Rabu, 25 September 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Penguat kuasa KPDNKK diugut sekumpulan lelaki bersenjata

Posted: 25 Sep 2013 07:43 PM PDT

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), diugut sekumpulan lelaki bersenjata tajam ketika membuat operasi membanteras cetak rompak di Cheras semalam.

Tujuh lelaki berusia antara 16 dan 46 tahun itu mengacukan pisau, parang samurai, pedang, besi dan rotan terhadap 13 pegawai KPDNKK berkenaan, mengarahkan mereka supaya melepaskan enam suspek yang ditahan oleh pasukan penguat kuasa itu.

Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya,

Fahmi Kasim berkata ketika itu pasukan penguat kuasa berkenaan menyerbu sebuah premis di Taman Mahkota Cheras yang dipercayai menjalankan perniagaan video cakera padat cetak rompak.

"Seorang daripada mereka menuntut kami supaya menyerahkan enam suspek yang ditahan di dalam rumah itu. Kami akur, tetapi polis peronda sempat membantu dan memberkas dua orang daripada mereka bersama dua lagi yang ditahan pasukan penguat kuasa ketika cuba melarikan diri," katanya.

Mereka ditangkap apabila sebuah daripada tiga kenderaan yang mereka dinaiki terlanggar kereta orang awam dan kenderaan milik KPDNKK.

Baki yang lain terlepas dan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Long, katanya.

Fahmi berkata premis yang diserbu disyaki dijadikan stor menyimpan dan membungkus VCD cetak rompak untuk dijual sekitar kawasan Semenyih dan Kajang.

Pasukan penguat kuasa itu merampas sebanyak 6,048 keping VCD cetak rompak, 868 keping VCD filem terbaharu termasuk Adnan Sempit, KL Zombie dan Iron Man3, bernilai kira-kira RM70,000, katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan insiden itu. - BERNAMA

Penjenayah boleh ditahan 2 tahun

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah untuk mengarahkan seseorang yang ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) ditahan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.

Bukan itu sahaja, rang undang- undang itu turut memberi kuasa kepada lembaga berkenaan melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun lagi sekiranya didapati perlu demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Walau bagaimanapun, arahan tahanan oleh pihak lembaga terbabit boleh disemak semula di Mahkamah Tinggi.

Kesemua peruntukan tersebut merupakan bahagian baharu (bahagian IVA) yang dimasukkan ke dalam akta tersebut di bawah Seksyen 19A berhubung Perintah Tahanan.

Rang Undang-undang tersebut telah dibaca oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai sesi soal jawab.

Dalam pada itu, di bahagian huraian rang undang-undang berkenaan ada disebut tujuan pindaan Akta 297 itu dibuat.

Menurut rang undang-undang itu, antara tujuannya adalah untuk membenarkan kemasukan penahanan tanpa pertuduhan jenayah atau tanpa perbicaraan sebagaimana yang pernah diperuntukkan di dalam Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Oleh itu, Akta 297 hendaklah diubah kepada undang-undang yang dibuat menurut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan pemakaiannya diperluaskan ke seluruh negara.

Selain daripada peruntukan tersebut, antara perkara utama lain yang terdapat di dalam rang undang-undang berkenaan ialah penubuhan Lembaga Pencegahan Jenayah bagi menggantikan menteri.

Peruntukan tersebut merupakan seksyen baharu (seksyen 7B dan 7C) yang dimasukkan ke dalam akta tersebut.

Sebelum ini, di dalam undang-undang bersifat pencegahan seperti ISA, menteri mempunyai kuasa mutlak untuk proses penahanan dan pembebasan tahanan.

Menurut rang undang-undang itu, ahli-ahli lembaga tersebut dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan dipengerusikan sama ada Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi bersama dua anggotanya.

Peranan menteri di dalam rang undang-undang itu pula seperti mana dinyatakan di dalam seksyen 19E ialah mengemukakan laporan tahunan berhubung segala berkaitan dengan peruntukan bahagian IVA kepada Parlimen.

Parlimen juga diberi hak oleh rang undang-undang itu untuk mengkaji semula bahagian IVA setiap lima tahun.

Rang undang-undang itu turut meminda seksyen 7 dengan memasukkan subseksyen baharu 2 hingga 4 bagi tujuan penggunaan peranti pengawasan elektronik terhadap orang yang direman dalam jagaan tetapi dilepaskan sementara menunggu inkuiri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved