Isnin, 25 November 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Ciri keselamatan baharu Teana

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Dari sudut pandangan belakang, Nissan Teana mengekalkan reka bentuknya.

SEKALI pandang, Teana 250 XV V6 2.5L seperti tidak ada perubahan dengan model yang diperkenalkan dua tahun lalu. Anda tidak salah. Model ini menjalani hanya sedikit penambahbaikan, terutama dalam aspek keselamatan.

Model eksekutif sedan ini dilengkapi dengan ciri keselamatan baru iaitu sistem amaran sudut tidak kelihatan atau blind spot warning (BSW) bagi meningkatkan kepekaan pemandu, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

Sistem amaran itu menggunakan dua alat pengesan radar berkuasa 24GHz di bamper belakang bagi mengesan objek bergerak dengan pemandu diberi amaran menerusi lampu LED atau bunyi buzzer jika ada ancaman bahaya di zon peka seluas tiga meter.

Lampu tersebut terletak di bahagian dalam tingkap pintu, bertentangan dengan cermin sisi. Bunyi buzzer akan bernyala apabila pemandu menggunakan lampu isyarat untuk menukar lorong.

Satu lagi ciri yang ketara ialah ruang dalaman kabinnya yang menggunakan warna gelap keseluruhan, sekali gus menyerlahkan ciri kemewahan moden dan elemen sport untuk menarik golongan eksekutif muda untuk memilikinya. Model sebelum ini menggunakan salutan kayu pada kemudi roda dan kali ini, ditukar warna kepada hitam.

Perubahan pada warna dalaman itu tidak menjejaskan hakikat bahawa Nissan Teana adalah sebuah kereta yang luas dan selesa bagi paras ketinggian kepala dan kaki dengan keluasan badan 2,775 milimeter.

Ini menjadikan pemanduan jauh, sesuatu yang tidak menyakitkan dan sekiranya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sekali pun, pemandu Teana tidak akan terasa lesu.

Ini didorong oleh sistem gantungan yang mampu menyerap gegaran akibat permukaan jalan tidak rata atau berlubang, kerusi kulit yang empuk, pendingin hawa yang memiliki kawalan dua suhu, pelindung cahaya di bahagian cermin belakang dan kedap bunyi yang memastikan bunyi bising jalan raya tidak memasuki kabin.

Di bahagian luaran, perubahan kecil pada jeriji yang digelapkan sedikit krom dan bodykit serta spoiler dipasang standard iaitu sudah dikira sekali dalam kereta berbanding sebelum ini, dikira sebagai opsyen.

Diperkasa oleh enjin V6 2.5 liter yang menjana kuasa maksimum 179.7 kuasa kuda (hp) dengan kuasa kilas 228 Newton meter (Nm) serta gear transmisi Xtronic CVT, Teana mampu memberi kuasa pecutan yang dimahukan, di sebalik imejnya sebagai sedan eksekutif yang elegan.

Teana 2.5 liter ini memiliki ciri-ciri yang patut ada pada sebuah kereta sedan eksekutif iaitu butang menghidupkan enjin, cruise control, fungsi memori kerusi pemandu, pemain enam cakera padat, lampu depan Xenon, lampu belakang LED, sistem anti kunci membrek dengan edaran kuasa membrek elektronik dan bantuan brek serta kawalan dinamik kenderaan untuk kestabilan yang lebih.

Sejak dilancarkan November 2010, lebih 8,000 Nissan Teana dijual, sekali gus muncul model kedua paling laris dalam segmen sedan mewah eksekutif bukan nasional dengan perkongsian pasaran 16.3 peratus.

Edaran Tan Chong Motors (ETCM) selaku pengedar tunggal kenderaan Nissan di Malaysia telah menjual 34,966 unit kenderaan tahun lalu, sekali gus menjadikan Nissan jenama automotif bukan nasional nombor dua dengan mencatat pertumbuhan jualan keseluruhan sebanyak 13.7 peratus.

Model itu didatangkan dalam lima warna iaitu kelabu, perak, hitam, emas dan putih di tawarkan pada harga atas jalan RM173,100 seunit.

Hyundai jual kereta hidrogen tahun depan

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

HYUNDAI memperkenalkan model Tucson Hydrogen pada Pameran Auto di Los Angeles, baru-baru ini,

DETROIT 24 Nov. - Hyundai bakal menjadi pengeluar kereta pertama mengkomersialkan kereta berkuasa hidrogen tahun hadapan menerusi model utiliti sukan (SUV), Tucson baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Amerika Utara, John Krafcik berkata, Hyundai akan menjadi pengeluar pertama yang mengkomersialkan teknologi baharu berkenaan di pasaran Amerika Syarikat (AS).

"Kereta berkenaan ketika ini sudah bersedia untuk memahat sejarah industri," katanya.

Walaupun ketika ini industri automotif memberi fokus kepada kenderaan hibrid dan elektrik, pengeluar seperti Hyundai, Toyota dan Honda telah bergerak ke penyelidikan teknologi hidrogen.

Honda juga memperkenalkan kereta konsep berkuasa hidrogen pada pameran yang sama, manakala Toyota pada Pameran Auto Tokyo, minggu lepas.

Hyundai merancang menjual Tucson hidrogen di bahagian selatan California dahulu kemudian dikembangkan ke kawasan lain selaras dengan penambahan stesen mengisi hidrogen untuk kereta berkenaan. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Peguam didakwa guna tandatangan palsu namakan pewaris KWSP

Posted: 25 Nov 2013 01:31 AM PST

PETALING JAYA 25 Nov. - Seorang peguam mengaku tidak bersalah hari ini terhadap tuduhan menggunakan dokumen mengandungi tandatangan palsu mendiang abangnya untuk menamakan ibunya sebagai pewaris wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik abangnya itu.

Collin Swee Lay Keong, 45, didakwa menggunakan borang KWSP 4 yang kandungan tandatangan pada dokumen itu adalah palsu dan bukan milik mendiang abangnya, James Swee Lee Kong.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk menamakan ibunya, Low Han Neo sebagai waris kepada wang simpanan dalam akaun KWSP milik Lee Kong.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di cawangan KWSP Jalan Gasing di sini antara 8 pagi dan 5 petang pada 19 Mei 2010, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya di Mahkamah Majistret di sini tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu tidak boleh dijamin.

Peguam Alex Tan Chee Seng yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya itu hadir sendiri ke mahkamah.

Beliau turut memaklumkan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan yang dihadapi anak guamnya itu Majistret Mohd Nazri Omran membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jan depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Kes polis lepas "kasanova" disebut semula 28 Januari

Posted: 24 Nov 2013 10:20 PM PST

GEORGE TOWN 25 Nov. - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 28 Jan depan untuk sebutan semula kes seorang pegawai kanan polis yang dituduh sengaja melepaskan seorang tahanan dikenali "kasanova" pada bulan lepas.

Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar menetapkan tarikh itu setelah Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini memaklumkan bahawa pihak pembelaan hanya menyerahkan sebahagian dokumen pembelaan.

Beliau kemudian mengarahkan pihak pembelaan menyerahkan dokumen tambahan sebelum tarikh sebutan kes itu.

ASP L. Chandkumary, 56, didakwa sengaja melepaskan tahanan K. Prabaharan, 45, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Oktober lepas.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada kira-kira 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.

Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary didakwa mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chandkumary yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dengan Polis Diraja Malaysia diwakili peguam Danny C.Navarednam.

Pada 21 Oktober lepas, Chandkumary mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Sah Rozita Che Wan-Zain Saidin bernikah 11 Disember

Posted: 24 Nov 2013 11:44 PM PST

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

PASANGAN selebriti, Rozita Che Wan dan Zain Saidin bakal disatukan sebagai suami isteri pada 11 Disember ini. - UTUSAN

SHAH ALAM 25 Nov. - Berita yang pernah disiarkan dalam Utusan Online mengenai tarikh pernikahan pelakon Rozita Che Wan dan pasangannya Zain Saidin yang mengambil tarikh 11 Disember 2013 atau 11.12.13 sebelum ini adalah benar dan tepat.

Pasangan itu mengesahkan mereka bakal disatukan pada tarikh berkenaan bertempat di Gazebo Setia, City Convention Centre, di sini pada pukul 7.30 malam pada tarikh berkenaan.

Dalam sidang akhbar yang sedang berlangsung ketika ini, pasangan tersebut turut mengesahkan bakal mengadakan majlis persandingan pada 13 Disember di lokasi yang sama.

Majlis pernikahan kedua-dua selebriti yang bakal dianggap Weeding Of The Year ini turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria. - UTUSAN ONLINE

Rais Yatim dibayar RM100,000 nyanyi sebuah lagu

Posted: 24 Nov 2013 06:21 PM PST

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Penaung Persatuan Karyawan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim dibayar RM100,000 kerana menyanyikan sebuah lagu berjudul "When I Fall In Love" dalam Majlis Malam Amal Warisan Seni Karyawan di Hotel Istana di sini malam tadi.

Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, wang hasil tajaan individu daripada sebuah badan koporat yang enggan didedahkan namanya itu adalah bagi mengisi tabung kebajikan persatuan yang dianggotai lebih 1,000 artis tempatan.

"Tan Sri Rais menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan oleh Nat King Cole yang mana ini adalah kali pertama beliau menyanyi pada majlis anjuran Karyawan. Selain itu isteri beliau, Puan Sri Masnah Rais pula menyanyikan sebuah lagu bertajuk "Ubek Kan Denai".

"Lagu persembahan isteri beliau juga dibayar RM70,000 yang kemudian dimasukkan ke dalam tabung kebajikan Karyawan. Keseluruhannya majlis makan malam amal ini berjaya mengutip dana sebanyak RM350,000," katanya.

Pada majlis itu, seramai 22 artis yang kurang bernasib baik seperti Julie Dahlan, Yazid Search, Samsuddin Lamin, Kamal Pendek, Zaiton Sameon, Lai Meng, Pak Limra, Mimi Loma dan MY Samsudin menerima bantuan sehingga RM5,000 setiap seorang. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Hilang lepas tuai

Posted: 25 Nov 2013 06:16 AM PST

Ashriq Fahmy Ahmad
utusan.com.my

MARDI menganjurkan seminar untuk mengatasi masalah kehilangan selepas tuai dan pembaziran makanan sepanjang rantaian. - Gambar hiasan

DIANGGARKAN hampir tujuh hingga 23 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil padi hilang semasa atau dalam proses lepas tuai. Masalah yang sama turut berlaku pada pertanian lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Malah, statistik menunjukkan negara yang sedang membangun mencatatkan kehilangan lepas tuai yang lebih tinggi iaitu 20 hingga 50 peratus berbanding negara maju iaitu lima hingga 25 peratus.

Fakta demikian menunjukkan semakin maju sesebuah negara, semakin banyak teknologi baharu digunakan dalam sektor pertanian bagi mengelakkan kehilangan lepas tuai yang lebih tinggi.

Menurut Timbalan Pengarah, Program Pengurusan Lepas Tuai, Pusat Kajian Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Pauziah Muda, kehilangan lepas tuai merupakan antara faktor utama berlakunya masalah kekurangan bekalan makanan.

"Antara faktor kita kekurangan bekalan makanan adalah akibat pertambahan penduduk dunia, perubahan iklim, persaingan guna tanah, hakisan, dan kekurangan bekalan air di samping kehilangan lepas tuai.

"Malah, masalah kehilangan lepas tuai boleh menyebabkan hasil pertanian umpamanya mengalami kehilangan kuantiti, kualiti, ekonomi serta zat makanan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di MARDI, Serdang, Selangor.

Untuk mengekalkan pengeluaran hasil pertanian terutamanya makanan rugi sentiasa berada pada tahap optimum, penggunaan teknologi serta pengurusan yang betul perlu diaplikasikan sepanjang rantaian pengeluaran tersebut.

Antara aktiviti sepanjang rantaian pengeluaran makanan yang perlu diberi penekanan adalah penuaian, pengurusan, operasi pembungkusan, proses utama (primary), penyimpanan, pengagihan dan pemasaran.

Menyedari masalah tersebut perlu diatasi dengan segera, MARDI menerusi bahagian Program Pengurusan Lepas Tuai, Pusat Kajian Hortikulturnya menganjurkan seminar Kehilangan Lepas Tuai dan Pembaziran Makanan (PLFWC 2013) Lumut, Perak pada 26 hingga 28 November ini.

Antara objektif penganjuran seminar tersebut adalah untuk memapar dan menilai status terkini serta cabaran kehilangan lepas tuai dan pembaziran makanan sepanjang rantaian.

Seterusnya, mengenal pasti teknologi lepas tuai yang bersesuaian serta berkesan mengurangkan kehilangan lepas tuai serta pembaziran makanan.

Dalam pada itu, seminar tersebut juga turut membincangkan cara terbaik untuk memperkasakan keselamatan makanan dengan membangunkan pelan pembangunan bagi mengurangkan kehilangan lepas tuai serta pembaziran makanan.

Terakhir adalah mengeratkan hubungan serta rangkaian serantau dalam mendepani isu-isu mendatang berkenaan masalah kehilangan lepas tuai dan pembaziran makanan.

Seminar anjuran MARDI tersebut terbuka kepada semua peringkat namun mensasarkan golongan pembuat polisi, usahawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sektor awam, ahli akademik, penyelidik serta pelajar dan penyertaan adalah terhad.

Untuk maklumat lanjut berkenaan seminar PLFWC 2013 anda boleh menghubungi sekretariat ditalian 03-8945 4592, 03-8943 6345 atau emailkan sebarang pertanyaan ke farhi@mardi.gov.my dan nazlina@mardi.gov.my.

Udang berkualiti

Posted: 25 Nov 2013 06:16 AM PST

MAKANAN serta peralatan untuk memelihara udang antara produk yang dihasilkan oleh Aquaculture (M) Sdn. Bhd. Kota Tinggi, Johor.

Merupakan salah sebuah anak syarikat The Charoen Pokphand Group (CPF) yang ditubuhkan di Thailand sejak 1920an, Asia Aquaculture (M) Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat yang berjaya menghasilkan ladang udang putih (Penaeus vannamei) terkemuka di Johor.

Bermula daripada proses penetasan benih udang sehinggalah kepada penternakan, segalanya dilaksanakan di plot 21, Mukim Pantai Timur, Kota Tinggi, Johor.

Walaupun berasal dari negara jiran, namun kestabilan serta keyakinan Malaysia mampu menjana keuntungan yang lebih baik, mendorong syarikat tersebut melaburkan sebanyak RM70 juta untuk membina kawasan ternakan udang dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan udang.

Projek penternakan udang yang dilaksanakan itu termasuk di bawah perancangan Lembah Makanan Organik BIo Desaru yang mula beroperasi pada Januari tahun lalu melibatkan pekerja seramai 131 orang.

Syarikat terbabit sehingga kini mampu membekalkan empat trilion benih udang spesies bebas patogen (SPF) ke pasaran yang mana mampu menghasilkan hampir 40,000 tan udang setahun.

Malah, syarikat tersebut juga memiliki kapasiti mengeksport 28,000 tan produk sejuk beku berasaskan udang setiap tahun.

Biarpun projek perladangan udang bermula pada tahun lepas, namun syarikat terbabit bermula sebagai pembekal makanan udang yang diimport dari Thailand sejak tahun 1992 lagi.

Kemudian syarikat tersebut mula membekalkan makanan ikan pada tahun 1994 dan mula membangunkan pusat penetasan dan asuhan udang berkualiti tinggi di Butterworth, Pulau Pinang untuk pasaran dalam negara pada 2001.

Seterusnya mula membuka kilang pemprosesan di Pelabuhan Klang, Selangor dan ladang ternakan udang di Johor seterusnya mengembangkan perniagaan pembenihan dan penternakan udang ke Sabah dan Sarawak.

Manakala pada tahun 2006, CPF telah menubuhkan Star Feedmill (M) Sdn. Bhd. untuk menghasilkan makanan hidupan akuatik (makanan udang dan ikan) yang sebelum ini di import dari Thailand.

Antara resipi kejayaan syarikat tersebut mampu menghasilkan benih serta bekalan udang putih yang berkualiti tinggi dan mencukupi adalah adaptasi serta penggunaan teknologi tinggi di samping penjagaan kebersihan kawasan yang amat teliti.

Segala prosedur tersebut dalam dilihat ketika rombongan Kembara Media Perikanan 2013 melakukan lawatan ke kilang serta tapak perladangan udang tersebut baru-baru ini.

Malah kenderaan luar juga tidak dibenarkan memasuki perkarangan kilang sembarangan bagi mengelakkan penyakit berjangkit merebak ke dalam kawasan pembenihan dan penternakan.

Syarikat terbabit juga memiliki enam pusat penetasan di seluruh negara iaitu di Butterworth, Sedili, Mersing. Sri Pantai, Lundu dan Semporna.

Selain , syarikat juga mempunyai tujuh lagi ladang ternakan udang antaranya di Bagan Datoh (Perak), Tanjung Karang dan Kuala Selangor (Selangor) , Sedili (Johor), Bako dan Sempadi (Sarawak) dan Tawau (Sabah).

Pusat pemprosesan utama udang putih hasil ternakan syarikat berkenaan terletak di Pelabuhan Klang dan di Kuching sebelum udang-udang tersebut di eksport ke luar negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.

Selain menghasilkan udang, Asia Aquaculture turut mengeluarkan produk probiotik berasaskan air yang terbahagi kepada lima produk utama iaitu bioteknologi, kualiti air dan mineral, antiseptik dan nyahjangkitan kuman, vitamin dan premix serta alatan ujian.

Antara produk udang putih sejuk beku yang dikeluarkan adalah HOSO, HLSO, HL EZ Peel dan juga CPDTO.

Penggunaan mesin automasi sepenuhnya juga ialah alat sejuk beku, mengupas kulit udang , memasak menggunakan stim menjadikan produk yang dihasilkan menepati standard kualiti antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Asia Aquaculture (M) Sdn. Bhd.dan juga syarikat-syarikat yang bernaung di bawah CPF anda boleh melayari laman web syarikat tersebut di www.cp-malaysia.com.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


157 pusat pemindahan beroperasi

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

A. RAHIM Nin (dua dari kiri) memecahkan ais sebagai gimik perasmian program Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Bersama Sukarelawan Kebajikan Daerah Segamat sambil diperhatikan Lau Chin Hoon (kiri), Norshida Ibrahim dan Ansharey Matarsad (kanan) di Segamat, baru-baru ini.

SEGAMAT 24 Nov. - Sebanyak 157 pusat pemindahan banjir yang mampu menempatkan seramai 17,365 mangsa bersedia untuk beroperasi pada bila-bila masa sekiranya bencana itu melanda daerah ini.

Pegawai Daerah Segamat, A. Rahim Nin berkata, sebanyak 25 daripada pusat tersebut dikategorikan sebagai pangkalan hadapan kerana dijangka merupakan kawasan terawal dinaiki air serta mengalami putus hubungan ketika berlaku banjir.

"Sebagai persiapan awal menghadapi banjir, sejumlah RM40,134 telah diperuntukkan bagi membekalkan barangan keperluan makanan di semua 25 pangkalan hadapan dan kesemua barangan tersebut perlu sampai lebih awal sebelum laluan terputus sekiranya banjir berlaku.

"Barangan tersebut melibatkan 2,830 kilogram (kg) beras, 1,275 kg biskut kering, 170 botol minyak masak seberat 5 kg, 850 kg gula dan 3,400 tin sardin," katanya selepas menghadiri Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Bersama Sukarelawan Kebajikan Daerah Segamat di Dewan Harmoni, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Segamat, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon; Pegawai Kebajikan Masyarakat Segamat, Ansharey Matarsad dan Pegawai AADK Segamat, Naharuddin Nawawi.

A. Rahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Segamat berkata, setakat ini sebanyak 17 kedai yang telah disenaraikan sebagai pemborong yang akan membekalkan barangan makanan kepada mangsa banjir sekiranya berlaku bencana banjir di daerah Segamat.

"Kesemua empat pusat pemindahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, Pemanis, Tenang dan Buloh Kasap akan dipengerusikan oleh ADUN masing-masing, manakala bagi DUN Bekok dan Jementah yang akan dipegerusikan oleh Pegawai Tadbir Negeri," katanya.

Bagi melancarkan urusan, pihaknya telah mengemas kini semua keahlian jawatankuasa yang terlibat termasuk pengerusi zon banjir mengikut setiap Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) yang ada.

Dalam pada itu, pusat kawalan operasi banjir tahun ini ditempatkan di Majlis Daerah Segamat (MDS) kerana lokasinya yang strategik dan tidak terlibat dengan banjir serta lebih mudah untuk menyalurkan bantuan.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya proses pemindahan dapat dilakukan dengan lancar dalam tempoh yang singkat sekiranya air naik dengan cepat.

Penduduk minta Perhilitan halau gajah liar

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Zamhizul Ariffin Mahyudin (kiri) bersama Jaappar Mat Rani menunjukkan pokok pisang milik orang kampung yang dimusnahkan oleh gajah liar di Kampung Mawai Baru, Kota Tinggi, kelmarin.

KOTA TINGGI 24 Nov. - Penduduk Kampung Mawai Baru dekat sini merayu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menghalau kumpulan gajah liar yang sering merosakkan tanaman mereka.

Mereka mendakwa, ancaman haiwan liar tersebut kini dianggap sudah sampai ke tahap serius apabila bukan sahaja kerap merosakkan tanaman, malah mula berani masuk ke kawasan kampung.

Seorang penduduk, Zamhizul Ariffin Mahyudin, 30, berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang berkesan dalam menangani masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu.

"Sampai bila kami perlu hadapi masalah yang berulang ini sehingga penduduk terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit.

"Malah kehadiran kumpulan gajah liar di kawasan penempatan juga secara tidak langsung mengancam nyawa penduduk. Saya tidak mahu apabila masalah ini melibatkan nyawa penduduk atau penduduk mengambil inisiatif sendiri seperti yang berlaku di Sabah, barulah pihak berkenaan atau kerajaan mahu bertindak," katanya di sini semalam.

Malam kelmarin seorang warga emas, Jamal Awang, 57, terperanjat apabila seekor gajah liar memasuki halaman rumahnya dan memusnahkan pokok-pokok di sekeliling rumahnya.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi semasa kami enam beranak sedang tidur. Apabila terdengar bunyi bising, saya buka suis lampu luar dan terperanjat apabila melihat seekor gajah sedang makan daun pokok yang tumbang kira-kira 15 meter dari rumah," katanya.

Kejadian serupa turut berlaku terhadap Jaappar Mat Rani, 76, yang tinggal kira-kira 50 meter dari jalan besar Kota Tinggi-Tanjung Sedili.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu, dia dan isterinya sedang duduk berehat menonton televisyen apabila terdengar bunyi gajah di belakang rumahnya.

"Habis semua pokok pisang yang ditanam tidak sampai 10 meter dari belakang rumah musnah dimakan gajah itu," katanya.

Menurutnya, dia juga pernah kerugian ribuan ringgit apabila kebun kelapa sawitnya seluas dua hektar dimusnahkan haiwan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Dua pendaki sesat ditemui selamat

Posted: 24 Nov 2013 04:00 AM PST

Oleh ASLIZA MUSA

TANJUNG MALIM 24 Nov. - Dua lelaki yang sesat ketika menyertai ekspedisi mendaki Hutan Gunung Liang, Behrang Ulu dekat sini hari ini selamat setelah ditemui pasukan mencari dan menyelamat.

Low Eng Chai, 30, dan Loo Yuen Kian, 30, masing-masing dari Kepong dan Taman Intan Baiduri, Kuala Lumpur ditemui kira-kira pukul 1.55 petang setelah memasuki hutan tersebut pada pukul 1 petang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Othman Nanyan berkata, kedua-dua mereka memulakan pendakian melalui kawasan Loji Air Sungai Dara, Behrang Ulu dan meninggalkan kenderaan mereka di kawasan air terjun berhampiran.

Katanya, mereka hanya menyedari tersesat setelah setengah jam pendakian selepas tidak menjumpai jalan menuju ke puncak gunung.

"Mereka mengambil keputusan untuk berpatah balik namun gagal menjumpai jalan keluar sebelum bertindak menghubungi talian 999 bagi memohon bantuan," katanya.

Menurutnya, usaha mencari mangsa yang dijalankan bersama pihak polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu turut dibantu oleh dua Orang Asli kawasan berhampiran.

Katanya, mangsa berjaya dijejaki selepas pasukan mencari dan menyelamat ternampak kepulan asap daripada unggun api yang dinyalakan mangsa.

"Berpandukan asap itu, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mangsa kira-kira jam 1.55 petang dalam keadaan selamat," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved