Jumaat, 1 November 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Dua pengawal guna kad pengenalan palsu dipenjara

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Totoh Sabatal dan Yusri Sambiron (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam. - Utusan/RASHID MAHFOF

PETALING JAYA 1 Nov. - Dua pengawal keselamatan warga Filipina yang bekerja di sebuah kondominium di Sri Kembangan masing-masing dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.

Totoh Sabatal, 40, dan Yusri Sambiron, 41, yang ditangkap awal pagi ini turut diperintahkan diserah kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke Filipina selepas selesai menjalani hukuman.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Totoh manakala hukuman ke atas Yusri diputuskan oleh Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.

Kedua-dua mereka didakwa secara berasingan atas pertuduhan yang serupa.

Totoh didakwa tanpa kuasa yang sah menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 711005-12-5269 atas nama Abdulzan Ludjuman sebagai pengenalan diri.

Yusri pula didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 701113-12-5135 atas nama Norazman Abdillah sebagai pengenalan diri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok pengawal Kondominium Bayan Villa, Sri Kembangan dekat sini pada pukul 1.15 pagi, hari ini.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zubaidah Zahol Ahmad sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Utusan Malaysia pada 28 Oktober lalu melaporkan JPN mengesan ramai warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sektor berisiko tinggi seperti di institusi perbankan di seluruh negara.

Tangkapan kedua-dua tertuduh dijalankan oleh pihak JPN susulan arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 29 Oktober lalu supaya JPN menggunakan kaedah biometrik untuk memeriksa identiti semua pengawal keselamatan di seluruh negara.

Anggota TLDM direman 7 hari

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
pengarang@utusan.com.my

ACP Jaafar Baba (kiri) bersama pegawai penyiasat, Ahmad Hisyam menunjukkan gambar mangsa, seorang wanita yang mati ditikam di Apartmen Taman Bukit Permata, Manjung kelmarin dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Polis Manjung, Perak, semalam.

LUMUT 1 Nov. - Polis menahan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang ditemui mati dengan kesan tikaman di dada di Apartmen Bukit Permata di sini semalam.

Anggota berusia 27 tahun itu dipercayai teman lelaki kepada wanita berkenaan, Nariza Mustapha, 32.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Lelaki itu ditahan selepas dia menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung semalam. Dia ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 November ini bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, kejadian dipercayai berlaku pagi semalam selepas mangsa ditemui terbaring di kediamannya di apartmen berkenaan dalam keadaan berlumuran darah oleh lelaki berkenaan.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan serius berikutan luka tikaman.

"Selepas proses pengecaman mayat oleh waris wanita berkenaan, jenazahnya dibawa oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Rantau Panjang, Kelantan semalam," katanya.

Menurut beliau, wanita berkenaan mempunyai dua orang anak iaitu seorang lelaki dan perempuan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Supritendan Ahmad Hisyam Mohamad Sani di talian 019-5753207 bagi membantu siasatan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Dua pasukan, 1 matlamat

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Kapten pasukan Pahang, Jalaluddin Jaafar (kiri) bersama kapten pasukan Kelantan, Mohamad Badri Radzi membuat gimik di Stadium Shah Alam, semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2013, esok. - BERNAMA

SHAH ALAM - Jika Kelantan berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia 2013, esok bermakna ia satu hadiah perpisahan yang sungguh bermakna buat jurulatih mereka, Bojan Hodak yang akan berhijrah ke pasukan lain tahun depan.

Semalam, Hodak mengakui perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Pahang adalah kali terakhir dia mengemudi The Red Warriors walaupun merahsiakan pasukan mana akan dilatihnya walaupun timbul desas-desus sebelum ini dia akan mengendali pasukan Pulau Pinang.

"Sudah tentu, perlawanan terakhir saya (perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Pahang esok),'" katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengurus pasukan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, semalam.

Bagaimanapun, selepas ditanya ke mana arah tujunya selepas meninggalkan pasukan Kelantan, Hodak hanya memberi jawapan dia tidak tahu.

Hodak menjadi jurulatih pasukan Kelantan sejak Mac 2012, dengan melakar sejarah tersendiri apabila membantu pasukan dari pantai timur itu melakukan treble pada tahun yang sama.

Mengulas perlawanan esok, Hodak berkata, perkara yang paling wajib adalah mencatat kemenangan.

"Selepas dua tahun bersama Kelantan, saya menghadapi situasi perlu menang setiap perlawanan tetapi perlawanan Ahad ini (esok) saya lihat peluangnya ialah 50-50. Cuma kami mempunyai kelebihan dari segi pengalaman beraksi di pentas akhir. Secara keseluruhannya apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit," katanya.

Sementara itu jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, ini adalah peluang terbaiknya melakar sejarah dalam Piala Malaysia kerana kali terakhir Tok Gajah muncul juara adalah pada 1992 ketika dia menjadi pemain dalam pasukan tersebut, sekarang dia mampu untuk mengulanginya dan menamatkan penantian sekian lama tetapi sebagai jurulatih pula.

"Saya tidak mahu sia-siakan peluang yang ada, pada 1992 saya bersama Pahang sebagai pemain, sekarang jurulatih tentulah saya akan cuba buat sesuatu untuk meraih kejuaraan. Tekanan sebagai jurulatih memang ada dari segenap aspek tetapi dalam masa yang sama turut timbul keseronokan," katanya.

Dollah menambah dengan ketiadaan pertahanan import Kelantan, Obinna Nwaneri bukan bermakna Pahang sudah mendapat kelebihan, sebaliknya mereka perlu mempamerkan permainan seperti yang diharapkan.

"Semangat juang yang perlu ada, kerana sebelum ini kita hampir tersingkir dari Piala Malaysia sekarang sudah di pentas akhir, saya tidak mahu peluang ini disia-siakan. Bagaimanapun kita harus sedar bahawa Kelantan sekarang ini adalah pasukan yang baik di bahagian tengah dan serangan," katanya.

Jangan buat kecoh - Hamidin

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

SHAH ALAM - Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengingatkan agar kedua-dua penyokong Kelantan dan Pahang supaya tidak membakar suar dan bom asap perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, esok.

Sebelum ini FAM telah diarahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan surat tunjuk sebab kerana terdapat penyokong yang membakar suar pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 antara skuad Harimau Malaya menentang Bahrain pada 15 Oktober lalu juga di stadium yang sama.

Menurut Hamidin, peraturan melarang pembakaran suar dan bom asap sebenarnya dilarang dalam perlawanan yang dianjurkan FAM, AFC dan Persekutuan Bola Sebab Antarabangsa (FIFA), jika masalah ini terus berlaku mungkin selepas ini hukuman akan dikenakan terhadap Malaysia dengan menganjurkan perlawanan tanpa penonton.

"FAM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan cuba untuk mengekang masalah ini kerana kita tidak mahu dihukum menganjurkan perlawanan di stadium yang kosong, jadi saya ingin menegaskan di sini pembakaran suar dan bom asap dalam mana-mana pertandingan antarabangsa dan dalam negeri adalah satu kesalahan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2013.

Tegasnya, perbuatan membakar suar dan bom asap bukan sahaja perlu dihentikan, malah ia juga diharap tidak akan berlaku lagi dalam perlawanan antarabangsa melibatkan perlawanan skuad kebangsaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


11 defendan lain tuntut RM128.5j

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf hari ini memfailkan saman terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan 11 yang lain untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM128.5 juta atas dakwaan melakukan pendakwaan salah dan berat sebelah terhadapnya.

Ramli, 61, selaku pihak plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman, Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pernyataan tuntutan setebal 34 muka surat, Ramli menyatakan Abdul Gani mempunyai budi bicara untuk memulakan, mengendalikan dan memberhentikan sebarang prosiding undang-undang serta mempunyai kawalan ke atas kesemua pegawai bawahannya.

Selain Abdul Gani, Ramli menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan; dan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais sebagai defendan pertama hingga defendan keempat.

Yang turut disaman ialah Deputi Supritendan (DSP) Chew Kam Soon; Ketua Unit Siasatan SPRM, E. Sok One; tiga Pegawai Penyiasat SPRM iaitu, Saiful Ezral Ariffin, Azmi Ismail, Wan Abdul Rahman, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kelima hingga ke-12.

Ramli menyifatkan pendakwaan terhadapnya antara 2006 dan 2007 oleh pihak defendan, berniat jahat dan tanpa sebab munasabah mendakwa beliau atas beberapa pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.

Akibatnya, dakwa Ramli, reputasi, watak dan kerjayanya telah terjejas dan mengalami kerugian serta kerosakan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas RM1.5 juta, ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlah, ganti rugi punitif RM50 juta, ganti rugi teruk RM50 juta dan ganti rugi RM27 juta serta memohon beberapa perintah lain.

Ramli sebelum ini pernah didakwa dan dibicarakan atas empat pertuduhan termasuk rasuah dan salah guna kuasa sewaktu memegang jawatan tersebut.

Bagaimanapun, pada 12 Mac 2010, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 27 Julai tahun sama turut melepas dan membebaskan Ramli daripada tuduhan menyalah guna kuasanya.

30 dibicara terbabit keganasan

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

KOTA KINABALU 1 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan selama 17 hari bermula 6 Januari depan untuk mendengar kes 30 individu yang didakwa terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah.

Hakim Stephen Chung menetapkan 6 hingga 10, 15-17, dan 27-30 Januari serta 10 hingga 14 Februari bagi mendengar kes itu di Penjara Sabah yang diisytihar sebagai mahkamah terbuka.

Beliau turut menetapkan 15 Disember ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan dokumen dan fakta yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Mahkamah pada mulanya menetapkan tempoh 11 hari bermula 17 September lepas untuk mendengar kes itu namun menangguhkannya selepas menerima permohonan peguam yang memberitahu mereka memerlukan masa untuk meneliti pelbagai dokumen dan rakaman serta imej satelit berhubung kes berkenaan, yang diterima oleh mereka.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, tempoh perbicaraan yang panjang adalah bagi memastikan prosiding berjalan lancar dengan sekurang-kurangnya 50 saksi akan dipanggil. - BERNAMA

"Bilangan saksi yang akan dipanggil mungkin bertambah, mungkin kurang. Pada masa yang sama kita juga harus membenarkan pihak pendakwaan menyoal balas dan harus diingat ada 30 saksi," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu.

Antara 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan antara 9 Februari dan 10 April ialah tiga penduduk tempatan termasuk seorang wanita, Norhaida Ibnahi, 46, kerana melindungi sekumpulan pengganas manakala Abd. Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh 26 lagi rakyat Filipina termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas dan melindungi sekumpulan pengganas. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Genting Gaza terputus bekalan elektrik akibat kehabisan minyak

Posted: 01 Nov 2013 11:21 AM PDT

BANDAR GAZA 2 Nov. - Masalah kekurangan bekalan minyak menyebabkan bekalan elektrik terputus di seluruh Genting Gaza terputus, semalam.

Timbalan Pengerusi Jabatan Tenaga, Fathi el-Sheikh Khalil berkata, pihaknya terpaksa menghentikan operasi loji tenaga kira-kira pukul 6 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia semalam) kerana kehabisan minyak.

Seorang wartawan AFP berkata, bekalan elektrik terputus di hampir kesemua kawasan di wilayah yang ditadbir oleh pergerakan Hamas itu.

Fathi el-Sheikh menyalahkan kerajaan sementara Mesir kerana memusnahkan terowong yang digunakan penduduk Gaza untuk membawa masuk minyak.

Kurang 50 peratus keperluan di Genting Gaza bergantung kepada bekalan elektrik dari Israel dan kami tidak boleh mendapatkan minyak dari rakyat Mesir ekoran tindakan Kaherah memusnahkan terowong.

Kami cuba mendapatkan minyak dari Israel melalui Pihak Berkuasa Palestin yang pro-Barat, namun mereka mengenakan cukai yang terlalu tinggi," katanya. - AFP

China larang kirim kad Tahun Baharu guna dana awam

Posted: 01 Nov 2013 11:19 AM PDT

BEIJING 2 Nov. - Parti pemerintah China melarang para pegawainya daripada mengirim atau mencetak kad atau kalendar ucapan Tahun Baharu menggunakan dana awam, langkah tegas terbaharu Parti Komunis bagi mengekang masalah pembaziran dan rasuah.

Kerajaan Pusat dalam laman webnya, www.gov.cn berkata semalam, larangan itu dikuatkuasakan ke atas semua jabatan kerajaan dan parti, industri kerajaan dan badan kewangan.

Menurut notis itu, walaupun larangan terbabit dikecualikan ke atas pegawai yang berurusan dengan pegawai asing dan rakyat China di luar negara, mereka masih perlu mengawal kos terbabit.

Pencetakan kad atau kalendar secara berlebihan dan mahal merupakan pembaziran yang besar," jelas kenyataan terbabit. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Ne-Yo enggan bayar bil

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

LOS ANGELES 1 Nov. - Penyanyi R&B, Ne-Yo (gambar) dilaporkan meninggalkan sebuah restoran tanpa membayar bil makanan dan minumannya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Let Me Love You itu dilaporkan makan bersama pengurusnya, Jayvon Smith dan 10 lagi rakannya di restoran Negril, New York awal bulan ini, tetapi tidak membayar bil makanan sejumlah AS$500 (RM1,591).

Menurut satu sumber kepada New York Daily News, Ne-Yo bersama rakan-rakannya memesan banyak makanan dengan penyanyi itu tidak henti-henti mengarahkan rakannya untuk menambah pesanan.

Namun, ketika sesi makan berakhir, dia dan rakan-rakannya tidak dapat memutuskan siapa yang perlu membayar bil makanan tersebut.

Menurut saksi, ketika pelayan menyerahkan bil kepada Ne-Yo, dia kemudiannya menyerahkan bil itu kepada Smith dan pengurusnya itu pula menyerahkan kepada rakannya yang lain yang lain sehinggalah bil itu kembali kepadanya semula.

Penyanyi berusia 31 tahun itu kemudiannya meninggalkan restoran itu bersama pengurusnya, diikuti rakan-rakannya, menyebabkan pelayan itu terkejut.

Pengurus restoran kemudiannya mengejar mereka sehingga ke luar, tetapi mereka masih enggan membayarnya.

Meskipun seorang daripada mereka berjanji untuk membayarnya esok, tetapi sehingga kini pihak restoran masih belum menerima sebarang bayaran. - AGENSI

West, Kardashian saman pengasas YouTube

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

LOS ANGELES 1 Nov. - Penyanyi, Kanye West dan tunangnya, Kim Kardashian bertindak memfailkan saman ke atas pengasas laman web perkongsian video, YouTube selepas rakaman West melamar tunangnya itu didedahkan di laman web tersebut.

Saman tersebut yang difailkan semalam mendakwa Chad Hurley melanggar perjanjian rahsia apabila dia memuat naik rakaman majlis lamaran tersebut di laman web baharunya, MixBit.

Rakaman video selama dua setengah minit itu memaparkan West melamar Kardashian di AT&T Park di San Francisco.

Dokumen saman yang difailkan menyatakan West menandatangani kontrak dengan penerbit itu bagi merakam majlis tersebut untuk ditayangkan dalam rancangan realiti televisyen, Keeping Up With the Kardashians.

West dan Kardashian tidak menyatakan jumlah tuntutan saman terhadap Hurley dan syarikatnya, Avos Systems Inc dalam dokumen tersebut.

Mesej dihantar kepada MixBit bagi mendapatkan kenyataan Hurley tidak dibalas. - AP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bukan sekadar lihat isu MyKad palsu

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara menahan beberapa pengawal keselamatan warga asing atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu pada operasi Kad Pengenalan Palsu di Pangsapuri Dahlia,Bandar Country Home Rawang, baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD NAJIB MOHD NOR

PENGAWAL keselamatan seperti nama jawatannya adalah untuk menjaga keselamatan di sesuatu tempat atau kawasan, sama ada keselamatan orang ramai, premis perniagaan, wang tunai mahupun harta benda bernilai tinggi.

Apabila berlaku beberapa kes pecah amanah, pengawal itu sendiri mencuri, merompak, malah lebih teruk lagi membunuh, mencederakan dan merogol orang awam ataupun pekerja, maka masyarakat akan hilang keyakinan kepada bidang kerja tersebut.

Selepas kejadian seorang kakitangan bank terbunuh ketika rompakan oleh seorang pengawal keselamatan di Selangor sebelum ini, seorang lagi pengawal keselamatan mengikut jejak sama merompak sebuah kedai emas di Kuala Lumpur.

Dalam kes pertama, suspek dikatakan warga Indonesia yang menggunakan MyKad palsu sementara kes kedua juga dikhuatiri mungkin menggunakan MyKad palsu.

Kes seperti ini menyebabkan orang ramai semakin hilang kepercayaan terhadap pengawal keselamatan apatah lagi majoritinya kini adalah warga asing di pasar raya, sekolah, pejabat, kawasan perumahan, malahan agensi dan jabatan kerajaan, belum dicampur pencuci, buruh kasar dan lain-lain pekerja yang rata-ratanya warga asing.

Tambahan pula pendedahan menunjukkan MyKad palsu mudah diperolehi dan mudah melepasi saringan untuk menjadi pengawal yang memegang mahupun menjaga senjata api, memberi peluang untuk mereka merompak dan mencuri, ataupun melakukan pelbagai jenayah lain.

Kebimbangan utama orang awam adalah bidang kerja yang memberi senjata api kepada pekerja asing, lebih-lebih lagi susulan kes-kes jenayah seperti rogol, rompak dan bunuh melibatkan pendatang asing dilihat lebih kejam, sama ada sesama mereka mahupun terhadap warga tempatan.

Isunya bukan satu atau dua, tetapi kebimbangan umum hanyalah satu. Bolehkah kita terus berasa selamat dikelilingi pengawal keselamatan, khususnya warga asing yang ditugaskan 'menjaga keselamatan' lengkap dengan senjata api, atau mungkin perlu ada rombakan struktur keselamatan komuniti di negara ini?

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berpendapat masyarakat mungkin merasakan berlakunya pembelotan selepas beberapa kejadian jenayah melibatkan pengawal keselamatan sebelum ini.

"Orang ramai mungkin melihat semua pengawal keselamatan itu sama tetapi sebenarnya ada dua jenis iaitu jenis statik yang mengawal dan pengawal bersenjata. Kita sepatutnya bertanya kenapa semua ini berlaku.

"Ini melibatkan integriti mereka yang sepatutnya jalankan kewajipan, orang yang membuat keputusan ambil golongan tersebut sebagai pengawal keselamatan sedangkan permohonan dengan dokumen tidak lengkap tidak boleh diterima," tegasnya.

Beliau mendakwa budaya 'tepuk bahu' dan ayat 'tak apalah' bagi membolehkan pemohon menangguh penghantaran dokumen antara punca utama sampaikan ada kes dokumen wajib dilupakan begitu sahaja, sehinggalah ada seseorang mati akibat pengawal keselamatan tersebut.

Beliau juga yakin sudah ada perancangan untuk membuat pemeriksaan mengejut oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahupun Persatuan Kawalan Keselamatan Malaysia sendiri.

"Pihak persatuan lebih tahu bidang kerja mereka, tidak boleh harapkan KDN dan polis sahaja bertindak. Persatuan boleh buat lebih baik daripada respons biasa kepada media, mereka patut pantau sendiri dan bantu penguatkuasaan kerana ini semua akan kembali kepada (imej) mereka juga.

"Isu MyKad palsu milik warga asing, siapa yang ambil mereka bekerja dan kenapa tidak diperiksa? Ini kerana ada syarikat-syarikat terbabit tidak membuka cawangan daripada syarikat induk sebaliknya membuat sistem 'francais' haram," dakwanya.

Beliau menegaskan, kerajaan sudah menetapkan syarat-syarat ketat tetapi syarikat terbabit yang belot dan tidak mematuhinya, sekadar berikan baju pengawal kepada mana-mana individu dan terus letakkan mereka bertugas di mana-mana premis atau kawasan asalkan ada bayarannya.

Kamal Affandi juga melihat sektor insurans kurang memainkan peranan kerana hanya menetapkan syarat perlu ada pengawal untuk sesuatu premis atau kawasan diinsuranskan tetapi tidak mewajibkan pengawal itu perlu berlesen malahan tidak menyatakan had saiz kawasan yang boleh dijaga setiap pengawal.

"Janganlah semuanya mahu salahkan kerajaan, tengok dahulu syarikat terbabit mahupun peranan pihak lain seperti sektor insurans dalam mengawal syarat-syarat dalam sektor kawalan keselamatan.

"Ambil contoh sebuah syarikat keselamatan saya lihat menggaji pengawal punjab dan lain-lain etnik dari negara India, tidak perlu membayar gaji tinggi, kalau tidak bayar gaji pun pekerja tiada tempat boleh mengadu," ujarnya.

Beliau menyarankan KDN mengeluarkan pas kerja yang seragam untuk sektor keselamatan seperti ditetapkan untuk pelajar dan pekerja asing lain agar rakyat mudah mengenali siapa yang diluluskan serta terlatih, dan siapa pula yang 'palsu'.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah pula melihat orang ramai semakin risau bila dokumentasi pengawal keselamatan juga bermasalah sehingga membolehkan pendatang haram menggunakan dokumen palsu.

"Kita mahu orang jaga keselamatan kita tapi sekarang latar belakang pengawal-pengawal ini pun bermasalah. Perlu ada semakan, siasatan dan tidak boleh lihat sekadar isu MyKad palsu sahaja, lihat mekanisme saringan sama ada perlu kaji semula semuanya.

"Ini bergantung kepada syarikat yang mengeluarkan lesen mematuhi peraturan pengambilan pengawal baharu atau tidak, mereka bertanggungjawab menyaring dan jika ada salah guna kuasa perlu diambil tindakan agar kejadian serupa tidak berulang," katanya.

Beliau tidak menafikan warga asing kini terpaksa digunakan dalam sektor keselamatan tetapi bidang kerja mereka tidak boleh melibatkan aspek sensitif dan sepatutnya sekadar menyokong kakitangan keselamatan tempatan sahaja.

Tambahnya, pengawal warga asing tidak boleh diletakkan di baris depan ataupun tanggungjawab bersenjata selepas sebulan dua bekerja kerana latar belakang penuh mereka masih perlu dinilai sepenuhnya oleh penyelia.

"Kaji semula penggunaan warga asing dalam sektor keselamatan ini, banyak syarikat ambil kesempatan. Perlu perkemas, kena tegas kerana sebelum ini ada yang kata warga asing tidak boleh masuk sektor keselamatan tapi kini mereka yang monopoli.

"Saya lihat ramai orang tempatan sertai Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang hanya ada elaun. Kenapa tidak tawarkan gaji setimpal kepada orang tempatan, pasti perkhidmatan keselamatan lebih diyakini semua pihak menggunakan warga Malaysia walau di premis mana sekalipun," ujarnya.

BN buat tak boleh, Pas buat tak apa

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

SEBELUM ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau supaya menjadi ikan yang bijak dengan hanya mengambil umpan dan tidak memakan joran.

Maksudnya, terimalah apa sahaja yang diberikan oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau berlangsung tetapi jangan mengundi parti itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar pula, mempertikaikan projek- projek yang dijanjikan oleh BN di kawasan itu. Selain mempersoalkan jumlahnya yang dikatakan jauh berbeza berbanding DUN Kuala Besut, beliau juga meragui sama ada BN akan menunaikan janji tersebut atau tidak.

Sebenarnya, sesiapa juga yang berada di DUN Sungai Limau termasuk dalam kalangan penyokong Pas sendiri amat memahami bagaimana parti itu kini berada dalam keadaan bagaikan 'cacing kepanasan'.

Ia memandangkan momentum sokongan menunjukkan semakin ramai pengundi Sungai Limau sudah menunjukkan tanda-tanda akan beralih kepada BN. Pas memahami laluan mereka untuk mempertahankan kerusi itu semakin sukar.

Justeru mahu tidak mahu, mereka perlu berusaha mencetuskan isu bagi mewujudkan persepsi dalam kalangan pengundi supaya tidak menyokong BN. Ia termasuklah membangkitkan keraguan sama ada BN akan menunaikan janjinya atau tidak.

Dalam soal ini, kita tidak harus lupa bagaimana kerajaan Pas di Kelantan turut menabur pelbagai janji berbentuk projek pembangunan bagi mempertahankan pemerintahan mereka. Antaranya Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai RM.85.6 juta, Bandar Sukan dan Stadium Olimpik Bukit Merbau (RM320 juta), Perumahan Rakyat Kampung Baru Wakaf Mek Zainab (RM67.2 juta) dan Bandar Baru Dabong (RM40juta). Ini tidak termasuk ada 22 lagi janji yang tidak ditunaikan.

Oleh itu, kaji dan lihat apa status projek-projek tersebut, apakah ia sudah dilaksanakan atau sekarang sekadar menjadi 'batu peringatan' sahaja?

Tetapi tidak ada sesiapapun di dalam Pas yang mahu menegur kepimpinan Pas Kelantan dalam soal itu, namun apabila BN menawarkan projek pembangunan yang pasti dilaksanakan, pemimpin-pemimpin Pas melemparkan pelbagai tuduhan termasuklah 'gula-gula pilihan raya'. Soalnya, adakah hanya Pas layak membuat janji biar pun ia tidak ditunaikan? Tetapi BN bukan seperti Pas, apa yang BN janjikan pasti akan dilaksanakan.

Kalaulah istilah 'ikan cerdik' mahu digunakan, bagaimana dengan penyokong-penyokong tegar Pas yang terus menerima apa sahaja kata-kata pemimpin mereka termasuklah termakan dengan janji-janji pembangunan yang dibuat oleh Pas di Kelantan.

Apa pun, BN bukannya kali pertama menyertai pilihan raya tetapi sejak merdeka lagi justeru sudah pastilah memahami apa kesannya kalau janji tidak ditepati. Begitu juga di Kuala Besut, projek yang BN janjikan di kawasan itu sememangnya memerlukan kos yang besar seperti RM250 juta untuk pembangunan bandar baru pelancongan dan muara serta RM35 juga baik pulih empangan. Ia mengambil masa lama untuk dilaksanakan kerana melibatkan kajian pihak perunding. Tak kanlah, hari ini janji, esok projek akan siap!

Di Sungai Limau, projek-projek yang hendak dilaksanakan sudah tentulah mengikut keperluan penduduk, BN bukannya parti yang mahu melaksanakan projek yang sekadar menjadi 'gajah putih' sahaja.

Sebab itulah, biarlah pun setakat ini peruntukan baru sekitar RM15.15 juta ia adalah projek-projek yang secara langsung menyentuh kepentingan rakyat. BN berhati-hati menyalurkan bantuan dan bukannya belanja sesuka hati untuk meraih undi.

Kita percaya kalau, BN datang ke Sungai Limau dan tidak menjanjikan apa-apa projek pembangunan, Pas pasti akan menjadikan ia modal politik dengan menuduh BN menganaktirikan penduduk Sungai Limau.

Inilah perangai pembangkang, BN buatlah apa pun semuanya tak betul. Hanya mereka sahaja yang betul.

Seperkara lagi, janganlah Mahfuz memberikan hujah dangkal dengan mengatakan peruntukan kecil yang diberikan BN kepada Sungai Limau itu membuktikan kawasan tersebut menikmati kemajuan di bawah Pas. Kemajuan apa yang dicapai? Janganlah hanya bercakap kosong dan cuba memperbodohkan rakyat Sungai Limau dengan kenyataan seumpama itu. Semua orang tahu bagaimana DUN Sungai Limau memerlukan pembangunan.

Kalau benar Pas sudah membuat kemajuan di situ, kenapakah takut dengan projek-projek yang dijanjikan oleh BN yang bertujuan meningkatkan taraf hidup mereka? Malah kenapakah Pas bimbang apabila Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir berjanji akan menjadi DUN Sungai Limau sebagai kawasan angkat bagi membolehkan segala projek pembangunan di situ berjalan lancar.

Jelaslah, Pas mengamalkan sikap kalau BN buat tak boleh tetapi kalau Pas atau pembangkang buat semuanya betul, kalau Pas buat silap mereka akan berhujah, 'kita manusia biasa' tetapi kalau BN buat silap parti itu akan diserang habis-habisan, hujah 'kita manusia biasa' entah ke mana.

Begitu juga soal janji, kalau BN berjanji dan kemudian melaksanakannya tidak boleh tetapi kalau Pas berjanji tetapi tidak melaksanakannya tidak apa. Soalnya, apakah ini ajaran Islam sebenar? Apakah ini prinsip Islam sejati?

Sebenarnya, Pas semakin bimbang kerana isu pembangunan yang dibawa oleh BN mula membuka mata pengundi-pengundi Sungai Limau untuk menyokong parti yang kini menguasai pemerintahan negeri Kedah itu. Mereka semakin yakin dengan pemerintahan Kedah kini di bawah BN, sudah pasti projek pembangunan di kawasan Sungai Limau bukan sekadar janji tetapi satu janji yang akan ditepati.

Jelaskan, dalam usaha mempertahankan Pas di Sungai Limau, pemimpin-pemimpinnya semakin kehilangan punca dan modal untuk berkempen sebab itulah kejadian dua tiga tin susu tamat tempoh dijadikan bahan kempen berhari-hari oleh Pas.

Kita percaya banyak lagi isu yang remeh temeh akan dibangkitkan oleh Pas bagi memburuk-burukkan BN menjelang tempoh akhir berkempen.

Justeru kepada pengundi-pengundi Sungai Limau, berfikirlah dengan terbuka, cukup-cukuplah terpedaya dengan mainan politik Pas, janganlah sampai apabila pilihan raya kecil itu selesai Pas bersorak meraikan kemenangan tetapi akhirnya pengundi yang menangis 'tak berlagu'.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Busana muslimah kontemporari

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Rekaan yang menggabungkan pelbagai pilihan warna yang terang.

BAGI menyuntik gaya muslimah yang moden dan kontemporari, pereka muda Rico Rinaldi membawakan rekaan yang dekat dengan hati para peminat busana tersebut.

Beliau yang menerima beberapa anugerah termasuk Piala Seri Endon 2009, Malaysia Batik Accessories Design Of Yayasan Budi Penyayang 2006, Paco Rabanne Black Fashion Culture Desingn 2007 dan banyak lagi kembali dengan rekaan yang lebih unik dan anggun.

Rekaan terbaharu ini mendapat inspirasi daripada penyanyi terkenal, Yuna Zarai yang memiliki aura keceriaan dan seorang wanita yang berani menghadapi setiap cabaran dalam hidupnya.

Tampil dengan busana rekaan moden dan gaya urban, Rico memilih padanan warna blok dengan pelbagai pilihan warna yang memikat hati.

Penggunaan material linen tulen dengan kombinasi fabrik syifon dihasilkan dengan potongan berkonsepkan muslimah dan abstrak, sesuai untuk aktiviti berbentuk kasual dan santai.

Bagi menambah seri dan kelainan setiap rekaan, Rico menggunakan tambahan manik pada bahagian leher dan tangan bagi menaikkan seri dan gaya anggun si pemakai.

Selain itu, rekaan ini turut menggunakan gabungan dua warna terang seperti merah dan oren yang sesuai dipakai untuk majlis kasual, pakaian ke pejabat, baju santai pada waktu petang dan juga ke majlis keramaian.

Kesemua jenis rekaan ini sesuai untuk digayakan oleh semua peringkat umur.

Bertuah jadi isteri muda yang disayangi

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Poligami mungkin satu perkara yang paling ditakuti oleh wanita terutama mereka yang sudah berusia.

Kebimbangan mereka kerana takut ditinggalkan suami yang beralih kasih kepada wanita muda yang cantik dan lebih menggoda.

Namun soal jodoh ini bukan kerja manusia walau sehebat mana sekalipun seseorang itu merancang untuk masa depannya.

Keinginan seorang wanita adalah mahu sentiasa disayangi dan dibelai oleh suami tersayang yang diharap akan menjadi tempat bergantung hidup hingga ke akhir hayat.

Beruntung jika disayangi suami hingga ke hujung nyawa walaupun hidup bermadu, tetapi sedih jika ada yang menjadi sebaliknya dan dibiarkan menderita sepanjang hayat kerana suami tidak berlaku adil.

Minggu ini saya terpanggil memaparkan satu kisah yang berlaku di depan mata beberapa minggu lalu ketika saya singgah menemani seorang teman menjamu mata di sebuah butik barang kemas ternama.

Secara kebetulan hujung minggu, tentunya butik barang kemas itu dipenuhi ramai orang tetapi masih ada ruang untuk saya dan teman meninjau-ninjau yang berkenan di mata.

Waktu ketika itu lewat petang. Teman saya itu sekadar mahu melihat saja kerana secara kebetulan kami ada urusan berhampiran butik tersebut.

Melangkah masuk ke butik itu, saya terpandang gelagat seorang lelaki dan wanita di hujung kaunter yang agak tersorok.

Si lelaki berusia awal 60-an dan wanita muda yang cantik itu dalam lengkungan umur pertengahan 20-an. Mereka sedang membelek sesuatu.

Lama saya perhatikan gerak geri mereka yang dilayan penuh mesra oleh dua orang petugas di butik berkenaan yang saya nampak sudah biasa dengan mereka.

Sesekali pasangan itu bergurau senda dengan petugas berkenaan sambil mencuba barang-barang yang ditunjuknya.

Saya agak yakin mereka ini adalah pasangan suami isteri kerana melihat gaya dan aksi mereka yang sangat manja antara satu sama lain.

Walaupun lelaki itu nampak lebih berusia dengan sebahagian rambutnya sudah beruban, tetapi naluri saya tetap mengatakan mereka suami isteri.

Sekali pandang tidak nampak mereka ini secocok untuk menjadi pasangan suami isteri kerana nampak seperti anak dan bapak.

Saya membiarkan teman saya itu meninjau barang kemas yang ada di situ dan saya berpura-pura membelek telefon dan membaca majalah kerana tidak mahu mereka perasan dengan tumpuan saya melihat gelagat mereka.

Ketika seorang petugas melintas berhampiran, saya dengar dia berbisik kepada rakannya, "itu isteri muda dia."

Sah tekaan saya betul. Namun keyakinan saya tentang pasangan ini telah disahkan oleh salah seorang petugas di situ yang berbisik dengan kata-kata, 'mereka itu suami isteri. Isteri muda kak!."

Selepas dia berkata, kami tersenyum. Ada makna di sebalik senyumannya itu dan saya pasti petugas itu nampak yang saya asyik memerhati pasangan tersebut sejak saya mula masuk.

Saya nampak wanita muda itu memilih pelbagai jenis barang kemas, gelang tangan, rantai leher dan cincin.

Taip kali mengenakan di tubuhnya dia akan menunjukkannya kepada suaminya itu dengan pertanyaan, "suai tak bang? Cantik tak?"

Beberapa kali bertanya saya tidak mendengar jawapan daripada suaminya melainkan senyuman lebar yang diberikan.

Malah si pelayan juga tidak jemu-jemu mengeluarkan pelbagai barang lagi seperti yang diminta oleh wanita itu.

Akhirnya di atas kaunter melambak dengan barang kemas yang dipilih dan dicuba oleh wanita itu. Pelanggan keliling mula perasan akan kehadiran pasangan ini.

Masing-masing mula memberi tumpuan dan ada yang menjuihkan bibir. Adatlah kalau perempuan melihat wanita muda bersama lelaki tua.

Hampir sejam memilih dan mencuba barangan kemas yang diingini, akhirnya saya nampak beberapa barang kemas diketepikan oleh wanita muda itu.

Sambil tersenyum dia bertanya suaminya, " boleh yang ini bang?"

Dengan senyuman yang dilempar dan wajah yang tentunya menyejukkan mata si suami, mana lelaki yang tidak cair.

"Ikut suka sayanglah...ambillah, tidak ada masalah," itu jawapan yang saya dengar. Saya nampak wanita cantik itu tersenyum puas sambil memegang lengan suaminya.

Mungkin perasan orang keliling yang melihat aksi mereka, si lelaki agak malu-malu, tetapi tidak pula melepaskan tangannya daripada isteri kesayangannya itu.

"Saya nak yang ini," perlahan si wanita itu menunjukkan seutas rantai tangan, sebentuk cincin dan rantai leher kepada petugas wanita yang tersenyum lebar kerana umpannya mengena. Lumayan pula itu.

Dalam pada menunggu si gadis yang melayan mereka menguruskan resit bayaran dan sebagainya saya perhatikan, pasangan itu terus berbual, manja dan mesra.

Malah suaminya nampak sangat memanjakan isterinya itu sambil menunjuk ke beberapa buah kaunter cermin berhampiran seolah-olah bertanya apa lagi yang diingini oleh isterinya.

Hampir dua jam melihat aksi pasangan itu saya dimaklumkan yang mereka keluar daripada butik barang kemas itu dengan membeli barang-barang bernilai puluhan ribu ringgit menggunakan kad kredit.

Bayangkan, jika jumlah itu hanya untuk sekali beli bagaimana dengan barang-barang kemas yang mereka pernah beli sebelum ini.

Dan tentunya juga si lelaki itu seorang yang kaya dan ada kedudukan. Jika tidak, masakan mampu berbelanja besar begitu hanya untuk membeli barang kemas isteri mudanya.

Nampak sangat sayangnya kepada isteri cantiknya itu tidak berbelah bagi dan sanggup berbelanja besar untuk menambat hati si isteri.

Dalam hati saya, bertuahnya badan, sudahlah cantik, dapat pula suami penyayang dan melayan semua permintaan.

Lalu saya tertanya-tanya juga dalam hati, adakah lelaki itu melayan isteri pertamanya sama seperti dia melayan isteri mudanya seperti yang saya nampak?

Jika jawapannya ya, Alhamdulillah tetapi jika tidak, sedihnya hati saya. Apa pun saya berdoa agar lelaki itu memberi layanan adil kepada isteri pertamanya juga jika dia masih berpoligami.

Itu antara kisah benar yang saya saksikan sendiri yang mana menjadi sebahagian daripada rencah hidup manusia.

Untung baik, bahagia derita manusia semuanya kerja Allah.

Namun tidak semua wanita akan melalui saat manis seperti yang dilalui wanita muda di dalam cerita ini.

Mereka nampak sangat bahagia, terutama wanita muda itu, mana tidaknya, pakaian, barang kemas dan tas tangan berjenama menjadi miliknya sekali gus meletakkan dia sebagai isteri muda yang disayangi dan bertuah.

Tapi kita jangan ada simpan perasaan cemburu sebab setiap orang, Allah telah tentukan jalan hidupnya. Kita perlu reda dan belajar untuk mensyukuri nikmat Allah.

Menutup catatan, pesanan saya, kasih sayang bukan datang dengan harta benda tetapi dari hati yang telus dan ikhlas menerima seseorang sebagai pelengkap hidup untuk sama-sama bersusah senang sehingga ke penghujung usia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


6 keluarga hilang tempat tinggal

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
kota@utusangroup.com.my

API dapat dilihat marak dalam kejadian kebakaran tingkat atas Flat PKNS 17 Tingkat di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) adalah antara yang terselamat dalam kebakaran yang menggemparkan penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 17 Tingkat di Jalan Kerinchi, Lembah Pantai hari ini.

Saodah Che Mat, 74, yang tinggal di tingkat 13 flat itu mahu menunaikan solat asar apabila dia terdengar bunyi bising pada kira-kira pukul 4.30 petang dan dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh menantunya, Norehan Ramli.

Norehan ketika ditemui berkata, ibu mentuanya itu sudah sukar untuk berkomunikasi namun dia bersyukur kerana mereka sekeluarga sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

"Saya hanya sempat membawa dua orang anak yang masih kecil untuk menyelamatkan diri. Sebaik sahaja tiba di bawah, saya meminta bantuan jiran untuk menyelamatkan ibu mentua saya.

"Saya bersyukur kerana semua penghuni terselamat dalam kejadian ini walaupun kebanyakan kami tidak sempat menyelamatkan harta benda," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Kebakaran petang ini menggemparkan penduduk kawasan itu dan orang ramai yang tinggal tidak jauh dari kawasan penempatan tersebut kerana api dan asap boleh dilihat dari jarak 3 kilometer.

Seorang lagi mangsa yang merupakan kakitangan syarikat Kumpulan Utusan, Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Ahmad Haziq Mad Shah, 25, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu daripada keluarga yang memaklumkan rumahnya terbakar.

"Ini merupakan kali kedua berlaku kebakaran di flat ini. Kebakaran pertama berlaku awal tahun ini melibatkan dua unit rumah.

"Setakat ini, kami dimaklumkan kemungkinan kebakaran berpunca dari salah sebuah rumah di tingkat 17 dan kami masih menunggu laporan daripada pihak bomba," katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4.40 petang dan sebanyak 13 jentera dari lapan buah balai dikejarkan ke tempat kejadian.

"Jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 4.57 petang dan mendapati api sedang marak di tingkat 17 flat tersebut.

"Siasatan awal mendapati enam unit rumah terlibat. Kebakaran dipercayai berpunca dari tingkat 17 dan ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi, api sedang marak," katanya.

Tambah Khirudin, api dapat dikawal kira-kira pukul 6 petang dan berjaya dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian. Pasukan Forensik Bomba masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami penduduk.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan raya berhampiran lokasi kejadian termasuk Lebuh Raya Persekutuan sesak akibat kejadian itu. Walau bagaimanapun perjalanan lalu lintas terkawal dengan kehadiran anggota polis trafik.

Mangsa kebakaran dipindah ke Dewan Komuniti UMNO

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada penduduk yang rumah mereka terbakar di Flat PKNS 17 Tingkat, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut merasai kesedihan yang dialami penduduk yang terlibat dalam kejadian kebakaran Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 17 Tingkat di Jalan Kerinchi petang ini.

Mereka berdua turut melawat lokasi penempatan di tengah-tengah ibu kota itu dan dilihat cuba meredakan kesedihan penduduk yang kehilangan harta benda dan hilang tempat berteduh.

"Susulan kejadian ini kerajaan bersetuju memindahkan semua mangsa yang terlibat ke Dewan Komuniti UMNO yang terletak berhampiran flat ini untuk dijadikan penempatan sementara kepada mereka.

"Saya juga meminta pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) memeriksa keadaan flat ini sebelum diduduki semula oleh penduduk bagi memastikan kawasan ini selamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Enam buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di tingkat 17 flat itu.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, beliau bergegas ke tempat kejadian.

"Selain memberikan penempatan sementara kepada mangsa, kami akan berurusan dengan Yayasan Wilayah Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa badan kebajikan untuk membantu mangsa.

"Kami difahamkan bangunan ini mempunyai insurans dan berharap pihak berkenaan dapat menjelaskannya bagi mengurangkan beban penduduk," katanya.

Pasar Chow Kit habitat tikus, ditutup 3 hari selepas Deepavali

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) turut menikmati kuih-muih tradisional India di sebuah kedai ketika melawat Bazar Deepavali di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup Pasar Raja Bot selama tiga hari berkuat kuasa selepas Deepavali.

Arahan tersebut dikeluarkan ekoran Pasar Raja Bot yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu menjadi antara tempat pembiakan tikus yang paling tinggi di ibu negara.

Menurut Tengku Adnan, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengenai perkara itu dan meminta DBKL memandang serius masalah kebersihan di pasar tersebut.

"Pasar tersebut dikendalikan oleh DBKL, sekiranya kotor dan menjadi tempat pembiakan tikus bagaimana peniaga-peniaga tempat lain mahu menjadikan contoh.

"Saya amat sedih kerana kita telah mengeluarkan notis penutupan sementara kepada premis lain termasuk restoran dan gerai sebelum ini, tetapi tempat DBKL sendiri yang kotor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Deepavali di Lebuh Ampang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan.

Kata Tengku Adnan, peniaga di Pasar Chow Kit juga perlu akur dengan arahan agar tidak boleh membuka perniagaan mereka dalam tempoh itu.

"Peniaga ayam juga diingatkan agar tidak melakukan penyembelihan di dalam pasar sehingga menyebabkan kawasan sekitar kotor dan menjadi tarikan kepada tikus-tikus, " tegasnya.

Tambah beliau, Pasar Pudu juga berada dalam perhatian pihaknya, namun arahan penutupan sementara hanya dikeluarkan ke atas Pasar Chow Kit buat masa ini.

Sementara itu, dalam lawatan tersebut, Tengku Adnan mencadangkan infrastruktur di Lebuh Ampang dapat dinaik taraf memandangkan kawasan itu memiliki sejarah tersendiri di samping tempat tumpuan ramai.

"Kami akan melihat apa yang boleh diperbaiki dan ditingkatkan di kawasan ini, malah saya amat gembira kerana melihat kedai-kedai di sini bersih dan sebuah restoran menjadi tempat pelancong asing menjamu selera," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kadar baharu cukai MBJB

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 31 Okt. - Bermula 1 Januari tahun depan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melaksanakan nilaian dan kadar baharu ke atas semua pegangan bercukai.

Datuk Bandar Johor Bahru, Ismail Karim berkata, kerajaan negeri telah memberi kelulusan tentang perkara tersebut pada 2 Oktober dan diwartakan pada 10 Oktober lalu.

Beliau berkata, senarai nilaian sedia ada adalah berasaskan aras nilaian pada 1995 dan telah 'berusia' 16 tahun.

"Dengan senarai nilaian baharu, rekod-rekod nilai tambah pegangan dapat dikemas kini dan pembayar cukai boleh mendapat gambaran lebih tepat tentang hartanah mereka yang digunakan sebagai asas perkiraan cukai harta yang dibayar mereka.

"MBJB sering menerima rungutan dan bantahan daripada pembayar cukai kerana nilai tambah yang digunakan untuk harta mereka jauh berbeza dengan pasaran semasa," katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB, di sini hari ini.

Bagi jenis pegangan perumahan dan lain-lain, berlaku penurunan sebanyak 0.01 peratus kepada 0.12 peratus berbanding 0.13 peratus kadar cukai sedia ada, manakala bagi perumahan kos rendah, penurunannya adalah sebanyak 0.02 peratus kepada 0.11 peratus berbanding 0.13 peratus kini.

Bagi perumahan rizab Melayu pula, penurunan kadar cukai adalah sebanyak 0.01 peratus menjadi 0.04 peratus berbanding 0.05 peratus sedia ada, manakala tiada sebarang perubahan bagi jenis pegangan tanah pertanian iaitu 0.07 peratus.

Sementara itu, bagi pegangan perdagangan, kadar cukai baharu adalah sebanyak 0.27 peratus berbanding 0.26 peratus iaitu berlaku kenaikan 0.01 peratus manakala perindustrian pula berlaku kenaikan sebanyak 0.02 peratus menjadi 0.30 peratus sebelum 0.28 peratus sedia ada.

Ismail memberitahu, notis tentang nilaian dan kadar baharu itu dalam proses penghantaran kepada semua pemilik harta dan dijangka sampai selewat-lewatnya 21 November ini.

Beliau berkata, bagi pemilik harta yang tidak berpuas hati atau terkilan terhadap nilaian yang dibuat, maka mereka boleh membuat bantahan secara bertulis kepada MBJB sebelum 2 Disember ini.

Tuah Mohammad Yunos bayar cukai awal

Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT

Salehuddin Hassan (dua dari kiri) bersama pemenang hadiah cabutan bertuah pembayar cukai dari kiri, Aminah Ilias yang menerima sebuah motosikal Modenas, Mohammad Yunos Kassim Myssoory memenangi hadiah utama sebuah kereta Perodua MyVi dan Pa'at Taman (kanan) menerima sebuah motosikal Modenas di Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 31 Okt. - Sikap gemar membayar cukai harta awal setiap tahun membawa tuah kepada seorang pekerja swasta syarikat penerbangan apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah pertama Program Cabutan Bertuah bagi Pembayar Cukai Harta 2013 sempena Sambutan Ulang Tahun Perbandaran Ke-12, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) baru-baru ini.

Kemenangan tersebut membolehkan Mohammad Yunos Kassim Myssoory, 52, yang membayar cukai sebanyak RM597.80 pada 14 Februari lalu untuk sebuah rumah teres berkembar di Taman Perling, di sini yang didudukinya sejak sembilan tahun lalu membawa pulang hadiah kereta Perodua Myvi.

"Sememangnya saya amat terkejut dengan berita kemenangan ini kerana pada awalnya menyangka menerima surat saman. Malah, saya turut curiga apabila didatangi dua individu tidak dikenali yang rupanya adalah kakitangan MPJBT untuk memberitahu berita itu.

"Namun setelah saya fahami dan lihat kepala surat tersebut yang terkandung lambang MJPBT barulah saya percaya.

"Saya anggap mungkin kali ini rezeki menyebelahi saya kerana sepanjang umur ini adalah kali pertama memenangi hadiah cabutan bertuah seperti ini," katanya selepas majlis penyampaian hadiah berkenaan, di sini.

Hadiah utama itu disampaikan oleh Yang Dipertua MPJBT, Salehuddin Hassan.

Mohammad Yunos yang juga bapa kepada dua cahaya mata bersyukur dengan rezeki yang diterima dan bercadang menghadiahkan kereta itu kepada isteri tercinta, Mhherunisa Ghulamdhagir, 49, untuk memudahkannya menguruskan perniagaan kedai makan mereka.

"Dua tahun lalu, saya membeli kereta Proton Pesona. Jadi, saya bercadang hadiahkan Perodua Myvi ini kepada isteri saya. Lagipun sebelum ini saya yang hantar dia ke tempat kerja dan lepas ini mungkin dapat mudahkan kerjanya.

"Saya juga tidak akan menjual hadiah Perodua MyVi ini kerana anggap kereta ini satu kenangan terindah dalam hidup saya. Jadi, saya akan jaga dan gunakannya dengan sebaiknya. Syukur sangat-sangat dan terima kasih kepada MPJBT," katanya.

Hadiah tempat kedua dan ketiga, masing-masing berupa motosikal Modenas bernilai RM5,000 dimenangi pesara, Paat Taman, 72, dari Taman Universiti dan suri rumah Aminah Ilias, 51, dari Pekan Nanas.

Sementara itu, Salehuddin berkata, program berkenaan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah kira-kira RM250,000 kepada 1,000 pembayar cukai yang bertuah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Deepavali penuh tradisi

Posted: 01 Nov 2013 06:34 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
gambar FATAH SULAIMAN

Dari kiri, Poonamjit Kaur Darshan Singh, Devia Haresh Kumar dan Manpreet Kaur Balwant Singh bergaya dengan sari tajaan Maya Fashion.

Esok, seluruh penganut Hindu bakal meraikan Deepavali, perayaan yang ditunggu-tunggu dan memberi makna tersendiri dalam kehidupan mereka.

Sebagaimana perayaan lain di negara ini, Deepavali atau lebih dikenali sebagai 'pesta cahaya' juga disambut meriah dengan pelbagai persiapan daripada menyediakan pakaian baru, menghias rumah hinggalah kepada juadah-juadah istimewa.

Deepavali juga sinonim dengan amalan-amalan tradisi yang kekal menjadi ikutan termasuk di kalangan generasi muda seperti tiga gadis cantik ini, Devia Haresh Kumar, 21, Poonamjit Kaur Darshan Singh, 18, dan Manpreet Kaur Balwant Singh , 20-an.

Bagi Devia, yang baru dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Sari Malaysia 2013 (Miss Saree Malaysia 2013) anjuran First Bollywood Studio, kemeriahan sambutan Deepavali sentiasa dinantikan setiap tahun untuk diraikan bersama kaum keluarga dan rakan-rakan.

Anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini berkata, persediaan untuk sambutan Deepavali selalunya dilakukan seminggu atau tiga hari lebih awal.

"Tidak meriah Deepavali tanpa kuih dan manisan yang disediakan sendiri oleh ibu. Kebiasaannya, saya akan membantu ibu membuat kuih seperti maruku dan sebagainya, beberapa hari sebelum Deepavali.

"Tidak tidur malam kerana menyiapkan kuih muih dan persiapan untuk sambutan Deepavali sudah menjadi kebiasaan setiap tahun," katanya sambil tersenyum manis.

Menurut Devia, menjadi rutinnya bersama adik-beradik yang lain melakukan aktiviti wajib pada pagi Deepavali.

"Pada sebelah pagi, sebelum pergi ke kuil ibu akan memasak tosai untuk dijamah oleh kami sekeluarga. Kemudian dalam beberapa minit kami akan mandi dengan menggunakan minyak kelapa. Rambut yang disaluti dengan minyak akan dibiarkan sekejap sebelum dibilas dengan air.

"Saat paling indah yang tidak akan dilupakan pastinya apabila dapat berkumpul dengan adik-beradik.

"Pada hari ini juga kami akan berkunjung ke rumah-saudara dan menghabiskan masa berbual serta menjamu selera," jelasnya.

Devia berkata, antara keunikan lain sambutan Deepavali, pelita akan dipasang di sekitar rumah bermula malam Deepavali lagi.

"Membuat 'kolam' dengan menggunakan beras yang diwarnakan dalam pelbagai warna menarik dan bentuk unik antara aktiviti yang akan dilakukan oleh kami sekeluarga," ujarnya.

Menurut gadis manis berambut panjang ini, tidak lengkap perayaan Deepavali jika kaum wanita mahupun lelaki tidak mengenakan pakaian tradisional pada hari tersebut.

"Kebiasaannya pada hari tersebut kami akan memakai pakaian tradisional seperti sari dan sut punjabi dengan pelbagai warna dan gaya yang menarik.

"Saya sendiri gemar memilih memakai sari pada hari tersebut kerana ia nampak cantik, ringkas dan mudah dipakai," jelasnya.

Bergelar Ratu Cantik Sari 2013, Devia mengakui gembira dan tidak menjangka apabila diumumkan sebagai pemenang walaupun pada permulaan pertandingan agak kekok untuk memakai sari dengan pelbagai teknik ikatan.

"Pandangan bahawa sari susah dipakai sebenarnya tidak betul. Selepas mempelajari lebih 70 teknik ikatan sari, saya rasa ia sangat mudah dipakai dan cantik apabila tersarung pada tubuh," katanya.

Sebagai peminat sari, Devia mempunyai misi untuk mempopularkan semula pemakaian sari kepada golongan muda di luar sana.

Sementara itu, sebagai pemenang kedua pertandingan, Poonamjit, mengakui tidak sabar untuk bergaya dengan sari baru pada Deepavali nanti.

Begitupun dia mengakui tidak mempunyai pengalaman memakai sari dengan betul sehinggalah menyertai pertandingan tersebut.

"Saya tidak tahu rupanya ada 80 jenis ikatan sari yang berbeza. Bagi saya sari adalah pakaian yang unik bagi kaum India. Selaku orang muda, saya berasa bertanggungjawab mengekalkan dan memperkenalkan cara pemakaian sari kepada golongan muda di negara ini.

"Apabila mengenakan sari rasa lebih bersemangat, bertambah cantik, seksi dan elegan untuk berjalan di khalayak ramai," jelasnya.

Poonamjit turut mengakui walaupun berketurunan Punjabi, tetapi apabila sambutan Deepavali dia juga turut mengenakan pakaian sari.

Sementara itu Manpreet Kaur yang juga Pengurus First Bollywood berkata, dengan adanya pertandingan Ratu Cantik Sari Malaysia 2013, diharap dapat memperkenalkan pemakaian sari kepada generasi muda sekali gus memelihara keistimewaan pakaian tradisional kaum India itu

"Percayalah, hanya lima minit diperlukan untuk memakai sari. Selain mudah dipakai, ia juga menjadikan wanita tersebut cantik, seksi dan elegan," jelasnya.

Jus pahit rahsia cantik

Posted: 30 Oct 2013 06:27 AM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
Gambar SYAHRIL AZMAN ZIN
Solekan & Dandanan ZUL BASTARI

TUTUR kata yang sopan ditambah dengan segaris senyuman manis terukir di bibir memberi persepsi awal bahawa gadis ini seorang yang mesra dan mudah didekati.

Telahan itu ternyata benar apabila Mariyah Yusoff, 29, yang merupakan Pengurus Pembangunan Perniagaan di sebuah syarikat petroleum dan gas di ibu negara begitu sopan menutur kata sewaktu disapa.

Meskipun sibuk dengan kerjaya yang memerlukannya berjumpa dengan orang ramai dan pelanggan serta berkejar ke sana ke sini, Mariyah tetap ligat dan bersemangat.

Tidak lokek berkongsi rahsia kecergasannya, gadis ini memberitahu sentiasa menitikberatkan soal kesihatan dan kecantikan supaya kekal bersemangat dalam apa jua keadaan.

"Saya memang dikenali oleh rakan-rakan sebagai seorang yang sangat teliti tentang apa jua perkara yang membabitkan kesihatan, pemakanan, dan kecantikan.

"Penjagaan kesihatan, pemakanan dan kecantikan memang sudah menjadi agenda kehidupan saya. Sejak kecil lagi saya telah dilatih untuk tidak memandang remeh perkara seperti itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Puteri kepada pasangan suami isteri, Yusoff Othman dan Faridah Said ini menambah, amalan gaya hidup sihat yang diterapkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi memang berkesan dan membuatkannya tampil cergas bertenaga.

Jujur Mariyah mengakui, tidak lengkap harinya jika tidak melakukan sebarang aktiviti senaman sebelum keluar bekerja.

"Sudah menjadi rutin harian saya akan melakukan sit up sebanyak 200 kali setiap pagi selepas bangun dari tidur.

"Saya juga boleh dilabelkan sebagai 'kaki gym' kerana saya akan pastikan pergi ke pusat kecergasan tersebut empat kali seminggu," katanya.

Selain itu, dia juga mengakui turut mengamalkan minum segelas jus campuran buah-buahan dan sayuran hijau setiap pagi untuk memberikan keselesaan kepada perut dan rahsia mencantikkan kulit.

Kata orang 'alah bisa tegal biasa' kerana memang pada awalnya dia mengalami kesukaran untuk mengambil campuran jus tersebut, namun lama-kelamaan tekaknya sudah boleh menerima minuman berkhasiat itu.

"Sebenarnya ibu saya yang amalkan minum jus campuran pegaga, ulam raja, strawberi, dan epal.

"Masa mula-mula nak minum, memang tekak saya tidak boleh terima sebab pahit dan susah untuk ditelan. Tetapi, selepas lebih setahun mengamalkannya, saya pelbagaikan bahan dalam minuman tersebut seperti kisarkan sekali pisang dan campurkan yogurt untuk hilangkan rasa pahit," katanya.

Ternyata petua yang diamalkan gadis berdarah campuran Siam-Melayu itu berkesan sehingga mampu memiliki kulit yang cantik, sentiasa lembap, licin dan mulus.

Tambahnya lagi, bagi memastikan tubuh badannya kekal langsing, dia juga tidak mengamalkan pengambilan daging dan makanan berlemak dalam menu dietnya, sebaliknya banyak mengambil suplemen dan vitamin C.

Minat bidang peragaan

Sudah namanya cantik, langsing dan tinggi lampai, gadis ini mengakui selain menyandang jawatan Pengurus Pembangunan Perniagaan, dia juga tidak menafikan minatnya terhadap dunia peragaan sukar dipadam.

Mariyah berkata, rasa cinta terhadap dunia peragaan mula mekar ketika usianya menginjak ke angka 23 tahun.

Berkongsi rasa, gadis ini memberitahu di awal pembabitannya dalam bidang peragaan tidak mudah kerana mendapat tentangan daripada keluarga terutama kedua orang tuanya.

"Mereka takut untuk membiarkan saya masuk ke dalam dunia peragaan kerana beranggapan ketika itu bukanlah masa sesuai memandangkan saya sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya.

"Tetapi saya ini seorang yang suka mencabar diri dan saya nekad untuk libatkan dalam bidang peragaan secara sambilan dan hingga sekarang saya masih aktif menerima undangan untuk menjadi model sambilan," katanya.

Jelasnya, kini keluargannya mula menerima kecenderungan dan minatnya itu setelah dia berjaya membuktikan kerjaya dan minatnya boleh berkembang seiringan.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan mengapa tidak memilih kerjaya sebagai peguam, Mariyah memberitahu, kerjaya peguam bukanlah kerjaya impiannya sejak kecil.

"Memang waktu kecil apabila ditanya guru, saya akan beritahu ingin jadi peguam mungkin kerana dorongan dan cadangan daripada keluarga.

"Kemudian saya mengambil jurusan undang-undang di peringkat universiti atas saranan ibu bapa tetapi selepas itu saya mengambil keputusan untuk mencuba kerjaya baru yang lebih mencabar dan memerlukan saya berkomunikasi dengan lebih ramai orang," katanya.

Ingin berniaga

Berkongsi impian dan perancangannya pada lima tahun akan datang, gadis manis ini bercadang untuk memiliki sebuah agensi peragaan sendiri.

"Saya tidak mahu mensia-siakan minat terhadap dunia peragaan begitu saja sebab itu saya merancang untuk mengembangkan minat itu dalam bentuk perniagaan.

"Saya juga bercadang untuk membuka perniagaan menjual barangan berasaskan wanita dan mahu menghasilkan produk atas jenama sendiri suatu hari nanti," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved