Jumaat, 30 Mei 2014

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bomba tingkat siap siaga

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 30 Mei - Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri meningkatkan kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya dengan menganjurkan seminar khas untuk menghadapi risiko perubahan cuaca serta iklim akibat fenomena El Nino yang dijangka melanda negara ini bulan depan.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, pihaknya telah membuat persediaan dengan menyusun strategi dan jadual kerja pegawai serta anggota supaya dapat bertindak dengan pantas termasuk melakukan rondaan.

"Selain keanggotaan mencukupi, kita turut melengkapkan kemudahan jentera bagi menghadapi fenomena El Nino.

"Oleh yang demikian, saya menyarankan setiap lapisan masyarakat meningkatkan tahap keselamatan daripada ancaman kebakaran," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Derma Darah dan Hari Bersama Pelanggan sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Sementara itu, katanya, program berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri dengan kerjasama Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

"Selain anggota dan pegawai bomba, orang ramai termasuk penjawat awam dari pelbagai agensi kerajaan turut serta dalam program ini.

"Sambutan amat menggalakkan kerana seramai 200 orang terlibat dalam penganjuran program selama sehari bermula 10 hingga 6 petang," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang anggota bomba, Adli Awang Mohamad, 53, merupakan penderma paling aktif menderma darah sejak 1994 iaitu sebanyak 22 kali.

"Sejak menderma darah kira-kira 20 tahun lalu, tahap kesihatan saya berada dalam keadaan yang baik dan saya berbangga dapat mendermakan darah demi keselamatan insan lain," ujarnya.

Kekalkan semangat berpasukan laksana tugas

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

KUANTAN 30 Mei - Warga Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

(PPDNKK) negeri diminta mengekalkan semangat berpasukan dalam melaksanakan tugas khususnya melibatkan penguatkuasaan demi memastikan hak pengguna sentiasa terbela.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, semangat itu perlu bukan sahaja tugas dapat dijalankan dengan licin malah membentuk hubungan kekeluargaan yang erat sesama mereka.

"Saya berharap warga PPDNKK Pahang teruskan semangat berpasukan dalam melaksanakan tugas kerana cara itu sahaja yang mampu membawa kepercayaan pengguna kepada agensi itu," katanya.

Shahiruddin berkata demikian dalam majlis ramah mesra bersama beliau di sini kelmarin dan turut dihadiri Pengarah PPDNKK negeri, Shahruddin Jali yang ditukarkan ke negeri ini selepas berkhidmat dua tahun di pejabat sama di Kelantan.

Menurut Shahiruddin, beliau memahami tugas penguatkuasaan agensi itu semakin mencabar terutama dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menuntut mereka mengharungi tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Tambahnya, pengguna hari ini banyak terdedah dengan pelbagai maklumat melalui internet sekali gus membuatkan agensi tersebut perlu membuktikan keupayaan dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

"Tugas kita kali ini amat berat lebih-lebih lagi berkaitan dengan isu dan hak pengguna. Sehubungan itu, laksanakan dengan baik supaya pengguna dan rakyat percaya bahawa kerajaan sememangnya menitikberatkan hal berkaitan kepenggunaan.

"Tunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat di luar sana bahawa agensi ini mampu melakukannya dengan lancar," katanya.

Beliau berkata, selain penguatkuasaan, mereka juga menjadi ejen dalam menyedarkan pengguna tentang hak mereka dalam pelbagai bidang.

"Pengguna perlu ditingkatkan kesedaran dan tugas itu tidak hanya sementara tetapi dilakukan sepanjang masa," katanya.

38 pelajar, 6 guru lakukan khidmat bakti di DBDJ

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

PENGAWAS dan guru dari SMK Felda Kota Gelanggi 2 menunjukkan tanda bagus selepas selesai melakukan khidmat bakti di Desa Bina Diri Jerantut di Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 30 Mei - Seramai 38 pengawas dan enam guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi 2 mengadakan program khidmat bakti di Desa Bina Diri Jerantut (DBDJ) di sini baru-baru ini.

Pengarah program, Ahmad Farizan Bahaman berkata, program tersebut merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh pengawas sekolah pada setiap tahun.

"Kali ini kita memilih DBDJ yang menjadi pusat jagaan golongan kurang bernasib baik sebagai lokasi untuk para pelajar terbabit melakukan khidmat sosial mereka.

"Kami adakan beberapa aktiviti iaitu membersih dewan makan, menyediakan hidangan makanan kepada penghuni dan memotong kuku serta rambut," katanya.

Menurutnya, pelajar sangat bertuah kerana mereka dapat melihat pelbagai ketidakupayaan penghuni di DBDJ dan banyak perkara yang mereka pelajari di situ.

Ahmad Farizan berkata, melalui program itu, banyak nilai murni diterapkan kepada pelajar seperti menghormati orang tua, kasih sayang, tolong-menolong dan pengurusan keluarga.

"Program ini berjaya mendidik mereka untuk menjadi modal insan berjaya dalam semua aspek bagi mengharungi kehidupan pada masa depan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Indonesia uji produk Cadbury

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

SEBAHAGIAN ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim (Mawar), membuang coklat Cadbury ke dalam tong sampah sebagai membantah pencemaran DNA babi yang dikesan dalam dua produk syarikat itu di Kuala Lumpur, kelmarin. - AGENSI

JAKARTA 30 Mei - Pihak berkuasa Indonesia dilapor menjalankan ujian ke atas coklat jenama Cadbury selepas dua daripada produk terbabit dikesan mempunyai asid deoksiribonukliek (DNA) babi oleh kerajaan Malaysia, baru-baru ini.

Pengarah Agensi Pemantauan Makanan dan Dadah Indonesia, Roy Alexander Sparingga berkata, sebanyak 10 produk Cadbury yang mempunyai logo halal, diuji sama ada mengandungi DNA babi dan keputusan ujian hanya akan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi.

Bagaimanapun katanya, semua produk yang diuji tidak melibatkan dua jenis coklat Cadbury, Cadbury Milk Roasted Almond dan Cadbury Milk Hazel Nut yang ditarik balik penjualannya di Malaysia selepas dikesan mengandungi bahan tidak halal itu.

Kontroversi pencemaran DNA babi yang haram dimakan umat Islam tersebut mencetuskan kemarahan banyak pertubuhan Islam di Malaysia yang menggesa agar semua produk keluaran syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) dan syarikat induk, Mondelez International Inc. (Mondelez) diboikot.

Kebimbangan terhadap pelanggaran piawaian halal yang ditetapkan pihak berkuasa sekali gus dilihat boleh menjejaskan jualan syarikat Mondelez di pasaran Islam terutamanya di Indonesia yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia selain Asia Barat.

Sementara itu di Kuala Lumpur, pihak berkuasa Malaysia cuba meredakan kemarahan orang ramai terhadap Cadbury dengan menyatakan kes itu masih disiasat sama ada pencemaran dilakukan atas kecuaian syarikat terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha dalam kenyataannya berkata, orang ramai perlu sedar bahawa tindakan tidak boleh diambil ke atas Cadbury selagi siasatan masih belum selesai.

Jelasnya, tiada bukti kukuh setakat ini yang menunjukkan sama ada pencemaran itu berlaku disebabkan kecuaian di kilang atau faktor luaran.

"Kes yang berlaku ke atas Cadbury umpama suspek yang ditahan dan ditempatkan di dalam pusat tahanan.

"Mereka (Cadbury) masih belum didapati bersalah dan operasi mereka hanya digantung sahaja buat masa ini," katanya. - REUTERS

Poroshenko mahu hukum kumpulan pro-Rusia

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

SEBUAH jentolak membersihkan tayar-tayar yang membentuk sekatan di pekarangan bangunan pentadbiran di bandar Donetsk, timur Ukraine, kelmarin. - REUTERS

KIEV 30 Mei - Presiden Ukraine yang baharu, Petro Poroshenko hari ini berikrar untuk menghukum kumpulan pemisah pro-Rusia yang menembak jatuh sebuah helikopter tentera di timur negara ini, semalam yang mengakibatkan 12 askar maut dalam satu daripada serangan berdarah pemberontak.

Helikopter jenis Mi-8 itu ditembak jatuh dengan menggunakan sebuah peluru berpandu ke permukaan di Slavyansk, sekali gus membangkitkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kumpulan pemisah tersebut menerima bekalan senjata dari luar Ukraine.

"Kami perlu melakukan apa sahaja cara yang boleh bagi memastikan tiada lagi rakyat Ukraine mati di tangan pengganas dan penjahat. Jenayah-jenayah yang dilakukan oleh musuh tidak akan dibiarkan dan bakal mendapat pembalasan sewajarnya," katanya sebagaimana lapor agensi berita Ukraine.

Menteri Pertahanan, Mykhailo Koval dalam pada itu dijangka memberikan butiran terperinci mengenai serangan berhampiran bandar perindustrian Slavyansk dalam satu sidang media, hari ini.

Dalam nahas itu, antara yang terbunuh adalah Jeneral Volodymyr Kulchytskiy, enam anggota tentera Pengawal Nasional terdiri daripada sukarelawan, yang merupakan kematian kedua tertinggi sejak Ukraine kehilangan 18 anggota tentera dalam satu pertempuran di Donetsk, minggu lalu.

Seorang daripada pemimpin pemisah membuat pengakuan mengejutkan semalam dengan mendakwa 33 daripada 40 anggota kumpulan pemisah yang maut dalam serangan di Lapangan Terbang Donetsk merupakan warga Rusia dari wilayah yang dihuni penduduk Islam seperti Chechnya.

Pendedahan itu sekali gus mencabar dakwaan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menafikan campur tangan Kremlin dalam tindakan kumpulan pemisah dan menyokong dakwaan Kiev bahawa pemisah tidak mewakili kehendak sebenar pekerja lombong dan keluli yang menjadi nadi kepada ekonomi Ukraine.

Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, terdapat bukti yang menunjukkan campur tangan Rusia' dalam pertempuran dan melatih individu daripada Chechnya di Rusia yang menjadi punca kepada konflik di Ukraine.

Katanya, walaupun tentera Rusia di sempadan Ukraine telah kembali ke Moscow, tetapi masih terdapat tanda-tanda bahaya di situ.

Sementara itu, kerajaan Ukraine semalam dilihat mengalih tumpuan mereka untuk memulihkan keadaan di Slavyansk, sebuah bandar perindustrian yang dihuni 120,000 penduduk yang kebanyakannya merupakan etnik Rusia. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Bade kahwin lagi

Posted: 30 May 2014 02:39 AM PDT

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pengarah filem terkenal Badaruddin Azmi (Bade) dikatakan berkahwin buat kali kedua dengan seorang wanita muda yang dikenali sebagai Aida Abdul, berusia awal 30-an.

Majlis meraikan pernikahan baharu suami kepada Erma Fatima itu berlangsung di sebuah hotel di Cherating , Pahang pada 27 Mei lalu.

Majlis yang berlangsung secara tertutup itu turut dihadiri beberapa artis terkenal termasuk Datuk Rosyam Nor dan isteri.

Walaupun isteri kedua pengarah itu masih misteri, Utusan Online berjaya mendapatkan gambar perkahwinan mereka baru-baru ini.

Sehingga kini Bade sendiri masih belum memberi sebarang pengesahan mengenai pernikahannya itu walaupun usaha mendapatkan kenyataan daripada pengarah berkenaan dibuat semenjak minggu lalu.

"Bade dan isterinya difahamkan telah bernikah sekitar dua bulan lalu di negara jiran. Wanita berkenaan juga merupakan orang yang terlibat dalam bidang penerbitan drama dan filem dan kini membantu produksi Bade sendiri," jelas sumber.

Rosyam yang dihubungi Utusan Malayisa bagaimanapun tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai majlis perkahwinan rakan baiknya itu.

"Ini kisah peribadi, awak tanya tuan punya diri, itu lebih baik," katanya, tegas.

Erma, isteri pertama Bade juga gagal dihubungi untuk memberikan sebarang komen.

Hasil penelitian di laman Instagram Erma, pengarah itu kini berada di Sepanyol untuk projek karya terbaharunya.

Erma dan Bade bernikah pada 30 November 1990 dan membesarkan lima orang anak.

Sebelum ini Bade pernah didakwa telah bernikah lain pada 2010. Bagaimanapun Bada menafikan sekeras-kerasnya yang dia sudah berkahwin pada waktu tersebut.

ENDS.

Firman lebih popular?

Posted: 30 May 2014 06:19 AM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Gambar SYEFRI MONIZ

Firman bersama komposer Eddie Hamid yang mencipta lagu Rindu Serindu Rindunya.

ALANGKAH beruntungnya penyanyi Firman kerana lagu dendangannya, Rindu Serindu Rindunya telah diputarkan di 600 stesen radio di Indonesia ketika ini. Malah lagu itu juga berjaya menduduki carta teratas senarai lagu-lagu popular dan lagu tersebut juga sudah mula diputarkan di saluran radio tempatan.

Keadaan itu ternyata jauh berbeza dengan apa yang dialami oleh kumpulan Spoon yang merupakan penyanyi asal untuk lagu ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Allahyarham Man Toba itu.

Lagu itu dikatakan terlalu melankolik dan kekampungan, tidak sesuai untuk siaran radio tempatan terutama radio swasta yang tampak lebih urban. Kini apa sudah terjadi?

Lagu yang sama tetapi didendangkan oleh penyanyi dari seberang dengan susunan muzik baharu terus mendapat tempat di saluran radio yang sebelum ini pernah pandang sebelah mata pada lagu tersebut.

Komposer Eddie yang sempat ditemui pada majlis pelancaran single Rindu Serindu Rindunya, dendangan Firman di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia agak terkejut apabila mendengar lagu tersebut dengan mudah mendapat tempat di saluran radio tempatan.

"Pada 1998, waktu Spoon rakam lagu itu, saya masih ingat betapa sukarnya untuk kumpulan itu menambat hati orang atasan di radio swasta. Alasan yang diberi, itu lagu kampung dan ia tidak sesuai dengan format saluran mereka.

"Apa bezanya sekarang, Firman tetap mengekalkan melodi asal dan hanya dibuat sedikit susunan baharu. Lagu ciptaan saya itu tetap dengan irama Melayu. Pada saya jika sesebuah lagu itu digemari ramai, tidak perlulah nak kategorikan ia lagu kampung atau bandar," katanya.

Menurut Eddie, dia berpuas hati dengan dendangan Firman kerana penyanyi itu berjaya menyampaikannya dengan lebih baik. Lagu terkini dendangan Firman telah mendapat sentuhan Pay daripada kumpulan Slank.

"Sebenarnya, Firman bukanlah orang pertama yang merakam semula lagu Rindu Serindu Rindunya. Lagu tersebut pernah dirakam oleh kumpulan Exist dan Datuk Sharifah Aini pun pernah rakam Rindu Serindu Rindunya pada 2000. Sebagai komposer, saya gembira kerana karya saya mendapat perhatian ramai," jelasnya.

Firman minat Spoon

Tatkala ditanya kenapa memilih lagu dendangan Spoon untuk dijadikan single terbaharunya. Kata Firman, Rindu Serindu Rindunya merupakan lagu pertama yang membuatnya belajar untuk bermain gitar.

"Lagu itu pernah ngetop di Indonesia sewaktu Spoon nyanyikannya dan ketika itu saya masih di bangku sekolah dan saya adalah di antara penggemar tegar.

"Lagu itu juga membuatkan saya belajar memetik gitar dan apabila pihak Life Records memberi saranan untuk saya merakam semula lagu Melayu, terus saya pilih lagu Rindu Serindu Rindunya. Pada saya lagu itu ada nilai estetikanya yang tersendiri," jelasnya.

Tambah Firman, dia tidak pernah malu untuk mendendangkan lagu-lagu berunsur kemelayuan kerana sejak dari kecil dia sudah didedahkan dengan irama tersebut daripada ayahnya.

"Irama Melayu bukan muzik murahan tetapi muzik yang kaya dengan lenggok tersendiri dan untuk menyanyikan lagu irama Melayu bukanlah sesuatu yang mudah.

"Tidak dinafikan, awalnya saya mengalami sedikit kesukaran kerana saya adalah penggemar irama rock, namun saya berjaya mengatasinya kerana minat yang mendalam terhadap irama tersebut," katanya.

Firman bersama isteri dan anak.

Sudah dicetak rompak

Firman yang teruja kerana single terbaharunya itu mendapat sambutan hangat daripada rakyat Indonesia berkata, dia juga dikejutkan dengan berita yang lagu tersebut telah dijadikan lagu karaoke tanpa izin.

"Dua hari lalu seorang teman memberitahu yang lagu Rindu Serindu Rindunya telah ada di pusat karaoke Indonesia, sedangkan lagu itu belum lagi dipasarkan.

"Kata teman, sewaktu dia mencari lagu-lagu dendangan saya untuk dinyanyikan, terus keluar lagu Rindu Serindu Rindunya. Rupa-rupanya di pusat karaoke, saya sudah ada album, sedangkan sehingga kini saya hanya mengeluarkan single. Album penuh saya yang berjudul Aku Anak Melayu hanya akan dipasarkan selewat-lewatnya selepas lebaran ini," jelasnya.

Tambahnya, walaupun kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak berkenaan, namun dia percaya apa yang dilakukan oleh pusat karaoke berkenaan berdasarkan permintaan.

"Mungkin para pengunjung pusat karaoke ingin menyanyikan lagu tersebut namun hingga kini pihak rakaman belum buat, jadi bagi memenuhi kehendak pelanggan, saya yakin pusat karaoke itu mengambil jalan pintas.

"Untuk tindakan selanjutnya, pihak saya memerlukan lebih banyak info kerana apa yang dilakukan itu lebih menguntungkan pihak lain dan bukannya saya, "katanya.

Tidak boleh berjauhan

Menurut Firman atau nama sebenarnya Firman Rahmat Siagian sejak menjadi ayah kepada Diamond Ziggy Siagian yang kini berusia 14 bulan, hatinya sentiasa tidak keruan.

"Kalau dulu saya boleh berjauhan dengan isteri tetapi sejak ada anak, hati saya cepat rindu untuk pulang ke rumah kepingin melihat wajah anak.

"Anak saya sihat-sihat aje tetapi suka buat perangai. Kerenah dia itu membuatkan saya sentiasa rindu untuk mengusik. Jadi kalau sudah dua hari tidak menatap wajahnya, saya pasti resah gelisah," kata suami kepada Marisya Purwana Putri.

Katanya, sejak memenangi pertandingan Indonesia Idol, hidupnya kini banyak berubah. Namun jika diundurkan masa, Firman berkata, seboleh mungkin dia tidak mahu mencipta nama dalam bidang seni berdasarkan pertandingan tersebut.

"Sebenarnya bukan mudah bergelar juara Indonesia Idol. Selepas program itu orang mengenali kita sebagai artis, namun kita terpaksa bergerak sendiri. Sewaktu dalam program sahaja, peserta dilatih tubi selepas itu kami perlu membawa haluan sendiri.

"Memang perit kerana ketika itu saya tidak boleh makan di jalanan sebab orang mengenali saya sebagai artis. Hakikat sebenarnya, saya bukanlah semewah seperti yang disangka. Sekarang ini sahaja, kehidupan saya sedikit senang," akuinya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Legasi kehakiman Sultan Azlan Shah

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Oleh Salleh Buang

SULTAN Azlan Shah diiringi Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi bersalaman dengan Ketua Hakim Singapura, Datuk Seri Chan Sek Keong selepas Almarhum baginda berkenan mencemar duli ke Majlis Syarahan Undang-undang ke-23 di Kuala Lumpur, pada 2009.

SEBELUM Almarhum Sultan Azlan Shah naik takhta sebagai Sultan Negeri Perak, Almarhum sudah lama berkhidmat dalam perkhidmatan kehakiman negara dari peringkat paling bawah (Majistret Kelas I) hinggalah peringkat paling tinggi selaku Ketua Hakim Negara.

Saya tidak pernah berkhidmat di bawah baginda, juga tidak berpeluang berinteraksi dengannya sewaktu Almarhum memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan jawatan-jawatannya yang lebih tinggi.

Sewaktu Almarhum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1965 (pada usia 37 tahun), saya belum pun menjejak kaki di Lincoln's Inn London, di mana Almarhum menamatkan pengajian undang-undangnya pada 1954.

Pada 1973, bila Almarhum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan, saya baru sahaja berkhidmat di Jabatan Peguam Negara selama tiga tahun.

Bila Almarhum dinaikkan pangkat ke jawatan Hakim Besar Malaya pada 1979, saya sudah pun meninggalkan Jabatan Peguam Negara untuk mencuba nasib sebagai Peguambela dan Peguamcara.

Akhir sekali bila Almarhum sampai ke kemuncak kerjayanya, di lantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 November 1982, saya sudah pun bersiap sedia berhijrah ke menara gading.

Walaupun saya tidak berkesempatan mengenali Almarhum Sultan Azlan Shah dari dekat (berbeza dengan nasib saya dapat kenal rapat dengan Allahyarham Tun Suffian Hashim dan Tun Salleh Abas, kedua-duanya mantan Ketua Hakim Negara) namun kata-kata bijaksana yang diucapkan oleh Almarhum selaku hakim terus dekat di hati saya.

Begitu banyak sekali penghakiman Almarhum baginda sebagai hakim yang saya rujuk, sebut, komen dan perjelaskan - dalam buku, monograf, rencana, kuliah, syarahan umum dan bengkel undang-undang yang saya kendalikan dari semasa ke semasa.

Pendek kata, saya berani menyatakan dengan penuh yakin bahawa selagi ada rakyat negara ini yang mempelajari ilmu undang-undang, berkarya sebagai pengamal undang-undang, turun-naik mahkamah mewakili anak guamnya, Almarhum Sultan Azlan Shah akan kekal hidup dan terus bercakap menerusi penghakimannya kepada semua - pelajar, warga peguam dan hakim-hakim kita.

Legasinya yang tidak ternilai akan terus bermakna dan dimanfaatkan.

Salah satu kes terpenting dalam perundangan tanah negara yang diputuskan oleh Almarhum sebagai hakim bicara adalah kes Sidek & 461 Ors lwn. Kerajaan Negeri Perak [1982] 1 MLJ 313, yang melibatkan penerokaan kawasan hutan dekat Teluk Intan oleh sekumpulan rakyat yang tidak bertanah.

Plaintif dalam kes ini merupakan perintis (kumpulan pertama) yang menerokai kawasan hutan itu, diikuti oleh ramai lagi selepasnya. Walaupun pada mulanya plaintif diberi maklum bahawa kumpulannya akan dikurniakan tanah di kawasan yang mereka terokai itu, akhirnya hajat mereka tidak kesampaian.

Dalam kes ini, isu utama yang perlu diputuskan oleh hakim bicara adalah status setinggan dalam undang-undang negara. Di akhir perbicaraan, Almarhum (selaku hakim bicara) memutuskan bahawa; "Setinggan tidak ada apa-apa hak di sisi undang-undang atau pun ekuiti".

Keputusan Almarhum ini terus diikuti dan dipetik oleh begitu ramai sekali hakim lain selepasnya apabila ada sahaja kes setinggan sampai ke mahkamah.

Satu lagi keputusan Almarhum yang tidak boleh saya lupakan adalah kes Roberts lwn. Ummi Kalthom [1966] 1 MLJ 163. Ketika Almarhum mendengar kes ini, baginda baru sahaja memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi.

Isu utama dalam kes ini berkisar kepada hak seorang suami terhadap harta (sebidang tanah) yang didaftarkan atas nama isteri, selepas pasangan itu bercerai. Plaintif dalam kes ini ialah seorang bukan Melayu tetapi telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan defendan.

Penghakiman Almarhum dalam kes ini merupakan permulaan undang-undang harta sepencarian moden, yang selepas itu terus dikembangkan oleh hakim-hakim lain.

Kini kes-kes harta sepencarian tidak lagi dibicarakan di mahkamah sivil kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Namun kes Ummi Kalthom terus menjadi salah satu kes rujukan penting mengenai harta sepencarian.

Peluang tunggal untuk saya bertemu dengan Almarhum timbul apabila saya selesai melaksanakan satu tugas berat untuk Yayasan Tun Suffian.

Sekitar 2005 saya diminta oleh yayasan itu menulis sebuah buku ilmiah mengenai kerjaya Allahyarham Tun Suffian semenjak tokoh tersohor itu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sehinggalah selepas dia bersara daripada jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara.

Saya terima tugas berat itu dengan sukarela kerana saya memang kenal beliau semasa hayatnya.

Setelah buku itu siap dicetak pada 2007, saya dimaklumkan bahawa projek penerbitan Yayasan Tun Suffian (karya saya) itu akan dilancarkan dengan rasminya oleh Sultan Azlan Shah.

Peristiwa paling bermakna itu berlangsung di Carcosa Seri Negara Kuala Lumpur, turut dihadiri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim (ketika itu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan), Tun Mohamed Dzaidin (mantan Ketua Hakim Negara, selaku Pengerusi Yayasan Tun Suffian) dan Tunku Datuk Dr. Sofiah Jewa (pengasas Yayasan Tun Suffian).

Itulah kali pertama saya diberi penghormatan duduk di atas pentas bersama Almarhum Sultan Azlan Shah (serta orang kenamaan yang saya sebutkan di atas tadi), sebelum buku mengenai Tun Suffian itu dilancarkan dengan rasminya oleh baginda.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Almarhum. Amin.

PENULIS ialah penganalisis undang-undang.

Memagar Serambi Mekah daripada pil kuda, kenduri seks

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Oleh Azran Fitri Rahim

SEBAIK sahaja media melaporkan mengenai 'kenduri seks' yang membabitkan gadis sunti berusia 15 tahun dirogol lebih 30 lelaki di Ketereh, Kota Bharu pada 28 Mei lalu, ada yang bertanya adakah ia benar-benar berlaku.

Malah ada yang menyatakan jika betul ia berlaku sudah pasti kes ini adalah rekod baharu yang boleh dimuatkan dalam Malaysia Book of Records.

Ya, memang benar ada kewajaran untuk mempertikaikan perkara tersebut kerana ia adalah suatu perkara yang tidak normal dan tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran.

Namun jika direnung kembali isu tersebut bukan sahaja membabitkan jumlah perogolnya tetapi ia membawa persoalan yang lebih besar dalam kehidupan sosial masyarakat di negara ini khususnya di Kelantan.

Secara jujur, penulis merasa amat malu untuk melaporkan tentang tragedi ini kerana ia berlaku dalam negeri Serambi Mekah tetapi biar sepahit mana sekali pun kebenaran ini harus didedahkan kepada khalayak sebagai pengajaran dan sempadan hidup.

Justeru itu, perkara pertama yang perlu ditelaah semua pihak terutama kerajaan dan masyarakat ialah punca kejadian itu.

Jangan lupa, statistik menunjukkan kes rogol di bawah umur di Kota Bharu amat membimbangkan, 21 kes dalam tempoh lima bulan. Ini baru satu daerah tidak dicampur dengan daerah-daerah lain di negeri ini. Satu angka yang amat menakutkan!

Daripada pemikiran yang mudah, hanya ada dua punca kejadian itu berlaku. Pertama, dadah dan kedua, sikap ibu bapa.

Namun tidak dapat dinafikan masih ada punca-punca kecil lain yang boleh menyebabkan ia berkembang menjadi besar.

Penduduk di negeri ini amnya mengetahui masalah dadah terutama pil kuda telah menjadi barah utama dalam masyarakat terutama generasi muda.

Biar sekuat mana operasi membanteras musuh nombor satu negara ini diadakan, ia tetap mara ke hadapan seolah-olah tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Dadah jenis sintetik ini menjadikan seseorang itu seperti mayat hidup, hanya jasad yang bergerak tetapi otak entah ke mana. Pengambilnya sanggup melakukan apa sahaja hatta perkara yang dianggap tidak normal oleh manusia biasa - mungkin lebih dahsyat daripada zombie.

Justeru tidak pelik sekiranya mayat-mayat hidup ini sanggup 'memperkudakan seorang gadis berusia 15 tahun beramai-ramai tanpa merasa jijik dan bersalah kerana akal sudah hilang daripada jasad.

Punca kedua, ialah ibu bapa. Soalan asas, ke mana, di mana dan dengan siapa anak kita berada? Ia harus sentiasa berada dalam pemikiran setiap ibu bapa bagi mewujudkan rasa 'curiga' demi kebaikan zuriat kita.

Benar, dunia hari ini menuntut ibu bapa bekerja kuat demi survival hidup namun anak-anak adalah harta yang tiada tolak bandingnya yang harus ditatang sehingga mereka benar-benar dewasa untuk mengenal erti dunia.

Bagaimanapun dua punca ini ada penawarnya.

Pertama, Kelantan terletak di sempadan dengan Thailand. Jarak yang memisahkan di antara kedua-dua negara hanya sekangkang kera.

Statistik juga menunjukkan Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah penagih dadah baru dan jumlah penghidap HIV.

Di sini pintu dadah dibawa masuk. Pintu ini harus ditutup dengan rapat. Justeru itu, cadangan kerajaan untuk membina tembok mahupun pagar di kawasan sempadan harus disegerakan sekiranya mahu melihat anak bangsa terutama Melayu Islam tidak terus rosak.

Tidak dapat dinafikan banyak perkiraan harus dibuat untuk menutup pintu ini. Kerajaan Pas Kelantan memikirkan undi yang akan hilang disebabkan penduduk di sempadan marah kerana pintu rezeki mereka ditutup. Kerajaan Pusat pula memikirkan kos ratusan juta yang perlu dilaburkan.

Tetapi kebaikannya amat besar demi generasi akan datang. Pagar atau tembok harus dibina secepat mungkin.

Kedua, adalah ibu bapa dan masyarakat. Ini kunci azimat untuk menutup segala jendela kemaksiatan. Semuanya bermula di rumah.

Masyarakat juga harus cakna dengan persekitaran mereka dan bukan hanya menyerahkan kepada polis atau kerajaan untuk menyelesaikan setiap isu sosial.

Pihak berkuasa khususnya Polis Kelantan telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang, statistik jenayah semakin menurun. Cuma ada satu dua kes yang menyakitkan hati.

Kini menjadi tugas semua anggota masyarakat bermula daripada keluarga sehingga ke pemimpin tertinggi untuk memasang 'pagar' mengelakkan anak-anak muda terjebak dengan masalah sosial.

Terakhir, mungkin sudah sampai masanya hukum hudud dilaksanakan secepat mungkin di negeri ini bagi mewujudkan rasa gerun kepada pelaku jenayah.

Harap-harap tiada lagi berita kenduri seks atau rogol yang terpaksa dilaporkan di dada akhbar selepas ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Muar boleh dijadikan contoh

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Oleh Zulhisham Isaha
utusanjohor@utusan.com.my

Sementara itu, Muji yang memulakan tugas di sini pada 4 Mei lalu merakamkan penghargaan terhadap segala sumbangan dan jasa Abdul Rahman semasa mentadbir dnji akan meneruskan pa.

MUAR 29 Mei - Keistimewaan bandar Muar yang bersih dengan landskapnya yang indah dan dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja boleh dijadikan contoh bagi bandar lain di negeri ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata, usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diteruskan kerana keistimewaan itu akan menjadi satu tarikan pengunjung ke daerah ini.

"Ini adalah hasil kerja dan dedikasi terutamanya Majlis Perbandaran Muar (MPM) sehingga menjadikan bandar Muar cantik dan bersih, malah mendapat pujian dan liputan media yang baik daripada media massa.

"Ini boleh menjadi tarikan selain keenakan makanannya seperti mi bandung, asam pedas, soto dan hidangan sate pada waktu pagi. Makanan di Muar adalah sangat istimewa dan tidak terdapat di tempat lain," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Pertukaran Pegawai Daerah Muar dan Pertukaran/Persaraan Pegawai-pegawai Kanan Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Muar 2014 di Hotel Traders Muar di sini malam tadi.

Pada majlis tersebut, bekas Pegawai Daerah Muar itu menandatangani dan menyerahkan dokumen serah tugas kepada penggantinya, Muji Salimon, 58, yang merupakan bekas Pegawai Daerah Pontian.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Saharudin Md. Salleh; Yang Dipertua MPM, Ramlee A. Rahman; Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob dan Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed.

Abdul Rahman, 58, yang berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Muar dari Julai 2012 hingga April lalu berkata, antara pengalaman manis sepanjang perkhidmatannya ialah ketika Muar dipilih Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk sambutan hari keputeraan baginda.

Beliau berkata, sambutan hari keputeraan Sultan Johor itu adalah yang pertama kali diraikan di luar Johor Bahru iaitu pada November 2012 dan lebih bersejarah lagi apabila bandar ini turut diisytiharkan sebagai Bandar Diraja.

Abdul Rahman turut berikrar untuk menggunakan segala pengalamannya selama ini bagi menerajui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Karnival kerjaya di Pontian Ahad ini

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

JOHOR BAHRU 29 Mei - Pusat JobsMalaysia Iskandar Malaysia akan menganjurkan Karnival Kerjaya Daerah Pontian yang akan diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian pada Ahad ini.

Program yang bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang itu merupakan usaha kerajaan dalam membantu orang ramai khususnya yang sedang mencari kerja mendapatkan pekerjaan bersesuaian yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat.

Karnival tersebut dijadual dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan.

Justeru, orang ramai dijemput datang beramai-ramai kerana temu duga terbuka turut diadakan sempena program berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bangunan parkir belum siap

Posted: 29 May 2014 11:58 AM PDT

Oleh MOHD. SAHRUL MOHD SAH
utusanpenang@utusan.com.my

Projek bangunan parkir Bukit Bendera setakat semalam hanya 65 peratus siap dan tarikh penyerahannya ditunda dari 31 Mei kepada 31 Ogos tahun ini.

PULAU PINANG 29 Mei - Dalam tempoh kurang dua hari sahaja lagi dijadual untuk disiapkan, bangunan parkir di Bukit Bendera yang diruntuhkan kerana tidak menepati spesifikasi masih gagal disi apkan.

Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menetapkan projek itu disiapkan pada 25 November 2013 sebelum dilanjutkan sehingga hujung bulan ini.

Timbalan Pengurus Besar 1 PDC, Iskandar Bashar Abdul Kadir berkata, projek bangunan tersebut hanya 65 peratus siap dan dijangka siap pada 31 Ogos ini.

Beliau berkata, antara masalah utama yang menyebabkan kelewatan projek pembinaan itu adalah terdapat batu besar berhampiran kawasan bangunan parkir.

"Kita dapati penggunaan bahan letupan tidak sesuai disebabkan tempat pembinaan terletak hampir dengan kawasan kediaman penduduk.

"Kami terpaksa memecahkan batu itu sedikit demi sedikit dan proses ini mengambil masa hampir enam bulan menyebabkan kelewatan tidak dapat dielakkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iskandar memberitahu, pihaknya yakin projek itu akan siap sepenuhnya dan diserahkan kepada bahagian pengurusan pada tarikh baharu yang ditetapkan.

"Sungguhpun kelewatan tidak dapat dielakkan, kami akan memastikan tidak terdapat apa-apa penambahan kos dan segalanya akan dipantau rapi," katanya.

Bangunan parkir lapan tingkat itu dilengkapi dengan 311 lot parkir kereta, 171 tempat meletak motosikal dan juga tiga ruangan parkir khas untuk orang kurang upaya (OKU).

Projek bernilai RM11 juta itu juga akan turut menempatkan masing-masing satu tingkat ruang pejabat dan ruang komersial.

TNB bantu baik pulih rumah rakyat miskin

Posted: 29 May 2014 11:58 AM PDT

Zainol Fadzi Paharudin (empat dari kiri) ketika melawat rumah Chai Chat yang sudah dibaik pulih TNB di Teluk Intan, Perak, kelmarin.

TELUK INTAN 29 Mei - Program bantuan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kaum dan ini dibuktikan apabila kaum India dan Cina yang tidak berkemampuan turut dibantu di bawah Projek Mesra Rakyat Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Projek tersebut merupakan bantuan membaiki rumah penduduk daif dan bagi kawasan ini, dua keluarga di Kampung Chui Chak dan Langkap dekat sini sudah pun memiliki kediaman yang lebih selesa di bawah program tersebut.

Salah seorang penerima bantuan, Chai Chat, 63, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berkata, bantuan itu sangat bermakna dan mengubah hidupnya sekeluarga.

Dia yang bergantung hidup dengan bantuan isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, bantuan rumah yang diterimanya itu membolehkan mereka sekeluarga tinggal dalam keadaan lebih selesa.

"Rumah kami sebelum diperbaiki agak kurang selesa dan tidak sesuai untuk didiami bersama empat anak saya.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan dan TNB serta wakil rakyat Sungai Manik kerana memberikan bantuan ini," katanya pada majlis perasmian kediamannya yang sudah dibaik pulih oleh TNB di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik.

Seorang lagi penerima bantuan, S. Gengabale, 49, ibu tunggal tiga anak yang turut memelihara dua cucunya berkata, kehidupannya berubah setelah menerima bantuan tersebut.

Dia yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini juga berterima kasih kepada TNB yang membiayai kos baik pulih rumahnya.

"Kehidupan saya sekeluarga bertambah selesa. Rumah kami sudah mempunyai bekalan elektrik setelah setahun terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam," katanya.

Kedah tubuh PAWE di setiap daerah

Posted: 29 May 2014 11:58 AM PDT

ALOR SETAR 29 Mei - Kerajaan negeri akan menubuhkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap daerah bagi memastikan golongan warga emas terus aktif menjalani kehidupan harian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, sehingga kini terdapat dua PAWE di negeri ini iaitu di Sungai Petani dan Kulim.

"PAWE mendapat sambutan baik daripada golongan warga emas, contohnya PAWE Kulim mempunyai kira-kira 250 ahli.

"Negara kita sedang menjurus kepada penuaan di mana jangka hayat warga emas semakin panjang iaitu 75 tahun bagi wanita dan 73 bagi lelaki. Dari sini menunjukkan lebih ramai warga emas perlu dijaga.

"Tetapi dengan adanya pusat ini, warga emas yang masih aktif akan dapat mengisi waktu lapang mereka dengan melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat kerana kita mahu mereka bergiat aktif supaya mereka akan sentiasa berada dalam keadaan sihat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-9 Majlis Kebajikan Negeri Kedah di sini hari ini.

Menurut Suraya, PAWE bertindak sebagai pusat sehenti kepada golongan warga emas dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan aktiviti untuk mereka jalankan seperti keagamaan, riadah, sukan dan kraftangan.

"Mereka perlu melibatkan diri dengan aktiviti sihat agar lebih bersemangat menjalani kehidupan mereka.

"Tidak menjadi masalah sekiranya mereka hendak mencuba bidang baru seperti mencuba bermain gitar atau piano jadi kita akan cuba menyediakan peralatan yang diperlukan di pusat PAWE di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Suraya ketika berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada majlis itu, berkata, kerajaan negeri sedar dalam membangunkan masyarakat akan timbul pelbagai cabaran yang melibatkan isu kemiskinan, orang kurang upaya, anak yatim terbiar, isu warga emas, gejala sosial dan sebagainya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


5,000 dijangka sertai Program Rakan Alam Sekitar di PD 5 Jun ini

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

DR. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim (kanan) dan Abu Hasan Mohd. Isa menunjukkan isyarat bagus sempena penganjuran Program Rakan Alam di Seremban, Negeri Sembilan semalam.

SEREMBAN 29 Mei - Pelbagai acara menanti orang ramai sempena Program Rakan Alam Sekitar bertemakan Nadi Penggerak Komuniti Lestari pada 5 Jun ini.

Ia diadakan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Teluk Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia (Pembangunan), Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata, lebih 5,000 orang dijangka hadir bagi memeriahkan pelancaran program yang melibatkan pelbagai acara untuk orang ramai.

Katanya, setiap peserta yang mengambil bahagian juga layak menerima cenderamata daripada pihak penganjur.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program Rakan Alam Sekitar berkata, antara acara tersebut ialah pembersihan pantai, Enviro Fun Run, program kesedaran kitar semula, greenrobics dan pameran alam sekitar.

"Sebanyak lima zon Program Rakan Alam Sekitar akan dilancarkan di seluruh Malaysia tahun ini dan Port Dickson merupakan siri jelajah zon selatan dalam usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Strategik Jabatan Alam Sekitar, Datuk Abu Hasan Mohd. Isa.

Menurutnya, ganjaran juga akan diberikan kepada orang ramai yang datang membawa barangan kitar semula pada program tersebut.

"Penyertaan bagi aktiviti Enviro Fun Run masih dibuka kepada orang ramai dan ia menawarkan hadiah menarik selain cenderamata," katanya.

Beliau berkata, untuk maklumat lanjut boleh menghubungi talian 012-284 6811, 019-575 9159 atau 012-252 6183.

LPG bernilai RM8,000 dirampas

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

ALOR GAJAH 29 Mei - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri telah merampas 4,200 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM8,000, dalam serbuan Ops Titik di sebuah stor simpanan pemborong di Masjid Tanah di sini semalam.

Pengarahnya, Muhabir Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan kira-kira pukul 2.30 petang itu, pemiliknya didapati melakukan kesalahan kerana menyimpan sebanyak 3,800 tong gas berbanding jumlah yang dibenarkan iaitu 3,500 tong.

Menurutnya, berdasarkan buku stok, pemiliknya juga mengisytiharkan hanya menyimpan sebanyak 2,300 tong gas.

"Stor itu diserbu selepas kami menerima aduan daripada orang ramai dan hasil risikan sejak tiga hari lalu, kami mendapati pemiliknya melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhabir berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui sebab pemilik itu menyimpan stok melebihi had yang dibenarkan.

Jelasnya, siasatan awal setakat ini mendapati pemiliknya telah menyimpan stok berlebihan bukan untuk diseludup keluar atau berlaku penyelewengan.

Sehubungan itu, katanya, pemilik stor kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM250,000 atau penjara tiga tahun.

"Kesemua tong gas yang dirampas dibawa ke stor simpanan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri di Krubong untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurut beliau, operasi yang dilakukan itu adalah serentak di seluruh negara bagi membanteras masalah penyelewengan petrol, diesel dan gas LPG.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Fasa baharu hubungan perlu ambil kira aspek sosiobudaya - Najib

Posted: 30 May 2014 01:18 AM PDT

Oleh ROZAMAN ISMAIL

BEIJING 30 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan fasa baharu hubungan Malaysia-China untuk tempoh 40 tahun akan datang perlu diperluaskan kepada aspek sosiobudaya, nilai-nilai dan kemanusiaan.

Beliau berkata, jika sebelum ini fokus hubungan kedua-dua buah negara itu adalah dalam bidang ekonomi, pendidikan dan teknologi, wajah 40 tahun akan datang perlu turut mengambil kira perkara-perkara tersebut.

``Demi mewajah 40 tahun akan datang, hubungan sosiobudaya kedua negara perlu diperhebat dan diperkasakan menerusi penekanan kepada aspek nilai-nilai murni sejagat.

``Kerjasama dalam bidang kemanusiaan juga perlu dibina dan diperkuatkan untuk manfaat bersama,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan

Malaysia-China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Polis tumpas geng Asroy, selesai sembilan kes pecah rumah

Posted: 30 May 2014 01:01 AM PDT

PUTRAJAYA 30 Mei - Polis menumpaskan `Geng Asroy` yang dianggotai empat remaja termasuk dua yang masih bersekolah dipercayai terlibat dalam sembilan kes pecah rumah sejak Mac tahun lepas dengan menyasarkan pangsapuri sekitar Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata remaja terbabit yang berusia antara 15 dan 21 tahun itu ditahan di Putrajaya dan Kampar, Perak pada 20 dan 21 Mei lepas.

``Nilai kerugian dianggarkan RM55,000. Tetapi dalam serbuan itu setakat ini kita hanya menemui laptop, (gajet) tab, jam tangan, surat pajak gadai dan dompet,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, modus operandi Geng Asroy ialah memecah masuk pangsapuri melalui balkoni dapur antara 9 pagi hingga 4 petang dan pernah memecah masuk pangsapuri di tingkat 13.

``Sasaran mereka adalah rumah yang tidak berkunci. Kita mahu penduduk peka dengan perkara ini kerana penghuni yang memberi peluang kepada penjenayah untuk memecah masuk," katanya. - BERNAMA

Jawatan dalam Kabinet untuk Mah Siew Keong bukan gimik - Muhyiddin

Posted: 30 May 2014 12:58 AM PDT

TELUK INTAN 30 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata janji Perdana Menteri untuk melantik Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri jika menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan esok bukan sekadar gimik politik.

Malah Timbalan Perdana Menteri itu berkata kehadiran Mah dalam barisan Kabinet akan memberikan lebih limpahan manfaat kepada penduduk Teluk Intan.

``Kita tidak tipu (mengenai tawaran ini). Bila Mah masuk Kabinet, lebih senang dia nak bantu masyarakat di sini. Kerajaan negeri dah Barisan Nasional (BN), kerajaan pusat dah BN, kenapa Teluk Intan tak hendak BN,'' katanya ketika berucap pada majlis sarapan pagi bersama 25 badan bukan kerajaan (NGO) kaum India di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China semalam, membuat tawaran itu, sambil berkata parti Gerakan merupakan parti pengasas BN dan menjadi amalan untuk presiden parti itu menganggotai Kabinet.

Sementara itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, dalam sidang media selepas majlis itu, berkata Mah adalah seorang yang berpegang kepada janji serta menyifatkan anak jati Teluk Intan itu sebagai seorang yang berprinsip dan mempunyai pendirian.

``Saya yakin Mah akan dilantik jika dipilih (menjadi wakil rakyat). Ini akan memberi faedah kepada penduduk dan mudah akses kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri untuk bantu dengan pelbagai isu.

``Ini juga memberi ruang dan peluang kepada wakil kaum Cina dalam Jemaah Menteri,'' jelasnya.

Beliau berkata malah Mah sebaik memenangi jawatan presiden parti itu pada Oktober tahun lepas berjanji akan menumpukan sepenuh masanya untuk memulihkan parti Gerakan.

Mah, bekas anggota Parlimen Teluk Intan untuk dua penggal sejak Pilihan Raya Umum 1999, dicabar oleh calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud pada PRK esok.

Pada 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum berpindah ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk jawatan yang sama pada 2006. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis pantau rakyat bersekongkol lindungi militan

Posted: 30 May 2014 01:16 AM PDT

KUANTAN 30 Mei - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan anggota militan yang bersembunyi di negara ini serta rakyat tempatan yang melindungi mereka.

Katanya PDRM juga sedang memantau mereka yang disyaki berbuat demikian.

``Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa sahaja yang didapati cuba melindungi anggota militan terbabit yang dikehendaki Interpol kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.

``Kita tidak menolak ada kes-kes pendududuk tempatan yang bersekongkol dan memberi perlindungan kepada anggota militan ini dan mereka yang terlibat ini sentiasa dalam pemerhatian polis," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM ke-8 bersama Ketua Polis Negara sempena peringatan hari polis ke-207. - BERNAMA

Dua beranak maut dihempap pokok sawit tumbang

Posted: 29 May 2014 07:56 PM PDT

TAIPING 30 Mei - Dua beranak yang sedang menunggang motosikal maut dihempap sebatang pokok kelapa sawit yang tumbang dalam kejadian di Batu Hampar berhampiran kilang sawit Awan Timur di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, S. Mogandas, 37, dan anak lelakinya, M. Sivabalan, 13, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat dua beranak tersebut dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Sultan Nazrin, Sultan Perak Ke-35

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

MH370: Hubungan tidak terjejas

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Siew Keong ke Kabinet jika BN menang di Teluk Intan

Posted: 29 May 2014 11:57 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved