Selasa, 30 Ogos 2011

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pemain bebas mungkin banjiri skuad Piala Thomas 2012

Posted:

Pemain bebas mungkin banjiri skuad Piala Thomas 2012

Pemain bebas mungkin banjiri skuad Piala Thomas 2012


Zakry Latif dan Fairuzizuan Tazari yang kini tidak lagi bernaung di bawah BAM merupakan calon beregu pilihan bagi mengisi slot ke Piala Thomas/Uber 2012 di China.


KUALA LUMPUR - Kegagalan pemain-pemain muda negara mempamerkan aksi meyakinkan sembilan bulan menjelang pusingan akhir Piala Thomas/Uber 2012, mungkin menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terpaksa membawa masuk pemain bebas paling ramai dalam sejarah kejohanan.

Ketika ini, hanya jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong hampir pasti mengisi tiga daripada 10 slot untuk kejohanan yang akan berlangsung di Wuhan, China pada 20-27 Mei, 2012 itu.

Ketiadaan pemain muda yang mantap dalam acara perseorangan lelaki, memungkinkan dua pemain veteran yang sudahpun meninggalkan BAM, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim dipanggil semula menguatkan cabaran.

Dalam saingan beregu pula, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari yang meninggalkan skuad kebangsaan awal bulan ini masih calon pilihan untuk membawa cabaran negara, malah seandainya tiada pasangan muda yang mampu meyakinkan BAM untuk disenarai, beregu tajaan Apacs dan KLRC, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen turut dilihat sebagai calon relevan.

Bagi BAM, mereka sentiasa mengamalkan polisi membuka slot kepada pemain bebas jika itu yang terbaik untuk pasukan negara, malah badan badminton negara itu tidak menolak untuk memberi tiket kepada pemain bukan kebangsaan untuk membawa cabaran ke Sukan Asia dan Komanwel jika mereka berjaya membuktikan keupayaan untuk bersaing.

"BAM tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pemain bebas untuk membawa cabaran Malaysia pada Piala Thomas atau Uber dan kami akan teruskan polisi tersebut pada kejohanan di China tahun depan.

"Kalau dengan membawa masuk pemain-pemain bebas ini dapat menguatkan cabaran pasukan negara pada kejohanan itu, maka kami akan memanggil mereka, itupun kalau mereka berminat.

"Pada saya keutamaan kami cukup mudah, kami hanya akan membariskan skuad yang terbaik tidak kira ia adalah pemain kebangsaan atau bukan. Lagipun, ini bukannya polisi baru, kami sudah mengamalkannya sejak dulu," kata Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Pada Piala Thomas 2010 yang diadakan di Kuala Lumpur, Choong Hann dipanggil menguatkan cabaran perseorangan lelaki biarpun sudah bersara daripada pasukan kebangsaan ketika itu, malah pada Piala Uber 2008 di Jakarta, BAM turut memanggil pemain bebas, Lim Pek Siah untuk menguatkan saingan beregu wanita.

Pek Siah turut dilantik sebagai ketua pasukan negara ketika itu memandangkan dia adalah pemain paling senior selepas beregu Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Wong Mew Choo.

Melihat kepada perkembangan ketika ini, slot perseorangan lelaki masih belum mampu disahkan ekoran pemain-pemain muda gagal menunjukkan prestasi meyakinkan di pentas antarabangsa.

Empat pemain berada dalam calon untuk merebut tempat ketika ini, diketuai oleh Liew Daren, Chong Wei Feng, Chan Kwong Beng dan Mohd. Arif Latif, namun semua pemain ini perlu membuktikan mereka lebih baik daripada Choong Hann atau Hafiz untuk diberi kepercayaan.

Dalam beregu lelaki, BAM memiliki beberapa opsyen di kalangan pasangan bimbingan Tan Kim Her, namun tumpuan terbaru adalah kepada gandingan yang baru dibentuk, Ong Soon Hock-Mak Hee Chun, manakala beregu muda lain yang turut menjadi pilihan ialah Lim Khim Wah-Goh Wei Shem, Ow Yao Han-Chooi Kah Ming, Teo Kok Siang-Chan Peng Soon.

Saingan Piala Uber tampak kritikal, terutama dalam perseorangan wanita selepas persaraan Mew Choo. Baik Lydia Cheah, Tee Jing Yee mahupun Sonia Cheah belum menunjukkan aksi meyakinkan ketika ini, justeru tumpuan juga tidak mampu beralih kepada bekas pemain kebangsaan, Julia Wong yang kini mewakili KLRC.

Malaysia tidak pernah memenangi kejuaraan Piala Thomas sejak kali terakhir muncul juara pada 1992 dan penampilan terakhir tahun lalu menyaksikan kita kecundang kepada China di separuh akhir.

Bertudung bukan punca Zaira bersara

Posted:

Bertudung bukan punca Zaira bersara

Bertudung bukan punca Zaira bersara


Penampilan terbaru Zaira yang kini tampil manis bertudung sejak lebih sebulan lalu.


KUALA LUMPUR - Perubahan drastik pada penampilan diri atlet angkat berat negara, Zaira Zakaria yang kini sudah bertudung litup mungkin mengejutkan ramai pihak.

Lebih-lebih lagi atlet berusia 24 tahun itu menceburi sukan yang menghalangnya untuk berimej demikian.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini, Zaira mengakui imej bertudung yang dikenakan sekarang sememangnya menjadi halangan utama untuknya terus bergiat aktif dalam sukan angkat berat.

"Saya memang ada hasrat untuk bersara tetapi niat saya itu bukanlah berpunca daripada perubahan penampilan saya yang kini telah bertudung," katanya.

Menurut Zaira, buat masa ini, dia terpaksa menanggalkan tudung ketika bertanding memandangkan peraturan sukan angkat berat menghalang atlet menutup seluruh tubuhnya mahu pun berpakaian yang agak longgar.

Jelasnya, apa yang dia boleh lakukan ialah cuba untuk mengelak daripada berpakaian tanpa lengan ketika bertanding.

"Saya bersedia menimbangkan pemakaian t-shirt untuk menutup bahagian atas tubuh saya dan di bahagian luar pula saya akan menyarungkan baju angkat berat seperti mana yang dipakai oleh segelintir atlet," ujarnya.

Zaira yang mula memakai tudung sejak lebih sebulan yang lalu, memberitahu, keputusannya untuk bersara adalah kerana faktor usianya yang tidak lagi sesuai berkecimpung dalam sukan tersebut.

Katanya lagi, Sukan SEA di Palembang mungkin menjadi pentas terakhirnya jika dia layak ke temasya tersebut, sebelum dia memutuskan untuk berundur.

Tambah Zaira, pada 14 September ini, dia akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Sirkit 2 di Kuala Lumpur sebagai gelanggang untuknya mengintai tempat ke Sukan SEA, November ini.

"Untuk layak, saya akan cuba mengatasi rekod saya di Sukan SEA Loas 2009, yang mana ketika itu saya mencatat angkatan 94 kilogram (kg) untuk clean and jerk dan 70 kg untuk snatch," jelasnya.

Anak kelahiran Kedah itu sudah 11 tahun menceburi sukan angkat berat dan pernah menyumbangkan gangsa menerusi acara 48 kilogram pada Sukan SEA di Laos.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Kerajaan perlu kaji cadangan Perkasa

Posted:

Kerajaan perlu kaji cadangan Perkasa

Kerajaan perlu kaji cadangan Perkasa

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu supaya kerajaan menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Islam.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, penubuhan kementerian berkenaan amat penting bagi mengendalikan pelbagai isu melibatkan umat Islam.

"Dalam keadaan umat Islam semakin banyak digugat termasuk dari segi akidah, maka adalah wajar jika kementerian seumpama itu ditubuhkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Perkasa mengemukakan cadangan itu berlandaskan kepada fakta bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan majoriti rakyatnya beragama Islam.

Jangan terperangkap kenyataan Mat Sabu - Hishammuddin

Posted:

Jangan terperangkap kenyataan Mat Sabu - Hishammuddin

Jangan terperangkap kenyataan Mat Sabu - Hishammuddin

PUTRAJAYA 30 Ogos - Kerajaan tidak boleh terperangkap dalam mengenakan tindakan ke atas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berhubung kenyataan menghina pejuang kemerdekaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang tindakan ke atas Mat Sabu akan diambil mengikut lunas undang-undang dan perlu mengelak sehinggakan mendatangkan simpati kepada beliau.

"Apa jua tindakan yang kita ambil mestilah mengikut keadaan dan suasana serta pertimbangan tuan punya badan (Mat Sabu) yang melakukannya (membuat kenyataan)," katanya selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Hishammuddin percaya apa yang disebut oleh Mat Sabu itu adalah satu provokasi politik yang lahir daripada pemikiran sempit dan bertujuan untuk melihat reaksi kerajaan.

Begitu pun kata beliau, Mat Sabu tidak wajar menyentuh mengenai perjuangan tokoh kemerdekaan sehingga mendatangkan rasa marah dan meluat orang ramai yang sedar mengenai kebenaran sejarah.

"Kalau orang lain boleh berasa marah, bayangkan keadaan saya sendiri sebagai cucu kepada Dato' Onn Jaafar serta seluruh ahli keluarga Tunku Abdul Rahman?" soalnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pemuda tertipu sindiket minta bantuan

Posted:

Pemuda tertipu sindiket minta bantuan

Pemuda tertipu sindiket minta bantuan


THENG Book menerangkan kepada media mengenai sindiket penipuan wang dan David (kiri) menunjukkan laporan polis pada sidang akhbar Biro Pengaduan MCA Selangor di Petaling Jaya, kelmarin.


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bermodalkan 'ayat' kononnya begitu mudah untuk memperoleh wang, satu sindiket ligat menipu individu yang terdesak untuk mendapat pekerjaan.

Modus operandi sindiket itu adalah mencari mangsanya melalui iklan yang disiarkan di akhbar sebelum mengatur pertemuan kononnya bagi sesi temuduga.

Terbaru, seorang pemuda berusia 29 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket itu. Lebih malang, dia ditahan polis dan terpaksa dibebaskan dengan membayar wang jaminan sebanyak RM49,000.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai David berkata, selepas tamat sesi temuduga itu, dia menerima panggilan telefon berhubung tawaran kerjanya pada keesokan harinya.

David memberitahu, pekerjaannya cukup mudah di mana dia hanya perlu membuka akaun di beberapa bank bagi dan melakukan transaksi setiap kali diminta berbuat demikian.

"Gaji berupa komisen satu peratus akan diberi bagi setiap pengeluaran," katanya ketika ditemui di Bangunan MCA Selangor di sini semalam.

David pula yang tidak mencurigai helah sindiket itu hanya bertindak seperti pak turut.

Setelah enam bulan bekerja, seperti biasa David diminta untuk mengeluarkan sejumlah wang dari sebuah bank di ibu negara dengan seorang lagi rakannya yang baru ditawarkan kerja itu dan diarah diserahkan kepada majikannya yang hanya dikenali sebagai Nick.

"Tidak sampai 10 minit, rakan saya mengeluarkan wang berkenaan dari bank, saya, rakan saya dan Nick ditahan polis ketika memasuki kereta," ujarnya.

Kata David, Nick pula dibebaskan kerana dia dikatakan tiada kaitan dengan transaksi itu selepas polis meneliti aliran keluar masuk akuannya.

"Malang bagi kami berdua yang terpaksa menjadi mangsa sindiket. Saya menyeru kepada semua supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pekerjaan meragukan seumpama ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan yang menawarkan gaji yang tinggi.

Menurutnya, David kini terpaksa menanggung derita akibat perbuatan orang lain dan dia kini sedang disiasat mengikut mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Beliau memberitahu, MCA akan bertemu dengan pegawai Jabatan Peguam Negara serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan bagi membincangkan isu tersebut.

Ugutan peluru bukti kerajaan di landasan tepat perangi jenayah

Posted:

Ugutan peluru bukti kerajaan di landasan tepat perangi jenayah

Ugutan peluru bukti kerajaan di landasan tepat perangi jenayah

PUTRAJAYA 30 Ogos – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan ugutan peluru diterimanya baru-baru ini membayangkan bahawa kerajaan berada pada landasan yang tepat dalam agenda memerangi jenayah.

Hishammuddin yang tidak sedikit pun bimbang dengan ugutan itu berkata, ia mungkin ada kaitan dengan tindakan tegas kerajaan memerangi jenayah melibatkan rangkaian antarabangsa atau membasmi rasuah dalam negara.

"Jika nak ugut lagi, ugutlah, sebab kalau ada banyak ugutan maka kita berasa lebih yakin bahawa agenda memerangi jenayah yang sedang kita perhebatkan sekarang adalah agenda yang tepat," katanya pada majlis sambutan Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Hishammuddin menerima dua butir peluru dalam sepucuk surat yang diposkan ke pejabatnya di Putrajaya yang turut disertakan dengan nota ugutan bertulisan tangan.

Ketika ditanya adakah pengirim peluru dan nota ugutan itu sudah dikenal pasti, Hishammuddin menegaskan, perkara itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disiasat.

PDRM kata beliau, akan mengambil tindakan sewajarnya dalam kes itu sama ada menerusi kerjasama dua hala dengan pasukan antarabangsa atau kerjasama pihak-pihak lain di negara ini.

Begitu pun tegas Hishammuddin, apa yang lebih penting bagi polis ketika ini bukanlah individu yang menghantar ugutan tersebut tetapi sebaliknya mereka yang berada di belakang individu terbabit.

"Mungkin ia datang daripada sindiket yang lebih besar atau sindiket antarabangsa dan mereka inilah yang mahu kita tawan dan perangi seterusnya menyampaikan mesej bahawa mereka tidak boleh sesekali melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dan selamat untuk melakukan jenayah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Keluarga Gaddafi lari ke Algeria

Posted:

Keluarga Gaddafi lari ke Algeria

Keluarga Gaddafi lari ke Algeria

TRIPOLI 30 Ogos - Isteri pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan tiga orang anaknya melarikan diri ke Algeria semalam, menjadi petanda jelas Gaddafi kini sudah tidak lagi berkuasa di negara ini.

Kementerian Luar Algeria dalam satu kenyataan mengesahkan isteri Gaddafi, Safia bersama dua anak lelakinya, Hannibal dan Mohamed serta anak perempuannya, Aisha memasuki negara itu.

Ia berkata, pihak berkuasa Algeria telah memaklumkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Presiden Majlis Keselamatan PBB dan ketua Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

Pembantu pemimpin NTC, Ahmed Jibril berkata, pihaknya akan menggesa pihak berkuasa Algeria menghantar pulang ahli keluarga Gaddafi untuk dibicarakan di atas pelbagai dakwaan.

''Anak-anak Gaddafi memainkan peranan penting dalam tentera, kehidupan dan ekonomi Libya. Hannibal mengetuai syarikat pengangkutan maritim, Mohammed pula adalah ahli jawatankuasa kontinjen Olimpik negara manakala Aisha merupakan peguam yang membantu dalam pembelaan diktator Iraq yang digulingkan, Saddam Hussein,'' katanya.

Jurucakap NTC, Ahmed Bani berkata, pihaknya tidak terkejut mendengar laporan Algeria menerima keluarga Gaddafi itu.

Sebelum ini, pemberontak pernah menuduh Algeria menyediakan askar upahan kepada Gaddafi sejak pemberontakan bermula enam bulan lalu.

Ahmed semalam berkata, pemberontak mungkin berjaya membunuh seorang lagi anak Gaddafi, Khamis dalam satu pertempuran dengan konvoi tentera di bandar Tarhouna pada Sabtu lalu.

''Mayat dalam kereta yang musnah dalam pertempuran itu tidak dapat dikenal pasti. Tetapi kami yakin Khamis sudah mati kerana askar yang ditangkap mendakwa mereka merupakan pengawal peribadinya,'' ujarnya.

Dalam pada itu, kedudukan Gaddafi masih belum diketahui di mana mereka yang rapat dengan pemimpin Libya itu mendakwa beliau masih berada di negara ini dan berusaha merampas kembali kuasanya.

''Gaddafi masih mampu melakukan sesuatu pada saat-saat akhir,'' kata pemimpin pemberontak, Abdul-Jalil kepada pegawai NATO di Qatar.

Di Washington, pentadbiran Presiden Barack Obama menyatakan pihaknya tidak mempunyai maklumat Gaddafi berada di luar Libya. - Agensi

10 negara Arab raya semalam

Posted:

10 negara Arab raya semalam

10 negara Arab raya semalam


UMAT Islam mengerjakan solat di malam terakhir Ramadan di Masjidilharam, Mekah, Isnin lalu, sehari sebelum sambutan Aidilfitri. Bilangan umat Islam yang ramai di Tanah Suci sekarang menyebabkan jemaah melimpah ke luar masjid. - REUTERS


AMMAN 30 Ogos - Arab Saudi dan sekurang-kurangnya 10 negara Arab lain meraikan sambutan Aidilfitri hari ini.

Sambutan tersebut diraikan apabila Istana Diraja Arab Saudi mengeluarkan kenyataan selepas melihat anak bulan Syawal pada malam semalam.

Selain Arab Saudi, Jordan, Syria, Lebanon, Mesir, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yemen, Sudan dan Palestin turut meraikan sambutan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Oman, Iran dan puak Syiah di negara-negara Arab akan menyambut Aidilfitri pada Rabu.

Menurut ajaran Islam, bulan Ramadan akan bermula dan berakhir selepas melihat anak bulan. - dpa

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bebas daripada belenggu luar

Posted:

Bebas daripada belenggu luar

Bebas daripada belenggu luar

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

JIKA semua pihak tanpa mengira ideologi politik meneruskan perjuangan dalam diri untuk mencari kebaikan, maka inilah masa terbaik.

Yakni, hari baik dan bulan baik ini (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan) bagi mendapat manfaat yang rakyat Malaysia megahkan.

Itu adalah analogi yang diungkapkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengambil kira sambutan Aidilfiri dan Kemerdekaan yang hampir serentak kali ini.

"Sebabnya, merdeka kali ini jatuh pada hari raya, sama ada 30 atau 31 Ogos (2011), kita anggap ini hari besar di negara.

"Kita ingin kita melihat nanti semasa Yang di-Pertuan Agong membuat rumah terbukanya di Istana Negara pada hari pertama raya pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari nanti, kita semua bersalam-salaman.

"Bila rakyat pergi ke istana, (pemimpin dan pengikut) Pas juga pergi, begitu juga UMNO, DAP pergi dan demikian yang sama PKR...jika tak mahu bersalaman di rumah terbuka Perdana Menteri (juga hari raya pertama), kita bersalam di rumah terbuka Yang di-Pertuan Agong," kata beliau pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi Rais, pengertian merdeka perlu mencakupi semua aspek semasa. Beliau tidak menolak bahawa setiap pemimpin ada celanya.

"Setiap pemimpin ada juga baiknya tetapi dakwa mereka kononnya mengikut trend sekarang semua pemimpin yang memerintah dan mentadbir, semuanya tak baik, ini satu pendustaan.

"Dalam hal ini, saya nak menyeru kepada rakan-rakan dalam Pas, DAP dan PKR supaya hentikan (penyebaran) fitnah, ambil markah sebenar yang telah ditimbulkan oleh perjuangan yang ikhlas dan sambil menghirup udara BN (Barisan Nasional) sekarang, katakan memang ada kelemahan tetapi (hakikatnya) lebih banyak kebaikan," kata beliau.

Tanpa menggunakan kayu pengukur mengikut sentimen politik, beliau mahu mengungkapkannya begini:

"Memfitnah lebih teruk daripada membunuh', orang Pas semuanya tahu pasal benda ni, tetapi masih tetap mengenakan fitnah hari demi hari.

"Jadi, rakan-rakan kami dari UMNO, seterusnya seperti anak buah generasi baru, mereka juga tidak tahan (difitnah), jadi sudah bertembung satu bangsa satu agama tentang perkara yang tidak seharusnya timbul.

"Sebagai orang lama, saya nak seru balik, hal ini survival orang Melayu, jika orang Pas kata mereka tidak sayang Melayu, saya cabar mereka dari segi perkara sebenar iaitu budaya, agama serta siapa mereka ini," kata beliau.

Rais menarik perhatian bahawa pencorakan perjuangan politik seseorang banyak berasaskan kepada pendidikan yang diterimanya. Tetapi bukan 100 peratus. Kini dengan transformasi yang sedang dijalankan kerajaan, ia mesti diterima sebahagian rancangan tersebut.

"Setakat mana kita menilai kesusahan masyarakat di luar sangkar politik.

"Kita nak tentukan apa pun parti politik, golongan yang susah perlu dibantu dan bukan disebabkan ia anggota parti. Pendidikan membina masyarakat mesti bermula satu ketika dan ini harus diterima sebagai satu hakikat," katanya.

Rais yang berpengalaman bekerja di bawah lima Perdana Menteri turut mengimbas kenangannya bersama kepimpinan berkenaan.

"Di bawah Allahyarham Tun Hussein Onn, saya sendiri belajar dari segi ketegasan pemimpin, walaupun mengambil masa untuk menjadi tegas tetapi apabila sudah membuat keputusan ia tidak berganjak,'' katanya.

Tun Abdul Razak pula dicontohi kerana cara Allahyarham menyayangi masyarakat luar bandar. Perdana Menteri kedua itu menjaga kehidupan yang sistematik dalam perancangan tanah tanih.

"Selain menjadi bapa pembangunan, beliau merupakan strategis yang amat tajam pemikirannya dan hasilnya, penubuhan BN pada 1974.

"Di bawah Tunku Abdul Rahman pula, walaupun saya tidak bertugas secara langsung bersama beliau namun saya pernah berjuang bersamanya apabila beliau menjadi tamu kepada menteri luar.

"Semasa itu saya bertugas sebagai menteri luar pada tahun 1986-87 dan daripada Tunku, kita pelajari diplomasi melalui pakaian, kita belajar sifat tolak ansur, dan keikhlasan berhubung antara kaum menjadi aset kepimpinan," katanya.

Di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir pula, kata Rais, beliau belajar sebagai orang yang mengenal tentang kedaulatan malaysia dan bangsa Malaysia.

Kata Rais: "Jadi, beliau dengan wawasan 2020 nya mencerminkan Malaysia jendela negara membangun yang mesti kita hargai.

"Tun Dr. Mahathir merupakan obor moden Malaysia dan membawa pembangunan. Kepadanya, kemerdekaan adalah pengisian minda untuk bebas berfikir."

Bercerita mengenai Tun Abdullah Ahmad Badawi pula, Rais memberitahu, Abdullah yang lebih dikenali Pak Lah pernah menjadi pegawainya yang mana akhirnya Perdana Menteri kelima itu pula menjadi ketuanya. Bagi Rais, Pak Lah adalah diplomat yang tinggi nilai, mempunyai hemah yang murni dan pencipta Islam Hadhari.

"Tetapi sayangnya, beliau tidak sempat menjelmakan kepada amalan kerana Islam hadhari dilihat sebagai dasar yang belum masak diletakkan. Jadi, agak kecewa namun sifat muhibbah dan kepimpinannya dari segi menjelmakan idea, beliau akan diingati," katanya.

Kepada kepimpinan sekarang, Rais melihat Najib sebagai inovator.

Najib, katanya, mengabungkan kebolehan ayahandanya dengan apa yang dipelajari semasa di bawah Tun Dr. Mahathir, transformasi yang dibawanya menerusi Gagasan 1Malaysia yang sebenarnya ialah binaan negara bangsa yang seharusnya dinilai dari segi pencapaian sebenar.

"Jadi, ia bererti terlalu awal bagi seseorang mengkritiknya sekarang sehingga sepatutnya beliau dapat menghasilkan semua konsep yang dimaksudkan.

Rais mengingatkan, walaupun sudah merdeka 54 tahun, sikap masih dibelenggu cara luaran tidak dapat dinafikan kerana dari setiap gugusan kumpulan pelajar boleh dikatakan 50 peratus diasuh di luar negara.

"Jadi pemikiran mereka tergangga atau melopong melihat nilai-nilai sentiasa terbuka. Ini kerana mereka yang pergi ke Mesir atau Timur Tengah akan membawa sikap-sikap keakraban dari Timur Tengah.

"Mereka yang belajar di Amerika terbawa-bawa dengan Hopkins dengan U New York. Mereka yang belajar di Britain pula seperti orang putih, mereka nak bawa sistem sejagat dunia," katanya.

Justeru, apabila mereka pulang ke tanah air, maka akan terikut-ikut dengan dengan budaya luar sehingga lupa budaya dalaman.

"Namun persoalannya, bagaimana negara Singapura dan Korea boleh berjaya. Sebabnya mereka lebih mengenal nilai jati diri berbanding nilai samar-samar.

"Oleh itu kita perlu melalui bimbingan sosial akan datang dengan membawa pembaharuan seperti transformasi seperti yang dianjurkan kerajaan di bawah kepimpinan Najib.

"Kita mesti membawa balik sistem-sistem yang dijaga tinggi nilainya, keislaman misalnya ataupun kita bawa nilai kasar hasil perjuangan di Afghanistan atau perjuangan di Mesir atau perjuangan di pusat pengajian tinggi luaran," katanya.

Rais percaya rakyat yang sedar akan sentiasa terasa bahawa kemerdekaan ke-54 ini merupakan tahun yang mencabar. Di samping itu akan terasa banyak perubahan berlaku khususnya perubahan yang akan mencorak tamadun baru rakyat dan tanah air kita.

"Juga harus saya tekankan bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kemerdekaan ini akan lebih bererti kerana beliau mencetuskan pemikiran dan olahan hidup yang baru menerusi pelbagai program dan projek transformasi yang beliau pimpin untuk jayakan," katanya.

Menjaga sensitiviti untuk kekal merdeka

Posted:

Menjaga sensitiviti untuk kekal merdeka

Menjaga sensitiviti untuk kekal merdeka

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

SEPERTI sambutan Hari Merdeka 2010 yang pertama dalam ingatan generasi muda bertindih dengan puasa bulan Ramadan, ulang tahun kemerdekaan ke-54 tahun ini bertindih pula dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Namun, merdeka tahun ini juga dibelenggu satu perasaan kurang enak dan hilangnya semangat sebahagian rakyat, bukan kerana letih berpuasa atau sibuk beraya tetapi bosan dengan perkembangan semasa dalam negara.

Dari isu politik sejak pilihan raya umum 2008 yang melarat kepada isu perkauman, mencabar Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu, perundangan, bahasa kebangsaan dan kini agama turut jadi permainan.

Yang paling nyata kurang selesa dan semakin hilang sabar dengan perkembangan tersebut ialah orang Melayu dan bumiputera yang makin banyak diasak kebelakangan ini, bukan sahaja oleh sebilangan bukan Melayu malahan kelompok orang Melayu yang menjadi petualang.

Maka, apakah ertinya menyambut kemerdekaan negara tahun ini jika rakyatnya sekali lagi berhadapan dengan kemungkinan 'dijajah' semula selepas bumi mereka dijajah orang asing hampir 450 tahun bermula 1511?

Bermula dengan kejutan politik kepada kerajaan dan pembangkang bermula 2008, kuasa politik bumiputera mula dilihat semakin goyah dan membuka peluang kepada segelintir kecil bukan Melayu mencuba nasib memainkan isu sensitif.

Ini termasuk mempersoal kandungan Perlembagaan, kuasa Raja-Raja Melayu, hak istimewa serta kuota pegangan orang Melayu dan bumiputera malahan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.Tuntutan hak asasi manusia pula dijadikan alasan segelintir lagi rakyat untuk menghalalkan segala bentuk amalan sosial yang bertentangan dengan norma dan budaya sementara perundangan sivil dan syariah dicabar melalui pelbagai kes.

Ini termasuk kes murtad, tukar jantina, seks luar tabii, perkahwinan sejenis, azan, bacaan al-Quran mahupun mempersoal hukuman terhadap kes melibatkan arak, judi, zina dan khalwat umat Islam oleh pihak tidak berkenaan.

Menggunakan 'lubang-lubang' sistem perundangan sedia ada, ramai pihak beragenda yang memainkan isu sensitif itu terlepas dengan sekadar alasan 'maaf dan tidak disengajakan' seterusnya mengundang kemarahan rakyat yang menuntut lebih ketegasan.

Walaupun pergolakan dalam pelbagai isu itu, sebenarnya melibatkan sekumpulan kecil manusia, sama ada Melayu mahupun bukan Melayu tetapi bahang dan tempiasnya tetap terpalit kepada semua. Permainan bahaya kumpulan manusia itu mengundang perpecahan antara kaum dan di kalangan bumiputera sendiri yang akhirnya akan menggugat kedaulatan negara dan mengancam keselamatan rakyat.

Pihak-pihak berkepentingan yang cuba mengangkat agenda kaum, agama atau ideologi politik peribadi masing-masing seolah lupa sejarah penubuhan kerangka negara ini dan sengaja mengabaikan hakikat rakyat cuma mahukan keamanan, keharmonian dan perpaduan, bukannya permainan isu sensitif demi menarik undi.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong melihat perkembangan semasa sememangnya tidak sihat memandangkan terlalu banyak 'politiking' antara pemerintah dan pembangkang.

"Politiking yang keterlaluan boleh menjejaskan hubungan antara kaum, agama dan perpecahan intra etnik (Melayu).

"Dalam berpolitik mengejar kuasa, janganlah kita ganggu gugat apa yang telah susah payah dibina selama ini dan harus membezakan institusi kenegaraan agar boleh mengelak ia dipermainkan," tegasnya.

Beliau berpegang kepada pendapat bahawa majoriti rakyat hanya mahukan keharmonian, perpaduan serta keamanan sosial dan tidak mahu mengikut rentak segelintir kecil yang memainkan isu sensitif termasuk mempertikaikan kandungan Perlembagaan negara demi agenda peribadi.

"Fikirlah demi kesejahteraan negara dan semua pihak dalam bertindak kerana jika berterusan begini, hanya akan merugikan kedua belah pihak, yang kalah jadi abu yang menang jadi arang," katanya.

Untuk itu, beliau berharap pihak berkuasa lebih bertegas terhadap pihak yang menimbulkan isu sensitif dan perkara yang tidak sepatutnya mereka bertolak ansur.

"Tindakan polis mencegah perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini bagus kerana pihak berkuasa perlu mempunyai ketegasan sedemikian walaupun tidak mahu kelihatan terlalu kasar dalam keadaan mahu meraih undi.

"Kini isu sensitif perkahwinan paderi gay pula timbul dan pihak berkuasa perlu tonjolkan ketegasan negara menolak amalan yang bertentangan dengan budaya kita itu melalui sistem perundangan sedia ada," ujarnya.

Bagi Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, perkara sensitif tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka bagi mengelakkan pihak lain terguris dan bertindak balas berdasarkan emosi.

"Isu sensitif termasuk pertikaian terjemahan kandungan Perlembagaan dan pelaksanaan dasar-dasar negara sebenarnya boleh dibahaskan di Parlimen.

"Parlimen merupakan platform yang memberi ruang wakil rakyat berbahas mengenai semua perkara berbangkit secara rasional tetapi mengikut tahap sensitiviti tertentu," jelasnya.

Menurut beliau, sesuatu isu tidak boleh dibincang secara terbuka kecuali diyakini boleh diterima baik semua rakyat secara rasional demi mengelakkan mereka yang tidak memahami isu tersebut turut mendebatkannya secara beremosi.

"Kita kena ingat, ada sesetengah isu masih sensitif di negara ini dan demi mengelakkan ketegangan, lebih baik isu sensitif dibincangkan melalui platform perbahasan tertutup yang diwakili semua pihak berkaitan.

"Wakil-wakil boleh membahaskan isu tersebut secara rasional dan intelektual seterusnya menambahbaik apa yang boleh selepas mendapat persetujuan bersama, tanpa mengganggu sentimen pihak tertentu dan menyelamatkan negara daripada perpecahan," katanya.

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini, Mohamed Mustafa turut menegaskan pentingnya penyatuan semua rakyat dan pemimpin tanpa mengira ideologi dan politik kepartian.

"Sejarah adalah sejarah dan perlu diterima semua pihak kerana ia tidak boleh diubah atau dinafikan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat dan ideologi antara kita, sambutan merdeka tidak sepatutnya dicampur aduk dengan perkara lain.

"Oleh itu, semua pihak perlu bersatu dan turut serta menyambutnya kerana perihal negara sebegini perlu diutamakan dengan mengambil kira perspektif lebih luas melangkaui politik kepartian," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Tetap Yuna yang dulu

Posted:

Tetap Yuna yang dulu

Tetap Yuna yang dulu

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar HAFIZ JOHARI


YUNA cukup teruja dengan sambutan Syawal ini yang baginya cukup istimewa.


MEMANG cukup istimewa apabila sambutan Aidilfitri tahun ini disambut serentak dengan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54.

Dalam kita bergembira menyambut Syawal yang sudah pun memasuki hari kedua, sebagai rakyat Malaysia juga tidak seharusnya melupakan tarikh keramat 31 Ogos yang telah merubah kehidupan kita secara total.

"Saya harus akui Hari Raya kali ini cukup istimewa kerana kita juga meraikan Merdeka. Pada pendapat saya ini merupakan cara yang paling baik untuk meraikan bulan Merdeka apabila kita dapat beraya bersama-sama rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Di sinilah kita dapat melihat keharmonian dan keserasian walaupun daripada bangsa yang berbeza. Apabila kita menyambut sesuatu perayaan, kita juga sepatutnya berkongsi kegembiraan tersebut dengan orang lain," demikian luahan Yuna sewaktu membuka bicaranya apabila diminta memberikan pendapat tentang sambutan berganda Merdeka dan Syawal tahun ini.

Namun, apabila memperkatakan tentang merdeka, barangkali ada yang berpendapat anak muda hari ini semakin jauh menyimpang dari landasan sebenar mereka.

Kerana terlalu asyik mengagungkan budaya luar, anak muda hari ini telah dilabelkan sebagai lupa diri sehingga melupakan pengorbanan waris terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan kemerdekaan negara.

"Merdeka adalah satu peringatan bahawa kita semua sebagai rakyat Malaysia, tak kira apa jua bangsa, hanya mahukan kehidupan yang selesa dan gembira tanpa persengketaan.

"Ia juga mengingatkan kita untuk terus rasa bersyukur kerana kita hidup di negara yang aman damai dan bebas dari krisis-krisis. Tidak seperti negara-negara yang lain yang sedang mengalami krisis dan peperangan.

"Sesuatu yang agak menyedihkan apabila kadang kala saya lihat ramai yang lupa yang kita sebenarnya sangat bertuah untuk hidup di bumi Malaysia," jelas Yuna dalam sesi fotografi yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Melihat kepada senario remaja masa kini yang semakin tersasar daripada jalan mereka, Yuna masih mengharap agar generasi muda hari terus berpegang teguh kepada jati diri mereka.

Kata pemilik nama penuh Yunalis Zarai ini lagi, remaja hari ini memiliki sikap dan sifat yang jauh berbeza berbanding mereka yang dilahirkan sebelum mereka.

Pada pengamatannya, remaja hari ini sangat pintar dan tidak pernah lupa untuk mengkaji serta mempelajari sejarah yang telah termaktub.

"Daripada pembelajaran mereka, mereka cukup dengan maksud penjajahan dan merdeka secara keseluruhannya. Jika tidak, mana mungkin ada yang menimba ilmu sehingga ke luar negara dan kembali mencurahkan bakti kepada negara.

"Dalam masa yang sama, saya tidak menafikan ada juga yang terlalu taksub dengan pengaruh dari Barat. Jujurnya, saya sendiri tidak merasakan untuk mempelajari kepintaran atau kemajuan negara Barat itu adalah satu kesalahan.

"Tetapi, jangan sampai terlalu terpengaruh dan mengagungkan budaya kuning yang disebarkan oleh mereka. Dalam kata mudah, yang positif diambil dan mana yang tidak elok itu usahlah diikuti," kata pelantun lagu Gadis Semasa ini penuh bersemangat.

Dalam konteks itu, Yuna mengambil contoh dirinya sendiri apabila dia terus berpegang teguh kepada pepatah klasik, di mana bumi dijunjung, di situ langit dipijak.

Walaupun sudah berkelana jauh sehingga ke bumi Amerika Syarikat (AS) untuk mengembangkan sayap seninya, kata Yuna, hatinya tetap di Malaysia.

Secara jujur anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini memberitahu secara luaran, benar dia sudah jauh berubah.

Hampir tiga tahun lalu, dia lebih selesa untuk memilih hanya seluar jeans dan kemeja T bersama sepatu sukan.

Tetapi, kini Yuna sudah boleh berbangga apabila ada pihak yang mula melihatnya sebagai ikon fesyen baru. Dalam erti kata lain, Yuna sudah semakin berani berfesyen dan memastikan dirinya sentiasa up-to-date sehingga menjadi ikutan ramai.

Ternyata menjadi anak pasca merdeka telah membawa Yuna jauh melangkah setapak langkah lagi dalam anjakan karier serta perubahan untuk dirinya sendiri.

"Saya harus akui pemikiran saya kini lebih matang. Jika dulu saya hanya fikirkan kepentingan diri sendiri, selalu bergantung kepada keluarga dan rela hidup selesa tanpa mencuba perkara-perkara baru dan luar biasa yang mencabar minda dan kreativiti.

"Selepas mendapat peluang untuk bekerja di luar negara semuanya berubah. Di Los Angeles, ia telah membuka mata saya apabila melihat sendiri bagaimana karyawan mereka bekerja.

"Sehinggakan saya menyoal diri saya sendiri apabila melihat mereka mampu untuk memajukan diri sendiri. Benarkah mereka lebih bijak daripada kita sehinggakan filem, muzik dan seni mereka menjadi begitu dahsyat.

"Tidak mahu terus berasa selesa dalam lingkaran hidup yang sama, saya memaksa diri saya untuk menjadi meletakkan diri saya setanding dengan mereka dengan berfikir dengan pantas selain menjadi kreatif dan agresif dalam bekerja," jelas anak tunggal ini dengan makna yang cukup mendalam.

Untuk itu katanya, selama dua tahun bekerja sebagai pemuzik di AS, dia sudah berjaya mendalami jati dirinya yang sebenar apabila berpeluang bekerja dengan karyawan-karyawan seni hebat.

Contohnya, apabila dia mendapat tahu dia akan bekerja dengan penerbit album terkenal, Pharrell Williams, Yuna mampu menepikan rasa gementarnya dan mengekspresi jiwanya sebagai penyanyi serta komposer.

"Di sebalik itu, saya juga berdepan dengan masalah kekurangan idea selepas menghasilkan beberapa buah lagu. Mungkin ia berpunca daripada diri saya sendiri kurang membaca dan pengalaman.

"Dalam masa yang sama, pengalaman di sana juga telah mematangkan saya sebagai seorang individu apabila bertemu dengan pelbagai latar belakang manusia.

"Saya belajar cara-cara untuk bergaul dengan mereka tanpa perlu membuang identiti saya sebagai anak Malaysia. Saya masih diri saya yang dulu, cuma lebih bijak dan matang serta berdikari. Jadi, semua itu semua serba sedikit telah memerdekakan saya sebagai seorang individu," ujar Yuna yang kelihatan cukup bergaya memperagakan rekaan terbaru Syomir Izwa untuk sesi fotografi ini.

Aidilfitri disambut sederhana

Posted:

Aidilfitri disambut sederhana

Aidilfitri disambut sederhana

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar SHAHRIL AIZAT AHMAD


Nana dan Rayyan akan menyambut Aidilfitri di Seremban.


BAGI penyanyi yang terkenal dengan lagu Benang Emas, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 27, kehadiran Aidilfitri kali ini akan disambut dengan penuh kesederhanaan.

Menurut Nana, kebiasaannya dia dan anak tunggal kesayangannya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 3 tahun, akan pulang ke kampung halaman di Felda Sendayan, Seremban apabila Aidilfitri tiba.

"Memandangkan kampung Nana di Seremban sahaja, Nana tidak perlu terburu-buru nak balik ke kampung," ujarnya.

Tambahnya, lebaran tahun ini, dia bersama anaknya akan turut menziarahi pusara bekas suaminya, Mohd. Faisal Yusup yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 Januari lalu.

Sebagai insan yang bergelar ibu, Nana mengakui kehidupannya bersama Rayyan ketika ini sudah cukup sempurna.

Bagi Nana, Rayyan adalah permata hatinya dan apa yang dilakukannya dalam karier seni ketika ini adalah untuk kebahagiaan anaknya itu.

Nana bergerak sendiri

Apabila bercerita tentang kerjaya seninya, Nana kini sudah mengambil inisiatif untuk bergerak sendiri dan tidak terlalu mengharapkan bantuan daripada pihak lain.

"Nana telah tubuhkan syarikat sendiri Siti Nordiana Management (SN Management). Tapi ini bukan bermaksud Nana keluar dari FMC Music Sdn. Bhd.

"SN Management adalah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan karier Nana sepenuhnya.

"Kiranya, majlis yang diadakan oleh FMC dan SN Management adalah majlis yang berbeza tetapi Nana masih berada di bawah syarikat rakaman tersebut," jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), baru-baru ini.

Seiring dengan penubuhan SN Management, Nana berhasrat untuk kembali aktif bergerak sendiri dan juga akan mengadakan pelbagai aktiviti bersama peminat.

"Nana akan kembali aktif di Fan Page Nana di Facebook, Siti Nordiana Fans Club.

"Jadi, segala aktiviti yang akan diadakan selepas ini, Nana akan beritahu melalui Facebook," kata Nana.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Sambut 1 Syawal dalam pesawat

Posted:

Sambut 1 Syawal dalam pesawat

Sambut 1 Syawal dalam pesawat

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar Hayat Sueet


Adakalanya tersentuh jua hati Ernee Hasnita Malik, apabila berjauhan dari keluarga ketika hari raya.


HATI siapa tidak terusik apabila orang lain sibuk mengenakan pakaian baru atau menikmati rendang masakan emak, diri sendiri pula terpaksa menyarungkan pakaian seragam untuk ke tempat kerja ekoran tuntutan tugas.

Bukan mudah untuk menyembunyikan perasaan sayu di pagi lebaran. Lebih-lebih lagi apabila menyambut Aidilfitri di perantauan.

Walaupun berasa sayu kerana tidak dapat bersama keluarga dan sanak saudara, keutamaan terhadap tugas menyebabkan kedatangan Syawal disambut bersama rakan-rakan sekerja.

Setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam kerjaya di awan biru, Ernee Hasnita Malik, 38, sudah tegar dengan tanggungjawabnya biarpun jadual kerja kadangkala mungkin tidak dapat diterima oleh ahli keluarga yang lain.

Bertugas sebagai Penolong Kanan, Ketua Pramugari Dalam Penerbangan, Penerbangan Malaysia ( MAS ) anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila terpaksa beraya di dalam pesawat.

"Sepanjang 20 tahun berkhidmat dengan MAS, hanya empat kali tidak dapat beraya bersama keluarga.

"Sudah pasti rasa sedih itu ada tetapi apabila memikirkan ia adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul, saya reda.

"Bagaimanapun hari raya tetap meriah dan boleh diraikan dengan hidangan hari raya bersama rakan-rakan sekerja," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitupun, tahun ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu akan menyambut hari raya di Perancis dan hanya akan pulang ke Malaysia pada hari raya kedua.

Apabila ditanya adakah keluarganya di kedua-dua belah pihak terutama anak tunggalnya yang berusia 10 tahun memahami situasi tersebut, menurut Ernee, pada permulaannya agak sukar untuk mereka memahami dan menerima tetapi kini senario tersebut sudah dapat diterima seluruh ahli keluarga.

Memandangkan suaminya juga bekerja dalam bidang yang sama, ia tidak pernah menjadi masalah kepada Ernee malah tahun ini juga suaminya tidak mendapat cuti raya.

Rakan setugas Ernee, Mohd. Sharom Hasim, 49, turut senasib dengannya kerana tahun ini Mohd. Sharom juga perlu bertugas di pagi raya.

Akan menyambut hari raya di Malaysia pada raya kedua, Mohd. Sharom dijangka terbang ke Australia pada malam raya.

Beliau yang bertugas sebagai Penyelia Penerbangan MAS bagaimanapun akan memastikan segala persiapan raya telah disediakan sebelum dia terbang ke Australia.

"Tahun ini giliran beraya di Segamat, di sebelah isteri saya dan nampaknya mereka terpaksa menunggu sehingga saya balik.

"Siapa yang tidak sedih apabila sambut hari raya tanpa keluarga tersayang di sisi. Bagaimanapun kehadiran rakan-rakan setugas yang lain sedikit sebanyak mampu mengubat rindu pada kampung halaman," katanya.

Bercerita lanjut mengenai sambutan hari raya di perantauan, menurut Mohd. Sharom, dia pernah menyambut hari raya pertama dua hari berturut-turut memandangkan ketika itu dia ditugaskan mengikut penerbangan ke Dubai.

Lazimnya, jelas Mohd. Sharom, Dubai akan menyambut hari raya satu hari awal dari Malaysia dan ketika itu sudah pasti dia turut menyambutnya walaupun di Malaysia masih lagi berpuasa.

Dan keesokan harinya, apabila penerbangannya bertolak pulang ke Malaysia, dia sekali lagi menyambut hari raya pertama sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Malah katanya, itu merupakan pengalaman paling manis yang pastinya tidak dapat dilupakan sepanjang menyambut hari raya di perantauan.

Bagi Pegawai Utama/Juruterbang MAS, Mohamad Afiq Mohamad Azharuddin, 24, walaupun baru berkhidmat dengan MAS selama lima tahun tetapi sepanjang tempoh tersebut dia tidak dapat menyambut hari raya bersama keluarga sebanyak dua kali.

Walaupun begitu, bagi anak kelahiran Subang, Selangor itu tuntutan tugas sebagai seorang juruterbang sudah difahami seluruh ahli keluarga.

Dia yang masih belum berkahwin bagaimanapun memberitahu siapa yang tidak sedih apabila hari raya disambut di kalangan rakan-rakan setugas sahaja.

"Pernah jugalah merasa beraya di Korea dua tiga tahun lepas.

"Ada sekali tu, saya diletakkan di dalam keadaan standby, saat-saat akhir iaitu malam raya saya dipanggil untuk bertugas.

"Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya tetapi digagahkan juga memandangkan ia satu amanah yang perlu dilaksanakan," katanya yang akan menyambut hari raya tahun ini bersama keluarga tercinta.

Ujarnya, dalam pesawat memanglah tidak rasa langsung suasana raya disebabkan bertugas apatah lagi 'terbang' ke negara yang tidak menyambut hari raya dengan meriah.

Menurut Mohamad Afiq, untuk menghidupkan suasana hari raya ketika bertugas, dia dan rakan-rakan krew MAS yang lain akan mengadakan sambutan secara kecil-kecilan di lokasi persinggahan.

Ada juga krew yang akan membawa kuih raya, rendang dan lemang dari kampung.

Tetapi berlainan pula dengan Kapten Pesawat Boeing 737 siri 800, Azrul Hizam Mohammadiah, 38.

Ini kerana sepanjang tempoh berkhidmat dengan MAS, lebih daripada 10 kali dia menyambut hari raya di perantuan.

Bagaimanapun untuk tahun ini, dia akan menyambut kemeriahan hari raya bersama isteri tersayang.

"Sebelum ini saya hanya menyambut hari raya bersama ahli keluarga yang lain kerana belum berkahwin.

"Dan mungkin disebabkan itu, secara jujurnya saya tidak merasa sedih apabila tiap kali tibanya hari raya.

"Tetapi suasana tersebut akan berbeza tahun ini memandangkan saya baru berkahwin dan bakal bergelar ayah tidak lama lagi," ulasnya lanjut.

Bagaimanapun, tambah Azrul, sekiranya dia menyambut hari raya di perantauan, biasanya kedutaan akan jemput krew MAS untuk bersama-sama meraikannya.

Jika tidak pun, mereka akan menyambutnya di kalangan rakan-rakan sekerja yang lain dengan juadah yang telah dibekalkan dari rumah.

Apa yang pasti, daripada cerita keempat-empat krew MAS ini ternyata suasana untuk berhari raya langsung tiada di dalam pesawat dan sudah pasti keadaan senarionya juga turut berbeza berbanding sambutan hari raya bersama keluarga.

Nikmat merdeka bekas pejuang

Posted:

Nikmat merdeka bekas pejuang

Nikmat merdeka bekas pejuang


Ismail Chemenggun menunjukkan gambar kenangan beliau menjadi satu-satunya wakil dari Malaya ketika itu yang mewakili pasukan England di dalam sukan hoki semasa beliau menjalani kursus pakar senjata di Hampshire.


KEMERDEKAAN mencetuskan transformasi mengagumkan bagi negara dan diri Ismail Chemenggun, 72. Beliau berasa bangga untuk menjelaskan pengertian nikmat merdeka.

Ismail, seorang bekas askar, menjemput penulis ke rumah yang didiami beliau sekeluarga sejak berpindah ke Batu Arang pada tahun 1970.

Pekan Batu Arang itu sendiri jelas melalui transformasi daripada sebuah penempatan luar bandar kepada penempatan pinggir bandar.

Beliau menunjukkan gambar lama setiap kali menyiapkan ubahsuai rumah yang dilakukan sendiri dengan tulang empat keratnya dan tetap mengekalkan gabungan warna biru, kuning dan merah iaitu warna kor Kejuruteraan Elektrikal dan Mekanikal Diraja (REME).

Warna itu mempunyai makna mendalam kerana beliau mahu sentiasa ingat betapa tingginya semangat muda beliau seawal usia 16 tahun sebagai askar British Malaya bersama REME.

Sejurus selepas sampai ke rumah kampung itu, empat rakannya yang pernah sama-sama berkhidmat semasa di sekolah tentera Army Boys Trade dan REME di Singapura turut datang memberi sokongan moral.

Berdasarkan pengalaman, Ismail membuka bicara dengan menceritakan pelbagai masalah yang dihadapi negara sebelum merdeka, khususnya pada zaman Perang Dunia Kedua (1941-45) dan Darurat ekoran ancaman Komunis (1948-60).

"Rakyat terpaksa hidup dalam keadaan huru-hara dengan keadaan ekonomi yang teruk, tiada kemudahan sekolah dan klinik, jika adapun terlalu jauh dan tidak ramai yang mampu," luah beliau.

Lebih menakutkan lagi, rakyat bukan setakat miskin dengan makanan yang terhad malah hidup dalam ketakutan bimbang disergah penjahat atau diserang musuh.

Tetapi berkat usaha para pemimpin kemerdekaan bermula dengan perjuangan Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946 menerusi UMNO, dan diikuti oleh usaha Tuanku Abdul Rahman serta yang lain, Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 secara aman, diikuti dengan gabungan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam gagasan Malaysia pada 16 Sept, 1963.

"Tetapi, negara ditimpa malang lagi apabila diganggu gugat oleh dua peristiwa utama iaitu konfrontasi Indonesia pada 1962-66 dan rusuhan kaum 13 Mei 1969, namun dengan kebijaksanaan para pemimpin negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai usaha dilakukan supaya rakyat kembali hidup dalam keadaan harmoni dan muhibah", ulas beliau dengan panjang lebar.

Apapun, Ismail meletakkan harapan besar kepada generasi muda dan akan datang supaya peristiwa hitam seperti konfrontasi dan rusuhan tidak berulang, sebaliknya perasaan muhibah dan sepakat perlu sentiasa disemarakkan.

Tetapi, beliau kecewa generasi yang lahir selepas Merdeka mudah pula terjerumus dengan pelbagai masalah sosial dan akhlak menyebabkan beliau merasa bimbang dengan kekurangan bimbingan kepada anak.

"Orang lain mungkin merasakan saya terlepas peluang kerana tidak mengambil tawaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas tamat perkhidmatan dengan pasukan tentera Komanwel British, tetapi masa itu, saya baru berkeluarga dan tidak pasti keadaan masa depan keluarga jika bersama ATM yang biasanya perlu berpindah mengikut kenaikan pangkat.

"Masa itu, saya telah berkhidmat untuk negara selama 15 tahun, jika perlu tambah lagi 12 tahun berpindah-randah sebagai askar, bagaimana pula nasib dan pendidikan anak-anak yang masih kecil," katanya.

Beliau tidak menafikan semasa mula tinggal ke Batu Arang sekitar tahun 1969 dan 1970, banyak cabaran yang perlu ditangani.

Ketika itu, sistem penempatan Batu Arang belum tersusun seperti sekarang dan ramai daripada komuniti asal yang kebanyakannya bukan bumiputera kurang senang dengan kedatangan bekas askar seperti beliau.

Tetapi berkat usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika itu, Batu Arang menjadi sangat makmur sebagai satu masyarakat majmuk, aman damai dan hidup dalam harmoni hingga kini meskipun tidaklah semewah kehidupan moden di bandar.

Tapi sayangnya, beliau menyedari kemuafakatan itu telah mula pudar dan lebih mengecewakan lagi apabila generasi tua sepertinya dapat melihat keretakan dalaman yang makin jelas dalam kelompok satu-satu kaum.

Kini, Ismail hanya mampu mengimbau kenangan suka-duka sejarah hidupnya, menabur jasa dan bakti demi masa depan agama, negara dan anak bangsa

Bekas askar berkumpul di batu arang

DARIPADA lebih 20 orang rakan-rakan seperjuangan ketika zaman British Malaya yang menetap di Batu Arang, hanya tinggal lima orang yang terus meniti usia senja termasuk Ismail.

Rakan yang lain iaitu Osman Ngah Mamat, 75, Tayeb Abdul Malek, 72, Amirdat Khan Zardat Khan, 69, dan Abdul Rahman Atan, 67, turut berasal dari pasukan REME dan mula menetap di Batu Arang selepas tahun 1972.

Sebenarnya, mereka amat menghargai pengiktirafan Veteran Malaysia yang diberi kerajaan baru-baru ini yang membolehkan mereka mendapat kemudahan kesihatan yang sama dengan pesara ATM.

Tetapi mereka juga sedar baki hayat umur mereka tidaklah begitu lama lagi, dan mereka masih menanti bilakah kerajaan dapat memutuskan memberi sumbangan berbentuk pencen yang sesuai dengan kos hidup masa kini bagi membantu mereka menjalani saki baki hidup dengan baik.

"Sedih juga mengenangkan ramai rakan lain yang meninggal dunia dalam keadaan susah," keluh mereka mengakhiri temubual.

BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Mat Sabu pemimpin 'tak boleh pakai'

Posted:

Mat Sabu pemimpin 'tak boleh pakai'

Mat Sabu pemimpin 'tak boleh pakai'

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan NOOR DIANA AZIS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang cuba membohongi masyarakat tentang sejarah Bukit Kepong membuktikan beliau seorang pemimpin yang 'tidak boleh pakai'.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, tindakan Mohamad yang menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaya (PKM) adalah hero sebenar dalam peristiwa itu dan bukannya anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka adalah keterlaluan.

"Mat Sabu (Mohamad) masih lagi 'dijajah' ideologi komunis. Dia terlupa bahawa hero sebenar dalam tragedi tersebut adalah anggota keselamatan yang terbunuh mempertahankan negara kerana sayangkan keamanan dan tanah air.

"Agaknya, kalau tiada anggota keselamatan yang sanggup bertarung nyawa untuk mempertahankan negara daripada PKM, mungkin Malaysia kini dijajah oleh mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Muhammad, Timbalan Presiden Pas itu seperti tidak bersyukur dengan keamanan yang dicapai negara hingga sanggup cuba memporak-perandakan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Dia (Mohamad) tidak menghayati perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan pejuang negara yang sanggup berjihad mempertahankan keamanan dan kemakmuran negara.

"Saya sangat kesal dan dukacita dengan tindakan pengkhianat bangsa seperti Mat Sabu. Dia harus menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sekali gus memohon maaf secara terbuka kepada semua waris mangsa yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong," katanya.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom pula mendesak supaya Mohamad tampil memberi penjelasan mengenai tujuan beliau mengeluarkan kenyataan biadab itu.

"Dia (Mohamad) harus bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukan dan jangan cuba mengelak daripada memberi kenyataan maaf," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPMM), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar meminta Mat Sabu berhenti menjadi 'robot' DAP dan terus menghina jasa bakti para pejuang yang telah memerdekakan negara.

"Jika komunis berjaya menawan negara, Pas tidak akan wujud kerana komunis tidak benarkan warga dalam tanah jajahannya menganuti sebarang agama dan Mat Sabu tidak akan dipilih sebagai Timbalan Presiden Pas.

"Jangan sekali-kali menukarkan sejarah negara kerana ia adalah warisan nenek moyang kita. Jika cuba menukarkannya ditakuti pertumpahan darah akan berlaku dan jika itu berlaku Pas bertanggungjawab," ujarnya.

Beliau yang juga bekas Komander Rejimen Askar Wataniah berkata, jika betul-betul hendak menunjukkan kehandalan dalam bidang sejarah negara, Mohamad disaran berdebat di hadapan 200,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk yang berjuang dalam zaman komunis dan juga yang telah bersara.

Sementara itu di Alor Setar, Yang Dipertua Pertubuhan Perpaduan Melayu Kedah (Pemikad), Abdul Ghani Mehat menggesa polis menyiasat Timbalan Presiden Pas itu di bawah akta yang relevan kerana secara terang-terangan menganggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong.

Katanya, dakwaan Timbalan Presiden Pas itu seolah-olah menunjukkan beliau mengiktiraf tindakan komunis yang diketahui membawa kesengsaraan kepada rakyat.

"Polis perlu menyiasat sejauh mana penglibatan Mat Sabu dalam perkara ini. Kita tidak perlu mendesak manusia seperti ini memohon maaf berhubung kenyataan itu, tetapi mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan bukti," katanya.

Bila ada angka 21, Mat Sabu buat-buat tak ingat

Posted:

Bila ada angka 21, Mat Sabu buat-buat tak ingat

Bila ada angka 21, Mat Sabu buat-buat tak ingat

REAKSI Mohamad Sabu bahawa beliau tidak ingat apa yang diucapkan ketika berceramah di Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu adalah sesuatu yang melucukan.

Mungkin Mat Sabu selalu tak ingat atau sengaja buat tak ingat kalau sesuatu peristiwa itu mempunyai angka 21. Sekadar ingatan, Mat Sabu pernah didakwa berkhalwat dalam bilik 121 di Hotel Perdana, Kota Bharu suatu ketika dulu tetapi dibebaskan mahkamah atas alasan teknikal.

Apa pun sesuatu yang malang bagi Pas kerana memiliki seorang Timbalan Presiden yang mudah lupa.

Bagaimana mungkin seorang pemimpin yang dilihat jauh lebih hebat daripada ulama sehingga mampu menewaskan dua calon golongan berkenaan dalam pemilihan Pas lalu boleh tidak ingat apa yang dilafazkan.

Walaupun jawapan Mat Sabu itu adalah helah politik memandangkan isu beliau menyokong perjuangan komunis telah mendapat kecaman ramai tetapi bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah tersebut telah membuka pekung sendiri.

Ia kerana ini membuktikan bahawa selama ini apa pun Mat Sabu cakap ia bukanlah fakta tetapi sebenarnya sekadar rekaan, tohmahan dan fitnah.

Kalau benar, Mat Sabu bercakap berdasarkan kepada fakta dan maklumat yang betul sudah pasti beliau akan ingat apa yang diucapkan.

Sebagai 'ayam sabung' Pas, Mat Sabu sememangnya digunakan oleh parti yang memperjuangkan negara berkebajikan itu untuk menyerang UMNO.

Oleh itu Mat Sabu diberi 'lesen' penuh untuk bercakap apa sahaja di atas pentas ceramah asalkan ia memaki hamun UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pemimpin-pemimpin Pas lain tidak boleh berkata apa-apa termasuklah Dewan Ulama kerana Mat Sabu bukannya penceramah bebas parti itu tetapi Timbalan Presiden Pas yang dinobatkan oleh ahli-ahlinya.

Tambahan pula Mat Sabu telah dianggap oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai barisan pilihan raya - maknanya Mat Sabu juga harapan besar parti itu.

Berikutan keadaan itu, tak kanlah ada mana-mana pemimpin Pas yang berani hendak menegur Mat Sabu, apatah lagi kenyataan Mat Sabu itu menguntungkan Pas kerana ia menunjukkan keterbukaan parti berkenaan.

Lagi pun Mat Sabu hanya membantu Pas untuk meraih undi daripada bukan Melayu, justeru kalau lepas ni Mat Sabu hendak bercakap apa pun terserah kepada beliau, apabila ia mencetuskan kontroversi, Timbalan Presiden Pas itu boleh beri alasan, ''Saya tak ingat''.

Mereka pejuang kemerdekaan sebenar - Karpal

Posted:

Mereka pejuang kemerdekaan sebenar - Karpal

Mereka pejuang kemerdekaan sebenar - Karpal

KUALA LUMPUR 29 Ogos — Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini berkata 25 anggota polis yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong pada 1950, Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman adalah pejuang kemerdekaan sebenar dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan.

Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata ia mesti diterima sebagai dokumen sejarah bahawa serangan pengganas komunis ke atas balai polis Bukit Kepong berjaya dipatahkan oleh 25 anggota polis dan anggota keluarga mereka yang berjaya mempertahankan balai itu.

"Mereka wajar diberikan pujian oleh semua pihak, bagi keberanian dan pengorbanan mereka. Adalah salah untuk mengatakan bahawa mereka ialah pegawai British sebagaimana dikatakan oleh (Timbalan Presiden Pas) Mohamad (Sabu) seperti didakwa. Mereka adalah pejuang kemerdekaan sebenar," katanya.

Dalam satu kenyataan di sini, Karpal berkata, kenyataan yang didakwa itu, bahawa pengganas komunis yang menyerang balai polis Bukit Kepong pada 1950 adalah hero sebenar negara dan bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan kerana mereka adalah pegawai British, bukan sahaja tidak benar tetapi juga tidak bijak dan tidak sepatutnya dikeluarkan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved