Jumaat, 8 November 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Dua ‘otai’ buat Felda sakit kepala

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Hairuddin Omar (tengah) didakwa membatalkan keputusan asal untuk menyertai Felda United, sebaliknya memilih untuk kekal bersama Angkatan Tentera Malaysia, musim depan.

KUALA LUMPUR - Kedua-dua pemain ini pada mulanya bersetuju untuk menyertai Felda United musim depan, namun mereka membuat pusingan-U pada saat akhir dan menyebabkan pengendali The Settlers, Irfan Bakti benar-benar tidak gembira.

Pemain yang dimaksudkan adalah dua bintang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus, yang difahamkan memilih untuk kekal bersama pasukan lamanya pada musim hadapan.

Jelas Irfan, tindakan mereka benar-benar menjejaskan perancangan yang telah dilakukan oleh Felda.

Malah jurulatih itu mengakui, pertelingkahan mengenai isu tersebut pasti akan mengambil masa lama untuk diselesaikan memandangkan kedua-dua pemain itu masih belum mahu bersemuka dengan dirinya dalam masa terdekat walaupun telah menurunkan tandatangan dalam kontrak bagi bersama Felda.

Hai-O (Hairuddin) dan Irwan sebelum ini ada memberi persetujuan untuk menyertai Felda dan telah menandatangani kontrak yang dipanggil borang C302, iaitu secara dasarnya satu perjanjian yang dia akan sertai kami pada musim depan.

Malah, sejumlah bayaran pendahuluan selepas mereka menandatangani kontrak akan diberikan, namun secara tiba-tiba dalam dua minggu lepas, mereka menarik balik hasrat itu dan berulang kali memberitahu saya hanya melalui panggilan (telfon) tanpa sebarang surat.

Dalam hal ini, Felda tidak boleh disalahkan kerana mereka sendiri telah rela hati mahu bersama kami dan jika mereka memang beria-ia tidak mahu datang ke sini, sepatutnya ada prosedur tertentu bagi meleraikan masalah ini.

Apa yang berlaku memang buat saya sedikit kesal, tindakan mereka berdua ini benar-benar kurang profesional, tambahan Hai-O sendiri adalah Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), dia patut tunjukkan contoh yang baik, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Baginya, bukan jumlah wang ringgit menjadi persoalan jika mereka berdua mampu membayar sejumlah pampasan yang ditetapkan tetapi ia adalah lebih daripada itu.

Sekiranya mereka boleh bayar sekali pun wang pampasan yang kami minta bagi selesaikan masalah ini, saya bukan kisah sangat soal itu cuma apa yang mereka buat ini memang tidak menepati etika sebagai pemain bola sepak profesional, " katanya.

Keputusan yang dibuat oleh Hairuddin dan Irwan itu difahamkan ada kena mengena dengan keputusan B. Sathianathan untuk kekal di ATM dan menolak tawaran daripada Selangor.

Kedua-dua pemain ini cukup rapat dan serasi dengan cara kerja bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

Felda dilihat bakal menjadi pencabar utama saingan Liga Perdana musim depan dengan bakal mengetengahkan 100 peratus muka baharu, selain mendapatkan beberapa pemain import berkualiti tinggi.

Antaranya adalah pemain tengah Liberia, Zah Rahan Krangar yang beraksi dengan kelab Indonesia, Persipura Jayapura dan salah seorang penyerang dari Semen Padang F.C.

Kuota pemain import dari Asia, pula diberikan kepada bekas pemain kebangsaan Uzbekistan yang tidak didedahkan namanya.

Terbaru, Felda berjaya mendapatkan pemain tengah Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan dua bekas pemain ATM, Shukor Adan dan penjaga gol, Farizal Harun bagi memperkuatkan pasukan.

Turut memperkuatkan pasukan Felda musim hadapan adalah beberapa pemain Selangor seperti Mohd. Nasriq Baharom, Solihin Kanasian dan Adib Aizuddin Ab. Latif.

Pemenang kasut emas kuatkan TRW

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

BINTANG penyerang ATM, Marlon Alex James (kanan) antara nama besar yang dikaitkan bakal menguatkan cabaran The Red Warriors bagi menghadapi musim 2014.

KOTA BHARU - Patah tumbuh hilang berganti.

Walaupun bakal kehilangan lapan tonggak utama musim depan, Kelantan akan tetap menjadi pasukan digeruni kerana bakal mendapat sentuhan beberapa nama besar dalam liga Malaysia.

Dua bekas pemenang anugerah Kasut Emas, iaitu penjaring terbanyak antara yang akan menguatkan cabaran skuad Red Warriors.

Perkara tersebut disahkan oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam entri terbarunya di Facebook milik beliau semalam, namun nama-nama pemain terbabit tidak didedahkan.

"Doa-doakan supaya tiga pemain yang pernah memenangi anugerah kasut emas akan bersama The Red Warriors 2014.

"Dua sudah muktamad, seorang lagi akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Hidup dicabar adalah cabaran hidup," katanya.

Tiga penyerang import, Marlon Alex James, Jean-Emmanuel Effa Owona dan Francis Forkey Doe antara pemenang Kasut Emas yang dikaitkan dengan The Red Warriors.

Dua pemain tempatan yang pernah memenangi anugerah Kasut Emas pula adalah Abdul Hadi Yahya (2011) dan Mohd. Ashaari Shamsuddin (2010)

Sementara itu, beberapa pemain seperti Khyril Muhaymen Zambri dari Kedah, Lot Abu Hasan (PKNS) dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria (Harimau Muda A) dikatakan berada dalam radar KAFA.

Dalam pada itu, Annuar membidas sikap pemain tertentu kerana 'berpura-pura' sayangkan pasukan, tetapi berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada pemain terbabit untuk terus kekal dan beraksi bersama-sama dengan rakan pasukan yang lain.

"Ada yang berpura-pura menulis dalam Facebook kononnya sayang dan mahu meninggalkan The Red Warriors, nak saya ceritakan sepenuhnya kisah macam mana saya terpaksa memujuk rayu sesetengah daripada mereka.

"Tidak perlu rasanya tetapi mereka tahu, ceritalah yang benar, apa nak malu, cerita apa permintaan mereka tak dapat KAFA tunai, kita pun sudah reda, yang hendak pergi, pergilah tidak usah reka alasan.

"Pintu KAFA tetap terbuka sampai sekarang, hendak keluar boleh, hendak masuk pun boleh, tutup pendaftaran 17 November ini, siapa pun datang dan pergi The Red warriors teruskan perjuangan dan tidak bergantung kepada individu," katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, The Red Warriors bakal mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2014 penuh liku apabila beberapa tonggak utama yang menjadi tunjang kekuatan Kelantan bagi tahun 2012/2013.

Antara pemain yang akan meninggalkan Kelantan ialah Mohd. Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin,Azizi Mat Rose, Mohd. Rizal Fahmi Rosid, S. Subramaniam dan Mohd. Daudsu Jamaluddin.

Kelantan dijangka turut kehilangan sentuhan pemain tengah berbisanya, Mohd. Shakir Shaari dan tenaga muda, Mohd. Izuan Solahuddin yang memilih untuk menyertai pasukan baharu musim depan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


5 syarikat pengawal disiasat

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Lebih lima syarikat pengawal keselamatan kini sedang disiasat kerana dipercayai melanggar syarat pengurusan lesen senjata api hasil pemeriksaan rambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehubungan itu pihaknya akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kesalahan dilakukan syarikat berkenaan untuk tindakan di bawah peruntukan undang-undang.

"PDRM ingin mengingatkan kepada semua syarikat keselamatan supaya membuat audit kepada pengawal keselamatan dan memeriksa lesen yang dimiliki.

"Jika terdapat keraguan dalam perkara ini segera menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut berikutan kita akan sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan Diploma Sains Siasatan Sesi 2011/2012 di Maktab Polis PDRM di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sijil kepada 23 graduan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 32 graduan Diploma Sains Siasatan.

Diminta mengulas kedudukan anggota atau pegawai PDRM yang menjadi lembaga pengarah dalam sesebuah syarikat, Khalid menjelaskan, perkara itu tidak menjadi kesalahan asalkan mereka memohon kebenaran dan mematuhi lesen perintah am yang telah ditetapkan.

"Adalah menjadi kesalahan jika individu (anggota dan pegawai) yang menjadi lembaga pengarah mana-mana syarikat tidak memohon kebenaran.

"Setakat ini kita tidak menerima laporan atau maklumat mereka yang menjadi ahli lembaga pengarah tanpa kebenaran," katanya.

Terdahulu dalam ucaptama program tersebut, Khalid berkata, proses pembelajaran secara formal itu berupaya membantu PDRM untuk melahirkan lebih ramai pegawai berilmu pengetahuan selari dengan keperluan masa kini.

"Dengan adanya ilmu kepolisan daripada dua program ini, diharap akan diaplikasikan sebagai serampang dua mata iaitu untuk pencegahan jenayah dan hubungan lebih akrab antara polis dengan masyarakat," ujarnya.

Koperasi jadi agensi pekerja asing haram

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Jabatan Imigresen merampas 831 pasport asing di sebuah premis koperasi di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Taktik sebuah agensi pekerjaan asing haram yang berselindung di sebalik perniagaan koperasi di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa semalam.

Serbuan dilakukan Bahagian Penguat Kuasa Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama 14 pegawai dan anggota kira-kira pukul 3.30 petang, hasil maklumat awam.

Ketua Operasi, Nik Shahanizam Ahmad berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai juruaudit di situ serta merampas 831 pasport pelbagai negara.

"Pasport-pasport yang dirampas ialah pasport Indonesia sebanyak 802 naskhah, Vietnam (14), Pakistan (2), Thailand (2), India (1) dan Bangladesh (10).

"Kesemua pasport tersebut didapati mempunyai pas lawatan sosial yang telah tamat tempoh sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Nik Shahanizam, pihaknya turut merampas sebuah komputer, buku resit, borang permohonan pembaharuan permit serta beberapa dokumen berkaitan warga asing.

Katanya, lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 51(5)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) untuk siasatan lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Kereta baharu, klasik Ford di KLIMS

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

KERETA Klasik Ford Model A tahun 1928 ini akan turut dipamerkan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 15 November ini.

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Pengeluar kereta dari Amerika Syarikat, Ford Motor Company (Ford) bakal mempamerkan dua model baharu pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (KLIMS), selain memaparkan beberapa barisan produk yang menggambarkan masa dahulu, hari ini dan masa depan.

KLIMS 2013 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 15 November ini.

Ford dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini menyatakan, pengunjung yang mengunjungi tapak pameran Ford berpeluang untuk melihat warisan inovasi automotif Ford.

Jelas kenyataan itu, selain pameran, terdapat daripada pertunjukan menarik, peraduan, permainan, kemunculan artis dan banyak lagi.

Ford akan menampilkan sebanyak 11 buah kenderaan termasuklah model klasik, kereta muscle Ford dan jentera-jentera global berprestasi tinggi.

Barisan 11 kenderaan impresif Ford yang akan dipamerkan termasuklah model klasik Ford Model A tahun 1928; model ikonik dan legenda, Ford Mustang Shelby GT500, selain model masa hadapan, Ford Fusion Hybrid," menurut kenyataan itu lagi.

Pada pameran yang sama, Ford akan melakukan prebiu dan menerima tempahan terawal untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, Ford EcoSport dan varian Fiesta 1.0L EcoBoost baharu sebelum dilancarkan pada tahun depan.

Tambah kenyataan Ford, pameran Ford akan menonjolkan dedikasi syarikat untuk menawarkan pelanggan dengan kenderaan-kenderaan yang menerajui segmen masing-masing, selamat, cekap dan seronok untuk dipandu tanpa mengorbankan aspek prestasi atau pengendalian.

Para pelanggan yang membuat tempahan dan membayar deposit tempahan awal kenderaan sebanyak RM500 untuk mana-mana model Ford di pameran Ford di KLIMS, bakal menerima hadiah istimewa, sehingga stok masih ada.

Selain itu, Ford melalui KLIMS 2013 juga akan mempamerkan rangkaian penuh kenderaan One Ford.

Ini termasuklah versi Ford Ranger yang telah diubah suai, selain model paling laris di dunia1, Ford Focus serba baharu, Ford Kuga dan banyak lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Polis tahan suspek yang terlibat bom

Posted: 08 Nov 2013 11:01 AM PST

BEIJING 9 Nov. - Polis China semalam menahan seorang suspek yang disyaki mencetuskan letupan kecil di hadapan bangunan Parti Komunis di bandar Taiyun minggu ini, kerana dia mahu "membalas dendam kepada masyarakat".

Suspek Feng Zhiyuan, 41, dari Taiyuan sebelum ini pernah dimasukkan penjara selama sembilan tahun kerana kesalahan mencuri.

"Polis menemui bahan letupan buatan sendiri di kediamannya dan beberapa bukti lain berkait dengan jenayah," lapor media tempatan.- REUTERS

Laman web PM Singapura digodam

Posted: 08 Nov 2013 10:00 AM PST

SINGAPURA 9 Nov. - Laman web rasmi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong digodam kumpulan aktivis Anonymous semalam, selepas beliau berikrar untuk membendung gejala serangan siber di negara ini.

Tertera mesej tertulis Bagus rasanya menjadi rakyat Singapura hari ini dalam satu daripada seksyen di laman web www.pmo.gov.sg, selain disertakan dengan imej topeng Guy Fawkes yang menjadi simbol oleh kumpulan penggodam Anonymous antarabangsa.

Selain itu, mesej tertulis Amaran Perdana Menteri Hsien Loong kepada kumpulan penggodam: Kami akan menjejaki anda, walaupun anda tidak diketahui (Anonymous). - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiga warga Uzbekistan dihukum gantung

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

JASUR Djurakulov (depan), Sayonara Numukhamedova (kiri) dan Dilbar Nazarova dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - BERNAMA

SHAH ALAM 8 Nov. - Tiga warga Uzbekistan termasuk dua wanita berusia 50-an dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar keseluruhan 10 kilogram syabu, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap dua wanita iaitu Dilbar Nazarova, 54, dan Sayora Numukhamedova, 58, serta rakan lelaki mereka, Jasur Djurakulov, 39.

Menurut hakim berkenaan, pembelaan ketiga-tiga tertuduh yang bersifat penafian semata-mata telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tuntutan bagasi D, Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, Bangunan Terminal Utama (MTB) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada pukul 9.30 pagi, 7 September 2010.

Dadah tersebut ditemui di dalam bahagian tersembunyi tiga buah bagasi berisi pakaian mereka.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Azwar Kamaruddin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik.

Ketika keterangan membela diri tertuduh pertama, Nazarova mendakwa, seorang lelaki bernama Shoruh yang tidak dikenalinya memberikan sebuah beg kepada ketiga-tiga mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent untuk diberikan kepada seseorang di negara ini.

Menurutnya, dia telah dibayar oleh Shoruh sebanyak USD$500 (RM1,592) supaya datang ke negara ini bagi membeli pakaian dan peralatan komputer untuk dijual di Uzbekistan.

Katanya, dia bersetuju melakukan perkara itu kerana memerlukan wang bagi merawat anak perempuannya yang sakit di hospital.

Tertuduh kedua, Djurakulov pula mendakwa, dia tidak tahu mengenai dadah di dalam beg dan datang ke negara ini atas pelawaan rakannya itu bagi membeli pakaian dan peralatan komputer untuk berniaga di negara mereka.

Sementara itu tertuduh ketiga, Numukhamedova mengakui dia yang mengajak dua rakannya itu ke negara ini dan diberi wang USD$500 oleh Shoruh untuk perbelanjaan dan kos membeli pakaian dan peralatan komputer.

Kata wanita itu, kos tiket penerbangan dan penginapan di hotel juga telah dibayar oleh Shoruh.

Rabecca menang saman Erma Fatima

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Rabecca Nur Al-Islam Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Pelakon Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, 27, berjaya dalam kes samannya terhadap syarikat produksi, Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. milik penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima.

Rabecca sebelum ini memfailkan saman terhadap Erma di Mahkamah Majistret Sivil di sini, Julai lalu melalui firma guaman, Tetuan Azam, Idzham, Azman & Partners.

Dia mengambil tindakan menyaman Erma atas dakwaan produksi milik pengarah drama bersiri Dejavu Di Kinabalu itu gagal menjelaskan baki bayaran lakonannya sebanyak 40 peratus tahun lalu.

"Alhamdulillah untuk keputusan yang dibuat ini. Saya percaya bahawa Allah pasti akan berada di pihak yang benar dan keputusan ini telah membuktikan perkara tersebut.

"Terima kasih saya ucapkan kepada peguam saya daripada Azam, Idzham, Azman & Partner, juga kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang menyokong perjuangan saya ini," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas hari ini.

Drama bersiri Dejavu Di Kinabalu diterbitkan 28 episod dan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, setiap hari Isnin hingga Khamis, mulai 18 Jun dan berakhir pada 31 Julai 2012.

Selain Rabecca, drama tersebut turut dibintangi oleh Tiz Zaqyah, Aqasha dan Nazim Othman.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pahang tingkatkan jumlah ikan

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 8 Nov. - Sebanyak 376,600 benih ikan pelbagai spesies dilepaskan di dua sungai di daerah ini iaitu Sungai Pahang dan Sungai Semantan bermula Januari sehingga September lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Adnan Hussain berkata, usaha ini selari dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan populasi spesies ikan bernilai tinggi terutama patin yang menjadi ikon kepada bandar Temerloh.

Menurut beliau, pada tahun 2008, hanya 59,950 benih ikan pelbagai jenis dilepaskan dan jumlah yang dilepaskan tahun ini merupakan peningkatan ketara dalam usaha untuk membiakkan ikan tersebut di sungai di daerah Temerloh.

Tambah beliau, selain patin, antara spesies benih ikan yang dilepaskan ialah baung, kerai, lampam dan lain-lain yang mendapat permintaan tinggi daripada penggemar ikan air tawar.

''Usaha tersebut juga antara lain bertujuan untuk mengelakkan spesies bernilai tinggi pupus ataupun berkurangan akibat keghairahan individu menangkap ikan dengan pelbagai cara.

''Pada masa sama dapat meningkatkan pendapatan nelayan sungai yang bergantung hasil tangkapan ikan air tawar yang mendapat banyak permintaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak lima kes menangkap ikan secara haram iaitu menuba dan menggunakan racun dikesan pihaknya.

Katanya, sepanjang tahun lalu pula, enam kes serupa direkodkan manakala jumlah kesalahan tertinggi adalah pada tahun 2010 dengan 18 kes.

''Pada tahun 2011, jumlah kes yang dikesan hanya tiga iaitu yang terendah dalam tempoh antara 2008 hingga tahun ini. Pada tahun 2008 kita buat enam tangkapan disusuli tiga kes tahun 2009.

''Tindakan membuat rondaan tanpa mengira waktu termasuk malam akan terus dipertingkatkan supaya dapat menahan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Persediaan alam persaraan penjawat awam perlu dilakukan - Muhammad Safian

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

MOHAMAD Ridzwan Mohd. Tahar (dua dari kanan) melawat pameran selepas merasmikan Seminar Pra-Persaraan dan Hari Bertemu Pelanggan Penjawat Awam Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 8 Nov. - Persedian untuk menghadapi alam persaraan adalah mustahak bagi penjawat awam kerana jika tidak dirancang dengan baik boleh menyebabkan berlaku kesukaran untuk kehidupan yang selesa selepas tamat perkhidmatan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, penjawat awam perlu merancang dengan baik persaraan semasa dalam perkhidmatan kerana akan memudahkan mereka pada masa akan datang.

"Ini kerana kebanyakan penjawat awam menghadapi kesukaran untuk kehidupan yang selesa selepas persaraan kerana gagal merancang pendapatan mereka sewaktu berkhidmat.

"Apa tidaknya, salah satu faktor adalah apabila pencen bulanan yang akan diterima pesara nanti adalah 50 peratus daripada gaji bulanan yang ada sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Mohamad Ridzwan Mohd. Tahar sempena Seminar Pra-Persaraan dan Hari Bertemu Pelanggan Penjawat Awam Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Seramai 1,500 penjawat awam dari agensi Persekutuan dan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan bersara hadir dalam seminar tersebut.

Menurut beliau, jika perancangan dibuat dengan baik, mungkin pesara tidak perlu bekerja semula di sektor swasta selepas persaraan mereka.

"Sepatutnya selepas bersara merupakan masa kita bersenang-lenang atau membina perniagaan sendiri. Justeru, fikirlah untuk masa depan yang baik bagi kita dan keluarga," katanya.

Muhammad Safian berkata, masih ramai penjawat awam yang belum bersedia untuk menghadapi persaraan kerana mempunyai pelbagai masalah.

"Terdapat beberapa kes yang berlaku sebelum ini, didapati ada pesara yang menghadapi masalah mengharungi dunia persaraan akibat perancangan yang tidak mencukupi.

"Mereka terlalu leka dan mengamalkan cara hidup yang mewah. Ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung beban hutang, tidak mempunyai tempat tinggal dan ada yang menghabiskan sisa hidup di rumah orang tua," katanya.

Awal Muharam bawa makna besar kepada Orang Asli

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

KUALA LIPIS 8 Nov. - Kedatangan awal Muharam menandakan satu penghijrahan yang menuntut kekuatan iman dan takwa bagi 10 keluarga Orang Asli yang baharu memeluk agama Islam di Kampung Simoi Baru dan Kampung Nyentil, Pos Betau dekat sini, baru-baru ini.

Mereka adalah antara yang baru mengucap dua kalimah syahadah menerusi pengislaman beramai-ramai oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), di Kampung Pantos tahun lalu.

Sambil memanjat syukur terhadap segala nikmat yang diperoleh, mereka turut berterima kasih kepada kerajaan negeri, JAIP dan badan dakwah lain yang banyak memberi didikan berhubung cara hidup Islam.

Penduduk Orang Asli Islam Kampung Simoi Baru, Sam Bah Kap, 40, berkata, sambutan Maal Hijrah 1435 yang dirasai buat pertama kali menandakan penghijrahan yang total ke arah mengenali kebesaran Islam berasaskan ajaran al-Quran dan sunnah.

"Walaupun pada awalnya menghadapi sedikit kesulitan untuk membiasakan dengan amalan Islam, tetapi berkat ajaran pendakwah, kini saya dapat menjalani kehidupan seperti umat Islam di tempat lain.

"Kesulitan menempuh amalan puasa dua bulan lepas dapat diatasi dengan berkat kekuatan iman dan inilah dikatakan penghijrahan dalam kehidupan saya," katanya di Pos Betau dekat sini hari ini.

Isteri Sam, Norizan Bah Lipat, 37, berkata, sambutan awal Muharam merupakan detik perjalanan hidup yang menginsafkan diri dan keluarganya terhadap kebesaran Islam, khususnya mendidik diri sebagai Muslim sejati.

"Meskipun hidup susah, semangat hijrah itu kami ambil untuk mendidik anak-anak supaya lebih dekat dengan amalan Islam serta memohon keberkatan kehidupan pada masa akan datang," katanya.

Rakannya, Norhayati Tom, 24, berkata, sambutan Maal Hijrah 1435 merupakan detik penuh bermakna untuk meneruskan kehidupan yang dibelenggu kepercayaan 'animisme' kepada agama Islam yang membawa kepada kesejahteraan hidup.

"Saya tergerak hati untuk menerima hidayah Islam apabila melihat wanita Islam mendapat perlindungan, selain membentuk perwatakan diri menutup aurat termasuk dalam pengurusan keluarga," kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Pos Pantos, Jelai, Ahmad Zubair, 45, berkata, kedatangan Maal Hijrah memberi kesempatan untuk dia dan keluarga bersyukur kerana mendapat nikmat Islam.

"Dulu, ketika tanpa pegangan agama, semuanya mengikut hawa nafsu tanpa mengenal halal dan haram. Setelah memeluk Islam segalanya cepat berubah dan memohon kepada Allah agar Orang Asli di tempat lain juga menerima ajaran Islam," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Pine dengar nasihat ibu

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

CHRIS PINE

LOS ANGELES - Aktor, Chris Pine mendedahkan bahawa dia menggunakan nasihat yang diberikan ibunya dalam melayan wanita dengan cara yang betul.

Bintang filem Star Trek itu berkata, ibunya memberikan nasihat cara-cara asas untuk menjadi lelaki budiman.

Antara nasihat yang diberikan adalah membuka pintu untuk seorang wanita.

Saya rasa penduduk di sini tiada lagi sifat itu. Perbuatan-perbuatan kecil ini sebenarnya sangat baik dilakukan, katanya dalam isu terbaharu majalah Cosmopolitan.

Pine turut memberikan pandangannya berhubung mengadakan temu janji di atas talian.

Saya ada beberapa kawan yang menggunakan perkhidmatan ini. Ia membantu mengurangkan proses pertemuan kerana kita akan merasa janggal dan tidak selesa untuk bertemu seseorang.

Namun apa yang penting adalah hubungan yang dicapai dengan orang yang akan bertemu tersebut,

katanya. - AGENSI

Sekuel Star Wars ditayang pada 2015

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

LOS ANGELES 8 Nov. - Filem terbaharu Star Wars akan ditayangkan pada 18 Disember 2015, sekali gus bakal mengubat kerinduan semua peminat siri filem sains fiksyen itu.

Pengumuman tersebut menyangkal beberapa laporan sebelum ini yang menyatakan penayangan filem Star Wars: Episode VII berkemungkinan ditangguhkan kerana seorang daripada penulis skrip filem itu menarik diri pada bulan lalu.

Pengerusi Walt Disney Studio, Alan Horn berkata, filem Star Wars terbaharu itu akan menjadi tumpuan kerana bakal ditayangkan pada musim cuti menjelang Krismas.

"Kami amat gembira kerana filem tersebut bakal ditayangkan tidak lama lagi dan saya pasti, peminat Star Wars juga tidak sabar untuk menantikan kemunculan filem terhebat itu," katanya.

Filem tersebut akan diarahkan oleh J.J. Abrams yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Mission: Impossible III dan Star Trek.

Proses penggambaran filem tersebut dijangka bermula pada musim bunga depan di Studio Pinewood di pinggir London.

Antara pelakon yang bakal membintangi filem tersebut termasuklah aktres Carrie Fisher, aktor Harrison Ford dan Mark Hamill.

Kali terakhir filem Star Wars ditayangkan adalah pada 1983 menerusi Star Wars Episode VI: Return of the Jedi dengan barisan pelakon utama yang sama iaitu Ford, Hamill dan Fisher. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Agenda risikan asing: Respons Malaysia?

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh Khairuddin Mohd Zain
PENULIS ialah penganalisis sosio politik.

Sebahagian penunjuk perasaan memegang poster dan sepanduk menyokong pendedahan bekas kontraktor keselamatan, Edward Snowden berhubung program intipan dilakukan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) di Capitol Hill, Washington, baru-baru ini. - AGENSI

Kepada mereka yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang risikan, mahupun risikan balas (counter-intelligence), antara tempoh masa yang paling 'meriah' dengan perkara-perkara begini adalah di zaman Perang Dingin.

Pada tempoh masa sama jugalah, cerita fiksyen dan filem seperti 'James Bond' dengan nombor 007 menjadi ikon.

Hari ini, hasil pendedahan yang dilakukan seorang lelaki bernama Edward Joseph Snowden, kita sedang dilambakkan dengan cerita risikan bentuk baru. Zaman lelaki macho seperti James Bond, mahupun seperti Johnny English sudah tidak lagi relevan.

Risikan zaman baru tidak berlaku secara 'fizikal'. Kalaupun masih ada, yang lebih diutamakan adalah risikan bersifat 'mass surveillance'. Ini adalah cabaran baru kepada mana-mana negara di dunia.

Tanpa kita sedar, perbualan kita di facebook, e-mail biasa, perbualan 'Whatsapp' (yang kadangkala dipenuhi dengan lawak kotor) pun boleh dipintas oleh mereka yang berkeupayaan.

Memang kita tidak nampak impak dan kesan strategik atas sifat kita orang biasa. Tetapi bayangkan apa yang mampu diperoleh oleh pihak yang berkenaan, jika mereka mahu benar-benar mencari 'salah' dan kelemahan mana-mana pemimpin mahupun individu. Usaha menaikkan dan menjatuhkan pemimpin pun, bisa diatur melalui platform 'mass surveillance'.

Dalam konteks strategi politik, risikan total dengan konsep 'mass surveillance' ini melangkaui kemampuan diplomasi biasa. Sudah tidak ada rahsia dalam berkerajaan. Jika 'mass surveillance' ini dilakukan secara maksimum, kita berada di dalam suasana pentadbiran yang hampir telanjang.

Inilah juga yang menjadi asas kepada kerisauan banyak kerajaan di dunia pada ketika ini. Laporan media bagaimana komunikasi Canselor Jerman, Angela Merkel yang dipantau daripada bumbung berhampiran Berlin adalah satu realiti baru yang merisaukan (http://www.france24.com/en/20131105-germany-britain-ambassador-summoned-spying- nsa-espionage).

APA RESPONS MALAYSIA?

Sama ada kita mahu mengakuinya ataupun tidak, kita juga terdedah kepada elemen risikan sama. Tidak ada istilah ambil mudah apabila rahsia negara dikompromi sedemikian rupa.

Tindakan segera mesti diambil, sama ada melalui jalan diplomasi, mahupun memastikan tidak ada ruang ketirisan maklumat, dalam apa sahaja bentuk.

Zaman semuanya boleh dianalisis di atas talian, dengan istilah 'big data, metadata, metacontent' dan entah apa lagi, kita sebenarnya sedang memasuki zaman risikan tanpa had. Semuanya boleh dianalisis oleh mereka yang berkepentingan dan mahu mempunyai kelebihan dalam berurusan.

Pasca 9/11 memberikan lesen besar kepada beberapa negara untuk melancarkan risikan yang bersifat total dan menyeluruh. Pada mereka, jika 'mass surveilance' ini wujud sebelum peristiwa 9/11, peristiwa itu tidak mungkin berlaku!

Dengan segala lambakan data selepas peristiwa 9/11, program risikan total ini dikatakan mengetepikan 54 plot terorisme. Namun, setelah disiasat dengan teliti, hanya 4 plot pengganas yang mampu diketepikan. Apakah mungkin segala infra yang telah disediakan, digunakan untuk tujuan lain? Ini isu akarnya.

Entah berapa banyak data yang mampu mereka simpan dengan menggunakan beberapa inisiatif yang diberikan kod nama BLARNEY, FAIRVIEW, OAKSTAR and STORMBREW. Kalau diikutkan pendedahan Snowden, tidak ada yang terselamat dari pemantauan, ini termasuk - Gmail, Yahoo, facebook, hotmail, skype, Youtube dan lain-lain.

Penulis tidak mencadangkan kita nyah terus daripada aplikasi yang ada. Ia tidak realistik. Namun, kita masih perlu mempunyai respons balas yang lebih pragmatik dan bersesuaian dengan zaman. Untuk itu, kita mungkin perlu memperkasa beberapa agensi keselamatan untuk berhadapan dengan risikan zaman 'metadata' ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada hemat penulis, sudah perlu keluar daripada imej agensi 'malapetaka dan bencana' semata-mata. MKN perlu diberikan peneguhan, untuk turut melihat isu-isu besar yang lebih strategik.

Merujuk kepada laman sesawang MKN, penulis merasakan ia perlukan satu iltizam politik dan pentadbiran yang lebih kukuh dan bersungguh. Peranan MKN perlu diperkasa sesuai dengan zaman. Cabaran politik era 1970-an, cukup berbeza dengan waktu semasa.

Dasar Keselamatan Siber Negara (DKSN) memang sudah sedia ada wujud. DKSN dikatakan mengutamakan perlindungan kepada Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional (Critical National Information Infrastructure - CNII). Namun, kita masih menunggu respon MKN dengan pendedahan yang dilakukan Snowden.

Penulis tidak fikir pengwujudan entiti dan agensi baru sebagai jalan ke hadapan. MKN perlu diperkasa dan diperteguhkan. Ia cukup strategik dan sudah akrab dengan pentadbiran kerajaan.

Mungkin tiba masanya 15 bidang fokus MKN diperkemas dan diperjelas. Jika ada bidang yang bertindih dengan agensi lain, garis kelabu mesti diperjelaskan tentang apakah bidang keutamaan yang perlu diberikan perhatian. Bidang strategik baru mesti turut dimasukkan. Kerjasama inter-agensi mesti diperteguh.

Dalam suasana ekonomi dan politik global pada ketika ini, bersangka baik pun ada hadnya. Kita perlu sentiasa mempunyai keraguan, tentang niat tersurat dan tersirat dalam apa jua inisiatif ekonomi dan politik yang dilakukan pihak lain.

Respons kita tidak cukup sekadar menghantar nota protes dan mengharapkan penjelasan jujur. Naif benar kita ini, jika semuanya akan dibentangkan di atas semangat kejujuran dan terus terang.

Mungkin benar, 'mass surveillance' juga mungkin banyak membantu pihak keselamatan kita dalam menangani sebarang kemungkinan. Namun, ianya masih perlu ditangani dengan baik dan hemah. Jika ia sampai merisik komunikasi pemimpin negara, ia sudah jelas tersasar daripada matlamat asal.

Sesuatu mesti dilakukan, dan ia perlu dilakukan sekarang. 'Sudah terhantuk, baru nak terngadah', kalau nak dipakai dalam konteks ini - akan memberikan ruang yang terlalu besar untuk kerahsiaan kita dikompromi, hampir setiap saat dan detik. Ia satu realiti yang amat merisaukan.

Ke arah manakah tahaluf siyasi Pas?

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

SEBENARNYA, kita tidak perlu mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Pas. Kalau diulangi pun ia tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada perjalanan politik Pas.

Ia memandangkan apa pun berlaku, biarlah maruah 'dipijak' sekali pun, Pas ingin terus kekal atas nama tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR.

Bagi Pas, tidak apa kalau martabat dan maruah mereka dilihat diperlekeh atau perlekehkan oleh kedua-dua parti itu, tetapi jangan Barisan Nasional (BN) atau UMNO melakukannya.

Jika UMNO mengkritik atau menegur Pas berhubung sesuatu isu termasuklah berkaitan dengan kepentingan Islam dan orang Melayu, sudah pasti parti itu akan 'diserang' habis-habisan oleh pemimpin-pemimpin Pas termasuklah Dewan Pemuda Pas Pusat dan Dewan Muslimat.

Bagi pemimpin-pemimpin Pas, apa pun PKR dan DAP hendak kata tentang mereka tidak apa kerana itu sekutu politik mereka, sahabat satu selimut biarpun mimpi lain-lain dan teman sekapal biarpun haluan berbeza.

Namun mereka tidak boleh menerima sama sekali sebarang teguran UMNO, bagi sesetengah pemimpin Pas, pemimpin-pemimpin UMNO tidak layak menegur Pas kerana UMNO dianggap tidak Islamik, mengamalkan rasuah dan penyelewengan.

Walaupun apa yang mereka katakan itu tidak benar, namun Pas tidak akan menerima sebarang kritikan UMNO tetapi mereka akan bersikap terbuka menerima kritikan PKR dan DAP.

Tidak kisahlah apa pun pemimpin kedua-dua parti itu hendak cakap soal Pas, malah kalau mereka hendak membuat tindakan yang dilihat 'memijak' maruah Pas tidak apa, Pas akan merelakannya kerana yang penting tahaluf siyasi jangan menjadi korban.

Tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR ini dilihat cukup penting dan 'mulia' oleh Pas sehingga apa yang boleh dikorbankan akan dikorbankan, apa sahaja yang dipersetujui harus disokong dan apa yang diarahkan mesti dipatuhi.

Pas tidak mahu sebarang tindakan mereka membantah kehendak kedua-dua parti itu akan menyebabkan Pas tidak berpeluang untuk mengikuti misi ke-2 menawan Putrajaya selepas mereka gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kesudahannya, mereka akan menyalahkan media termasuklah kononnya media sengaja hendak memecah belahkan perpaduan dalam pakatan pembangkang.

Kononnya, apa yang berlaku adalah perancangan kerana UMNO dan BN semakin bimbang dengan kekuatan pakatan pembangkang sehingga memungkinkan mereka mendapat undi popular terbanyak dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam soal ini, Pas boleh berkata apa sahaja, tetapi sejarah politik negara telah membuktikan dalam apa juga keadaan UMNO tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya apatah lagi membiarkan mana-mana parti memijak maruahnya.

Keberanian dan ketegasan UMNO jauh lebih hebat berbanding Pas kerana dalam komponen BN tidak ada parti yang bersikap seperti PKR dan DAP.

Kesemua parti menghormati antara satu sama lain, tetapi dalam pakatan, ada parti yang mahu menjadi dominan dan ada pula parti dilayan bagaikan 'pak turut'.

Pas harus sedar daripada lamunan yang menganggap mereka terlalu penting dan dihormati dalam pakatan pembangkang.

Hakikat sebenarnya tidak begitu sebab itulah pemimpin-pemimpin DAP dan PKR tidak pernah peduli perasaan pemimpin-pemimpin Pas apabila hendak membuat kenyataan atau tindakan.

Kita tidak tahu sampai bilakah pemimpin-pemimpin Pas akan terus rela dilayan sebegitu rupa oleh kedua-dua pemimpin parti tersebut.

Pas terlalu menjaga tahaluf siyasi kononnya ia bertepatan dengan Islam dan jauh lebih baik daripada hubungan UMNO dengan parti-parti komponen BN lain.

Tetapi apa yang kita saksikan, Pas semakin lemah, keterujaan untuk terus bersama-sama dengan PKR dan DAP telah menyebabkan parti itu seolah-olah sanggup mempertaruhkan maruahnya.

Mungkin bagi sesetengah pemimpin dan ahli Pas, mereka tidak akan berasa apa-apa terhadap apa juga tindakan kedua-dua parti itu kerana mereka melihat dari sudut kepentingan politik.

Namun orang Melayu khususnya atas pagar atau mungkin dalam kalangan ahli-ahli UMNO sendiri, mereka juga berasa marah dengan layanan yang diterima oleh Pas dalam hubungannya dengan DAP dan PKR.

Ia memandangkan apabila ia dilihat dari persaudaraan Islam, mahu tidak mahu sedikit sebanyak mereka akan terasa jika sebuah parti yang dianggotai majoriti orang Islam, begitu mudah diperkotak-katikkan atau rela diperkotak-katikkan.

Bagaimanapun kita tidak boleh berbuat apa-apa selagi Pas tidak berani berubah.

Apatah lagi apabila akan muncul 'fatwa' dan 'hujah' songsang daripada kalangan pemimpin parti itu yang terlalu menyayangi hubungan dengan DAP dan PKR.

Keadaan inilah yang akan memungkinkan DAP dan PKR akan tersenyum kerana mereka sudah tahu buatlah apa pun Pas tidak akan membantah atau berasa marah.

Justeru tidak perlu mengharapkan apa-apa yang drastik berlaku kerana Pas tidak akan berupaya bersuara lantang dalam pakatan pembangkang bagi menegur PKR dan DAP.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin mereka hanya mempunyai kebijaksanaan luar biasa untuk memaki hamun pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO atas pentas ceramah.

Tidak kisahlah 'ayam sabung' atau 'ayam tambatan', semuanya tidak akan berani berkata apa-apa kepada PKR dan DAP.

Tahniahlah kepada Pas kerana mempunyai satu semangat setiakawan atas nama tahaluf siyasi yang cukup mengagumkan.

UMNO sendiri tidak akan berupaya berbuat demikian kerana apa pun berlaku UMNO sama sekali tidak akan membiarkan maruahnya dipijak oleh sesiapa jua.

Bagaimanapun kita tetap menaruh sedikit a harapan supaya ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas yang akan berani membantah tindakan pemimpin-pemimpin dalam pakatan itu terhadap parti tersebut.

Kita percaya ada antara mereka benar-benar ingin menegakkan perjuangan Islam dan mahu menjadikan Pas sebagai platform, kelompok inilah yang diharapkan akan menyedarkan Pas supaya tidak terlalu teruja dan ghairah hendak memburu kuasa sehingga segala-galanya mahu digadaikan!.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Pertemuan tidak sengaja bawa bahagia

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

PERBEZAAN usia bukan penghalang bagi pasangan Mohd. Fared Abdul Ghani dan Nurul Mardiyyah Sazali untuk membina hidup bahagia bersama Mohd Anaqi Faiq dan tiga lagi anak-anak Mohd Fared daripada perkahwinan terdahulu.

KEGAGALAN dalam rumah tangga pertamanya 10 tahun lalu merupakan satu episod hitam yang membuatkan pintu hati Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani, 45, tertutup rapat untuk hidup berpasangan.

Pengalaman yang dilaluinya membuatkan Mohd. Fared bertekad memberi fokus kepada kerjaya dan tidak lagi memikirkan untuk mencari wanita lain bagi mengisi kekosongan hidupnya.

Bagaimanapun segala-galanya berubah selepas pertemuan secara tidak sengaja dengan seorang wanita di salah sebuah kelab golf di Kota Bharu membuatkan hatinya tiba-tiba terdetik untuk kembali beristeri dan membina kehidupan baharu.

Memetik kata pujangga, cinta tidak pernah mengenal usia, apabila hati sudah suka, kasih sayang semakin membuai rasa, ditambah pula dengan jodoh yang kuat, ikatan perkahwinan merupakan jawapan paling tepat bagi Mohd. Fared yang kemudiannya mengambil keputusan menyunting wanita istimewa berkenaan, Datin Seri Nurul Mardiyyah Sazali, 25, menjadi pelengkap hidupnya.

Pasangan tersebut bersatu sebagai suami isteri pada 1 September 2011 dan kini mengharungi detik-detik bahagia bersama seorang cahaya mata, Mohd Anaqi Faiq yang berusia 10 bulan dan lebih indah tiga anaknya daripada perkahwinan dahulu kini mendapat ibu baharu.

Mengimbas kembali perkenalan pasangan ini, Mohd. Fared bercerita, mereka sempat menyulam cinta selama hampir setahun sebelum mengambil keputusan untuk bersatu sebagai suami isteri.

Pertama kali jumpa dia (isteri) ialah pada tahun 2010 iaitu di kelab golf. Ketika itu saya ingin berjumpa adik angkat saya yang kebetulan ketika itu membawa kawannya (Nurul Mardiyyah). Mereka kemudiannya minum bersama tetapi sekejap sekitar 20 minit.

Pertama kali melihatnya, dia kelihatan sombong dan ego. Pertemuan itu menyaksikan kami tidak banyak berborak, hanya sekadar bertentang mata walaupun di dalam hati ketika itu sudah mula menyimpan rasa cinta pandang pertama.

Selepas pertemuan itu, saya mula terkenangkan Nurul Mardiyyah. Selang seminggu saya memberanikan diri bersama anak saudara membeli bunga dan menyuruh dia (anak saudara) menyamar sebagai penghantar bunga, menghantar bunga kepada Nurul Mardiyyah di rumahnya di Kampung Badang, Pantai Cahaya Bulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 2 Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu baru-baru ini.

Tambahnya, isterinya pada masa itu tidak tahu siapa yang menghantar bunga tersebut sehingga pada suatu hari, mereka sekali lagi bertemu di salah sebuah pasar raya di Kota Bharu. Pada masa itu beliau tidak melepaskan peluang meminta nombor telefon yang kemudiannya menjadi detik mereka mula berhubung.

Katanya, selepas berhubung dan mula mengenal hati budi budi masing-masing, beliau mengambil keputusan untuk berjumpa keluarga Nurul Mardiyyah dan melamarnya sebagai isteri pada bulan April, 2011.

Saya kemudiannya membawa isteri berjumpa ibu, ayah serta anak-anak saya pada bulan Ramadan di Shah Alam. Selama seminggu, isteri saya berada di situ dan dalam tempoh itu, isteri berjaya memikat hati kedua-dua ibu bapa saya dan yang paling penting berjaya menawan hati anak-anak saya.

Walaupun pertemuan singkat, anak-anak saya telah mula mesra dengan isteri saya dan mereka boleh menerima isteri saya sebagai ibu baharu mereka. Kemesraan itu kekal sehingga hari ini," katanya.

Sementara itu, Mohd. Fared yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Bukan Kerajaan Turun Padang (NGOTP) dan memegang beberapa jawatan lain dalam persatuan di Kelantan berkata, isterinya sangat memahami dirinya dan sentiasa menyokongnya sebagai seorang pemimpin yang sibuk dengan pelbagai aktiviti.

Katanya, walaupun perbezaan umur mereka sebanyak 20 tahun, namun Nurul Mardiyyah merupakan seorang yang sangat matang dan memainkan peranan sebagai seorang isteri yang sangat baik, bukan sahaja terhadapnya malah tiga anaknya daripada perkahwinan terdahulu iaitu, Lidiya Quelika, 17, Mohd Iliya Irfan, 16 dan Mohd Hafiy Danish, 14.

Setelah menghadapi kesukaran selama ini, isteri saya sekarang telah berjaya mengembalikan kebahagiaan yang sudah lama saya tidak kecapi selepas berpisah dengan isteri dahulu. Dia

telah berjaya menyentuh dan membuka hati saya untuk kembali berumah tangga seterusnya menikmati kebahagiaan," katanya.

Sementara itu, Nurul Mardiyyah berkata, Mohd. Fared merupakan suami yang sangat penyayang dan sangat bertanggungjawab terhadap dirinya dan anak-anak.

Akibat letak syarat jodoh anak

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

BUKAN mudah untuk menjadi individu yang terbaik dalam semua perkara kerana fitrah manusia tidak ada yang sempurna.

Setiap orang inginkan yang terbaik dan mahu menjadi insan sempurna, namun ia tidak semudah yang diharapkan kerana Allah mencipta manusia dengan kekurangan dan kelebihan untuk diasuh supaya membaiki diri sepanjang hidup.

Naluri manusia inginkan yang terbaik, sedap mata memandang dan suka kepada pujian daripada orang sekeliling sehinggakan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi kepuasan mereka walaupun kadang kala ia milik orang lain.

Ada ibu bapa memaksa anak-anak mengikut kehendak mereka kerana mahukan yang terbaik sehingga meninggalkan tekanan emosi yang amat perit kepada anak-anak yang memberontak termasuk juga dalam rumah tangga.

Inilah cerita yang akan dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah yang dilalui oleh Kalsom (bukan nama sebenar ) dalam mencurah perhatian dan kasih sayang kepada anak menantu dan cucunya.

Apa yang terjadi dalam hidup Kalsom, kita sama-sama ikuti ceritanya.

Saya berusia lewat 50-an, mempunyai empat orang anak, seorang perempuan dan tiga lelaki. Menantu saya ada yang saya pilih sendiri dan pilihan anak-anak.

Saya tidak ada masalah dengan menantu lelaki dan menantu perempuan kerana kesemua mereka saya umpamakan seperti anak sendiri yang perlu ditegur jika bersalah dan memuji jika perlu.

Seperti ibu-ibu lain, ada ketikanya saya agak berkecil hati dengan anak-anak apabila calon pilihan untuk dijadikan isteri dan menantu saya mereka tolak, tapi saya tidak simpan di hati.

Yang saya berkenan adalah mereka yang kebanyakannya mempunyai latar belakang keluarga yang berasal dari kampung tetapi mereka berpendidikan dan boleh diambil sebagai menantu.

Sebagai seorang ibu, saya tidak mahu melukakan hati anak-anak yang sudah mempunyai pilihan hati masing-masing. Namun saya gembira kerana anak kedua saya mengikut kehendak saya dan kini mereka hidup bahagia serta telah pun mempunyai menantu dan seorang cucu.

Saya sangat-sangat bersyukur di atas kebahagiaan yang anak kedua saya nikmati sekarang, tetapi dalam menghadapi hidup bersama anak menantu ini, banyak juga dugaan yang saya hadapi.

Ada juga kisah anak menantu yang memeningkan kepala mentua. Tidak semua ibu bapa suka mengongkong hidup anak-anak. Jika ada pun sekadar untuk membaiki yang salah tetapi jangan sampai mereka bercakaran kerana sikap ibu bapa yang menjadi batu api menghasut dan akhirnya anak menantu menjadi mangsa perceraian.

Kehadiran seorang demi seorang menantu telah menambah keharmonian dalam keluarga, sama juga dengan saya. Seronok apabila mendapat menantu kerana kata orang, setahun kemudian menimang cucu pula.

Kini saya memiliki 10 orang cucu dan suasana menjadi semakin meriah bila semuanya berkumpul. Itu kisah keluarga harmoni, bagaimana pula dengan menguruskan keluarga masing-masing.

Suatu hari saya bertandang ke rumah salah seorang anak lelaki saya. Di mata saya, semuanya sempurna tetapi saya agak terkejut bila terjumpa beberapa biji pil perancang yang tersimpan di dalam bekas di kabinet dapur di rumahnya.

Untuk apa merancang jika hanya mempunyai seorang anak? Tidak manis untuk saya bertanyakan hal tersebut kerana ia terlalu peribadi. Saya diamkan sahaja dan mengalihkan pil-pil tersebut ke tempat lain. Biarkan mereka mencari atau mungkin juga boleh membelinya semula jika itu yang menjadi pilihan.

Ini kisah 25 tahun yang lalu dan sehingga kini mereka hanya mempunyai anak gadis tunggal. Satu hari, saya mendapat perkhabaran yang paling membahagiakan. Cucu saya, Shima (bukan nama sebenar) anak kepada anak lelaki yang saya ceritakan di atas akan dilamar orang.

Dia baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan setelah menamatkan pengajian di IPTA. Sebagai anak tunggal dalam keluarga tentunya dia ditatang bagaikan seorang puteri.

Saya seperti tidak percaya, syarat yang dikenakan oleh anak dan menantu saya untuk menerima lamaran tersebut adalah bakal menantunya itu mesti tinggal dengan mereka kerana status anak tunggal tidak boleh berpisah dengan ibu dan ayah.

Setelah berbincang hasrat untuk menerima menantu terbantut kerana syarat yang dikenakan tidak dipersetujui oleh pihak lelaki. Tiga lamaran telah ditolak hanya kerana syarat yang dikenakan oleh anak menantu saya itu.

Sebagai ibu, saya nasihatkan mereka supaya tidak menyusahkan urusan pernikahan anak gadis yang sepatutnya dipermudahkan tetapi nasihat saya tidak langsung diendahkan.

Cucu saya tidak pernah membantah dengan tindakan ibu dan ayahnya. Satu hari, ketika sedang bersantai dengan keluarga, Shima menyatakan hasrat ingin menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Keputusan tersebut mendapat restu ibu dan ayahnya.

Setelah berbincang dengan majikannya, Shima berhenti kerja dengan maksud untuk menyambung pengajian.

Dalam tempoh sedang menuntut, cucu saya berkenalan dengan seorang jejaka warga asing. Orang sedang bercinta memang susah untuk dipisahkan.

Berbagai cara dilakukan oleh ibu dan ayahnya untuk menghalang mereka bernikah sehingga tercetus pertelingkahan antara anak dan ibu bapa dan memaksa seluruh keluarga campur tangan.

Soal jodoh, pertemuan dan maut tidak siapa boleh menolak. Akhirnya Shima bertemu juga jodoh dengan warga asing itu setelah ibu dan ayahnya terlalu memilih calon menantu. Kini mereka bermastautin di sana.

Mungkin juga itu jodoh mereka, tetapi ada ketikanya qada dan qadar boleh diubah dengan cara berdoa dan memudahkan sesuatu perkara dan bukannya menyusahkan.

Cucu saya pulang ke tanah air setahun sekali sahaja dan berhubungan dengan ibu dan ayah serta kami sekeluarga melalui maya, teknologi yang akhirnya menjadi pilihan untuk melepaskan rindu.

Saya tidak mampu lagi memberi nasihat kerana saya tahu kesilapan terletak di tangan anak menantu saya sendiri. Mereka yang mendidik, membesar dan menjadikan anak mereka begitu.

Mereka yang mencorak masa depan anak mereka. Tepat kata pepatah, kita hanya merancang, tetapi Allah yang jadi penentu.

Saya agak ralat dengan apa yang berlaku tetapi reda dengan ketentuan Ilahi. Saya hanya mampu berdoa dan mengharapkan cucu saya tidak terleka dalam dunianya sendiri.

Saya, ibu dan ayahnya telah memberi didikan agama yang cukup kepadanya dan saya hanya berdoa agar dia akan menjadi isteri yang solehah dan dapat membimbing suaminya ke jalan yang diredhai Allah di dunia dan akhirat.

Anak dan menantu saya? Menyesal pun sudah tidak ada gunanya lagi. Sudahlah hanya ada seorang anak, sekarang jauh pula di negara orang. Walaupun balik setahun sekali, tidak sama dengan anak menantu yang ada di depan mata dan boleh berkumpul bila terasa rindu.

Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi dengan apa yang berlaku. Kadangkala saya sangat sedih dengan apa yang anak menantu saya ini lalui berbanding dengan yang lain.

Tetapi macam mana sekalipun, mereka tetap anak menantu saya, tak boleh nak ketepikan begitu sahaja. Saya harap pengalaman saya ini akan menjadi teladan kepada pasangan suami isteri lain.

Ada kalanya kita harus mendengar pandangan orang lain walaupun kita rasa kita bijak mengatur kehidupan sendiri terutama nasihat dan pandangan ibu bapa.

Saya tahu anak dan menantu saya itu sangat menyesal sekarang tetapi apa hendak dikatakan, semuanya sudah berlaku.

Ketika adik, abang dan kakak bersama keluarga masing-masing berkumpul di rumah saya sambil gelak ketawa, saya dapat lihat kesedihan di mata mereka.

Saya turut mengalir air mata melihat kesedihan mereka tetapi saya tidak dapat membantu. Saya doakan yang terbaik untuk mereka khususnya cucu saya yang kini hidup di negara orang dengan budaya, adat resam dan masyarakat yang berbeza.

Moga Allah lindungi keluarga saya dan berkati hidup kami di dunia dan akhirat," begitu harapan dan doa Kalsom menamatkan ceritanya.

Saya terkedu dengan cerita Kalsom. Begitu prihatin dan kasihnya beliau kepada anak menantunya. Perasaan dan hati seorang ibu menyerlah dalam cerita ini.

Saya berharap lebih ramai ibu-ibu dan mentua akan mengambil contoh sikap baik Kalsom ini untuk dimanfaatkan dalam kehidupan keluarga mereka.

Menamatkan catatan, pesanan saya, hidup berumah tangga tidak ada cubaan, ia hanya datang sekali. Jika tersilap langkah pasti membawa padah. Oleh itu, berhati-hati dalam meniti arus dan onak agar tidak hanyut atau tertusuk dek duri.

Salam.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tak tahan diganggu warga asing

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Muhammad Rajah Abdullah (kanan) menunjukkan salinan laporan polis berkenaan masalah yang dihadapinya berikutan kehadiran peniaga warga asing di Pasar Borang Selangor ketika hadir di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Bagaikan berniaga di bumi asing.

Itu yang dirasai seorang peniaga ikan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dekat sini apabila pasar yang sepatutnya menjadi tempat warga tempatan mencari rezeki didakwanya didominasi 95 peratus warga asing dari Myanmar.

Malah, katanya, lagak warga asing itu juga menyebabkan perniagaan Raja Fish Dealers terganggu selama empat bulan dan kerugian hampir RM400,000 akibat tidak dapat beroperasi.

Pemiliknya, Muhammad Rajah Abdullah, 43, berkata, kehadiran warga asing di pasar itu bermula sebagai seorang pekerja, namun lama kelamaan mereka mula mengambil alih kedai-kedai di situ selepas disewakan oleh peniaga tempatan.

Menurutnya, keadaan bertambah meruncing pada awal Ogos lalu selepas beberapa warga Myanmar telah mengancam pekerjanya di pasar itu.

"Pada 11 Ogos, saya ke pasar kira-kira pukul 5 pagi untuk menjalankan urusan dan ketika itu baru mengetahui kejadian yang berlaku pada hari sebelumnya selepas mendapati hanya empat daripada 18 pekerja saya yang bekerja hari itu.

"Salah seorang pekerja memberitahu yang mereka diserang dan diancam dengan pistol oleh beberapa warga Myanmar yang mendakwa dari Pasar Harian Selayang agar tidak bekerja dengan saya," katanya ketika hadir di pejabat Utusan Melayu, di sini semalam.

Difahamkan, hanya seorang peniaga Melayu, seorang peniaga Cina, seorang peniaga India dan Muhammad Rajah yang menjalankan perniagaan secara sah di situ, manakala kedai selebihnya dikuasai warga asing.

Tambah Muhammad Rajah, sejak kejadian itu, dia hingga kini masih tidak membuka perniagaan kerana bimbang dengan keselamatan selain kesemua pekerjanya telah berhenti.

"Saya membuat laporan polis pada 31 Ogos lalu mengenai kejadian itu, malah beberapa laporan sama juga pernah dibuat sebelum dan selepas tarikh itu sejak 2010.

"Terbaharu, saya membuat laporan pada Isnin lalu bagi membolehkan satu majlis doa selamat dan bacaan Yassin di pasar itu supaya dapat diadakan tanpa gangguan," ujarnya.

Katanya, aduan juga telah dibuat kepada pihak pengurusan pasar itu tetapi masih tiada penyelesaian sehingga kini.

"Saya kini buntu dan tidak tahu untuk membuat apa-apa, tambahan pula apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Rajah berharap agar pihak berkuasa memandang serius masalah itu dan meminta lesen peniaga tempatan yang menyewakan gerai mereka kepada warga asing ditarik.

"Saya sudah 13 tahun berniaga dalam bidang ini, pelbagai cabaran saya hadapi tetapi masalah ancama warga asing ini benar-benar menguji kesabaran saya," katanya.

Sikap degil pemandu punca jalan sesak

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Keadaan sesak hampir setiap hari akibat segelintir pengguna yang meletakkan kenderaan mereka secara bertindih di Jalan SS15, Subang Jaya, Selangor, semalam.

SUBANG JAYA 8 Nov. - Sikap degil segelintir pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka secara sesuka hati di sekitar Jalan SS15 dekat sini menyebabkan kawasan itu menjadi sesak tidak kira waktu siang atau malam.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan adanya sebuah projek pembinaan untuk pengangkutan awam di situ, yang menjadikan kesesakan luar biasa berlaku di kawasan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati walaupun tempat letak kereta berbayar telah disediakan di bangunan komersial di situ masih terdapat segelintir pengguna mengambil jalan mudah meletakkan kenderaan mereka secara bertindih sehingga menghalang laluan.

Utusan Malaysia difahamkan, tindakan meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan di situ bukan sahaja dilakukan mereka yang berurusan di bangunan berhampiran pada siang hari, tetapi juga pada sebelah malam.

Nampaknya mereka tidak menghiraukan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menunda dan mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang diletakkan secara salah.

Seorang peniaga kedai buku, Aisamuddin Asri, 30, berkata, kenderaan diletakkan di bahu-bahu jalan di kawasan itu bukan lagi pemandangan luar biasa kepadanya yang telah menjalankan perniagaan di kawasan itu sejak dua tahun lalu.

"Sampaikan pelanggan yang ingin ke kedai saya berfikir dua kali kerana sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta di kawasan ini.

"Dahulu keadaan tidak seteruk sekarang, mungkin kerana kawasan ini semakin pesat membangun," katanya ketika ditemui.

Rakannya, Aris Ibrahim, 30, pula berkata, pihak bertanggungjawab perlu mencari satu mekanisme untuk menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta di situ.

"Pihak berkenaan perlu menyediakan banyak lagi tempat letak kenderaan bertingkat walaupun di sini telah disediakan dua buah tempat letak kenderaan berbayar.

"Seperkara lagi, bagi pemandu yang meletakkan kenderaan secara bertindih perlu meletakkan notis atau nombor telefon supaya mudah dihubungi untuk diminta mengalihkan kenderaan mereka," katanya.

Pekerja butik, Nursyazana Hashim, 21, menyifatkan keadaan itu berlaku kerana terdesak akibat tiada pilihan lain.

"Situasi ini bukan berlaku di sini sahaja. Sikap ambil mudah mereka menyusahkan pengguna lain dan pejalan kaki," ujarnya.

Dia turut mencadangkan agar MPSJ memantau perkara ini dengan serius selain tindakan penguatkuasaan lebih tegas bagi mengelakkan masalah itu terus berlaku.

538 keluarga terima manfaat Tabung Budi Peka

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Sebanyak RM411, 872.56 dari dana Tabung Budi telah dibelanjakan untuk membantu 538 buah keluarga kembali mendapat bekalan air paip sejak program tersebut bermula pada Ogos 2010.

Program yang dilaksanakan atas inisiatif Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) itu dianjurkan untuk membantu keluarga yang dipotong bekalan air paip akibat gagal melunaskan bil air tertunggak beberapa lama.

Terbaru, sebanyak tiga buah keluarga di Sepang menerima bantuan tersebut yang berjumlah RM1, 036.40.

Presiden Peka, Zainuddin Othman berkata, keseluruhan sumbangan itu adalah termasuk pembayaran bil tertunggak dan pembayaran bil air penerima selama enam bulan dari tarikh serahan.

Mereka yang terpilih ialah A. Siva Meenakshi Sundram, Y. Muniammah dan S. Tharani.

Tambah Zainuddin, antara kriteria pemilihan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Peka dan diberi keutamaan adalah kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Mereka terdiri daripada ibu-ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), sama ada bekalan air mereka telah dipotong disebabkan tunggakan bil air yang tidak mampu dibayar atau bekalan masih aktif namun mereka menghadapi kesukaran untuk membayar bil bulanan," jelasnya.

Katanya, pihaknya turut mempertimbangkan calon penerima dari kalangan yang mempunyai masalah untuk membaik pulih sistem perpaipan dalaman premis kediaman yang rosak dan memerlukan kos pembaikan tinggi.

"Kriteria ini diambil kira kerana akibat kekangan kewangan yang dihadapi, kerja-kerja membaik pulih kerosakan tersebut terpaksa diketepikan bagi membolehkan mereka menggunakan sumber kewangan yang ada untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga," katanya.

Sehingga kini, kata Zainuddin, 2,922 individu termasuk ahli-ahli Peka, kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga serta individu luar menunjukkan komitmen untuk sama-sama menjayakan program amal tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved