Ahad, 20 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Azraai Khor angkat kaki

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh Sayed Hesham Idris
sukan@utusan.com.my

Mohd. Azraai Khor Abdullah

IPOH - Pada ketika isu sabotaj perlawanan masih belum reda, skuad Seladang menerima tamparan baharu semalam apabila jurulatih berkaliber, Mohd. Azraai Khor Abdullah membuat keputusan mengejut untuk meletak jawatan hanya semusim selepas mengendalikan pasukan itu.

Tanpa memberi alasan sebenar di sebalik keputusannya, Mohd. Azraai cuma menegaskan tindakan tersebut tiada kena mengena dengan isu penggantungan skuad Perak yang disiasat atas dakwaan rasuah dan sabotaj.

Namun jelasnya, beliau bukan meletak jawatan seperti mana yang diperkatakan di laman sosial, sebaliknya menamatkan perkhidmatan sebagai jurulatih atas persetujuan bersama dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Ya memang saya menamatkan kontrak sebagai jurulatih Perak. Ia dicapai setelah saya telah berbincang dengan Timbalan Presiden Pafa (Khairul Azwan Harun) semalam.

Dalam perbincangan itu saya berterus terang menyatakan hasrat untuk menamatkan kontrak.

Perbincangan berjalan dengan baik dan ia berakhir dengan kedua-dua pihak mencapai bersetujuan untuk kontrak saya ditamatkan.

Memandangkan hari ini (semalam) hari Ahad, persetujuan dibuat secara lisan sahaja dan selepas ini segala syarat-syarat pelepasan kontrak yang telah dipersetujui akan ditandatangani.

PAFA memahami hasrat saya dan mereka memudahkan segala urusan yang berkaitan dengan kontrak saya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd. Azraai, 61, menyertai skuad Perak pada hujung musim lalu menggantikan jurulatih sementara dari Korea Selatan, Jang Jung.

Di bawah bimbingannya, Perak menamatkan saingan Liga Super musim ini pada tangga ketujuh.

Namun, skuad Seladang digegarkan dengan isu dakwaan rasuah baru-baru ini sehingga menyebabkan pegawai pasukan itu, termasuk Mohd. Azraai digantung selama dua minggu untuk siasatan setelah Perak dibelasah 6-1 oleh Sarawak dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Sementara itu, mengenai andaian bahawa keputusannya meninggalkan Perak disebabkan kecewa dengan isu dakwaan rasuah yang melanda pasukan itu, Azraai berkata, perkara itu tiada kaitan.

Tidak... Masalah itu (dakwaan rasuah) tiada kaitan dengan keputusan saya ini.

Lagipun saya tidak takut untuk disiasat. Siasatan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) cuma untuk membersihkan nama saya, pegawai pasukan dan pemain," katanya.

Mengenai laporan beliau akan menyertai Kedah, Azraai yang pernah membimbing Kedah, Harimau Muda A dan Negeri Sembilan berkata, beliau belum memikirkan untuk memilih pasukan mana musim depan.

Pada Mei lalu, Mohd. Azraai dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Hijau Kuning apabila hadir untuk menonton perlawanan Liga Perdana di antara Kedah dan PDRM di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Namun, Mohd. Azraai menafikan spekulasi itu dengan memberikan alasan beliau sekadar hadir untuk menyaksikan perlawanan antara kedua-dua pasukan tersebut.

Buat masa ini saya mahu berehat di kampung, saya belum lagi fikirkan ke mana haluan saya selepas ini," jelasnya.

Azraai turut mengucapkan terima kasih kepada PAFA dan penyokong skuad Seladang yang sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan yang padu kepadanya dan skuad Perak sepanjang musim ini.

Antara kepuasan saya sepanjang bersama Perak ialah memberi peluang kepada pemain-pemain skuad Piala Presiden beraksi dalam skuad utama.

Saya percaya pemain-pemain muda ini akan menjadi pemain utama untuk skuad Perak musim depan," katanya.

Kita bakal hilang emas lagi?

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Sasaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mencari tujuh emas pada Sukan SEA 2013 semakin diragui selepas pemenang pingat emas tiga kali, Lee Hup Wei gagal meraih tempat ke temasya di Myanmar itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan di Universiti Malaya, semalam.

Hup Wei tidak pernah gagal menyumbang emas buat Malaysia sejak 2007 dan akan menjadi prospek emas Malaysia sekali lagi jika bertanding di Myanmark.

Namun semalam, jaguh lompat tinggi kelahiran Dengkil itu gagal menempatkan diri dalam kalangan dua pelompat terbaik seperti yang disyaratkan KOM apabila sekadar menduduki tangga keempat menerusi lompatan 2.10 meter.

Hup Wei antara enam atlet lompat tinggi yang telah layak secara merit ke Sukan SEA 20, tetapi terpaksa bersaing sesama sendiri untuk memilih dua yang terbaik.

Dua atlet yang berjaya meraih tempat ke Sukan SEA hujung tahun ini ialah Nauraj Singh yang memenangi saingan semalam dengan catatan 2.20m dan S. Navin Raj (2.15m).

Kata Hup Wei, dia akur dengan keputusan yang dibuat KOM untuk memilih dua terbaik menerusi kejohanan tersebut, meskipun memegang catatan terbaik musim ini berbanding lima atlet lain, iaitu 2.21m yang dilakukan pada Jun lalu.

"Hari ini saya bermula baik tetapi ketika melakukan lompatan pada ketinggian 2.10m saya mula rasa sakit di bahagian belakang badan.

"Sebelum ini saya telah membuat persediaan untuk layak secara merit dan berjaya mencapainya di Jerman, Jun lepas tetapi selepas terlalu ramai yang layak saya terpaksa membuat persediaan buat kali kedua untuk kejohanan hari ini (semalam)," kata Hup Wei.

Kini Hup Wei merupakan antara tiga prospek emas olahraga yang terlepas daripada genggaman KOM.

Dua lagi prospek emas sebelum ini ialah dalam lompat bergalah wanita dan baling tukul besi wanita.

Ketiadaan Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Tan Song Hwa yang mengumumkan persaraan bermakna, peluang Malaysia untuk meraih lebih banyak emas olahraga pada temasya itu kini semakin menipis.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


SMK Ledang, Johor.

Tutor mantapkan program i-TR1M

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Sebahagian daripada pelajar tingkatan lima dari sekolah dalam kawasan Parlimen Kuala Selangor melihat akhbar pendidikan Tutor yang diedarkan sempena program i-TR1M peringkat negeri Selangor di SMK Kuala Selangor, baru-baru ini.

PrograM Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M) memantapkan persediaan 3,756 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar Parlimen Kuala Selangor dengan memberikan akhbar pendidikan terbaharu Utusan Malaysia, Tutor secara percuma.

Pengarah Program i-TR1M Selangor, Mohd. Ali Berkat Ali (gambar) berkata, edaran 4,000 naskhah Tutor itu adalah untuk membantu murid membuat persiapan melengkapkan diri mereka dengan teknik menjawab soalan sebelum menduduki peperiksaan SPM nanti.

"Penggunaan Tutor tepat pada masa dan bersesuaian dengan keperluan i-TR1M dalam menyediakan bantuan kemudahan pembelajaran tambahan kepada murid yang kurang mendapat akses pendidikan lebih baik.

"Kandungan pembelajaran Tutor juga menarik, mudah difahami murid dan membantu memantapkan pembelajaran mereka sebelum menduduki SPM,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis perasmian program anjuran Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Selangor, baru-baru ini.

Program dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Jakiran Jacomah.

Akhbar Tutor bersaiz tabloid itu diterbitkan dua kali sebulan bermula pertengahan Ogos lalu dan eksklusif untuk jualan di sekolah pada harga 40 sen senaskhah.

Pendidikan berterusan melalui amalan membaca

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Transformasi pendidikan yang sebenar menurut Nawi Ismail, Pelita Bahasa, September 2013, pada masa ini adalah merealisasikan amalan membaca di kalangan pelajar. Beliau menekankan kepentingan membaca.

Sebagai contoh, guru Bahasa Melayu perlu mengadakan aktiviti membaca dan membuat rujukan sebelum aktiviti penulisan dalam karangan.

Pelbagai program diadakan di sekolah untuk memupuk budaya membaca. Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam), Program Majalah dalam Kelas (MDK) dan Akhbar Dalam Darjah (ADD) merupakan antara usaha untuk memupuk budaya membaca di kalangan murid.

Budaya membaca wajar mendarah daging dalam setiap individu selaras dengan matlamat membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Namun, amalan membaca di kalangan murid hanya dilihat ketika di sekolah dan semasa menghadapi peperiksaan. Mereka membaca buku teks dan nota yang disediakan oleh guru.

Mungkin inilah yang dimaksudkan dalam pernyataan di atas. Murid kurang membaca dan berhenti membaca setelah tamat peperiksaan.

Malah, menurut beliau, ada ibu bapa melarang anak mereka membaca novel kerana menurut mereka tidak ada kaitan dengan peperiksaan.

Seharusnya ibu bapa menggalakkan anak mereka membaca apa-apa buku yang diminati walaupun bukan buku teks.

Dengan membaca buku, kosa kata murid akan bertambah dan secara tidak langsung mengaktifkan minda.

Minda yang aktif mencetuskan murid cemerlang dan cinta akan ilmu pada sepanjang hayatnya.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) merupakan satu program transformasi dalam pendidikan yang menyeluruh. Pendidikan sebelum ini lebih condong berorientasikan peperiksaan.

Guru mengajar murid untuk menghafal skema peperiksaan. Kaedah ini telah berjaya melahirkan ramai murid cemerlang dan lulus dalam peperiksaan.

Walau bagaimanapun, kelulusan itu tidak dapat menilai bakat, minat, sahsiah dan aspek lain dalam perkembangan diri murid apatah lagi untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi fizikal, mental, rohani, emosi dan seterusnya mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Oleh itu, cabaran guru dalam transformasi pendidikan adalah untuk mengembalikan tugas mendidik dan membentuk murid secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Hal inilah yang ingin dicapai melalui PPPM. Guru bukan sahaja bermatlamat untuk meletakkan murid mencapai band tertinggi dalam akademik, malah pencapaian murid dalam bidang-bidang lain yang dilaporkan secara menyeluruh dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Guru perlu menjadi idola murid. Mereka bukan sahaja berketerampilan mengajar, malah boleh membimbing, menjadi fasilitator, menjadi rakan, boleh bertindak sebagai kaunselor dan sebagainya yang boleh membantu pembelajaran murid.

Guru perlu mengajar mengikut tahap pencapaian murid dan berusaha untuk meningkatkan kemahiran fizikal dan mental mereka, tanpa tergesa-gesa menghabiskan sukatan pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.

Situasi murid kurang bermotivasi untuk membaca dan belajar apabila tiada peperiksaan awam dapat diatasi dengan mengadakan lebih banyak pembelajaran berbentuk hands-on untuk memberi lebih banyak pengalaman dan kemahiran.

Bakat, minat dan sikap murid dapat dikesan untuk disalurkan ke bidang yang sesuai agar dapat menghayati amalan belajar sepanjang hayat.

Sesungguhnya, matlamat untuk melahirkan budaya belajar sepanjang hayat dan membaca menjadi amalan perlu diberi keutamaan pada era ini. Hal ini kerana ledakan ilmu sentiasa berubah dan berkembang.

Sekiranya murid tidak membaca dan terus belajar setelah menamatkan pelajaran atau pengajian merupakan satu kerugian dalam pembangunan modal insan negara.

MD ISHAK A. RAHMAN
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Picanto pencetus evolusi

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh FAIRUS KASSIM
ekonomi@utusan.com.my

Picanto baharu menawarkan pakej lengkap dari segi rekaan dan keselamatan.

KIA telah memulakan evolusi baharu dalam segmen A dengan merangka strategi unik dengan menerapkan penggunaan sistem keselamatan yang tinggi untuk keretanya dalam segmen berkenaan, sekali gus menjadi perintis pasaran tempatan.

Jenama popular lain ketika ini kurang menumpukan aspek keselamatan dalam kereta segmen A dan usaha KIA itu dilihat sangat berani serta dalam masa yang sama membantu melonjakkan standard keselamatan kereta tempatan melalui persaingan pada masa depan.

Perintis kepada kereta paling selamat dalam segmen A tempatan adalah, Picanto baharu yang sudah dilancarkan secara tidak rasmi bermula minggu ini dengan ciri keselamatan menyamai kereta segmen C dan D serta reka bentuk yang tidak mengecewakan.

Di atas kertas, tersenarai 10 aksesori baharu yang tidak terdapat dalam mana-mana kereta segmen A tempatan telah ditawarkan oleh Picanto. Antaranya lampu automatik, empat brek cakera, enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sistem bantuan bukit (HAC), butang audio pada stereng dan kunci pintar.

Dilengkapi dengan enjin Kappa 1.2L dengan dua varian pilihan iaitu automatik empat kelajuan dan manual lima kelajuan dengan kemampuan 18 hingga 22 kilometer (km) untuk setiap liter seperti tertera di atas kertas, pasti membuatkan ramai tertarik dengan kereta ini.

Rekaan dalaman yang cukup menarik denganstereng berbentuk senyuman.

Harga jangkaan adalah di bawah RM63,000 bagi varian automatik dan di bawah RM59,000 untuk varian manual.

Dengan moto jualan All in smALL, Picanto baharu dilihat mampu menjadi ancaman kepada Viva, Mirage, Alto dan i10 serta beberapa kereta dalam segmen B kompak yang ditawarkan pada harga yang hampir sama iaitu Swift dan Myvi.

Baru-baru ini pihak media telah dijemput untuk menguji kedua-dua varian kereta baharu ini bagi perjalanan dari Publika, Dutamas ke Putajaya kemudian ke Petaling Jaya sebelum pulang semula ke Publika bagi menguji keupayaan Picanto melalui beberapa keadaan jalan dan pemanduan bandar.

Agak mengejutkan kerana prestasi varian manual dirasakan lebih baik kerana bunyi kabin yang senyap, sistem penyerap hentak yang lembut dan pertukaran gear yang lancar.

Kabin varian automatik sedikit bising dan agak melambung ketika melalui jalan beralun disebabkan penggunaan rim sport yang lebih besar iaitu 15 inci, seinci lebih berbanding varian manual.

Dari segi kemampuan mengambil selekoh, Picanto sedikit menggelongsor pada kelajuan tinggi disebabkan saiz badannya.

Boleh dikatakan Picanto ini lebih mesra wanita kerana dilengkapi dengan cermin muka dengan LED, ruang kasut di bawah kerusi, tempat meletak cawan dan paling menarik tawaran warna baharu iaitu hijau serta biru.

Isuzu sasar pengguna perladangan, binaan

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Tan Yiew Sun (dua kiri) menyerahkan replika kunci kepada pembeli pertama trak Isuzu NPS 4x4 negeri ini, Mohd. Bazlan Ibrahim di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 20 Okt. - Isuzu Malaysia (Isuzu) meneroka pasaran baharu apabila melancarkan model trak pacuan empat roda paling berteknologi tinggi bagi sektor kenderaan tugasan sederhana di negara ini.

Model trak Isuzu NPS 4x4 yang disasarkan kepada pengguna komersial di sektor perladangan dan pembinaan tersebut ditawarkan pada harga RM149,000 sehingga lebih RM162,000, yang diyakini mampu menarik perhatian pelanggan.

Antara negeri tumpuan adalah Kelantan yang mana mempunyai ramai pelanggan Isuzu, terutama untuk kenderaan tugasan ringan.

Menurut Pengarah Urusan T.E.C. United Auto Sdn. Bhd. (T.E.C United), syarikat wakil jualan tunggal Isuzu di Kelantan, Tan Yiew Sun, sejak beberapa tahun Isuzu telah menduduki tangga teratas jualan kenderaan tugasan ringan di negeri ini berbanding pesaing lain.

Beliau berkata, pihaknya menjual purata 240 kenderaan tugasan ringan setiap tahun dan Kelantan merupakan antara negeri di Pantai Timur yang sering mencatat jualan tertinggi.

"Pada kali ini, Isuzu mula memasuki pasaran baharu yang menumpukan kepada trak untuk kegunaan sektor perladangan seperti sawit, getah dan sebagainya.

"Trak NPS 4x4 yang kami tawarkan bukan sekadar berfungsi seperti lori biasa tetapi berkuasa pacuan empat roda berkapasiti berat dengan muatan (BDM) sehingga 26 tan yang sudah pasti memudahkan kerja mengangkut keluar hasil ladang.

"Trak Isuzu mampu bersaing dengan jenama lain yang sedia ada kerana kami menghasilkan chasis atau kerangka khusus untuk pacuan empat roda, selain merupakan kenderaan berteknologi tinggi," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran di pejabat jualannya di sini hari ini.

Turut dilancarkan pada majlis tersebut adalah trak Isuzu FVZ 6x4 dan trak Isuzu FVR 285 serta pikap D-Max terbaru jenis kabin tunggal.

Yiew Sun berkata, tiga kriteria yang sering menjadi faktor Isuzu menjadi pilihan ramai adalah penggunaan minyak yang menjimatkan, tahan lasak serta alat ganti mudah diperoleh.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan membaiki kenderaan secara mobil yang beroperasi 24 jam kepada pelanggan Isuzu di negeri ini.

"Pelanggan yang berminat boleh melawat ke pusat pameran kami di Kampung Tapang, Jalan Hospital," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


2 sahabat sejak kecil maut

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

KULAIJAYA 20 Okt. - Dua sahabat berusia 19 tahun yang dalam perjalanan pulang selepas minum malam bersama, maut selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Kilometer 27, Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu, mangsa ialah Seah Jun Wen yang merupakan pelajar Kolej Universiti Selatan (KUS) dan Choo Chee Ying.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, berdasarkan keterangan seorang saksi yang memandu sebuah kereta Toyota Vios, kereta jenis Honda Civic itu dipandu laju oleh Jun Wen.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian yang berselekoh, kereta tersebut hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali dan terbabas ke kanan jalan seterusnya merempuh sebatang pokok di pembahagi jalan.

"Pemandu Toyota Vios itu terselamat kerana sempat mengelak. Siasatan mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Skudai selepas keluar minum di sebuah restoran di sini," katanya di sini hari ini.

Zulkefly berkata, kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan mayat mereka dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, ibu saudara kepada Chee Ying yang enggan dikenali berkata, anak saudaranya tersebut dan Jun Wen merupakan sahabat baik sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, Chee Ying sebelum ini menuntut di kolej sama namun telah berhenti daripada pengajian tahun lalu dan menolong bapanya mengusahakan perniagaan barangan kitar semula.

Hidup mewah penjual buah terbongkar

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

SAHADAN Jaafar menunjukkan wang tunai dan dadah yang dirampas daripada dua suspek menaiki kereta BMW dalam sidang akhbar di Muar, Johor, semalam.

MUAR 20 Okt. - Kehidupan mewah seorang penjual buah-buahan memandu kereta jenis BMW terbongkar selepas dia dan rakannya ditahan bersama sejumlah dadah bernilai RM14,740 dalam satu sekatan jalan di laluan pintasan jambatan kedua Muar, 12 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Muar, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, kedua-duanya yang berusia 41 dan 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar yang menjalankan Ops Tapis.

"Hasil pemeriksaan menemui 73.6 gram dadah jenis heroin bernilai RM2,200 dan 50.16 gram syabu bernilai RM12,540 yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM8,019 yang disyaki hasil jualan dadah milik pemandu berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penjual buah-buahan.

"Rakannya pula bekerja sebagai juruelektrik. Kedua-dua mereka yang berasal dari Ledang didapati positif dadah jenis syabu hasil ujian air kencing," katanya dalam sidang akhbar di IPD Muar di sini hari ini.

Sahadan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek semasa ditahan dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggannya.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama kerana memasukkan dadah dalam badan.

Kata Sahadan, kedua-dua suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut bagi mengetahui sumber dadah itu diperoleh juga menjejaki kemungkinan ada rakan mereka yang masih bebas.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dadah: Mahkamah perintah pekerja kilang bela diri, isteri dilepas

Posted: 20 Oct 2013 01:28 AM PDT

ALOR SETAR 20 Okt. - Seorang pekerja kilang diperintah membela diri manakala isterinya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan mengedar dadah dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim dalam keputusannya berkata, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Fauzi Ismail, 35.

"Benda-benda dalam kereta itu patut dalam pengetahuan Ahmad Fauzi (tertuduh) kerana kereta itu didaftarkan atas namanya yang dibeli kira-kira lima bulan sebelum ditangkap. Isterinya mungkin tidak mengetahui.

"Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan tujuh saksi pendakwaan termasuk pegawai penyiasat dan pakar kimia yang tidak dicabar pihak pembelaan," katanya.

Mahkamah menetapkan 1 Disember ini untuk mendengar pembelaan kes itu.

Ahmad Fauzi dan isterinya Faizah Hamzah, 39, pengusaha butik di Kulim dituduh mengedar dadah methamphetamine seberat 6,782.2 gram dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pasangan itu ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam sebaik tiba dari Thailand pada 9.30 pagi 5 Ogos 2011.

Polis yang menggeledah kereta dipandu Ahmad Fauzi itu menemui 16 paket dadah di dalam satu ruang tempat menyandar penumpang bahagian belakang.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Faizah melahirkan kesyukurannya dengan keputusan itu selain akan meneruskan perniagaannya mencari wang bagi membela suaminya.

Mereka mempunyai empat anak berumur lima hingga 20 tahun.

Pasangan itu diwakili peguam Datuk Naran Singh dan Anbanathan Yathiraju manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani menjalankan pendakwaan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


307 perwakilan ditegur

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh HERMAN HAMID
utusanpahang@utusan.com.my

Abdul Jabbar Ibrahim

KUANTAN 20 Okt. - Sebanyak 307 perwakilan daripada 7,469 yang layak mengundi di negeri ini bagi memilih kepimpinan tertinggi UMNO dan bahagian semalam tidak hadir menunaikan hak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata, perkara ini dilihat tidak sepatutnya berlaku kerana para perwakilan telah mengetahui mengenai hari pengundian lebih awal lagi.

''Ini satu peringatan, mereka yang dipilih sepatutnya hadir. Tak ada sebab sebenarnya. Mereka yang layak mengundi adalah yang dipilih pada mesyuarat. Hak ini tidak boleh diganti.

''Daripada 14 UMNO Bahagian di Pahang, tidak ada satu pun yang mencatat kehadiran 100 peratus. Paling sikit, tujuh orang di Rompin diikuti Cameron Highlands, sembilan manakala yang lain ada berbelas dan ada berpuluh orang tidak hadir.

''Maka, jumlah keseluruhan perwakilan yang hadir mengundi semalam di Pahang adalah 7,162 orang," katanya pada sidang akhbar di pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri sini hari ini.

Mengenai pemilihan semalam, Abdul Jabbar berkata, secara keseluruhannya, perjalanan proses tersebut berlangsung dengan lancar yang membolehkan keputusan rasmi di beberapa bahagian dapat diumumkan seawal pukul 6 petang lagi.

Menurut beliau, kejayaan ini hasil daripada beberapa penambahbaikan yang dilakukan berdasar pengalaman ketika pemilihan sayap minggu lalu.

Katanya, dengan penambahan tempat mengundi membolehkan proses pemilihan tersebut disudahkan lebih awal sekali gus pengiraan undi dapat dilakukan pada waktu yang dijadualkan.

''Di Pekan dan Bentong misalnya pukul 6 petang kita sudah dapat tahu keputusan rasmi manakala antara yang lewat diketahui adalah di Jerantut. Itu pun dalam pukul 11 malam kita sudah dapat.

''Ini hasil kerja keras semua pihak baik daripada urus setia Bahagian mahu pun tenaga sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," jelasnya.

Tambah Abdul Jabbar, perjalanan pemilihan di negeri ini semalam juga bebas daripada sebarang insiden tidak diingini seperti kekecohan.

Tiga ketua bahagian di Pahang kalah

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Ismail Sabri Yaakob dijulang oleh penyokongnya selepas diumumkan menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda, Bera, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 20 Okt. - Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar antara tiga ketua UMNO bahagian di negeri ini yang gagal mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti semalam.

Tengku Azlan yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Jerantut sejak 2000 meraih 288 undi berbanding pencabarnya iaitu Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris yang mendapat 352 undi.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata, turut gagal mempertahankan jawatan ialah Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman di Paya Besar dan Datuk Mohd. Hazmi Yusof di Indera Mahkota.

Dalam pemilihan semalam, katanya, Ahmad Tajuddin yang menerajui UMNO Paya Besar sejak bahagian itu ditubuhkan pada tahun 2000 hanya memperoleh 175 undi berbanding pencabarnya Datuk Abdul Manan Ismail (331).

''Mohd. Hazmi yang baru sepenggal menerajui Indera Mahkota pula mendapat 102 undi, kedua di belakang Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid (152) dalam saingan enam penjuru di bahagian berkenaan.

''Enam lagi ketua bahagian di negeri ini yang turut dicabar semalam bagaimanapun berjaya mempertahankan jawatan masing-masing antaranya Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Kuantan," katanya dalam sidang akhbar di Badan Perhubungan UMNO Negeri di sini hari ini.

Katanya, lain-lain ktua bahagian yang berjaya mempertahankan jawatan semalam ialah Datuk Wan Rosdy Wan Ismail (Cameron Highlands), Datuk Shairuddin Ab. Moin (Raub), Datuk Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera) dan Datuk Ismail Abdul Muttalib yang sebelum ini memangku Ketua UMNO Bahagian Maran.

''Lima lagi ketua bahagian di negeri ini tidak dicabar termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan.

''Turut tidak dicabar, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (Bentong), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (Rompin), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin di Temerloh,'' jelasnya.

Sementara itu, tambah beliau, bagi pertandingan timbalan ketua UMNO Bahagian di negeri ini, antara yang paling mendapat tumpuan ialah kekalahan Saifuddin Abdullah dalam saingan tiga penjuru di Temerloh.

Turut tewas, Datuk Suhaimi Ibrahim di Lipis dalam pertandingan satu lawan satu menentang Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd. Soffi Razak.

Bahagian lain yang mendapat timbalan ketua UMNO yang baharu ialah Indera Mahkota, Maran, Pekan dan Kuala Krau.

Di Maran, Exco kerajaan negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin satu-satunya pemimpin wanita yang menjawat jawatan timbalan ketua UMNO bahagian di negeri ini.

Semua muka baharu, sejarah di Indera Mahkota

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Mustaffar Kamal Ab. Hamid (tengah) mengangkat tangan bersama barisan baharu kepimpinan UMNO Bahagian Indera Mahkota (dari kiri) Muhamad Faiz Hashim, Mohd. Khairul Hisham Omar, Mazlan Mat Rashid dan Wan Napiah Wan Yusop di Wisma Belia, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 20 Okt. - UMNO Indera Mahkota mencatat sejarah tersendiri di negeri ini apabila berlaku perubahan untuk ketiga-tiga jawatan tertinggi di peringkat bahagian di samping tiga ketua sayap turut disandang oleh muka baharu.

Bagi pemilihan jawatan Ketua Bahagian yang menyaksikan saingan enam penjuru semalam, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid muncul pemenang apabila meraih 152 undi mengatasi penyandang, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff yang meraih 102 undi.

Empat lagi calon iaitu, Shahrum Zainuddin mendapat 93 undi, Datuk Abdul Rahim Abas (66), Mahassan Husain (15) dan Ngah Ismail (11).

Bagi Timbalan Ketua Bahagian pula dimenangi Mazlan Mat Rashid, menewaskan bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Suhaimi Sulong dan Kamal Zaim Mohd. Amin.

Jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian turut menyaksikan muka baharu, Mohd. Khairul Hisham Omar menewaskan penyandang, Solomon Ali Rizal dan empat lagi calon lain.

Pada pemilihan sayap sebelum ini pula, Ketua Wanita yang baharu adalah Wan Napia'ah Wan Yusop; Ketua Pemuda, Muhammad Faiz Hashim dan Ketua Puteri, Esfarini Sudin.

Pada pilihan raya umum lalu, Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO tewas di kerusi Parlimen Indera Mahkota dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah untuk dua penggal berturut-turut.

Sementara itu, Mustaffar Kamal yang ditemui pemberita di sini semalam menyifatkan kemenangan beliau sebagai petanda daripada rakyat yang mahukan perubahan di Bahagian Indera Mahkota.

Menurut beliau, banyak perancangan yang akan dibuat bagi mengukuhkan kepimpinan UMNO bermula di peringkat cawangan sehingga ke bahagian.

"Struktur organisasi perlu diperkemaskan semula dan matlamat agar kita mempunyai hala tuju yang jelas. Ini semua penting untuk kita mendapatkan kembali Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti," jelasnya.

Mustaffar Kamal berkata, beliau meletakkan sasaran akan merampas kembali Parlimen Indera Mahkota dan sekurang-kurangnya satu kerusi DUN pada PRU14 akan datang.

Sementara itu, Mohd. Hazmi berkata, beliau akur dengan keputusan pemilihan kali ini kerana merupakan kehendak perwakilan.

"Saya harapkan kepada kepimpinan baru supaya buatlah sesuatu untuk mendapatkan kembali Parlimen Indera Mahkota. Sebelum itu, bentukkan satu pasukan untuk tarik orang muda kepada UMNO," katanya yang baru sepenggal menjadi ketua bahagian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Iraq: Enam terkorban dalam serangan lapan pengebom berani mati

Posted: 20 Oct 2013 10:25 AM PDT

RAMADI, Iraq 21 Okt. - Lapan kejadian pengebom berani mati yang mensasarkan polis dan pegawai tempatan di Rawa, barat laut Baghdad, semalam, telah mengakibatkan enam orang terkorban.

Kapten Mohammed Ahmed al-Rawi memberitahu AFP bahawa dalam serangan tersebut tiga ahli majlis tempatan Rawa kawasan wilayah Anbar dan tiga orang anggota polis terbunuh.

Serangan dilancarkan ke tiga kawasan iaitu ibu pejabat polis Rawa, pos pemeriksaan di pintu masuk bandar dan ibu pejabat pentadbiran tempatan. - AFP

Tiga nama menteri baharu Iran dikemukakan

Posted: 20 Oct 2013 10:24 AM PDT

TEHRAN 21 Okt. - Presiden Iran, Hassan Rohani hari ini menamakan tiga menteri baharu bagi menggantikan calon menteri yang ditolak oleh parti konservatif Ogos lalu, lapor media Iran.

Sebelum itu, Rohani terpaksa melakukan perubahan pada saat-saat akhir untuk memilih menteri bagi portfolio sains, penyelidikan dan teknologi kerana bimbang ditolak oleh ahli Dewan Parlimen.

Parlimen dijangka akan mula mengundi bagi ketiga-tiga calon menteri itu pada 27 Oktober depan. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Bukan cari perhatian

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my

BAGI sesetengah orang, adik pelakon Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira (Shira) yang dikenali sebagai Sharifah Sakinah ini memiliki karakter pelik.

Pelik kerana sikapnya yang gila-gila dan suka berlawak tidak kena tempat dan kadangkala mengundang rasa kurang senang.

Dari satu sudut, tak boleh juga nak salahkan orang yang mengutuk dan mengeji itu kerana adakalanya, wanita yang selesa dipanggil Sakinah ini bersifat keterlaluan.

Barangkali, akal tipikal Melayu mereka berkata, orang perempuan tak elok berperangai macam itu. Orang perempuan terutama wanita Melayu, kena tahu adab ketimuran.

Maka nak melawak dan berseronok mengikut cara Sakinah yang lazimnya begitu terbuka memperkatakan apa saja perkara sudah tentu bukan berciri wanita beradab timur.

Nak jadi wanita Melayu terakhir? Alahai... Lupakan saja. Sakinah, awal-awal lagi boleh tersingkir kalau begitu sikapnya. Pendek kata memang tak sesuai.

Namun ada sesetengah orang berpendapat, Sakinah di sebalik gila-gilanya itu sebenarnya adalah seorang yang kreatif.

Kreatif dalam terma dia berani mengenengahkan bakatnya dalam rambang jenaka selamba dan bijak mengunakan kemudahan laman sosial yang ada untuk mempamerkan keunikan karakternya itu.

Boleh kira dengan jari, berapa ramai artis wanita di negara kita yang berani menjadi diri sendiri di depan orang ramai dan di depan kamera?

Si peraih perhatian? Ya, barangkali itu perkataan lebih tepat untuk menggambarkan Sakinah memandangkan setiap kali hadir dengan karya baru di laman sosial, Ratu Keek dan Instagram ini pasti tidak pernah gagal mendapat respons ramai.

Dalam nada baik atau buruk, wanita berusia 24 tahun ini umpama menadah sahaja kata-kata yang dilemparkan kepadanya. Mahu tak mahu, bahana datang berpunca daripada dirinya juga.

Saya ini peraih perhatian? Beginilah, saya dari kecil memang berperangai begini. Kalau saya nak bentuk diri saya jadi orang lain hanya kerana saya tak mahu orang mengata saya di laman sosial macam Keek dan Instagram, itu maknanya saya ini manusia plastik.

Bagi saya, istilah peraih perhatian itu tak pernah wujud. Dianggap begitu sebab orang tengok aksi saya di laman sosial dan mendapat perhatian ramai sambil timbul tanda tanya dia ini siapa? Dia ini kenapa?

Kalau orang tanya, saya tak panggil itu sebagai meraih perhatian. Tapi kejutan budaya!

Mereka yang tak boleh terima cara saya umpama terkena kejutan budaya sebab mereka tak pernah tengok artis wanita macam saya," katanya.

Tidak pernah merasakan dirinya sentiasa mahu kontrol ayu dan jelita, kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini, dia selesa dengan dirinya dan tiada apa yang perlu diubah.

Penyokong vs haters

Kalau dah namanya artis, hidup dilingkari dengan barisan penyokong dan tak terkecuali haters (pembenci) ibarat satu lumrah yang dah menjadi adunan sebati.

Walau apa pun yang dilakukan oleh artis kesayangan, mereka yang berada dalam team penyokong tentulah akan hadir dengan sumpah setia untuk terus menyokong.

Kalau mereka yang berada dalam team haters, buat kebaikan pun bakal dijadikan bahan cercaan semata-mata sengaja mahu mencari kesalahan artis itu.

Sakinah seperti kebanyakan artis lain pun begitu. Tak terlepas malah lebih ketara memandangkan keterbukaannya dalam berkongsi humor gediknya di laman sosial.

Entahlah terus-terang, saya tak rasa mereka yang memberi komen buruk di laman sosial saya itu terdiri di kalangan mereka yang menjengkelkan.

Sebenarnya saya tak hairan pun. Tak pernah kisah apa yang mereka tulis dan katakan. Saya pasti, mereka terlalu banyak masa untuk buat semua itu.

Bukan kali pertama saya berhadapan dengan benda macam ini, Sejak di bangku sekolah lagi, saya dah kena bantai di laman blog. Orang mengata saya ini melampau dan sebagainya dan mengaitkan kakak-kakak saya dalam hal itu.

Masa itu, saya belum jadi artis tapi dah kena dah, Jadi bila dah masuk dalam dunia hiburan, saya jadi lali.

Bagi saya kutukan orang tak beri kesan apa-apa. Kalau pun ada yang benci saya, tak ada pula bila saya berjalan tiba-tiba ada yang sampai nak baling batu ke, reputasi kerja saya terjejas ke... tak ada," katanya.

Kongsi Sakinah lagi, kadangkala dia merasa lucu melihat ada sesetengah pihak yang melawat laman sosialnya tanpa segan silu meminta gambar lucah miliknya.

Saya rasa lucu dan ketawa saja. Tak sangka, ada orang berfikiran sebegitu dan mengharap saya akan melayan permintaan bukan-bukan mereka?

Saya mungkin gila-gila tapi saya bukan bodoh. Tak pernah pun sekali saya membalas komen seperti itu dan rasanya memang tak perlu pun.

Saya lebih senang untuk buat tak tahu dan biarkan saja mereka bercakap dengan dinding.

Di sini, saya berterima kasih dengan penyokong saya. Rasa terharu juga sebab masih ada yang mahu saya jadi diri sendiri dan sokong saya dari belakang," katanya yang tidak pernah menganggap dirinya lantang berbicara.

Lebih senang membiarkan pemerhati dirinya untuk menilai sendiri setiap apa yang dilakukannya, Sakinah mengaku tidak pernah naik hantu dengan mereka yang memberi komen negatif.

Sebenarnya terpulang kepada seseorang bagaimana dia menerima lawak dan humor saya. Kalau mereka anggap itu kelakar, maka kelakarlah.

Kalau dia anggap itu positif, positiflah, kalau dia negatif, maka negatiflah ia.

Saya tak ada hak untuk menghukum orang, jadi biarlah mereka sendiri yang nilai. Saya tak apa-apa. Malah setiap hari menjalani hari seperti biasa dengan gembira," katanya.

Apa cerita cinta?

Aneh, apabila diaju pertanyaan ini, tidak pula Sakinah ringan mulut untuk bercerita lanjut.

Padahal, bukan orang tak tahu, dia menjalin hubungan cinta dengan jejaka bernama Shamil Equan, anak teruna pengarah, Erma Fatima.

Cuma melemparkan senyuman, Sakinah berbicara klise, tidak mahu terlalu banyak mencanang kisah cinta pada mata umum.

Bukan apa, saya ini masih muda lagi. Bagi saya senang saja. Cinta, kalau ada, ada... Kalau tak ada, saya pun tak mahu fikir lagi," katanya.

Mengaku tidak pernah menyembunyikan hubungan itu, kata Sakinah, dia tidak akan membuka mulut, jika tiada pihak yang bertanya.

Takkanlah saya nak canang dan heboh-heboh pada semua. Mana yang tahu, tahulah. Saya pun memang tak pernah sorok.

Entahlah bukan apa, kadang-kadang, bila saya serius berbicara, orang sangka saya sedang buat lawak. Jadi akhirnya nanti, orang akan fikir, apa sahaja mengenai Sakinah adalah satu bahan jenaka.

Jadi untuk beberapa perkara dalam hidup saya, ada baiknya saya simpan sendiri dan biarkan berlaku tanpa dipaksa-paksa," katanya lagi yang bakal muncul dengan filem Ular dan drama bersiri Dendam Lima Beradik.

OTM jelajah dunia 2014

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

PERSEMBAHAN Siti Nurhaliza diiringi OTM mendapat sambutan hebat daripada peminatnya.

ORKESTRA Tradisional Malaysia (OTM) akan menjelajah dunia untuk mempromosikan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Juhari Shaarani, jelajah yang bakal diadakan itu sebahagian daripada rangka promosi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM) untuk menarik perhatian pelancong luar ke Malaysia.

Buat masa ini pihak KPKM telah bersedia untuk membawa OTM menyertai rangka promosi di beberapa negara bermula tahun hadapan dengan mengadakan persembahan di tempat-tempat terpilih.

Kami berbangga kerana OTM terpilih menjadi sebahagian daripada rangka promosi dan berkemungkinan besar turut melibatkan penyanyi popular tanah air, Siti Nurhaliza," jelas Juhari.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Nazri Aziz telahpun melancarkan perasmian OTM sempena Konsert Lentera Timur Datuk Siti Nurhaliza bulan lalu.

Juhari berkata, pemilihan Siti Nurhaliza untuk menyertai persembahan OTM masih dalam perbincangan dan belum ada kata putus terhadap perkara berkenaan.

Namun pihaknya berharap jelajah yang bakal diadakan akan disertai oleh penyanyi berkenaan.

OTM yang terletak di bawah IB dipimpin oleh Mohd Yazid Zakaria dan dianggotai lebih 60 ahli dalam satu-satu masa. Bagaimanapun, jumlah ahli boleh berkurang dan bertambah mengikut kesesuaian sesebuah persembahan.

OTM bakal singgah ke Singapura, Brunei Darussalam, Australia, Indonesia dan kemuncak persembahan diadakan di Royal Albert Hall, London.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Beri hak kepada yang berhak

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Berikut adalah sambungan wawancara wartawan YULPISMAN ASLI dan jurugambar IRWAN MAJID bersama Mufti Kelantan, DATUK MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD di kediaman beliau di Jalan Datuk Lundang, Kota Bharu yang mengupas isu kalimah Allah.

Selain itu beliau menasihatkan umat Islam agar bersatu dan mengetepikan semua perbezaan serta kepentingan lain demi mempertahankan kalimah yang mempunyai unsur tauhid itu.

Utusan: Jika keputusan rayuan nanti adalah sebaliknya bagaimana, kerana ada pendapat mengatakan keputusan Mahkamah Rayuan turut didorong oleh status ketiga-tiga hakim adalah orang Melayu dan mungkin keputusan di Mahkamah Persekutuan nanti berubah sekiranya panel hakim terdiri daripada pelbagai bangsa?

MOHAMAD SHUKRI: Saya tidak fikir bahawa mahkamah bersidang berdasarkan kepada bangsa atau anutan agama, tetapi bersidang berdasarkan pelaksanaan undang-undang dan fakta yang berlangsung dalam mahkamah. Sebab mahkamah bukan sahaja perlu bersikap adil, tetapi boleh dilihat keadilan itu, jadi, bukan isu anutan agama hakim. Kalau ikut anutan agama hakim banyak nanti penagih-penagih dadah orang Islam dibebaskan. Saya tidak fikir itu menjadi neraca pertimbangan mahkamah, sebaliknya ialah keadilan yang perlu dilihat berdasarkan peruntukan undang-undang.

Pada hemat Datuk apa kesan atau implikasi kes ini terhadap hubungan antara agama dan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia?

MOHAMAD SHUKRI: Saya rasakan kalau pihak-pihak yang terlibat rasional, tidak ekstrem tidak melampau dia akan terima apa juga keputusan. Bagi yang kalah tak puas hati, yang menang senang hati, tetapi itulah mahkamah. Umat Islam melihat kepada keadilan dan kebenaran. Faktor membawa kepada keselamatan ialah berlaku adil. Makna adil memberi hak kepada yang berhak dan kepada yang benar. Jadi, kita harapkan , jika mereka merayu pun di mahkamah berikutnya, kita mengharapkan berlaku keadilan iaitu memberi hak kepada yang berhak dan memberi hak kepada yang benar, jadi kalimah Allah ini adalah hak orang Islam secara eksklusif sejak sekian lama. Isu ini tak pernah berbangkit pun, akhir ini sahaja, ini menunjukkan ada sesuatu. Orang Islam akan berpegang teguh kepada hak ini dan tidak akan berganjak. Kesederhanaan itu adalah faktor penyelamat, polar hidup umat Islam dan bukan Islam dan harus diamalkan di negara ini.

Mungkin sikap kesederhanaan umat Islam ini menyebabkan pihak pelampau ini ambil kesempatan?

MOHAMAD SHUKRI: Memang salah satu yang kita kena akui, kedudukan agama Islam dan umat Islam pada hari ini diancam, digugat dari segenap segi segenap penjuru. Isu kalimah Allah dari segi akidah, umat Islam juga digugat dari segi syariat, ada fahaman-fahaman yang luar daripada kefahaman Islam, digugat dari segi akhlak, sosial. Kita lihat usaha-usaha dilakukan bagi menimbulkan keraguan, mengelirukan. Jadi, keberanian mereka mencabar umat Islam begitu ketara, dan ini jelas kerana ada agenda yang tersurat dan tersirat.

Pada pendapat peribadi Datuk, wajar atau tidak pihak yang menuntut mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan?

MOHAMAD SHUKRI: Kalau dengan hujah mahkamah (Mahkamah Rayuan) itu mereka berpuas hati, sepatutnya tak wajar dirayu lagi. Wajar atau tak wajar melihat kepada sejauh mana mereka rasa berpuas hati. Kalau rasa tak puas hati, buat rayuan lagi itu hak mereka. Kalau mereka buat tuntutan lagi di mahkamah lebih tinggi, itu adalah untuk memperlihatkan proses perjalanan mahkamah di negara kita. Cuma bagi kita, kalau tak dirayu itulah yang sebaiknya.

Bagaimana pula Datuk melihat tindakan subversif pihak tertentu yang dilaporkan sengaja mewujudkan laman-laman web untuk menyalurkan maklumat salah tentang al-Quran dan hadis rentetan daripada kes ini?

MOHAMAD SHUKRI: Bila ada agenda yang tersurat dan tersirat, kalimah Allah ini hanya satu ujian dan banyak lagi akan ditampilkan untuk menjadi cabaran kepada umat Islam ini, ini adalah program agenda yang dirancang, lebih-lebih lagi di zaman perkembangan maya di mana orang kata dunia jadi satu perkampungan yang tidak boleh dikawal. Dalam Islam ada Alhema bermakna satu wilayah atau zon larangan, ada persempadanan yang menjadi benteng asas agama dari diganggu-gugat atau diancam. Masalah yang berlaku, puncanya sikap umat Islam sendiri yang ambil mudah, meremehkan isu. Masyarakat Islam sendiri melihat isu-isu yang dibangkitkan remeh sehingga pihak lain sudah menghampiri tepi kawasan atau zon larangan tadi atas nama toleransi agama.

Bagi generasi yang faham, mereka bermain di zon yang tidak dilarang tetapi datang generasi kemudian, dia tidak sudah endah lagi ini zon larangan. Sebab itu dipertikai kedudukan raja-raja, kedudukan bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan macam-macam lagi. Pengajaran kepada umat Islam ialah, kalau umat Islam dapat bersatu dalam isu-isu teras, pokok seperti isu akidah, kalau umat Islam boleh ketepikan kepentingan peribadi, kelompok, maka isu seperti kalimah Allah dan lain-lain, mereka akan berfikir dua kali untuk melakukannya dan masyarakat sendiri boleh tangani sendiri dengan baik.

Jadi, apa sebenarnya yang perlu umat Islam lakukan bagi menghadapi serangan demi serangan yang dilakukan ke atas mereka dan agama Islam itu sendiri?

MOHAMAD SHUKRI: Melihat kepada pelbagai ancaman, umat Islam perlu bersatu dan ia wajib. Macam mana ada kekuatan kalau tidak bersatu, bersatu teguh bercerai roboh. kedua, umat Islam sendiri perlu meningkatkan ilmu, akidah perlu diperkasakan. Orang siar dalam alam maya, kita nak jawab tak mampu, makan masa, sebab itu perlu tingkatkan ilmu. Kenapa kita juga tak isi alam maya ini dengan jawapan-jawapan terhadap setiap isu yang dibangkitkan. Ada orang hantar kepada saya bertanyakan tentang isu pluralisme, tapi kita nak ambil masa lama (nak jawab) meskipun ada hujah-hujah konkrit disebabkan kelemahan kuasai maya ini. Selain itu pentarbiahan dan pendakwahan umat Islam mesti cara baharu, kemas kini, tak boleh cara lama. Kalau kita masih main berlegar di masjid sahaja, pendengar yang dengar seratus orang, tetapi yang ini (gunakan alam maya) jutaan, mana ada peluang macam ini kalau kita sendiri tidak ambil kesempatan.

Perlukah kita di Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tokoh dan ilmuwan Islam yang mampu ke depan dalam mendepani isu-isu mengenai umat Islam. Sebagai contoh Allahyarham Dr. Uthman El Muhammadi yang sanggup berhujah di peringkat antarabangsa?

MOHAMAD SHUKRI: Memang itu satu usaha yang sedang diatur oleh pihak tertentu. Saya dapat maklumat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri ada satu pegawai atau tenaga yang boleh menjawab isu-isu secara serta-merta, dan memang ketokohan Dr. Uthman dikagumi dan pemergiannya satu kerugian tetapi kita masih ada ramai tokoh-tokoh yang dikagumi di peringkat antarabangsa tetapi kena perbanyakkan lagi. Sebagai contoh, dalam konteks Kelantan dulu kita ada pasukan penterjemah kitab-kitab dalam bahasa Arab sehingga jadi satu warisan, tetapi kalau nak cari hari ini, sukar, siapa yang mampu menterjemah dalam erti kata turut menghayati terjemahan itu. Ini agak berbeza dengan Indonesia yang lebih pantas dalam menerbitkan terjemahan buku-buku atau karya asing.

Nasihat Datuk kepada umat Islam mengambil kira pelbagai isu berbangkit sekarang supaya perkara sama tidak lagi berulang?

MOHAMAD SHUKRI: Kita diajar oleh Islam supaya melihat kehadapan, futuris. Wawasan umat Islam ialah selamat di dunia dan selamat di akhirat dan selamat pula tak masuk neraka. Itu sebenarnya mengajar kita futuris. Umat Islam hari ini perlu membaca suasana, tak boleh hanya menilai lingkaran secara dekat. Dunia pun dikatakan global, maka dia perlu melihat secara global, kena merancang secara jauh. Ertinya, umat Islam di negara kita perlu melihat jauh, kehadapan. Kadang-kadang dia hanya melihat untuk masa ini. Saidina Umar pun kata ajar anak-anak kamu untuk mereka hidup di zaman mereka. Kena ajar futuris, kena ada visi.

Giliran Gerakan memilih barisan pemimpin hadapi cabaran PRU-14

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

SELEPAS pemilihan UMNO berakhir kelmarin, tumpuan kini terarah kepada dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan. Bagi MCA yang akan melangsungkan pemilihan akhir tahun ini, sudah nampak tanda-tanda akan berlaku perebutan hebat antara penyandang jawatan itu Chua Soi Lek dan timbalannya, Liow Tiong Lai. Perkembangan yang berlaku semalam apabila resolusi mencela Tiong Lai ditolak menunjukkan tanda-tanda akan berlaku perebutan dalam parti berkenaan. Namun masih terlalu awal untuk melihat sejauh mana pergolakan dalam MCA ini. Mungkinkah selain Tiong Lai, bekas Presiden, Ong Tee Keat akan turut serta mencabar kedudukan Soi Lek?

Untuk tempoh terdekat ini, eloklah fokus diberi kepada satu lagi komponen BN iaitu Gerakan. Walaupun saingan dijangka tidak sehebat pemilihan UMNO yang melibatkan pertandingan di semua peringkat jawatan kecuali Presiden dan Timbalan Presiden, pertandingan yang berlaku kali ini amat penting bagi membentuk satu barisan yang lebih mantap dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Lebih menarik, apabila pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn enggan bertanding jawatan tersebut. Beliau mahu memberi laluan kepada orang muda untuk memimpin parti itu. Ko Youn memangku jawatan itu sejak 16 Mei lalu berikutan peletakan jawatan Dr. Koh Tsu Koon yang berbuat demikian kerana mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk Gerakan pada PRU lalu. Gerakan hanya menang satu daripada 11 kerusi Parlimen dan tiga daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam senario politik hari ini, Ko Youn, 56, amat mengharapkan tidak berlaku sebarang pertandingan bagi jawatan No. 1 dan No. 2. Sambil mengakui kepentingan demokrasi dalam pemilihan tetapi bagi sebuah parti yang memerlukan pemulihan, beliau bimbang kesan negatif yang akan berlaku selepas pertandingan merebut jawatan-jawatan utama dalam parti. Kebimbangannya ada asas kerana Gerakan ketika ini memerlukan kesepaduan yang jitu bagi menebus kekecewaan pada PRU lalu. Adakah Gerakan mampu menguruskan kesan negatif yang dialami selepas pemilihan ini?

Sama ada mampu atau tidak menguruskan kesan negatif ini terletak kepada barisan kepemimpinan yang bakal dipilih. Pertandingan dalam Gerakan pada pemilihan minggu depan tidak dapat dielakkan. Hanya sayap Wanita Gerakan tidak berlaku pertandingan bagi jawatan ketua selepas Tan Lian Hoe menang tanpa bertanding bersama timbalannya Ng Siew Lai serta tiga naib ketua. Perebutan dalam Pemuda juga menarik perhatian apabila Timbalan Ketua Pemuda Kebangsaan, Oh Tong Keong akan berhadapan dengan Ketua Pemuda Kedah, Tan Keng Liang.

Bagi jawatan Presiden, ia melibatkan perebutan antara Naib Presiden yang juga Pemangku Setiausaha Agung, Mah Siew Keong, 52 dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang juga bekas Setiausaha Agung, Teng Chang Yeow, 50. Dilihat pada usia, Ko Youn, Siew Keong dan Chang Yeow tergolong dalam golongan orang muda. Cuma umur mereka sahaja yang memisahkan siapa paling muda. Ko Youn bagaimanapun melihat dirinya termasuk dalam golongan orang lama kerana telah berkhidmat pada era Presiden, Dr. Lim Keng Yaik.

Siew Keong dan Chang Yeow masing-masing mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan parti.

Bagaimanapun dalam PRU lalu, kedua-duanya tewas. Siew Keong kalah kepada calon DAP di kawasan Parlimen Telok Intan. Siew Keong menjadi anggota Parlimen Teluk Intan (1999-2008) dan pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ketua Pemuda Gerakan (2002-2008).

Chang Yeow, bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula gagal di kawasan DUN Bukit Tengah selepas dikalahkan oleh calon PKR. Sebelum ini Chang Yeow dilihat sebagai pemimpin yang mampu memimpin Gerakan pada masa depan. Pelantikannya sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang menjelang PRU lalu menggambarkan kepercayaan parti dan BN terhadap kepemimpinannya.

Bagaimanapun akibat kejutan yang dialami pada PRU lalu, beliau melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat negeri dan pusat. Dalam usia yang muda, beliau yang dilihat berpotensi untuk memimpin Gerakan seolah-olah merajuk dan berputus asa untuk meneruskan perjuangan. Tindakannya menyebabkan Gerakan kehilangan dua pemimpin utama iaitu presiden dan setiausaha agung. Ko Youn memangku jawatan presiden manakala Siew Keong, naib presiden yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan 2008 memangku jawatan Setiausaha Agung mulai 11 Mei lalu.

Akhirnya pertembungan kali ini melibatkan pemimpin Gerakan yang memangku jawatan setiausaha agung selepas PRU dan bekas setiausaha agung yang meletak jawatan sesudah PRU. Adakah Chang Yeow sudah pulih daripada kejutan dan bersedia melakukan perubahan dalam Gerakan? Kesediaannya untuk kembali ke gelanggang politik Gerakan terserlah pada pemilihan Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang yang dikosongkan oleh Dr. Teng Hock Nan. Dalam pemilihan yang diadakan, beliau menewaskan Baljit Singh. Sudah tentulah kemenangan itu mendorong beliau untuk kembali ke gelanggang di peringkat pusat dengan jawatan yang lebih mencabar.

Siapa pun yang terpilih - Chang Yeow atau Siew Keong, tanggungjawab mereka untuk memulihkan kepercayaan pengundi terutama dalam kalangan masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang untuk kembali menyokong BN. Gerakan yang sebelum ini popular dengan slogan Satu Hati, Satu Negara, Satu Wawasan kini mengorak langkah dengan tema Cara Baharu, Harapan Baharu dan Gerakan Baharu pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan parti itu tahun ini. Langkah ini bagi memastikan Gerakan terus relevan dalam politik negara ini. Cukuplah, selama dua PRU, Gerakan dilanyak oleh DAP khususnya di Pulau Pinang yang selama ini menjadi kubu kuat parti itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Tab 8 inci Samsung

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

PEMBUAT peranti elektronik terkenal Korea - Samsung mengukuhkan portfolio tablet 8 inci - saiz skrin yang telah meraih populariti di kalangan pengguna - dengan pengenalan Tab Galaxy 3 8.0 peranti berharga premium. Peranti 8-inci ini adalah versi pertengahan saiz Tab Galaxy 3 siri termasuk 7-inci dan saiz skrin 10.1 inci.

Peranti baru ini adalah paling nipis dalam keluarga. Berat Galaxy Tab 8.0 3 adalah adalah 316 gram dengan 0.74 sentimeter tebal manakala Tab 7- inci dan 10.1 inci adalah 0.8 sentimeter dan lebih tebal.

Tab 8-inci berukuran 12.3 sentimeter lebar, bermaksud orang dengan tapak tangan yang kecil masih boleh selesa memegang peranti.

Samsung juga telah membina sarung peranti dari plastik yang tidak kelihatan murah.

Pengguna hanya diberikan ruang yang sangat sedikit - 0.71 sentimeter - untuk memegang bingkai di sebelah dan hasilnya, jari akhirnya sengaja memegang skrin.

Juga apabila dipegang melintang, jari akhirnya terkena menu dan butang belakang, menyebabkan muka surat terbuka untuk kembali ke sebelumnya.

Kamera -pintar. Tab 8- inci bersaing model lain dalam keluarga. Peranti ini dilengkapi dengan kamera depan 1.3 megapiksel dan kamera belakang 5 megapiksel - resolusi yang jauh lebih tinggi daripada kamera 3 megapiksel belakang dalam Tab 7-inci dan 10.1 inci.

Walaupun ia mempunyai skrin kecil, Tab 8- inci sepadan dengan resolusi skrin Tab 10.1 inci sebanyak 1,280 dengan 800, yang berada di atas 7-inci 1,024 dengan 600.

Chipset 8- inci bagaimanapun, berfungsi agak perlahan pada 1.5 gigahertz kelajuan CPU berbanding dengan 1.6 gigahertz kelajuan CPU inci 10.1.

Tablet beroperasi di Android Jelly Bean 4.2.2 dengan 1.5 gigabait RAM.

Seperti semua peranti terbaru mereka, tablet yang dilengkapi dengan aplikasi asli terbaru Samsung, seperti Kumpulan Play, yang membolehkan orang ramai menyelaras permainan muzik di Tab mereka yang berhampiran dengan peranti Samsung peranti mudah alih lain.

Tab Galaxy 3 8.0 juga menyokong pandangan dua, membolehkan orang ramai untuk membuka dua tingkap, termasuk video secara serentak.

Ciri-ciri ini sudah ada dalam Galaxy Note 2 sebelumnya, adalah berguna untuk orang-orang yang melakukan pelbagai tugas.

Secara keseluruhan, Tab Galaxy 3 8.0 adalah pilihan yang berdaya maju di kalangan Tab 3 barisan produk Galaxy.

Walau bagaimanapun, peranti ini tidak datang pada harga premium dan dengan itu lebih baik jika ia telah dipenuhi dengan ciri-ciri baru.

Peranti ini belum ada di pasaran tempatan.

Memilih kamera dasar laut pertama

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

Bersama MOHD. HAZLI HASSAN
klik.mingguan@gmail.com

'Kenikmatan' merakamkan imej dasar laut membuatkan jurufoto dasar laut sampai ke tahap lebih ekstrem setup kameranya.

MENGIKUT pengalaman saya, memilih kamera dasar laut pertama kita agak sukar. Pertamanya, kita kena tahu apa kegunaan kamera itu. Memang banyak kamera yang boleh digunakan di dasar laut, namun kita juga kena rasional.

Sebagai contoh, jika anda seorang profesional, adakah kamera pandang dan tilik sesuai? Manakala jika anda hanya suka-suka dalam aktiviti ini, adakah anda akan memikul beban yang amat berat membawa kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) ketika menyelam?

Semua ini amat penting ketika anda ingin mencari sebuah kamera dasar laut yang boleh menghasilkan kualiti imej terbaik. Mungkin ada yang mengatakan kamera murah pun boleh menghasilkan kualiti yang sama dengan DSLR kerana boleh disunting dan bagi saya jawapannya ialah ya dan tidak.

Setiap kamera ada keperluan dan kelebihan yang tersendiri. Malah, kita kena fikir dari segi logik di mana fungsi tambahan pasti ada pada kamera yang lebih mahal berbanding sebuah kamera yang murah, paling tidakpun kelebihan dari segi resolusi kamera itu sendiri.

Jadi, mana yang patut dibeli? Saya sering mengesyorkan kepada mereka yang bertanya soalan ini Tepuk poket, tanya diri.".

Sebuah kamera asas pandang dan tilik (P&S) dengan set peralatan lengkap boleh mencapai maksimum RM5,000 berbanding set lengkap pada DSLR RM25,000 minimum. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.

P&S hanya mempunyai lensa tetap dan tidak boleh ditukar ganti berbanding DSLR yang lebih banyak lensa yang boleh digunakan namun DSLR lebih berat berbanding P&S.

DSLR tidak mempunyai jeda masa ketika butang pengatup ditekan berbanding P&S yang tidak mampu merakam tepat pada saat yang diperlukan. Jadi semuanya berbeza dan mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing. Saya akan sambung maklumat ini pada ruangan akan datang. Jika ada sebarang pertanyaan, e-mel dengan subjek Dasar Laut ke klik.mingguan@gmail.com.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved