Sabtu, 22 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


17 rumah musnah dijilat api

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh ROSMAWATI SALIHIN
pengarang@utusan.com.my

Yahya Hussin (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada penduduk ketika melawat kawasan kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan, Sabah, semalam. - UTUSAN/ROSMAWATI SALIHIN

KOTA KINABALU 22 Mac - Sebanyak 25 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih, dekat sini awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu memusnahkan sebanyak 17 buah rumah kayu yang didiami sejak puluhan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.52 pagi dan tiga jentera dengan kekuatan 25 pegawai dan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Maklumat awal mendapati kebakaran berpunca daripada kelalaian salah seorang penghuni yang terlupa menutup dapur gas," katanya di sini hari ini.

Tambah Nordin, ketangkasan pihaknya berjaya mengawal api dari merebak ke penempatan lain.

Katanya, api berjaya dikawal kira-kira pukul 4.30 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

"Jumlah kerugian dan punca sebenar masih dalam siasatan," kata beliau lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin turut melawat mangsa kebakaran dan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai pembinaan sebuah balai bomba baharu di daerah Putatan.

"Daerah Putatan memerlukan sebuah balai bomba sendiri bagi menghadapi kecemasan terutamanya kejadian kebakaran serta insiden-insiden lain.

"Pembangunan yang pesat dan bilangan jumlah penduduk yang terus meningkat menuntut daerah Putatan mempunyai balai bomba sendiri bagi menampung keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa ditempatkan di penempatan sementara Dewan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan (JBSP) negeri.

Lelaki bersenjatakan pistol rompak lima beranak

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Goh Wong Leng memeriksa beberapa dokumen ketika ditemui selepas kejadian samun dan tembak di rumah ibunya di Jalan Kubang Pasu, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 22 Mac - Lima beranak warga emas bukan sahaja kerugian barangan berharga dan wang tunai, malah berdepan detik cemas apabila dua lelaki bersenjatakan pistol melepaskan tembakan ketika merompak rumah mereka di Jalan Kubang Pasu, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, tembakan yang dilepaskan salah seorang suspek yang memakai topi keledar tersebut terkena dinding dan almari namun kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan.

Suspek dipercayai warga tempatan kemudiannya mengikat tiga daripada lima beranak itu sebelum menyelongkar rumah mereka untuk mencari barangan berharga.

Salah seorang mangsa, Goh Wong Leng, 61, memberitahu, rumah berkenaan didiami ibunya yang berusia 86 tahun bersama seorang kakak dan seorang adik lelaki yang lumpuh akibat strok.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia dan seorang lagi kakaknya menziarahi ibu mereka selain mahu membersihkan rumah tersebut.

"Seorang lelaki bertopi keledar tiba-tiba masuk ke dalam rumah sebelum mengacukan sepucuk pistol dan mengarahkan saya menyerahkan barang berharga.

"Saya cuba berlindung di sebalik meja namun lelaki berkenaan melepaskan tembakan lalu terkena dinding dan almari di belakang saya.

"Seorang lagi lelaki masuk dan mengikat saya serta dua orang kakak sebelum menyelongkar rumah," katanya di sini hari ini.

Wong Leng berkata, suspek kemudian berjaya menemui beberapa berharga seperti telefon bimbit dan wang tunai RM500, melarikan diri bersama sebuah kereta Honda Accord kepunyaan adiknya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Rafar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa mangsa.

"Kesemua mangsa yang berusia antara 60 tahun hingga 86 tahun itu tidak mengalami kecederaan namun semakan ke atas motosikal yang ditinggalkan dua suspek berkenaan mendapati nombor pendaftarannya palsu," katanya.

Idris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kelebihan gol bawa Malaysia ke final

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my

PEMAIN Malaysia, Helmi Jali (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain Australia dalam perlawanan terakhir peringkat awal kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh semalam yang berkesudahan Malaysia tewas 6-2. - MINGUAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

IPOH - Malaysia mengesahkan tempat ke perlawanan akhir kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah tetapi hanya selepas menanti keputusan dengan penuh debaran sebelum mengesahkan tempat menerusi kelebihan gol ke atas Korea Selatan.

Setelah dibelasah juara bertahan, Australia 2-6 dalam perlawanan awal di Stadium Azlan Shah di sini semalam, nasib Malaysia terpaksa ditentukan berdasarkan keputusan perlawanan terakhir peringkat awal di antara Korea Selatan dengan Afrika Selatan yang berakhir dengan juara Asia itu menang 5-2.

Skuad kebangsaan seharusnya berterima kasih kepada Afrika Selatan yang berjaya menyekat Korea Selatan daripada menang besar.

Keputusan itu menyebabkan Malaysia dan Korea Selatan terikat dengan 10 mata tetapi anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah memiliki kelebihan jaringan setelah menjaringkan 17 gol berbanding pencabarnya 14 gol.

Dalam aksi menentang Australia, skuad negara tampil kental pada babak pertama apabila hanya dibolosi satu gol setelah Nicholas Budgeon menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-17.

Namun gawang gol skuad kebangsaan dibolosi lima kali pada babak kedua, masing-masing menerusi Chris Ciriello (m-38 dan m-59) Russell Ford (m-42), Daniel Beale (m-43) dan Eddie Ockenden (m-46).

Perbezaan jaringan yang besar itu bagaimana pun berjaya dikurangkan menerusi dua gol hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal Saari pada minit ke-61 dan ke-70.

Jurulatih kebangsaan, Muhammad Dharma berkata, walaupun kalah dia berpuas hati dengan persembahan pasukannya terutama pemain muda yang pertama kali beraksi dalam kejohanan ini.

"Matlamat kita memang mahu mengurangkan jumlah jaringan dan berjaya melakukannya hasil dua gol pada penghujung perlawanan.

"Menentang pasukan No. 1 dunia, pemain membuktikan kita bukan pasukan pengecut, malah memberikan tentangan hingga ke penghujung perlawanan.

"Apa yang membanggakan kita menjadi pasukan pertama yang membolosi gawang Australia sebanyak dua kali," katanya.

Dalam pada itu, Korea Selatan dikerah sebelum mengalahkan Afrika Selatan 5-2 setelah mendahului 2-1 pada babak pertama menerusi Jung Man Jae dan Kang Moon Kweon pada minit ke-22 dan ke-26.

Sebelum itu Korea Selatan dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Afrika Selatan hasil gol padang Ignatius Malgraff pada minit ke-18.

Korea Selatan menambah tiga gol pada babak kedua menerusi Hyun Hye Sung (m-42), Kang Moon Kyu (m-68) dan Jang Byung Jin (m-70) manakala gol kedua Afrika Selatan dijaringkan Brandon Panther (m-69).

Pemain 17 tahun kejutkan Nicol

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
sukan@utusan.com.my

Nicol Ann David ditenangkan bapanya, Desmond David selepas tewas kepada Nour El Sherbini dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Pulau Pinang semalam. - BERNAMA

PULAU PINANG - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal dalam misinya mencari kejuaraan dunia kelapan dalam Kejohanan Wanita Dunia CIMB ke-29 selepas tewas mengejut kepada pemain muda Mesir, Nour El Sherbini di sini semalam.

Masuk ke gelanggang selaku pilihan utama kejohanan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (SPICE), Nicol, 31, gagal memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan sokongan padu peminat di negeri kelahirannya apabila tewas dalam perlawanan lima set yang berlangsung kira-kira satu jam.

Nicol, yang muncul juara kejohanan ini di Pulau Caymen tahun lalu, kelihatan akan meraih laluan mudah setelah menang mudah pada set pertama dengan 11-4 ke atas juara remaja dunia sebanyak tiga kali berusia 17 tahun itu.

Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan rentak kemenangan untuk tewas dua set berikutnya dengan 9-11 dan 6-11.

Namun, pemain nombor satu dunia itu mengikat kedudukan dua set sama apabila bangkit pada set keempat untuk menang 11-2 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set terakhir, Nicol seolah-olah hilang tumpuan selepas membenarkan Sherbini mendahului agak selesa malah pernah ketinggalan agak jauh dengan 4-8.

Meskipun cuba mengejar, namun Nicol tidak mampu menyaingi permainan pantas dan menyerang Sherbini sebelum tewas 9-11.

Selepas perlawanan, Nicol mengakui dia kecewa dengan kekalahan itu apatah lagi ditewaskan di hadapan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, menurut Nicol, dia tetap berasa bangga kerana tewas di tangan seorang pemain muda yang berbakat besar serta seorang lawan yang cukup hebat seperti Sherbini.

"Dia terlalu bagus hari ini dan memberi persaingan yang cukup sengit dan saya akui pertemuan dengannya adalah perlawanan yang sukar.

"Apa pun saya terima kekalahan ini meskipun pahit kerana kecundang di negara serta negeri kelahiran saya sendiri dan saya akan menilai kekalahan ini untuk persediaan dalam kejohanan akan datang," katanya.

Kekalahan Nicol itu juga bermakna dia gagal untuk mengulangi pertemuan dengan musuh tradisi, Laura Massaro dari England dalam perlawanan akhir hari ini seperti dalam kejohanan musim lalu.

Massaro yang juga pemain No. 2 dunia melangkah ke peringkat akhir selepas menewaskan pemain No. 3 dunia juga dari Mesir, Raneem El Weleily dengan 11-9, 11-7, 6-11 dan 11-7 dalam masa 48 minit.

Dalam pada itu, Sherbini berkata, kemenangan ke atas Nicol adalah pengalaman paling manis dalam kariernya memandangkan tidak pernah berjaya menewaskan Nicol sebelum ini.

"Saya turun tanpa sebarang tekanan berbanding Nicol dan keadaan itu memberi kelebihan kepada saya untuk menewaskannya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Bimbing kuasai subjek teras

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
pengarang@mingguan.com.my

Fuziah Md. Ali (tiga dari kiri) bersama guru dan pelajar melihat kandungan Tutor SPM terbitan Utusan Malaysia semasa Majlis Pelancaran Program Nilam dan Pelancaran Tutor Utusan Malaysia di SMK Bandar Rinching, Semenyih, kelmarin. - MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

semenyih 22 Mac - Kandungan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor yang selari dengan perkembangan semasa dilihat mampu memberi pendedahan kepada pelajar dalam menguasai subjek teras.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, Semenyih, Fuziah Md. Ali berkata, pihaknya telah menjalankan penelitian dan mendapati soalan yang disediakan dalam Tutor memberi manfaat kepada pelajar.

Menurut beliau, sebelum ini pelajarnya sering menggunakan buku latihan yang dibeli di kedai buku luar sebagai bahan rujukan bagi membantu pembelajaran mereka.

"Buku latihan yang dibeli di luar bukan tidak sesuai, tetapi Tutor sebenarnya lebih mesra dengan pelajar kerana mudah difahami dan mendekatkan mereka dengan pelaksanaan sistem pembelajaran baharu.

"Saya yakin keputusan pelajar akan meningkat jika mereka menggunakan Tutor secara konsisten dengan melakukan setiap latihan yang terdapat dalam bahan rujukan ini," katanya selepas ditemui dalam majlis pelancaran Program Bulan Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) dan pelancaran Tutor Utusan Malaysia di sini, semalam.

SMK Bandar Rinching telah melanggan 800 naskhah Tutor, masing-masing bagi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Majlis itu turut dihadiri oleh Penyelaras Program Nilam Peringkat Sekolah 2014, Rohaidah Mohamed dan Pengurus Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Fahmi Asraf Khan.

Jelas Fuziah, selain soalan dan artikel bertaraf tinggi, sedikit sisipan kartun yang terdapat dalam Tutor menjadi selingan kepada pelajar dalam proses pembelajaran.

"Kartun ini mengurangkan pelajar berasa bosan dan secara tidak langsung dapat memupuk minat membaca dan belajar.

"Kita turut menggalakkan setiap pelajar menggunakan Tutor sebagai latihan tambahan dan mengulangkaji pelajaran ketika berada di sekolah mahupun di rumah," katanya.

Tambah beliau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga digalakkan menaja Tutor bagi meningkatkan prestasi anak dan dapat mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Pakar sediakan bahan Tutor

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

PAPAR 22 Mac - Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Surati di sini yang menggunakan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor untuk membuat latihan pembelajaran amat beruntung kerana nota dan soalannya disediakan oleh pakar dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Guru Besar sekolah itu, Duraman Bakar berkata, bentuk, cara penyediaan dan penyampaian soalan Tutor amat berkualiti serta menepati standard peperiksaan, sekali gus sesuai bagi pelajar untuk membuat latih tubi di rumah sama ada secara bersendirian atau berkumpulan.

"Tutor ini banyak mendedahkan tentang perkara baharu dan simulasi peperiksaan dipersembahkan dengan baik," katanya sempena majlis penyerahan Tutor dan Tutor Bahasa Inggeris sebanyak 400 naskhah di sekolah itu di sini, kelmarin.

SK Surati mempunyai sebanyak 412 murid termasuk 25 murid prasekolah dan 45 murid pendidikan khas, malah sekolah itu turut berkongsi kawasan pentadbiran dengan Pejabat Pendidikan Daerah Papar.

Tambah Duraman, bahan dalam keempat-empat mata pelajaran itu sangat penting untuk pelajar memahirkan diri menjawab soalan seolah-olah mereka sedang menduduki peperiksaan dalam dewan.

Katanya, pihak sekolah turut menyediakan naskhah Tutor untuk kegunaan pusat sumber manakala selebihnya oleh pelajar terutama tahun enam yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Di samping itu, rencana bergambar yang dimuatkan dalam Tutor juga dapat membuka minda pelajar kita tentang isu semasa berkaitan pendidikan negara, bukan sahaja di Sabah," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Utusan Malaysia menyediakan Tutor untuk subjek Bahasa Cina dan Bahasa Arab kerana SK Surati merupakan sekolah aliran perdana.

"Ramai pelajar kami mengambil mata pelajaran Bahasa Cina mahupun Bahasa Arab yang diperkenalkan di sekolah ini, justeru kalau boleh pihak Utusan Malaysia menyediakan naskhah Tutor dalam kedua-dua subjek ini pada masa depan.

"Kami yakin langkah itu pasti mendapat sambutan apabila diperkenalkan, khusus dalam kalangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina," katanya.

Bagi sekolah di negeri ini yang berminat melanggan Tutor, mereka boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran Utusan Malaysia di Sabah, Celestina Ubing di talian 012-8020261 untuk keterangan lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Biodiesel kukuh harga minyak sawit

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Adnan Yaakob bersama Douglas Uggah Embas (tiga dari kanan) melihat bagaimana minyak biodiesel sawit diproses selepas majlis Pelancaran Penggunaan Biodiesel Sawit bagi Wilayah Timur di Kuantan, baru-baru ini. - BERNAMA

KUANTAN 22 Mac - Pelaksanaan penggunaan biodiesel sawit adalah langkah strategik kerajaan bagi mengukuhkan harga minyak sawit dalam jangka masa panjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah itu juga akan menyumbang kepada persekitaran yang bersih dengan penggunaan bahan bakar yang mesra alam.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha kerajaan meluaskan penggunaan biodiesel sawit ke negeri ini yang sudah pun bermula pada Februari lalu.

"Pelaksanaan program ini amat wajar kerana Pahang merupakan antara negeri yang mempunyai ladang kelapa sawit cukup luas dan pada tahun lalu sahaja kita memiliki kira-kira 710,000 hektar ladang sawit," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Penggunaan Biodiesel Sawit di Wilayah Timur (Pahang, Terengganu dan Kelantan) dan Utara (Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang) serta penyempurnaan di peringkat Semenanjung di Hotel MS Garden, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Unggah Embas; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Nurmala Abd. Rahim; Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ar Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May.

Terdapat tiga kilang biodiesel sawit di negeri itu dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 450,000 tan setahun di samping tiga depot pengadunan petroleum.

Adnan berkata, kerajaan negeri akan memberi sepenuh komitmen dan membantu pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang kini giat melakukan kajian dan penelitian mengenai biodiesel sawit.

"MPOB kini membuka pejabat cawangannya di Bandar Indera Mahkota dekat sini, jadi dengan wujudnya jalinan kerjasama yang akan diadakan nanti dapat meningkatkan kemajuan dalam industri ini.

"Saya juga mencadangkan jika MPOB ingin membuka sebuah lagi kilang biodiesel sawit, boleh datang ke Pahang, kita akan menyediakan lokasi yang sesuai untuk pembinaan kilang ini," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri akan membangunkan Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) di Gebeng di sini di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kos sebanyak RM89.34 juta.

Kerajaan tidak pernah pinggirkan kemudahan Orang Asli

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

KUALA LIPIS 22 Mac - Kerajaan tidak pernah meminggirkan kemudahan masyarakat Orang Asli di pedalaman apabila projek pembinaan jalan raya ke perkampungan Orang Asli Pos Titom, Hulu Jelai di sini bakal dimulakan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek jalan raya ke Pos Titom merupakan infrastruktur terakhir di kawasan penempatan Orang Asli Hulu Jelai kerana hampir semua kemudahan asas termasuk jalan raya telah direalisasikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Jalan ini memberi kemudahan kepada masyarakat Orang Asli untuk mengangkut hasil kampung atau mengadakan urusan di pekan Sungai Koyan, Kuala Lipis dan Raub," katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Mesra dan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Pos Titom di Pos Titom Betau yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alaxender Nanta Linggi Pos Titom Betau di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alaxender Nanta Linggi berkata, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membina jalan raya sepanjang 6.5 kilometer dari Lenjang ke Pos Titom di sini.

Menurut Alaxender, projek yang bermula bulan lalu itu dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, projek jalan raya itu antara usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu di kawasan pedalaman Hulu Jelai bagi sektor pertanian komersial dan pelancongan.

"Projek ini adalah antara perhubungan penting untuk penduduk Orang Asli membawa keluar hasil kampung selain mengadakan pelbagai urusan di bandar," ujarnya.

Seorang penduduk etnik Semai Pos Titom, Ramli Bah Resit, 47, berkata, impian menikmati kemudahan itu tercapai apabila projek berkenaan mula dibina ke kampung berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana merealisasikan usaha itu sekali gus membuka lembaran pembangunan moden di pedalaman ini," katanya.

5 kes tangkap ikan guna alat terlarang

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

KUANTAN 22 Mac - Jabatan Perikanan negeri berjaya membanteras kegiatan menangkap ikan air tawar menggunakan peralatan dilarang di sungai utama di negeri ini membabitkan lima kes tangkapan sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, lima kes ini membabitkan kesalahan seperti menuba, jermal haram, pistol ikan dan bom.

"Sebanyak tujuh kes direkodkan pada 2012, diikuti sembilan kes bagi tahun lepas dan lima kes pada tahun ini melibatkan daerah Lipis, Maran serta Kuantan.

"Mereka ini tidak bertanggungjawab dan perlu menghentikan menggunakan peralatan dilarang di sungai kerana boleh merosakkan sumber perikanan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Biosekuriti Perikanan negeri di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussein dan Ketua Pusat Biosekuriti Perikanan, Azahari Othman.

Menurutnya, penggunaan peralatan dilarang ini telah memusnahkan banyak spesies ikan air tawar di sungai utama iaitu ikan kelah, patin, jelawat, lampam sungai, kerai dan baung.

"Saya meminta orang ramai memberi kerjasama supaya tidak merosakkan sungai di negeri ini dengan pelbagai aktiviti yang tidak sihat seperti menuba, menggunakan bom, racun dan banyak lagi," katanya.

Katanya, mereka yang didapati bersalah akan didakwa di bawah Kaedah-kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM500 dan maksimum RM5,000 manakala segala kelengkapan akan dirampas.

Sementara itu, beliau meminta supaya kerajaan dapat mengkaji semula jumlah baharu denda yang diperuntukkan berikutan begitu kecil dan boleh menyebabkan orang ramai tidak takut melakukan kesalahan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Serangan di Thailand, 4 cedera

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

beberapa orang penunjuk perasaan anti-kerajaan berkumpul di khemah mereka di Taman Lumpini di tengah Bangkok, kelmarin. - AFP

BANGKOK 22 Mac - Kira-kira empat orang cedera dalam beberapa serangan bom tangan di kawasan-kawasan pelancongan di utara Thailand yang disifatkan oleh polis, hari ini mempunyai kaitan dengan krisis politik di negara ini.

Serangan-serangan di Chiang Mai, malam tadi itu berlaku beberapa jam selepas Mahkamah Perlembagaan mengisytiharkan pilihan raya umum negara ini pada 2 Februari lalu sebagai tidak sah, sehingga menimbulkan kemarahan penyokong kerajaan.

Sasaran serangan tersebut merupakan sebuah restoran makanan laut, sebuah stesen minyak dan sebuah kilang arak yang sebelum ini dikritik kerana mempunyai kaitan dengan keluarga penunjuk perasaan antikerajaan.

Komander Polis Wilayah Chiang Mai, Grit Gitilue berkata, empat orang cedera dalam kejadian tersebut, namun mereka telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Kami melihat dua kemungkinan motif serangan tersebut, iaitu yang pertama melibatkan masalah peribadi dan kedua ialah politik. Kami lebih melihat kepada motif politik, katanya.

Polis berkata, dua bom tangan turut dilemparkan berdekatan lokasi demonstrasi antikerajaan di Chonburi, wilayah timur Thailand, malam tadi, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Serangan tersebut memberi tamparan hebat kepada usaha kerajaan menarik semula kedatangan pelancong ke negara ini, selepas perintah darurat ditarik balik di Bangkok, ekoran ketegangan akibat krisis politik yang menyaksikan 23 orang maut, semakin berkurangan. - AFP

Korea Utara lancar 30 peluru berpandu

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

SEOUL, 22 Mac - Korea Utara melancarkan 30 peluru berpandu jarak dekat ke dalam laut pada satu siri ujian peluru berpandu, hari ini.

Ketua Bersama Staf Korea Selatan berkata, ujian itu merupakan yang terbaru oleh Pyongyang, walaupun Seoul dan Washington sebelum ini menyuarakan bantahan kepada Korea Utara supaya menghentikan tindakan provokasi.

Korea Utara melancarkan 30 peluru berpandu jarak dekat antara pukul 4 pagi dan 6.10 pagi (1900-2110 GMT Jumaat) pagi ini dari kawasan pantai timur negara itu ke arah Laut Jepun (Laut Timur))," kata seorang jurucakap Ketua Bersama Staf Korea Selatan.

Peluru berpandu itu dipercayai terbang sejauh kira-kira 60 kilometer," tambah beliau.

Seorang penganalisis berkata, peluru berpandu itu dilancarkan dari lokasi sama di mana 25 peluru berpandu jarak dekat yang dilancarkan pada Ahad lalu dekat timur pelabuhan Wonsan. Ujian peluru berpandu pada Ahad lalu itu merupakan peluru berpandu jarak dekat era Soviet yang dikenali sebagai Frog pada 1960-an.

Ia merupakan luahan kemarahan pada satu latihan ketenteraan bersama" oleh Korea Selatan bersama sekutunya Amerika Syarikat, kata Profesor Yang Moo-Jin dari Universiti Kajian Korea Utara kepada AFP.

Ia bukan sesuatu yang asing bagi Pyongyang melaksanakan ujian seperti itu tetapi ujian yang dilakukan oleh Pyongyang minggu ini dilihat terlalu ketara. Ujian peluru berpandu hari ini merupakan siri keenam dalam tempoh sebulan.

Korea Selatan awal minggu ini menggesa Korea Utara menghentikan apa yang mereka panggil tindakan provokasi dan ujian berpotensi membawa bahaya.

Korea Utara perlu menghentikan tindakan itu yang boleh mencetuskan ketegangan ketenteraan dan membuatkan jirannya tidak selesa," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-Seok kepada pemberita pada Isnin lalu.

Tindakan provokasi yang dibuat tanpa sebara notis ... boleh membawa bahaya kepada kapal-kapal di laut dan kapal terbang yang lalu di perairan itu, tambah beliau.

Jabatan Negara Amerika Syarikat turut menggesa Pyongyang menghentikan tindakan provokasi yang boleh meningkatkan ketegangan.

Beijing awal bulan ini turut melahirkan kebimbangan selepas Korea Utara melancarkan ujian roket di laluan pesawat syarikat penerbangannya. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Gaya tinju Asmidar, Ali

Posted: 22 Mar 2014 05:36 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar URTV

LATIHAN untuk mengguatkan bahagian kaki

AKSI mengelak daripada ditumbuk pihak lawan yang penuh dengan teknik pasti akan membuatkan kita terus berdebar untuk berada di satu sudut gelanggang tinju.

Tinju merupakan sukan yang sudah terkenal dan mesti ada yang berpendapat bahawa sukan ini hanya khusus buat golongan lelaki. Namun kini, sukan itu juga semakin disertai oleh kaum wanita.

Lebih mengujakan, sukan ini tidak membataskan rupa paras dan juga bentuk fizikal seseorang, sebaliknya akan memberikan manfaat yang cukup baik untuk tubuh.

Melihat fizikal dua selebriti ini yang dibawa oleh S3 untuk melakukan aktiviti tinju, ternyata saiz tubuh mereka kecil berbanding dengan petinju yang biasanya berbadan besar serta tegap.

Gerakan pantas, tumbukan padu dan terjahan kilat, kesemua rutin asas tinju itu dilakukan oleh penyanyi Asmidar dan pelakon, Ali Arami.

Nama mereka mungkin kurang dikenali, namun kedua-duanya mempunyai minat yang sama dalam seni mempertahankan diri.

Memulakan bicara, Asmidar yang digilap bakatnya melalui sebuah program realiti nyanyian kira-kira tiga tahun lalu mengakui sukan tinju mampu menguji tahap kemampuan diri dari aspek fizikal mahupun mental.

"Tidak pernah tahu dan kurang faham mengenai sukan tinju sebelum ini membuatkan saya begitu teruja mengenalinya.

"Ini adalah kali pertama saya mengikuti dan mencuba sukan tinju. Ternyata ia satu sukan yang sangat menyeronokkan.

"Sukan ini cukup untuk menyihatkan badan selain meningkatkan kemahiran dan teknik-teknik mempertahankan diri. Memang ia sesuai dipelajari semua orang," jelas Asmidar.

Nyata, keupayaan dan keyakinan Asmidar untuk bertinju tidak boleh disangkal apabila dia berjaya mencuri tumpuan penulis dengan gerakan yang ditunjukkan.

Lain pula kisahnya dengan Ali Arami. Kelibatnya dalam sukan ini umpama seorang yang profesional. Cara mengelak yang ditunjukkan Ali umpama seorang yang berbakat.

Katanya, dengan menyertai tinju, dia mendapat kepuasan dalam mempamerkan bakat dalam bidang sukan yang mencabar itu.

"Tinju mampu memberikan kita keyakinan diri yang tinggi. Apabila kita berani mencuba tinju dengan melakukan aksi tumbuk, itu bermaksud kita sudah mampu melawan musuh," ujarnya .

Dalam pada itu, beliau menasihatkan supaya tidak menyalahgunakan teknik yang sudah dipelajari untuk melakukan kegiatan yang tidak betul.

Takut tengok orang bertinju

Sementara itu, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad berkata, tinju adalah satu sukan paling susah. Kenapa kata susah?.

Jelas Asmidar, kalau salah dalam aksi menumbuk, kita akan cedera dan sebab itu perlu berhati-hati.

"Memang takut sebenarnya tengok sukan tinju ini. Saya pernah tonton dalam televisyen aksi yang dipamerkan. Sungguh menggerunkan.

"Sampai ada yang berdarah. Bayangkan kalau saya yang ditumbuk sehingga berdarah. Memang sungguh menakutkan," katanya yang juga pernah belajar seni mempertahankan diri seperti taekwando dan silat.

Menjadikan petinju seperti Naseem Hamed dan Muhammad Ali sebagai idola, wanita berusia 28 tahun ini memberitahu seni seperti ini sebenarnya sesuai untuk wanita.

"Sekarang kan banyak kes ragut. Jadi, golongan wanita perlu ada seni mempertahankan diri. Ia sangat penting.

"Lagi satu, saya sangat kagum melihat wanita mahir mempertahankan diri dan sentiasa mempersiapkan diri untuk lebih berhati-hati.

"Tetapi cara dan teknik perlu dipelajari dengan lebih mendalam. Tidak salah rasanya untuk mencuba sesuatu yang belum dicuba," tuturnya.

Yoona mohon maaf

Posted: 22 Mar 2014 05:36 AM PDT

BERSAMA NOONA KHA-DIJAH
(ijah_pg@yahoo.com)

BARU-BARU ini dalam program Healing Camp, anggota Girls Generation secara terbuka telah berkongsi pelbagai pengalaman mereka dengan penonton.

Sewaktu Yoona ditemu bual, dia tidak segan silu untuk berkongsi kisah cintanya dengan orang ramai. Malah dia turut melahirkan perasaan bimbangnya terhadap rakan-rakan Girls Generation yang lain apabila kisah cintanya bersama Lee Seung Gi menjadi perhatian ramai.

"Saya hantar mesej kepada semua anggota dengan ucapan maaf kerana membuatkan hidup mereka tidak selesa. Saya tahu apabila para wartawan tahu kisah cinta dengan Lee Seung Gi, pasti rakan-rakan lain menjadi mangsa untuk menjawab.

"Situasi ini belum pernah berlaku dalam kumpulan kami. Disebabkan saya, rakan-rakan lain turut menjadi sasaran pihak media untuk bercerita tentang kisah peribadi mereka. Saya harap mereka tidak terbeban," katanya dengan nada kesal.

Apabila ditanya bagaimana dia bertemu janji dengan Lee Seung Gi?. Dengan berhati-hati Yoona menjawab, ia seperti mana yang anda lihat di dada akhbar.

"Saya sebenarnya gelabah, apabila kisah cinta saya dengan Lee Seung Gi diketahui umum dan sesungguhnya saya tidak pernah menjangka ia akan menjadi berita utama," akuinya.

Malah kata Yoona, dia juga tidak menduga sewaktu Lee Seung Gi meluahkan perasaan cinta di kaca televisyen, ia ditujukan kepadanya.

"Saya ingatkan dia meluahkan perasaan secara rambang, sebab ketika itu, dia sedang bersiaran di televisyen. Jadi, saya tak fikir kata-kata itu ditujukan kepada saya.

"Saya juga nak buat pembetulan bahawa saya tidak cemburu pada Suzy yang berlakon bersamanya dalam drama Gu Family. Saya tahu hubungan mereka sekadar rakan artis dan yang membuatkan saya tertanya-tanya, dari mana datangnya gosip yang mengatakan saya cemburu," katanya sambil ketawa.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jangan buat tuduhan melulu

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

PERISTIWA kehilangan secara misteri pesawat MH370 milik MAS sejak 8 Mac lalu nyata memberi kesan bukan sahaja kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal tetapi juga seluruh warga Malaysia yang turut bersedih dan bersimpati.

Namun pada masa yang sama terdapat mereka yang galak menabur spekulasi mahupun fitnah yang tidak membantu apa-apa. Hanya menyusahkan serta langsung tidak menghormati ahli keluarga yang menanti penuh harapan.

Lebih menjelikkan terdapat laporan tidak bertanggungjawab oleh media Barat yang cenderung melaporkan berita berat sebelah dan memburuk-burukkan kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia.

Untuk itu wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Ketua Polis Negara, TAN SRI KHALID ABU BAKAR bagi mendapat ulasan lanjut. Ujar beliau tidak timbul isu pihak berkuasa dan kerajaan lambat bertindak atau gagal menangani krisis ini.

Jika ada pihak mengatakan kami lambat bertindak itu tidak bermakna kami tidak melakukan apa-apa. Kami telah melakukan yang terbaik mengikut saluran undang-undang negara selain perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan," katanya.

MINGGUAN: Ada pihak yang sengaja mengatakan pihak berkuasa lambat bertindak dan tidak bijak menangani krisis melibatkan kehilangan pesawat MH370. Bagaimana Tan Sri melihat perkara ini?

KHALID: Dalam kita menghadapi krisis seperti kehilangan pesawat MH370 ini kita perlu berhati-hati dalam mengeluarkan apa juga kenyataan serta ketika kita mengambil apa juga tindakan. Sudah tentu kita berhadapan dengan begitu banyak isu sensitif yang melibatkan ahli keluarga penumpang dan kru, pekerja-pekerja MAS dan juga sensitiviti melibatkan rakyat Malaysia. Saya tidak mengatakan kita lambat bertindak tetapi apabila berlaku insiden sebegini, kita telah mulakan siasatan sejak awal. Tetapi dalam soal ini pihak utama yang bertanggungjawab dalam siasatan adalah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Pihak polis akan mengambil bahagian jika terdapat unsur-unsur jenayah dalam insiden ini. Pihak kami telah sejak awal lagi bekerjasama dengan pihak DCA dan MAS dalam membantu penyiasatan awal. Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ada beberapa switch yang ditutup secara sengaja, dari situ kami mula mengklasifikasi kes ini ada unsur jenayah dan memulakan siasatan. Kita kena faham undang-undang memberi kuasa kepada kita untuk menjalankan tindakan, jadi kalau tidak ada asas kesalahan untuk memulakan siasatan maka kita tidak boleh menggunakan kuasa penyiasatan yang ada pada kita di bawah kanun acara jenayah. Jadi pada 16 Mac lepas, apabila kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 130C maka dari situ pihak polis mendapat kuasa-kuasa untuk menjalankan siasatan berunsur jenayah.

Barulah selepas itu kami pergi ke rumahnya untuk mengambil bahan-bahan bukti yang dapat membantu dalam siasatan. Namun ini tidak bermakna pihak polis tidak melakukan apa-apa kerana sejak hari pertama lagi kami telah memulakan siasatan untuk mencari sebab dan punca kejadian. Malah saya telah nyatakan empat fokus utama siasatan iaitu pertama pesawat dirampas, kedua sabotaj, ketiga masalah peribadi dan keempat masalah psikologi.

Oleh itu sejak hari pertama lagi, inilah empat fokus yang kami pegang dan apabila ada unsur jenayah maka kami telah membuka kertas siasatan tentang hal ini. Maka jika ada pihak mengatakan kami lambat bertindak itu tidak bermakna kami tidak melakukan apa-apa. Kami telah melakukan yang terbaik mengikut saluran undang-undang negara selain perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Lebih memburukkan keadaan terdapat tuduhan bahawa pihak berkuasa dan kerajaan sengaja melindungi rahsia atau konspirasi tertentu dalam misteri kehilangan pesawat M370. Apa komen Tan Sri?

KHALID: Ini semua adalah satu tuduhan melulu yang tidak dibuktikan. Semua pihak boleh bercakap tetapi apakah mereka mengemukakan sebarang bukti tentang dakwaan mereka itu. Jadi janganlah terlalu cepat percaya dengan sebarang dakwaan yang dikemukakan kerana dengan pemakluman setiap hari tentang perkembangan kehilangan pesawat ini, itu dengan jelas membuktikan kita tidak ada sebarang konspirasi malah menjemput pihak-pihak luar serta pakar-pakar dari luar negara untuk membantu. Ini sudah jelas membuktikan bahawa tidak ada apa yang kami mahu sembunyikan. Mungkin kita kekurangan pakar dalam isu ini tetapi dengan bantuan daripada pihak luar yang lebih arif, maka jelas tidak ada sebarang agenda atau rahsia yang kami mahu sembunyikan.

Apa yang menjadi masalah ialah pelbagai teori dan spekulasi berlegar di media sosial malah pihak pembangkang pun turut sama mengambil kesempatan dan sebagainya, mengakibatkan masyarakat menjadi keliru. Mungkin tindakan perlu diambil terhadap mereka?

KHALID: Bagi saya apa yang penting kita perlu membezakan antara fakta dan spekulasi. Jadi apa juga yang ditulis oleh orang ramai dalam media sosial adalah berbentuk spekulasi kerana tidak disokong oleh fakta, maka ia tetap kekal spekulasi. Namun jika sekadar spekulasi, pihak kami melihat belum cukup untuk kami mengambil tindakan melainkan mereka membuat fitnah. Kami memantau semua spekulasi ini kerana kita merasakan daripada spekulasi ini sedikit sebanyak ia membantu dalam siasatan. Namun saya menyeru kepada masyarakat supaya dapat membezakan antara spekulasi dan fakta. Apa yang diberikan melalui pengumuman pihak kerajaan itu adalah fakta sebenar dan bukan spekulasi.

Pandangan Tan Sri tentang peranan media antarabangsa yang sering sahaja memberi berita negatif terhadap usaha yang dilakukan pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia. Adakah ini menunjukkan sikap mereka yang mengamalkan double standard dalam pemberitaan?

KHALID: Kita kena faham bahawa ada pihak asing yang dengki dengan kita. Mereka ini sengaja mahu memperlekehkan kita. Malangnya ada kalangan masyarakat kita begitu cepat percaya dengan berita asing. Walhal akhbar kita yang patut lebih tahu kerana kita memberikan berita sebenar tetapi mereka tidak mahu dengar.

Tetapi apabila melibatkan media luar negara mereka begitu mempercayainya. Malah adakalanya ia seperti mahu melaga-lagakan dengan pihak tertentu antaranya China. Sebagai contoh dalam pemberitaan tentang beberapa warga China yang cuba mengganggu sidang media tempoh hari. Mereka memberi gambaran seolah-olah kita melayan mereka dengan teruk sedangkan itu tidak benar.

Apa yang patut kita lakukan, sudah tentu dalam keadaan sedemikian kita akan menghalang tindakannya itu dan memanggil seseorang untuk menguruskannya. Saya pun tidak faham kenapa dia memilih waktu itu untuk bertindak menjerit-jerit dan menangis. Sedangkan jika dia mahu berjumpa dengan pihak media sama ada dalam atau luar negara, ia boleh dilakukan bila-bila masa kerana mereka berada di situ sejak awal lagi. Mengapa dia cuba mengganggu sidang media itu, ia tidak munasabah. Saya sendiri pun tak tahu nak cakap bagaimana, tetapi saya sangat berharap rakyat kita dapat memahami yang mana berita benar dan tidak benar.

Dalam soal penemuan objek yang dikatakan milik pesawat MH370 di kawasan selatan Lautan Hindi, jika khabar berkenaan adalah benar, apakah langkah-langkah awal yang akan dilakukan?

KHALID: Apa yang boleh dilakukan dalam hal ini ialah siasatan menyeluruh melibatkan pihak DCA kerana ini bidang kuasa mereka. Pihak polis akan terlibat dalam siasatan jika terdapat unsur-unsur jenayah. Jikalau benar objek itu milik pesawat MH370, jadi operasi untuk mencari dan menyelamat adalah dalam tanggungjawab negara yang berkenaan.

Di kawasan Lautan Hindi itu ada banyak FIR (flight information region) dan bukan sahaja melibatkan Australia. Maka kita kena tahu lokasi sebenar dan negara mana yang bertanggungjawab. Apa pun pihak PDRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak dalam berhadapan dengan apa juga situasi. Kami juga telah bersiap sedia dalam memberi apa juga bantuan dalam sebarang keadaan.

Dalam soal kerahsiaan melibatkan isu keselamatan, apakah jaminan perkara ini tidak akan terdedah kepada pihak luar berikutan semakin banyak negara terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370?

KHALID: Dari segi keselamatan dalam negara yang mana PDRM bertanggungjawab sepenuhnya, maka kami akan memastikan apa juga kepentingan negara akan berada dalam keadaan selamat. Namun dalam berhadapan dengan krisis sebegini sebarang bantuan dari negara asing adalah dialu-alukan. Namun kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan - tidak sama sekali akan membenarkan pihak luar mengambil kesempatan dan langkah-langkah yang perlu diambil dalam soal ini telah diambil sejak awal.

Mungkin Tan Sri boleh terangkan bentuk kerjasama dengan pihak FBI kerana terdapat kebimbangan akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini melibatkan soal keselamatan dan kerahsiaan?

KHALID: Bentuk bantuan dan kerjasama yang dijalin dengan pihak FBI adalah dalam bentuk pertukaran maklumat. Bukanlah seperti beberapa maklumat tidak tepat yang dikeluarkan sebelum ini dan ini tidak melibatkan pihak berkuasa. Apa yang kami lakukan ialah pertukaran maklumat dengan pegawai mereka di kedutaan selain pengetahuan pakar mereka. Tidak ada pegawai mereka pun di sini, yang ada hanyalah mereka dari Public Security of China atau polis China yang memberi kerjasama dalam mendapatkan maklumat penumpang dari negara mereka.

Kami bekerjasama rapat dengan mereka dalam pertukaran maklumat serta mengadakan perjumpaan seberapa kerap untuk memberi maklumat dan perkembangan yang berlaku di sini. Namun sekali lagi saya jelaskan, tidak ada sebarang kompromi dalam isu kerahsiaan dan keselamatan negara. Maka tidak timbul isu bahawa pihak FBI akan cuba menjadi dominan dalam soal pencarian kehilangan pesawat MH370. Dalam negara ini saya adalah ketua polis dan saya beri jaminan perkara sebegini tidak akan berlaku.

Bagaimana pula dengan negara China kerana banyak dakwaan di media sosial bahawa negara berkenaan tidak berpuas hati dengan langkah-langkah yang dilakukan?

KHALID: Saya mahu jelaskan bahawa tidak ada masalah langsung antara negara ini dengan China. Malah mereka memuji kita kerana kecekapan menyeluruh yang telah ditunjukkan dalam usaha mencari dan menyiasat kehilangan pesawat MH370. Contohnya kita menyiasat bila pesawat tersebut kali terakhir digunakan sebelum tarikh pesawat itu hilang pada 8 Mac lepas.

Kita mempunyai bukti dan jadual penuh pesawat tersebut, di mana ia diletakkan, siapa yang mengurus, masa sebenar bila barang-barang dimasukkan ke dalam pesawat dan siapa yang bertanggungjawab. Kami melihat setiap inci, setiap sudut dan mereka yang terlibat. Malah setiap barang pun diketahui dan siapa penerimanya pun kita siasat, contohnya siapa yang membeli dan penerima buah manggis. Semua itu lengkap dan kerana itulah pihak China memuji siasatan dan bantuan yang telah diberikan.

Warkah Geneva: Berkat doa, kesatuan

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh NASHARUDIN MAT ISA
Dari Avenue Louis-Casai, Cointrin, Geneva, Switzerland.

SUDAH hampir seminggu saya berada di Geneva bersama-sama dengan anggota delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) seramai enam orang. Seperti yang kita sedia maklum, MuslimUPRo merupakan gabungan NGO-NGO Islam yang bersama-sama bangkit untuk membantah pihak Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango), dan dalam masa yang sama berusaha melibatkan diri dalam Proses Semakan Berkala (UPR) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui konsultasi dan memberikan pandangan dan saranan kepada pihak Kerajaan Malaysia.

Kami hadir untuk melihat sendiri proses penerimaan muktamad oleh wakil Kerajaan Malaysia terhadap saranan yang telah dibuat oleh negara-negara anggota PBB melalui proses tersebut. Daripada sejumlah 232 syor yang dikemukakan pada Oktober 2013, iaitu sebanyak 113 syor kesemuanya, 21 syor secara prinsipnya diterima, manakala 83 lagi ditolak.

Setelah sekian waktu pihak MuslimUPRo mengadakan beberapa siri kempen dan penerangan di seluruh negara, dengan di akhiri melalui Seminar Hak Asasi Manusia yang dianjurkan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia baru-baru ini.

Pihak kami juga telah turut mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak kerajaan dan saban hari mengharapkan agar kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan pihak Comango yang jelas cuba mencabar Perlembagaan Persekutuan, mempertikai kedudukan Islam dan juga mempromosi budaya songsang seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

MuslimUPRo ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah dan syabas kepada kerajaan Malaysia yang telah menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah Hak Asasi Manusia berdasarkan syor-syor negara-negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia. Penerimaan muktamad Malaysia telah pun dinyatakan di dalam dokumen rasmi PBB rujukan A/HRC/25/10/Add.1 bertarikh 4 Mac 2014.

Pendirian Malaysia ini yang dinyatakan semasa Sesi Penerimaan Muktamad pada 20 Mac 2014, bagi saya adalah satu manifestasi tepat yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang mengamalkan kesederhanaan berdasarkan prinsip wasatiyyah dan komitmen Malaysia terhadap usaha untuk memperbaiki tahap dan keadaan hak asasi manusia di negara ini, tanpa berkompromi dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan realiti sejarah, agama dan budaya negara.

Syukur alhamdulillah kerana semua ini dapat berlaku berkat doa dan munajat yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia beragama Islam yang prihatin dan sedar bahawa ancaman terhadap agama kita sedang berlaku.

Menghentam

Tidak cukup dengan usaha dari dalam, negara kita cuba diheret sehingga ke pentas antarabangsa untuk akur dan menerima norma-norma Barat yang asing daripada agama dan budaya kita. Kita harus terus berdoa dan melakukan sesuatu dalam isu ini kerana usaha mereka yang memusuhi agama kita ini tidak terhenti setakat proses UPR yang kedua ini.

Pihak MuslimUPRo menjangkakan proses UPR yang ketiga yang dijadualkan pada 2017 nanti pastinya akan lebih hebat dan mencabar. Sudah tentu pihak Comango khasnya akan meneruskan kempen jahat mereka yang melanggar prinsip dan amalan agama Islam. Malah acara sampingan yang mereka anjurkan di Geneva ini pun telah mula mereka jadikan medan untuk menghentam kerajaan Malaysia dan masih berterusan membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menggugat agama Islam di negara kita.

Agenda Comango tidak terhenti setakat proses UPR. Pentas yang mereka gunakan juga bukan sekadar PBB. Mereka telah mengadakan lobi di sana sini. Dengan sokongan dan dana yang mereka perolehi dari luar negara khasnya, usaha mereka akan terus mereka gerakkan untuk memaksa negara kita menerima kesesatan dan kebatilan perjuangan mereka yang kononnya dilakukan atas prinsip hak asasi manusia!

Satu perkara yang hendak saya ketengahkan di sini ialah, walaupun yang diperjuangkan oleh Comango itu adalah sesuatu yang batil dan bercanggah dengan kehendak agama dan budaya, tetapi kerana mereka itu bersatu, maka suara mereka sampai ke pentas antarabangsa.

Mereka kelihatan kuat walaupun jumlah mereka bukanlah begitu ramai mana pun, tetapi mereka berupaya mengumpul tenaga dan kekuatan yang sedikit itu untuk memperjuangkan suara kebatilan mereka.

Dengan demikian, inilah masa yang terbaik bagi umat Islam negara ini untuk sama-sama sedar dan insaf, bermuhasabah dan bangkit sebagai satu saff yang kukuh, ibarat batu-batu yang diikat kemas dan rapi sebagaimana yang Allah jelaskan dalam Surah as-Saff ayat 4. Marilah kita renungkan bersama - bagaimana jika kumpulan yang batil ini boleh bangkit dan berjuang, kenapa tidak kita sebagai umat Islam yang sudah disebut Allah SWT sebagai khaira ummah ukhrijat lillnas (sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia) tidak mampu untuk bergabung tenaga dan bermuafakat mempertahankan dan memperjuangkan agama ini pada tahap paling maksimum yang kita mampu?

Saya amat yakin, apa yang telah kita capai di Geneva kali ini adalah berkat daripada doa orang ramai, penyatuan gerak kerja dalam kalangan NGO-NGO Islam dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan, maka kita dikurniakan Allah SWT dengan keputusan yang saya anggap sebagai satu kemenangan untuk Islam di negara kita.

Ada banyak lagi isu di hadapan kita yang memerlukan kesepakatan dan perpaduan di kalangan umat Islam. Kenapa tidak dalam hal yang berkaitan dengan mempertahankan agama, kita berpegang pada perintah Allah SWT ...inna hazihi ummatukum ummatan wahidah... (sesungguhnya inilah dia umat kamu... umat yang satu). Kekuatan kita adalah pada kesepakatan dan perpaduan yang jitu selaku umat yang satu.

MuslimUPRo sedang merancang beberapa strategi untuk berdepan dengan cabaran mendatang khasnya dalam isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Antaranya ialah penubuhan sebuah pusat kecemerlangan ilmu hak asasi manusia. Kita bukan anti kepada tuntutan hak asasi tetapi ia mestilah dalam kerangka agama, budaya dan perundangan negara.

Menarik juga untuk dinukilkan di sini, ketika kami di Geneva ini, di mana sahaja kami pergi, sama ada di restoran, kedai buku, di tempat penginapan malah di dalam bas pun, apabila kami ditegur; kamu semua dari mana," lalu kami jawab dari Malaysia," spontan sahaja kalimah yang akan diungkapkan kepada kami ialah we are all praying for the safety of the aircraft".

Benar, dua topik besar yang saban hari menjadi tajuk utama dalam media di sini ialah isu kehilangan pesawat MH370 dan perkembangan politik di Rusia dan Ukraine.

Rakyat asing di sini merakam tahniah kepada usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan kukuh dan kerjasama erat 26 negara yang terus-menerus berusaha untuk mencari pesawat tersebut. Yang menarik bagi saya adalah ungkapan we are all praying for the safety of the aircraft".

Sekali lagi, dalam suasana yang sedang kita hadapi ini, sebagai hamba Allah SWT, doa ialah senjata orang mukmin yang paling ampuh yang mampu kita tadahkan tangan agar usaha pencarian ini akan terjawab segera.

Islam mengajar kita bahawa di antara mereka yang mustajab doanya insya-Allah ialah doa orang yang sedang bermusafir. Di sini kami juga turut mendoakan dipermudahkan Allah SWT agar usaha pencarian pesawat ini berjaya dan kami juga bermohon agar Allah SWT memelihara negara kita daripada sebarang ancaman pihak-pihak yang merancang untuk menghancurkan Islam, keharmonian dan kemakmuran negara kita.

Amin Ya Rabb al alamin.

* PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa MuslimUPRo.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Airphone V tampil audio berkualiti

Posted: 22 Mar 2014 05:36 AM PDT

KEPADA penggemar sistem radio terbaik, fon telinga Sonic Gear Airphone V telah dicipta khusus untuk peranti mudah alih seperti iPod, iPad mini, iPhone termasuk telefon pintar, tablet dan phablet Android.

Fon telinga Sonic Gear ini juga mampu memberikan prestasi sebaik pemain MP3 kerana mampu menghasilkan semula dialog tepat, runut filem bermutu serta audio menarik yang mempunyai bunyi merdu dan menyenangkan.

Meskipun Airphone V masih tidak mampu menghilangkan bunyi sekeliling dengan sepenuhnya, namun ia masih mampu memberikan pengalaman bunyi terbaik melalui penampilan audio berkualitinya.

Kaedah penggunaannya juga mudah, anda hanya perlu membuat sambungan bluetooth dengan peranti dan terus memainkan muzik yang diinginkan.

Sejajar dengan kualiti bunyi yang dihasilkan, fon telinga ini juga ditampilkan dengan reka bentuk menarik melalui warna merah yang menyerlah.

Selain itu, tempoh mengecasnya juga tidak lama kerana hanya memerlukan masa kurang daripada dua jam untuk memastikan baterinya penuh.

Berikutan itu, ia boleh dianggap sebagai aksesori wajib yang perlu diperoleh sekiranya anda mempunyai bajet lebih. Ini kerana harganya mencecah RM169.00 seunit.

Apa-apapun, selepas membelanjakan sejumlah besar wang, jaminan yang anda miliki adalah dapat merasai keupayaan fon telinga termaju yang boleh memenuhi keinginan muzik anda selama ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bajet lenyap sekelip mata

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

Hidup di bandar memang banyak cabaran. Kadangkala keinginan begitu kuat menguasai diri untuk mendapatkan apa sahaja barangan terbaharu di pasaran.

Bagi bergaji bulanan, ada di antara mereka belum masuk minggu kedua, gaji sudah semakin surut sekali gus membuatkan kepala pening memikirkan mencari wang tambahan untuk bertahan sehingga ke hujung bulan.

Apatah lagi golongan remaja yang mudah terpengaruh dan tidak berfikir dua kali sebelum membuat pembelian atau mendapatkan sesuatu perkhidmatan. Ada juga yang keliru untuk membezakan antara kemahuan dan keperluan yang manakah perlu didahulukan, ditangguh atau diketepikan.

Tidak perlu menuding jari kepada golongan wanita atau lelaki berkaitan isu ini kerana setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dalam mengurus perbelanjaan bulanan. Sama ada wanita mahupun lelaki, kedua-duanya adalah manusia biasa yang mudah tergoda untuk membuat pembelian yang tidak perlu.

Hal ini bukan perkara baharu. Sudah tentu ada dalam kalangan kita pernah mengalaminya. Ia sebenarnya lebih kepada sikap. Ada dalam kalangan kita, belum pun masuk bulan baharu, sudah mula meneliti senarai barangan yang diinginkan, sedangkan gaji masih lambat untuk diterima.

Tanpa perancangan awal, keadaan ini mampu mengganggu bajet bulanan sedia ada dan jangan pula terkejut apabila baru beberapa hari gaji masuk ke dalam akuan bank, hampir 70 peratus duit gaji itu lenyap dalam sekelip mata kerana menjelaskan hutang keliling pinggang.

Mengupas topik tersebut pada minggu ini, .com mendapatkan jawapan daripada generasi muda di sekitar ibu negara baru-baru ini. Jom kita teliti komen mereka. - SYAHRIL/AIZZUL A. MAJID

Mulakan dengan diri sendiri

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

NIKMAT keseronokan ketika menonton konsert tetap terasa walaupun tidak mengambil sebarang jenis dadah yang jelas hanya membawa kesan buruk. - GAMBAR HIASAN

Tidak serik dengan pelbagai masalah penyalahgunaan dadah, kematian adalah penyelesaian bagi mereka yang berdegil. Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan pula dengan kematian enam individu termasuk tiga orang gadis manakala tiga lagi lelaki kritikal akibat najis dadah.

Sebagai seorang yang waras, sukar untuk kita faham tujuan mereka mengambil dadah ketika menghadiri sebarang konsert atau festival. Mereka tetapi memilih untuk melanggar undang-undang dengan mengambil bahan terlarang.

Semua sedia maklum konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 sebuah acara antarabangsa, kejadian berkenaan telah mencalarkan imej negara yang terkenal sebagai sebuah negara selamat dan maju.

Belum selesai kes kehilangan pesawat MH370 yang disulami dengan pelbagai kisah sampingan, ditambah pula dengan ujian sedemikian rupa. Sedarlah masyarakat Malaysia bahawa dunia sedang memerhati kita.

Kesedihan yang melanda negara, malah dunia tidak sepatutnya ditambah dengan kematian generasi muda hanya kerana bahan yang semua tahu akan mengakibatkan berlakunya kematian atau membawa keburukan.

Tidak salah untuk berhibur, tetapi kita perlu mematuhi undang-undang negara dan masih mengamalkan budaya kita. Tidak perlu terikut-ikut dengan peminat konsert luar negara yang sememangnya terkenal dengan masalah dadah.

Kempen kesedaran sudah dilaksanakan sejak sekian lama, tetapi pengaruh dadah sukar untuk dibasmi. Pelancong asing juga tidak terkecuali apabila menggunakan kesempatan untuk mengedar dan mengambil dadah di negara kita.

Semua ini boleh dielakkan sekiranya kesedaran wujud dalam setiap diri masyarakat kita tentang bahaya dadah yang menjadi musuh di seluruh dunia. Bagi pihak ibu bapa pula, jangan sesekali mengambil endah tentang perkembangan anak-anak anda terutamanya dengan siapa anak anda bergaul.

Ingatlah, perjuangan membasmi dadah adalah satu perjuangan jangka masa panjang yang dilihat tidak mempunyai titik noktah. Jadi, mulakan daripada diri sendiri agar tidak terlibat dengan dadah.

NURLYDIA ATIKA IDRIS Tawau, Sabah

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Fabrik cetak Angola beri kelainan

Posted: 22 Mar 2014 05:36 AM PDT

PENGGUNAAN lapisan lilin pada fabrik boleh mengelakkan kain daripada jarang dan selesa apabila dipakai.

Pemilihan dress dan skirt seringkali menjadi masalah kepada gadis yang ingin mendapatkan kelainan dalam gaya pemakaian terutama untuk bersantai dan berhibur bersama rakan-rakan.

Ada kalanya jika tersalah pilih akan menyebabkan seseorang itu menjadi mangsa kepada fesyen kerana tidak sesuai untuk digayakan pada acara itu.

Di Malaysia tidak banyak yang memfokuskan rekaan dress mahupun skirt berbanding jenama-jenama besar seperti Zara, Mango dan sebagainya.

Ruangan Trend kali ini menampilkan pemilihan dress dan skirt berasaskan konsep cetakan yang amat sesuai jika digayakan oleh mereka yang ingin perhatian dan tampil berbeza di majlis-majlis tertentu.

Rekaan daripada My Apparel Zoo ini merupakan fabrik Angola atau fabrik Afrika yang tampak berbeza daripada kebanyakan dress dan skirt di pasaran.

Si pemakai akan tampil elegan dan minimalis sesuai untuk golongan muda yang inginkan gaya feminin dan anggun apabila menghadiri sebarang majlis.

Rekaan corak berasaskan ciri-ciri Afrika ini menambahkan lagi seri si pemakai dalam mendapatkan gaya menarik dan santai.

Menggunakan kain kapas dan ciri-ciri Afrika seperti lilin membuatkan si pemakai boleh memakainya tanpa sebarang pakaian lapisan dalam (inner) kerana ia tidak jarang dan selesa apabila digayakan.

Pengguna boleh memilih di antara menggunakan skirt berserta baju satu warna yang polos kerana rekaan skirt corak bercetak sudah cukup memberi efek menarik.

Bagi dress pula, pemilihan dress labuh mahupun singkat terpulang pada si pemakai. Mereka yang ingin tampak tinggi boleh menggunakan dress singkat manakala bagi yang tinggi, dress potongan labuh lebih sesuai.

Jadi pemilihan dress dan skirt yang sesuai akan memberikan efek menarik pada tubuh gadis remaja di luar sana untuk tampil bergaya dan cantik apabila menghadiri sebarang majlis formal atau tidak. - AMIRUL/SYEFRI

Puisi jiwa Azzurein

Posted: 22 Mar 2014 05:36 AM PDT

SERIUS, sukar didekati, berkarisma, sukar untuk ketawa dan pendiam adalah antara karektor yang biasa dikaitkan dengan orang seni ataupun pemuisi. Semua itu terlalu subjektif dan ternyata tanggapan itu meleset apabila penulis bertemu seorang pemuisi berusia 23 tahun yang murah dengan senyuman dan periang.

Azzurein Mohd. Yasin yang menggunakan nama pena Reinraz mempunyai pengalaman menulis blog sejak berusia 17 tahun lagi. Kebanyakan isi yang dimuatkan di dalam blognya adalah hasil seni atau karya yang ditulis sendiri.

Anak bongsu daripada lima beradik ini mendapat pendidikan awal di Kota Bharu, Kelantan sebelum meneruskan pelajaran sekolah menengah di Klang, Selangor. Minat mendalam terhadap bidang penulisan diteruskan apabila berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Penulisan Kreatif, manakala jurusan Pengajian Bahasa Melayu di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Menurutnya, selain menulis blog, dia juga aktif memuat naik karyanya di laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter. Fokus yang ditumpukan adalah skop penulisan kreatif termasuk meluahkan perasaan, emosi, persekitaran, interpretasi kehidupan manusia dan lirik lagu. Tidak ketinggalan Azzurein turut menulis cerpen dalam bentuk realisme dan eksperimental.

Bagi yang berminat untuk mengenali lebih lanjut blogger yang memperjuangkan masa depan bahasa Melayu ini, jangan lupa berkunjung ke http://journeyofwriting.blogspot.com. - AZRIN/IZHAM JAAFAR

Bapa pendorong utama

Pendorong saya untuk menulis adalah keluarga terutama ayah. Sememangnya kami mempunyai minat yang sama. Selain itu, rakan-rakan juga merupakan sumber inspirasi yang selalu mendorong saya untuk menghasilkan karya. Pengalaman dan persekitaran juga sedikit sebanyak membantu menggerakkan minda untuk berkarya dan menghasilkan penulisan dengan tujuan memberi inspirasi kepada anak muda dalam kehidupan.

'Tegur' masyarakat secara lembut

Karya yang saya hasilkan adalah dengan niat untuk memberi inspirasi kepada masyarakat dalam seni penulisan Melayu. Ia sebagai galakan kepada generasi muda untuk mempertahankan prestasi penulisan bahasa Melayu. Saya juga sentiasa berusaha memberi ilham dan mendorong minat masyarakat yang suka menulis, di samping memberi motivasi dan kesedaran melalui pengalaman sendiri. Segalanya dalam bentuk penulisan. Jadi, segala teguran ataupun nasihat yang disampaikan tidak terlalu kasar. Kepada generasi muda yang cintakan bahasa dan seni, saya syorkan anda membaca entri yang terdapat dalam blog saya. Ini kerana mungkin ia ada kaitan serta mampu memberi sesuatu kepada kehidupan anda.

Boleh menyanyi dan berlakon

Selain menulis, saya juga suka menyanyi dan berlakon. Saya suka menghasilkan lagu ciptaan sendiri bersama teman. Saya mempunyai minat yang mendalam dalam seni teater dan menyanyi. Sekiranya mempunyai kelapangan, saya diberi dorongan oleh rakan-rakan untuk bergiat dalam aktiviti teater dan nyanyian pentas.

Belajar hidup sederhana

Pengalaman saya yang paling menarik adalah saya pernah berkunjung ke rumah penduduk di Narathiwat, Thailand. Saya dapat lihat dengan dekat kehidupan mereka yang sangat daif. Sungguhpun daif, kebahagiaan di dalam keluarga mereka jelas terserlah. Anak-anak menghormati ibu dan bapa masing-masing. Mereka hanya menikmati makanan yang sedikit tetapi bagi mereka, ia sudah mencukupi. Dari situ, saya banyak belajar tentang hidup bersederhana. Pengalaman sedemikian banyak memberi inspirasi dan ilham kepada saya untuk berkarya.

Tidak biasa duduk diam

Jika ada kelapangan, saya memang tidak boleh duduk di rumah tanpa membuat sesuatu. Jadi, saya akan merancang untuk melakukan aktiviti bersama teman. Saya juga suka mengikuti perkembangan fesyen generasi muda terkini. Selain itu, saya gemar meluangkan masa berbual tentang hal semasa, menonton filem atau teater dan melakukan aktiviti mendaki gunung serta bukit untuk menikmati keindahan alam sekitar bersama rakan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved