Khamis, 27 Jun 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Larkin kecoh

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
sukan@utusan.com.my

SEORANG wanita pengsan akibat berasak-asak untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Larkin, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam kecoh apabila penyokong Johor Darul Takzim (JDT) berasak-asak sehingga menyebabkan seorang wanita cedera akibat dirempuh.

Kira-kira 3,000 penyokong mula membanjiri pekarangan stadium tersebut, termasuk ada yang sanggup tidur di hadapan kaunter jualan seawal pukul 12 tengah malam bagi mendapatkan tiket berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat juga penyokong yang pulang dengan tangan kosong apabila tiket habis dijual apabila kaunter mula dibuka pukul 8.20 pagi.

Atas beberapa sebab, kaunter jualan terpaksa ditutup beberapa kali ekoran kesesakan di hadapan empat kaunter yang dibuka selain jumlah tiket yang dikatakan tidak mencukupi.

Seorang penyokong, Nazarudin Samsudin, 44, berkata, dia yang berasal dari Pontian tiba di stadium pukul 12.30 tengah malam semata-mata untuk memastikan dapat membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir antara JDT dan Kelantan, esok.

"Saya sangka sayalah orang terawal yang tiba, tetapi sebaliknya apabila kira-kira 100 orang sudah berada di hadapan kaunter dan ada juga yang tidur di sini.

"Nasib baik saya dapat membeli tiket kerana ramai juga yang datang pada waktu pagi tidak dapat beli tiket kerana ia sudah habis," katanya.

Nasib berbeza dialami Mohd. Razli Mohamed, 19, dari Pasir Gudang yang terpaksa pulang dengan kosong apabila tiket yang dijual dua keping setiap seorang,kehabisan.

"Saya masih fikir cara untuk mendapatkan tiket dan mungkin akan pergi ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok (hari ini) untuk beli tiket di sana pula," katanya.

Mohd. Faiz mahu dakap trofi

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Mohd. Faiz Subri

KOTA BHARU - Pemain sayap lincah, Mohd. Faiz Subri mahu penampilan sulung di pentas final Piala FA, esok memberi tuah buat The Red Warriors mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Mohd. Faiz berkata, selain membantu Kelantan, dia turut mempunyai misi peribadi iaitu mendakap kejuaraan berprestij pertama dengan menjulang kejuaraan Piala FA.

Sekiranya diberikan kepercayaan untuk beraksi pada perlawanan tersebut, penyerang berusia 23 tahun itu bertekad untuk menampilkan persembahan bertenaga bagi membantu pasukan meraih kemenangan.

"Inilah peluang terbaik buat saya untuk mendapatkan trofi kejuaraan pertama buat diri saya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Selain itu, saya mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dengan membantu pasukan membawa pulang kejuaraan tersebut.

"Beraksi buat kali pertama di pentas final pasti mengundang rasa gemuruh, namun saya telah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi situasi tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambahnya, sebagai pemain dia perlu bersedia sepenuhnya untuk menggalas harapan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan dan penyokong dengan bermain bermati-matian pada perlawanan tersebut.

Pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu memilih untuk berhijrah daripada pasukan T-Team dengan menyertai The Red Warriors musim ini.

Meskipun bertubuh kecil, bekas penjaring terbanyak T-Team itu telah meledakkan lima jaringan bersama The Red Warriors dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.

Larian deras, kemahiran individu yang tinggi serta gemar membuat rembatan dari luar kota penalti antara kelebihan pemain ini yang perlu diberikan oleh pihak lawan.

Sehubungan dengan itu, Mohd Faiz berharap rakan-rakan sepasukan dapat mempamerkan semangat juang tinggi bertemu dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) nanti.

Katanya, Johor DT bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan dan mereka memiliki ramai pemain berpengalaman.

"Begitupun saya dan rakan-rakan sudah bersedia untuk perlawanan ini. Harapan saya, agar penyokong dapat terus berdiri teguh di belakang kami sepanjang perlawanan berlangsung," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Anggota pengganas Sikh diusir dari Malaysia

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Satpal Singh

KUALA LUMPUR 27 Jun - Seorang lelaki warga India yang dipercayai pengganas Sikh dari kumpulan Babbar Khalsa International (BKI), iaitu kumpulan militan yang terlibat dalam beberapa siri pengeboman di India berjaya diberkas di negara ini baru-baru ini.

Suspek yang diberkas di sebuah lokasi di Cheras kemudian diusir ke negara asalnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2 pagi ini.

Siasatan mendapati suspek, Satpal Singh Raghvir Singh, 41, berperanan membantu menyediakan dokumen palsu kepada beberapa ahli kumpulan itu untuk melarikan diri ke negara lain selepas terlibat dalam beberapa siri pengeboman di negaranya.

Pengarah Jabatan Petugas Khas (Operasi dan Anti Pengganas), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek ditahan dalam satu operasi di Cheras di sini baru-baru ini kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, suspek berjaya dikesan setelah pihaknya memperoleh maklumat hasil soal siasat terhadap ahli militan BKI yang ditangkap di sekitar ibu negara dan Selangor sebelum ini.

"Ahli kumpulan itu termasuk Satpal Singh memasuki Malaysia sejak 2006 bertujuan menjadikan negara ini sebagai pusat transit, mendapatkan dokumen palsu dan membuat perancangan awal operasi keganasan sebelum memasuki negara ketiga bagi melancarkan serangan keganasan.

"Satpal Singh dipercayai turut berperanan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada beberapa lagi anggota kumpulan BKI yang masih bersembunyi di negara ini," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, tangkapan pertama terhadap ahli kumpulan militan terbabit ialah pada 4 Ogos 2011 melibatkan tiga anggota BKI iaitu Daljit Singh Ajaib Singh Khalsa, Amarjit Singh Jasvir Singh dan Kawal Singh Soundh.

"Ketiga-tiga mereka kemudian diusir ke India pada 16 Ogos 2011. Sementara itu, pada 13 Mei 2013 seorang lagi anggota BKI turut ditangkap dan diusir iaitu Daljeet Singh Tarsem Singh. Kesemua mereka kini menunggu perbicaraan di India," ujarnya.

Mohamad Fuzi berkata, kejayaan ini adalah hasil perkongsian risikan antara pihak polis dengan agensi Penguat kuasa India.

Benjy bertindak agresif kasari jurugambar selepas direman kes dadah

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy bertindak agresif selepas direman di Mahkamah Majistret Ampang kerana kes dadah di Pandah Indah, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pelakon era 90-an, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy bertindak agresif mengasari seorang jurugambar ketika mengelak gambarnya dirakam dalam keadaan bergari di Mahkamah Majistret Ampang di sini pagi ini.

Benjy, 35, bertindak demikian ketika dibawa anggota polis di bangunan mahkamah itu untuk mendapatkan perintah tahanan reman selepas dia ditahan semalam berkaitan satu kes dadah.

Pelakon itu mulanya dilihat cuba menutup wajah dan menghalang beberapa jurugambar daripada merakam gambarnya ketika keluar dari bilik mahkamah sebelum tiba-tiba bertukar agresif.

Anak kepada dramatis veteran Azean Irdawaty Yusoef itu kemudian menumbuk kepala seorang jurugambar sebuah syarikat akhbar dan turut menepis beberapa kamera jurugambar lain.

Benjy yang popular menerusi drama Kerana Cintaku Saerah sebelum itu telah dikenakan tahanan reman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 akta sama.

Peguamnya, P G Cyril ketika ditemui berkata, pegawai penyiasat polis meminta Benjy direman kerana mereka memerlukan masa untuk menjalankan siasatan.

"Benjy bersama tiga lelaki dan dua wanita telah ditahan dalam rumah salah seorang rakannya itu. Kami difahamkan dia ditahan kerana berkaitan kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi daripada apa yang dimaklumkan sendiri oleh Benjy, dia ke situ adalah untuk menguruskan satu dokumen pinjaman.

"Dokumen terbabit juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Farhan Read sebagai peguam kepada enam yang ditahan.

Beliau berkata, polis memberitahu telah menjumpai 4.7 gram dadah dalam sebuah bilik, bagaimanapun tiada sebarang dadah ditemui pada badan Benjy dan rakan-rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman keenam-enam mereka.

Akhbar hari ini melaporkan pelakon itu sekali lagi ditahan atas kesalahan menyalahgunakan dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa pada pukul 11.30 pagi.

Difahamkan, dia ditahan selepas ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Pada Mac 2010, Benjy telah didakwa atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut tetapi awal tahun lalu, mahkamah mendapati pelakon itu tidak bersalah dan dibebaskan tanpa syarat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Promosi keropok lekor Pahang

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

HABSAH
Peramu, Kuantan

Seorang pekerja, Fateehah Mohd. Noor (kanan), membuat keropok lekor untuk dipasarkan di sekitar negeri Pahang dan Kuala Lumpur di kampung Chendor, Pahang.

Saudara Pengarang,

KEROPOK lekor merupakan makanan ringan popular bagi masyarakat Pantai Timur terutamanya di negeri Terengganu.

Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan dan sagu serta diadun menjadi satu adunan lembut yang kemudian menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus.

Pada masa kini, pengeluaran keropok lekor bukan lagi tertumpu di kawasan negeri Terengganu malah sudah melangkau di Pahang terutamanya di daerah Kuantan.

Penjualan keropok lekor ini banyak tertumpu di kawasan sepanjang jalan daripada sempadan Pahang dekat Chendor sehinggalah ke Kempadang.

Namun, bagi penggemar tegar makanan berkenaan, keropok lekor yang dihasilkan di negeri lain dianggap tidak dapat menandingi keenakan keropok dihasilkan di negeri itu terutamanya Kuala Terengganu.

Bagaimanapun itu hanyalah persepsi sahaja kerana Terengganu lebih banyak mempromosikan produk ini menyebabkan ia menjadi sinonim dengan negeri itu.

Ini berlainan di negeri Pahang apabila kekurangan promosi kepada industri ini menyebabkan ia tidaklah sepopular keropok daripada Terengganu.

Sedangkan bagi yang telah mencuba keropok lekor buatan Kuantan, ramai yang tidak menyangka, ia lebih enak daripada yang dijual di Terengganu.

Justeru, saya amat berharap kerajaan negeri memajukan industri ini dan mempromosikan sebagai salah satu tarikan pelancongan ke daerah ini.

Ia bukan sahaja menambahkan lagi produk bumiputera di pasaran dalam dan luar negara turut memajukan industri halal di negeri ini.

Saya yakin dengan adanya promosi akan membolehkan industri keropok lekor di negeri ini maju seperti di Terengganu.

Contohi semangat anak Felda tawan Everest

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

UDIN, Jengka Pahang

Sebahagian pendaki gunung Everest disambut oleh peneroka di Felda Jengka 19, Pahang, baru-baru ini.

PADA bulan Mei yang lalu, seramai tiga anak peneroka Felda dari Pahang telah berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest.

Dua daripada tiga anak Felda itu adalah dari Felda Tersang 3, Raub iaitu Mohd. Nasuha Shamsudin, 21, dan Myrza Fasha Md. Hamyrudin, 25, manakala seorang lagi Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, dari Felda Chini Timur 1, Pekan.

Kesemua mereka adalah antara tujuh pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut.

Saya sebagai anak peneroka di negeri ini mengucapkan tahniah kepada mereka kerana membanggakan warga Felda bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.

Ini bukan satu kejayaan biasa, sebaliknya satu kejayaan besar kepada warga Felda secara keseluruhan dan sewajarnya mereka mendapat pengiktirafan.

Saya lihat anak-anak peneroka Felda jika diberi peluang yang sewajarnya seperti ini, mereka mampu melaksanakan dengan baik dan boleh membanggakan negara.

Anak-anak Felda bukanlah seperti dahulu apabila ada terlibat dengan pelbagai aktiviti sosial seperti lumba haram, penagihan dadah dan sebagainya.

Kini anak-anak Felda mampu seiring dengan kemajuan negara. Jika diberi peluang seperti ini pasti ramai anak Felda yang mampu membanggakan negara.

Justeru, saya harapkan anak-anak Felda lain perlu mencontohi tiga anak muda ini yang berjaya menawan puncak Gunung Everest bagi mengharumkan nama negara.

Semangat Malaysia Boleh anakanak muda Felda itu membuktikan tidak ada perkara mustahil dicapai selagi ada kemahuan dan semangat juang tinggi.

Tidak ada apa yang mustahil jika kita rajin berusaha, pasti kejayaan akan datang bersama, tidak kiralah anak peneroka atau sesiapa sahaja.

Tiada kompromi cermin gelap

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Mohamat Johari Mat Nor (kanan) memeriksa sebuah lori sempena Ops Bersepadu bersama pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat di Stesen Timbang JPJ, Benta, Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 27 Jun - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tidak berkompromi dengan peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarahnya, Datuk Zakaria Man berkata, penguatkuasaan peraturan berkenaan amat penting untuk keselamatan pengguna jalan raya khususnya mengelakkan gangguan penglihatan terutama pemanduan pada waktu malam.

Beliau berkata, untuk itu, pemeriksaan menerusi Ops Bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain akan terus dilakukan di jalan raya utama negeri ini tanpa 'memilih bulu' terhadap pemandu yang cuai.

"Jika dikesan buat kali pertama kenderaan awam yang dipasang cermin gelap melanggar piawaian, kita cuma keluarkan notis untuk pemeriksaan selanjutnya di JPJ berdekatan dan Puspakom, selain pendekatan kami memberi nasihat kepada pemandu berkenaan," katanya kepada pemberita semasa Ops Bersepadu di Stesen Timbang JPJ di Jalan Benta-Kuala Lipis, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ Pahang, Mohamat Johari Mat Nor; Ketua Penguatkuasaan Cawangan JPJ Raub, Dasiman Mat Zain dan Ketua Penguatkuasaan Cawangan JPJ Benta, Abdul Manaf Yunus.

Menurut beliau, JPJ bagaimanapun tidak teragak-agak untuk mengenakan saman jika ada pemilik kenderaan yang terus mengingkari arahan berhubung pemasangan cermin gelap walaupun notis telah dikeluarkan kepada mereka.

"JPJ menyimpan rekod pemilik kenderaan yang pernah ditahan akibat kesalahan cermin gelap selepas diberi notis dan pendekatan nasihat, penguatkuasaan peraturan perlu dilakukan jika terus ingkar," katanya.

Zakaria berkata, piawaian yang diguna pakai sehingga ini ialah kadar ketelusan cahaya mestilah pada kadar 70 peratus bagi cermin di hadapan dan belakang.

"Cermin di tingkap kiri dan kanan pula, kita telah menetapkan 50 peratus kadar ketelusan cahaya.

"Hasil pemeriksaan dan soal selidik, kebanyakan pemilik kenderaan keliru dengan kadar ketelusan cahaya yang telah ditetapkan dan mereka menganggap bahawa 70 peratus kegelapan cermin tidak menjadi kesalahan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiga dipenjara seumur hidup

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 27 Jun - Sepasang kekasih dan rakan mereka dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menculik dan mengurung seorang pelajar kolej, empat tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap I. Shatisruben, 25, G. Vasantha Kumari, 25, dan Mujahidin Nazardin, 21.

Hakim Noor Azian dalam penghakimannya berkata, keterangan kesemua tertuduh tidak masuk akal dan bercanggah antara satu sama lain.

Ketiga-tiga mereka didakwa menculik dan mengurung perempuan berusia 22 tahun ketika kejadian secara salah di depan rumah di Selayang Baru, Batu Caves, Gombak dekat sini pada pukul 5.45 pagi, 1 Februari 2010.

Kesalahan itu dilakukan bagi mendapatkan wang tebusan RM30,000.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Mastura Mohamed Aman.

Satisruben diwakili peguam G. Ganeson, Vasantha Kumari diwakili Wan M. Razali Wan A. Kadir dan Mujahidin oleh Sreekant Pillai.

Keterangan mahkamah mendapati tertuduh pertama dan kedua yang merupakan pasangan kekasih mengekori mangsa dan menculiknya ketika dalam perjalanan ke kolej.

Mangsa dikurung selama tiga hari dan dilepaskan selepas tertuduh-tertuduh mendapat wang tebusan daripada keluarganya.

Kesemua tertuduh kemudian diberkas polis pada hari yang sama dan mereka terlibat dalam kemalangan ketika cubaan melarikan diri sebelum ditangkap bersama wang tersebut.

Sepanjang perbicaraan pendakwaan memanggil 14 saksi manakala pembelaan, tiga termasuk tertuduh sendiri.

Pensyarah, 2 rakan didakwa palsukan invois lebih RM2j

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Abdul Aziz Abdul Kadir (tengah) bersama Samad Sapari (hadapan) dan Mohamad Farhan Chua Abdullah (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 27 Jun - Seorang pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama dua rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 20 pertuduhan memalsukan invois berjumlah RM2.09 juta, lima tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Abdul Kadir, 49, yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Petroleum UTM dan bekas Pengurus Kanan, Bahagian Teknologi, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Samad Sapari, 49, serta ahli perniagaan, Mohamad Farhan Chua Abdullah, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu untuk memperdaya MTDC bagi menuntut dana daripada perbadanan itu antara Ogos 2009 dan November 2010.

Menurut kertas pertuduhan, mereka didakwa memalsukan dokumen berbentuk invois membabitkan enam syarikat tempatan berlainan dengan nilai berbeza.

Ia melibatkan 10 invois daripada Extra Basic Sdn. Bhd., dengan jumlah mencecah RM1.25 juta, manakala masing-masing dua invois palsu daripada Chuan Li Steel Construction (M) Sdn. Bhd., AJ Analytical Services & Trading dan Kurawah Fire System Sdn. Bhd., dan satu invois daripada Capin Pro Resources Sdn. Bhd. yang berjumlah RM853,000.

Mereka turut didakwa menggunakan tiga invois palsu daripada Dysha Global Holdings Sdn. Bhd., dengan nilai RM120,000 dan satu invois daripada Capin Pro Resources Sdn. Bhd., berjumlah RM68,800.

Perbuatan dengan niat bersama itu dilakukan di Pejabat Monitoring And Goverment Liaison, Malaysia Technology Corporation Sdn. Bhd., Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abd. Latif, manakala tertuduh, Abdul Aziz dan Samad diwakili peguam bela, Muhammad Nor Izzat Nordin dan Mohamad Farhan diwakili peguam bela, Mohamad Fairoz Elyas Majeed.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Ugut bunuh PM Bangladesh, pensyarah dipenjara 6 bulan

Posted: 27 Jun 2013 10:37 AM PDT

DHAKA 28 Jun - Seorang pensyarah universiti di Bangladesh dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Sheikh Hasina dalam laman sosial Facebook.

Pendakwaraya, Tapash Kumar Pal berkata, pensyarah terbabit, Hafizur Rahman Rana, 28, didapati bersalah memfitnah dan mengancam untuk membunuh Hasina.

Bagaimanapun, Hafizur tiada di mahkamah ketika keputusan dibacakan kerana masih bersembunyi sejak beberapa bulan lalu selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi itu. - AFP

Usul larangan wanita Buddha kahwin lelaki Islam dapat sokongan sami

Posted: 27 Jun 2013 10:35 AM PDT

YANGON 28 Jun - Beratus-ratus sami Buddha semalam menyatakan sokongan terhadap usul undang-undang perkahwinan yang melarang wanita Myanmar berkahwin dengan lelaki beragama Islam.

Usul berkenaan yang dicadangkan oleh kumpulan ekstremis Wirathu, mendapat sokongan kira-kira 1,500 sami di seluruh negara yang berkumpulan di sini untuk berbahas tentang undang-undang kontroversi itu.

Berdasarkan usul undang-undang perkahwinan itu, seorang wanita Buddha yang mahu mengahwini seorang lelaki Muslim perlu mendapatkan persetujuan daripada keluarganya dan pihak berkuasa.

Selain itu, lelaki Islam berkenaan perlu menukar kepada agama Buddha. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


PKR terus perlekehkan pemimpin Pas

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Pemimpin-pemimpin pembangkang diketuai Anwar Ibrahim mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, menyerlahkan sikap hipokrit mereka.

''Ada bangkai yang naik atas nama rakyat boleh keluar TV3 terima keputusan PRU... Lu memang c***i...." Demikianlah bahasa kesat yang digunakan oleh seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui posting dalam Facebook beliau, kelmarin (Rabu).

Walaupun pemimpin PKR itu tidak menyebut siapakah 'bangkai' yang dimaksudkan, namun penyokong-penyokong Pas mendakwa ia merujuk kepada Ketua Dewan Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan.

Kalau benarlah apa yang didakwa, maka ini kali kedua pemimpin Pas begitu mudah diperlekehkan oleh pemimpin PKR.

Kita masih ingat bagaimana baru-baru ini, ketika konvensyen PKR, Ahli Parlimen Bukit Katil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara terbuka mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung soal kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Sememangnya, jika semua ini dilihat dalam perspektif lebih luas, jelaslah perasaan hormat pemimpin-pemimpin PKR terhadap pemimpin Pas semakin luntur.

Mungkin juga, pemimpin-pemimpin PKR masih marah dengan pendirian ulama-ulama Pas yang mahu rakyat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai ketentuan Allah.

Itulah yang juga dilakukan oleh Nasruddin yang menegaskan, Pas menerima keputusan PRU-13 sebab itulah mereka mengangkat sumpah, yang mereka tidak terima ialah apa yang didakwa kepincangan dan kepalsuan dalam pilihan raya.

Tidak apalah itu pendirian Pas tetapi kenapakah pemimpin-pemimpin PKR hendak memaki hamun pemimpin-pemimpin Pas sewenang-wenangnya?

Pemimpin-pemimpin PKR mungkin marah kerana sikap dan pendirian Pas itu telah memungkinkan impian mereka untuk mengadakan demonstrasi jalanan bagi membantah pilihan raya tidak ke mana.

Tanpa sokongan Pas, apa juga demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang tidak akan membawa apa-apa makna kerana Pas sememangnya terkenal dengan kemampuan mengumpul ahli-ahlinya menghadiri majlis pembangkang.

Pemimpin PKR yang memaki hamun Nasruddin dalam Facebook tersebut sepatutnya menuju kemarahannya kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia memandangkan Anwar dan 27 lagi pemimpin PKR turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Tindakan itu sekali gus membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin PKR jauh lebih hipokrit dan sewenang-wenangnya memperbodohkan penyokong-penyokong sendiri.

Seperti mana ditegaskan oleh banyak pihak, kalau betul PKR terus tegar mempertahankan berlaku penipuan dalam PRU sepatutnya mereka tidak mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Rakyat termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri-negeri yang pembangkang menang.

Mengangkat sumpah bermakna mengiktiraf keputusan PRU-13 yang mereka dakwa berlaku kepincangan dan penipuan.

Namun seperti biasa, pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya PKR cakap tak serupa bikin, yang menjadi mangsa diperbodohkan oleh penyokong-penyokong mereka termasuklah penulis Facebook tersebut.

Seperkara lagi, terimalah hakikat berbanding Pas dan DAP, PKR merupakan parti yang paling banyak masalah dan paling tidak konsisten dalam perjuangannya.

Oleh itu tidak payahlah hendak melempiaskan kemarahan kepada orang lain sebaliknya persoalkan sikap dan tindakan pemimpin sendiri.

Pemimpin-pemimpin PKR perlu faham merekalah yang bertanggungjawab mewujudkan ketidakstabilan dalam arena politik negara.

Keghairahan dan sikap kemaruk pemimpin utama mereka untuk menjadi Perdana Menteri memungkinkan mereka berjaya mempengaruhi Pas dan DAP mengikut rentak politik mereka.

Tetapi sekarang kedua-dua parti itu sudah faham bahawa pilihan raya sudah tamat, sebarang pertikaian mengenai keputusan diselesaikan di mahkamah dan bukannya terus merancang agenda politik jalanan yang menyusahkan rakyat.

Sebab itulah Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dilihat selari dengan pemimpin-pemimpin Pas apabila bercakap soal perdamaian nasional.

Beliau dan pemimpin DAP serta Pas pun semakin faham, rakyat sudah letih dengan mainan politik yang dicorakkan oleh PKR.

Justeru pembangkang perlu memahami peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan pilihan raya umum lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan premis utama dalam mencapai matlamat perdamaian nasional.

Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan bagi mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.

Jelas Najib, selepas itu baru kerajaan boleh menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.

Justeru dalam merealisasikan impian ini keikhlasan dan ketelusan perlu ada dalam kalangan pemimpin pembangkang khususnya PKR.

Jangan amalkan sikap lidah bercabang, mengamalkan watak sesumpah dan menikam dari belakang dalam mencari keuntungan politik.

Seperkara lagi janganlah terus hendak memperbodohkan rakyat dengan menyelewengkan fakta berhubung maksud undi popular dan menggunakan nama 'rakyat' dalam mencapai cita-cita merebut kuasa.

Rakyat Malaysia bukan seperti rakyat di negara lain, mereka tidak harus diajar menjadikan demonstrasi jalanan sebagai pentas untuk membuat tuntutan.

Tidak usahlah melaungkan 'Malaysia Spring' kerana seperti mana ditegaskan oleh Najib, kerajaan tidak gentar dengan slogan berkenaan, sebaliknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melangkaui batas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan demi memastikan kedaulatan serta kesejahteraan negara sentiasa dihormati.

Jika kerajaan bertindak demikian janganlah pula marah kerana kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan majoriti rakyat tidak tergugat hanya disebabkan oleh keghairahan golongan minoriti mahu mempolitikkan segala-galanya.

Dalam masa yang sama, apa yang dilakukan oleh pemimpin PKR ini sepatutnya menyedarkan pemimpin dan penyokong Pas bahawa secara realitinya, rasa hormat PKR terhadap Pas tidak pernah wujud, mereka hanya peralatkan Pas untuk menang pilihan raya sahaja.

Kalau mereka mempunyai perasaan hormat kepada pemimpin-pemimpin Pas khususnya golongan ulama, sudah pasti mereka tidak akan tergamak memaki hamun golongan itu.

Apa pun kepada pemimpin PKR yang tergamak memanggil sekutunya sebagai 'bangkai' banyak-banyaklah ingatkan Allah SWT, sesungguhnya apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya dan belajarlah bermuhasabah.

Bak kata seorang penyokong Pas yang membalas posting pemimpin PKR itu, ''Alhamdulillah, ada kebaikan pada ketentuan Illahi. Kami Bersyukur Ya Allah Kau Maha Mengetahui. Alhamdulillah beliau kalah dalam PRU lepas, kami tak rela ada pemimpin tak berakhlak seperti ini.'' - Mungkin ini juga majoriti doa orang Melayu dan umat Islam yang lain.

Jerebu cuaca akan berlalu, jerebu pemikiran lekit sekali

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

MALAYSIA sering diserang oleh jerebu akibat pembakaran yang tidak terkawal. Sehebat mana jerebu itu menyerang lambat laun ia akan berakhir. Jerebu cuaca meskipun berbahaya menyebabkan pandangan tidak jelas, kabur dan boleh mengganggu kesihatan tetapi kaedah mengatasinya ada dan ia bersifat sementara.

Masyarakat Malaysia juga sekian lama menghadapi jerebu pemikiran dan sikap sehingga ketidakjelasan dalam pemikiran menyebabkan persepsi dikaburi dengan sikap berbeza yang tajam dan rasa kebencian dan dendam kesumat yang mendalam. Ia juga membawa jerebu hati dan emosi. Iklim ini tidak baik bagi mewujudkan persefahaman.

Suatu ketika jerebu emosi itu menyerang sesama agama dan bangsa. Sekarang ini jerebu itu dibimbangi ibarat api dalam sekam yang meratah hubungan baik antara bangsa dan kelainan agama.

Membangun rasa perkauman dan rasis ibarat mengejutkan singa yang sedang tidur. Ia mudah mengaum ikut selera kebencian dan akhirnya boleh menyebabkan perpaduan yang dibina sekian lama berjerebu dan menyebabkan konflik mudah tercetus.

Yang perlu diperiksa ialah siapa dalam kalangan kita yang meniup api kebencian dan menyemarakkan asap dendam sehingga kedamaian yang dinikmati sekian lama menjadi kabur dan menyebabkan ramai yang kelabu pemikirannya.

Mengkaburkan hubungan sesama Islam dan bukan Islam bukanlah payah tetapi menjernihkan hubungan itu semula adalah susah kerana asap pertentangan sesuatu yang enak ditiupkan tetapi membina kecerahan adalah sesuatu yang merumitkan.

Contohnya apabila proses demokrasi tidak dihormati, ia boleh menimbulkan jerebu emosi yang tidak terkawal lalu tuduhan dibuat tanpa asas dan bukti yang kukuh. Kalau ada asas bukti dan fakta yang cukup salurkan kepada pihak yang berwajib melaksanakan undang-undang dan peraturan.

Apabila ada pembakar semangat yang menyebabkan jerebu pemikiran terjadi, berlakulah demonstrasi jalanan yang menyebabkan undang-undang dilanggar dan peraturan tidak diikuti terutama di kalangan generasi muda.

Kelompok pendidikan dan keselamatan negara berhempas pulas mencetuskan kesedaran di kalangan masyarakat dan pelajar-pelajar supaya patuh kepada prinsip seperti yang terkanun dalam Rukun Negara.

Tetapi dalam kalangan bloggers yang otaknya berjerebu tidak mudah untuk dijinakkan tentang harga kedamaian dan toleransi yang perlu dipertahankan supaya Malaysia yang sifat masyarakatnya berbilang tetap merasakan undang-undang dan peraturan perlu dihormati.

Bila perhimpunan berlaku tanpa ikut undang-undang untuk mendengar ceramah berapi-api dan kata-kata kesat di luar adab, ia akan mengapi-apikan masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda dan boleh berakhir dengan sikap kekerasan yang merosakkan keamanan negara.

Mujur dalam konteks Malaysia warga keselamatan tidak mudah terjebak dengan provokasi yang dipasang. Kesabaran dan kebijaksanaan warga keselamatan negara dapat mengatasi provokasi dan terus mengambil tindakan terhadap penganjurnya.

Oleh itu jerebu pemikiran banyak terkait dengan kepentingan diri dan kelompok bukan sangat terkait dengan kepentingan masyarakat apa lagi umat. Ideologi politik yang didukung sifatnya bercanggah dan cenderung menimbulkan perpecahan.

Tokoh yang ingin mencetuskan jerebu politik tidak sabar untuk menduduki jawatan tertinggi dalam negara. Keputusan demokratik tidak dihormati malah memilih jalan anarki dan tidak menghormati undang-undang. Bagi masyarakat yang sebahagiannya sedang diselubungi dengan jerebu kegilaan kuasa semakin sedar, dan nampak akan taktik dan strategi kumpulan ini.

Kenyataan dan tuduhan yang dibuat terhadap kerajaan dan pihak yang berkuasa bagi orang berfikir dan mempunyai rasionaliti yang tinggi mula menyedari bahawa provokasi yang dibuat tidak masuk akal dan dilakukan atas kepentingan diri dan kelompok yang sempit hujah dan kehilangan arah dalam hala tuju perjuangan.

Tetapi peniup api kebencian dan dendam kesumat tetap terus menyemarakkan api kebencian dan dendam itu supaya jerebu pemikiran tetap teguh walaupun pertimbangan undang-undang diberi, pertimbangan keselamatan negara dinyatakan malah kenyataan ulama ilmuwan yang mengkritik gerakan demonstrasi jalanan terjadi namun yang masih berjerebu dengan cita-cita kekuasaan yang kabur tetap dengan pendirian mereka. Amat lekit atau liat untuk mengatasi jerebu pemikiran ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Sumbangan ceriakan anak yatim

Posted: 26 Jun 2013 11:03 PM PDT

Ahmad Abdul Hamid (belakang, tujuh dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Zulkifli Mohd. Wahi di samping sebahagian penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Perempuan Al-Barakah, Teluk Intan, Perak, baru-baru ini.

TIADA niat untuk mengungkit kisah lalu cuma ingin mengetahui mengapa dan bagaimana mereka boleh berada di situ.

Rata-rata yang ditemui memberitahu bahawa ibu atau bapa mereka tidak mampu untuk menyara ahli keluarga yang ramai.

Ini kerana, bagi mereka yang kematian bapa, kebanyakan ibu masing-masing tidak bekerja, ditambah pula mempunyai adik-beradik yang ramai 'memaksa' ibu masing-masing menghantar mereka ke rumah kebajikan itu.

Bersandarkan satu tujuan iaitu tidak mahu mengabaikan pelajaran anak-anak dan ingin memberi mereka kehidupan yang sempurna, keputusan menjadikan mereka salah seorang penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Perempuan Al-Barakah, Teluk Intan, Perak, adalah satu pilihan yang tepat.

Yang pasti, keputusan yang dibuat adalah betul kerana mereka merupakan anak-anak yang cukup cerdik.

Salah seorang penghuni yang ditemui, Norhashikin Arshad, 10, merupakan seorang kanak-kanak yang cukup petah.

Dia bukan sahaja membantu rakan-rakan lain memberikan jawapan ketika ditemu ramah, malah apabila gilirannya tiba, dia mampu menjawab kesemua soalan dengan lancar.

Apabila ditanya perihal pendidikannya, dengan rendah diri Norhashikin memberitahu pada peperiksaan terbaharunya dia memperoleh sembilan A, dua B dan dua C.

Ternyata Norhashikin tidak menjadikan masalah keluarga sebahagian daripada masalahnya kerana dia dilihat cukup bersungguh-sungguh ingin membuktikan keupayaan diri malah menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa anak yang terbiar kehidupannya melarat.

Apa yang diharapkan Norhashikin satu masa nanti, dia mampu menyara ibu serta adik-beradiknya yang lain di samping memberi kesenangan kepada mereka.

Bagi Hasanahtul Izzah Kofli, 8, pula, walaupun dia merupakan penghuni yang termuda di rumah tersebut, itu tidak pernah menghalang dirinya untuk bergaul dengan penghuni-penghuni lain.

Menyatakan sedikit sedih apabila dihantar ke rumah tersebut oleh ibunya, dia bagaimanapun akur apabila mengetahui apa yang dilakukan ibunya adalah untuk kebaikan dirinya juga.

Pasti tidak melepaskan peluang pulang ke rumah pada cuti hujung minggu, Hasanahtul kini gembira tinggal di situ.

"Saya baru masuk awal tahun ini. Emak yang menghantar saya ke sini selepas ayah meninggal.

"Saya mempunyai tujuh orang adik- beradik dan emak tak mampu untuk menyara kami semua sebab hanya menjual ikan untuk perbelajaan harian.

"Jadi bila emak nak hantar saya ke sini saya reda walaupun pada awalnya saya sedih kerana terpaksa berjauhan dengan emak dan adik-beradik yang lain," ujarnya petah.

Nabila Saaide, 11, pula agak keberatan untuk memberitahu kenapa dia dihantar ke rumah itu. Merupakan penghuni paling lama yang tinggal di situ, Nabila kini turut ditemani adiknya, Zainab.

Yang pasti, kesemua penghuni rumah tersebut bersatu hati dan dilihat saling membantu antara satu sama lain.

Kehadiran wakil daripada Utusan Malaysia pada kunjungan baru-baru ini menyerahkan sedikit sumbangan beras daripada Bernas dan hamper tajaan Maggi membuatkan masing-masing tersenyum.

Bukan kerana sumbangan yang diberikan tetapi kesudian pihak Utusan Malaysia mengunjungi mereka yang sememangnya sangat berbesar hati menyambut setiap kehadiran tetamu.

Kunjungan dan sumbangan yang diberikan ke rumah amal tersebut adalah sempena meraikan pemenang tempat pertama Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia, Nurul Awanis Ariffin dan pasangannya Mohd. Hafidz Shamsir Md. Nasir.

Pada majlis itu Utusan Malaysia diwakili Penolong Ketua Pengarang II, Ahmad Abdul Hamid dan Pengarang Keluarga dan Wanita, Siti Zaleha Jorimai.

Sementara itu Pengetua rumah berkenaan, Zulkifli Mohd. Wahi dan juga beberapa penjaga serta tenaga pengajar turut mengalu-alukan kedatangan dan sumbangan yang diberikan.

Kepada yang berminat memberi sumbangan kepada rumah ini boleh menghubungi Zulkifli di 019-5720346 atau layari media sosial Facebook Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Perempuan Al-Barakah, Teluk Intan, untuk maklumat lanjut. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Fathiyah's Dreams untuk kanak-kanak

Posted: 26 Jun 2013 11:03 PM PDT

Pelbagai corak dres panjang untuk kanak-kanak berjenama Fathin.

Tuntutan memakai hijab atau tudung memang sudah termaktub dalam syariat Islam. Ramai dalam kalangan wanita Islam kini yang mengenakan hijab atau tudung mengikut peraturan yang telah disyariatkan.

Tidak terkecuali kanak-kanak perempuan beragama Islam juga kini semakin ramai yang mengenakan tudung dan mereka juga kelihatan sangat comel.

Biarpun masih kanak-kanak, membiasakan golongan itu mengenakan tudung sejak dari kecil adalah suatu perkara yang amat dituntut.

Namun malangnya, kadang kala sukar untuk mencari tudung yang sesuai untuk dipakai oleh kanak-kanak perempuan.

Mungkin kesukaran dalam mendapatkan saiz, terlalu besar, labuh atau bersaiz orang dewasa, golongan ini terpaksa mengenakan pin di bawah dagu untuk mengetatkan tudung dan sebagainya.

Semua permasalahan ini telah diselidik terlebih dahulu oleh Rodzi Mohamed, 35, dan rakan karibnya, Amziyadi Md. Rasid, 35, sebelum membuka sebuah syarikat, 2G Resources Sdn. Bhd., pengeluar tudung kanak-kanak, Fathiyah's Dreams.

Menurut Rodzi, Fathiyah's dreams adalah jenama khusus tudung kanak-kanak pertama di negara ini dan kepakaran mereka memang memberi tumpuan sepenuhnya kepada keselesaan, keunikan, kecantikan dan kualiti tudung.

Tudung-tudung ini menurut mereka apabila digayakan pasti memberikan keyakinan yang tersendiri kepada kanak-kanak yang mengenakannya.

Fathiyah's Dreams yang dilancarkan pada April tahun lepas bermula daripada keistimewaan bertudung yang diperlihatkan oleh Rodzi dan Amziyadi terhadap anak-anak perempuan mereka seterusnya dimeteraikan sebagai satu jenama komersial.

"Bermula dengan mencari material yang sesuai sehinggalah menempahnya menjadi tudung yang cantik adalah proses biasa yang kami lakukan.

"Sehinggakan satu hari kami berasa proses yang kami jalankan ini sebagai satu detik bermulanya perniagaan di dalam talian," katanya.

Antara koleksi tudung Fathiyah's Dreams ialah Aimi, Iman, Sofea, Hawa, Amna, Alia dan Aisha.

Sementara itu Amziyadi memberitahu, tudung Fathiyah's Dream menerusi perniagaan yang dijalankan secara di dalam talian menerusi Facebook mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

"Selain padan dengan usia kanak-kanak terbabit, pemilihan fabrik dan material adalah amat dititikberatkan seperti lycra, denim dan kapas menjadikan tudung yang digayakan kanak-kanak ini menarik, sejuk dan selesa.

"Selain itu kami juga memilih warna-warna yang menjadi pilihan kanak-kanak iaitu merah jambu, ungu, hijau dan sebagainya," kata Amziyadi.

Selain Fathiyah's Dream, Rodzi dan Amziyadi juga turut melancarkan dres panjang dengan koleksi di bawah jenama Fathin.

Dres panjang ini yang boleh dipakai kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun juga mempunyai warna yang ceria dan menggunakan fabrik seperti lycra, denim dan kapas.

Bagi yang berminat boleh mengakses Facebook, Fathiyah's Dreams atau e-mel, fathiyahdreams@gmail.com atau hubungi talian 019-2333974.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penghuni tanggung derita

Posted: 26 Jun 2013 11:37 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Akibat bil tertunggak, penghuni Pangsapuri Kekwa, Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor terpaksa menanggung sengsara apabila bekalan air mereka dipotong pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sejak Sabtu lalu. - UTUSAN/Safiiyana Salim

SEPANG 26 Jun - Dalam keadaan negara dilanda krisis jerebu, para penghuni Pangsapuri Kekwa di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini terpaksa menanggung penderitaan berganda selepas terputus bekalan air sejak Sabtu lalu.

Penduduk mendakwa masalah itu disebabkan pemotongan bekalan air ekoran bil tertunggak sebanyak RM49,000 oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Ekoran masalah itu, penghuni terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi semata-mata mahu mendapatkan bekalan air dari kawasan berhampiran termasuk masjid, stesen minyak dan tasik.

Mereka turut mendakwa, pihak pengurusan bangunan iaitu LT Sdn. Bhd. seolah-olah bersikap lepas tangan dalam hal berkenaan.

Seorang penduduk, Faizah Mohd. Yusuf, 34, berkata, dia amat berharap proses penukaran meter pukal ke meter individu dapat dilaksanakan segera.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan penghuni terus menanggung derita sekali gus memberi keadilan kepada penghuni yang melunaskan pembayaran bil air.

"Selepas bekalan air dipotong kami terpaksa bergantung melalui air tangki, namun tidak bertahan lama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kediaman di sini hari ini.

Perasaan sama turut dikongsi, Sujiyanti Narun, 38, yang berharap agar penyelesaian dapat dilakukan pihak berwajib.

Dia berkata, tindakan pemotongan itu sebagai tidak adil kepada dirinya dan penghuni lain yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membayar bil.

"Saya mengasuh tiga orang kanak-kanak. Susah bagi kami kerana tiada bekalan air ketika ini.

"Kami amat berharap pihak pengurusan, Syabas dan penduduk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini," tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Kekwa, Saiful Bahrin Badarudin berkata, setakat ini pihak pengurusan bangunan cuma dapat membayar kira-kira RM10,000 kepada Syabas untuk proses penyambungan semula bekalan air.

"Proses penyambungan semula bekalan air perlu dijelaskan sepenuhnya, namun pihak Syabas telah memberikan pengurangan kepada pendahuluan sebanyak RM20,000. Setakat ini kita mempunyai sebanyak RM11,000 dan memerlukan RM9,000 lagi," ujarnya.

Beliau menambah, jasa baik pihak Syabas juga amat diharapkan agar proses penukaran meter pukal ke meter individu yang dipohon penghuni pangsapuri berkenaan segera diluluskan.

Ini katanya, bagi menggelakkan kejadian bekalan air dipotong berulang sehingga penghuni terpaksa menanggung derita.

Bersyukur IPU turun selepas hujan

Posted: 26 Jun 2013 11:37 AM PDT

KUALA LUMPUR 26 Jun - Hujan lebat petang semalam di sekitar Lembah Klang ternyata melegakan orang ramai kerana mampu mengurangkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di ibu negara.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, suasana segar semakin dirasai biarpun langit dan beberapa bangunan pencakar langit masih diselubungi jerebu.

Seorang peniaga, Rosmah Selamat, 30, berkata, cuaca hari ini semakin baik berbanding hujung minggu lalu sehingga menyebabkan orang ramai mengurangkan aktiviti di kawasan terbuka.

"Pelanggan saya juga agak berkurangan sejak Isnin lalu, mungkin kerana mereka tidak keluar dan berada di bahagian yang kurang terdedah dengan asap jerebu.

"Namun, saya bersyukur kerana hujan petang semalam dapat mengurangkan tahap IPU di ibu kota," kata peniaga buah-buahan di Jalan Masjid India itu.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan masalah jerebu yang melanda ibu negara bukan sekadar menjejaskan aktiviti di kawasan terbuka, malah operasi gerai makanan turut berdepan situasi sama.

Terdapat pengusaha yang memilih untuk memendekkan waktu operasi dan mengurangkan pilihan makanan kerana mahu menutup lebih awal berbanding hari biasa.

Sementara itu, seorang pelancong dari Sabah, Johan Datu Samsul, 43, berkata, dia hanya dapat bersiar-siar di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini selepas sudah beberapa hari berada di ibu kota.

"Saya lihat cuaca hari ini sedikit baik, jadi mengambil peluang untuk bersiar-siar berbanding sebelum ini saya hanya berada di kawasan tertutup," katanya.

Rakannya, Saimin Damsik, 53, pula berkata, dia memilih untuk menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) untuk bersiar-siar di ibu kota.

"Biarpun cuaca semakin baik, saya berharap langkah ini dapat mengurangkan pencemaran," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan turut mendapati, majoriti orang ramai masih memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di kawasan terbuka bagi mengurangkan risiko dijangkiti penyakit.

Peniaga perlu ubah sikap

Posted: 26 Jun 2013 11:37 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

Mhd. Amin Nordin Abd Aziz (kiri) bersalaman dengan para pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika meninjau Program Gotong- Royong membabitkan para penjaja di sekitar Medan Bonus, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Jun - Peniaga gerai dan orang ramai di sekitar ibu negara diminta membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjaga kebersihan dan keindahan di kawasan masing-masing agar sentiasa terjaga.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihak berkenaan perlu mengubah sikap dengan tidak terlalu bergantung kepada pihak berkuasa tempatan itu untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Menurutnya, langkah itu juga sebagai penyediaan sempena kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Sekiranya pihak berkenaan tidak membantu sudah pasti usaha untuk menceriakan dan mengindahkan ibu kota tidak tercapai,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Gotong-royong membabitkan para penjaja di sekitar Medan Bonus, Jalan Masjid India bersama DBKL dan Alam Flora Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Noor Azmi Noordin.

Beliau menambah, sebanyak 65 gerai penjaja di sekitar Medan Bunus,Jalan Masjid India telah diarah tutup oleh DBKL selepas premis mereka didapati gagal mematuhi syarat kebersihan yang ditetapkan.

Menurutnya, arahan penutupan selama seminggu itu berkuatkuasa Isnin lalu atau sehingga Jabatan Kesihatan DBKL berpuas hati dengan tahap kebersihan mereka.

"Pihak DBKL menerima banyak aduan daripada orang ramai termasuk pelancong asing berhubung masalah itu.

"Bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa baik, pihak DBKL akan melaksanakan pemantauan dari masa ke semasa,"katanya.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, pihaknya bercadang mengarahkan premis-premis yang kotor melakukan pembersihan secara berkala pada setiap bulan.

"Kita akan mewujudkan buku log bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan premis masing-masing sebulan sekali dan jika ingkar DBKL akan mengeluarkan notis penutupan seterusnya.

"Dalam masa sama DBKL turut bercadang menyediakan cat kepada setiap penjaja bagi tujuan penyeragaman dan keindahan premis,"katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Menu eksklusif Hj. Sharin

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
editor.johor@utusan.com.my

Antara menu istimewa yang dimasak semasa Food Review masakan Cina Muslim di Restoran Haji Sharin Low, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 26 Jun - Anda gemarkan masakan Cina yang halal? Jika ya, anda boleh berkunjung ke Restoran Hj. Sharin Low Grand di Jalan Padi 1, Bandar Baru Baru Uda yang menghidangkan pelbagai menu masakan berkenaan.

Restoran yang mula beroperasi pada 8 Ogos tahun lalu merupakan cawangan yang Ke-18 milik Restoran Hj. Sharin Low Grand yang menawarkan masakan Cina Muslim berkonsepkan makanan Cina asli.

Penyelia restoran berkenaan, Linah Lim, 55, berkata, sebelum ini pihaknya telah membuka lebih enam cawangan di sekitar Lembah Klang, antaranya di Sri Gombak, Batu Caves, Ampang, Bukit Antarabangsa, Shah Alam, Bangi dan Kajang.

Selain itu, pihaknya turut membuka cawangan di Ipoh, Kota Bharu, Alor Setar dan Kuantan dengan kesemua rangkaian restoran itu diuruskan sendiri oleh Sharin Low Abdullah, selaku Pengarah Urusan Restoran Hj. Sharin Low Grand.

Ditanya bagaimana timbul idea untuk mewujudkan rangkaian makanan Cina Muslim, Linah berkata: "Negara kita cukup unik kerana dihuni oleh tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang amat mengenali dan saling menghormati sesama mereka baik dari segi adat-istiadat, sosio budaya dan agama.

"Hubungan yang baik antara sesama kaum ini telah menjadikan mereka mudah untuk menerima apa sahaja budaya baik termasuk dari segi makanan yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk mewujudkan restoran seumpama itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Linah berkata, peluang yang terbuka luas itu digunakan dengan membuka restoran-restoran seumpamanya di kawasan penempatan Melayu dengan memastikan semua bahan bekalan adalah halal.

Menurutnya, selain mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihaknya turut memastikan semua bekalan termasuk ayam, itik, daging lembu dan kambing bersembelih, begitu juga dengan pelbagai jenis sos yang kesemuanya bertanda halal.

Semua bekalan itu diperoleh daripada pembekal Islam di Pasar Borong Pandan, dekat sini, katanya.

Linah memberitahu, sebahagian besar menu yang dihidangkan merupakan resepi 'eksklusif' yang diwarisi oleh Sharin menerusi keluarga yang memang mahir dan pakar dalam bidang masakan Cina.

"Di restoran kami, antara menu yang paling mendapat sambutan termasuk udang lok, ikan kukus nyonya, telur masin kwai tau meow, ayam limau, ayam nanas, sayur dragon halia, kerapu ala Shanghai, ayam dan itik panggang, asparagus belacan, terung bersama daging cincang, anak ketam dan sotong bermadu.

"Kita turut menghidangkan beberapa jenis minuman istimewa termasuk kedondong, teh tiga lapis, lo han guo serta pencuci mulut seperti pan cake, bubur sengkuang putih dan bubur jagung manis," katanya.

Mengenai harga, pihaknya memang prihatin terhadap kemampuan pelanggan terutama golongan menengah dan untuk memenuhi kemampuan mereka, pihaknya menyediakan pakej-pakej mengikut keperluan pelanggan.

Sebagai contoh, pihaknya menyediakan pakej serendah RM108, RM138, RM188, RM238, RM368 dan RM428 bergantung kepada jumlah orang dan jenis menu yang dipilih.

"Bagi membolehkan golongan menengah ini menikmati makanan Cina Muslim, kita juga membuat keputusan bijak dengan membuka rangkaian restoran di kawasan di penempatan Melayu yang berpendapatan sederhana.

"Bagi kami, dalam bisnes bukan sekadar untuk mengaut keuntungan, tetapi yang lebih penting para pelanggan mendapat kepuasan dengan wang yang dibelanjakan bagi menikmati juadah yang dihidangkan," katanya.

Linah memberitahu, restoran tersebut yang dibuka setiap hari mulai 12 tengah hari hingga 12 tengah malam mendapat sambutan menggalakkan terutama hujung minggu bukan sahaja daripada warga bandar raya ini, malah rakyat Singapura.

Bagi mengendalikan restoran itu, pihaknya mempunyai 14 pekerja termasuk tiga tukang masa yang mahir.

Berikutan sambutan yang memberangsangkan, pihaknya bercadang membuka empat lagi cawangan di sekitar bandar raya ini termasuk di Tebrau, Kulaijaya, Nusajaya dan Pasir Gudang.

Menurutnya, orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut tentang restoran itu atau membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 016-7315653 atau 016- 7461673 (Yati).

Lapan rumah dilanda ribut

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Seorang penduduk memasang atap zink di sebuah rumah yang dilanda ribut di Lorong Warisan, Pengkalan Raja, Pontian, Johor, petang kelmarin.

PONTIAN 26 Jun - Sebanyak lapan buah rumah di Kawasan (4) Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut berserta hujan lebat petang semalam.

Ketua Kampung Kawasan (4), Abdullah Bedu berkata, kawasan yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu termasuk Kampung Batu 30, Pengkalan Raja serta Lorong Warisan dengan atap zink rumah diterbangkan angin.

Menurutnya, sebuah gerai makan di Pengkalan Raja turut mengalami kerosakan teruk apabila bumbung di bahagian hadapan serta dapur diterbangkan angin.

"Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah memaklumkan perkara ini kepada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah menghantar pegawai bagi melihat kerugian yang dialami oleh penduduk.

"Bagaimanapun mangsa telah menggantikan sendiri zink yang diterbangkan kerana bimbang hujan pada waktu malam dan berharap kos tersebut dapat diganti kelak," katanya ketika ditemui semalam.

Seorang pembantu kedai makan, Hamka Aliman, 22, memberitahu, dia sedang membersihkan kedai apabila tiba-tiba hujan turun diikuti angin kencang.

Dia terus keluar dari kedai untuk mencari perlindungan apabila mendapati bumbung serta atap zink di bahagian dapur mula diterbangkan angin dalam beberapa saat.

"Saya tergamam bila melihat angin kencang tiba-tiba menerbangkan bumbung kedai dan beberapa lagi rumah berhampiran," katanya.

Hamka bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpanya tetapi kedai milik majikannya, Noryati Parman rosak teruk dan memerlukan kos yang banyak untuk diperbaiki.

Sementara itu, Misnah Ibrahim, 65, memberitahu, ketika kejadian dia melawat suaminya, Rosak Deramang, 64, yang dirawat di Hospital Pontian sejak seminggu lalu.

Dia bergegas pulang setelah diberitahu oleh anaknya tentang kejadian tersebut yang menyebabkan lapan keping atap zink rumah diterbangkan angin sehingga bilik serta bahagian dapur rumahnya dimasuki air.

"Makcik terkejut apabila diberitahu tentang kejadian itu memandangkan ketika kejadian tiada orang di rumah makcik," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Adat pepatih, masakan nogori

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusanN9@utusan.com.my

Zaidi Kassim (depan, enam dari kanan) bersama peserta Negeri Sembilan Food Trail 2013 dan pemilik Restoran Wadi Ar-Raudah di Rahang, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - utusan/Noor hanis harun

SEREMBAN 26 Jun - Negeri Sembilan bukan hanya terkenal dengan jolokan bumi adat perpatih malahan turut popular dengan pelbagai jenis makanan tradisionalnya sekali gus menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Secara amnya, sejarah dan keunikan kisah adat yang menjadi amalan turun temurun masyarakat di negeri ini menjadi signifikan serta identiti kepada negeri beradat ini.

Lebih menarik warisan sejarah itu turut diinterpretasi melalui sosial kehidupan masyarakat malah ditonjolkan melalui seni pembinaan bangunan serta rumah berteraskan konsep Minangkabau sehingga ke hari ini.

Bukan itu sahaja, apabila menyentuh aspek masakan, negeri ini sudah terkenal dengan hidangan pedas seperti masak lomak cili api dan rendang yang dipopularkan menerusi resipi tradisional sejak berabad lalu.

Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaidi Kassim berkata, adat perpatih sudah menjadi amalan masyarakat negeri ini kira-kira 600 tahun lalu, maka tidak hairanlah ia mempengaruhi sebahagian besar aspek kehidupan penduduk Negeri Sembilan.

Menurutnya, selain keunikan adat perpatih, Negeri Sembilan juga terletak pada lokasinya yang amat strategik antara Singapura dan Lembah Klang sebagai destinasi kunjungan umum khususnya dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pada tahun ini, kita mensasarkan seramai lima juta pelancong berkunjung ke negeri ini khususnya di tempat menarik seperti kawasan rekreasi, bersejarah selain merasai pengalaman suasana di kampung.

Selain berkunjung ke pantai peranginan Port Dickson, negeri ini juga mempunyai tempat penginapan inap desa, aktiviti ekopelancongan dan makanan tradisional peninggalan nenek moyang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Negeri Sembilan Food Trail 2013 di Homestay Kampung Lonek, di Batu Kikir, Kuala Pilah, baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung program tiga hari itu, Zaidi berkata, Negeri Sembilan Food Trail itu merupakan salah satu platform untuk mempromosikan lokasi pelancongan, masakan tradisional serta tempat makanan menarik sekitar negeri ini.

Program kembara ini meliputi jelajah tiga daerah iaitu Seremban, Kuala Pilah dan Rembau, di mana setiap daerah mempunyai identiti makanan yang berbeza, sebagai contoh apam johol, kuih sepang dan masak lomak cili api daging salai

Kita membawa 40 peserta yang terdiri daripada pengamal media dan agensi perlancongan untuk singgah ke 11 destinasi pelancongan di negeri ini.

Setiap premis makanan akan menghidangkan pelbagai hidangan terbaik mereka yang enak dan unik untuk dipromosikan kepada pelancong," ujarnya

Antara lokasi pelancong menarik yang dilawati peserta menerusi program tersebut termasuk Jelita Ostrich Farm, Starfresh Agropark, Muzium Diraja Istana Seri Menanti, Homestay Kampung Lonek, Teratak Zaaba dan Rembau Kristal.

Di samping itu, katanya, peserta turut berpeluang merasai pelbagai hidangan menarik seperti cendol madu, sate tulang Jelebu, dan kuih koci labu dan pucuk ubi goreng rendang Rembau yang popular di negeri ini.

Zaidi berharap program sedemikian memberi pelaung kepada umum untuk mengetahui tentang keunikan Negeri Sembilan ini melalui masakan tradisional ala nogori.

Tambahnya, sempena acara Tahun Melawat 2014 tidak lama lagi, pihak Tourism Malaysia akan menganjurkan lebih banyak lagi program yang berbentuk jelajah negeri.

Kita merancang untuk menjadikan Port Dickson sebagai salah satu perhentian dalam program Negeri Sembilan Food Trail yang seterusnya selepas ini," katanya.

NS Food Trail 2013 promosi keunikan Negeri Sembilan

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

SEREMBAN 26 Jun - Peserta kembara Negeri Sembilan Food Trail 2013 amat teruja dengan kepelbagaian aktiviti yang disediakan serta tempat menarik dilawati sekitar Seremban, Kuala Pilah dan Rembau dekat sini baru-baru ini.

Urus Setia program, Nurul Syaqqeera Noor Azizan berkata, seringkali Negeri Sembilan terlepas pandang daripada menjadi destinasi pelancongan pilihan khususnya dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, melalui program berkenaan, secara tidak langsung dapat membuang tanggapan orang ramai bahawa negeri ini tidak mempunyai tempat menarik untuk dilawati.

''Biasanya Negeri Sembilan tidak dijadikan destinasi pelancongan utama kerana pelancong lebih suka berkunjung ke Kuala Lumpur atau ke bahagian selatan seperti Johor Bahru dan Singapura.

"Sebenarnya kita mempunyai banyak tempat tinggalan sejarah yang masih dijaga baik untuk tujuan mempromosikan aktiviti pelancongan seperti Istana Lama Seri Menanti dan Teratak Za'aba di Kuala Pilah," katanya.

Jelasnya, selain berpeluang merasai pelbagai masakan tradisional negeri ini melalui program tersebut, dia turut rasa gembira dapat berkunjung ke tempat pembuatan kristal di Rembau yang menawarkan produk kristal pada harga berpatutan.

Sementara itu, jurugambar, Mohd. Farhan Che Hassan, 26, berkata, makanan kegemarannya sepanjang program itu ialah Sate Tulang Jelebu yang ditawarkan di Senawang.

"Rasanya unik dan tidak pernah saya cuba sebelum ini. Selalunya kita makan sate daging atau sate ayam, ternyata pemilik restoran ini mempunyai idea yang kreatif untuk menggunakan sendi-sendi tulang ayam untuk dibuat sate.

''Selain itu, kami dibawa melawat Jelita Ostrich Farm di Jalan Pantai di sini dan menyaksikan sendiri burung unta yang diternak di sini, malah kami juga disajikan dengan sate burung unta yang enak," ujarnya.

Tambahnya, sebagai anak jati Negeri Sembilan dia berasa bertanggungjawab untuk mempromosikan kelebihan yang terdapat di negeri ini kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Siapa lagi yang hendak mempromosikan tempat kita kalau bukan kita sendiri. Sebagai rakyat Negeri Sembilan, kita patut berasa bangga dengan kelebihan yang terdapat di negeri kita sendiri,'' ujarnya.

Bagi seorang lagi peserta, Onny Izwan Pulkiem, 24, peluang untuk melawat tempat menarik yang terdapat di Negeri Sembilan dan merasai masakan tradisonal Negeri Sembilan adalah pengalaman yang amat berharga untuk dirinya.

"Saya amat tertarik dengan kuih-muih yang pelik dan tak pernah saya jumpa sebelum ini sebagai contoh, kuih apam Johol dan koci labu. Rasanya juga amat unik.

"Di samping itu, kami semua dapat merasai cara makan duduk bersila sambil dihidang dengan lauk pauk masakan tradisonal negeri ini seperti masak lemak tempoyak dan sambal taucu tenggiri," jelasnya.

Katanya, pengalaman itu amat berharga untuknya yang juga merupakan penulis majalah masakan, Rasa.

Tapak lupus sampah terbakar

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pajam, Nilai, semalam.

SEREMBAN 26 Jun - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat masih berusaha memadamkan kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah seluas 2.8 hektar di Pajam, Nilai dekat sini yang berlarutan sejak petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Ahmad Nizam Shapiee berkata, kebakaran tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7.10 petang semalam dan menyebabkan hampir 90 peratus kawasan pembuangan sampah seluas 2.8 hektar itu terbakar.

Sehingga kini kita telah berjaya memadamkan kebakaran tersebut dan tumpuan kini memastikan bara di bawah timbunan sampah benar-benar padam sepenuhnya.

Kita jangkakan operasi ini berlanjutan sehingga dua hari lagi dan semua bergantung pada keadaan cuaca," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak lima jentera bomba dari balai Nilai, Seremban 2 dan Telok Kemang bersama 35 anggota telah ditugaskan untuk memadamkan kebakaran itu.

Kita menghadapi tugas sukar untuk memadamkan kebakaran ini ekoran tiada punca air atau kolam terbuka untuk kita gunakan dalam operasi ini selain kawasan kebakaran yang luas.

Buat masa ini kita mengambil sumber air dari satu kolam takungan dan sebatang sungai berhampiran bagi melancarkan operasi ini," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved