Selasa, 24 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Segera baiki jalan runtuh

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

Sebuah kenderaan melalui kawasan jalan yang runtuh di Felda Sungai Tekam Getah, Jerantut, semalam.

JERANTUT 24 Dis. - Ribuan ribu penduduk yang menggunakan laluan jalan lama Jerantut-Maran mahu pihak bertanggungjawab segera membaik pulih dua kawasan jalan runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Runtuhan tanah akibat banjir menyebabkan laluan berhampiran Felda Sungai Tekam Getah ditutup kerana tidak selamat untuk dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tekam Getah, Abdul Manaf Abdul Kadir berkata, penduduk kini berdepan kesulitan apabila laluan tersebut ditutup.

"Ini adalah laluan utama yang digunakan oleh penduduk di beberapa gugusan Felda serta kampung tradisional untuk menjalankan urusan harian.

"Penduduk terpaksa bergadai nyawa melalui jalan ini biarpun ditutup kerana laluan alternatif yang lain sangat jauh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan akan lebih parah sekiranya berlaku kecemasan terutama pada waktu malam kerana jarak untuk ke hospital agak jauh.

Beliau berkata, penduduk boleh menggunakan laluan ladang sawit, namun tidak semua kenderaan boleh melalui jalan tersebut.

"Kami bimbang jalan ini akan terputus dua jika kerja-kerja membaik pulih tidak dijalankan dalam masa terdekat kerana hujan yang turun akan menyebabkan hakisan," ujarnya.

3,500 pelajar terima bantuan persekolahan Parlimen Bera

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Ismail Sabri Yaakob dua dari kanan) bersama sebahagian daripada penerima bantuan persekolahan di Bera, Pahang, baru-baru ini.

BERA 24 Dis. - Seramai 3,500 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Parlimen ini menerima bantuan persekolahan berupa baju, beg dan kasut dalam satu majlis di sini Sabtu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bantuan persekolahan tersebut diberikan kepada mereka yang layak tanpa mengira warna kulit atau fahaman politik.

"Setiap bantuan yang disalurkan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak termasuk kepada para penyokong tegar pembangkang.

"Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memilih 'bulu' dalam menghulurkan sumbangan. Malah, bantuan persekolahan diberikan setiap kali tibanya musim persekolahan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Persekolahan Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda di sini.

Pada majlis tersebut kira-kira 100 sukarelawan dari UMNO Bahagian Bukit Bintang dan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) hadir bagi menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di daerah tersebut yang terlibat dengan bencana itu baru-baru ini.

Menurut Ismail Sabri, selaras dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini, kerajaan sentiasa memikirkan kaedah atau pendekatan terbaik bagi mengurangkan beban rakyat.

"Percayalah kerajaan sedar dan prihatin mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat dan tidak akan sesekali berdiam diri.

"Kerajaan sentiasa mencari alternatif untuk membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang turut dinaikkan jumlahnya kepada RM650, bantuan persekolahan dan bantuan bencana," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengucapkan terima kasih kepada badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana turut sama membantu menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban rakyat.

SASET sasar kutip RM500,000 bantu mangsa banjir

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Penduduk yang ditimpa bencana banjir mengambil barang bantuan di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 24 Dis. - Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET) menyasarkan kutipan bantuan kemanusiaan sebanyak RM500,000 bagi membantu kira-kira 17,054 keluarga mangsa banjir di negeri ini.

Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Sultan Ahmad Shah berkata, kutipan bantuan kemanusiaan itu diadakan kerana SASET turut terpanggil untuk sama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung oleh setiap mangsa banjir.

"Melalui kutipan itu nanti, kita akan membantu menyumbangkan keperluan asas seperti tilam, pakaian, barangan elektrik dan kelengkapan sekolah bagi anak-anak yang akan memasuki sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.

"Sejak banjir mula melanda awal bulan ini, SASET juga telah pergi ke beberapa pusat pemindahan bagi menyampaikan bantuan," katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SASET pada Majlis Santapan dan Jamuan Malam Amal Misi Bantuan Kemanusiaan Banjir Peringkat Negeri Pahang di sini kelmarin.

Berkenan berangkat pada majlis tersebut, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Tengku Fahd berkata, SASET juga akan menggunakan sebahagian daripada kutipan bantuan kemanusiaan itu untuk memulihkan sistem saliran di kawasan-kawasan yang sering berlaku banjir.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya juga akan mempertingkatkan program bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya menjaga alam sekitar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti banjir.

"Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama semua pihak, kita perlu tahu bagaimana menjaga sistem saliran, begitu juga dalam aspek pengurusan sampah, menjadi tanggungjawab kami bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai.

"Pelbagai program telah kita laksanakan antaranya program Kampung Angkatku, semuanya bertujuan memberikan kesedaran tentang pentingnya menjaga alam sekitar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved