Isnin, 13 Januari 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Jangan buat saya pening'

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

PRESTASI tidak konsisten Chong Wei Feng meresahkan Rashid Sidek pada ketika Piala Thomas tinggal kurang lima bulan sebelum berlangsung di New Delhi, 18-25 Mei ini.

KUALA LUMPUR - Kecuali jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, prestasi perseorangan negara yang lain mencetus kebimbangan ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek ketika kejohanan badminton berprestij, Piala Thomas tinggal kurang lima bulan untuk berlangsung di New Delhi, India, Mei ini.

Baik Chong Wei Feng mahu pun Liew Daren, masing-masing belum menunjukkan aksi yang meyakinkan untuk menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan itu, namun dalam masa yang sama angkatan pemain yang lebih muda seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi, Misbun Ramdan Misbun, Mohd. Arif Abd. Latif, Zulfadli Zulkifli serta Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga tidak cukup bagus untuk mencabar senior mereka.

Pemain-pemain muda lain seperti Goh Soon Huat, Nur Mohd. Azriyn Ayub, Goh Giap Chin serta Loh Wei Sheng juga tidak meyakinkan dan terlalu jauh daripada pemain utama.

Justeru, tidak hairanlah jika Rashid dan barisan jurulatih negara pening kepala memikirkan bagaimana hendak membentuk skuad mantap dalam tempoh empat bulan ini pada ketika pilihan pemain yang dimiliki sendiri tidak cukup bagus.

Mengakui, situasi sekarang tidak banyak beza dengan keadaan ketika Malaysia menghadapi Piala Thomas 2012, Rashid menggesa pemain-pemain muda negara agak mula meningkatkan prestasi, terutama mereka yang bakal beraksi pada kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang bermula hari ini.

"Semua pemain hanya ada beberapa bulan saja untuk meningkatkan prestasi. Kita menghadapi tahun yang mencabar dengan Piala Thomas, Sukan Asia dan Sukan Komanwel menanti, jadi saya harap pemain-pemain muda ini dapat segera menonjolkan kemampuan," kata Rashid.

Selepas merangkul kejuaraan kebangsaan pertama, Wei Feng kembali meresahkan Rashid apabila tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Korea minggu lalu selepas tewas kepada Vladimir Ivanov dari Rusia. Dia sebelum itu turut tersingkir awal di Sukan SEA Myanmar, Disember lalu.

Daren pula hanya akan membuat penampilan pertama esok sejak mengalami kecederaan pada Terbuka Denmark, Oktober lalu. Dia menutup 2012 dengan merangkul gelaran Siri Super Terbuka Perancis, namun masalah buku lali yang dialami tiga bulan lalu menyebabkan sukar buat Rashid menilai tahap permainan pemain itu ketika ini.

Jika Wei Feng dan Daren tidak mampu melakukan sesuatu pada Terbuka Malaysia, peluang terbuka buat Iskandar, Misbun Ramdan, Teck Zhi atau Arif untuk mengintai tempat dalam skuad Piala Thomas, namun dengan syarat mereka juga kena menunjukkan persembahan yang berwibawa. Malah, bekas pemain kebangsaan, Tan Chun Seang yang muncul naib juara kebangsaan juga perlu diberi perhatian.

Anak jurulatih legenda, Datuk Misbun Sidek, Misbun Ramdan antara yang harus diberi tumpuan. Biarpun tiada kejayaan besar dikecapi sejak dilatih bapanya, namun Ramdan mengutip banyak pengalaman antarabangsa dengan menjuarai beberapa kejohanan kecil di Eropah seperti Terbuka Ireland, Antarabangsa Slovenia, Antarabangsa Portugal dan Antarabangsa Hellas di Greece.

Chong Wei mampu bangkit

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Kekalahan Datuk Lee Chong Wei buat kali keempat berturut-turut kepada Chen Long di perlawanan akhir Siri Super Terbuka Korea kelmarin tidak merisaukan jurulatihnya, Tey Seu Bock.

Sebaliknya beliau yakin, pemain nombor satu dunia itu mampu mempertahankan gelaran Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang membuka tirai hari ini.

Kelmarin, Chong Wei mengakui, Chen Long semakin liat untuk ditumbangkan dan hampir menyamai prestasi Lin Dan setelah kalah kepada pemain sensasi China itu straight set 14-21, 15-21 di Seoul seterusnya memadamkan impiannya untuk meraih gelaran sulung 2014.

Menurut Seu Bock, beliau menonton perlawanan itu dan akan berbincang dengan Chong Wei sebaik pemain tersebut kembali ke Malaysia.

"Kita akan menganalisis semula prestasinya dan saya yakin dia masih mempunyai peluang untuk merangkul gelaran Terbuka Malaysia buat kali ketujuh berturut-turut dan kesepuluh dalam kariernya," katanya di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Selain berjaya mempertahankan kejuaraan sejak 2008 hingga tahun lalu, Chong Wei juga pernah meraih gelaran ini pada 2004, 2005 dan 2006.

Seu Bock berkata, penganjuran Siri Super Premier buat kali pertama di Terbuka Malaysia bakal menyaksikan kehadiran pemain terbaik dunia, namun ia bukan halangan buat Chong Wei mengekalkan gelaran terutama beraksi di hadapan peminat tempatan.

"Dia mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri, memang kalau dilihat daripada undian yang dilakukan bukan mudah untuknya merangkul kejuaraan tetapi juga bukan alasan buat Chong Wei untuk tidak mempamerkan aksi terbaik.

"Selain Chong Wei, pemain negara yang lain perlu merebut peluang dan buktikan bahawa mereka mampu menggalas cabaran negara. Mereka perlu mempamer tahap permainan terbaik serta menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka pemain yang tidak bagus," katanya.

Chong Wei akan bertemu pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus pada pusingan pertama, manakala lawannya di pusingan kedua mungkin pemain China, Wang Zhengming . Seorang lagi pemain China, Du Pengyu berkemungkinan akan menjadi halangannya di peringkat suku akhir.

Melihat carta undian, Chong Wei dijangka bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen atau pemain Thailand, Boonsak Ponsana di peringkat separuh akhir.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bertuah ada kerajaan cekap

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

TENGKU Meriam Sultan Ahmad Shah (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, Nik Som Nik Man di pekarangan Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, Maran, kelmarin.

MARAN 13 Jan. - Rakyat perlu bersyukur dan merasa bertuah kerana mempunyai sebuah kerajaan cekap, peka dan prihatin dengan mereka yang ditimpa musibah seperti bencana banjir bulan lalu.

Tengku Puteri Seri Lelawangsa Pahang, Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah berkata, ini terbukti apabila sebaik sahaja berlaku sesuatu musibah kerajaan dan agensinya tidak berlengah dalam memberi bantuan kepada mereka.

Menurutnya, perkara itu tidak berlaku di negara lain yang turut ditimpa bencana banjir, gempa bumi dan lain-lain sehingga mangsa terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bantuan.

"Apa yang berlaku di dalam dan luar negara itu harus diambil iktibar dan bermuhasabah diri supaya kita lebih bersyukur.

"Selain kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan pihak Istana Pahang juga dengan senang hati turun padang membantu mangsa yang terlibat dalam bencana banjir baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir Parlimen Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau di sini semalam.

Sebanyak 800 mangsa banjir di daerah ini menerima bantuan dari istana Pahang dan Parlimen Maran seperti tilam, bantal, dapur dan lain-lain yang diagihkan secara berperingkat.

Yang turut hadir Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Datuk Muhaini Sultan Ahmad Shah dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib.

Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin; ADUN Chenor, Mohd. Ariffin Awang Ismail; ADUN Luit, Nor Hidayah Mohd. Shahaimi dan Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh.

Tengku Meriam berkata, rakyat harus bersabar dan akur menerima musibah itu di samping bersama-sama berdoa supaya dihindari gelombang kedua dan masalah lain.

Menurutnya, walaupun keperitan mangsa banjir dianggap teruk tetapi tidak 'sehebat' bencana tsunami yang berlaku di Aceh (Indonesia), Sri Lanka dan Filipina pada 2004 lalu sehingga meragut nyawa ribuan orang.

Dalam pada itu, Ismail berkata, rakyat negeri ini bertuah kerana Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan kerabat diraja lain sering berganding bahu bersama kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah tersebut.

MKN serah 5 aset kepada pasukan penyelamat

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Azlan Che Adnan (kanan) memakaikan jaket keselamatan kepada seorang kanak-kanak selepas menyampaikan jaket tersebut kepada pasukan penyelamat di pejabat MKN Pahang di Kuantan, semalam.

KUANTAN 13 Jan. - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang menyerahkan lima aset kepada pasukan penyelamat untuk digunakan jika berlaku bencana banjir di negeri ini pada masa akan datang.

Penolong Setiausaha MKN negeri, Azlan Che Adnan berkata, aset tersebut terdiri daripada jaket keselamatan kanak-kanak, bot aluminium, set memasak, penapis air bergerak dan water jet.

Katanya, kesemua aset tersebut diserahkan kepada pasukan penyelamat di negeri ini seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kesemua aset tersebut akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang berisiko tinggi banjir dan digunakan sepenuhnya apabila bencana itu berlaku.

"Bagi fasa pertama kita menerima beberapa aset tersebut dan akan ditambah pada fasa berikutnya dalam tempoh terdekat.

"Dengan adanya aset terbaharu itu akan dapat memudahkan pasukan penyelamat terbabit melaksanakan tugas dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan jaket keselamatan kanak-kanak kepada agensi terlibat di pejabat MKN Pahang di sini hari ini.

Menurutnya, ketika ini pihaknya menerima 200 jaket keselamatan kanak-kanak, 18 bot aluminium, 10 penapis air bergerak, empat set dapur memasak dan beberapa water jet.

Katanya, aset-aset tersebut akan ditempatkan di daerah yang berisiko tinggi banjir seperti Kuantan, Pekan dan Maran.

Tambahnya, daerah lain yang turut terjejas akibat bencana itu pada bulan lalu akan menerima aset yang sama secara berperingkat supaya gerakan menyelamat dapat dilakukan dengan lebih lancar.

Beliau memberitahu, walaupun gelombang kedua berakhir semalam, semua agensi terlibat sentiasa bersiap siaga jika berlaku banjir yang tidak diduga.

"Peralatan yang diterima ini boleh digunakan pada bila-bila masa jika berlaku banjir walaupun amaran gelombang kedua sudah berakhir.

"Semua pasukan penyelamat sentiasa bersiap sedia dan mereka akan bergerak jika kawasan terlibat dinaiki air untuk memindahkan mangsa ke pusat pemindahan yang disediakan," ujarnya.

Tujuh penduduk Kampung Paya Teh pulang selepas banjir surut

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

JERANTUT 13 Jan. - Tujuh penduduk di Kampung Paya Teh di sini kembali ke kediaman mereka berikutan air kembali surut selepas banjir melanda kawasan itu dua hari lalu.

Mereka terdiri daripada dua keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Datuk Rahimah Kawi di sini yang diselenggarakan oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut.

Seorang penduduk, Wok Awang Hitam, 51, berkata, dia tidak menjangkakan gelombang kedua itu turut terkena tempias di kampung tersebut sehinggakan barangan yang disimpan dalam kotak di rumah semasa gelombang pertama lalu tidak sempat dikeluarkan.

"Banyak juga peralatan perabot rosak dan hanyut ketika banjir pertama lalu, kini datang pula bencana kedua dan saya sempat menyelamatkan sedikit sahaja barang untuk dipindahkan ke dewan ini.

"Saya berdoa banjir kali kedua ini tidak memudaratkan peralatan rumah yang baharu dibeli dan berharap boleh balik dengan segera," katanya ketika ditemui semalam.

Seorang ibu muda, Nur Baiyah Mohd. Rosli, 23, berkata, dia bersyukur kerana anaknya berusia enam bulan, Muhammad Nor Syaqil Amzar Mohd. Salleh tidak menghadapi masalah kesihatan walaupun dua kali banjir berlaku baru-baru ini.

"Anak sulung saya mengalami banjir gelombang pertama pada awal Disember lalu dan kini turut mengalami musibah kali kedua dan saya bersyukur kerana bayi ini tidak mengalami demam dan gangguan kesihatan," ujarnya.

Seorang warga emas, Mat Lia Teh, 61, berkata, dia menetap di kampung tersebut sejak 30 tahun lalu, tetapi banjir yang berlaku sebanyak dua kali menyebabkannya mengalami kerugian apabila harta benda dan tanaman rosak.

"Saya tidak berdaya lagi ke mana hendak berpindah sedangkan tanah sekangkang kera inilah milik saya untuk membina kediaman dan bercucuk tanam," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Penunjuk perasaan mahu usir kerajaan pimpinan Yingluck

Posted: 13 Jan 2014 09:47 AM PST

BANGKOK 14 Jan. - Ketua penunjuk perasaan antikerajaan Thailand, Suthep Thaugsuban semalam berikrar akan terus melakukan perhimpunan `menutup Bangkok, sehingga Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) berjaya mengusir kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

"Kami akan menutup bandar raya ini, kami akan lakukannya sepanjang hari, setiap hari sehingga kami menang.

"Tunjuk perasaan ini diadakan bukan untuk menganggu kehidupan rakyat di Bangkok kerana sasaran utama kami adalah untuk menghalang kakitangan kerajaan bekerja , kata Suthep kepada penunjuk perasaan ketika berhimpun di persimpangan jalan raya di Pathumwan. - AGENSI

Satu lagi kematian akibat selesema burung di China

Posted: 13 Jan 2014 09:44 AM PST

BEIJING 14 Jan. - China melaporkan satu lagi kes kematian akibat wabak selesema burung H7N9 yang berlaku di barat daya wilayah Guizhou, lapor agensi berita Xinhua semalam.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, seorang lelaki berusia 38 tahun dari bandar Zunyi meninggal dunia Khamis lalu.

Ini merupakan kes kematian pertama wabak tersebut berlaku di Guizhou pada tahun ini. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Projek PKFZ: Kong Choy dibebaskan tipu bekas PM

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR dan NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

Chan Kong Choy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Selepas hampir empat tahun didakwa menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy boleh tersenyum apabila beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Ini berikutan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa ketiga-tiga pertuduhan terhadap Kong Choy ditarik balik selepas meneliti surat representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada 20 Mac tahun lalu.

Tindakan menarik semula tuduhan-tuduhan terbabit juga dibuat selepas pihak pendakwaan mengambil kira, menghalusi dan meneliti keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan kes seorang lagi bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Liong Sik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Antara saksi dalam perbicaraan terbabit ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn.

Pembebasan Kong Choy, 58, dimaklumkan kepada pihak media oleh peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan selepas kes itu disebut di kamar Hakim Datuk Zamzani Abdul Rahim.

Terdahulu, para penyokong bekas menteri Kabinet itu dilihat bertepuk tangan selepas peguam terbabit memberitahu mereka mengenai penarikan balik pertuduhan itu.

Kesemua mereka termasuk Kong Choy bagaimanapun terus meninggalkan pekarangan mahkamah tanpa memberikan sebarang komen kepada pihak media.

Selain untuk mengetahui keputusan representasi yang dihantar tahun lalu, mahkamah pada hari ini sepatutnya mendengar permohonan pihak pembelaan agar hakim dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu menarik diri daripada terus mengendalikan kes terbabit.

Hock Chuan bagaimanapun memberitahu, pihaknya telah menarik semula permohonan yang difailkan pada 29 Mac 2012 hari ini selepas tuduhan terbabit digugurkan.

Kong Choy didakwa pada 28 Februari 2011 di Mahkamah Sesyen Putrajaya dan mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan menipu Abdullah dengan menyembunyikan fakta mengenai pembiayaan kos pembangunan sehingga Abdullah bersetuju supaya kelulusan diberikan kepada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) selaku pemaju siap guna (turn-key developer).

Fakta-fakta yang disembunyikan ialah pembiayaan tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Bhd., Valid Ventures Bhd. dan Free Zone Capital Bhd. dengan sokongan beliau yang merupakan Menteri Pengangkutan ketika itu.

Abdullah selaku Perdana Menteri (ketika itu) tidak akan memberikan persetujuan jika fakta-fakta tersebut dimaklumkan kepadanya.

Ketiga-tiga tuduhan didakwa dilakukan di antara 24 Februari 2004 dan 29 Mac 2006 di Tingkat 4, Blok Utama, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, dekat sini.

Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tian Chua kesal fitnah UMNO

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Ab. Rauf Yusoh (kiri) bersalaman dengan Tian Chua di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua hari ini menarik balik kenyataan fitnahnya yang mengaitkan UMNO dengan kejadian pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lalu.

Beliau turut melahirkan rasa kesal atas dakwaan yang dilemparkan terhadap parti politik itu seperti yang disiar dalam artikel bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO' dalam portal berita PKR, KeadilanDaily.com bertarikh 1 Mac tahun lalu.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, menarik balik kenyataan fitnah itu sebagai penyelesaian kes saman yang dikemukakan oleh UMNO terhadapnya dan Editor KeadilanDaily.com, Fazallah Pit serta penulis artikel, Aisha Geoffrey.

Saman fitnah itu yang sepatutnya dibicarakan hari ini dan Rabu, difailkan pada 15 Mac 2013 menerusi Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh.

Penyelesaian kes saman itu dibuat menerusi penghakiman persetujuan yang direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini.

Terma lain yang terkandung dalam penghakiman tersebut ialah Fazallah dan Aisha bersetuju menarik balik artikel tersebut serta-merta daripada portal berkenaan.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun hadir mewakili UMNO dan peguam William Leong mewakili Tian Chua, Fazallah dan Aisha yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Tiada sebarang arahan dibuat oleh mahkamah berhubung kos.

Sementara itu di luar mahkamah, Tian Chua sekali lagi mengulangi rasa kesalnya berhubung dakwaan itu.

"Artikel ini memberi implikasi terhadap UMNO namun bukan niat saya hendak mengaitkan UMNO dan bersetuju demi mengelakkan kekeliruan, KeadilanDaily.com akan menarik balik artikel ini,'' kata beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, UMNO selaku plaintif mendakwa Tian Chua membuat kenyataan tersebut selepas ditemu ramah oleh wartawan portal itu.

Plaintif menyatakan, perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud, UMNO merancang insiden pencerobohan di Lahad Datu, UMNO pembelot negara yang kononnya membawa masuk pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu dan UMNO sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden tersebut.

Akibat penyiaran kata-kata fitnah itu, plaintif mendakwa, reputasi UMNO terjejas kerana kes pencerobohan di Lahad Datu melibatkan kedaulatan negara yang juga merupakan isu sensitif dan mengakibatkan pertumpahan darah serta tuntutan yang tidak wajar oleh pihak luar terhadap negeri Sabah yang diisytiharkan milik Malaysia sejak sekian lama.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Komunikasi generasi keempat

Posted: 12 Jan 2014 09:59 PM PST

Teknologi terbaharu 4G memberi peluang kita berhubung dengan lebih pantas.

Teknologi komunikasi pada hari ini menjadi satu anjakan paradigma kepada banyak industri dan merentas segenap bidang, apatah lagi ia menjadi satu keperluan dan tidak dapat dipisahkan dengan pengaliran data dari satu ke satu lokasi lain.

Sebab itu munculnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mana data dan infrastruktur tersebut, kedua-duanya merupakan satu analogi mudah antara lebuh raya dan kenderaan yang melaluinya.

Medium komunikasi memang pelbagai antaranya gelombang radio, Internet wayarles atau tanpa wayar yang akhirnya membentuk satu jaringan saling berkepentingan dan berkait rapat antara satu sama lain.

Oleh itu perkembangan teknologi komunikasi boleh dianggap sangat signifikan dengan perkembangan industri lain tetapi pengguna hari ini memerlukan lebih daripada sekadar penyediaan infrastruktur komunikasi canggih dan luar jangka.

Maka dengan sebab itu, ICT juga berevolusi sejajar dengan perkembangan semasa mengikut keperluan dan sebab itu permintaan pengguna lebih daripada sekadar penghantaran data dan maklumat dengan platform utamanya ialah gajet pintar.

Jika dilihat pada masa dahulu, komunikasi adalah terhad di rumah dimana talian tetap digunakan. akan tetapi pada masa kini, komunikasi boleh dilakukan di mana sahaja dengan menggunakan teknologi selular seperti selular GSM (Sistem Global Untuk Telekomunikasi Mudah Alih) , HSDPA dan yang terbaru adalah LTE.

Teknologi- teknologi tersebut berkembang sejajar dengan penggunaan gajet canggih khususnya atau telefon pintar dengan pelbagai aplikasi.

Teknologi ini juga membolehkan pengguna untuk mengakses Internet pada kadar kelajuan sehingga 100 megabitsesaat (Mbps) bergantung kepada teknologi yang digunakan.

Apakah yang dimaksudkan dengan LTE yang diperkatakan kini apabila kita membincangkan mengenai aplikasi telefon pintar dan komunikasi.

Perkembangan telefon pintar yang menggunakan teknologi selular khususnya 3G dan 4G menjadi seakan satu keperluan ketika ini.

Teknologi tersebut juga merupakan sebahagian daripada segmen komunikasi yang penting dan berevolusi daripada satu generasi (1G) kepada 4G ketika ini.

Sebahagian besar pengguna mungkin agak ketinggalan apakah latar belakang dan elemen yang terkandung dalam komunikasi selular tersebut bermula 1G hingga 4G.

Seorang pakar komunikasi tempatan, Prof. Dr Tharek Abdul Rahman berkata, komunikasi 1G merujuk kepada teknologi selular generasi pertama yang diperkenalkan pada 1980an

Teknologi 1G menggunakan sistem analog yang mana pengguna boleh menerima dan membuat panggilan telefon di mana sahaja selagi mempunyai liputan dari pemancar radio selular.

Sebelum telefon selular diperkenalkan, panggilan telefon hanya boleh dibuat di rumah atau di pejabat.

"Contoh sistem tersebut yang digunakan di negara ini adalah ATUR 450, ART 900 dan Mobifon 800 dan penggunaan sistem ini terhad kepada suara sahaja,'' ujarnya.

Seterusnya ialah teknologi 2G iaitu teknologi selular generasi kedua yang diperkenalkan dalam dekad 1990an.

Teknologi 2G menggunakan sistem digital yang mana prestasinya lebih baik berbanding 1G.

Contoh sistem tersebut yang digunakan di Malaysia adalah GSM. Tetapi penggunaannya adalah untuk suara sahaja.

Beliau bagaimanapun berkata, GSM telah ditambah baik kepada sistem yang dinamakan General Packet Radio Services (GPRS) bagi membolehkan penghantaran data di buat melalui sistem selular.

"Dengan penggunaan GPRS, penghantaran dan penerimaan data boleh dibuat melalui sistem selular dengan kelajuan sehingga 100 kilobit sesaat (kbps) dan dinamakan sebagai 2.5G.

Daripada GPRS, sistem tersebut telah ditambahbaik lagi ke EDGE atau Enhanced Data for GSM Evolution dan dinamakan sebagai 2.75G dan boleh menghantar dan menerima data sehingga 384 kbps.

Sistem 2G menggunakan teknologi TDMA (Time Division Multiple Access)

Mengenai 3G, beliau berkata, ia merupakan teknologi selular generasi ketiga yang diperkenalkan dalam pada 2000.

Menurut Tharek, kelebihan 3G ialah ia boleh digunakan untuk suara dan data sehingga kelajuan 2Mbps.

"Teknologi 3G juga membolehkan kita membuat panggilan video selain suara dan data dan merupakan piawaian yang global berbanding dengan 1G atau 2G.

"Sebagai contoh jika kita ke Jepun atau Korea, panggilan telefon tidak boleh dibuat dengan menggunakan teknologi 2G, sebaliknya teknologi 3G membolehkan kita membuat panggilan telefon ke seluruh dunia,'' ujarnya.

Perkembangan seterusnya ialah Sistem 3G juga yang dipanggil WCDMA atau Wideband Code Division Multiple Access.

Sistem tersebut telah ditambah baik kepada High Speed Downlink Packet Access (HSDPA) dan High Speed Uplink Packet Access (HSUPA).

HSDPA boleh mencapai kelajuan sehingga 14 Mbps dan HSUPA boleh mencapai kelajuan sehingga 5Mbps.

Seterusnya, penambahbaikan telah dibuat yang mana kelajuan telah mencapai sehingga 28Mbps yang dinamakan sebagai HSPA + (High Speed Packet Access). 3G mengunakan teknologi yang dinamakan CDMA (Code Division Multiple Acces).

Beliau seterusnya menjelaskan, 4G merupakan teknologi selular generasi keempat yang menggunakan teknologi Evolusi Jangka Panjang (LTE).

Kelajuan teknologi LTE boleh mencapai sehingga 100Mbps. Teknologi yang digunakan oleh LTE adalah OFDMA (Orthogonal Frequency Division Multiple Access).

Menurut Tharek, LTE merupakan evolusi dari HSPA+. Selain kelajuan yang tinggi, teknologi tersebut dapat menampung lebih ramai pengguna berbanding dengan 3G iaitu lebih kurang tiga kali ganda.

Selain itu, kos penggunaan data adalah lebih murah dengan kelajuan yang lebih tinggi.

Kesimpulannya, perbezaan antara 2G, 3G dengan 4G adalah kelajuan capaian data atau capaian Internet adalah jauh lebih tinggi.

Sebagai contoh kelajuan capaian internet bagi 3G adalah tiga kali ganda lebih laju dari 2G. Kelajuan capaian data bagi 4G adalah tiga kali ganda dari 3G. Hari ini Teknologi LTE teloah berkembang termasuk ke negara ini.

Sebagai contoh, sebuah syarikat telekomunkasi tempatan pada tahun lalu melancarkan LTE dengan kelajuan 10 kali ganda dan dipasang di beberapa bandar besar di negara ini.

Kira-kira 300 kawasan bakal dipasang dan mula berfungsi bermula suku ke tiga tahun lepas ini dan mensasarkan hampir 1,500 kawasan menjelang pada tahun 2015 dengan kos melibatkan hampir RM300 juta dalam masa tiga tahun proses pemasangan.

Syarikat pengeluar telefon pintar juga berlumba-lumba mengeluarkan produk yang menyokong LTE sejak beberapa tahun lepas.

LTE untuk capaian Internet lebih tinggi

Posted: 12 Jan 2014 09:59 PM PST

Pengenalan komunikasi Evolusi Jangka Panjang (LTE) yang menyokong penggunaan Internet kini banyak membantu kepada capaian yang lebih pantas.

Menurut Prof.Dr. Tharek Abdul Rahman, dengan menggunakan teknologi LTE, capaian Internet dengan kelajuan tinggi boleh dibuat di mana sahaja selagi liputan isyarat dari pemancar LTE terdapat pada kawasan tersebut.

Selain kelajuan yang tinggi di mana sahaja, ia juga dapat menampung lebih ramai pengguna jika berbanding penggunaan 3G.

"Satu kelebihan penggunaan LTE adalah jika tempat tersebut tidak mempunya liputan isyarat LTE secara automatik capaian Internet akan ditukar melalui 3G atau 2G tetapi dengan kelajuan lebih rendah. Ini bermaksud capaian Internet adalah dengan cara automatik bertukar dari 4G (LTE) kepada 3G atau 2G," ujarnya.

Penggunaan LTE merupakan alternatif kepada capaian internet melalui unifi yang juga digunakan ketika ini. Meskipun kelajuan capaian internet melalui unifi adalah tinggi tetapi hanya dapat digunakan di rumah atau pejabat sahaja.

Dengan mengunakan teknologi LTE muat turun data adalah lebih cepat seperti ditujukan di bawah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tasawwur Islam atas wasatiyyah

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

PROF. DATO DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 2011. - Gambar hiasan.

ISLAM dari sudut ilmu, pemikiran dan amalan berkait rapat dengan tasawwur atau cara Islam dilihat oleh pemeluknya supaya tidak saja ia terlihat dalam ibadah khusus tetapi terjelma dalam amal Islaminya.

Sumber yang dihubungkan dengan tasawwur ini adalah al-Quran dan al-hadis. Al-Quran datangnya daripada Allah. Ia membawa petunjuk kepada seluruh umat manusia khususnya orang yang bertaqwa ( hudan linnas, hudan lilmuttaqeen).

Ia tidak saja bersifat wahyu tetapi wahyu itu diterjemahkan dalam bentuk sunah. Perlakuan, percakapan, dakwah dan perakuan Rasulullah SAW adalah sumber sunah untuk menjadi rujukan dan ikutan orang yang terkemudian.

Haji terakhir Rasulullah SAW (hujjatul Wida') baginda berpesan supaya berpegang kepada al-Quran dan as-sunnah sebagai jalan mengelakkan kesesatan. Saidatina Aishah bila ditanya oleh para sahabat mengenai akhlak Rasulullah, menyebutkan bahawa "Akhlak Rasulullah adalah akhlak al-Quran - Khuluq al-Quran ".

Al-Quran tidak saja bersifat harfiah atau tekstual untuk dibaca dan dihafaz. Tetapi ia bersifat kontekstual terhubung dengan Pencipta, Alam dan perjalanannya dan seluruh hikmah kejadian hasil ciptaan-Nya. Ia mendorong kepada perkembangan ilmu dan menghubungkan ilmu naqliah (wahyu) dan ilmu aqliah sebagai pedoman terbaik.

Akhlak al-Quran dalam sifatnya yang hidup adalah akhlak Nabi. Sering diungkap kalimah cinta nabi dan kasihkan nabi. Ungkapan ini akan lebih bermakna sekiranya amalan nabi yang bertunjangkan akhlak karimah menjadi sumber ikutan. Sunah nabi yang ditinggalkan apabila menjadi sumber ikutan umat terkemudian meneguhkan lagi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Akhlak Rasulullah dalam berkata-kata, melakukan dakwah dan tarbiyah penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan. Asas yang dibina oleh Rasulullah SAW ini menyebabkan Islam berkembang dan akhirnya terbina tamadun. Nabi tidak berakhlak pendendam dan penuh dengan rasa kebencian terhadap orang lain. Jiwa besar Rasulullah SAW dalam melakukan seruan dan ajakan adalah contoh terbaik umat manusia yang menyebabkan ramai kembali kepada fitrah.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah ini mempunyai pendekatan. Al-Quran dalam Surah al-Baqarah : 143 menyatakan mengenai pendekatan sederhana, berimbang , adil dan cemerlang. Konsep ummatan wasata dalam ayat itu membayangkan kefahaman terhadap fitrah kejadian, maslahah menyantuni, pendekatan keutamaan (priority), supaya dakwah dan Islamisasi berlaku dengan bijaksana.

Al-Quran memberi pedoman pentingnya berjiwa sabar dalam mengembangkan kebenaran (watawasau bil haq watawa saubis sabr), ditegah bersikap gopoh (isti'jal) dan bijaksana dalam melakukan pengajakan dan penyeruan (bil hikmah walmau izatil hasanah) dan bila berhujah gunakan hujah-hujah dan dalil yang terbaik (wajadilhum billati hia ahsan). Inilah pendekatan wasatiyyah yang dianjurkan oleh al-Quran dan menjadi amalan Rasululullah SAW.

Lihat bagaimana Rasulullah dibenci oleh seorang perempuan Yahudi setiap kali lalu di hadapan rumahnya. Rasullullah tidak berpaling walaupun dimaki-hamun perempuan itu. Ditakdirkan suatu hari ia jatuh sakit dan Rasulullah menziarahinya. Terkejut perempuan Yahudi itu melihat jiwa besar baginda dan akhirnya kembali ke fitrah.

Contoh lain ialah bagaimana baginda menyantuni bapa saudaranya Abu Talib yang masih belum mengikuti jejak akidahnya. Nabi lakukan asbab dengan nasihat dan hujah tetapi akhirnya Abu Talib tidak kembali. Ia memberi pengajaran kepada kita melakukan dakwah sebaik mungkin adalah tugas kita, memberi hidayah adalah kerja Allah.

Pendekatan wasatiyyah atau sederhana tidak bermakna kita ketepikan faktor syarak dan prinsip. Wasatiyyah membolehkan kita mencari kebijaksanaan kerana kebijaksanaan inilah menjadi barang yang hilang bagi umat. Sifat Rasulullah yang bijaksana (fatanah) menyebabkan agenda berlaku dan maslahah terjadi.

Sebagai tunggak perubahan dan kemajuan, pendekatan adalah sesuatu yang amat penting. Sifat kejadian manusia berpasang-pasang dan berbangsa-bangsa (Al-Hujurat : 13) memerlukan proses litaarrafu atau kekenalan terjadi. Proses ini mencetuskan rasa kesalingan yang tinggi dan pemahaman yang sifatnya saling memahami dan melengkapi.

Kepelbagaian yang wujud dalam penciptaan Allah terhadap manusia, alam dan sumber rahmah dan ni'mah memerlukan ilmu dan kemahiran untuk menyantuninya. Al-Quran terkandung petanda mengenai kebesaran Allah ini yang memberikan asas saintifik dan jiwa tadabbur (memerhati, mengkaji dan menyelidik) supaya umat Islam menjadi umat ulul albab (umat yang memahami).

Pengajaran saintifik mengenai air umpamanya tidak saja mengambil pendekatan mekanistik bahawa air itu adalah cantuman antara oksigen dan hidrogen untuk meraikan soalan "apa itu air" tetapi al-Quran memberikan jawapan "mengapa air" dengan memberi pedoman, "air itu adalah sumber kehidupan".

Lihat, betapa al-Quran memberi jawapan yang jauh lebih relevan mengenai sumber kehidupan alam seisinya dengan air itu adalah hasil ciptaan-Nya.

Jalur wasatiyyah dalam ilmu dan pendidikan menggerakkan jiwa tadabbur bagi manusia mengkaji dan menyelidik. Al-Quran dalam surah al-Alaq menganjurkan budaya ilmu yang tinggi tidak saja mengkaji apa yang terlihat tetapi menghubungkan yang terlihat dengan faktor ghaibiyyah.

Jalur wasatiyyah juga merintis jalan ke arah pembangunan tijarah, muamalah dan iqtisadiah yang dibina secara bertahap-tahap. Hari ini Malaysia dalam rasa syukur dilihat oleh umat Islam yang lain sebagai negara contoh dalam kegiatan patuh syariah dan sedang berkembang dengan pesatnya.

Umat Islam tidak harus mengambil sikap sebagai pemerhati dan melakukan pencelaan terhadap usaha-usaha Islamisasi. Faedah daripada program patuh syariah ingin dikongsi tetapi menyumbang kepada proses mewujudkannya tidak terjadi. Kalau tidak dapat terlibat dalam proses mewujudkan pun tidak mengapa tetapi sekiranya yang diwujudkan itu baik, berguna dan bermanfaat bagi umat, katakan ia baik, berguna dan bermanfaat. Kalau tidak kita melakukan kezaliman.

Pendekatan wasatiyyah yang dijadikan tunggak bermaksud supaya agenda Islamisasi berlaku dalam perancangan yang rapi dan teliti serta upaya melaksana yang bijaksana supaya akhirnya wujud keberanian membina sumber daya insan yang holistik dan dukungan kuasa atau politik yang membolehkan ia berlaku. Ia menjadi tunggak perubahan dan peradaban.

Malaysia tidak memerlukan manusia gopoh, emosional, reaktif terhadap isu, suka melabel orang lain dan tidak bersifat menyumbang kepada kemajuan dan perubahan. Ia memerlukan jalur wasatiyyah berkembang supaya kemajuan terhasil dan perubahan terjadi dalam acuan kita sendiri.

Kerana politik perkara akidah diremeh

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Dari Jendela Tok Ki

PENDIRIAN yang diambil oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Hal Ehwal Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi mengenai isu Jabatan Agama Islam (JAIS) dan pihak gereja lebih merupakan tindakan politik bukan untuk memelihara kepentingan Islam di Selangor.

Secara perundangan dan bidang kuasa, tindakan JAIS selari dengan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Agama Bukan Islam 1988. Penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu yang dirampas juga bercanggah dengan undang-undang dan titah Sultan Selangor dan amat sensitif kepada orang Islam.

Pengarang The Herald, Lawrence Andrew masih enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataannya mengarahkan semua gereja di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka walaupun dikecam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan umat Islam di seluruh negara.

Tiga Ahli Dewan Undangan DAP Negeri Selangor bercadang untuk membawa usul pindaan supaya undang-undang yang berkaitan dengan isu ini selari dengan perjuangan Pakatan Rakyat.

Sikap Menteri Besar dan Exco Agama mudah difahami kerana pendirian politik Pas mengenai isu kalimah Allah masih bercelaru dan sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) berasaskan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penggunaan kalimah Allah memihak kepada kelompok Kristian.

Ia mendorong Presiden Persatuan Bible Malaysia (BSM) membuat kenyataan dan pengakuan bahawa akan meneruskan pengedaran Bible yang terkandung kalimah Allah di Selangor dan juga di Malaysia. Secara jelas mereka memang ada strategi khusus di Selangor dalam isu kristianisasi dan mencabar kuasa Sultan.

Hairannya perkara sensitif ini tidak diberi perhatian bahkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa Sultan Selangor tidak dipedulikan. Semacam suatu kedegilan melampau sedang berlaku. Seolah-olah ada pihak ketiga yang ingin menguji kesabaran umat Islam dan autoriti kuasa dan undang-undang negara.

Nampaknya permainan politik pembangkang semacam memberi semangat kepada tokoh-tokoh Kristian ini untuk terus berjuang menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu walaupun pandangan ulama dan ilmuan termasuk sebahagian ulama Pas sendiri bahawa penggunaan kalimah Allah menggantikan maksud Triniti dalam Kristian adalah menyalahi.

Ia mengingatkan penulis mengenai isu dendam Salibiyyah dalam sejarah penjajahan dan strategi evangelis di rantau ini untuk melakukan Kristianisasi kini. Zaman penjajahan banyak institusi pendidikan berorientasi Kristian dibina dan umat Islam masih bertahan dengan kekuatan akidahnya walaupun belajar di sekolah berkenaan.

Pihak yang pro kepada penggunaan kalimah Allah bagi orang Kristian mungkin berpendapat, baguslah menggunakan kalimah Allah sebagai strategi dakwah. Kalau orang Kristian sudah boleh menerima kalimah Allah maka jangka panjangnya mereka boleh menerima Islam. Apa yang sedang berlaku di Indonesia adalah sebaliknya.

Pihak evangelis tidak sebodoh itu kerana mereka mempunyai strategi tersirat kerana bagi mereka konsep Triniti mereka terus pertahankan dan penggunaan kalimah Allah untuk meneutralkan dan mengelirukan orang Islam yang lemah iman dan tidak berilmu.

Malangnya, kelompok politik yang berkepentingan dalam pembangkang tidak nampak akan perkara ini. Yang mereka nampak adalah kuasa dan keghairahan untuk memerintah walaupun terpaksa berkompromi perkara yang paling pokok dalam Islam iaitu kalimah Allah yang berkaitan dengan akidah tauhid.

Dari sudut istilah dan makna ia berbeza. Bila dilafazkan La ilaha ilallah dalam akidah Islam bermakna tiada Tuhan melainkan Allah tidak tiada Tuhan melainkan Tuhan.

Makna dan hakikat Allah dalam al-Quran memberi konotasi atau makna Allah yang Satu dan Esa bukannya Tuhan, anak Tuhan dan Ruhul Quddus seperti yang diyakini oleh penganut Kristian. Perbezaan ini adalah sesuatu yang asas atau fundamental.

Kelompok evangelis Kristian tahu akan hakikat ini. Tetapi mengapa mereka masih berdegil dan mengikut rentak tokoh politik pembangkang untuk menjadikan isu kalimah Allah sebagai isu politik yang kontroversial.

Apakah setelah gagal untuk menguasai Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan gagal melakukan demonstrasi untuk menumbangkan kerajaan maka strategi agama digunakan. Ia adalah suatu strategi yang sangat bahaya. Sebatang pokok tidak boleh tumbang semata-mata dengan beliung tetapi beliung yang disendal dengan kayu mampu menumbangkan sebatang pokok.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Benih padi bermutu

Posted: 12 Jan 2014 09:59 PM PST

Abdul Aziz(kiri) menunjukkan benih padi yang baru bercambah kepada peserta agrochallenge

Hal demikian kerana, negara tidak mampu bergantung kepada stok pengeluaran padi dalam negara yang amat terhad berikutan pelbagai faktor.

Antaranya kekurangan tanah sawah akibat pembukaan terhadap projek-projek pertanian lain, kekurangan tenaga mahir kerana golongan muda masa kini lebih berminat untuk bekerja di bandar dan masalah yang sering dihadapi petani menyebabkan mereka beralih kepada pekerjaan lain.

Mengusahakan sawah padi tidak semudah seperti yang disangka kerana banyak cabaran yang perlu ditangani seperti serangan haiwan perosak, kos baja dan racun yang tinggi, harga padi yang tidak berpatutan serta benih padi yang tidak bermutu.

Baka padi yang bermutu merupakan antara faktor penting yang perlu diambil kira demi memastikan pulangan yang lumayan di terima oleh pesawah.

Menyelami permasalahan tersebut, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Plantations Services Sdn. Bhd. (FPSSB) telah menubuhkan pusat pembenihan padi yang tersendiri.

Menurut Pengurus Pusat Benih Padi, Felcra Bhd., Abdul Aziz Abdul Hamid, pusat tersebut ditubuhkan pada 1997 dan diswastakan bagi melancarkan perjalanannya.

FPSSB yang diwujudkan di Seberang, Perak tersebut pada asalkan untuk membekalkan benih padi kepada sawah yang dikelolakan oleh Felcra seluas 4,000 hektar, namun atas permintaan petani benih-benih tersebut mulai di jual kepada orang ramai.

"Pusat ini pada awalnya mampu memproses hampir satu tan padi dalam masa sejam dan pada tahun 1999 kilang pemprosesan benih padi ini diperbesarkan kepada tiga tan sejam.

"Pada tahun 2000, kilang ini sekali lagi dinaik taraf sehingga mampu menghasilkan benih sebanyak enam metrik tan sejam," katanya ketika ditemui di FPSSB, Seberang, Perak baru-baru ini sempena Program Kembara Pertanian, Agrochallenge ke Perak anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).

Jelasnya, FPSSB telah membelanjakan hampir RM1.8 juta pada tahun 1990 untuk menubuhkan pusat tersebut dan mula beroperasi pada 1991.

Pembesaran kawasan dan proses menaik taraf pada tahun 1999 pula mencatatkan kos sebanyak RM3.2 juta dengan tambahan sistem chimmay sebanyak RM675,810.

Bagi menghasilkan benih yang berkualiti tinggi, pusat tersebut menggunakan kamera khas untuk pengelasan biji benih mengikut saiz dan warna.

Antara varieti benih padi yang dikeluarkan pusat tersebut adalah MR219, MR220 dan MR232.

Varieti padi tersebut dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan dikembangkan oleh FPSSB menerusi kerjasama erat kedua-dua pihak tersebut.

Untuk menghasilkan benih, pusat tersebut akan menerima benih daripada MARDI dan setelah memasuki generasi kedua benih tersebut akan didaftarkan sebelum digunakan sebagai seed grow.

Benih akan dijual kepada petani apabila memasuki generasi yang ke tiga setelah sijil dikeluarkan.

Bagaimanapun, kapasiti kilang pemprosesan benih padi sebanyak lapan masa kini masih tidak dapat menampung keperluan petani, justeru FPSSB akan mempertingkatkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 16 tan di masa-masa akan datang.

Kaedah penanaman betul tingkat pengeluaran padi

Posted: 12 Jan 2014 09:59 PM PST

Benih padi yang telah dicampur bersama media tanaman disusun sebelum dipindahkan ke tapak semaian

Kebanyakan petani tempatan menghadapi cabaran meningkatkan hasil pengeluaran padi menerusi kaedah tabur terus.

Biarpun kaedah tersebut lebih menjimatkan, cepat dan kurang menggunakan tenaga kerja, namun mengalakan serangan makhluk perosak dan penyakit dengan lebih kerap.

Sebelum kaedah tabur terus masyarakat Melayu terlebih dahulu menggunakan kaedah menanam secara manual menggunakan kuku kambing, namun apabila melibatkan penanaman pada skala yang lebih besar dan luas kaedah tersebut ditukar.

Kini, kaedah menanam secara manual yang dikenali sebagai 'mencendung' kembali boleh dipraktikkan menerusi kaedah mekanikal.

Menurut Pengarah Urusan, Sitt Heng Sdn. Bhd. (SHSB), Jacky Yip Eng Seng, mencendung secara mekanikal menghasilkan kualiti penanaman yang lebih baik.

"Mencedung anak semai yang berumur 12 hingga 18 hari dengan jarak yang seragam dan dengan kepadatan yang optimum adalah dicadangkan bagi mendapatkan hasil pengeluaran padi maksimum.

"Kaedah tersebut telah terbukti dapat meningkatkan hasil jika dibandingkan dengan kaedah mencedung secara tradisional apatah lagi secara tabur terus," katanya ketika di temui di kilang penghasilan benih padi di Parit Buntar, Perak baru-baru ini.

Katanya, menerusi kaedah itu anak benih ditanam pada usia 12 hingga 18 hari dengan jarak yang seragam dan kepadatan penanaman optimum iaitu 18 hingga 20 perdu bagi keluasan satu meter persegi.

Antara rekod hasil tertinggi yang pernah diperolehi menerusi kaedah tersebut adalah di Sekinchan ,Selangor iaitu sebanyak 10 metrik tan sehektar (ha).

Selain mengedar jentera untuk penanaman padi, SHSB turut menghasilkan anak benih padi untuk dijual kepada petani dan agensi kerajaan seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Ditubuhkan pada 2005, SHSB khusus dalam menghasilkan anak benih berkualiti tinggi serta teknologi berkaitan pertanian yang lebih inovatif.

Jelas Eng Seng, syarikatnya mampu menghasilkan hampir 80,000 anak benih padi yang ditanam atas satu dulang pada kadar pengeluaran 2,500 anak semai padi setiap jam.

"Kami menghasilkan anak-anak padi yang tahan lasak dengan sistem akar yang tebal serta berdaya tahan untuk suatu perjalanan yang jauh," katanya.

Aspek kualiti amat penting dalam proses pengeluaran anak benih padi justeru, anak-anak benih tersebut dipantau dengan teliti untuk mengelakkan penyakit, serangan makhluk perosak serta rumpai.

Tambahnya, pengunaan anak benih padi yang berkualiti dapat mengurangkan masalah ruang kosong yang sering terjadi dalam petak-petak sawah.

Dalam pada itu, antara teknologi yang dibekalkan SHSB adalah jentera Mini Jentanam yang menggunakan minyak petrol.

Mini Jentanam merupakan jentera mencedung

yang lebih berkesan serta memiliki fungsi-fungsi khusus untuk mencedung anak benih.

Jika dilihat, jentera mencendung kebiasaannya digunakan di sekitar Timur Asia, Asia Tenggara serta di Selatan Asia dan tidak popular di tempat lain kerana mereka menggunakan kaedah penyemaian biji benih secara terus.

Penggunaan teknologi jentera tersebut dapat memastikan keseragaman penanaman anak benih padi.

Di samping itu, jentera tersebut memiliki sistem pelepasan kongesi, profil automatik serta peranti pengangkat hidraulik bagi menjamin konsistensi kedalaman dan jarak dalam proses penyemaian benih.

Hanya seberat 170 kilogram (kg) serta harga yang lebih berpatutan, Mini Jentanam merupakan jentera berkecekapan tinggi serta kos penyelenggaraan yang rendah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sambutan sederhana

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
kotagroup@utusan.com.my

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR

PUTRAJAYA 13 Jan. - Hari Wilayah Persekutuan 2014 akan diraikan secara sederhana tetapi meriah ekoran langkah Kementerian Wilayah Persekutuan memotong peruntukan sebanyak RM4 juta bagi tujuan sambutan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah penjimatan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung inisiatif penjimatan negara baru-baru ini.

Jelasnya, pihaknya memperuntukkan hanya RM1.78 juta iaitu RM980,000 bagi sambutan di Kuala Lumpur, RM430,000 (Putrajaya) dan RM370,000 (Labuan).

"Tema kali ini mudah, 'Wilayah Persekutuan Ceria' kerana apa yang berlaku warga Wilayah Persekutuan selalunya muram dan nampak tertekan ketika memandu, jadi tema ini dipilih supaya mereka ceria.

"Saya juga berbincang dengan Ketua Setiausaha kementerian dan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan mengenai pembatalan pertandingan Golf Diraja, majlis perasmian dan majlis pelancaran kerana ia melibatkan kos perbelanjaan yang besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sambutan tetap meriah kerana pelbagai acara telah dirangka untuk dianjurkan di ketiga-tiga wilayah itu.

Ujarnya, antara program itu ialah Konvoi Berbasikal dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan.

Turut diadakan ialah istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan, Forum Perdana, majlis tahlil dan doa selamat.

"Program-program yang dilaksanakan kali ini pastinya berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun, kita akan pastikan sambutan akan disemarakkan dengan melambangkan Wilayah Persekutuan sebagai harmoni, prihatin, maju, sejahtera, penuh semangat muhibah dan integrasi," katanya

Tengku Adnan memberitahu, beliau optimis untuk menjadikan Wilayah Persekutuan bandar ceria dari aspek persekitaran yang bersih serta indah dengan pembinaan perumahan yang kondusif dan selamat.

Beliau juga mahu sistem pengangkutan dan jaringan lalu lintas di ketiga-tiga wilayah itu berteknologi tinggi dan seterusnya memperluaskan jalinan antara masyarakat.

Tanjung Harapan tercemar

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota @utusangroup.com.my

Keadaan pesisiran pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, Selangor yang kotor dan tercemar. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KLANG 13 Jan. - Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di sini antara lokasi pelancongan domestik yang menjadi tumpuan ramai terutama dalam kalangan penduduk Lembah Klang.

Ini kerana persisiran pantainya yang indah dipenuhi pasir dan batu-batu kecil menjadi tarikan pengunjung melakukan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa lapang.

Tidak hanya menikmati keindahan pemandangan laut serta kapal yang berlayar di tengah lautan, bermain layang-layang atau berkelah ia turut menjadi tumpuan kaki pancing.

Selain dilengkapi kemudahan seperti gerai menjual makanan laut dan minuman, turut disediakan surau, tandas awam serta selain kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan orang ramai.

Bagaimanapun, kiriman e-mel dan gambar oleh seorang pembaca Utusan Malaysia, Zuraihah Mohd. Wazir minggu lalu menunjukkan pesisiran pantai Tanjung Harapan yang jaraknya hanya 12 kilometer (km) dari pusat bandar Klang dan 20 km dari Shah Alam dicemari sampah sarap.

Utusan Malaysia percaya sikap pengunjung pantai yang membiarkan sampah sarap seperti sisa makanan, botol plastik dan tin minuman punca kawasan sekitar pantai itu tercemar.

Tinjauan ke lokasi terbabit hari ini mendapati dakwaan pembaca itu sememangnya berasas.

Kelihatan sampah sarap seperti botol-botol kaca termasuk tin minuman keras, kayu-kayu tajam yang bersepah, bekas plastik makanan dan minuman bersepah di merata-rata tempat.

Tinjauan turut mendapati, tong sampah yang disediakan di sepanjang kawasan pantai itu, tidak digunakan sepenuhnya oleh pengunjung.

Selain itu, parit dan saliran di sekitar kawasan itu juga dipenuhi sampah sarap sehingga menyebabkannya tersumbat.

Kehadiran burung gagak di pesisiran pantai itu sekali gus membayangkan keadaan kotor dan tercemarnya pantai itu.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang bertanggungjawab menjaga kawasan tersebut perlu mengambil tindakan segera agar masalah itu tidak menjadi semakin serius.

Sebagai destinasi popular sudah pasti masalah tersebut memberi kesan negatif kepada persekitaran selain menjejaskan imej negara di mata pelancong asing yang mengunjung pantai tersebut.

Pengunjung kesal, minta MPK segera bertindak

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

KLANG 13 Jan. - Rata-rata pengunjung pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang dekat sini melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah pihak yang menyebabkan kawasan pantai di situ dicemari sampah.

Sehubungan itu, mereka menggesa pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati di kawasan itu.

Seorang pengunjung, Haslindah Ruslan, 43, berkata, sikap tidak bertanggungjawab pengunjung luar adalah antara faktor utama kawasan peranginan itu kotor.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja menyakitkan mata memandang, tetapi juga menjejaskan keselamatan dan keselesaan pengunjung.

"Kawasan ini sememangnya terkenal dengan makanan laut dan satu-satunya kawasan tumpuan warga Klang atau Shah Alam untuk beriadah bersama-sama keluarga selain di Pantai Morib.

"Jika keadaan ini tidak diatasi, sudah tentu ia memberi imej buruk kepada pelancong luar," katanya.

Rakannya, Zuraihah Wazir, 48 pula berkata, dia dikejutkan dengan keadaan kotor dan tercemar di pantai itu ketika menyaksikan sambutan Tahun Baharu lalu.

Menurutnya, bukan sahaja sampah sarap seperti plastik, tin kosong dan kertas, lebih mengejutkan terdapat juga perabot lama dibuang di kawasan itu.

"Pihak bertanggungjawab perlu mencari jalan bagi menyelesaikan isu ini. Jika ia dibiarkan berterusan ke mana lagi pengunjung mahu menjalankan aktiviti-aktiviti di tepi pantai," katanya.

Turut menyuarakan rasa kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab itu, Mohd. Adi Rosli, 27.

Dia yang merupakan salah seorang pekerja di sebuah kedai makan di situ berkata, keadaan bertambah buruk dengan sikap sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab membakar timbunan sampah di kawasan itu.

"Memang ada pihak pihak kontraktor melakukan kerja-kerja pembersihan, namun jika sikap sedemikian berterusan sudah tentu pantai di sini kembali kotor," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bantu pelajar kenali pemimpin

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

MOHD. Nor A Ghani (tengah baris hadapan) bersama guru-guru dalam Majlis Perasmian Dewan Tun Mamat, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat di Tangkak, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 12 Jan. - Arahan menggantung gambar pemimpin negara dan negeri di semua 1,117 sekolah rendah dan menengah di negeri ini tidak seharusnya dipolitikkan kerana tujuan berbuat demikian bagi membantu pelajar mengenal pemimpin.

Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, kaedah itu dapat menyemai rasa hormat terhadap pemimpin, seiring dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

"Perkara ini sepatutnya tidak menjadi isu, malah kita menggalakkan gambar pemimpin dipasang di setiap bilik darjah supaya pelajar tahu dan mengenali pemimpin negara.

"Pada saya, apa yang menjadi isu apabila pihak sekolah tidak memasang gambar berkenaan dan sepatutnya gambar itu digantung kerana kita tidak mahu pelajar tidak mengenali pemimpin negara," katanya selepas merasmikan Dewan Tun Mamat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat di Tangkak di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Tun Mamat, Mahmud Sarlan dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohamad Mohd. Said.

Mohd. Nor berkata, semua sekolah di negeri ini diwajibkan menggantung gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Johor, Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan Menteri Besar yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan.

"Di Johor terdapat tujuh gambar yang perlu diletakkan di setiap bilik darjah dan pada saya usaha ini atas inisiatif pihak sekolah berkenaan untuk melaksanakannya.

"Kalau perlu dibeli mungkin pihak sekolah boleh menggunakan wang sekolah yang dibenarkan untuk pembelian bahan tersebut terutamanya sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. Ini merupakan arahan rasmi Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Nor menasihatkan semua pelajar yang berjaya dalam peperiksaan dan bakal melangkah ke menara gading supaya mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi untuk menghadapi cabaran sebagai sebuah negara maju.

Beliau berkata, persiapan itu penting kerana pengisian sebuah negara maju bukan sekadar sumber manusianya yang berasaskan ilmu pengetahuan, malah kemantapan pemikiran kerana keadaan dan keperluan semasa sentiasa berubah-ubah.

Pembinaan IPD baharu bukti keprihatinan kerajaan terhadap polis

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Bangunan Ibu Pejabat Polis Bandar Seri Alam yang baharu dirasmikan oleh Mohamed Khaled Nordin di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, semalam. - utusan/ RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 12 Jan. - Projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang baharu di negeri ini adalah merupakan satu terjemahan keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap keperluan kebajikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan IPD atau Balai Polis baharu itu juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap warga PDRM atas pengorbanan dan kesetiaan mereka dalam melaksanakan tugas menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

Justeru, beliau berharap warga PDRM dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang, teratur dan berkesan dengan pembinaan bangunan baharu yang turut dilengkapi pelbagai kemudahan, antaranya logistik dan perumahan.

"Selain IPD Seri Alam yang baharu ini, IPD Johor Bahru Utara merupakan antara projek awal yang telah siap dibina dan terdapat beberapa projek pembinaan lain dalam perancangan seperti IPD Nusajaya dan IPD Johor Bahru Selatan.

"Selepas ini projek pembinaan IPD Nusajaya di atas tanah berdekatan Kolej Marlborough dengan kos dianggarkan RM100 juta," katanya selepas merasmikan IPD Seri Alam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Obet Tawil dan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohamad Aziz

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff. dan timbalannya Ismail Yatim

Dalam pada itu, Mohd. Bakri berkata, pembinaan kompleks IPD Seri Alam yang dibina dengan kos RM149 juta di tanah seluas 7.6 hektar itu merangkumi bangunan pejabat, blok rumah kediaman, lapang sasar, dewan dan padang bola.

Menurutnya, IPD Seri Alam mula beroperasi sejak Mac 2011 dengan kekuatan pegawai dan anggota seramai 796 orang diketuai ketua polis daerah berpangkat supritendan dan terdapat sembilan buah balai polis di bawah pentadbirannya.

"Saya berharap dengan pembinaan kompleks bangunan ini bukan sahaja menjadi pejabat yang selesa untuk warga PDRM menjalankan tugas, malah sebagai inspirasi untuk meningkatkan lagi prestasi masing-masing," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved