Jumaat, 8 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Anggota bomba pelabuhan maut

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

MOTOSIKAL Honda CB 1000cc yang ditunggangi Mohd. Hafiz Iduras terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth di Pulau Pinang, malam kelmarin.

BUTTERWORTH 7 Nov. - Seorang anggota bomba bantuan pelabuhan maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini malam tadi.

Mangsa, Mohd. Hafiz Iduras, 27, dari Bagan Ajam dekat sini sebelum itu meminjam motosikal tersebut daripada rakannya selama beberapa hari.

Ketika kejadian pukul 9.30 malam, beliau dalam perjalanan untuk pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum motosikal Honda CB 1000cc itu gagal dikawal lalu merempuh pembahagi jalan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Trafik Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, Mohd. Hafiz dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) tetapi disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala dan tengkok, kira-kira dua jam selepas menerima rawatan.

"Mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal itu sebaik sahaja melepasi Plaza Tol BORR," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suhaimi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sri Pantai dan amat meminati motosikal berkuasa tinggi dan aktiviti lasak.

Sementara itu kenalan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa meminjam motosikal itu daripada seorang rakan mereka di Kulim beberapa hari lalu.

"Mangsa baharu menjual motosikal berkuasa tinggi miliknya setahun lalu dan amat teringin untuk menunggangnya. Malah beliau sanggup memberi pinjam keretanya untuk kegunaan rakannya itu," katanya.

Jenazah mangsa dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung isterinya di Paya Pak Maras, Penaga dekat sini selepas selesai bedah siasat.

Penang Port akan wujudkan zon perdagangan bebas

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

SEBAHAGIAN daripada penerima Anugerah Khidmat Cemerlang dan penerima Anugerah Khidmat Lama 30 dan 20 Tahun bersorak gembira pada majlis penyampaian berkenaan di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 7 Nov. - Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan mewujudkan satu lagi zon perdagangan bebas di atas tanah seluas 480 hektar miliknya yang dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Zon perindustrian dan komersial bebas bersepadu itu akan menawarkan tapak perindustrian tersedia (tanah terbuka), unit perindustrian ringan untuk kilang-kilang dan gudang, zon komersial serta zon khas mirip zon perdagangan bebas di Dubai.

Pengarah Urusan PPSB, Datuk Ahmad Ibnihajar (gambar) berkata, dengan adanya zon perdagangan itu akan memberikan nilai tambah kepada produk import dan eksport tempatan termasuk produk halal yang semakin mendapat tempat di pasaran dunia.

Menurutnya, zon tersebut akan diwujudkan di atas tanah yang ditebus guna dan telah diserahkan kepada PPSB untuk pembesaran operasi mereka sejak beberapa tahun lalu, malah sebahagian tanah itu telah dibangunkan oleh pihaknya.

"Kini PPSB dalam proses mendapatkan kelulusan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan jika dapat dimulakan pada tahun hadapan, kewujudan zon berkenaan boleh direalisasikan pada penghujung 2016 atau awal 2017.

"Malah, kini terdapat beberapa syarikat yang menunjukkan minat untuk menjalankan operasi mereka di zon berkenaan, sekali gus mampu menjimatkan kos syarikat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Ahmad, zon tersebut juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan kepada industri kecil dan sederhana (IKS) di Pulau Pinang khasnya dan utara semenanjung amnya.

Selain itu jelas beliau, kewujudannya juga akan meningkatkan potensi serta memberi masa depan yang cerah kepada Segitiga Pembangunan Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Terdahulu beliau menyampaikan Anugerah Khidmat Lama 30 dan 20 Tahun kepada 25 kakitangan PPSB serta Anugerah Khidmat Cemerlang yang diterima 144 kakitangan.

Perak sasar tanam dua juta pokok lagi

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

GERIK 7 Nov. - Kerajaan negeri akan menanam dua juta pokok lagi di seluruh negeri bagi menghijaukan semula kawasan hutan dan mewujudkan bio-diversiti yang lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sebanyak satu juta pokok telah pun ditanam di seluruh negeri, yang turut melibatkan penanaman di kawasan hutan paya bakau.

Menurut beliau, langkah itu juga melengkapkan apa yang dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu iaitu untuk menghijaukan semula hutan di negeri ini.

"Hari ini saya mengumumkan bahawa sejuta pokok itu telah pun kita tanam dan kerajaan negeri kini melangkah ke fasa kedua dalam proses untuk menghijaukan dan mewujudkan suasana bio-diversiti di negeri ini untuk menanam dua juta lagi pokok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam perasmian 'Amanjaya Planting Program: Future Carbon Stocking and Cleaner Environment in a Biodiversed Forest' di kawasan Hutan Simpan Kekal Amanjaya dekat sini hari ini.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan majlis tersebut.

Yang turut hadir Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Tambah Zambry, Perak merupakan negeri yang pertama mengadakan program seperti itu yang juga bertujuan menghalang kegiatan penebangan hutan secara bebas atau haram.

Menurutnya, langkah proaktif itu terbukti memberi kesan yang baik kepada alam sekitar, selain menambah khazanah hutan di negeri ini.

Katanya, program menanam pokok ini melibatkan kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan hutan yang merosot.

"Perak merupakan negeri pertama yang mewartakan kawasan seluas 18,866 hektar di sini sebagai kawasan hutan simpan kekal, iaitu tambahan kepada kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebelum ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved