Isnin, 12 Mei 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


TMJ, Annuar buat pakatan?

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Annuar Musa

KUALA LUMPUR - Gendang Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke-50 semakin rancak dipalu dalam masa kurang dua minggu menjelang pemilihan pada 25 Mei ini apabila salah seorang calon Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelihatan memberi isyarat kuat akan bertanding.

Menurut sumber yang dipercayai, Tunku Ismail akan mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama perwakilan-perwakilan badan gabungan FAM di salah sebuah lokasi yang dirahsiakan di Johor Bahru bagi menyampaikan misi dan visinya serta mendapatkan maklum balas daripada mereka yang hadir.

Malahan, perjumpaan itu turut didukungi oleh Timbalan Presiden FAM yang kini dalam penggantungan, Tan Sri Annuar Musa yang memberi sokongan padu kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu untuk mencabar penyandang, Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pertandingan bagi jawatan Presiden kemungkinan pasti berlaku kerana TMJ cukup serius mahu bertanding dan beliau ada menemui beberapa perwakilan baru-baru ini.

Yang terbaru, satu perjumpaan menemui perwakilan badan-badan gabungan akan diadakan di salah sebuah hotel di Johor Bahru memandangkan pemilihan semakin hampir.

Ini menunjukkan beliau bersedia untuk bertanding kerana Tan Sri Annuar juga banyak membantu beliau dalam soal kempen kali ini dengan melakukan penjelasan secara terus kepada perwakilan, " kata sumber berkenaan.

Sebelum ini, TMJ pada peringkat awalnya difahamkan tidak mahu bertanding setelah menerima tiga pencalonan daripada 20 ahli gabungan, namun melakukan pusingan U pada saat akhir yang menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru dengan Sultan Ahmad Shah dan Tengku Abdullah.

Namun, pada sidang akhbar baru-baru ini, TMJ kelihatan berteka-teki mengenai pendiriannya sama ada akan bertanding jawatan Presiden FAM atau tidak kerana beliau percaya, apa yang bakal berlaku seakan sudah boleh dibaca, terutama keputusan pemilihan.

Tengku Abdullah yang kini merupakan Timbalan Presiden FAM dilihat sebagai calon favourite untuk memenangi jawatan Presiden kerana mendapat sokongan daripada 12 perwakilan lain, sementara ayahandanya, Sultan Ahmad Shah, sebanyak lima pencalonan.

Usaha yang dilakukan oleh TMJ untuk menemui perwakilan dilihat sebagai usaha terakhirnya bagi mendapatkan sokongan. Peluang beliau untuk menang dalam pemilihan tersebut dilihat banyak bergantung pada perjumpaan berkenaan.

Buat masa ini kebanyakan perwakilan dijangka hadir untuk mendengar sendiri apa yang mahu dilakukan TMJ jika dipilih sebagai Presiden FAM.

Dijangkakan pertandingan kali ini sengit memandangkan kempen yang nyata begitu agresif daripada TMJ pada pemilihan kali ini.

Apa pun ia dilihat sebagai satu petanda yang sihat kepada sistem demokrasi yang diamalkan FAM," kata sumber itu lagi.

Engels calon jurulatih Malaysia

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Gert Engels

KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih Mozambique, Gert Engels menjadi calon pilihan untuk membimbing Harimau Malaya dan kini berada di ibu negara bagi mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas penolong jurulatih kelab Liga Jepun, Urawa Red Diamonds itu antara calon jurulatih yang berada dalam fasa akhir pemilihan FAM untuk mencari pengendali tetap skuad kebangsaan.

Nama jurulatih baharu Harimau Malaya dijangka diketahui selewat-lewatnya pada pertengahan Jun, tahun depan.

Menurut sumber FAM, pengalaman Engels yang sebelum ini banyak membimbing kelab di Jepun memberi sedikit kelebihan buat pengendali berusia 57 tahun itu kerana memahami serba sedikit budaya bola sepak Asia.

FAM jelas berminat mahu menggunakan khidmat Engels sebagai jurulatih Harimau Malaya dan beliau pun kini difahamkan berada di Kuala Lumpur untuk sesi perbincangan.

Kehadirannya di sini membuktikan FAM benar-benar memandang serius mahu menggunakan khidmat Engels, namun dalam masa yang sama mereka masih menilai dua lagi calon jurulatih luar yang turut disenarai pendek.

Selain itu, dua jurulatih tempatan turut berada dalam radar FAM cuma kelebihan sedikit tampak kepada Engels yang telah pun berada di sini, segalanya bergantung kepada sesi perbincangan berkenaan," katanya.

Engels yang dilantik menjadi jurulatih Mozambique pada 2011 , namun pada 13 Jun 2013 beliau dipecat selepas pasukan kendaliannya dibelasah 6-1 oleh Guinea pada kelayakan Piala Dunia 2014.

Dalam enam perlawanan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2014, Engels hanya mampu membawa Mozambique mencatat keputusan seri tiga kali dan kalah tiga kali selain menduduki tangga ketiga, di belakang Mesir dan Guinea.

Pada zamannya sebagai pemain, Engels pernah beraksi buat kelab Jerman, Borussia Moenchengladbach.

Selain Engels, dua nama calon jurulatih luar yang turut dikaitkan menduduki kerusi panas Harimau Malaya itu adalah bekas jurulatih Sunderland dan Thailand, Peter Reid serta bekas pengurus Leeds United dan Aston Villa, David O' Leary.

Menurut sumber itu lagi, kemungkinan Datuk Ong Kim Swee untuk dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya sedikit tipis dan kemungkinan akan terus berperanan sebagai pengendali Harimau Muda A.

Apa yang difahamkan, Kim Swee tidak berada dalam perancangan FAM dalam masa terdekat ini untuk dijadikan sebagai jurulatih Harimau Malaya kerana mahu beliau terus memberi penekanan kepada pembangunan skuad Harimau Muda A.

FAM tidak mahu tergesa-gesa melantik Kim Swee selaku jurulatih Harimau Malaya kerana berpandangan lebih baik buat beliau mendapatkan seberapa banyak pengalaman," katanya.

Jurulatih PDRM dan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh antara calon dalam kalangan jurulatih tempatan, selain Kim Swee.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pemandu, kelindan lori maut nahas

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my

Seorang anggota bomba dan penyelamat menutup jenazah M Yushak Dahlan yang maut selepas lori yang dipandunya merempuh sebuah lori lain di Kilometer 211.4 Lebuhraya Plus arah utara berhampiran Alor Gajah, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 12 Mei - Seorang pemandu lori dan kelindannya maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori lain dalam kejadian di Kilometer 211.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah ke utara di sini awal pagi ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu ialah pemandu, M. Yushak Dahlan, 64, dan kelindan, Kamarudin Ahmad, 45.

Bagaimanapun, pemandu sebuah lagi lori yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Mohamad Laham berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan minuman yang dipandu M. Yushak terbabas sebelum melanggar bahagian belakang lori yang membawa bunga.

Menurutnya, akibat rempuhan yang kuat, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

Kemalangan yang berlaku di lorong kiri itu menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sejurus anggota Bomba dan Penyelamat dari Alor Gajah dan Ayer Keroh berjaya mengeluarkan mereka," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Sehubungan itu katanya, kedua-dua lori yang terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II, Zulkarnain Abd. Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.30 pagi.

Sejurus menerima panggilan itu katanya, sebanyak tiga jentera digerakkan ke tempat kejadian iaitu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan sebuah dari Ayer Keroh melibatkan 17 anggota.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa 10 minit sebelum dapat membawa keluar mangsa yang tersepit.

Sungai Golok umpama medan perang

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

ANGGOTA keselamatan memeriksa lokasi serangan bom di wilayah Narathiwat, Thailand, semalam. - REUTERS

SUNGAI GOLOK 12 Mei - Umpama di medan perang. Begitu gambaran para penduduk selepas sembilan siri letupan bom menggegarkan bandar sempadan ini, sejak malam tadi sehingga awal pagi ini.

Biarpun sudah biasa dengan bunyi tembakan dan letupan bom, namun mereka mengakui kali ini berbeza kerana berlaku dalam tempoh singkat iaitu sembilan letupan di enam lokasi berbeza di seluruh bandar ini.

Kesemua letupan bom tersebut berlaku dalam lingkungan kira-kira dua kilometer persegi.

Menurut penduduk, Nasir Mohd. Zin, 51, ia merupakan kejadian pertama selepas hampir dua tahun bandar tersebut tidak digegarkan dengan letupan bom yang besar.

Ia mengejutkan semua pihak kerana berlaku dalam selang masa lima sehingga 10 minit kecuali dua letupan terakhir yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi. Ia umpama medan perang yang dahsyat.

Keadaan agak panik dan penduduk kebanyakannya tidak keluar dari rumah pada malam tadi kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Nasir, ketika kejadian, dia berada di Masjid Haji Hasan di Jalan Charankead dan kejadian itu telah mengejutkan semua jemaah yang bersedia untuk menunaikan solat Isyak.

Tinjauan Utusan Malaysia di bandar itu, petang ini mendapati penduduk menjalankan aktiviti harian seperti biasa kecuali di lokasi kejadian yang lengang.

Seorang wanita tempatan, Sarita Mamat, 41, terbunuh manakala sembilan lagi penduduk termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kejadian tersebut.

Difahamkan, letupan pertama berlaku pukul 7.25 petang waktu tempatan, di sebuah karaoke di Hotel Chantulee, berhampiran Balai Bomba Sungai Kolok di Jalan Asia.

Ia diikuti dengan letupan berasingan di dua kedai menjual motosikal milik Syarikat Pitan Panitch yang terletak dalam jarak 800 meter di Jalan Charankead.

Selang beberapa minit selepas itu, dua letupan kedengaran di sebuah bilik pameran kereta di kawasan berhampiran.

Letupan kelima yang menyebabkan seorang cedera berlaku di simpang empat berhampiran Hospital Sungai Golok.

Dua letupan terakhir dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 pagi di sebuah pasar mini yang turut memusnahkan sebuah kedai menjual pakaian berhampiran.

Pada masa yang sama, pihak polis turut menemukan sebutir bom yang tidak meletup berhampiran sebuah kedai dalam bandar itu.

Kesemua letupan itu dipercayai menggunakan bom yang diletakkan pada motosikal kecuali di pasar mini terbabit.

Sementara itu, seorang mangsa, Ibrahim Umar, 50, berkata, dia bernasib baik kerana sempat melarikan diri ketika letupan bom tersebut berlaku.

Saya sedang tidur dalam kedai pakaian milik saya. Secara tiba-tiba saya mendengar letupan dari dalam pasar mini di sebelah dan diikuti letupan kedua yang lebih kuat beberapa minit kemudian.

Sebaik sahaja mendengar letupan itu, saya terus berlari keluar dan melihat api merebak dengan pantas sehingga memusnahkan kedai saya," katanya.

Tambahnya, dia percaya pengebom tersebut turut meletakkan satu botol petrol berhampiran dengan bahan letupan itu bagi memastikan api dapat merebak dengan cepat.

Sementara itu, difahamkan pihak berkuasa Malaysia telah mengambil langkah segera dengan menutup semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dan mengetatkan kawalan di sepanjang kawasan sempadan bermula dari Pengkalan Kubor sehingga ke Jeli.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Peneroka jangan terperangkap

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Ismail Abdul Muttalib (kiri) menyampaikan piala pusingan pertandingan bola sepak kepada ketua pasukan bola sepak Felda Jengka 18 selepas menutup Program Jelajah Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) peringkat Wilayah Jengka di Jengka 3, Maran, kelmarin.

MARAN 12 Mei - Warga peneroka diingatkan tidak mudah terperangkap dengan persepsi negatif yang disebarkan pihak tertentu terhadap Felda bertujuan merosakkan reputasi agensi itu.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menegaskan, kejayaan Felda mengubah status sosial peneroka khususnya orang Melayu diakui masyarakat dunia malah dijadikan model kepada kebanyakan negara dunia ketiga.

Menurutnya, walaupun telah terbukti kejayaan agensi itu dalam mengubah mobiliti sosial masyarakat Melayu melalui pembukaan tanah rancangan tetapi ada pihak tidak senang dan telah menyebarkan pelbagai fitnah terhadap Felda.

Lebih malang lagi ada warga peneroka sendiri yang sanggup menjadi ejen merosakkan nama baik Felda dan kerajaan sedangkan mereka dianggap sebagai permata yang telah digilap.

Mereka hidup senang setelah terpilih menjadi peneroka Felda di seluruh negara membabitkan 317 tanah rancangan termasuk 115 tanah rancangan di negeri ini dengan mengandungi lebih 112,000 keluarga peneroka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Program Jelajah Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) peringkat Wilayah Jengka di Jengka 3, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin; ADUN Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail; Pengarah Seranta Felda, Mohamad Khairuddin Mohamad dan Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Sapie Embong.

Sektor pelancongan Taman Negara tidak terjejas

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Ahmad Nazlan Idris

JERANTUT 12 Mei - Kemerosotan pelancong dari China ke negara ini tidak menjejaskan sektor pelancongan negara ini termasuk kehadiran pelancong asing ke Taman Negara Kuala Tahan.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, sebaliknya pemain sektor pelancongan dan pengusaha hospitaliti di Taman Negara perlu menggiatkan promosi ke benua Eropah, negara-negara Asia Barat dan ASEAN bagi menambah bilangan pelawat ke sini.

Menurutnya, sebelum ini pelancong dari China lebih tertumpu di bandar-bandar besar, pusat jualan makanan, peranginan dan hiburan kawasan tanah tinggi seperti Genting Highlands.

Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang berakhir di Lautan Hindi menyebabkan sebilangan besar penumpang China memberi impak terhadap sektor pelancongan negara ini apabila jumlah pelancong dari negara itu berkurangan berdasarkan laporan pengusaha hotel di Lembah Klang dan kawasan lain.

Kita yakin keadaan ini akan pulih tidak lama lagi, malahan tidak memberi impak mengenai kehadiran pelancong antarabangsa ke Taman Negara Kuala Tahan sejak awal tahun ini," katanya kepada pemberita di Kuala Tahan semalam.

Menurut beliau, kebanyakan pelancong yang mendominasi lawatan ke Taman Negara terdiri dari negara-negara Scandinavia, Asia Barat, Asia dan ASEAN yang meminati lokasi percutian berasaskan alam sekitar.

Sehubungan itu, beliau meminta pemain sektor berkenaan dan pengusaha hospitaliti termasuk penduduk Kuala Tahan melipatgandakan promosi menerusi laman web, blog dan media sosial bagi melebarkan jaringan maklumat ke seluruh dunia.

Saya yakin Program Sambutan 75 Tahun Taman Negara Kuala Tahan pada Jun ini akan menarik ramai pelawat dosmetik dan pelancong asing untuk melihat pelbagai kegiatan termasuk eksplorasi hutan serta mendaki gunung," katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mutiara Taman Negara Resort (MTNR), pengusaha swasta dan persatuan pelancongan yang sentiasa bekerjasama rapat melaksanakan pelbagai kempen pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan hospitaliti.

Percutian unik di Ulu Tembeling

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

KALANGAN penduduk mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh seorang guru di SK Bukit Mat Daling sempena program lawatan warga SMKPPPTR di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling , Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 12 Mei - Kebiasaannya pihak sekolah akan memilih tempat-tempat menarik di sekitar bandar-bandar besar mahupun kawasan pulau untuk bercuti bagi merehatkan minda.

Namun lain ceritanya bagi warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (SMKPPPTR) di sini dengan memilih kawasan pedalaman Ulu Tembeling sebagai lokasi percutian mereka.

Seramai 33 guru dan kakitangan sokongan sekolah berkenaan berkampung selama dua hari di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling, dekat sini.

Lawatan ke pedalaman di Ulu Tembeling itu mengambil masa lima jam dengan menaiki tiga buah bot dari jeti Kuala Tahan di sini.

Pengetua sekolah berkenaan, Abdul Razak Ismail berkata, kunjungan kali pertama ke kawasan Ulu Tembeling itu membolehkan mereka merasai susah payah pengorbanan guru-guru yang berkhidmat di pedalaman.

Sebelum ini lawatan hanya tertumpu ke pusat bandar terutama di ibu kota. Jadi, kali ini kita beralih angin memilih kawasan pedalaman pula.

Walaupun perjalanan agak lama menggunakan bot namun kami dapat melihat keindahan hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun di sekitar Taman Negara selain mendapat pengalaman menolak bot sebanyak tiga kali kerana air sungai yang cetek," katanya.

Menurutnya, kehadiran mereka disambut baik oleh warga pendidik terutama Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mat Daling, Mohd. Azmi Abdul Khalid dan penduduk setempat.

Katanya, program tersebut dijalankan bertujuan melihat corak kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan lengkap seperti masyarakat di bandar dan luar bandar.

Kita telah melakukan beberapa aktiviti termasuk perlawanan bola tampar, congkak, ceramah motivasi dan gotong royong untuk mengeratkan hubungan dengan penduduk kampung," ujarnya.

Katanya, mereka juga dapat merasai pengalaman menjala serta mandi sungai di sekitar jeti kampung berkenaan dan rombongan turut disajikan dengan masakan tradisional termasuk gulai asam rom dan ikan sungai masak tempoyak.

Biarpun kemudahan asas tidak lengkap namun kehidupan di sini ternyata aman damai dengan udara yang segar dan kami sempat membeli ikan salai, ikan kelah pekasam, tempoyak serta madu lebah tualang sebagai memberi sokongan terhadap ekonomi penduduk.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penduduk kampung termasuk pihak sekolah SK Bukit Mat Daling dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Wan Putera Wan Abdul Raffar kerana menjayakan program lawatan ini," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pasport blogger kontroversi diserah sementara

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Alvin Tan (depan) dan Vivian Lee (belakang) keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam selepas dibenarkan untuk mendapatkan pasport antarabangsa mereka. - Utusan/ AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pasangan penulis blog kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee untuk mendapatkan pasport dari mahkamah bagi membolehkan mereka menjalani satu penggambaran dokumentari di Singapura.

Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, dan Vivian atau Lee May Ling, 25, yang diwakili peguam Chong Joo Tian supaya pasport tersebut diserahkan sementara kepada kedua-dua mereka antara 18 Mei dan 3 Jun ini.

Joo Tian memberitahu, pasangan tersebut mendapat tawaran daripada syarikat Xtreme Media Pte. Ltd. di Singapura dan akan terlibat dalam penggambaran yang mengisahkan kehidupan mereka di negara itu.

Sebelum ini, kedua-dua anak guam saya tidak pernah melanggar syarat-syarat jaminan yang ditetapkan mahkamah," katanya.

Beliau juga memohon perintah supaya kedua-dua anak guamnya dikecualikan daripada melaporkan diri di balai polis berhampiran pada 1 Jun ini, yang merupakan sebahagian daripada syarat yang ditetapkan mahkamah sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan pihak pembelaan supaya pasport diserahkan sementara kepada kedua-dua tertuduh, tetapi memohon mahkamah agar mengenakan syarat supaya mereka tidak memberi sebarang kenyataan berhubung perjalanan kes itu kepada pihak media di Singapura.

Menjawab hal itu, Joo Tian berkata, penggambaran itu mengisahkan sepenuhnya kehidupan pasangan itu di Singapura dan tiada kena mengena dengan kehidupan mereka di Malaysia.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh dilarang memberi sebarang kenyataan berhubung perjalanan kes yang dihadapi mereka kepada pihak media di Singapura.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes itu selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain berikutan notis rayuan yang telah difailkan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 April lalu, yang menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu.

Pertuduhan itu ialah di bawah Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan iaitu memuat naik di laman Facebook Alvin and Vivian- Alvivi di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers, satu kandungan gambar dan komen di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi pada pukul 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai 2013.

Bagi pertuduhan pertama, Alvin dan Vivian didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook Alvin and Vivian- Alvivi di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu satu kandungan gambar dan komen yang sama yang mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Bicara kes pecah amanah 23 Jun

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

KUALA LUMPUR 12 Mei - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan tiga hari mulai 23 Jun ini perbicaraan terhadap Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail yang didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta lima tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang menetapkan tarikh itu hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud memaklumkan, Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Mei lalu telah menolak permohonan Mohamad Salleh untuk menggantung prosiding perbicaraan.

Saya bersetuju dengan pihak pendakwaan dan memerintah kes ini dibicarakan dengan segera. Kes ini dihadapkan ke mahkamah pada 2012 dan sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan. Buang masa saja," katanya.

Terdahulu, Awang Armadajaya memohon supaya mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu pada Jun ini memandangkan kes terhadap Mohamad Salleh telah lama tertangguh.

Beliau juga memaklumkan, 70 saksi pendakwaan akan dipanggil serta melibatkan 1,200 dokumen.

Mahkamah turut menetapkan 26 Mei ini untuk rundingan pra bicara bagi kedua-dua pihak memperlengkapkan dokumen berkaitan kes, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 13 Jun ini.

Terdahulu, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu pada November ini kerana sesuai bagi masa kehadiran Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan peguam utama pihak pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Salleh, 66, didakwa menyalahgunakan RM9,758,140 milik NFCorp melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian daripada harga pembelian dua unit kondominium One Menerung, Parcel B1-1 dan B1-2, Blok B, Bangsar di sini antara 1 dan 4 Disember 2009.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Penentang kerajaan setuju bebaskan 1,500 keluarga yang ditahan

Posted: 12 May 2014 10:55 AM PDT

DAMSYIK 13 Mei - Kumpulan penentang kerajaan bersetuju untuk membebaskan 1,500 buah keluarga yang berada dalam tahanan mereka, sebagai pertukaran untuk mendapatkan bekalan makanan dan membebaskan rakan mereka yang berada dalam tahanan rejim Presiden Bashar al-Assad, semalam.

Persetujuan itu turut melibatkan pembebasan keluarga yang ditahan kumpulan berkenaan di bandar Adra, timur laut Damsyik, bandar yang kini berada dalam kepungan tentera kerajaan.

"Beberapa orang akan dibebaskan untuk mendapatkan bekalan makanan selain demi kebaikan orang awam," lapor akhbar tempatan Al-Watan. - AFP

Bot karam di utara Libya, 200 orang masih hilang

Posted: 12 May 2014 10:54 AM PDT

ROM 13 Mei - Sekurang-kurangnya 200 orang pendatang asing tanpa izin hilang, selepas bot yang mereka naiki karam di utara Libya, kira-kira 160 kilometer selatan Pulau Lampedusa, Itali, semalam.

Pegawai tentera laut berkata, dua buah kapal peronda dan sebuah helikopter tentera Itali kini sedang melakukan usaha pencarian, selepas berjaya menyelamatkan hampir 200 orang daripada 400 penumpang bot berkenaan.

"Nasib baki mangsa yang masih lagi hilang tidak diketahui. Identiti dan warganegara mangsa juga tidak dapat didedahkan buat masa ini," jelas pegawai tersebut. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Kayu karas ibarat emas

Posted: 11 May 2014 11:36 PM PDT

Hutan kita kaya dengan pelbagai khazanah pelbagai jenis pokok yang besar sehinggalah kepada renek dan herba.

Satu daripada pokok kayu popular dan bernilai tinggi, yang terdapat dalam hutan negara ini ialah kayu karas yang terkenal kerana mengeluarkan minyak gaharu.

Nilai minyak gaharu bukan asing di kalangan rakyat negara ini kerana aromanya yang menarik perhatian.

Minyak gaharu mempunyai sebatian atau kandungan kimia yang pelbagai antaranya kunusol, jinkohol, jinkohol II, alfa agrofuran, sesquiterpenes, chromone derivatives dan agarospirol.

Ada laporan menunjukkan bahawa minyak gaharu dikatakan digunakan sejak 2,000 tahun dahulu di negara Timur Tengah, China dan Jepun.

Sebab itulah pokok karas merupakan sejenis kayu termahal di dunia kerana mempunyai nilai komersial dan banyak didagangkan di peringkat antarabangsa.

Antara agensi yang menjalankan penyelidikan mengenai kayu karas ini ialah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menerusi projek penubuhan ladang hutan karas.

Berdasarkan kajian, terdapat 25 spesies karas di seluruh dunia dan lima daripadanya terdapat di negara ini. Spesies yang paling popular dalam pengeluaran gaharu ialah Aquilaria mallacensis.

Harga minyak gaharu ini agak tinggi, malah untuk kuantiti berisipadu 12 mililiter (ml) atau 1 tolla mencecah RM2,000 pada gred yang biasa.

Pada masa sama, permintaan terhadap pokok ini telah meningkat sehingga 4.5 juta kilogram dengan harga mencecah RM 18 bilion sedangkan, sumbernya diperoleh daripada hutan

Pada 1998, dilaporkan bahawa harga kayu gred A ialah RM1,800 sekilogram dan kini mencecah RM20,000 pada kuantiti yang sama.

Walaupun gaharu telah mula digunakan semenjak 2000 tahun dahulu dan perdagangan terbesar di kawasan Timur Tengah, kini permintaan dan perdagangan dan penggunaan gaharu telah meningkat di Eropah, China dan juga Jepun sejak tahun 2005.

Di Malaysia, penyelidikan mengenai gaharu bermula di FRIM sejak 1990-an lagi tetapi kajian sistematik hanya bermula dua tahun kemudian.

Kajian tersebut meliputi banyak aspek iaitu bahan tanaman, penanaman, pertumbuhan, suntikan atifisial, komposisi kimia, penggredan, pemprosesan dan penghasilan produknya.

Kajian di FRIM juga melibatkan perladangan pokok karas yang kini berjumlah 370 pokok yang ditanam sejak 1997.

Pokok karas yang terkenal adalah daripada genus Aquilaria dan terdapat 25 spesies Aquilaria di dunia dan daripada jumlah itu 15 daripadanya menghasilkan gaharu dan lima daripadanya di negara ini.

Di bawah FRIM kajian tersebut adalah merujuk kepada hasil bukan kayu yang bernilai tinggi kerana didagangkan ke peringkat antarabangsa dan berpotensi untuk dijadikan spesies komoditi.

Oleh kerana permintaan terhadap kayu gaharu yang tinggi, pokok karas telah dieksploitasi secara berlebihan sehingga menghadapi ancaman kepupusan. Tambahan pula, gaharu yang diperoleh dari hutan asli buat masa ini mempunyai nilai yang tinggi.

Dek kerakusan mereka yang mencari keuntungan secara berleluasa tanpa memikirkan kesan dan akibatnya termasuk menebang secara haram, menyebabkan pokok karas dari spesies Aquilaria malaccencis telah disenaraikan dalam Appendix II di bawah Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Bagi Spesies Terancam (CITES) pada semenjak tahun 1995 lagi.

Kajian oleh seorang penyelidik FRIM, Dr. Mohd. Noor Mahat tertumpu kepada pembiakbakaan yang boleh dimanfaatkan dalam tanaman ladang.

Beliau berkata, aktiviti penggunaan pokok karas yang berlebihan juga antara faktor yang menyebabkan bilangannya semakin berkurangan di dalam hutan.

Meskipun menyedari bahawa pokok berkenaan bernilai tinggi, usaha untuk menanam pokok berkenaan di ladang berskala besar secara lebih teratur mengikut perundangan antarabangsa mahupun tempatan masih lagi belum terlaksana sepenuhnya walaupun bekalan dari hutan yang semakin sangat berkurangan.

Lebih malang lagi, banyak aktiviti penebangan haram telah memusnahkan pokok karas dengan sia-ia kerana tidak mempunyai minyak gaharu

Sehubungan itu, beliau telah menjalankan penyelidikan mengenai pembaikbakaan pokok karas pada 2004, dan berjaya menghasilkan empat varieti tanaman pokok karas melalui pemilihan yang telah diklonkan dan kini masih dalam penyelidikan lanjutan untuk ditanam diladang.

Beliau berkata, perlu untuk menghasilkan baka baru pokok karas atau cultivated variety kerana permintaan yang tinggi terhadap penanaman berskala besar.

Nilai pasaran yang tinggi terhadap gaharu serta kegunaannya mendorong saya menjalankan penyelidikan biak baka ini. Tambahan pula eksploitasi berlebihan di hutan boleh menyebabkan pokok diancam kepupusan," ujarnya.

Usaha beliau itu sepatutnya mendapat perhatian terutama daripada industri yang selama ini sangat memerlukan bantuan penyelidikan dan teknologi untuk memacu perkembangannya.

Menggredkan kualiti gaharu

Posted: 11 May 2014 11:36 PM PDT

Penggunaan peralatan berteknologi tinggi seperti Gaharu Sense penting bagi menentukan kualiti minyak yang dihasilkan.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mula menjalankan penyelidikan mengenai gaharu sejak awal 1990-an lagi.

Penyelidikan itu melibatkan pelbagai perkara berkaitan gaharu antaranya kajian biologi tentang spesies yang menghasilkan gaharu, pengaruhan pembentukan gaharu, kajian kimia, kultur tisu, perladangan, kepelbagaian genetik dan sosioekonomi.

Menurut Ketua Program Pembangunan Produk Herba, Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM, Dr. Nor Azah Mohamad Ali, kajian beliau lebih tertumpu kepada pembangunan produk seperti penghasilan rumusan dan kawalan kualiti minyak pati gaharu yang dihasilkan.

Beliau yang berkata, antara penyelidikan terkini yang dijalankan ialah menggredkan minyak bagi membantu industri.

Katanya, minyak gaharu mempunyai keunikan dan kualiti berbeza yang menjadi faktor ia digredkan secara berlainan sama ada A, B, C mahupun D.

Bagi memastikan minyak gaharu adalah berkualiti dan bertepatan dengan gred yang diberikan, FRIM mempunyai pendekatan yang saintifik dan sistematik," katanya.

Minyak gaharu juga boleh diprofilkan menggunakan kaedah pengekstrakan yang lebih mudah dan tanpa pelarut melalui teknik headspace-Solid Phase Microextraction (HS-SPME) yang digabungkan dengan GC/MS.

Pengawalan kualiti minyak gaharu amat penting bagi memastikan ia mempunyai piawaian yang seragam dan seterusnya boleh digunakan dalam pembangunan produk-produk yang bermanfaat dan berkualiti tinggi.

Teknik pemprofilan kimia itu telah mula ditawarkan kepada pihak industri gaharu dan boleh digunakan untuk mencirikan kualiti minyak gaharu tempatan.

Menurutnya, minyak gaharu amat bernilai dan kini banyak digunakan di gunakan dalam bahan pewangi.

Minyak gaharu juga boleh diadun dalam pelbagai produk penjagaan diri.

Selain minyak gaharu, penyelidikan FRIM juga tertumpu kepada khasiat daun karas melibatkan kajian terperinci terhadap pencirian kimia dan bioaktiviti biologi sedang dijalankan.

Setakat ini, FRIM telah menghasilkan satu rumusan ekstrak daun karas yang didapati mengandungi aktiviti antioksidan yang berupaya memelihara sel kulit daripada kerosakan radikal bebas.

Ekstrak daun karas telah dibangunkan dalam rangkaian produk prototaip penjagaan harian khusus untuk lelaki seperti pencuci tangan, pencuci muka untuk kulit sensitif dan kulit berminyak, toner penyegar, krim pelembap, pelembap bibir dan serum antioksidan berteknologi nano untuk merawat masalah kulit lelaki secara umum.

Produk-produk protaip ini akan diuji terhadap keselamatan, alahan dan juga kesesuaian terhadap kulit pengguna dengan mengunakan skin testing equipment bagi menjamin kualiti produk yang dihasilkan.

Teknologi penggredan

Gaharu sense adalah satu sistem pengkelasan pintar bagi mutu kayu gaharu yang telah dibangunkan oleh FRIM yang berkonsepkan penggunaan teknologi alat pengesanan bauan.

Objektif utama teknologi gaharu sense adalah bagi mengenal pasti mutu kayu gaharu berdasarkan tindak balas alat pengesanan yang unik dan membandingkannya dengan data-data dalam pangkalan data sedia ada. Kaedah tersebut penting bagi menentukan sesuatu mutu sampel gaharu sama ada bergred tinggi atau rendah.

Gaharu Sense terdiri daripada gabungan beberapa proses bermula dengan pengumpulan data-data tindak balas alat pengesanan bauan daripada kayu-kayu gaharu ke dalam pangkalan data. Seterusnya ialah proses klasifikasi dilakukan bagi mengenal pasti sampel baru yang tidak diketahui tahap mutunya.

FRIM kini dalam proses menambah baik sistem pengredan kayu gaharu sedia ada dengan mengintergrasikan teknik-teknik klasifikasi pintar yang pelbagai bagi menghasilkan hasilan ujian yang lebih baik dan konsisten.

Salah satu daripada teknik tersebut yang mengunakan sistem jaringan neural tiruan (ANN) telah dihantar untuk pengfailan paten Gaharu Sense - A Method For Classifiying Agarwood (PI 2010004584).

Teknologi ini telah meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa

Dalam pada itu , Dr. Nor Azah menambah, industri telah memainkan peranan penting dalam pembangunan pokok karas dengan mencuba teknik inokulasi berbeza.

Bagaimanapun FRIM akan meninjau kayu gaharu yang dihasilkan itu dan menawarkan perkhidmatan antaranya mengekstrak minyak selain penggredan minyak dan terbaru dan penggredan kayu.

FRIM telah menemui pendekatan yang lebih sistematik dan saintifik dengan menggunakan peralatan saintifik yang berteknologi tinggi untuk menentukan kualiti gaharu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Liyana Jasmay selamat melahirkan anak perempuan

Posted: 12 May 2014 07:52 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay, 25, selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.9 kilogram, tepat pukul 7.40 malam ini di Hospital Prince Court, di sini hari ini.

Ibu kepada artis berkenaan, Datin Habsah Simpon ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kedua-dua ibu dan bayinya berada dalam keadaan selamat dan stabil.

"Liyana dimasukkan ke wad semalam selepas mengadu sakit mahu bersalin. Suaminya berada di sisinya sehinggalah dia melahirkan anaknya secara normal.

"Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan oleh-Nya walaupun terlewat sehari dari tarikh yang dijangka. Amat bersyukur atas kurniaan ini," ujarnya.

Liyana dan suaminya, Fathuddin Mazlan, 29, bergelar suami isteri selepas bernikah pada 2 Februari tahun lalu. - UTUSAN ONLINE

Angelina Jolie rancang kurang berlakon

Posted: 12 May 2014 01:49 AM PDT

ANGELINA Jolie dan Elle Fanning pelakon dalam filem 'Maleficent' ketika muncul di majlis previu filem di London, baru-baru ini. - GAMBAR FACEBOOK ANGELINA JOLIE

LONDON 12 Mei - Pelakon terkenal Angelina Jolie yang bakal muncul sebagai wanita sihir yang menakutkan melalui filem terbaharunya 'Maleficent' menyatakan beliau sedia untuk mengurangkan aktiviti lakonan di masa depan tetapi hanya memberi fokus kepada kerja-kerja di sebalik tabir.

"Saya mempunyai kerjaya yang indah dan saya gembira untuk mendapat peluang-peluang untuk bercerita dan bekerja selama yang saya mampu.

"Tetapi saya akan lebih selektif dan ingin memberi tumpuan lebih kepada kerja-kerja menulis dan mengarah; dan selain itu, saya juga ingin memberi tumpuan lebih kepada kerja saya dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan PSVI (Inisiatif Mencegah Keganasan seksual)," katanya di sini, baru-baru ini. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mantapkan perpaduan kaum

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Antara prasyarat untuk memastikan perpaduan terus berkekalan adalah semua pihak harus menghormati kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum ini. - Gambar Hiasan

HARI ini genap 45 tahun peristiwa hitam 13 Mei yang berlaku tiga hari selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.

Tragedi berkenaan sudah tentu tidak perlu dikenang lagi ketika negara berbilang kaum ini sedang bergerak menjadi sebuah negara maju.

Cuma apa yang perlu diingat adalah semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh semua rakyat ketika kejadian itu sehingga menyebabkan niat golongan pelampau untuk menghancurkan negara telah gagal.

Dalam suasana kacau sebegitu rupa, masih ramai penduduk yang tidak hilang perhitungan dan perikemanusiaannya dan ia terbukti apabila pergaduhan kaum tidak merebak jauh.

Boleh dikatakan pergaduhan hanya terbatas di Kuala Lumpur khususnya kawasan Chow Kit dan Kampung Baru sahaja serta sedikit-sedikit melarat ke Ampang, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat.

Bagi mereka yang pernah membaca buku Memoir Seorang Pejuang yang ditulis oleh bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani sudah pasti akan tersentuh dengan kisah-kisah yang diceritakan mengenai semangat perpaduan yang ditunjukkan penduduk berbilang kaum ketika itu.

Menurut Allahyarham, walaupun situasi mencemaskan, masih ada individu yang berfikiran rasional untuk menyelamatkan pihak lain walaupun daripada kaum berlainan.

Antara kisah-kisah itu, adalah seorang setiausaha di ibu pejabat UMNO telah diselamatkan seorang penjaga kedai Cina di Chow Kit dengan disorokkan di celah gulungan kain apabila beberapa orang yang memegang kayu mahu memukul wanita itu.

Aishah juga menceritakan bagaimana rumahnya di Jalan Daud, Kampung Baru, Kuala Lumpur dimasuki seorang pemuda Cina yang lari lintang-pukang dengan tidak berkasut.

Saya terus meminta pemuda Cina itu supaya jangan keluar rumah sehingga saya dapat menghubungi polis atau kenderaan askar yang boleh membawanya keluar dengan selamat.

Dalam pada itu, saudara mara yang datang berkumpul di rumah saya telah membawa beberapa orang kanak-kanak Cina, mereka disuruh memakai baju kurung supaya tidak dikenali sesiapa. Salah seorang dipanggil dengan nama Minah sahaja," tulisnya.

Dalam memoir itu, Aishah menegaskan, kejadian itu merupakan satu amaran besar kepada semua pihak supaya jangan lagi memarakkan api perkauman.

Rakyat tidak harus terpengaruh dengan dakyah kumpulan tertentu yang terus menerus menentang apa jua yang berbau Melayu.

Kita juga tidak harus menyokong mana-mana pihak yang membuat tuntutan tidak berpijak kepada realiti sejarah," tulisnya.

Mengulas kejadian berkenaan, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samsuri Arshad berkata, perpaduan kaum yang dikecapi sejak sekian lama membolehkan negara ini membangun dari segi ekonomi yang dikongsi secara bersama oleh semua penduduk.

Antara rahsia kita boleh maju dari segi ekonomi kerana pelabur-pelabur berani datang untuk membuka kilang di Malaysia kerana negara kita aman.

Kita aman disebabkan tidak berlaku pertelingkahan sesama rakyat setelah penduduk berbilang kaum dan agama mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ketika 13 Mei," ujarnya.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, semua pihak mengelak untuk membangkitkan isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti kaum lain dan mempunyai semangat toleransi yang tinggi.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, ada pihak tidak bertanggungjawab yang tidak pernah mengalami peristiwa pahit berkenaan telah cuba membangkitkan kembali isu-isu sensitif berkenaan.

Saya meminta mereka supaya tidak meneruskan niat berkenaan. Jika generasi sebelum ini boleh mengelak menyentuh isu sensitif terbabit, kenapa generasi sekarang tidak boleh melakukan perkara sama.

Elakkan untuk membangkitkan isu sensitif ini dalam media massa dan media sosial.

Sebarang rasa tidak berpuas hati hendaklah dibincang secara tertutup bagi membolehkan penyelesaian dicapai yang memuaskan hati kedua-dua belah pihak," katanya.

Menurut beliau, satu lagi prasyarat untuk memastikan perpaduan terus berkekalan adalah semua pihak harus menghormati kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum ini.

Kontrak sosial merujuk kepada persetujuan untuk memberi kewarganegaraan kepada kaum-kaum lain dan sebagai ganti diberikan hak keistimewaan kepada orang Melayu.

Kontrak sosial ini adalah sesuatu yang telah terdapat dalam sejarah negara kita yang harus diterima bagi memastikan hubungan antara kaum terus terpelihara.

Pemimpin-pemimpin Melayu telah bertolak ansur dengan melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan untuk diberikan kepada kaum lain dan perkara ini tidak pernah dibuat oleh negara-negara lain.

Jika dilihat di Australia misalnya mereka yang berhijrah ke sana hanya diberikan status penduduk tetap dan bukannya kewarganegaraan secara terus," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali yakin kejadian hitam itu tidak akan berulang sekiranya semua pihak menghormati segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, antaranya Perkara 153 yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa sama tidak menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Antara yang disentuh adalah hak istimewa Melayu untuk mendapat jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, perniagaan dan kemudahan khas lain yang diberikan.

Perkara 153 tidak boleh dipinda, diubah atau dilucutkan tanpa mendapat persetujuan raja-raja Melayu.

Ini juga termasuk peruntukan Perkara 86 yang menyentuh mengenai langkah-langkah melindungi tanah rizab orang Melayu," ujarnya.

Beliau berkata, Perkasa sentiasa komited untuk memastikan perpaduan nasional di negara ini terus dimantapkan.

Dalam masa yang sama kita meminta kaum-kaum lain tidak mempersoalkan hak keistimewaan yang diberikan kerana orang Melayu kerana mereka masih ketinggalan di negara ini dalam segenap bidang," tegasnya.

Pengekalan ruangan kaum, wajar dan bijaksana

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Dari Jendela Tok Ki

PENAFIAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghapuskan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan adalah suatu kewajaran dan bijaksana.

Kata beliau, Kabinet tidak membuat sebarang perubahan mengenainya dan amalan itu dikekalkan.

Tambah Najib, tujuan kerajaan mengekalkan dasar sedia ada bukan mahu melebarkan jurang antara kaum dari segi sentimen atau perasaan.

Perkara ini, katanya, perlu dilihat secara positif kerana kerajaan mahu menentukan setiap kaum mendapat pertimbangan yang adil dengan tiada mana-mana pihak ketinggalan dari segi pembangunan.

Isu ini lebih banyak melibatkan prasangka. Isu merit umpamanya adalah penting tetapi faktor sosio-ekonomi dengan asas yang munasabah sering menjadi pertimbangan. Dalam iklim pengurusan di Malaysia ia adalah wajar dan adil kerana ketidakseimbangan masih wujud.

Melakukan diskriminasi adalah perbuatan yang tidak baik. Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berasaskan kouta kaum umpamanya boleh diterima oleh banyak pihak kerana ia semakin baik untuk komponen kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dan ia boleh diperbaiki lagi pada masa depan.

Fokus Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memperkasa ekuiti orang Melayu dan bumiputera dalam pendidikan, keusahawanan dan ekonomi adalah wajar kerana ekuiti orang Melayu masih dalam paras 20%. Ketidakseimbangan dalam agihan ekuiti boleh menyebabkan rasa tidak puas hati terjadi. Ia boleh menyentuh hubungan ras dan etnik.

Sehingga kini contohnya konsep kebangsaan (national) ditanggapi secara negatif oleh setengah aktivis politik dengan menghubungkan sebagai konsep kaumiyyah atau rasis. Padahal konotasi kebangsaan" yang dalam istilah Inggerisnya nasional" adalah gambaran yang lebih makro terhadap struktur negara atau organisasi.

Lalu apa saja konsep kebangsaan dianggap bercanggah dengan Islam kerana ia memperjuangkan nasionalisme. Tidak semua aspek fahaman kebangsaan atau kewatanan bercanggah dengan Islam. Ahli sosiologi Islam, Ibn Khaldun ada menghubungkan kewatanan yang positif.

Rasulullah SAW merujuk kepada kepimpinan Quraish tidak bermakna ia bersifat diskriminatif atau menumpukan kepada suatu kaum.

Meletakkan nama kaum harus dilihat secara positif kerana sifat masyarakat Malaysia adalah majmuk. Mengapa dalam sistem pendidikan negara kita bersetuju mengkategorikan sekolah kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Mengapa tidak hanya Sekolah Kebangsaan saja yang mencerminkan imej nasional?

Ia berlaku tentu ada rasionalnya. Apa yang penting bahasa Melayu dimartabatkan, bahasa ibunda dibenarkan untuk dipelajari dan dalam masa sama kurikulum kebangsaan harus dipelajari. Kalau tidak bahaya perkauman akan bertambah subur.

Isu hak istimewa orang Melayu dan bumiputera memang ada dalam peruntukan Perlembagaan. Ia disepakati sejak sebelum merdeka dulu. Menjadi suatu amanah kepada kerajaan yang memerintah supaya peruntukan ini dilaksanakan dan generasi muda bukan Melayu harus memahami ini kerana ketidakseimbangan antara kaum mesti diperbetulkan supaya akhirnya kelompok bukan Melayu juga harus disantuni dengan wajar.

Memahami dasar-dasar di Malaysia adalah memahami sejarah dan budaya masyarakatnya. Generasi hari ini tidak boleh melupakan sejarah silam negara.

Yang lalu, hari ini dan hari depan ibarat mata rantai yang menuntut persefahaman yang tinggi, toleransi dan kesabaran yang banyak supaya setiap kaum merasa puas hati bahawa keadilan sedang terjadi untuk memperbetulkan semula ketidakseimbangan yang menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

Pelaksana dasar-dasar negara harus berlaku adil kerana bagi orang Islam berlaku adil itu adalah sebahagian dari iman. Orang Islam yang terlibat dalam pengurusan negara harus menginsafi meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya adalah zalim. Memilih orang dari kaum sendiri semata-mata untuk menjawat sesuatu jawatan atau orang dari negeri dan daerah sendiri saja adalah tidak Islamik.

Pengurusan negara lazimnya membuat sesuatu dasar pelantikan dan kedudukan berasaskan banyak pertimbangan. Pertimbangan itu untuk kebaikan semua. Ia harus diperbaiki dari semasa ke semasa sehingga jurang perbezaan dikecilkan sehingga asas merit dan kualiti akhirnya menjadi pedoman penting dalam membuat pilihan.

Tanpa ada keinsafan ini setiap orang mungkin berfikir dalam kotak kaumnya dan ia tidak baik bagi Malaysia yang menghargai pentingnya perpaduan dalam kalangan warga majmuknya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Kamera dan telefon dalam satu

Posted: 11 May 2014 11:36 PM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS

Dibina dengan skrin yang luas.

PENGELUAR telefon bimbit pintar terkemuka, Samsung Electronics Co. Ltd. baru-baru ini sekali lagi tampil dengan pilihan peranti terbaharu sesuai kepada mereka yang mementingkan aplikasi gambar dan video dengan memperkenalkan gajet dua dalam satu menggabungkan fungsi kamera penuh dengan telefon pintar.

Diperkenal sebagai Galaxy K zoom, model baharu ini merupakan telefon bimbit pintar yang diadun bersama teknologi kamera digital untuk menampilkan keupayaan optik sebenar dalam rekaan premium.

Di samping mewujudkan kualiti profesional visual yang memberangsangkan, peranti ini turut menawarkan fungsi seperti kamera profesional bagi memastikan pengguna dapat merakam detik indah dengan kejelasan lengkap.

Menurut Timbalan Presiden Kanan Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung Electronics, Sun Hong Lim, Galaxy K zoom diperhebatkan dengan teknologi lensa 10x optikal zoom

yang dibina dalam bentuk fizikal lebih nipis.

Ciri-ciri penting lain termasuk sensor ultra 20.7 megapiksel BSI CMOS yang memberikan imej jelas ketika pencahayaan rendah disamping penstabil imej optik (OIS) pula berfungsi bagi mengurangkan masalah kabur disebabkan oleh pergerakan.

Sebagai tambahan, teknologi Xenon Flash yang dimiliki pada Galaxy K zoom memberikan cahaya lebih terang daripada LEDs bagi meningkatkan kualiti imej dengan kecemerlangan semula jadi," katanya.

Dikuasakan oleh sistem operasi Android 4.4 Kitkat dengan format ISO Auto, Samsung turut memperkenalkan mod selfie yang membolehkan rakaman lebih baik dengan butang shutter mudah dicapai serta fokus pantas.

Dibina dengan skrin seluas 4.8 inci HD Super AMOLED, kamera ini turut membenarkan pengguna menukarnya menjadi telefon bimbit pintar dengan rangkaian jalur lebar evolusi jangka panjang (LTE).

Rekaannya juga mengintegrasikan kebolehgunaan kamera dengan menampilkan beberapa ciri khas termasuk AF/Pemisahan AE (Auto Fokus / Auto Exposure Separation) untuk pencahayaan tepat dan jelas selain mod Pro Suggest menawarkan lima penetapan turas yang dioptimumkan.

Selfie Alarm yang terdapat pada Galaxy K zoom membolehkan pengguna mengambil gambar sendiri dengan mudah menerusi sensor pengesanan objek yang jelas. Di samping itu, ciri User Interface membolehkan mereka merakam gambar dan video dengan kualiti sempurna pada sebarang keadaan

Samsung memastikan keperluan pengguna diituruti dengan menyediakan kesemua ciri pada siri Galazy seperti Ultra Power Saving Mode bagi mengurangkan penggunaan hayat bateri, S Health Lite untuk mengukur kesihatan dan gaya hidup serta aplikasi Studio membenarkan mereka menyunting gambar dan video dengan mudah.

Bagi mereka yang inginkan maklumat lanjut mengenai Galaxy K zoom, boleh layari laman web www.samsung.com dan peranti ini akan berada di pasaran bermula bulan ini.

Logitech tawar aksesori khas iPad

Posted: 11 May 2014 11:36 PM PDT

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
sains@utusan.com.my

Penggunaa n aksesori untuk Airpad Air nampak lebih bergaya.

Memiliki sebuah gajet pintar yang berjenama seperti iPad Air pasti membuatkan pemiliknya mahu memastikan gajet tersebut sentiasa dilindungi.

Bahkan, tanpa sebarang aksesori juga menjadikan penggunaan gajet tersebut dirasakan tidak lengkap sepenuhnya.

Penggunaan aksesori bagi sebarang gajet pintar sebenarnya merupakan satu pilihan.

Namun jika sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk memperoleh gajet pintar, pastinya anda juga mahukan peralatan tersebut bertahan lama untuk digunakan.

Justeru, Logitech membawakan kepada anda perlindungan ultra ringan, ultra nipis dan fungsi baharu yang menarik untuk gajet pintar iPad Air.

Tiga aksesori dihasilkan oleh Longitech khas untuk pengguna gajet tersebut bermula daripada The Logitech Ultrathin Keyboard Cover, Logitech Ultrathin Keyboard Folio dan Logitech Folio Protective Case.

Menurut Pengarah Rantau Asia Tenggara Logitech, Prasenjit Sarkar, pihaknya mereka bentuk dengan penuh teliti ketiga-tiga aksesori tersebut agar benar-benar padan dan berfungsi denga baik bersama iPad Air.

Berdasarkan kemahiran kejuruteraan yang jitu, kami berjaya menghasilkan aksesori yang begitu sempurna untuk digandingkan bersama iPad Air yang memiliki ciri-ciri nipis dan ringan.

Bermula daripada pelindung sehinggalah kepada papan kekunci Logitech untuk iPad Air ini, semuanya direka khas dan terperinci bagi menjamin kepuasan pemiliknya," katanya.

Malah katanya, ketelitian tersebut turut melibatkan pemilihan warna aksesori yang amat padan dengan warna asal iPad Air keluaran Apple tersebut.

Logitech Ultrathin Keyboard merupakan papan kekunci khas yang direka dengan kelebihan sambungan bluetooth namun masih mengekalkan saiz butang kekunci yang sama seperti papan kekunci tradisional.

Untuk memastikan proses menaip yang lebih sempurna, papan kekunci tersebut boleh digunakan sama ada iPad Air berada dalam kedudukan menegak mahu pun mendatar mengikut keselesaan penggunanya.

Papan kekunci tersebut juga boleh dicas semula menerusi sambungan USB -mikro dan mampu bertahan sehingga tiga bulan jika dicas sepenuhnya.

Bagi Logitech Ultrathin Keyboard Folio, menawarkan pengalaman menaip menggunakan papan kekunci ternipis dan teringan selain perlindungan sepenuhnya bagi iPad Air anda.

Terakhir adalah Logitech Folio Protective Case merupakan lapisan pelindung tanpa papan kekunci, memiliki kelebihan kalis air, calar dan mampu menyerap hentakan dengan baik di kedua-dua belah muka.

Untuk maklumat lanjut berkenaan aksesori iPad Air dari Logitech layari laman web www.facebook.com/LogitechMalaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


PPj sedia ikut langkah DBKL

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam acara Putrajaya Inter Parks Ride (PIPR) siri ke-24 di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 11 Mei - Perbadanan Putrajaya (PPj) bersedia mengikut jejak langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kempen bebas kenderaan dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon dioksida di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

Presiden PPj, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, perkara itu juga bertujuan memelihara alam sekitar Putrajaya dan menggalakkan warganya menjadikan basikal sebagai pengangkutan alternatif.

Katanya, PPj sedang mengkaji cadangan tersebut dengan terlebih dahulu memperbaiki keberkesanan sistem pengangkutan di Putrajaya.

Sebagai langkah permulaan, kita menganjurkan program larian dan berbasikal pada setiap hujung minggu dalam merealisasikan program bebas kenderaan.

Program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Putrajaya termasuk para pelancong dari luar negara," katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta Putrajaya Inter Parks Ride (PIPR) siri ke-24 di Taman Wetland di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Dr. Mohd. Emir Mavani Abdullah.

Mengulas penganjuran PIPR, Aseh berkata, program itu merupakan salah satu usaha menarik orang ramai untuk menjadikan Putrajaya sebagai lokasi berbasikal terbaik di negara ini.

Jelasnya, kerjasama yang diberikan FGV menunjukkan syarikat korporat itu prihatin untuk memupuk amalan sihat dan harmoni dalam kalangan rakyat negara ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 500 orang menyertai PIPR dengan berbasikal sejauh 22 kilometer yang bermula di Padang Semarak, Taman Wetland dan melalui sekitar Putrajaya sebelum berakhir di lokasi permulaan.

PIPR yang dianjurkan sejak 2010 melakar nama dalam Malaysia Book Of Record (MBR) dua tahun lalu kerana berjaya mengumpulkan peserta berbasikal teramai iaitu sebanyak 3,077 orang.

Tiga pelajar cemerlang terima Biasiswa Kijang Emas

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Alicia Grace Loh Ern Lui (tengah) berkongsi kegembiraan bersama Justin Lim Kai Ze dan Nurizati Ali selepas majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kijang Emas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 11 Mei - Bank Negara Malaysia menganugerahkan Biasiswa Kijang Emas kepada tiga pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan A Level sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menerusi biasiswa yang diperkenalkan sejak sedekad lalu itu, pelajar terpilih berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati di mana-mana universiti terkemuka di luar negara.

Salah seorang penerima yang juga orang kurang upaya (OKU), Alicia Grace Loh Ern Lui, 17, berkata, beliau tidak menjadikan keadaannya sebagai penghalang sebaliknya terus membuktikan mampu menjadi penerima anugerah termuda dan bakal menuntut di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK) dalam jurusan undang-undang, September ini.

Kata Loh Ern Lui, walaupun terpaksa berkerusi roda berikutan menghidap masalah tulang belakang sejak berumur tiga tahun, beliau tetap berusaha mendapatkan keputusan cemerlang 3A dalam pengajian A Levelnya di Kolej Universiti KDU pada tahun lalu.

Tidak kira apa pun masalah atau kesusahan yang kita hadapi, ingatlah bahawa ibu bapa hanya mahu melihat anaknya berjaya dan ketika itu segala penat lelah mereka akan terbayar," katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kijang Emas 2014 oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, di sini , baru-baru ini.

Dua lagi penerima biasiswa berkenaan ialah bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Kluang, Johor, Justin Lim Kai Ze dan Nurizati Ali dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fatimah, Johor yang masing-masing berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A+ dalam SPM pada tahun lalu.

Sementara itu, Lim Kai Ze berkata, beliau mengetepikan gangguan seperti ajakan rakan-rakan untuk berhibur sebaliknya meluangkan masa dengan mengulang kaji pelajaran serta bersukan supaya lebih sihat.

Kita perlu berusaha sekuat mungkin bagi mendapatkan sesuatu walaupun perkara itu nampak seperti mudah. Dengan usaha yang tidak berpenghujung, saya kini mendapat peluang melanjutkan pengajian di UK dalam jurusan perubatan," katanya.

Dalam pada itu, Nurizati yang memilih bidang dietetik dalam pengajiannya yang akan datang menjadikan ibu bapanya sebagai inspirasi walaupun terpaksa duduk berjauhan daripada mereka.

Dorongan ibu bapa dan doa yang tidak putus-putus daripada mereka amat penting bagi memastikan kita mempunyai hati yang tenang untuk mencapai apa yang diimpikan," katanya.

Marina Putrajaya perkenal pakej kepada pelajar IPT

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

PUTRAJAYA 11 Mei - Marina Putrajaya mengambil langkah tersendiri untuk mempromosikan kemudahannya dengan memperkenalkan pakej kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya, Zaharah Selamat berkata, promosi berkenaan ditawarkan khas kepada pelajar IPT kerana lokasi Marina Putrajaya yang mesra golongan belia.

Beliau berkata, antara kemudahan yang ditawarkan di Marina Putrajaya adalah ruang majlis di tepi kolam renang, dewan mesyuarat dan juga dewan makan yang bersesuaian untuk golongan belia.

Pelajar IPT kebiasaannya banyak menganjurkan program-program santai jadi kami menawarkan pakej menarik ini kepada mereka, contohnya di ruang majlis di tepi kolam renang yang nampak lebih menarik.

Pastinya harga yang kami tawarkan adalah yang terendah dan mampu di langgani oleh pelajar berbanding lokasi lain di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Zaharah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil IPT daripada seluruh negara bagi memperkenalkan pakej-pakej kemudahan yang disediakan di Marina Putrajaya di Presint 5.

Menurut Zaharah, antara pakej yang menarik perhatian ramai di Marina Putrajaya adalah pakej ruang majlis di tepi kolam renang.

Harga pakej ruang majlis di tepi kolam renang adalah RM100 setiap seorang dengan tempahan maksimum 100 orang," katanya.

Dalam pada itu katanya, antara kemudahan lain yang disediakan di Marina Putrajaya yang boleh ditempah oleh pelajar IPT adalah permainan skuash, snooker, sukan air dan juga bilik karaoke.

Sebarang tempahan dan juga pertanyaan boleh menghubungi Farizan Farees di talian 019-8889140 atau 0123204803.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved