Isnin, 25 November 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Hilang lepas tuai

Posted: 25 Nov 2013 06:16 AM PST

Ashriq Fahmy Ahmad
utusan.com.my

MARDI menganjurkan seminar untuk mengatasi masalah kehilangan selepas tuai dan pembaziran makanan sepanjang rantaian. - Gambar hiasan

DIANGGARKAN hampir tujuh hingga 23 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil padi hilang semasa atau dalam proses lepas tuai. Masalah yang sama turut berlaku pada pertanian lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Malah, statistik menunjukkan negara yang sedang membangun mencatatkan kehilangan lepas tuai yang lebih tinggi iaitu 20 hingga 50 peratus berbanding negara maju iaitu lima hingga 25 peratus.

Fakta demikian menunjukkan semakin maju sesebuah negara, semakin banyak teknologi baharu digunakan dalam sektor pertanian bagi mengelakkan kehilangan lepas tuai yang lebih tinggi.

Menurut Timbalan Pengarah, Program Pengurusan Lepas Tuai, Pusat Kajian Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Pauziah Muda, kehilangan lepas tuai merupakan antara faktor utama berlakunya masalah kekurangan bekalan makanan.

"Antara faktor kita kekurangan bekalan makanan adalah akibat pertambahan penduduk dunia, perubahan iklim, persaingan guna tanah, hakisan, dan kekurangan bekalan air di samping kehilangan lepas tuai.

"Malah, masalah kehilangan lepas tuai boleh menyebabkan hasil pertanian umpamanya mengalami kehilangan kuantiti, kualiti, ekonomi serta zat makanan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di MARDI, Serdang, Selangor.

Untuk mengekalkan pengeluaran hasil pertanian terutamanya makanan rugi sentiasa berada pada tahap optimum, penggunaan teknologi serta pengurusan yang betul perlu diaplikasikan sepanjang rantaian pengeluaran tersebut.

Antara aktiviti sepanjang rantaian pengeluaran makanan yang perlu diberi penekanan adalah penuaian, pengurusan, operasi pembungkusan, proses utama (primary), penyimpanan, pengagihan dan pemasaran.

Menyedari masalah tersebut perlu diatasi dengan segera, MARDI menerusi bahagian Program Pengurusan Lepas Tuai, Pusat Kajian Hortikulturnya menganjurkan seminar Kehilangan Lepas Tuai dan Pembaziran Makanan (PLFWC 2013) Lumut, Perak pada 26 hingga 28 November ini.

Antara objektif penganjuran seminar tersebut adalah untuk memapar dan menilai status terkini serta cabaran kehilangan lepas tuai dan pembaziran makanan sepanjang rantaian.

Seterusnya, mengenal pasti teknologi lepas tuai yang bersesuaian serta berkesan mengurangkan kehilangan lepas tuai serta pembaziran makanan.

Dalam pada itu, seminar tersebut juga turut membincangkan cara terbaik untuk memperkasakan keselamatan makanan dengan membangunkan pelan pembangunan bagi mengurangkan kehilangan lepas tuai serta pembaziran makanan.

Terakhir adalah mengeratkan hubungan serta rangkaian serantau dalam mendepani isu-isu mendatang berkenaan masalah kehilangan lepas tuai dan pembaziran makanan.

Seminar anjuran MARDI tersebut terbuka kepada semua peringkat namun mensasarkan golongan pembuat polisi, usahawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sektor awam, ahli akademik, penyelidik serta pelajar dan penyertaan adalah terhad.

Untuk maklumat lanjut berkenaan seminar PLFWC 2013 anda boleh menghubungi sekretariat ditalian 03-8945 4592, 03-8943 6345 atau emailkan sebarang pertanyaan ke farhi@mardi.gov.my dan nazlina@mardi.gov.my.

Udang berkualiti

Posted: 25 Nov 2013 06:16 AM PST

MAKANAN serta peralatan untuk memelihara udang antara produk yang dihasilkan oleh Aquaculture (M) Sdn. Bhd. Kota Tinggi, Johor.

Merupakan salah sebuah anak syarikat The Charoen Pokphand Group (CPF) yang ditubuhkan di Thailand sejak 1920an, Asia Aquaculture (M) Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat yang berjaya menghasilkan ladang udang putih (Penaeus vannamei) terkemuka di Johor.

Bermula daripada proses penetasan benih udang sehinggalah kepada penternakan, segalanya dilaksanakan di plot 21, Mukim Pantai Timur, Kota Tinggi, Johor.

Walaupun berasal dari negara jiran, namun kestabilan serta keyakinan Malaysia mampu menjana keuntungan yang lebih baik, mendorong syarikat tersebut melaburkan sebanyak RM70 juta untuk membina kawasan ternakan udang dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan udang.

Projek penternakan udang yang dilaksanakan itu termasuk di bawah perancangan Lembah Makanan Organik BIo Desaru yang mula beroperasi pada Januari tahun lalu melibatkan pekerja seramai 131 orang.

Syarikat terbabit sehingga kini mampu membekalkan empat trilion benih udang spesies bebas patogen (SPF) ke pasaran yang mana mampu menghasilkan hampir 40,000 tan udang setahun.

Malah, syarikat tersebut juga memiliki kapasiti mengeksport 28,000 tan produk sejuk beku berasaskan udang setiap tahun.

Biarpun projek perladangan udang bermula pada tahun lepas, namun syarikat terbabit bermula sebagai pembekal makanan udang yang diimport dari Thailand sejak tahun 1992 lagi.

Kemudian syarikat tersebut mula membekalkan makanan ikan pada tahun 1994 dan mula membangunkan pusat penetasan dan asuhan udang berkualiti tinggi di Butterworth, Pulau Pinang untuk pasaran dalam negara pada 2001.

Seterusnya mula membuka kilang pemprosesan di Pelabuhan Klang, Selangor dan ladang ternakan udang di Johor seterusnya mengembangkan perniagaan pembenihan dan penternakan udang ke Sabah dan Sarawak.

Manakala pada tahun 2006, CPF telah menubuhkan Star Feedmill (M) Sdn. Bhd. untuk menghasilkan makanan hidupan akuatik (makanan udang dan ikan) yang sebelum ini di import dari Thailand.

Antara resipi kejayaan syarikat tersebut mampu menghasilkan benih serta bekalan udang putih yang berkualiti tinggi dan mencukupi adalah adaptasi serta penggunaan teknologi tinggi di samping penjagaan kebersihan kawasan yang amat teliti.

Segala prosedur tersebut dalam dilihat ketika rombongan Kembara Media Perikanan 2013 melakukan lawatan ke kilang serta tapak perladangan udang tersebut baru-baru ini.

Malah kenderaan luar juga tidak dibenarkan memasuki perkarangan kilang sembarangan bagi mengelakkan penyakit berjangkit merebak ke dalam kawasan pembenihan dan penternakan.

Syarikat terbabit juga memiliki enam pusat penetasan di seluruh negara iaitu di Butterworth, Sedili, Mersing. Sri Pantai, Lundu dan Semporna.

Selain , syarikat juga mempunyai tujuh lagi ladang ternakan udang antaranya di Bagan Datoh (Perak), Tanjung Karang dan Kuala Selangor (Selangor) , Sedili (Johor), Bako dan Sempadi (Sarawak) dan Tawau (Sabah).

Pusat pemprosesan utama udang putih hasil ternakan syarikat berkenaan terletak di Pelabuhan Klang dan di Kuching sebelum udang-udang tersebut di eksport ke luar negara seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.

Selain menghasilkan udang, Asia Aquaculture turut mengeluarkan produk probiotik berasaskan air yang terbahagi kepada lima produk utama iaitu bioteknologi, kualiti air dan mineral, antiseptik dan nyahjangkitan kuman, vitamin dan premix serta alatan ujian.

Antara produk udang putih sejuk beku yang dikeluarkan adalah HOSO, HLSO, HL EZ Peel dan juga CPDTO.

Penggunaan mesin automasi sepenuhnya juga ialah alat sejuk beku, mengupas kulit udang , memasak menggunakan stim menjadikan produk yang dihasilkan menepati standard kualiti antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Asia Aquaculture (M) Sdn. Bhd.dan juga syarikat-syarikat yang bernaung di bawah CPF anda boleh melayari laman web syarikat tersebut di www.cp-malaysia.com.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved