Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


SPAD kaji tambang kereta sewa

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Pakar motivasi, Ramdan Mohd. Nor (kanan) memberi penerangan kepada pemandu-pemandu teksi di dalam Kursus Ulang Kaji Bagi Pemandu Teksi Selaku Duta Pengangkutan Awam di Iskandar Malaysia di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU 9 Okt. - Bagi mendapatkan maklum balas secara menyeluruh daripada orang ramai tentang kenaikan tambang teksi dan kereta sewa, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan beberapa langkah termasuk meletakkan borang kaji selidik di tempat tumpuan awam.

Ketua Wilayah SPAD Selatan, Mustafa Mohd. Jizat berkata, bagi negeri ini, borang kaji selidik itu akan ditempatkan di empat lokasi iaitu Larkin Sentral, JB Sentral, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTSI), Senai dan Terminal Bas Batu Pahat, bermula pertengahan bulan ini.

Beliau berkata, borang berkenaan diletakkan di lokasi berkenaan selama tiga bulan sebelum dikumpulkan semula dan diserahkan kepada ibu pejabat untuk dinilai serta direkodkan semua maklum balas dan pandangan yang diterima.

"Kali terakhir tambang teksi dan kereta sewa dinaikkan pada 2009 dan SPAD kini sedang mempertimbangkan sebarang kenaikan tambang tersebut.

"Sebab itulah kita memerlukan pelbagai maklum balas daripada semua pihak, sekali gus bagi mewujudkan suasana menang-menang bagi pengusaha dan pengguna supaya tiada pihak yang terbeban atau tertindas," katanya selepas program latihan Kursus Ulang Kaji Bagi Pemandu Teksi Selaku Duta Pengangkutan Awam di Iskandar Malaysia di sini hari ini.

Selain kaji selidik itu, SPAD juga akan mengadakan perbincangan dengan kumpulan fokus termasuk melibatkan pengusaha pengangkutan awam, jabatan terlibat dan beberapa pihak lain, katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Perancang Pengangkutan dan Pelaksanaan Projek, Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM), Azman Yahya berkata, latihan yang dianjurkan itu melibatkan 100 pemandu teksi Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ).

Beliau berkata, latihan itu dijalankan sebanyak tiga sesi dengan sesi pertama diadakan pada September lalu melibatkan 35 peserta, disusuli 1 Oktober (35 peserta) dan bakinya (30 orang) hari ini.

"Latihan ini merupakan lanjutan daripada kejayaan program yang sama dilakukan terhadap pemandu bas pada Mac lalu dengan kerjasama tiga syarikat bas yang melibatkan 151 peserta.

"Program latihan khas dianjurkan selama satu hari setengah itu menerapkan modul pembangunan insaniah dengan pendekatan berbeza dan bertujuan meningkatkan tahap kecekapan serta prestasi pemandu teksi selaku duta pengangkutan awam di Iskandar Malaysia," katanya.

Lipat gandakan hasil pertanian - Ismail

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

PAGOH 9 Okt. - Kerajaan negeri sedang berusaha melipatgandakan hasil pertanian dengan menyediakan pelbagai insentif melalui kerjasama dengan tujuh agensi dan jabatan berkaitan bagi menampung keperluan sumber makanannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, bagi memastikan usaha itu berjaya, program penerangan dan penjelasan tentang pembangunan pertanian termasuk melibatkan teknologi moden akan diberi kepada para petani.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, program itu akan melibatkan semua agensi berkaitan supaya usaha membangun pertanian berjalan secara sistematik dan berterusan bagi jangka masa panjang.

"Menerusi program atau majlis penerangan di kawasan-kawasan terpilih, kita akan beri penerangan tentang segala kemudahan bantuan dan insentif yang boleh diberikan, selain bimbingan dan bermacam-macam lagi perkara yang diperlukan.

"Buat permulaan, beberapa kawasan dalam Parlimen Muar dan Ledang diberi penerangan terlebih dahulu. Penerangan ini penting kerana ramai petani yang tidak mengetahui kemudahan atau insentif yang disediakan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Pembangunan Pertanian Daerah Muar dan Ledang di Dewan Serbaguna Kundang Ulu dekat sini hari ini.

Ismail berkata, petani perlu merebut peluang itu dimulakan di kawasan Kundang Ulu dalam tempoh terdekat dan pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi dibangunkan untuk tujuan pertanian.

Beliau memberitahu, sebarang bantuan, insentif, kemudahan atau keperluan yang diperlukan akan dirujuk kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Turut terlibat agensi seperti Pejabat Pertanian Daerah Ledang, Jabatan Veterinar Daerah Muar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pagoh/Bukit Gambir/Bukit Pasir dan Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Mereka yang mempunyai kawasan lapang di halaman rumah juga digalakkan menjalankan pertanian secara kecil-kecilan bagi menampung pengeluaran bekalan makanan seperti sayur-sayuran, tanaman kontan, buah-buahan dan ternakan yang bersesuaian," katanya.

Bagi mempercepat proses pembangunan pertanian itu, beliau berkata, Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pagoh akan digerakkan sepenuhnya supaya sasaran menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi di negeri ini tercapai.

"Kita harap kawasan di Parlimen lain dapat menubuhkan majlis pembangunan seperti itu dengan fungsinya yang lebih agresif," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved