Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Pentadbir penentu keberhasilan murid

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

Dalam Anjakan Kelima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, kriteria pemilihan pentadbir sekolah, pengetua atau guru besar, bukan lagi berasaskan tempoh perkhidmatan tetapi berfokuskan kecekapan kepimpinan.

Hal ini kerana beberapa kajian antarabangsa tentang kepemimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua atau guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepemimpinan instruksional dan bukannya kepemimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20 peratus.

Oleh sebab itu, bakal pentadbir sekolah dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebelum boleh dilantik sebagai pengetua atau guru besar.

Program NPQEL berlangsung dalam tempoh satu tahun, enam bulan pertama di IAB dan bakinya dilaksanakan di sekolah bagi Program Sandaran.

Dan salah satu program wajib untuk memenuhi keperluan kursus ini adalah program penanda arasan yang dilaksanakan selama dua minggu di sekolah terpilih dalam daerah peserta.

Menurut seorang peserta program penanda arasan ini, Norhayati Noor Aris, pendekatan tersebut bagus kerana memberi pendedahan dan pengetahuan yang lebih jelas serta tepat tentang pengurusan sekolah.

"Program penanda arasan ini membolehkan kita melihat idea, cara pengurusan dan kepimpinan di sekolah yang kita pilih untuk dijadikan contoh serta panduan," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam tempoh menjalani 'latihan praktikal' itu, Norhayati berpeluang mendalami ilmu pengurusan yang berpandukan arahan selari dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan.

Sebagai peserta program, beliau mendapat bimbingan khusus daripada Guru Besar SK Taman Sungai Besi Indah, Seti Sabariah Naim yang bertindak sebagai mentornya.

Kata Norhayati, peranan pihak luar sama ada pihak swasta atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang membantu kecemerlangan SK Taman Sungai Besi Indah akan dijadikan hipotesisnya.

"Penggunaan akhbar pendidikan Tutor UPSR yang dilanggan oleh pihak sekolah ini adalah satu contoh penglibatan pihak swasta untuk membantu memantapkan prestasi akademik murid-murid," ujarnya.

SK Taman Sungai Besi Indah melanggan 1,200 naskhah Tutor UPSR untuk semua muridnya sebagai satu usaha mempelbagaikan bahan rujukan pembelajaran di samping untuk membudayakan amalan membaca di kalangan warganya.

Motivasi membentuk murid lebih fokus

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

YAYASAN Pendidikan Cheras (YPC) menganjurkan Program Motivasi Awal Sesi Persekolahan 2014 kepada 400 orang murid sekolah-sekolah angkatnya untuk membimbing mereka supaya memahami kaedah pembelajaran secara lebih berfokus.

Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee berkata, pihaknya menyediakan program yang dapat membantu murid lebih berfokus dan mempunyai sasaran dalam belajar supaya mereka akan lebih yakin serta berjaya dalam akademik.

"Jika sasaran telah dibuat dari awal lagi, ini akan membolehkan seseorang murid itu lebih berfokus dalam pembelajaran mereka dan akan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Program anjuran Biro Latihan dan Pendidikan YPC dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar Pudu Kuala lumpur (PPWBPKL) ini melibatkan kumpulan murid yang terpilih daripada 12 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari zon Pudu.

Fokus utama program ini adalah untuk memberi kefahaman kepada murid tentang konsep menetapkan sasaran (goal setting) dalam pembelajaran kerana kajian rambang oleh pihak penganjur mendapati sebahagian besar daripada pelajar yang telah mengikuti beberapa program pendidikan anjuran YPC sebelum ini tidak begitu jelas atau kurang memahami konsep berkenaan.

Faktor ini menjadi halangan kepada murid sekolah-sekolah angkat YPC untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.

Melalui program ini, calon yang bakal menduduki peperiksaan awam dibimbing dengan pendekatan kaedah-kaedah pembelajaran secara berkesan (effective learning).

Menurut Penyelia Kanan Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar Pudu (PPWBP), Rosnani Md. Pungut, menetapkan sasaran adalah penting justeru murid perlu diberikan pendedahan dari awal sesi persekolahan.

"Peserta program juga berpeluang untuk dibimbing bagi menentukan hala tuju mereka, merancang dan memahami kaedah belajar yang berkesan bagi mendapatkan hasil yang terbaik," tambahnya.

Selain itu, satu daripada perkara utama yang ditekankan dalam pengisian program ini adalah pendekatan menuntut ilmu dari perspektif Islam

Ketua Unit Dakwah Jabatan Pelajaran Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPNWPKL), Ustaz Zulkifly Ahmad menyifatkan program ini sebagai satu pendekatan yang holistik dan menyeluruh.

"Inilah sebenarnya bentuk transformasi yang kita ingin lihat berlaku di kalangan murid Islam. Murid belajar bersungguh-sungguh kerana ingin berjaya dan pada masa yang sama mereka memahami bahawa menuntut ilmu adalah satu ibadah yang dituntut oleh agama kita," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved