Rabu, 25 September 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Penguat kuasa KPDNKK diugut sekumpulan lelaki bersenjata

Posted: 25 Sep 2013 07:43 PM PDT

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), diugut sekumpulan lelaki bersenjata tajam ketika membuat operasi membanteras cetak rompak di Cheras semalam.

Tujuh lelaki berusia antara 16 dan 46 tahun itu mengacukan pisau, parang samurai, pedang, besi dan rotan terhadap 13 pegawai KPDNKK berkenaan, mengarahkan mereka supaya melepaskan enam suspek yang ditahan oleh pasukan penguat kuasa itu.

Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya,

Fahmi Kasim berkata ketika itu pasukan penguat kuasa berkenaan menyerbu sebuah premis di Taman Mahkota Cheras yang dipercayai menjalankan perniagaan video cakera padat cetak rompak.

"Seorang daripada mereka menuntut kami supaya menyerahkan enam suspek yang ditahan di dalam rumah itu. Kami akur, tetapi polis peronda sempat membantu dan memberkas dua orang daripada mereka bersama dua lagi yang ditahan pasukan penguat kuasa ketika cuba melarikan diri," katanya.

Mereka ditangkap apabila sebuah daripada tiga kenderaan yang mereka dinaiki terlanggar kereta orang awam dan kenderaan milik KPDNKK.

Baki yang lain terlepas dan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Long, katanya.

Fahmi berkata premis yang diserbu disyaki dijadikan stor menyimpan dan membungkus VCD cetak rompak untuk dijual sekitar kawasan Semenyih dan Kajang.

Pasukan penguat kuasa itu merampas sebanyak 6,048 keping VCD cetak rompak, 868 keping VCD filem terbaharu termasuk Adnan Sempit, KL Zombie dan Iron Man3, bernilai kira-kira RM70,000, katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan insiden itu. - BERNAMA

Penjenayah boleh ditahan 2 tahun

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah untuk mengarahkan seseorang yang ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) ditahan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.

Bukan itu sahaja, rang undang- undang itu turut memberi kuasa kepada lembaga berkenaan melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun lagi sekiranya didapati perlu demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Walau bagaimanapun, arahan tahanan oleh pihak lembaga terbabit boleh disemak semula di Mahkamah Tinggi.

Kesemua peruntukan tersebut merupakan bahagian baharu (bahagian IVA) yang dimasukkan ke dalam akta tersebut di bawah Seksyen 19A berhubung Perintah Tahanan.

Rang Undang-undang tersebut telah dibaca oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai sesi soal jawab.

Dalam pada itu, di bahagian huraian rang undang-undang berkenaan ada disebut tujuan pindaan Akta 297 itu dibuat.

Menurut rang undang-undang itu, antara tujuannya adalah untuk membenarkan kemasukan penahanan tanpa pertuduhan jenayah atau tanpa perbicaraan sebagaimana yang pernah diperuntukkan di dalam Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Oleh itu, Akta 297 hendaklah diubah kepada undang-undang yang dibuat menurut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan pemakaiannya diperluaskan ke seluruh negara.

Selain daripada peruntukan tersebut, antara perkara utama lain yang terdapat di dalam rang undang-undang berkenaan ialah penubuhan Lembaga Pencegahan Jenayah bagi menggantikan menteri.

Peruntukan tersebut merupakan seksyen baharu (seksyen 7B dan 7C) yang dimasukkan ke dalam akta tersebut.

Sebelum ini, di dalam undang-undang bersifat pencegahan seperti ISA, menteri mempunyai kuasa mutlak untuk proses penahanan dan pembebasan tahanan.

Menurut rang undang-undang itu, ahli-ahli lembaga tersebut dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan dipengerusikan sama ada Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi bersama dua anggotanya.

Peranan menteri di dalam rang undang-undang itu pula seperti mana dinyatakan di dalam seksyen 19E ialah mengemukakan laporan tahunan berhubung segala berkaitan dengan peruntukan bahagian IVA kepada Parlimen.

Parlimen juga diberi hak oleh rang undang-undang itu untuk mengkaji semula bahagian IVA setiap lima tahun.

Rang undang-undang itu turut meminda seksyen 7 dengan memasukkan subseksyen baharu 2 hingga 4 bagi tujuan penggunaan peranti pengawasan elektronik terhadap orang yang direman dalam jagaan tetapi dilepaskan sementara menunggu inkuiri.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Razif kekal dalam BAM

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Razif Sidek

KUALA LUMPUR - Bekas pemain beregu negara, Razif Sidek masih kekal menjadi penilai bebas buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) walaupun orang yang bertanggungjawab membawanya kembali ke badan sukan tersebut, Tan Aik Mong telah melepaskan jawatan sebagai Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) kelmarin.

Perkara ini disahkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff semalam, dengan menyatakan bahawa penolong kepada Aik Mong, Tan Kim Her juga akan menjadi penilai bebas bagi memantap skuad kebangsaan.

"Razif masih kekal dengan BAM, dia memang komited untuk bersama kami," katanya pada sidang media di pejabat BAM, semalam selepas mengadakan mesyuarat dengan Razif dan bekas jurulatih beregu kebangsaan, Kim Her.

Apa yang berlaku dalam BAM sekarang ini sentiasa mengejutkan peminat badminton negara, bermula dengan peletakan jawatan Rashid Sidek Khamis lalu, diikuti dengan pembongkaran langgar kontrak jurulatih yang beraksi di Liga Badminton India (IBL) dan kelmarin Aik Mong mengambil keputusan meletak jawatan selaku Pengarah TMG.

"Rashid akan menghantar surat kepada kami tengah hari ini bagi menerangkan tentang kontrak yang ditandatanganinya ketika di IBL, manakala Tey Seu Bock pula telah berbuat demikian sebelum ini," ujarnya.

Ini bermakna jawatan TMG masih belum diisi dan pengerusinya Tengku Mahaleel sendiri akan mengambil alih tugas tersebut buat sementara waktu sambil dibantu oleh Naib Presiden BAM, Koay Ban Hing.

"Kes Aik Mong sudah ditutup, semua yang hadir dalam mesyuarat bersetuju, tidak akan ada lagi kenyataan (selepas ini)," katanya yang menerima peletakan jawatan Aik Mong kelmarin.

Dalam pada itu, Rashid sendiri telah mengesahkan dia telah menghantar surat kepada BAM bagi menjelaskan tentang penglibatannya di IBL dan ini bermakna masalah tersebut semakin menghampiri penghujung.

Isnin lalu, Tengku Mahaleel mengakui bahawa beliau masih membuka pintu buat Rashid untuk kembali berkhidmat bersama BAM memandangkan mereka menghadapi masalah kekurangan jurulatih setelah memperkenalkan Projek Menang-Menang.

Rashid pula kelmarin telah mengakui bahawa dia sedia menimbang untuk menarik semula peletakan jawatan jurulatih badminton perseorangan negara walaupun ketika ini mengambil sikap tunggu dan lihat.

Pemain Perak jalani latihan seperti biasa

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Marshall Soper (kiri) bersama Sayuddin Mat Isa (kanan) mengendalikan latihan skuad Perak di padang Pernama, Ipoh, semalam. - Utusan/Roy Azis Abd. Aziz

IPOH - Hanya 18 pemain skuad Seladang menjalani latihan ringan bersama pengendali sementara, Marshall Soper dan Sayuddin Mat Isa selepas melaporkan diri semula petang semalam.

Bagaimanapun sesi latihan yang bermula pukul 5.30 petang itu tidak dihadiri beberapa pemain termasuk kapten, Shahrulnizam Mustapha yang dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, hanya tiga pemain yang tidak hadir dalam sesi latihan petang semalam manakala yang lain telah menjalani latihan seperti biasa

"Latihan berjalan seperti biasa kerana kontrak masih berjalan. Tentang mereka yang tidak datang latihan, saya tidak pasti siapa mereka (pemain). Tetapi mereka ini ada yang cedera dan ada juga yang ada urusan lain," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zainol Fadzi berkata, beliau juga dimaklumkan oleh pegawai PAFA bahawa kesemua 23 pemain skuad itu dan sembilan pegawainya telah pergi memberikan keterangan di pejabat SPRM.

Beliau juga menegaskan bahawa siasatan kes ini tidak langsung menjejaskan moral dan prestasi kesemua pemain dan pegawai pasukan Seladang.

Sementara itu, Soper iaitu jurulatih akademi bola sepak PAFA yang juga bekas pemain Seladang dari Australia pada musim 1993-1994 dan Sayuddin, jurulatih pasukan Yayasan Bina Upaya Perak, dilantik sebagai pengendali sementara Perak.

Pemain terlibat turun berlatih kali pertama petang ini selepas diberi cuti selama tiga hari berikutan skuad Kejor Yob Kejor tewas besar 1-6 kepada Sarawak pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia di Kuching Sabtu lalu sehingga menyebabkan Perak terkeluar dari saingan.

Sementara itu, sumber SPRM berkata, keterangan semua pemain dan pegawai skuad Seladang selesai diambil sebelum tengah malam semalam.

Jelasnya, ketika ini pihaknya telah selesai merekodkan keterangan dari 23 pemain serta beberapa orang pegawai PAFA berhubung kes tersebut.

"Setakat pukul 9.15 malam ini, tinggal beberapa orang pegawai (PAFA) sahaja yang belum diambil keterangan.

"Saya menjangkakan proses ini akan selesai sebelum tengah malam ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Perjuangan akan jadi sia-sia

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

KIRI Mohd. Sani Ishak, Khairul Amin Osman, Abdullah Ani, Abdullah Abu Bakar, Mohamed Razali Mamat

TEMERLOH 25 Sept. - Pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat di negeri ini mahu kerajaan bertegas dan tidak berkompromi dengan usaha pihak-pihak tertentu untuk membawa pulang abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen Negeri Pahang, Mohd. Sani Ishak berkata, pengorbanan tentera dalam mempertahankan negara akan menjadi sia-sia jika petualang itu dibenarkan pulang.

Sepanjang perkhidmatan saya selama 16 tahun termasuk menyertai operasi menjejaki komunis, banyak pertempuran berlaku yang mengorban nyawa dan kecacatan kekal kepada anggota keselamatan negara.

Jadi kami tidak boleh menerima kepulangan Chin Peng dalam apa jua bentuk sama ada jasad ataupun abu," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Khairul Amin Osman optimis kerajaan tidak akan melayan permintaan pihak tertentu untuk membawa abu apa lagi jasad bagi mengelakkan kemarahan rakyat khususnya veteran tentera dan polis.

Jangan dilayani permintaan mereka dengan apa alasan sekalipun kerana dosa dan kesalahan Chin Peng terhadap rakyat dan negara ini sangat besar.

Generasi muda pula jangan sesekali termakan hasutan seolah-olah komunis pejuang kemerdekaan sedangkan komunis telah menjadikan negara kita huru-hara," jelasnya.

Ketua UMNO Felda Jengka 1, Abdullah Ani pula berkata, Chin Peng bukan wira tetapi pengkhianat negara kerana banyak melakukan pembunuhan dan kemusnahan harta benda seperti landasan kereta api dan sebagainya.

Saya amat kesal kerana ada segelintir orang Melayu mengagungkan Chin Peng walaupun mereka tahu peranan penting pemimpin komunis itu yang membawa huru-hara terhadap negara bangsa," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar, 53, berpendapat, bekas Setiausaha Agung PKM itu telah meninggalkan banyak kerosakan dan musibah kepada rakyat dan negara.

Tegasnya, jasad dan abu Chin Peng tidak layak disemadikan di bumi Malaysia kerana rekod kekejamannya selain pemimpin komunis itu juga dikatakan bukan warganegara Malaysia.

Generasi muda jangan mudah terpengaruh dengan usaha pihak tertentu untuk mengangkat martabat Chin Peng sebagai wira sedangkan hakikatnya dia adalah individu yang tidak diperlukan di negara bertuah ini," katanya.

Sementara itu, generasi baharu Felda Raya Jengka 14, Mohamed Razali Mamat menyifatkan isu abu mayat pengganas komunis tersebut sengaja diperbesar-besarkan bagi menguji kewibawaan kerajaan di samping cuba menyemai pengaruh komunis di negara ini.

Bagaimanapun katanya, jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak sebarang permohonan membawa balik abu mayat Chin Peng memberi kelegaan kepada rakyat.

2,000 rumah mampu milik

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL

WAN Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) melihat replika rumah rekaan terbaru Pasdec Holdings Berhad di ruang legar pusat beli belah Kuantan Parade, Kuantan, baru-baru ini.

utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 25 Sept. - Lebih 2,000 rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibina di beberapa daerah di negeri ini dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rumah yang dijual pada harga kira-kira RM150,000 itu bagi memenuhi permintaan penduduk negeri ini.

"Keseluruhannya sebanyak kira-kira 4,000 unit rumah mula dibina di bawah PR1MA di beberapa daerah seperti Kuantan, Temerloh dan Cameron Highlands.

"Kerajaan juga sentiasa bersedia untuk membuat penambahan bilangan rumah yang merupakan proses berterusan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perasmian Karnival Jualan Pasdec di ruang legar pusat beli-belah Kuantan Parade, di sini baru-baru ini.

Karnival selama tiga hari berakhir Ahad lalu melibatkan penawaran 312 unit rumah dan pusat komersial bernilai RM95 juta.

Sempena karnival itu, Pasdec menawarkan harga istimewa bagi produk kediaman dan komersialnya untuk tempoh sebulan bermula 20 September hingga 21 Oktober depan.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pasdec Holdings Berhad, Datuk Khairuddin Abdul Manan.

Tambah Wan Rosdy, ketika ini hampir 30,000 permohonan untuk membeli rumah diterima pihak kerajaan negeri dengan usaha berterusan akan dilakukan bagi memastikan rakyat dapat memiliki kediaman.

"Semua proses permohonan tersebut sedang diteliti bahagian perumahan dan telah ada beberapa ribu permohonan yang telah diberi jawapan.

"Dalam rekod yang kita ada, sejumlah 40,000 rumah telah dan sedang dibina, ini pasti dapat memenuhi permohonan yang kita terima," jelasnya.

Kepemimpinan UMNO Raub perlu perubahan

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Ir. Mohd. Ghazali

RAUB 25 Sept. - Keinginan dan keazaman bagi melakukan perubahan kepada UMNO Raub menjadi pendorong kepada Datuk Ir. Mohd. Ghazali Kamaruzaman, 48, bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian pada pemilihan parti bulan hadapan.

Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kuala Semantan itu berkata, sudah tiba masanya suntikan darah baharu diberikan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Raub demi memastikan sokongan orang Melayu terutama golongan muda terus meningkat.

Menurutnya, usaha bagi meningkatkan sokongan orang Melayu di daerah tersebut perlu segera dilakukan kerana dapat dilihat sokongan kaum itu kepada parti berkurangan pada pilihan raya umum lalu.

"Keputusan saya bertanding bagi jawatan ini (Ketua UMNO Bahagian) bukan demi kepentingan peribadi tetapi saya ingin meremajakan UMNO di Raub yang kini kelihatan agak lesu.

"Matlamat dan wawasan saya adalah untuk memperkukuhkan kedudukan parti di kawasan ini terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang saya percaya pasti lebih mencabar, jadi kita perlu tingkatkan sokongan orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Ghazali berkata, beliau ingin memastikan UMNO Bahagian tersebut disertai oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada pelbagai golongan.

Beliau berkata, terdapat lima golongan yang perlu dimasukkan dalam senarai AJK bahagian iaitu profesional, pendidik, ketua kampung, orang muda dan golongan peniaga.

"Penglibatan semua pihak ini perlu dalam kita memastikan UMNO disertai bukan hanya oleh golongan terpelajar sahaja malah golongan seperti ketua kampung juga perlu dilibatkan kerana mereka lebih mengetahui hal berkaitan kampung.

"Begitu juga golongan profesional seperti peguam, jurutera dan doktor. Ramai golongan ini di Raub berminat tetapi atas kekangan politik mereka tidak dapat untuk bergiat aktif dalam parti," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Polis Sudan lepas gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan

Posted: 25 Sep 2013 12:08 PM PDT

KHARTOUM, 25 Sept. - Polis Sudan terpaksa melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan di bandar ini semalam kerana menentang kenaikan harga bahan api.

Penunjuk perasaan tersebut berkumpul di bangunan universiti dan beberapa stesen minyak dan juga menyekat jalan utama yang menuju ke lapangan terbang berhampiran Hotel Rotana.

Seorang wartawan Reuters menyaksikan polis melepaskan tembakan serentak kearah penunjuk perasaan yang berkumpul manakala beratus-ratus lagi pegawai dan agen keselamatan bergegas ke pusat bandar. - REUTERS

Tiga daerah timur Afghanistan dalam kawalan Taliban

Posted: 25 Sep 2013 12:07 PM PDT

KABUL 26 Sept. - Tiga daripada tujuh daerah di timur Afghanistan kini berada dalam kawalan kumpulan Taliban.

Menurut jurucakap Gabenor wilayah Nuristan, Mohammad Zaher Bahand, antara daerah yang dikawal termasuklah Kamdesh, Waigal dan Barg-e-Matal.

"Kegiatan kumpulan Taliban semakin meningkat dua kali ganda sejak tentera asing meninggalkan negara ini tahun lepas," kata Zaher, yang kini berada di Kabul untuk membuat rayuan. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiga didakwa cuai sebabkan tahanan lolos

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

SEREMBAN 25 Sept. - Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan bersubahat dan cuai sehingga menyebabkan seorang tahanan kes dadah berjaya meloloskan diri dari tahanan polis di kawasan rehat di Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Nilai dekat sini pada awal bulan ini.

Lans Koperal Nizar Azizi Alwi, Koperal Ismail Jamil dan Konstabel Nashrul Azlan Mohammad masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan kepada mereka di hadapan Majistret Mohamad Izman Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, Nizar Azizi, 30, didakwa bersubahat dengan seorang tahanan polis, B. Kishminderjit Singh, 39, dengan menyerahkan wang RM1,000 kepada tahanan itu untuk diberi kepada Ismail dan Nashrul Azlan sebagai sogokan bagi membolehkan suspek dengan sengaja melarikan diri daripada tahanan polis.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokap Balai Polis Mantin di Nilai dekat sini antara pukul 11 malam, 31 Ogos dan pukul 3 pagi, 1 September lalu.

Nizar Azizi didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ismail, 50, dan Nashrul Azlan, 24, pula didakwa secara bersama dengan cuai menyebabkan Kishminderjit terlepas dari kurungan polis di hadapan tandas kawasan rehat di Plaza Tol Setul, Lekas berhampiran Nilai dekat sini antara pukul 7.50 pagi dan 10.55 pagi pada hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd. Izman kemudian membenarkan Nizar Azizi diikat jamin RM3,000 manakala dua lagi tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM1,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan sebutan kes pada 28 Oktober ini.

Ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Balai Polis Mantin diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie dan Siti Huzaifah Abdul Talib manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammed Zainudin.

Utusan Malaysia pada 3 September lalu melaporkan Kishminderjit yang dalam perjalanan untuk dibawa ke Penjara Simpang Renggam, Johor berjaya meloloskan diri ketika dua anggota polis yang mengiringinya berhenti di hentian rehat berkenaan selepas lelaki itu mengadu sakit perut.

Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, Kishminderjit yang bergari di belakang menolak anggota polis yang membuka pintu van lalu masuk ke dalam sebuah kereta Proton Satria dan beredar.

Bagaimanapun, suspek yang merupakan tahanan kes dadah berjaya ditangkap semula dua hari kemudian di sebuah rumah di Semenyih, Selangor.

Dua dituduh buat laporan palsu

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

PARIT 25 Sept. - Dua anggota polis dari Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah yang menghadapi tuduhan rasuah minggu lalu, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membuat laporan palsu untuk menyelamatkan seorang lelaki yang disyaki memiliki dan menjual mercun serta rokok seludup, tahun lalu.

Inspektor Mohd. Shahrul Nizam Kaswadi, 29, dan Lans Koperal Mohd. Daniel Chris Iman Raynold, 31, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Jumaat lalu, kedua-dua tertuduh serta seorang lagi rakan mereka, Lans Koperal Mohamad Hijan Ismail, 25, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh dekat sini atas atas tiga tuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah berjumlah RM7,400 daripada lelaki yang sama bagi tujuan serupa.

Dalam prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh yang ditugaskan untuk menyediakan satu laporan polis terhadap Rosnizal Badri Shah, 30, didakwa telah membuat laporan palsu untuk menyelamatkan lelaki itu yang melakukan kesalahan memiliki dan menjual mercun dan rokok seludup.

Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1.12 pagi, 8 Ogos tahun lalu di IPD Perak Tengah, Seri Iskandar dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yang Ah Lay mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ah Lay mencadangkan kepada mahkamah supaya kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 setiap seorang.

Beliau juga memohon agar pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk tujuan perbicaraan kerana melibatkan saksi dan pengadu yang sama.

Peguam Kulvinder Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon anak guamnya hanya dikenakan ikat jamin RM2,000 setiap seorang memandangkan mereka telah berkhidmat antara dua dan 11 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penanggung tunggal keluarga masing-masing.

"Sebaik sahaja didakwa, kedua-dua mereka digantung kerja dan keadaan ini menyebabkan keluarga mereka hilang sumber pendapatan.

"Mereka berdua juga tidak akan melarikan diri. Ini terbukti hari ini apabila kedua-dua mereka yang sedang berada dalam jaminan tetap datang ke sini hari ini untuk menghadapi tuduhan," katanya.

Siti Hafiza kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh dan kes itu akan disebut semula di mahkamah tersebut pada 23 Oktober ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Kahwin: Almy Nadia pendam rasa

Posted: 25 Sep 2013 01:51 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR 25 Sept. - "Saya mahu simpan dulu semua komen. Buat masa sekarang saya tidak mahu komen sebab perkara ini penting untuk saya jaga hati banyak pihak," jawab pelakon, Almy Nadia mengenai pendedahan Fizz Fairuz yang mengaku ingin mengahwininya tahun depan.

Menurut Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, dia memilih masa yang sesuai untuk mendedahkan sebarang kebenaran kerana soal pernikahan akan membabitkan banyak pihak lain.

Katanya, kalau dia memberi sebarang kenyataan atau komen sekarang, nanti ada pula pihak yang terasa dan beranggapan lain terhadapnya.

"Pandangan orang berbeza-beza. Saya tak mahu singgung mana-mana pihak. Tunggu sahaja. Saya pasti akan komen. Buat masa ini biarlah pihak lelaki (Fizz) yang memberi sebarang kenyataan," katanya kepada Utusan Online hari ini.

Almy dan Fizz pernah bercinta selama tujuh tahun tetapi putus di tengah jalan pada sekitar 2011.

Fizz kemudian mengambil keputusan untuk bertunang dengan wanita lain, bagaimanapun pertunangan itu mencetuskan kontroversi apabila pelakon lelaki itu didakwa bertunang dengan isteri orang. - UTUSAN ONLINE

Zizan, Kaka lancar single

Posted: 25 Sep 2013 01:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Pelawak popular, Zizan Razak kembali berganding dengan penyanyi, Kaka Azraff dalam single terbaru mereka berjudul Infiniti Cinta, selepas berduet dalam single Bawaku Pergi sebelum ini.

Menurut Zizan, single kedua dirinya dan Kaka ini membuktikan keserasian mereka berdua sebagai penyanyi dan dia berharap lagu tersebut akan diterima baik oleh peminat mereka.

"Sejak berganding bersama dalam lagu Bawaku Pergi, saya berasa cukup selesa bersama Kaka dan kini terhasilnya single kedua kami," katanya dalam majlis pelancaran single tersebut di sini hari ini.

Single tersebut telah mula dimainkan di radio-radio tanah air sejak penghujung bulan Jun lalu. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Memacu ekonomi bumiputera

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh Norizan Sharif

SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini, ia menjadi satu isu yang dibahaskan di media massa. Ini adalah perkara yang baik kerana ia menunjukkan minat yang tinggi pelbagai pihak kepada soal ekonomi bumiputera. Sekali gus, ia mengangkat harakat perbahasan isu ekonomi bumiputera.

Pandangan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM), Tan Sri Rozali Ismail dalam rencana Ayuh Perkasakan Ekonomi Melayu (Utusan Malaysia, 24 September 2013) adalah baik. Tulisan tersebut menunjukkan keprihatinan seorang tokoh korporat dan pemimpin NGO bumiputera yang tinggi kepada isu ini.

Bagaimanapun atas semangat untuk memurnikan tulisan itu, maka elok diberikan sedikit pencerahan sekali gus membetulkan fakta kepada tulisan beliau yang menyebut bahawa, Lihat saja apa yang berlaku kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera yang ditubuhkan pada Februari 2011 sebagai unit strategik untuk menerajui, memacu dan menyelaras agenda Bumiputera. Sejak agensi itu melancarkan program outreach bagi membantu usahawan berpotensi, hanya 18 usahawan Melayu dari seluruh Malaysia berjaya dikumpulkan. Lebih malang lagi, kesemua syarikat tersebut tidak dibantu sehingga hari ini. Kenapa susah sangat mahu membantu syarikat terbabit?"

TERAJU diwujudkan sebagai satu unit strategik dan berfungsi sebagai sekretariat kepada Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera (MTAB). Sejak penubuhannya, MTAB telah meluluskan pelbagai dasar dan strategi. Ini termasuklah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, pelupusan aset syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan peruntukan khas (carve out) kontrak projek mega untuk syarikat-syarikat bumiputera.

Mesyuarat MTAB yang lalu juga meluluskan cadangan menubuhkan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera di semua kementerian. Pengumuman mengenai keputusan MTAB ini dibuat oleh Perdana Menteri di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 14 September lalu. Kita berharap apabila unit ini beroperasi, ia akan dapat meningkatkan penyertaan bumiputera di kementerian-kementerian berkenaan, termasuklah menyediakan peluang-peluang perniagaan yang lebih besar untuk usahawan.

Di bawah peruntukan khas (carve out) kontrak projek mega yang diluluskan oleh MTAB, sebanyak 22 syarikat bumiputera telah mendapat kontrak bernilai RM9.1 bilion atau 47% nilai keseluruhan kontrak MRT. Jumlah ini tidak termasuk syarikat-syarikat bumiputera lain yang turut melakukan kerja-kerja sub-kontrak dan kerja-kerja kecil (kelas F) di bawah projek berkenaan. Sekiranya ini dimasukkan, jumlah syarikat yang mendapat manfaat mencecah ratusan.

MTAB memperakukan model ini sebagai satu kaedah mengagihkan projek mega kepada bumiputera. Perdana Menteri yang mempengerusikan MTAB bersetuju agar ia diperluaskan kepada empat lagi projek lain iaitu Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, Pembangunan Tanah RRI Sungai Buloh dan Pusat Pameran Matrade. Keseluruhan nilai kontrak dalam projek- projek ini yang diperuntukkan kepada bumiputera bernilai RM4.2 bilion atau secara purata 40% nilai kontrak.

Bagi menggalakkan penyertaan bumiputera dalam inisiatif pembiayaan swasta, TERAJU bekerjasama dengan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) untuk menyalurkan Dana Mudahcara. Dana berbentuk geran 15% dari nilai projek diberikan kepada inisiatif pembiayaan swasta bumiputera bernilai sekurang-kurangnya RM5 juta.

Sehingga Ogos tahun ini TERAJU meluluskan geran Dana Mudahcara sebanyak RM404.5 juta kepada 87 buah projek dengan nilai pelaburan swasta RM3.7 bilion. Inisiatif syarikat-syarikat bumiputera ini dijangka menyediakan sejumlah 13,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Selain itu, sehingga kini sebanyak 450 buah syarikat telah menyertai program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS). Syarikat-syarikat ini berpeluang mendapat akses kepada pembiayaan modal kerja dan perolehan aset berjumlah RM1.62 bilion di tiga institusi kewangan. Sehingga Ogos 2013, 91 syarikat TeraS mendapat pembiayaan berjumlah RM387 juta dan jumlah ini meningkat dari semasa ke semasa.

TERAJU juga melakukan intervensi dan kolaborasi dalam program pembangunan usahawan di pelbagai kementerian dan agensi bagi menentukan bumiputera mendapat peluang yang lebih besar. Bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan sesuai dengan peranan TERAJU sebagai unit strategik, program-program ini dilaksanakan melalui agensi-agensi yang bersesuaian.

Antaranya ialah program Prosper Teras dan skim usahawan prasekolah yang dilaksanakan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), pembiayaan ekuiti dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pembiayaan agropreneur yang dilaksanakan melalui Johor Corporation. Program Prosper Teras telah memberikan pembiayaan kepada perusahaan kecil dalam bidang otomotif, telekomunikasi, bekalan pembinaan dan perkhidmatan profesional.

Kesemua inisiatif ini mensasarkan pelbagai kelompok usahawan, termasuklah perusahaan mikro. Beberapa inisiatif lagi sedang dipertimbangkan oleh kerajaan bagi tujuan mendapatkan peruntukan kewangan dan akan dihebahkan kepada umum apabila mendapat kelulusan. Dalam bidang pendidikan, TERAJU telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) sebagai salah satu inisiatif quick win" untuk meningkatkan kapasiti Bumiputera. Sehingga kini seramai 921 orang pelajar telah dan sedang menjalani program-program YPPB seperti Tunas Geliga, Tunas Iltizam, Tunas Potensi, Peneraju Profesional. TERAJU juga bekerjasama dengan Yayasan Sarawak bagi melaksanakan program bagi meningkatkan bumiputera dalam bidang perakaunan.

TERAJU juga membangunkan dan memberikan peruntukan untuk program pembangunan felo sektor pembinaan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Program ini mensasarkan kepada empat kelompok tenaga mahir iaitu pengurusan pembinaan, graduan pembinaan, penyelia (pembinaan dan kimpalan) dan pekerja mahir pembinaan (perancah dan pelukis pelan minyak dan gas). Seramai 120 graduan dijangka dilahirkan pada setiap tahun.

Bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, Najib mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi menggantikan MTAB. Ini adalah satu langkah ke hadapan. Sekiranya MTAB bersidang tiga bulan sekali, MEB akan bermesyuarat setiap bulan bermula Oktober ini. Dengan keanggotaan yang lebih kecil dan spesifik, MEB akan menjadi platform yang berkesan untuk menentukan semua inisiatif pemerkasaan ekonomi bumiputera memberikan manfaat kepada rakyat seperti yang diharapkan. Pengumuman Najib bahawa Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan diletakkan di bawah pengurusan TERAJU akan terus membuka peluang kepada usahawan bumiputera.

TERAJU juga diberikan peranan untuk menyelaras inisiatif-inisiatif pemerkasaan ekonomi bumiputera.Kesemua ini adalah merupakan cabaran besar yang harus digalas oleh kita bersama. Atas semangat itulah maka TERAJU mengundang semua pihak untuk bersama-sama mendokong agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

PENULIS ialah Pengarah Kanan, Pengurusan Stakeholder, Unit Peneraju Agenda

Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri.

'Bersarakan' golongan duri dalam UMNO

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh Azman Anuar

PEMILIHAN UMNO 2013 yang berlangsung pada 12 dan 19 Oktober ini dilihat sebagai satu pertandingan untuk melihat barisan kepimpinan yang efektif dan rasional di mata 146,500 ahli UMNO yang layak untuk mengundi.

Atas tuntutan demokrasi, maka ramai ahli UMNO menawarkan diri untuk dipilih menjadi pemimpin - cawangan, bahagian dan pusat.

Seramai 33,682 ahli UMNO dari seluruh negara menawarkan diri sebagai calon bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian dan pusat.

Pemilihan pada kali ini adalah gelanggang untuk melihat pemimpin UMNO yang dipilih nanti bukan sahaja boleh diterima oleh parti tetapi juga rakyat.

Sebab itu UMNO mesti ketengahkan barisan pemimpin yang boleh diterima rakyat dan mampu mencerminkan imej yang positif kepada parti itu.

Sebagai pengundi, ahli UMNO bukan sahaja akan memilih individu sebagai pemimpin parti peringkat bahagian dan pusat, tetapi turut menentukan hala tuju parti.

Jadi ahli UMNO yang diberi amanah untuk mengundi mesti pandai menilai pemimpin yang akan memimpin mereka.

Pilihlah pemimpin yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi dan sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Proses terbaharu pemilihan UMNO kali ini jika dilaksanakan dengan betul, maka tiada lagi salah guna kuasa, akan lenyap politik wang dan berkurang kempen melobi perwakilan. Hanya pemimpin yang benar-benar berkhidmat dan berbakti akan dikenali oleh ahli peringkat cawangan.

Kepada pemimpin UMNO yang pernah diberi peluang untuk memimpin ahlinya di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat, tetapi telah gagal melaksanakan amanah yang diberi, ahli-ahli kenal siapa individu tersebut. Ahli UMNO kenal siapa yang selalu buat kerja untuk parti dan siapa yang hanya pandai main wayang.

Dalam keghairahan pesta demokrasi dalam UMNO ini, ahli UMNO tidak boleh buat silap. Kesilapan memilih pemimpin yang tidak mampu membawa perubahan kepada parti, maka menjadikan UMNO sebuah parti yang terus berpenyakit, lemah dan mungkin sukar diubati.

Ahli UMNO membantu menaikkan pemimpin ke atas sebab kecerdikannya dan kebolehan memimpin dan kerana politik sogok menyogok.

Dalam memilih pemimpin perlu ada rasionalnya. Kenapa hendak menolak pemimpin atau ketua yang sudah menyumbang kepada kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

Tolaklah pemimpin yang menyebabkan BN tersungkur di kawasan yang berkenaan. Tolak mereka dan kroninya yang tak buat kerja.

Nyahkan mereka yang membolot peruntukan yang disediakan untuk PRU-13 setelah tidak dipilih untuk menjadi calon dengan tujuan menggunakan wang itu untuk bertanding pada pemilihan UMNO kali ini.

Golongan ini menjadi duri dalam daging malah ada di kalangan mereka yang terus mahu memegang jawatan dalam parti. Merekalah yang main politik wang hingga menjejaskan kepercayaan rakyat kepada UMNO.

Jika perwakilan UMNO sayangkan parti, bersarakan golongan ini daripada memegang sebarang jawatan dalam parti.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


UKM jadi saksi percintaan

Posted: 24 Sep 2013 11:17 PM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar MOHD NAJIB

Muhammad Hatta Rajiee dan Nurul Syafiza Din sama cantik sama padan duduk di atas pelamin gubahan Precious Moments Collection.

"KAMI memang telah bersedia untuk menjadi pasangan suami isteri walaupun tarikh perkahwinan telah diawalkan daripada tarikh perancangan kami pada Disember ini.

"Alhamdulillah, Allah permudahkan niat baik kami untuk mendirikan rumah tangga apabila terpilih sebagai pemenang ketiga Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Keempat," ujar Muhammad Hatta Rajiee, 30.

Bukan saja perkahwinannya dengan gadis impian, Nurul Syafiza Din, 25, berlangsung lebih awal daripada tarikh yang dirancang, bahkan sebahagian besar urusan persandingan mendapat penajaan hasil daripada kemenangan tersebut.

Dewan Tun Abdullah Mohammad Salleh (DTAMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih sebagai tempat meraikan tarikh indah paling bersejarah dalam hidup mereka pada 22 September lalu.

Lebih 1,000 tetamu memenuhi undangan majlis perkahwinan pasangan ini, selain majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran sanak-saudara terdekat daripada kedua-dua belah pihak.

Menurut Muhammad Hatta, sengaja dia memilih mengadakan majlis bersejarah di dewan tersebut kerana memang telah menjadi impiannya sekian lama.

"Sejak kami mula menjalinkan hubungan cinta lima tahun lepas, kemudian bertunang selama dua tahun, keinginan dan impian untuk bersanding di sini sudah terpahat dalam hati.

"UKM menyimpan memori indah dalam hidup kami kerana bibit percintaan kami bermula di sini," katanya.

Mengimbas memori percintaan mereka, Muhammad Hatta berkata, sebagai Penyelia Kolej Ibrahim Yaakub, tugasnya banyak memerlukan dia berurusan dengan Nurul Syafiza, seorang penuntut peringkat Ijazah Sarjana Psikologi Pendidikan yang kebetulan Exco Siswa Siswi kolej tersebut.

Menurutnya, mereka kerap berjumpa bagi membincangkan hal-hal berkaitan penghuni kolej.

"Dalam diam saya menyenangi sikapnya yang lembut dan pendiam. Dari situ timbul perasaan cinta dan berhasrat menyuntingnya sebagai isteri selepas dia tamat pengajian.

" Alhamdulillah, ketika meluahkan hasrat hati pada Nurul, rupa-rupanya saya tidak bertepuk sebelah tangan," ujar Muhammad Hatta sambil tersenyum.

Ujar Muhammad Hatta lagi, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila dia berusaha menyediakan beberapa rangkap pantun ketika pertama kali bertemu dengan bapa Nurul Syafiza, yang secara tidak langsung tujuan untuk merisik.

"Enam rangkap pantun yang saya karang sendiri adalah terjemahan kepada kesungguhan saya untuk menyunting Nurul sebagai isteri.

"Alhamdulillah hasrat saya mendapat restu daripada ibu bapanya dan sekarang kami sah menjadi suami isteri," katanya.

Pasangan ini dinikahkan pada 13 September lalu di kediaman Nurul Syafiza di Bukit Punggur, Alai, Melaka, diikuti dengan majlis persandingan pihak perempuan keesokan harinya.

Sementara itu, persandingan menyambut menantu pada hujung minggu lalu di DTAMS, berlangsung dengan meriah apabila pasangan pengantin yang segak dan anggun dengan persalinan berwarna merah jambu bersulam ungu rekaan Dios Astana Bridal, diarak sambil diiringi paluan kompang.

Duduk sama padan di pelamin yang dihias indah hasil rekaan Izzuddin Karso daripada Precious Moments Collection, seri pengantin nyata terserlah dengan solekan hasil sentuhan Ismalilie Fitri Abdullah daripada Afidah Khamis Make Ups and Stuff.

Majlis persandingan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM,Prof. Datuk Ir. Dr. Othman A. Karim dan isteri, serta Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid.

Ditanya mengenai bulan madu, Muhammad Hatta dan Nurul Syafiza berkata, destinasi yang ditaja oleh Poto Travel iaitu ke Jakarta memang menjadi idaman mereka berdua.

Begitupun, mereka juga mempunyai tempat bulan madu impian yang ditempah sendiri iaitu Pulau Tioman yang akan dikunjungi pada bulan November ini.

Apa pun majlis persandingan pemenang ketiga ini mendapat sokongan padu daripada semua penaja seperti Mastar Catering yang menaja jamuan , Precious Moments Collection (pelamin dan hiasan meja makan), Afidah Khamis Make Ups and Stuffs (solekan), CJ Print (kad kahwin), Dios Astana Bridal (pakaian pengantin), D'Sayang Entertainment (sistem siar raya), Sweet and Sour Photo Design (fotografi) dan Eja Shahril (tudung pengantin).

Turut menaja Poto Travel Sdn. Bhd. (pakej bulan madu), Suri Permai Spa (spa), Kampung Pengantin (lokasi dan jamuan) dan Utusan Online (laman sesawang rasmi).

Along berubah selepas koma

Posted: 24 Sep 2013 11:17 PM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Asmuna, 50, (bukan nama sebenar), mengakui jiwanya tidak tenteram mengenangkan keadaan rumah tangga anak lelaki sulungnya yang diuji dengan pelbagai dugaan silih berganti.

Lima tahun lalu, anak yang mesra dipanggil Along itu ditimpa kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa.

"Selepas mengalami kemalangan yang menyebabkan Along koma selama seminggu dia sudah tidak seperti dahulu. Tingkah laku dan pemikirannya banyak berubah, tidak banyak bercakap, mudah lupa dan cepat marah. Sedangkan sebelum ini dia anak yang periang, sopan dan penyabar.

"Selepas keluar dari hospital, Along tinggal bersama saya. Kami sekeluarga menjaganya hinggalah dia mendapat pekerjaan dan berpindah ke rumah yang terletak berdekatan dengan tempat kerjanya," kata Asmuna.

Tambahnya, walaupun dari luaran Along kelihatan sihat tetapi sebenarnya masih memerlukan perhatian dan penjagaan rapi kerana ketika kemalangan bahagian otaknya tercedera akibat hentakan yang kuat.

Selepas beberapa bulan bekerja, Along telah menyatakan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang dikenali melalui teman-teman sekerja.

"Pada mulanya saya agak berbelah-bahagi untuk mengizinkan Along berkahwin dengan keadaan fikirannya yang tidak begitu stabil dan orang luar mudah mengambil kesempatan terhadapnya.

"Pada masa yang sama saya juga berdoa agar wanita yang bakal menjadi isterinya nanti akan menjaga Along dengan baik," kata Asmuna.

Firasat seorang ibu nyata betul. Beberapa bulan berkahwin, Asmuna dikhabarkan dengan berita perceraian Along.

Ternyata berita tersebut cukup mengecewakan Asmuna. Tetapi punca keruntuhan rumah tangga anak sulungnya itu lebih mengejutkan.

"Rupa-rupanya Along telah menjadi 'pak sanggup'. Wanita yang dikahwininya telah mengandung anak luar nikah. Dia telah memberi Along sejumlah wang agar berkahwin dengannya," katanya.

Asmuna tidak menyangka anaknya sanggup melakukan perkara tersebut hanya kerana wang.

Selepas kejadian tersebut, dia sentiasa menasihati anaknya itu supaya tidak mudah terpedaya dengan wanita-wanita di luar yang ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya.

"Namun, nasihat saya tidak diambil endah. Setahun kemudian dia sekali lagi berkahwin dengan seorang janda beranak satu dari seberang.

"Di awal perkahwinan, anak dan menantu tinggal bersama kami sekeluarga kerana ketika itu pendapatan Along tidak cukup untuk menampung keperluan hidup keluarga barunya.

"Selepas setahun berkahwin, baru mereka berpindah ke rumah sewa yang terletak berdekatan dengan tempat kerjanya," jelasnya.

Walaupun mereka tinggal berasingan, jika ada waktu kelapangan Asmuna akan pergi melawat anaknya bagi memastikan keadaannya selamat dan sihat.

"Ketika mereka tinggal di rumah saya, memang isterinya melayan Along dengan baik. Tetapi keadaan berubah selepas mereka tinggal di rumah sendiri.

"Along dilayan dengan teruk oleh isteri. Dia bagaikan tunggul di rumah sendiri. Pernah suatu hari apabila saya bersama suami pergi melawatnya di rumah, kami sangat terkejut melihat keadaan Along yang dilayan seperti orang asing di rumah sendiri.

"Di satu sudut, saya melihat tempat tidurnya dipisahkan dan hanya tidur beralaskan bantal buruk yang diletakkan di atas lantai," ujarnya.

Asmuna berkata, setiap bulan gajinya habis dibelanjakan oleh isterinya. Ada kala dia terpaksa mengikat perut dan menahan lapar kerana tiada wang untuk membeli makanan.

Melalui jiran-jiran Along, Asmuna diberitahu bahawa anaknya itu juga sering dimarah dan diherdik dengan kata-kata hinaan oleh isterinya biarpun ketika di hadapan orang ramai.

"Melihat keadaan Along yang dilayan seperti itu oleh isteri sendiri, pernah terlintas di dalam hati untuk menyuruh dia menceraikan isterinya dan kembali menjalani hidup bersama kami sekeluarga.

"Saya juga pernah bertengkar dengan menantu saya itu dan meminta dia meninggalkan Along jika begitu cara layanannya terhadap anak saya.

"Namun, saya sedar saya tidak ada hak untuk masuk campur dan meminta anak saya menceraikan isterinya kerana Along telah memilih wanita tersebut sebagai isterinya. Lagipun tidak baik jika seorang ibu tergamak untuk menghancurkan rumah tangga anaknya sendiri," katanya.

Sehingga kini, Asmuna hanya mampu berdoa agar anaknya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan kembali sihat seperti sediakala.

Dia merasa benar-benar kecewa kerana menantu dan orang lain sanggup mengambil kesempatan di atas kelemahan anaknya yang boleh dikatakan sebagai OKU (orang kurang upaya) selepas kemalangan berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Medan letak kereta bakal dihapus

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Medan atau kawasan letak kereta jenis terbuka, tidak akan wujud lagi di ibu negara menjelang 2016.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, keputusan untuk tidak membenarkan lagi perkhidmatan medan letak kereta bermula tahun itu adalah seiring dengan matlamat untuk menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam dan berjalan kaki.

"Setelah bermesyuarat OSC (pusat setempat) pagi tadi, kami mengambil keputusan ke arah tersebut setelah kali terakhir kajian dilakukan pada tahun 1970 yang ketika itu meletakkan nisbah kenderaan di Kuala Lumpur adalah 40:60, iaitu 40 peratus kenderaan awam dan 60 peratus kenderaan persendirian.

"Tetapi menjelang tahun 2016 dan 2017, dengan siapnya semua stesen Projek MRT Hubungan Sungai Buloh-Kajang, dijangka Kuala Lumpur tidak memerlukan lagi sebarang medan dan petak letak kereta.

"Sebarang bangunan dan kawasan premis yang jaraknya hanya 200 meter dari mana-mana stesen MRT tersebut tidak perlu mengadakan medan letak kereta.

"Kita sangat menggalakkan budaya berjalan kaki kepada warga Kuala Lumpur dengan dijangka projek sambungan laluan pejalan kaki antara bangunan juga telah siap di samping kemudahan pengangkutan awam jenis lain juga adalah pada tahap maksimum ketika itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar antarabangsa kelima 'World Class Sustainable Cities 2013' (WCSC) yang bertemakan 'Liveable Cities Are Creative & Competitive Cities' di Hotel Mandarin Oriental, di sini hari ini.

Seminar itu dianjurkan oleh Sime Darby Property Berhad bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Seminar itu dihadiri 600 peserta dari pelbagai sektor dan latar belakang.

Turut hadir Pengerusi REHDA Wilayah Persekutuan, Tan Ching Meng; Presiden MIP, Md. Nazri Mohd. Noordin; dan Presiden PAM, Ar. Chan Seong Aun.

Dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Phesal berharap semua pihak akan belajar dan mengambil pengalaman dari bandar-bandar besar di dunia supaya segala yang menjadi amalan pembangunan dan kemajuan mereka dapat dipraktis dan diterapkan di Kuala Lumpur.

Katanya lagi, Kuala Lumpur sendiri akan mempunyai keunikan tersendiri yang antaranya bakal mempunyai 14 jenis taman hijau dan rekreasi pelbagai tema yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

2,000 penduduk hidu asap sampah

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
kota@utusangroup.com.my

Kebakaran kawasan pelupusan sampah berdekatan Kampung Sungai Lias di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor sukar dipadamkan kerana timbunan sampah yang tinggi dan cuaca berangin.

SABAK BERNAM 24 Sept. - Kira-kira 2,000 penduduk terjejas apabila sebuah tapak pelupusan sampah seluas dua hektar berdekatan Kampung Sungai Lias, Sungai Besar di sini terbakar sejak kelmarin.

Kejadian yang mula disedari pada pukul 4 petang itu pada awalnya hanya melibatkan sebahagian kecil kawasan namun kebakaran didapati semakin merebak hingga menyebabkan hampir keseluruhan tapak pelupusan sampah itu terbakar.

Seorang penduduk, Aishah Abd. Hamid, 71, berkata, pihak bomba sudah berusaha keras memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah itu namun sehingga semalam, api masih gagal dipadamkan sepenuhnya.

Dia yang tinggal berhadapan lokasi kebakaran memberitahu, kejadian itu menjejaskan kegiatan harian penduduk dan tahap kesihatan mereka terganggu.

"Saya sukar untuk bernafas kerana kepulan asap yang tebal dan terpaksa membataskan aktiviti luar rumah sejak hari pertama lagi.

"Saya mempunyai seorang anak saudara yang menghidap penyakit lelah dan kami terpaksa menjaganya dengan lebih rapi kerana keadaan berjerebu ini tidak baik untuk kesihatannya," katanya ketika ditemui.

Rata-rata penduduk berharap pihak bertanggungjawab mempercepatkan usaha bagi memadamkan kebakaran tersebut bagi mengelakkan penduduk daripada menghadapi masalah kesihatan akibat menyedut asap.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Penolong Penguasa Bomba, Rani Mat Hanafiah berkata, operasi memadam kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah itu melibatkan 21 pegawai dan anggota bersama tiga buah jentera.

Menurut beliau, pihaknya turut mendapatkan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Sabak Bernam bagi memastikan sumber air mencukupi dan dapat disalirkan ke kawasan kebakaran.

"Api sukar untuk dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh singkat kerana keadaan timbunan sampah yang tinggi dan keadaan cuaca kering serta berangin," jelasnya.

Dahan pokok halang tempat letak kereta

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

PETALING JAYA 24 Sept. - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diminta mengarahkan kontraktor pembersihannya agar mengangkut dahan-dahan pokok yang yang ditinggalkan di kawasan letak kereta di Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara dekat sini.

Ini kerana dahan-dahan pokok yang telah dicantas itu bertaburan di sekitar kawasan tersebut sehingga menyukarkan orang ramai untuk meletak kenderaan masing-masing di situ.

Seorang pereka grafik, Hasrin Misran, 47, mendakwa, kerja-kerja mencantas dahan itu dilaksanakan pada Isnin lalu oleh kontraktor terbabit namun kawasan itu tidak dibersihkan dan dahan-dahan itu dibiarkan bertaburan di situ.

"Saya harap dahan-dahan pokok berkenaan dibersihkan segera demi memudahkan orang ramai meletak kenderaan di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lokasi terbabit hari ini.

Dalam perkembangan sama, penulis turut sempat meninjau kawasan yang pernah didakwa oleh penduduk sebagai lubuk sampah di kawasan berdekatan itu.

Walaupun telah dibersihkan dan menurap jalan di situ tetapi masih terdapat sampah yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Hasrin berkata, walaupun telah dibersihkan oleh MBPJ, sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah di situ masih tidak berubah.

"Kami yang terpaksa menghidu bau sampah setiap hari di sini kerana pejabat kami paling hampir dengan kawasan itu. Mereka sewenang-wenangnya membuang sampah sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada persekitaran dan kesihatan penduduk sekitar," jelasnya.

Saiful Anuar Sitam, 31, pula berkata, keadaan tong sampah di hadapan pejabatnya juga diterbalikkan selain sisa domestik dan timbunan barang lusuh dibuang sesuka hati oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kontraktor sampah mengutip sampah di sini dua kali dalam sehari. Tetapi, selepas mereka beredar, sampah tidak dibuang ke dalam tong dan kembali bertaburan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Galak pelajar kitar semula

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

ZAINAL Fitri Ahmad (kiri) bersama para pelajar menyusun surat khabar dan kertas terpakai untuk dijual sempena Kempen Kitar Semula di SMK Permas Jaya 3, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, Johor, semalam. - utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 24 Sept. - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri ini menganjurkan Program Habitat Moment di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 3 di sini sebagai langkah menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar.

Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama pihaknya dengan Kementerian Pendidikan sempena sambutan Hari Habitat Sedunia yang akan diraikan pada Isnin minggu pertama bulan depan.

Beliau berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga bumi dengan menjadikan kebersihan sebagai aspek utama selain menyemai semangat untuk mengurangkan penghasilan jumlah sisa pepejal melalui amalan kitar semula.

Sebanyak 45 sekolah rendah dan menengah di Semenanjung Malaysia terpilih untuk menjayakan program ini, lima daripadanya merupakan sekolah dari Johor dan pemilihan sekolah ini dibuat berdasarkan komitmen mereka dalam pengurusan amalan kitar semula sepanjang tahun lalu hingga kini.

Lima sekolah di Johor ialah SMK Permas Jaya 3, SMK Datuk Penggawa Barat, Pontian; Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria, Johor Bahru; SK Bandar Batu Pahat dan SK Datuk Wan Idris, Segamat," katanya ketika ditemui hari ini.

Zainal Fitri berkata, semua sekolah yang menyertai program itu akan melaksanakan semua aturcara yang sama pada hari tersebut bermula pukul 7.30 pagi dengan aktiviti bacaan ikrar diikuti dengan pengumpulan barangan kitar semula di sekolah.

Beliau berkata, aktiviti itu diteruskan dengan menimbang sebelum barangan kitar semula itu dijual.

Bagi memeriahkan program ini, semua pelajar digalakkan untuk membawa barangan kitar semula ke sekolah dan menjual barangan tersebut. Hasil jualan barangan itu akan disumbangkan kepada sekolah bagi menjalankan aktiviti lain pada masa akan datang," katanya.

Lapan pembeli tidak pindah

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

YAAKOB Salleh menunjukkan surat jual beli rumah berlatar belakangkan rumah di Taman Seri Temenggong yang didakwa tidak disiapkan mengikut jadual di Jalan Temenggong Ahmad, Muar, Johor, semalam.

MUAR 24 Sept. - Sebanyak lapan keluarga yang membeli rumah di Taman Seri Temenggong, Jalan Temenggong Ahmad di sini, kecewa kerana masih tidak dapat berpindah ke kediaman itu berikutan jalan dan longkangnya yang bermasalah.

Mereka mendakwa rumah tersebut yang setiap seunit berharga RM280,000 sepatutnya siap sepenuhnya pada 21 Julai lalu, namun hingga kini masih tertangguh.

Seorang pembeli, Yaakob Salleh berkata, keluarganya merancang untuk berpindah ke taman tersebut pada bulan Syawal lalu.

"Saya sudah beberapa kali menghubungi pihak pemaju bertanyakan status rumah ini. Ini kerana saya sudah mula membayar ansuran di bank sejak lapan bulan lalu melalui pemotongan gaji tetapi rumah yang diimpikan masih belum siap sepenuhnya.

"Saya diberitahu tentang beberapa masalah yang dihadapi pemaju seperti aliran longkang dan tangki septik yang masih belum sempurna selain masalah pengambilan tanah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yaakob mendakwa, projek perumahan fasa kedua yang lebih besar di kawasan bersebelahan perumahan itu menjadi antara punca utama taman tersebut lambat disiapkan sehingga terpaksa ditangguh beberapa kali.

Katanya, sekiranya pembeli dibenarkan berpindah dalam masa terdekat dan kenderaan berat masih keluar masuk melalui kawasan itu, keadaan berkenaan amat tidak sesuai dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk.

Menurutnya, pemaju berjanji akan menyerahkan kunci rumah kepada para pemilik selewat-lewatnya hujung tahun ini namun apabila diminta memeterai perjanjian tentang perkara itu, pemaju enggan berbuat demikian.

"Apa yang kami harapkan supaya rumah ini dapat diduduki secepat mungkin dan minta Pejabat Tanah Daerah serta Majlis Perbandaran Muar dapat meneliti permasalahan sebenar taman ini serta mencari puncanya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved