Jumaat, 8 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tak tahan diganggu warga asing

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Muhammad Rajah Abdullah (kanan) menunjukkan salinan laporan polis berkenaan masalah yang dihadapinya berikutan kehadiran peniaga warga asing di Pasar Borang Selangor ketika hadir di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Bagaikan berniaga di bumi asing.

Itu yang dirasai seorang peniaga ikan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dekat sini apabila pasar yang sepatutnya menjadi tempat warga tempatan mencari rezeki didakwanya didominasi 95 peratus warga asing dari Myanmar.

Malah, katanya, lagak warga asing itu juga menyebabkan perniagaan Raja Fish Dealers terganggu selama empat bulan dan kerugian hampir RM400,000 akibat tidak dapat beroperasi.

Pemiliknya, Muhammad Rajah Abdullah, 43, berkata, kehadiran warga asing di pasar itu bermula sebagai seorang pekerja, namun lama kelamaan mereka mula mengambil alih kedai-kedai di situ selepas disewakan oleh peniaga tempatan.

Menurutnya, keadaan bertambah meruncing pada awal Ogos lalu selepas beberapa warga Myanmar telah mengancam pekerjanya di pasar itu.

"Pada 11 Ogos, saya ke pasar kira-kira pukul 5 pagi untuk menjalankan urusan dan ketika itu baru mengetahui kejadian yang berlaku pada hari sebelumnya selepas mendapati hanya empat daripada 18 pekerja saya yang bekerja hari itu.

"Salah seorang pekerja memberitahu yang mereka diserang dan diancam dengan pistol oleh beberapa warga Myanmar yang mendakwa dari Pasar Harian Selayang agar tidak bekerja dengan saya," katanya ketika hadir di pejabat Utusan Melayu, di sini semalam.

Difahamkan, hanya seorang peniaga Melayu, seorang peniaga Cina, seorang peniaga India dan Muhammad Rajah yang menjalankan perniagaan secara sah di situ, manakala kedai selebihnya dikuasai warga asing.

Tambah Muhammad Rajah, sejak kejadian itu, dia hingga kini masih tidak membuka perniagaan kerana bimbang dengan keselamatan selain kesemua pekerjanya telah berhenti.

"Saya membuat laporan polis pada 31 Ogos lalu mengenai kejadian itu, malah beberapa laporan sama juga pernah dibuat sebelum dan selepas tarikh itu sejak 2010.

"Terbaharu, saya membuat laporan pada Isnin lalu bagi membolehkan satu majlis doa selamat dan bacaan Yassin di pasar itu supaya dapat diadakan tanpa gangguan," ujarnya.

Katanya, aduan juga telah dibuat kepada pihak pengurusan pasar itu tetapi masih tiada penyelesaian sehingga kini.

"Saya kini buntu dan tidak tahu untuk membuat apa-apa, tambahan pula apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Rajah berharap agar pihak berkuasa memandang serius masalah itu dan meminta lesen peniaga tempatan yang menyewakan gerai mereka kepada warga asing ditarik.

"Saya sudah 13 tahun berniaga dalam bidang ini, pelbagai cabaran saya hadapi tetapi masalah ancama warga asing ini benar-benar menguji kesabaran saya," katanya.

Sikap degil pemandu punca jalan sesak

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Keadaan sesak hampir setiap hari akibat segelintir pengguna yang meletakkan kenderaan mereka secara bertindih di Jalan SS15, Subang Jaya, Selangor, semalam.

SUBANG JAYA 8 Nov. - Sikap degil segelintir pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka secara sesuka hati di sekitar Jalan SS15 dekat sini menyebabkan kawasan itu menjadi sesak tidak kira waktu siang atau malam.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan adanya sebuah projek pembinaan untuk pengangkutan awam di situ, yang menjadikan kesesakan luar biasa berlaku di kawasan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati walaupun tempat letak kereta berbayar telah disediakan di bangunan komersial di situ masih terdapat segelintir pengguna mengambil jalan mudah meletakkan kenderaan mereka secara bertindih sehingga menghalang laluan.

Utusan Malaysia difahamkan, tindakan meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan di situ bukan sahaja dilakukan mereka yang berurusan di bangunan berhampiran pada siang hari, tetapi juga pada sebelah malam.

Nampaknya mereka tidak menghiraukan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menunda dan mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang diletakkan secara salah.

Seorang peniaga kedai buku, Aisamuddin Asri, 30, berkata, kenderaan diletakkan di bahu-bahu jalan di kawasan itu bukan lagi pemandangan luar biasa kepadanya yang telah menjalankan perniagaan di kawasan itu sejak dua tahun lalu.

"Sampaikan pelanggan yang ingin ke kedai saya berfikir dua kali kerana sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta di kawasan ini.

"Dahulu keadaan tidak seteruk sekarang, mungkin kerana kawasan ini semakin pesat membangun," katanya ketika ditemui.

Rakannya, Aris Ibrahim, 30, pula berkata, pihak bertanggungjawab perlu mencari satu mekanisme untuk menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta di situ.

"Pihak berkenaan perlu menyediakan banyak lagi tempat letak kenderaan bertingkat walaupun di sini telah disediakan dua buah tempat letak kenderaan berbayar.

"Seperkara lagi, bagi pemandu yang meletakkan kenderaan secara bertindih perlu meletakkan notis atau nombor telefon supaya mudah dihubungi untuk diminta mengalihkan kenderaan mereka," katanya.

Pekerja butik, Nursyazana Hashim, 21, menyifatkan keadaan itu berlaku kerana terdesak akibat tiada pilihan lain.

"Situasi ini bukan berlaku di sini sahaja. Sikap ambil mudah mereka menyusahkan pengguna lain dan pejalan kaki," ujarnya.

Dia turut mencadangkan agar MPSJ memantau perkara ini dengan serius selain tindakan penguatkuasaan lebih tegas bagi mengelakkan masalah itu terus berlaku.

538 keluarga terima manfaat Tabung Budi Peka

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Sebanyak RM411, 872.56 dari dana Tabung Budi telah dibelanjakan untuk membantu 538 buah keluarga kembali mendapat bekalan air paip sejak program tersebut bermula pada Ogos 2010.

Program yang dilaksanakan atas inisiatif Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) itu dianjurkan untuk membantu keluarga yang dipotong bekalan air paip akibat gagal melunaskan bil air tertunggak beberapa lama.

Terbaru, sebanyak tiga buah keluarga di Sepang menerima bantuan tersebut yang berjumlah RM1, 036.40.

Presiden Peka, Zainuddin Othman berkata, keseluruhan sumbangan itu adalah termasuk pembayaran bil tertunggak dan pembayaran bil air penerima selama enam bulan dari tarikh serahan.

Mereka yang terpilih ialah A. Siva Meenakshi Sundram, Y. Muniammah dan S. Tharani.

Tambah Zainuddin, antara kriteria pemilihan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Peka dan diberi keutamaan adalah kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Mereka terdiri daripada ibu-ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), sama ada bekalan air mereka telah dipotong disebabkan tunggakan bil air yang tidak mampu dibayar atau bekalan masih aktif namun mereka menghadapi kesukaran untuk membayar bil bulanan," jelasnya.

Katanya, pihaknya turut mempertimbangkan calon penerima dari kalangan yang mempunyai masalah untuk membaik pulih sistem perpaipan dalaman premis kediaman yang rosak dan memerlukan kos pembaikan tinggi.

"Kriteria ini diambil kira kerana akibat kekangan kewangan yang dihadapi, kerja-kerja membaik pulih kerosakan tersebut terpaksa diketepikan bagi membolehkan mereka menggunakan sumber kewangan yang ada untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga," katanya.

Sehingga kini, kata Zainuddin, 2,922 individu termasuk ahli-ahli Peka, kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga serta individu luar menunjukkan komitmen untuk sama-sama menjayakan program amal tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved