Jumaat, 7 Jun 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan 'segan' terima bantuan

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

Rahman Sidek

KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disaran agar keluar daripada sistem tradisional mereka yang hanya menerima 'bekalan' pemain daripada akademi sendiri atau Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), sebaliknya turut meninjau bakat yang dilahirkan oleh kelab-kelab persendirian.

Badan badminton negara itu selama ini dilihat tidak begitu mempedulikan kehadiran pemain-pemain daripada akademi persendirian dan perkara tersebut sebenarnya hanya merugikan badminton Malaysia sendiri kerana kita memiliki ramai bakat 'tidak nampak' yang boleh diketengahkan.

Jurulatih Nusa Mahsuri, Rahman Sidek berkata, di Malaysia terdapat banyak akademi persendirian yang melatih pemain-pemain muda secara sistematik, malah mereka menggaji jurulatih yang berkaliber, justeru tidak mustahil jika ada antara pemain yang dilahirkan oleh kelab-kelab ini mempunyai potensi besar dan boleh diserap ke dalam skuad kebangsaan.

"Eropah sudah lama menggunakan sistem kelab dan lihat sekarang bagaimana Jerman tiba-tiba saja mampu melahirkan pemain yang bagus hingga berjaya menewaskan Malaysia pada Piala Sudirman.

"Lihat juga apa yang berlaku di Thailand. Mereka menggunakan sistem kelab sepenuhnya dalam pemilihan pemain profesional untuk mewakili negara, sistem itu nyata berjaya dan mereka kini sudah mempunyai ramai jagoan bertaraf dunia yang muncul pada usia muda.

"Saya tidak kata, sistem kelab harus digunakan sepenuhnya di Malaysia, mungkin di negara kita ia belum cukup bersedia dijadikan teras utama pemilihan pemain badminton kebangsaan tetapi sekurang-kurangnya BAM boleh bekerjasama dengan kelab-kelab persendirian kerana mereka memiliki ramai bakat yang tidak diketahui.

"Di Malaysia ada banyak kejohanan yang dianjurkan oleh kelab-kelab atau akademi persendirian, bayangkan daripada ribuan peserta berapa banyak bakat yang boleh dikesan ? BAM sepatutnya hantar wakil untuk meninjau, ikuti setiap program yang dianjurkan untuk mengesan bakat-bakat ini.

"Mereka tidak rugi apa-apa, semua kejohanan itu dianjurkan tanpa menggunakan wang BAM. Lagi pun, kami juga akan tumpang gembira kalau ada pemain kami dipilih mewakili negara," kata Rahman ketika ditemui pada sesi latihan Nusa Mahsuri di Kelana Jaya, semalam.

Menurut Rahman lagi, sebagai bekas pemain kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia pada kejohanan utama seperti Piala Thomas, perkembangan badminton tanah air ketika ini begitu menyedihkannya dan dia berharap dapat melakukan sesuatu untuk membantu sukan yang amat disayangi.

Malah, Rahman percaya, ramai orang di luar BAM sedia menghulurkan bantuan untuk menaikkan semula zaman kegemilangan badminton negara tetapi tidak diberi ruang untuk berbuat demikian.

"Sudah sampai masanya, BAM bersikap lebih terbuka. Mungkin mereka boleh dapatkan pandangan daripada orang-orang di luar badan itu yang punya pengetahuan atau kepakaran tentang badminton. Apa salahnya jika kita berkongsi pandangan, itu tidak merugikan sesiapa.

"Kita tengok di Indonesia, PBSI (Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia) mula mengumpulkan bekas-bekas legenda mereka seperti Rexy Mainaky, Ricky Subagja, Susi Susanti, Joko Suprianto.. ini semua kerana apa ? Kerana mereka tahu, hanya orang-orang yang pakar dalam badminton tahu bagaimana hendak membawa sukan itu pergi lebih jauh.

"Saya percaya, dalam tempoh enam bulan hingga setahun, orang-orang ini mampu membawa impak kepada badminton Indonesia, malah pada Piala Sudirman tempoh hari kita sudah nampak semangat sangat berbeza.

"Bila semua orang yang sayangkan badminton dan pakar dalam badminton berkumpul, sudah tentu ia akan membawa perbezaan," kata Rahman lagi.

Selain Nusa Mahsuri, Malaysia mempunyai banyak akademi dan kelab persendirian yang aktif mengadakan kejohanan serta latihan insentif mereka sendiri seperti Looi Academy, Kelab Badminton Kawasaki, New Vision Academy dan YKH Academy, yang dimiliki oleh pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996, Yap Kim Hock.

KLRC pula menaungi pemain-pemain yang mahu bergerak secara profesional di pentas antarabangsa.

Azlan ganti Shahidan?

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
sukan@utusan.com.my

Azlan Man

KANGAR - Menteri Besar Perlis, Azlan Man bakal menerajui Persatuan Bolasepak Perlis (PFA)?.

Perkara itu tidak mustahil kerana namanya telah dicadang sebagai Presiden baharu bagi menggantikan penyandang jawatan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digantung 30 bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kesalahan mengkritik badan induk itu baru-baru ini.

Hukuman yang dikenakan ke atas Shahidan, yang turut didenda RM39,000 menyebabkan bekas Menteri Besar Perlis itu hilang status sebagai presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Malah, Ahli Majlis PFA dikatakan sudah sebulat suara bersetuju untuk melantik Azlan sebagai presiden yang baharu dalam Mesyuarat Agung PFA yang akan berlangsung pada 16 Jun ini.

Setiausaha PFA, Dr. Ammar Hassan berkata, pemilihan Azlan bersesuaian dengan tujuan PFA untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi persatuan.

Katanya, perubahan juga diharap dapat memastikan perkembangan positif dalam pengurusan dan pembangunan bola sepak di negeri ini.

"Jadi, ahli-ahli dan perwakilan dalam gabungan PFA bersetuju Menteri Besar dilantik sebagai Presiden PFA yang baharu," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis PFA mengenai persiapan mesyuarat agung persatuan berkenaan, di sini semalam.

Bagaimanapun kata Ammar lagi, PFA sedang menanti jawapan daripada Azlan selepas memaklumkan hasrat PFA itu kepadanya.

"Kami (PFA) yakin Menteri Besar sedang mempertimbangkan hasrat yang disampaikannya oleh PFA dan akan memberi keputusan positif tidak lama lagi," tambahnya.

Menurut beliau, Azlan diyakini dapat memberi 'wajah' baharu kepada PFA yang kini sedang menghadapi kemelut kewangan.

Tambahnya lagi, PFA memerlukan kira-kira RM220,000 setiap bulan bagi kos pengurusan, termasuk membayar gaji pemain Liga Perdana dan Piala Presiden.

Beliau percaya mutu bola sepak negeri Perlis akan kembali menyinar jika PFA mempunyai peneraju yang mantap, kewangan yang kukuh dan pemain yang bagus.

Beliau berharap syarikat-syarikat dan tokoh-tokoh korporat terutama yang berasal dari Perlis turut menyumbang ke arah pembangunan bola sepak negeri ini.

"Kami telah membentuk jawatankuasa dana PFA yang antara lainakan mengenalpasti sumber yang boleh membantu kewangan persatuan itu," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Tunku Aziz terima ugutan bunuh

Posted: 07 Jun 2013 08:56 PM PDT

PETALING JAYA 8 Jun - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa menerima ugutan bunuh melalui panggilan telefon di rumahnya pada pukul 10.10 malam tadi.

Menurutnya, panggilan tersebut dibuat oleh seorang lelaki tidak dikenali menerusi telefon bimbit yang mengeluarkan ugutan 'I will kill you' (aku akan bunuh kau) sebelum meletakkan telefon.

Berikutan itu, Tunku Aziz membuat laporan polis pada pukul 9.50 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Perbualan itu hanya beberapa saat, saya cuba bertanya siapa dia, namun dia telah memutuskan talian. Saya percaya ugutan bunuh ini berunsurkan politik, " katanya kepada pemberita di luar pekarangan balai polis berkenaan. - UTUSAN

Jambatan runtuh: Pakar Patologi sahkan mangsa maut akibat sesak nafas

Posted: 07 Jun 2013 11:00 AM PDT

MALINDA ABDUL MALIK

PULAU PINANG, 7 Jun.- Pakar Patologi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Bhupinder Singh mengesahkan mangsa yang terbunuh di dalam insiden runtuh susur keluar jambatan kedua Pulau Pinang meninggal dunia akibat kesesakan nafas.

Katanya, mayat Tajudin Zainal Abidin, 45 mengalami kecederaan teruk di seluruh anggota badan.

"Mangsa patah kedua-dua belah kaki serta tulang rusuk di bahagian kiri.

"Mayat mangsa juga didapati reput berikutan timbunan konkrit yang memhempapnya terlalu berat," katanya selepas membedah siasat mayat mangsa. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Ghana hantar pulang pekerja haram China

Posted: 07 Jun 2013 09:21 AM PDT

ACCRA 8 Jun - Kira-kira 100 warga China yang ditahan di Ghana kerana menjadi pekerja haram di lombong emas di sini dibebaskan daripada tuduhan jenayah dan mereka akan dihantar pulang minggu depan.

Menurut pegawai Imegresen Michael Amoako-Atta, serbuan yang dilakukan di seluruh negara sejak 1 Jun itu termasuk di wilayah Ashanti, yang merupakan pusat perlombongan utama emas.

"Kami yakin dapat menghantar pulang mereka selewat-lewatnya pertengahan minggu depan," katanya. - AFP

Taliban mengaku serang tentera Georgia di Afghan

Posted: 07 Jun 2013 09:20 AM PDT

KANDAHAR 8 Jun - Kumpulan Taliban semalam mengaku bertanggungjawab dalam serangan berani mati di selatan negara ini menyebabkan tujuh tentera Georgia terkorban dan sembilan yang lain cedera.

Ketua tentera Georgia mengumumkan kematian tersebut semalam dan berkata lelaki tersebut terbunuh dalam pengeboman di dalam sebuah trak lori di luar pangkalan tentera di wilayah bergolak di Helmand.

Taliban, yang memberontak sejak 12 tahun menentang kerajaan Presiden Hamid Karzai, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), di Afghanistan mendakwa serangan tersebut sebagai "Suara Jihad" menerusi laman web milik kumpulan berkenaan. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kes Yazid, Hilmi ke Mahkamah Tinggi

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Jun - Kes bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan pembantu kafeteria, Muhammad Hilmi Hasim yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta, di sini.

Keputusan untuk memindahkan kes itu dibuat oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini setelah Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farizul Hassan Bakri.

Bagaimanapun mahkamah tidak menetapkan sebarang tarikh sebutan.

Terdahulu, peguam Wan Hidayati Nadirah Wan Ahmad Nasir yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon kebenaran mahkamah untuk memberikan masa bagi membolehkannya berbincang dengan anak guamnya itu.

Yazid dan Muhammad Hilmi didakwa menjadi ahli kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia di antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari lalu di sebuah rumah beralamat DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang.

Pertuduhan terhadap mereka berdua dikemukakan mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda.

Akhbar melaporkan, sebelum ini, kedua-dua tertuduh yang dilepas serta dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Mei lalu, ditahan semula tujuh hari kemudian oleh Jabatan Petugas Khas (Operasi dan AntiPengganas), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mereka ditahan kira-kira pukul 7.45 pagi, 27 Mei lalu di rumah masing-masing iaitu Yazid di Taman Bukit, Ampang sementara Muhammad Hilmi di Bandar Baru Sungai Buloh.

Pada Februari lalu, kedua-dua mereka termasuk seorang lagi individu ditahan polis dipercayai terlibat merekrut rakyat tempatan dalam kegiatan militan sebelum dihantar ke luar negara bagi menjalankan misi keganasan.

Di Mahkamah Tinggi sebelum ini, Yazid didakwa menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria, tahun lalu manakala Muhammad Hilmi dan suri rumah, Halimah Husein, 52, didakwa bersubahat dengan Yazid.

Lelaki bersalah ugut juruwang

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

PETALING JAYA 7 Jun - Seorang penyelenggara pendingin hawa didenda RM1,000 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut untuk menyimbah asid dan membunuh seorang juruwang, dua hari lalu.

Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap P. Moganasuntharam, 31, selepas lelaki itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap Masitah Shaifudin, 30.

Kejadian didakwa dilakukan di stesen minyak Shell, Jalan Merak, Bandar Puchong Jaya, Puchong di sini, kira-kira pukul 3.45 petang, 5 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pahang tanggung sebahagian rawatan bayi hidap hipoglisemia

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

MARAN 7 Jun - Kerajaan negeri bersetuju membiayai sebahagian kos rawatan bayi berusia lima bulan, Muhammad Asyraf Zaili yang menghidap penyakit hipoglisemia atau gejala kekurangan gula bagi mendapat rawatan pakar di Jerman pada 16 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, jumlah yang akan disumbangkan adalah sekurang-kurangnya RM50,000 dengan kos rawatan keseluruhan dijangka mencecah RM250,000.

Menurut beliau, sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpul setakat ini pula sebanyak RM110,000 tetapi masih belum mencukupi bagi membiayai rawatan yang diperlukan keluarga ini.

Penyakit yang amat jarang dilaporkan ini boleh mengancam nyawa penghidapnya kerana kandungan gula dalam darah boleh jatuh secara mendadak yang membawa komplikasi kerosakan saraf dan maut.

Justeru, kerajaan negeri sangat prihatin dengan penderitaan Asyraf dan rakyat keseluruhan sekali gus akan membantu mana-mana individu yang memerlukan bantuan," katanya selepas menziarahi keluarga bayi itu di nombor 7, Lorong DJ 15, Taman Desa Jaya 2, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini semalam.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga tiada halangan untuk membiayai rawatan susulan Asyraf di hospital kerajaan mahupun swasta dan pada masa sama orang ramai masih digalakkan menghulurkan bantuan bagi menampung kos rawatan dan perbelanjaan ibu bapa bayi itu semasa di Jerman.

Sementara itu, ibu bapa bayi malang ini, Zaili Dollah, 47, dan Rasidah Ardani,41, sangat terharu dengan sokongan pelbagai pihak yang membolehkan anak keenam mereka itu dibawa mendapat rawatan pakar di Jerman.

Menurut Zaili, dia dan isteri akan berangkat ke Jerman pada 16 Jun ini dan dijangka berada di negara itu antara sebulan hingga tiga bulan berdasarkan kepada kejayaan rawatan.

Kami sekeluarga sangat terhutang budi kepada para pemimpin kerajaan, penderma seperti Pusat Zakat, Majlis Belia Felda, Felda, UMNO, Wanita UMNO, Majlis Belia Pahang dan lain-lain, katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, penyakit anaknya sudah berada di tahap kritikal dan meskipun jagaan rapi diberikan, Asyraf kadang kala tetap diserang penyakitnya itu.

Katanya, apabila penyakitnya datang, dia akan menangis, mukanya menjadi pucat dan kepalanya berpeluh, selain akan muntah sehingga mengeluarkan semua susu yang diminum.

Tambah beliau, jika pembedahan tidak dilakukan segera, anak keenam mereka itu mungkin mengalami masalah kegagalan otak yang boleh menyebabkan perkembangannya lebih perlahan berbanding kanak-kanak lain.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke dalam akaun Maybank, Rasidah Ardani bernombor 156141307260 atau akaun Zaili Dollah di CIMB 06050004165201 atau menghubungi mereka di talian 0199321566 atau 0199882647.

Atlet emas terima RM3,000

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh FANSURINA ABDULLAH
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 7 Jun - Atlet yang menyumbangkan pingat dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 bermula pada 28 Jun hingga 7 Julai ini di ibu negara bakal menerima insentif tambahan daripada kerajaan negeri.

Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Datuk Nik Nasaruddin Mohd. Zawawi berkata, selain dapat meningkatkan moral, insentif itu sebagai tanda penghargaan kepada atlet yang berjaya mencatat kecemerlangan.

Beliau berkata, insentif sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada atlet yang berjaya menyumbang pingat emas dalam temasya sukan tahunan itu bagi acara individu.

"Selain penyumbang pingat emas, penyumbang pingat perak dan gangsa juga akan mendapat insentif masing-masing sebanyak RM2,000 dan RM1,000 bagi penyertaan individu.

"Bagi penyumbang pingat dalam acara berpasukan pula akan menerima insentif RM1,000 seorang untuk pingat emas, RM600 bagi pingat perak dan RM400 untuk pingat gangsa," katanya.

Beliau berkata, kontinjen negeri itu akan menyertai 16 daripada 20 acara yang dipertandingkan dengan penyertaan atlet seramai 264 orang iaitu 154 lelaki dan 110 wanita.

Dalam pada itu katanya, Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Pahang, Datuk Dr. Omar Othman sekali lagi dilantik sebagai Ketua Kontinjen Negeri selepas menyandang tanggungjawab sama pada tahun 2011.

Sebelum berangkat ke ibu negara, kontinjen negeri itu akan menyertai kem motivasi dan pemantapan atlet Sukma di Cherengin Hill Convention, Janda Baik selama empat hari bermula 20 Jun ini.

Beliau berkata, simbolik penyerahan bendera kontinjen Sukma 2013 juga akan diadakan pada 23 Jun di lokasi sama sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk pemburuan pingat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Posted: 07 Jun 2013 09:03 AM PDT

BETO Kusyairy (kanan) dan Sharifah Amani bersama trofi masing-masing selepas mereka dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Tribute P.Ramlee di Istana Budaya, Kuala Lumpur malam tadi. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 8 Jun - Drama "Miang Buluh Keladi Birah" menggondol empat anugerah termasuk Telefilem Terbaik pada malam Anugerah Tribute P.Ramlee yang berlangsung di Istana Budaya di sini malam tadi.

Menerusi drama tersebut pengarahnya, Bade Azmi turut diumumkan sebagai Pengarah Terbaik selain turut memenangi Skrip Terbaik menerusi Marjan Hananie.

Drama tersebut turut memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Hanis Kamal Bakar.

Anugerah Tribute P.Ramlee yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh RTM dan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Ia turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.

SENARAI PEMENANG:

1. Telefilem Terbaik - Miang Buluh Keladi Birah

2. Pengarah Terbaik - Bade Azmi (Miang Buluh Keladi Birah)

3. Pelakon Wanita Terbaik - Sharifah Amani (Selagi Cinta Berzikir)

4. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Mislina Mustaffa (Di Mana Ku Cari Ganti)

5. Pelakon Lelaki Terbaik - Beto Kusyairy (Selagi Cinta Berzikir)

6. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Hanis Kamal Bakar (Miang Buluh Keladi Birah)

7. Skrip Terbaik - Miang Buluh Keladi Birah (Marjan Hananie)

8. Videografi Terbaik - Bob Fitri (Di Mana Ku Cari Ganti)

9. Anugerah Penampilan Istimewa Terbaik - Datuk Ahmad Tamimi Sigegar (Titisan Kasih)

10. Anugerah Khas Pelakon Seni Melayu - Datuk Aziz Sattar dan Allahyarham S.Shamsuddin

- UTUSAN ONLINE

Nora Danish akui belum berpunya

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

KOTA BHARU 7 Jun - Pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Puteri, Nora Danish Mohd. Hanif mengakui dia masih belum mempunyai teman istimewa.

Bagaimanapun ibu tunggal itu tidak menolak kemungkinan seandainya suatu hari nanti pintu hatinya terbuka untuk bergelar isteri semula.

Nora berkata, setelah menempuh pelbagai dugaan sebelum ini, dia tidak akan terburu-buru membuat keputusan untuk kembali mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

"Pada masa ini saya tidak mahu lagi memikirkan soal jodoh, biarlah Allah yang menentukan soal itu. Perkara utama saya sekarang adalah menumpukan sepenuhnya terhadap kerjaya.

"Saya tidak akan terburu-buru untuk berumah tangga sekarang, biarlah saya tumpukan soal kerjaya terlebih dahulu dan andai suatu hari nanti dibukakan pintu hati, saya tidak menolaknya.

"Lagipun anak saya sudah berumur empat tahun jadi teringin juga untuk kembali mempunyai anak selepas ini," katanya tersipu-sipu malu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Krim Mandian Ulung Fruitale FairWhite UV di ruang legar pasar raya Mydin Mall di sini hari ini.

Kehadiran pelakon jelita itu ke negeri ini adalah untuk mempromosikan produk penjagaan diri sabun buku dan krim mandian dengan ekstrak buah-buahan semula jadi tersebut.

Sejak memegang status janda setelah bercerai dengan Rizal Ashram Ramli pada 2008, pelakon cantik itu berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Dia tidak pernah lekang dengan pelbagai gosip percintaan apabila dikaitkan dengan beberapa rakan artis seperti Zizan Razak, Adi Putra dan terbaharu, Shaheizy Sam.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu kegiatan seninya, Nora berkata, dia sedang sibuk menjalani penggambaran untuk program sempena Hari Raya Aldilfitri tidak lama lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Fahami had dan batasannya

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

BERMULA dengan kejadian menghina Raja-Raja Melayu, menyaman Sultan, mengingkari titah, cuba mendahului kuasa Sultan, membelakangi perkenan Sultan dan kini menghina Yang di-Pertuan Agong iaitu ketua negara yang paling tinggi di negara ini.

Jelas semuanya bermula dengan ketaksuban berpolitik tetapi pendidikan dan pemahaman tentang sejarah mahupun sistem pentadbiran Malaysia juga banyak menyumbang kepada corak pemikiran golongan ini yang bermimpi mereka tinggal di sebuah negara republik.

Mereka bernasib baik kerajaan sedia ada tidak begitu tegas kerana perbuatan segelintirnya mungkin diambil kira sebagai menderhaka mahupun memberontak terhadap Yang di-Pertuan Agong dan boleh membawa kepada hukuman mati.

Kerajaan juga perlu mengambil iktibar sikap kurang ajar ini turut disumbang pendekatan yang terlalu berlembut di samping didikan sejarah serta Perlembagaan Negara yang tidak diwajibkan di sekolah mahupun universiti, khususnya di institusi pendidikan berasaskan kaum tertentu sahaja.

Mungkin tiba masanya penguatkuasaan diperketatkan terhadap mereka yang menghina Raja-Raja, agama Islam, Perlembagaan, Jalur Gemilang mahupun mencemar nama baik negara ini, mengingatkan mereka wujudnya perbezaan antara kebebasan bersuara dengan menderhaka kepada Raja dan Negara.

Bagi tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, satu penyelesaian jangka panjang perlu dirangka untuk mengatasi sikap segelintir rakyat yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu mahupun Perlembagaan Persekutuan.

"Masalah ini sudah lama tetapi semakin ketara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) melalui media sosial dan blog dengan alasan kebebasan bersuara.

"Masalah rakyat menjadi biadap akibat dicucuk parti politik tertentu sehingga menjadi tidak rasional, emosi dan bila marah boleh jadi separuh gila. Bila sudah 'gila', tidak kisah undang-undang dan ikut sedap mulut sahaja," katanya.

Di sebalik semua itu, beliau juga melihat kerajaan 'terlalu baik' kerana terpengaruh dengan gerakan hak asasi dan liberalisme global sehinggakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan dan diganti akta baru tetapi ia tidak dapat dilaksanakan atas sebab tertentu.

"Mana-mana sekalipun di dunia, jika kerajaan tidak tegas dan rakyat melihat dasar kerajaan mahupun pihak berkuasa 'tidak melawan', maka mereka akan jadi semakin berani, seterusnya jadi lebih kurang ajar.

"Kerana itu saya menyokong tindakan tegas kerana ketegasan itu amat perlu untuk keselamatan, keharmonian dan perpaduan," jelasnya.

Beliau berharap kerajaan tidak lagi nampak lemah di mata rakyat agar tiada yang menjadi 'lebih gila' kerana ketegasan yang mengikut undang-undang bukannya menzalimi atau balas dendam terhadap rakyat.

Menurutnya lagi, hanya segelintir rakyat Malaysia yang 'gila' dan kerajaan sebenarnya menzalimi majoriti yang tidak bersikap demikian jika tiada ketegasan bertindak mahupun terus bertolak ansur sehingga kepala dipijak golongan tersebut.

"Masa untuk berlembut sudah tamat, jangan dibiarkan hingga tercetusnya huru-hara dan menggugat perpaduan.

"Kita kena betulkan balik mana yang silap terutama sekali dalam pendidikan di sekolah rendah dan menengah, jangan kerana politik kita dengar sangat tuntutan kumpulan yang tiada semangat patriotisme ini, mereka inilah yang mainkan bendera kita dan hina institusi diraja," tegasnya.

Ibrahim turut menegur sistem pendidikan negara yang asyik berubah tetapi bukannya ke arah kebaikan sehinggakan golongan muda kekurangan ilmu khususnya sejarah negara, Perlembagaan dan pendidikan sivik yang semakin hilang atau tidak diajar di sekolah.

Dakwanya, faktor pendidikan itu juga menyebabkan rakyat khususnya bukan Melayu, termasuk ramai orang Cina yang tiada rasa sayang kepada negara ini.

"Kita tidak boleh salahkan mereka sepenuhnya. Ilmu sejarah, Perlembagaan dan sivik ini perlu ada dalam silibus khususnya di semua sekolah rendah dan menengah.

"Langkah ini akan mengambil masa panjang, lebih-lebih lagi bila berdepan sikap cauvinis dan rasis sesetengah pihak tetapi pihak kementerian dan kerajaan tidak boleh takut melaksanakannya sebelum terlambat," jelasnya.

Beliau juga menasihatkan orang Cina perlu berpijak di bumi nyata, tidak perlu nostalgia sehingga semua perkara perlu condong ke tanah besar China mahupun ke Republik Singapura.

"Jangan mulut sahaja kata sayang negara ini, perlu tukar pemikiran untuk kekalkan keamanan. Lihatlah perangai oportunis DAP yang mahukan keuntungan terbanyak tanpa mengira perasaan penduduk pribumi, terus pertahan perjuangan republik yang tiada Raja-Raja Melayu.

"Orang Melayu dari dahulu terima semua kaum dengan tangan terbuka tetapi kini ramai (bukan Melayu) yang nyata semakin cauvinis dan kurang ajar. Baliklah ke bumi nyata sebelum sesuatu yang buruk berlaku," katanya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong pula berpendapat masyarakat Cina perlu dididik semula tentang penghormatan kepada orang Melayu sebagai kaum dominan di negara ini.

"Pemimpin politik dan budaya Cina perlu juga perjuangkan hubungan sosiobudaya dan nasionalisme, bukan ekonomi sahaja. Tindakan menghina orang Melayu boleh bawa huru-hara khususnya sifat agresif dalam media sosial kini.

"Setakat ini cuma ada laporan polis, belum ada yang bertindak sendiri tetapi sampaikan Yang di-Pertuan Agong dihina, itu sengaja mencari pasal. Jika seseorang itu waras, mereka tahu ada hadnya dalam melakukan atau mengatakan sesuatu kepada pihak lain," jelasnya.

Tegasnya, jika had itu pun tidak tahu, maka akan wujud krisis sosiobudaya khususnya bila ramai anggota masyarakat Cina yang lebih perjuangkan jati diri Cina berbanding jati diri nasional sehingga mengundang kemarahan orang Melayu.

Beliau turut mengingatkan melalui kontrak sosial yang dipersetujui dahulu, orang Melayu memberi taraf kerakyatan kepada bukan Melayu sekiranya bukan Melayu setuju menerima kuasa Raja-Raja Melayu, bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu dan lain-lain peruntukan Perlembagaan.

"Malangnya, kini semakin ramai (bukan Melayu) gunakan bahasa tidak sopan dalam media sosial kerana fikir boleh 'baling batu sembunyi tangan' tetapi mereka tidak sedar semuanya boleh dikesan dan diambil tindakan undang-undang.

"Saya harap kerajaan bertindak terhadap semua perbuatan atau kenyataan yang 'menyinggung' mana-mana pihak sama ada Seri Paduka, Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri mahupun rakyat biasa agar menjadi pengajaran kepada semua," ujarnya.

Menurutnya, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 mahupun undang-undang umum di bawah Kanun Keseksaan juga boleh digunakan untuk 'mengajar' golongan tersebut.

"Saya berharap penguatkuasaan tidak lagi terlalu lemah selepas ini, ambil tindakan tegas dengan kadar segera terhadap sesiapa pun yang menghina Sultan, pemimpin mahupun rakyat biasa.

"Jika penghinaan terhadap rakyat biasa sudah dikenakan tindakan tegas, pasti tiada yang berani menghina Sultan, pemimpin mahupun negara.

"Saya berharap pendakwaan dalam kes menghina Seri Paduka ini disegerakan sebagai pengajaran terbaik kepada pengguna media sosial bahawa semuapun ada had dan batasannya," tegasnya.

Jurang polarisasi kaum semakin serius

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh Azman Anuar

KAUM Cina yang sudah menguasai ekonomi kini mula berminat ingin menguasai politik Malaysia pula.

Penguasaan kaum itu dalam ekonomi dijalan secara strategik. Lihat laporan Utusan Malaysia yang mendedahkan kajian oleh sekumpulan penyelidik sebuah universiti awam mengenai diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon pekerjaan di syarikat swasta majoriti dimiliki kaum Cina dan asing.

Menurut kajian itu, faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan graduan Cina menjadi pilihan dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang merupakan penduduk teramai di negara ini. Dalam peluang penuhi jawatan utama, graduan Cina sudah menguasainya.

Lihat pula siri demonstrasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, orang Melayu yang menjadi majoriti pesertanya. Sekarang sudah bertukar, peserta siri perhimpunan di seluruh negara selepas 5 Mei lalu lebih 90 peratus terdiri daripada kaum Cina.

Kini, kaum Cina semakin berani menonjolkan kemarahan mereka kepada kerajaan apabila pembangkang semakin kuat sama ada di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

Pada mereka, 89 kerusi pembangkang di Parlimen, menang lebih separuh kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan memerintah tiga negeri di Semenanjung terus menyemarakkan sikap anti kerajaan dan anti Melayu mereka secara terbuka.

Sedekad lalu jarang-jarang orang bukan Melayu berani memperlekeh Institusi Raja-Raja Melayu. Sekarang walaupun Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Sultan-sultan sebagai ketua negeri masing-masing, orang bukan Melayu langsung tidak mempedulikannya. Malah tanpa rasa takut, mereka hina pemimpin tertinggi negara kita ini.

Salah kita sendiri, kerana sebelum ini orang Melayu terlampau banyak bertolak ansur dengan kaum lain. Akibatnya orang Melayu secara keseluruhan telah mula dihina, dicerca dan dipertikaikan pula hak ketuanan orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara yang buruk sebenarnya sudah berlaku kepada orang Melayu. Yang belum lagi ialah dibuli dan dihalau dari tanah airnya sendiri. Apakah orang Melayu baru hendak bersatu apabila perkara tersebut berlaku? Mungkin sudah terlambat.

Imej Malaysia sebagai model negara yang terdiri daripada penduduk pelbagai kaum yang sangat unik di mana rakyatnya pelbagai kaum, keturunan, latar belakang dan agama dapat hidup aman dan damai sambil mengamalkan adat dan budaya tersendiri, suatu hari akan terjejas.

Bibit-bibit ke arah itu kian ketara apabila bukan bumiputera tanpa rasa gentar dan malu telah mula mencabar, mempertikai, memperlekeh dan mempersendakan Perlembagaan negara. Masyarakat majmuk yang kita miliki sekarang cuba menidakkan apa yang dirangka oleh pemimpin yang terdahulu.

Pelbagai insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan isu-isu politik, sosial dan ekonomi dilihat sedikit sebanyak mengganggu-gugat jambatan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita sebelum ini.

Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dilihat mula mengambil kesempatan dan cuba menghancurkan jambatan perpaduan tersebut.

Kepada kaum bukan bumiputera, ingatlah unsur-unsur tolak ansur dan perpaduan kaumlah yang telah menjadi benteng kepada segala persengketaan yang nyaris tercetus di negara kita selama ini.

Kaum bukan bumiputera juga usah lupa dan cuba menafikan hakikat bahawa kejayaan dan kecemerlangan negara kita di persada dunia juga adalah kerana perpaduan dan pemuafakatan yang ada dalam masyarakat kita sejak merdeka lagi.

Perkongsian kuasa dan pengagihan sumber ekonomi yang bijak telah menjadi sumber kekuatan kita selama ini. Tindakan tidak bertanggungjawab juga menggugat perpaduan kaum dan keselamatan negara, akan menjejaskan usaha kita untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara model pelbagai kaum dan agama.

Mainan isu kebencian kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO oleh DAP sudah berjaya. Usaha membolehkan kaum Cina yang sudah pun menguasai ekonomi" untuk turut menguasai politik Malaysia sedang berlangsung.

DAP dakwa mereka memperjuangkan politik berbilang kaum tetapi itu cakap-cakap kosong kerana tumpuan parti itu lebih kepada kepentingan kaum Cina.

Kaum Cina tidak akan dapat menguasai politik Malaysia tanpa orang Melayu. Jika kehidupan Melayu juga terjejas, ekonomi orang Cina juga tergugat.

Masalah perpaduan antara kaum terutama bumiputera dengan Cina semakin renggang. Usaha kerajaan BN untuk bertolak ansur dengan kaum Cina melalui pendidikan pun tidak menjadi malah makin menjadi-jadi tegaknya tocang mereka.

Melihat perkembangan yang tidak harmoni ini, kerajaan yang mempunyai kuasa untuk lima tahun mendatang ini perlu buat sesuatu terhadap perpaduan melalui pendidikan.

Saya setuju dengan pandangan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong bahawa sistem persekolahan sekarang telah memecah-belahkan anak-anak bangsa pada usia muda. Jadi kita kena fikirkan cara selesaikan masalah ini.

Memang sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengesan bahaya perbezaan sekolah mengikut kaum ini. Sekarang kita sudah melihatnya.

Jadi kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, lupakan peristiwa pahit dengan sekolah jenis kebangsaan Cina dan tumpukan kembali pembinaan Sekolah Wawasan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Sekali jumpa terus ke jenjang pelamin

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

TIDAK pernah bersua muka dan hanya sekali berjumpa terus ke jenjang pelamin. Itulah jodoh pertemuan yang disuratkan Allah antara Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Almain Ajirul, 53, dengan suri hatinya, Masniah Turah, 50, yang kini bertugas sebagai pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan Dua di Bongawan, Kimanis, Sabah.

Meskipun tempoh perkenalan mereka agak singkat dan tidak seakrab pasangan lain yang sering berjumpa sebelum diijabkabulkan, namun ia tidak menjadi halangan kepada dua pasangan ini untuk membuat keputusan penting bagi melayari kehidupan rumah tangga.

Almain yang berasal dari Kampung Gusung Melanta, Semporna, Sabah berkata, perkenalannya dengan Masniah bermula apabila dia diperkenalkan oleh rakan-rakannya.

Katanya, ketika itu, beliau bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada seorang Menteri Kabinet Persekutuan di Semenanjung, manakala Masniah pula bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik di sebuah agensi kerajaan negeri.

"Saya tidak pernah berjumpa dengannya dan hanya menelefon. Malah saya hanya mengenalinya menerusi gambar yang dikirim melalui pos yang memakan masa berminggu-minggu untuk sampai.

"Itupun gambar yang dikirim adalah gambar berkumpulan dan saya perlu meneka sehingga saya membuat tekaan yang agak gemuk itulah calon isteri saya," katanya berseloroh kepada Masniah yang duduk di sebelahnya.

Menurut Almain, setelah tiga bulan berkenalan melalui telefon, dia kemudiannya membuat keputusan untuk berjumpa dengan Masniah sebelum ke rumah bakal keluarga mertua di Kampung Bebuluh Darat, Labuan untuk merisik dan bertunang.

Katanya, selepas mengikat tali pertunangan pada 6 Jun 1987 ketika berusia 27 tahun dan Masniah berumur 24 tahun, mereka kemudiannya melangsungkan perkahwinan pada 18 Disember tahun yang sama.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima orang anak iaitu Muhammad Farhan, 25; Izzatul Haniesah, 23; Muhammad Syahir, 22, Muhammad Syafiq, 20 dan Atikah Farhani,17.

KEHADIRAN anak-anak melengkapi kehidupan bahagia pasangan suami isteri, Almain dan Masniah di Kota Kinabalu, Sabah.

Muhammad Farhan masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah dalam bidang perbankan; Izzatul Haniesah mengambil kursus perubatan di sebuah universiti di Mesir; Muhammad Syahir (berniaga); Muhammad Syafiq dan Atikah Farhani pula menuntut di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KUIM).

Ditanya apakah tarikan utama Masniah, Almain secara bersahaja berkata, selain cantik pada pandangannya, faktor sikap dan akhlak yang ditunjukkan Masniah memberi kesan mendalam terhadapnya.

Jelasnya, kejujuran dan kesopanan yang ditunjukkan Masniah sebagai seorang wanita Muslim yang pada masa itu bergiat aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berjaya memikat hatinya.

Dalam pada itu, Masniah yang mempunyai kelulusan ijazah Sarjana Muda Sosiologi dari Universiti Southern Illinois Carbondale, Amerika Syarikat berkata, beliau sentiasa berserah kepada Allah bagi menemukannya dengan lelaki terbaik dan beriman.

Katanya, sebelum membuat keputusan menerima lamaran Almain, dia telah melakukan sembahyang istikharah bagi mendapat petunjuk Allah.

"Alhamdulillah, selepas itu saya bermimpi dan ternampak beliau dalam mimpi sebelum membuat keputusan bahawa inilah jodoh saya," katanya.

Tambahnya, sebenarnya sikap jujur dan taat kepada agama yang ditunjukkan oleh Almain merupakan daya tarikan utama beliau dalam memilih pasangan hidupnya.

Sementara itu, ditanya mengenai petua dalam memastikan keharmonian rumah tangga, Almain berkata, apa yang penting adalah ia perlu berlandaskan kepada asas agama yang kuat dan kejujuran pada setiap pasangan.

"Bukan sahaja antara suami isteri tetapi dengan anak-anak juga perlu mempunyai bersikap tolak ansur bagi mewujudkan keluarga yang harmoni," katanya.

Mengakui mempunyai tanggungjawab besar sebagai ketua di pejabat, begitu juga Masniah sebagai pengetua, beliau berkata, dalam memastikan masalah kerja tidak menjadi kekangan keharmonian rumah tangga, mereka tidak sesekali membawa kerja pulang ke rumah.

"Kerja sekolah tidak akan dibawa ke rumah kerana di rumah, saya ialah isteri dan ibu," kata Masniah.

Tambah Masniah, selain menghabiskan masa cuti di rumah, dia bersama suami dan anak-anak mempunyai minat yang sama iaitu melancong dan mengerjakan umrah.

Ujarnya, dengan cara ini, mereka bukan sahaja dapat bermesra tetapi dapat sama-sama menguatkan keimanan dan menambah ilmu pengetahuan serta pengalaman.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


UIAM sambut baik, sedia jumpa

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Jun - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambut baik tawaran Kumpulan Masgenuine - I Berhad untuk memperbaiki kerosakan alam sekitar yang teruk di kampus induk UIAM di Gombak.

Begitupun tawaran tersebut tidak akan membuatkan mereka membatalkan hasrat untuk mengambil tindakan termasuk undang-undang dan meminta campur tangan kerajaan pusat jika masalah itu berlarutan dan tidak ditangani secara profesional oleh pihak berkaitan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat universiti tersebut, Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz berkata, UIAM sangat menghargai dan menyambut baik tawaran pihak pemaju yang bersedia untuk memulihkan kerosakan alam sekitar di UIAM.

"Walaupun ada sedikit ragu-ragu mengenai tawaran tersebut, namun jika mereka benar-benar serius, kami berhasrat untuk bertemu dengan pihak pemaju tersebut bagi sama-sama menangani masalah ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tawaran dari syarikat pemaju perumahan hartanah rizab Melayu, Kumpulan Masgenuine - I Berhad hari ini yang bersedia memperbaiki kerosakan alam sekitar di UIAM yang antaranya berpunca daripada kerja-kerja pembukaan tanah oleh pihaknya di kawasan berdekatan.

Punca-punca pencemaran lain yang memburukkan lagi keadaan alam sekitar di sekitar universiti itu termasuklah kegiatan mengorek pasir yang dipercayai dilakukan secara haram oleh operator pasir persendirian dan masalah pembuangan sisa bahan-bahan binaan dalam skala besar sehingga menyebabkan aliran Sungai Pusu tersekat dan tercemar.

Dr. Baharuddin berkata, beliau berharap pihak pemaju tersebut segera mengotakan janji-janji mereka kerana jika masalah berlarutan mereka tidak teragak-agak untuk meneruskan apa sahaja tindakan yang difikirkan wajar.

"Saya berharap masalah ini ada jalan penyelesaiannya secara tuntas lebih-lebih lagi sebelum UIAM bakal menerima kehadiran Presiden baru, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pendidikan tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, pihak pemaju hari ini sekali lagi memberikan jaminan bahawa mereka akan mengotakan janji itu kerana dalam masa yang sama mereka perlu memperbaiki tembok sangkar batu yang telah runtuh di kawasan tapak projek mereka di Kampung Sungai Pusu itu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Masgenuine - i-Berhad, Rosianiza Rosly berkata, tembok sangkar batu itu melibatkan kawasan lain yang telah mereka buka sebelum ini dan pihaknya akan memperbaiki tembok tersebut bersekali dengan kerja pemulihan Sungai Pusu yang mengalir masuk ke kampus UIAM.

"Sebelum itu, kami sememangnya berhasrat untuk bertemu dengan pihak UIAM sendiri mengenai perkara ini," katanya.

Lorong khas bas 'diceroboh'

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

PENCEROBOHAN ke atas laluan khas bukan sahaja berlaku ketika jalan sesak pada waktu puncak, bahkan semasa jalan lengang seperti yang dilakukan oleh dua pemandu ini yang dirakamkan di Jalan Raja Laut.

KUALA LUMPUR 6 Jun - Biarpun tanda BAS, TEKSI SAHAJA dicat dengan jelas dengan warna kuning di atas permukaan jalan raya, peringatan tersebut masih gagal mendidik pemandu kenderaan persendirian daripada menceroboh laluan khas yang diwujudkan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi yang mempunyai laluan tersebut mendapati, bukan sedikit pengguna yang tidak mengendahkan larangan itu dan dengan selamba mengekori teksi atau bas yang berada di laluan terbabit.

Di Jalan Raja Laut berdekatan kompleks beli-belah Sogo dan Bangunan Medan Mara misalnya, ramai pemandu kenderaan persendirian yang menceroboh laluan khas itu sebagai jalan mudah untuk mengelak kesesakan di laluan mereka.

Pemandu-pemandu terbabit kerap kali dilihat menggunakan lorong khas itu ketika berhenti untuk menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Sikap tersebut ternyata menyusahkan pemandu teksi dan bas bandar yang mahu berhenti di hentian sepanjang jalan itu.

Selain itu, terdapat juga pengguna yang memberhentikan kenderaan mereka sesuka hati di bahu jalan untuk melakukan urusan masing-masing.

Malah, sikap pemandu bas pelancong dan bas yang bukan mengambil dan menurunkan penumpang di hentian berdekatan memburukkan lagi keadaan.

Bas tersebut dilihat berhenti dalam tempoh terlalu lama di hentian itu sehingga mengganggu operasi teksi atau bas bandaran.

Difahamkan, perbuatan itu berlaku kerana kurang atau boleh dikatakan tiada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak-pihak berwajib.

Jika begini sikap masyarakat kota dan pihak berkuasa yang tidak mengambil serius, sampai bila pun usaha untuk menjadikan kenderaan awam sebagai pengangkutan utama di Kuala Lumpur tidak akan berjaya.

Ini kerana bas terutamanya lambat sampai ke destinasi kerana laluannya diganggu manakala tambang teksi akan meningkat walaupun tayar tidak bergolek.

Sementara itu, tinjauan di Jalan Ampang dan beberapa lokasi lain turut menemui masalah yang sama apabila pengguna jalan raya tidak mengambil serius kewujudan lorong khas tersebut.

Tidak kurang juga yang memandu di laluan tersebut sambil menggunakan telefon bimbit tanpa kit bebas tangan.

Kenaikan caj tempat letak kereta hasil kajian mendalam - MBSA

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

SHAH ALAM 6 Jun - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini menjelaskan cadangan kenaikan caj letak kereta daripada 40 sen kepada 60 sen sejam di kawasan pentadbirannya dibuat mengikut prosedur dan kajian mendalam.

Menurut Timbalan Pengarah Komunikasi dan Korporat, Shahrin Ahmad, cadangan tersebut telah dibentang di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Kelima, MBSA yang dihadiri Ahli-ahli Majlis MBSA pada 22 Mei lepas.

"Hasil daripada perbincangan di dalam mesyuarat tersebut, Ahli-ahli MBSA telah bersetuju supaya usul kenaikan kadar caj tempat letak kereta tersebut dibentang bagi mendapat kelulusan pada mesyuarat penuh MBSA.

"Pada 29 Mei lalu, dalam mesyuarat penuh MBSA, usul tersebut telah diluluskan untuk pelaksanaan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Shahrin berkata, ketetapan untuk menaikkan kadar caj tempat letak kereta itu dibuat berdasarkan kadar caj semasa telah diguna pakai sejak 15 tahun lalu.

Jelasnya lagi, kadar caj yang dikenakan pada masa ini amat rendah dan tidak sesuai dengan situasi semasa serta cajnya amat berbeza dengan caj tempat meletak kereta di kawasan majlis bandar raya lain di negeri ini dan negeri lain.

"Sebagai contoh, bagi caj sejam, MBSA masih mengenakan 40 sen, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 50 sen, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 60 sen, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 60 sen dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 60 sen.

"Dalam kajian tersebut, MBSA juga telah membuat perbandingan kadar caj letak kereta yang diuruskan oleh pihak swasta di tempat letak kereta awam dan kompleks beli-belah, didapati bahawa kadar caj yang diguna pakai oleh MBSA masih lagi dianggap rendah berbanding kadar caj yang diuruskan oleh pihak swasta iaitu di antara RM1 hingga RM4 sejam," jelasnya.

Beliau menambah, sebagai perbandingan, Hotel Bluewave Shah Alam mengenakan caj RM4 sejam pertama dan jam berikutnya RM3 sejam, manakala caj di Kompleks PKNS ialah RM1.50 untuk sejam pertama dan setiap sejam berikutnya RM1.

Alasan yang diberikan oleh MBSA untuk menaikkan kadar caj ini sebelum ini mendapat kritikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menganggap MBSA berfikiran konservatif.

Katanya, MBSA sepatutnya berbangga jika dapat mengekalkan kadar lebih murah dan tidak mengikuti kenaikan caj di tempat lain.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Kombinasi dua

Posted: 07 Jun 2013 01:39 AM PDT

Gambar FAHMI MUHAZIR

Barisan selebriti tempatan yang tampil bergaya dengan busana koleksi AzuraAzwa.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

TIADA apa yang mustahil bagi dua beradik Azura Liyana Azmi, 33, dan Azwa Elena, 30, untuk merealisasikan impian mereka dengan berkongsi minat dan kerjasama sebagai satu pasukan.

Azwa menuntut dalam bidang Sistem Informasi Perniagaan di Middlesex University, London. kakaknya, Azura pula graduan Jurusan Rekaan Dalaman, Nottingham Trent University, sebelum mengambil kursus jangka pendek di Central St. Martins, University of the Arts London bagi mendalami industri fesyen secara formal.

Kerana komitmen itu jugalah mereka terlibat dengan pertunjukkan fesyen eksklusif pertama di The Weld, Kuala Lumpur.

Pada petang penuh glamor itu mereka mempertaruhkan label AzuraAzwa dengan tema Amazing Red menerusi baju kurung, kebaya dan hiasan kepala khususnya turban.

"Untuk pertunjukkan fesyen Amazing Red ini kami mengambil inspirasi daripada hidupan laut marin yang diterjemahkan dalam setiap sentuhan busana kami.

"Sebagai contoh bentuk turban untuk persembahan kali ini juga umpama lumut laut yang kehijauan dan lembut.

"Kami berani katakan bahawa koleksi ini memang sesuai bagi wanita profesional berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun

"Kami sebetulnya amat teruja dengan maklum balas yang diterima. Koleksi kami ini telah mendapat tempahan dari pasaran Eropah dan Amerika terutamanya bagi koleksi turban moden.

"Tapi dengan pengenalan pertama kami kepada rakyat Malaysia ini kami berharap bahawa rakyat Malaysia akan menyukai produk keluaran AzuraAzwa kata," ujar Azura yang ditemui sebelum majlis pertunjukkan fesyen berlangsung.

Inspirasi

Wanita kelahiran Terengganu ini menjelaskan, gaya turban tercetus apabila dia mula berjinak-jinak untuk tampil lebih Muslimah.

Tercari-cari imej yang lebih urban dan bergaya, turban dengan padanan busana moden dipilih bagi menampilkan pesona diri.

"Ternyata, fesyen turban mula mendapat perhatian ramai sehingga boleh digayakan untuk pelbagai acara dan busana. Ia kini menjadi trend baharu kepada golongan remaja urban.

"Tidak terhad kepada penggayaan wanita dengan imej muslimah, turban AzuraAzwa juga boleh digunakan oleh sesiapa sahaja kerana bentuk yang versatil dan boleh diolah pelbagai gaya.

"Setiap busana tersebut menggambarkan gaya peribadi ibu kami yang sentiasa tampil anggun dengan gaya yang mempesona," ujar Azwa pula.

Penggemar boleh menjangka rekaan yang lebih sederhana dengan menumpukan kepada ciptaan busana muslimah.

"Dalam koleksi kali ini Dynas Mokhtar dan finalis pencarian gadis M2 akan menggayakan produk AzuraAzwa turban," jelas Azwa.

Tambah Azwa lagi koleksi kali ini, banyak menggunakan fabrik seperti sutera Itali, Swiss Zurich dan Shantung.

Turut diperagakan dalam pertunjukan fesyen ini ialah koleksi dua pereka terkenal Rizalman dan Jovian Mandagie.

Beroperasi di 29A Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, koleksi AzuraAzwa juga boleh dilihat melalui laman web www.azuraazwa.com.

Lelaki penilai terbaik wanita

Posted: 07 Jun 2013 01:39 AM PDT

Oleh Siti Aishah Yusoff
Gambar Mohd. Azim Abdul Rahman

Sabun Madu Propolis Glutathione Collagen, keluaran terbaru D'Herbs yang bertindak mengatasi masalah jerawat, jeragat dan kulit kering.

BUKAN mudah bagi seseorang yang tidak mempunyai pengalaman dalam dunia perniagaan untuk terjun ke dalam kelompok tersebut seterusnya mencapai kejayaan dalam masa singkat.

Itu yang berjaya dibuktikan oleh pengasas rangkaian produk kosmetik D'Herbs Healthy Sdn. Bhd. (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 25.

Beliau mengakui apa yang dimiliki hari ini bagai mimpi yang datang dalam sekelip mata.

Masih tidak jemu mendalami selok-belok dunia perniagaan yang diceburi hampir tiga tahun itu, Aliff berkata, cabaran dan dugaan yang dihadapi telah mematangkan dirinya untuk bergelar usahawan muda berjaya.

Baginya, tidak mustahil seseorang itu mendapat kejayaan dan mencapai impian dalam hidup jika sentiasa berusaha dan mempunyai minat mendalam dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

"Bagi saya, setiap yang dilakukan tidak kira dalam bidang apa sekalipun, minat adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan.

"Sebagai ahli perniagaan yang masih muda dalam bidang ini, saya sentiasa menjadikan setiap hari yang dilalui adalah hari untuk saya mempelajari sesuatu yang baharu," kata Aliff.

Ujar bapa muda yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu, membangunkan syarikat bukan kerja mudah, apatah lagi pada usianya yang terlalu muda dan berada dalam industri yang didominasi oleh golongan wanita.

"Ramai yang salah tanggapan mengatakan saya mengusahakan perniagaan daripada duit yang disalurkan oleh ibu bapa atau mewarisi syarikat keluarga.

"Hakikatnya, saya mengusahakannya sendiri. Menggunakan duit hasil titik peluh sendiri.

"Saya bermula daripada berniaga jamu di pasar-pasar malam ketika berusia 16 tahun sehinggalah saya mampu mencapai ke tahap ini," ujarnya ketika ditemui di kediaman mewah miliknya yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Ditanya pandangan beliau tentang produk kecantikan dan kesihatan yang dihasilkan, Aliff berpendapat lelaki adalah penilai terbaik bagi wanita.

"Setiap produk yang dihasilkan berdasarkan penilaian dan penelitian saya sebagai seorang lelaki terhadap diri wanita.

"Walaupun saya seorang lelaki, tetapi saya sangat mementingkan keperluan dan kehendak yang diingini oleh wanita. Penjagaan dalaman dan luaran adalah penting untuk menyerlahkan kecantikan dan keayuan mereka," ceritanya yang juga Setiausaha Persatuan Industri Kosmetik Bumiputera Malaysia.

Tambah Aliff, ketika ini syarikatnya turut mempunyai produk keluaran terbaru iaitu Sabun Madu Propolis Glutathione Collagen (D'herbs) yang telah dilancarkan sejak dua bulan lalu.

Sedia maklum, madu mempunyai kelebihan yang mujarab untuk mengubati pelbagai penyakit. Justeru penghasilan sabun ini, melalui gabungan madu, kolagen dan glutathione untuk mendapatkan hasil yang bermutu tinggi dan kaya dengan vitamin E dan C dengan harga RM19.90.

"Sabun ini juga baik untuk mencuci dengan lembut dan membantu menyegar, melembap, menghalus, melicin dan menggebukan kulit. Ia juga bertindak mengatasi masalah jerawat, jeragat dan kulit kering, seawal tiga hari.

"Sabun ini juga sesuai digunakan oleh semua peringkat umur untuk lelaki dan wanita," katanya.

Aliff berkata, pada Jun ini D'Herbs juga akan mengeluarkan produk terbaru khusus untuk wanita yang mementingkan penjagaan dalaman agar kekal cantik dan menawan.

"Produk tuala wanita D'Herbs dihasilkan menggunakan bahan-bahan herba dan semula jadi seperti aloe vera dan teh hijau yang membantu merawat masalah keputihan.

"Tuala wanita yang memberi perasaan gembira kepada wanita yang memakainya mula berada di pasaran Jun ini. Ia dijual pada harga RM9.90 dengan kuantiti 20 helai satu pek," kata Aliff.

Selain itu, ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata ini, bagi mempromosikan lagi produk keluaran D'Herbs, syarikatnya telah mengadakan iklan besar-besaran di stesen televisyen.

"Iklan tersebut akan disiarkan selama setahun setiap hari tanpa henti bagi mempromosikan produk keluaran D'Herbs kepada orang ramai.

"Dalam pada itu, kami juga mengalu-alukan kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar D'Herbs di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi 03-61562035 atau 012-3995446," katanya.

Tambah Aliff lagi, orang ramai yang berminat dengan produk tersebut boleh mendapatkan terus di enam stokis berhampiran yang terletak di Selangor dan Kuala Lumpur.

Produk D'Herbs boleh didapati di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk kedai-kedai runcit, pasar malam dan pasar tani, farmasi bebas, kedai jamu dan salon serta pusat jualan D'Herbs sendiri.

Produk-produk ini dihasilkan di kilang Aliff Herbs Manufacturing yang terletak di Selangor.

Beliau juga menyarankan kepada orang ramai supaya berhati-hati memilih produknya kerana terdapat banyak peniruan yang dijual hampir sama dengan produk keluaran D'Herbs.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari www.dherb.com.my

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Johor kaji semula lesen hiburan

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin melakukan pemeriksaan perbarisan polis Kontinjen Johor di IPK Johor, Johor Bahru, semalam. - utusan/amin farij hasan

JOHOR BAHRU 6 Jun - Kerajaan negeri akan mengkaji semula pengeluaran lesen perniagaan bagi pusat hiburan keluarga dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan gejala sosial di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian tersebut akan dilakukan pihaknya memandangkan banyak pusat hiburan keluarga telah disalah guna bagi kegiatan perjudian dan maksiat.

"Sehingga kini terdapat sebanyak 155 pusat hiburan keluarga berdaftar di negeri ini dan kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen sama pada masa hadapan sekiranya masalah berkenaan berterusan.

"Kita tidak mahu kegiatan tidak bermoral yang berselindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga ini merosakkan masyarakat khususnya rakyat di negeri ini, justeru perkara ini perlu dipandang serius dan diambil tindakan sewajarnya," kata beliau.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan di negeri ini demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pelabur.

"Saya diberi taklimat bahawa keadaan Johor adalah aman, selamat dan terkawal selain indeks jenayah menunjukkan penurunan selama lima tahun berturut-turut.

"Masyarakat juga harus memainkan peranan masing-masing dengan sentiasa memberikan kerjasama kepada polis memandangkan penglibatan seperti dalam Rakan Cop merupakan cara terbaik menangani jenayah," katanya.

FAMA lahirkan 22 usahawan tani

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

ADHAM Baba (empat dari kiri) bersama sebahagian daripada penerima Bantuan Azam Tani dan Projek Usahawan Peraih M3R sempena Majlis Pelancaran Pasar Tani Sanggar Kota di Taman Kota Besar, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 6 Jun - Program Azam Tani yang dilancarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kota Tinggi dua tahun lalu berjaya membantu sebanyak 22 usahawan tani membabitkan jumlah bantuan bernilai RM134,040.

Pengarah FAMA Johor, Faridulatrash Md. Mokri berkata, penerima bantuan itu terdiri daripada penduduk miskin yang berdaftar dengan e-Kasih dan bantuan tersebut diberi dalam bentuk peralatan yang boleh menjana ekonomi.

"Antara peralatan tersebut ialah mesin jahit, enjin bot dan banyak lagi. Bantuan yang diberikan juga adalah percuma dan dihadkan kepada jumlah maksimum sebanyak RM9,000.

"Program bantuan ini diteruskan bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan sasar selain mengeluarkan peserta daripada belenggu kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pasar Tani Sanggar Kota di Taman Kota Besar di sini kelmarin.

Program itu dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba.

Tambah Faridulatrash, permohonan menjalankan program itu akan terus dibuka di samping satu lagi program kendalian agensi berkenaan iaitu Motosikal Tiga Roda (M3R).

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 60 orang dari seluruh Johor menerima bantuan Azam Tani dan M3R dengan nilai keseluruhan melebihi RM204,000 dan FAMA menggalakkan usahawan peraih di peringkat ladang menjual terus hasil kepada pembeli atau menghantarnya ke pasar.

"Penerima bantuan M3R tersebut hanya perlu membayar separuh daripada harga asal kenderaan tersebut dalam tempoh tiga tahun manakala separuh lagi ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.

"Bantuan kemahiran turut diberikan dan mampu menjadi mata pencarian bagi mereka yang benar-benar komited untuk berjaya

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved