Khamis, 18 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lagi guru mati ditembak dalam kereta

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap kereta K. Shanmugam (berwarna putih) dan kereta yang dilanggarnya selepas ditembak berdekatan persimpangan Simpang Empat Keladi, Kulim tengah hari semalam.

KULIM 18 Julai - Tidak sampai dua minggu selepas seorang guru penolong kanan mati ditembak di Bachok, Kelantan, seorang lagi guru menerima nasib sama selepas ditembak dua lelaki di Simpang Empat Keladi di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 12.25 tengah hari ketika K. Shanmugam, 45, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bidara ke tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit, Bukit Mertajam dekat sini.

Sebaik sahaja tiba di lokasi terbabit iaitu berhampiran satu persimpangan lampu isyarat, dua lelaki bermotosikal menghampiri bahagian kanan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dipandunya lalu melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, berikutan itu, kenderaan mangsa terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di hadapannya.

"Siasatan mendapati tembakan yang dilepaskan daripada pistol jenis automatik mengenai kepala dan anggota badan mangsa. Kedua-dua suspek kemudian terus memecut melarikan diri," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Dalam kejadian pada 8 Julai lalu, seorang guru penolong kanan maut ditembak sebanyak tiga das dari jarak dekat ketika baru keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor dekat Bachok, yang dipercayai kerana masalah hutang.

Nashir seterusnya berkata, polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian menemukan beberapa butir kelongsong peluru yang dipercayai digunakan suspek.

Katanya, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan sekiranya kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan pembunuh upahan.

"Kita akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak termasuk ahli keluarga mangsa," katanya yang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, salah seorang saksi, Mat Lin Saad, 35, berkata, semasa kejadian dia memandu kereta Perodua Viva di hadapan kenderaan mangsa.

Katanya, apabila sampai berhampiran simpang lampu isyarat tersebut, dia terdengar bunyi seperti mercun tetapi tidak menghiraukannya.

"Namun tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi sebuah kereta melanggar belakang kereta saya. Saya turun dan dapati orang ramai mengerumuni kenderaan mangsa.

"Mangsa yang berlumuran darah dilihat meronta-ronta di kerusi penumpang depan sebelum terduduk diam," katanya.

Seorang lagi saksi, Zulkefli Itam, 45, berkata, ketika kejadian dia berada bersebelahan jalan dan melihat dua lelaki menaiki motosikal mengekori kenderaan mangsa.

"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi seakan-akan mercun dan dua lelaki yang menaiki motosikal tersebut terus memecut laju ke arah Taman Selasih," katanya.

Kes culik ada kaitan tindakan pasangan kontroversi

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

KUALA LUMPUR 18 Julai - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan, pendakwaan terhadap Alvin Tan dan Vivian Lee dibuat lanjutan daripada kejadian seorang individu yang diculik dan dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali dipercayai rentetan tindakan pasangan kontroversi itu.

Menurut beliau, memandangkan pasangan itu mempunyai kecenderungan memuat naik kandungan yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai, Jabatan Peguam Negara turut membuat permohonan supaya mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sementara menunggu perbicaraan.

''Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak berhenti memberi sebarang kenyataan atau membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut bagi mengelak sebarang perbicaraan melalui media,'' kata beliau dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau nama penuhnya Lee May Ling, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan.

Mereka didakwa memuat naik gambar dengan komen Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dalam laman Facebook mereka iaitu ''Alvin and Vivian-Alvivi'' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers.

Pasangan blogger itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa mempamerkan gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Mereka tidak dibenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan terlalu berharap

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan dalam gimnasium di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam sebagai persiapan menentang Chelsea di Stadium Shah Alam, Ahad ini. - Utusan/Noor Asrekuzairey Salim

SUBANG - Para peminat Harimau Malaya tidak boleh terlalu mengharap kecemerlangan yang dipamerkan pada tahun 2011 apabila tewas tipis 0-1 kepada Chelsea akan menjelma sekali lagi.

Hakikat itu ditekankan oleh pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang mengingatkan, skuad yang akan ditampilkan kali ini akan membawa pemain dan jurulatih yang berlainan, begitu juga dengan pasukan Chelsea.

"Perlawanan yang terdahulu tidak boleh ada kaitan kerana itu adalah aksi dua tahun lepas di samping pemain yang akan digunakan kali ini tidak lagi sama dan jurulatih juga berbeza.

"Apa yang saya boleh katakan, memang kita semua main mahukan kemenangan tetapi kita perlu terima hakikat sejauh mana kekuatan lawan.

"Chelsea sudah tentu mahu berikan satu hiburan kepada peminat mereka di sini namun saya harap para pemain boleh mengambil kesempatan dan cuba dapatkan satu penghormatan dari pasukan lawan.

"Perlawanan ini boleh membantu kami untuk melakukan persiapan kelayakan Piala Asia 2015 dan saya harapkan semua pemain dapat mempelajari sesuatu nanti," katanya yang ditemui selepas sidang media pasukan Chelsea sempena Jelajah Asia 2013 di sini, semalam.

Dalam aksi terakhir Chelsea dua tahun lalu yang ketika itu dibimbing oleh Andres Villa-Boas, skuad Pilihan Malaysia yang dibimbing oleh Ong Kim Swee tewas 0-1 melalui jaringan kontroversi Didier Drogba setelah memperagakan permainan penuh cemerlang sepanjang 90 minit permainan.

Ini merupakan lawatan keempat The Blues ke Malaysia semenjak tahun 2003 tetapi kehadiran Chelsea kali ini cukup berbeza kerana membawa jurulatih yang paling berjaya dalam sejarah kelab bola sepak itu iaitu Jose Mourinho.

Rajagobal turut menyuarakan pandangan yang sama dengan mengatakan jurulatih dari Portugal itu antara yang terbaik di dunia dan merupakan satu penghormatan besar melihat skuad kebangsaan akan menentang Chelsea.

"Sebagai pengurus dan jurulatih pasukan, mana-mana dia pergi pasti akan ada ramai pemain terbaik dan itu memberi satu keistimewaan kepada dirinya.

"Walaupun sentiasa mempunyai ramai pemain hebat namun dia berjaya menguruskan mereka semua dengan baik sehingga membuatkan pasukannya antara yang terbaik, itu menjadikan Mourinho sebagai salah seorang pengurus yang disegani," katanya.

Chelsea janji aksi terbaik

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Jose Mourinho (tengah) tersenyum mendengar soalan wartawan pada sidang akhbar di Subang sebaik tiba dari Bangkok, semalam. Turut kelihatan K. Rajagobal (kiri) dan pemain Chelsea, Michael Essien. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

SUBANG - Jika di Thailand, pengurus Chelsea, Jose Mourino berterus terang berminat bagi mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney, lain pula ceritanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam

Semua media yang hadir tidak dibenarkan lagi bertanyakan lagi mengenai status Rooney dan walaupun ada pihak yang cuba mendapatkan maklumat terkini, soalan mereka dipatahkan awal-awal oleh Ketua Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay tanpa sempat dijawab oleh Mourinho.

Situasi itu jelas menimbulkan rasa teka-teki di kalangan media yang hadir sehingga gagal mendapat sebarang berita untuk mengesahkan sama ada memang ada usaha membawa Rooney ke Stamford Bridge seperti mana yang didakwa sebelum ini.

"Sebelum kita memulakan sesi soal media, saya mahu tegaskan tiada sebarang soalan mengenai Rooney," tegas Gourlay pada sidang akhbar Jelajah Chelsea 2013 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Subang.

Namun, masih ada pihak media yang berani cuba bertanyakan Mourinho dengan berkata: "Tuan, boleh ceritakan serba-sedikit mengenai bidaan yang dilakukan kepada Rooney sebelum ini, soalnya."

Gourlay bagaimanapun mencelah: "Tolong jangan menanyakan apa-apa soalan mengenai Rooney, tolong tanya soalan lain."

Rooney sebelum ini difahamkan telah dibida oleh Chelsea pada awal minggu ini tetapi pengurus United, David Moyes menegaskan, penyerang berusia 27 tahun itu bukan untuk dijual walaupun turut menarik perhatian satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Masa depan penyerang itu di Old Trafford semakin tidak pasti selepas dia mengakui marah dan keliru mengenai peranannya di United.

Bercakap mengenai perlawanan dengan Harimau Malaya Ahad ini, Mourinho berharap pasukannya dan tuan rumah mampu memberikan satu aksi bola sepak yang terbaik kepada semua peminat.

Dia tidak kisah sama ada peminat yang hadir akan lebih menyokong Chelsea atau Malaysia, namun apa yang mustahak, dia berharap mereka berpuas hati dengan gaya yang akan ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

"Saya tidak mungkin tahu sambutan peminat di sini tetapi semasa di Bangkok (Stadium Rajamangala), suasananya cukup meriah dengan lautan penyokong Chelsea.

"Sama ada penonton di sini menyokong pasukan mereka atau mereka datang kerana memang meminati Chelsea, saya cuma harap mereka dapat menikmati perlawanan ini," katanya.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Pemasaran ProEvents, San Boon Wah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


MMM lancar varian terbaharu Pajero

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

KUALA LUMPUR 18 Julai - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), telah melancarkan varian terbaharu Pajero Sport VGT Euro edisi terhad dengan pengeluaran 250 buah sahaja.

MMM dalam kenyataannya hari ini menyatakan, kenderaan jenis utiliti sukan itu mematuhi spesifikasi Eropah dan ditambah dengan pakej gajet baharu yang lebih menarik.

Antara penambahan yang dibuat adalah spoiler hadapan (air dam), kerusi elektrik dengan lapan fungsi laras, bumbung matahari, enam beg udara, kit badan aerodinamik dan pemantul cahaya di bahagian belakang.

Aksesori standard pada model ini telah dikekalkan antaranya, kamera undur, pedal shift magnesium, pengesan hujan dan cahaya automatik, pendingin udara automatik dan sistem navigasi dengan sambungan iPod serta Bluetooth.

Pajero Sport VGT Euro dijual pada harga RM189,550, tidak termasuk insurans dengan dua pilihan warna iaitu putih dan hitam serta pakej jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dan dua tahun penyelenggaraan percuma.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Alvin, Vivian didakwa tiga tuduhan

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

Alvin Tan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam berhubung kes mempersendakan Ramadan dan mempamerkan gambar lucah di sebuah laman web yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerbitkan gambar menghasut umat Islam di bulan Ramadan dan mempamerkan gambar-gambar lucah di sebuah laman web, dua minggu lalu.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pasangan itu tidak dibebaskan dengan jaminan sehingga selesai perbicaraan atas alasan kedua-dua tertuduh cenderung memuat naik kandungan yang boleh menyinggung perasaan dan membangkitkan kemarahan orang ramai.

Dengan keputusan itu, Alvin yang berkemeja T warna merah dan seluar jean ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Vivian yang memakai kemeja T warna merah jambu dihantar ke Penjara Kajang sehingga tarikh sebutan semula kes itu pada 23 Ogos ini.

Pendakwaan terhadap pasangan itu dibuat setelah mereka berdua ditahan pihak polis ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini kira-kira pukul 1 petang.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial facebook "Alvin dan Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada pukul 10.48 malam, tarikh dan tempat yang sama, pasangan penulis blog itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 5(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin memohon ketiga-tiga kes dibicarakan bersama-sama namun tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesemua pertuduhan itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Menurut beliau, kedua-dua tertuduh turut mempunyai kecenderungan untuk memuat naik kandungan yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

''Pihak pendakwaan memohon mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sehingga selesai perbicaraan kes itu,'' katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang turut mewakili pihak pendakwaan pula menyatakan, perbuatan Alvin dan Vivian bukan sahaja membangkitkan kemarahan masyarakat malah jika tidak dikawal boleh memusnahkan keharmonian antara masyarakat berlainan bangsa dan agama di negara ini.

''Kedua-dua tertuduh berkemungkinan memuat naik lagi artikel atau gambar yang menyinggung perasaan masyarakat dan ini merupakan perbuatan yang serius dan membimbangkan.

''Nama Alvin Tan sangat dikenali dan bila kita Google sahaja nama Alvin, akan timbul gambar dan artikel mengenainya yang mana jika tidak dikawal boleh memusnahkan masyarakat dan agama. Tidak dinafikan kesalahan itu tidak melibatkan keganasan tetapi ia kesalahan serius,'' katanya.

Peguam bela Chong Joo Tian yang mewakili Alvin dan Vivian bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan kepada anak-anak guamnya memandangkan mereka tidak sepatutnya dihukum sebelum disabitkan bersalah atas ketiga-tiga tuduhan berkenaan.

Bantahan awal lima petisyen diketahui Selasa

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

KOTA BHARU 18 Julai - Mahkamah Pilihan Raya di sini menetapkan 23 Julai ini keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Ketereh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas dan Kok Lanas yang dikemukakan Pas bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Hakim Pilihan Raya, Datuk John Louis O'Hara turut menetapkan tarikh yang sama bagi keputusan bantahan awal terhadap petisyen dikemukakan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Mengkebang dan Manek Urai.

Tarikh itu dijadualkan setelah beliau selesai mendengar hujah pihak terlibat selain turut menyaksikan kedegilan peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa yang hadir untuk berhujah bagi petisyen Parlimen Ketereh meskipun tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang).

Kehadiran Sivarasa itu mendapat bantahan peguam BN, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dengan alasan hanya peguam Hisham Fauzi yang berhak mewakili Pas berdasarkan Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Meskipun dibantah, Sivarasa tetap berkeras mahu bercakap, namun Hakim O'Hara memutuskan beliau tidak mempunyai kelayakan dan prosiding perlu diteruskan dengan barisan peguam yang sedia ada.

"Peraturan menetapkan pempetisyen perlu menyerahkan notis pelantikan peguam, justeru hanya Hisham yang layak kerana nama anda tiada dalam notis, jadi saya tidak membenarkan anda.

"Sehubungan itu, saya minta anda beralih tempat duduk kerana tidak elok jika anda masih duduk di situ," kata Hakim O'Hara kepada Sivarasa.

Pada 10 Julai lalu, Sivarasa turut tidak dibenarkan mewakili Pas dalam prosiding petisyen Parlimen Machang yang didengar di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Zamani Abdul Rahim atas alasan sama.

Dalam pada itu, prosiding petisyen Parlimen Ketereh sekali lagi menarik tumpuan apabila hakim memberi peluang kepada barisan peguam pempetisyen untuk menyemak semula sama ada ingin meneruskan atau menarik balik petisyen itu terhadap responden pertama, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau memberi peluang tersebut kerana petisyen itu dilihat tidak berkaitan dengan responden pertama, sebaliknya tuduhan yang dikemukakan terarah kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga responden kedua dan ketiga.

''Selepas saya membaca petisyen ini saya dapati semua perkara terarah kepada responden kedua dan ketiga, justeru saya beri lima minit kepada anda kerana jika Mohd. Hafarizam bercakap maka kos akan meningkat," kata Hakim O'Hara.

Hisham kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa petisyen itu akan diteruskan sehingga menimbulkan reaksi kurang senang kepada Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad yang mewakili responden kedua dan ketiga ketika berhujah.

"Semua tuduhan yang dilemparkan kepada SPR adalah melampau dan tidak mempunyai asas, justeru saya harap mahkamah menolak petisyen ini dengan kos yang tinggi," katanya.

Situasi dalam mahkamah turut bertukar ceria ekoran jenaka daripada Hakim O'Hara apabila nasib yang melanda Sivarasa kini beralih pula kepada barisan peguam BN ketika prosiding bantahan awal Pas terhadap petisyen pilihan raya DUN Mengkebang yang dikemukakan BN.

Meskipun sebelum itu Mohd. Hafarizam lantang bercakap bagi pihak BN, namun kali ini peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Pas untuk petisyen tersebut membantah penglibatannya kerana tidak mempunyai locus standi bagi kes itu.

Bantahan tersebut diterima mahkamah menjadikan hanya peguam Mohd. Ilias Mohd. Noor sahaja boleh mewakili BN sebagai pempetisyen bagi DUN Mengkebang dan Manek Urai.

Pada PRU-13, BN menang di kerusi Parlimen Ketereh melalui calonnya, Annuar dan DUN Air Lanas serta DUN Kok lanas masing-masing melalui calon Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Pas pula menang di kerusi DUN Mengkebang serta Manek Urai melalui calonnya, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Mohd. Fauzi Abdullah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bubur lambuk Kg. Baru di Kuantan

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin (kiri) mengagihkan bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada orang ramai secara percuma di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 17 Julai - Setiap tahun apabila bulan Ramadan, bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur pasti menjadi pilihan warga kota walaupun terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya.

Juadah yang dimasak menggunakan resipi turun-temurun ini turut dikenali sebagai bubur lambuk 'agung' kerana keenakannya yang tidak dapat ditandingi serta berjaya menggamit ribuan peminat untuk memperolehnya saban hari sepanjang bulan Ramadan.

Bagi masyarakat luar termasuk penduduk negeri ini, mereka hanya mampu mendengar tentang keenakan dan keunikan rasa bubur berkenaan kerana mustahil untuk menikmatinya berikutan jarak yang jauh.

Namun baru-baru ini, warga Kuantan yang menggemari bubur lambuk berpeluang merasai sendiri bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, yang sering menjadi buah mulut warga kota kerana keenakannya.

Matlamat iu tercapai apabila kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama pengurusan masjid berkenaan mengadakan Program Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini.

Program selama tiga hari bermula Ahad lalu itu adalah salah satu program pengisian Ramadan oleh kerajaan negeri untuk memberikan peluang kepada orang ramai bagi merasai keenakan bubur lambuk Kampung Baru.

Sebanyak lima kawah bubur dimasak oleh skuad memasak, didatangkan khas dari Kampung Baru yang kemudiannya diagih-agihkan kepada orang ramai yang turut berpeluang melihat sendiri cara penyediaannya, seterusnya menikmati bubur berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, program julung-julung kali itu dibuat atas permintaan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang mahukan bubur lambuk tersebut diagihkan kepada penduduk di Kuantan.

Beliau memberitahu, bubur lambuk tersebut dimasak sendiri oleh ahli jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur yang diketuai imam masjid itu sendiri, Abdul Ahad Abu Bakar.

"Sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk diedarkan setiap hari selama tiga hari kepada pengunjung yang melalui kawasan ini. Setiap hari sebanyak lima kawah bubur lambuk dimasak oleh mereka," katanya.

Menurut beliau, dalam program itu juga, sebanyak 10 orang chef dari Kolej Antarabangsa IKIP diajar cara untuk memasak bubur lambuk yang popular ini.

"Chef ini akan diajar cara yang betul memasak bubur lambuk ini. Mungkin pada tahun depan kita akan buat program yang seperti ini tetapi menggunakan khidmat chef daripada IKIP," katanya.

Sementara itu, seorang peminat bubur lambuk, Masitah Ibrahim, 21, berkata, ini kali pertama dia merasai sendiri bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru yang popular ini.

"Saya selalu baca dalam akhbar orang kata bubur lambuk ini sedap. Saya rasa bertuah sangat sebab dapat merasai keenakan bubur lambuk ini.

"Rasa enak bubur ini yang membuatkan orang ramai tertarik untuk menikmatinya dan merupakan resipi tradisi turun-temurun," katanya.

Bagi Diana Saidi, 21, dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bubur tersebut ketika melalui kawasan berkenaan,

"Bubur lambuk ini mempunyai rasa yang istimewa berbanding tempat-tempat lain. Saya teringin untuk mencubanya selepas diberitahu tentang keenakan bubur ini daripada akhbar.

"Terima kasih kepada mereka yang bergotong-royong menyediakan bubur ini dan semoga mereka mendapat keberkatan, selain dapat beramal jariah kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, Mustafa Saad, 69, berkata, suasana program ini begitu meriah yang mana ramai pengunjung beratur untuk mendapatkan bubur lambuk secara percuma.

"Pengunjung yang ramai dan kerjasama para petugas membuatkan saya tertarik untuk datang ke sini. Saya juga ingin merasai keenakan rasa bubur lambuk ini.

"Sudah lama saya dengar tentang bubur lambuk Kampung baru, Kuala Lumpur ini tetapi ini kali pertama ada di Kuantan, jadi saya ambil peluang ini untuk merasai sendiri keenakannya," katanya.

Harga ayam cecah RM9 sekilogram

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 17 Julai - Hasil pemantauan di 21 lokasi pasar basah di negeri ini mendapati purata harga ayam standard ialah RM8.70 sekilogram dengan harga tertinggi RM9 sekilogram di Raub, Rompin, Bentong dan Cameron Highlands.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Mohd. A. Aruwan Ab.Aziz berkata, daerah yang mencatatkan harga ayam terendah ialah di Jerantut dengan RM8 sekilogram.

"Hasil pemantauan ke atas 45 pasar raya di negeri ini pula mendapati purata harga ayam standard ialah RM7.70 sekilogram dengan harga tertinggi RM8.70 sekilogram di Pasar Raya Aktif, Bera.

"Pasar Raya The Store, Bentong didapati menjual ayam pada harga terendah iaitu RM6.80 sekilogram," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Berhubung harga ayam yang naik di negeri ini, Aruwan berkata, pihaknya dan jabatan berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kenaikan tersebut.

"Kita sedang siasat maklum balas daripada penjual bahawa mereka membeli dengan harga tinggi daripada pembekal, begitu juga maklum balas pembekal bahawa harga makanan ayam yang naik menyebabkan mereka menjual ayam pada harga tinggi.

"Kita siasat sama ada maklum balas ini benar atau tidak. Betul atau tidak harga makanan ayam seperti dedak naik, jika tidak benar, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah akta sedia ada.

"Proses siasatan ini bagaimanapun mengambil sedikit masa untuk kita mengenal pasti segala permasalahan yang berlaku," katanya.

Mengenai kekeliruan pengguna tentang harga siling ayam, beliau berkata, pada masa ini perkara itu belum ditetapkan.

"Biasanya harga syiling ini ditetapkan dalam seminggu atau 10 hari sebelum hari perayaan, pada masa itu akan jadi barang kawalan. Sekarang, harganya ikut pasaran," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemeriksaan Veterinar negeri, Mohd. Yunos Mohammad berkata, bekalan ayam daripada 34 syarikat yang diberikan permit import berkuat kuasa serta merta oleh kerajaan telah mula memasuki negeri ini.

Mengenai statistik penyembelihan ayam di negeri ini, beliau berkata, dalam sehari, jumlah ayam yang disembelih adalah antara 90,000 hingga 120,000 ekor.

Bagaimanapun katanya, bukan semua untuk pasaran di negeri ini kerana ia turut dibekalkan ke Terengganu dan Kelantan.

MBOR iktiraf Nasuha pendaki termuda

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Zuhairi Md. Zain (tengah) menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Mohd. Nasuha Shamsudin (dua dari kanan) sebagai pendaki Gunung Everest termuda di UiTM Jengka, Maran, baru-baru ini.

MARAN 17 Julai - Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Mohd. Nasuha Shamsudin diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pendaki Gunung Everest termuda negara.

Mohd. Nasuha, 21, generasi baharu Felda Tersang 3, Raub, Pahang merupakan penuntut di Fakulti Sains dan Rekreasi.

Majlis penyerahan sijil berlangsung di Kampus UiTM Cawangan Pahang di sini, yang disempurnakan wakil MBOR, Zuhairi Md. Zain kepada Mohd. Nasuha baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pahang, Mustaffa Kamal Mat dan Ketua Pusat Pengajian Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Pahang, Mohd. Sopian Mohd. Zaki.

Sementara itu, Mustaffa Kamal berkata, kejayaan Mohd. Nasuha muncul antara lima anak peneroka Felda yang berjaya mencipta sejarah menawan Gunung Everest pada Mei lalu cukup membanggakan.

Apatah lagi, katanya, dalam misi itu, Mohd. Nasuha berjaya mengatasi rekod Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin yang berjaya menawan Gunung Everest pada 2004 ketika berusia 22 tahun.

Menurut Mustaffa Kamal, Mohd. Nasuha juga merupakan mahasiswa yang aktif selepas terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk fasilitator aktiviti luar serta atlet jarak jauh dan menyertai banyak kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Banyak lagi penglibatan beliau dengan aktiviti luar, namun semua itu tidak menyebabkan beliau mengabaikan tanggungjawab sebagai mahasiswa di UiTM Pahang," katanya.

Menurut beliau, kejayaan menawan puncak Everest yang dikenali sebagai bumbung dunia memerlukan ketahanan diri yang tinggi dan kejayaan Mohd. Nasuha menjadi inspirasi kepada seluruh warga UiTM Pahang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Ashraf kahwin lain, Dayana tertekan

Posted: 17 Jul 2013 11:11 PM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Perkahwinan kali kedua pelakon Mohd. Ashraf Muslim, 32, dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, pada 7 Julai lalu di Thailand, memberi impak besar kepada isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26.

Noor Dayana walaupun secara zahir nampak tenang tetapi sebenarnya dia tertekan dengan perbuatan suaminya yang berkahwin secara rahsia.

Bapanya, Lokman Abdul Hamid, 54, ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini berkata, anak perempuannya itu tidak mahu diganggu buat masa

sekarang.

"Anak saya sangat tertekan ketika ini dan harap dia tidak diganggu dalam

tempoh terdekat ini," katanya.

Lokman yang juga Pengasas Pusat Perubatan Islam Al- Hidayah itu berkata,

apa yang terjadi bukan sahaja memberi tekanan kepada anaknya, malah

seluruh ahli keluarga.

Media hari ini melaporkan pelakon drama bersiri popular Ustaz Amirul

membuat pengakuan yang dia telah bernikah kali kedua dengan Wan Sakinah dan menarik balik permohonan untuk berpoligami di mahkamah. - UTUSAN ONLINE

Fida-Zalif putus cinta akibat orang ketiga

Posted: 17 Jul 2013 11:09 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR 18 Julai - Akhirnya hubungan cinta Fida Ibrahim, 27, dengan pelakon Zalif Sidek putus kerana kehadiran orang ketiga.

Sebelum ini pasangan tersebut seperti bermain tarik tali setiap kali ditanya tentang kisah cinta mereka.

Namun, dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini, Fida secara terbuka mengaku yang dia sudah putus cinta dengan Zalif.

"Ya, kami hanya sempat rapat dalam tempoh tiga bulan sahaja dan sepanjang bersama, Zalif mengaku hanya saya sahaja kekasihnya.

"Bagaimanapun dalam tempoh tersebut terdapat seorang wanita yang sering menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya. Dia mengugut supaya saya jauhkan diri daripada Zalif. Selain itu, dia juga keluarkan kata-kata yang tidak sedap untuk dibaca," katanya.

Kata Fida, setiap kali menerima SMS daripada wanita tersebut, dia tidak pernah membalas dan lebih senang mengambil sikap berdiam diri.

"Apabila sering diganggu begitu, sudah tentu saya rasa tidak selesa. Daripada saya kecewa biar saya lepaskan sahaja hubungan itu.

"Lebih baik saya tumpukan perhatian pada kerjaya, terutama bidang nyanyian dan lakonan. Rasanya biar saya bercinta dengan kerjaya dulu, baru fikir soal lain," katanya terus terang. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tepuk dada, tanya hati

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Seorang pengemis kurang upaya tekun membaiki kereta permainan turut menarik pengunjung bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tepuk dada, tanya hati. Terpulang kepada diri masing-masing sama ada bersedia untuk menghulur wang atau sebaliknya."

Itulah yang diluahkan seorang pengunjung bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Kemudian kelihatan dia menghulurkan RM10 kepada seorang pengemis warga emas di situ.

Jika diikutkan hati, dia tidak sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu hanya untuk lelaki yang tidak diketahui statusnya.

Lelaki berusia awal 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Zaid itu mengakui apa yang dilakukan demi keberkatan Ramadan dan atas dasar simpati.

Dia yang enggan dirakamkan gambarnya itu mendakwa kegiatan pengemis itu seolah-olah tidak dipedulikan pihak berkuasa dan mereka semakin bebas meminta sedekah di mana saja.

"Pihak berkuasa sentiasa memantau bazar Ramadan tetapi kehadiran pengemis seolah-olah kurang tidak diendahkan.

"Walaupun ditegur atau dihalau mereka tetap kembali berlegar di kawasan sama," katanya.

Pastinya situasi itu bukan sahaja berlaku kepada Zaid tetapi juga pengunjung yang membeli belah di kawasan itu.

Wartawan Utusan Malaysia yang turut ke kawasan itu turut berhadapan situasi sama.

Terbit perasaan simpati penulis sebaik sahaja melihat seorang pengemis wanita menadah tangan dengan hanya berbekal kotak sebagai alas tempat duduk.

Melihat orang ramai yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan penulis cuba mendekatinya.

Dia memberitahu, sejak awal Ramadan lalu pendapatan diperoleh antara RM50 hingga RM70 sehari.

Menurutnya, dia terpaksa mengemis kerana telah ditinggalkan suami dan menanggung anak yang ramai.

Apabila ditanya mengapa tidak mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dia memberitahu sukar untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan dia bukan warga tempatan.

Sepanjang tinjauan lebih dua jam di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India didapati lebih 20 pengemis dilihat di setiap sudut kawasan tumpuan itu.

Difahamkan, itulah realiti setiap tahun menjelang atau sepanjang bulan Ramadan apabila sekelompok pengemis jalanan membanjiri di kawasan-kawasan tumpuan di ibu negara.

Golongan ini menyasarkan bazar Ramadan sebagai lubuk rezeki dengan pendapatan lebih lumayan berbanding hari biasa.

Bagi menjaga imej ibu negara daripada terus dicemari dengan kegiatan golongan itu, pihak berkuasa terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Penduduk tanggung derita

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Chiew Lian Keng (kanan) dan beberapa penduduk Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur menunjukkan lokasi pembuangan sampah dan sisa binaan di bahu jalan berhampiran taman berkenaan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tindakan kontraktor pembinaan yang sesuka hati membuang sisa dan sampah binaan di bahu jalan berhampiran pusingan U di Taman Len Sen, di sini mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Pengerusi Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Chiew Lian Keng berkata, sisa binaan yang dibuang turut menyebabkan laluan ke Rumah Pam Taman Len Sen tertutup akibat daripada longgokan sisa binaan yang terlalu banyak.

"Jika berlaku masalah tekanan air rendah, sudah pasti pihak Perbadanan Urus Air Selangor Berhad (PUAS) mengalami kesukaran untuk masuk ke rumah pam tersebut.

"Masalah ini berlaku disebabkan sikap pemandu lori yang mengambil jalan mudah dengan membuang sisa binaan di kawasan yang dekat dengan projek pembinaan," katanya, yang melawat kawasan itu baru-baru ini.

Ketika ini, laluan ke rumah pam itu tertutup oleh sisa jalan bitumen dan tanah merah.

Mengulas lanjut, Lian Keng berkata, biarpun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengangkut sisa binaan itu ke tempat lain namun tidak lama kemudian perkara tersebut berulang.

"Pihak DBKL telah membersihkan kawasan ini dua bulan lalu, namun sejurus ia dibersihkan pihak tidak bertanggungjawab itu kembali membuang sampah di sini.

"Saya minta agar DBKL memasang kamera litar tertutup (CCTV) supaya pihak tersebut dapat ditangkap dan dikenakan denda yang berat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Len Sen, Saw King Ching berkata, melalui pemerhatian yang dibuat, hampir 20 buah lori yang membuang sampah binaan di kawasan itu sejak dua bulan lalu.

"Aktiviti haram tersebut bermula selepas pukul 12 malam ketika laluan tersebut tidak banyak dilalui kenderaan.

"Saya meminta orang ramai yang melihat perkara itu berlaku membuat laporan kepada kami agar pihak berkenaan dapat dikenal pasti," ujarnya.

Kemudahan kaunter zakat pandu lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Sebahagian warga Putrajaya beratur untuk membayar zakat melalui kaunter pandu lalu yang diperkenalkan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 17 Julai - Penduduk dan penjawat awam di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini berpeluang membayar zakat fitrah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan lebih mudah dan cepat melalui konsep pandu lalu yang diperkenalkan oleh masjid tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Masjid Tuanku Mizan Zainal, Hamdan Muhamad berkata, inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun lepas itu adalah kaedah baharu untuk memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah.

Beliau berkata, kaunter zakat pandu lalu itu juga diadakan bersempena dengan Festival Ramadan Putrajaya anjuran Perbadanan putrajaya (PPj), yang mana Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menjadi lokasi utama festival berkenaan.

"Pihak pengurusan masjid menyediakan satu kaunter bayaran zakat pandu lalu di laluan masuk ke masjid, bagaimanapun kami kebiasaannya akan menambah satu lagi kaunter pada hari-hari terakhir Ramadan ekoran permintaan mengalakkan.

"Perkhidmatan yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 6 petang kini mendapat sambutan menggalakkan dan pada tahun lalu sahaja seramai 42, 558 pembayar zakat fitrah menggunakan perkhidmatan ini dengan kutipan sebanyak RM297,906," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Hamdan, selain kaunter zakat pandu lalu, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin juga pada tahun ini turut memperkenalkan kaunter bubur lambuk pandu lalu bagi menyenangkan orang ramai mendapatkan juadah yang sinonim dengan bulan Ramadan itu.

Katanya, pengurusan masjid menyediakan 800 bungkusan bubur lambuk untuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai setiap hari bermula pukul 4 petang.

"Setakat ini sambutan amat menggalakkan, pada hari bekerja bubur lambuk habis diedarkan dalam tempoh 20 minit sahaja, kaedah ini juga satu pendekatan untuk mendekatkan masyarakat dengan masjid dan kami juga mahu menjenamakan bubur lambuk ini seperti mana bubur lambuk Kampung Baru," katanya.

Selain itu katanya, Festival Ramadan Putrajaya yang dianjurkan PPj bukan sahaja menyediakan pelbagai program menarik tetapi turut menawarkan juadah berbuka puasa untuk 1,500 jemaah setiap hari di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Program lain yang diadakan ialah solat tarawih bersama Imam Samy Ahmed Abd. Rahman El-Feky dari Mesir di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta tadarus al-Quran dari awal Ramadan hingga 26 Julai ini.

"Turut diadakan ialah jualan Kiblat Walk sepanjang bulan Ramadan, jualan makanan untuk berbuka puasa dan perayaan Aidilfitri serta pameran," katanya.

Festival yang julung-julung kali diadakan di Putrajaya itu menggabungkan aktiviti keagamaan, perniagaan dan juga hiburan bercirikan Islam seperti persembahan artis dan muzik tradisional bagi memeriahkan suasana Ramadan di Putrajaya.

Aktiviti sampingan yang turut diadakan ialah pertandingan kuiz untuk pelajar sekolah dan ceramah motivasi pekerja.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sukan elit makin diminati

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

PESERTA ini begitu gigih bersaing dalam Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda 2013 di Tanjung Leman, Mersing, Johor, baru-baru ini.

MERSING 17 Julai - Sukan perahu layar sudah mula mendapat tempat dalam kalangan anak muda yang menggemari aktiviti ekstrem dan lasak, apatah lagi menjanjikan suatu cabaran yang jarang diperoleh dalam sukan lain.

Walaupun berstatus sukan elit iaitu memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk menceburi sukan air itu kerana kos peralatan dan kelengkapannya mahal, keadaan itu bukan lagi satu masalah apabila terdapat beberapa persatuan mahupun agensi kerajaan yang sanggup melabur bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat mencubanya.

Sebagai contoh, sejak tiga tahun kebelakangan ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan kerjasama KFC Holdings yang dimiliki oleh Johor Corporation (JCorp) menganjurkan Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda Terbuka di Tanjung Leman dekat sini yang berjaya menarik minat pelayar tempatan dan negara jiran.

Felda yang melaburkan sebahagian dana dalam sukan itu bukan sahaja mencapai matlamat penganjuran kejohanan berkenaan iaitu memperkenalkan sukan perahu layar kepada anak-anak peneroka dan golongan muda, malah terdapat sebilangan daripada mereka kini bergelar atlet perahu layar negeri ataupun kebangsaan.

Dengan penganjuran kejohanan tersebut yang berlangsung empat hari baru-baru ini, pertandingan itu tersebut sekali gus berjaya mempopularkan Tanjung Leman sebagai destinasi pelancongan di negeri ini.

Maka tidak hairanlah apabila Penaung Persatuan Pelayaran Negeri Johor (PPNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor menyarankan supaya acara tahunan itu dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri.

"Pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan industri pelancongan tempatan, bahkan mampu menyemarakkan semangat patriotik serta memupuk perpaduan dalam kalangan peserta dan pengunjung yang berbilang bangsa.

"Penganjurannya juga selari dengan matlamat utama PPNJ dalam membangun dan memperkenalkan perahu layar kepada anak muda negara ini dan berjaya mendekatkan anak Felda dengan sukan ini," katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata, kejohanan tersebut diharap mampu dinaik taraf dari semasa ke semasa sehingga berjaya menarik minat pelayar antarabangsa menyertainya pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim memberitahu, penganjuran sukan tersebut buat julung kalinya pada tahun ini menerima penyertaan pelayar dari Singapura dan Indonesia, di samping jumlah peserta bertambah menjadi 127 atlet yang mewakili 12 pasukan berbanding 110 atlet pada 2012.

"Pelbagai kategori dan disiplin seperti Optimis, Laser, International 420/470, Byte C II, Windsurfing Bic Techno dan Phantom disediakan supaya mencapai standard penganjuran antarabangsa serta menawarkan hadiah berupa wang tunai.

"Akan datang, beberapa kategori baru akan diperkenalkan supaya setiap tahun berbeza berbanding sebelumnya. Namun, terdapat beberapa kategori dikekalkan supaya terus memberi cabaran kepada atlet perahu layar," katanya.

Walaupun baru berusia tiga tahun, kejohanan tersebut telah diiktiraf oleh Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dalam menentukan ranking atlet perahu layar kebangsaan serta dicatatkan dalam Kalendar Pelayaran Malaysia setiap tahun.

Sejak dianjurkan, seramai tiga atlet berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan dan pertandingan kali ini, kejuaraan menjadi milik atlet Majlis Sukan Negara, Asri Azman.

Asri dipilih sebagai pemenang utama Challenge Trophy Champion Marathon atas kejayaannya menjuarai dua kategori yang dipertandingkan iaitu Laser Marathon Terbuka dan Byte C II Terbuka.

Pemborong ingkar dibatal lesen

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 17 Julai - Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) akan membatalkan lesen perniagaan pemborong sayur dan ikan yang ingkar berpindah ke pasar borong baharu iaitu Pasar Borong Batu Pahat di Taman Perindustrian Kota Murni di sini.

Yang Dipertua MPBP, Abdul Rashid Ismail berkata, tindakan tegas itu akan diambil jika pemborong gagal menjawab surat tawaran tapak kedua selewat-lewatnya Isnin ini iaitu 22 Julai.

Menurutnya, langkah MPBP membatalkan lesen pemborong yang enggan berpindah ke lokasi baharu merupakan tindakan realistik kerana peniaga itu tidak lagi mempunyai tapak meneruskan perniagaan jika tidak ke Pasar Borong Batu Pahat.

"Tapak pasar borong lama yang bercampur dengan pasar awam akan melalui proses pembinaan yang akan bermula pada 1 September ini, oleh itu kesemua pemborong diarahkan berpindah ke Pasar Borong Batu Pahat yang dibina dengan kos RM1.5 juta.

"Malangnya hampir 90 peratus pemborong masih berdegil untuk berpindah dengan memberikan pelbagai alasan. Namun kedegilan itu tidak menjadi masalah kerana kekosongan tapak yang ditinggalkan akan diberikan kepada pemohon baharu," tegasnya ketika melawat tapak Pasar Borong Batu Pahat di sini hari ini.

Beliau menambah, setakat ini MPBP menerima banyak permohonan tapak di Pasar Borong Batu Pahat daripada pemborong ikan dan sayur baharu, tetapi keutamaan masih diberikan kepada peniaga di pasar borong lama.

Bagaimanapun katanya, jika peniaga masih degil, pihak MPBP akan meluluskan permohonan tersebut sekali gus memberi laluan kepada pemborong baharu di situ.

Abdul Rashid memberitahu, MPBP turut kesal dengan tindakan pemimpin DAP yang cuba memainkan isu kenaikan sewa dan kononnya ruang perniagaan agak kecil daripada yang lama.

"Tapak bagi pemborong ikan yang lama ialah 3.6 meter panjang dan 3.6 meter lebar, tetapi bagi tapak baharu telah diperbesarkan kepada enam meter panjang dan empat meter lebar. Begitu juga tapak pemborong ikan yang diperbesarkan daripada tiga meter panjang dan tiga meter lebar kepada enam meter panjang dan tiga meter lebar.

"Disebabkan pembesaran tersebut, MPBP perlu menaikkan kadar sewa sebagai usaha untuk menampung permintaan lain pemborong selepas berpindah nanti," katanya.

Menurutnya, permintaan pemborong yang mahukan MPBP menyediakan bilik sejuk bagi menyimpan barang merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, sebaliknya MPBP akan hanya menyediakan ruang manakala bilik sejuk perlu dibina sendiri dengan persetujuan semua pihak berwajib.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kek, roti jana pendapatan

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusanutara@utusan.com.my

VARIASI kek, pastri dan mufin yang dihasilkan oleh Shahni Farhana Mat Sahir bagi memenuhi cita rasa pelanggan di Alor Setar, Kedah.

ALOR SETAR 17 Julai - Tak kenal maka tak cinta. Istilah ini amat sesuai menggambarkan kisah seorang wanita berkelulusan Diploma Kewartawanan dari Malaysian Institut Integratif Media (MIIM) yang menjadikan bidang pembuatan kek, roti dan pastri bagi menjana pendapatan sampingan.

Bermula dengan paksaan ayah untuk mengikuti kursus dalam bidang pembuatan kek, roti dan pastri di pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kedah pada 2008, Shahni Farhana Mat Sahir, 27, mula mengorak langkah menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kek, roti dan pelbagai jenis pastri yang dibuat sendiri.

Shahni Farhana berkata, beliau juga tidak menyangka bidang yang kurang digemarinya dahulu kini memberi hasil yang agak lumayan untuk dirinya dan keluarga.

Anak bongsu daripada enam beradik itu memberitahu, selepas tamat pengajian di MIIM, beliau masih belum mendapat sebarang pekerjaan dan untuk mengelak daripada penganggur, bapanya, Mat Sahir Selamat, 64, menyuruhnya mengikuti kursus membuat kek, roti dan pastri itu.

"Pada mulanya saya memang enggan ikut kursus tersebut kerana tidak minat dalam bidang masakan, namun atas paksaan ayah saya pergi juga. Lama kelamaan saya mula jatuh cinta dalam bidang pembuatan kek, roti dan pastri kerana saya dapati ramai peminatnya.

"Saya mula buat kek, roti dan pelbagai jenis pastri secara kecil-kecilan di rumah selepas tamat kursus dan sehingga kini perniagaan tersebut semakin berkembang," katanya ketika ditemui di Jalan Seberang Perak di sini hari ini.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana dipaksa oleh ayahnya untuk mengikuti kursus tersebut tetapi jika tidak dipaksa mungkin dia masih terkial-kial mencari arah untuk memulakan perniagaan.

"Saya memang meminati dunia perniagaan, namun selepas tamat belajar saya masih belum terokai bakat yang ada dalam diri. Selepas kursus tersebut saya mula yakin dengan bakat dalam bidang masakan dan menambah ilmu dengan mengikuti kelas masakan persendirian serta mempelajari menerusi blog masakan.

"Saya bercadang membuka sebuah kafe yang menjual kek, roti dan pastri satu hari nanti," ujarnya.

Shahni Farhana berkata, beliau perlu bijak membahagikan masa untuk memasak pelbagai jenis kek, roti dan pastri yang ditempah pelanggan kerana dia juga bekerja di sebuah syarikat swasta pada sebelah pagi sehingga petang.

"Selalunya saya memperuntukkan waktu malam untuk menyiapkan tempahan pelanggan dan ada kalanya jika tempahan banyak saya hanya sempat tidur sejam sahaja atau kadang kala saya tidak tidur seharian kerana saya selesa bekerja seorang.

"Walaupun letih saya gembira apabila pelanggan berpuas hati dengan tempahan yang mereka terima daripada saya. Kedatangan Ramadan ini juga digunakan sebaik-baiknya untuk menjalankan perniagaan memandangkan banyak tempahan yang diterima," jelasnya.

Isteri kepada Saifullah Muhammad, 27, itu berkata, buat masa ini beliau memilih untuk membuat kek di rumah untuk menjimatkan kos memandangkan kos untuk membuka sebuah kedai kek agak mahal dan memerlukan komitmen yang tinggi.

Katanya, memang menjadi impiannya untuk membuka sebuah kafe sendiri jika mempunyai modal yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Bagi mereka yang ingin menempah pelbagai jenis kek seperti red velvet, kek chiffon, durian crepe dan lain-lain lagi boleh melawat laman Facebook Shahni Farhana Mat Sahir atau menelefon 017-5171610 untuk menempah.

Penjual mercun diburu

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN dan OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

RAHIM Hanafi memerhatikan mercun seakan-akan tempurung kelapa yang dirampas oleh polis di sebuah rumah di Bayan Lepas di Pulau Pinang, kelmarin.

PULAU PINANG 17 Julai - Polis akan meningkatkan pemantauan bagi menghalang penjualan mercun di negeri ini untuk mengelak kejadian tidak diingini sempena sambutan perayaan tidak lama lagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, beliau telah mengarahkan semua ketua polis daerah dan ketua balai supaya turun padang dan memantau kegiatan penjualan barang larangan berkenaan di kawasan masing-masing.

"Kita akan jalankan pemantauan berterusan bagi membanteras habis-habisan penjualan mercun ini terutama di kawasan terbuka seperti di pasar-pasar malam dan bazar Ramadan di seluruh Pulau Pinang.

"Jangan cuba ambil kesempatan sempena Hari Raya Aidilfitri ini dengan menjual barang yang menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Lokap Berpusat Bayan Baru di sini semalam.

Sementara itu di KEPALA BATAS, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan sempena musim perayaan ini dengan menjual mercun dan bunga api secara haram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar dengan menjual bahan letupan itu tanpa permit melalui penguatkuasaan undang-undang.

"Kita tidak mahu tragedi melibatkan kecederaan dan kematian berlaku kepada kanak-kanak kerana sehingga kini pihaknya tidak pernah mengeluarkan permit untuk perniagaan itu.

"Perniagaan seperti ini tidak digalakkan terutamanya yang membabitkan kemasukan bahan tersebut secara haram dan kita sentiasa mengambil langkah membanterasnya," katanya ketika dihubungi.

Menurut Abdul Rahman, pesalah yang ditangkap menjual barangan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1991 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan didenda.

Katanya, ibu bapa turut memainkan peranan mengawasi anak-anak mereka daripada terlibat membeli bahan itu termasuk melaporkan kepada pihaknya jika mendapati wujudnya kegiatan penjualan bahan berbahaya secara haram di kawasan mereka.

Kerajaan negeri bantu perkasa masyarakat India

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

C. Sivarraajh (kanan) memperkatakan sesuatu kepada pelajar lepasan STPM di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 17 Julai - Kerajaan negeri akan terus membela nasib masyarakat India di sini demi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar, C. Sivarraajh berkata, untuk itu, pihaknya akan menumpukan usaha untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah asas kaum berkenaan terutama dalam isu pendidikan, sosioekonomi dan peluang pekerjaan.

Kata Sivarraajh, tindakan itu perlu bagi memperkasakan lagi kehidupan mereka, selain mengembalikan semula kepercayaan kaum tersebut kepada kerajaan.

"Atas sebab itu, hari ini saya mengadakan perjumpaan dengan mereka secara peribadi iaitu melibatkan pemandu teksi dan kumpulan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi yang tidak berjaya memasuki universiti.

"Selain mengetahui tentang masalah sebenar yang mereka hadapi, kita juga akan menawarkan beberapa bantuan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Perkara ini secara tidak langsung mampu meningkatkan tahap ekonomi dan memberikan pendidikan berkualiti kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan dua kumpulan sasar tersebut di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Seramai 45 pemandu teksi dan kira-kira 60 pelajar lepasan matrikulasi dan STPM menghadiri perjumpaan tersebut yang diadakan selama tiga jam bermula pukul 9.30 pagi.

Menurut Sivarraajh, pendekatan tersebut akan diteruskan kepada kumpulan sasar yang lain termasuk peniaga kecil dan persatuan yang memfokuskan kepada aktiviti pembangunan ekonomi.

"Hari ini kita berjanji untuk membantu pemandu teksi berkenaan untuk mendapatkan permit teksi, selain lesen untuk mereka memandu teksi tersebut.

"Begitu juga masalah pelajar. Data mereka telah kita kumpulkan dan saya sendiri akan menghantar memorandum tentang perkara itu kepada Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan. Pendekatan seperti ini akan kita lakukan secara berterusan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Ganti Akta Hasutan, tidak akan jejas kuasa kerajaan dalam isu perpaduan

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com

Najib Tun Razak menyaksikan pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara antara Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq (tiga dari kanan) dan wakil Unifortune Holdings Sdn. Bhd. di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 17 Julai - Akta Keharmonian Nasional yang sedang diusahakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, akta baharu itu juga akan mengekalkan tiga prinsip utama antaranya menangani perbuatan yang membawa permusuhan antara kaum, menghina raja-raja Melayu atau mempersoalkan keistimewaan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

''Prinsip pertama (Akta Keharmonian Nasional) ialah menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja.

''Kedua, menangani perbuatan dan perlakuan yang mengembangkan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk berlainan di negara ini dan ketiga, menangani perbuatan dan perlakuan yang mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan, prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan biadab dan kurang ajar pasangan muda Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghina agama Islam menunjukkan kebebasan bersuara dan penyuaraan pendapat secara tidak bertanggungjawab boleh memudaratkan masyarakat.

''Walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara, kebebasan itu tidak boleh disalah guna sehingga menjejaskan perpaduan negara.

''Saya selalu tegaskan prinsipnya iaitu kebebasan dengan bertanggungjawab dan tidak boleh menjadi kebebasan penuh jika merugikan kepentingan negara dan keharmonian masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan akan berbincang dan meneliti pandangan mengenai keperluan adanya rang undang-undang baharu yang menyamai Ordinan Darurat.

Beliau berkata, selain polis dan Peguam Negara, pandangan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan mungkin Majlis Peguam akan diambil kira mengenai keperluan rang undang-undang itu.

''Ada pihak yang mahu penahanan pencegahan dibenarkan dan ada yang tidak bersetuju. Apa yang penting, sebarang perundangan mesti ada keseimbangan melindungi hak individu dan menjaga kepentingan masyarakat dan ini juga memastikan tidak berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak," katanya.

112,396 peneroka Felda terima duit raya

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Najib Tun Razak menyampaikan cek bayaran intensif Hari Raya Aidilfitri Peneroka Felda kepada wakil peneroka Felda sambil diperhatikan Zambry Abd. Kadir (kiri) dan Mohd. Isa Abdul Samad (tiga dari kiri) dalam Program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Kebangsaan 2013 di Trolak, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz

TANJUNG MALIM 17 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian insentif hari raya berjumlah RM32.3 juta kepada semua 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

Perdana Menteri mengumumkan berita gembira itu dalam Program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Kebangsaan 2013 di Felda Gunung Besout 2, Sungkai dekat sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Berucap dalam majlis itu, beliau berkata, setiap peneroka yang bersama dengan Felda akan menerima RM300 seorang manakala mereka yang tidak bersama Felda masing-masing menerima RM150.

"Duit raya ini kurang sedikit sebab harga sawit sudah turun. Saudara-saudari sekalian sudah dapat bonus, jadi RM300 itu kira munasabah dan mereka yang tidak bersama Felda kita beri juga tetapi separuh iaitu RM150," katanya.

Dalam majlis itu, beliau turut menyerahkan replika cek sumbangan hari raya tersebut kepada ketua-ketua peneroka dari sebanyak 11 wilayah Felda di seluruh negara.

Peneroka di Wilayah Felda Johor Bahru menerima bayaran duit raya sebanyak RM5.1 juta diikuti Wilayah Raja Alias (RM4.63 juta), Wilayah Kuantan (RM4.39 juta), Wilayah Jengka (RM4.2 juta).

Wilayah Mempaga pula menerima sebanyak RM3.79 juta, Wilayah Segamat (RM3.2 juta), Wilayah Trolak (RM2.27 juta), Wilayah Terengganu (RM2.1 juta), Wilayah Alor Setar (RM1.17 juta), Wilayah Gua Musang (RM908,400) dan Wilayah Sahabat (RM494,100).

Pembayaran duit raya kepada peneroka dilaksana Felda setiap tahun sejak 2003.

Dalam majlis sama, Najib turut mengumumkan pembinaan sebanyak 420 unit Perumahan Generasi Baharu Felda di kawasan seluas 19.3 hektar di sini, dan sebuah dewan serba guna jenis A berharga RM900,000 di Felda Gunung Besout 2.

Menurut Najib, peneroka Felda kini tidak hanya bergantung pendapatan kepada hasil jualan kelapa sawit tetapi memperoleh pendapatan lain seperti bonus tahunan, duit raya, durian runtuh dan dividen saham Felda Global Ventures Bhd. (FGV) daripada Felda.

Terdahulu, Najib mencabar pembangkang mengemukakan bukti yang menunjukkan Felda bankrap seperti didakwa dua tahun lalu.

Beliau menegaskan, kedudukan kewangan Kumpulan Felda hari ini begitu kukuh dan mantap tidak seperti yang didakwa dan difitnah pembangkang.

"Tidak apa, biarlah saya maklumkan, nilai saham terkumpul Kumpulan Felda sahaja kalau kita jual hari ini, kita boleh peroleh RM8 bilion. Bagaimana boleh kata Kumpulan Felda bankrap?

"Kita ada kilang di Kanada, hotel dan restoran di Mekah, hotel di Kota Kinabalu, tanah di Kalimantan dan banyak lagi. Bayangkan, Felda hari ini muncul sebagai kumpulan yang mengendalikan perusahaan komoditi antara yang terbesar di dunia," ujarnya.

Menurut beliau, Felda telah banyak berjasa dalam mengubah kehidupan peneroka dan keluarga mereka sejak tanah rancangan pertama dibuka pada 1959 sedangkan pembangkang hanya sibuk memburuk-burukkan dan memfitnah agensi itu.

Pelaburan RM1.96b di Koridor Utara

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

PUTRAJAYA 17 Julai - Koridor Utara mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan dengan pengumuman empat projek baharu bernilai RM1.96 bilion yang bakal mewujudkan 3,650 peluang pekerjaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Empat projek baharu tersebut melibatkan pembinaan pusat beli-belah dan hotel empat bintang di Taiping, Perak selain pembangunan resort mewah di Pulau Langkawi, Kedah.

Projek pelaburan lain yang diumumkan hari ini ialah pembangunan rumah hijau untuk projek pertanian di Perlis selain pembinaan kilang pembuatan, UWC Industrial Sdn. Bhd. di Pulau Pinang.

Majlis pertukaran memorandum pelaburan tersebut disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq dengan pihak pelabur iaitu JPB Asia Pacific Sdn. Bhd., UWC Industrial Sdn. Bhd., Unifortune Holdings Sdn. Bhd. dan Seri Chenang Resort Langkawi Sdn. Bhd.

Majlis itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Besar Perlis, Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Redza berkata, semakin banyak syarikat asing telah menunjukkan minat untuk melabur di Koridor Utara yang meliputi empat negeri di Semenanjung.

''Pelaburan yang diumumkan hari ini umpamanya membabitkan pertukaran kemahiran dan teknologi dari Kanada, Amerika Syarikat dan Jepun.

''NCIA sentiasa berusaha membawa kemahiran asing ke Koridor Utara supaya kesan pelaburan itu boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat," katanya.

Walaupun berdepan suasana ekonomi global yang belum menentu, NCIA tetap menyasarkan pelaburan bernilai RM10 bilion di Koridor Utara pada tahun ini.

Tahun lalu, wilayah itu berjaya menarik pelaburan berjumlah RM12.3 bilion dengan 16,355 peluang pekerjaan diwujudkan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved