Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Tiga lagi penjenayah ditembak mati

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) bersama timbalannya, Datuk A. Paramasivam (tengah) menunjukkan barang kemas yang dicuri sekumpulan penjenayah yang ditembak mati di Meru Raya dalam sidang akhbar di Ipoh. semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz

IPOH 10 Okt. - Kurang 24 jam selepas menumpaskan tiga penjenayah warga Indonesia di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) di ibu negara semalam, polis menembak mati tiga lagi penjenayah yang baru merompak sebuah kedai emas di bandar Meru Raya di sini hari ini.

Ini merupakan kejayaan terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan enam penjenayah berbahaya yang ditembak mati dalam tempoh 48 jam.

Polis juga berjaya menemukan tujuh dulang barang kemas bernilai lebih RM1.8 juta yang dilarikan penjenayah tersebut dari sebuah kedai emas berhampiran Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, tiga penjenayah tersebut tumpas selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis manakala seorang lagi sempat meloloskan diri ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kira-kira 15 minit sebelum kejadian itu, empat penjenayah berkenaan merompak kedai emas di bandar Meru Raya.

Katanya, bertindak atas maklumat sebuah pasukan Op Cantas Khas yang beroperasi di kawasan itu berjaya mengesan kereta jenis Proton Waja dinaiki penjenayah berkenaan tidak jauh dari tempat kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi.

"Semasa cuba menahan kereta tersebut di bulatan Meru Raya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta polis dan terus memecut laju sebelum terbabas di persimpangan lampu isyarat di simpang tiga Meru Raya.

"Seorang suspek keluar dari kereta lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis yang kemudian membalas tembakan dan berjaya menumpaskan tiga penjenayah manakala seorang lagi melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Acryl Sani berkata, polis percaya penjenayah yang masih bebas itu tidak dapat lari jauh dan akan ditangkap dalam tempoh terdekat kerana dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kaki sama ada akibat ditembak atau terseliuh semasa cuba melarikan diri.

"Polis telah mengepung kawasan tersebut dan memanggil Pasukan Gerakan Am untuk menjejaki penjenayah yang lolos itu. Orang ramai atau pengamal perubatan yang mendapati mana-mana lelaki berketurunan India cedera akibat tembakan diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam kereta dinaiki penjenayah terbabit, polis menemukan sepucuk pistol jenama Star jenis Caliber 7.2mm, dua telefon bimbit, sebilah parang, dua topeng ski, tiga butir peluru .32mm, dua kelongsong peluru .32mm dan tujuh dulang barang kemas.

"Semasa menjejaki suspek yang melarikan diri, polis juga menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama tiga butir peluru Caliber 9mm di dalam kebun kelapa sawit tersebut yang dipercayai tercicir daripada suspek yang masih bebas," katanya.

Katanya, kenderaan dinaiki penjenayah berkenaan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 3 Oktober lalu.

Acryl Sani berkata, setakat ini, polis belum mengenal pasti identiti kesemua penjenayah berkenaan kerana tiada dokumen pengenalan ditemui pada mereka.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada pasukan polis atas kejayaan terbaharu itu selepas berjaya menembak mati tiga penjenayah di pekan Gerik pada 2 Oktober lalu.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 dan 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Polis sahkan tiga penjenayah mati ditembak merupakan ahli kongsi gelap

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

KEPALA BATAS 10 Okt. - Polis mengesahkan tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan itu di Ipoh, Perak hari ini merupakan ahli kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan juga mendapati ketiga-tiga penjenayah itu tiada kaitan dengan tiga penjenayah warga Indonesia yang mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) di ibu negara semalam.

"Kes di Ipoh adalah penjenayah menyasarkan kedai emas dan mereka dipercayai terlibat dengan tiga kes sebelum ini manakala di Selangor, kumpulan penjenayah terbabit menyasarkan orang awam yang baru mengeluarkan duit dari bank," katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis tahlil dan penyampaian sumbangan lebih RM50,000 kepada Atikah Mohd. Rosdi, balu Allahyarham Sarjan Zal-Azri Abdul Somad, 31, yang terkorban dalam Ops Lejang di Melaka bulan lalu.

Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene dan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Polis menembak mati tiga lagi penjenayah yang baru merompak sebuah kedai emas di bandar Meru Raya di Ipoh hari ini, kurang 24 jam selepas menumpaskan tiga penjenayah warga Indonesia di ibu negara semalam.

Menurut Khalid, kumpulan kongsi gelap tersebut bergiat aktif di sekitar Perak dan kini pihaknya sedang menggiatkan usaha bagi memburu saki-baki kumpulan berkenaan yang masih bebas.

Sementara itu, ketika ditanya adakah pihak polis akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengatasi kes orang kena tuduh (OKT) yang meloloskan diri dari mahkamah, Khalid berkata, perkara itu tidak perlu.

"Tidak perlu perkenalkan SOP baharu kerana garis panduan sedia yang ada sudah mencukupi dan hanya perlu dipatuhi oleh anggota bertugas. Dalam kes ini, saya percaya ada cerita tersembunyi dan kita akan siasat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Myanmar main wayang

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR - Belum pun acara bermula, pihak tuan rumah, Myanmar awal-awal lagi telah 'bermain wayang' apabila menunda tarikh pengundian bagi acara bola sepak serta acara sukan lain kepada 6 November berbanding tarikh asal sebelum ini iaitu pada 29 Oktober.

Sedangkan acara bola sepak dijangka bermula pada 1 Disember, situasi itu jelas mengundang resah ramai pihak terutama pengendalinya, Ong Kim Swee yang melihat perkara itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan mengaturkan perlawanan persahabatan berkualiti sebelum ke Myanmar.

Bertambah menggusarkan di benak pemikiran jurulatih dari Melaka itu, beliau hanya boleh mengetahui lawan yang mereka akan temui kurang daripada masa satu bulan dan dia menganggap itu sebagai satu pengalaman yang cukup aneh dalam menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa.

Namun, beliau sama sekali tidak terkejut dengan perkembangan tersebut setelah mendapat maklumat tersebut daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) malahan sudah dapat meneka pihak tuan rumah akan melakukan kejutan sedemikian kerana sudah masak dengan gelagat Myanmar.

''Baru-baru ini saya ada bercakap mereka akan menukar tarikh undian walaupun sepatutnya 29 Oktober tarikh pengundian dan nampaknya menjadi kenyataan.

''Situasi ini jelas berbeza berbanding di Indonesia, dua tahun lalu apabila kita sudah boleh tahu siapa lawan kita dalam masa dua ke tiga bulan sebelum bermula Sukan SEA.

''Jika pada 6 November baru mahu melakukan undian, ini bermakna kita ada masa kurang daripada sebulan jika perlawanan pertama berlangsung 1 Disember, malah situasi ini pasti menyulitkan perancangan kita jika mahu mengaturkan perlawanan persahabatan.

''Bagi saya, kita perlu bersiap sedia perkara yang lebih buruk selepas ini kerana bukan sahaja akan melalui perlawanan sukar dalam padang, malah di luar padang. Ini saya sentiasa ingatkan setiap pemain supaya mental mereka lebih bersedia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Kim Swee lagi, dia juga terpaksa membatalkan perlawanan persahabatan dengan kelab Jepun, FC Ryukyu, yang ditetapkan pada penghujung November kerana kelab Jepun itu hanya menamatkan aksi terakhir liga pada 29 November ini.

Malah, Kim Swee sendiri masih buntu memikirkan siapakah yang akan menjadi pengganti kepada Ryukyu, perlawanan pemanas badan terakhir sebelum semua pemainnya berangkat ke Myanmar pada 25 atau 26 November ini.

''Liga mereka (J-League 3) akan berakhir pada 29 November sedangkan tarikh akhir buat kita mengadakan sebarang perlawanan adalah seminggu sebelum ke Myanmar, jadi sudah tentu kita tidak boleh mengadakan aksi persahabatan dengan mereka kerana kesuntukan masa.

''20 November kita akan balik dari Jordan setelah melalui empat perlawanan di sana, bermakna saya ada masa lima hari sahaja sebelum bertolak ke Myanmar. Saya akan tunggu surat rasmi daripada MOM dan Myanmar mengenai tarikh sebenar cabutan serta jadual perlawanan sebelum membuat perancangan terbaharu," katanya.

Harimau Malaya sandarkan semangat

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

K. RajagoBal (kiri) bersama Subahan tiba di KLIA, Sepang semalam bersama skuad Harimau Malaya daripada aksi persahabatan di Shenzen, China. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

SEPANG - Hanya keyakinan meraih tiga mata dan mencuba yang terbaik menjadi bekalan jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal dan skuad Harimau Malaya apabila berdepan Bahrain dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Kehilangan Wan Zack Haikal Wan Noor, Fadhli Shas, Safee Sali, Helmi Remeli dan Razman Roslan, meninggalkan pilihan tonggak yang terhad buat Rajagobal sekali gus berharap baki pemain yang dimilikinya, mampu menampung kesulitan mereka menentang pendahulu Kumpulan D itu.

Kekalahan 3-1 kepada juara Piala Teluk, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam persahabatan di Shenzhen, turut mendedahkan jurang lawan dengan anak buahnya kelmarin tetapi tetap dikutipnya sebagai ilmu yang bakal mematangkan mereka menghadapi Bahrain pula.

Beliau yang ditemui sekembalinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam berkata, tanpa ramai tonggak, bukan senang menentang UAE, sebuah pasukan terkuat Asia Barat, juara Piala Teluk dan sebelum menentang kita, menewaskan New Zealand 2-0.

"Kita tahu UAE salah sebuah pasukan terbaik tetapi tujuan kita adalah untuk persiapan dengan Bahrain dan kita dapat satu tahap permainan baik UAE yang lebih kurang sama apabila kita menghadapi Bahrain," katanya yang turut mengakui kehilangan tonggak memberikan sedikit perbezaan pada pasukannya.

Namun, menilai rekod dan reputasi Bahrain, katanya: "Mereka tetap sebuah pasukan yang terkuat Asia selepas mengumpul dua kemenangan Kumpulan D. Kita pun tidak boleh katakan bakal mempunyai kelebihan kerana bermain di gelanggang sendiri.

"Anda boleh nilai sendiri perbezaan kita dengan Bahrain. Memang ada jurang dengan kita tetapi saya fikir bagi Asia Tenggara, Malaysia mempunyai tiga mata setakat ini dan sebagai rakyat Malaysia, kita kena bangga dan kita cuba apa yang kita boleh buat."

Rajagobal juga belum memutuskan siapa di barisan depan Harimau Malaya untuk menggempur Bahrain biarpun kelmarin mencuba gandingan Khyril Muhymeen Zambri-Mohd. Amri Yahyah bagi 45 minit pertama menentang UAE yang cuma dibolosi jaringan tunggal Safiq Rahim.

"Saya harap (penyerang) Norshahrul Idlan Talaha akan bersama kita semula. Kami akan tengok keadaan hidungnya bagaimana (tercedera dalam suku akhir Piala Malaysia dengan Kelantan) dengan mendapatkan nasihat doktor. Begitu juga tahap kecederaan Aidil Zafuan Radzak dan Shakir Shaari," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, UAE yang meminta persahabatan itu supaya tidak diletakkan berstatus A antarabangsa selepas tidak dibenarkan oleh tuan rumah, China.

"China juga enggan berikan kebenaran status itu kerana UAE mengatur perlawanan itu melalui ejen dan bukannya dengan persatuan bola sepak. Saya dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin turut mempunyai hitam putihnya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pegawai polis wanita direman

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

Pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan menutup wajahnya semasa dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman berkaitan seorang tahanan berjaya meloloskan diri di Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/ismail kamadin

PULAU PINANG 10 Okt. - Seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Supritendan (ASP) direman bagi membantu siasatan kes seorang tahanan meloloskan diri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Mahkamah membenarkan pegawai wanita berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pegawai polis itu disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana membiarkan seseorang lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang yang kedua-duanya membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, pegawai berusia 55 tahun itu juga disiasat di bawah Seksyen 225A kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali kerana meninggalkan atau membiarkan tahanan lari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, tahanan terbabit, K. Prabaharan, 45, yang terlibat dalam kes penipuan dan digelar 'Doktor Kasanova' melarikan diri ketika berada di mahkamah selepas dibawa dari Mahkamah Cameron Highlands.

Suspek dikatakan melarikan diri dalam keadaan tangan masih bergari semasa pegawai terbabit mengarahkan anggota pengiring keluar makan dan meninggalkan lelaki berkenaan di dalam biliknya.

Menurut Abdul Rahim, Prabaharan yang menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sepatutnya dihantar ke Penjara Reman Pulau Pinang selepas habis sebutan akhir kesnya di Cameron Highlands kelmarin.

"Dalam perjalanan ke penjara, seorang pegawai mahkamah di Pulau Pinang menghubungi polis pengiring dan meminta agar suspek dihantar ke pejabatnya namun suspek bertindak melarikan diri ketika berada di pejabat pegawai tersebut.

"Ketika melarikan diri suspek memakai kemeja T tanpa kolar berwarna ungu dan berseluar pendek merah," jelasnya.

Katanya, suspek masih menghadapi empat pertuduhan di daerah Timur Laut, masing-masing dua pertuduhan di Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta satu kes di Cameron Highlands.

Selain itu, Prabaharan yang beralamat terakhir di Taman Mas, Ipoh, Perak juga amat dikehendaki polis di Segamat, Sungai Petani dan Taiping kerana kesalahan di bawah seksyen sama.

Polis kini menjalankan Op Tutup untuk mengesan suspek yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang dengan bantuan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Prabaharan ditahan 4 Januari lalu di rumah sewanya di Bukit Gambir di sini, setelah polis menerima aduan mengenai kegiatan seorang kasanova yang memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman-laman web sosial dan mengaut lebih RM500,000 sejak 2001.

Dia juga dikatakan menyamar sebagai doktor bagi memperdayakan kesemua wanita berkenaan dengan pelbagai janji manis termasuk untuk mengahwini mangsa.

Lelaki rompak rumah Dr. Juanda dipenjara 7 tahun

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

KUCHING 10 Okt. - Seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak kediaman Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya, Ogos lalu dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan lima kali oleh sebuah lagi mahkamah atas satu jenayah ragut bulan lalu.

Mohamad Shariman Alwi, 30, yang bekerja sebagai peniaga ikan dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Timothy Finlayson Joel selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan meragut beg tangan seorang wanita.

Terdahulu lelaki itu didakwa di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbang atas tuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan di rumah Juanda melibatkan kerugian RM46,500.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela mengaku tidak bersalah.

Mohamad Shariman bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan bersenjatakan parang di kediaman Juanda di Taman Carisa, Lorong Bakti 1B, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya di sini kira-kira pukul 4.30 pagi, 16 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa merompak pelbagai barangan termasuk barangan kemas bernilai RM35,000, wang tunai RM6,500 dan beberapa gajet elektronik termasuk dua unit telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM5,000.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 25 November ini.

Bagi kes ragut, Mohamad Shariman mengaku merompak sebuah beg tangan serta seunit telefon bimbit jenama Nokia milik Normayati Mohd. Rajali, 19, di sebuah hentian bas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya, di sini pada pukul 3 petang, 9 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tin mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian mangsa sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan menyandang beg tangan di bahu kiri sebelum suspek yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss tanpa nombor pendaftaran bertindak meragut beg tangan berkenaan.

Tertuduh gagal melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga sebelum diberkas anggota polis di tempat kejadian.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada hari kejadian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Letupan bom di Pakistan ragut 5 nyawa

Posted: 10 Oct 2013 01:15 PM PDT

QUETTA, Pakistan 11 Okt. - Kejadian letupan bom yang berlaku di sebuah pasar di barat daya Pakistan telah mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kematian dan 20 kecederaan ke atas orang awam.

Pegawai polis Mohammed Mohsin berkata, letupan yang berlaku di wilayah Baluchistan itu turut memusnahkan beberapa buah kedai dan kenderaan yang diletakkan berhampiran pasar berkenaan.

Namun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab berhubung serangan tersebut. - AGENSI

Pemeriksa senjata kimia kedua PBB mula tugasan

Posted: 10 Oct 2013 01:14 PM PDT

DAMSYIK 11 Okt. - Pasukan kedua kumpulan pemeriksa antarabangsa tiba di Damsyik semalam bagi membantu menyelia pemusnahan senjata kimia Syria di bawah syarat resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tiga kenderaan PBB dilihat membawa pegawai pemeriksa tersebut dari sebuah hotel menuju ke suatu lokasi yang tidak diketahui.

Jurucakap kepada organisasi Larangan Senjata Kimia di Hague, Michael Luhan berkata, 12 orang pegawai pemeriksa baru tiba di sini dengan menjadikan jumlah keseluruhan mereka adalah seramai 27 orang. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Transformasi UMNO, semangat Aidiladha

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Mohd. Shauki Abd Majid
PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

SELASA 15 Oktober 2013 bersamaan 10 Zulhijjah 1434, umat Islam seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Korban, satu tarikh besar yang diingati berdasarkan pengorbanan dan proses penjernihan diri. Pada hari ini, seluruh umat Islam mengerjakan ibadat haji, iaitu rukun Islam kelima melakukan wukuf, suatu ibadat yang menjadi kemuncak dan pelengkap dalam proses pencerahan tersebut.

Setiap Muslim yang mengerjakan ibadat haji akan melakukan ibadat korban sebagai usaha bertaqarrub atau memerdekakan diri kepada Allah. Bertaqarrub turut dilakukan oleh Muslimin di seluruh dunia sebagai ibadat sunat bagi setiap orang yang waras dan berkemampuan.

Baginda Rasulullah SAW menegaskan, orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini.

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?" Jawab Rasullullah SAW: "Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim." Sahabat itu bertanya lagi: ''Apakah keuntungan korban itu untuk kita?" Jelas Baginda: "Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah)."

Menurut Iman Syafei, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya).

Di samping itu, sempena Hari Raya Korban ini umat Islam dituntut merapatkan ukhuwah Islamiah di samping bersikap toleransi sesama manusia. Ketika hayatnya Rasulullah SAW pernah diajukan soalan mengenai seorang wanita yang banyak melakukan ibadah, berpuasa, bersolat tetapi wanita itu suka menyakiti hati jirannya.

Nabi Muhammad SAW menyifatkan tindakan itu sebagai hiya finnar, iaitu tidak membangunkan hubungan baik dengan masyarakat atau jirannya, dan sebagai balasannya, ia akan dicampakkan ke neraka.

Hari Raya Korban sebenarnya menuntut kita agar lebih banyak beramal sosial dan ia perlu dilakukan secara meluas, bukannya bersifat formal.

Terbukti sudah, berapa ramai mereka yang sering melaksanakan ibadah korban tetapi perangai masih tetap tidak berubah, masih bakhil, sombong, riak, tamak, tidak amanah dan hidup dalam budaya rasuah. Lebih teruk lagi mengambil sikap mengasingkan diri daripada masyarakat.

Amal sosial sekalipun nampak remeh dan kecil namun di sisi agama ia sangat dihargai dan besar maknanya. Walaupun sekadar bermuka manis ketika bertemu kawan atau membuang duri di jalan, ia sudah dinilai dalam Islam sebagai orang yang beriman.

Oleh kerana kehidupan umat Islam adalah berbeza-beza, terutama dalam perspektif sosioekonomi dan sosiobudaya, mereka yang berada dalam situasi yang lebih baik wajib melihat kegetiran hidup umat Islam lain.

Umat Islam yang hidup dalam kesulitan, tertindas, teraniaya atau tersingkir daripada labuhan persadanya; umat Islam yang memiliki kesenangan hendaklah berkorban melakukan proses penyelamatan atau pembebasan menerusi pengorbanan wang ringgit, tenaga dan fikiran.

Mereka yang mempunyai kuasa diharamkan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menindas mereka yang dalam kesusahan.

Haram bagi seorang Islam untuk mengambil kesempatan mencari kekayaan peribadi atau menguatkan kedudukan sendiri dengan mengeksploitasikan kesulitan orang lain. Inilah yang sebenarnya ditekankan oleh Islam sebagai agama kesejahteraan bagi setiap manusia.

Dalam situasi kempen politik yang sedang berlaku, jelas ada petunjuk bahawa pihak yang menyokong seseorang berusaha untuk menafikan hak pihak lain dengan memperkenalkan syarat tertentu sebagai proses penyekatan proses demokrasi.

Misalnya, mengenai pemilihan UMNO yang dikatakan paling demokratik sejak penubuhannya, ada usaha untuk menggagalkan pihak lain dengan meletakkan syarat, seseorang calon yang layak bertanding ialah mereka yang pernah memegang jawatan di peringkat bahagian. Ini bermakna, meskipun ada calon yang menawarkan diri, ia tetap ditolak kerana ketokohannya tidak cukup syarat kerana tidak mempunyai jawatan dalam bahagian.

Proses ini menjadi sedikit terencat kepada proses pendemokrasian politik yang hendak dilaksanakan, kerana sebelumnya, syarat itu tidak ditegaskan termasuk ketika proses penerimaan pencalonan seseorang. Sepatutnya, pihak yang menguruskan proses tersebut bersedia memberikan penolakan di peringkat awal dan bukannya selepas beberapa siri memperkenalkan calon yang ketat dan meletihkan.

Kempen secara terbuka tidak lagi diberikan keutamaan kerana pihak yang menguruskan pemilihan melihat ia sebagai suatu kemungkinan yang boleh menjejaskan calon yang disokongnya secara senyap-senyap menang.

Sebenarnya, ada sekelompok dalam pengurusan pemilihan tidak senang dengan kemunculan atau kemenangan calon baharu yang dilihat boleh menjejaskan kedudukannya sebagai pekerja parti yang menguruskan perjalanan proses transformasi yang lebih meluas dan berkesan.

Mengambil semangat dan kesan psikologi yang hendak diterapkan menerusi erti pengorbanan dalam Islam, maka syarat yang dikenakan itu sepatutnya dikorbankan kerana ada sebahagian pemimpin tertinggi UMNO sudah dilihat tidak lagi berkesan, suaranya hanya nyaring ketika berkempen tetapi selepas menduduki jawatan penting, suaranya umpama badut politik yang hanya tahu menjaga kedudukan tetapi tidak meneruskan janjinya untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun, pemimpin ini adalah orang yang pintar bermain dengan kata-kata tetapi amat kerdil dengan tindakan. Prinsip perjuangannya adalah "manis di bibir, langkah seharian begitu sumbang", dan orang ini sebenarnya sudah tergelincir imannya. Meskipun masih boleh bersyahadah, tetapi syahadahnya hanyalah sekadar mainan kata-kata, kalbunya jauh daripada lingkungan ubudiah dan ukhuwah.

Kelompok ini hanya sekadar bertahan agar tidak dilihat imannya tergelincir, sentiasa mempamerkan wajah manis tetapi tidak dengan keikhlasan.

Persoalan sedemikian boleh diperhatikan daripada sikap segolongan mereka yang pernah memimpin di Iraq, Mesir, Yaman, Palestin , Bosnia-Herzegovina dan Yugoslavia, akhirnya kerana ingin mengekalkan kuasa yang dimiliki, sanggup menindas dan mengeksploitasi orang awam yang menyokongnya dengan prinsip berbohong atau cognitive dissonance.

Secara mudahnya, prinsip ini tidak selari dengan apa yang menjadi intipati perjuangan, yakni cakap tidak sama dengan apa yang dilakukan. Oleh kerana mahukan kedudukan, maka orang sanggup berbohong dan menutup kelemahan sendiri dengan merayu, membasuh minda orang awam bahawa jangan dicurah air di tempayan hanya kerana mendengar guruh di langit.

Walhal, air di tempayan hanyalah tinggal keladaknya sahaja, maka keladak itu wajib dicuci agar hujan yang bakal mencurah turun boleh mengisi tempayan dengan air yang bersih. Pemimpin yang baharu mungkin lebih baik kerana mereka belum mempunyai kesalahan, kuat semangat dan lebih bertenaga berdasarkan kepakaran yang dimilikinya.

Dari segi realiti, hari ini juga kita dapat lihat kehidupan sesetengah orang yang berbeza atau berlawanan dengan apa yang kita bicarakan ini. Ada yang sekadar membina hubungan baiknya dengan Tuhan dengan banyak beribadah kepada-Nya, tetapi tidak dengan masyarakat sekitarnya.

Sementara itu, sebahagian orang pula hanya menjalinkan hubungan baiknya dengan masyarakat dengan banyak beramal sosial, tetapi melupakan jalinan hubungan baiknya dengan Allah.

Dan yang lebih teruk lagi manusia yang langsung tidak peduli dengan Allah dan juga dengan sesama manusia. Golongan ini dilaknat Allah dan dibenci oleh masyarakat. Tiga jenis pola kehidupan ini amat bertentangan dengan Islam dan bertentangan pula dengan amanat Aidiladha.

Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan perkara ini melalui firmanya yang bermaksud: "Kehinaan akan ditimpakan kepada manusia dimana pun mereka berada kecuali kalau manusia itu menghina hubungan baiknya dengan Allah dan hubungan baiknya dengan sesama manusia…." (Surah Ali lmran ayat 112)

Demikian juga keistimewaan Nabi Ibrahim AS wajar diteladani oleh seluruh manusia seperti mana yang diwujudkan dalam bentuk ibadah haji.

Keteladanan yang diwujudkan dalam bentuk ibadah tersebut dan praktik-praktik ritualnya berkaitan dengan peristiwa yang dialami oleh beliau dan keluarganya, pada hakikatnya merupakan penegasan kembali dari setiap jemaah haji, tentang keterikatannya dengan prinsip-prinsip keyakinan yang dianut oleh Ibrahim AS yang intinya adalah:

(1) Pengakuan akan keesaan Tuhan serta penolakan terhadap segala macam dan bentuk kemusyrikan, baik berupa patung-patung, bintang, bulan dan matahari, bahkan juga segala sesuatu selain Allah SWT.

(2) Keyakinan tentang adanya neraca keadilan Tuhan dalam kehidupan ini dan yang puncaknya akan diperoleh setiap makhluk pada hari kebangkitan kelak.

(3) Keyakinan tentang kemanusiaan seseorang yang bersifat universal, tiada perbezaan dalam kemanusiaan seseorang dengan lainnya, betapa pun terdapat perbezaan antara mereka dalam hal-hal lainnya.

Ketiga-tiga inti ajaran ini tercermin dengan jelas atau dilambangkan dalam praktik-praktik ibadah haji. Dan, seharusnya proses pencerahan yang berlaku menerusi ibadat haji dan prinsip pengorbanan dalam Aidiladha dapat dijadikan panduan berguna buat pemimpin politik UMNO sepanjang pemilihan pada tahun ini.

Jika pengajaran dan iktibar seperti ini dapat diambil dengan baik, UMNO akan menjadi parti yang memperoleh penghormatan besar dalam kalangan masyarakat Islam, dan bukan sekadar parti politik untuk berkuasa atau mengekalkan kuasa.

Op Cantas Khas 'buka mata' pelabur

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Angota polis membuat pemeriksaan dalam operasi Op Cantas di kawasan Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KALI terakhir kumpulan kongsi gelap digempur secara besar-besaran ialah enam tahun lalu di Sarawak.

Waktu itu, menerusi Op Cantas Kenyalang yang digerakkan pada April 2007. Sebanyak 1,310 orang yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan gengsterisme ditangkap sepanjang operasi khas berkenaan.

Sehingga Julai 2007, sebanyak 283 gengster ditahan. Sejumlah 145 gengster telah didakwa di mahkamah kerana memeras ugut, merusuh dan melakukan ugutan jenayah. Sembilan ketua kumpulan kongsi gelap dan orang kanan kumpulan mereka pula ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 termasuk ketua kumpulan Chieng Lee di Bintulu pada 30 Jun 2007.

Antaranya juga sebanyak 51 individu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan memeras ugut berhubung pembalakan haram khususnya di Bintulu, Sematan dan Lundu. Kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini berleluasa di Sarawak waktu itu sehingga berkuasa pula menentukan harga barangan di pasaran, campur tangan kegiatan pembalakan dan komoditi pertanian di Sarawak.

Dan hari ini, Op Cantas digerakkan semula dan pelaksanaannya dalam mengekang kegiatan jenayah terutama memerangi dan mengekang kegiatan kumpulan-kumpulan kongsi gelap terbukti berjaya menurunkan indeks jenayah.

Penganalisis jenayah, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim menarik perhatian bagaimana pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA 2013) yang membolehkan polis melaksanakan tugas membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan telah memberi keyakinan tinggi kepada ahli-ahli perniagaan dan pelabur asing. Seperti kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

"Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 bagi mengukuhkan kuasa Polis akan menjadikannya satu undang-undang yang 'digeruni' dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan jenayah".

"Dalam dua tahun kebelakangan ini, pelaburan langsung asing (FDI) kita merosot disebabkan pelabur takut dengan kes-kes tembakan yang semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari keluar ada sahaja berita (laporan) suratkhabar termasuklah satu insiden seorang pengasas bank ditembak mati.

"Akibatnya, para pelabur yang telah menunjukkan minat yang kukuh untuk membuat pelaburan menjadi takut sehinggakan pelabur domestik menjadi panik dan beralih arah (melabur) ke luar. Tindakan pantas pihak berkuasa dalam tempoh beberapa bulan ini menerusi komitmen tinggi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Kementerian Dalam Negeri (diketuai Ahmad Zahid) yang segera menggerakkan Op Cantas.

"Ini sekali gus berjaya mengembalikan semula keyakinan pelabur kepada kita," kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui kelmarin.

Op Cantas bermula 17 Ogos lalu dan pada 30 Ogos, polis menyiarkan senarai 49 kumpulan kongsi gelap yang diwartakan haram.

Ahmad Faris yang juga seorang ahli perniagaan mengetuai sebuah firma pembekal peralatan pertahanan, sekuriti dan komunikasi berkata, beliau menerima banyak maklum balas daripada rakan-rakan perniagaannya dari Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan United Kingdom yang menyambut baik pendekatan agresif kerajaan membanteras kegiatan jenayah khususnya kongsi gelap.

"Saya baru-baru ini menghadiri pameran pertahanan dan sekuriti di Paris Air Show di Perancis dan pameran serupa di London. Apa yang saya dimaklumkan, mereka (ahli-ahli perniagaan Eropah) mengikuti dengan penuh minat perkembangan politik, ekonomi dan persekitaran hidup di Malaysia.

"Selain mahu melihat pasukan transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk yang akan muncul hasil daripada pemilihan UMNO nanti sesuatu yang berdaya saing, mereka juga inginkan suasana kondusif di sini (Malaysia) terus berkekalan, bebas dari jenayah khususnya tembak dan kongsi gelap," katanya.

Ahmad Faris menarik perhatian bagaimana sebahagian daripada 40,000 anggota kongsi gelap di seluruh negara yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah kekerasan berjaya dikekang dalam Op Cantas.

Jenayah kekerasan adalah termasuk pembunuhan, pergaduhan, pecah rumah, samun, rogol dan merusuh.

Pelaksanaan Op Cantas yang diteruskan dalam mengekang kegiatan jenayah itu, kata beliau, berjaya menurunkan indeks jenayah terutama melibatkan kes bunuh iaitu daripada 104 kes kepada 69 kes.

Penurunan sebanyak 33 peratus itu dicatatkan dalam tempoh 52 hari operasi tersebut dijalankan iaitu sejak 17 Ogos.

"Operasi ini wajar diteruskan sehingga keyakinan rakyat terhadap keselamatan meningkat dan persepsi 'rasa takut menjadi mangsa jenayah' berkurangan," katanya.

Hasil daripada Op Cantas, pihak berkuasa berjaya menahan seramai 15,877 orang hasil saringan daripada 418,922 orang yang disyaki. Sejumlah 469 senjata api dan senjata berbahaya serta 678 buah kenderaan pula dirampas.

Sebanyak 352 kertas siasatan pula telah dibuka di bawah Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 dan sebanyak 144 kertas siasatan dibuka di bawah kesalahan senjata api atau senjata berjadual. Daripada jumlah kesalahan berkaitan senjata api dan senjata berjadual itu, 120 kes telah dituduh di mahkamah.

Setakat September, daripada 8,898 orang yang ditangkap dalam operasi khas itu, seramai 3,842 berbangsa Melayu (3,645 lelaki, 197 perempuan), 2,485 bangsa India (2,449 lelaki, 36 perempuan), 1,088 bangsa Cina (1,021 lelaki, 67 perempuan) dan 1,483 bangsa lain (1,267 lelaki dan 256 perempuan).

Untuk pecahan mengikut negeri, Selangor mencatat jumlah paling tinggi dengan 3,889 tangkapan diikuti Johor (1,760), Kuala Lumpur (749), Kedah (505), Pulau Pinang (254), Perak dan Pahang (225), Kelantan (253), Sarawak dan Negeri Sembilan (165), Melaka (94), Terengganu (25) dan 12 di Perlis.

Ahmad Faris sekali lagi menarik perhatian bahawa beliau sekali-sekala ada 'berwhatsApp' dengan Ketua Polis Negara berhubung isu-isu keselamatan di kawasan kejiranannya di Keramat dan Ampang, Kuala Lumpur.

"IGP (Tan Sri) Khalid jelas keterbukaannya dalam mendengar input-input daripada publik (awam). Saya sendiri melontarkan pandangan kepada beliau mengenai isu-isu keselamatan di kawasan tempat tinggal saya di Taman Malawati.

"Antaranya banyak berlaku kejadian pecah rumah, justeru meminta lebih banyak kehadiran pihak polis. Tidak lama selepas itu, kelibat kereta peronda kelihatan di kawasan itu," katanya.

Op Cantas jelas menuntut komitmen dan ketegasan pihak berkuasa. Apa makna negara maju kalau tidak ada jaminan keselamatan.

Usaha memerangi jenayah mungkin memerlukan banyak masa. Namun, perlu dilakukan bersungguh-sungguh.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Saya kenal wanita itu - Aidil Zafuan

Posted: 10 Oct 2013 01:21 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR 10 Okt. - "Saya memang kenal wanita itu!". Itulah pengakuan ringkas yang dibuat oleh bekas suami pelakon, Rita Rudaini, 37, iaitu Aidil Zafuan Abd. Razak, 26, berhubung adegan mesranya dengan seorang wanita yang dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 6 Oktober lalu.

Semasa kejadian, seperti yang dimaklumkan oleh salah seorang peminat, wanita berkenaan dilihat sedang memperbetulkan tali leher milik Aidil dan mereka dilihat sangat mesra seolah-olah seperti pasangan 'kekasih'.

Dalam pada itu, Aidil yang dihubungi Utusan Online hari ini menafikan wanita itu adalah kekasihnya tetapi mengakui dia sudah lama mengenali wanita tersebut sebagai rakan.

"Pada masa itu, saya baru sahaja tiba dari Kota Bahru dan terpaksa berlepas ke China untuk perlawanan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Lagipun, semasa menunggu penerbangan seterusnya, saya bersama skuad kebangsaan yang lain.

"Tambahan, saya tidak akan keluar dengan wanita yang tidak dikenali," katanya yang turut merahsiakan tarikh dia mengenali wanita itu.

Ketika ditanya tujuan wanita itu datang ke KLIA, Aidil cuma memberitahu, dia menghantar barangnya yang tertinggal.

"Saya tidak mempunyai orang terdekat. Jadi, saya meminta pertolongan wanita berkenaan untuk menghantarnya memandangkan dia adalah kawan kepada tunang salah seorang pemain kebangsaan," katanya.

Aidil dan Rita sah bercerai pada 5 September lalu selepas Mahkamah Rendah Syariah Seremban mengesahkan lafaz cerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Aidil kepada bekas isterinya itu pada 4 Ogos lalu. - UTUSAN ONLINE

Lisdawati sudah lali gosip suami bercinta

Posted: 10 Oct 2013 12:01 AM PDT

Oleh AIDA RIZAMARIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Pelakon Lisdawati, 34, enggan mengulas khabar angin mengenai hubungan cinta yang terjalin di antara suaminya Fauzi Nawawi dan penyanyi Noni AF5.

Memberitahu tidak tahu menahu mengenai khabar angin itu, Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin berkata, dia sudah lali dengan gosip sebegitu.

"Sudah enam tahun kami bersama, bukan sekali dua kisah begini hadir. Jujurnya saya sudah lali.

"Sebenarnya saya tidak tahu mengenai gosip ini, biarlah suami saya buat kenyataan dahulu," katanya kepada Utusan Online hari ini.

Mengakui mengetahui suaminya pernah berkerjasama dengan Noni dan Lisda menganggap hubungan mereka sekadar rakan sekerja sahaja dan tidak lebih daripada itu.

"Saya tahu mereka memang bekerjasama, tetapi hairan juga bagaimana kisah ini boleh dikeluarkan.

"Saya memang malas nak melayan kisah-kisah macam ini, kecuali mereka ada bukti dan tunjukkan kepada saya mungkin saya boleh komen," katanya.

Hari ini sebuah akhbar menyiarkan berita yang mendakwa suaminya ada menjalin hubungan cinta dengan Noni.

Malah, bintang realiti AF5 yang nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin turut tampil membuat penafian dengan alasan hubungan mereka sekadar rakan artis. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Unit penguat kuasa berbasikal

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

AHMAD Phesal (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus kepada sebahagian anggota penguat kuasa berbasikal DBKL selepas majlis melancarkan unit itu di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Buat pertama kali di negara ini basikal yang direka khas diperkenalkan untuk tujuan rondaan dan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membabitkan seramai 20 pegawai dan anggota penguat kuasa.

Basikal seberat 8.5 kilogram itu dikenali sebagai Patrol Bike SW1126 yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat. Kenderaan itu mempunyai pelbagai ciri dan spesifikasi khas untuk tujuan penguatkuasaan termasuk menjadi senjata untuk mempertahankan diri jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, selain penggunaan kenderaan bermotor termasuk pasukan berkuda, penguatkuasaan menggunakan basikal tersebut merupakan ilham beliau selaras dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang mementingkan kehijauan terutama yang bebas dari asap kenderaan bermotor.

"Walaupun ada pihak yang menyifatkan kebanyakan pengguna kenderaan lain di jalan raya di negara ini sebagai tidak mesra basikal atau kenderaan kecil dan pejalan kaki namun ini bukan penghalang kepada DBKL untuk membentuk pasukan berbasikal ini untuk menjadi mata dan telinga kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Unit Penguat Kuasa Berbasikal DBKL dan menyampaikan sijil tamat latihan kursus penguatkuasaan berbasikal kepada 20 pegawai dan anggota penguat kuasa berkenaan yang menamatkan latihan selama enam hari dari Jumaat lalu di ibu negara hari ini.

Turut hadir dan menunjukkan demonstrasi dalam majlis itu ialah jurulatih dari Amerika Syarikat, Troy Geilish yang mempunyai pengkhususan dan pengiktirafan daripada International Police Mountain Bike Association (IPBA) yang dibawa oleh Syarikat Nichimen Resources Sdn. Bhd.

Namun buat peringkat permulaan, penguat kuasa berbasikal DBKL ini akan hanya melakukan rondaan di lima buah taman rekreasi di sekitar ibu kota bermula Sabtu ini, iaitu di Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri, Taman Metropolitan Kepong dan Taman Metropolitan Batu.

"Pasukan ini akan bertindak sebagai perantara dalam menyampaikan mesej dan maklumat berkaitan Kuala Lumpur dengan penampilan imej yang lebih segak dan mesra terhadap warga kota dan pelancong yang semakin meningkat jumlah kedatangan mereka ke Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua bayaran kompaun trafik DBKL boleh dibuat di pejabat pos di seluruh Kuala Lumpur mulai hari ini, dan akan diperluas ke pejabat pos seluruh negara secara berperingkat.

Beliau berkata, tempoh promosi bayaran kompaun RM30 untuk motosikal dan RM50 bagi kenderaan lain di pejabat pos boleh dibuat hingga 31 Disember depan.

77 lokaliti diserang denggi

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Sebanyak 77 lokaliti di daerah Hulu Langat dikenal pasti berlaku wabak denggi termasuk sepuluh kawasan tidak terkawal dan tiga diisytiharkan sebagai 'hot spot'.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, antara kawasan tersebut termasuklah di Taman Pelangi Semenyih, Bandar Bukit Mahkota, Bandar Baru Bangi, Taman Prima Saujana dan Kampung Sungai Ramal.

Beliau berkata, antara punca merebaknya wabak itu ialah akibat pembuangan sampah secara tidak wajar, yang menyebabkan nyamuk Aedes boleh membiak.

Katanya lagi, pihaknya telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat iaitu Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ) untuk membendung wabak itu daripada terus merebak.

Beliau menjelaskan, strategi utama kawalan denggi di daerah Hulu Langat adalah mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes iaitu melalui pelupusan sampah yang teratur.

"Selain itu kita juga bekerjasama dengan PBT dalam mengadakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong dan semburan asap (fogging).

"Mobilisasi komuniti melalui tabiat membuang sampah yang teratur juga amat penting bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan bebas wabak denggi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selangor perlu serius tangani masalah perumahan rakyat - Johan

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

SHAH ALAM 9 Okt. - Kerajaan pakatan pembangkang Selangor diminta supaya lebih serius menyelesaikan masalah kekurangan rumah untuk rakyat di negeri ini, khususnya melibatkan golongan yang berpendapatan pertengahan dan rendah.

Pengerusi Penyelaras Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, ketika ini rakyat dalam kumpulan pendapatan itu di Selangor dilihat sukar untuk memiliki kediaman sendiri ekoran tanah untuk membangunkan projek perumahan kos rendah dan sederhana adalah terhad.

Selain itu, katanya, walaupun terdapat banyak pelaksanaan projek perumahan di Selangor oleh pemaju swasta dan anak syarikat kerajaan negeri sendiri ketika ini, rumah-rumah yang dibina dilihat tidak mesra kepada golongan berkenaan kerana harganya terlalu tinggi dan jauh dari kemampuan kewangan mereka.

Sebagai contoh di daerah Hulu Langat, saya dimaklumkan terdapat ribuan borang permohonan dibuat kepada kerajaan negeri untuk rumah kos rendah sejak enam tahun lalu. Bagaimanapun, bilangan rumah tersebut tidak seimbang dengan jumlah permohonan yang diterima.

Soalnya bagaimana dengan janji kerajaan negeri sebelum ini mahu menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik kepada rakyat Selangor. Apakah rakyat, khususnya dari kumpulan pendapatan berkenaan, hanya mampu berharap sahaja tanpa sebarang pembelaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Johan, selain menetapkan syarat kepada pihak pemaju swasta supaya memperuntukkan lebih 30 peratus rumah kos rendah dan mampu milik bagi setiap projek baharu yang dilaksanakan di Selangor, kerajaan negeri dicadangkan supaya mengarahkan anak-anak syarikatnya supaya memberi tumpuan kepada pembinaan projek perumahan tersebut.

Semalam, Menteri Kesejahteraan bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyarankan kerajaan-kerajaan negeri memberikan tanah agar dapat mengurangkan kos dan membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara.

Tanah tersebut menurutnya akan digunakan di bawah program Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang menyasarkan pembinaan 500,000 unit kediaman jenis itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Oleh NORAZLINA ISMAIL
Gambar WAHIDAH ZAINAL
0

Utusan Online - Feminin

Posted:

Utusan Online - FemininIkuti berita penuh untuk ruangan Feminin menerusi laman web http://www.utusan.com.myhttp://www.utusan.com.my/utusan/Feminin Utusan Online - Femininhttp://www.utusan.com.my/utusan/themes2012/logo.pnghttp://www.utusan.com.my/utusan/Feminin Problem Parsing :
Error #: -1072896659
Description: End tag 'B' does not match the start tag 'Caption'.
In file: file:///E:/utusan/html/today/Utusan_Malaysia.Feminin.xml
Source line: fe_01.1.jpg500333fe_01.small.jpg90100
Dr. Steven Chow (tengah ) bersama para tetamu pada majlis pelancaran White Perfect Laser Overnight Treatment di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


SPAD kaji tambang kereta sewa

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Pakar motivasi, Ramdan Mohd. Nor (kanan) memberi penerangan kepada pemandu-pemandu teksi di dalam Kursus Ulang Kaji Bagi Pemandu Teksi Selaku Duta Pengangkutan Awam di Iskandar Malaysia di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU 9 Okt. - Bagi mendapatkan maklum balas secara menyeluruh daripada orang ramai tentang kenaikan tambang teksi dan kereta sewa, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan beberapa langkah termasuk meletakkan borang kaji selidik di tempat tumpuan awam.

Ketua Wilayah SPAD Selatan, Mustafa Mohd. Jizat berkata, bagi negeri ini, borang kaji selidik itu akan ditempatkan di empat lokasi iaitu Larkin Sentral, JB Sentral, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTSI), Senai dan Terminal Bas Batu Pahat, bermula pertengahan bulan ini.

Beliau berkata, borang berkenaan diletakkan di lokasi berkenaan selama tiga bulan sebelum dikumpulkan semula dan diserahkan kepada ibu pejabat untuk dinilai serta direkodkan semua maklum balas dan pandangan yang diterima.

"Kali terakhir tambang teksi dan kereta sewa dinaikkan pada 2009 dan SPAD kini sedang mempertimbangkan sebarang kenaikan tambang tersebut.

"Sebab itulah kita memerlukan pelbagai maklum balas daripada semua pihak, sekali gus bagi mewujudkan suasana menang-menang bagi pengusaha dan pengguna supaya tiada pihak yang terbeban atau tertindas," katanya selepas program latihan Kursus Ulang Kaji Bagi Pemandu Teksi Selaku Duta Pengangkutan Awam di Iskandar Malaysia di sini hari ini.

Selain kaji selidik itu, SPAD juga akan mengadakan perbincangan dengan kumpulan fokus termasuk melibatkan pengusaha pengangkutan awam, jabatan terlibat dan beberapa pihak lain, katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Perancang Pengangkutan dan Pelaksanaan Projek, Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM), Azman Yahya berkata, latihan yang dianjurkan itu melibatkan 100 pemandu teksi Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ).

Beliau berkata, latihan itu dijalankan sebanyak tiga sesi dengan sesi pertama diadakan pada September lalu melibatkan 35 peserta, disusuli 1 Oktober (35 peserta) dan bakinya (30 orang) hari ini.

"Latihan ini merupakan lanjutan daripada kejayaan program yang sama dilakukan terhadap pemandu bas pada Mac lalu dengan kerjasama tiga syarikat bas yang melibatkan 151 peserta.

"Program latihan khas dianjurkan selama satu hari setengah itu menerapkan modul pembangunan insaniah dengan pendekatan berbeza dan bertujuan meningkatkan tahap kecekapan serta prestasi pemandu teksi selaku duta pengangkutan awam di Iskandar Malaysia," katanya.

Lipat gandakan hasil pertanian - Ismail

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

PAGOH 9 Okt. - Kerajaan negeri sedang berusaha melipatgandakan hasil pertanian dengan menyediakan pelbagai insentif melalui kerjasama dengan tujuh agensi dan jabatan berkaitan bagi menampung keperluan sumber makanannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, bagi memastikan usaha itu berjaya, program penerangan dan penjelasan tentang pembangunan pertanian termasuk melibatkan teknologi moden akan diberi kepada para petani.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, program itu akan melibatkan semua agensi berkaitan supaya usaha membangun pertanian berjalan secara sistematik dan berterusan bagi jangka masa panjang.

"Menerusi program atau majlis penerangan di kawasan-kawasan terpilih, kita akan beri penerangan tentang segala kemudahan bantuan dan insentif yang boleh diberikan, selain bimbingan dan bermacam-macam lagi perkara yang diperlukan.

"Buat permulaan, beberapa kawasan dalam Parlimen Muar dan Ledang diberi penerangan terlebih dahulu. Penerangan ini penting kerana ramai petani yang tidak mengetahui kemudahan atau insentif yang disediakan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Pembangunan Pertanian Daerah Muar dan Ledang di Dewan Serbaguna Kundang Ulu dekat sini hari ini.

Ismail berkata, petani perlu merebut peluang itu dimulakan di kawasan Kundang Ulu dalam tempoh terdekat dan pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi dibangunkan untuk tujuan pertanian.

Beliau memberitahu, sebarang bantuan, insentif, kemudahan atau keperluan yang diperlukan akan dirujuk kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Turut terlibat agensi seperti Pejabat Pertanian Daerah Ledang, Jabatan Veterinar Daerah Muar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pagoh/Bukit Gambir/Bukit Pasir dan Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Mereka yang mempunyai kawasan lapang di halaman rumah juga digalakkan menjalankan pertanian secara kecil-kecilan bagi menampung pengeluaran bekalan makanan seperti sayur-sayuran, tanaman kontan, buah-buahan dan ternakan yang bersesuaian," katanya.

Bagi mempercepat proses pembangunan pertanian itu, beliau berkata, Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pagoh akan digerakkan sepenuhnya supaya sasaran menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi di negeri ini tercapai.

"Kita harap kawasan di Parlimen lain dapat menubuhkan majlis pembangunan seperti itu dengan fungsinya yang lebih agresif," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Lahirkan generasi lebih utuh

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) bersama sebahagian daripada peserta Forum Presiden Universiti Asia Ke-12 di Langkawi, kelmarin.

LANGKAWI 9 Okt. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa peneraju institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mencari asas bersama untuk memupuk generasi masa depan yang lebih utuh.

Ini, titah baginda, boleh dilakukan dengan menyediakan asas modal insan yang lebih baik, dengan perkembangan ketamadunan dan negara bergantung kepada sumber yang kukuh serta lestari.

"Meskipun terdapat keperluan untuk kita memupuk peneraju dengan perspektif global, namun begitu nilai, identiti dan semangat kekitaan Asia juga penting," titah baginda pada majlis jamuan malam Forum Presiden Universiti Asia (AUPF) ke-12 di sini malam tadi.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut berangkat ke majlis itu.

AUPF ke-12 selama empat hari sejak Sabtu lepas, menghimpunkan 67 presiden dan wakil institusi pengajian tinggi dari 22 negara Asia, dianjurkan oleh UniMAP dengan kerjasama Malaysian Higher Education Leadership Academy (AKEPT). Ia diadakan buat pertama kali di Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah, tanpa kesedaran moral berasaskan nilai Asia, peneraju Asia di masa depan boleh terjebak ke dalam kemerosotan sosial.

"Kita ingin menghasilkan siswazah yang dilengkapi pengetahuan serta kemahiran dan pada masa sama memiliki nilai moral dan etika," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah, dalam tahun-tahun kebelakangan, institusi pengajian tinggi dipasarkan sebagai sebuah industri yang berkembang di seluruh Asia namun setiap institusi perlu menyedari tanggungjawabnya bahawa menyediakan pendidikan adalah paling utama dan bukan meraih keuntungan daripada kemasukan pelajar.

Raja Muda Perlis juga berharap, institusi pengajian tinggi akan memberi keutamaan kepada pendidikan pelajar untuk menyepadukan pengetahuan mereka dengan kemahiran dunia sebenar misalnya komunikasi dan penyelesaian masalah.

Baginda turut menggesa agar negara Asia menggembleng usaha untuk menjadikan Asia destinasi terunggul bagi kecemerlangan pendidikan.

Turut hadir pada majlis jamuan itu ialah Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Husin; Presiden Dongseo University Republik Korea, Dr. Chang Jekuk dan Presiden Athlone Institute of Technology, Ireland, Prof Ciaran O'Cathain. - BERNAMA

Jangan salah guna bantuan Azam Tani - Mahadzir

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

SIK 9 Okt. - Peserta Azam Tani diingatkan supaya tidak menyalahgunakan bantuan yang diterima, selain berusaha keras meningkatkan ekonomi keluarga untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, program Azam Tani merupakan kesinambungan transformasi kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah bagi golongan miskin.

Justeru, katanya, peluang tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk merobah kehidupan masing-masing.

"Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan sentiasa mencari jalan dan caranya bagi membantu rakyatnya agar tidak terbeban dengan masalah ekonomi rumahtangga mereka.

"Rakyat juga perlu berusaha dan mencari jalan untuk menambah pendapatan supaya mereka dapat hidup dengan lebih sempurna dan selesa," katanya ketika merasmikan majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Latihan Pengendalian Makanan dan Penyerahan Bantuan Peralatan Peserta Azam Tani Daerah Sik di Sik Inn di sini baru-baru ini.

Program yang dikendalikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kedah dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu membolehkan 50 peserta mengikuti kursus pengendalian makanan.

Menurut Mahadzir, melalui latihan tersebut, peserta didedahkan dengan aspek pengendalian makanan dan minuman serta perlaksanaan dengan cara yang betul.

"Melalui kursus ini, dapat meningkatkan pengetahuan dan daya saing supaya peserta tidak ketinggalan dalam bidang yang diceburi," katanya.

Peserta, Som Sin Endin Tap, 47, yang menjalankan projek kedai makanan dan minuman di Kampung Baru Kura, Jeneri dekat ini melahirkan rasa gembiranya kerana terpilih mengikuti latihan tersebut serta menerima bantuan Azam Tani.

"Saya sangat gembira menjalani latihan pengendalian makanan dan minuman. Selepas ini saya boleh menjalankan projek kedai makanan dengan lebih giat lagi hasil bantuan barang Azam Tani yang diterima hari ini," kata Som Sin.

Ibrahim Mat Kasa, 43, dari Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Sungai Semiar, Jeneri turut melahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk menerima barangan Azam Tani yang berupa mesin rumput dan peralatannya.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana peka dengan masalah ekonomi rakyat. Dengan adanya mesin rumput ini bolehlah saya bekerja dengan lebih giat lagi untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.

Masalah pencerobohan nelayan di wilayah utara Semenanjung terkawal

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

PULAU PINANG 9 Okt. - Masalah pencerobohan nelayan asing dan bot pukat tunda di kawasan perairan utara Semenanjung masih terkawal dan tidak membimbangkan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa memantau dan membuat rondaan di kawasan-kawasan perairan negara.

"Kita sedar, penceroboh ini akan mengambil kesempatan sekiranya mempunyai peluang untuk menceroboh, oleh itu kita akan menempatkan bot penguat kuasa di kawasan yang telah dikenal pasti.

"Maritim Malaysia juga menyediakan bot peronda khas bagi membuat pemantauan dan menangkap nelayan yang melanggari sempadan perairan ditetapkan untuk menangkap ikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas pertandingan menembak anjuran Maritim Malaysia bersama pengamal media di Lapang Sasar Kelab Menembak Pulau Pinang di sini hari ini.

Kok Kwee dalam pada itu menambah, pihaknya telah mengenal pasti lokasi yang sering dicerobohi nelayan asing dan pelanggaran zon menangkap ikan oleh nelayan tempatan seperti di Teluk Bahang, Pulau Kendi, Teluk Kumbar dan Sungai Acheh dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved