Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pelancong Jerman maut terjatuh dari puncak Kinabalu

Posted: 09 Feb 2014 07:16 PM PST

KOTA KINABALU 10 Feb. - Seorang pelancong wanita warga Jerman maut selepas terjatuh dari puncak Gunung Kinabalu dekat sini awal pagi ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Supritendan Abd. Rahman kassim.

Menurut beliau, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa sedang menunggu matahari terbit. - UTUSAN ONLINE

Suri rumah maut diragut

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

Shemavarthini

IPOH 9 Feb. - Seorang suri rumah maut setelah terjatuh dan kepalanya terhentak di tebing konkrit apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan akibat diragut di Jalan Hospital, Slim River semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.35 petang itu, mangsa, M. Shemavarthini, 26, yang mengalami pendarahan di bahagian kepala menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River pada pukul 5.02 petang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Othman Nanyan berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian itu dalam perjalanan untuk mengambil ibu saudaranya yang bekerja sebagai tukang cuci di hospital berkenaan.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, mangsa diekori sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dan sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki lain serta pembonceng wanita.

"Salah seorang suspek kemudian bertindak meragut rantai leher yang dipakai mangsa menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh.

"Topi keledar yang dipakai pula tertanggal hingga menyebabkan kepala mangsa terhentak pada tebing konkrit jalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di kepala dan disahkan meninggal dunia selepas setengah jam menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Slim River.

Katanya, barangan mangsa yang diragut adalah rantai leher perkahwinan atau 'thali' dipercayai diperbuat daripada emas yang dianggarkan bernilai RM5,000.

"Kita mencari dua individu iaitu Farizul Hezry Mohamad, 29, dan Shamsiah Asrik, 16, yang berasal dari Taman Genting Permai dan Kampung Sungai Masin dekat Batang Kali, Selangor, untuk membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta tampi menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim 05-4526999 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Sila Anak Kadong di 019-2659641," ujarnya.

Kata beliau, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Pentadbir penentu keberhasilan murid

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

Dalam Anjakan Kelima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, kriteria pemilihan pentadbir sekolah, pengetua atau guru besar, bukan lagi berasaskan tempoh perkhidmatan tetapi berfokuskan kecekapan kepimpinan.

Hal ini kerana beberapa kajian antarabangsa tentang kepemimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua atau guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepemimpinan instruksional dan bukannya kepemimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20 peratus.

Oleh sebab itu, bakal pentadbir sekolah dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebelum boleh dilantik sebagai pengetua atau guru besar.

Program NPQEL berlangsung dalam tempoh satu tahun, enam bulan pertama di IAB dan bakinya dilaksanakan di sekolah bagi Program Sandaran.

Dan salah satu program wajib untuk memenuhi keperluan kursus ini adalah program penanda arasan yang dilaksanakan selama dua minggu di sekolah terpilih dalam daerah peserta.

Menurut seorang peserta program penanda arasan ini, Norhayati Noor Aris, pendekatan tersebut bagus kerana memberi pendedahan dan pengetahuan yang lebih jelas serta tepat tentang pengurusan sekolah.

"Program penanda arasan ini membolehkan kita melihat idea, cara pengurusan dan kepimpinan di sekolah yang kita pilih untuk dijadikan contoh serta panduan," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam tempoh menjalani 'latihan praktikal' itu, Norhayati berpeluang mendalami ilmu pengurusan yang berpandukan arahan selari dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan.

Sebagai peserta program, beliau mendapat bimbingan khusus daripada Guru Besar SK Taman Sungai Besi Indah, Seti Sabariah Naim yang bertindak sebagai mentornya.

Kata Norhayati, peranan pihak luar sama ada pihak swasta atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang membantu kecemerlangan SK Taman Sungai Besi Indah akan dijadikan hipotesisnya.

"Penggunaan akhbar pendidikan Tutor UPSR yang dilanggan oleh pihak sekolah ini adalah satu contoh penglibatan pihak swasta untuk membantu memantapkan prestasi akademik murid-murid," ujarnya.

SK Taman Sungai Besi Indah melanggan 1,200 naskhah Tutor UPSR untuk semua muridnya sebagai satu usaha mempelbagaikan bahan rujukan pembelajaran di samping untuk membudayakan amalan membaca di kalangan warganya.

Motivasi membentuk murid lebih fokus

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

YAYASAN Pendidikan Cheras (YPC) menganjurkan Program Motivasi Awal Sesi Persekolahan 2014 kepada 400 orang murid sekolah-sekolah angkatnya untuk membimbing mereka supaya memahami kaedah pembelajaran secara lebih berfokus.

Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee berkata, pihaknya menyediakan program yang dapat membantu murid lebih berfokus dan mempunyai sasaran dalam belajar supaya mereka akan lebih yakin serta berjaya dalam akademik.

"Jika sasaran telah dibuat dari awal lagi, ini akan membolehkan seseorang murid itu lebih berfokus dalam pembelajaran mereka dan akan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Program anjuran Biro Latihan dan Pendidikan YPC dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar Pudu Kuala lumpur (PPWBPKL) ini melibatkan kumpulan murid yang terpilih daripada 12 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari zon Pudu.

Fokus utama program ini adalah untuk memberi kefahaman kepada murid tentang konsep menetapkan sasaran (goal setting) dalam pembelajaran kerana kajian rambang oleh pihak penganjur mendapati sebahagian besar daripada pelajar yang telah mengikuti beberapa program pendidikan anjuran YPC sebelum ini tidak begitu jelas atau kurang memahami konsep berkenaan.

Faktor ini menjadi halangan kepada murid sekolah-sekolah angkat YPC untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.

Melalui program ini, calon yang bakal menduduki peperiksaan awam dibimbing dengan pendekatan kaedah-kaedah pembelajaran secara berkesan (effective learning).

Menurut Penyelia Kanan Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar Pudu (PPWBP), Rosnani Md. Pungut, menetapkan sasaran adalah penting justeru murid perlu diberikan pendedahan dari awal sesi persekolahan.

"Peserta program juga berpeluang untuk dibimbing bagi menentukan hala tuju mereka, merancang dan memahami kaedah belajar yang berkesan bagi mendapatkan hasil yang terbaik," tambahnya.

Selain itu, satu daripada perkara utama yang ditekankan dalam pengisian program ini adalah pendekatan menuntut ilmu dari perspektif Islam

Ketua Unit Dakwah Jabatan Pelajaran Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPNWPKL), Ustaz Zulkifly Ahmad menyifatkan program ini sebagai satu pendekatan yang holistik dan menyeluruh.

"Inilah sebenarnya bentuk transformasi yang kita ingin lihat berlaku di kalangan murid Islam. Murid belajar bersungguh-sungguh kerana ingin berjaya dan pada masa yang sama mereka memahami bahawa menuntut ilmu adalah satu ibadah yang dituntut oleh agama kita," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Samseng takkan terlepas

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh ABDUL RASHID RAHMAN
utusanpahang@utusan.com.my

BIARPUN tiada pergaduhan dalam aksi persahabatan melibatkan Melaka dan Harimau Muda di Stadium Hang Jebat kelmarin, namun tindakan penyokong menyalakan suar yang disenarai sebagai barang larangan amat dikesali. - UTUSAN/Gaie Uchel

KUALA LIPIS - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak atau individu yang terlibat dalam mencetuskan kekecohan dalam perlawanan bola sepak di negara ini.

Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, badan bola sepak itu memandang serius perkara tersebut kerana ia boleh merosakkan industri bola sepak negara dan mahu kejadian seperti itu dihentikan segera.

"Saya berasa bimbang kerana disebabkan trend bergaduh kita mungkin akan rugi sebab kita hendak fokus kepada sukan bola sepak.

Kita nak kualiti bola sepak dinaikkan, kualiti pengadilan dinaikkan, kualiti sekuriti dinaikkan dan juga kualiti stadium dinaikkan.

"Kalau hendak cari pasal memang senang tetapi ini tidak akan menjadi satu gambaran positif, jadi saya harap hentikanlah kalau tidak mungkin kita buat tindakan drastik yang sudah ada dalam pemikiran saya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup Enduro Challenge 2014 di Taman Tasik Burung Mandi, Kamahang Hilir, Benta di sini semalam.

Tengku Abdullah berkata, perkara seperti itu perlu segera ditangani bersama demi kebaikan semua pihak khususnya peminat bola sepak negara.

"Ini adalah untuk keselamatan dan kebaikan penonton yang tidak bersalah. Peminat sudah tunjuk minat dan ada yang bawa keluarga serta anak-anak. Saya harap janganlah kita buat benda yang tiada kaitan dengan bola sepak," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah mahu semua pihak memberi tumpuan terhadap permainan dalam setiap pertandingan dan menerima sebarang keputusan sama ada kalah atau menang.

Beliau berkata, tindakan yang melencong sehingga mencetuskan pergaduhan hanyalah merugikan masa dan menyusahkan pelbagai pihak terutama pasukan keselamatan.

"Kalah menang adat permainan, kalau tidak boleh terima kalah jangan main bola, kalau menang kena terima menang tetapi jangan hendak ghairah sangat," katanya lagi.

Jumaat lalu, perlawanan di antara juara Piala Malaysia, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi kecoh selepas penyokong bergaduh di luar stadium hingga ada yang pulang bersama muka berdarah.

Keadaan penonton juga agak tegang di dalam stadium dan memaksa polis serta Pasukan Simpanan Persekutuan (RFU) mengambil tindakan untuk mengawal suasana daripada menjadi lebih buruk.

Pemain, pegawai JDT tak perlu bersumpah

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

JOHOR BAHRU - Pemain Johor Darul Tazim (JDT) dan pihak pengurusan pasukan itu tidak perlu mengikut langkah pemain dan pengurusan T-Team yang mahu mengangkat sumpah al-Quran seperti diminta oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamad Aziz berkata, tindakan itu tidak perlu dilakukan kerana dikhuatiri akan mencemar kemuliaan kitab suci tersebut hanya kerana perlawanan bola sepak.

Sebagai orang lama, saya nasihatkan agar tindakan tersebut (mengangkat sumpah al-Quran) tidak dibuat kerana bimbang kemuliaan kitab suci al-Quran dicemari.

Apatah lagi, sumpah yang mahu dilakukan itu hanyalah disebabkan satu perlawanan bola sepak," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad yang mahu kesemua pemain dan pihak pengurusan T-Team mengangkat sumpah ekoran kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT.

Ia berpunca daripada insiden pergaduhan dalam pusingan kedua Piala FA membabitkan kedua-dua pasukan sehingga perlawanan berkenaan ditangguhkan apabila pasukan T-Team enggan meneruskan permainan masa kedua.

Mohamad turut menyifatkan perseteruan seperti itu adalah sesuatu yang negatif dan tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan kerana boleh mencipta sentimen kebencian antara rakyat yang berasal dari negeri berbeza di negara ini.

Objektif utama setiap sukan pastinya untuk mengeratkan hubungan dan silaturahim antara pihak terlibat, tetapi sekiranya perkara ini dibiarkan berlarutan, acara ini akan menimbulkan suasana sebaliknya.

Perasaan benci akan timbul terhadap mereka yang lahir dari negeri berbeza, sedangkan kita semua adalah warganegara Malaysia," kata bekas Ahli Parlimen Sri Gading itu sambil berharap semua pihak dapat menerima keputusan yang dibuat oleh FAM dan melihatnya sebagai adat dalam sesuatu pertandingan.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Johor, Azlan Afandi Saufee Afandi menasihatkan penyokong JDT supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri apabila hadir memberi sokongan ketika menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka khususnya apabila berkunjung ke stadium lawan.

Apa yang paling penting, setiap peminat harus mematuhi arahan dan peraturan yang diberikan oleh pihak polis dan pegawai keselamatan sewaktu menyaksikan mana-mana perlawanan.

Peminat juga dinasihatkan agar jangan memulakan sebarang provokasi sama ada dalam bentuk percakapan mahupun perbuatan bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini," katanya sambil mengakui pasukan JDT dan peminat mereka kini sering menjadi sasaran ekoran beberapa insiden yang tercetus kebelakangan ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


6 tentera kena waran tangkap cuba bunuh pemimpin

Posted: 09 Feb 2014 10:14 AM PST

BANGKOK 10 Feb. - Sebuah mahkamah di Thailand meluluskan waran tangkap ke atas enam anggota tentera yang disyaki terlibat merancang untuk cuba membunuh seorang ketua aktivis prokerajaan bulan lalu, menurut sebuah akhbar semalam.

Akhbar Bangkok Post melaporkan, Mahkamah Udon Thani di timur laut Thailand meluluskan waran tangkap terhadap beberapa anggota tentera yang berpangkalan di sebuah kem tentera di wilayah barat Kanchanaburi.

Keenam-enam anggota tentera itu ditangkap atas dakwaan terlibat dalam insiden tembakan membabitkan pemimpin utama kumpulan Baju Merah, Kwanchai Praipana pada 21 Januari lalu.

Sebelum itu, Kwanchai cedera parah di tangan dan lutut, akibat terkena dua das tembakan seorang lelaki bersenjatakan raifal M16, namun dia terselamat. - dpa

Dua maut kereta api tergelincir di Perancis

Posted: 09 Feb 2014 08:27 AM PST

MARSEILLE, Perancis 10 Feb. - Dua penumpang maut apabila kereta api yang dinaiki mangsa tergelincir dari landasan setelah dirempuh seketul bongkah batu yang jatuh daripada pergunungan berdekatan di Alps, Perancis, semalam, kata pegawai.

Tambahnya lagi, rempuhan tersebut turut menolak beberapa gerabak kereta api berkenaan ke pinggir cerun di kawasan pergunungan itu.

Menurut pegawai itu lagi, sembilan penumpang cedera ringan manakala salah seorang dari mereka parah dalam kemalangan berkenaan pagi semalam, membabitkan laluan popular pelancong di antara perkampungan Saint-Benoit dan Annot, di tenggara Perancis. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


4,000 unit PR1MA dibina di Pahang

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 9 Feb. - Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) akan membangunkan sebanyak 4,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negeri ini dalam tempoh empat tahun.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Nazrul Izad Asrad berkata, pembinaan projek rumah itu telah pun bermula tahun lalu akan dijual pada harga RM150,000 seunit melibatkan nilai pembangunan kasar berjumlah RM600 juta.

"Rumah ini akan dibina di setiap daerah di seluruh negeri ini seperti Kuantan, Rompin, Maran dan Jerantut kecuali di dua daerah iaitu Bentong dan Cameron Highlands.

"Bukan berniat meminggirkan penduduk di sana, pihak kami sebenarnya masih membuat kajian untuk mencari lokasi bersesuaian di kedua-dua daerah tersebut, insya-Allah kami akan turut membina rumah di sana pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran dan Perpaduan 1Malaysia Warga Indera Mahkota dekat sini malam semalam.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi KPHPB, Datuk Dr. Nasaruddin Othman.

Menurutnya, rumah jenis berkembar satu tingkat itu ditawarkan pada harga RM150,000 adalah 20 hingga 45 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran yang dianggarkan dalam lingkungan RM220,000 kerana tapak rumah berkenaan disediakan kerajaan negeri secara percuma.

"Terbaharu, kami bakal melancarkan projek perumahan mampu milik di kawasan Sungai Soi di sini yang dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

"Pembinaan rumah mampu milik ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat KPHPB," katanya.

kakitangan Petronas ceriakan pusat jagaan terencat akal

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Wan Mohd. Hasnan Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada James Perumal di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal, Alor Akar, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 9 Feb. - Suasana sunyi di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal, Alor Akar di sini bertukar meriah dengan kehadiran kira-kira 30 eksekutif dan kakitangan Petronas sempena program Sentuhan Kasih Petronas hari ini.

Wajah-wajah ceria penghuni pusat tersebut jelas kelihatan sebaik sahaja ketibaan ahli rombongan yang nyata dapat mengeratkan persahabatan dan rasa muhibah antara mereka dan kakitangan Petronas.

Menurut timbalan pengerusi pusat berkenaan, James Perumal, penghuni seramai 29 orang berusia dalam lingkungan 16 hingga 54 tahun itu amat teruja dengan kehadiran eksekutif itu yang sudi meluangkan masa dengan beberapa aktiviti santai seperti menari dan makan bersama-sama.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Petronas kerana sudi meraikan penghuni di sini terutama dalam suasana perayaan Tahun Baharu Cina.

"Sumbangan yang diberikan juga amat bermakna dan saya harap jalinan silaturahim ini tidak terhenti di sini dan diteruskan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd. Hasnan Abdullah dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Mohd. Ghazali Che Nik.

Sementara itu, Wan Mohd. Hasnan berkata, program Sentuhan Kasih Petronas merupakan kesinambungan kepada tradisi Petronas untuk bersama-sama dengan masyarakat.

"Pada masa sama, program ini juga bertujuan memupuk semangat kesukarelaan dalam kalangan kakitangan Petronas dan memberi mereka kesempatan untuk bersama-sama dengan masyarakat yang merupakan kelompok penting bagi kami.

"Program Sentuhan Kasih Petronas yang diperkenalkan pada 1997 merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di mana sahaja kami beroperasi," katanya.

Menurut Wan Mohd. Hasnan, perkara itu membuktikan Petronas bukan hanya berperanan sebagai syarikat minyak dan gas tetapi sebuah badan korporat yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.

"Kita akan meneruskan program CSR terutama pada musim perayaan dengan memilih mereka yang amat memerlukan kerana kami di Petronas mahu berkongsi kegembiraan bersama masyarakat," ujarnya.

RM5 juta bina jambatan di Lanchang

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

MOHD. Sharkar Samsudin memaku papan semasa gotong-royong membaiki jambatan gantung di Kampung Dala, Lanchang, Temerloh, Pahang, semalam. - Utusan/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

TEMERLOH 9 Feb. - Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi membina sebuah jambatan kekal di Sungai Semantan yang akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di beberapa kampung di Lanchang dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Samsudin berkata, jambatan kekal pertama di kawasan itu akan dibina dalam tempoh terdekat di kawasan Kampung Kuala Kaung di sini.

"Ini adalah sebahagian daripada janji saya kepada masyarakat di daerah ini pada pilihan raya umum lalu yang akan dilaksanakan demi kebajikan dan keselesaan penduduk.

"Pada masa ini peruntukan telah diluluskan dan kita hanya melalui beberapa proses sebelum tender dikeluarkan dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja membaiki jambatan gantung di Kampung Dala di sini hari ini.

Kira-kira RM20,000 diperuntukkan bagi membaiki jambatan gantung berusia kira-kira 20 tahun yang menjadi laluan utama penduduk setempat ke ladang dan kebun bersebelahan sungai berkenaan.

Menurut Mohd. Sharkar, pembinaan jambatan kekal akan membolehkan kenderaan masuk ke seberang sungai berkenaan sekali gus memudahkan lagi aktiviti memasarkan hasil pertanian penduduk setempat.

Katanya, pembinaan jambatan berkenaan juga secara tidak langsung akan dapat memajukan lagi kawasan berkenaan dan meningkatkan nilai tanah penduduk setempat.

"Kita juga berharap dengan wujudnya jambatan ini akan mewujudkan penempatan baharu di kawasan seberang sungai yang pada masa ini hanya dipenuhi ladang dan kebun penduduk kampung," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan penduduk di kawasan tersebut sentiasa terbela dengan terus memajukan kawasan berkenaan.

Justeru, beliau berharap penduduk di kawasan berkenaan akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti mampu membela nasib rakyat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Sara Ali buang 'diva'

Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

BERLAGAK diva.

Perkara itu bukan sahaja sinonim dengan pelakon Sara Ali malah penulis sendiri mempunyai pengalaman yang sama ketika berhadapan dengannya sewaktu pelakon ini mempromosikan Songlap, filem yang telah melonjakkan namanya di persada seni beberapa tahun lalu.

Ketika itu sepatah ditanya, sepatah yang keluar daripada mulutnya. Dan perkara itu diakui sendiri oleh si empunya diri.

Namun tegas anak jati Johor ini, sikap buruk itu sudah dibuang jauh-jauh.

Tiga tahun meniti perjalanan seninya, Sara atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali kini sudah jauh berubah.

Sara Ali hari ini bukan lagi seorang yang sombong, jauh sekali bersikap ego seperti mula-mula dia melangkah ke dunia glamor.

Apakah ini jelmaan barunya? Kerana ternyata Sara Ali atau lebih senang disapa Sara ini cukup berbeza jika dibandingkan ketika kali pertama penulis bertentangan mata dengannya.

"Saya akui sebelum ini memang saya sedikit ego, orang selalu cop saya diva. Semua itu saya tahu dan perasan tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa kerana saya sememangnya begitu sebelum ini.

"Tetapi itu dulu. Saya sekarang sudah berbeza," tegasnya. Sangat berterus terang.

Menurutnya, beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini telah membuatkan dia sedar diri tentang perangai kurang eloknya itu.

"Alhamdulillah saya cepat sedar... Beberapa perkara berlaku kepada diri saya - saya pernah mengalami kemalangan jalan raya dan kereta saya rosak teruk. Mujur saya masih hidup.

"Kemudian saya dijangkiti pula penyakit radang paru-paru sehingga menyebabkan lebih seminggu terlantar di hospital.

"Malah ayah saya sendiri pernah menasihati saya agar tidak terlalu ego. Saya cuba untuk berubah perlahan-lahan.

"Kini saya bukan seperti Sara Ali yang dulu. Saya betul-betul sudah berubah," jelasnya.

Bagaimanapun kata Sara dia agak terkilan dengan laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mengatakan dia tidak melayan media pada malam gala filem terbaharu lakonannya, Kami Histeria.

Ini kerana katanya, dia tidak menolak pelawaan pihak media untuk menemubual dirinya pada malam berkenaan lebih-lebih lagi kerana berita dirinya sudah lama tidak keluar.

"Saya tidak tahu apa masalah wartawan tersebut kerana setahu saya tiada wakil daripada akhbar itu datang untuk menemubual saya.

"Sepatutnya dia (wartawan) perlu mengenali dulu saya serta artis-artis lain sebelum buat cerita.

"Apa yang saya tengok sekarang, ramai wartawan baru tidak kira daripada media cetak atau elektronik serta bloger-bloger hiburan menulis cerita tanpa menemuramah artis atau selebriti terlebih dahulu.

"Jangan hanya syok sendiri untuk menulis berita kerana itu hanya akan merosakkan nama mereka," tegas Sara.

Malah dia mengaku sekiranya perkara itu terjadi ketika dia baru bergelar pelakon, dia tidak begitu kisah kerana masih naif dan belajar tentang kehidupan dunia glamor.

Namun kini perkara sebegitu menjadi antara yang dielakkan dalam usaha menjaga nama baiknya di dalam bidang seni.

Nasihat Khir Rahman

Berkisah tentang perubahan sikapnya pada hari ini kata Sara, selain kehendak diri sendiri serta nasihat ayahnya, insan yang turut banyak membuka matanya untuk berubah adalah pelakon serta pengarah berbakat, Khir Rahman.

Menurut Sara, Khir banyak memberi nasihat kepadanya terutama apabila dirinya semakin tidak bersemangat untuk meneruskan kerjaya di dalam lakonan.

"Abang Khir cukup banyak mengajar saya di dalam selok belok dunia seni ini. Sebelum ini memang saya sudah tidak mahu lagi meneruskan kerjaya bidang lakonan.

"Namun disebabkan nasihat dan tunjuk ajarnya saya kembali bersemangat untuk meneruskan perjuangan ini.

"Daripada nasihatnya itu timbul pula minat untuk mengarah filem selepas ini. Itu cita-cita saya. Saya mahu hasilkan sebuah filem hebat tidak seperti filem-filem yang ada sekarang.

"Saya mahu cabar diri saya untuk menjadi seorang pengarah satu hari nanti," ujarnya.

Ditanya mengenai jodoh, tanpa berselindung Sara mengakui bahawa dia sudah berpunya namun pada usia yang baru menjangkau 24 tahun ini, dia tidak mahu terburu-buru untuk menamatkan zaman bujangnya.

"Kita tidak boleh hanya menunggu jodoh datang dan tidak perlu juga kita mengejar jodoh itu.

"Apa yang penting kita perlu buka hati untuk menerima jodoh kita kerana Dia telah pilih yang terbaik untuk kita. Saya tidak mahu tergesa-gesa di dalam soal ini.

"Biarlah saya mengejar cita-cita saya terlebih dahulu. Saya mahu impian untuk jadi pengarah filem tercapai sebelum saya fikirkan soal kahwin.

"Dapat mengarah sebuah filem pun dah cukup. Saya memang cukup berminat untuk mengarah filem dan itu adalah impian terbesar saya," ujar Sara.

Tiada niat bersaing

Setelah lama tidak muncul di layar perak, ramai yang menganggap dia sudah tidak laku namun perkara itu disangkal sekeras-kerasnya oleh Sara.

"Memang tahun lepas saya agak jarang muncul sama ada di dalam filem mahupun drama namun itu bukan bermakna saya tidak laku.

"Sebenarnya saya banyak menjalani penggambaran filem serta drama tahun lepas dan kebanyakan produk itu akan ditayangkan tahun ini.

"Kerana itu nampak seolah-olah saya jarang keluar," katanya yang sebelum ini pernah membintangi beberapa filem antaranya Nur Kasih, Penunggu Istana dan Klip 3GP.

Ditanya tentang kemunculan ramai pendatang baru yang boleh menenggelamkan namanya jelas Sara, perkara tersebut tidak pernah timbul dan tidak akan berlaku.

"Bagi saya itu rezeki masing-masing. Sekiranya nama artis baru tersebut semakin dikenali, itu rezeki mereka. Tuhan telah menetapkan setakat mana rezeki kita cuma kita mestilah rajin untuk mencari di mana letaknya rezeki tersebut.

"Ternyata persaingan memang hebat ketika ini namun perasaan dengki atau ingin bersaing memang tidak pernah saya fikirkan.

"Memang sekarang saya lihat ramai artis yang mengejar nama dan mahu bersaing dengan artis-artis lain. Paling penting bagi saya adalah artis baru ataupun lama perlu kerja bersama-sama."Jangan ada niat dengki atau ingin bersaing kerana yang penting adalah kita perlu sama-sama berusaha menaikkan industri filem kita. Jika pelakon sendiri ada sikap itu maka industri kita tidak akan kemana," jelasnya.

CABAR DIRI

Bercerita mengenai filem terbaharu lakonannya, Kami Histeria yang kini telah ditayangkan jelas Sara, filem ini merupakan filem yang cukup sesuai dengan tahun ini.

"Kami Histeria cukup berlainan. Filem ini 'melanggar' konsep filem Melayu yang biasa kita tonton selama ini.

"Filem ini untuk semua lapisan masyarakat tidak kira remaja, kanak-kanak serta orang dewasa dan saya pasti semua penonton akan hilang stress apabila menontonnya.

"Kalau saya bukan pelakon di dalam filem ini sekali pun saya akan ajak penonton menyaksikan filem ini. Ia mampu memberi makna kepada penonton," jelasnya.

Akui Sara, melalui filem ini juga dirinya mula rapat dan berkawan baik dengan para pelakon lain antaranya Fazura, Nad Zainal, Diana Danielle dan Umie Omar.

"Sebelum ini memang kami semua sudah kenal antara satu sama lain namun selepas selesai sahaja penggambaran filem ini kami semua bertambah rapat.Kami ibarat sebuah keluarga bahagia," kata Sara.

Dalam pada itu Sara turut mengakui melalui filem ini berjaya mencabar dirinya apabila perlu bermain gitar ketika membawakan watak Bad.

"Sepanjang hayat saya tidak pernah memegang apalagi bermain gitar. Sebagai Bad, pemain gitar utama kumpulan saya dituntut untuk bermain gitar.

"Saya berjaya melakukannya. Daripada tidak tahu apa-apa mengenai gitar sekarang saya boleh bermain alat itu. Walaupun hanya untuk tiga lagu, saya seronok melakukannya," katanya lagi.

Foto NOOR AZLINA JAAFAR Solekan Syedewa Busana House of Dolls

Marsha kecewa Laga kecundang

Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussadadad.mahdi@utusan.com.my

SEKSI dan gedik merupakan dua perwatakan yang sering dikaitkan dengan dirinya sama ada di alam realiti mahupun lakonan.

Namun kini dia enggan terus dikaitkan dengan isu sedemikian malah membuktikan kepelbagaian watak yang mampu dibawanya sejak akhir-akhir ini.

"Kalau dulu orang selalu anggap saya hanya boleh membawakan watak sebegitu tapi persepsi mereka sudah berubah," tegas empunya diri, Marsha Milan Londoh.

Baginya tiada isu untuk terus mengaitkan dirinya sebagai seorang pelakon yang hanya bersandarkan rupa semata-mata.

Malah tuduhan yang dilemparkan sesetengah pihak itu membuatkan dia terkesan.

"Bila sebut Marsha orang akan ingat isu seksi tapi saya sebenarnya boleh melakukan banyak perkara lain yang lebih baik untuk mereka kenang.

"Tak ada masalah pun isu seksi itu dengan diri saya sebab saya pun bukan orang baru di dalam industri. Asalkan tak menjejaskan periuk nasi saya sudahlah," ujar Marsha.

Menyifatkan kerjaya lakonan sebagai sebahagian daripada hidupnya, penyanyi dan pengacara yang dibesarkan di Sabah ini yakin mampu memberikan sesuatu setiap kali terlibat di dalam filem mahu pun drama yang dibintanginya.

Malah Marsha mempertahankan adegan panas lakonannya untuk filem Laga yang dianggap sesetengah pihak sebagai keterlaluan.

"Saya sedar ramai yang mengata dan cakap macam-macam bila tengok aksi berkemban saya dalam filem berkenaan. Tak ada isu besar pun sebab apa yang dipaparkan adalah realiti.

"Kalau tengok masyarakat kampung satu masa dulu pun, mereka mandi atau duduk di rumah hanya berkain batik sahaja. Tapi bila saya bawa watak begitu dikritik pula.

"Lainlah kalau babak tersebut tak masuk akal atau melampaui batas. Itu memang wajar untuk mereka marah." katanya.

Walaupun Laga kurang mendapat sambutan Marsha tidak patah hati memandangkan sudah memberikan yang terbaik kepada filem berkenaan.

Mengikut laporan Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas) sehingga 3 Februari yang lalu, filem tersebut hanya mampu mengumpul kutipan sebanyak RM130,000 sahaja.

Kutipan yang rendah itu tidak mematahkan semangat Marsha meskipun mengakui sedih dengan perkara berkenaan.

"Siapa yang tak sedih melihat kutipan tiket sebanyak itu. Kami para pelakon sudah memberikan yang terbaik untuk Laga tetapi peminat enggan ke panggung.

"Saya melihat Laga sebagai naskhah yang bagus. Jarang ada filem begini sejak kebelakangan ini tapi orang pula tak mahu memberikan sokongan.

"Tapi tak mengapa sebab saya sudah memberikan yang terbaik," tegas pelakon yang bakal muncul dengan filem Jwanita dan Tujuh ini lagi.

Fokus

Tidak mahu mempersiakan bakat yang ada, pengacara program Propaganza ini tidak mahu memberikan tumpuan lebih kepada mana-mana cabang seni yang disertai.

Biarpun komitmen mingguan untuk mengendalikan program hiburan berkenaan banyak mengekang jadual kerja yang namun itu bukan alasan untuk menolak tawaran lain.

"Sejujurnya memang banyak kali juga saya menolak tawaran teater atau pun drama-drama bersiri disebabkan oleh kekangan masa.

"Tapi saya percaya rezeki ada di mana-mana dan tak perlu nak dirisaukan sangat. Apa yang penting saya berusaha.

"Kalau menunggu sahaja alamatnya tak berasap dapur saya," katanya tertawa sambil mengakui bahawa pengacaraan merupakan minatnya.

Bercerita tentang kerjaya nyanyian pula kata Marsha, dia baru saja merakamkan lagu duet Cinta Sesungguhnya bersama-sama Sabbi Sadhi.

Menganggap bidang nyanyian sebagai keutamaan, Marsha yang sebelum ini popular dengan lagu Jujur Bilang Cinta ini memberitahu bakal menghasilkan album kompilasi tidak lama lagi.

Album tersebut mengumpulkan single nyanyiannya sebelum

ini termasuk lagu Bebas yang menjadi lagu tema untuk filem Frozen.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Khalid terancam, Nalla mengancam

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

Khalid Ibrahim

SEDIKIT demi sedikit, tembelang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semakin terbongkar. Beliau ingin menjadi Menteri Besar Selangor dan sekali gus menyingkirkan secara halus Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini masih terus berbalah dengan orang kesayangan Anwar, Azmin Ali.

Kenyataan Anwar dalam beberapa siri ceramah di Kajang sudah menampakkan bahawa kedudukan Abdul Khalid semakin terancam dan sudah tidak selamat lagi. Anwar menyulamkan pujian beliau terhadap Abdul Khalid dengan kritikan. Di sebahagian tempat beliau berucap Abdul Khalid seolah-olah menjadi bahan kempennya bagi menghalalkan tindakan beliau bertanding di DUN tersebut.

Kalau puji Khalid, hendak ganti dia buat apa? Selangor sudah ada rekod baik dan kita perlu tingkatkan lagi. Peranan dia (Khalid) tentu ada.

Kalau ditakdirkan ada persetujuan (menjadi Menteri Besar Selangor), (dia) bantu saya. Saya tidak kata saya hendak jadi Menteri Besar tetapi kalau saya ambil alih dari Khalid, asas sudah ada. Apa pun, kita mesti menang di Kajang dahulu."

Dalam masa yang sama Anwar cuba digambarkan sebagai penyelamat Selangor sehinggakan ayam sabungnya Rafizi Ramli sanggup membuat fitnah kepada Barisan Nasional (BN) dengan menyatakan kemenangan Anwar di Kajang penting bagi menghalang BN menggunakan darurat merampas Selangor.

Rafizi yang disanjung sebagai pakar strategi PKR membuat tohmahan itu dengan menjadikan peristiwa BN berkuasa di Kelantan pada 1977 sebagai perbandingan. Akibat kejahilan dan ketaksuban Rafizi hendak membela Anwar, beliau dikritik oleh bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Faekah Husin yang menganggap hujah Rafizi terlalu dangkal.

Menurut Rafizi, langkah itu juga adalah satu lagi persediaan dan juga iktibar terhadap kejadian di Kelantan pada 1977 apabila BN menggunakan perkara sama untuk merampas kuasa kerajaan negeri daripada Pas.

Sebenarnya, kita tidak perlu hairan dengan hujah-hujah dangkal seumpama itu yang sememangnya sering sahaja dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang bagi melaksanakan agenda politik mereka termasuklah Rafizi yang dilihat semakin merapu berhujah demi kepentingan politik PKR dan Anwar.

Tetapi apa yang lebih penting daripada itu ia membuktikan kedudukan Abdul Khalid sudah semakin tidak selamat.

Difahamkan satu gerakan lebih agresif sedang dan akan dilancarkan untuk memastikan seluruh pemimpin PKR di semua peringkat memberi sokongan kepada Anwar bagi menduduki kerusi Menteri Besar dan menggesa Abdul Khalid supaya meletakkan jawatan.

Mungkin untuk menyingkirkan Abdul Khalid bukanlah satu perkara yang sukar, bagi seorang pemimpin yang cukup berkuasa dalam sebuah parti seperti Anwar. Lagi pun sudah ada ura-ura pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang turut bersetuju dengan langkah politik Anwar itu.

Berikutan keadaan tersebut, Abdul Khalid kini boleh dianggap keseorangan dalam berhadapan dengan serangan dari luar dan dalam parti.

Tidak pasti sejauh manakah Abdul Khalid akan bertahan, tetapi dari segi pandangan politik, beliau kini berada di kedudukan yang cukup getir untuk mempertahankan kerusi Menteri Besar, kata seorang pemimpin muda Pas Selangor ketika dihubungi penulis.

Sememangnya, secara dasarnya cengkaman politik Abdul Khalid sebagai longgar, beliau seolah-olah bersendirian untuk mempertahankan kedudukannya. Biar pun mempunyai jasa terhadap PKR dan pakatan pembangkang termasuk memastikan mereka terus berkuasa di Selangor tetapi kini jasa-jasa Abdul Khalid seolah-olah mahu dilupakan begitu sahaja.

Kedudukan Abdul Khalid sebagai genting apabila perbalahan politik beliau dengan Azmin sehingga kini tiada menampakkan tanda-tanda akan reda. Sebaliknya, mereka terus berbalah melalui media berikutan apa yang berlaku di Selangor termasuk pemecatan pekerja kontrak Perbadan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini.

Biarpun didesak oleh Azmin yang menganggap pemecatan itu tidak wajar, Abdul Khalid membalas kritikan Azmin dengan menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu tidak faham undang-undang.

Penganalisis politik melihat, perbalahan itu akan mengukuhkan lagi usaha bagi menyingkirkan Abdul Khalid dari kerusi Menteri Besar oleh PKR.

Malah ia juga mengukuhkan hujah-hujah pemimpin-pemimpin parti itu bahawa Anwar paling layak menggantikan Abdul Khalid menerajui Anwar. Tetapi dari segi apakah soal kelayakan itu diukur?

Benar dari segi pengalaman politik, Abdul Khalid tidak boleh menandingi Anwar. Kedudukan Menteri Besar, Ahli Parlimen dan ADUN adalah jawatan yang diperolehi oleh Abdul Khalid sejak melibatkan diri dalam politik enam tahun lalu. Sedangkan Anwar, semua orang tahu sejarah perjalanan politiknya.

Bagaimanapun Abdul Khalid tidak ada musuh politik yang didakwa mempunyai pelbagai rahsia tentang diri beliau termasuklah peribadi. Malah Abdul Khalid juga tidak memiliki sebarang catatan hitam yang boleh dikaitkan dengan isu moral.

Tetapi bagaimana dengan Anwar? Sebab itulah kira-kira 3,000 bekas pemimpin PKR bersedia untuk turun ke Kajang bagi menentang beliau dan sudah pastilah orang yang paling ke depan ialah Presiden Parti Bersatu India Malay sia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan.

Beliau adalah individu pertama menawarkan diri menjadi calon untuk menentang Anwar. Kata Nallakaruppan, Saya adalah calon yang paling sesuai untuk lawan Anwar sebab semua rahsia hitam peribadi dia ada dalam poket saya. Saya ingin berkongsi cerita dengan pengundi Kajang mengenai perihal dan kelakuan sebenar Anwar dalam pilihan raya nanti."

Biarpun menerima ugutan berunsur amaran, namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk berhadapan dengan Anwar.

Sememangnya, kita tidak pasti sejauh manakah Nallakaruppan akan berjaya dalam misinya, apatah lagi sebelum ini banyak dakwaan yang dikaitkan dengan Anwar berjaya ditepis oleh pembangkang dengan pelbagai hujah.

Tetapi apa yang menjadi perhatian ialah kegigihan Nallakaruppan yang tidak pernah berputus asa untuk mendedahkan siapa Anwar sebenarnya. Pasti ada sesuatu yang mendorong beliau begitu berani berhadapan dengan Anwar. Apakah itu? Jawapan tersebut hanya ada pada Nallakaruppan.

Apa pun, percaturan mengenai kedudukan Abdul Khalid yang terancam dan keberanian Nallakaruppan mengancam pasti akan mewarnai Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Dan terserahlah kepada pengundi kawasan itu untuk membuat penilaian kerana pilihan raya kecil tersebut bukan sahaja menentukan masa depan DUN Kajang tetapi juga Selangor secara keseluruhannya, oleh itu buatlah keputusan yang boleh mendapat keredaan Allah SWT.

Jangan nafikan kebaikan PLKN

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Abdul Hadi Awang Kechil

Ramai yang berfikir bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai tidak relevan dan membazir wang serta mengkayakan pihak tertentu sahaja. Tanpa kita sedar lebih 700,000 bekas pelatih yang dilahirkan oleh program itu sedang menjadi agen perubahan pemikiran masyarakat. Kita dapat lihat pelbagai anasir cuba masuk dan mempengaruhi rakyat supaya menentang dan menggulingkan kerajaan, tetapi ia tidak berhasil. Semangat patriotisme yang disemai bukan sahaja memberi kesan kepada pelatih tetapi kepada orang di sekeliling mereka.

Wartawan Utusan Malaysia, BORHAN ABU SAMAH mewawancara Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil bagi melihat dengan lebih dalam peranan PLKN dalam pembinaan negara bangsa.

UTUSAN: Ramai kalangan masyarakat yang tidak memahami tujuan PLKN diwujudkan, jadi boleh Datuk terangkan?

ABDUL HADI: Berasaskan satu konvensyen remaja pada tahun 2002, kerajaan mendapatkan banyak pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan di dalam masyarakat untuk menentukan arah tuju remaja di negara kita.

Justeru ditetapkan penubuhan satu program yang dikenali sebagai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Pertahanan mengetuai satu Jawatankuasa Kabinet untuk membentuk latihan kepada remaja di negara kita.

Pada peringkat awal dalam banyak perbincangan ramai mengatakan perlu terus dengan program khidmat negara seperti Singapura, Korea, Taiwan, Amerika Syarikat dan sebagainya yang melatih remaja dengan latihan ala tentera.

Setelah dibincang dan diteliti Jawatankuasa Kabinet itu memutuskan supaya ditubuhkan program latihan remaja yang tidak berbentuk tentera.

Ini berasaskan latarbelakang negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan kita perlu membentuk kumpulan remaja yang mempunyai jatidiri dan perpaduan.

Jika bukan latihan ala ketenteraan, apakah bentuk latihan yang diberikan kepada para pelatihnya?

Kita perlu remaja yang faham dan memahami pentingnya rasa sayang kepada negara dan mustahak mengembalikan semangat kesukarelaan yang dahulu memang telah ada dalam masyarakat kita, tetapi kini semakin terhakis.

Kabinet memutuskan PLKN dilaksanakan dalam bentuk untuk menyelesaikan masalah asas membentuk sebuah negara iaitu menggunakan konsep pertahanan menyeluruh atau Hanruh.

PLKN telah dirangka berasas lima objektif iaitu:

- Membentuk remaja yang mempunyai jatidiri

- Membentuk negara patriotik atau masyarakat yang sayangkan negara

- Meningkatkan tahap perpaduan

- Memupuk semangat kesukarelaan

- Melahirkan sebuah masyarakat yang cergas.

Ada kalangan masyarakat termasuk pihak media massa yang menganggap PLKN sebagai gagal mencapai matlamat, bagaimana pandangan Datuk?

PLKN dirangka untuk lima objektif itu, jadi untuk melihat program itu berjaya atau tidak, kita tidak boleh hanya mendengar satu atau dua pandangan, tetapi perlu diukur secara akademik dan boleh diterima semua pihak.

Jika pandangan satu atau dua pihak sama ada menyokong atau tidak ia tidak boleh dikira sebagai pendapat keseluruhan kerana dalam apa sahaja dasar kerajaan ia perlu dilihat melalui kajian yang melibatkan sampel boleh diterima dan ini telah dilakukan bahkan di dalam mesyuarat lembaga menteri dan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet setiap lima tahun kajian akademik akan dibuat.

Kajian yang ilmiah boleh diterima dan dibawa kepada jemaah menteri. Sekarang telah masuk tahun ke-10 PLKN dilaksanakan dan kita akan laksanakan kajian kedua keberkesanan PLKN.

Ada yang mengatakan PLKN hanyalah sebuah perkhemahan musim panas atau istilah Inggerisnya Summer Camp, sejauhmana kebenarannya?

Seksyen 2 Akta Latihan Khidmat Negara 2003 telah menyebut PLKN di negara kita menjurus kepada Akta Khidmat Negara 1952.

Ia tidak sama dengan Summer Camp yang mengadakan latihan dua atau tiga hari dan keluar melakukan aktiviti fizikal, bercerita sedikit , lakonan dan unggun api.

PLKN sesuatu yang sangat serius kerana akta 2003 itu menjurus kepada akta 1952 yang menyatakan; Mendaftar rakyat negara kita dalam khidmat negara untuk tujuan kerah tenaga, negara mesti mempunyai satu kumpulan yang cukup untuk berkhidmat dengan Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam.

Jadi PLKN untuk tujuan itu, bermakna kita belum dicuba dengan keperluan kerahan tenaga seperti berlaku di banyak negara terpaksa berdepan dengan rusuhan dan peperangan. Kita merdeka cara damai, tetapi tidak ada sesiapa dapat pastikan keamanan yang dikecapi selama ini berterusan. Jika tidak mempersiapkan diri siapa yang dapat melaksanakan kerahan tenaga apabila diperlukan.

Salah satu dasar pertahanan negara ialah pertahanan menyeluruh. Bermaksud kita setiap rakyat tidak kira apa juga kerjaya sama ada di dalam bidang media, guru, ahli perniagaan, korporat atau apa-apa juga, kita perlu ada kebolehan mempertahankan negara.

Apakah kita perlu tunggu berlaku kekacauan baru hendak bertindak. Ketika itu ia sudah terlambat, kekecohan dan kekacauan berlaku baru kita menyemak PLKN membazir atau tidak.

Kita kata RM5.5 bilion habis dibelanja untuk PLKN sebagai membazir dan lebih baik duit itu digunakan untuk membina jambatan contohnya, kita tidak boleh berfikir begitu.

Terdapat kejadian kematian pelatih di kem-kem PLKN dan ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak, jadi apakah yang telah dilakukan oleh JLKN untuk memastikan kejadian sedemikian tidak berulang?

Untuk membentuk remaja yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza termasuk ada yang tidak bersekolah langsung dan pada masa sama ada yang bakal menjadi doktor, peguam, bakal menteri dan perdana menteri yang diletakkan di satu tempat, bukan satu perkara yang mudah.

Itulah cabaran yang perlu kita hadapi untuk meletakkan mereka di dalam satu bentuk latihan yang sama dan pemikiran yang sama dan membentuk satu kesatuan negara bangsa.

Bila kita terima remaja yang masuk ke PLKN mereka mempunyai pelbagai latar belakang. Tentu kami menghadapi pelbagai masalah dan ada remaja yang memang bermasalah di rumah lagi dan dibawa ke dalam kem. Kita terima mereka dan kita didik.

Bila berhadapan masalah pergaduhan kadang-kala mengakibatkan kematian dan ada juga meninggal sebab masalah kesihatan kerana pada asalnya pelatih dan keluarga sendiri tidak mengetahuinya.

Banyak kes pelatih tidak sedar mereka berdepan penyakit sakit jantung dan hanya dikesan ketika pemeriksaan di PLKN, tetapi orang tidak bercerita tentang kebaikan yang kita buat dan ibu bapa sepatutnya berterima kasih kerana anak mereka diperiksa oleh doktor semasa mengikuti latihan di kem PLKN. Kita lebih gemar mencari satu dua masalah dan memperbesarkannya.

Kemalangan berpunca daripada masalah kesihatan dan keselamatan. Bagi aspek kesihatan di kem PLKN ditempatkan lima orang kakitangan Kementerian Kesihatan untuk 24 jam. Apa sahaja yang berlaku di dalam latihan sama ada sakit, demam dan macam-macam lagi mereka akan dirujuk ke klinik di dalam kem dan jika perlu ke hospital.

Sebelum masuk PLKN ibu bapa dan pelatih perlu beritahu masalah kesihatan mereka dan pemeriksaan kesihatan juga dilakukan oleh doktor di kem. Kita kena ingat terdapat kes pelatih sendiri tidak sedar mereka sakit, begitu juga doktor sendiri gagal mengesan penyakit yang dihidapi.

Dari segi keselamatan, setakat ini tidak ada kejadian pelatih meninggal dunia ketika melakukan latihan seperti flying fox kerana kita memastikan kemudahan yang disediakan adalah selamat dan pelatih juga berada dalam keadaan bersedia untuk melakukannya.

Dalam kes keracunan makanan pula jika disahkan tiga orang pelatih keracunan makanan kerana kesilapan pengendali, kita akan potong bayaran makanan untuk satu hari semua pelatih, kali kedua bayaran makanan akan dipotong selama tiga hari kepada pengendali dan jika berlaku kejadian kali ketiga kem berkenaan akan ditutup dan hanya akan dibuka sehingga kita berpuas hati dengan tahap kebersihannya.

Jadi tidak adil jika mengatakan PLKN hanya untuk mengkayakan pihak tertentu sahaja. Kewangan kita sentiasa diaudit dan jika kita tidak mematuhi arahan tentu akan ditegur oleh Jabatan Audit Negara.

Ada ibu bapa yang menganggap latihan di kem PLKN terlalu berat dan memudarat anak-anak mereka, bagaimana pandangan Datuk?

PLKN sekali lagi saya katakan bukan Summer Camp. Kita perlu pastikan setiap pelatih dapat manfaatnya dalam erti kata perlu keluar dari zon selesa mereka. Ketika duduk di rumah mereka boleh makan apa sahaja dan bangun tidur sesuka hati dan ada yang tidak tidur langsung.

Jadi kita ubah dengan sedikit paksaan. Setiap minit mereka perlu mematuhi peraturan dan makan makanan yang sihat. Ini menyebabkan pelatih tertekan dan tekanan ini juga adalah satu bentuk disiplin dan membentuk mental serta fizikal yang kuat.

Modul latihan PLKN bukan dibuat secara semberono, tetapi melibatkan lebih 40 institusi dan agensi kerajaan.

Kalau tidak beri tekanan kepada remaja mereka tidak perolehi apa yang kita hendak. Kita perlu ada sedikit tekanan, tetapi ibu bapa tidak mahu perkara itu dan hendak bawa makanan segera dan minuman bergas sedangkan di dalam PLKN kita mementingkan menu makanan sihat yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan dan JLKN.

Apa perancangan Datuk untuk PLKN bagi tempoh 10 tahun akan datang?

Saya mahu melihat bekas-bekas pelatih PLKN disediakan platform khusus untuk membolehkan mereka terus melaksanakan aktiviti kerana jumlah 700,000 adalah besar dan jika dikira kesan kepada lima orang di sekeliling mereka kesannya lebih luas.

Jadi perlu ada satu bentuk pemantauan aktiviti mereka dan bukan bertujuan mengawal tetapi supaya lebih tersusun dan panduan kerana mereka mempunyai pelbagai kebolehan dan kemahiran.

Jangan nafikan pengaruh dan kesan yang dibawa oleh bekas pelatih PLKN. Sebenarnya 700,000 bekas pelatih ini berada di setiap sudut masyarakat dan mereka sedang merubah masyarakat dan kita tidak sedar kerana tidak dapat dilihat secara fizikal.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Cas gajet sambil tidur

Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST

BIASANYA bantal digunakan untuk memberikan keselesaan semasa tidur.

Bagaimanapun pada zaman moden bantal turut mempunyai fungsi tambahan. Selain menawarkan keselesaan, bantal kini berfungsi menjadi gajet yang membolehkan pengguna mengecas mana-mana peralatan mudah alih yang mempunyai sambungan USB.

Bantal ini dipopularkan individu yang berasal dari Kanada, Lisa Sutt dan Geoff Martin melalui projek Power Pillow dalam KickStarter.

Power Pillow sebuah gajet berbentuk empat segi dengan dua port USB membolehkan pengguna mengecas mana-mana peralatan mudah alih iPhone, tablet dan banyak lagi.

Kuasa baterinya menjangkau 12,000mAh litium polimer yang boleh mengecas iPhone sebanyak lima kali atau iPad saiz besar sebanyak satu setengah kali.

Rekaan kecil ini membolehkan pengecas Pillow Power tersorok dalam bantal yang disediakan dengan pelbagai rekaan.

Ia berukuran hanya 0.57 inci dengan saiz keseluruhan 17 x 17 x 8 inci dan bantal buatan Amerika Syarikat ini sesuai diletakkan di sofa asalkan berdekatan soket tenaga.

Bantal ini tidak berbahaya kerana bateri dan semua aksesori dibuat daripada fabrik penebat EX-Static iaitu karbon nanotiub BASF Resistant yang memberi perlindungan EMF dan menjauhkan pengeluaran statik.

Bantal elektronik ini mempunyai tujuh rekaan dan pembinanya membenarkan pilihan Power Pillow Elite yang membolehkan pengguna mencipta corak sendiri bantal.

Antara rekaan yang ditawarkan termasuk Dottie, Skylar, Westbury, Puff, Knotty dan Maxim. Bantal ini diberi jaminan 90 hari.

Fahami histogram

Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST

HISTOGRAM mungkin satu istilah yang agak jarang dibincangkan dan kedengaran seperti membingungkan, namun pemahaman tentangnya penting bagi yang ingin mendalami ilmu fotografi.

Fungsi histogram yang tersedia pada kebanyakan kamera digital moden hari ini boleh difahami sebagai graf pengagihan data yang mewakili tiga zon cahaya iaitu gelap, pertengahan dan terang.

'Turun naik' bentuk graf histogram pada menu kamera menceritakan kandungan warna asas yang direkod secara digital berdasarkan nilai terang dan gelap sesuatu gambar.

Bentuk graf pada sebelah kiri mewakili bahagian yang mempunyai warna gelap, manakala bahagian tengah menunjukkan kandungan tona pertengahan dan paling kanan adalah yang paling cerah.

Secara ringkasnya, histogram boleh dijadikan rujukan terbaik untuk membantu jurufoto mendapatkan gambar yang mempunyai dedahan seimbang dan tepat.

Fungsi ini juga menjadi petunjuk penting bagi mengelakkan rakaman menjadi gelap (under-exposed) atau terlebih cerah (over-exposed) khususnya ketika rakaman gambar dalam keadaan cahaya yang terlalu terang atau terlalu suram.

Sebagai contoh, sepasang kasut putih yang dirakam berlatar belakang dinding hitam akan menghasilkan graf yang 'berat' pada sebelah kiri, manakala gambar sepasang kasut hitam yang berlatar belakang dinding putih menjadikan graf berat ke sebelah kanan.

Dengan memahami keseimbangan zon cahaya pada histogram, kita boleh menukar penyelarasan (setting) yang bersesuaian dengan keadaan sekeliling berpandukan graf pada skrin kamera.

Bagaimanapun, histrogram dicipta hanya sebagai petunjuk dan tidak semestinya dipatuhi dalam semua keadaan.

Bagi rakaman siluet atau subjek yang berlatar belakang cahaya ekstrem, graf histogram yang tidak seimbang harus diabaikan.

RAKAMKAN apa sahaja subjek atau suasana. Tujuh gambar terbaik akan dipilih untuk diterbitkan dalam ruangan ini. Sila sertakan nama, alamat, tajuk gambar, keterangan ringkas gambar, jenis kamera, jenis lensa, bukaan (aperture), kelajuan pengatup (shutter), ISO. Sila hantar ke pcdanpen@gmail.com.

Oleh Abd. HALIM HADI TALIB

pcdanpen@gmail.com

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bohong supaya kahwin cepat

Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST

"SEPANJANG usia saya mencecah hampir30 tahun, sudah dua kali saya gagal bercinta. Saya katakan demikian kerana saya sahaja mencintai lelaki itu, sedangkan lelaki itu tidak cintakan saya. Kata A dia nak kenal hati budi saya lebih dekat, sementara B, dia hanya suka berkawan dengan saya. Ertinya saya seorang saja gila bayang. '' Itu cerita Intan Zahirah dalam e-melnya.

"Nak dijadikan cerita, kereta saya terlibat dalam banjir kilat awal tahun lalu, Di situlah saya jumpa Khaz. Kami antara ratusan penghuni kota terperangkap kerana banjir. Kereta kami tersekat tak dapat bergerak. Ada kata tanah runtuh, ada kata banjir, ada pulak kata berlaku kemalangan. Kerana penat menunggu saya keluar lurus kaki sebentar, ketika itu Khaz datang bertanya adakah saya ada simpan air minuman.

"Dari perkenalan itulah terjalin persahabatan yang erat. Setiap hari Khaz telefon saya bertanya itu dan ini. Mula-mula memang seronok sangat, tetapi bila sampai mengganggu kerja tentu kita pun tak seronok. Tambahan bila banyak kerja. Saya beritahu Khaz telefon saya waktu malam di rumah. Dua tiga hari dia ikut, lepas tu dia buat balik.

"Lepas dua bulan kenal, Khaz ajak bertunang, saya terkejut. Kerana saya belum begitu kenal hati budi Khaz dan keluarganya pun saya tak kenal. Katanya selepas bertunang nanti dia bawa saya bertemu semua keluarganya. Cadangannya baik, tapi saya minta tempoh sebab saya tak tahu dia kerja apa. Saya mula ragu bila dua kali dia beritahu saya kerja yang berbeza. Sekejap bahagian komputer, sekejap bahagian kejuruteraan. Yang mana satu?

"Dalam pada itu Khaz desak supaya membawanya bertemu keluarga saya di kampung. Cadangan yang baik, tapi saya rasa terlalu awal, macam ada sesuatu yang tak kena dengan diri Khaz. Pelbagai alasan saya berikan, tujuan saya untuk mengenali Khaz lebih dekat.

"Satu hari ketika kami makan malam di sebuah restoran. Khaz beritahu dia hendak berhenti kerja kalau boleh dia minta saya carikan dia kerja di tempat saya. Tujuannya supaya dia boleh dekat dengan saya. Terkejut saya. Apa dia fikir saya pengurus besar senang-senang boleh masukkan dia kerja.

"Ketika itu saya tanya Khaz sebenarnya dia kerja apa? Siapa majikannya? Di mana tempat kerjanya. Sekali lagi saya dapat jawapan yang berbeza. Katanya dia kerja dengan syarikat menjual dan baiki komputer terletak di sebuah kompleks beli-belah. Dia pelawa saya ke tempat kerjanya jika tak percaya. Bukan tak percaya tetapi saya mahukan kepastian.

"Pada saya perbezaan pekerjaan bukanlah penghalang jika dia jujur jadikan saya isterinya. Setelah pasti, saya bawa dia jumpa keluarga di kampung. Khaz beritahu ayah dia mahu pertunangan kami dilangsungkan dalam masa sebulan. Memikirkan saya telah tahu, maka ayah terima dan terus menetapkan tarikh.

"Saya yang diberitahu kemudian terkejut dengan keputusan mereka. Saya tak setuju. Tetapi keluarga mendesak. Kata ayah dia tak pandang kekayaan orang, cukup baik jika dia jujur,dan sedia jadikan saya isterinya.

"Majlis pertunangan berjalan serba ringkas, kehadiran keluarga kedua-dua pihak sahaja. Malangnya lepas bertunang Khaz desak supaya perkahwinan kami disegerakan. Alasannya emaknya hendak pergi ke tanah suci, jadi kami patut berkahwin pada bulan raya. Sekali lagi saya terkejut. Kali ini saya minta ayah tangguh setahun lagi. Rasanya saya belum tua sangat kalau tunggu sedikit masa lagi. Lagipun saya hairan mengapa cepat sangat.

Tangguh

"Satu hari ketika cuti panjang, saya balik ke kampung dan bertemu kakak saya, yang juga balik bercuti sebelum pulang ke rumah mertuanya. Kakak tersenyum, katanya saya tak perlu bimbang tentang perkahwinan kami. Saya perlu siapkan badan, yang lain akan dibereskan. Saya terkejut dengan penjelasannya. Saya desak kakak untuk kepastian. Kakak cuma kata semua benda sudah dibereskan.

"Kerana tak puas hati, saya terus desak kakak, apa maksud katanya. Akhirnya kakak beritahu Khaz jumpa suami kakak minta pinjam duit untuk buat hantaran. Kata Khaz, saya yang desak perkahwinan disegerakan sebab kami dah terlanjur. Hampir pitam saya dengar penjelasan kakak. Patutlah waktu saya tiba di rumah ibu dan ayah nampak begitu sugul tak ceria seperti biasa.

"Saya menangis sepuas hati, saya ceritakan pada kakak saya akan putuskan pertunangan kami dan tidak akan ada majlis perkahwinan. Kakak terkejut dan hairan. Saya ceritakan, saya dapati Khaz seorang yang suka berbohong. Saya tidak pernah terlanjur dengannya, saya jaga maruah diri saya dan saya tidak pernah desak perkahwinan kami disegerakan. Khaz telah berbohong pada kakak dan suaminya. Tapi saya tak tahu apa sebabnya.

"Tangisan saya mengejutkan ibu dan ayah. Ibu bertanya apakah benar cerita yang dia dengar daripada kakak. Saya nafikan dan minta ibu dan ayah putuskan pertunangan kami, saya tidak sudi berkahwin dengan seorang kaki pembohong. Dia berbohong bertujuan menjatuhkan maruah saya juga ibu dan ayah. Saya tak tahu apa lagi pembohongannya selepas ini bila dia tahu saya mahu putuskan pertunangan.

"Benar seperti yang diduga, Khaz memburukkan saya pada teman saya di pejabat katanya saya bukan gadis lagi, dan kami pernah terlanjur. Kata Khaz, dia yang putuskan pertunangan kerana tidak mahu tertipu dengan sikap saya. Sakitnya hati Tuhan sahaja yang tahu. Untung kawan yang bercerita ini tidak percaya cerita Khaz, tetapi bagaimana dengan orang lain, tentu ada yang percaya. Saya tak faham apa matlamat Khaz sebenarnya.

"Kerana terlalu sakit hati saya minta ayah kembalikan semua hantaran yang tak seberapa yang dihantar oleh Khaz semasa bertunang dulu dan saya minta peristiwa itu dirakamkan sebagai bukti bahawa saya yang putuskan pertunangan bukan Khaz.

"Orang yang sering berbohong satu hari nanti akan terbelit dengan pembohongannya, itu nasihat ayah. Kata ibu, nasib saya tak kahwin. Lelaki seperti Khaz jenis cemburu buta, dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan hasratnya tercapai. Kalau sudah jadi isterinya, pasti saya jadi habuan kaki dan tangannya. Nasihat ibu, bersabarlah mungkin ada ganjaran yang lebih baik untuk saya nanti. Tetapi kini saya jadi penakut kalau berjalan sendirian.'' Itu pengalaman pahit yang dilalui oleh Intan Zahirah semoga pengalaman yang dilaluinya menjadi iktibar kepada gadis-gadis supaya lebih berhati-hati memilih teman.

Segar dari ketuhar Sandwich King

Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my

MENIKMATI sandwic Crispy Cheezy Turkey Panini di Sandwich King, tidak keterlaluan dinyatakan ia setanding malah mungkin lebih sedap daripada kebanyakan panini yang dihidangkan di restoran francais antarabangsa.

Rasa kepingan daging ayam belanda berserta keju mozzarella, salad, bawang, tomato dan lada benggala yang rangup serta segar yang diapit roti focaccia baru keluar dari ketuhar pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja.

Lebih mengagumkan apabila mengetahui roti focaccia serta pilihan roti lain yang digunakan, diadun sendiri di kafe yang terletak di Bandar Baru Bangi itu.

Roti sebegini yang popular di Itali diadun menggunakan pelbagai herba semula jadi seperti daun thyme, oregano lada hitam dan selasih mencipta rasa yang tersendiri.

Rasai keenakan pilihan sandwic yang lain seperti SK Scottish Slimmer Tuna yang sesuai untuk mereka yang mahu sesuatu yang sederhana atau SK Bologna Meatball untuk mereka yang sukakan kelainan.

Ujar Pengarah Sandwich King, Azilah Akashah, mereka mementingkan kesegaran dan kualiti dalam setiap hidangan yang disediakan dan memperkenalkan gaya masakan a la minute iaitu hidangan yang disediakan apabila dipesan bagi memastikan ia sentiasa segar.

"Pelanggan juga boleh membuat sendiri sandwic mereka dengan memilih roti, sayur, sos dan pilihan isinya seperti tuna, ayam cincang, makanan laut, salami daging dan pelbagai lagi.

"Sandwic King dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera dan kesemua bahan dan produk yang dihasilkan adalah 100 peratus halal," ujarnya yang turut memiliki francais Tutti Frutti di Alamanda, Putrajaya selain syarikat hartanah, Azilah Properties.

Tambahnya, hidangan sandwic sebegini amat sesuai untuk mereka yang inginkan hidangan sihat serta cepat bagi memenuhi gaya hidup penduduk bandar yang semakin sibuk.

Terang Azilah, kafe ini yang bakal membuka cawangan kedua di KLIA2 pada bulan Mei serta IOI Mall Putrajaya pada bulan November ini digerakkan oleh dua rakan kongsi yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang katering di Malaysia Airlines System iaitu Yusoff Hussin dan Najib Abu Hassan.

Kafe itu juga menghidangkan pelbagai pilihan pai iaitu pie ayam, lembu dan epal serta kek yang kesemuanya disediakan di dapur Sandwich King.

Selain itu, Sandwich King turut menyediakan pelbagai pilihan makanan tempatan dan Barat bagi memenuhi permintaan ramai.

Antara yang wajib dicuba ialah Fettucini Carbonara Creamy yang sungguh berkrim dan nasi lemak ayam yang menggunakan resipi rahsia Azilah sendiri.

Sandwich King turut menyediakan perkhidmatan katering dan tempahan khas seperti kek dan manisan lain bersempena majlis perkahwinan atau sambutan hari lahir.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved