Jumaat, 8 November 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Dua ‘otai’ buat Felda sakit kepala

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Hairuddin Omar (tengah) didakwa membatalkan keputusan asal untuk menyertai Felda United, sebaliknya memilih untuk kekal bersama Angkatan Tentera Malaysia, musim depan.

KUALA LUMPUR - Kedua-dua pemain ini pada mulanya bersetuju untuk menyertai Felda United musim depan, namun mereka membuat pusingan-U pada saat akhir dan menyebabkan pengendali The Settlers, Irfan Bakti benar-benar tidak gembira.

Pemain yang dimaksudkan adalah dua bintang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus, yang difahamkan memilih untuk kekal bersama pasukan lamanya pada musim hadapan.

Jelas Irfan, tindakan mereka benar-benar menjejaskan perancangan yang telah dilakukan oleh Felda.

Malah jurulatih itu mengakui, pertelingkahan mengenai isu tersebut pasti akan mengambil masa lama untuk diselesaikan memandangkan kedua-dua pemain itu masih belum mahu bersemuka dengan dirinya dalam masa terdekat walaupun telah menurunkan tandatangan dalam kontrak bagi bersama Felda.

Hai-O (Hairuddin) dan Irwan sebelum ini ada memberi persetujuan untuk menyertai Felda dan telah menandatangani kontrak yang dipanggil borang C302, iaitu secara dasarnya satu perjanjian yang dia akan sertai kami pada musim depan.

Malah, sejumlah bayaran pendahuluan selepas mereka menandatangani kontrak akan diberikan, namun secara tiba-tiba dalam dua minggu lepas, mereka menarik balik hasrat itu dan berulang kali memberitahu saya hanya melalui panggilan (telfon) tanpa sebarang surat.

Dalam hal ini, Felda tidak boleh disalahkan kerana mereka sendiri telah rela hati mahu bersama kami dan jika mereka memang beria-ia tidak mahu datang ke sini, sepatutnya ada prosedur tertentu bagi meleraikan masalah ini.

Apa yang berlaku memang buat saya sedikit kesal, tindakan mereka berdua ini benar-benar kurang profesional, tambahan Hai-O sendiri adalah Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), dia patut tunjukkan contoh yang baik, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Baginya, bukan jumlah wang ringgit menjadi persoalan jika mereka berdua mampu membayar sejumlah pampasan yang ditetapkan tetapi ia adalah lebih daripada itu.

Sekiranya mereka boleh bayar sekali pun wang pampasan yang kami minta bagi selesaikan masalah ini, saya bukan kisah sangat soal itu cuma apa yang mereka buat ini memang tidak menepati etika sebagai pemain bola sepak profesional, " katanya.

Keputusan yang dibuat oleh Hairuddin dan Irwan itu difahamkan ada kena mengena dengan keputusan B. Sathianathan untuk kekal di ATM dan menolak tawaran daripada Selangor.

Kedua-dua pemain ini cukup rapat dan serasi dengan cara kerja bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

Felda dilihat bakal menjadi pencabar utama saingan Liga Perdana musim depan dengan bakal mengetengahkan 100 peratus muka baharu, selain mendapatkan beberapa pemain import berkualiti tinggi.

Antaranya adalah pemain tengah Liberia, Zah Rahan Krangar yang beraksi dengan kelab Indonesia, Persipura Jayapura dan salah seorang penyerang dari Semen Padang F.C.

Kuota pemain import dari Asia, pula diberikan kepada bekas pemain kebangsaan Uzbekistan yang tidak didedahkan namanya.

Terbaru, Felda berjaya mendapatkan pemain tengah Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan dua bekas pemain ATM, Shukor Adan dan penjaga gol, Farizal Harun bagi memperkuatkan pasukan.

Turut memperkuatkan pasukan Felda musim hadapan adalah beberapa pemain Selangor seperti Mohd. Nasriq Baharom, Solihin Kanasian dan Adib Aizuddin Ab. Latif.

Pemenang kasut emas kuatkan TRW

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

BINTANG penyerang ATM, Marlon Alex James (kanan) antara nama besar yang dikaitkan bakal menguatkan cabaran The Red Warriors bagi menghadapi musim 2014.

KOTA BHARU - Patah tumbuh hilang berganti.

Walaupun bakal kehilangan lapan tonggak utama musim depan, Kelantan akan tetap menjadi pasukan digeruni kerana bakal mendapat sentuhan beberapa nama besar dalam liga Malaysia.

Dua bekas pemenang anugerah Kasut Emas, iaitu penjaring terbanyak antara yang akan menguatkan cabaran skuad Red Warriors.

Perkara tersebut disahkan oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam entri terbarunya di Facebook milik beliau semalam, namun nama-nama pemain terbabit tidak didedahkan.

"Doa-doakan supaya tiga pemain yang pernah memenangi anugerah kasut emas akan bersama The Red Warriors 2014.

"Dua sudah muktamad, seorang lagi akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Hidup dicabar adalah cabaran hidup," katanya.

Tiga penyerang import, Marlon Alex James, Jean-Emmanuel Effa Owona dan Francis Forkey Doe antara pemenang Kasut Emas yang dikaitkan dengan The Red Warriors.

Dua pemain tempatan yang pernah memenangi anugerah Kasut Emas pula adalah Abdul Hadi Yahya (2011) dan Mohd. Ashaari Shamsuddin (2010)

Sementara itu, beberapa pemain seperti Khyril Muhaymen Zambri dari Kedah, Lot Abu Hasan (PKNS) dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria (Harimau Muda A) dikatakan berada dalam radar KAFA.

Dalam pada itu, Annuar membidas sikap pemain tertentu kerana 'berpura-pura' sayangkan pasukan, tetapi berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada pemain terbabit untuk terus kekal dan beraksi bersama-sama dengan rakan pasukan yang lain.

"Ada yang berpura-pura menulis dalam Facebook kononnya sayang dan mahu meninggalkan The Red Warriors, nak saya ceritakan sepenuhnya kisah macam mana saya terpaksa memujuk rayu sesetengah daripada mereka.

"Tidak perlu rasanya tetapi mereka tahu, ceritalah yang benar, apa nak malu, cerita apa permintaan mereka tak dapat KAFA tunai, kita pun sudah reda, yang hendak pergi, pergilah tidak usah reka alasan.

"Pintu KAFA tetap terbuka sampai sekarang, hendak keluar boleh, hendak masuk pun boleh, tutup pendaftaran 17 November ini, siapa pun datang dan pergi The Red warriors teruskan perjuangan dan tidak bergantung kepada individu," katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, The Red Warriors bakal mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2014 penuh liku apabila beberapa tonggak utama yang menjadi tunjang kekuatan Kelantan bagi tahun 2012/2013.

Antara pemain yang akan meninggalkan Kelantan ialah Mohd. Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin,Azizi Mat Rose, Mohd. Rizal Fahmi Rosid, S. Subramaniam dan Mohd. Daudsu Jamaluddin.

Kelantan dijangka turut kehilangan sentuhan pemain tengah berbisanya, Mohd. Shakir Shaari dan tenaga muda, Mohd. Izuan Solahuddin yang memilih untuk menyertai pasukan baharu musim depan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved