Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Samseng takkan terlepas

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh ABDUL RASHID RAHMAN
utusanpahang@utusan.com.my

BIARPUN tiada pergaduhan dalam aksi persahabatan melibatkan Melaka dan Harimau Muda di Stadium Hang Jebat kelmarin, namun tindakan penyokong menyalakan suar yang disenarai sebagai barang larangan amat dikesali. - UTUSAN/Gaie Uchel

KUALA LIPIS - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak atau individu yang terlibat dalam mencetuskan kekecohan dalam perlawanan bola sepak di negara ini.

Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, badan bola sepak itu memandang serius perkara tersebut kerana ia boleh merosakkan industri bola sepak negara dan mahu kejadian seperti itu dihentikan segera.

"Saya berasa bimbang kerana disebabkan trend bergaduh kita mungkin akan rugi sebab kita hendak fokus kepada sukan bola sepak.

Kita nak kualiti bola sepak dinaikkan, kualiti pengadilan dinaikkan, kualiti sekuriti dinaikkan dan juga kualiti stadium dinaikkan.

"Kalau hendak cari pasal memang senang tetapi ini tidak akan menjadi satu gambaran positif, jadi saya harap hentikanlah kalau tidak mungkin kita buat tindakan drastik yang sudah ada dalam pemikiran saya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup Enduro Challenge 2014 di Taman Tasik Burung Mandi, Kamahang Hilir, Benta di sini semalam.

Tengku Abdullah berkata, perkara seperti itu perlu segera ditangani bersama demi kebaikan semua pihak khususnya peminat bola sepak negara.

"Ini adalah untuk keselamatan dan kebaikan penonton yang tidak bersalah. Peminat sudah tunjuk minat dan ada yang bawa keluarga serta anak-anak. Saya harap janganlah kita buat benda yang tiada kaitan dengan bola sepak," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah mahu semua pihak memberi tumpuan terhadap permainan dalam setiap pertandingan dan menerima sebarang keputusan sama ada kalah atau menang.

Beliau berkata, tindakan yang melencong sehingga mencetuskan pergaduhan hanyalah merugikan masa dan menyusahkan pelbagai pihak terutama pasukan keselamatan.

"Kalah menang adat permainan, kalau tidak boleh terima kalah jangan main bola, kalau menang kena terima menang tetapi jangan hendak ghairah sangat," katanya lagi.

Jumaat lalu, perlawanan di antara juara Piala Malaysia, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi kecoh selepas penyokong bergaduh di luar stadium hingga ada yang pulang bersama muka berdarah.

Keadaan penonton juga agak tegang di dalam stadium dan memaksa polis serta Pasukan Simpanan Persekutuan (RFU) mengambil tindakan untuk mengawal suasana daripada menjadi lebih buruk.

Pemain, pegawai JDT tak perlu bersumpah

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

JOHOR BAHRU - Pemain Johor Darul Tazim (JDT) dan pihak pengurusan pasukan itu tidak perlu mengikut langkah pemain dan pengurusan T-Team yang mahu mengangkat sumpah al-Quran seperti diminta oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamad Aziz berkata, tindakan itu tidak perlu dilakukan kerana dikhuatiri akan mencemar kemuliaan kitab suci tersebut hanya kerana perlawanan bola sepak.

Sebagai orang lama, saya nasihatkan agar tindakan tersebut (mengangkat sumpah al-Quran) tidak dibuat kerana bimbang kemuliaan kitab suci al-Quran dicemari.

Apatah lagi, sumpah yang mahu dilakukan itu hanyalah disebabkan satu perlawanan bola sepak," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad yang mahu kesemua pemain dan pihak pengurusan T-Team mengangkat sumpah ekoran kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT.

Ia berpunca daripada insiden pergaduhan dalam pusingan kedua Piala FA membabitkan kedua-dua pasukan sehingga perlawanan berkenaan ditangguhkan apabila pasukan T-Team enggan meneruskan permainan masa kedua.

Mohamad turut menyifatkan perseteruan seperti itu adalah sesuatu yang negatif dan tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan kerana boleh mencipta sentimen kebencian antara rakyat yang berasal dari negeri berbeza di negara ini.

Objektif utama setiap sukan pastinya untuk mengeratkan hubungan dan silaturahim antara pihak terlibat, tetapi sekiranya perkara ini dibiarkan berlarutan, acara ini akan menimbulkan suasana sebaliknya.

Perasaan benci akan timbul terhadap mereka yang lahir dari negeri berbeza, sedangkan kita semua adalah warganegara Malaysia," kata bekas Ahli Parlimen Sri Gading itu sambil berharap semua pihak dapat menerima keputusan yang dibuat oleh FAM dan melihatnya sebagai adat dalam sesuatu pertandingan.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Johor, Azlan Afandi Saufee Afandi menasihatkan penyokong JDT supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri apabila hadir memberi sokongan ketika menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka khususnya apabila berkunjung ke stadium lawan.

Apa yang paling penting, setiap peminat harus mematuhi arahan dan peraturan yang diberikan oleh pihak polis dan pegawai keselamatan sewaktu menyaksikan mana-mana perlawanan.

Peminat juga dinasihatkan agar jangan memulakan sebarang provokasi sama ada dalam bentuk percakapan mahupun perbuatan bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini," katanya sambil mengakui pasukan JDT dan peminat mereka kini sering menjadi sasaran ekoran beberapa insiden yang tercetus kebelakangan ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved