Selasa, 24 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


2 pemandu lori maut nahas dekat Gua Tempurung

Posted: 24 Dec 2013 11:49 PM PST

IPOH 25 Dis. - Dua pemandu maut akibat cedera parah di kepala selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 300.4 Lebuhraya Utara Selatan, laluan ke utara di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon berkata, dalam kemalangan pada 9.15 pagi, pemandu lori tangki Mohd Iswad Ramli, 33, beralamat di Felda Palong 8, Gemas, Negeri Sembilan dan seorang lagi pemandu lori yang belum dikenal pasti identitinya maut di tempat kejadian.

"Siasatan mendapati lori tangki yang dipandu Mohd. Iswad telah berhenti di lorong kecemasan sebelum sebuah lori lain yang dipandu seorang lelaki merempuh bahagian belakang kenderaannya itu kerana tidak sempat menekan brek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, Mohd. Iswad yang berada di luar kenderaannya untuk membuat pemeriksaan tayar telah dilanggar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu lori yang belum dikenal pasti itu juga maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala selepas kemalangan berlaku. Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat," katanya.

Kong Soon berkata, semasa kejadian keadaan jalan adalah lurus dan cuaca juga baik.

"Kemalangan itu menyebabkan kesesakan trafik kira-kira 10 kilometer di laluan utara lebuh raya itu dan keadaan kembali lancar empat jam kemudian," katanya. - BERNAMA

Lelaki maut ditetak di tepi Pasar Aulong, Taiping

Posted: 24 Dec 2013 10:56 PM PST

IPOH 25 Dis. - Seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas ditetak dengan parang dalam satu kejadian di tepi Pasar Aulong, Taiping malam semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, susulan kejadian 10.30 malam itu, polis hari ini memberkas seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes.

"Dalam kejadian malam tadi, M. Rathakrisnan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di leher selepas ditetak seorang lelaki yang datang menaiki kereta jenis Proton Waja di tepi pasar berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek kemudian meninggalkan tempat kejadian namun polis berjaya mengenal pasti lelaki itu dan memberkasnya pagi tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai suspek mahupun motif kejadian.

Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat, katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


ASUM tagih kembali khidmat jurulatih asing

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

Edwin Chong

KUALA LUMPUR - Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mahu lebih banyak jurulatih asing yang berkaliber ditempatkan di pusat latihan setiap negeri dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan itu yang dahulunya merupakan penyumbang pingat terbesar negara di pentas Sukan SEA.

Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong berkata, badan induk sukan tersebut telah lama tidak memiliki jurulatih asing di peringkat negeri sekali gus mempengaruhi prestasi skuad renang kebangsaan yang gagal menyerlah di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Langkah tersebut juga diyakini dapat memperbaiki kualiti di samping melahirkan bakat-bakat baru yang perlu digilap agar dapat menjelmakan lebih banyak lagi pingat emas pada temasya itu di masa akan datang.

"Suatu ketika dahulu, skuad renang kita antara yang paling digeruni di rantau Asia Tenggara, mungkin ia disebabkan faktor kita menempatkan jurulatih asing pada setiap negeri.

"Memang kita ada kekalkan jurulatih asing, tetapi bukan semua tempat ada. Kita telah kurangkan khidmat mereka atas sebab-sebab tertentu.

"Kini, kita perlu tagih semula khidmat jurulatih asing selepas empat hingga lima tahun mereka diketepikan demi melihat skuad renang kembali meniti kegemilangan.

"Saya juga ada berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkaitan langkah ini. Sebab semua perlaksanaan ini perlu mendapat kelulusan, bukan main buat sahaja," katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meminta MSN melakukan post-mortem terhadap kemerosotan sukan yang sewajarnya menjadi lubuk emas buat kontinjen negara seperti olahraga dan renang pada Sukan SEA Myanmar.

Dalam masa sama, Edwin menjelaskan, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setelah melihat kesungguhan Khairy yang mahu menyaksikan sukan renang terus berada dalam kelas tersendiri pada Sukan SEA mahupun kejohanan peringkat antarabangsa lain.

"Kalau beliau (Khairy) arahkan buat post-mortem, buatlah. Kita tiada masalah sebab perkara ini demi kebaikan sukan negara juga.

"Lagi pun sekarang, kita ketandusan pelapis sebab atlet lama akan bersara, itu normal. Walaupun, kita masih ada perenang-perenang baharu yang sedang meningkat naik.

"Kalau kita betul-betul mahukan skuad renang kembali digeruni, perkara-perkara macam inilah yang perlu diambil berat," katanya.

Skuad renang negara sebelum ini pernah memperoleh sembilan dan lima pingat emas yang masing-masing diraih pada Sukan SEA 2009 Laos dan 2011 di Indonesia.

Namun kali ini, hanya tiga atlet mampu menyumbang empat emas iaitu Daniel Bego ( 400 meter gaya bebas), Christina Loh (100m dan 200m kuak dada) serta Khoo Cai Lin ( 800m gaya bebas).

Singapura terus kekal mendominasi sukan itu dengan pungutan 11 emas diikuti Thailand 7 emas, Vietnam dan Indonesia 5 emas, manakala Malaysia sekadar di tangga kelima.

Cabaran 2014 menanti skuad hoki

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

PEMAIN-PEMAIN hoki negara perlu bersedia nama mereka dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih, Paul Revington, Januari tahun depan.

KUALA LUMPUR - Skuad hoki kebangsaan bakal berhadapan lebih banyak tugas berat dan mencabar pada tahun 2014.

Itu gambaran awal pengurus pasukan, George Koshy yang mahu semua pemain memanfaatkan cuti rehat mereka sebaiknya sebelum kembali menjalani latihan pada Januari depan.

Kata George, pada tahun depan terdapat lebih tiga kejohanan penting yang bakal disertai skuad kebangsaan termasuk Piala Dunia di The Hague, Belanda pada 31 Mei hingga 15 Jun 2014.

"Buat masa ini, biar semua pemain berehat kerana bermula tahun depan ada terlalu banyak kejohanan yang harus disertai skuad kebangsaan.

"Selain Piala Dunia, skuad kebangsaan juga akan menyertai Sukan Asia, Cabaran Juara-Juara 1 dan beberapa kejohanan utama lain.

"Saya harap pemain yang akan terpilih menyertai skuad kebangsaan dapat menghadapi semua pertandingan itu dengan sebaiknya demi mengharumkan nama Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, George turut memberitahu jurulatih skuad kebangsaan, Paul Revington akan memanggil sebanyak 35 pemain untuk menyertai kem latihan skuad negara.

Kata George, jumlah tersebut akan meliputi pemain daripada skuad remaja kebangsaan dan senior serta penilaian dibuat berdasarkan pencapaian lalu serta tahap kecergasan terkini.

"Latihan dijangka bermula pada awal Januari depan dan semua pemain hoki perlu bersedia sekiranya nama mereka dipanggil untuk mengikuti kem latihan skuad kebangsaan.

"Saya juga mahu mengingatkan pemain agar fokus dengan tugas masing-masing apabila kembali daripada bercuti panjang," kata George.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Ikhwan diisytihar pengganas

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

KAHERAH 24 Dis. - Pergerakan Ikhwanul Muslimin diisytihar sebagai pertubuhan pengganas, beberapa jam selepas sebuah kereta mengandungi bom diletupkan di sebuah ibu pejabat polis di Mansoura, utara Kaherah yang menyaksikan sekurang-kurangnya 14 orang maut.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Mesir, Hazem al-Beblawi, lapor agensi berita rasmi, MENA hari ini.

MENA memetik jurucakap Hazem, Sherif Showky sebagai berkata, pergerakan tersebut telah dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Perdana Menteri Mesir.

Kejadian tersebut yang merupakan serangan bom terburuk sejak tentera menggulingkan bekas Presiden, Mohammed Mursi pada Julai lalu, berlaku beberapa minggu sebelum satu pungutan suara diadakan berhubung Perlembagaan baharu negara ini.

Sumber keselamatan memaklumkan, letupan itu sangat kuat dan menyebabkan sebahagian daripada bangunan terbabit runtuh.

"Kebanyakan mangsa merupakan anggota polis,'' kata Gabenor Daqahleya, Omar al-Shawatsi.

Jelas sumber itu, ketua pasukan keselamatan Daqahleya, Sami el-Mihi cedera dan dua pembantunya terbunuh dalam letupan tersebut.

"Impak letupan itu boleh dirasai sejauh kira-kira 20 kilometer dan memecahkan tingkap di bangunan-bangunan berdekatan,'' kata sumber itu.

Laman web agensi berita al-Jazeera melaporkan, kerajaan sementara Mesir menuduh Ikhwanul Muslimin mendalangi serangan tersebut.

Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin dalam satu kenyataan turut mengutuk serangan berkenaan.

Kerajaan sementara Mesir yang disokong tentera sering menuduh Ikhwanul Muslimin menaja dan melatih anggota militan yang melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di Semenanjung Sinai. - AFP/AGENSI

Suthep boleh ditangkap - DSI

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

BANGKOK 24 Dis. - Pemimpin bantahan antikerajaan, Suthep Thaugsuban (gambar) dan 37 pengikutnya boleh ditahan sekiranya tidak mengakui dakwaan mencetuskan huru-hara yang dikemukakan terhadap mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), Tarit Pengdit berkata, pihaknya akan mendapatkan kebenaran Mahkamah Jenayah untuk menahan 38 individu tersebut jika mereka gagal berbuat demikian.

"Waran tangkap ke atas Suthep sebenarnya telah pun dikeluarkan. Baki lagi 37 pengikutnya juga bakal berdepan nasib sama," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tarit berkata, kumpulan pertama terdiri daripada 17 pengikut Suthep itu perlu hadir ke DSI pada Khamis dan Jumaat ini, sementara bakinya pada 2 dan 3 Januari depan.

Suthep bersama pengikutnya didakwa mengugut untuk menyingkirkan kerajaan, menghasut orang ramai melanggar undang-undang dan mencetuskan huru-hara serta menghina wakil negara-negara asing.

Terdahulu, tindakan penunjuk perasaan untuk menghalang proses pendaftaran calon pilihan raya umum Thailand di Stadium Thai-Jepun di Dan Daeng di sini, tidak mendapat sambutan menyebabkan kumpulan penunjuk perasaan terpaksa bersurai. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pengurus pasar raya dijel 4 tahun

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Seorang pengurus pasar raya dihukum penjara empat tahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang lebih RM74,000 milik majikannya, minggu lalu.

Hakim Ahmad Bache menjatuhkan hukuman terhadap Dennis anak Langit, 24, yang berasal dari Limbang, Sarawak setelah menerima pengakuan bersalah tertuduh dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap, 20 Disember lalu.

Lelaki itu yang dilantik oleh majikannya untuk mengutip wang hasil jualan, mengaku melakukan perbuatan tersebut melibatkan wang berjumlah RM74,662.20 di KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd., cawangan Pantai Dalam, Brickfields dan Telawi, Bangsar, di sini antara pukul 8 pagi dan 8 malam, pada 14, 16 dan 17 Disember lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Datuk Mohd. Noordin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, majikannya mendapati salah seorang pengurus tidak memasukkan wang hasil jualan harian untuk tiga cawangan pasar raya itu justeru memanggil tertuduh yang kemudian mengaku mengambil wang berkenaan untuk kegunaan peribadi.

Sebelum itu, dalam rayuannya tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana terdesak melakukan perbuatan itu untuk membantu keluarganya yang kesempitan wang.

''Pada hari kejadian mata saya dikaburi wang kerana memikirkan keadaan keluarga, ibu yang sering berulang alik ke hospital, adik yang berusia 10 tahun memerlukan wang untuk belanja sekolah dan membayar ganti rugi kerosakan kereta milik orang lain yang dipandu oleh adik saya,'' ujarnya.

Lelaki tersebut yang telah bekerja di syarikat itu selama tiga tahun, memberitahu mahkamah, dia menyesal atas perbuatannya itu.

Namun begitu Noor Svetlana menegaskan, mahkamah perlu mendahului kepentingan awam daripada kepentingan peribadi tertuduh yang telah memusnahkan kepercayaan penuh diberi oleh majikannya.

Dalam pada itu, Ahmad menegaskan walaupun tiada sebarang tindakan kekerasan berlaku dalam kes ini namun telah mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi syarikat terlibat.

''Bayangkan kalau kejadian pecah amanah ini berleluasa siapa lagi yang boleh kita percaya, oleh itu saya berharap awak tidak melakukan perbuatan ini lagi kerana jika berlaku, saya akan pastikan awak menerima hukuman yang lebih berat,'' katanya.

Justeru kata beliau, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh bagi menunjukkan keseriusan kesalahan itu dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat di negara ini.

Pekerja restoran rogol ibu beranak dua dijel 20 tahun, 16 sebatan

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

PETALING JAYA 24 Dis. - Seorang pekerja restoran warga Bangladesh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 16 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku merogol dan merompak seorang ibu beranak dua, tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Buttu, 42, selepas menerima pengakuan bersalah lelaki itu.

Buttu mengaku merompak sebuah telefon bimbit milik wanita yang berusia 31 tahun itu bersenjatakan sebilah parang di rumah mangsa di Subang dekat sini pada pukul 5.10 pagi, 19 April 2012.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi kesalahan itu, dia dipenjara sembilan tahun dan sebatan enam kali.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) kanun sama kerana merogol mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dipenjara 20 tahun dan sebatan 10 kali.

Kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 15 Oktober lalu.

Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dalira Din, tertuduh memasuki rumah mangsa ketika mangsa sedang tidur bersama dua anaknya.

Suami mangsa pada ketika itu tiada di rumah kerana belum pulang dari kerja.

Mangsa ditarik keluar ke ruang tamu dan tertuduh yang mengacukan sebilah parang ke badan mangsa kemudian merogolnya sebelum mengambil telefon bimbit mangsa.

Mangsa kemudian pergi ke rumah ibu mertuanya yang terletak berdekatan rumahnya sebelum membuat laporan polis.

Tertuduh berjaya ditangkap selepas mangsa mengecam wajah tertuduh dan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) darah tertuduh berpadanan dengan DNA sampel cecair yang diambil di kemaluan mangsa.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu dikenakan hukuman ringan kerana mempunyai keluarga di Bangladesh.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Segera baiki jalan runtuh

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

Sebuah kenderaan melalui kawasan jalan yang runtuh di Felda Sungai Tekam Getah, Jerantut, semalam.

JERANTUT 24 Dis. - Ribuan ribu penduduk yang menggunakan laluan jalan lama Jerantut-Maran mahu pihak bertanggungjawab segera membaik pulih dua kawasan jalan runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Runtuhan tanah akibat banjir menyebabkan laluan berhampiran Felda Sungai Tekam Getah ditutup kerana tidak selamat untuk dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tekam Getah, Abdul Manaf Abdul Kadir berkata, penduduk kini berdepan kesulitan apabila laluan tersebut ditutup.

"Ini adalah laluan utama yang digunakan oleh penduduk di beberapa gugusan Felda serta kampung tradisional untuk menjalankan urusan harian.

"Penduduk terpaksa bergadai nyawa melalui jalan ini biarpun ditutup kerana laluan alternatif yang lain sangat jauh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan akan lebih parah sekiranya berlaku kecemasan terutama pada waktu malam kerana jarak untuk ke hospital agak jauh.

Beliau berkata, penduduk boleh menggunakan laluan ladang sawit, namun tidak semua kenderaan boleh melalui jalan tersebut.

"Kami bimbang jalan ini akan terputus dua jika kerja-kerja membaik pulih tidak dijalankan dalam masa terdekat kerana hujan yang turun akan menyebabkan hakisan," ujarnya.

3,500 pelajar terima bantuan persekolahan Parlimen Bera

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Ismail Sabri Yaakob dua dari kanan) bersama sebahagian daripada penerima bantuan persekolahan di Bera, Pahang, baru-baru ini.

BERA 24 Dis. - Seramai 3,500 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Parlimen ini menerima bantuan persekolahan berupa baju, beg dan kasut dalam satu majlis di sini Sabtu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bantuan persekolahan tersebut diberikan kepada mereka yang layak tanpa mengira warna kulit atau fahaman politik.

"Setiap bantuan yang disalurkan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak termasuk kepada para penyokong tegar pembangkang.

"Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memilih 'bulu' dalam menghulurkan sumbangan. Malah, bantuan persekolahan diberikan setiap kali tibanya musim persekolahan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Persekolahan Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda di sini.

Pada majlis tersebut kira-kira 100 sukarelawan dari UMNO Bahagian Bukit Bintang dan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) hadir bagi menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di daerah tersebut yang terlibat dengan bencana itu baru-baru ini.

Menurut Ismail Sabri, selaras dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini, kerajaan sentiasa memikirkan kaedah atau pendekatan terbaik bagi mengurangkan beban rakyat.

"Percayalah kerajaan sedar dan prihatin mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat dan tidak akan sesekali berdiam diri.

"Kerajaan sentiasa mencari alternatif untuk membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang turut dinaikkan jumlahnya kepada RM650, bantuan persekolahan dan bantuan bencana," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengucapkan terima kasih kepada badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana turut sama membantu menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban rakyat.

SASET sasar kutip RM500,000 bantu mangsa banjir

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Penduduk yang ditimpa bencana banjir mengambil barang bantuan di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 24 Dis. - Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET) menyasarkan kutipan bantuan kemanusiaan sebanyak RM500,000 bagi membantu kira-kira 17,054 keluarga mangsa banjir di negeri ini.

Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Sultan Ahmad Shah berkata, kutipan bantuan kemanusiaan itu diadakan kerana SASET turut terpanggil untuk sama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung oleh setiap mangsa banjir.

"Melalui kutipan itu nanti, kita akan membantu menyumbangkan keperluan asas seperti tilam, pakaian, barangan elektrik dan kelengkapan sekolah bagi anak-anak yang akan memasuki sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.

"Sejak banjir mula melanda awal bulan ini, SASET juga telah pergi ke beberapa pusat pemindahan bagi menyampaikan bantuan," katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SASET pada Majlis Santapan dan Jamuan Malam Amal Misi Bantuan Kemanusiaan Banjir Peringkat Negeri Pahang di sini kelmarin.

Berkenan berangkat pada majlis tersebut, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Tengku Fahd berkata, SASET juga akan menggunakan sebahagian daripada kutipan bantuan kemanusiaan itu untuk memulihkan sistem saliran di kawasan-kawasan yang sering berlaku banjir.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya juga akan mempertingkatkan program bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya menjaga alam sekitar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti banjir.

"Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama semua pihak, kita perlu tahu bagaimana menjaga sistem saliran, begitu juga dalam aspek pengurusan sampah, menjadi tanggungjawab kami bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai.

"Pelbagai program telah kita laksanakan antaranya program Kampung Angkatku, semuanya bertujuan memberikan kesedaran tentang pentingnya menjaga alam sekitar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Dasar kerajaan berjaya lahirkan rakyat kelas profesional - PM

Posted: 23 Dec 2013 11:11 PM PST

MEKAH 24 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha kerajaan memberi fokus terhadap dunia pendidikan berhasil melahirkan golongan rakyat kelas profesional yang berani bersaing di persada antarabangsa.

Perdana menteri berkata ini menunjukkan tahap keyakinan rakyat Malaysia semakin bertambah berbanding masa lepas.

"Jika tidak melalui pemberian biasiswa dengan peruntukan besar dan penubuhan institusi pengajian tinggi, tidak mungkin wujud golongan sedemikian dalam kalangan rakyat.

"Mereka lebih terpanggil untuk melihat peluang di persada antarabangsa, tak rasa kekok atau tertekan untuk bersaing dengan orang lain," katanya kepada wartawan Malaysia di hari terakhir lawatan kerjanya di sini. - BERNAMA

Fizo Omar tumbang 10 ekor lembu sempena resepsinya

Posted: 23 Dec 2013 10:15 PM PST

FIZO OMAR

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Pelakon Fizo Omar akan tumbangkan 10 ekor lembu sempena majlis resepsinya di Kelantan pada 28 Disember ini.

Sebelum ini, majlis yang sama telah diadakan di kampung halaman isterinya, Mawar Abdul Karim, di Pulau Pinang.

"Memang penat tetapi berbaloi untuk melihat seluruh ahli keluarga kami berkumpul.

"Saya juga ingin menjemput peminat ke rumah saya pada Sabtu ini, untuk kenduri ini saya menumbangkan 10 ekor lembu. Dianggarkan jumlah tetamu yang bakal hadir adalah 7,000 orang," katanya.

Untuk resepsi di ibu negara, Fizo dan Mawar sudah bersetuju untuk mengadakannya pada 25 Januari depan di sebuah hotel terkenal.

Dalam pada itu, Fizo yang baharu pulang berbulan madu bersama isteri di Eropah baru-baru ini memberitahu yang isterinya belum lagi ada tanda-tanda hamil.

Bagaimanapun tindakannya memuat naik baju bayi di laman sosialnya membuatkan ramai yang berfikiran, mereka bakal menimang cahaya mata.

"Saya tidak pasti sama ada isteri saya mengandung atau tidak, tetapi tujuan saya membeli baju bayi itu tempoh hari sekadar kenangan sahaja.

"Tidak salah juga kalau pembelian baju-baju bayi ini sebagai persedian kami berdua. Kami bukan beli sehelai dua, tetapi banyak sebab baju bayi comel," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jadikan situasi Thailand iktibar

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

Penunjuk perasaan anti-kerajaan Thailand berarak melalui jalan-jalan utama di Bangkok semasa perhimpunan berterusan pada 19 Disember 2013 lalu dengan tujuan ingin mengajak rakyat negara ini memulaukan pilihan raya umum yang bakal diadakan dan menjatuhkan kerajaan. - AFP

DALAM politik, salah satu taktik untuk meraih sokongan rakyat demi bagi meraih kuasa ialah memainkan sentimen golongan itu.

Pelbagai hujah akan ditampilkan bagi menunjukkan kononnya mereka yang berbuat demikian adalah pembela tulen kepada rakyat.

Begitulah juga apabila ada kelompok di negara ini cuba menggunakan pelbagai isu untuk memastikan rakyat turun ke jalanan menjelang tahun baru 2014 atas alasan kerajaan sedia ada menindas rakyat berikutan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Tidak ada guna bercakap soal fakta kenapa kenaikan atau sesuatu tindakan itu perlu dilakukan kerana mereka tidak akan mempedulikan semua itu kerana bagi mereka apa yang penting ialah meraih sokongan rakyat.

Persoalannya, apakah tindakan turun ke jalanan dengan melakukan demonstrasi yang acap kali terbukti berakhir dengan kekacauan akan menguntungkan rakyat dalam jangka panjang? Apakah demonstrasi dilihat satu-satu cara untuk menyelesaikan masalah sedangkan sudah terbukti perbuatan seumpama itu hanya mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan negara?

Atas sebab itulah, apa yang berlaku di Thailand sekarang harus dijadikan iktibar kepada rakyat negara ini. Lihat apakah situasi di negera gajah putih itu menguntungkan rakyat negara tersebut atau sebaliknya? Pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan dengan mengheret rakyat turun ke jalanan mengakibatkan negara berkenaan berada dalam huru-hara.

Sebelum ini, kita menyaksikan bagaimana kerajaan di bawah kepimpinan Abhisit Vejjajiva ditumbangkan apabila berlaku demonstrasi jalanan secara besar-besaran pada 2009. Berikutan rakyat Thailand menjulang pula Yingluck Shinawatra dari parti Pheu Thai sebagai Perdana Menteri.

Namun tidak sampai dua tahun, berada di kedudukan ini, Yingluck pula berhadapan dengan demonstrasi - situasi yang sama dialami oleh Abhisit.

Kesudahannya, kestabilan politik Thailand menjadi kacau bilau. Demonstrasi menghiasi negara itu setiap hari sehingga memaksa Yingluck membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum pada 2 Februari tahun depan.

Tetapi keputusan ini tetap tidak memuaskan hati penentang-penentangnya yang mendesak pula supaya pilihan raya tidak diadakan sehingga mereka sanggup menghalang calon-calon daripada mendaftar untuk bertanding.

Soalnya, apakah selepas ini tidak kira juga apa pun keputusannya, adakah Thailand akan kembali aman dan stabil? Tidak siapa pun mampu memberi jaminan. Tindakan ahli-ahli politik negara itu mencari kuasa politik melalui gelombang demonstrasi jalanan kini mengundang petaka kepada Thailand.

Justeru apakah rakyat negara ini mahu perkara yang sama berlaku di negara ini? Kenapakah proses pemilihan kerajaan melalui perjalanan pilihan raya seolah-olah mahu ditamatkan melalui demonstrasi jalanan?

Kaji dan fikirkanlah, adakah mana-mana negara yang rakyatnya terpengaruh dengan demonstrasi jalanan mampu membawa keamanan kepada negara itu. Sudah pasti tidak, apa yang lebih banyak kita saksikan ialah huru-hara dan ketidakstabilan politik yang berpanjangan.

Oleh itu, rakyat negara ini tidak harus terpengaruh dengan dakyah dan ajakan songsang mana-mana pihak turun ke jalanan untuk melakukan bantahan kepada kerajaan.

Memang benar, kebebasan bersuara tidak harus disekat, hasrat untuk melahirkan pendapat tidak harus dihalang dan suara rakyat mesti didengari. Tetapi semua itu harus disalurkan melalui kaedah yang betul dan yang pasti demonstrasi jalanan bukanlah jalan penyelesaian.

Selama ini, Malaysia dikenali sebuah negara aman dan damai, rakyat negara ini dihormati kerana budaya dan adat resam kehidupan mereka, justeru kenapa perlu semua itu mahu dimusnahkan hanya kerana hendak memenuhi tuntutan politik kelompok tertentu sahaja.

Lebih malang lagi, jika mereka terpengaruh dengan hasutan kelompok tertentu yang entah mewakili siapa supaya turun untuk menggulingkan kerajaan - satu perkara yang cukup ganjil bagi majoriti rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan ketenteraman.

Negara ini bukannya mengamalkan pemerintahan kuku besi yang kerajaannya tidak mempedulikan suara nurani rakyat, sebaliknya, sejak merdeka lagi kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) di mana UMNO menjadi tonggaknya sentiasa membela nasib rakyat.

Pelbagai usaha dilakukan dalam meningkatkan hidup rakyat. Kita tidak menafikan ada sedikit sebanyak kelemahan tetapi mana ada kerajaan yang sempurna seratus peratus.

Apa yang penting ialah sejauh manakah rakyat mahu bersama-sama kerajaan sedia ada membangunkan negara dengan memastikan keluh kesah mereka diambil kira dalam apa juga tindakan.

Tetapi mengambil jalan pintas atau lebih tepat lagi tindakan bodoh dengan turun ke jalanan, tidak akan mampu menyelesaikan masalah mereka. Kita tidak mahu apa yang dikecapi selama ini hancur sekelip mata hanya kerana kegelojohan pihak tertentu mencari kuasa politik atau melampiaskan kemarahan mereka secara membuta-tuli.

Jika berasa hebat sangat dalam berpolitik dan begitu kuat untuk menggerakkan rakyat maka tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang untuk membuat perhitungan. Jangan menggunakan hujah-hujah dangkal dan paling buruk menyembunyikan fakta sebenar dengan tujuan membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Fahamilah, apabila demonstrasi dijadikan jalan pintas bagi menyelesaikan masalah, maka ia bermakna kita sengaja mengundang mala petaka kepada negara ini.

Oleh itu, kepada kelompok yang kononnya mahu menjadi pembela rakyat dan mahu mencetuskan apa yang mereka sifatkan kebangkitan rakyat, fikirkanlah kesannya kepada negara dalam jangka masa.

Namun kita percaya, kelompok seumpama ini sudah dibutakan mata dan hati mereka untuk mengkaji semua itu. Apa yang mereka tahu ialah melampiaskan kemarahan tidak bertempat dan menyebarkan politik kebencian yang sudah terbenak dalam fikiran dan sanubari mereka.

Berilah nasihat apa pun, mereka tidak akan mendengarnya. Tetapi malangnya mereka inilah juga yang kononnya bercakap melakukan sesuatu demi rakyat.

Kalau betullah berjuang untuk rakyat maka setiap permasalahan yang timbul harus dicari jalan penyelesaian melalui cara bertamadun, turun ke jalanan boleh dianggap tidak berada dalam kategori itu kerana keburukannya jauh lebih banyak daripada kebaikan.

Mungkin pihak tertentu akan berasa gembira kerana agenda mereka untuk menghasut minoriti rakyat bersama agak berjaya tetapi bagaimana dengan hak majoriti rakyat yang tidak mahu terlibat dalam perbuatan seumpama itu?

Tidak kiralah apa pun keadaannya yang penting jangan sesekali rakyat negara ini lupa apa yang sedang berlaku di negara jiran iaitu Thailand.

Suatu ketika dahulu Indonesia juga berada dalam gelombang demonstrasi sehingga menjatuhkan pemerintahan Suharto tetapi selepas itu, rakyat negara berkenaan menderita dan mula menyedari tindakan menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi tidak membawa apa-apa faedah.

Apa pun mengadakan demonstrasi adalah tindakan kelompok yang sudah bangkrap modal politik dalam usaha mereka meraih kuasa dan demonstrasi juga adalah 'senjata' kelompok yang semakin buta mata dan hati mereka untuk mensyukuri apa yang dinikmati. Justeru jadikan Thailand sebagai iktibar sebelum nafsu 'mengundang' petaka kepada negara ini.

Pencegahan elak kemalangan ulang alik ke tempat kerja

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

TAN SRI LEE LAM THYE
ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

ISU utama keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia adalah perkara berkaitan dengan kemalangan yang melibatkan pekerja yang berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya.

Jumlah kemalangan industri secara umumnya menurun, namun bilangan kemalangan ulang-alik dari tempat kerja yang melibatkan pekerja meningkat sebanyak 38% dalam tempoh lima tahun lalu daripada 19,041 kes kemalangan dengan 1,174 kematian pada tahun 2008 kepada 26,262 dengan 983 kematian pada tahun 2012 seperti yang dilaporkan oleh pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagi tempoh sembilan bulan pertama pada tahun ini, sebanyak 20,225 kes kemalangan ulang-alik kerja telah dilaporkan berbanding dengan 19,344 kes pada tempoh yang sama tahun lepas dan mencatatkan peningkatan sebanyak 7.28 peratus.

Jumlah kes kemalangan maut di Malaysia yang direkodkan amat membimbangkan. Terdapat lebih daripada 6,000 hingga 7,000 kematian setiap tahun untuk beberapa tahun kebelakangan ini di mana mencatatkan sebanyak 18 - 20 orang terbunuh setiap hari.

Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang sebanyak 60% daripada kes kematian dan kebanyakan mereka masih muda dan baru sahaja memulakan alam pekerjaan.

Di Malaysia, berdasarkan laporan daripada Perkeso, terdapat tiga kes kematian berkaitan aktiviti kerja yang dicatatkan setiap hari pada tahun 2011. Dua daripada tiga kematian itu berpunca daripada kemalangan berulang-alik ke tempat bekerja dan keadaan ini semakin serius di negara ini.

Kesan kemalangan ulang-alik kerja adalah jauh lebih besar berbanding dengan kemalangan industri kerana kemalangan seumpama ini selalunya melibatkan pelbagai jenis kecederaan yang jauh lebih teruk dan mengakibatkan trauma yang berpanjangan berbanding kemalangan di tempat kerja.

Di antara masalah yang berkaitan peningkatan jumlah kemalangan berulang-alik dari tempat kerja adalah kerana kurangnya kesedaran dan pendedahan tentang pemanduan selamat dalam kalangan pekerja, kekurangan kursus dan program latihan yang komprehensif dan disasarkan kepada kemalangan ulang- alik, kurangnya input bagi Pengurusan Keselamatan Ulang-alik Kerja serta kekurangan elemen keselamatan jalan raya di dalam Sistem Pengurusan KKP di tempat kerja.

Berdasarkan kepada statistik Perkeso, kemalangan sering berlaku ketika pekerja di dalam perjalanan ke tempat kerja pada waktu pagi. Ini boleh berlaku kerana pekerja di dalam keadaan tergesa-gesa untuk ke tempat kerja. Berdasarkan kepada statistik juga, faktor-faktor lain yang mempengaruhi adalah memandu melebihi had yang ditetapkan, memandu dengan melulu, menghantar mesej dan tidak fokus ketika memandu.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) terlibat secara aktif dalam usaha menggalakkan pihak majikan untuk memberikan latihan yang sewajarnya seperti Program Keselamatan Bermotosikal. Secara tidak langsung, program ini mampu memperbaiki modul latihan akan datang bagi program pemanduan berhemah dan pemanduan defensif bagi motosikal.

Pihak majikan dan pekerja harus bekerjasama dan sentiasa komited untuk mengamalkan amalan keselamatan dan pencegahan bagi mengelakkan kes kemalangan ulang-alik dari tempat kerja.

Majikan mempunyai tanggungjawab moral untuk mengambil pendekatan proaktif bagi menguruskan risiko pekerjaan jalan dan juga untuk melaksanakan Kod Amalan Industri (ICOP) berkaitan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.

Majikan mampu melakukan pelbagai cara di dalam usaha untuk mengubah sikap pemanduan dan tingkah laku pekerja mereka. Majikan boleh membantu merangka pelan perjalanan yang selamat, menggunakan kenderaan yang selamat dan menyediakan latihan untuk para pemandu bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.

Majikan juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pekerja-pekerja mereka dan pengguna jalan raya lain dengan mengamalkan pendekatan pengurusan risiko jalan raya bagi mengawal kerugian perniagaan yang berpunca daripada kemalangan jalan raya 'di tempat kerja', termasuk bukan sahaja kos kemalangan secara langsung, tetapi kerugian waktu bekerja, pembayaran premium insurans yang lebih tinggi dan menjejaskan imej syarikat.

Setiap syarikat yang mengambil tindakan proaktif dengan memberi pendedahan dan galakkan tentang aspek keselamatan kakitangan mereka semasa memandu secara tidak langsung akan dapat membantu penjimatan kos yang besar serta meningkatkan imej syarikat dan memberi sumbangan penting di dalam usaha mencapai sasaran bagi aspek keselamatan jalan raya.

Majikan dan pekerja perlu bekerjasama dan sentiasa komited untuk mewujudkan budaya pencegahan kemalangan ulang-alik bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya kita.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Baju-T Azmie bermotivasi

Posted: 23 Dec 2013 11:02 PM PST

Oleh NATASHA FARAH MOHAMAD JOHAR
Gambar GHAZALI BASRI

Azmie Rahman menunjukan cara menggosok baju yang telah siap dicetak kepada anaknya Nur Syakirah semasa wawancara dengan pengusaha seni cetak baju dan cawan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyampaikan nasihat melalui sehelai baju-T. Bunyinya agak pelik dan jarang dibuat orang tetapi itulah yang cuba dilakukan oleh Ahmad Fathulah Suhaimi Abd. Rahman, 56, atau lebih dikenali dengan panggilan Azmie.

Ini kerana lakaran atau cetakan pada baju T rekaan beliau sarat dengan nasihat dan mesej-mesej positif yang sedikit sebanyak memberi motivasi serta semangat bagi yang membaca mahupun yang memakainya.

Sememangnya, pemilik Aizmietshirt ini tidak lagi asing dalam kalangan mereka yang menggemari baju-T.

"Kalau kita lihat permintaan terhadap baju-T sentiasa ada terutama di kalangan anak muda. Malangnya, kebanyakan lakaran pada baju-T di pasaran sekarang lebih kebaratan dan sesetengahnya mengandungi mesej-mesej negatif.

"Ini memberika idea kepada saya untuk menggunakan kemahiran dan ilmu yang ada bagi menghasilkan baju-T yang membawa mesej motivasi.

"Buat masa sekarang, sasaran tempahan baju-T ini tertumpu kepada pelajar sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi sahaja," katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, setiap kata-kata motivasi yang di cetak pada baju-T tersebut adalah hasil idea dan inspirasinya sendiri.

"Inspirasi timbul tidak kira masa kadang-kadang ketika saya sedang memandu, tengah makan dan sebagainya. Sebaik dapat inspirasi, saya terus mencatatnya pada buku sebelum melakukan proses seterusnya,'' kata Azmie ketika ditemui di premis perniagannya, di 50-1, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata-kata nasihat tersebut akan dilakar dengan rekaan yang menarik sebelum dicetak pada baju-T.

Bercerita lanjut mengenai kemahiran mencetak baju-T, Azmie yang dulunya seorang pelukis kartun, mengakui sudah berpengalaman selama 24 tahun dalam seni cetakan tersebut.

"Saya bermula sebagai kartunis di sebuah majalah kartun tempatan selama sembilan tahun. Saya kemudian membuka kedai cenderamata di Pasar Seni sebelum meluaskan perniagaan ini dengan bantuan daripada Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga.

"Melalui bakat melukis yang ada sebagai kartunis, saya mengunakan watak-watak kartun untuk cetakan pada mug dan penanda buku.

"Selain itu, saya juga membuat cetakan pada topi, bendera, mug, beg serta banyak lagi," katanya.

Azmie berkata, minatnya dalam menghasilkan cetakan pada baju-T semakin mendalam apabila turut disokong oleh isteri, Umi Kalthum Mat Zin, serta anak-anaknya.

"Semua anak-anak, saya ajar mereka cara-cara mencetak baju-T, malah anak anak perempuan saya, Nor Syakirah, yang baru di Tingkatan Dua sudah pandai mencetak sendiri baju-T, mug dan cenderamata lain.

"Dia juga berkebolehan mereka sendiri lakaran atau corak yang hendak dicetak," katanya yang turut mempunyai lapan pekerja.

Kongsi Kemahiran

Azmie mengakui, tidak semua orang tahu cara membuat baju-T bermula daripada membuat blok sehingga ke peringkat mencetak sebelum boleh dipakai.

Namun pengetahuan itu boleh dipelajari jika seseorang itu mempunyai minat dan kemahuan

Justeru dia juga tidak keberatan berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang ada dengan orang ramai melalui penganjuran bengkel serta kelas bagi yang berminat.

"Saya sangat suka apabila semakin ramai Bumiputera terutama golongan muda yang berminat dalam seni cetakan ini.

"Dalam bengkel ini mereka akan diajar daripada pembuatan blok sehinggalah ke cetakan pada baju-T. Saya juga akan memberi tip dan panduan kepada mereka cara untuk memulakan perniagaan ini.

"Alhamdulillah, ramai yang menyertai bengkel ini telah membuka perniagaan sendiri.

"Itu sebenarnya yang saya mahukan, iaitu melahirkan ramai usahawan muda bumiputera dalam bidang cetakan, kita boleh bersaing secara sihat jika betul caranya," katanya.

Bosan dengan perkahwinan

Posted: 23 Dec 2013 11:02 PM PST

Pernahkah anda merasakan yang perkahwinan anda semakin hambar dan tiada penyerinya. Setiap hari sekiranya bangun dari tidur, anda akan merasakan diri sangat malas dan enggan bangun pun dari katil.

Sebenarnya tidak salah anda merasai kebosanan itu memandangkan ada hari-hari berkenaan anda pasti akan merasakan kehidupan anda terasa kosong berbanding hari-hari yang berlalu. Apa yang anda perlu lakukan adalah cuba fahami mengapa terasa kebosanan itu terhadap perkahwinan atau hubungan anda dengan pasangan dan seterusnya lakukan sesuatu mengenainya.

Perkahwinan hanya akan terasa menjadi semakin hambar apabila anda sendiri tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan keadaan rumah tangga anda. Apabila anda memahami faktor-faktor yang menjadikan hubungan anda dan pasangan semakin membosankan, tentunya ada beberapa perkara boleh anda pelajari agar ia tidak berulang lagi.

Berikut merupakan antara perkara-perkara yang dilakukan sepanjang perkahwinan yang menjadikan anda bosan.

1 Rutin harian yang sama

Rutin kehidupan anda sama setiap hari dengan keadaan yang membosankan. Segala-galanya boleh dijangka setiap saat, minit dan jam apa yang akan dilakukan sepanjang minggu itu.

2 Kurang teruja

Ingatkah bila kali terakhir anda berdua melakukan perkara yang mengujakan bersama-sama. Apabila hubungan telah terlalu lama sebenarnya memerlukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan keterujaan kepada hubungan berkenaan. Apa lagi lakukan sesuatu mengenainya. Pergilah bercuti atau keluar makan malam bersama. Lakukan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan.

3 Hubungan cinta tidak dibina berasaskan sokongan yang kukuh

Kadang-kadang apabila hubungan cinta yang dibina terlalu cepat ke jinjang pelamin tanpa mengenal dahulu keadaan seseorang itu menyebabkan pasangan cenderung berlainan pandangan dan selalu berlaku percanggahan pendapat.

4 Suka membandingkan

Kehidupan pasangan akan semakin terasa hambar sekiranya anda banyak mendengar cerita mengenai pasangan orang lain lebih baik daripada pasangan anda.

5 Ada hubungan sulit lain

Mungkin di tempat kerja anda ada merasakan beberapa kehadiran individu yang lebih rapat dengan anda itu lebih membahagiakan daripada pasangan anda di rumah.

6 Seks yang sama

Hubungan seks anda terasa membosankan apabila hanya melakukan dengan keadaan yang sama. Ayuh! tukar posisi anda cara berhadapan dengan seks yang berlainan dari biasa.

7 Kenangan yang istimewa

Cipta kenangan yang istimewa berdua atau sama-sama mengingati saat-saat manis anda dan pasangan ketika dahulu.

8 Komunikasi

Hanya berkomunikasi sekiranya perlu setelah lama berumah tangga? Usah biarkan keadaan ini berlarutan. Berkomunikasilah dengan pasangan anda sebagaimana waktu bercinta dahulu.

9 Spontan

Hidup berumah tangga pasti membosankan sekiranya seharian kehidupan anda ditentukan oleh peraturan dan perancangan. Sekali-sekala kehidupan diceriakan dengan perkara-perkara yang spontan, menimbulkan keadaan yang baharu dalam hidup.

10 Masa bersama berdua

Adakan masa anda bersama berdua tanpa diselangi oleh perasaan marah, penat atau bosan. Ciptakan kehidupan anda bersama untuk memupuk kasih sayang biarpun sesibuk mana pun anda dan pasangan.

11 Hubungan dengan rakan

Kehidupan juga akan terasa membosankan sekiranya anda tidak mempunyai hubungan langsung dengan rakan-rakan luar sebagaimana sebelum berumah tangga. Kekalkan hubungan persahabatan dan ciri-ciri kekeluargaan lain bagi memberikan rasa keseronokan kepada kehidupan anda, agar anda tidak terasa keseorangan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kesejahteraan warga kota diutama

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM2.79 bilion untuk bajet 2014 dengan memberi fokus merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020 yang dapat memenuhi keperluan warga kota.

Bajet 2014 memberi penekanan kepada tujuh fokus utama iaitu Memperkasakan Urus Tadbir DBKL, Mempertingkatkan dan Memperluaskan Kebersihan Bandar, Mempertingkatkan kemudahan jalan raya dan lampu jalan, sistem lalu lintas dan sungai.

Selain itu, Penghijauan serta Penyelenggaraan Taman-taman Rekreasi, Memperbanyakkan Program Kesihatan, Membudayakan Program Penyelenggaraan Harta DBKL dan awam serta Menyediakan Unit Kediaman Mampu Milik.

Daripada RM2.79 bilion itu, sebanyak RM1.499 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan Mengurus dan RM1.290 bilion untuk Pembangunan.

Secara keseluruhan, terdapat peningkatan bajet kali ini iaitu sebanyak 20.6 peratus iaitu RM2.31 bilion berbanding Bajet 2013.

Bajet bertemakan 'Bandaraya Lestari Wargakota Sejahtera' itu dibentangkan Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Ahmad Phesal berkata, sebanyak RM103.3 juta diperuntukkan DBKL di bawah perbelanjaan mengurus bagi kerja-kerja pengisaran dan penurapan semula jalan di jalan-jalan awam, kawasan perumahan dan lorong sisi atau belakang di Kuala Lumpur sepanjang 2010 kilometer termasuk kerja-kerja membaik pulih jalan dan persimpangan merbahaya serta longkang.

"Peruntukan pembangunan RM268.6 juta pula bertujuan membina dan menaik taraf jalan raya. DBKL merancang untuk melaksanakan 34 projek di mana 27 projek merupakan pembiayaan DBKL dengan anggaran sebanyak RM199.1 juta manakala tujuh projek di bawah pembiayaan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) sebanyak RM69.5 juta.

"Antaranya meningkatkan Jalan Genting-Klang, membaiki dan memperkukuh cerun-cerun akibat tanah runtuh, membina jambatan Sungai Gombak, meningkatkan Jalan Segambut dari Jalan KTM ke Mont Kiara dan membina persimpangan bertingkat di Jalan Ampang/Jalan Jelatek," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membentangkan Bajet DBKL 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal berkata, DBKL dijangka menambah hasil cukai taksiran sebanyak RM200 juta setahun.

"Pada awalnya kita menjangka akan berlaku peningkatan sebanyak 36 peratus hasil daripada kutipan cukai taksiran kepada RM1.2 bilion.

"Bagaimana pun menerusi penurunan cukai taksiran yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan baru-baru ini dijangka hanya akan bertambah 28 peratus," katanya.

Ahmad Phesal berkata, bagi memastikan warga kota menerima perkhidmatan yang lebih baik tahun depan, melalui Bajet 2014, DBKL akan mengambil beberapa langkah dalam memastikan perkhidmatan yang diberi adalah pada tahap yang memuaskan.

"Antaranya DBKL akan memastikan semua projek pembangunan berasaskan kualiti yang terbaik dan melantik kontraktor yang mempunyai pengalaman yang baik," katanya.

Warga kota dinasihat kurangkan kadar pembuangan sampah

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Ab.Rahim Md. Noor (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada balu Zainuddin Yahya bekas pemandu Alam Flora, Rohana Sulaiman di PPR Pekan Batu, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Warga kota dinasihatkan agar dapat mengurangkan kadar pembuangan sampah sepanjang penutupan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab.Rahim Md. Noor berkata, langkah ini bagi memastikan tidak ada lambakan sampah sepanjang kerja-kerja baik pulih mesin pemampat di stesen dilaksanakan.

"Mungkin pada hari ini kita dapati banyak sampah sarap lambat dikutip dan dibersihkan oleh Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) ekoran dari masalah tersebut jadi kita berharap orang ramai dapat memahami keadaan ini.

"Stesen berkenaan hanya akan beroperasi sepenuhnya pada 30 Disember ini dan warga kota diminta mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai pengurusan sampah terutama mempraktikkan amalan kitar semula,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditanya mengenai perkembangan mengenai pengurusan sisa pepejal ekoran penutupan operasi stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong di sini.

Terdahulu beliau hadir menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada balu seorang pekerja Alam Flora, Allahyarham Zainuddin Yahya 51, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menjalankan tugas pada 17 Disember lalu.

Sumbangan diterima oleh balu Allahyarham, Rohana Sulaiman 43, di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu, di sini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Zainal Abidin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan.

Dalam pada itu kata Ab. Rahim, PPSPPA berhasrat memenuhi semua standard KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dalam pengurusan sisa pepejal di negara ini menjelang September 2014.

"Selain memajukan penggunaan pelbagai teknologi terkini dalam pengurusan sampah oleh semua syarikat-syarikat konsesi yang ada, iaitu Alam Flora , Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM), turut dirancang kempen mengenai pengurusan sampah kepada rakyat di negara ini.

"Di mana-mana negara besar, kos yang tinggi terpaksa dibelanjakan bagi memastikan persekitaran menjadi bersih dan lestari, namun tanpa kesedaran masyarakat mengenainya usaha tersebut hanya sia-sia,"katanya.

Banjir kilat terburuk di Rawang

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh AZRAI MOHAMMAD
kota@utusangroup.com.my

BANJIR kilat di Jalan Batu Arang, Rawang , Selangor menyebabkan ribuan penduduk Rawang terkandas selepas hujan lebat selama tiga jam di kawasan berkenaan, pagi semalam.

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan banjir kilat di Kampung Sungai Bakau, Rawang dekat sini, dengan lebih 20 buah rumah dimasuki air sedalam 0.5 meter ekoran air sungai berdekatan melimpah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, seramai 100 penghuni di kawasan terlibat terjejas selain empat buah kereta turut ditenggelami air.

Kejadian itu juga mengakibatkan ribuan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Batu Arang berhampiran Pusat Beli-belah Aeon Rawang terkandas untuk ke tempat kerja kira-kira pukul 7 pagi.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, hujan lebat itu juga mengakibatkan berlaku kejadian tebing runtuh di Bandar Desa Country Homes yang terletak kira-kira 8 kilometer dari lokasi terbabit.

"Tebing setinggi kira-kira tiga meter itu runtuh dan mengakibatkan pokok tumbang lalu menghempap sebuah kereta yang diletakkan berhampiran kawasan itu.

"Bagaimanapun tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan pada kejadian tersebut," ujarnya.

Seorang penduduk, Hazam Shah Ramli, 33, berkata, beliau menyedari air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 6 pagi apabila membuka pintu depan untuk melihat keadaan di luar kerana hujan lebat.

Bot bagi memindahkan barangan penduduk yang sempat dirakamkan oleh salah seorang mangsa banjir kilat, Hazam Shah Ramli di dalam kediamannya di Kampung Sungai Bakau, Rawang, Selangor, pagi semalam.

"Tidak sampai beberapa minit air telah masuk ke dalam rumah hingga ke paras pinggang.

"Saya terus mengejutkan isteri dan anak-anak saya serta menelefon jiran-jiran. Seorang penduduk terpaksa menggunakan sampan bagi menyelamatkan kami yang terperangkap di dalam rumah," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Ismail Harun, 57, berkata, masalah banjir kilat telah dihadapi penduduk sejak kira-kira 10 tahun lalu lagi iaitu sejak beberapa projek perumahan dibina di sekitar kampung tersebut.

Katanya, bagaimanapun kejadian pagi ini adalah yang terburuk dalam tempoh tersebut.

"Sejak projek-projek perumahan yang terletak kira-kira 50 meter di sekeliling kampung ini dibina, penduduk sering mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat," ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati penduduk sibuk membersihkan rumah masing-masing selepas air surut kira-kira pukul 11 pagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bau busuk dari longkang

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

PENAT MENEGUR
Jalan Temenggong
Segamat.

Saudara Pengarang,

SUDAH beberapa kali teguran disiarkan di ruangan ini berkenaan longkang besar bersebelahan Pejabat Penerangan Daerah Segamat, namun hingga kini tidak nampak mana-mana pihak yang berkenaan membaiki sistem perparitan tersebut.

Bau busuk teramat sangat dari longkang berkenaan mengundang rasa tidak selesa bagi pejalan kaki yang melalui jalan berkenaan yang merupakan laluan pintas dari Bandar Segamat ke Terminal Bas Awam serta sebaliknya.

Masalah bau busuk itu turut terpaksa ditanggung oleh petugas-petugas Pejabat Penerangan berkenaan.

Pada hari biasa bau busuk itu berpunca daripada aliran air dari pasar awam berkenaan dan bau semakin kuat setiap kali hujan.

Batu-batu besar yang dibiar 'menghuni' longkang tersebut secara tidak langsung menjadi penghalang kepada sampah-sarap dan turut menjadi punca bau busuk di longkang berkenaan.

Amat mengejutkan, terdapat beberapa ikan bersaiz besar turut didapati terdapat di longkang berkenaan.

Justeru, sampai bila masalah ini harus berlarutan dan hendak diselesaikan? Hendak menunggu menteri datang melawat baru hendak mengambil tindakan?

Diharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini, usah dicemari nama Segamat yang asal usulnya daripada perkataan 'segar amat' dengan membiarkan permasalahan alam sekitar tidak diambil peduli.

Penduduk berterima kasih kerajaan turap jalan

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

PENDUDUK KAMPUNG PARIT SAKAI,
Muar.

Jalan di Kampung Parit Sakai, Muar, Johor, sudah dinaik taraf sejak Jun lalu dan keadaan itu memberi keselesaan penduduk setempat menjalankan urusan harian.

Saudara Pengarang,

SEBAGAI penduduk Kampung Parit Sakai, Muar kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menurap jalan di kampung ini selepas masalah tersebut disiarkan dalam ruangan Suara Rakyat Johor pada awal Julai lalu.

Jalan itu yang menghubungkan antara Jalan Dato' Haji Kosai dan Jalan Temenggong Ahmad amat penting bagi penduduk setempat kerana bukan sahaja menjadi laluan utama, malah menempatkan Masjid Jamek Al-Manar, Tanah Perkuburan Al-Manar, Institut Pengajian Tinggi Islam dan Bahasa Arab, inap desa serta hampir 10 lorong kecil selain rumah-rumah penduduk.

Laluan sepanjang kira-kira tiga kilometer itu sebelum ini mendatangkan bahaya kerana tidak rata, sebahagiannya mendap di tengah jalan selain terdapat lubang-lubang yang menakung air apabila hujan.

Sebelum ini kami sudah berputus asa kerana malu untuk bertemu ketua kampung dan mendesaknya membawa masalah itu kepada pihak berkaitan, tetapi kini bersyukur kerana masalah itu telah diselesaikan demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

Dalam kesempatan ini saya mewakili penduduk setempat merakamkan setinggi terima kasih atas keprihatinan kerajaan walaupun kawasan itu berada di bawah wakil rakyat pembangkang, tetapi kebajikan kami tidak pernah diabaikan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved