, yang terletak hanya 220 kilometer dari pulau Luzon, Filipina.

Namun Kementerian Luar China pada minggu lalu menafikan bahawa Beijing meletakkan blok konkrit berkenaan sambil menegaskan kawasan Terumbu Shoal merupakan sebahagian wilayah China. - AFP

Pakistan setuju bebas pemimpin nombor dua Taliban

Posted: 10 Sep 2013 10:35 AM PDT

ISLAMABAD 11 Sept. - Kerajaan Pakistan semalam bersetuju untuk membebaskan bekas pemimpin nombor dua Taliban Afghanistan, Mullah Abdul Ghani Barada sebagai usaha memperbaiki hubungan dengan negara jiran tersebut.

Kerajaan Kabul sebelum ini menuntut agar Islamabad membebaskan Mullah yang ditahan pada Januari 2010 selepas dituduh melakukan sabotaj terhadap usaha memulihkan keamanan di Afghanistan.

Mullah dijangka dibebaskan pada bulan ini dan merupakan anggota pemberontak Taliban yang ke-34 dibebaskan oleh pihak keselamatan Pakistan sejak tahun lalu. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiada kad pengenalan dikeluarkan di bawah 'Projek Mahathir'

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

KOTA KINABALU 10 Sept. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing di negeri itu di bawah projek dipanggil 'Projek Mahathir'.

Ketua Pengarah JPN Datuk Jariah Mohd Said memberitahu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah bahawa dakwaan yang terkandung dalam sebuah buku ditulis oleh MD Mutalib itu adalah tidak benar.

"Kenyataan itu adalah tidak benar, tiada kad pengenalan dikeluarkan di bawah 'Projek Mahathir'," kata saksi ke-208 itu ketika menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka memberi keterangannya esok.

Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai 'Projek IC', Jariah yang dilantik sebagai Ketua Pengarah JPN pada Jun 2011 berkata: "Saya ada dengar tapi saya tidak tahu kebenaran mengenainya".

Jariah memberitahu, suruhanjaya bahawa mengikut statistik JPN sehingga 31 Ogos tahun ini, sebanyak 68,703 pendatang asing yang sah di negeri itu diberi taraf kewarganegaraan dan sejumlah 67,675 daripada jumlah itu telah menukar kad pengenalan biru mereka.

Dirujuk kandungan buku itu bahawa terdapat sejumlah 750,000 daripada 1.75 juta warga asing di negeri itu memegang kad pengenalan palsu, Jariah berkata, JPN tidak mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada pendatang asing.

Jariah juga berkata, permohonan kad pengenalan mestilah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan sekiranya mendapati pemohon memalsukan keterangan diri mereka, JPN akan menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan yang tidak mengikut undang-undang.

"Baru-baru ini ada satu tangkapan oleh polis di Sabah, polis telah buka fail terhadap pegawai JPN dan tindakan setakat ini diambil di mana pegawai itu telah ditahan kerja," katanya.

Beliau juga berkata, penggunaan sijil akuan bersumpah untuk menggantikan sijil lahir bagi permohonan kad pengenalan di Sabah adalah sah tetapi penggunaan sijil itu telah dimansuhkan pada 1987.

Mengenai keterangan saksi pendatang asing dalam suruhanjaya sebelum ini bahawa mereka telah memalsukan tempat kelahiran dengan menyatakan mereka lahir di Sabah bagi permohonan kad pengenalan, Jariah mencadangkan supaya mereka ini tampil ke JPN bagi mengaku maklumat yang diberikan terdahulu adalah tidak betul.

"Itu adalah pendapat saya. Pada pandangan saya maklumat dalam rekod JPN perlu dibetulkan kerana ia dokumen kerajaan, mereka mesti datang, seharusnya mereka bertanggungjawab atas apa yang mereka tulis," kata Jariah.

Jariah menegaskan, sekiranya mereka yang terlibat ini tidak hadir untuk membetulkan maklumat tempat lahir mereka dalam masa setahun atau dua tahun taraf kewarganegaraan mereka boleh ditarik balik dan kad pengenalan mereka boleh dibatalkan.

"Ini pandangan saya, kalau mereka tidak tampil dalam tempoh itu saya sarankan JPN perlu ada task force untuk mencari mereka, tarik balik kewarganegaraan dan batalkan kad pengenalan," katanya lagi.

Semasa ditanya mengenai kes pegawai atasan dan kakitangan JPN yang terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan secara tidak teratur kepada warga asing, Jariah memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berulang lagi.

"Perkara ini tidak boleh berlaku lagi kerana untuk kelulusan taraf warganegara, ia telah dibuat secara berpusat di ibu pejabat dan ada jawatankuasa yang memantaunya dan prosedur pengeluaran juga telah diseragamkan sejak 1990," katanya.

Jariah juga berkata, dari tempoh 1979 hingga 1984 sebanyak 51,300 kad pengenalan bermasalah dikenal pasti dikeluarkan di negeri itu manakala dari 1984 hingga 1988 pula 62,550 kad.

"Pada 1990 hingga 1996 pula sebanyak 16,699 kad pengenalan telah dibatalkan kerana bermasalah. Sebanyak 113,850 permohonan diterima Panel Jawatankuasa Khas Kad Pengenalan di Sabah, daripada jumlah itu 8,887 permohonan untuk menukar kad pengenalan kepada Mykad dan 3,695 telah diluluskan," katanya. - BERNAMA

Gagal batal saman Jamil Khir

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mendakwa difitnah dalam satu forum di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun lalu.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil dengan kos RM5,000 untuk dibayar kepada Jamil Khir.

Peguam Adnan Seman @ Abdullah yang mewakili Jamil Khir memberitahu pemberita, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang memutuskan demikian di kamar hakim turut menetapkan 13 November ini pengurusan kes saman tersebut.

Perbicaraan kes itu pula akan didengar selama empat hari bermula 4 Februari 2014.

Pada prosiding hari ini, Shamsul Iskandar selaku pihak defendan diwakili peguam Fahda Nur Ahmad Kamar.

Jamil Khir memfailkan saman itu pada 11 Mei 2012, setelah Shamsul Iskandar yang dijemput menjadi ahli panel forum yang membincangkan tajuk 'Pengurusan Persepsi' pada 30 Mac 2012 telah mengulas mengenai isu sumpah dakwaan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 2 Oktober tahun lalu, Shamsul Iskandar, 39, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dengan alasan tuntutan berkenaan adalah cacat kerana tidak mematuhi aturan dan kehendak undang-undang bagi membuktikan ucapan itu berunsur fitnah.

Adnan bagaimanapun memberitahu, mahkamah dalam keputusannya berpendapat ketidakpatuhan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 itu boleh diterima kerana tidak menimbulkan sebarang prejudis kepada Shamsul Iskandar.

Menurut beliau lagi, defendan juga mendakwa pihaknya gagal untuk menyatakan unsur niat jahat dalam pernyataan tuntutan tersebut namun mahkamah berpendapat sebaliknya.

Dalam pernyataan tuntutan terpinda bertarikh 8 November 2012, Jamil Khir mendakwa, Shamsul Iskandar secara tidak benar dan berniat jahat memfitnah beliau ketika menjawab persoalan dan mengulas tentang isu sumpah dakwaan liwat yang dibuat ke atas Anwar.

Menurut Jamil Khir, dalam program yang disiarkan pada pukul 9.41 malam hari tersebut, Shamsul Iskandar didakwa memberi kenyataan fitnah yang antaranya membawa maksud beliau seorang yang menentang serta menghalang pelaksanaan undang-undang syariah berkaitan qazaf di negara ini.

Beliau selaku pihak plaintif berkata, kenyataan fitnah itu juga menggambarkan dirinya sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam, telah campur tangan menghalang pendakwaan qazaf seperti yang dituntut oleh Anwar.

Disebabkan pernyataan fitnah tersebut menurut Ahli Parlimen Jerai itu, reputasi beliau telah terjejas dan mengalami kerugian selain dipandang negatif oleh rakyat di negara ini.

Plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta ganti rugi pengajaran serta perintah injunksi terhadap defendan.

Dalam pernyataan pembelaan bertarikh 17 Julai 2012, Shamsul Iskandar menyatakan, pernyataan yang dibuat olehnya mengandungi butiran fakta dan komen yang adil serta menyifatkan tuntutan plaintif sebagai tidak munasabah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Mahu kembali gegar industri

Posted: 09 Sep 2013 10:33 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar AZLIZA HAILANI

Lan yakin Kristal bakal kembali gegar industri seni tanah air.

KETIGA-TIGA individu ini pernah mencipta nama dalam bidang seni suara tanah air. Populariti yang diraih mereka juga tidak kurang hebatnya. Namun sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, aura yang dimiliki mereka seakan-akan menyepi.

Namun begitu, Siti Nordiana, Syura dan Lan Kristal masing-masing kini sedang giat berusaha untuk kembali mengukuhkan namadalam bidang yang pernah menjadi cinta pertama sebelum ini.

Jelas Lan atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yosof, meskipun namanya semakin tenggelam sejak kebelakangan ini, tetapi itu tidak bermakna dia sudah tidak aktif dalam bidang nyanyian.

"Benar, populariti yang pernah saya dan kumpulan Kristal kecapi dahulu sudah semakin hilang, tetapi itu tidak bermakna saya sudah tidak aktif bernyanyi.

"Sebenarnya hampir setiap minggu kami mengadakan persembahan, jika bukan bersama kumpulan Kristal sekalipun saya tetap terus bernyanyi kerana jemputan memang tidak pernah putus.

"Mungkin masyarakat dan peminat terasa seperti kami sudah mengundurkan diri daripada industri ini kerana sudah lama kami tidak muncul dengan single atau album baharu," katanya yang ditemui sewaktu mengadakan majlis rumah terbuka bersama dua teman baiknya itu.

Kristal mula mencipta nama pada 1999 dan popular menerusi beberapa lagu yang masih menjadi siulan peminat mereka antaranya lagu-lagu seperti Seragam Hitam, Delaila dan Resam Pak Belalang.

Penyanyi yang kini berusia 28 tahun ini mengakui dirinya dan aktiviti seni yang dijalankan kurang mendapat publisiti mungkin kerana tiada isu atau gosip yang boleh diperkatakan tentang dirinya.

"Umum tahu sebagai selebriti, kita akan mendapat publisiti yang meluas. Sekiranya kita terlibat dengan sesuatu kontroversi, lagi teruk sensasinya, lagi popular. Begitulah sebaliknya sekiranya tiada sebarang isu, senyaplah kita.

"Sungguhpun begitu, ia tetap tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus berkarya dan bernyanyi kerana ini adalah cinta pertama saya dan masih lagi merupakan kerjaya dan punca pendapatan utama," katanya yang merancang untuk merakamkan dua single baharu tidak lama lagi.

Lan juga menegaskan dia akan terus kekal bersama Kristal walaupun ada pihak yang mengatakan dia mungkin lebih maju sekiranya bergerak solo daripada bergerak secara berkumpulan.

"Saya percaya, setiap kumpulan muzik mempunyai masa mereka yang tersendiri dan begitu juga dengan Kristal.

"Masa untuk kumpulan kami menyinar dalam industri ini masih belum tiba tetapi suatu hari nanti pasti Kristal akan berdiri di puncak industri seiring dengan kumpulan rock legenda lain seperti Search dan Wings," katanya.

Menantu Ozzy Osbourne keguguran

Posted: 09 Sep 2013 10:33 PM PDT

NAMPAKNYA harapan penyanyi rock terkenal, Ozzy Osbourne untuk menimang cucu terpaksa dikuburkan buat masa sekarang setelah menantunya, Lisa mengalami keguguran.

Lisa yang juga isteri kepada Jack Osbourne keguguran kandungan kedua bagi pasangan itu.

Malah, khabar berita mengenai keguguran itu juga diberitahu sendiri oleh Lisa di laman blog peribadinya yang memberitahu bahawa dia keguguran anak lelaki minggu lalu.

"Saya berasa hiba dengan perkhabaran ini. Malah, kami sendiri memerlukan waktu untuk memberitahu semua bahawa saya telah kehilangan bayi lelaki minggu lalu," katanya di laman blog miliknya itu.

Walaupun rasa sedih yang mendalam apatah lagi kandungan itu gugur di saat akhir, Lisa sempat berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan.

"Memang sukar sebenarnya untuk menghadapi keguguran di saat-saat akhir kandungan. Tetapi, saya mengucapkan terima kasih kepada semua.

"Saya dan suami menghargai doa dan kata-kata semangat yang diberikan tetapi buat masa ini, kami mahu merehatkan diri daripada sebarang pertanyaan dan harap semua memahami," katanya.

Ini bukanlah dugaan pertama kepada Jack kerana sebelum ini, pada 2012, bayi perempuan mereka yang ketika itu berusia 16 bulan telah disahkan mengalami penyakit otak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Terapkan etika perniagaan

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh Rohami Shafie

SETIAP hari, kita boleh lihat situasi orang yang tidak beretika. Paling tidak pun ketika memandu kenderaan. Semasa kesesakan lalu lintas, terdapat pemandu tanpa segan silu, memotong kenderaan lain melalui lorong kecemasan. Pemanduan tidak beretika yang hanya mementingkan diri sendiri amat berbahaya untuk pengguna kenderaan lain.

Kerakusan" pemandu-pemandu Malaysia dengan memandu secara berbahaya diiktiraf" oleh warga asing yang menetap di sini. Berbeza dengan negara-negara maju seperti England, Australia dan New Zealand, pengguna kenderaan cukup berhemah dan beretika di jalan raya. Mereka mematuhi undang-undang tanpa ragu-ragu. Paling penting mereka tidak mementingkan diri sendiri.

Selain bukti di atas, contoh terbaru yang paling mengejutkan dunia seni tanah air ialah sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memuat naik filem KL Gengster 2 di laman sosial, YouTube walhal belum lagi ditayangkan di pawagam. Mengikut perancangan, filem ini akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 3 Oktober ini.

Saya tidak dapat bayangkan betapa kecewanya penerbit dan pembuat filem tersebut yang bertungkus lumus selama dua tahun untuk menyiapkan filem itu tetapi akhirnya telah dimuat naik dalam YouTube sebelum sampai masanya.

Sikap tidak beretika juga berlaku ke atas penulis-penulis tempatan apabila terdapat pihak dengan mudah mencedok hasil penulisan orang lain tanpa memberi sebarang penghargaan kepada penulis asal. Mereka ini tidak langsung mempedulikan etika penulisan. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita?

Sebagai seorang pendidik di menara gading dalam pengkhususan pengauditan, elemen etika adalah antara yang diajar kepada para pelajar. Kebetulan pula, para pelajar Universiti Utara Malaysia sentiasa diasuh supaya sentiasa beretika. Umpamanya, etika berpakaian para pelajar supaya sentiasa kemas dan sopan.

Ini bermaksud penerapan budaya etika cukup penting untuk mengubah masyarakat kita agar lebih baik. Dengan kombinasi penguatkuasaan undang-undang dan menerapkan budaya beretika, kehidupan masyarakat kita akan lebih baik.

Sebagai contoh, dalam bidang pengauditan, Lembaga Pengawasan Pengauditan (AOB) berperanan besar untuk memastikan juruaudit-juruaudit luar bertingkah laku mengikut etika pengauditan.

Sebarang pelanggaran etika akan dikenakan tindakan. Ini kerana juruaudit luar bertanggungjawab ke atas pelaporan pengauditan syarikat.

Etika bukan sahaja dalam profesion pengauditan semata-mata tetapi dalam semua aspek kehidupan kita. Sebagai contoh dalam isu kenaikan harga makanan ekoran pengumuman kerajaan ke atas rasionalisasi subsidi minyak, tidak keterlaluan dikatakan terdapat peniaga-peniaga di Malaysia yang tidak beretika dalam menjalankan perniagaan. Minyak naik 20 sen, sekeping roti canai juga naik 20 sen! Alasan minyak naik!

Saya tidak dapat bayangkan betapa tamaknya peniaga-peniaga sebegini. Budak kecil pun tahu berfikir secara logik untuk menolak alasan tersebut. Jika peniaga-peniaga sebegini beragama Islam, adakah mereka tidak memahami konsep keberkatan? Menindas pembeli dan pengguna dengan cara sebegini? Malangnya perkara ini tetap berlaku setiap kali pengumuman rasionalisasi subsidi minyak.

Jadi apa yang perlu dibuat untuk mengubah sikap peniaga sebegini? Setakat memberi amaran tiada gunanya kerana ia tidak menggerunkan mereka. Bahkan, penguat kuasa seolah-olah dipermainkan apabila terdapat peniaga dengan beraninya menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati mereka. Apakah langkah jangka masa panjang untuk memastikan perkara ini tidak berulang?

Salah satu cara yang boleh dilaksanakan adalah dengan memupuk budaya etika di kalangan peniaga. Bagaimana modus operandinya? Dengan cara memperkenalkan modul etika perniagaan di kalangan peniaga.

Perkara ini sewajarnya dipertimbangkan oleh pihak kerajaan kerana hanya dengan mendidik elemen etika kepada mereka di samping bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang, insya-Allah, tingkah laku para peniaga yang tidak beretika boleh diubah menjadi lebih beretika.

Jika boleh, wujudkan kod etika peniaga dan usahawan agar mereka sentiasa menyedari kepentingan beretika. Sejak akhir-akhir ini pun, syarikat senaraian awam Malaysia amat mementingkan etika.

Malahan, tadbir urus korporat yang diuar-uarkan cukup baik untuk syarikat senaraian awam juga telah mula dipertikaikan kerana tiadanya elemen etika dalam memastikan budaya sihat, adil dan tidak menindas mana-mana pihak.

Tadbir urus korporat hanya sekadar menanda kotak (box-ticking) berdasarkan kod tadbir urus korporat. Ia tidak menggambarkan elemen terpenting dalam berniaga iaitu amanah dan jujur.

Kepentingan etika ini bukan setakat di kalangan usahawan dan tokoh korporat bagi syarikat senaraian awam sahaja tetapi juga buat seluruh peniaga di Malaysia. Jika boleh, diinstitusikan budaya etika di kalangan peniaga.

Walaupun nampak mudah di atas kertas dan sukar untuk dilaksanakan, namun jika ia dilaksanakan secara menyeluruh, nescaya akan berlaku perubahan sikap di kalangan peniaga. Tidak mustahil, dalam tempoh jangka masa panjang, peniaga-peniaga kita akan lebih memikirkan hak pengguna berbanding mengaut keuntungan untuk diri sendiri sahaja.

Budaya tidak baik seperti menindas pengguna dan pembeli perlu diubah secara berhemah. Ini kerana ia sudah sebati dalam dunia perniagaan.

Kalau tidak, mana mungkin berlakunya pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah. Ketamakan manusia mengatasi sikap kebertanggungjawaban ke atas masyarakat. Dengan bertingkah laku secara beretika, masyarakat kita akan hidup dengan lebih baik kerana masing-masing mengetahui hak orang lain. Ingatlah, keberkatan dalam berniaga mengatasi kepentingan mengejar kekayaan materialistik.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,

Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Perihal marah bukan kepalang apabila harga minyak naik

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh Fauziah Arof

MINGGU lalu saya ada menulis betapa perlunya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa turun padang memantau harga barangan kerana kemungkinan besar peniaga-peniaga akan menaikkan harga barangan dan makanan sesuka hati ekoran pengumuman kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen seliter.

Dan kita pun memang menjangkakan perkara itu pasti berlaku. Sehingga kini kementerian berkenaan telah menerima beberapa aduan berlakunya kenaikan harga di sana sini.

Seorang teman bercerita kepada saya, berkuatkuasa saja kenaikan harga itu pada pukul 12 malam Isnin baru-baru ini, keesokkannya hari Selasa pada pukul 8 pagi di sebuah warung nasi lemak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, seorang mak cik yang biasanya menjual nasi lemak berharga RM2.50 sebungkus, mulai hari itu menaikkannya sebanyak 50 sen.

Apabila ditanya kenapa naik sehingga 50 sen, mak cik itu menjawab: Kan minyak petrol sudah naik malam tadi? Tak tengok berita kah? Barang-barang pun naiklah."

Teman saya itu memberitahu, pelanggan di belakang yang beratur untuk membeli nasi lemak menempelak: Hai, ayam goreng itu goreng dengan minyak petrol ke mak cik?"

Begitulah antara dialog-dialog yang selalu kita dengar daripada mulut seorang peniaga bila harga minyak petrol naik dan begitulah mentaliti sesetengah peniaga kita dalam menghadapi situasi naik harga ini.

Asal dengar saja harga petrol naik, semua barang pun hendak dinaikkan. Yang peliknya, tidak sampai beberapa jam harga petrol baru dikuatkuasakan, dia sudah menaikkan harga makanan dan yang dinaikkan pula melebihi kenaikan harga petrol.

Maka kita pun tidak hairan bila harga teh tarik di sesetengah tempat naik 20 sen juga. Harga chicken chop RM7 dinaikkan RM8, mi goreng yang biasanya RM4 dinaikkan RM4.50 dan buah potong berharga RM1 dinaikkan kepada RM1.50.

Jika benar pengurangan subsidi minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen itu dikatakan tidak memberi kesan kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 peratus sahaja, kenapa naik sebanyak itu?

Itu cerita peniaga. Pengguna pula sudah tentu dengan keluh kesahnya. Kenaikan 20 sen itu menjadi perbualan di sana sini hingga ke hari ini. Ada yang bertekad untuk menunggang motosikal atau naik pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Ada yang memberi idea yang menarik, mahu bawa basikal di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini. Macam-macam cerita boleh didengar dan dibaca terutamanya di laman-laman sosial.

Pun begitu dalam kita bising-bising, merungut mengenai kenaikan harga minyak dan mengadu berasa begitu terbeban dan tersiksa dengan kenaikan sebanyak 20 sen itu, dengan kos sara hidup semakin meningkat, mereka ini jugalah terus menekan minyak kenderaan seperti hendak tercabut pedal minyak tersebut dan menjadikan jalan raya macam litar lumba.

Bila kita memandu dengan kelajuan yang biasa-biasa saja, bunyi hon dan lampu tinggi diberikan, kononnya hendak cepat sangat, entah apa yang hendak dikejarkan tetapi bila tiba di tol dia beratur di belakang juga kerana tidak menggunakan kemudahan Smart Tag atau Touch n Go.

Di mana-mana pun, tidak kira kereta mewah atau kenderaan kecil seperti Perodua Kancil dan Kelisa, apabila harga petrol naik, keadaan macam biasa juga, tidak pun memberikan sedikit rasa kesedaran untuk memandu mengikut kelajuan biasa bagi menjimatkan penggunaan petrol. Lori dan bas masih begitu juga, berlumba-lumba. Mat rempit pun menjalankan kegiatannya di malam minggu macam biasa.

Dan jalan-jalan menghala pusat membeli-belah terutamanya setiap kali hujung minggu pun tetap sesak dan beratur panjang untuk ke tempat letak kereta sama seperti sebelum harga petrol diumumkan naik.

Ada juga antara kita bising minyak petrol naik 20 sen itu menjadikan hidup semakin terhimpit tetapi pada masa sama masih boleh berbelanja besar walaupun gaji tidak banyak mana. Berbelanja besar untuk pakaian, makanan, gajet, hiburan dan macam- macam lagi yang sudah jadi perkara biasa setiap bulan. Mereka ini juga boleh membayar bil telefon bimbit sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan. Tetapi itulah, bila minyak petrol naik 20 sen seliter, marahnya bukan kepalang.

Memanglah menjadi hak masing-masing untuk membelanjakan wang gaji setiap bulan, tetapi apabila setiap kali berlakunya kenaikan harga barangan, kita mengeluh, marah dan memaki hamun, sedangkan sebenarnya ia tidak memberi kesan langsung pada cara kita berbelanja. Maknanya naik atau tidak harga petrol sama saja. Jika keadaan inilah takrifan bebanan itu, terbeban sangatkah?

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Istimewanya Nick Vujicic

Posted: 09 Sep 2013 10:33 PM PDT

Nick Vujicic berhenti meneguk air sambil dibantu seorang pembantunya ketika sesi Up Close and Personal with Nick di Petaling Jaya, Selangor, ketika kunjungannya ke Malaysia, baru-baru ini.

Mungkin ia agak klise, tapi inilah masanya untuk belajar erti sebenar maksud bersyukur dan berilah kasih sayang sebagai mesej berterima kasih terhadap kehidupan ini.

Mungkin segelintir daripada rakyat Malaysia pernah mengetahui tentang Nick Vujicic, 30, seorang penceramah motivasi dari Australia yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan.

Dia datang ke Malaysia sempena jelajah dunianya dengan membawakan mesej kasih sayang.

Pada pertemuan dengan kira-kira 1,000 peserta di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Nick berkata, kata-kata kejian boleh melumpuhkan semangat seseorang dan sikap suka membuli terbukti merosakkan masyarakat.

Malah dirinya sendiri juga pernah menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah cuba membunuh diri ketika berusia 10 tahun.

"Saya cuba membenamkan diri saya dalam tub mandi. Ketika itu tiba-tiba terbayang wajah ibu bapa saya. Saya dapat melihat mereka insan yang paling sedih sekiranya saya mati kerana mereka sudah berusaha memberikan saya yang terbaik.

"Akhirnya saya bersyukur dengan kehidupan saya dan cuba hidup dalam suasana penuh positif," cerita Nick memulakan bicara mesra.

Nick dilahirkan dengan sindrom yang diberi nama tetra-amelia, tanpa kaki dan tangan. Dia hanya mempunyai dua kaki kecil yang setiap satunya mempunyai dua jari halus.

Persidangan Up Close and Personal with Nick itu dianjurkan oleh Persatuan StART setelah ceramah Nick sebelum itu di Universiti Sunway, Petaling Jaya, mendapat sambutan luar biasa.

Nick memberitahu, ramai yang datang padanya dan bertanya bagaimana dia boleh menjadi seorang yang gembira dan boleh buat macam-macam perkara.

"Saya mula didedahkan dengan komputer sejak usia enam tahun, boleh memegang pen, boleh berenang, main golf, memancing ikan, meluncur udara dan air.

"Kedengarannya memang gila. Tetapi saya memang suka mencuba sesuatu yang baharu.

"Sebab itu saya di sini. Saya mahu semua daripada kita jangan berhenti daripada meletakkan sesuatu impian. Impian yang besar. Kalau kita hidup berdasarkan apa pandangan orang, satu apa pun kita tidak boleh buat," kata Nick memberikan kata-kata semangat kepada peserta yang hadir.

Nick turut berkongsi salah satu kisah yang memberikan kesedaran besar dalam hidupnya.

Kisah tersebut berlaku ketika dia berusia 13 tahun.

"Saya mula belajar satu mesej penting dalam hidup iaitu erti bersyukur. Ketika itu saya sedang bermain bola dengan seorang sahabat.

"Dek kerana beria untuk menendang bola akhirnya telah menyebabkan kaki saya terseliuh selama tiga minggu.

"Sebagai remaja, tiga minggu dirasakan umpama tiga tahun. Dalam tempoh pemulihan itu saya sering berfikir sama ada saya hendak marah atas kekurangan saya atau memandangnya dari satu sudut yang lebih positif.

"Saya amat sedar, untuk mendapatkan sesuatu kejayaan mesti disertai usaha," jelas Nick yang sudah mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita cantik, Kanae Miyahara.

Ujar Nick, hidup sentiasa penuh pilihan, jadi terpulang kepada individu itu untuk memilih yang terbaik.

"Kalau kita menilai orang menerusi rupa parasnya maka kita akan kehilangan satu persahabatan.

"Kita boleh memberikan pelbagai kata-kata manis pada seseorang seperti contoh 'saya suka awak buat seperti itu atau ini, rambut awak cantik' dan sebagainya.

"Saya boleh beri anda 10 penghargaan baik dan kemudian datang seorang yang mencemuh dan anda terus jatuh.

"Bila orang letak anda di bawah maka anda mempunyai kuasa untuk meletakkannya di mana," katanya.

Pengalaman menyentuh hati

Menurut Nick, ketika di bangku sekolah, dia pernah mengimpikan seorang penceramah tanpa kaki dan tangan datang ke sekolah berceramah serta mengarahkan seluruh kanak-kanak sekolah agar tidak membulinya.

"Tapi siapa sangka, saya pula akhirnya yang menjadi penceramah itu untuk seorang kanak-kanak yang sama seperti saya bernama Daniel.

"Ketika itu saya dijemput memberi motivasi di sekolah Daniel yang berusia tujuh tahun di Washington (Amerika Syarikat).

"Bertemu Daniel umpama melihat diri saya sendiri yang bersaiz kecil. Pertemuan saya, ibu bapa saya dan Daniel bersama ibu bapanya memang sangat menyentuh perasaan. Paling menggembirakan, selepas ceramah itu Daniel berubah menjadi salah seorang kanak-kanak paling cool di sekolahnya," cerita Nick.

Sepanjang ceramah lebih dua jam itu tidak ada satu detik pun yang membosankan.

Nick bijak menyampaikan ceramah. Walaupun mesej yang disampaikan adalah serius, banyak disulam dengan jenaka.

Nick yang kini sudah menjadi bapa kepada seorang bayi lelaki, Kiyoshi James Vujicic sejak Februari lalu, turut menyentuh hati ribuan peserta.

Ketika sesi soal jawab seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Marcus Soh telah berkongsi apa yang dilakukan gurunya ketika dia tidak bersemangat dengan projek di sekolah.

Perkongsian itu nyata menyentuh hati Nick yang mengajak Marcus ke pentas bagi mendapat buku yang ditandatangani beliau sendiri.

"Untuk mangsa buli, saya ingin memberitahu bahawa diri anda sendiri adalah penggalak atau pematah semangat. Jangan biarkan orang lain atau keadaan mengganggu hidup anda," kata Nick.

Sesi pertemuan eksklusif dengan Nick Vijicic itu diserikan lagi dengan kedatangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Rohani juga telah melancarkan buku terbaru Nick bertajuk Give A Hug.

Malu bincang kehamilan

Posted: 09 Sep 2013 10:33 PM PDT

MENURUT kaji selidik kebangsaan terbaharu yang dilakukan Bayer HealthCare, lelaki dan wanita di negara ini masih tidak bersedia membincangkan isu pencegahan kehamilan secara terbuka, walaupun dengan pasangan mereka.

Kaji selidik yang melibatkan 216 responden berumur antara 20 hingga 35 tahun itu, telah dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen pendidikan masyarakat tentang kontrasepsi YA! Ia Melibatkan Dua yang disasarkan untuk menggalakkan perbincangan lebih terbuka terhadap kehamilan di antara pasangan.

Kebanyakan responden iaitu 54.6 peratus dalam kaji selidik memberitahu, mereka berasa paling selesa untuk berbincang berkenaan kehamilan dengan pasangan berbanding pencarian di Internet (17.6 peratus) atau membincangkannya dengan doktor mereka (13 peratus).

Rakyat Malaysia juga bersetuju bahawa perbincangan konsisten memperbaiki ikatan antara pasangan dan membina lebih keintiman yang mana 90.3 peratus bersetuju bahawa perbincangan konsisten tentang perancangan kehamilan adalah penting dan 91.2 peratus berkata, keupayaan untuk membincangkan isu-isu ini akan merapatkan lagi hubungan dengan pasangan.

Namun, kajian menunjukkan sebahagian besar generasi muda di Malaysia tidak menjalankan perbincangan konsisten berkenaan isu itu dengan pasangan mereka.

Sekurang-kurangnya satu dalam lapan responden tidak pernah membincangkan perancangan kehamilan dengan pasangan. Manakala 22.7 peratus daripada responden hanya bercakap berkenaan isu tersebut pada awal hubungan mereka.

Ketidaksinambungan antara kepercayaan dan amalan adalah perkara yang membimbangkan, terutamanya apabila peratusan besar rakyat Malaysia yang terlibat dalam kaji selidik iaitu 29.6 peratus, telah menggunakan kontrasepsi kecemasan (sama ada mereka sendiri ataupun pasangan mereka) sekurang-kurangnya sekali dalam tahun sebelumnya.

Perkara yang lebih membimbangkan adalah hampir suku daripada responden dalam kaji selidik itu tidak menggunakan sebarang bentuk kontrasepsi, manakala 54 peratus terlupa untuk menggunakan pencegahan kehamilan pada suatu ketika.

Pengarah Perubatan bagi Bayer HealthCare Pharmaceuticals, Dr. Sharon Chong berkata, kaji selidik ini menyerlahkan perkara yang tidak konsisten, iaitu antara mengakui komunikasi tentang kontrasepsi adalah penting (90.3 peratus) dan bertindak untuk melibatkan diri dalam perbincangan tersebut.

"Malangnya, ketaksinambungan ini boleh menyebabkan penggunaan kontrasepsi kecemasan, atau lebih dikenali sebagai pil pagi selepas (morning-after pill), yang boleh menyebabkan risiko kesihatan dan kesan sampingan tertentu jika kerap diambil.

"Penyebab ketidakselarasan ini mungkin boleh diterangkan dengan fakta bahawa 22.7 peratus mengelak daripada membincangkan perancangan kehamilan kerana menganggap pasangan mereka tidak berminat terhadap isu tersebut; manakala 16.7 peratus takut dianggap jahil dalam perhubungan," katanya.

Dr. Chong menambah Bayer telah menunjukkan dedikasi untuk memperbaiki kehidupan wanita serta memenuhi keperluan perubatan mereka melalui inovasi perubatan selama lebih 80 tahun.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, kami sentiasa membantu untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran masyarakat ke atas isu berkaitan perancangan kehamilan demi membantu lebih ramai pasangan merancang kehidupan mereka," jelasnya.

Oleh itu katanya, selaras dengan Hari Kontrasepsi Sedunia, pihaknya akan menyusun pelbagai aktiviti, termasuk sebuah laman sesawang bagi memaklumkan dan mendidik masyarakat.

Manakala, Pengarah Eksekutif Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia, Yeoh Yeok Kim, berkata, pihaknya yakin bahawa asas untuk perhubungan yang kukuh dan memuaskan dicetuskan daripada proses komunikasi, membuat perancangan dan sentiasa memperbaharuinya.

"Namun, apabila melibatkan komunikasi terbuka dan jujur dalam perhubungan, biasanya pasangan hanya berfikiran tentang komunikasi berkaitan topik seperti kewangan dan kadangkala, emosi. Kita tidak menyedari bahawa kontrasepsi adalah topik penting yang perlu dibincangkan dan kesunyian dalam perbincangan inilah yang perlu diatasi.

"Mengadakan perbincangan secara konsisten tentang kontrasepsi juga membantu menghilangkan stigma yang dikaitkan dengannya," katanya.

Dalam kalangan responden kaji selidik yang menyatakan bahawa mereka mengalami kesukaran memperoleh kontrasepsi, sebab paling biasa yang diberi adalah mereka malu untuk bercakap dengan profesional kesihatan tentang perkara tersebut (48 peratus).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Perlu siasatan menyeluruh - Johari

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

KAWASAN pembinaan pangsapuri servis di Desa Pandan yang didapati tanah tapaknya mendap dalam kejadian malam kelmarin.

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan agensi berkaitan diminta segera menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian tanah mendap yang berlaku di sebahagian tapak projek pangsapuri servis di Jalan 1/76, Desa Pandan dekat sini malam tadi.

Kejadian itu telah menyebabkan sebahagian Jalan Desa Pandan yang terletak di hadapan tapak projek berkenaan turut merekah dan mendap.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, siasatan itu adalah bagi mengetahui sama ada kawasan terbabit dan perumahan sekitarnya adalah selamat atau tidak, walaupun pertama kali berlaku di situ.

"Kejadian ini pertama kali berlaku di sini. Jika kita melihat daripada segi sejarah di Kampung Pandan ini, tanah-tanah di kawasan ini adalah tanah lombong.

"Jadi, kalau kita mempunyai projek yang sebegini tinggi, bimbang strukturnya kita tidak kaji semula daripada segi sejarah, kita takut ini akan memberi risiko terhadap keselamatan," katanya ketika meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

BAHAGIAN Jalan 1/7, Desa Pandan, Kuala Lumpur yang mendap dalam kejadian yang berlaku malam kelmarin telah dibaiki dan diturap semula oleh pihak pemaju semalam. - UTUSAN/Fatheen Ellyn Ezreen Rosli

Menurut Johari, ketika kawasan Desa Pandan mula-mula dibangunkan, kebanyakan projek hanya membangunkan unit pangsapuri jenis empat tingkat sahaja kerana kawasan itu merupakan bekas kawasan lombong.

"Saya mohon kepada pihak DBKL, Ikram dan agensi-agensi terbabit untuk membuat penyiasatan rapi bagi memastikan tempat ini selamat. Jika tidak, kita kena pastikan projek ini jangan diteruskan.

"Saya tidak berjumpa dengan pihak pemaju, sama ada projek berkenaan perlu diteruskan atau tidak, bergantung kepada hasil penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Buat masa ini saya lihat memang membahayakan," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pemaju telah menurap semula jalan tersebut yang sebahagiannya mendap tetapi beliau khuatir adakah jalan itu masih selamat jika berlaku pergerakan tanah lagi.

"DBKL perlu memastikan sebelum sebarang sijil layak menduduki (CF) atau pembangunan dapat diteruskan, kita perlu memberi jaminan kawasan ini selamat kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib ketika dihubungi memaklumkan, DBKL telah mengarahkan pemaji pangsapuri itu agar melantik perunding bagi mengemukakan laporan penuh bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam masa 24 jam.

Katanya lagi, beliau akan memberikan butiran lanjut dalam sidang media yang akan diadakan esok.

Bimbang tragedi Highland Towers berulang

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Sept. - "Tolong, tolong! Bangunan nak runtuh!."

Orang ramai menjerit itu didengari oleh Che Din Che Hassan, 29, apabila dia sampai ke tapak pembinaan sebuah pangsapuri di Desa Pandan yang mengalami kejadian tanah mendap malam tadi.

"Apabila saya sampai, kawasan itu diselubungi suasana hiruk-pikuk selepas hujan lebat sambil orang ramai menjerit meminta pertolongan. Sebelum itu saya menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kejadian itu dan terus bergegas ke situ.

"Papan tanda, tiang elektrik tumbang, jalan raya mendap dapat dilihat sehingga kami bimbang tragedi Highland Towers bakal berulang," katanya ketika ditemui.

Che Din menceritakan pengalamannya sebagai antara orang pertama menyaksikan kejadian tanah mendap di tapak pangsapuri servis yang dalam pembinaan di Jalan 1/76 di Desa Pandan itu yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Selaku penduduk Pangsapuri Delima J yang terletak kira-kira 40 meter dari kawasan kejadian tanah mendap itu, Che Din percaya aliran air bawah tanah menyebabkan pergerakan tanah berlaku ketika hujan lebat.

"Sudah 12 tahun saya menetap di sini, kejadian ini pertama kali berlaku. Kami bimbang jika keadaan lebih buruk akan berlaku selepas ini. Fikirlah keselamatan kami juga, pihak terbabit jangan fikirkan keuntungan sahaja," katanya.

Selain itu dia mendakwa, projek yang telah dijalankan sejak kira-kira setahun setengah lalu itu menyebabkan sebahagian struktur bangunan pada sistem perparitan Pangsapuri Delima merekah akibat gegaran manakala penghuninya terdedah kepada habuk.

Kebimbangannya turut dirasai penghuni kawasan perumahan lain yang berdekatan dengan lokasi tanah mendap di tapak projek pembinaan pangsapuri servis berkenaan.

Penduduk Kuaters Kerajaan Jalan U-Thant, Azmi Zan Mohd. Ghazali, 49, berkata, dia hairan bagaimana pihak berkuasa boleh meluluskan projek pembinaan terbabit tanpa mengkaji kesan daripada struktur tanah di situ.

"Pihak bertanggungjawab yang berkaitan perlu melaksanakan pemantauan berhubung isu ini bagi mengelakkan berlaku di tempat-tempat lain kelak. Saya minta pihak berwajib segera menyelesaikan masalah itu demi keselamatan orang ramai," ujarnya.

Penduduk Pangsapuri Desa Pandan, Mohd. Redza Mohd. Rashidi, 50, pula kesal dan menyifatkan pemaju projek berkenaan seolah-olah mengabaikan soal keselamatan di tapak projek.

"Kren di tapak projek itu begitu hampir dengan jalan yang menjadi laluan pelajar sekolah bersebelahan tapak projek itu. Saya bimbang keadaan itu mengundang bahaya kepada mereka," jelasnya.

Dipercayai kejadian mendap yang pertama kali berlaku itu akibat kerja-kerja mengorek tanah yang dijalankan pemaju projek pangsapuri 23 tingkat, merangkumi 474 unit rumah berkenaan dan sebuah blok kedai dua tingkat.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati, pihak pemaju telah menurap semula jalan di hadapan lokasi kejadian yang telah merekah dan mendap manakala laluan telah dilencongkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Tapak projek itu kelilingi oleh kawasan perumahan pangsapuri, sekolah dan bangunan perniagaan yang begitu hampir dengan lokasi kejadian.

Sementara itu, kelihatan beberapa pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berada di lokasi bagi memantau keadaan di situ.

DBKL tubuh pasukan pemantau

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Ahmad Phesal

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan 54 pasukan pemantau untuk memastikan kontraktor pembinaan yang dilantik memenuhi syarat yang ditetapkan bagi pembinaan kemudahan lebih tahan lasak dan berkualiti di sekitar ibu kota.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pasukan pemantau itu juga bertanggungjawab mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan bertindak terhadap kontraktor yang tidak mengikut piawaian termasuk dihalang daripada menerima tender pembinaan di masa depan.

"Banyak kemudahan di ibu kota tidak memenuhi standard yang dihasratkan dari segi ketahanan, material dan reka bentuk.

"Sudah sampai masanya kita buat penekanan bersungguh-sungguh dalam memastikan kemudahan yang dibina tahan lasak dan berkualiti kerana masyarakat amat prihatin tentang kualiti kemudahan yang digunakan mereka," katanya kepada media selepas merasmikan Jambatan Jalan Api-api, Kepong Baru dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Bahagian Kepong, Wilson Lau.

Ahmad Phesal berkata, pihaknya juga telah mendapat persetujuan badan-badan seperti Kumpulan Ikram Sdn Bhd, Sirim dan Jabatan Perhutanan untuk membantu pasukan pemantau itu.

Sementara itu, beliau berkata, projek jambatan dan menaik taraf infrastruktur berkaitan melibatkan peruntukan RM1.57 juta itu siap dalam masa empat bulan bermula April.

Menghubungkan Jalan Api-api 1, Taman Kepong Baru dengan Jalan 5/32A, Taman Pusat Kepong, jambatan itu memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk sekitar selain memendekkan perjalanan sejauh dua kilometer. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved