Selasa, 13 Mei 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Dapat sokongan 7 negeri?

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU - Lebih tujuh perwakilan badan gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan mengadakan pertemuan dengan calon Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Pelangi, semalam.

Para perwakilan yang terlibat hadir untuk mendengar sendiri visi dan misi yang ingin disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), selain ingin mengenalinya lebih dekat.

Semua perwakilan berkumpul di sebuah hotel di bandar raya ini sebelum bertemu Tunku Ismail pada satu majlis makan malam di istana beliau bermula pada pukul 8.30 malam.

Menurut sumber, kehadiran semua perwakilan terlibat itu belum tentu boleh diterjemahkan kepada sokongan yang ingin diberikan kepada Tunku Mahkota Johor itu.

Sebaliknya tujuan utama mereka hadir adalah untuk mendengar apa perancangan beliau.

Bagaimanapun, rata-rata yang hadir itu mahukan transformasi di dalam FAM sekali gus berharap pertemuan itu dapat memberi harapan baharu kepada bola sepak negara.

Mereka mahu dengar misi dan visi Tunku Ismail," katanya di sini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Tunku Ismail seakan memberi isyarat kuat untuk bertanding pada pemilihan 25 Mei ini apabila akan mengadakan perjumpaan bersama beberapa perwakilan badan gabungan FAM di sini.

Perjumpaan tersebut turut didukungi Timbalan Presiden FAM yang kini dalam penggantungan, Tan Sri Annuar Musa yang dari awal jelas memberi sokongan padu kepada Tunku Ismail untuk mencabar penyandang, Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda, Tengku Abdullah.

Dengan inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa perwakilan itu juga jelas menunjukkan, Tunku Mahkota Johor itu bersedia bertanding jawatan tersebut sekali gus pertandingan kali ini dijangkakan sengit.

KAFA tawar tiga orang kuat

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Oleh AZRAN FITRI RAHIM dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Dalam tempoh tujuh tahun, Kelantan atau lebih dikenali sebagai The Red Warriors telah menjadi pasukan yang digeruni dalam arena bola sepak tanah air.

Biarpun musim ini prestasinya agak tenggelam disebabkan kehilangan sekumpulan pemain tonggak, namun ia masih menjadi sebutan dalam kalangan peminat sukan nombor satu negara itu.

Membina sebuah pasukan yang hebat mungkin tidak sukar tetapi untuk melakukannya dalam tempoh singkat dan mengekalkan momentum itu bukan satu kerja mudah.

Semua ini bergantung kepada pengurusan pasukan tersebut tanpa pentadbiran yang licin dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ia tidak akan menjadi kenyataan.

Justeru itu, kebolehan pemimpin dalam persatuan tersebut seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana mereka sudah terbukti mempunyai kebolehan.

Kali ini, KAFA menawarkan tiga orang kuatnya untuk menabur bakti kepada negara menerusi Kongres Tahunan ke-50 FAM, pada 25 Mei ini

Tiga tokoh tersebut ialah Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah yang menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden FAM; Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail yang akan merebut salah satu slot untuk Naib Presiden FAM dan Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim bagi jawatan Ahli Majlis.

Nama Afandi mungkin sudah dikenali umum, namun Rosmadi dan Azman agak tenggelam kerana kedua-duanya lebih menumpukan kepada kerja serta tidak gemar berada di bawah lampu suluh media.

Bagi pemerhati bola sepak Kelantan, mereka melihat Rosmadi adalah tonggak di sebalik kejayaan KAFA selepas Presiden mereka, Tan Sri Annuar Musa digantung selama dua tahun, enam bulan.

Afandi lebih banyak menumpukan tugasnya sebagai Naib Presiden FAM di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Rosmadi juga banyak memainkan peranan dalam FAM apabila memegang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Pantai dan Futsal.

Malah Rosmadi yang turut dilantik sebagai Pengurus Pasukan Futsal Wanita Sukan Sea tahun lalu telah menjadi satu-satunya pasukan dibawah kelolaan FAM yang berjaya membawa pulang pingat iaitu gangsa.

Beliau yang mula terlibat aktif dalam sukan nombor satu negara sejak tahun 2000 itu akan menghadapi saingan lapan penjuru bagi merebut jawatan tersebut.

Bagaimanapun Rosmadi ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak mahu mendabik dada di atas kejayaan yang dikecapinya dan menyerahkan kepada perwakilan untuk menilai keupayaannya.

Berdasarkan rekod kerja sepanjang empat tahun di FAM, saya yakin perwakilan dari badan-badan gabungan bijak menilai sejauh mana kemampuan saya.

Sekiranya mereka (perwakilan) berasakan saya layak memegang jawatan penting itu (Naib Presiden), saya bersedia memikul tanggungjawab," katanya.

Tambahnya, beliau sudah bersedia untuk membantu Presiden dan Timbalan Presiden FAM bagi memperkasakan sistem pengurusan gabungan bola sepak itu sekiranya diberi kepercayaan.

Inilah masa terbaik dan peluang untuk saya sama-sama membantu dalam memperkasakan bola sepak negara," katanya.

Sementara itu, Azman yang juga Pengurus The Red Warriors merupakan watak yang sentiasa tenang biarpun ada ketikanya pasukan itu dilanda kontroversi.

Malah beliau membuktikan kebolehannya untuk mengawal dan membentuk kerjasama yang erat di antara pengurusan dengan pemain.

Sememangnya bakat yang dimiliki oleh orang kuat KAFA ini harus dimanfaatkan di peringkat nasional bagi memastikan bola sepak kembali ke zaman kegemilangannya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pemandu lori maut ditembak dua das dalam insiden pergaduhan

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Pistol dan peluru yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembak hingga meragut satu nyawa dalam kejadian di Taman Sentosa, Klang, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI

KLANG 13 Mei - Seorang pemandu lori maut setelah ditembak dua das manakala dua rakannya cedera dalam pergaduhan melibatkan lebih 10 individu di Jalan Dato Abdul Hamid 17, Taman Sentosa di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, mangsa berasal dari Negeri Sembilan, meninggal dunia setelah cedera parah terkena tembakan di dada.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, mangsa berada di lokasi kejadian kerana dipercayai untuk menghadiri majlis pengebumian bapa saudaranya.

Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di lokasi kejadian manakala yang lain melarikan diri. Turut dirampas dua bilah parang, sepucuk pistol jenis Smith & Wesson berserta tiga butir peluru.

Selain itu, kita juga merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 untuk siasatan," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamarulzaman memberitahu, suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau dan pernah dipenjara selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam di bawah Ordinan Darurat 1969.

Dua mangsa yang cedera masing-masing berusia 30 dan 45 tahun telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk rawatan lanjut," ujar beliau.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya memburu suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Suspek pecah rumah dikejar tiga MPV

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Oleh MASZUREEN HADZMAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Mei - Polis terpaksa menggunakan tiga buah kereta peronda untuk mengejar sebuah kereta dinaiki dua penjenayah sejauh kira-kira 15 kilometer sebelum berjaya memberkas mereka di Jalan Lingkaran Tengah II (JLT II) berdekatan Taman Melawati di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki kereta Honda Integra dilihat mencurigakan oleh anggota peronda sebelum cuba ditahan untuk pemeriksaan di kawasan Muzium Negara.

Suspek bagaimanapun enggan berhenti, sebaliknya memecut sehingga anggota tersebut yang mengejarnya terpaksa mendapatkan bantuan dua unit kereta peronda dari Balai Polis Wangsa Maju dan Sentul, sebelum berjaya dipintas dan kedua-duanya diberkas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, hasil pemeriksaan menemukan beberapa peralatan pecah rumah iaitu enam batang pemutar skru, pemotor wayar (3), sepana boleh laras (2), pisau boleh laras (1) dan sarung tangan (1) daripada kereta kedua-dua suspek, berusia 29 serta 35 tahun itu.

Polis juga menjumpai empat buah telefon bimbit, kad mesin pengeluaran wang automatik (3), komputer riba (1), teropong (1) dan penebuk lubang (1)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khairi memberitahu, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Lombong arang batu meletup, 20 maut

Posted: 13 May 2014 12:48 PM PDT

ISTANBUL 14 Mei - Sekurang-kurangnya 20 orang pekerja lombong terkorban, selepas sebuah lombong arang batu terbakar dan meletup di barat negara ini, semalam.

Pegawai kesihatan Soma, Muzaffer Yurttas berkata, kesemua mereka terkorban selepas mengalami kesukaran untuk bernafas ekoran asap tebal ketika berada di dalam lombong berkenaan.

"Antara 200 ke 300 orang pekerja masih terperangkap. Usaha mencari kini sedang giat dijalankan," jelas Pentadbir tempatan, Mehmet Bahattin Atci.

Sebanyak 30 orang lagi mengalami kecederaan, ujar Muzaffer.

Beliau berkata, kejadian berlaku di bandar Soma, wilayah Manisa, kira-kira 250 kilometer dari Istanbul.

Mehmet berkata, letupan dipercayai berpunca daripada gangguan yang berlaku terhadap sistem pengagihan tenaga di lombong berkenaan.

Agensi berita BBC melaporkan, letupan berlaku kira-kira dua kilometer di bawah tanah menyebabkan kebanyakan pekerja yang berada di dalam lombong itu terperangkap sejauh 4 kilometer dari pintu keluar.

Menteri Tenaga Turki, Taner Yildiz mengesahkan letupan itu disebabkan kerosakan elektrik, namun beliau enggan mengesahkan jumlah yang terkorban. - REUTERS/AGENSI

Krisis Thailand tidak terkawal

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Speaker baharu Dewan Senat Thailand, Surachai Liengboonlertchai (kanan) mengadakan pertemuan dengan Suthep Thaugsuban di bangunan Parlimen di Bangkok pada 12 Mei lalu. - REUTERS

BANGKOK 13 Mei - Pemangku Speaker Dewan Senat Thailand, Surachai Liengboonlertchai memberi amaran konflik politik di negara ini semakin buruk ketika anggota Senator mengadakan pertemuan tidak rasmi bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu.

Liengboonlertchai yang mempengerusikan mesyuarat itu semalam berkata, konflik yang berlanjutan selama berbulan-bulan di negara ini semakin meruncing dan tidak terkawal.

Menurut beliau, perbincangan di peringkat Senat, semalam tidak mampu mencari jalan penyelesaian selepas tarikh yang ditetapkan oleh ketua penunjuk perasaan antikerajaan, Suthep Thaugsuban yang mengugut akan meneruskan tunjuk perasaan jika tiada Perdana Menteri baharu dilantik oleh Senat, berakhir pada hari yang sama.

Portal berita The Nation melaporkan, Thaugsuban sebelum ini mengugut akan meneruskan tunjuk perasaan jika tiada Perdana Menteri baharu dilantik oleh Senat.

Krisis politik di Thailand telah berlarutan lebih 10 tahun lalu dan Dewan Senat tidak akan berjaya menyelesaikannya dalam masa sehari.

Kami akan cuba mencari jalan terbaik demi kebaikan rakyat dan negara ini," kata Liengboonlertchai yang dilantik sebagai Speaker Senat yang baharu pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun Liengboonlertchai enggan menjawab pertanyaan media berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu jika beliau diberi kuasa seperti yang disarankan oleh Thaugsuban, ketua Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC).

Saya tidak mempunyai jalan penyelesaian bagi menamatkan krisis politik di negara ini buat masa ini, tetapi saya akan berbincang dengan institusi lain berhubung perkara tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, pihak tentera Thailand bersiap sedia untuk menghalang pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan penyokong kerajaan dan antikerajaan yang boleh tercetus pada bila-bila masa.

Timbalan Jurucakap Tentera, Kolonel Winthai Suvari berkata, tiada sebarang petanda keganasan akan tercetus antara penyokong kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan Baju Merah dan kumpulan PDRC, tetapi langkah berjaga-jaga tetap diambil.

Beliau turut menolak khabar angin yang tersebar dalam rangkaian media sosial yang mendakwa pihak tentera akan melancarkan rampasan kuasa.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


UiTM buka peluang Melayu miskin

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Sebahagian pelajar lepasan SPM mendengar taklimat dan maklumat berkaitan permohonan Program Mengubah Destini Anak Bangsa di Maran, semalam.

MARAN 13 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang di sini menganjurkan program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) dengan memilih calon berkelayakan untuk meneruskan pengajian di universiti itu.

Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Pahang, Prof. Madya Dr. Halil Paino berkata, program itu bertujuan memberi peluang pendidikan kepada anak-anak miskin Melayu dan bumiputera luar bandar dan bandar mendapat tempat pengajian di universiti ini.

Menurutnya, matlamat MDAB adalah dengan memberi pendidikan kepada pelajar bumiputera yang tidak berkemampuan dan tidak memenuhi syarat ke program diploma atau matrikulasi UiTM.

Tambahnya, mereka yang layak mendapat keistimewaan itu terdiri daripada mereka yang mempunyai pendapatan ibu atau bapa kurang daripada RM2,000 sebulan tanpa mengira kawasan atau tanggungan.

"Program MDAB peringkat Maran mendapat sambutan baik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal terpilih ke institut pengajian tinggi (IPT) tempatan.

"Seramai 300 orang hadir pada program ini yang menyaksikan mereka menunjukkan minat cukup baik dalam kalangan generasi baharu," katanya ketika berucap dalam majlis program (MDAB) peringkat Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Menurutnya, untuk menyertai program itu, mereka perlu mempunyai kepujian dalam empat mata pelajaran SPM termasuk Bahasa Melayu dan nilai tambah minimum kelayakan iaitu sekurang-kurangnya lulus Bahasa Inggeris dan Matematik.

Mereka berjaya dalam MDAB layak ditawarkan ke program diploma mengikut syarat dan kelayakan. Antara program ditawarkan ialah Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Perakaunan atau Pra Diploma Sains," katanya.

70 penuntut Unisel hayati keindahan flora dan fauna Hutan Lipur Terenggun

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Mustapa Long (tengah) dan Hishamuddin Abd. Rahman (depan lima dari kiri) bersama penuntut Universiti Selangor yang menyertai program Kembara Alam Rimba Kepimpinan di Hutan Lipur Terenggun, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 13 Mei - Pemilihan kawasan hutan lipur menjadi satu tarikan dan pilihan utama kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dalam melaksanakan program mereka di kawasan itu.

Hutan Lipur Terenggun dekat sini menjadi lokasi kepada 70 penuntut Universiti Selangor (Unisel) dalam mengadakan program Kembara Alam Rimba Kepimpinan selama dua hari di situ.

Program itu merupakan pengisian penuntut terbabit di bawah kegiatan Unisel Bestari Jaya dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri.

Majlis pelancaran program itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dengan dihadiri Naib Presiden GPMS Kebangsaan merangkap koordinator program, Hishamuddin Abd. Rahman.

Menurut Hishamuddin, pihaknya terpanggil melaksanakan kegiatan itu bagi membolehkan mereka mengenali keindahan alam sekitar daerah ini selain mewujudkan asas kesedaran dalam melakarkan jati diri dan kepemimpinan berkarisma.

Katanya, mereka yang sudah biasa tinggal di bandar berpeluang menikmati ketenangan jiwa dengan menyelami keunikan pelbagai spesies burung serta tumbuh-tumbuhan di Terenggun.

Kegiatan kembara dengan mengeksploitasi keindahan alam sekitar termasuk flora dan fauna di Terenggun memberi iktibar serta penghayatan dalam melebarkan kemahiran berfikir dan menambah kekuatan fizikal sebagai bakal seorang pemimpin pada masa akan datang," katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program berkenaan merupakan perintis kegiatan penuntut terbabit sebelum berhasrat mengadakan aktiviti sama di Taman Rimba Kuala Kenong dan Gua Batu Kapur di Merapoh pada masa akan datang.

Katanya, antara kegiatan dilaksanakan iaitu merentas Tasik Terenggun, berhalangan, memanah, pengembaraan malam dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Pensyarah Kanan UMP terima anugerah kategori tokoh, paten

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Adnan Yaakob (tengah) menyampaikan anugerah dalam kategori tokoh dan paten kepada Abdul Syukor Abd. Razak (kiri) sambil diperhatikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Malam Anugerah Cendekia Bitara UMP 2013 di Kuantan, baru-baru ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 13 Mei - Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Abdul Syukor Abd. Razak menerima dua anugerah pada Malam Anugerah Cendekia Bitara UMP 2013 yang diadakan di Hotel Zenith di sini baru-baru ini.

Beliau menerima anugerah dalam kategori tokoh dan paten sebagai sumbangan serta pencapaian cemerlangnya dalam aktiviti penyelidikan, pengkomersialan, kreativiti dan inovasi di universiti berkenaan.

Abdul Syukor membawa pulang hadiah berupa wang RM10,000 berserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pensyarah Kanan FKASA itu melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan UMP dengan memberinya banyak peluang terutama sokongan dalam menghasilkan produk penyelidikan dan pengkomersialan.

Kejayaan ini datang dengan satu tanggungjawab besar dalam menggalas usaha bagi memastikan produk yang dihasilkan dapat dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh semua orang.

Saya berharap, kejayaan ini dapat memberi suntikan semangat dalam kalangan penyelidik untuk terus berusaha menghasilkan kajian dan penyelidikan yang mampu memberi impak yang berkualiti tinggi serta diiktiraf dunia," katanya di sini.

Abdul Syukor kini giat mengkomersialkan tiga produk di bawah Pejabat Pemindahan Teknologi (TTO) di Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dengan jenama Pisoptera, Phytogen dan Wasra.

Beliau menerima pelbagai anugerah akademik dan penyelidikan di dalam negara dan di peringkat antarabangsa seperti Most Innovative Award di Bio-Malaysia 2008, Green Technology Award 2010 dan Anugerah Presiden Korean Invention and Intelectual Property Association (KIIPA) di Korea.

Korean Invention News (KINEWS) juga menobatkan Abdul Syukor sebagai World Inventor Order of Merit Award 2013 di atas usahanya dalam memartabatkan produk penyelidikan yang berdaya saing dalam merealisasikan visi dan misi UMP untuk menjadi universiti teknologi bertaraf dunia.

Abdul Syukor juga merupakan satu-satunya anak Melayu Malaysia pertama yang berjaya mendapat anugerah tertinggi dalam World Inventor Award Festival yang berlangsung di Korea Selatan tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


'Berani berubah' bukan sekadar slogan

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Oleh Muhammad Afifi Abdul Razak

MENARA UMNO meriah dengan gambaran grafik digital Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. - utusan/ NOORADZRENE MOHD NOOR

PADA Ahad lalu, semua ahli UMNO menyambut ulang tahun penubuhan parti itu yang ke-68.

Sebagai sebuah parti politik keramat di Malaysia, UMNO dikenali sejak dahulu sebagai satu-satunya parti yang gigih memperjuangkan cita-cita, nasib dan masa depan orang Melayu di negara ini sejak sebelum dan selepas merdeka.

Hasil perjuangan gigih UMNO, dengan kerjasama dua parti politik utama lain iaitu MCA dan MIC, negara ini berjaya mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957.

Bermula dari saat itu, maka terbentuklah apa yang dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia pada hari ini.

Perkembangan negara ini sejak merdeka hingga sekarang, sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial, secara umumnya sangat membanggakan. Ini juga adalah hasil usaha UMNO dengan kerjasamanya bersama parti-parti politik utama di Malaysia sama ada dalam gabungan Parti Perikatan ataupun Barisan Nasional.

Hari ini, setelah 56 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara kuasa tengah (middle power) yang mempunyai masa depan cerah untuk terus maju.

Semua ini tidak boleh dicapai dengan mudah sekiranya pemimpin, ahli dan penyokong UMNO tidak berani berubah sama ada secara mental, fizikal atau spiritual. UMNO akan terus menjadi sebuah parti politik yang bersifat kampungan dan lokal sahaja sekiranya ia tidak berani berubah.

Malah suara UMNO tidak mungkin akan didengari oleh sesiapa termasuk British. Malah kaum-kaum lain di Tanah Melayu dahulu mungkin akan memandang rendah terhadap UMNO sekiranya ia mengambil sikap penakut kepada perubahan. Tetapi UMNO sebaliknya berjaya membuktikan bahawa ia berani berubah demi masa depan agama, bangsa Melayu dan tanah air.

Kejayaan UMNO sejak 68 tahun dahulu membahagiakan ramai pemimpin, ahli, penyokong, malah ramai lagi rakyat Malaysia yang bukan pun menjadi sebahagian daripada ahi parti tersebut. Berkat usaha UMNO, suasana kehidupan di Malaysia bukan lagi seperti dahulu.

Di kebanyakan kawasan di negara ini, hutan belukar telah bertukar menjadi hutan batu. Bangunan tinggi pencakar lagi dibina di merata-rata tempat. Bandar-bandar baru dibina bagi memenuhi keperluan negara dan rakyat yang semakin bertambah.

Setiap kali sesi Perhimpunan Agung UMNO diadakan di Putra World Trade Center (PWTC) di Kuala Lumpur, deretan kereta mewah milik pimpinan tertinggi UMNO membarisi ruangan hadapan di bangunan yang kini menjadi ibu pejabat parti keramat tersebut.

Inilah hasil nikmat perjuangan dan usaha UMNO yang telah dinikmati oleh semua rakyat di Malaysia.

Ironisnya, semua kejayaan dan kemewahan ini telah mengubah pemikiran sebahagian pemimpin, ahli dan penyokong UMNO menjadi sangat individualistik dan materialistik.

Kepentingan peribadi telah mengatasi kepentingan parti.

Matlamat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air juga kelihatan semakin kabur. Memiliki jawatan tinggi dalam parti dilihat sangat penting daripada bentuk sumbangan yang boleh diberikan.

Tanpa jawatan dalam parti, seseorang itu boleh disifatkan sebagai 'pariah' yang mana jasa dan pengorbanannya tidak langsung dihargai. Keadaan ini sangat berbeza dengan apa yang kita pernah lihat di negara-negara yang kita tahu sangat mendokong prinsip politik secara demokrasi.

Ahli-ahli politik di Barat sanggup meletakkan jawatan Kabinet semata-mata ingin lebih masa berkhidmat untuk parti, rakyat dan negara. Tidak ada sebarang tindakan seperti merajuk atau memberontak; apatah lagi tindakan tunjuk perasaan ataupun demonstrasi jalanan hanya kerana hilang kuasa dan jawatan.

Tetapi ada dalam kalangan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO pada hari ini sanggup berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Nampaknya nawaitu mereka sewaktu menyertai UMNO dahulu telah berubah. Konflik politik sebegini sememangnya menjadi lumrah kepada mana-mana parti politik.

Tetapi pimpinan tertinggi parti mesti menanganinya dengan penuh hikmah dan bijaksana ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak.

Pemimpin bawahan, ahli dan penyokong pula mesti menerima setiap keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

Semua orang mesti faham bahawa pemimpin boleh datang dan pergi.

Sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin sekiranya dia berkelayakan untuk memimpin dan diterima oleh ahli dan penyokong partinya. Jawatan kepimpinan dalam parti politik juga bukanlah sesuatu yang bersifat feudal atau warisan.

Dalam menangani semua permasalahan ini, slogan 'berani berubah' mesti dihayati dan diamalkan oleh ahli UMNO di semua peringkat sama ada di peringkat atasan mahupun bawahan. UMNO mesti berani berubahuntuk terus kekal relevan di negara ini, bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga di kalangan orang bukan Melayu.

UMNO mesti terus menjadi pendokong dan penerajui kerajaan di Malaysia untuk selama-lamanya. Pada masa sama juga, kita sangat mengalu-alukan proses transformasi politik yang sedang diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, slogan berani berubah ini mesti difahami maksudnya oleh semua pemimpin, ahli dan penyokong UMNO untuk ia benar-benar berkesan. Berani berubah bermaksud berani menggunakan cara atau mekanisme baru yang boleh mengukuhkan parti.

Berani berubah juga bermaksud berhijrah daripada perkara atau nilai yang tidak elok kepada perkara atau nilai yang elok dan baik untuk parti.

Dalam konteks UMNO sejak dahulu hingga kini, faktor budaya dilihat banyak mempengaruhi perkembangan UMNO. Faktor budaya turut memberi kesan dari segi perspektif pemimpin, ahli dan penyokong UMNO terhadap parti tersebut.

Budaya feudalisme dan korporatisme sebagai contoh, ialah antara budaya yang mesti diubah dalam UMNO. Tanpa kita sedari, sedikit demi sedikit budaya ini mencemari peranan UMNO sebagai sebuah parti keramat orang Melayu.

Walaupun sangat malu untuk menyebut mengenai hal ini, inilah sebenar hakikatnya.

Sebagai ahli parti, tak kira apa kedudukan kita sama ada pemimpin atasan, bawahan mahupun ahli biasa, kita mesti sedar bahawa parti politik bukannya alat untuk feudalisme atau korporatisme.

Parti politik juga bukannya tempat yang paling aula untuk kita mencari makan tetapi ia adalah tempat untuk kita berbakti kepada agama, bangsa dan negara yang kita cintai.

Parti politik adalah satu wadah penyatuan di mana semua aspirasi dan cita-cita rakyat dan sesebuah bangsa tersebut disatukan di bawah satu payung keramat yang akan menyatukan pemikiran dan tindakan semua ahlinya. Inilah yang sepatutnya difahami oleh semua ahli UMNO.

Apa yang sedang berlaku mutakhir ini, termasuk krisis di Terengganu dan mungkin bakal di negeri lain ialah signal kepada UMNO bahawa satu tindakan penting mesti diambil oleh parti tersebut untuk terus kekal relevan di negara ini.

UMNO mesti menerima hakikat bahawa selepas 2004, sokongan rakyat malah ahli terhadap parti ini kelihatan semakin merosot. Pemimpin UMNO pada hari ini mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menstabilkan parti ini serta meletakkannya kembali ke landasan yang sepatutnya.

Semua ini boleh dilakukan sekiranya slogan berani berubah ini dihayati dan diamalkan oleh ahli UMNO di semua peringkat.

Justeru, lupakan feudalisme, lupakan korporatisme, lupakan habuan politik; UMNO mesti berani berubah untuk terus kekal relevan di Malaysia, bukan sahaja untuk orang Melayu, malah untuk bukan Melayu dan dunia sejagat.

PENULIS ialah Pensyarah Politik dan Hubungan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

'Walau harimau dalam perut, kambing...'

Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT

Ahmad Said ketika menyampaikan sumbangan kepada sebahagian pasangan peserta program insentif perkahwinan ibu/bapa tunggal selepas Perasmian Majlis Festival Kenyir 2014 di Pengkalan Gawi Kenyir Hulu Terengganu, baru-baru ini .

TINDAKAN luar dugaan Datuk Seri Ahmad Said menyaksikan bagaimana penghormatan yang sepatutnya diberikan kepada kepemimpinan parti tidak diserlahkannya.

Seharusnya pertukaran kedudukannya yang digantikan dengan Menteri Besar Terengganu yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dibawa bertenang sebentar untuk dirinya berfikir keputusan pucuk pimpinan. Dan sekali gus meredakan hal-hal yang dingin.

Tetapi tindakan Ahmad dengan segera keluar parti dan membawa seorang rakan bersamanya iaitu ADUN Ajil, Ghazali Taib (tetapi ADUN Bukit Besi, Roslee Daud menarik kembali keputusan keluar parti malam tadi) menampakkan kesetiaannya kepada parti hanya berasaskan kepada jawatan semata-mata.

Itu tidak seharusnya menjadi keutamaannya dalam UMNO sebaliknya Ahmad perlu memikirkan masa depan parti. Ini wajib dipertimbangkan atas percaturan dibuatnya.

Memang sedih apabila membaca tindakan Ahmad. Ini mencetuskan kemelut legislatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang mencemaskan apabila kerusi Barisan Nasional dan pembangkang negeri sama bilangannya. Dengan perkembangan terbaharu politik negeri itu, kerusi BN di DUN Terengganu berkurangan daripada 17 kepada 15, Pas (14), PKR (satu) dan Bebas (tiga).

Dan kalau pun benar telah wujud persefahaman untuk Ahmad berundur setelah setahun mentadbir Terengganu selepas pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei tahun lalu, ia bermakna tempoh itu sudah selesai.

Maka tugas Ahmad sudah tamat dan haruslah beliau berundur dengan memberi satu komitmen baharu kepada kepemimpinan baharu negeri.

Kalau tidak sahih perjanjian persefahaman itu pun, sewajarnya selepas Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi isyarat berundur kepada Ahmad, beliau harus akur dan tidak melangkauinya.

Tetapi Ahmad melangkauinya demi mengejar kepentingan peribadi. Seharusnya Ahmad mempertimbangkan semula tindakan keluar parti atas faktor BN Terengganu tidak kuat dengan bilangan kerusi BN hanya sedikit.

Memang belum pernah berlaku dalam sejarah UMNO di mana seorang Menteri Besar berundur hanya setahun penggal mentadbir bermula selepas pilihan raya umum. Walaupun begitu, Ahmad mesti mengikut sistem yang telah ditetapkan parti. Apatah lagi beliau sudah bertemu dengan Presiden berkaitan soal pengundurannya. Ini pengajaran yang berguna kepada mana-mana Menteri Besar jika sampai masanya untuk berundur, berundurlah.

Dan realitinya juga belum pernah terjadi dalam sejarah UMNO, seorang yang pernah menyandang jawatan Menteri Besar mengambil tindakan begitu drastik keluar parti. Kalau pun ada menteri yang pernah berbuat melakukannya, individu terbabit mengambil masa agak lama untuk berbuat demikian. Tindakan Ahmad satu rekod baharu dalam UMNO.

Ahmad, biarpun beliau ada mengatakan dirinya masih menyokong BN setelah menjadi calon bebas, namun tindakannya mencetuskan trend yang melemahkan BN. Beliau membelakangkan budi perjuangan dalam parti.

Sewajarnya beliau menghormati keputusan pucuk pimpinan dalam soal kedudukan Menteri Besar meskipun ada duka dalam hati yang sukar dibendung. Ia seperti mana 'walaupun harimau dalam perut, kambing juga dikeluarkan'.

Suatu ketika pada 2008, Datuk Seri Idris Jusoh yang kini Menteri Pendidikan 11 kelihatan sugul. Tetapi kemudian beliau kembali tenang apabila media bertanya persoalan beliau tidak mendapat perkenan istana sebagai menteri besar bagi penggal kedua.

Ahmad mendakwa ramai lagi ADUN akan jadi ADUN Bebas. Tindakan ini merupakan cabaran besar yang perlu digalas oleh Ahmad Razif. Jika tiada pilihan, Ahmad Razif terpaksa menasihati tuanku Sultan untuk membubarkan DUN. Biar rakyat buat keputusan sama ada mereka mahu BN atau Pas memerintah Terengganu.

Sikap Ahmad mengkhianati UMNO sukar diterima. Beliau sering berucap supaya ahli setia kepada parti.

Tindakan Ahmad hanya menambah masalah dalam UMNO. Ini bukannya musim BN kuat. Sepatutnya Ahmad mengutamakan kepentingan UMNO dan orang Melayu.

Dan bukannya kepentingan peribadi, jawatan, kemusykilan atau kesyahduan hati sendiri.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Shaheizy Sam tunggu jodoh

Posted: 12 May 2014 09:13 PM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL

SEDAR akan usianya yang semakin meningkat, aktor kacak Shaheizy Sam atau mesra disapa sebagai Sam mengakui dia mula serius memikirkan soal jodoh. Sementelah melihat rakan sebayanya yang telah dikurniakan anak atas perkahwinan mereka, Sam mengakui adakalanya hati terdetik rasa cemburu melihat kebahagiaan rumah tangga pasangan artis lain.

Sifatnya yang amat menyayangi kanak-kanak terutama tatkala melihat bayi comel telah mendorong jejaka berusia 32 tahun itu mula membayangi mahligai idamannya.

Sam mengakui akhir-akhir ini dia sering berdoa kepada Yang Maha Esa agar dipertemukan jodoh secepat mungkin dengan wanita yang terbaik.

Meskipun sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga, Sam menafikan dia telah mempunyai kekasih hati ketika ini, jauh sekali calon isteri.

Dia lebih selesa mengambil langkah tunggu dan lihat siapakah wanita yang bakal menghuni ruang kosong di hatinya.

Saya tahu pada umur begini, sepatutnya sudah mula mengorak langkah yang lebih matang dan serius dalam hal rumah tangga. Tapi, pada masa yang sama saya tidak mahu mendesak diri sendiri ke arah itu. Biarlah masa menentukan kerana jodoh itu tidak ke mana," katanya.

Sebagai seorang lelaki yang usianya sudah mencecah lebih 30 tahun, Sam mengakui dia semakin bimbang dalam keadaan keseorangan seperti sekarang.

Mana tidaknya, ditakdirkan masih menanti beberapa tahun lagi untuk berkahwin, risau pula akan muncul masalah lain kepada dirinya dan keluarga yang bakal dibina.

Saya lelaki normal macam orang lain juga. Sudah tentu saya mengidamkan sebuah keluarga yang besar. Saya mahu ada isteri, ada anak-anak yang melengkapkan kehidupan kami.

Pada usia sekarang, dalam keadaan masih solo tanpa teman wanita, saya menjadi sangat takut. Saya takut bila berkahwin terlalu lambat dan anak-anak masih kecil ketika saya sudah jadi tua. Saya bimbang masa itu tidak mampu lagi menjaga keluarga dengan baik," katanya.

Bagaimanapun, Sam sangat percaya Yang Maha Esa mempunyai percaturan buat dirinya. Akan ada wanita yang hadir sebagai suri di hati, dan dia perlu menunggu kehadiran itu dengan penuh reda.

Buat diri saya sendiri, saya bersedia jadi suami, jadi ayah kepada anak-anak. Bagaimanapun apabila Allah belum takdirkan jodoh saya sampai, saya reda. Saya juga bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang tidak pernah mendesak atau memaksa untuk saya segera mendirikan rumah tangga," katanya.

Tambah membahagiakan dirinya, ibunya juga tidak pernah masuk campur dalam soal siapa jodohnya dan dengan siapa dia berkawan ketika ini.

Mummy sangat faham diri saya. Dia tidak pernah melarang atau mendesak saya berkahwin, tidak pernah memaksa saya.

Selain tidak cerewet, Mummy juga begitu terbuka dalam hal jodoh anak-anak. Sesiapa yang bakal menjadi menantunya, dia akan terima dengan baik tanpa menetapkan kriteria-kriteria tertentu," jelas Sam ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta produk perisa makanan Mahsuri, di Bangsar baru-baru ini.

Gigih seorang ibu tunggal

Posted: 12 May 2014 09:13 PM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ROY AZIS ABD. AZIZ

DARIPADA raut wajah Vicha yang lucu dan ceria, apatah lagi bentuk tubuhnya yang montel itu, dia memang mudah untuk mencuit hati para penonton sama ada melalui kaca televisyen (TV) mahupun persembahan pentas.

Buktinya anggota kumpulan Saywho dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) ini telah dipilih bersama kumpulannya itu bertanding dalam MLM terbitan saluran Astro Warna pada musim pertama, kedua dan ketiga.

Sayangnya, dalam keceriaan itu ramai yang tidak mengetahui Vicha kini sedang memikul tanggungjawab berat sebagai seorang ibu tunggal selepas rumahtangga yang dibinanya hancur di tengah jalan tiga tahun lalu.

Menurut Vicha atau nama sebenarnya Refika Noviati Faturohman, demi mencari rezeki di sini dia terpaksa berpisah dengan tiga orang anaknya yang kini di bawah jagaan ibunya, Tuti Haryati, 53, di Bandung, Indonesia.

Sebenarnya, sejak Ogos tahun 2013 iaitu selepas MLM berakhir saya belum pulang ke Bandung lagi. Anak-anak saya pula masih kecil tetapi apakan daya saya tiada pilihan kerana berlakon, menyanyi dan mengacara adalah kerja saya.

Kebetulan selepas MLM berakhir saya mendapat banyak tawaran berlakon dan menjadi pengacara majlis di sini. Jadi, buat masa ini saya terpaksa berpisah dengan mereka demi mencari rezeki bagi membesarkan mereka.

Kalau saya tolak peluang itu rugi pula. Ini kerana, peluang-peluang yang saya dapat itu lebih bagus berbanding di negara saya," kata anak seni warganegara Indonesia ini kepada Hits di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelawak dan pengacara berusia 26 tahun ini yang cuma sempat melayari bahtera rumahtangga selama lima tahun sebelum bercerai dikurniakan tiga anak iaitu Aurael Angelina Khezya, 5, Listya Arum Fresnasih, 4, dan Michele Averina, 3.

Sungguhpun berjauhan daripada anak-anaknya di Bandung, namun itu bukan alasan untuk Vicha putus hubungan ataupun melupakan tanggungjawabnya sebagai ibu yang mahu melihat mereka membesar dengan normal.

Walau bagaimana sibuk sekalipun setiap pagi saya pasti akan menelefon ibu dan bercakap dengan anak-anak saya. Itu adalah rutin saya setiap hari kerana saya harap cara itu dapat merapatkan hubungan dengan mereka.

Selain itu, setiap bulan saya juga tidak lupa mengirimkan wang kepada ibu untuk perbelanjaan seharian anak-anak saya di sana. Saya kirim tidak kurang RM3,000 setiap bulan sama ada untuk beli susu mahupun belanja sekolah mereka.

Biarlah saya yang terpaksa bekerja keras di Malaysia asalkan ibu dan anak-anak saya di Bandung dapat hidup sempurna macam orang lain. Sekarang ini rezeki saya, jadi saya akan gunakan sebaik-baiknya," ujarnya.

Di samping perbelanjaan seharian ibu dan anak-anaknya, Vicha juga tidak lupa membantu menghulurkan belanja buat dua adiknya, Ghandi Hardianti, 13, dan Ghenada, 11, yang masih bersekolah melalui sumbangan itu.

Sewaktu ditanya sampai bilakah dia akan menetap dan berjauhan dengan keluarganya semata-mata kerana mencari rezeki di Kuala Lumpur, selebriti dengan berat badan 127 kilogram ini seakan-akan tidak punya jawapan.

Sebaliknya, dia yang bergandingan dengan dua lagi anggota trio Saywho iaitu Bocil, 30, dan Rezza, 24, menyerahkan rezeki serta ketentuan Allah bagi menentukan hala tuju dan perjalanannya hidupnya di masa depan.

Itu saya tidak boleh kasi tahu. Ini semua kerja Tuhan, Dia yang akan mengaturkan perjalanan hidup saya. Cuma apa yang pasti buat masa ini saya selalu sibuk di Kuala Lumpur dan undangan saya bersama Saywho masih banyak.

Antaranya dengan berlakon dalam telemovie di saluran-saluran TV Astro. Saya juga banyak diundang sebagai pengacara dalam macam-macam majlis seperti makan malam dan juga persembahan pentas.

Sebab itu, selagi bakat saya diperlukan, makanya selagi itu jugalah saya akan berada dan bekerja di sini. Syukur Alhamdulillah setakat ini tawaran yang saya terima belum putus-putus. Ini juga adalah rezeki anak-anak saya," jelasnya.

Sungguhpun begitu, pada masa sama Vicha tidak menafikan adakalanya dia berasa kesunyian apabila tinggal berjauhan daripada keluarga dan anaknya tanpa ditemani oleh orang tersayang terutama lelaki bergelar suami.

Justeru, selebriti yang sentiasa ceria ini tidak menafikan hatinya tidak serik untuk berkahwin lagi, malah secara berterus terang menyatakan jika boleh dia berdoa agar ditemukan jodoh dengan lelaki Melayu dari negara ini.

Saya rasa kalau jodoh saya orang Malaysia ia akan lebih memudahkan kerja saya. Selama ini saya terpaksa memperbaharui surat dan permit kerja saya setiap enam bulan. Kalau suami saya orang sini makanya ia akan lebih mudah lagi.

Apatah lagi, saya juga sudah semakin boleh menyesuaikan diri di sini termasuklah soal makan dan minum. Kalau dulu, setiap kali datang ke sini saya akan bawa banyak makanan dari Indonesia seperti Indo Mi untuk kegunaan saya.

Ini kerana, pada mulanya saya kurang biasa dengan makanan di sini. Contohnya, makanan segera KFC (Kentucky Fried Chicken) yang ada di sini sos sambalnya tidak sama rasanya dengan yang ada di Indonesia.

Pernah saya juga membawa batu giling sendiri dari kampung saya ke sini semata-mata mahu masak makanan pedas. Tetapi sekarang saya sudah tahu ada banyak kedai yang menjual makanan Indonesia di sini," katanya.

Tambah Vicha lagi, kalau boleh dia juga mahu bakal suaminya kelak memahami kerjayanya sebagai anak seni dan statusnya sebagai ibu tunggal selain mengimpikan jejaka itu biarlah lebih tinggi daripadanya.

Saya tidak pilih bakal suami saya itu terlalu kacak ataupun tidak. Tetapi apa yang paling penting dia mestilah lebih tinggi daripada saya. Tidak kira jugalah sama ada dia kurus ataupun gemuk macam saya," ujarnya sambil ketawa kecil.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kondominium pilihan warga kota

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

J. Loga Bala Mohan (kiri) dan Fateh Iskandar Mohamed Mansor melihat persekitaran Residensi Damansara di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Kamal Basir Wahab

KUALA LUMPUR 12 Mei - Permintaan terhadap unit kediaman mewah iaitu bagi kategori harga melebihi RM500,000 di ibu negara terus meningkat sejak empat tahun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia menunjukkan permintaan bagi kediaman mewah masih popular, terutamanya bagi kondominium atau pangsapuri yang menguasai kira-kira 13.6 peratus daripada jumlah transaksi hartanah tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, Kuala Lumpur dan Selangor menyumbang sebanyak 70.4 peratus daripada keseluruhan transaksi jenis perumahan terbabit," katanya semasa perasmian Residensi Damansara, Glomac Damansara di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Glomac Berhad, Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din; Timbalannya, Datuk Richard Fong dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, pembinaan kediaman perlu dipertingkatkan bagi menampung permintaan dan penambahan penduduk serta tenaga kerja di projek mega, Greater Kuala Lumpur-Klang Valley.

Katanya, langkah tersebut amat penting dalam menjadikan ibu negara sebagai destinasi pilihan kepada pelabur asing.

Populasi penduduk di Greater KL yang dirancang kerajaan itu dijangka meningkat daripada enam juta kepada 10 juta orang dalam tempoh enam tahun lagi.

Saya yakin objektif projek Greater KL untuk membangunkan bandar raya yang paling selesa untuk didiami boleh dicapai berkat usaha dan kerjasama berterusan antara pihak kerajaan dan swasta," katanya.

Penduduk derita hidu bau busuk

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Tiga murid sekolah berjalan berhampiran lubang besar yang digali kontraktor projek berhampiran PPR Seri Anggerik, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR 12 Mei - Bukan sehari dua penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Anggerik, Jalan Klang Lama di sini terpaksa menghidu bau busuk, sebaliknya sudah lebih lima tahun didakwa berpunca daripada sebuah kolam takungan banjir yang gagal diselenggara pihak bertanggungjawab.

Penduduk mendakwa kolam takungan banjir Batu 4 1/2 itu merupakan milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Disebabkan itu juga, pelbagai masalah timbul termasuk menjadi tempat pembiakan nyamuk d sekali gus mendatangkan bahaya kepada kesihatan penduduk.

Penulis yang memandu kenderaan menggunakan laluan di Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) arah persimpangan pusat bandar raya, Sungai Besi dan Cheras sebelum sampai ke lokasi turut terhidu bau busuk dari kolam takungan yang terletak bersebelahan.

Berdasarkan pemerhatian, kolam takungan banjir itu hanya terletak kira-kira beberapa meter dari kawasan perumahan yang dihuni kira-kira 1,500 orang.

Selain bau busuk dan dicemari sampah sarap, persekitaran kawasan kolam itu juga didapati tidak terurus dengan baik apabila dipenuhi semak dan lalang.

Penduduk mendakwa, bau busuk itu berlaku setiap hari dan menimbulkan rasa kurang selesa lebih-lebih lagi ketika cuaca hujan.

Kegagalan pihak bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaran dan pembersihan kolam berkenaan dibimbangi mengancam keselamatan penduduk. Ini berikutan ia berkemungkinan turut menjadi sarang binatang berbisa seperti ular.

Selain bau busuk, penduduk turut mendakwa diancam bahaya berikutan kontraktor projek berhampiran mengabaikan aspek keselamatan.

Selain dua buah lubang yang dianggap sebagai perangkap maut kehadiran kenderaan berat yang keluar masuk menggunakan laluan utama perumahan itu turut meresahkan penduduk.

Berdasarkan pemerhatian, dakwaan penduduk ternyata berasas.

Kawasan kedua-dua lubang sedalam kira-kira tiga meter yang digali bagi projek longkang itu hanya dipasang pita keselamatan sebagai tanda kawasan larangan.

Pemasangan pita keselamatan itu tidak memberi jaminan keselamatan kepada penduduk, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak.

Demi keselesaan dan keselamatan penduduk, JPS perlu turun padang melihat dan menyelesaikan isu ini.

Kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilakukan segera bagi memastikan penduduk tidak terus menanggung derita menghidu bau busuk setiap hari.

DBKL pula perlu mengambil tindakan lebih agresif dengan memantau kontraktor yang didapati gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

'Selesaikan segera demi keselesaan kami'

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

KUALA LUMPUR 12 Mei - Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Anggerik, Jalan Klang Lama di sini menggesa pihak bertanggungjawab menyelesaikan dua isu utama yang dihadapi mereka.

Selain masalah bau busuk dari kolam takungan banjir, pemantauan dan tindakan terhadap kontraktor projek berhampiran perlu diambil.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga PPR Seri Anggerik, Nordin Mohd. Nor berkata, masalah itu perlu diselesaikan segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Katanya, penduduk sudah tidak tahan terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.

Seorang penduduk, Zubaidah Ibrahim, 43, pula berkata, bau busuk dari kolam itu amat meloyakan sekali gus menyebabkan kehidupan harian mereka terjejas.

Katanya, pihak bertanggungjawab sepatutnya tidak lepas tangan kerana ia melibatkan soal keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan itu.

Saya benar-benar berharap kerja-kerja tersebut dapat dilakukan segera, kerana kami sudah tidak sanggup hidup begini," katanya.

Turut berkongsi perasaan, Suhaimi Mahbob, 60,.

Katanya, ketiadaan kerja-kerja penyelenggaraan menyebabkan penduduk sekitar diancam wabak denggi.

Saya berharap pihak bertanggungjawab segera bertindak sebelum kejadian lebih buruk berlaku," katanya.

Turut melahirkan kebimbangan, surirumah, Noorrozaini Mohd. Yusoff, 44,.

Katanya, sebelum kerja-kerja dimulakan, kontraktor terlibat perlu terlebih dahulu memikirkan soal keselamatan penduduk.

Lebih-lebih lagi projek yang dijalankan berhampiran dengan kawasan perumahan.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan kami bimbang sesuatu kejadian tidak diingini akan menimpa penduduk," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Zaliah Mat Yahya, 60, berharap pihak bertanggungjawab memandang serius perkara ini seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Masyarakat malas bersenam

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh Mohamed Saari
utusanjohor@utusan.com.my

S. Subramaniam (belakang, tujuh dari kiri) bersama pasukan futsal yang bertanding dalam Karnival Sukan JPMM DUN Jementah di Jementah, Segamat, kelmarin. - UTUSAN/MOHAMED SAARI

SEGAMAT 12 Mei - Perkembangan pesat teknologi dan proses urbanisasi antara faktor yang menyebabkan masyarakat tidak lagi berminat melakukan aktiviti fizikal atau senaman di luar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, rakyat harus sedar bahawa aktiviti fizikal memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri tanpa mengira peringkat umur.

Bersenam memberi manfaat besar dari segi fizikal, psikologi, sosial dan kesihatan kepada semua orang. Justeru, melakukan aktiviti fizikal secara kerap sangat penting untuk gaya hidup sihat.

Jika anda tidak pasti bagaimana untuk menjadi aktif dan sihat, mulakan dengan perlahan-lahan. Meningkatkan tahap aktiviti fizikal secara beransur-ansur adalah penting supaya kita tidak terdedah kepada risiko kecederaan," katanya semasa menutup Karnival Sukan Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Jakas, Jementah, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, bagi golongan yang menghidap penyakit kronik seperti artritis, diabetes dan jantung tetapi berhasrat untuk mengamalkan gaya hidup aktif, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor supaya mengetahui keupayaan dan kemampuan sebenar diri.

Apa yang penting adalah melakukan aktiviti sesuai mengikut keupayaan diri walaupun hanya melakukan senaman aerobik selama 30 minit seminggu dan jangan menjadikan penyakit yang dihidap sebagai alasan untuk tidak aktif," katanya.

Subramaniam berkata, bersenam dan melakukan aktiviti fizikal juga dapat membantu pencegahan osteoporosis dan penyakit kronik lain seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, sindrom metabolik dan kanser.

Golongan yang melakukan tahap aktiviti fizikal dan kecergasan tinggi mengalami pengurangan risiko kematian sebanyak 20 hingga 35 peratus kerana peningkatan dalam kecergasan fizikal mengurangkan risiko kematian pramatang.

Mereka yang aktif menunjukkan 30 hingga 40 peratus pengurangan risiko menghidap kanser kolon, manakala wanita aktif mengalami 20 hingga 30 peratus pengurangan risiko menghidap kanser payudara berbanding wanita yang tidak aktif," katanya.

17 nelayan terima jaring tangkap udang

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Azalina Othman Said bersama nelayan selepas menyampaikan jaring menangkap udang di Kampung Pasir Gogok, Kota Tinggi, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIK SALLEH

KOTA TINGGI 12 Mei - Seramai 17 nelayan pantai menerima jaring menangkap udang bernilai RM400 setiap seorang di pekarangan Balai Raya Kampung Pasir Gogok di sini baru-baru ini.

Bantuan yang diharap dapat meningkatkan hasil tangkapan mereka itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata, bantuan itu adalah salah satu usaha dan janji yang ditunaikan kerajaan untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Setiap tahun kerajaan akan mengeluarkan peruntukan bagi membantu golongan yang memerlukan ini," katanya.

Yang turut hadir Pengurus Besar Persatuan Nelayan Pengerang, Abdul Fatah Alkhairi Mustapa dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pengerang, Abu Bakar Mohamad.

Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang turut meminta golongan nelayan supaya bersedia menerima perubahan, pembangunan dan landskap ekonomi berikutan projek mega yang kini giat dibangunkan di kawasan Pengerang.

Kalau masyarakat bertindak lari atau keluar dari kawasan semata-mata tidak mahu menerima perubahan yang berlaku, maka diri sendiri yang akan menanggung rugi.

Siapa yang tidak takutkan perubahan. Kita semua takut untuk berdepan dengan situasi tersebut namun dalam kehidupan ini kita kena sentiasa bersedia," katanya.

Sementara itu, Azalina meminta ibu bapa mengutamakan pendidikan anak-anak manakala generasi muda perlu diberi latihan dalam bidang minyak dan gas supaya tidak tertumpu untuk terus menjadi nelayan.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Azan Sarom, 46, bersyukur dengan bantuan yang diberikan selain berjanji akan berusaha meningkatkan pendapatan keluarganya.

Bagi anak muda, dinasihatkan tidak sesekali ikut jejak langkah kami orang lama kerana masa depan mereka lebih cerah lebih-lebih lagi dengan adanya pembangunan di kawasan ini.

Kami yang telah sebati menjadi nelayan biarlah kami teruskan, namun golongan muda perlu merebut peluang yang tersedia," katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Rakannya, Abd. Rahim Ibrahim, 57, pula sentiasa berusaha menyesuaikan diri dan kehidupan keluarganya dengan perubahan dan pembangunan di kawasan itu supaya tidak terus terpinggir.

Saya berterima kasih kepada kerajaan yang tidak putus-putus membantu nelayan seperti kami. Bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan bagi menggantikan jaring yang rosak akibat dilanggar kapal yang membawa pasir dan minyak," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jaga kesucian masjid

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir

JERAI 12 Mei - Bagi menjaga kesucian ibadah dan masjid, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir menegur sikap segelintir ahli jawatankuasa masjid di negeri ini yang masih membenarkan mimbar menjadi medan menabur fitnah setiap kali berlangsungnya khutbah Jumaat.

Meskipun jumlahnya tidak banyak, beliau berkata, tindakan itu dikhuatiri membawa perbalahan dalam kalangan umat Islam selain mendatangkan rasa tidak selesa kepada mereka yang benar-benar hadir ke masjid untuk beribadat.

Katanya, pernah berlaku insiden jemaah bertindak merampas mikrofon ketika khatib memberi khutbah kerana tidak berpuas hati dengan kandungan yang disampaikan.

"Pernah laporan diterima mengatakan antara intipati khutbah itu mengatakan kerajaan harus ditukar kerana bertindak zalim terhadap rakyat. Khatib itu turut mendakwa, contoh kezaliman kerajaan adalah dengan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas rakyat.

"Tentunya dakwaan sebegitu tidak sesuai kerana bagi saya, khutbah seharusnya diisi dengan unsur-unsur yang memupuk perpaduan sesama Islam dan bukannya memecah belah," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Multaqa Imam, Guru Takmir dan Ahli Jawatankuasa Masjid Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), Datuk Noh Dahya.

Tambah Mukhriz, ketika ini, dilaporkan tidak sampai 10 masjid yang membenarkan khatibnya bertindak demikian di seluruh negeri ini.

"Ada yang mendakwa, khatib itu bukan imam di masjid berkenaan sebaliknya dijemput dari tempat lain. Walaupun begitu, bagi saya, ahli jawatankuasa masjid tetap perlu berhati-hati dan bertanggungjawab kerana tindakan sedemikian memberi kesan kepada masyarakat," katanya.

Diminta mengulas kunjungan ke Mesir setelah mengerjakan umrah baru-baru ini, katanya, beliau berkesempatan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia terutamanya dari negeri ini serta pihak pengurusan universiti sekitar Madinah, Kaherah dan Iskandariah.

"Dalam pertemuan dengan pihak pentadbiran universiti, mereka membangkitkan kualiti pelajar di sana. Keputusan para pelajar di tanah air dalam peperiksaan utama tidak dinafikan sememangnya cemerlang.

Namun penguasaan bahasa Arab mereka didapati menurun berbanding 'abang dan kakak' mereka sebelum ini mengakibatkan mereka terpaksa mengikuti kelas tambahan. Mungkin ada perkara yang boleh kita perbaiki di sini," ujarnya.

Pasangan nikah 'ekspres' diminta tampil ke JHEAINK

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

JERAI 12 Mei - Setiap pasangan yang bernikah secara ekspres melalui seorang imam di Kuala Kedah diminta untuk hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK) bagi membolehkan pernikahan mereka itu disahkan sama ada mengikut syarak atau sebaliknya.

Pengarahnya, Datuk Noh Dahya berkata, perkara itu perlu bukan saja bagi membantu siasatan pihak berkuasa, sebaliknya lebih kepada memastikan agar tidak berlaku hubungan zina di antara kedua-dua individu terlibat akibat pernikahan yang tidak sah tarafnya.

Kita tidak mahu sampai ke tahap mempunyai anak, akhirnya baru tersedar bahawa perkahwinan itu tidak sah kerana tidak mengikut syarak. Sudah tentu perkara sebegitu mendatangkan masalah kepada banyak pihak.

Disebabkan itu, kami minta semua yang terlibat hadir mendapatkan nasihat dari JHEAINK. Setakat ini difahamkan sebanyak 68 pasangan bernikah melalui cara ini tetapi hanya dua pasangan yang datang kepada kami," katanya ketika hadir ke penutupan Multaqa Imam, Guru Takmir dan AJK Masjid Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Agama Yan di sini hari ini.

Baru-baru ini seorang imam didakwa menjadi dalang sindiket nikah poligami ekspres di Kuala Kedah dengan mengenakan bayaran RM3,000 hingga RM5,000 bagi membolehkan pasangan memperoleh sijil nikah palsu dan bernikah tanpa kehadiran wali serta saksi.

Ekoran itu, tugasnya selaku kadi digantung buat sementara waktu, namun dia masih dibenarkan menjalankan tugas-tugas lain selaku imam di kawasan tersebut.

Sementara itu, katanya, pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan sindiket tersebut dapat diatasi sepenuhnya.

"Kami hanya boleh mengambil tindakan ke atas imam, namun untuk membanteras sindiket itu, kami memerlukan kerjasama daripada pihak polis," katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengakui sudah beberapa kali didatangi beberapa individu yang mendakwa berdepan masalah mendaftar kelahiran anak kerana ibu bapa tidak mempunyai sijil nikah.

"Kita percaya pernikahan seperti ini didalangi sindiket tertentu. Disebabkan itu, saya amat berharap agar agensi di bawah kerajaan negeri bertindak agresif menangani masalah ini memandangkan kuasa terletak di tangan mereka dan bukannya di bawah kerajaan Persekutuan," katanya.

PRK Parlimen Teluk Intan: Polis pantau semua kawasan

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

IPOH 12 Mei - Polis akan memberi tumpuan di semua kawasan, sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan bagi memastikan tiada sebarang kekecohan berlaku.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, untuk itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang telah dipertanggungjawabkan bagi memberikan maklumat mengenai perjalanan proses berkenaan kepada media.

Kita akan gembleng usaha untuk pastikan pilihan raya kecil ini berjalan tenteram dan aman.

Kok Liang telah dilantik untuk menyelaras dan memberi maklumat mengenai apa yang berlaku di sepanjang tempoh pilihan raya tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Pengurusan (KJP) negeri di antara pemangku jawatan itu, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abd. Latif dengan Komander Briged Utara Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta, Datuk Azman Yusof.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, pelantikan Azman menerajui jabatan pengurusan polis negeri diharap mampu membawa perubahan positif dalam menjadikan jabatan berkenaan lebih mantap pada masa depan.

Jelasnya, tanggungjawab tersebut mesti dilakukan bersungguh-sungguh kerana peranan besarnya sebagai tulang belakang organisasi itu.

Dia (Azman) bukan orang baharu kerana sebelum ini pernah bertugas di bahagian pentadbiran pada 1990-an. Dengan pengalaman dimilikinya, saya yakin dia mampu melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh dalam melaksanakan segala misi yang ditetapkan Ketua Polis Negeri.

Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pucuk pimpinan negeri dan pihak yang meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas itu.

"Sebagai permulaan, saya akan menumpukan kepada sistem penyampaian dan prosedur operasi standard (SOP). Mungkin kita akan lakukan beberapa pindaan untuk tambah nilai sistem berkenaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved