Sabtu, 22 Mac 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Fabrik cetak Angola beri kelainan

Posted: 22 Mar 2014 05:36 AM PDT

PENGGUNAAN lapisan lilin pada fabrik boleh mengelakkan kain daripada jarang dan selesa apabila dipakai.

Pemilihan dress dan skirt seringkali menjadi masalah kepada gadis yang ingin mendapatkan kelainan dalam gaya pemakaian terutama untuk bersantai dan berhibur bersama rakan-rakan.

Ada kalanya jika tersalah pilih akan menyebabkan seseorang itu menjadi mangsa kepada fesyen kerana tidak sesuai untuk digayakan pada acara itu.

Di Malaysia tidak banyak yang memfokuskan rekaan dress mahupun skirt berbanding jenama-jenama besar seperti Zara, Mango dan sebagainya.

Ruangan Trend kali ini menampilkan pemilihan dress dan skirt berasaskan konsep cetakan yang amat sesuai jika digayakan oleh mereka yang ingin perhatian dan tampil berbeza di majlis-majlis tertentu.

Rekaan daripada My Apparel Zoo ini merupakan fabrik Angola atau fabrik Afrika yang tampak berbeza daripada kebanyakan dress dan skirt di pasaran.

Si pemakai akan tampil elegan dan minimalis sesuai untuk golongan muda yang inginkan gaya feminin dan anggun apabila menghadiri sebarang majlis.

Rekaan corak berasaskan ciri-ciri Afrika ini menambahkan lagi seri si pemakai dalam mendapatkan gaya menarik dan santai.

Menggunakan kain kapas dan ciri-ciri Afrika seperti lilin membuatkan si pemakai boleh memakainya tanpa sebarang pakaian lapisan dalam (inner) kerana ia tidak jarang dan selesa apabila digayakan.

Pengguna boleh memilih di antara menggunakan skirt berserta baju satu warna yang polos kerana rekaan skirt corak bercetak sudah cukup memberi efek menarik.

Bagi dress pula, pemilihan dress labuh mahupun singkat terpulang pada si pemakai. Mereka yang ingin tampak tinggi boleh menggunakan dress singkat manakala bagi yang tinggi, dress potongan labuh lebih sesuai.

Jadi pemilihan dress dan skirt yang sesuai akan memberikan efek menarik pada tubuh gadis remaja di luar sana untuk tampil bergaya dan cantik apabila menghadiri sebarang majlis formal atau tidak. - AMIRUL/SYEFRI

Puisi jiwa Azzurein

Posted: 22 Mar 2014 05:36 AM PDT

SERIUS, sukar didekati, berkarisma, sukar untuk ketawa dan pendiam adalah antara karektor yang biasa dikaitkan dengan orang seni ataupun pemuisi. Semua itu terlalu subjektif dan ternyata tanggapan itu meleset apabila penulis bertemu seorang pemuisi berusia 23 tahun yang murah dengan senyuman dan periang.

Azzurein Mohd. Yasin yang menggunakan nama pena Reinraz mempunyai pengalaman menulis blog sejak berusia 17 tahun lagi. Kebanyakan isi yang dimuatkan di dalam blognya adalah hasil seni atau karya yang ditulis sendiri.

Anak bongsu daripada lima beradik ini mendapat pendidikan awal di Kota Bharu, Kelantan sebelum meneruskan pelajaran sekolah menengah di Klang, Selangor. Minat mendalam terhadap bidang penulisan diteruskan apabila berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Penulisan Kreatif, manakala jurusan Pengajian Bahasa Melayu di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Menurutnya, selain menulis blog, dia juga aktif memuat naik karyanya di laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter. Fokus yang ditumpukan adalah skop penulisan kreatif termasuk meluahkan perasaan, emosi, persekitaran, interpretasi kehidupan manusia dan lirik lagu. Tidak ketinggalan Azzurein turut menulis cerpen dalam bentuk realisme dan eksperimental.

Bagi yang berminat untuk mengenali lebih lanjut blogger yang memperjuangkan masa depan bahasa Melayu ini, jangan lupa berkunjung ke http://journeyofwriting.blogspot.com. - AZRIN/IZHAM JAAFAR

Bapa pendorong utama

Pendorong saya untuk menulis adalah keluarga terutama ayah. Sememangnya kami mempunyai minat yang sama. Selain itu, rakan-rakan juga merupakan sumber inspirasi yang selalu mendorong saya untuk menghasilkan karya. Pengalaman dan persekitaran juga sedikit sebanyak membantu menggerakkan minda untuk berkarya dan menghasilkan penulisan dengan tujuan memberi inspirasi kepada anak muda dalam kehidupan.

'Tegur' masyarakat secara lembut

Karya yang saya hasilkan adalah dengan niat untuk memberi inspirasi kepada masyarakat dalam seni penulisan Melayu. Ia sebagai galakan kepada generasi muda untuk mempertahankan prestasi penulisan bahasa Melayu. Saya juga sentiasa berusaha memberi ilham dan mendorong minat masyarakat yang suka menulis, di samping memberi motivasi dan kesedaran melalui pengalaman sendiri. Segalanya dalam bentuk penulisan. Jadi, segala teguran ataupun nasihat yang disampaikan tidak terlalu kasar. Kepada generasi muda yang cintakan bahasa dan seni, saya syorkan anda membaca entri yang terdapat dalam blog saya. Ini kerana mungkin ia ada kaitan serta mampu memberi sesuatu kepada kehidupan anda.

Boleh menyanyi dan berlakon

Selain menulis, saya juga suka menyanyi dan berlakon. Saya suka menghasilkan lagu ciptaan sendiri bersama teman. Saya mempunyai minat yang mendalam dalam seni teater dan menyanyi. Sekiranya mempunyai kelapangan, saya diberi dorongan oleh rakan-rakan untuk bergiat dalam aktiviti teater dan nyanyian pentas.

Belajar hidup sederhana

Pengalaman saya yang paling menarik adalah saya pernah berkunjung ke rumah penduduk di Narathiwat, Thailand. Saya dapat lihat dengan dekat kehidupan mereka yang sangat daif. Sungguhpun daif, kebahagiaan di dalam keluarga mereka jelas terserlah. Anak-anak menghormati ibu dan bapa masing-masing. Mereka hanya menikmati makanan yang sedikit tetapi bagi mereka, ia sudah mencukupi. Dari situ, saya banyak belajar tentang hidup bersederhana. Pengalaman sedemikian banyak memberi inspirasi dan ilham kepada saya untuk berkarya.

Tidak biasa duduk diam

Jika ada kelapangan, saya memang tidak boleh duduk di rumah tanpa membuat sesuatu. Jadi, saya akan merancang untuk melakukan aktiviti bersama teman. Saya juga suka mengikuti perkembangan fesyen generasi muda terkini. Selain itu, saya gemar meluangkan masa berbual tentang hal semasa, menonton filem atau teater dan melakukan aktiviti mendaki gunung serta bukit untuk menikmati keindahan alam sekitar bersama rakan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved