Jumaat, 23 Mei 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Ke final selepas 12 tahun

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Norzie Mohd. Khasbi

Chong Wei Feng meraikan kejayaannya menumpaskan Dionysius Rumbaka dalam perlawanan perseorangan kedua, sekali gus membawa Malaysia ke perlawanan akhir Piala Thomas di New Delhi semalam.- Ihsan The Star

NEW DELHI - Malaysia hadir di New Delhi bersama pasukan yang dianggap paling lemah, namun pemain-pemain negara membuktikan semangat juang tinggi berjaya mengatasi segala keraguan dengan melangkah ke final Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menundukkan juara 13 kali, Indonesia 3-0 malam tadi.

Malah, beberapa jam sebelum perlawanan, keyakinan bahawa peluang untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan gergasi dunia, China 3-0 turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara.

Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun terpaksa mengharungi perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan.

Chong Wei dipaksa berhempas pulas di set pertama sebelum menjinakkan Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk menghadiahkan mata semangat buat pasukan negara.

Selepas gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan menentang Denmark di suku akhir, gandingan senior, Boon Heong-Thien How kembali menunjukkan taring dengan mengejutkan juara dunia dan pasangan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21.

Daripada sekadar pemain simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng sekali lagi menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Dionysius Rumbaka 21-10, 21-17.

Bagi Chong Wei dan Wei Feng, mereka adalah tonggak penting yang membawa kepada kejayaan Malaysia ke perlawanan akhir apabila memenangi semua lima perlawanan setakat ini.

"Memang amat teruja apabila berjaya melangkah ke final sekali lagi. Saya tidak merasai pengalaman perlawanan akhir terakhir Malaysia dan gembira melihat pemain-pemain muda ini berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Selepas tiba di sini, ramai yang memandang rendah kemampuan Malaysia, apatah lagi kami dikatakan hadir sebagai pasukan paling lemah, namun hari ini kami membuktikan mereka silap dengan berjaya melangkah ke final.

"Saya tidak pernah anggap peluang Malaysia untuk merampas kejuaraan adalah cerah selepas Jepun menewaskan China dalam separuh akhir pada sebelah petang, pada saya berdepan Jepun juga bukan mudah dan mereka adalah lawan yang kental.

"Yang paling penting buat semua pasukan adalah fokus kepada permainan sendiri. Kami sudah menyahut cabaran persatuan yang mahu pasukan melangkah ke final, sekarang terpulang kepada kami untuk mencari keputusan lebih baik," kata Chong Wei.

Jika rekod pertemuan Malaysia dan Jepun menjadi ukuran, pasukan negara memegang kelebihan 3-1 ke atas negara Matahari Terbit itu.

Namun Jepun, yang menunjukkan peningkatan sangat ketara di bawah bimbingan Park Joo Bong mengejutkan pasukan negara pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kuala Lumpur pada 2010.

Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir adalah di Guangzhou 2002, di mana kita tewas 2-3 kepada Indonesia manakala kejohanan 1992 di Kuala Lumpur adalah kali terakhir pasukan negara muncul juara. - UTUSAN

'Tiada yang istimewa kalahkan China'

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

NEW DELHI - "Menewaskan China bukan sesuatu yang terlalu istimewa, namun jika kami berjaya merangkul kejuaraan Piala Thomas, pasti menggembirakan."

Itu kenyataan jujur pemain berusia 20 tahun, Kento Momota yang tiba-tiba dijulang sebagai wira Jepun apabila membantu pasukannya melakar kejutan terbesar dalam sejarah Piala Thomas dengan membenam juara lima kali berturut-turut, China 3-0 pada separuh akhir, semalam.

China tidak pernah kalah dalam mana-mana peringkat dalam lima kempen Piala Thomas sebelum ini. Kali terakhir mereka tumpas ialah 3-1 pada separuh akhir kepada Malaysia di gelanggang sendiri di Guangzhou pada 2002.

Riak gembira terpancar di wajah Kento, juara remaja dunia 2012, sejurus menundukkan Du Pengyu 23-25, 21-18, 21-14 untuk menghadiahkan mata kemenangan pasukannya dan membawa Jepun ke perlawanan akhir Piala Thomas buat kali pertama sejak kejohanan diperkenalkan pada 1949.

"Pada saya, mengalahkan China bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami memang meletakkan sasaran untuk menewaskan mereka dan layak ke perlawanan akhir, jadi kami cuma memenuhi sasaran bukan melakukan perkara-perkara di luar jangkaan," katanya.

Terdahulu pemain No. 4 dunia, Kenichi Tago membuka laluan buat Jepun apabila mengejutkan pemain No. 2 dunia, Chen Long 21-13, 21-11, sebelum pasangan Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo memberi tekanan kepada China dengan melebarkan kedudukan 2-0 selepas menang 22-20, 21-19 ke atas Chai Biao-Hong Wei.

Juara dunia lima kali, Lin Dan hanya mampu duduk di tepi gelanggang tanpa dapat melakukan apa-apa, sambil melihat pemain-pemain muda negaranya gagal menyerap tekanan beraksi sebagai pasukan pilihan.

Ketika pemain-pemain muda China tampak amat tertekan, skuad muda Jepun sebaliknya lebih tenang, malah Momota juga menegaskan dia tidak peduli siapa lawan yang akan ditemui dalam perlawanan akhir dan bersedia untuk mencari satu lagi kemenangan selepas dipaksa bertarung selama 1 jam, 24 minit semalam. - UTUSAN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Dua penyokong Mursi maut dalam pertempuran dengan polis

Posted: 23 May 2014 12:51 PM PDT

KAHERAH 24 Mei - Sekurang-kurangnya dua orang terkorban dan tiga lagi cedera, selepas berlaku pertempuran di antara penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi dengan polis semalam, ketika berlangsungnya tiga perarakan pro-Mursi di Fayoum, kira-kira 85 kilometer dari Kaherah.

Agensi berita Xinhua melaporkan, dalam perarakan itu penyokong Mursi turut bertindak menyerang sebuah pejabat pos sehingga tercetusnya konfrontasi dengan anggota polis dengan penduduk setempat.

Kejadian tersebut berlaku menjelang pilihan raya Presiden Mesir, yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini, antara bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi dengan pemimpin berhaluan kiri, Hamdeen Sabahy. - Agensi

21 terkorban, di bom penentang kerajaan.

Posted: 23 May 2014 12:50 PM PDT

DAMSYIK 24 Mei - Tindakan kumpulan penentang kerajaan melancarkan serangan bom mortar ke atas penyokong Presiden Bashar al-Assad, yang sedang berkempen untuk Presiden itu menjelang pilihan raya, mengakibatkan 21 orang terkorban, semalam.

Kumpulan pemantau hak asasi manausia Syria berkata, serangan tersebut berlaku di bandar Daraa, selatan negara ini, yang turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 30 orang tercedera.

"Kanak-kanak merupakan antara mereka yang menjadi mangsa dalam serangan yang kali pertama dilancarkan terhadap penyokong Bashar, semenjak kempen pilihan raya bermula bulan ini," jelas kumpulan itu. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Militan: 2 penganggur didakwa

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

Mohd. Hafiz Zahri Suparyatnoh (dua dari kiri) dan Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim (tiga dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak, semalam kerana didakwa terlibat dengan kegiatan militan dua bulan lalu. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

TAIPING 23 Mei - Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyokong dan menggalakkan kegiatan keganasan, awal bulan lalu.

Mohd. Hafiz Zahri Suparyatnoh, 28, dan Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim, 22, masing-masing hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Eyu Ghim Siang.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hafiz Zahri didakwa dengan pengetahuan dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas yang dikenali sebagai The Islamic State Of Iraq and Syam (ISIS) di Kampung Air Jernih, Ijok, di sini di antara pukul 10 pagi, 4 April dan 12.30 tengah hari, 6 April lalu.

Mohd. Armie pula didakwa pada masa, tarikh dan tempat yang sama menggalakkan perlakuan dan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.

Mohd. Hafiz Zahri didakwa mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan manakala Mohd. Armie dituduh mengikut Seksyen 130G(a) akta sama, masing-masing membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun dan denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan digunakan bagi kesalahan itu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tiada jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada tertuduh memandangkan kesalahan di bawah seksyen tersebut tidak memperuntukkan sebarang jaminan.

Ghim Siang menetapkan 30 Mei ini untuk tarikh sebutan semula kes tersebut.

Suri rumah didakwa sokong pengganas

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Azizah Md. Yusof

KUALA LUMPUR 23 Mei - Seorang suri rumah berusia 54 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan memberi sokongan terhadap berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook, bulan lalu.

Azizah Md. Yusof berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Walau bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripadanya setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Ibu lima anak itu didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook bernama 'Wan Jah' dan 'Azizah Yusof'.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukannya di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini kira-kira pukul 2 petang, 24 April lalu.

Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan.

Wanita yang bertubuh kurus dan kecil serta berkaca mata dilihat tenang ketika jurubahasa membacakan pertuduhan kepadanya.

Sebelum prosiding bermula, wanita itu yang memakai tudung berwarna merah gelap dan kemeja T lengan panjang berbelang merah jambu serta berseluar panjang gelap bercorak bunga dilihat menangis apabila ahli keluarganya memeluk dan menciumnya yang ketika itu berada dalam kandang tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 30 Mei ini.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan semula seminggu dari hari ini sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Wanita itu yang ditahan oleh pihak polis pada 28 April lalu, diwakili peguam, Nadzarin Wok Nordin dan KC Suzanalena Salleh.

Pada 29 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan penahanan seorang suspek kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan mirip pengganas Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI) .

Wanita berusia 55 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan di kawasan Keramat di ibu negara pada pukul 4.40 petang.

Berikutan penahanan wanita berkenaan, jumlah ahli kumpulan yang dipercayai membawa fahaman Salafi Jihadi itu kini meningkat kepada 10 orang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bot nelayan Vietnam ditahan

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Shafik Fauzan Sharif (tengah) melihat sotong yang dikeringkan di bot nelayan Vietnam yang menangkap hasil laut di perairan Malaysia di Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 23 Mei - Jabatan Perikanan negeri menahan sebuah bot bersama tujuh nelayan warga Vietnam kira-kira 82.8 kilometer dari Jeti Perikanan Padang Lalang di sini semalam.

Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, nelayan berusia 17 hingga 39 tahun itu ditahan kerana menceroboh perairan negara dengan melakukan aktiviti menangkap hasil laut dengan cara salah.

"Mereka ditahan kira-kira pukul 1.15 petang ketika sedang menjalankan aktiviti penangkapan sotong dengan menggunakan kaedah yang salah iaitu menjala.

"Aktiviti menangkap sotong menggunakan jala ini sememangnya telah diharamkan oleh kerajaan bagi mengelak khazanah laut lain terjejas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Adnan Hussain dan Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber negeri, Inwi Eh Kliyau.

Menurut Shafik, pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguatkuasa tidak menemui sebarang dokumen sah dan mereka dikesan melakukan aktiviti menangkap sotong secara haram.

"Mereka juga menggunakan cahaya lampu yang tidak dibenarkan sebelum menjala sotong berkenaan. Malah, turut memproses sotong kering di atas bot berkenaan.

"Kesemua mereka boleh dihukum di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu Seksyen 15(1)(a) dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM500,000 atau lima bulan penjara bagi awak-awak," katanya sambil memberitahu bot nelayan asing yang bernilai kira-kira RM450,000 itu akan disita.

Sementara itu, katanya, sebanyak lapan bot berjaya ditahan sejak Januari hingga bulan ini dengan dua bot nelayan asing manakala selebihnya bot nelayan tempatan.

"Penahanan itu juga telah berjaya menangkap lima nelayan tempatan dan 23 nelayan asing," jelasnya.

Usahawan kecil berpotensi akan dimajukan

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

KUANTAN 23 Mei - Kerajaan negeri menyasarkan melahirkan 210 usahawan berjaya dalam kalangan ibu tunggal untuk dijadikan contoh kepada golongan tersebut pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, melalui Pejabat Pembangunan Wanita negeri, pihaknya kini berusaha menjejak usahawan kecil yang mengeluarkan produk sendiri di rumah untuk dimajukan.

"Tujuan utama Program Jejak Usahawan Kecil ini dilaksanakan ialah sebagai pemudah cara membantu mereka mendapatkan saluran yang tepat bagi meluaskan pasaran produk yang diusahakan seperti keropok lekor, telur masin, roti, kuih dan perkhidmatan menjahit.

"Kita sasarkan penghujung tahun ini dapat menyediakan satu profil khas usahawan kecil yang berjaya dan menjadi rujukan kepada golongan ibu tunggal yang lain," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Beliau sebelum itu melawat lima usahawan kecil yang menghasilkan produk dan perkhidmatan di rumah masing-masing sempena kunjungan pertama program berkenaan bagi peringkat DUN Tanjung Lumpur di sini.

Menurut Shahaniza, melalui profil khas itu, pihaknya dapat mengenal pasti masalah utama yang dihadapi ibu tunggal ketika menjalankan perniagaan.

"Oleh itu, kita akan berusaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan mendapatkan bantuan daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

"Sebagai contoh, untuk memasarkan produk yang merupakan masalah utama mereka, kita akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Persekutuan Malaysia (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Sirim Berhad.

"Pada dasarnya, beberapa agensi yang saya temui seperti MARDI telah bersetuju membantu ibu-ibu tunggal dalam memantapkan lagi pengeluaran produk," jelasnya.

Tambahnya, program itu juga bukan sekadar melihat potensi dalam kalangan ibu tunggal dalam perniagaan, tetapi lebih kepada memberi sokongan kepada mereka untuk terus maju dan bersaing dengan usahawan lain.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jadilah pengguna Internet bijak

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
Jurugambar SAIFUL BAHARI ASHARI

Datuk Mohamed Sharil Tarmizi

UTUSAN: Apa komen Datuk tentang gejala penipuan dan fitnah dalam Internet?

MOHAMED SHARIL: Kita kena faham bagaimana Internet berfungsi. Ia direka dengan cara sesiapa sahaja boleh bersembunyi di belakangnya. Jadi jika ada yang kata dia seorang lelaki dalam Internet, sebenarnya mungkin perempuan dan yang kata dia muda, sebenarnya mungkin tua.

Frasa dalam bahasa Inggeris yang agak popular bagi menjelaskan situasi ini adalah, Kamu mungkin bercakap dengan anjing di dalam Internet dan kamu tidak tahu.

Ini berbeza kalau kita bercakap melalui telefon, sekurang-kurangnya kita boleh kenal itu suara siapa. Tetapi dalam Internet, semuanya halimunan kerana kita cuma berdepan dengan skrin komputer atau skrin telefon sahaja. Kita cuma nampak apa yang ada di depan mata dan tidak dapat melihat apa yang ada di belakang. Kalau kita faham akan hakikat ini, tidak akan menjadi kemusykilan kenapa wujudnya akaun Facebook palsu yang menyebarkan fitnah.

Antara trend yang kita sedang pantau adalah Facebook yang memaparkan gambar dan nama artis popular. Ramai nak jadi kawan, sedangkan mereka tidak siasat pun, entah-entah ia bukan milik selebriti berkenaan.

Satu lagi cabaran yang kita hadapi adalah kemudahan televisyen pintar disambung dengan jalur lebar yang boleh digunakan untuk tujuan kebaikan dan juga keburukan.

Kenapa akaun Facebook palsu dan yang menyebar fitnah tidak disekat?

Kita boleh laporkan kepada Facebook, tetapi untuk menentukan sama ada akaun itu perlu ditutup atau tidak adalah tertakluk kepada syarikat pengendali media sosial berkenaan yang berpengkalan di luar negara.

Kalau perkara berkenaan dianggap tidak menyalahi terma-terma perkhidmatan Facebook, kita tak dapat buat apa-apa. Contohnya, ada dua tiga akaun palsu yang menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita tahu akaun itu palsu dan telah melaporkannya kepada Facebook, tetapi sehingga kini pengendali media sosial itu masih tidak tutup akaun palsu tersebut. Syarikat berkenaan menganggap pembukaan akaun terbabit tidak melanggar terma-termanya. Alasannya mungkin ada orang lain yang sama nama dengan Najib.

Dalam kes seperti ini, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) pun tak boleh nak selesaikan jika Facebook tidak membenarkan rangkaian komputer mereka dimasuki.

Berdasarkan hakikat ini, orang ramai harus sedar bahawa MCMC tidak mempunyai butang ajaib untuk menyekat Facebook dan kemudahan lain dalam Internet.

Kesukaran ini berpunca kerana reka bentuk Internet itu sendiri yang dicipta oleh Vint Cerf dan Bob Kahn yang dibiayai Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan Canggih (DARPA), AS yang bertujuan membolehkan maklumat disampaikan ketika perang walaupun sewaktu ibu sawat telekomunikasi dibom.

Berikutan kekangan ini, apa yang sepatutnya dibuat pengguna?

Kita sudah ada program yang dipanggil Klik Dengan Bijak iaitu satu panduan keselamatan melayari Internet.

Dengan adanya program ini, kita berharap orang ramai memikirkan dahulu implikasinya sebelum berbuat sesuatu menggunakan Internet.

Masalahnya, masyarakat kita mudah percaya, dia tengok nama si polan bin si polan dalam Facebook, dia percaya betullah orang itu, sedangkan sebenarnya tidak.

Terdapat kemungkinan apa yang ditulis dalam Internet itu sengaja dicipta anasir tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan, melakukan penipuan dan memporakperandakan keadaan.

Ramai yang menulis dalam Facebook, blog dan Twitter tidak berpegang kepada etika kewartawanan dan menulis ikut suka sahaja. Ini berbeza dengan wartawan media tradisional yang selalunya akan memeriksa kesahihan maklumat yang disampaikan oleh sumber dan ia sekali lagi akan disemak oleh editor sebelum sesuatu berita itu disiarkan.

Adakah masalah ini dihadapi negara lain?

Bukan negara kita sahaja yang menghadapi cabaran macam ini. Saya kerap berbincang dengan rakan-rakan daripada badan kawal selia lain di seluruh dunia. Mereka pun menghadapi cabaran yang sama.

Keadaan di Malaysia nampak seolah-olah lebih serius sebab kita mungkin lebih peka kepada isu, jadi kita lebih cepat dapat tangkap. Pada masa sama, mungkin reaksinya juga cepat.

Jadi mungkin kita perlu ambil masa sedetik untuk menentukan sendiri sama ada apa yang dikatakan itu adalah sebenar-benarnya sahih. Janganlah kita percaya daripada satu sumber sahaja, seelok-eloknya kita tengok daripada sumber-sumber lain juga.

Di negara lain, penduduk akan membandingkan maklumat dalam Internet dengan sumber-sumber maklumat yang lain seperti surat khabar, televisyen dan radio.

Di Malaysia, penduduk mungkin lebih mesra dengan Internet dan ada kemungkinan mereka tidak percaya kepada media arus perdana kerana menganggap semua ini adalah propaganda sahaja.

Satu lagi yang berbeza di negara ini adalah media tradisional yang cepat memberi reaksi terhadap komen tidak bertanggungjawab dalam Facebook walaupun pengikut akaun itu hanya 200 atau 300 orang sahaja. Kenapa kita nak riuh sekampung, sedangkan jumlah ini adalah cukup sedikit berbanding 30 juta penduduk Malaysia.

Wartawan mungkin tidak sedar kuasa media tradisional yang mereka wakili. Apabila isu ini telah dibangkitkan dalam media arus perdana, apa yang ditimbulkan dalam Facebook berkenaan akan diketahui oleh pembaca akhbar berkenaan dan terdapat kemungkinan pengikut akaun itu juga akan bertambah kerana media tradisional telah membantu mempopularkan Facebook terbabit.

Ada tanggapan MCMC tidak bertindak terhadap penghasut dalam Internet?

Kita kena faham bahawa kesalahan dalam undang-undang ini tertakluk kepada kesalahan yang hakiki. Contohnya, kesalahan ugutan. Sama ada melalui cakap mulut secara berdepan atau tulisan melalui Facebook dan Twitter adalah tetap ugutan.

Kita ada undang-undang yang memang khusus bagi kesalahan mengugut yang terkandung dalam Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa polis. Maksudnya undang-undang Malaysia sedia ada terpakai sama ada di alam maya atau alam nyata. Tetapi apabila pihak polis memerlukan pertolongan untuk mendapatkan bukti, kita akan membantu dari segi teknikal dan forensik.

Ramai yang beranggapan bahawa segala perkara berkaitan Internet, ia termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dalam bidang kuasa MCMC. Tanggapan ini tidaklah begitu tepat.

Sebenarnya, hanya terdapat dua kesalahan sahaja yang betul-betul di bawah kuasa MCMC iaitu Seksyen 211 dan Seksyen 233 yang dalam konteks pendakwaan di mahkamah, kebiasaannya akan dijadikan tuduhan pilihan kedua. Ia berkaitan kesalahan melakukan bibit-bibit yang membawa kepada hasutan. Tetapi ini belum hasutan betul-betul.

Biasanya pihak pendakwa raya akan pergi kepada dakwaan yang mengenakan hukuman lebih berat dulu yang terkandung dalam Akta Hasutan 1948 yang di bawah bidang kuasa polis atau akta-akta lain yang relevan.

Sebagai contoh, dalam kes Alvin Tan dan Vivian Lee. Yang kesan, siasat dan merekodkan kenyataan mereka adalah MCMC, tetapi apabila didakwa bukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Sebaliknya mereka didakwa di bawah Akta Penapisan Filem, sebab mengeluarkan bahan lucah yang tidak ditapis; Akta Hasutan kerana mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan kemarahan umat Islam dan Kanun Keseksaan kerana menimbulkan keadaan yang boleh menimbulkan huru-hara di antara masyarakat. Hak untuk mendakwa adalah tertakluk kepada Pejabat Peguam Negara. Kami hanya bertindak sebagai agensi penyiasat.

Sebab itu, bila orang kata kita tak bertindak dan tak tegas, saya harap mereka memahami undang-undang terlebih dahulu iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia itu bukanlah satu sahaja akta yang boleh dipakai dalam dunia maya ini.

Bagaimana dengan tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA)?

Daripada siasatan kami setakat ini, ada segolongan yang membahasakan diri mereka sebagai RBA atau mereka yang simpati kepada konsep dibawa kumpulan berkenaan.

Tetapi kalau nak dikatakan tentera, saya rasa tidak. Berapa besar kumpulan itu, wallahualam. Kalau tanya saya, takrifan tentera adalah satu bala tentera yang mempunyai pengkhususan dan ada struktur pemerintahannya.

Maklumat yang kami terima setakat ini, tidak sebegitu strukturnya dan ia tidaklah sebegitu teratur. Sesiapa yang mempunyai maklumat sahih yang boleh membantu siasatan terhadap RBA, kami sedia menerima dan kami akan bekerjasama dengan pihak polis berkenaan hasil siasatan.

Difahamkan MCMC telah mengenakan kompaun terhadap syarikat telekomunikasi berhubung isu panggilan telefon bimbit kerap terputus?

Ya, mereka tidak menepati piawaian yang ditetapkan dan setelah beberapa amaran dikeluarkan, akhirnya denda terpaksa dikenakan.

Untuk jangka panjang, dalam menyelesaikan masalah ini kita perlu mengetahui penyebabnya. Salah satu puncanya adalah penggunaan aplikasi atau peranti jalur lebar yang melebihi apa yang dapat ditampung oleh prasarana sedia ada. Ini berpunca kerana peranti berkenaan lebih mudah didapati dan lebih murah sekarang ini. Caj langganannya juga lebih murah.

Malahan Malaysia baru-baru ini diiktiraf sebagai negara paling teratas daripada 46 negara membangun di seluruh dunia yang mana akses kepada Internet dan jalur lebar adalah yang paling mampu milik. Sekarang ini kita juga ada 143 peratus penembusan telefon mudah alih. Maksudnya, telefon lebih banyak daripada orang dan tiap individu mungkin mempunyai dua, tiga atau lima telefon.

Jika sesuatu rangkaian direka untuk membolehkan 2,000 panggilan serentak dibuat tetapi apabila berlaku keadaan di mana panggilan serentak melebihi jumlah itu, ia mungkin akan menyebabkan panggilan terputus berlaku.

Ini boleh ditangani dengan menambah kapasiti serta penambahbaikan rangkaian dan pembinaan menara pemancar baharu. Ini yang sedang dibuat sekarang oleh pembekal-pembekal perkhidmatan dan ia akan memakan masa dan belanja yang cukup banyak.

Bukan hanya KPDNKK perlu bertegas

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Komentar Oleh Zulkiflee Bakar

APABILA isu penyelewengan diesel subsidi didedahkan yang secara jelas membuktikan terdapat kelemahan dan kepincangan dari segi penguatkuasaan, ramai menuding jari ke arah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ada kelemahan yang berlaku di bahagian itu tetapi pada masa sama, kita juga sudah menyaksikan ketegasan menterinya, Datuk Seri Hasan Malek yang menyatakan, kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya yang terlibat dalam perbuatan menyalahi undang-undang termasuklah dalam isu penyelewengan diesel bersubsidi tersebut.

Selain itu, Hasan memberi jaminan bahawa kementerian akan mengkaji untuk mengehadkan tempoh penempatan pegawai-pegawai penguat kuasa di sesuatu kawasan.

Sekurang-kurangnya melalui ketegasan Hasan, ia memungkinkan KPDNKK melancarkan perang terhadap penyelewengan diesel bersubsidi.

Ternyata bukan soal menjaga imej organisasi yang menjadi perhitungan sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin, itulah yang dibuktikan oleh Hasan dan pegawai-pegawainya.

Oleh itu agensi-agensi penguat kuasa lain, jangan berasa selesa seolah-olah anggota mereka bersih daripada amalan rasuah. Sebenarnya, penyelewengan diesel subsidi ini turut melibatkan agensi penguat kuasa lain yang sepatutnya bertanggungjawab menghalang kegiatan haram itu.

Mereka juga tidak harus berpeluk tubuh dan membiarkan sahaja KPDNKK melakukan operasi pembersihan di kementerian itu sedangkan maklumat yang diterima oleh penulis, penglibatan agensi penguat kuasa lain dalam bersekongkol dengan sindiket tidak boleh dinafikan sama sekali.

Justeru adalah wajar jika langkah yang dilakukan oleh KPDNKK turut sama diikuti oleh agensi-agensi penguat kuasa lain dalam usaha memastikan apa juga penyelewengan seperti isu diesel bersubsidi ini dapat dihapuskan sama sekali.

Ini kerana sudah berlaku kejadian kebocoran maklumat berhubung sesuatu operasi sehingga menggagalkan usaha membanteras penyelewengan yang terjadi.

Oleh itu ketelusan dan kejujuran bukan sahaja dituntut daripada KPNDKK bahkan semua kementerian memandangkan apa yang berlaku melibatkan soal mensabotaj ekonomi negara.

Dalam mana-mana juga agensi penguat kuasa tidak boleh wujud sebarang elemen pengkhianat dan penerima rasuah kerana ia akan menggagalkan usaha membasmi kegiatan haram di negara ini.

Berikutan itu agensi penguat kuasa terlibat perlu menunjukkan jiwa besar untuk mengakui bahawa mereka juga mempunyai anggota yang disyaki bersekongkol dengan sindiket.

Berdasarkan maklumat yang diterima penulis, hampir semua agensi penguat kuasa mempunyai anggota yang bersedia menerima rasuah daripada sindiket.

Oleh itu, agensi penguat kuasa perlu telus dalam soal ini, jangan biarkan mana-mana pegawai atau anggota mereka menjadi taiko kepada sindiket.

Sementara soal ketelusan dan kejujuran perlu ditingkatkan, pada masa sama kelemahan dan kepincangan dari segi penguatkuasaan juga harus diperbaiki segera.

Pelbagai prosedur dan kaedah perlu dikaji semula bagi memastikan sindiket tidak bersandiwara dengan menghentikan operasi mereka sementara berikutan perang yang dilancarkan oleh KPDNKK.

Sudah acap kali berlaku, sindiket akan memperlahan atau menghentikan kegiatan mereka apabila mengetahui pihak berkuasa sedang melancarkan operasi.

Kalau pun mereka meneruskan operasi, ia akan dilakukan secara berhati-hati dan menjadikan anggota agensi penguat kuasa yang telah dirasuah sebagai mata dan telinga mereka.

Kesudahannya operasi yang dijalankan hanya sia-sia dan tidak berapa lama kemudian sindiket yang terlibat akan aktif semula.

Justeru adalah wajar isu penyelewengan diesel bersubsidi ini dicari jalan penyelesaian yang jitu dan bukan sekadar bermusim setelah didedahkan oleh media. Pembaziran wang kerajaan secara tidak wajar berikutan penyelewengan yang berlaku perlu dihentikan.

Dalam soal ini, sudah tiba masanya, kerajaan melalui kementerian-kementerian yang terlibat mencari kaedah paling berkesan untuk mengatasi masalah ini.

Biarlah kaedah yang bakal dijalankan tidak popular atau dilihat menyusahkan, itu lebih baik daripada kerajaan terpaksa menanggung akibat perbuatan tidak amanah kakitangan dalam agensi penguat kuasa.

Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi tidak sehebat mana, paling ampuh pun mereka menggunakan gengster bagi melindungi kegiatan mereka.

Tetapi jika kerajaan mempunyai mekanisme untuk menghalang sindiket tersebut daripada beroperasi, ia sudah pasti akan melumpuhkan kekuatan mereka.

Apa yang diperlukan iltizam dan kesungguhan secara berterusan, bukannya hangat-hangat tahi ayam kerana sindiket tidak pernah mengenal erti penat, kelemahan pelaksanaan oleh agensi kerajaan ibarat rezeki kepada mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


KRU akan siasat punca lagu-lagu Wings kena cetak rompak

Posted: 23 May 2014 02:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Mei - KRU Music selaku syarikat rakaman yang mempromosi dan memasarkan album terbaharu kumpulan rock Wings berjudul 'Menakluk Kosmos' akan menyiasat punca empat lagu daripada album ke-13 Wings itu dicetak rompak baru-baru ini.

Menurut Presiden KRU Music, Norman Abdul Halim, pihaknya memandang serius perkara itu bagi menepis tanggapan sesetengah pihak yang menyalahkan syarikat rakaman seperti KRU sebagai punca berlakunya gejala tersebut.

"Saya banyak baca di blog-blog yang seolah-olah menyalahkan label seperti KRU sedangkan kami telah melaburkan hampir RM200,000 bagi mempromosikan album ini. Sama macam Wings, saya juga sedih apabila berlakunya perkara ini.

"Kami akan menyiasat tentang perkara ini termasuklah dengan mendapatkan maklumat dalaman atau punca bagaimana lagu seperti 'Menakluk Kosmos, Bisa Yang Tertunda' dan 'Segitiga Piramida' diedarkan di YouTube dan sebagainya," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Cinta kampus satukan pasangan guru

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD

KELUARGA besar Ab. Hamid dan Narimah ketika meraikan majlis perkahwinan anak mereka di Kuantan, Pahang.

BERMULA sebagai seorang rakan ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) 41 tahun lalu, Datuk Ab. Hamid Md. Shah, 62, dan isteri, Datin Narimah Daud, 61, tidak pernah terfikir akhirnya mereka menjadi pasangan suami isteri.

Ketika itu, Ab. Hamid merupakan seorang senior yang cukup aktif bersukan terutama bermain ragbi dan masing-masing sering bergerak di dalam kumpulan.

Entah bagaimana, ajakan Ab. Hamid yang merupakan Tokoh Guru Pahang 2013 supaya Narimah menemaninya untuk menonton wayang pada satu hari cukup menyakinkan rakan-rakan ada sesuatu di antara mereka.

Bagi Narimah yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang, dia juga tidak menyangka perkenalan selama tiga tahun akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta.

"Saya sendiri tidak sedar, tidak tahu bila kami bercinta. Bila mengenali hati budinya sebagai seorang rakan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berumah tangga.

"Boleh saya sifatkan sebagai kahwin posting, sebab Datuk ketika itu mengajar di SMK Rompin, Pahang dan saya di tahun ketiga Diploma Pendidikan, UM," kata ibu kepada tujuh cahaya mata ini kepada S2 ketika ditemui di kediaman mereka di Medan Tok Sira, Kuantan, Pahang.

Sementara itu, menurut Ab. Hamid, beliau sendiri tidak menyedari sejak bila hatinya terpaut kepada suri hidupnya itu sehingga mereka diijabkabulkan tanpa melalui majlis pertunangan.

BERTOLAK ansur, saling memahami dan menyokong satu sama lain, resipi kebahagiaan Ab. Hamid Md. Shah dan Narimah Daud sejak 38 tahun lalu.

"Perkenalan selama tiga tahun di kampus sudah cukup untuk kami mengenali hati budi masing-masing sebelum kami membuat keputusan untuk berkahwin.

"Bagi saya, dalam perkahwinan perkara paling utama adalah saling memahami antara satu sama lain sama ada minat pasangan, karektor atau apa sahaja.

"Begitu juga dengan anak-anak, kami sentiasa memberikan kebebasan kepada mereka terutama dalam memilih pasangan dan anak-anak juga akan terus berkahwin apabila sudah bersedia tanpa melalui proses pertunangan seperti kebiasaan pasangan lain," jelasnya yang berkhidmat sebagai Pengarah Buku Teks, Kementerian Pelajaran (kini Kementerian Pendidikan) sebelum bersara pada 2008.

Bahtera yang dibina selama 38 tahun itu diserikan dengan kehadiran 10 orang cucu. Kedua-duanya setiap hari berdoa agar rumah tangga yang dibina terus kekal, utuh dan penuh harmoni buat selamanya. Apatah lagi, pasangan ini sering bertolak ansur dalam apa jua perkara, di samping memahami dan menyokong minat masing-masing, sekali gus menjadi kunci kebahagiaan yang dinikmati hari ini.

Seperti sesetengah pasangan lain yang tinggal berjauhan akibat tuntutan tugas, Ab. Hamid tetap akan meluangkan masa setiap hujung minggu untuk pulang ke Kuantan dari ibu negara bersama keluarga.

Tambah Narimah, ketika berjauhan kira-kita empat tahun sebelum suaminya bersara, Ab. Hamid pasti akan pulang setiap hujung minggu walaupun hanya mendapat sehari bercuti.

"Selepas masing-masing bersara, saya akan memastikan sebelum Maghrib anak-anak akan berkumpul di rumah, minum dan berbincang atau bercerita mengenai aktiviti seharian.

"Sudah menjadi kemestian, sesibuk mana pun, setiap petang kami akan berkumpul, jika anak-anak mempunyai urusan pada waktu malam, mereka boleh keluar selepas solat Maghrib. Aktiviti berkumpul ini yang mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga," jelasnya yang kini aktif dalam berpersatuan.

Berhenti kerja digoda isteri orang

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh Normala Hamzah
normala.hamzah@utusan.com.my

DI kala nilai kasih sayang dipinggirkan dan sifat benci serta dendam lebih mekar, maka dengan sendirinya akan terhakis nilai-nilai murni yang selama ini menjadi kekuatan seorang manusia.

Pengalaman membuktikan bagaimana akan hancur sebuah hubungan lantaran sikap manusia yang membelakangkan nilai kasih sayang sesama manusia.

Hakikat yang sukar untuk dinafikan iaitu budaya dendam dan membenci yang kian membarah dalam diri, sekali gus menghakis tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Keghairahan merebut kuasa sering kali menjadikan masyarakat semakin hilang pertimbangan rasional dan nilai kasih sayang sehingga ada yang tergamak memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

Ini cerita yang saya pilih untuk dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Zabidi (bukan nama sebenar) yang telah hampir 10 tahun berlalu tetapi masih segar dalam ingatan.

Kata Zabidi, ia sekadar pengalaman hidup yang ingin dikongsi dengan pembaca di luar sana. Jika anda pernah teraniaya, jangan gundah atau kesal, sebaliknya berusahalah untuk memajukan diri dan bertawakal kepada Ilahi kerana segala yang tersurat akan ada hikmahnya.

Begini kisah Zabidi.

"Ketika menuntut di universiti, saya berkenalan dengan seorang gadis bernama Suri (bukan nama sebenar). Kami kerap bertemu di perpustakaan untuk mencari maklumat dan juga menghabiskan masa membaca dan mengulang kaji pelajaran.

"Di luar bilik kuliah, kami keluar secara berkumpulan dan begitulah hari-hari yang saya lalui sehingga terbit bibit-bibit kasih, namun kami masing-masing memendam perasaan.

"Mujur seorang sahabat sanggup menjadi orang tengah dan kami disatukan sebagai pasangan kekasih. Syukur kerana cinta kami mendapat restu daripada keluarga. Akhirnya setelah hampir setahun bertunang, kami disatukan sebagai suami isteri.

"Kami dikurniakan dua orang anak, yang sulung berusia 11 tahun dan yang kedua lapan tahun. Melihat mereka membesar, satu kepuasan dan keluarga adalah segalanya dalam hidup kami.

"Anak-anak umpama permata yang menyinari dan membahagiakan sesebuah keluarga. Oleh itu, setiap ibu bapa wajib menyempurnakan amanah tersebut. Jika betul didikan maka terhasil sebuah kehidupan yang harmoni. Itulah yang kami lakukan untuk mendapatkan anak soleh dan solehah serta keluarga bahagia mengikut syariat.

"Isteri saya mohon untuk bersara awal kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan saya amat gembira dengan keputusan Suri.

"Hari bertukar tahun akhirnya saya dinaikkan pangkat. Ini rezeki untuk keluarga dan saya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak atasan serta berjanji untuk meningkatkan lagi prestasi tugasan yang telah diamanahkan.

"Suasana di pejabat tidak sama seperti di rumah yang mana setiap kerja boleh ditangguhkan. Di pejabat, segalanya memerlukan kepantasan untuk menyiapkan tugasan jika diminta berbuat demikian.

"Rakan sekerja saya, Siti (bukan nama sebenar) menjadi teman setia saya dalam melakukan kerja-kerja di pejabat, sebab kami berada di unit yang sama.

"Dalam diam, Siti menyimpan perasaan terhadap saya walaupun dia berstatus isteri orang. Saya pura-pura tidak memahami perasaannya, sebaliknya terus menumpukan pada perkara yang melibatkan tugasan rasmi kami seperti yang diarahkan.

"Saya selalu berpegang kepada pesanan ibu saya, kita perlu rasional dalam tindakan jika terbabas sukar untuk berpatah balik atau membuat pusingan U.

"Setiap kali bila kelapangan saya akan menghubungi isteri di rumah, bertanyakan khabar dan menu apa yang disediakan untuk kami sekeluarga.

"Walaupun disindir oleh rakan-rakan tetapi bagi saya itu satu cara untuk mengelak daripada terjebak dengan hubungan terlarang yang amat dahsyat kesannya.

"Siti sesekali menyindir saya kerana menolak pelawaannya untuk makan bersama. "Hai takutkan orang rumah ke?" tetapi saya tidak memberi apa-apa respons kerana sudah masak dengan kerenahnya yang suka mengambil kesempatan.

"Kerana terlalu marah dengan saya yang tidak melayannya, Siti telah menyebarkan cerita yang kononnya rumah tangga kami sedang dilanda badai. Berita yang kurang menyenangkan ini sampai ke pengetahuan isteri saya.

"Suri amat memahami situasi di pejabat kerana dia juga pernah bekerja, jadi dia abaikan sahaja hal tersebut bila saya menceritakan hal yang sebenar. Untuk apa mengundang dosa jika kebahagiaan telah berada dalam genggaman.

"Pelbagai idea Siti lakukan untuk menjerat saya tetapi saya tidak sebodoh yang dia fikirkan. Setelah berbincang dengan isteri di rumah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang tinggi dan lumayan gajinya demi menyelamatkan rumah tangga saya.

"Tindakan saya telah mencetuskan pelbagai tanggapan dalam kalangan rakan-rakan tetapi saya diamkan sahaja kerana tidak mahu mendedahkan aib seorang wanita yang bergelar isteri orang.

"Jika dilayan akan menjadi-jadi perangainya, mengalahkan orang bujang. Malah dia langsung tidak rasa bersalah dan malu dengan perangainya itu.

"Kini, saya merasa tenteram dan aman dengan tugasan baru yang saya pikul. Sekurang-kurangnya saya tidak diganggu oleh isteri orang yang menggoda saya di pejabat.

"Kehidupan saya kini lebih membahagiakan dan kerja baru saya juga memberi rezeki yang lebih lumayan untuk kami sekeluarga. Saya amat bersyukur kerana diberi kesedaran lebih awal oleh Allah untuk menyelamatkan rumah tangga saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Suri yang sangat memahami masalah saya dan tidak melatah dengan apa yang saya hadapi.

"Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan isteri terutama apabila membabitkan orang ketiga tetapi saya dikurniakan seorang isteri yang baik dan penyabar orangnya.

"Sebagai lelaki, saya amat pelik dengan sikap wanita sekarang yang terlebih berani. Mereka tidak ada perasaan malu dan segan hingga sanggup menggoda lelaki lain sedangkan mereka juga ada suami.

"Apa hendak jadi dengan dunia sekarang, saya pun tidak tahu. Saya berdoa supaya Siti sedar akan perangainya yang salah itu dan mudah-mudahan dia akan insaf dan bertaubat. Hidup ini hanya sementara, jadi sebelum terlambat elok kembali ke pangkal jalan.

"Sepatutnya dia malu dengan sikap buruknya itu setelah saya tidak melayannya tetapi ini tidak, dia semakin menjadi-jadi hingga saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.

"Selepas ini, saya tidak tahu siapa pula yang akan menjadi mangsanya. Harapan saya, semoga dia menghentikan perangai buruknya itu dan kembali mentaati suami yang sangat mencintainya.

"Saya kesal kerana suaminya tidak tahu isterinya berperangai begitu dan mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hatinya untuk kembali menjadi isteri yang solehah. Kepada para suami di luar sana yang mungkin menghadapi situasi sama seperti saya, jangan melatah dan mengikut arus. Kalau boleh elak, elok mengelak.

"Fikirkan masa depan anak-anak, fikirkan pengorbanan isteri. Tumpukan perhatian terhadap keluarga kerana mereka adalah amanah Allah. Masalah boleh selesai jika kena caranya. Semoga Allah merahmati keluarga saya di dunia dan akhirat. Amin, Zabidi menamatkan ceritanya.

Terkedu saya dengan cerita Zabidi. Memang Zabidi terbukti seorang suami yang baik, prihatin dan sayangkan isteri dan anak-anaknya.

Sebagai ketua keluarga, Zabidi telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Pengorbanannya meletak jawatan kerana menjaga maruahnya amat dipandang tinggi. Alangkah bahagianya rumah tangga jika ada ramai lagi lelaki seperti Zabidi dalam masyarakat kita.

Doa saya agar Allah makbulkan doa Zabidi untuk kebahagiaan keluarganya di dunia dan akhirat.

Menamatkan catatan, pesanan saya, wanita insan yang dikurniakan dengan keajaiban, dia boleh menjadikan sesebuah rumah itu seperti syurga dan bisa menukarnya menjadi sebuah neraka.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Peniaga bazar Ramadan dipantau

Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusan.com.my

Sebahagian daripada peniaga yang hadir semasa proses pengundian tapak bazar Ramadan bagi kawasan Lorong Tuanku Abdul Rahman di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR 22 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertingkatkan tahap pemantauan dan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menyalahgunakan tapak bazar Ramadan pada tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, langkah tersebut bagi memastikan kes menjual atau menyewa tapak bazar oleh peniaga kepada peniaga lain, termasuk warga asing tidak berlaku.

Menurutnya, tindakan tegas boleh diambil termasuk menarik semula lesen mereka dan menyita gerai jika didapati bersalah.

"Peniaga atau pembantu warga asing juga tidak dibenarkan terlibat di tapak bazar Ramadan. Bagi kesalahan pertama, wang cagaran peniaga akan dipotong sepenuhnya dan lesen dibatalkan.

"Kita berharap para peniaga jangan menyalahgunakan peluang yang diberi kepada mereka kerana ramai lagi yang memohon tetapi tidak dapat. Bersyukurlah jika dapat (tapak bazar) dan berniagalah dengan sebaik-baiknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pengundian bazar Ramadan bagi Lorong Tuanku Abdul Rahman di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Sebanyak 1,086 permohonan diterima daripada peniaga yang ingin menjalankan perniagaan di 407 tapak yang disediakan DBKL di kawasan tersebut.

Ahmad Phesal memberitahu, mana-mana tapak bazar yang ditarik balik daripada peniaga ingkar akan diserahkan kepada peniaga lain yang benar-benar berminat dan jujur mahu berniaga.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa sistem undian yang digunakan kali ini adalah telus dan mendapat sokongan persatuan-persatuan penjaja di Kuala Lumpur.

"Pelbagai langkah dilaksana bagi memastikan tiada sebarang kejadian rasuah mahupun bersekongkol dengan mana-mana pihak bagi mendapatkan tapak tersebut malah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir bagi memantau proses undian ini," katanya.

Beliau juga menasihati para peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan selain memberi perhatian terhadap kualiti serta kebersihan makanan dan persekitaran di bazar Ramadan nanti.

Sementara itu, rata- rata peniaga yang memohon tapak bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman melahirkan rasa puas hati terhadap sistem undian tapak bazar yang dilaksanakan.

Peniaga pakaian terpakai, Fazilah Abd. Halim, 48, bersyukur kerana permohonannya untuk berniaga di tapak yang menjadi tumpuan ramai itu tercapai.

"Ini merupakan kali pertama saya membuat permohonan. Saya berjanji akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan," katanya .

Bagi seorang peniaga pakaian tradisional, Faheizal Besah, 36, dia tidak menyangka permohonannya pada tahun ini turut berjaya seperti tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana mengetatkan lagi syarat bagi mendapatkan lesen, bahkan turut membuat penambahan tapak untuk berniaga," katanya.

Seorang lagi peniaga, Shamsuddin Yusoff, 50, berkata, sistem undian yang diperkenalkan pihak berkuasa tempatan itu sejak tahun lalu adalah lebih adil berbanding sebelum ini.

"Jika sebelum ini pengawasan oleh DBKL agak longgar, kini lebih teratur dan memudahkan semua pihak.

"Saya juga menyokong langkah tidak membenarkan peniaga atau pembantu warga asing berniaga di tapak bazar kerana kehadiran mereka menjejaskan pendapatan warga tempatan," katanya.

Peniaga pakaian wanita, Norsuwati Hassan, 39, yang memohon tapak tersebut bagi kali kedua melahirkan rasa puas hati terhadap sistem undian.

RM7.5j naik taraf kawasan industri di Selangor

Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT

KLANG 22 Mei - Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta pada tahun ini bagi menaik taraf prasarana kawasan perindustrian di Selangor.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, dana itu telah disalurkan kepada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Klang yang menerima RM2.9 juta, Shah Alam (RM1.2 juta), Kuala Langat (RM1.7 juta) dan Hulu Selangor (RM1.6 juta).

Beliau berkata, dana tersebut akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan perindustrian terbabit seperti jalan raya, lampu jalan dan perparitan bagi memberi kemudahan kepada pelabur di negeri ini serta menarik lebih banyak lagi golongan tersebut.

"Setiap tahun Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan khas untuk memastikan infrastruktur di kawaasn industri di negeri ini sentiasa terjaga bagi memberi kemudahan kepada pelabur.

"Bagi tempoh tiga tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM42.3 juta dan ini jelas menunjukkan Kerajaan Persekutuan komited untuk terus membangunkan Selangor, sekali gus menolak dakwaan negeri ini dianaktirikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan perindustrian di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Noh dalam pada itu berkata, kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan rakyat (PKR) juga perlu memberi sumbangan untuk memastikan prasarana di kawasan perindustrian sentiasa berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, ini penting untuk memastikan pelabur sedia ada akan kekal selain dapat menarik lebih banyak lagi pelabur dari dalam dan luar negara.

"Apa yang berlaku ketika ini, banyak jalan di kawasan perindustrian berlubang serta tidak memiliki lampu jalan atau rosak dan ini adalah satu persekitaran yang tidak baik dan boleh menjatuhkan imej negara.

"Selangor juga jatuh ke kedudukan nombor dua bagi negeri yang mencatat nilai pelaburan paling banyak untuk tahun lalu iaitu sebanyak RM9.8 bilion berbanding RM11 bilion pada 2012," ujarnya.

Mengulas lanjut, Noh berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi tumpuan kepada pentadbiran dan tidak hanya mementingkan politik kerana ia adalah sumber pendapatan negeri serta negara yang juga akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Jika perkara ini berterusan, tidak mustahil kedudukan Selangor sebagai negeri paling maju di Malaysia juga akan tergugat," tegas beliau.

133,000 DVD cetak rompak dimusnah

Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 Mei - Sebanyak 133,886 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak tanpa sijil B dan lucah dengan nilai cukai dianggarkan RM401,598 dimusnahkan hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kesemua DVD itu merupakan hasil rampasan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerusi operasi Vulture sejak tahun 2004 hingga 2012.

"Sebanyak 71 kertas siasatan dibuka sepanjang operasi itu dan seramai 40 orang ditahan kerana melakukan kesalahan mengedar dan menjual barangan haram tersebut.

"Kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002, Seksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 41 (1)(d) Akta Hak Cipta 1987," katanya dalam sidang akhbar selepas melupuskan barang rampasan itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing dan Majistret Petaling Jaya, Ahmad Solihin Abd. Wahid.

Menurut Yahaya, kesemua DVD cetak rompak yang dilupuskan itu selesai disiasat dan pengedar serta penjualnya telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu, sasaran utama pihak polis kini adalah untuk membanteras sindiket- sindiket yang beroperasi di sekitar pasar malam, pasar awam, tepi jalan dan kedai-kedai.

"Kita giat memerangi sindiket ini dan mengharapkan kerjasama daripada orang ramai bagi menyalurkan maklumat tentang penjualan DVD cetak rompak agar kegiatan tersebut dapat dibanteras," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


UTM rancang tubuh syarikat global

Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Wahid Omar (duduk tujuh dari kiri) bersama para presiden universiti luar negara sempena Forum Presiden Universiti 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 22 Mei - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merancang menubuhkan sebuah syarikat bertaraf global dan menyenaraikannya di Bursa Malaysia pada masa akan datang.

Hasrat tersebut disuarakan oleh Naib Canselornya, Prof. Dr. Ir. Wahid Omar yang memaklumkan, universiti itu kini giat menjalankan pelbagai usaha dalam memastikan perancangan tersebut mampu direalisasikan.

Tanpa mahu memberikan maklumat terperinci tentang usaha berkenaan, beliau memberitahu, UTM mahu mencontohi Universiti Southampton, United Kingdom yang kini mempunyai dua syarikat yang disenaraikan.

Menurutnya, perancangan mewujudkan syarikat seumpama itu kelak akan digerakkan menerusi produk penyelidikan UTM.

"Perkara seumpama itu sudah jelas tidak mustahil untuk diwujudkan dan UTM sedang merancang ke arah itu. Walau bagaimanapun, masih jauh lagi perjalanan sekali gus kita akan terus berusaha ke arah itu.

"Kita cuba mempelajari daripada Universiti Southampton, kita masih merangkak lagi. Kalau belajar sendiri lambat, belajar dengan pengalaman lebih senang," katanya selepas merasmikan Forum Presiden Universiti Ke-6 anjuran UTM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Forum yang disertai lebih 50 peserta terdiri daripada pegawai kanan universiti terkemuka dari 30 negara itu diadakan selama tiga hari bermula semalam dianjurkan sempena majlis konvokesyen UTM Ke-52.

Antara universiti yang menyertai forum bertemakan 'Peluang Kerjasama Global Dalam Penjanaan Ilmu dan Inovasi' itu ialah Universiti Meiji (Jepun), Universiti Hanyang (Korea) dan Universiti Gadjah Mada (Indonesia).

Selain itu, Universiti Newcastle (Australia), Universiti Pennsylvania (Amerika Syarikat) dan Universiti Tsukuba (Jepun) turut mengambil bahagian.

Mengenai forum tersebut, Wahid berkata, program berkenaan bertujuan memberi platform kepada pengurusan tertinggi universiti bertukar pandangan tentang isu global berkaitan pengajian tinggi.

Perbincangan turut menyentuh usaha membina kemampuan tenaga manusia di negara ASEAN menerusi kerjasama antarabangsa strategik.

Polis tumpaskan kumpulan pecah rumah, sekolah

Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT

LEDANG 22 Mei - Polis berjaya melumpuhkan satu kumpulan pecah sekolah dan rumah apabila mereka ditahan di sebuah rumah sewa di Jalan Muar-Tangkak, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Mohamed Salleh Abd. Razak berkata, empat lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 48 tahun serta seorang warga Thailand berumur 39 tahun ditahan dalam serbuan Op Cantas Khas.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, pihak polis merampas satu enjin motosikal; lapan telefon bimbit pelbagai jenama; satu komputer riba jenis Acer dan Dell serta satu monitor jenis Acer dan Dell.

"Selain itu, kami turut menemui satu peket mengandungi dadah dipercayai jenis heroin seberat 0.63 gram di rumah berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Salleh, hasil siasatan, suspek mengaku melakukan lebih daripada satu kes pecah bangunan dan kumpulan tersebut berjaya dijejaki hasil maklumat orang awam serta berdasarkan satu laporan polis tentang kes pecah sekolah.

Katanya, kes itu dilaporkan pada 12 Mei tahun lalu, apabila seorang kakitangan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kampung Parit 3, Sagil di sini, membuat laporan polis tentang kehilangan beberapa barangan seperti komputer riba dan monitor bernilai lebih RM10,000.

Mohamed Salleh berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek sebelum berjaya memberkas kesemua mereka di rumah tersebut.

Mengenai lelaki Thailand itu, pemeriksaan mendapati, suspek masuk ke negara ini menggunakan dokumen perjalanan sah namun tinggal di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan dan didapati positif dadah jenis heroin.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib ajak rakyat beri sokongan untuk skuad Piala Thomas

Posted: 23 May 2014 02:39 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada pasukan Piala Thomas negara yang akan menghadapi Indonesia pada separuh akhir di New Delhi, India, malam ini.

Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada skuad negara kerana berjaya mara ke pusingan separuh.

"Marilah kita berdiri teguh di belakang pasukan Thomas Cup2014 negara. Tahniah atas kejayaan pada suku akhir, teruskan kemaraan Malaysia," kata Perdana Menteri dalam akaun Twitter beliau.

Malaysia menepati sasaran ke separuh akhir Piala Thomas 2014 apabila mengalahkan juara Eropah, Denmark 3-1 pada perlawanan suku akhir, malam tadi.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir, juara bertahan China berdepan dengan Jepun. - BERNAMA

Kerajaan kaji semula peraturan cermin gelap - Hishammuddin

Posted: 23 May 2014 02:35 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk mengkaji semula aspek penggunaan cermin gelap, termasuk peraturan sedia ada, pengkuatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan, kata pemangku menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata, bahawa MOT sedia maklum mengenai pandangan dan maklum balas rakyat yang beranggapan peraturan dan undang-undang berhubung penggunaan cermin gelap ketinggalan zaman.

"Susulan daripada pandangan dan maklum balas ini, saya ingin memaklumkan kementerian sedia mengkaji dan meminda semula peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan.

"Saya telah mengarahkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Long See Wool untuk menganjurkan bengkel khas bagi tujuan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa kini, Kaedah 5 (1) dan Kaedah 5 (3), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000, menetapkan cermin cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70 peratus, manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang daripada 50 peratus.

Mereka yang melanggar peraturan ini boleh didenda RM500 atau penjara tidak melebihi dua minggu bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan seterusnya boleh didenda RM1,000 atau penjara maksimum sebulan. - BERNAMA

Feng Yi bersedia untuk menjadi ibu

Posted: 23 May 2014 02:12 AM PDT

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

SIFAT keibuan...PANDA Feng Yi kelihatan mesra bersama seekor anak panda yang terdapat di Zoo China, tahun lepas. - GAMBAR www.pandasinternational.org

KUALA LUMPUR 23 Mei - Pasangan Panda Gergasi dari China, Fu Wa dan Feng Yi yang tiba di ibu negara kelmarin, kini selesa dengan persekitaran tempat tinggal mereka yang baharu iaitu di Pusat Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara, Hulu Kelang dekat sini.

Pengarah Zoology dan Veterina, Pusat Konservasi Panda Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli bagaimanapun berkata, walaupun Feng Yi berada dalam tempoh untuk mengawan tetapi pasangannya, Fu Wa memberikan reaksi yang bertentangan.

"Biologi reproduktif panda betina sebenarnya unik berbanding dengan haiwan lain. Tempoh reproduktif panda betina adalah dalam masa 72 jam setahun. Oleh itu, kita bolehlah dikatakan bertuah kerana pada ketika ini, Feng Yi sedang mengalami tempoh tersebut.

"Tanda-tanda Feng Yi bersedia untuk mengawan ialah dia mengeluarkan bunyi khas secara berterusan selain daripada tanda-tanda fizikal yang terdapat pada panda betina itu. Ini bererti, panda betina sekarang ini berada pada tahap tinggi untuk mengawan," kata Dr. Mat Naim dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dr. Mat Naim berkata, penjaga dan veterina panda dari China yang dipinjamkan untuk bertugas di pusat konservasi di sini turut meminta pandangan dari pihak Zoo Negara apakah perlu diambil kesempatan terhadap perubahan biologi Feng Yi supaya boleh dimulakan proses mengawan. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved