Selasa, 11 Oktober 2011

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Program 'Solat First' tingkat kesedaran murid sekolah

Posted:

Program 'Solat First' tingkat kesedaran murid sekolah

Program 'Solat First' tingkat kesedaran murid sekolah

MELAKA 11 Okt. - Program 'Solat First' anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) mencapai objektif apabila berjaya menimbulkan kesedaran kepentingan solat di kalangan peserta.

Program yang berlangsung selama dua hari di Masjid Al-Ilmi, KUIM, di sini, baru-baru ini disertai 47 murid dari SK Jeram dan dibimbing oleh 17 fasilitator berpengalaman dari KUIM.

Penyelaras Program, Shahidah Zakariah yang juga merupakan guru SK Jeram berkata, program berkenaan bukan sahaja memberikan tumpuan dalam aspek kesempurnaan solat malah turut memberikan pendedahan kepada murid mengenai kehidupan di institusi pengajian tinggi.

Selain itu katanya, objektif program berkenaan juga bagi mengeratkan hubungan di antara siswi dan siswa bersama para pelajar tahun enam.

''Ia juga bertujuan mengubah corak pemikiran murid ke arah yang positif dan mampu berfikir secara rasional dalam membuat keputusan.

"Program ini diharap menyuntik semangat dan motivasi kepada murid-murid terhadap keistimewaan bersolat serta mewujudkan jalinan ukhuwah tarbiyah Islamiah di antara siswi dan siswa bersama para pelajar tahun enam," katanya di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Akademi Pengajian Islam KUIM, Mohd. Azam Yahya berkata, program seumpama itu perlu diperbanyakkan bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkualiti solatnya malah mempunyai daya pemikiran yang matang dan dinamik.

Ini kerana katanya, melalui program sedemikian, murid bukan sahaja diajar mengenai solat malah turut didedahkan dengan aktiviti kumpulan, semangat berpasukan dan setia kawan serta aktiviti riadah yang menyeronokkan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Nilai sikap diam diri Guan Eng

Posted:

Nilai sikap diam diri Guan Eng

Nilai sikap diam diri Guan Eng

JOHOR BAHRU 11 Okt. - Rakyat diminta menilai sendiri sikap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang masih mendiamkan diri dengan desakan banyak pihak memintanya menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon maaf secara rasmi kepada baginda dan penduduk negeri ini.

Naib Pengerusi Gerakan Aktivis Pengguna Johor (Penaja), Mohd. Kassim Yusoff berkata, sebagai pemimpin, Guan Eng perlu bertanggungjawab dengan setiap tindakannya dan tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk media yang dikatakan memutarbelitkan kenyataan itu.

"Memanglah dia (Guan Eng) sudah meminta maaf melalui sebuah portal. Kami harap dia meminta maaf secara terbuka termasuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membuktikan keikhlasannya.

"Kebisuan yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu dijadikan kayu ukur kepada rakyat untuk menilai sejauh mana pemimpin DAP itu mampu menjadi teladan kepada semua," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Kassim berkata, sekiranya Guan Eng terus membisu, beliau tidak seharusnya mendapat tempat di hati rakyat.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar (Gapet) Johor Bahru, Raja Mohd. Nor Mohamed berkata, akibat kenyataan Guan Eng itu pemandu teksi sering dihujani pertanyaan daripada pelancong luar dan ada segelintir daripadanya mengakui takut untuk datang ke negeri ini.

"Saya memang kesal dengan kenyataan tersebut kerana pendapatan pemandu teksi turut terjejas," katanya.

Raja Mohd. Nor menegaskan, Johor selamat untuk dikunjungi dan negeri ini mempunyai pasukan polis yang cekap dan sentiasa siap siaga menghadapi sebarang ancaman dan jenayah.

Full content generated by Get Full RSS.

Hudud: MCA persoal DAP

Posted:

Hudud: MCA persoal DAP

Hudud: MCA persoal DAP

KUALA LUMPUR 11 Okt. – MCA hari ini terus mempersoalkan pendirian DAP berhubung cara bagaimana parti itu menghalang rakan parti pakatan mereka, Pas untuk tidak melaksanakan hukum hudud di kelantan.

Naib Presidennya, Gan Ping Sieu berkata, ini kerana surat yang dihantar kepada Lim Guan Eng bagi menjemput Setiausaha Agung parti itu untuk berdebat isu berkenaan masih belum terjawab sehingga kini.

"Surat tersebut telah dihantar seminggu lalu, namun ia masih belum dijawab. Kita mahu tahu apa pendirian mereka kerana sebelum ini banyak kenyataan mereka mengelirukan.

"Sebagai seorang pemimpin, saya harap Guan Eng `tidak lari' daripada memberi penjelasan. Saya harap rakyat dapat menilai sikap mereka yang tidak ada pendirian,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Minggu lalu, MCA mencabar DAP untuk berdebat mengenai tindakan mereka untuk menghalang Pas daripada melaksanakan hukum hudud sebagaimana yang dibuat Barisan Nasional (BN) dalam menyatakan pendirian mereka.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pengadil dikritik

Posted:

Pengadil dikritik

Pengadil dikritik

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Seorang penyokong memanjat pagar kerana berang dengan aksi tegang di antara Terengganu dan Kelantan pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/ AZLAN BAHRUM


KOTA BHARU - Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menyifatkan lima kad merah dan 10 kad kuning oleh pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab pada suku akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, menjejaskan rentak perlawanan kedua-dua pasukan.

Timbalan Presidennya, Mahizi Mahood berkata, perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku jika pengadil bijak mengawal suasana sepanjang perlawanan.

"Sekiranya perlawanan tersebut diadili oleh mereka yang berpengalaman perkara ini mungkin tidak berlaku.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya memilih pengadil yang berwibawa untuk perlawanan ini, memandangkan ia mempertemukan dua pasukan yang penuh dengan tradisi tersendiri.

"Perlawanan penting seperti ini seharusnya diadili oleh pengadil terbaik. Saya harap FAM dapat menilai semula prestasi pengadil untuk perlawanan akan datang. Pada perlawanan semalam saya lihat banyak keputusan pengadil menimbulkan keraguan di kalangan peminat.

"Kesalahan yang dilakukan oleh Daudsu wajar diberikan kad merah kerana ia membuat terjahan keras dari belakang.

"Namun kesalahan yang dilakukan Ismail Faruqi sepatutnya tidak dilayangkan kad tetapi wajar diberikan amaran," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Tambahnya, dalam bola sepak kekasaran merupakan perkara biasa, jadi pengadil harus bijak mengawal perlawanan.

"Saya lihat pengadil terlebih emosi berbanding pemain dan penyokong. Keputusan pengadil perlu tepat kerana ia akan mengubah corak perlawanan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Stadium Shah Alam venue final Piala Malaysia

Posted:

Stadium Shah Alam venue final Piala Malaysia

Stadium Shah Alam venue final Piala Malaysia

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

PETALING JAYA - Teka-teki berhubung venue perlawanan akhir Piala Malaysia terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Stadium Shah Alam akan menjadi gelanggang final piala berprestij itu 29 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Amin berkata, pemilihan venue tersebut menggantikan Stadium Nasional Bukit Jalil, yang sedang dalam proses penyelenggaraan.

Menurutnya, perbincangan bersama pihak Stadium Shah Alam diadakan semalam.

Pihak stadium memberikan persetujuan untuk mempersiapkan venue tersebut untuk perlawanan akhir itu nanti.

"Kami mengarahkan pihak Stadium Shah Alam agar memperbaiki beberapa perkara sebelum berlangsungnya perlawanan akhir seperti lampu, padang dan tempat duduk.

"Mereka berjanji akan memperbaiki semua perkara itu sebelum 22 Oktober ini.

"Sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, kita masih mempunyai pilihan lain untuk venue perlawanan akhir yang tidak boleh saya dedahkan ketika ini," katanya selepas Mesyuarat JKPT di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Ini adalah kali keenam Stadium Shah Alam digunakan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia sejak 1994 yang menyaksikan Pahang kecundang 0-4 kepada Singapura.

Kali terakhir Stadium Shah Alam digunakan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia ialah pada 2000 di antara Perak dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Hamidin memberitahu perbincangan berhubung pertukaran pasukan yang bakal beraksi dalam Liga Malaysia dan Liga Singapura, hampir mencapai persetujuan dalam aspek berkaitan syarat-syarat dalam liga kedua-dua negara.

"Seperti sedia maklum pasukan Harimau Muda A akan beraksi dalam liga di Singapura manakala skuad Young Lions akan bermain dalam Liga Malaysia.

"Bagi skuad Harimau Muda A, mereka akan menjalani latihan di sini dan sekiranya ada perlawanan barulah mereka akan ke sana.

"Kita masih belum dimaklumkan berhubung stadium mana yang akan digunakan sebagai laman sendiri di Singapura," kata Hamidin.

Hamidin meminta persatuan bola sepak tempatan segera membuat pendaftaran pemain untuk musim depan sebelum 31 Oktober ini bagi mengelakkan sebarang kerumitan.

"Setakat ini hanya Selangor yang menghantar secara lengkap berkaitan dokumen yang diperlukan bagi menghadapi musim 2012.

"Saya harap semua persatuan bola sepak negeri dan kelab-kelab supaya segera melakukannya, sekiranya gagal berbuat demikian tindakan akan diambil ke atas mereka," jelas Hamidin.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Budak 6 tahun maut didera

Posted:

Budak 6 tahun maut didera

Budak 6 tahun maut didera

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my


Rosmah Pemadi (kanan) menangis sambil memangku seorang lagi anaknya yang berusia 10 hari, selepas mengecam mayat Mohd. Firdaus Mad. Dan di rumah mayat Hospital Melaka, semalam.


MELAKA 11 Okt. - Kanak-kanak malang Mohd. Firdaus Mad. Dan, 6, yang meninggal dunia semalam dipercayai berpunca akibat didera bapa tirinya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

"Siasatan awal polis mendapati, kecederaan utama berlaku di bahagian paru-paru, serta bawah lapisan kulit badan.

"Kecederaan dialami mungkin akibat ditendang atau dipukul dengan objek tumpul," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Umar, ekoran itu, polis turut memberkas suspek penderaan itu yang juga bapa tiri mangsa ketika menghantarnya ke hospital, semalam.

Suspek berusia 37 tahun itu direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang semalam, Mohd. Firdaus dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh bapa tirinya itu dalam keadaan nazak sebelum meninggal dunia di hospital tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.

Minuman keras, rokok RM185,177.44 dirampas

Posted:

Minuman keras, rokok RM185,177.44 dirampas

Minuman keras, rokok RM185,177.44 dirampas

KANGAR 11 Okt. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok bernilai RM185,177.44 termasuk duti setelah menahan dua lori di Jalan Kampung Darat, Changlun, Kedah kelmarin.

Lori tersebut yang dipercayai membawa muatan itu dari Kompleks Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam ditahan di jalan berkenaan pada pukul 10.50 malam.

Pengarah KDRM Perlis, Mohd. Pudzi Man memberitahu, pada mulanya pihak Kastam merampas sebuah lori satu tan yang sarat dengan muatan 450 karet minuman keras dan 300 kartun rokok dalam sekatan di kawasan berkenaan.

"Selain rampasan tersebut, pihak kastam menahan pemandu lori berusia 28 tahun," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kemudian memeriksa sebuah lagi lori yang ditinggalkan di dalam parit di Kampung Binjal, Asunt, Changlun dan merampas 438 karet dan 25 kotak minuman keras.

Pemandu lori tersebut melarikan diri.

Kata beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana membawa barangan tidak dibayar duti.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Tahanan diseksa polis Singapura

Posted:

Tahanan diseksa polis Singapura

Tahanan diseksa polis Singapura


Ong Chip Siong


SINGAPURA 11 Okt. – Polis Singapura berjanji akan menyiasat dakwaan seorang ahli perniagaan dia diseksa semasa ditahan pada bulan lepas atas tuduhan menerima barangan curi berupa produk Apple bernilai berjuta-juta dolar.

Ong Su Ping, 32, mendakwa, anggota polis memaksanya minum air kencing mereka, memasukkan berus tandas ke dalam mulutnya, menutup kepalanya dengan seluar dalam terpakai, menarik rambutnya dan memukul kemaluannya, lapor akhbar Straits Times.

Dalam sesi di mahkamah semalam, Su Ping yang menghadapi tuduhan menerima sejumlah 3,400 buah iPad dan iPhone curi bernilai S$1.4 juta (RM3.3 juta) pada bulan lepas, mendakwa penyeksaan itu berlarutan selama empat jam dan menyebabkan dia mengalami mimpi buruk kemudian.

Kata bapanya kepada Straits Times, ahli keluarga tidak dibenarkan melawatnya atau bercakap dengannya sejak sembilan hari lalu.

Hakim mengarahkan polis supaya melantik seorang pegawai yang tidak terlibat dalam penangkapan Su Ping supaya menyiasat dakwaannya itu.

Polis memberitahu AFP, kes Su Ping sedang disiasat oleh Pejabat Hal Ehwal Dalaman, sebuah jabatan baru yang menjalankan siasatan bebas mengenai aduan dan kesalahan membabitkan anggota polis.

"Polis memandang serius segala aduan yang dibuat oleh tertuduh terhadap anggota kami dan semua aduan sedemikian akan disiasat secara terperinci.

"Jika kesalahan jenayah didapati dilakukan, polis tidak akan teragak-agak mengemukakan tuduhan jenayah terhadap anggota terlibat," kata seorang jurucakap polis.

Namun, katanya, polis juga memberi amaran, jika dakwaan itu didapati palsu, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap sesiapa yang membuat aduan palsu terhadap polis.

Sementara itu, polis juga mencari seorang lelaki, Ong Chip Siong, 30, bagi membantu siasatan kes rompakan tersebut. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Thai tidak isytihar darurat

Posted:

Thai tidak isytihar darurat

Thai tidak isytihar darurat

BANGKOK 11 Okt. - Kerajaan Thailand tidak akan mengisytiharkan perintah darurat, meskipun negara 'Gajah Putih' itu sedang berdepan banjir terburuk dalam tempoh dua dekad, kata Menteri Kehakiman, Jeneral Pol Pracha Promnok, hari ini.

Promnok, yang juga Pengarah Pusat Kawalan Banjir berkata, tiada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian sebagaimana dicadangkan pembangkang kerana kerajaan boleh menguruskan keadaan itu.

''Kabinet membuat keputusan itu dalam mesyuarat mingguannya di Lapangan Terbang Don Mueang, di sini. Lapangan terbang tersebut bakal dijadikan Pusat Operasi Bantuan Banjir,'' katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Sukan, Chumpol Silpa-archa berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak mengisytiharkan perintah darurat kerana tidak mahu menimbulkan suasana panik di kalangan pelancong asing.

Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi mencatatkan ketibaan kira-kira 40,000 pelancong setiap hari pada masa ini meskipun banjir sedang melanda Thailand.

Ketua Pembangkang, Abhisit Vejjajiva sebelum ini mencadangkan satu perintah darurat diisytiharkan di beberapa kawasan banjir bagi memudahkan pengurusan banjir dan pemindahan.

Keadaan banjir di Thailand kekal kritikal memandangkan 40 peratus daripada negara ini masih ditenggelami air dengan 269 kematian dilaporkan, manakala bank pusat negara itu menganggarkan kerugian mencecah 60 bilion baht (RM6 bilion).

Sejumlah 2.3 juta orang daripada lebih 10,000 kampung di 30 wilayah di utara dan tengah terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda secara berperingkat sejak Julai lepas, dan mencapai tahap kritikal baru-baru ini.

Dalam pada itu, negara jiran Kemboja, Laos dan Vietnam turut dilanda banjir.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan banjir sejak Ogos lalu meragut 18 nyawa termasuk 16 kanak-kanak di Vietnam, manakala banjir di Kemboja mengorbankan 183 orang.

Banjir turut mengorbankan 30 orang di Laos. — BERNAMA/dpa

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Sarawanan beri lima fakta bercanggah

Posted:

Sarawanan beri lima fakta bercanggah

Sarawanan beri lima fakta bercanggah

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


N. Pathmanabhan dan suspek lain diiringi polis di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 11 Okt. - Selepas mencabar kebolehpercayaan pekerja ladang, U. Suresh, pihak pendakwaan hari ini mengambil tindakan sama terhadap rakannya, K. Sarawanan selepas saksi itu memberi keterangan yang bercanggah dengan kenyataan diberikan kepada pihak polis pada Oktober tahun lalu.

Pihak pendakwaan memulakan prosiding itu sebaik sahaja Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan tersebut selepas berpuas hati bahawa lima daripada tujuh percanggahan yang dikemukakan adalah material bagi kes tersebut.

Sarawanan, saksi pendakwaan ke-59 semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff mengaku memberikan kenyataan kepada pihak polis di Penjara Sungai Udang, Melaka pada 26 Oktober 2010.

Bagaimanapun, semasa ditunjukkan kenyataan yang dirakamkan daripadanya di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah itu, dia menafikannya meskipun mengakui terdapat tandatangannya pada dokumen tersebut.

Sarawanan, 19, turut mengatakan tandatangan pada muka surat sembilan dan 12 pada kenyataan setebal 16 muka surat itu bukan tandatangannya.

Berikutan itu, Hakim Akhtar mengarahkan bicara dalam perbicaraan (TWT) dijalankan bagi membuktikan bahawa Sarawanan yang memberi kenyataan tersebut sebelum prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu diteruskan.

Terdahulu, hakim tersebut turut memutuskan bahawa pihak pendakwaan boleh menyoal balas Sarawanan berhubung perkara atau fakta yang telah dibuktikan sahaja.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar isi kandungan kenyataan Sarawanan kepada pihak polis sebelum ini tidak boleh dicadangkan oleh pihak pendakwaan kerana saksi itu tidak mengakui ia diberikan olehnya.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai berhujah tentang skop soalan yang boleh dikemukakan kepada Sarawanan semasa dia disoal balas.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Sarawanan, mekanik motosikal dan saksi pendakwaan ke-29 sebelum ini dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting selepas mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan mayat keempat-empat mangsa.

Hukuman itu bagaimanapun ditambah kepada 20 tahun selepas ia disemak semula oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Suresh pada 10 Ogos lalu turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi keterangan palsu melibatkan 22 fakta yang bercanggah dalam perbicaraan kes tersebut.

Pada prosiding TWT itu, Pegawai Penyiasat Kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Asisten Supritendan (ASP) Wan Aeidil Wan Abdullah, 32, mengesahkan beliau merakamkan kenyataan Sarawanan antara pukul 3 hingga 6.30 petang, 26 Oktober 2010.

Katanya, rakaman itu dibuat dengan bantuan Koperal K. Singaram sebagai jurubahasa Tamil selain proses itu dirakamkan dengan menggunakan kamera video oleh seorang lagi anggota polis.

Dalam proses tersebut, saksi juga mengakui menggunakan gambar tertuduh-tertuduh tanpa nama, lakaran rajah kasar tempat kejadian dan gambar mangsa-mangsa beserta nama sebagai dokumen rujukan.

"Selepas selesai, saya bawa komputer riba ke bilik cetak untuk mencetak kenyataan itu. Sebelum cetak saya semak dahulu. Selepas cetak saya bacakan semula kepada Sarawanan. Setelah dia setuju saya tandatangan dahulu.

"Sebelum itu, saya ada tanya sama ada dia mahu pinda apa-apa. Tetapi dia bersetuju dan berpuas hati pada ketika itu. Dia turunkan tandatangan selepas penjelasan diberikan kepadanya," katanya.

Semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Wan Aeidil mengakui memadamkan fail yang mengandungi rakaman percakapan Sarawanan itu selepas ia dicetak pada hari yang sama.

Semasa ditanya mengapa dokumen asal tidak disimpan, katanya, dia mempunyai saksi yang melihat kenyataan itu dirakamkan selain menegaskan bahawa dokumen asal adalah cetakan rakaman percakapan yang ditandatangan oleh kesemua penama yang hadir dan bukan fail di dalam komputer riba.

Perbicaraan yang masuk hari ke-40 bersambung Khamis ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Harga tanah tidak termasuk kadar faedah

Posted:

Harga tanah tidak termasuk kadar faedah

Harga tanah tidak termasuk kadar faedah


OC Phang


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Harga pembelian tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) seluas 335.8 hektar, berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) bernilai RM1.08 bilion, adalah berasingan daripada kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun.

Perkara itu disahkan oleh bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang dalam beberapa siri soalan oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik, 68, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini

Bagaimanapun, Phang menjelaskan, beliau juga tidak pernah menerima sebarang surat daripada Kementerian Pengangkutan bagi memaklumkan, harga tanah termasuk dalam keseluruhan kadar faedah.

Phang, 65, mengakui beliau pernah memberikan keterangan kepada kementerian tersebut pada 2 September 2009 bahawa harga tanah tidak termasuk kadar faedah.

Sehubungan itu menurut Kian Kheong, keterangan saksi pendakwaan ke-13 itu bahawa kadar faedah tersebut berasingan daripada harga tanah pada hari ini adalah konsisten dengan keterangan yang diberikan pada tarikh berkenaan.

Namun fakta mengenai harga pembelian tanah itu sudah termasuk kadar faedah 7.5 peratus menurut Phang, hanya diketahui oleh beliau pada Januari lalu apabila dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes tersebut.

Sungguhpun begitu Phang sekali lagi menyatakan, beliau tidak pernah menerima sebarang surat daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan (MOF) mahupun KDSB untuk memaklumkan bahawa harga tanah tersebut RM25 skp termasuk kadar faedah.

Beliau memberikan keterangan sedemikian pada perbicaraan terhadap Liong Sik yang didakwa atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Pihak pendakwaan sebelum ini menyatakan akan membuktikan bahawa kadar yang diperakukan dan dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), adalah RM18 skp dan dinaikkan kepada RM21 skp setelah mengambil kira antaranya bayaran pendahuluan lima peratus, kadar kupon enam peratus dan tiada faedah untuk tahun pertama dan kedua.

Justeru itu pendakwaan akan membuktikan kadar faedah 7.5 peratus sebenarnya tidak diperakukan oleh JPPH dan ia tidak sepatutnya ada kadar nilai tambahan kepada harga tanah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi itu masuk hari ke-21 hari ini.

Perbicaraan bersambung Khamis ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


20,000 hadir majlis jamuan rakyat di Rompin

Posted:

20,000 hadir majlis jamuan rakyat di Rompin

20,000 hadir majlis jamuan rakyat di Rompin


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah beramah mesra bersama orang ramai di Padang Awam Bandar Tun Razak di Rompin, kelmarin.


ROMPIN 11 Okt. - Kira-kira 20,000 penduduk sekitar gugusan Felda Keratong hadir pada Majlis Jamuan Rakyat dan Ramah Mesra Parlimen Rompin di Padang Awam Bandar Tun Razak di sini semalam.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menutup majlis itu yang diadakan selama dua hari bermula Ahad lalu.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Mohd. Jarjis berkata, majlis itu adalah usaha pihaknya mendekati rakyat dan menerangkan kepada mereka tentang dasar-dasar baru kerajaan.

"Paling utama sekali ialah menerangkan isu Bajet 2012 kerana takut rakyat salah tafsir," katanya pada sidang akhbar selepas majlis itu di sini.

Jamaluddin memberitahu, kedatangan penduduk yang ramai pada majlis itu menunjukkan sokongan mereka masih padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia merupakan satu petanda baik kerana ramai yang menyambut baik terhadap dasar-dasar kerajaan terutamanya dari sudut belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Tambahnya, rakyat yang datang ke majlis itu bukan sahaja datang dari tanah rancangan Felda, tetapi juga kampung tradisional dan penduduk yang tinggal di bandar ini.

Ujar beliau ia membuktikan satu perkembangan positif bahawa rakyat sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan yang membawa perubahan hidup kepada mereka dari dulu hingga kini.

Full content generated by Get Full RSS.

Reput dimakan anai-anai warga emas mohon bina rumah baru

Posted:

Reput dimakan anai-anai warga emas mohon bina rumah baru

Reput dimakan anai-anai warga emas mohon bina rumah baru


SITI Deraman (depan empat, dari kanan) bersama orang kampung yang membantu membaiki rumahnya di Kampung Penak Mentakab, Temerloh, baru-baru ini.


MENTAKAB 11 Okt. - Seorang warga emas dekat sini berharap dapat memiliki rumah baru kerana kediaman sekarang tidak selamat lagi untuk diduduki.

Siti Deraman, 75, berkata, rumahnya itu dibina di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 1988 dan kini mulai reput akibat dimakan anai-anai.

Menurutnya, dia yang tinggal berseorangan berharap dapat tinggal di rumah baru supaya sisa-sisa kehidupannya dapat dihabiskan dengan menjalani ibadat dalam keadaan lebih selesa.

"Bukan sahaja rumah, malah bilik air saya juga sudah uzur dan saya tidak mampu melakukan sebarang kerja termasuk membaiki kerosakan rumah.

"Saya hanya bergantung dengan duit yang diterima melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan alhamdulillah, itu sudah mencukupi untuk saya seorang," katanya ketika ditemui pada program membaiki rumahnya di Kampung Penak dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penak, Abdul Rahman Omar dan Penghulu Mukim Mentakab II, Khaidhir Azly Daharudin.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, warga emas tersebut didapati tidak pernah memohon bagi pembinaan rumah PPRT tersebut dan pihaknya akan menyelesaikan masalah itu untuk tindakan selanjutnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung tersebut kerana membantu membaiki bahagian dapur rumah terbabit.

Selain itu Khaidir berkata, nama warga emas berkenaan sudah ada dalam senarai penerima e-Kasih dan pihaknya akan sentiasa memantau penduduk yang memerlukan bantuan seperti itu.

Beliau meminta setiap Pengerusi JKKK mencari dan mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan supaya tindakan segera dapat dilaksanakan.

Full content generated by Get Full RSS.

Projek jeti di Sungai Kuala Serau

Posted:

Projek jeti di Sungai Kuala Serau

Projek jeti di Sungai Kuala Serau

Oleh HARIS FADILAH AHMADutusanktn@gmail.com

KUALA LIPIS 11 Okt. - Projek Jeti Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) bernilai RM200,000 merupakan kemudahan pemuliharaan ikan air tawar di santuari Sungai Kuala Serau, Hulu Jelai dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jeti tersebut akan memacu sektor perikanan darat sekali gus menjadi pemangkin meningkatkan pendapatan penduduk berasaskan ternakan akuakultur dan sektor pelancongan.

Menurut beliau, kesungguhan kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan Pahang memberi fokus terhadap projek itu bertujuan untuk pemuliharaan pelbagai spesies ikan air tawar bermutu tinggi agar tidak pupus pada masa akan datang.

"Jeti berkenaan akan menjadi tempat pelepasan benih ikan air tawar, memberi makanan dan kerja pemantauan pemuliharaan membabitkan penduduk Kuala Serau dengan bantuan Jabatan Perikanan Pahang," katanya di Kuala Serau, dekat sini kelmarin.

Menurut Wan Rosdy, Jabatan Perikanan menubuhkan Jawatankuasa Perikanan Darat membabitkan penduduk setempat yang dilengkapi kemahiran mengenai pemuliharaan dan tugas pemantauan sungai berkenaan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Cameron Highlands berkata, penduduk yang menganggotai jawatankuasa itu diberi kemudahan latihan pemuliharaan dan kemudahan bot untuk tujuan pemantauan.

Justeru katanya, Sungai Kuala Serau dipilih untuk projek pemuliharaan tersebut kerana kawasan berkenaan masih belum tercemar sesuai untuk habitat pembiakan ikan air tawar seperti Ikan Kelah, Ikan Baung dan Ikan Lampam.

Jelasnya, kegiatan perikanan darat di Kuala Serau mampu merangsang penduduk di situ memajukan bidang ternakan air tawar di kolam kawasan tanah terbiar dan sangkar di sungai berkenaan untuk menjana pendapatan selaras banyak permintaan di pasaran.

"Projek itu juga merupakan lokasi baru pusat pelancongan di Hulu Jelai berasaskan keindahan alam sekitar, sungai dan pembangunan sektor pertanian," ujarnya.

Beliau berkata, usaha penambahan benih ikan berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat supaya pembiakan ikan lebih terancang dan tanpa gangguan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Westlife tetap nombor satu

Posted:

Westlife tetap nombor satu

Westlife tetap nombor satu

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF dan ihsan JS CONCERT


SEPANJANG dua jam konsert berlangsung, Westlife juga sempat menukar lima set busana untuk persembahan mereka.


APABILA kumpulan yang berasal dari Dublin, Ireland, Westlife dicanangkan akan mengadakan sebuah konsert besar di negara ini, tidak dinafikan ada segelintir yang melahirkan rasa terkejut.

Perasaan itu bukan kerana tidak percaya kumpulan itu akan bertandang ke negara ini untuk ke sekian kalinya, tetapi persoalan yang bermain di fikiran adalah tentang populariti mereka.

Mungkin ada yang mempersoalkan apakah Westlife masih memiliki aura yang berupaya menarik perhatian peminat untuk menonton persembahan mereka.

Sementelah nama mereka dilihat tidak begitu kuat jika hendak dibandingkan sedekad lalu, sedikit sebanyak ia telah mengundang perasaan skeptikal sama ada konsert mereka itu akan mencatatkan kejayaan luar biasa.

Ternyata, segala telahan itu meleset sama sekali kerana Westlife yang masih kekal dianggotai oleh Nicky Byrne, Kian Egan, Mark Feehily dan Shane Filan telah membuktikan keunggulan mereka sebagai seorang penghibur.

Bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hujung minggu lalu, hampir 10,000 penonton dan peminat Westlife telah memenuhi setiap ruang di dalam stadium dengan satu tujuan - untuk berhibur dan mengimbau nostalgia bersama penyanyi pujaan mereka.

Percayalah, setiap seorang daripada penonton yang hadir pasti akan setuju bahawa persembahan Westlife pada malam itu telah membawa mereka menyusuri jalan kenangan dengan rangkaian lagu-lagu hits mereka.

Penulis yakin mereka yang menonton konsert Westlife tempoh hari adalah mereka yang telah membesar dengan lagu-lagu dendangan kumpulan itu sejak 13 tahun lalu (termasuk diri penulis).

Lewat

Tepat pukul 9.10 malam, konsert Westlife Gravity Tour 2011 itu dimulakan dengan lagu When You're Looking Like That. Biarpun bermula lewat hampir 40 minit, ternyata ia langsung tidak membuatkan penonton resah dan penat menunggu.

Sebaik sahaja kelibat Nicky, Kian, Shane dan Mark muncul di pentas, tepukan gemuruh dan pekikan sorakan penonton sudah tidak mampu dikawal lagi.

Tanpa menunggu lama, mereka terus menyanyi bersama Westlife tanpa disuruh sekali gus membuktikan yang hadir pada malam itu sememangnya peminat tegar Westlife.

Meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti World Of Our Own, What Makes A Man dan Safe, Westlife membuktikan bahawa usia mereka bukan satu halangan untuk memberikan persembahan yang cukup bertenaga.

Lengkap dengan gerak tari yang minimal, namun kelihatan sungguh sensual dan sempurna di mata peminat sehingga mereka berterusan memekik setiap nama anggota kumpulan itu.

Harus diakui, kelebihan Westlife adalah terletak kepada kekuatan vokal mereka terutama Shane dan Mark yang merupakan tunjang utama dalam setiap persembahan mereka.

Bagaikan tidak lengkap untuk mana-mana persembahan artis jika tiada gimik yang diselitkan dan begitu juga dengan konsert Westlife.

Sama ada ia satu kebetulan atau 'drama' yang sudah ditetapkan, ternyata babak lamaran perkahwinan oleh dua peminat bertuah Westlife sememangnya menjadi.

Romantik

Ditambah pula dengan iringan lagu My Love dan Beautiful Tonight selepas adegan romantik itu, ia telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam apabila disambut dengan sorakan meriah daripada audiens.

Sepanjang mewarnai dunia rakaman suara, Westlife juga terkenal sebagai penyanyi kumpulan revival apabila merakamkan semula lagu-lagu popular penyanyi lain dengan gaya penyampaian tersendiri.

Pada konsert itu, lagu-lagu seperti Home, You Raise Me Up dan Seasons In The Sun menjadi pilihan kumpulan yang memiliki penjualan album melebihi 40 juta salinan di seluruh dunia ini.

Suasana romantik begitu dirasai ketika Shane meminta semua penonton menyalakan lampu pada telefon bimbit masing-masing sewaktu menyampaikan lagu You Raise Me Up.

Dengan serta-merta, ruang di dalam stadium berubah menjadi seperti langit yang dihiasi dengan kelip-kelip yang berterbangan di setiap genap penjuru.

Bertukar busana untuk kali keempat, Westlife terus mengekalkan momentum persembahan mereka apabila menyampaikan medley lagu-lagu popular masa kini.

Siapa sangka, Westlife mampu membawakan lagu-lagu seperti Viva La Vida (nyanyian asal Coldplay), Only Girl (In the World) - Rihanna, The Time (Dirty Bit) - The Black Eyed Peas dan Bad Romance (Lady Gaga) dengan begitu baik.

Ternyata sebagai penghibur, mereka berupaya untuk membawa diri mereka seiring dengan perkembangan muzik semasa oleh penyanyi generasi baru.

Untuk set seterusnya, Westlife memilih lagu-lagu seperti Already There dan I Will Reach You sebelum menyampaikan sebuah lagi lagu keramat mereka, Flying Without Wings.

Namun, apa yang mengecewakan apabila Westlife tidak menyampaikan lagu-lagu yang telah memperkenalkan nama mereka kepada khalayak iaitu Swear It Again dan If I Let You Go.

Sebaliknya, mereka memilih What About Now dan Uptown Girl sebagai lagu penutup konsert mereka. Secara tidak langsung, ia meninggalkan sedikit rasa kecewa kepada peminat yang semestinya mahu lagu itu dinyanyikan oleh Westlife sekali gus meninggalkan impak pada konsert mereka.

Di kala ada penyanyi seangkatan mereka telah berkubur dan membawa haluan masing-masing, Westlife masih terus bernafas dan bertahan sehingga 13 tahun lamanya.

Bukan mudah sebenarnya untuk sebuah kumpulan seperti mereka dapat mempertahankan kedudukan mereka dan apa yang penting adalah kesefahaman.

Ini diakui sendiri oleh Mark yang ditemui pada sidang akhbar dua jam sebelum berlangsungnya konsert.

Malah, dia memberitahu persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah lagi sebenarnya telah menguatkan hubungan setiap anggota Westlife sehingga kekal ke hari ini.

"Jujurnya, kami tidak mempunyai apa-apa rahsia kejayaan sehingga kami mampu bertahan lebih sedekad. Kami mengharungi segala susah dan senang bersama-sama.

"Dalam usia kami sekarang ini, kami mahu terus fokus kepada kerjaya dan populariti sebenarnya bukan lagi keutamaan kami.

"Kami percaya dengan penghasilan muzik yang berkualiti dan bagus untuk peminat, ia akan dapat memanjangkan hayat seorang penyanyi atau kumpulan itu di dalam industri," katanya yang teruja untuk kembali ke Malaysia selepas sembilan tahun

Pada sidang akhbar itu juga, Westlife ditanya tentang khabar angin yang mengatakan mereka akan mengundurkan diri daripada dunia seni.

Sementelah dengan kelahiran album kompilasi mereka, Greatest Hits pada 21 November ini, ia umpama indikator bahawa mereka akan berpecah.

Menjawab persoalan itu, Kian memberitahu ia bukanlah seperti mana yang disangka sebaliknya mereka mahu mengambil cuti rehat selepas bekerja keras menjayakan konsert jelajah dunia sejak setahun lalu.

"Soal bersara dan berpecah ini sudah lama dicanangkan tetapi kami masih di sini. Belum sampai masanya untuk kami mengundurkan diri kerana kami masih mahu menghasilkan muzik.

"Jangan cepat percaya kepada khabar angin dan jika itu berlaku, sudah pasti kami akan mengumumkannya sendiri," ujar Kian yang memberitahu lagu terbaru mereka, Lighthouse turut dimuatkan dalam album Greatest Hits.

Full content generated by Get Full RSS.

Warna-warni di Los Angeles

Posted:

Warna-warni di Los Angeles

Warna-warni di Los Angeles

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
(Yang mengikuti rombongan pemenang Anugerah Skrin 2010 ke Los Angeles baru-baru ini)


BARISAN pemenang Anugerah Skrin 2010 bergambar kenangan di Santa Monica.


APABILA peluang diberikan kepada untuk mengikuti lawatan sambil belajar Anugerah Skrin 2010 ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) selama seminggu bermula 26 September lalu, ia dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementelah sebelum ini hanya begitu asyik mendengar cerita serta pengalaman teman media yang pernah mengikuti rombongan serupa sebelum ini, secara tidak langsung penulis juga mahu merasai pengalaman yang sama.

Lawatan kali ini juga cukup bererti bukan sahaja kepada petugas media tetapi juga untuk pemenang Anugerah Skrin 2010 yang lain termasuk pelakon, penerbit dan pengarah filem serta televisyen yang berpeluang menikmati pengalaman yang cukup manis ini.

Semestinya, tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada karyawan seni tempatan tentang industri perfileman dan hiburan Hollywood secara keseluruhannya.

Tidak seperti enam tahun sebelum ini di mana delegasi Malaysia ke LA diketuai oleh Datuk Seri Farid Ridzuan, tahun ini menyaksikan sedikit perubahan apabila tiada seorang pun 'orang besar' dari Media Prima Berhad yang mengikuti rombongan kali ini.

Tahun ini menyaksikan rombongan diketuai oleh Pengurus Perhubungan Awam dan Acara TV3, Muhammad Aziz dan Penganalisa Jenama Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Asyraf Hamdi Dusuki termasuk 26 orang yang lain telah 'menggegarkan' LA.

Sebagai kelainan, rombongan kali ini juga turut disertai empat pemenang kategori utama Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) iaitu Drama, Pengarah, Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.

Boleh dikatakan sebilangan besar tetamu yang diundang mengikuti lawatan itu semuanya adalah mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke bumi LA.

Antaranya ialah Fadilah Mansor, Sharifah Amani, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Shahrul Ezad Mohameddin, Jurey Latif Rosli serta dua penerbit eksekutif yang mewakili Filmscape dan Astro iaitu Shamsiah Mohd. Yusof dan Bonni Sta Maria.

Atas alasan itu, perasaan girang dan teruja menyelubungi diri masing-masing dan dalam masa yang sama juga, gementar sambil membayangkan apakah yang menanti mereka di LA.

Salah seorang ialah aktres terkenal, Lisdawati yang mengikuti rombongan kali ini atas tiket kemenangan suaminya, Fauzi Nawawi yang menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik ASA 2010 menerusi drama Sebelum Akhirat.

"Sepatutnya Fauzi yang pergi lawatan ini tetapi disebabkan masalah kelulusan visanya, maka dia membenarkan saya pergi bagi menggantikan tempatnya.

"Saya melihat lawatan saya kali ini juga sebagai penebus kekecewaan kerana saya tidak berpeluang berkunjung ke LA sewaktu saya menang Pelakon Drama Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005 dulu," ujar Lisdawati yang memenangi trofi pewter bermotif pucuk rebung dan songket itu menerusi drama Miftahul Jamilah.

Selama hampir seminggu di LA, jadual harian sememangnya cukup padat dengan pelbagai aktiviti yang sudah diaturkan.

Bagi penggiat seni dan pengamal media, peluang yang cukup dinanti-nantikan apabila dapat berkunjung ke Universal Studios yang cukup terkenal sebagai taman tema terbesar di LA.

Tidak hanya bersuka-ria dengan pelbagai tarikan taman tema yang mengambil inspirasi daripada filem dan siri televisyen popular terbitan Universal, kunjungan ke pusat hiburan terkemuka itu sebenarnya terletak kepada lawatan lokasi penggambaran filem dan televisyen.

Di sinilah pengunjung dapat melihat sendiri bagaimana helah dan teknik yang digunakan industri sehebat Hollywood dalam 'menipu' audiens dengan kecanggihan teknologi dan studio mereka.

Paling menarik apabila dibawa ke set siri televisyen popular, Desperate Housewives dan melihat sendiri rumah serta landskap indah setiap rumah karakter siri itu seperti mana yang dapat ditonton di televisyen.

Antara lain yang dibawa termasuklah set filem Psycho, Jaws, War of the Worlds, How the Grinch Stole Christmas!, Jurassic Park, Earthquake dan Fast and the Furious.

Tidak ketinggalan,peluang merasai tarikan terbaru Universal Studios iaitu King Kong 360º 3-D yang sememangnya pengalaman yang cukup menakjubkan.

Ia seolah-olah membawa setiap seorang daripada mereka yang berada dalam keretapi mini itu ke dalam filem King Kong arahan Peter Jackson dan merasai babak cemas adegan pertarungan antara King Kong dan dinosaur T-Rex.

Seiring dengan sambutan Halloween pada 31 Oktober ini, Universal Studios turut memperkenalkan House of Horrors yang merupakan sebuah rumah hantu.

Menampilkan karakter dari filem-filem seram yang pernah diterbitkan seperti Frankenstein, Wolf Man, Chucky dan banyak lagi, sesungguhnya memasuki House of Horrors memberikan pengalaman yang cukup mengerikan dan juga melucukan.

Selain Universal Studios, rombongan kali ini juga dibawa ke Warner Bros. Studios yang tidak kurang hebatnya.

Di sinilah, ahli rombongan didedahkan dengan sejarah pembikinan filem dan siri televisyen popular yang semuanya dilakukan di dalam lebih 20 buah studio seluas gudang yang boleh memuatkan dua buah jet persendirian.

Peserta juga dibawa melihat set sitkom popular Friends, The Big Bang Theory dan Chuck selain gudang penyimpanan kereta yang pernah digunakan dalam filem-filem popular seperti Batman, Harry Potter, Austin Powers, Scooby-Doo dan trilogi The Matrix.

Namun, pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh kesemua ahli rombongan kali ini apabila TV3 memberi peluang untuk menonton persembahan Cirque du Soleil di Kodak Theatre.

Lebih membanggakan apabila ahli rombongan Anugerah Skrin 2010 berpeluang menonton persembahan hebat dan menakjubkan berjudul Iris selepas lima hari tirai panggung dibuka.

Tiada kata secantik bahasa dan tiada gambar seindah lukisan yang dapat diluahkan apabila dapat memasuki dewan Kodak Theater yang merupakan 'rumah rasmi' kepada acara berprestij, Anugerah Academy atau Oscar itu.

Selain itu, rombongan juga dibawa ke Rodeo Drive, Santa Monica, The Farmers Market serta Madame Tussauds, Grauman's Chinese Theatre dan Walk of Fame yang terletak di Hollywood and Highland Center.

Sudah pasti, tidak lengkap lawatan ini tanpa acara wajib setiap tahun iaitu membeli-belah di dua lokasi berbeza iaitu Camarillo Premium Outlets dan Desert Hills Premium Outlets yang sememangnya membuatkan semua menjadi seperti 'orang gila'.

Walaupun seharian berada di sana pada dua hari berbeza, ternyata ia seperti tidak cukup buat semua yang berkunjung ke sana.

Bagi Muhammad, pihaknya melahirkan rasa gembira dan puas hati dengan lawatan kali ini yang disifatkannya telah membuka lembaran baru buat semua ahli rombongan.

Malah, dia sendiri memuji sikap dan disiplin artis yang memberikan komitmen seperti mana yang diharapkan.

"Kami di TV3 juga mengharapkan agar semuanya berpuas hati dan mendapat sesuatu yang bermanfaat serta berguna daripada lawatan ini.

"Saya selaku wakil TV3 turut berharap lawatan seperti ini akan dapat diteruskan untuk tahun-tahun mendatang dalam mendedahkan karyawan seni kita demi kebaikan mereka juga," katanya penuh optimis.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Jenayah siber: Sejuta mangsa sehari

Posted:

Jenayah siber: Sejuta mangsa sehari

Jenayah siber: Sejuta mangsa sehari

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ABDUL RAZAK LATIF


Norton menyediakan perisian antivirus bagi mengekang jenayah siber.


SEDIH, kecewa, marah, malu dan tertekan adalah antara kesan psikologi yang dialami oleh mereka yang pernah mengalami 'peristiwa pahit' di alam siber.

Tidak kira apa juga bentuk kes jenayah siber yang dialami, ia tetap memalitkan rasa kecewa bagi yang pernah menjadi mangsa.

Walau banyak mana kebaikan dan manfaat yang diperoleh daripada penciptaan sebuah teknologi, jika digunakan secara salah atau berlebihan pasti akan mendatangkan kemudaratan.

Tidak guna menyalahkan teknologi kerana manusia diberikan akal untuk berfikir baik dan buruk. Cuma apabila masih terkena walau telah berwaspada boleh dikatakan sebagai kurang bernasib baik.

Apabila membincangkan tentang jenayah siber pasti ramai membayangkan majoriti mangsanya adalah wanita.

Fitrah kaum wanita lemah, mudah diperdaya dan laporan pada biro komuniti tentang penipuan terhadap wanita yang sering dilapor di dada akhbar, menjadi asas kepada dakwaan tersebut.

Sangkaan tersebut ternyata meleset kerana realitinya lelaki adalah golongan yang lebih terdedah kepada jenayah di alam maya tersebut.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Norton, menerusi Laporan Jenayah Siber Norton 2011 menjelaskan antara sebabnya ialah lelaki sering melakukan aktiviti 'berbahaya' di Internet.

"Lebih tujuh daripada 10 lelaki pernah terjebak dalam jenayah siber. Ini kerana lelaki menghabiskan lebih banyak masa di Internet dan memperuntukkan masa yang banyak bercakap dengan individu yang tidak dikenali di Internet," ujar Effendy Ibrahim, pengarah kendalian keselamatan Internet Asia Symantec.

Kajian tersebut dilakukan Norton di 24 buah negara dan melibatkan 20,000 responden iaitu 12,704 dewasa, 4,553 kanak-kanak dan 2,379 guru.

Effendy berkata, setiap hari terdapat sejuta mangsa jenayah siber. Jumlah itu dua kali ganda daripada jumlah kelahiran bayi ke dunia setiap hari.

"Bermakna 14 mangsa yang terlibat dengan jenayah ini setiap sesaat.

"Memang agak sukar mengelakkannya kerana kadangkala apabila seseorang cuba memuat turun satu fail memang tidak sedar ada virus yang turut dimuat turun," ujarnya.

Persoalan yang diutarakan oleh Effendy ialah berapa ramai yang sentiasa mengemaskini perlindungan perisian mereka?

Hasil kajian mendapati 41 peratus pengguna Internet tidak memperbaharui perlindungan perisian komputer mereka.

Effendy juga mengaitkan jenayah offline dengan online yang dikatakan berkait rapat.

"Jika anda pernah menjadi mangsa jenayah offline kebarangkalian anda untuk menjadi mangsa jenayah siber adalah tinggi.

"Dalam kaji selidik kami, sebanyak 82 peratus mangsa jenayah alam nyata juga menjadi mangsa jenayah di alam maya," jelasnya.

Masalah menjadi semakin sukar untuk dielakkan memandangkan sebahagian besar pengguna mengatakan mereka tidak boleh hidup tanpa Internet.

Daripada perspektif Cyber Security Malaysia menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt. Kolonel Datuk Husin Jazri, isu jenayah siber amat serius kerana ia semakin meningkat setiap tahun.

"Majoritinya adalah kes penipuan. Memang banyak aduan yang kami terima dan jumlahnya dari Januari hingga Ogos tahun ini sahaja adalah sebanyak 1,300 kes.

"Jumlah ini meningkat sekali ganda dari tahun lalu iaitu hanya 675 kes," katanya yang mengakui ia satu isu yang membimbangkan.

Husin menambah, cara untuk mengurangkan kes itu adalah kerjasama dari pelbagai pihak seperti Norton.

"Bagaimanapun kami turut menyediakan perisian percuma seperti DontPhishMe memandangkan kes phishing yang diterima pada tahun ini agak tinggi," katanya yang turut menyediakan beberapa lagi jenis perisian perlindungan yang boleh dimuat turun di enjin carian popular di Internet.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Segera tangani fenomena murtad

Posted:

Segera tangani fenomena murtad

Segera tangani fenomena murtad

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

PEMERIKSAAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang dikaitkan dengan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 cukup mengejutkan apabila ia mendedahkan bahawa terdapat gerakan tersusun kumpulan tertentu untuk memurtadkan orang Islam.

Majlis makan malam thanksgiving di premis itu telah dihadiri tiga lelaki dan sembilan wanita Islam berusia antara 20 hingga 40-an dari seluruh negara termasuk Melaka, Johor dan Selangor.

Dalam klip-klip video yang dipaparkan di laman YouTube yang dikaitkan dengan majlis yang diadakan di premis berkenaan jelas memaparkan orang Melayu sedang berucap dan secara terbuka mengaku telah murtad.

Bagaimanapun, bagi pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, 36, fenomena berkenaan tidak mengejutkan beliau yang telah terbabit secara langsung memberikan kaunseling kepada pelajar murtad sejak 15 tahun lalu.

''Pada 1996, ketika saya menjadi pemimpin pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara, telah terdapat kira-kira 10 pelajar yang murtad.

''Terdapat dua kaedah yang biasa digunakan iaitu bagi pelajar lelaki mereka akan dihulurkan dengan bantuan kewangan oleh kumpulan berkenaan.

''Pelajar perempuan pula akan didekati lelaki bukan Islam yang berpura-pura tertarik dengan Islam dan berharap wanita berkenaan mengajarnya. Apabila pelajar perempuan ini telah jatuh cinta dengan lelaki terbabit, dia akan dipujuk untuk memeluk Kristian secara sukarela.

''Kadang kala pelajar perempuan terbabit terpaksa murtad kerana tiada pilihan setelah terlanjur melakukan zina dengan pelajar lelaki terbabit," jelasnya yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Syariah dan Pengajian Islam dari University of Wales, United Kingdom.

Menurut Zaharuddin, sasaran kumpulan berkenaan bukanlah pelajar perempuan yang kurang pegangan agama sebaliknya di kalangan yang bertudung labuh dan warak.

''Lagi kuat pegangan agama maka lagi banyak ganjaran kewangan yang akan diterima oleh pelajar lelaki ini sekiranya berjaya memurtadkan pelajar perempuan berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di UIAM, Gombak kelmarin.

Prihatin dengan fenomena yang disifatkannya sangat membimbangkan, Zaharuddin secara sukarela turut menyumbang tenaga bagi menjayakan program Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadual diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober ini bermula pukul 2 hingga 6 petang.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, beliau bersama-sama pihak sekretariat sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat penceramah dari luar negara bagi berkongsi pandangan untuk menghadapi fenomena berkenaan.

''Mereka terdiri daripada kalangan ilmuwan bukan Islam yang sebelum ini sangat anti-Islam tetapi kemudiannya telah mendapat hidayah seperti Sheikh Yusuf Estes dari Amerika Syarikat (AS) dan Dr. Gary Miller yang nama Islamnya Abdul Ahad Omar dari Kanada. Seorang pendakwah terkemuka dari Indonesia, Yusuf Mansur juga telah mengesahkan untuk hadir," ujarnya.

Ditanya kenapa fenomena itu terus menular tanpa sekatan, beliau berkata, kumpulan berkenaan cukup berani kerana merasakan pihak berkuasa tidak akan bertindak tegas terhadap mereka.

''Sebagai seorang ahli akademik, saya faham dilema yang dihadapi oleh Kerajaan Pusat dan juga kerajaan-kerajaan negeri termasuk yang diperintah pembangkang yang bimbang dituduh bersikap dwistandard terhadap agama lain.

''Pendekatan berhati-hati dan bertindak menyelesaikan masalah menerusi perbincangan di sebalik tabir dibuat oleh pihak berkuasa kerana tidak mahu kehilangan undi daripada bukan Islam," ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya, satu-satunya cara untuk menyekat gerakan untuk memurtadkan umat Islam adalah melalui platform NGO.

''NGO Islam akan terus membuat desakan supaya setiap negeri menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang yang melarang penyebaran agama lain kepada orang Islam.

''Kita juga mahu kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat mengambil berat resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) Seluruh Malaysia baru-baru ini yang mahukan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini diperkukuhkan,'' tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, penularan fenomena berkenaan juga berpunca daripada sikap orang Melayu yang hanya Islam pada nama tetapi tidak yakin dengan kebenaran agama yang dianuti mereka.

''Ketidakyakinan ini berpunca kerana mereka tidak mendapat penerangan yang sebaik-baiknya daripada para ilmuwan Islam. Ini berlaku kerana ada ulama kita yang merasakan diri mereka agak eksklusif sehingga tidak mahu bercampur dengan masyarakat.

''Ada yang tidak mahu berkomunikasi dengan orang ramai sekiranya tiada temu janji dan mereka juga tidak menggunakan media-media sosial seperti Facebook dan blog untuk berdakwah," ujarnya.

Katanya, sikap ulama itu yang merasakan kenyataan mereka begitu mahal menyebabkan masyarakat yang begitu dahagakan panduan beralih kepada golongan Muslim liberal yang membuat keputusan melalui pemikiran logik sebagai sumber rujukan.

Bagi menangani fenomena berkenaan, tegasnya, kerenah birokrasi yang melibatkan penyaluran wang zakat perlu dikurangkan dan sumbangan badan kebajikan serta syarikat korporat Islam perlu diperbanyakkan.

''Salah satu cara untuk memurtadkan orang Islam adalah melalui bantuan-bantuan kebajikan. Ada yang mendapat bantuan ini orang yang betul-betul susah dan setengahnya pula tidak berapa susah tetapi seronok mendapat pendapatan sampingan tanpa menyedari bahawa akidah mereka sedang dipesongkan," katanya.

Tambah beliau, satu mekanisme tersusun juga perlu diwujudkan bagi membantu orang Islam yang menghadapi masalah membiayai rawatan perubatan untuk mengelak mereka 'terhutang budi' dengan mubaligh yang sering mengunjungi hospital kerajaan bagi menghulur sumbangan.

Full content generated by Get Full RSS.

Membentuk teras rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi

Posted:

Membentuk teras rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi

Membentuk teras rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

DUA hari sebelum pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seluruh dunia dikejutkan dengan kematian ikon inovasi terkenal Steve Jobs.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beliau mungkin paling layak diberikan gelaran Bapa Inovasi Teknologi Moden yang telah menjadikan teknologi sebagai satu fenomena bagi penduduk dunia.

Kematian beliau "diratapi" oleh peminat-peminat teknologi terkini. Beliau pencetus dan peledak produk-produk hebat seperti iPhone, iPad, dan Mac. Menerusi produk-produk terkini, beliau telah menjadi usahawan dalam kelasnya yang tersendiri.

Mampukah negara kita melahirkan seseorang yang begitu hebat seperti beliau? Senario semasa dan masa hadapan memerlukan warga Malaysia yang kreatif dan berinovasi.

Melalui kreativiti dan inovasi, produk-produk terbaru yang memudahkan manusia bakal dicipta. Dengan kreativiti dan inovasi jugalah sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara akan mendatangkan manfaat kepada manusia.

Justeru itu, apabila inovasi dan kreativiti dimasukkan sebagai antara komponen utama Bajet 2012, ia perlu direbut oleh semua pihak terutamanya generasi muda.

Tertarik dengan fokus kedua, Bajet 2012 ini yang menekankan aspek kreativiti dan inovasi, mungkin ada yang berpendapat ia khas untuk golongan yang menguasai teknologi terkini.

Pendapat ini tidak benar dan perlu diperbetulkan. Umpamanya, seseorang yang mempunyai idea untuk mengurangkan kos elektrik yang amat tinggi yang terpaksa ditanggung oleh syarikat beliau bekerja juga merupakan seorang yang berinovasi meskipun idea beliau tidak melibatkan teknologi terkini.

Yang penting idea bernas beliau dapat dilaksanakan dengan baik. Sesuatu idea yang kreatif dan inovasi hanya tinggal idea semata-mata jika tidak dilaksanakan.

Untuk berjaya, seseorang itu bukan sahaja wajib mempunyai idea yang mencurah-curah tetapi juga berani untuk membawa idea-idea tersebut di hadapan orang ramai.

Idea-idea yang segar, kreatif dan inovasi apabila diketengahkan mampu menjadi fenomena di seluruh dunia. Ini yang berlaku pada idea "Facebook" yang diketengahkan pada tahun 2004.

Dalam tempoh tidak sampai beberapa tahun sahaja ia telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia. Pemiliknya kini mempunyai kekayaan berbilion ringgit Malaysia.

Inilah antara contoh bagaimana kreativiti dan inovasi membentuk teras utama rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi. Apabila kedua-dua ini dapat diterapkan dalam budaya rakyat Malaysia, tidak mustahil lebih banyak lagi produk komersial yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bakal dihasilkan.

Selalunya, inovasi bermula dalam bentuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi cukupkah hanya sekadar kita bersandarkan pada R&D di universiti-universiti tempatan tanpa adanya sokongan oleh semua pihak terutamanya pihak korporat yang merupakan jurujual dan pemasar bagi produk-produk R&D?

Maka, apabila lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti ditawarkan kepada sektor korporat, ia seharusnya dipasarkan sebaik mungkin kerana nilai Pendapatan Kasar Nasional (GNI) cukup lumayan iaitu dianggarkan sebanyak RM30 bilion sehingga tahun 2020.

Dengan kata mudah, sokongan kerajaan semata-mata tidak mampu mengubah mentaliti dan membentuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia.

Peranan sektor korporat juga amat penting sebagai pemangkin budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan juga berperanan sebagai perintis budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia.

Oleh itu, sebagai permulaan, tahun 2012 diumumkan sebagai Gerakan Inovasi Nasional, dan ini merupakan satu langkah awal yang mampu merealisasikan inovasi sebagai budaya dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Dengan berbekalkan peruntukan RM100 juta, pelbagai program inovasi akan dilaksanakan di peringkat sekolah, universiti dan kawasan luar bandar.

Hasil penciptaan rakyat boleh diperagakan melalui program Jejak Inovasi. Tidak ketinggalan, produk-produk inovasi terbaik yang direka cipta oleh pelajar dan belia bakal mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Cipta 1Malaysia (CIPTA).

Tidak terkecuali, syarikat modal teroka, MyCreative Venture Capital dengan modal permulaan RM200 juta ditubuhkan bagi menggalakkan generasi muda terlibat dalam bidang industri kreatif. Semuanya ini bagi mencerna kreativiti dan mencetus inovasi di kalangan generasi muda.

Tidak cukup dengan itu, World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum akan dianjurkan pada tahun 2012 bagi memberi ruang yang lebih luas di kalangan pemain produk inovasi dengan cara bersemuka sesama sendiri, seterusnya mencari jalan bagaimana untuk memartabatkan sesuatu produk inovasi dari peringkat awal sehinggalah peringkat pemasaran.

Menyentuh tentang pemasaran, sering kali kita dengar produk-produk R&D tidak mempunyai daya maju komersial dan akhirnya disimpan begitu sahaja. Dengan adanya Market Validation Fund dan dana permulaan sebanyak RM30 juta, produk-produk inovasi dan R&D akan melalui fasa market validation bagi menentukan daya maju komersial.

Diharapkan nanti, dengan tertubuhnya Market Validation Fund, lebih banyak lagi produk inovasi ditentukan daya maju komersial agar dapat membentuk satu rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi untuk manfaat rakyat dan negara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved