Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Tikus: PBT diminta atasi kebersihan persekitaran

Posted: 10 Oct 2013 02:59 AM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 10 Okt. - Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menjalankan tanggungjawab mereka memastikan kebersihan persekitaran terutamanya kawasan berdekatan hospital, kediaman dan pejabat bagi mengelak pencemaran akibat populasi tikus.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, masalah pembiakan tikus yang kini dihadapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini adalah masalah universal yang akan berlaku apabila aspek kebersihan diabaikan banyak pihak termasuk orang awam.

Beliau berkata, pihak HUSM tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana apabila mereka sudah berusaha menjamin kebersihan dalam kawasan hospital, perkara sama tidak pula berlaku di luar pagar HUSM.

"Kalau anda ada fasiliti terbaik sekalipun tetapi persekitaran luar tidak dijaga maka tikus akan datang, tidak ada gunanya ada fasiliti lima bintang tapi masih ada masalah pelupusan sampah, sisa makanan dan sikap masyarakat yang suka buang sampah merata-rata.

"Isu utamanya adalah kebersihan, kerajaan tempatan kena bertindak dengan tegas supaya kawasan sekeliling hospital, pejabat, rumah awam bersih, kalau masalah itu tak dapat diselesaikan maka masalah ini bukan sahaja akan berlaku di Kota Bharu tapi di mana-mana sahaja.

"Kalau persekitaran bersih, sistem perparitan elok, sistem pengurusan sampah elok, maka tak akan timbul masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 'Minda Positif Di Usia 50-an' dan Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam ke-18 anjuran Jabatan Kesihatan negeri Kelantan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Beliau hadir mewakili Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam menyampaikan ucapan perasmian majlis tersebut.

Sebuah akhbar berbahasa Ingeris bermula Selasa lalu membuat pendedahan mengenai masalah populasi tikus di HUSM yang didakwa berlaku sejak 10 tahun lalu di mana haiwan mamalia itu dikatakan bebas berkeliaran dalam HUSM termasuk di dewan bedah. - UTUSAN ONLINE

Kemurungan penyakit nombor dua selepas jantung pada 2020

Posted: 10 Oct 2013 02:43 AM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 10 Okt. - Lebih ramai penduduk dunia diramal menghidap penyakit kemurungan menjelang tahun 2020.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) meramalkan bahawa kemurungan akan menjadi penyakit nombor dua teratas selepas penyakit jantung pada 2020 di peringkat global.

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia, kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan bahawa, seramai 340,000 atau 1.8 peratus orang dewasa negara ini menghidapi kemurungan manakala 320,000 orang (1.4 peratus) mengalami keresahan.

Jelasnya, berdasar kajian itu, golongan wanita didapati mengalami kadar kemurungan hampir dua kali ganda daripada lelaki iaitu 2.3 peratus berbanding 1.4 peratus.

Sehubungan itu katanya, pihak kementerian telah mengambil beberapa langkah terkini bagi mempromosikan kesihatan mental dalam kalangan penduduk, antaranya menubuhkan pusat-pusat kesihatan mental masyarakat di setiap negeri selain meningkatkan program saringan awal di semua klinik kesihatan.

"Sehingga kini, kerajaan sudah mempunyai empat institusi mental, 48 buah hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan psikiatri selain 252 pakar psikiatri di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan bertema 'Minda Positif Di Usia 50-an' dan Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam ke-18 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Malaysia, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman. - UTUSAN ONLINE

Laporan Audit: Kementerian minta penjelasan daripada IPTA

Posted: 10 Oct 2013 02:35 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Kementerian Pendidikan akan memanggil pihak pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berkenaan bagi memberi penjelasan mengenai ketirisan dalam pentadbiran masing-masing seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan satu mesyuarat diadakan pada Rabu bagi membincangkan perkara itu.

"Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pendidikan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan kita akan ambil tindakan sewajarnya dengan serta-merta.

"Kita akan menilai dan mencari punca mengapa ia berlaku dan mungkin kita kena ubah cara pemberian kerja, cara penyeliaan dilakukan dan sebagainnya supaya ia tidak berulang," katanya kepada Bernama selepas merasmikan 'Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mapan (SDNS) Malaysia" di kampus Universiti Teknologi Malaysia di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan audit yang antara lain, menyentuh kerugian dialami beberapa universiti tempatan ekoran proses pengurusan pembinaan yang kurang memuaskan.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Kamalanathan berkata institusi pengajian tinggi Malaysia memainkan peranan penting dalam penyelidikan penyelesaian pembangunan mapan, kerana ia memupuk warganegara dan bakal pemimpin bertanggungjawab.

"Institusi pengajian tinggi membangunkan individu berkemahiran tinggi yang terlibat dalam beberapa aspek pembangunan lestari yang paling kritikal dan mencabar termasuk cabaran sosioekonomi dan persekitaran.

"Mereka menjalankan penyelidikan penting dan menyediakan persekitaran kondusif yang melahirkan inovasi," katanya.

SDNS dilancarkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ban Ki-moon pada 9 Ogos, 2012 bagi tujuan membangunkan penyelesaian untuk menangani cabaran pembangunan mapan yang dihadapi di seluruh dunia.

Antara cabaran itu ialah penduduk berlebihan, makanan, keselamatan, populasi tidak seimbang, penebangan hutan dan masalah sosial.

SDNS Malaysia bertujuan menggalakkan inisiatif penyelesaian dan menggerakkan kepakaran saintifik dan teknikal dalam melaksanakan penyelesaian berorientasikan tindakan untuk pembangunan mapan jangka panjang. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved