Isnin, 21 April 2014

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Sekolah Kebangsaan Puteri dipilih sebagai ‘Sekolah Hijau Bersama Dulux’

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

ABU Ubaidah Redza (kanan) bersama CW Goh (kiri) menanam pokok ketika melancarkan Green Shcool with Dulux di Sekolah Kebangsaan Puteri di Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 21 April - Sekolah Kebangsaan Puteri, dekat sini terpilih dalam projek perintis Sekolah Hijau bersama Dulux ke arah memupuk kesedaran berhubung inisiatif dan konsep hijau, khususnya dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, inisiatif berkenaan merupakan kerjasama pintar antara Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan dengan syarikat pengeluar cat terkemuka, Dulux; Akzo Nobel Paints (Malaysia) Sdn. Bhd (Akzo Nobel).

"Tujuan utama program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran, selain mendidik komuniti terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.

"Pada peringkat ini, program ini memfokuskan usaha memupuk kesedaran dan ilmu kepada murid dan pelajar sekolah melalui kempen sekolah hijau ini," katanya ketika melancarkan Green Shcool with Dulux di sekolah berkenaan di sini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan, Akzo Nobel, CW Goh.

Menurut Abu Ubaidah, antara aktiviti yang bakal dilaksanakan melalui program tersebut terma-suk ceramah terhadap penggunaan air, elektrik, larangan pembakaran terbuka dan merokok, penanaman pokok dan penggunaan produk hijau, selain inisiatif 3R (Pengurangan, Penggunaan Semula dan Kitar Semula).

"Program ini akan dijalankan dalam empat fasa iaitu ceramah kesedaran, aktiviti promosi, pelaksanaan sistem hijau serta perkongsian dan peletakan penanda aras.

"Inisiatif ini akan dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu dan kerjasama dengan tenaga pengajar, kakitangan sekolah, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid," ujarnya.

Sementara itu, Goh ketika berucap dalam majlis itu berkata, pihaknya sentiasa komited dalam usaha memelihara alam sekitar yang pada akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya generasi akan datang.

"Kita berharap komuniti dapat memberikan kerjasama dalam menjayakan matlamat menyebar luas kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar dalam kehidupan masyarakat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


4 suspek pecah rumah ditahan

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 21 April - Polis berjaya menahan empat suspek yang dipercayai baru selesai melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Cheras, di sini hari ini.

Difahamkan, dalam insiden kira-kira pukul 1 petang itu, keempat-empat suspek diberkas polis peronda selepas mengejar mereka beberapa kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut sumber, kesemua suspek yang menaiki kereta jenis Toyota Vios tersebut cuba meloloskan diri dengan memecut sehingga ke Taman Len Sen, Cheras.

"Bagaimanapun, anggota peronda berjaya memintas dan menahan kesemua mereka. Kenderaan yang dinaiki mereka dipercayai kenderaan curi dan kesemua mereka dibawa ke balai untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Mayat wanita berpakaian baju tidur ditemui di Tanah Perkuburan Jelutong

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

MELAKA 21 April - Mayat seorang wanita berpakaian baju tidur dengan beberapa kesan lebam di bahagian muka, leher dan lengan ditemui di Tanah Perkuburan Cina Jelutong, Sungai Putat, di sini hari ini.

Mayat tanpa sebarang identiti pengenalan diri itu ditemui kira-kira pukul 2.45 petang dalam keadaan tertiarap dengan keadaan mulut berbuih oleh seorang penjaga kubur, A. Kulantahi, 61.

Menurut Kulanthai, semasa kejadian, dia bersama anaknya perempuannya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah melalui kawasan tersebut dari tanah perkuburan Kristian berhampiran.

Menurutnya, setibanya di kawasan itu, dia ternampak seorang wanita dengan berpakaian baju tidur sedang tertiarap dan segera memberhentikan kenderaan.

"Saya cuba memanggilnya namun tiada jawapan dan terus mendekati wanita tersebut untuk melihat keadaannya.

"Saya kemudian cuba menggerakkan kaki mangsa tetapi dia tetap tidak bergerak dan saya segera menghubungi polis," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Razali Bakar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati terdapat beberapa kesan lebam di muka dan tubuh mangsa.

Ujar beliau, mangsa juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan tidak menolak kemungkinan mangsa adalah warga asing.

"Bagaimanapun siasatan terperinci masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat," katanya.

Tambah beliau, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai sebagai kematian mengejut.

"Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dan mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pemandu didakwa memandu di bawah pengaruh dadah

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

Wan Khairul Efendi Wan Mustapa diiringi anggota polis hadir ke Mahkamah Majistret di Bentong, Pahang, semalam. - BERNAMA

BENTONG 21 April - Pemandu bas ekspres dua tingkat yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan tiga penumpang di Jalan Bentong-Raub, sembilan hari lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian.

Wan Khairul Efendi Wan Mustapa, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tidak sampai seminggu selepas dia didakwa atas tuduhan positif dadah di mahkamah yang sama.

Mengikut pertuduhan, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 12 April 2014 di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, lelaki itu didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian terhadap Saeed Mohamad Moahamud Abdalla, 31, Zarifah Alias, 26, dan Suhaisam Che Abdulla,33.

Di bawah Seksyen 44(1)(a) akta tersebut, tertuduh yang berasal dari Bachok, Kelantan itu boleh dihukum penjara minimum tiga tahun dan maksimum 10 tahun serta denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd. Isa Md. Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandunya digantung serta-merta sehingga kes tersebut selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Wan Khairul Efendi sebelum itu tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi dengan ditemani isteri serta ahli keluarganya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Anuar Afindi yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh.

Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh pula memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin.

Menurutnya, tertuduh menanggung lima orang anak yang berumur dalam lingkungan 7 hingga 17 tahun dan masih bersekolah selain anak guamnya itu memerlukan wang untuk rawatan selepas turut tercedera dalam kemalangan tersebut.

Kata beliau, tertuduh juga telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang dalam tahanan reman dan menyatakan mahkamah mempunyai kuasa menaikkan jaminan sekiranya terdapat sebarang masalah selepas ini.

"Jumlah jaminan RM10,000 terlalu tinggi untuk penjamin yang merupakan bapa tertuduh berumur 64 tahun yang merupakan pesara dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain terpaksa menanggung seorang anak yang masih bersekolah," katanya.

Rabu lalu, Wan Khairul Efendi dibebaskan dengan jaminan RM2,000 selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan positif dadah jenis morfin di mahkamah sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan pengawasan selama tiga tahun.

Didakwa pecah amanah 1/2 juta

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 April - Seorang bekas ketua unit sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah kenderaan milik syarikatnya yang bernilai lebih RM500,000 tahun lalu.

Abdul Halim Abd. Azias, 33, yang ketika kejadian bertugas sebagai ketua unit di RHB Islamic Bank Bhd., didakwa telah melakukan pecah amanah melibatkan lapan kenderaan milik syarikat bernilai RM588,277.50 di bank berkenaan, Jalan Bukit Bintang di sini, 5 September 2013.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Beliau tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh dengan alasan kes tersebut adalah serius.

Walau bagaimanapun tertuduh yang kini menganggur memohon agar jaminan diberikan kerana dia menjaga sepenuhnya anaknya yang berusia dua tahun selain berjanji akan hadir ke mahkamah.

Hakim Murtazadi Amran membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Beliau turut menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kapten seperti membunuh

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

Sebahagian daripada ahli keluarga penumpang feri yang masih hilang, dihalang anggota polis ketika mereka cuba berarak ke kediaman Presiden, Park Geun-hye bagi membantah pengendalian operasi mencari dan menyelamat di Jindo, Korea Selatan, kelmarin. - AGENSI

SEOUL 21 April - Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye mendakwa kecuaian kapten dan anak kapal feri Sewol yang karam di kawasan perairan selatan negara ini tidak dapat diterima dan tindakan mereka sama seperti membunuh.

Kenyataan itu dibuat beliau berikutan penahanan empat lagi anak kapal feri yang membawa 476 penumpang tersebut yang karam dan tenggelam Rabu lalu.

"Tindakan kapten serta beberapa anak kapal sama sekali tidak boleh diterima dan sama seperti membunuh.

"Seluruh rakyat Korea Selatan berasa terkejut dan marah ekoran kecuaian yang berlaku," tegas beliau dalam satu mesyuarat bersama pasukan keselamatan hari ini.

Feri Sewol karam di perairan sedalam 27 meter ketika dalam perjalanan dari Incheon ke Pulau Jeju.

Kapten feri, Lee Joon-seok dan dua anak kapal yang bertanggungjawab telah ditahan kelmarin bagi membantu siasatan punca kemalangan itu.

Sehingga kini, angka korban meningkat kepada 87 orang hari ini, manakala 220 penumpang lain masih hilang.

Dalam perkembangan baharu, Pengawal Pantai Korea Selatan mengeluarkan transkrip perbualan antara pusat pengawal kapal dan feri sebelum tragedi itu berlaku.

Menurut transkrip tersebut, pusat itu memberitahu Jeon-seok untuk memutuskan langkah terbaik bagi mengeluarkan penumpang serta mengingatkannya sama ada penumpang perlu diselamatkan atau tidak.

Namun, Joon-seok dipercayai tidak berada di dek ketika feri tersebut membuat pusingan.

Transkrip itu juga menunjukkan anak kapal feri itu berasa bimbang tentang jumlah bot penyelamat yang tidak mencukupi, manakala saksi memberitahu, kapten dan beberapa anak kapal menyelamatkan diri menggunakan bot sekali gus meninggalkan penumpang lain.

Menurut agensi berita Yonhap, pasukan menyelamat hari ini cuba memasuki bahagian dewan makan feri tersebut dalam usaha mencari mangsa yang hilang.

Ini berikutan kebanyakan penumpang dipercayai berkumpul di dewan terbabit selain ruang istirehat serta ruang beli-belah ketika kejadian itu berlaku. - REUTERS/AGENSI

Hamdeen cabar Abdel Fattah

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

Gambar fail tanpa tarikh, menunjukkan para penyokong memegang poster calon kegemaran masing-masing iaitu Abdel Fattah al-sisi (kiri) dan Hamdeen Sabbahi (kanan) di Kaherah, Mesir. - AFP

KAHERAH 21 April - Pilihan raya Presiden Mesir bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu apabila bekas ketua tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi dijadual merebut jawatan tersebut dengan pencabarnya, Hamdeen Sabbahi, seorang pemimpin berhaluan kiri.

Abdel Fattah al-Sisi merupakan calon popular untuk memenangi pilihan raya itu selepas popularitinya melonjak selepas menggulingkan Mursi, Presiden pertama negara ini yang dipilih oleh rakyat dan merupakan orang awam.

Hamdeen pula yang mendapat tempat ketiga semasa pilihan raya Presiden 2012, dilihat penyokongnya sebagai satu-satunya pemimpin yang mewakili aspirasi bagi mereka yang terlibat dalam kebangkitan rakyat menentang Hosni Mubarak pada 2011.

Pencalonan Hamdeen dilihat memberi harapan kepada rakyat Mesir untuk mengatasi kebimbangan bahawa Abdel Fattah akan mengembalikan zaman pemerintahan Mubarak.

"Kita sedang berhadapan dengan satu situasi jelas iaitu terdapat seorang calon yang dapat membawa kita ke masa depan dan satu lagi akan membawa kita ke zaman lampau," kata jurucakap Hamdeen, Amr Badr merujuk kepada pemerintahan tentera Mesir.

Ikhwanul Muslimin yang diwakili Mursi pada pilihan raya sebelum ini tidak mengumumkan sebarang calon selepas pergerakan itu disenarai hitam kerajaan sebagai pertubuhan pengganas, malah turut memulaukan pilihan raya tersebut.

Menurut pertubuhan Amnesty International, lebih 1,400 orang terbunuh dalam tindakan kekerasan pihak berkuasa yang menjadikan penyokong Mursi sebagai sasaran, manakala lebih 15,000 lagi dipenjara. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Nokia tampil AndroidNokia tampil Android

Posted: 21 Apr 2014 12:05 AM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

TERUS mencabar pasaran telefon bimbit pintar masa kini, Nokia tampil memperkenalkan peranti bajet rendah menerusi Nokia X.

Telefon bimbit pintar yang dijana oleh sistem operasi Android selain dibina di atas sistem Antaramuka Pemprogram Aplikasi (API) Nokia ini turut dikuasakan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon Dual Core 1 Gigaherz (GHz).

Disokong oleh bateri berkapasiti 1500 mAh, Nokia X mampu menyokong masa guna sehingga 13 jam serta dimuatkan dengan 18 aplikasi termasuk laman sosial Facebook, Vine dan Skype.

Menurut Ketua Pemasaran Pan Asia, Gary Chan, sistem operasi Android yang dibangun secara sumber terbuka itu akan memberikan pemiliknya pengalaman berbeza dengan telefon pintar lain dalam kelasnya.

Kombinasi unik yang ditonjol menjadikan Nokia X setara dengan telefon bimbit premium lain sekali gus meletakkan penanda aras baharu kepada pesaing.

Selain itu, dengan harga rendah dan mampu milik menjadikan peranti ini antara pilihan bagi mereka yang sukakan kelainan," katanya pada majlis memperkenalkan Nokia X di ibu negara baru-baru ini.

Dengan ukuran 115.5 x 63 x 10.4 milimeter dan berat 128.7 gram sudah pasti peranti ini mudah disimpan di dalam poket seluar mahupun beg tangan.

Sistem Operasi Nokia X yang dimiliki membolehkan peranti ini dimuatkan dengan sistem navigasi luar talian HERE Maps.

Berada di pasaran bermula pertengahan Mac, Nokia X diperkenalkan pada harga RM399 dengan empat pilihan warna iaitu hijau terang, putih, merah dan hitam.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Nokia X, boleh layari laman web www.nokia.com/about-nokia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Almy Nadia nikah 26 April ini

Posted: 21 Apr 2014 03:32 AM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 April - Pelakon Almy Nadia dan kekasihnya, Fizz Fairuz bakal menamatkan zaman bujang mereka, Sabtu ini dan bernikah di Masjid Balik Pulau, Pulau Pinang, selepas solat Asar.

Menurut Almy, setakat ini persiapan untuk majlisnya itu sudah hampir selesai.

"Kami akan bernikah pada 26 April ini selepas waktu Asar, di kampung saya.

"Setakat ini, memang tiada apa-apa lagi (yang hendak dilakukan) memandangkan persiapan saya sudah lakukan sejak dari awal," katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Ditanya perasaannya ketika ini, kata Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, sukar untuk dia berkongsi apa-apa memandangkan belum lagi bergelar isteri kepada Fizz.

"Belum rasa apa-apa lagi, mungkin selepas akad nikah itu saya akan kongsi perasaan saya.

"Majlis pernikahan ini memang untuk keluarga terdekat dan media sahaja," katanya. - UTUSAN ONLINE

Vanessa Mae dakwa ibu seorang yang keras

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

LONDON 20 April - Pemain biola terkenal, Vanessa Mae mendakwa ibunya menggunakan cara yang keras untuk mendisplinkan dirinya serta memperbaiki kesalahannya dalam latihan biola sejak kecil lagi.

Mae mendakwa ibunya, Pamela Tan Nicholson yang merupakan seorang pemain piano sering menampar serta menarik telinganya apabila dia melakukan kesalahan, selain memaksa dia meminta maaf, menurut laman web, MailOnline, baru-baru ini.

Mae yang kini berusia 35 tahun turut dihalang melakukan sebarang kerja selain berlatih bermain biola serta dilarang keluar rumah bersendirian sehingga dia mencapai umur 20 tahun, menurut laporan itu.

"Saya sering berada di hadapan beribu-ribu penonton konsert di atas pentas serta di kaca televisyen, tetapi saya tidak tahu melintas jalan sendiri.

"Saya juga tidak mengemas katil sendiri atau pergi ke kedai untuk membeli barang sendiri. Saya rasa saya terlalu dimanjakan kerana saya hanya dibenarkan bermain biola," katanya yang tidak menghubungi ibunya sejak hari lahirnya yang ke-21.

Namun, ketika Mae mewakili negaranya, Thailand dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk, baru-baru ini untuk acara ski, ibunya menghantar mesej ringkas mengucapkan selamat berjaya kepadanya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana kini saya boleh berdiri sendiri dalam karier saya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


MARDI sertai Riuh Sakan

Posted: 21 Apr 2014 12:05 AM PDT

Inovasi kelapa telur antara yang dijangka muncul pada Riuh Sakan.

Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Wilayah Persekutuan menganjurkan Fiesta Riuh Sakan selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Menurut kenyataan Unit Pengurusan Jenama Utusan Melayu (M) Berhad, fiesta tersebut merupakan rentetan dari kejayaan penganjurannya pada tahun lepas sebagai menghargai sokongan pembaca.

Fiesta ini yang menjanjikan pelbagai program riadah santai boleh disertai oleh semua golongan masyarakat.

Malah ia juga sebagai menyokong aspirasi kerajaan ke arah mewujudkan sebuah negara berbilang kaum yang harmoni dan turut mendukung aspirasi kerajaan dalam penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2014," kata kenyataan tersebut.

Pelbagai acara dan program telah dirancang sepanjang tiga hari itu yang boleh disertai segenap lapisan

masyarakat dalam usaha merapatkan hubungan antara penganjur dan pengunjung.

Yang menariknya, selain beberapa rakan strategik yang akan turut memeriahkan fiesta tersebut, seperti 100 Plus, Nescafe, ADABI, Prosboc, A Famosa, Lipton, Fair n Lovely, penyertaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dijangka mencuri tumpuan.

Menurut penganjur, penyertaan MARDI kali ini dijangka menarik lebih ramai pengunjung yang berminat kepada aktiviti berkaitan pertanian.

Penglibatan MARDI

1 Pameran Teknologi

Mempamerkan bagi teknologi MARDI yg telah dikomersialkan untuk makluman umum.

2 Jualan Buku Teknologi MARDI

Pusat Perkhidmatan Teknikal MARDI akan membuka gerai jualan buku-buku ilmiah mengenai teknologi dan kajian MARDI sepanjang lebih 40 tahun MARDI ditubuhkan.

3 Jualan Biji Benih Pokok Buah-Unit Biji Benih dan bahan tanaman MARDI akan membuat jualan anak pokok dan biji benih,,

4 Makan Sakan Bersama MARDI

MARDI akan membuat program Makan Sakan buah buahan untuk pengunjung.

5 Penglibatan MARDI dalam Rentap Xplorace

Ruang pameran MARDI akan menjadi checkpoint bagi peserta Xplorace Riuh Sakan yang memerlukan peserta menjawab soalan beberapa soalan berkaitan MARDI.

6 Usahawan Bimbingan MARDI

MARDI juga akan membawa usahawan bimbingan MARDI ke program Riuh Sakan. Selain dari berkongsi pengalaman dan tip, pengunjung juga berpeluang melihat produk keluaran usahawan bimbingan.

Dalam pada itu, Utusan turut menawarkan harga istimewa kepada pengunjung untuk pembelian semua produk terbitan syarikat berkenaan.

Setiap pembelian yang bernilai RM5 dan ke atas juga berpeluang untuk mendapat kupon cabutan bertuah yang sekali gus berpeluang memenangi produk eksklusif Kumpulan Utusan, barangan elektrik dan produk penaja.

Pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti penebusan kupon dengan hanya membawa sekurang-kurangnya dua keratan akhbar Utusan dan berpeluang mendapat produk eksklusif daripada Utusan. Penebusan boleh dibuat sepanjang fiesta berlangsung.

Best FM yang merupakan radio rasmi fiesta akan membawa khas DJ Best FM untuk turut sama beramah mesra bersama pengunjung sepanjang fiesta.

Lintas langsung di tapak fiesta juga diadakan bagi menambahkan warna-warni kepada fiesta yang dijangka akan dikunjungi lebih 10,000 orang.

Antara program

- Klik-klik Pose - Studio Utusan

- Pemeriksaan Kesihatan Percuma

- Kaunter JPJ

- Lukisan karikatur

- Paintball

- Bestnyer! - Aktiviti sampingan

- Lelong / Harga runtuh produk utusan

- Jom Karaoke! (Saringan)

- Pameran auto

- Penebusan kupon Kosmo / Utusan

- Permainan Supa Dupa/ Rumah Hantu

- Rentap Xtreme Xplorace

- Suka Suki Telematch

- Syok Abis! Jumpa Selebriti

- Norman Hakim dan Memey

- Konsert Riuh Sakan!

- Cabutan Utama Menang Sakan UOLS

- Lelong/ Harga Runtuh produk Utusan

- Pemeriksaan Kesihatan Percuma

- Lukisan Karikatur

Sebarang pertanyaan tentang aktiviti dan pertandingan, pengunjung boleh menghubungi 03-9232 4428 (Dino) / 4430 (Masz) / 4432 (Lieya) / 4426 (Mart)

Untuk keterangan Untuk keterangan lanjut sila hubungi: Hazura Ahmad HalilPenolong pengurus, Pengurusan Jenama Unit Pengurusan Jenama Utusan Melayu (M) Berhad, Tel: 03-9232 4439 / 019-312 6094 Faksimile: 03-9221 0204 E-mel: hazura.halil@utusan.com.my

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pusat aktiviti untuk belia kota

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) melakukan simbolik perasmian Karnival Mesra Belia 1Malaysia Kawasan Wangsa Maju 2014 di PPR Wangsa Sari, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 20 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membina sebuah tapak khas bagi aktiviti belia berdekatan pusat beli-belah KL Festival City di Setapak di sini yang dijangka siap pada tahun depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pembinaan tapak seluas 1.21 hektar itu amat penting bagi membendung belia daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah.

"Apabila belia tidak mempunyai tempat untuk bersantai dan mengadakan aktiviti yang sihat, berkemungkinan mereka akan dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab supaya terlibat dengan gejala negatif.

"Pembinaan pusat itu telah dimulakan sejak dua bulan lalu oleh DBKL dan ia akan menyediakan pelbagai kemudahan seperti padang dan trek untuk rekreasi serta dewan pelbagai guna," katanya selepas merasmikan Karnival Mesra Belia 1Malaysia Kawasan Wangsa Maju 2014 di Padang Awam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sadon Suraji; Pengerusi Majlis Belia Kawasan Wangsa Maju, Tee Kum Seng dan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Muhammad Ghazali Nor.

Sementara itu, Tengku Adnan memberitahu, karnival yang diadakan hari ini merupakan titik permulaan bagi warga kota medekati belia dan mengamalkan konsep wasatiyyah yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Inilah perkara yang kita diamalkan selama ini dan kerajaan memang ada menyediakan peruntukan bagi program-program seumpama ini supaya belia memahami konsep kesederhanaan.

"Saya berpuas hati dengan penganjuran karnival ini kerana melibatkan belia daripada pelbagai kaum dan agama sekali gus mengukuhkan lagi kesepakatan antara mereka yang bakal menerajui negara pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan turut menyampaikan tawaran unit baharu PPR tersebut kepada seorang penduduk, Ismail Mohamad, 38, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran pada 16 April lalu.

Syabas, MPKj bekerjasama

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

HULU LANGAT 20 April - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam menguruskan kerja-kerja membuka dan menutup kira-kira 125 injap paip bagi pelaksanaan pelan catuan bekalan air di kawasan ini.

Ketua Wilayah Syabas Hulu Langat, Abdul Halim Ishak berkata, langkah itu dapat meringankan beban pihak Syabas dalam menguruskan catuan berkenaan di kawasan terlibat.

"Kami mungkin menghadapi situasi kekurangan kakitangan untuk pergi ke lokasi berkenaan jika tidak mendapat kerjasama daripada pihak MPKj kerana catuan ini melibatkan banyak kawasan.

"Di wilayah ini sahaja terdapat 125 injap paip melibatkan 120,000 buah rumah dan pastinya keadaan tersebut memerlukan banyak tenaga pekerja bagi menjalankan tugas pengurusan injap berkenaan," katanya ketika melawat salah satu tangki air Syabas dan menunjukkan cara injap ditutup di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini baru-baru ini.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat kepada 80 petugas terdiri daripada kakitangan Syabas dan MPKj berhubung jadual catuan air.

Sementara itu, Abdul Halim memberitahu, setiap injap memerlukan lebih kurang 40 kali pusingan untuk dibuka atau ditutup yang menyebabkan pekerja harus sentiasa bersedia dari segi fizikal.

"Berikutan itu, setiap injap akan diuruskan oleh empat hingga lima petugas. Daripada 14 pasukan yang ditubuhkan, setiap kumpulan akan terlibat dengan lima atau sembilan injap," katanya.

Katanya, ada kejadian melibatkan penduduk yang cuba menghalang petugas daripada melakukan kerja tersebut dengan meletakkan kereta mereka berdekatan injap.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Tadbir Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Mohd. Alizam Ali memberitahu, pihaknya sentiasa sedia membantu dalam meringankan beban Syabas untuk menguruskan catuan air.

"Kami juga menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai isu air dan segala maklumat telah disalurkan terus kepada Syabas walaupun kami bukanlah pihak yang sepatutnya menangani perkara tersebut.

"MPKj akan sentiasa membantu dari segi kekuatan kakitangan dan setakat ini, lebih 30 anggota serta sembilan kenderaan dihantar untuk membantu Syabas melaksanakan operasi membuka dan menutup injap," katanya.

PM lancar pembangunan semula Razak Mansion hari ini

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 April - Sejarah bakal tercipta buat penghuni Perumahan Awam Razak Mansion di sini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Upacara Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Pengesahan Unit Rumah 1Razak Mansion hari ini.

Lebih manis, pembinaan Razak Mansion yang dimulakan pada 1963 itu dirasmikan sepenuhnya pada 1968 oleh bapa Najib yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Bermula bulan ini, kerja-kerja menaik taraf Razak Mansion yang juga dikenali sebagai Perumahan Awam Razak bagi projek pembangunan semula akan dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah merasmikan Majlis Cabutan Undi Bagi Unit Baharu Perumahan 1Razak Mansion bersama penduduk baru-baru ini.

Projek pembangunan semula yang menelan kos sebanyak RM150 juta itu memperkenalkan konsep penggantian unit kediaman one to one kepada penduduk dan akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pemaju dilantik oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.

Terdapat 685 unit sedia ada yang mempunyai satu bilik tidur dan dua bilik tidur, masing-masing berkeluasan 399 kaki persegi dan 504 kaki persegi dengan gantian unit rumah baharu yang memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air berkeluasan 800 kaki persegi.

Penggantian unit rumah adalah berdasarkan kepada dua kumpulan iaitu 557 pemilik yang mempunyai Perjanjian Jual Beli dengan DBKL dan 101 unit yang disewa dengan pihak berkuasa tempatan itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke Razak Mansion yang terletak di Salak Selatan dekat sini, hari ini mendapati, khemah untuk para tetamu telah siap didirikan selain petugas giat menjalankan kerja-kerja persiapan terakhir bagi majlis tersebut.

Pada masa sama, rata-rata penghuni rumah pangsa kedua yang dibangunkan oleh kerajaan itu menyambut baik dan tidak sabar menanti kedatangan Perdana Menteri untuk merasmikan upacara pecah tanah berkenaan.

Seorang penduduk, Ainee Mat, 65, yang merupakan penduduk generasi terawal di kawasan itu mengakui gembira dengan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membangunkan semula rumah pangsa terbabit.

"Rumah yang saya duduki sekarang agak sempit dengan kemudahan dua buah bilik berbanding rumah baharu nanti yang mempunyai tiga bilik yang lebih selesa apabila siap kelak.

"Selain itu, saya juga berharap kerajaan akan mewujudkan kemudahan Klinik 1Malaysia di sini memandangkan kebanyakan penduduk merupakan warga emas," katanya.

Anaknya, Jamaliah Latib, 28, pula berkata, dia bersyukur kerana kerajaan menaik taraf kediaman mereka sambil menyifatkan kebajikan penduduk tetap diutamakan.

"Saya berharap projek ini berjalan lancar dan sudah tentu kami tidak sabar untuk berpindah ke kediaman baharu yang lebih moden dan selesa," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Peniaga digesa jaya TMM 2014

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh Mohamed Saari
utusanjohor@utusan.com.my

Anuar Abdul Manap (tiga, kiri) bersama Abdul Aziz Siamin (dua dari kiri) dan Mohd. Amin Mukri (kiri) ketika melakukan tinjauan ke pasar malam Segamat Baru di Segamat, kelmarin. - UTUSAN/MOHAMED SAARI

SEGAMAT 20 April - Semua pihak termasuk peniaga pasar malam dan pasar minggu digesa memainkan peranan membantu usaha kerajaan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, kedua-dua pasar tersebut merupakan antara lokasi tumpuan masyarakat dan pelancong untuk melihat keunikan dan keistimewaan di sesuatu kawasan.

"Seharusnya semua peniaga di pasar malam dan pasar minggu mengutamakan aspek kebersihan kerana mereka secara tidak langsung merupakan duta kecil pelancongan negara.

"Peniaga harus memberi kerjasama dengan mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan sekali gus memberi gambaran yang baik terhadap negara dan negeri ini kepada pengunjung khususnya pelancong asing," katanya semasa melawat Pasar Malam Segamat Baru dekat sini semalam.

Yang turut serta Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Segamat, Abdul Aziz Siamin dan Pembantu Hal Ehwal Pengguna Daerah (PHEPD) Parlimen Sekijang, Mohd. Amin Mukri.

Sementara itu, Anuar turut menggesa semua pemilik gerai menyediakan sekurang-kurang-nya satu plastik khas untuk membolehkan orang ramai membuang sampah di tempat yang betul.

"Kalau boleh biarlah kita jadikan sebuah gerai ada satu plastik sampah sebagai amalan. Jika ini dapat dilakukan, mungkin pasar minggu dan pasar malam kita menjadi contoh kepada pihak lain dan paling bersih di negara ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, beberapa peniaga pasar malam turut diberi surat amaran kerana tidak meletakkan tanda harga pada barang jualan mereka.

"Kita akan keluarkan kompaun kepada mereka (peniaga) atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga barangan mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan 2011 dan mereka perlu membayar RM100 bagi kesalahan berkenaan," katanya sambil memberitahu pihaknya turut mengedarkan risalah tentang kegiatan anti gores dan menang.

Singapura model terbaik untuk berjaya - Hamim

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

LEDANG 20 April - Singapura adalah contoh terbaik untuk membangunkan negeri ini kerana berjaya muncul sebagai negara perindustrian terkemuka di rantau ini hasil daripada tenaga kerja yang berkualiti.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, negara jiran itu tidak mempunyai sumber semula jadi dan bahan mentah namun dasar pendidikannya berjaya melahirkan ramai pekerja mahir sekali gus mampu memenuhi tuntutan pelaburan asing.

"Kita boleh rujuk Singapura, mereka tidak mempunyai biji timah atau sumber minyak dan gas tetapi boleh berjaya sebagai sebuah negara kecil dengan mempunyai kekuatan ekonomi dan ukuran mata wang yang tinggi nilainya.

"Ini semua kerana mereka mempunyai modal insan yang sangat baik dan berpengetahuan tinggi," katanya semasa merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 anjuran UMNO Bahagian Ledang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar di sini semalam.

dalam majlis itu, seramai 123 pelajar terdiri daripada 55 pelajar cemerlang PMR, masing-masing 43 dan 25 pelajar SPM serta STPM menerima sijil dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM43,300.

Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata, Korea Selatan juga boleh dijadikan contoh kerana pencapaian negara itu sama seperti Singapura yang turut tidak mempunyai sumber asli tetapi ekonominya kukuh dan maju berasaskan perindustrian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Bantuan kewangan kepada waris MH370 diumum Khamis ini

Posted: 21 Apr 2014 02:24 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]KUALA LUMPUR 21 April - Kerajaan akan mengumumkan bantuan kewangan kepada waris penumpang MH370 selepas Jawatankuasa Waris Penumpang yang dipengerusikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin pulang...

MH192: MAS guna pesawat lain, terbang semula ke Bangalore

Posted: 21 Apr 2014 01:20 AM PDT

SEPANG 21 April - Penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH192 yang berpatah balik ke Kuala Lumpur awal pagi tadi kerana masalah teknikal telah berlepas semula ke Bangalore, India pada pukul 3.30 petang tadi.

Penumpang kelihatan ceria dan tidak nampak ketakutan untuk menaiki pesawat tersebut.

Beberapa orang penumpang yang ditemui turut menyuarakan keyakinan terhadap juruterbang dan krew penerbangan MAS. - UTUSAN ONLINE

TMJ ulangi gesaan FAM baiki mutu pengadilan Liga Malaysia

Posted: 21 Apr 2014 12:55 AM PDT

KUALA LUMPUR 21 April - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengulangi gesaan supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperbaiki mutu pengadilan Liga Malaysia yang dikatakan semakin merosot.

Baginda yang kecewa dengan kelemahan mutu pengadilan aksi Liga Perdana antara Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan UiTM FC pada Sabtu lalu, bagaimanapun menyelar tindakan pengurus pasukan JDT II, On Jabbar yang dikatakan bertindak menumbuk muka pengadil, Sukri Abdul Rahman selepas perlawanan berkenaan.

"Bagaimanapun, saya tetap menyebelahi beliau (On) dan mengakui akan sumbangan beliau kepada negeri dan PBNJ serta saya amat memahami akan kekecewaannya.

"Dari ini, seluruh negara dapat melihat betapa lemahnya mutu pengadilan yang berada di bawah pengurusan FAM. Pengadil ini merupakan pengadil yang sama yang terlibat dalam kontroversi (aksi Liga Super antara JDT) dengan pasukan Sarawak).

"Saya berharap bahawa kita dapat melihat peningkatan dalam mutu pengadilan untuk semua perlawanan pada masa akan datang supaya insiden seperti ini tidak berulang lagi," kata baginda sebagai dipetik daripada laman Facebook rasmi JDT, hari ini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor turut mencadangkan supaya FAM menubuhkan struktur pengadilan profesional sambil menawarkan kesediaan baginda sekiranya badan induk bola sepak kebangsaan itu kekurangan sumber untuk melaksanakan perkara berkenaan.

Pada perlawanan berkenaan, On dikatakan telah menumbuk muka Sukri selepas berang dengan beberapa keputusan yang disifatkan berat sebelah oleh Sukri selain menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong tuan rumah. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sukan lasak mampu jana ekonomi

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan beramah mesra dengan sebahagian peserta motocross ketika hadir merasmikan Kompleks Rekreasi Jeram Serting Ulu dan Jelajah Bukit Ular X-Trail Jempol di Jempol, semalam.- utusan/Abd. Razak Aid

JEMPOL 20 April - Sukan lasak mampu menjadi salah satu produk pelancongan sekiranya diuruskan dengan baik selain berupaya mempromosikan sesebuah kawasan dengan pendekatan yang berbeza.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masyarakat harus membuang tanggapan bahawa sukan lasak hanya boleh dijadikan sebagai hobi dan tidak mampu menjana ekonomi kepada sesebuah kawasan.

"Jika dijalankan dengan cara yang betul ia boleh mendatangkan keuntungan. Malah ramai penggemar sukan lasak mencari lokasi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut.

"Peluang untuk memajukan industri pelancongan berasaskan sukan perlu dijalankan dengan perancangan yang baik agar memenuhi permintaan penggemar sukan tersebut secara berterusan," katanya.

Mohamad berkata demkian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Rekreasi Jeram Serting Ulu dan Jelajah Bukit Ular X-Trail Jempol dekat Kompleks Rekreasi Jeram Serting Ulu dekat sini hari ini.

Dalam majlis tersebut seramai 275 peserta menyertai pertandingan motocross bagi menjelajah Bukit Ular X-Trail.

Sementara itu, Mohamad berkata, terdapat pelbagai pusat pelancongan di negeri ini yang menjadi tumpuan masyarakat bandar untuk menghabiskan cuti hujung minggu terutamanya di kawasan luar bandar

"Masyarakat di bandar lebih suka tinggal di dalam chalet atau tapak perkhemahan sekiranya datang bercuti ke kawasan luar bandar dan mereka lebih sukakan kelainan.

"Kita perlu bijak menguruskan pusat pelancongan tersebut agar dapat memenuhi citarasa pengunjung. Kita ada air terjun tetapi jika tiada kemudahan penginapan di kawasan jadi mereka kurang berminat untuk ke lokasi itu.

"Kawasan pelancongan harus mempunyai kemudahan asas seperti penginapan, sumber makanan dan keperluan asas yang mencukupi selain perlu dijaga dengan baik agar sentiasa bersih," katanya.

Cabaran lebih getir selepas alam persekolahan - Tuanku Muhriz

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

SEREMBAN 20 April - Para pelajar perlu membuat persediaan untuk berdepan dengan cabaran lebih getir di dalam dunia sebenar berbanding alam persekolahan yang telah ditempuhi sebelum ini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, kejayaan yang dicapai pada hari ini bukan satu noktah untuk segala-galanya.

''Sudah pasti di dalam perjalanan hidup ini, para pelajar akan menghadapi pelbagai dugaan serta ujian. Gunakanlah segala ilmu dan kebijaksanaan yang diperoleh sepanjang pengajian di sekolah sebagai pedoman.

"Ilmu yang diperoleh akan lebih bermanfaat seandainya digunakan untuk kebaikan kehidupan manusia sejagat. Berbaktilah menerusi kemahiran dan kedudukan pada masa akan datang dengan ilmu pengetahuan berguna yang telah dijana untuk terus membina dan membangunkan negara ini,'' titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian dalam majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Lima 2013 Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban (Saser) di sini semalam.

Berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaludin Said dan Pengetua Cemerlang Saser, Sabuddin Sani.

Tuanku Muhriz turut mengingatkan para pelajar agar menjaga nama baik ibu bapa, guru, sekolah dan tanahair serta menjauhi sikap sombong dan nilai-nilai negatif yang kelak akan memusnahkan diri.

"Contohilah resmi padi yang semakin berisi, semakin ia tunduk ke bumi. Beta juga suka mengingatkan agar kita terus memperteguhkan tunjang dan asas nilai tradisi yang positif. Nilai-nilai sosial yang baik mampu menjadi benteng yang utuh untuk masyarakat mendepani pelbagai cabaran dan gejala keruntuhan akhlak,'' titah baginda.

Baginda turut menyeru ibu bapa melaksanakan tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak-anak dengan nilai-nilai agama serta kekeluargaan dan menjadi teladan yang baik kepada anak masing-masing.

Dalam majlis itu, Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Anugerah Emas Tuanku Munawir dan Anugerah Khas Tertinggi kepada lima orang pelajar terbaik pilihan serta Anugerah Semua A kepada para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

Karnival Sekolah BSN dapat sambutan baik

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

SEREMBAN 20 April - Lebih 1,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan ibu bapa dari sekitar Seremban 2 berkunjung ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tung Hua bagi memeriahkan program Karnival Sekolah BSN 2014 di sini hari ini.

Program yang diadakan selama sehari bermula pukul 8 pagi itu merupakan inisiatif berterusan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membantu pihak sekolah meningkatkan dana melalui jualan amal dan aktiviti yang dijalankan.

Naib Presiden Kanan BSN, Fredrick Siew memberitahu, sebanyak RM10,000 telah ditaja oleh pihaknya bagi tujuan melancarkan perjalanan program sepanjang hari ini selain pertandingan bakat dan mewarna.

"Pihak BSN menaja RM5,000 untuk melaksanakan karnival yang diadakan dan selebihnya sebagai hadiah wang tunai pertandingan bakat dan mewarna yang kita adakan.

"Kesemua wang tunai untuk pertandingan itu akan dimasukkan ke dalam akuan BSN pemenang,'' katanya yang ditemui di sini hari ini.

Yang turut hadir pada program berkenaan Pengarah BSN negeri, Azman Abdul Aziz

Pada masa yang sama, Fredrick menjelaskan sambutan yang diterima menerusi penganjuran program ini cukup menggalakkan dan pihaknya percaya karnival seperti ini dapat membantu pihak sekolah dalam mengumpul dana.

Malah katanya, menerusi penganjuran program ini juga, BSN juga dapat memperkenalkan produk-produk perbankan termasuklah Sijil Simpanan Premium BSN kepada orang ramai dan berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan.

"Menerusi program ini juga kita di BSN pada masa yang sama sentiasa memberi penekanan untuk mendidik anak-anak memahami kepentingan menyimpan dan berjimat cermat.

"Kelab Penabung Muda (KPM) dan Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) adalah platform terbaik untuk anak-anak ini menyimpan wang kerana ia bukan sahaja memberi pulangan dalam bentuk dividen malah mempunyai insurans serta hadiah pertandingan yang lumayan,'' katanya.

Antara aktiviti yang diadakan pada karnival berkenaan termasuklah Pelepasan Motosikal Berkuasa Tinggi, Pertandingan Mewarna, Program Menderma Darah serta Pertandingan Bakat Kanak-Kanak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Petani digalak sertai ladang kontrak

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Ahmad Ishak (dua dari kanan) melawat ladang cili fertigasi di Ladang Kontrak Bagi Komoditi Cili Kulai di Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Paya Terendam, Sik, Kedah, semalam.

SIK 20 April - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan golongan petani menyertai program ladang kontrak yang turut menyediakan kemudahan memasarkan tanaman mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, program tersebut perlu disertai kerana ia mampu mengurangkan risiko pengusaha terbabit terutama berkaitan usaha memasarkan produk-produk mereka di pasaran.

"Melalui program ini, pasaran jualan petani lebih terjamin di samping ia dapat mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran melalui perancangan pengeluaran dan pemasaran bersistematik," katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerjanya di Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Paya Terendam, dekat sini hari ini.

Dalam majlis yang sama juga, Ahmad turut melawat ladang cili fertigasi yang dihasilkan melalui program ladang kontrak di Kampung Paya Terendam.

Selain itu kata beliau, program ladang kontrak ini juga boleh memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan mapan serta menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik.

Beliau turut menggesa agar petani dan peladang mengeluarkan produk yang memenuhi permintaan dan bukannya produk yang mereka minat.

"Petani perlu merancang pengeluaran hasilnya dengan pembeli untuk mengurangkan risiko apabila berhadapan dengan masalah pasaran," kata Ahmad.

Ladang cili fertigasi itu diusahakan oleh empat sahabat yang berkelulusan ijazah dan sarjana dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masing-masing berusia 51 tahun iaitu Mohd. Sahil Zabidi, Syed Azri Syed Azizi, Mohamad Suharni Mohd. Sohod dan Abdul Mawazir Ridzwan.

Mohd. Sahil berkata, program ladang kontrak ini memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka sehingga melebihi RM3,000 sebulan berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini cili dan hasil tanaman lain seperti labu dijual sendiri kepada pemborong-pemborong dan di sekitar pasar tani yang berhampiran dan hasil pendapatannya juga berkurangan.

"Tetapi kini kami boleh menghasilkan produk dengan lebih terancang dengan memastikan pengeluarannya memenuhi permintaan dan lebih sistematik," kata Mohd. Sahil yang menghasilkan penanaman cili jenis Cili Kulai 568 seluas tiga hektar bersama rakan-rakannya.

Perlis Sunshine dijangka capai keluaran 1,200 tan metrik

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

PADANG BESAR 20 April - Satu lagi produk mangga terkenal dari negeri ini, Perlis Sunshine yang menembusi pasaran Singapura dijangka mencapai hasil keluaran 1,200 tan metrik dengan anggaran nilai RM2.4 juta pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Ahmad Bakri Ali berkata, pihaknya yakin hasil Perlis Sunshine akan meningkat apabila lebih ramai peladang terlibat dalam Ladang Kontrak anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Penyertaan ini membolehkan peladang yang mengusahakan Perlis Sunshine menghasilkan buah lebih berkualiti serta menepati kehendak pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kontrak Jual Beli Mangga Perlis Sunshine antara FAMA dan Pengusaha Projek Ladang Kontrak Peringkat Negeri Perlis di Kebun Abdul Rahman Lebai Ayob di Kampung Baru Panggas, Chuping, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Asmaiza Ahmad.

Sebanyak 31 peladang terlibat dalam MoU ini membabitkan projek tanaman Perlis Sunshine di kawasan seluas 27.11 hektar.

Sementara itu, Ahmad Bakri berkata, pengurusan ladang yang rapi sebenarnya amat penting bagi mengeluarkan mangga antaranya proses membalut buah yang mengikut jadual.

Katanya, harga jualan Perlis Sunshine di ladang ialah RM2.30 sekilogram bagi yang menggunakan pembalut inovasi dan RM1.70 untuk buah yang tidak dibalut.

Bapa Exco Perak meninggal dunia

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

IPOH 20 April - Bapa kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria meninggal dunia di Appolo Medical Centre di Taiping dekat petang tadi.

Muhammad Amin berkata, bapanya, Zakaria Mat Zain, 77, meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang akibat serangan jantung.

"Meskipun telah berusia, ayah seorang yang aktif dan tidak pernah mengalami sebarang penyakit kronik. Dia cuma mengalami sakit tua dan mengambil ubat yang diberi doktor.

"Pagi semalam pun dia dalam keadaan baik. Tengah hari tadi saya juga sempat menemuinya dan makan bersama," katanya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Amin, kehilangannya arwah cukup dirasa bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga tetapi masyarakat kampung.

"Arwah juga salah seorang individu yang turut serta ketika Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz kemerdekaan di Dataran Merdeka dan ketika itu berusia 18 tahun," katanya.

Tambah Muhammad Amin, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 14, Batu Kurau kira-kira pukul 11 pagi esok.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak termasuk Muhammad Amin yang merupakan anak sulung.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved