Jumaat, 25 April 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Regatta Lepa XXI terima pengiktirafan MBOR

Posted: 25 Apr 2014 08:41 PM PDT

SEMPORNA 26 April - Sambutan tradisi masyarakat Bajau Semporna Regatta Lepa XXI mencatat sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records selepas berjaya menghimpunkan lepa terbanyak dalam acara yang dianjurkan di sini hari ini.

Majlis penyerahan sijil pengiktirafan itu sempurnakan wakil Ketua Menteri yang merupakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Sabah (SEDCO), Datuk Seri Nasir Tun Sakaran dan disaksikan Penasihat Jawatankuasa Pelaksana Regatta Lepa XXI, Datuk Dr. Jaujan Sambakong.

Perayaan yang masuk edisi ke-21 itu berjaya menarik sejumlah 375 penyertaan lepa daripada penduduk dan sekitar daerah itu berbanding hanya sekitar 200 penyertaan pada tahun lalu. - UTUSAN ONLINE

Shahrun Nabil tersingkir daripada skuad ke kejohanan CC1

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

MOHD. Shahrun Nabil Abdullah antara tiga pemain yang digugurkan daripada skuad negara untuk kejohanan CC1 di Kuantan setelah pasukan negara membuat saringan ketat.

KUANTAN - Persaingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam skuad hoki negara menyaksikan Mohd. Shahrun Nabil Abdullah menerima berita mengejutkan apabila dia tercicir daripada senarai pasukan yang akan bersaing dalam Cabaran Juara-Juara 1 (CC1) di sini.

Keputusan mengejut itu diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam, yang turut menyaksikan Muhammad Razie Abdul Rahim dan Muhamad Ramadan Rosli turut digugurkan daripada pasukan ke kejohanan itu, yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia bermula hari ini.

Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sesi pemilihan yang ketat dibuat terhadap 21 pemain sebelum ini bagi memastikan mereka mendapat skuad 18 pemain terbaik untuk kejohanan tersebut.

"Keputusan itu dibuat kerana perlawanan tersebut hanya memerlukan 18 pemain dan kita memerlukan gabungan pemain muda dan senior," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, kejohanan itu menjadi petunjuk penting dalam memastikan kedudukan skuad hoki negara dalam ranking dunia terus diperbaiki, dan sebagai persiapan menjelang kempen Piala Dunia di The Hague, Belanda 30 Mei depan.

"Ini adalah barisan terbaik yang dipilih selepas mereka mengharungi perlawanan persahabatan dengan China yang mana kita telah menang sebanyak tiga perlawanan, satu perlawanan kita kalah dan satu lagi kita seri.

"Dengan percaturan terbaik skuad yang menggabungkan pemain remaja dan senior, saya percaya kita mampu melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, para pemain yang tidak terpilih menganggotai skuad yang bermain dalam kejohanan itu masih berpeluang disenaraikan ke Belanda nanti.

Dalam pada itu, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu mahu anak buahnya mempamerkan aksi terbaik dalam CC1 dan berharap berada dalam kedudukan pertama di peringkat kumpulan.

"Dengan kedudukan pertama di peringkat kumpulan memudahkan lagi kita melangkah ke final selepas ini. Harapan saya para pemain yang dipilih dapat buat yang terbaik untuk pasukan," katanya.

Skuad negara berada dalam Kumpulan B bersama Perancis, Korea Selatan dan Kanada manakala Kumpulan A pula terdiri daripada New Zealand, Jepun, Ireland dan Poland.

Malaysia akan menentang Perancis pada pukul 9 malam hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


30 warga Afrika ditahan Op Cantas Khas di Cheras

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

SEBAHAGIAN warga Afrika yang ditahan dalam Op Cantas Khas/Op Tiong di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 April - Seramai 30 lelaki serta wanita Afrika ditahan dalam Op Cantas Khas/Op Tiong yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman di sebuah kondominium dan kafe siber di Cheras, di sini hari ini.

Operasi bersepadu selama lapan jam bermula pukul 11 malam tadi itu turut disertai empat agensi lain iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) II, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, operasi berkenaan menyasarkan warga asing khususnya dari Afrika yang terlibat dalam penipuan internet seperti Love Scam, Parcel Scam, Black Money serta merekrut keldai dadah.

"Mereka yang ditahan adalah 26 lelaki dan empat wanita iaitu dari Nigeria, Cameron, Sudan, Zimbabwe, Mauritius dan Tanzania.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 23 orang mempunyai dokumen sebagai pelajar manakala selebihnya tiada. Turut dirampas ialah enam buah komputer riba," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Jalil, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Abdul Jalil berkata, pada tahun lalu, pihaknya menerima sebanyak 1,255 laporan polis berkaitan penipuan yang dilakukan warga asing dari Afrika melibatkan kerugian berjumlah RM80 juta.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 486 tangkapan telah dilakukan.

"Pada tahun ini pula iaitu bermula Januari hingga April ini, sebanyak 239 laporan diterima melibatkan kerugian berjumlah RM10 juta manakala sebanyak 187 tangkapan dilakukan sejak Januari hingga Mac," ujarnya.

Abdul Jalil berkata, sebanyak lima institusi pengajian tingi swasta (IPTS) telah ditarik lesen pengambilan pelajar warga asing oleh KPT pada tahun ini kerana melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Pada tahun lalu, KPT turut menarik lesen daripada lima buah IPTS atas kesalahan sama," katanya.

Op Cantas Khas rampas barang seludup RM7 juta

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

KOTA BHARU 25 April - Pasuka Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barang seludup bernilai RM7 juta dalam Op Cantas Khas yang bermula Oktober tahun lalu sehingga hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA negeri, Supritendan Dahlan Mohd. Noor berkata, jumlah rampasan itu menunjukkan peningkatan hasil operasi berterusan yang dilakukan oleh pihaknya.

Beliau berkata, operasi tersebut meliputi seluruh negeri Kelantan terutamanya kawasan daerah sempadan dengan Thailand seperti Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 140 kes telah dicatatkan. Ia juga menunjukkan peningkatan daripada fasa satu sehingga fasa empat.

"Setakat ini sebanyak tujuh kes melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyeludup dadah.

"Kita percaya dan yakin bahawa kita akan menangkap dan merampas lebih banyak lagi barang yang diseludup dalam masa terdekat ini," katanya dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dahlan berkata, operasi tersebut akan terus diadakan di negeri itu sehingga kes penyeludupan dapat dikekang sepenuhnya.

Ujarnya, seramai 45 anggota PGA dari negeri ini, Terengganu dan Pahang akan terlibat dalam operasi tersebut.

"Operasi ini untuk membanteras jenayah rentas sempadan yang melibatkan aktiviti penyeludupan terutamanya senjata api, dadah dan pemerdagangan manusia," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Projek ternakan lebah madu tambah pendapatan penduduk

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

ZAINAL Dahalan (tiga dari kiri) melihat kotak yang dijadikan sarang lebah untuk menghasilkan madu di Kuala Tahan, Pahang, kelmarin. Turut kelihatan Ahmad Nazlan Idris (dua dari kiri) dan Arpan Shah Satu (kiri).

KUALA TAHAN 25 April - Pendapatan daripada jualan madu lebah kini mampu memberi pulangan lumayan berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk itu.

Walaupun madu lebah boleh diperoleh atau dibeli dari pelbagai tempat, namun ramai yang tertanya-tanya adakah ia benar-benar asli?

Sehubungan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kini mengorak langkah mahu menjadikan kawasan Ulu Tembeling untuk projek ternakan lebah madu.

Pembabitan LPP dalam projek itu bertujuan menjamin pasaran madu yang dihasilkan adalah asli.

Projek ternakan lebah madu itu melibatkan beberapa buah kampung termasuk Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal dan banyak lagi.

Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahalan memberitahu, mereka yang berminat mengusahakan ternakan lebah madu itu akan terlebih dahulu Menjalani kursus khas di Johor.

Menurutnya, setelah tamat kursus, LPP sedia menyalurkan bantuan tertentu kepada peserta terbabit untuk memulakan usaha ternakan lebah madu berkenaan.

"Bantuan ini termasuk menyediakan kotak yang dijadikan sarang untuk lebah membiak, bot sebagai pengangkutan air yang melibatkan kawasan pedalaman dan sebagainya.

"Kita percaya melalui tunjuk ajar yang betul, projek ini akan berjaya kerana peserta hanya perlu memastikan lebah yang diternak membiak.

"Yang pasti, jualan daripada madu itu nanti akan menambah pendapatan peserta," katanya ketika merasmikan Projek Ternakan Lebah Madu di Kampung Pagi dekat sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dan Ketua Pengarah LPP, Datuk Arpan Shah Satu.

Zainal menambah, permintaan terhadap madu lebah juga semakin meningkat dengan harga yang tinggi selain ramai mengakui khasiatnya.

Sementara itu, Ahmad Nazlan ketika ditemui memberitahu, projek ternakan lebah madu itu bakal mendatangkan pendapatan tetap kepada peserta.

Menurutnya, hasil daripada madu itu juga dicadangkan supaya dibeli oleh LPP sebelum dijual untuk pasaran tempatan.

"Madu lebah yang dihasilkan di kawasan Ulu Tembeling ini akan diletakkan logo LPP supaya pembeli lebih yakin bahawa produk yang dibeli adalah asli.

"Projek ini akan kita perluaskan supaya lebih ramai orang menyertainya," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha, Abdul Hamid Ibrahim, 52, memberitahu, ternakan lebah madu atau kelulut tidak memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, penternak perlu mengetahui teknik penjagaan lebah termasuk bentuk kotak yang menjadi sarang pembiakan lebah berkenaan.

"Jika dijaga dengan betul, kita akan memperoleh hasilnya dalam masa dua minggu hingga sebulan.

"Jika penternak menghasilkan madu kelulut, pendapatannya lebih lumayan iaitu RM800 untuk satu kilogram," katanya.

Gangguan bekalan air di Kuantan

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

KUANTAN 25 April - Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja pembersihan berjadual kolam mendapan di Loji Air Lepar Hilir Fasa 1 di sini pada Isnin ini. Pengurus Kanan Daerah Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Kuantan, Che Abdul Hamid Abdul Rahman berkata, gangguan yang bermula pukul 8 hingga 5 petang itu melibatkan kawasan Felda Lepar Hilir 1 hingga 7, Pulau Manis, Bandar Gambang, Taman Tema Air Gambang, Kolej Matrikulasi, Taman Saujana dan kawasan berhampiran dengannya. "Pengguna di kawasan terlibat akan terputus bekalan air dan dinasihatkan supaya menyimpan air secukupnya bagi mengelak berlaku kesulitan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dadah: Saiful Apek didenda RM2,500

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

SHAH ALAM 25 April - Pelawak dan pelakon popular, Saiful Apek hari ini didenda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana mengambil dadah jenis kanabis, empat tahun lalu.

Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff (gambar), 45, dijatuhi hukuman itu setelah Hakim Datuk Nurchaya Arshad mendapati dia bersalah atas tuduhan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang melepas dan membebaskannya sebelum ini.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman yang sama terhadap tiga lagi tertuduh, Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, yang merupakan pekerja di syarikat milik Saiful Apek, Gitu-Gitu Production.

Sekiranya gagal membayar denda, kesemua tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan.

Hakim Nurchaya turut memerintahkan kesemua tertuduh diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad, manakala Saiful Apek dan ketiga-tiga rakannya diwakili peguam, Zambri Idrus.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang melepas dan membebaskan kesemua mereka daripada pertuduhan itu di akhir kes pembelaan pada 30 September tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.

Isteri saman syarikat insurans RM2 juta

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 25 April - Seorang wanita yang kematian suami akibat kanser paru-paru hari ini memfailkan saman terhadap sebuah syarikat insurans yang didakwa enggan membayar sebarang pampasan kepadanya atas alasan tidak memenuhi faedah perubatan.

Ooi Cheng Cheng, 43, berkata, suaminya, Wilson Tan Teck Hooi atas pujukan wakil syarikat AXA Affin General Insurance Bhd. yang beralamat di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur membeli polisi insurans syarikat berkenaan yang dinamakan Cancer Plus Plan pada 1 November 2012.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan oleh Cheng Cheng selaku plaintif di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ketika suaminya membeli polisi insurans itu, dia didakwa tidak dimaklumkan tentang sebarang syarat selain syarikat terbabit tidak meminta laporan pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, peguam Jason Ong Khan Lee yang mewakili plaintif berkata, Wilson yang juga seorang pengurus kilang meninggal dunia akibat kanser tahun lalu dan isterinya menuntut ganti rugi RM2 juta kerana syarikat berkenaan gagal membuat bayaran walaupun telah diserahkan dokumen prognosis.

"Klausa 2 pada polisi berkenaan memperuntuk syarikat tersebut akan membayar pampasan berdasarkan pelan polisi yang telah dibeli sekali gus sekiranya disahkan menghidap penyakit berkenaan dengan nilai mencecah RM150,000, "katanya kepada pemberita.

Jason berkata, Klausa 3 insurans berkenaan pula memperuntuk premium bulanan yang harus dibayar si mati ialah sebanyak RM55.30 dan Klausa 5 pula memperuntuk masa sehingga 90 hari.

Menurutnya, selaras dengan Klausa 3 polisi insurans berkenaan, Wilson ketika masih hidup telah membuat bayaran premium bulanan sehingga bulan kematiannya.

"Malangnya beliau telah meninggal dunia pada 14 April 2013 dan pada 20 Januari lalu, plaintif telah menelefon syarikat terbabit untuk membuat tuntutan tetapi dimaklumkan tuntutan berkenaan ditolak kerana tidak memenuhi syarat," katanya.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM2 juta atau satu jumlah yang dianggap sesuai oleh mahkamah termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


14 maut bersesak-sesak di Congo

Posted: 25 Apr 2014 12:03 PM PDT

KINSHASA 26 April - Sekurang-kurangnya 14 maut apabila bersesak-sesak semasa menghadiri satu festival memperingati bintang popular muzik Afrika di Republik Demokratik Congo, di sini semalam.

Menurut jurucakap wilayah Bandundu, Camille Sesep, antara yang terbunuh pada majlis memperingati mendiang penyanyi King Kester Emeneya itu ialah dua orang anggota polis.

"Lapan orang turut cedera apabila penonton yang terlalu ghairah bersesak-sesak antara satu sama lain," katanya.

Disebabkan kejadian itu, festival berkenaan terpaksa ditangguh atas alasan keselamatan. - AFP

Krisis Ukraine : ICC mulakan siasatan

Posted: 25 Apr 2014 12:02 PM PDT

THE HAGUE 26 April - Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Fatou Bensouda memulakan siasatan perlakuan jenayah yang dilakukan sebelum dan selepas penyingkiran Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych, lapor mahkamah itu semalam.

Sekiranya ICC melancarkan siasatan penuh, tindakan itu merupakan yang pertama bagi kerajaan yang akan dituduh menyingkirkan pemimpin negara sendiri di luar benua Afrika.

"Siasatan awal telah dimulakan tentang krisis Ukraine bagi mengenal pasti sama ada siasatan penuh perlu dilakukan.

"Bagaimanapun, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum siasatan penuh boleh dijalankan antaranya isu bidang kuasa," jelas ICC dalam satu kenyataan. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Memahami cabaran ibu berkerjaya

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh RAJMAH HASAN
rencana@utusan.com.my

PERAH susu dalam stor, bilik fail, dalam tandas, bawah meja?! Kedengaran begitu janggal dan payah tetapi itulah hakikat yang terpaksa dilalui segelintir ibu bekerja yang masih menyusukan bayi, terutama yang bukan Islam.

Bagi Muslim, surau dijadikan tempat ibu-ibu bekerja ini memerah susu bagi memastikan stok susu perahan mereka mencukupi untuk diminum oleh bayi semasa ditinggalkan bersama pengasuh di rumah.

Senario seumpama itu bukan asing di negara ini memandangkan kesedaran dalam kalangan majikan menyediakan kemudahan berkaitan untuk memenuhi keperluan ibu-ibu bekerja ini masih rendah.

Perkara itu dikongsi Pensyarah Perubatan dan Pakar Patologi (Hematologi) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Faridah Idris ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

"Barangkali bilangan majikan yang menyediakan bilik laktasi (kemudahan untuk memerah susu) boleh dikira dengan jari.

"Sebagai alternatif, ibu-ibu menggunakan lokasi tidak sesuai sekali gus mendedahkan mereka kepada keadaan tidak bersih dan boleh menjejaskan kualiti susu," katanya.

Beliau yang juga konsultan susu ibu berkata, perkembangan semasa menunjukkan kesedaran memberi susu badan kepada bayi semakin meningkat di kalangan wanita muda.

Namun beliau tidak menolak ketiadaan sokongan keluarga, masyarakat dan majikan untuk sama-sama menjayakan hasrat kerajaan agar semua bayi diberi susu ibu akan memudarkan semangat mereka.

Menurutnya, semua pihak melibatkan suami, pembantu taska dan majikan berperanan dalam membantu ibu bekerja ini menyeimbangi tuntutan keluarga dan kerjaya.

"Sudahlah nak perah susu di pejabat susah, sesetengah pembantu taska dan tadika pula enggan menerima perahan susu ibu dengan alasan leceh dari segi penyediaan berbanding susu formula.

"Tekanan sebegini boleh membuatkan sesiapa sahaja untuk berhenti terus daripada memerah susu dan menyusu bayi mereka serta beralih kepada pemberian susu formula sepenuhnya," katanya.

Jika sebuah bilik khas memerah susu lengkap dengan fasiliti sinki dan peti ais dianggap remeh oleh sebahagian besar majikan, beliau meminta mereka berfikir panjang untuk merenung hakikat berikut:

* Bayi yang disusukan oleh susu ibu adalah lebih sihat. Ini dapat mengurangkan perbelanjaan perubatan atau insurans syarikat;

* Dapat mengurangkan beban pengambilan cuti oleh pekerja wanita sekiranya anak sakit;

* Sekiranya kebajikan kakitangan dijaga, pekerja dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada tugasan dalam bidang kerja mereka. Ini dapat memastikan bahawa mereka lebih produktif;

* Jika bilik laktasi disediakan, ini dapat memudahkan si ibu untuk merancang harinya dengan lebih baik (tidak perlu bergegas ke tempat penjagaan anaknya semata-mata untuk menyusukan anaknya).

Untuk menjadi sebuah negara maju, kata Dr. Faridah, sokongan memenuhi keperluan kebajikan pekerja-pekerja wanita amat penting memandangkan golongan itu mewakili 52.4 peratus tenaga kerja di pasaran kini.

Sekiranya tidak, katanya, hasrat kerajaan mencapai 55 peratus penyertaan tenaga wanita di Malaysia menjelang 2015 akan tersasar.

"Apa yang penting kita mantapkan kemudahan sokongan sedia ada. Jika selama ini kita hanya menggalakkan majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak, apa kata kalau kita wajibkan?

"Mungkin juga boleh laksanakan penyeliaan lebih ketat ke atas pengusaha-pengusaha taska dan tadika untuk tingkatkan mutu penjagaan kanak-kanak agar tidak banyak memberi masalah kepada ibu bapa.

"Atau pertimbangan mewujudkan lebih banyak pusat jagaan sementara bagi membolehkan ibu bapa meletakkan anak-anak selepas waktu persekolahan sementara menunggu mereka mengambil anak-anak selepas waktu pejabat," katanya.

Malaysia seharusnya mencontohi negara maju yang mana pekerja wanita diberi penghargaan sewajarnya kerana mereka dianggap aset penting dalam sama-sama meningkatkan ekonomi negara. Sesetengah negara Eropah memperuntukkan cuti bersalin enam bulan hingga setahun, manakala majikan di Amerika Syarikat pula, bersaing undi menjadi antara syarikat mesra wanita terbaik.

Antara keutamaan mereka ialah menyediakan persekitaran pekerja mesra keluarga iaitu kemudahan nurseri serta mengamalkan integrasi kehidupan bekerja untuk menarik lebih banyak penyertaan wanita.

"Kebenaran waktu kerja anjal termasuk mengguna pakai kaedah job sharing iaitu satu kerja diberi kepada dua petugas dan ini memberi kelebihan kepada mereka bertukar giliran bekerja di pejabat.

"Pendekatan outcome based performance juga disenangi pekerja kerana majikan hanya menilai hasil kerja cemerlang disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan tidak mengikat mereka di pejabat," katanya.

Bagi memastikan negara tidak hilang tenaga kerja profesional, beliau menyokong sebarang pelaksanaan mekanisme memberi peluang pekerja wanita yang berhenti untuk kembali bekerja.

"Mungkin boleh diadakan polisi yang memberi kelonggaran kepada kakitangan wanita untuk berhenti sementara daripada pekerjaan bagi melahirkan anak dan kembali bekerja setelah anak mereka membesar," katanya.

Sementara itu, ditanya kemampuannya memikul empat tugas iaitu sebagai isteri, ibu, doktor pakar dan kini penulis, katanya, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga.

Walaupun ibu kepada enam anak perempuan berusia antara dua hingga 16 tahun itu masih menyusukan anak bongsunya, beliau sempat mencuri masa menghasilkan buku bertajuk Membesarkan anak hebat dengan susu ibu sebagai panduan komprehensif kepada ibu-ibu bekerja.

"Ia buku panduan lengkap disampaikan dalam bahasa Melayu ringkas meliputi pelbagai topik termasuk persediaan sebelum dan selepas menjadi ibu, tips penyusuan di lapangan, mengendalikan bayi jaundis antara terkandung dalam buku 400 muka surat ini," kata graduan Universiti Malaya tahun 1998 itu.

Dr. Faridah akan bersama seorang lagi penulis, Mardiana Mat Ishak selaku panel, manakala Nora Herni bertindak moderator dalam forum Wanita Berkerjaya: Realistik ataupun Tidak? bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2014, bermula pukul 11 pagi, esok.

PABKL 2014 diadakan selama 11 hari bermula 24 April dan berakhir 11 Mei ini berlangsung di Tingkat 4, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dibuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Khamis, manakala 10 pagi hingga 9 malam (Jumaat hingga Ahad termasuk cuti umum).

Pemilihan PKR: Siapa yang bakal gigit jari?

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Bermula hari ini melalui konsep Satu Ahli Satu Undi ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara akan mula mengundi bagi memilih barisan kepimpinan parti itu bagi peringkat pusat.

Sementara Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Presiden melalui sandiwara politik yang diatur oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jawatan timbalan presiden pula bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Perhatian sudah tentulah terarah kepada penyandang jawatan tersebut Azmin Ali yang akan berhadapan lima pencabar lain termasuklah daripada musuh ketat politiknya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang mewujudkan satu pasukan bersama seorang lagi yang dikatakan tidak mesra dengan Azmin iaitu Nurul Izzah Anwar.

Walaupun Nurul Izzah tidak bertanding jawatan timbalan presiden sebaliknya mahu mempertahankan kerusi naib presiden namun gabungan bersama Saifuddin memberi isyarat siapa yang beliau mahu sebagai timbalan kepada ibunya, Wan Azizah.

Bagaimanapun penulis diberitahu oleh sumber-sumber yang rapat dengan parti itu, biar apa pun cabaran dan taktik politik yang cuba digunakan oleh musuh-musuh politik Azmin, Ahli Parlimen Gombak itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan jawatannya.

Azmin dikatakan cukup popular di peringkat akar umbi seluruh negara dan kedudukan itu berbeza dengan Abdul Khalid yang dikatakan hanya mendapat sokongan di Selangor manakala Saifuddin pula dilihat sekadar calon kacau daun.

Perkembangan terkini ini sudah tentulah tidak menyenangkan penyokong-penyokong Wan Azizah, Nurul Izzah, Abdul Khalid dan juga Saifuddin. Ia memandangkan mereka dikatakan mahu melihat pemilihan kali ini sebagai detik menguburkan karier politik Azmin dalam PKR.

Sebab itulah apabila Anwar mengumumkan menarik diri daripada bertanding kerusi Presiden bagi memberi laluan kepada Wan Azizah mengekalkan jawatan, kelompok ini menghantar mesej di dalam laman sosial bahawa keputusan Anwar menyebabkan ada orang yang gigit jari.

Bukan rahsia lagi, insan yang dikatakan terpaksa gigit jari itu dituju kepada Azmin kerana pada awal lagi ada cadangan dan desakan supaya Azmin bertanding jawatan Presiden bagi mencabar Wan Azizah. Bagaimanapun Azmin dikatakan begitu setia untuk melihat langkah politik Anwar dalam pemilihan kali ini, tetapi ia akhirnya dilihat hanya merugikan Azmin.

Bagaimanapun kerugian yang dimaksudkan hanyalah terlepas jawatan Presiden tetapi dari segi mengekalkan jawatan sebagai orang nombor dua parti, Azmin dikatakan mempunyai peluang cukup cerah. Keadaan ini sudah tentulah tidak akan menyenangkan Wan Azizah yang mungkin di bibir sahaja berikrar akan bekerjasama dengan sesiapa juga yang menjadi timbalannya, tetapi semua orang tahu apa sentimen sebenar beliau jika Azmin menang.

Begitu juga dengan Abdul Khalid yang sering sahaja terancam kedudukannya sebagai Menteri Besar apabila Azmin dilihat memainkan peranan sebagai pengkritik nombor satu beliau. Kemenangan yang memihak kepada Azmin akan menyebabkan kedudukan politik Abdul Khalid juga sedikit tergugat.

Abdul Khalid mahu memenangi jawatan timbalan presiden bukan semata-mata bagi memastikan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor kukuh tetapi apa yang lebih penting menyingkirkan musuh ketat politiknya iaitu Azmin dalam percaturan politik PKR.

Namun begitu hasrat Abdul Khalid dijangka tidak akan kesampaian kerana Azmin dilihat mempunyai sokongan kukuh di peringkat akar umbi. Kelemahan Abdul Khalid dalam menangani pelbagai isu di Selangor termasuklah terbaharu krisis air menyebabkan beliau dilihat bukanlah orang yang paling sesuai untuk berada di sisi Wan Azizah sebagai timbalan.

Apa pun pemilihan PKR kali ini menyaksikan parti itu tidaklah sesempurna mana. Sama ada hendak diakui atau tidak sejak penyerahan borang calon baru-baru ini pelbagai taktik politik kotor diamalkan dalam parti tersebut.

Jika sebelum ini pemimpin-pemimpin PKR begitu mendabik dada menyatakan parti mereka mengamalkan demokrasi dan sering mengecam kononnya wujud politik kotor dalam UMNO hakikatnya mereka lebih buruk daripada UMNO.

Sudah pastilah orang yang paling teruk diserang peribadinya ialah Azmin. Terdapat risalah yang diedar mendedahkan dakwaan skandal Azmin. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana wujudnya pemasangan sepanduk-sepanduk yang bertujuan meranapkan kredibiliti Azmin.

Walaupun tindakan sedemikian dikatakan tidak mampu menggugat Azmin yang dilihat mendapat sambutan hangat setiap kali turun bertemu ahli-ahli PKR di seluruh negara tetapi itulah wajah politik sebenar PKR.

Dalam keghairahan mereka menuding jari menuduh UMNO dengan pelbagai tuduhan tidak berasas, PKR sendiri hakikatnya sedang dilumuri dengan pelbagai masalah. Ketika Anwar terpaksa turun naik mahkamah, Wan Azizah pula terus memainkan peranan sebagai peraih simpati, perebutan kuasa dalam PKR sudah tidak mampu disembunyikan lagi.

Pemimpin-pemimpin PKR mungkin terlupa atau sengaja melupakan bahawa politik adalah berkaitan kuasa dan kedudukan malah dalam politik juga tiada musuh atau kawan yang kekal. Begitulah dalam pemilihan kali ini, masing-masing ingin mengukuhkan kedudukan kerana merasakan PKR kini semakin kuat dan berpeluang untuk meraih lebih banyak kerusi dalam pilihan raya.

Tambahan pula, pemilihan itu juga bakal penentu kepada corak kepimpinan PKR selepas ini jika Anwar gagal dalam rayuannya di peringkat Mahkamah Persekutuan selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Pemimpin-pemimpin PKR amat memahami sejauh manakah keupayaan Wan Azizah untuk menjadi pemimpin utama parti itu. Beliau bukanlah ahli politik tulen tetapi ahli politik 'bidan terjun' yang diwujudkan oleh PKR apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan UMNO pada 1998.

Ketika ini Wan Azizah bergantung sepenuhnya kepada Anwar untuk mengemudi PKR dan sudah tentulah apabila Anwar terpaksa menjalani hukuman penjara, Wan Azizah akan menjadi Presiden PKR paling lemah. Dan pada masa itu sudah tentulah Wan Azizah amat memerlukan timbalan yang beliau percayai dan tidak mempunyai apa-apa sentimen. Jika Azmin kekal sebagai timbalan presiden, ia bukanlah kedudukan yang selesa bagi Wan Azizah.

Apa pun semua pihak perlu menunggu pemilihan selesai pada 11 Mei ini untuk melihat siapakah pemimpin PKR yang akan gigit jari kerana tewas dalam pemilihan yang belum tentu akan berjalan secara aman dan kalau pun kekecohan berlaku ia bukanlah sesuatu yang ganjil bagi sebuah parti yang ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Astro Warna pecah rekod siar rancangan komedi 24 jam mulai malam ini

Posted: 24 Apr 2014 08:52 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Saluran Astro Warna bakal mencipta sejarah dalam bidang penyiaran tanah air apabila menyiarkan kesemua rancangannya yang berkonsepkan komedi secara langsung selama 24 jam mulai 10 malam ini sehingga 10 malam esok.

Menurut Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani, Astro Warna yang bersiaran menerusi saluran 132 itu akan dicatatkan dalam buku Malaysia Book of Records sebagai stesen televisyen yang paling lama menyiarkan program komedi secara langsung di negara ini.

``Rekod ini akan dimulakan pada 25 April ini pukul 10 malam (malam ini) melalui final pertandingan School of Lawak dan diikuti dengan program-program komedi lain yang diterbitkan oleh Astro Warna tanpa henti dan secara langsung sehinggalah pukul 10 malam esok.

``Kami mahu mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai saluran televisyen tempatan yang pertama dan paling lama iaitu 24 jam sehari menyiarkan bukan sahaja kesemuanya program komedi tetapi juga disiarkan secara langsung,'' katanya. - UTUSAN ONLINE.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk tanggung derita

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Projek pembinaan kondominium mewah didakwa menjadi punca banjir kilat di Apartmen Juara Suria, Balakong, Selangor, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR 24 April - Sebanyak 400 penghuni Apartmen Juara Suria, Balakong dekat sini terpaksa menanggung derita ekoran kejadian banjir lumpur yang berlaku di situ setiap kali hujan lebat sejak kebelakangan ini.

Mereka mendakwa, projek pembinaan kondominium mewah yang bermula awal tahun ini bersebelahan apartmen tersebut menjadi faktor utama yang mengakibatkan bencana banjir kilat selain berpunca dari sistem perparitan yang tidak memuaskan.

Lebih parah, banjir lumpur itu bukan sahaja melanda dan memenuhi ruang tempat letak kereta, tetapi turut menjejaskan kolam renang, taman permainan dan kawasan sekitar.

Tinjauan Utusan Malaysia ke apartmen setinggi sembilan tingkat itu hari ini mendapati aduan penduduk berasas.

Kesan banjir lumpur yang didakwa berlaku awal bulan ini masih kelihatan. Pihak kontraktor projek terlibat dilihat giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan aparment yang mempunyai satu blok, 130 unit itu.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Juara Suria, Ainul Hisham Inul Jalal berkata, kejadian banjir lumpur pada 3 April lalu adalah yang terbaharu dan merupakan kali keenam berlaku di situ.

Menurutnya, hasil perjumpaan dengan wakil kontraktor projek pihak terlibat menyatakan kekesalan berhubung terhadap kejadian tersebut selain mengambil tanggungjawab dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan apartmen terjejas.

Difahamkan, pihak kontraktor telah menjalankan kerja-kerja membaiki sistem perparitan itu hari ini. Kelmarin, saya telah menghantar surat aduan rasmi kepada pihak pemaju termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) namun mereka masih gagal memberikan sebarang maklum balas," katanya.

Katanya, jika tiada sebarang tindakan susulan yang wajar diambil dan kejadian itu terus berulang, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Seorang penduduk, Frankie Tan, 45, pula berkata, dia bimbang jika bencana sama terus berulang sekali gus mengakibatkan tragedi tanah runtuh.

Saya telah menghubungi wakil rakyat di sini dan menceritakan tentang apa yang berlaku.

Beliau mengatakan pihaknya bersama-sama MPKj akan menjalankan tindakan susulan dalam masa terdekat," katanya.

Ujarnya, dia difahamkan sebanyak dua kontraktor daripada projek tersebut, masing-masing telah didenda sebanyak RM250,000 ekoran kejadian berkenaan.

Turut meluahkan rasa kesal, pengawal keselamatan, Derek Surin, 67.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantuan dan tindakan segera bagi menggelakkan kejadian lebih buruk pada masa akan datang.

Sebahagian Jalan Bukit Bintang masih ditutup

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

Seorang pekerja binaan menunjukkan tanah mendap yang telah dibaik pulih di hadapan Bangunan LTAT, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 24 April - Sebahagian Jalan Bukit Bintang di antara Chulan Square dan Menara Worldwide dekat sini masih ditutup kepada semua lalu lintas bermula hari ini berikutan kerja-kerja pengukuhan tanah yang dijalankan sepanjang malam tadi.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Strategik Mass Rapid Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Amir Mahmood Razak berkata, langkah itu ekoran kejadian tanah mendap sedalam empat meter yang dikesan di bawah laluan pejalan kaki di Jalan Bukit Bintang menghala Jalan Tun Razak berdekatan bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Menara Worldwide.

Ketika kerja-kerja pembaikan dijalankan di situ satu mendapan kecil dikesan kira-kira satu meter dari lokasi asal.

Kerja-kerja penurapan kemudian dilakukan dan masih berjalan sehingga kini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihat menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan jalan raya berikutan kerja-kerja pembaikan yang sedang dijalankan di situ.

Semasa penutupan jalan itu, laluan trafik kontra dilaksanakan dengan kenderaan dari Jalan Bukit Bintang menuju ke Jalan Tun Razak diarahkan ke dua lorong bertentangan.

Antara laluan alternatif yang boleh digunakan ialah dengan melalui Jalan Imbi ke terowong SMART dan meneruskan perjalanan ke bulatan Kampung Pandan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan sebelum jalan tersebut diturap semula.

Setakat pukul 5 petang, trafik di laluan tersebut bergerak lancar sambil dikawal oleh polis trafik.

Dalam perkembangan sama, Amir Mahmood turut menafikan khabar angin yang mengatakan bahawa terdapat kenderaan telah jatuh ke dalam lubang yang terbentuk akibat tanah mendap itu.

Ada pihak yang menyebarkan gambar lubang benam yang kejadiannya bukan di Malaysia.

Saya meminta pihak berkenaan agar berhenti daripada menyebarkan berita yang tidak benar dan orang ramai juga dinasihatkan agar menerima maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak MRT Corp.," katanya.

Tapak pelupusan sampah baharu akan dibina di Semenyih

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

HULU LANGAT 24 April - Pembinaan tapak pelupusan sanitari oleh kerajaan Selangor di Kampung Pasir Baru, Semenyih menghala ke Sungai Tekala dekat sini dijangka dimulakan dalam masa terdekat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hassan Nawawi Abd. Rahman berkata, ia akan dapat menyelesaikan masalah bau busuk dan pencemaran alam sekitar yang ditanggung penduduk di Kampung Pasir Baru ekoran lori-lori sampah yang didakwa menggunakan jalan di kampung itu.

Menurutnya, kawasan yang dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Worldwide Holding Berhad merupakan lokasi strategik dan jauh dari penempatan.

Lokasi tersebut terletak sejauh lapan kilometer dari Pusat Perolehan Semula Sumber Sisa Pepejal MPKj Kampung Pasir Baru yang juga dikenali sebagai Refused Derived Fuel (RDF).

RDF itu wujud sejak 2004 dan pada Mei tahun lepas, ia tidak mampu beroperasi untuk menampung dan mengeluarkan sampah lebihan sejumlah 50,000 tan. Namun, ia telah diberi amaran oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) agar menamatkan operasi atas beberapa faktor termasuk mengakibatkan pencemaran.

Bagaimanapun, ia menyebabkan kesulitan kepada MPKj kerana kita menguruskan sebanyak 500 tan sampah dalam sehari kerana penduduk di kawasan MPKj berjumlah 780,000," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini berhubung tindakan kira-kira 100 penduduk Kampung Pasir Baru, Semenyih menghalang lori-lori sampah menggunakan laluan di kampung itu untuk ke sebuah kilang pelupusan sampah yang didakwa menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Menurut Hassan Nawawi, pihak MPKj turut meminta kerjasama JAS supaya menarik semula penutupan RDF berikutan sampah yang banyak terpaksa diuruskan oleh MPKj.

Pada 7 April lalu, RDF tidak dapat menerima sampah daripada MPKj dan operasi di situ tidak dapat menampungnya lagi ekoran masalah teknikal.

Sebagai langkah kecemasan, lokasi pembuangan ditukarkan ke tapak pelupusan di Sungai Kembong lebih kurang tiga kilometer daripada RDF.

Ia melalui tepi Kampung Pasir yang merupakan jalan milik Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk sementara waktu dalam masa seminggu, namun turut mendapat bantahan penduduk," katanya.

Jelasnya, sambil menunggu tapak pelupusan sampah kawasan sanitari itu siap dibina, sampah akan dihantar ke tapak pelupusan di Tanjung 12, Kuala Langat buat sementara waktu.

Ujarnya, MPKj masih dalam perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan isu tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Tudung mudah dipakai

Posted: 24 Apr 2014 11:30 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NOOR ADZRENE MOHD. NOR

Gaya pemakaian tudung memang cepat berubah. Suatu ketika dahulu, tudung sarung berawning jadi fenomena tetapi kini semakin reda dan diambil alih pula tudung selendang.

Begitupun, di sebalik kepelbagaian corak dan gaya selendang, tudung yang mudah dipakai tetap mendapat sambutan di kalangan penggemarnya.

Tudung Syria dan tudung awning lembut merupakan di antara tudung yang mudah dipakai.

Tudung-tudung ini pula dibuat daripada jenis fabrik yang lembut dan memerlukan penjagaan yang amat minimum.

Di antara fabrik pilihan bagi tudung Syria atau tudung awning lembut ini ialah daripada jenis lycra yang lembut dan berkualiti, sutera syifon, kapas lycra, denim lembut dan krep moss.

Tudung keluaran Colourful Collections amat mementingkan keselesaan si pemakai dan peka dengan masalah yang dialami oleh wanita yang biasanya ingin cepat apabila bersiap.

Wanita yang bekerja atau suri rumah kebiasaannya ingin cepat bersiap untuk ke tempat kerja atau keluar menghantar dan menjemput anak di sekolah, ke kedai dan sebagainya.

Mereka biasanya akan mencapai tudung yang mudah dipakai dan tidak perlu pin atau diperkemas.

Tudung selendang semua orang tahu mengambil masa hendak memakai kerana perlu dipakai bersama anak tudung, dililit dan pin kemas. Paling tidak mengambil masa selama 10 minit.

Justeru itu saya tidak mahu membuat tudung yang susah hendak dipakai kerana tidak mahu wanita berasa sukar apabila hendak mengenakan tudung," kata Zuraity Zulkifli, Pengarah Urusan serta pemilik Colourful Collections.

Menurutnya lagi, apabila seseorang terasa mudah hendak memakai tudung maka ia seperti satu galakan untuk individu itu untuk terus bertudung.

Selain mudah dipakai, kata Zuraity, tudung Syria dan tudung awning lembut ini boleh dibawa untuk bersolat kerana bahagian hadapan tudung melekap di dahi dan menutupi anak-anak rambut.

Bahagian bawah dagu tudung Syria turut dijahit tetas benang bagi memudahkan pelanggan yang berwajah lebar menetas benang bagi membesarkan sedikit saiz muka pada tudung.

Beliau yang menerima banyak permintaan terhadap tudung-tudung sebegini daripada pelanggan tetap juga pelanggan baru akan mengeluarkan rekaan terbaharu sebanyak dua kali seminggu.

Sebanyak 300 helai dikeluarkan pada setiap keluaran dan sambutan memang menggalakkan. Pelanggan beliau bukan sahaja dari Malaysia malah menjangkau ke Singapura, Brunei dan Australia.

Zuraity sendiri yang akan memilih fabrik untuk dijadikan tudung daripada fabrik yang polos sehingga yang bercorak. Tudung-tudung yang dibuat pula bersaiz M yang labuhnya cukup menutupi bahagian dada. Jika terdapat permintaan, saiz L akan turut dibuat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pemuda berhenti kerja jaga ibu bapa

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
utusanjohor@utusan.com.my

Zulkurnain Kamisan (duduk) melihat Xan Abd. Kader yang dijaga oleh anak bongsunya, Muhammad Hairul Xan (kiri) ketika melawat keluarga itu di Parit Sulong, Batu Pahat, baru-baru ini.

BATU PAHAT 24 April - Anak bongsu daripada sembilan beradik sanggup berhenti kerja di sebuah kilang di sini sejak tiga tahun lalu kerana mahu menjaga ibu bapanya yang terlantar sakit di rumah.

Muhammad Hairul Xan, 35, berbuat demikian kerana bapanya, Xan Abd. Kader, 85, memerlukan penjagaan rapi setiap masa selepas terlantar di katil akibat sakit tua sejak enam tahun lalu.

Sebelum ini, ibu saya, Wardienah Abdul Ralim, 80, yang menjaga bapa, tetapi tidak lama kemudian ibu juga sakit sejak empat tahun lalu menyebabkan semua urusan berkaitan mereka dilakukan oleh saya.

Adik-beradik yang lain sudah berkahwin dan tinggal di luar Johor, tetapi mereka juga ada datang menjenguk ibu dan bapa. Saya tidak boleh meninggalkan mereka terlalu lama kerana bimbang dengan keadaan kesihatan mereka," katanya ketika ditemui di Parit Sulong di sini baru-baru ini.

Muhammad Hairul juga sanggup menangguhkan hasrat berkahwin kerana merasakan tanggungjawab menjaga ibu bapanya perlu diutamakan.

Saya serahkan soal jodoh kepada Allah. Kalau ada, saya akan kahwin tetapi buat masa ini saya masih belum memikirkannya kerana sudah pasti masa untuk menjaga ibu dan bapa agak terhad," katanya yang kini berkebun secara kecil-kecilan di belakang rumah mereka.

Dia mengakui pendapatan hasil tanaman tidak menentu dan kadangkala tidak mampu membeli ubat untuk orang tuanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan yang melawat keluarga itu berjanji akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu mendapatkan bantuan sewajarnya untuk kedua-dua warga emas berkenaan.

Sekiranya mereka masih belum menerima sebarang bantuan, saya akan uruskan kerana dengan bantuan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban terutamanya untuk membeli ubat serta keperluan warga emas itu," katanya.

Pantau tahap kesihatan jemaah

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 24 April - Agensi pelancongan yang mengendalikan urusan umrah di negeri ini diminta memantau tahap kesihatan jemaah sebelum dan selepas pulang mengerjakan ibadah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, langkah itu bagi memastikan jemaah khususnya yang baru pulang dari Mekah bebas daripada dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV).

Beliau berkata, langkah tersebut mampu mencegah penularan virus yang dipercayai disebar menerusi unta itu daripada menjangkiti orang ramai dan ahli keluarga seandainya jemaah terlibat disahkan dijangkiti MERS-CoV.

Jabatan Kesihatan negeri telah memaklumkan kepada semua 32 agensi pelancongan yang mengendalikan urusan umrah di negeri ini agar sentiasa memantau kesihatan jemaah.

Ini termasuk menasihati jemaah untuk membuat pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan berhampiran sama ada sebelum berangkat ke Mekah ataupun sebaik sahaja pulang mengerjakan ibadat tersebut," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Bumi dan melancarkan Program Alam Sekitar peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) negeri 2014 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Mokhtar Abdul Majid dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.

Baru-baru ini, seorang penduduk Kampung Bintang, Batu Pahat, Kamaroz Zaman Jafri, 54, meninggal dunia sebaik pulang mengerjakan umrah akhir bulan lalu akibat dijangkiti MERS-CoV.

Ayub berkata, agensi pelancongan tersebut juga dinasihatkan supaya tidak melibatkan jemaah dengan aktiviti berkaitan unta atau minum susu haiwan peliharaan berkenaan sepanjang menunaikan ibadat di Tanah Suci.

Dalam pada itu beliau memberitahu, jumlah penduduk yang dikenakan pengawasan dalam rumah juga telah berkurangan, hanya lapan orang yang merupakan sanak-saudara kepada Kamaroz Zaman yang masih dipantau tahap kesihatan mereka.

Pihaknya akan terus memantau perkembangan terkini jangkitan MERS-CoV dan meminta orang ramai yang mengalami demam, batuk, selesema dan sakit tekak supaya segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib lancar portal aduan komuniti 'fortherakyat.com'

Posted: 25 Apr 2014 01:57 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan portal aduan komuniti 'fortherakyat.com', satu lagi platform untuk orang ramai mengadu dan mengetengahkan permasalahan mereka.

Portal seliaan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO itu membolehkan masyarakat menyalurkan terus sebarang masalah seumpama itu, dan biro berkenaan akan menghubungi pengadu dan menjelaskan tentang langkah penyelesaian.

Pengerusi biro itu, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A. Rahman berkata, portal berkenaan berfungsi secara interaktif dan pengadu boleh memantau setiap aduan yang dibuat.

"Kelebihan portal ini ialah ia bersifat interaktif dengan setiap aduan akan mempunyai status seperti 'diterima', 'disemak', dan 'diproses.'

Apabila aduan diselesaikan, ini akan dimaklumkan kepada pengadu melalui e-mel," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran portal itu.

Katanya, hampir semua jenis aduan bersandarkan masalah komuniti berkaitan isu seperti kepenggunaan, perkhidmatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kewangan dan ekonomi boleh diajukan ke portal itu.

Sheikh Ahmad Nafiq berkata, setiap aduan dijangka melalui proses semakan dan penyelesaian antara dua minggu hingga empat bulan, selain bergantung juga kepada proses di peringkat agensi kerajaan terlibat.

Katanya, sejak mula beroperasi sebulan lalu, portal itu menerima 84 aduan orang ramai, 79 daripadanya berjaya diselesaikan. - BERNAMA

SPAD, JPJ perlu berterusan pantau pemandu bas

Posted: 25 Apr 2014 01:50 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan pemantauan berterusan terhadap perkhidmatan bas ekspres dan persiaran.

Katanya, ia bertujuan mengembalikan semula keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa terhadap industri pelancongan negara selepas beberapa insiden membabitkan bas baru-baru ini.

"Walaupun SPAD dan JPJ melaksanakan tugas dengan baik, namun pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperketat dan dilakukan secara konsisten.

"Kita (kementerian) harap SPAD dan JPJ tidak hanya bertindak ketika berlaku nahas sahaja. Sebaliknya mereka perlu memainkan peranan sebelum dan selepas pengambilan pemandu bas," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis pelancaran Promosi Kerja Kahwin 2014, di sini hari ini.

Dalam bulan ini hingga semalam, empat kemalangan melibatkan bas dilaporkan berlaku di Pahang, ada yang menyebabkan penumpang maut. - BERNAMA

Air mentah dari bekas lombong selamat digunakan - MB Selangor

Posted: 25 Apr 2014 01:32 AM PDT

KLANG 25 April - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menepis dakwaan yang mengatakan bahawa langkah kerajaan negeri menggunakan air mentah dari bekas lombong untuk menampung keperluan air di Lembah Klang boleh menimbulkan masalah kesihatan kerana terdapat kandungan logam berat di dalamnya.

Beliau berkata, kandungan air dari bekas lombong selamat digunakan berdasarkan kaedah pensampelan yang dibuat oleh Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan.

"Kita ada pakar lain yang mengatakan air dari bekas lombong selamat digunakan dan ujian yang dijalankan oleh ahli kimia turut mendapati perkara sama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program khas bersama rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang yang juga Naib Canselor serta Profesor Pelestarian Air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dilaporkan berkata langkah kerajaan Selangor mendapatkan bekalan air mentah dari bekas lombong tidak sesuai kerana ia mungkin boleh menyebabkan penyakit kulit.

Dr. Zaini dilaporkan berkata kajian yang dilakukannya sebelum ini mendapati air bekas lombong tidak bermasalah jika diambil pada bahagian permukaan tetapi jika disedut hingga ke dasar, bahan logam berat akan turut disedut sekali.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, kerja-kerja mengepam air dari kolam-kolam bekas lombong telahpun dimulakan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air ketika ini dengan lapan pam air berkeupayaan tinggi yang setiap satunya mampu mengepam jumlah air sebanyak 50 juta liter sehari. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Mangsa kebakaran syukur, terharu

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan Zulkifli Saad (tiga dari kanan) ketika melawat rumah mangsa yang terbakar di Kampung Pekan Lama Pulai, Baling, baru-baru ini.

BALING 24 April - Mangsa kebakaran yang tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian di Kampung Pekan Lama, Pulai dekat sini Jumaat lalu melahirkan rasa syukur apabila bakal mendapat sebuah rumah baharu.

Zulkifli Saad, 56, berkata, dia terharu apabila mendapat bantuan segera untuk membina rumah baharu menggantikan rumah mereka yang musnah dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu.

Saya bersyukur kepada Allah kerana akan dapat rumah baharu tidak lama lagi, jika tidak, tidak tahulah di mana kami sekeluarga akan tinggal kerana mustahil dalam masa singkat dapat mengumpul wang untuk membina rumah baharu.

Kami kini hanya tinggal sehelai sepinggang, menumpang di rumah saudara, tiada apa lagi yang ada," katanya di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, bantuan tersebut diluluskan oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat mereka sekeluarga baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut Abdul Azeez, mangsa tergolong dalam golongan yang tidak bernasib baik dan wajar mendapat bantuan sebuah rumah baharu memandangkan mereka mempunyai tujuh orang anak.

Beliau berkata, melalui peruntukan pejabatnya keluarga berkenaan mendapat sebuah rumah baharu bernilai RM33,000 lengkap dengan tiga bilik tidur dan bilik air.

Saya juga meminta UMNO Baling menyumbangkan kelengkapan termasuk peti ais, televisyen, pakaian sekolah dan juga netbook kepada seorang anak mangsa, Nor Syafiqah,19, yang belajar di Kolej Islam Sains Teknologi, Bachok, Kelantan.

Saya berharap dengan bantuan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan yang hilang segalanya," kata Abdul Azeez.

Dalam kejadian tersebut, tiga anak perempuan Zulkifli dan isterinya, Kamariah Yusof, 52, iaitu Nor Syafiqah, 19, Khairul Nadihah, 14, dan Alia Falida, 12, dikatakan sedang tidur di tingkat bawah rumah papan dua tingkat apabila api muncul di penjuru sebuah bilik.

Ketika itu, suami isteri tersebut keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka.

IPG Perlis juara Pidato 1Malaysia

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

Oleh Sholina Osman
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 24 April - Pelajar Tahun Kedua Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis muncul sebagai juara Pertandingan Pidato 1Malaysia sekali gus akan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan di Miri, Sarawak pada Jun nanti.

Zakhary Farouk Chai, 20, pelajar bidang pengajian bahasa Inggeris ini yang memilih tajuk Transformasi Membentuk Negara Sejahtera berjaya menewaskan tujuh peserta lain.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Khaw Hock Kong yang merasmikan majlis itu di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Padang Behor di sini hari ini.

Tempat kedua disandang oleh M. Ragini, 21, yang menerima wang tunai RM1,000 dan sijil manakala tempat ketiga oleh S. Shermala, 21, menerima wang tunai RM500 dan sijil di mana masing-masing pelajar IPG Perlis.

Pemenang saguhati pula menerima hadiah wang tunai RM300 dan sijil.

Yang turut hadir Pengarah Penerangan Negeri, Mohammad Lokman Mahmud.

Zakhary yang pertama kali menyertai pertandingan pidato di peringkat negeri anjuran Jabatan Pe-nerangan Negeri ini mengakui tidak menyangka akan berjaya dinobatkan sebagai juara.

Anak ketiga dari empat adik-beradik ini bersyukur kerana usahanya selama seminggu termasuk membincangkan isi kandungan pidato dengan pensyarah telah membuahkan kejayaan.

Saya juga berlatih berpidato selama dua jam sehari di hadapan rakan-rakan supaya lancar bercakap sambil dinilai oleh mereka," katanya yang berasal dari Tawau, Sabah.

Beliau berjanji akan memperbaiki beberapa kelemahan dalam kelancarannya bertutur supaya dapat membawa pulang kemenangan di peringkat kebangsaan nanti.

Zakhary yang meminati bidang pidato sejak zaman persekolahan percaya minatnya dalam bidang ini akan membantunya untuk menjadi guru yang berjaya di masa depan.

50 Orang Asli ikuti latihan perguruan

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

SUNGAI SIPUT 24 April - Dalam memastikan pendidikan untuk anak Orang Asli terus terbela, seramai 50 orang dari masyarakat itu kini giat mengikuti latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.

Timbalan Rektor IPG Malaysia, Dr. Lee Boon Hua berkata, mereka kini memasuki fasa ketiga latihan di kampus berkenaan dan mereka diharap dapat menjadi kumpulan perintis pertama guru untuk ditugaskan di sekolah Orang Asli.

Menurutnya, prestasi mereka berada pada tahap yang baik, bertepatan dengan hasrat IPG yang mengutamakan guru berkualiti dan berkelayakan bagi memperkasakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Pengambilan khas guru pelatih dalam kalangan masyarakat Orang Asli bermula pada tahun 2010. Ini merupakan satu transformasi pendidikan masyarakat Orang Asli supaya mereka mempunyai semangat daya juang untuk meningkatkan pendidikan.

Dalam memastikan kemajuan guru, IPG telah menghantar guru pelatih di sekolah Orang Asli di seluruh negara untuk mengenali cara hidup dan budaya masyarakat ini.

Setakat ini kita mempunyai 50 pelatih Orang Asli dan kita berharap jumlah itu akan bertambah pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Jalinan Mesra Peribumi 2014 di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, dekat sini hari ini.

Tambah Boon Hua, melalui strategi didik hibur, IPG berharap guru berupaya menyerap tekanan serta berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran sekiranya mereka ditempatkan di kawasan pedalaman seperti perkampungan Orang Asli.

Pendidikan ketika ini tidak lagi berkisar kepada pengetahuan asas sahaja tetapi pendidik mesti mampu melahirkan pelajar kreatif yang boleh menyelesaikan masalah serta boleh berfikir secara kritis dan analitis.

Bagi mencapai hasrat itu, pendidikan perlu bersifat dinamik dan menyeluruh yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved