Ahad, 22 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Manfaatkan peti maklumat

Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

Ahmad Ibrahim (kiri) menyerahkan Peti Maklumat Polis kepada wakil penduduk Kuala Nerang selepas merasmikan Hari Kesedaran Jenayah Kontinjen Kedah 2013 di Jitra, Kedah, semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR 21 Dis. - Penduduk yang mempunyai maklumat tentang jenayah, namun tidak berani untuk melaporkannya, kini boleh berbuat demikian menerusi peti maklumat yang diletakkan di beberapa lokasi tumpuan ramai.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya menyedari ramai enggan berjumpa dengan pegawai polis untuk membuat laporan tentang kegiatan jenayah di kawasan mereka dan keadaan itu menyebabkan maklumat penting tersebut tidak dapat disalurkan dengan pantas kepada pihak berkuasa.

"Jadi, bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat, mereka kini boleh melaporkannya menerusi surat dan memasukkannya ke dalam peti maklumat ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari Kesedaran Jenayah Kontinjen Kedah 2013 di pekarangan pusat beli-belah Jitra Mall di sini hari ini.

Beliau memberitahu, buat masa ini, setiap 11 daerah di negeri ini dilengkapi empat peti maklumat yang akan diletakkan di balai polis tertentu dan juga kawasan tumpuan awam termasuk pusat beli-belah.

"Kita akan tambah peti maklumat ini dari semasa ke semasa bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat jenayah untuk tindakan segera pihak polis," ujarnya.

Menurut Ahmad, anggota polis akan memeriksa peti maklumat itu sekerap mungkin dan setiap laporan akan ditapis sebelum tindakan diambil dengan kadar segera.

"Ini adalah salah satu kaedah kepada mereka yang mempunyai maklumat jenayah tetapi enggan berjumpa polis. Bagaimanapun saya menggalakkan orang awam datang terus ke balai polis untuk membuat laporan secara terus," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, jenayah yang paling kerap berlaku di negeri ini adalah kecurian motosikal yang mana sebanyak tujuh hingga 10 kes dilaporkan setiap hari.

Sasar tambah 80 Komuniti 1Malaysia di Perak

Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST

GOPENG 21 Dis. - Jabatan Penerangan negeri menyasar menubuhkan 80 buah lagi Komuniti 1Malaysia (K1M) di seluruh negeri ini bagi menyalurkan maklumat dan dasar kerajaan secara berterusan kepada rakyat.

Pengarahnya, Muhamad Aszahari Abdul Rahman berkata, ketika ini terdapat 90 buah K1M di seluruh negeri dan pihaknya sedang menunggu kelulusan penambahan tersebut daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Kata Muhamad Aszahari, melalui K1M pelbagai aktiviti bermanfaat dapat dilaksanakan untuk memupuk kerjasama dan perpaduan di kalangan rakyat.

"Setakat ini Jabatan Penerangan negeri telah melaksanakan lebih 200 acara di seluruh negeri ini termasuk 10 Karnival Sepakat K1M," katanya ketika berucap pada Karnival Sepakat K1M di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Karnival tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Basri Jasmo dan Yang Dipertua Majlis Permuafakatan K1M Perak, Musanib Ahmad.

Menurut beliau, setiap program yang dilaksanakan kebanyakannya melibatkan ahli-ahli K1M dalam usaha membantu mereka memasarkan setiap produk yang dihasilkan.

"Kita sering menggalakkan ahli K1M melibatkan diri dalam setiap program yang diatur supaya produk mereka mampu diketengahkan kepada umum," katanya.

Dalam pada itu Shahrul Zaman berkata, Karnival Sepakat mampu menggerakkan anggota masyarakat di peringkat akar umbi untuk sama-sama terlibat dalam setiap aktiviti yang diadakan yang secara tidak langsung mampu memperkukuhkan jaringan antara kerajaan dan rakyat.

Katanya, K1M juga berperanan menolak sebarang unsur negatif seperti fitnah dan khabar angin yang ditaburkan pihak yang tidak bertanggungjawab di peringkat komuniti.

"Saya yakin jika usaha dapat dilakukan dengan baik maka tiada komuniti dalam negeri ini yang tertinggal dan terpinggir dalam arus pembangunan negara ketika ini," katanya.

Perda sumbang RM2.8 juta bantuan pendidikan

Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST

TASEK GELUGOR 21 Dis. - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyediakan peruntukan besar bagi membiayai program pendidikan dan kebajikan tahun ini dalam usaha memenuhi tanggungjawab sosialnya.

Pengerusi Perda, Datuk Shahbudin Yahaya berkata, sebanyak RM2.8 juta telah dibelanjakan untuk pendidikan dan RM240,000 untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat miskin.

"Peruntukan besar dalam bidang pendidikan disalur bagi membolehkan pelajar kurang mampu mendapat peluang sepenuhnya meneruskan pelajaran seperti rakan lain.

"Sehingga kini hampir 100,000 pelajar negeri ini mendapat manfaat yang dibuktikan melalui peningkatan pencapaian dalam peperiksaan yang diduduki mereka," katanya selepas menyampaikan uniform sekolah kepada 180 pelajar kurang mampu dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Ayer Tawar, Sungai Dua dan Permatang Berangan di sini semalam.

Shahbudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menjelaskan, bantuan tersebut diberikan setiap tahun bertujuan mengurangkan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved