Selasa, 30 Ogos 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Sambut 1 Syawal dalam pesawat

Posted:

Sambut 1 Syawal dalam pesawat

Sambut 1 Syawal dalam pesawat

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar Hayat Sueet


Adakalanya tersentuh jua hati Ernee Hasnita Malik, apabila berjauhan dari keluarga ketika hari raya.


HATI siapa tidak terusik apabila orang lain sibuk mengenakan pakaian baru atau menikmati rendang masakan emak, diri sendiri pula terpaksa menyarungkan pakaian seragam untuk ke tempat kerja ekoran tuntutan tugas.

Bukan mudah untuk menyembunyikan perasaan sayu di pagi lebaran. Lebih-lebih lagi apabila menyambut Aidilfitri di perantauan.

Walaupun berasa sayu kerana tidak dapat bersama keluarga dan sanak saudara, keutamaan terhadap tugas menyebabkan kedatangan Syawal disambut bersama rakan-rakan sekerja.

Setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam kerjaya di awan biru, Ernee Hasnita Malik, 38, sudah tegar dengan tanggungjawabnya biarpun jadual kerja kadangkala mungkin tidak dapat diterima oleh ahli keluarga yang lain.

Bertugas sebagai Penolong Kanan, Ketua Pramugari Dalam Penerbangan, Penerbangan Malaysia ( MAS ) anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila terpaksa beraya di dalam pesawat.

"Sepanjang 20 tahun berkhidmat dengan MAS, hanya empat kali tidak dapat beraya bersama keluarga.

"Sudah pasti rasa sedih itu ada tetapi apabila memikirkan ia adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul, saya reda.

"Bagaimanapun hari raya tetap meriah dan boleh diraikan dengan hidangan hari raya bersama rakan-rakan sekerja," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Begitupun, tahun ini, ibu kepada seorang cahaya mata itu akan menyambut hari raya di Perancis dan hanya akan pulang ke Malaysia pada hari raya kedua.

Apabila ditanya adakah keluarganya di kedua-dua belah pihak terutama anak tunggalnya yang berusia 10 tahun memahami situasi tersebut, menurut Ernee, pada permulaannya agak sukar untuk mereka memahami dan menerima tetapi kini senario tersebut sudah dapat diterima seluruh ahli keluarga.

Memandangkan suaminya juga bekerja dalam bidang yang sama, ia tidak pernah menjadi masalah kepada Ernee malah tahun ini juga suaminya tidak mendapat cuti raya.

Rakan setugas Ernee, Mohd. Sharom Hasim, 49, turut senasib dengannya kerana tahun ini Mohd. Sharom juga perlu bertugas di pagi raya.

Akan menyambut hari raya di Malaysia pada raya kedua, Mohd. Sharom dijangka terbang ke Australia pada malam raya.

Beliau yang bertugas sebagai Penyelia Penerbangan MAS bagaimanapun akan memastikan segala persiapan raya telah disediakan sebelum dia terbang ke Australia.

"Tahun ini giliran beraya di Segamat, di sebelah isteri saya dan nampaknya mereka terpaksa menunggu sehingga saya balik.

"Siapa yang tidak sedih apabila sambut hari raya tanpa keluarga tersayang di sisi. Bagaimanapun kehadiran rakan-rakan setugas yang lain sedikit sebanyak mampu mengubat rindu pada kampung halaman," katanya.

Bercerita lanjut mengenai sambutan hari raya di perantauan, menurut Mohd. Sharom, dia pernah menyambut hari raya pertama dua hari berturut-turut memandangkan ketika itu dia ditugaskan mengikut penerbangan ke Dubai.

Lazimnya, jelas Mohd. Sharom, Dubai akan menyambut hari raya satu hari awal dari Malaysia dan ketika itu sudah pasti dia turut menyambutnya walaupun di Malaysia masih lagi berpuasa.

Dan keesokan harinya, apabila penerbangannya bertolak pulang ke Malaysia, dia sekali lagi menyambut hari raya pertama sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Malah katanya, itu merupakan pengalaman paling manis yang pastinya tidak dapat dilupakan sepanjang menyambut hari raya di perantauan.

Bagi Pegawai Utama/Juruterbang MAS, Mohamad Afiq Mohamad Azharuddin, 24, walaupun baru berkhidmat dengan MAS selama lima tahun tetapi sepanjang tempoh tersebut dia tidak dapat menyambut hari raya bersama keluarga sebanyak dua kali.

Walaupun begitu, bagi anak kelahiran Subang, Selangor itu tuntutan tugas sebagai seorang juruterbang sudah difahami seluruh ahli keluarga.

Dia yang masih belum berkahwin bagaimanapun memberitahu siapa yang tidak sedih apabila hari raya disambut di kalangan rakan-rakan setugas sahaja.

"Pernah jugalah merasa beraya di Korea dua tiga tahun lepas.

"Ada sekali tu, saya diletakkan di dalam keadaan standby, saat-saat akhir iaitu malam raya saya dipanggil untuk bertugas.

"Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya tetapi digagahkan juga memandangkan ia satu amanah yang perlu dilaksanakan," katanya yang akan menyambut hari raya tahun ini bersama keluarga tercinta.

Ujarnya, dalam pesawat memanglah tidak rasa langsung suasana raya disebabkan bertugas apatah lagi 'terbang' ke negara yang tidak menyambut hari raya dengan meriah.

Menurut Mohamad Afiq, untuk menghidupkan suasana hari raya ketika bertugas, dia dan rakan-rakan krew MAS yang lain akan mengadakan sambutan secara kecil-kecilan di lokasi persinggahan.

Ada juga krew yang akan membawa kuih raya, rendang dan lemang dari kampung.

Tetapi berlainan pula dengan Kapten Pesawat Boeing 737 siri 800, Azrul Hizam Mohammadiah, 38.

Ini kerana sepanjang tempoh berkhidmat dengan MAS, lebih daripada 10 kali dia menyambut hari raya di perantuan.

Bagaimanapun untuk tahun ini, dia akan menyambut kemeriahan hari raya bersama isteri tersayang.

"Sebelum ini saya hanya menyambut hari raya bersama ahli keluarga yang lain kerana belum berkahwin.

"Dan mungkin disebabkan itu, secara jujurnya saya tidak merasa sedih apabila tiap kali tibanya hari raya.

"Tetapi suasana tersebut akan berbeza tahun ini memandangkan saya baru berkahwin dan bakal bergelar ayah tidak lama lagi," ulasnya lanjut.

Bagaimanapun, tambah Azrul, sekiranya dia menyambut hari raya di perantauan, biasanya kedutaan akan jemput krew MAS untuk bersama-sama meraikannya.

Jika tidak pun, mereka akan menyambutnya di kalangan rakan-rakan sekerja yang lain dengan juadah yang telah dibekalkan dari rumah.

Apa yang pasti, daripada cerita keempat-empat krew MAS ini ternyata suasana untuk berhari raya langsung tiada di dalam pesawat dan sudah pasti keadaan senarionya juga turut berbeza berbanding sambutan hari raya bersama keluarga.

Nikmat merdeka bekas pejuang

Posted:

Nikmat merdeka bekas pejuang

Nikmat merdeka bekas pejuang


Ismail Chemenggun menunjukkan gambar kenangan beliau menjadi satu-satunya wakil dari Malaya ketika itu yang mewakili pasukan England di dalam sukan hoki semasa beliau menjalani kursus pakar senjata di Hampshire.


KEMERDEKAAN mencetuskan transformasi mengagumkan bagi negara dan diri Ismail Chemenggun, 72. Beliau berasa bangga untuk menjelaskan pengertian nikmat merdeka.

Ismail, seorang bekas askar, menjemput penulis ke rumah yang didiami beliau sekeluarga sejak berpindah ke Batu Arang pada tahun 1970.

Pekan Batu Arang itu sendiri jelas melalui transformasi daripada sebuah penempatan luar bandar kepada penempatan pinggir bandar.

Beliau menunjukkan gambar lama setiap kali menyiapkan ubahsuai rumah yang dilakukan sendiri dengan tulang empat keratnya dan tetap mengekalkan gabungan warna biru, kuning dan merah iaitu warna kor Kejuruteraan Elektrikal dan Mekanikal Diraja (REME).

Warna itu mempunyai makna mendalam kerana beliau mahu sentiasa ingat betapa tingginya semangat muda beliau seawal usia 16 tahun sebagai askar British Malaya bersama REME.

Sejurus selepas sampai ke rumah kampung itu, empat rakannya yang pernah sama-sama berkhidmat semasa di sekolah tentera Army Boys Trade dan REME di Singapura turut datang memberi sokongan moral.

Berdasarkan pengalaman, Ismail membuka bicara dengan menceritakan pelbagai masalah yang dihadapi negara sebelum merdeka, khususnya pada zaman Perang Dunia Kedua (1941-45) dan Darurat ekoran ancaman Komunis (1948-60).

"Rakyat terpaksa hidup dalam keadaan huru-hara dengan keadaan ekonomi yang teruk, tiada kemudahan sekolah dan klinik, jika adapun terlalu jauh dan tidak ramai yang mampu," luah beliau.

Lebih menakutkan lagi, rakyat bukan setakat miskin dengan makanan yang terhad malah hidup dalam ketakutan bimbang disergah penjahat atau diserang musuh.

Tetapi berkat usaha para pemimpin kemerdekaan bermula dengan perjuangan Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946 menerusi UMNO, dan diikuti oleh usaha Tuanku Abdul Rahman serta yang lain, Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 secara aman, diikuti dengan gabungan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam gagasan Malaysia pada 16 Sept, 1963.

"Tetapi, negara ditimpa malang lagi apabila diganggu gugat oleh dua peristiwa utama iaitu konfrontasi Indonesia pada 1962-66 dan rusuhan kaum 13 Mei 1969, namun dengan kebijaksanaan para pemimpin negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai usaha dilakukan supaya rakyat kembali hidup dalam keadaan harmoni dan muhibah", ulas beliau dengan panjang lebar.

Apapun, Ismail meletakkan harapan besar kepada generasi muda dan akan datang supaya peristiwa hitam seperti konfrontasi dan rusuhan tidak berulang, sebaliknya perasaan muhibah dan sepakat perlu sentiasa disemarakkan.

Tetapi, beliau kecewa generasi yang lahir selepas Merdeka mudah pula terjerumus dengan pelbagai masalah sosial dan akhlak menyebabkan beliau merasa bimbang dengan kekurangan bimbingan kepada anak.

"Orang lain mungkin merasakan saya terlepas peluang kerana tidak mengambil tawaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas tamat perkhidmatan dengan pasukan tentera Komanwel British, tetapi masa itu, saya baru berkeluarga dan tidak pasti keadaan masa depan keluarga jika bersama ATM yang biasanya perlu berpindah mengikut kenaikan pangkat.

"Masa itu, saya telah berkhidmat untuk negara selama 15 tahun, jika perlu tambah lagi 12 tahun berpindah-randah sebagai askar, bagaimana pula nasib dan pendidikan anak-anak yang masih kecil," katanya.

Beliau tidak menafikan semasa mula tinggal ke Batu Arang sekitar tahun 1969 dan 1970, banyak cabaran yang perlu ditangani.

Ketika itu, sistem penempatan Batu Arang belum tersusun seperti sekarang dan ramai daripada komuniti asal yang kebanyakannya bukan bumiputera kurang senang dengan kedatangan bekas askar seperti beliau.

Tetapi berkat usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika itu, Batu Arang menjadi sangat makmur sebagai satu masyarakat majmuk, aman damai dan hidup dalam harmoni hingga kini meskipun tidaklah semewah kehidupan moden di bandar.

Tapi sayangnya, beliau menyedari kemuafakatan itu telah mula pudar dan lebih mengecewakan lagi apabila generasi tua sepertinya dapat melihat keretakan dalaman yang makin jelas dalam kelompok satu-satu kaum.

Kini, Ismail hanya mampu mengimbau kenangan suka-duka sejarah hidupnya, menabur jasa dan bakti demi masa depan agama, negara dan anak bangsa

Bekas askar berkumpul di batu arang

DARIPADA lebih 20 orang rakan-rakan seperjuangan ketika zaman British Malaya yang menetap di Batu Arang, hanya tinggal lima orang yang terus meniti usia senja termasuk Ismail.

Rakan yang lain iaitu Osman Ngah Mamat, 75, Tayeb Abdul Malek, 72, Amirdat Khan Zardat Khan, 69, dan Abdul Rahman Atan, 67, turut berasal dari pasukan REME dan mula menetap di Batu Arang selepas tahun 1972.

Sebenarnya, mereka amat menghargai pengiktirafan Veteran Malaysia yang diberi kerajaan baru-baru ini yang membolehkan mereka mendapat kemudahan kesihatan yang sama dengan pesara ATM.

Tetapi mereka juga sedar baki hayat umur mereka tidaklah begitu lama lagi, dan mereka masih menanti bilakah kerajaan dapat memutuskan memberi sumbangan berbentuk pencen yang sesuai dengan kos hidup masa kini bagi membantu mereka menjalani saki baki hidup dengan baik.

"Sedih juga mengenangkan ramai rakan lain yang meninggal dunia dalam keadaan susah," keluh mereka mengakhiri temubual.

BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved