Ahad, 22 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Helikopter Nuri mendarat cemas di Pulau Perak, Kedah

Posted: 22 Dec 2013 11:42 PM PST

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Sebuah helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan cemas ketika melakukan tugasan keselamatan di kawasan Pulau Perak, dekat Kedah, semalam.

Pendaratan cemas terpaksa dilakukan kerana helikopter itu mengalami masalah teknikal.

Tiga orang krew di dalam helikopter itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber TUDM ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan kejadian itu tetapi tidak menyatakan masa berlaku.

Katanya siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu akan dilakukan secepat mungkin. - BERNAMA

Suspek kes samun cuba rempuh polis, cedera ditembak

Posted: 22 Dec 2013 11:31 PM PST

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH 23 Dis. - Polis terpaksa melepaskan lapan das tembakan sehingga mencederakan seorang daripada dua suspek kes pecah rumah dan samun selepas mereka cuba merempuh anggota polis dengan kereta di Taman Desa Lawan Kuda, Gopeng di sini, malam tadi.

Kejadian pukul 10.30 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak melakukan rondaan Op Cantas Khas di daerah Gopeng dan menahan sebuah kereta Proton Persona dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Selamat tinggal Myanmar

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Persembahan bunga api pada upacara penutup Sukan SEA Myanmar 2013 di Stadium Utama Wunna Theikdi, semalam.

NAY PYI TAW - Setelah 16 hari berlangsung bermula 4 Disember dan dibuka secara rasmi 11 Disember lalu, Sukan SEA Myanmar ke-27 yang diadakan di Nay Pyi Taw dan Yangon akhirnya melabuhkan tirai, semalam.

Upacara penutupan telah disempurnakan dengan jayanya di Stadium Wunna Theikdi yang turut disaksikan 30,000 penonton oleh Naib Presiden Myanmar, U Nyan Tun sambil disajikan pelbagai upacara kebudayaan dan hiburan serta letupan bunga api.

Mempertandingkan 33 jenis sukan dengan pecahan 287 acara, kontinjen Thailand muncul juara keseluruhan apabila terlalu unggul dengan meraih 107 pingat emas, 94 perak dan 81 gangsa.

Hajat tuan rumah untuk muncul juara di tempat sendiri tidak kesampaian apabila menduduki tempat kedua dengan mendapat 86 pingat emas, 62 perak dan 85 gangsa sementara Vietnam di tangga ketiga, 73 emas, 86 perak dan 86 gangsa..

Malaysia menamatkan kempen di tangga kelima dengan memungut 43 pingat emas, 38 perak dan 77 gangsa di belakang Indonesia, 65 emas, 84 perak serta 111 gangsa.

Tempat keenam adalah pasukan Singapura, diikuti Filipina, Laos, Kemboja, Timor Leste dan Brunei.

Akuatik kekal menjadi lubuk emas kontinjen negara dengan 12 pingat berjaya dikaut, lapan dari acara terjun serta empat melalui acara renang dan karate juga tidak kurang hebatnya apabila meraih tujuh pingat emas.

Acara-acara sukan lain yang turut menyumbangkan emas buat negara adalah olahraga (4), ekuestrian (3), wusyu (3), memanah (2), muay (2), hoki (2), pelayaran (2), pencak silat (2), menembak (1), bina badan (1), snuker/billiard (1) dan badminton (1).

Atlet terjun negara, Ooi Tze Liang, muncul atlet terbaik negara dengan meraih tiga pingat emas.

Secara keseluruhan, tiada masalah sepanjang penganjuran di Sukan SEA Myanmar dengan kemudahan infrastruktur sukan yang disifatkan terbaik, malahan tidak keterlaluan boleh dianggap bertaraf dunia.

Berbanding dengan Indonesia dua tahun lalu, Sukan SEA kali ini dilihat lebih lancar dengan layanan yang cukup baik kepada atlet, pegawai dan media.

Singapura bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA ke-28 yang akan dianjurkan pada tahun 2015.

Tempat keempat, tidak berbaloi

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Kegagalan Harimau Muda mempertahankan gelaran Sukan SEA, malah kempunan sebarang pingat di Nay Pyi Taw, kelmarin, bagaikan tidak berbaloi dengan segala pelaburan mahal dan persediaan rapi yang diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat mereka.

Dua bekas jurulatih negara, B. Sathianathan dan Wan Jamak Wan Hassan turut meragui soal konsistensi anak buah Datuk Ong Kim Swee sekali gus membuktikan Malaysia belum boleh mendabik dada merekalah raja bola sepak Asia Tenggara seperti Sukan SEA Laos 2009 dan Indonesia 2011.

"Saya lihat empat pasukan separuh akhir Sukan SEA kali ini setaraf, tetapi pasukan kita pula yang tidak konsisten dan tuah tidak menyebelahi kita (kalah penalti 3-4 dengan Indonesia di separuh akhir). Saya 'keberatan' untuk katakan kita raja Asia Tenggara selagi tidak konsisten pertahankan pingat emas.

"Bagi saya jika hadir sebagai juara bertahan tetapi akhirnya, pulang tanpa pingat itu satu kegagalan," kata Sathianathan, jurulatih Angkatan Tentera kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas pencapaian tempat keempat Harimau Muda selepas tunduk 2-1 kepada Singapura pada penentuan gangsa, kelmarin.

Wan Jamak, yang kini merupakan jurulatih PKNS dan bekas pengendali Malaysia dari 1996 hingga 1997, turut sependapat dengan rakan sejawatannya berhubung tuah yang menafikan kemaraan barisan muda negara, Khamis lalu sekali gus kempunan walau sebutir gangsa pun sebagai sagu hati temasya ke-27 itu.

"Dengan persediaan mereka ke Sukan SEA yang memang hebat sebelumnya (dihantar bagi siri persahabatan di Slovakia, Mac hingga Julai lalu) dan juara Pestabola Merdeka, September lalu, sepatutnya pencapaian di Nay Pyi Taw itu juga lebih baik (daripada tempat keempat).

"Malah jika kegagalan itu dikaitkan dengan faktor kehilangan ramai tonggak (antaranya Gary Steven Robbat, Syahrul Azwari Ibrahim, Wan Zack Haikal Wan Nor, Junior Eldstal dan Wan Zaharulnizam Zakaria), alasan tersebut bukanlah sesuatu yang baik," kata anggota skuad yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 itu.

Sathianathan dan Wan Jamak seterusnya menyarankan supaya lebih banyak usaha dilipatgandakan oleh skuad bawah 23 tahun itu selepas ini terutamanya bagi menghadapi Sukan Asia Incheon, September tahun depan yang tahap persaingannya jauh lebih tinggi.

Temasya itu turut membenarkan khidmat tiga pemain lebih umur, namun Kim Swee perlu mencapai tanda aras pencapaian baharu selepas Datuk K. Rajagobal membawa anak buahnya dari tempat ketiga Kumpulan A ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou 2010 sebelum ditewaskan Iran 3-1.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Santa Fe lambang kekuatan

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Reka bentuk Santa Fe menampilkan imej Hyundai sebelum ini iaitu menggabungkan gril enam segi (heksagon) dengan bahagian hadapan yang sporty.

SECARA umumnya, memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz besar, memerlukan pemandu memahami perwatakan SUV. Lazimnya SUV tidak sama reaksi dengan kereta sedan.

Lebih-lebih lagi SUV menggunakan enjin diesel. Ada rasa berat, perlu bersabar menanti daya kilas dan kena faham saiz besar. Semua itu berlegar di kepala semasa mula-mula memasuki Hyundai Santa Fe. Pengalaman memiliki trak pikap dan SUV memberi pengajaran.

Selepas keluar ke jalan besar, saya mula memecut dan serentak itu dapat dirasai SUV ini memberi respons yang begitu bagus. Tiada susah-payah. Tiada perlu memaksa menekan pedal minyak. Malah, respons enjin 2.2 liter Santa Fe ini bagaikan serupa dengan sebuah kereta.

Santa Fe menawarkan dua pilihan enjin iaitu R2.2E-VGT versi diesel dan Theta ll 2.4 MPI versi petrol.

Enjin diesel R2.2VGT mempunyai 197 kuasa kuda (hp) pada 3,800 rpm sehingga 436Nm kilasan tenaga pada 1,800 hingga 2,500 rpm, manakala Theta ll 2.4 MPI menghasilkan 176 kuasa kuda pada 6,000 rpm sehingga 226Nm kilasan tenaga pada 3,750 rpm.

Semua enjin Santa Fe dipasang transmisi enam kelajuan automatik bersama SHIFTRONIC - kawalan manual. Santa Fe ini dianggap SUV bersaiz besar kerana ia menawarkan tujuh tempat duduk.

Reka bentuk Santa Fe menampilkan imej Hyundai sebelum ini iaitu menggabungkan gril enam segi (heksagon); bahagian hadapan 'sporty'; bumbung panorama yang luas; lampu tinggi HID dan LED di spoiler belakang dengan lampu henti berbingkai tinggi - yang seterusnya memberikan imej SUV yang maskulin.

Model terbaru ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti ESP (Electronic Stability Programme), VSM (Vehicle Stability Management), HAC (Hillstart Assist Control), TCS (Traction Control System), DBC (Downhill Brake Control) and BAS (Brake Assist System). Ciri lain yang menyeronokkan pemiliknya ialah Smart Key & Engine Start/Stop button, Cruise Control, Rain Sensors, dua pendingin udara automatik sepenuhnya dan sistem Electronic Parking Brake.

Satu ciri unik Santa Fe ialah perakam video Pemanduan Selamat iaitu alat kamera yang diletak di hadapan cermin depan untuk merakam perjalanan. Andai berlaku kemalangan atau rompakan, rakaman video ini boleh membantu. Kamera ini menggunakan kad memori dan data filemnya boleh dimuat naik ke komputer.

Satu lagi ciri ialah Flex Steer, yang mengawal berat dan rasa kemudi roda (steering wheel) yang didatangkan dalam tiga mod iaitu Comfort, Normal and Sport.

Pembeli Santa Fe juga akan menerima Kad Pemimpin (The Leader Card) yang memberikan mereka akses kepada perkhidmatan premium dan gaya hidup.

Ini merangkumi kadar istimewa di hotel dan restoran terpilih, perkhidmatan 5 bintang dari pusat 3S Hyundai dan juga pusat pakar penjagaan kesihatan. Pakej ini lazimnya ditawarkan pada kenderaan sangat mewah dan bukan pada paras harga ditawarkan oleh Santa Fe.

Untuk setiap enjin, HSDM menawarkan 2 jenis varian iaitu spesifikasi rendah Elegance dan spesifikasi tinggi Executive Plus. Harga 2013 Hyundai Santa Fe bermula daripada RM163,888 sehingga RM189,888.

Volkswagen Kombi tinggal sejarah

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

Susunan ZUHAYATI YAZID

Peminat kereta Volkswagen berkumpul dengan kereta masing-masing ketika Festival Volkswagen diadakan berhampiran bandar Leeds, baru-baru ini. - AGENSI

SEPANJANG tempoh 63 tahun lalu, kenderaan Volkswagen jenis Kombi bebas bergerak di jalan untuk membawa keluarga, selain digunakan sebagai pengangkutan untuk menghantar barangan.

Riwayat kereta Volkswagen jenis Kombi kini bagaimanapun telah sampai ke penghujungnya.

Pengeluaran kenderaan ikonik ini terpaksa ditamatkan ekoran halangan undang-undang persekitaran.

Pengeluaran Kombi di negara asalnya Jerman dihentikan pada 1979 kerana kenderaan tersebut tidak memenuhi keperluan keselamatan di Eropah.

Brazil adalah satu-satunya negara yang masih mengeluarkan model istimewa ini yang diperkenalkan di Jerman pada 1950.

Mulai 20 Disember ini, pengeluaran Kombi akan dihentikan sama sekali ekoran peraturan baharu keselamatan berkuat kuasa tahun depan yang menetapkan setiap kenderaan mesti mempunyai beg udara dan kunci keselamatan.

Sebagai tanda selamat jalan, Volkswagen menawarkan versi akhir jenis Kombi secara terhad kepada pembeli dan juga pengumpul kenderaan.

Sebanyak 1,200 buah model terakhir Kombi bakal dikeluarkan yang akan dijual pada harga anggaran AS$43,000 (RM136,000) seunit.

Minggu lalu, peminat yang bersedih dengan penamatan pengeluaran kereta Volkswagen Kombi mengunjungi pameran di Sao Bernado do Campo, Brazil untuk memberi penghormatan terakhir kepada kenderaan unik tersebut.

Secara keseluruhan lebih 10 juta kenderaan itu dihasilkan di seluruh dunia dengan 1.5 juta daripadanya dihasilkan di Brazil sejak 1957.

Selain Kombi, Volkswagen (VW) Type 2 juga akan ditawarkan buat kali terakhir kepada pengguna.

Sejak dahulu lagi, pengguna menggelarkan Type 2 dengan pelbagai nama termasuklah van mini, van mikro, van hipi dan juga bas.

Di Britain dan Amerika Syarikat (AS) pada 1960-an dan 1970-an, sebahagian kenderaan ini dijual pada harga murah kerana dikaitkan dengan budaya orang muda.

Sehingga kini, Kombi masih diminati ramai dan buktinya setiap tahun Festival Volkswagen diadakan berhampiran bandar Leeds bagi mengumpulkan peminat kenderaan ikonik tersebut.

Ia turut menjadi pilihan aktor Martin Clunes, yang memiliki dua buah kenderaan tersebut yang dikeluarkan pada 1977.

Di Brazil, penggunaan Kombi hanya terhad sebagai kenderaan perkhidmatan pos dan juga digunakan oleh tentera sebagai pengangkutan.

Penduduk Brazil juga kreatif dengan cara tersendiri apabila menukarkan ruang dalam van kepada tempat makan untuk pekerja menikmati hidangan tengah hari.- AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Isu mengintip: Israel minta penjelasan Amerika Syarikat

Posted: 22 Dec 2013 03:05 PM PST

TEL AVIV 23 Dis. - Israel semalam meminta Washington supaya menjelaskan tentang pendedahan berhubung pemantauan emel pegawai kanan Israel termasuk bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut maklumat terbaharu yang dibocorkan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA), Edward J Snowden dan dikongsi oleh akhbar The New York Times, The Guardian dan Der Spiegel, agensi risikan AS dan sekutunya dari Britain, GCHQ mengintip sebanyak lebih 1,000 sasaran termasuk pegawai Israel.

Menteri Risikan Israel, Yuval Steinitz semalam menganggap perbuatan mencuri dengar perbualan ke atas Perdana Menteri Israel adalah `tidak sah sedangkan Israel tidak mencuri dengar perbualan Presiden AS, White House mahupun Setiausaha Pertahanan Amerika. - DPA

Isu diplomat: India tingkatkan tekanan ke atas Amerika

Posted: 22 Dec 2013 03:02 PM PST

NEW DELHI 23 Dis. - India terus meningkatkan tekanannya ke atas Amerika Syarikat (AS), semalam berhubung kegemparan penahanan dan arahan menanggalkan pakaian membabitkan satu daripada diplomat wanitanya di New York, baru-baru ini.

Menteri Luar India, Salman Khurshid sedang berusaha untuk mengurangkan masalah itu dengan menyifatkan kemelut tersebut tidak sepatutnya dibenarkan untuk merosakkan hubungan berharga" antara kedua negara.

Mereka (AS) perlu melakukan sesuatu. Menyambut baik (keputusan) tidak cukup," katanya kepada agensi berita India, Press Trust. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Mesti kuasai teknologi, modal

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Dr Jamaluddin Jarjis berucap merasmikan Seminar Isu-Isu Perniagaan Global anjuran pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara Pahang di Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 22 Dis. - Usahawan bumiputera disaran meningkatkan perniagaan masing-masing dengan menguasai teknologi dan modal agar mampu bersaing sehingga ke peringkat global.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Mohd. Jarjis berkata, persaingan dalam dunia perniagaan menuntut para peniaga terutama usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk lebih kreatif dan inovasi dalam usaha memasarkan produk masing-masing.

"Industri perniagaan masa kini boleh dijadikan sebagai pengukur atau penanda aras agar produk yang dijual bukan sahaja memenuhi permintaan di dalam negara tetapi relevan untuk menembusi pasaran luar.

"Oleh yang demikian, kita harus mencari satu mekanisme baharu dalam usaha membantu usahawan bumiputera agar mereka seiring dengan kemajuan dan arus pembangunan serta pengembangan teknologi," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Isu-Isu Perniagaan Global anjuran pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang di sebuah hotel di sini hari ini.

Selain kerajaan katanya, pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat atau agensi berkaitan juga perlu memainkan peranan seperti memberi ruang dan peluang kepada para peniaga terutama usahawan IKS.

Sementara itu, Koordinator Komunikasi Korporat UiTM Pahang, Muhammad Azmi Abdul Razak berkata, seminar yang diadakan merupakan salah satu daripada platform pelajar jurusan tersebut untuk mengetahui masalah dalam kalangan usahawan IKS dan bersama-sama membantu menyelesaikan masalah tersebut.

"Seminar ini memberi gambaran jelas kepada pelajar untuk memahami permasalahan pengusaha IKS dan dalam masa yang sama memberi pendapat serta penyelesaian terbaik terhadap isu yang dibangkitkan.

"Kita memahami semakin moden sesebuah negara itu, akan timbul isu-isu baru dalam bidang perniagaan dan diharapkan agar pendedahan yang dibuat dapat membantu, akhirnya memberi ruang kepada peniaga IKS mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Terdahulu seramai 30 usahawan IKS dari pelbagai sektor perniagaan hadir menyertai seminar yang berlangsung selama sehari itu.

100 pelatih SL1M bantu cuci SK Sungai Isap

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Pelatih SLIM-TH membantu warga SK Sungai Isap membersihkan kawasan persekitaran sekolah dan bilik darjah program pembersihan anjuran Lembaga Tabung Haji di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 22 Dis. - Sebanyak 100 pelatih Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) Tabung Haji (TH) terlibat bergotong-royong mencuci Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap di sini semalam.

SK Sungai Isap antara beberapa sekolah di daerah ini yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini awal bulan ini.

Penglibatan pelatih SL1M-TH dalam gotong-royong itu merupakan sebahagian daripada program khidmat komuniti yang dilaksanakan di bawah skim latihan berkenaan.

Yang turut hadir Pengurus Jabatan Sumber Manusia TH, Mohamad Zaini Hassan.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata, ekoran banjir yang buruk baru-baru ini, TH terpanggil menghulurkan tenaga sukarelawan bagi membantu mangsa.

"Peluang ini juga dapat memberi pendedahan kepada pelatih SL1M-TH dengan kerja-kerja kesukarelaan dan TH negeri memilih SK Sungai Isap memandangkan sekolah itu antara yang terjejas teruk," ujarnya.

Sementara itu, beliau mempelawa lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih mencari pekerjaan untuk menjalani SL1M-TH bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.

"Kami ingin menjadikan seorang pelatih itu bukan sahaja keluar menjadi profesional tetapi mampu tampil menjadi imam, boleh menguruskan jenazah dan sebagainya," jelasnya.

Kata Mohamad Zaini, melalui pelbagai latihan yang dikemas kini TH, pelatih mampu meningkatkan kemahiran mereka untuk mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan serta dilengkapi dengan pengetahuan dalam agama Islam.

"TH yakin sebagai sebuah organisasi Islam, kami dapat membentuk seorang profesional yang juga boleh menguruskan hal berkaitan agama dan ini ternyata berbeza dengan mana-mana agensi yang turut menawarkan skim latihan yang sama," jelasnya.

599 masjid dapat surat hak milik tahun depan

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

MARAN 22 Dis. - Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip) bersetuju supaya 599 buah masjid di negeri ini diberi suratan hak milik tahun hadapan.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, suratan hakmilik atas nama MUIP itu sebagai jaminan tapak masjid itu kekal sebagai rumah ibadat umat Islam untuk selama-selamanya.

Menurutnya, tapak masjid sekarang tiada bergeran malah ada yang berstatus tanah wakaf yang boleh dituntut oleh waris yang berhak.

"Muip dengan persetujuan Kerajaan Pahang akan memulakan langkah dan prosedur untuk mendapat suratan hak milik dengan premium yang paling minimum.

"Muip menjangkakan usaha mendapat geran tanah bagi tapak masjid di setiap daerah di negeri ini tiada masalah kerana Pejabat Tanah dan Daerah komited membantu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian Kursus Peningkatan Profesionalisme Bilal dan Siak masjid kariah negeri Pahang dan majlis penyampaian sagu hati kepada pegawai masjid daerah Chenor di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, usaha serupa untuk mendapat geran bagi 1,435 tapak surau juga akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat setelah mendapat persetujuan semua pihak.

Katanya, menjadikan tapak masjid milik Muip melalui dokumen rasmi dalam bentuk suratan hakmilik itu akan melancarkan lagi program dakwah Islamiah di negeri ini.

"Masjid adalah satu institusi ibadat untuk orang Islam yang perlu dipelihara kesuciannya daripada unsur pecah-belah dan penyebaran fahaman salah dan lain-lain," katanya.

Tegas beliau, jawatankuasa masjid yang dilantik berhak menghalang mana-mana kumpulan atau individu mengadakan ceramah tanpa kebenaran Muip di masjid.

Beliau turut meminta jawatankuasa masjid memberi fokus terhadap soal menjaga kebersihan dan keceriaan masjid kerana faktor ini mampu mempengaruhi ahli kariah ke masjid.

Katanya, masjid yang bersih, indah dan ceria dapat menarik pelbagai golongan khususnya generasi muda untuk ke masjid tanpa paksaan ibu bapa.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jangan lagi bertolak-ansur

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Beberapa lelaki yang menyertai perhimpunan haram Bersih bertindak berani menendang bekas gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pihak berkuasa bagi menyuraikan mereka di hadapan Stesen Putra LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Julai 2011. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

HARAPAN untuk melihat arena politik negara pada tahun 2014 jauh daripada demonstrasi jalanan mungkin tidak akan kesampaian, ia memandangkan awal-awal lagi ada pihak yang begitu 'galak' membuat seruan melalui laman-laman sosial agar rakyat turun ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan.

Berdasarkan salah satu laman sosial yang menggalakkan perbuatan tidak waras tersebut, pemilik akaun Facebook itu mahu rakyat turun di jalanan dan merusuh pada 31 Disember ini bagi membuktikan rakyat lebih berkuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang dianggap zalim dan bersikap Yahudi.

Dalam masa sama, ada ura-ura pakatan pembangkang pula akan meneruskan agenda politik songsang mereka iaitu untuk melancarkan Bersih 4.0. Tidak perlulah kita jelaskan secara terperinci kenapa demonstrasi itu mahu diadakan, ia pastinya berkaitan dengan pilihan raya yang kononnya mereka mahu ia dijalankan secara adil, bersih dan bebas.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu pembangkang juga pada awalnya menolak keputusan yang menyebelahi BN dan mengugut tidak akan mengangkat sumpah Ahli Parlimen biar pun mengiktiraf kemenangan mereka mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Tetapi semua itu omong kosong, seperti biasa pembangkang cakap tak serupa bikin, ketika beratus-ratus penyokong mereka diperbodohkan untuk turun ke jalanan dan sanggup berkhemah di Padang Merbok, pemimpin-pemimpin pembangkang pula mengangkat sumpah di Parlimen.

Dan kali ini, penyokong-penyokong pembangkang akan terus diperbodohkan apabila mereka diseru turun ke jalanan untuk menuntut sebuah pilihan raya bebas.

Bagaimanapun kita tidak mahu mengaitkan pembangkang dengan seruan supaya kerajaan digulingkan melalui demonstrasi jalanan kerana setakat ini tidak nampak secara jelas pembangkang terlibat.

Seruan untuk melakukan revolusi itu mungkin dilakukan oleh puak-puak yang semakin cetek akal atau sudah tiada modal lain bagi mencari publisiti memburukkan kerajaan. Justeru mereka membuat seruan sedemikian bagi mendapat perhatian dan bijak memilih tarikh dan tempat iaitu Dataran Merdeka pada malam tahun baru yang pastinya menjadi tumpuan ramai.

Namun kita percaya, rakyat Malaysia tidaklah sebodoh mereka atau mudah diperbodohkan seperti mana penyokong-penyokong tegar pembangkang yang sanggup berbuat apa sahaja kononnya atas nama keadilan dan kebebasan bersuara.

Majoriti rakyat Malaysia mahu menyambut 2014 dengan kegembiraan, kesyukuran dan ketenangan. Mereka tidak mahu negara ini menjadi huru-hara seperti mana apa yang sedang berlaku di Thailand sekarang.

Mungkin ada tindakan kerajaan yang mereka tidak puas hati tetapi mengadakan demonstrasi jalanan bukanlah jalan penyelesaian sebaliknya hanya akan menjemput mala petaka kepada negara ini. Oleh itu, kepercayaan harus diberikan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak kepada mana-mana juga kumpulan yang cuba menimbulkan anarkis.

Tambahan pula, kita tidak harus membiarkan ada rakyat negara ini begitu mudah diperbodohkan termasuklah menyahut seruan supaya memakai topeng wajah Guy Fawkers. Sudah pastilah yang paling ramai akan berbuat demikian ialah anak-anak Melayu yang beragama Islam.

Mereka ini adalah kelompok yang tahu mengikut sahaja tanpa mengetahui maksud dan kesan tindakan mereka. Contohnya, tidakkah mereka bertanya kenapakah topeng wajah Guy Fawkers dipilih? Siapakah Guy Fawkers? Untuk rekod, Guy Fawkers adalah seorang anggota kumpulan wilayah English Katolik yang merancang Gunpowder Plot pada tahun 1605 dalam usaha membunuh Raja James 1 dan mengembalikan takhta kepada ketuanan Katolik.

Terpulanglah kepada masing-masing untuk mencari kesudahan perjuangan songsang Guy Fawkers. Kalau puak anti kerajaan begitu bijak menggunakan laman sosial menyebarkan dakyah, takkanlah untuk mengkaji sejarah Guy Fawkers tidak mampu?

Tetapi kita percaya cakaplah apa sahaja sama ada tindakan mereka betul atau tidak, salah atau benar, puak-puak yang semakin seronok berdemonstrasi ini tidak akan mempedulikan itu semua. Apa yang penting ialah melepaskan geram kepada kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Sebab itulah, masanya sudah tiba untuk pihak berkuasa khususnya PDRM bertindak tegas kepada puak-puak ini. Cukup-cukuplah bertoleransi. Selama ini pun bila PDRM bertolak ansur ia bukannya dibalas dengan pujian, sebaliknya pasukan itu dimaki hamun dengan pelbagai gelaran.

Kalau hendak bercakap soal hak asasi, bagaimana pula dengan jutaan rakyat Malaysia lain yang tidak turun berdemonstrasi? Di manakah hak asasi mereka apabila akibat tindakan segelintir golongan yang cetek akal, rakyat tidak berdosa terpaksa merasai kesan khususnya dari segi ekonomi?

Kepada pakatan pembangkang pula, kita tidak harus membuang masa untuk menasihatkan mereka supaya tidak turun ke jalanan kerana mereka tidak akan mempedulikan seruan seumpama itu. Mereka seronok dan gembira kalau semakin ramai orang menyertai demonstrasi mereka.

Apatah lagi ia dianggap cara terbaik selepas segala fitnah, tohmahan dan propaganda mereka untuk melihat rakyat menolak BN dalam PRU lalu memenuhi jalan buntu. Berikutan itu, politik jalanan terus menjadi pilihan utama pakatan pembangkang bagi meraih sokongan dan membangkitkan momentum penyokong mereka untuk membenci kerajaan.

Namun percayalah, usaha itu tidak akan ke mana kerana majoriti rakyat tidak akan bersedia menggadaikan segala apa yang mereka menikmati sekarang khususnya dari segi ketenteraman dan kestabilan.

Kalau pakatan pembangkang merasakan mereka hebat dan jauh lebih baik daripada kerajaan BN kenapakah tidak menanti pilihan raya sahaja bagi membentangkan visi dan misi mereka? Kenapa memilih jalanan untuk meraih sokongan?

Hakikatnya, kita sudah bosan dengan mainan politik pembangkang. Mereka bukannya bersama-sama membantu kerajaan menguruskan negara, sebaliknya segalanya dilakukan berasaskan kepada pertimbangan bagi meraih politik kekuasaan.

Justeru tidak perlu lagi ada soal tolak ansur dalam menangani kerenah politik pembangkang ini. Jika mereka bersedia memilih jalanan untuk tujuan politik mereka, maka mereka juga perlu bersedia menerima akibat daripada tindakan itu.

Kembalikah MCA dalam Kabinet?

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Liow Tiong Lai (kanan) dan We Ka Siong dijulang oleh penyokong mereka sebaik sahaja diumumkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden MCA yang baru dalam perhimpunan Agung MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur, kelmarin.

PEMILIHAN Presiden MCA kelmarin berjalan lancar. Tiada pengiraan semula dilakukan.

Semua berpuas hati dengan para pemenangnya.

Ternyata perwakilan dan ahli MCA tidak mahu lagi yang 'bekas' sebagai calon pilihan mereka. Sebab itu, Datuk Seri Ong Tee Keat kalah teruk, cuma mendapat 160 undi daripada keseluruhan 2,332 perwakilan.

Di sebalik itu, akhbar ini difahamkan, seorang lagi pesaing, Gan Ping Sieu pula dianggap oleh perwakilan masih 'mentah' dan belum boleh lagi 'dinaikkan'.

Jadi, pilihannya adalah Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dikatakan, imej Tiong Lai memuncak sejak beliau 'bergasak' dengan Presiden sebelum ini, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Kemenangan moral atau kemenangan awal diraih Tiong Lai ternampak awal lagi apabila kira-kira 62 peratus perwakilan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 20 Oktober lalu menolak resolusi mencela Tiong Lai kerana tidak menghormati keputusan Majlis Presiden dan Jawatankuasa Pusat (CC), sekali gus mengelakkannya daripada dikenakan kecaman.

Seramai 1,190 perwakilan juga tidak bersetuju dengan resolusi pertama yang menganggap Ahli Parlimen Bentong itu gagal menjalankan tugas sebagai Pengerusi

Jawatankuasa Persiapan Pilihan Raya Umum lalu, yang mengakibatkan MCA dimalukan oleh DAP.

Kelmarin, daripada komen para perwakilan yang mengundi jawatan nombor satu, penulis dimaklumkan oleh mereka bahawa 'inilah dia (Tiong Lai)' pemimpin MCA yang dicari-cari untuk menyembuhkan luka parah yang dialami parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu yang ditolak mentah-mentah oleh pengundi Cina dalam pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lalu.

"Sebelum bertanding ke jawatan ini, beliau telah menunjukkan taringnya dari dalam lagi dengan menentang Soi Lek. Ia, dakwa perwakilan itu, mirip seperti mana

'DAP yang melawan tidak kira parti mana sekali pun termasuk UMNO untuk survival politik parti itu'.

"Kami percaya Tiong Lai boleh membersihkan imej MCA dalam kalangan masyarakat Cina dan seterusnya untuk kami (MCA) mendapat kembali tempat dalam hati orang Cina dalam pilihan raya umum ke-14," kata perwakilan itu yang enggan namanya disiarkan.

Sebenarnya dalam pengamatan ramai dan kalangan pemerhati maklum bahawa selama ini pun MCA cuma menghadapi masalah imej kepimpinan. Jika itu dapat diselesaikan, maka tidak banyak isu lain yang dihadapi oleh parti itu.

Dan dipercayai isu kepemimpinan parti itu secara atas kertas sudah 'settle' kelmarin apabila Tiong Lai dipilih menerajuinya.

Sebagai sebuah parti yang telah begitu banyak jasanya kepada negara khususnya kaum Cina selama ini, MCA tidak perlu gusar kerana usaha untuk menggamit kembali sokongan masyarakat Cina itu diyakini akan melalui satu persatu terowongnya.

Berbanding DAP, kaum Cina telah banyak mendapat jasa dari MCA khususnya dalam bidang ekonomi dan lebih-lebih lagi dalam penyediaan kemudahan pendidikan kepada rakyat dan kaum Cina khususnya.

Cuma, prestasi MCA mula menurun dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lagi kerana dianggap sebagai parti yang terlalu 'subservient' kepada UMNO - rakan kongsi terbesarnya dalam BN. Dikatakan MCA telah menjadi mangsa keadaan kerana masalah kelemahan dalam kepimpinan UMNO sendiri ketika itu.

Dalam kalangan kaum Cina, penulis difahamkan, rata-rata mereka mahukan MCA bergerak di atas kaki sendiri walaupun bertapak atas platform BN. MCA kata mereka, perlu memperlihatkan 'vibrancy'nya sebagai parti yang masih mempunyai kuku dalam kerajaan.

"Menumpang atas kekuatan UMNO sudah agak payah kerana UMNO masih lagi dalam pencarian.

"Atas sebab ini sekiranya MCA dapat menyelesaikan masalahnya, maka sebahagian besar dari masalah kepimpinan dalam BN itu akan dapat diselesaikan," kata seorang lagi perwakilan MCA kepada penulis.

Cuma tanggungjawab pertama Tiong Lai sekarang adalah mengembalikan kedudukan MCA dalam Kabinet. Tanpa suara dalam Jemaah Menteri, langkah pertama Tiong Lai untuk mentransformasikan MCA dalam empat tahun ini pasti agak sukar. Sekurang-kurangnya dengan menempatkan diri dalam portfolio Menteri Pengangkutan yang kini disandang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, MCA setidak-tidaknya ada aura menterinya ketika turun padang menemui rakyat khususnya pengundi Cina.

Cuma, keputusan undian EGM 20 Oktober lalu perlu di'perbetulkan' semula. Ini berikutan resolusi kedua dalam EGM itu ditolak apabila perwakilan tidak bersetuju untuk membatalkan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan MCA pada 2011 dan tahun lalu.

Ia bagi membolehkan parti itu menerima jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan jawatan Kabinet lain apabila 1,090 perwakilan mengundi tidak bersetuju manakala 1,080 bersetuju.

Akan kembalikah MCA menganggotai Kabinet?

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Jaga nama baik

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

MELEWATI hari-hari dengan penuh rasa syukur, tidak ada siapa yang dapat membayangkan gelodak di hati wanita ini. Cukup berhati-hati dalam karier seninya, Erin Malek tidak mahu mengulang kesilapan lalu. Sikap panas baran dan beremosi melalui setiap cerita panas kini ditolak jauh-jauh.

Dia tidak lagi mahu melihat kanvas perjalanan seninya dicemari dengan kontroversi yang boleh menjatuhkan maruah diri seperti yang berlaku sebelum ini.

Untungnya pelakon utama drama bersiri Misiku Kuza ini semakin matang. Setiap perbuatan ditimbang baik buruk agar tidak memberikan implikasi negatif kepada kerjayanya.

Bagi Erin, dia menyimpulkan tahun 2013 sebagai tahun yang cukup bersih buat dirinya. Tidak dicemari cerita-cerita panas, dia semakin bijak membawa haluan diri.

Memang saya bersyukur sangat sebab tahun ini tak banyak cerita panas seperti tahun-tahun sebelum ini. Kontroversi pun tak ada dan saya senang sekali melaluinya.

Orang selalu cakap baik atau buruk pun tetap publisiti. Tapi buat apa kita terheret dalam cerita-cerita buruk yang akhirnya menimbulkan persepsi negatif pada diri.

Tak ada apa pun saya buat untuk membersihkan nama. Saya masih sama seperti dulu. Setiap kali nak buat sesuatu perkara, saya fikir masak-masak untuk elak jadi bahan kontroversi.

Orang sentiasa mencari salah kita dan mahu jadi orang pertama yang menunjukkan perkara itu. Mereka tolak ke tepi kebenaran semata-mata kerana mahu jadi yang pertama.

Sebelum orang cuba mencari salah saya, baik saya berhati-hati," tegas Erin terhadap pendiriannya.

Malah katanya, soal maruah, harga diri dan segala-galanya tentang peribadinya perlu diambil kira dan diletak di tempat tertinggi.

Baginya terpulang kepada seseorang artis itu untuk mencorakkan diri mereka. Baik atau buruk hanya mereka sahaja yang mampu mengawal situasi tersebut.

Enggan disamakan dengan mana-mana artis yang lain, Erin tidak mahu ambil pusing perihal orang lain. Baginya tanggungjawab sekarang adalah untuk menjaga nama baik sendiri dan juga keluarga.

Tanggungjawab

Pada usia semuda ini, tanggungjawab Erin cukup besar. Selain mencari rezeki untuk bekalan hari tuanya, dia juga menggunakan wang tersebut membantu keluarga.

Tidak menganggap perkara itu sebagai beban, sudah pasti dia menggunakan kelebihan tersebut ke jalan yang betul.

Sementelah ramai melihat pada usianya yang baru mencecah 19 tahun, Erin seharusnya menyambung pengajian tetapi dia tegas membuat keputusan untuk terus bergelar pelakon.

Ini minat saya dan ini kebolehan saya. Saya tak hanya menjadikan bidang lakonan sebagai hobi atau sekadar suka-suka. Saya menjadikan lakonan sebagai kerjaya.

Bila sudah jadi kerjaya, segala komitmen dan tumpuan diberi sepenuhnya. Saya pun tak mahu orang mengata macam-macam selepas menonton drama atau filem.

Pokok pangkalnya terletak pada hati. Kalau masuk ke dalam bidang seni hanya untuk suka-suka saya yakin tak ada siapa pun akan bertahan lama," tegasnya lagi.

Selain kerjaya, Erin juga memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga memandangkan dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Fokusnya hanyalah untuk memberikan kesenangan kepada kedua-dua adiknya untuk terus menikmati hari-hari mendatang dengan penuh kesempurnaan.

Tak ada guna cari duit banyak kalau pada akhirnya keluarga terabai. Saya selalu nasihatkan kedua-dua adik saya untuk bersyukur dengan apa yang ada.

Paling tidak mereka perlu jaga diri dan jaga maruah keluarga. Apa sahaja yang telah berlaku jadikan pengajaran untuk masa hadapan.

Nak jadi sempurna itu tak mungkin. Asalkan kami anak beranak tak menderita sudah cukup baik. Paling penting kena bersyukur atas nikmat yang kami dapat hari ini," luahnya jujur.

Jaga disiplin

Mencongak kembali perjalanan seni pelakon ini boleh dikatakan Erin cukup bertuah kerana diberi pendedahan awal melalui filem Tentang Bulan dan beberapa buah filem lain.

Baginya pengalaman menjadi pelakon kanak-kanak pada satu ketika dahulu masih berbekas dalam ingatan dan pada masa yang sama dia mahu mengubah persepsi orang yang masih menganggap dirinya berada dalam fasa itu.

Alhamdulillah saya sudah berjaya mengubah sedikit persepsi peminat yang masih anggap saya begitu. Perubahan itu perlu untuk mengubah aliran lakonan agar tak nampak statik.

Sebab itu saya agak cerewet memilih tawaran yang datang. Kalau masih nak beri watak kanak-kanak memang saya akan tolak.

Sama juga dengan hal-hal lain seperti pemilihan pelakon. Kalau gandingan saya kurang berkenan atau saya kurang senang dengan keseluruhan drama tersebut saya rela tolak terus.

Ini bukan soal berlagak atau apa tapi soal kerja. Buat apa saya ambil tawaran kalau pada akhirnya akan memberikan impak buruk pada diri sendiri dan orang lain," tegas Erin lagi.

Akui pelakon ini lagi, dia enggan bersikap tamak dengan mengambil dua atau tiga drama sekali gus pada satu-satu masa seperti yang berlaku pada segelintir artis.

Dia lebih rela menghabiskan sesebuah penggambaran daripada terkejar-kejar ke beberapa lokasi dan akhirnya akan menyusahkan banyak pihak.

Buat kerja apa pun jangan tamak. Jangan terlalu kejar job tapi akhirnya menyusahkan orang dengan masalah disiplin kita sendiri.

Saya yakin setiap kali penggambaran mesti ada seorang dua yang lewat. Nak buat macam mana kalau dah menunggu menjadi sebahagian daripada kerja seorang pelakon.

Hari ini kita buat pada orang tak mustahil pada masa hadapan kita sendiri yang akan kena. Pokok pangkalnya saya kena jaga disiplin," kata Erin.

Demi cinta Korban karier

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

LIMA bulan bergelar suami isteri merupakan fasa yang cukup membahagiakan buat Datuk Hattan dan pasangannya, Datin Arianie Abidin.

Perkahwinan kali kedua yang dibina antara mereka dianggap seperti jambatan yang menghubungkan dua hati.

Menyifatkan isterinya sebagai penyejuk turun naik emosi lelakinya, Hattan menganggap peluang kedua itu sebagai hadiah terindah dalam hidupnya.

Alhamdulillah hidup saya lebih teratur sekarang. Bukan dahulu tak teratur tetapi bila ada isteri di sisi sudah pasti hari-hari yang kami lalui bertambah manis.

Segala-galanya dibuat bersama. Orang kata sekarang macam fasa bulan madu bagi kami berdua. Ada sahaja aktiviti yang kami buat bersama sejak kembali berumah tangga," jelas Hattan.

Dia sendiri tidak pernah membayangkan akan mendapatkan kembali kehidupan bersuami isteri seperti dahulu pada usia begini.

Sudah pasti kerukunan rumah tangga yang disulam dengan cinta itu bertambah seri apabila anak tunggal mereka Adam Eiman, 15, mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan Khamis lalu.

Ini anugerah terindah di dalam hidup saya saat melihat Adam mendapat 8A. Tak ada bapa yang tak bangga dengan keputusan cemerlang anaknya.

Mujur dia tak minta apa-apa hadiah sebab bulan lepas kami sekeluarga telah bercuti ke London. Kiranya dia sudah dapat hadiah awal-awal lagi sebelum keputusan peperiksaan diumumkan.

Saya bukan jenis yang manjakan anak dengan hadiah yang mahal-mahal atau yang pelik-pelik. Selagi permintaannya realistik saya akan tunaikan," kata penyanyi lagu Biso Bonar ini lagi.

Letak jawatan

Lebih menambahkan seri rumah tangga yang mereka bina, isterinya yang berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sanggup meletak jawatan bermula Januari depan.

Tumpuan Arianie kini hanyalah kepada rumah tangga semata-mata dan sedang memikirkan untuk terlibat dalam bisnes perlancongan dalam masa terdekat.

Dia yang berkhidmat selama 24 tahun sebagai pramugari menganggap tumpuannya kini bukan lagi kepada kerjaya tersebut meskipun hanya berbaki dua tahun sebelum bersara wajib.

Lepas kami menikah semula dia ada bagi hint supaya saya berhenti kerja. Bila dikenang kembali ada baiknya saya tinggalkan (kerja).

Bukan mudah nak meninggalkan kerjaya yang sudah sebati dalam hidup saya. Menjadi pramugari selama tempoh itu bukan perkara yang mudah untuk dilepaskan.

Tetapi demi keluarga saya rela meninggalkan bidang yang saya cintai. Tak mengapa asalkan saya dapat berada bersama suami dan anak sudah buat saya bahagia," jelas Arianie.

Kesediaan Arianie menamatkan perkhidmatan lebih awal dianggap sebagai pengorbanan besar buat penyanyi tersebut.

Kami sedang memikirkan untuk buat bisnes atau apa-apa kerja lain bersama lepas ini," luah Hattan pula.

Tidak hanya memfokuskan bidang nyanyian semata-mata, Hattan juga mengorak langkah apabila membuka restoran di Kuantan, Pahang awal bulan lalu.

Restoran yang berkonsepkan moden dan bercirikan gaya Bali itu dikongsi bersama sepupu rapatnya menyajikan makanan tradisional Melayu.

Namun bencana banjir yang melanda Pantai Timur itu telah menenggelamkan restoran miliknya itu dan menanggung kerugian ribuan ringgit.

Kalau ikut perancangan memang saya buka restoran awal Disember lalu. Bila banjir, teruk juga lokasi restoran tersebut tenggelam dan merosakkan harta benda.

Cuma saya sedikit beruntung memandangkan restoran masih belum beroperasi. Yang rosak hanyalah barang-barang kecil termasuk beberapa pondok tempat makan di luar restoran," jelasnya.

Buat masa ini, pihaknya masih menunggu masa yang sesuai memandangkan ada ura-ura mengatakan lokasi tersebut bakal dilanda gelombang banjir kali kedua.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharu pula, Hattan bakal terlibat sempena konsert Ambang 2014 Putrajaya 31 Disember depan.

Konsert yang diadakan di Dataran Putrajaya bertujuan menyambut tahun baru dan bakal diserikan oleh penyanyi popular tanah air.

Selain Hattan, turut terlibat Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ella, Sweet Charity, Hujan, Soo Wincci, Rabbit Mac & Mista G, The Singing Shop dan Malaysia Drum Symphony.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Adunan aksi dan situasi

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

Gambar percutian yang dirakamkan perlu disimpan sebagai kenangan yang tidak akan berulang lagi.

SEMASA musim cuti ini, ramai daripada kita merakamkan pelbagai aktiviti bersama keluarga ketika berkunjung di destinasi pelancongan baik di dalam mahupun di luar negara.

Rakaman yang anda lakukan akan menjadi kenangan manis yang boleh disimpan lama sekiranya anda menjaga bahan rakaman tersebut dengan baik.

Ada antara kita beranggapan rakaman pelbagai aksi memerlukan kamera mahal yang dilengkapi dengan pelbagai fungsi.

Sebenarnya anda boleh menggunakan apa saja kamera termasuk kamera telefon bimbit asalkan anda tahu masa yang terbaik untuk klik kamera anda.

Ungkapan popular dalam dunia fotografi menyebut, orang di belakang kamera (the man behind camera) lebih penting daripada sesebuah kamera.

Anda yang mengklik kamera lebih tahu masa yang sesuai untuk mengadunkan aksi dan situasi di dalam pemidang tilik (viewfinder) sebelum rakaman gambar dihasilkan.

Bagi mereka yang telah merakamkan peristiwa menarik sepanjang percutian ini, simpanlah ia dengan baik dan abadikannya dalam bentuk cetakan gambar, album bercerita, album digital dan sebagainya agar percutian anda lebih bermakna.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Fesyen, fotografi bersatu

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

Koleksi musim percutian 2013.

SAYA melihat kecantikan'. Itulah tema pameran seni fotografi oleh Danny Lim yang menggabungkan fotografi, fesyen dan kecantikan.

"Sebelum ini saya berkecimpung dalam dunia peragaan sebagai model. Hari ini, minat baru ini membuka pandangan saya dengan lebih luas. Apa yang menarik minat saya ke bidang fotografi adalah keupayaan mendapatkan hasil fotografi yang berbeza-beza termasuk menggunakan teknik yang jarang dilakukan pada zaman ini," terangnya.

Kali ini Danny tampil dengan potret foto selebriti dengan kerjasama jenama cermin mata antarabangsa, ic!berlin dan produk kecantikan, Authent Cream Menard.

Ganjaran pak sanggup

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

APAKAH anda merasakan hidup kita hari ini terlalu susah? Saya rasa tidak, jika kita mengamalkan cara hidup serba sederhana dan ikut kemampuan. Tetapi ada suami dan isteri zaman sekarang sanggup 'jual diri' semata-mata untuk kemewahan hidup. Jual diri bukan jadi pelacur tetapi sanggup menggadaikan maruah asalkan apa yang dicitakan tercapai.'' Itu kata Iffahazani dalam e-melnya.

''Kisah jual diri saya saya maksudkan ini berlaku kepada suami saya sendiri, Hans. Suami yang berusia 46 tahun rela jadi pak sanggup kepada Zanita - gadis yang bukan pun kekasihnya, cuma kenalan biasa yang pernah kerja sepejabat.

''Tiga hari Hans balik rumah asyik termenung. Bila ditanya tidak menjawab, malamnya resah tak boleh tidur. Saya yang bimbangkan kesihatannya, maklumlah dia ada darah tinggi tawarkan diri bawa dia ke hospital tapi dia kata tak sakit.

"Biasanya dia paling lewat bersiap pergi kerja tetapi dalam tempoh itu, awal-awal lagi sebelum anak-anak mandi untuk ke sekolah, dia sudah bergegas kononnya nak cepat ke pejabat.

''Kerana sibuk bekerja saya terlupa bertanyakan keadaannya hinggalah masuk hari ketiga, saya desak lagi apa yang mengganggu fikirannya?

"Akhirnya Hans beritahu dia nak kahwin seorang lagi. Terkejut besar saya kerana tak menduga itu jawapannya.

''Pengakuannya buat saya hampir diserang sakit jantung. Saya terduduk dan tanpa sedar menangis. Dalam sedan saya tanya Hans apa salah saya? Apa kurang diri saya hingga dia nak kahwin lagi? Sejak bila dia bercinta? Dengan siapa? Orang mana? Hans hanya diam membisu.

"Saya minta diceraikan kerana itulah perjanjian awal kami ketika bercinta dahulu.

''Bila sebut soal cerai barulah Hans buka mulut bercerita.

"Katanya gadis itu hamil ditinggalkan kekasihnya. Majlis kahwin sepatutnya berlangsung sebulan dua lagi tetapi mereka tak jadi kahwin. Emaknya malu dan desak mesti kahwin juga.

''Menurut Hans, seorang kawan tolong carikan lelaki yang sudi menjadi suami Zanita. Zanita akan tanggung segala perbelanjaan kahwin dan tak kisah sama ada lelaki itu masih bujang atau suami orang. Asalkan segera kahwin.

''Kawan Zanita itu yang kebetulan kawan baik Hans cadangkan dia jadi pak sanggup. Zanita pun setuju sebab dia memang kenal Hans dan tawarkan pelbagai hadiah untuk jadi suaminya.

''Cerita Hans lagi yang lebih menarik hati, Zanita sanggup diceraikan setelah anaknya genap berusia setahun. Alasan Zanita berkahwin hanya untuk jaga maruah keluarganya. Dia langsung tidak bercadang untuk berkahwin dengan Hans selamanya kerana dia juga tak mahu bermadu.

''Selain tawaran wang, Hans boleh tinggal di kondonya sementara dia melahirkan. Menurut Hans lagi, Zanita memang tidak berhasrat berkahwin dengannya kerana dia amat mencintai kekasihnya. Tetapi hubungan mereka terputus disebabkan perkara yang tidak boleh dielakkan.

''Bermacam-macam cerita Hans tetapi pada saya, semuanya rekaan semata-mata. Hati saya percaya dia memang ingin berpoligami.

''Bila saya tak bersetuju dan masih desak Hans berpegang pada janji kami sebelum kahwin dulu, Hans jadi bingung. Seminggu lamanya kami perang dingin. Saya nekad mahu menguruskan hidup sendiri bersama tiga anak kami yang sedang membesar.

''Nak jadikan cerita, lepas seminggu saya terima panggilan daripada seorang wanita mengaku ibu Zanita. Dia marahkan saya kerana menghalang Hans berkahwin dengan anaknya. Katanya Hans mesti bertanggungjawab atas perbuatannya. Lebih menyedihkan, dia sumpah saya dan harap bala akan menimpa diri saya satu hari nanti, mungkin ditakdirkan anak gadis saya pula mengandung.

''Sakit hati saya. Ini sudah lebih... main ugut-ugut pula. Kerana geram, saya cabar dia paksa Hans nikah segera dengan anaknya. Saya mahu lihat kejujuran Hans dan kekuatan duit ibunya dalam situasi ini.

"Bila balik ke rumah, saya beritahu Hans apa yang berlaku dan ulangi syarat agar ceraikan saya terlebih dulu, jika mahu menikah dengan Zanita.

''Oleh kerana tempoh tawaran berlaku dalam masa yang singkat, Hans buat keputusan nikah dengan Zanita. Dia setuju jadi pak sanggup anak yang Zanita kandung.

"Kami bercerai secara baik. Sebab itu perjanjian awal. Saya dan anak-anak tetap tinggal di rumah yang kami sama-sama beli kerana Hans telah melepaskan haknya kepada anak-anak. Dia juga sanggup bayar ansuran rumah yang berbaki 15 tahun lagi sebagai ganti kepada nafkah anak-anak yang dia terpaksa bayar di samping perbelanjaan sekolah dan hari raya setahun sekali. Selain itu dia beri saya kereta miliknya.

"Perceraian kami memang mengejutkan kaum keluarga saya. Mereka tuduh Hans zalim kepada saya terutama pada anak-anak, sebaliknya sanggup pikul biawak hidup untuk tutup aib orang lain.

''Saya ingin tanya apa pandangan pembaca tentang tindakan Hans? Apakah dia diperangkap oleh Zanita? Adakah dia kejar kekayaan yang diberikan oleh Zanita dan keluarganya ataupun memang dia ayah kepada anak yang Zanita kandung?

''Walaupun peristiwa ini sudah enam tahun berlalu dan kini anak-anak sudah dewasa, saya masih tidak tahu jawapan sebenarnya. Tetapi pada pengamatan saya, Hans jadi pak sanggup sebab mahu hidup senang, sebab dia tahu siapa Zanita dan latar belakang keluarganya.

''Sehingga kini masih ada kawan Hans memuji tindakannya. Kata mereka, Hans banyak pahala sebab bantu orang tengah susah. Lebih penting Hans boleh hidup senang-lenang.

''Doa saya janganlah ada anak lelaki saya atau adik beradik saya yang jadi seperti Hans. Sanggup jual maruah diri, jadi pak sanggup dan lebih teruk tergamak meminggirkan anak sendiri demi mengejar kemewahan hidup,'' demikian cerita Irfahazani tentang bekas suaminya yang sanggup menjual maruah demi kesenangan hidup.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sampah dihantar terus ke Bukit Tagar

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

SEORANG pekerja mengumpulkan sampah di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di Kepong, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menanggung kos tambahan penghantaran sampah yang akan dibawa terus dari ibu negara ke tapak pelupusan di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, biarpun kosnya dijangka tinggi, pihaknya sedia melaksanakan perkara itu kerana tidak mahu warga kota menerima kesan akibat penutupan sementara Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di Kepong di sini.

Menurutnya, tindakan itu sebagai langkah jangka pendek sementara kementeriannya bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyelesaikan isu penutupan sementara stesen pemindahan sampah itu dengan kadar segera.

"Butiran terperinci mengenai anggaran kos dan sebagainya tidak dapat didedahkan lagi kerana masih dalam peringkat kajian, namun kontraktor (pembersihan) yang terlibat telah diarahkan untuk menghantar terus sampah ke Bukit Tagar kerana Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin ditutup sementara.

"Saya difahamkan, operator yang dilantik untuk menguruskan stesen pemindahan ini telah ditamatkan kontrak sejak tiga bulan lalu kerana prestasinya yang tidak memuaskan selain mengalami beberapa masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan mengejut di stesen pemindahan itu di sini hari ini.

Menurut Tengku Adnan, lawatan tersebut dilakukan serta-merta sebaik mendapat panggilan telefon daripada seorang penduduk berdekatan yang tidak tahan dengan masalah di pusat pemindahan itu.

"Saya juga terkejut sebaik melihat laporan akhbar hari ini yang memaparkan gambar deretan sampah di bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2).

"Saya amat kesal dengan tindakan pemandu lori yang melonggokkan sampah di tepi jalan, tetapi pada masa sama saya memahami tindakan mereka yang terpaksa menunggu lama kerana ada masalah teknikal," ujarnya.

Tengku Adnan berjanji, kejadian tersebut tidak akan berulang dan beliau juga telah mengarahkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, DBKL memantau kawasan itu selama 24 jam.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati sampah yang dianggarkan seberat 2,500 tan yang memenuhi bahu lebuh raya berhadapan stesen pemindahan itu telah selesai dibersihkan Alam Flora Sdn. Bhd dan DBKL semalam.

Namun, 'tapak' pembuangan sementara itu masih kelihatan kotor dan bau busuk mengganggu pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.

Pada 14 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan lori-lori mengangkut sampah terpaksa beratur panjang berjam-jam lamanya untuk memunggah turun muatan di stesen itu. Deretan lori itu melimpah sehingga ke bahu JLT2 dan menyebabkan kesesakan jalan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Nadzri Yahya yang dihubungi Utusan, berjanji akan menyelesaikan masalah teknikal yang berlaku di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal itu dengan segera, namun belum pun isu itu tamat, beberapa pemandu lori bertindak nekad dengan menurunkan muatan mereka di tepi lebuh raya itu.

Difahamkan, kerosakan salah sebuah mesin pemampat di stesen pengumpulan sampah itu menjadi punca kelewatan untuk lori-lori sampah menurunkan muatan di situ.

2,148 belia maut kemalangan jalan raya tahun lalu

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Nor Laily Zakaria memakaikan topi keledar kepada seorang pelajar sambil disaksikan oleh Parama Iswara Subramaniam (dua dari kanan) sempena kempen keselamatan jalan raya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SHAH ALAM 22 Dis. - Sebanyak 2,148 belia berumur 12 hingga 25 tahun telah direkodkan maut dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Nor Laily Zakaria berkata, jumlah itu mewakili 31 peratus jumlah keseluruhan kes kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara yang dicatatkan dalam tempoh yang sama.

Jelas beliau, antara penyumbang kepada kes kemalangan maut tersebut adalah pemakaian topi keledar secara tidak selamat.

"Justeru, JKJR negeri dengan kerjasama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menganjurkan kempen pemakaian topi keledar dengan betul dan selamat.

"Sasaran kami ialah para pelajar memandangkan mereka adalah kumpulan umur paling ramai direkodkan maut dalam kemalangan jalan raya," katanya ketika Kempen Pemakaian Topi Keledar Dengan Betul dan Selamat di PSA di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama dalam kempen itu ialah Pengurus Besar Kanan SIRIM QAS International, S. Parama Iswara dan Pengarah PSA, Kamaruzaman bin Ismail.

Mengulas lanjut mengenai kempen itu, Nor Laily berkata, SIRIM QAS International telah menyumbangkan hampir 100 biji topi keledar kepada para pelajar PSA untuk mendidik golongan belia mengenai pemakaian topi keledar dengan betul dan selamat.

"Usaha ini sebagai sokongan kepada kerajaan bagi bersama-sama menangani dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini," ujarnya.

Alam Flora urus sementara stesen pemindahan sampah

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik Alam Flora Sdn. Bhd. untuk menguruskan operasi Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong buat sementara waktu.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, Alam Flora akan mengambil alih operasi stesen terbabit dalam masa terdekat sebelum pihak kerajaan melantik operator baharu.

"Kami meminta semua lori sampah terlibat menghantar terus sampah tapak pelupusan di Bukit Tagar. Sampah-sampah yang dilonggokkan di situ pula telah dibersihkan oleh DBKL dan Alam Flora," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perbuatan beberapa pemandu lori sampah memunggah turun muatan di bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) berdekatan stesen itu semalam.

Mhd. Amin Nordin berkata, beliau difahamkan sebanyak sepuluh buah lori sampah terlibat dengan kejadian itu sejak malam semalam berikutan penutupan stesen itu secara tiba-tiba.

"Syarikat kontraktor terdahulu iaitu Tetuan Umpan Jaya Sdn. Bhd. tidak mampu lagi menguruskan pemindahan sisa pepejal di stesen berkenaan kerana mengalami masalah dan krisis," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved