Selasa, 20 Ogos 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Penjenayah tidak akan dibenar lancar perang kepada polis - KPN

Posted: 20 Aug 2013 10:39 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Polis tidak akan membenarkan mana-mana penjenayah khususnya kumpulan kongsi gelap yang didakwa akan melancarkan perang terhadap pasukan itu berikutan rasa tidak puas hati mereka berhubung tindakan menembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut menafikan wujudnya khabar angin yang mula tersebar mengenai ugutan penjenayah yang mahu membalas dendam terhadap polis.

"Apa yang tersebar itu hanya acah-acah pihak tertentu untuk takut-takutkan kita sahaja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis penganugerahan surat penghargaan kepada pengguna jalanraya ketika Op Selamat III yang lalu. - UTUSAN ONLINE

1.7 juta pemandu disenarai hitam berdepan lesen dibatal - KPN

Posted: 20 Aug 2013 10:10 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, seramai 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan menjelaskan tunggakan saman, bakal berdepan tindakan lesen memandu mereka dibatalkan.

Beliau berkata, tindakan itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat khususnya kepada penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersial ekoran peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Op Selamat III. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kelantan akur

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

Pemain Kelantan, Zairul Fitree diasak pemain Pahang pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. Keputusan terikat 1-1. - Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN - Hasrat juara bertahan, Kelantan mencari kemenangan pertama di tempat lawan gagal apabila sekadar seri 1-1 dengan Pahang dalam pembukaan saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Kelantan membuka tirai perlawanan menerusi ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi atau Piya setelah menyambar bola yang terkena R. Gobinathan sebelum menewaskan penjaga gawang, Mohd. Khairul Azhan seawal minit ke-8.

Tersentak dengan jaringan itu, Pahang berusaha bangkit menyamakan kedudukan dengan melakukan beberapa percubaan menarik, namun pertahanan pasukan pelawat sukar digugat.

Minit ke-85 menyaksikan Pahang berjaya memecahkan kebuntuan mencari gol penyamaan setelah pemain importnya, Damion Delano Stewart menanduk masuk bola ke gawang Kelantan hasil hantaran Mohd. Hafiz Kamal.

Terdahulu, separuh masa pertama menyaksikan Pahang hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-17 setelah Matias Ruben Conti menanduk bola ke gawang lawan selepas menerima hantaran lintang Mohd. Saiful Nizam, namun melewati palang gol.

Malah, usaha Tok Gajah mencari gol penyamaan terus buntu meskipun memperoleh peluang pada minit ke-41, apabila Amirul Hadi Zainal melakukan percubaan dengan merembat dari luar kotak penalti namun bola ditepis keluar oleh penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat.

Skuad Kelantan kendalian Bojan Hodak turut mengasak kubu tuan rumah menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-36, namun hampa.

Nasib malang menimpa pasukan Kelantan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd. Fakri Sharani menerima kad merah kerana mengasari Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-64.

Pahang juga turut menerima nasib sama setelah R. Surendren pula dilayangkan kad merah akibat tindakannya menendang Daudsu Jamaluddin pada minit-81.

Harimau Selatan rebah digigit Red Ants

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan DHIYA' ZULHILMI DAUD
sukan@utusan.com.my

Pemain PKNS, Patrick Ronaldinho (kiri) membuat percubaan sambil diasak pemain Johor Darul Takzim, Leonel Nunez pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi. - BERNAMA

SHAH ALAM - Langkah cemerlang yang diharapkan di bawah sentuhan jurulatih baharu, Azmi Mohamad bertukar menjadi bencana buat Johor Darul Takzim (Johor DT) apabila skuad Harimau Selatan itu tunduk kepada PKNS dengan keputusan 0-2 di Stadium Shah Alam, semalam.

Penyerang antarabangsa Liberia, Patrick Wleh Ronaldinho menjadi pemusnah kira-kira 3,000 penonton Johor DT yang hadir melalui gol pada minit ke-16 dan 57 malahan Harimau Selatan terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 30 minit terakhir permainan selepas penjaga gol, Muhd. Al-Hafiz Hamzah menerima kad merah.

Kekalahan itu pasti menambahkan lagi sengsara Johor DT yang baru sahaja kehilangan Fandi Ahmad apabila bekas jurulatih mereka itu meletakkan jawatan selaku pengurus pada dua hari lalu.

Ternyata sentuhan Azmi belum menjadi, malahan aksi Johor DT pada perlawanan semalam boleh dikategorikan sebagai tiada sentuhan pasukan juara dengan tahap permainan yang ditunjukkan oleh kebanyakan pemainnya seperti tidak bermotivasi dan kurang bersedia.

PKNS sedikit pincang di bahagian pertahanan apabila tidak dapat menurunkan Es Lizuan Zahid Amir dan terpaksa menggunakan khidmat tonggak veteran, Ahmad Azlan Zainal untuk menjadi rakan gandingan Mohd. Helmi Remeli.

Walaupun begitu, ia langsung tidak memberikan banyak masalah buat PKNS yang kelihatan lebih menyerlah sepanjang perlawanan sementara rentak Johor DT bagai serba tidak menjadi dengan dua pemain kebangsaan, Safiq Rahim dan Safee Sali sekadar memanaskan bangku simpanan.

Gol PKNS tercipta melalui satu serangan balas menarik pada minit ke-16 melalui Ronaldinho apabila percubaannya yang membias mengenai pertahanan mengelirukan Muhd. Al Hafiz Hamzah bagi meletakkan tuan rumah di hadapan.

Aksi Johor DT yang tidak bermaya pada babak pertama tanpa sebarang ancaman berbahaya yang menuju ke arah pintu gol PKNS dengan peluang terbaik diperolehi Leonel Nunez namun sepakan percumanya yang tepat ke arah pintu gol dapat ditampan oleh Mohd. Remezey Che Ros pada minit ke-39.

Langkah Harimau Selatan terus sumbang pada separuh masa kedua apabila jaringan penyamaan yang dicari gagal dijelmakan sebaliknya PKNS menggandakan kelebihan pada minit ke-57.

Berpunca daripada hantaran Mohd. Nazmi Faiz Mansor yang berjaya memintas pertahanan Johor DT, Ronaldinho bijak membaca gerakan bola yang ditujukan kepadanya sebelum mudah menewaskan Al Hafiz melalui sepakan leret.

Nasib Johor DT bagai jatuh ditimpa tangga apabila Al Hafiz dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Samsudin Ibrahim pada minit ke-61 gara-gara memegang bola di luar kotak penalti ketika cuba menahan pergerakan Ronaldinho.

Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, Harimau Selatan tetap cuba bangkit memberikan saingan tetapi mutu disiplin anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim menggagalkan segala usaha Johor DT mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol sagu hati sehingga berakhir perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Perak dekat Ipoh, tuan rumah menewaskan juara Liga Perdana, Sarawak 2-1.

Perlawanan sebelum itu terpaksa dihentikan selama 14 minit ekoran penyokong membakar mercun dalam stadium ketika meraikan gol tuan rumah pada minit ke-63.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Volvo sasar jualan berganda dengan V40

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Goran Larson (duduk) bersama Keith Schafer (tengah) dan pengurusan kanan Volvo bergambar pada majlis pelancaran Volvo V40 di Midvalley, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Ogos -Volvo Car Malaysia (VCM) menyasarkan jualan kenderaannya meningkat lebih sekali ganda kepada 1, 800 buah tahun hadapan dengan model terbaharu, V40 menyumbang 40 peratus daripadanya.

Pengarah Urusannya, Keith Schafer berkata, ketika ini, jualan tahunan jenama Volvo sekitar 700 hingga 750 buah dan V40 dijangka menjadi pemangkin peningkatan jualan bermula tahun ini.

"Untuk permulaan, kami menyasarkan mampu menjual 300 hingga 400 buah V40 dalam tempoh 12 bulan pertama dan bakal meningkat ke hampir 1, 000 buah menjelang tahun keduanya di Malaysia.

"Kami yakin model V40 mampu memenuhi cita rasa pemandu di Malaysia yang sentiasa menginginkan kereta yang selamat dan berprestasi tinggi, katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran model baharu berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, V40 yang termasuk dalam segmen C dipasang sepenuhnya di kilang VCM yang telah beroperasi sejak 46 tahun lalu di Shah Alam.

"Malaysia merupakan satu-satunya kilang Volvo di luar Eropah dan ketika ini telah memasang model S60, V60, S80, XC60, XC90 dan terbaharu V40.

"Kami juga mengeksport kenderaan dari kilang tersebut ke pasaran Thailand dengan kadar 500 buah setahun dan merancang meningkatkannya pada masa depan," jelasnya.

Sementara itu, V40 ditawarkan dalam tiga varian iaitu V40 T4, V40 T5 dan V40 Cross Country dengan harga masing-masing RM173,888, RM188,888 dan RM198,888 dengan jaminan selama lima tahun beserta lima tahun penyelenggaraan percuma termasuk alat ganti.

Antara ciri-ciri standard yang terdapat pada model ini adalah teknologi City Safety yang membolehkan kenderaan berhenti secara automatik ketika kelajuan di bawah 50 kilometer sejam (km/j) jika terdapat halangan, berbanding model sebelum ini yang berfungsi pada kelajuan di bawah 30 km/j.

Antara inovasi baharu yang ditawarkan adalah sistem maklumat titik buat (BLIS) yang dipertingkatkan, sistem amaran lalu lintas silang di bahagian belakang, sistem parkir automatik dan sistem keselamatan dengan penarafan lima bintang dariapda Euro NCAP.

Orang ramai kini boleh menempah V40 di sembilan pusat jualan Volvo di seluruh Semenanjung dan Sabah dengan jangkaan penghantaran dalam tempoh dua hari jika ditempah hari ini.

Naza Italia sasar jual 52 buah Ferrari tahun ini

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Dari kiri, David Hector Ratnaike, Simon Ingfield, Wan Ahmad Wan Abas dan Maruan Mohd. Said bersama model Ferrari FF versi 'Tailor Made' semasa majlis pelancarannya di Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 20 Ogos - Pengimport dan pengedar kereta mewah Ferrari, Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia) menyasarkan untuk menjual sebanyak 52 buah kereta Ferrari sepanjang tahun ini selepas melancarkan program buatan khusus reka bentuk dalaman kenderaan itu hari ini.

Pengurus Besarnya, Wan Ahmad Wan Abas berkata, permintaan terhadap kenderaan itu dijangka meningkat berikutan kuasa beli pelanggan di negara ini yang tinggi.

Katanya, para pelanggan juga dijangka memberi sambutan yang baik terhadap program buatan khusus tersebut.

"Program buatan khusus kami akan memberi lebih banyak pilihan eksklusif kepada para pelanggan di negara ini.

"Kos tambahan bagi buatan khusus ini dianggarkan RM500,000 dan kami menganggarkan sebanyak dua unit akan dibuat khusus setahun di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran program buatan khusus reka bentuk dalaman Ferrari di sini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Kanan Kumpulan Naza, Datuk Maruan Mohd. Said, Ketua Jualan ASEAN, Ferrari Timur Jauh, Simon Inglefield dan Pengurus Kanan Jualan Naza Italia, David Hector Ratnaike.

Program buatan khusus reka bentuk dalaman Ferrari telah dilancarkan di peringkat dunia di Korea Selatan, Julai lalu.

Terdapat lima jenis model Ferrari ditawarkan kepada pelanggan di negara ini setakat ini iaitu Ferrari California dengan harga RM1.7 juta (termasuk cukai atas jalan), Ferrari 458 Italia (RM2.1 juta), Ferrari 458 Spider (RM2.2 juta), Ferrari FF (RM3.2 juta) dan F12berlinetta (RM3.2 juta).

Ketika ditanya mengenai jumlah pemilik Ferrari di negara ini, kata Wan Ahmad, Malaysia mempunyai kira-kira 600 unit Ferrari yang mana 70 peratus daripada pemiliknya berada di Lembah Klang.

Katanya, sebanyak 150 ahli telah mendaftar dengan Kelab Ferrari Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


400 rumah PGBF di Maran

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Ismail Abdul Muttalib menandatangani plak perasmian Dewan Semai Bakti Felda Jengka 6 bernilai RM800,000 di Maran, baru-baru ini.

MARAN 20 Ogos - Felda bersetuju membina 400 unit rumah Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di empat tanah rancangan agensi itu dalam kawasan Parlimen Maran tahun ini.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, projek itu merupakan satu usaha berterusan kerajaan melalui Felda bagi menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada anak peneroka yang tinggal dalam tanah rancangan.

Menurutnya, antara tanah rancangan terpilih ialah Felda Jengka 1, Jengka 2, Jengka 6 dan Felda Tajau yang dianggap sebagai projek perintis PGBF dalam Parlimen Maran yang mengandungi 12 tanah rancangan Felda.

"Felda komited membina rumah di bawah PGBF di semua tanah rancangan Felda seluruh negara secara berperingkat bagi memenuhi keperluan kediaman kepada generasi baharu yang berkeluarga.

"Pembinaan itu akan dibuat mengikut fasa kerana membabitkan kos tinggi dan kekurangan kontraktor berwibawa bagi melaksanakan projek berkenaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Semai Bakti bernilai RM800,000 dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Felda Jengka 6 di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Sapie Embong; Pengurus Felda Jengka 6, Mohamad Radzi Rahmat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Jengka 6, Saharuddin Lela.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, projek di empat tanah rancangan itu kini dalam pemilihan kontraktor dilantik Felda iaitu setiap unit rumah yang dijual lebih rendah berbanding harga pasaran.

Dalam pada itu, beliau menyeru anak peneroka merebut peluang ekonomi di luar tanah rancangan seperti di Kuala Lumpur dan bandar besar lain.

Katanya, negara itu banyak membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perniagaan, hartanah dan perindustrian tetapi telah direbut oleh pihak lain khususnya warga asing.

"Kebanyakan anak peneroka yang berpendidikan menengah, memiliki ijazah dan mengikuti latihan kemahiran perlu merebut peluang bersaing dalam pasaran pekerjaan,'' katanya.

Katanya, golongan itu yang tinggal di tanah rancangan pula perlu diberi peluang mendapat rumah PGBF bagi meneruskan usaha ibu bapa mereka dalam peladangan dan pertanian.

Siasatan pegawai polis miliki dadah diteruskan

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Sharifuddin Ab. Ghani (kanan) bertanya sesuatu kepada penderma darah dalam Program Derma Darah anjuran Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 20 Ogos - Polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu dalam dompet seorang pegawai polis di negeri ini yang parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, siasatan masih di peringkat awal berikutan keadaan pegawai berkenaan belum stabil dan tidak boleh bercakap.

"Polis belum mengambil keterangan pegawai berkenaan berikutan kecederaan parah yang dialaminya. Beliau mengalami pendarahan pada bahagian dalaman perut selain patah lutut kiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Derma Darah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sebuah kompleks beli-belah di sini hari ini.

Akhbar pada Sabtu lalu melaporkan serbuk dan ketukan kristal seberat 0.8 gram itu ditemukan pihak hospital ketika pegawai berkenaan yang cedera parah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) selepas kereta dipandunya melanggar belakang lori treler membawa muatan konkrit pada pukul 7 pagi Jumaat.

Menurut Sharifuddin, kes ini disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau dalam pada itu berharap pegawai berkenaan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan tidak sihat memandangkan beliau seorang yang cukup dedikasi ketika menjalankan tugas.

Kekalkan keamanan, perpaduan

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

MARAN 20 Ogos - Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara membuktikan bahawa keamanan yang dikecapi selama ini perlu dipertahankan demi kelangsungan perpaduan rakyat pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, dalam suasana aman dan harmoni, rakyat pelbagai kaum bebas merayakan agama masing-masing tanpa rasa bimbang dicederakan.

"Dalam suasana menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, rakyat perlu bersama menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan yang akan diraikan pada pada hujung bulan ini," katanya ketika berucap dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentol di Felda Jengka 3 di sini kelmarin.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail bersama 10,000 pengunjung hadir dalam majlis itu.

Katanya, perayaan itu membuktikan semangat perpaduan rakyat bertambah erat dan seharusnya dipertahankan sekali gus menyukar pihak tertentu menggugat keamanan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Ibu didakwa aniaya, dera anak secara kejam

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Chong Mee Chin dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan dan mendatangkan kecederaan terhadap anaknya di Mahkamah Majistret, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 20 Ogos - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan penganiayaan dan mendera anak perempuannya yang berusia lima tahun secara kejam, sembilan hari lalu.

Chong Mee Chin, 30, dari Taman Wang, Menglembu di sini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Suhaima Mohd. Nor kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Mee Chin yang memakai baju lokap warna ungu dilihat bersahaja serta menggelengkan kepala tanda mengaku tidak bersalah ketika jurubahasa bertanyakan pengakuan berhubung pertuduhan berkenaan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Ketika ini kanak-kanak malang berkenaan masih berada dalam keadaan koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Keadaannya dilaporkan semakin kritikal dan bergantung kepada mesin bantuan hayat.

Ekoran keadaan mangsa itu, mahkamah memerintahkan Mee Chin supaya tidak mendekati anaknya, meskipun tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin.

Suhaima juga mengarahkan wanita itu menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan dekat sini selama sebulan sementara menunggu sebutan semula kes pada 20 September ini.

Mee Chin didakwa melakukan penganiayaan ke atas anaknya itu dengan memukul kepala dan seluruh badannya menggunakan sebatang rotan di ruang tamu rumah nombor 19, Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu di sini kira-kira pukul 9 pagi, 12 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Mee Chin didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md. Yusof mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Terdahulu, Muhammad Fauzi memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin atas alasan kes tersebut mendapat perhatian ramai selain risiko wanita berkenaan mencederakan semula anaknya.

''Kes penderaan juga semakin meningkat di negara ini. Selain itu, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan serius kepada mangsa yang kini dalam keadaan koma dan dirawat di HRPB. Ini adalah kesalahan serius dan kritikal.

''Justeru, permohonan ini dibuat untuk menghalang sebarang perbuatan baru tertuduh terhadap mangsa memandangkan jika jaminan diberikan tertuduh berkemungkinan akan pergi kepada kanak-kanak berkenaan,'' katanya.

Peguam Chong Kok Yew yang mewakili tertuduh pula menyatakan, dalam keadaan kanak-kanak tersebut sedang dirawat di ICU, sudah tentu pihak hospital mengeluarkan perintah tidak membenarkan sesiapa melawatnya.

Beliau turut memohon mahkamah membatalkan pertuduhan kedua atas alasan Seksyen 325 Kanun Keseksaan adalah tidak sah memandangkan ia adalah seksyen hukuman dan sepatutnya pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 322 kanun yang sama.

''Mahkamah perlu membuat keputusan sama ada pertuduhan di bawah Seksyen 325 boleh berdiri sendiri atau sebaliknya.

''Tertuduh yang menghidapi tekanan mental juga mengakui ada merotan anaknya di bahagian kaki dan tangan tetapi bukan di kepala. Oleh itu, dia memohon supaya dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk menjalani ujian psikiatri,'' katanya.

Muhammad Fauzi kemudian menjelaskan, pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan adalah sah kerana Seksyen 322 kanun yang sama hanyalah seksyen huraian kepada seksyen berkenaan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Suhaima mengarahkan pihak pembelaan membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung bantahan mengenai pertuduhan itu.

Sementara itu, suami kepada Mee Chin berusia 39 tahun, sebelum ini turut direman bagi membantu siasatan bagaimanapun tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini, sebaliknya menjadi saksi utama pihak pendakwaan.

Pada 16 Ogos lalu, Pegawai Perubatan HRPB, Dr. Mohd. Safwan Adnan yang merawat kanak-kanak itu membuat aduan kepada polis selepas mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai didera.

Anak kedua daripada tiga beradik itu dibawa ke hospital oleh bapanya.

Susulan laporan polis itu, ibu bapa kanak-kanak itu direman lima hari mulai Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes itu.

Dua didakwa miliki dokumen, buku berkaitan Syiah

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

NUR Azah Abdul Halim di Mahkamah Rendah Syariah Taiping, Perak, semalam.

TAIPING 20 Ogos - Dua individu termasuk seorang doktor wanita dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak kerana memiliki dokumen dan buku berkaitan ajaran Syiah, pada awal bulan ini.

Dr. Nur Azah Abdul Halim, 41, dan Mohammad Ridzuan Yusof, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Syarie, Azman Saad.

Pengakuan tersebut disambut dengan ucapan 'Alhamdulillah' oleh kira-kira 50 orang awam dipercayai pengikut fahaman itu yang telah memenuhi ruang mahkamah sejak awal pagi lagi.

Mengikut pertuduhan, Nur Azah didakwa telah melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis di No 41, Jalan Medan Kamunting, Medan Kamunting dekat sini pada 5 Ogos lalu.

Mohammad Ridzuan pula didakwa melakukan kesalahan serupa pada tarikh yang sama di sebuah rumah di No. 125 Lorong Jelutong, Kampung Jana Sambungan, Kamunting dekat sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Pendakwa Syarie, Mohammad Syamil Azizan mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Azman membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin iaitu jumlah sama yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini.

Beliau menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Pada 5 Ogos lalu, kedua-dua tertuduh telah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh atas tuduhan itu bagi tujuan ikat jamin di hadapan Hakim Syarie, Muhammad Taifor Ahamad Rusdi.

Mengikut laporan akhbar, kedua-dua mereka telah ditahan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), 5 Ogos lalu di sini selepas menyerbu dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.

Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996.

Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Perak pada 4 Januari 2012 antara lain menyebut orang Islam dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen.

Selain itu, orang Islam dilarang menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi apa jua kemudahan dan bantuan.

Apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas perlu dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.

Sementara itu, galeri awam mahkamah hari ini penuh sesak dengan orang ramai yang disyaki pengikut fahaman berkenaan yang ingin mengikuti perkembangan kes tersebut.

Mereka juga dilihat berbuat bising dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan antaranya 'mahkamah paria' dan 'mahkamah mengarut' semasa prosiding berjalan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Tiga dibunuh pengebom berani mati di Afghanistan

Posted: 20 Aug 2013 10:50 AM PDT

KABUL 21 Ogos - Tiga orang termasuk seorang anggota polis terbunuh apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di bandar Puli Alam, timur Afghanistan semalam.

Lapan orang lagi turut cedera di dalam insiden yang mensasarkan kenderaan keselamatan tersebut.

NATO berkata, salah seorang yang terbunuh merupakan anggota mereka yang berkhidmat di timur Afghanistan, namun tiada maklumat lanjut tentang mangsa yang terlibat. - AGENSI

Taiwan bersiap sedia hadapi ribut

Posted: 20 Aug 2013 10:44 AM PDT

TAIPEI 21 Ogos - Taiwan telah memindahkan 1,000 orang pelancong dan mengatur kedudukan tenteranya sebagai persedian menghadapi Ribut Tropika Trami.

Pusat Biro Cuaca berkata, ribut tersebut kini terletak pada jarak 590 kilometer di timur-tenggara Taipei, bertiup dengan kadar kelajuan 126 kilometer sejam, dan dijangkakan akan membawa hujan lebat mulai pada malam Selasa.

"Bermula malam ini, akan ada hujan lebat atau sangat lebat di kawasan-kawasan pergunungan di timur dan barat.

"Impaknya akan dirasai bermula pada malam Rabu sehingga ke pagi hari Khamis, kata Pusat Biro Cuaca dalam satu kenyataan hari ini. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Shah Rukh Khan, Madhuri jayakan konsert di KL

Posted: 20 Aug 2013 02:31 AM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Datuk Shah Rukh Khan dan Madhuri Dixit akan menjayakan konsert Temptation Reloaded Oktober ini.

Konsert anjuran 2Spicy Entertainment dan Hitman Solution itu akan berlangsung mulai 7.30 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Oktober ini.

Selain pasangan lakonan dalam filem Dil To Pagal Hai, turut memeriahkan konsert itu kelak adalah penyanyi Yo! Yo! Honey Singh.

Menurut wakil Hitman Solutions, Rohit Rampal, pihak mereka masih lagi menunggu jawapan daripada beberapa artis terkenal lain untuk memeriahkan konsert yang dijangka berlangsung selama tiga jam itu.

"Selewat-lewatnya hujung minggu ini baru kami dapat pengesahan siapa artis lain yang bakal turut serta dalam konsert yang pasti menakjubkan itu," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Katanya tiket-tiket yang berharga dari RM99 hingga RM1,999 akan mula di jual di rangkaian Rock Corner di The Gardens dan Mid Valley bermula 23 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE

Black pilih 13 September tarikh pernikahan

Posted: 20 Aug 2013 02:08 AM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

BLACK

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Setelah sekian lama berteka-teki akhirnya penyanyi, Black memilih 13 September depan sebagai hari pernikahannya dengan wanita pilihan, Naquia Yasirah Mohd. Khairi, 28.

Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah, 26, majlis pernikahan dan resepsi akan dilangsungkan di Zebra Square, di sini manakala majlis keraian turut diadakan pada 15 September di Padang PPR Kerinchi.

"Saya memilih hari Jumaat untuk bernikah dan sehari selepas itu majlis resepsi pula akan menyusul.

"Tidak melupakan penduduk di kawasan Pantai Dalam, ayah saya akan turut menganjurkan majlis keraian pada 15 September yang terbuka buat semua peminat," katanya pada sidang akhbar mengumumkan tarikh perkahwinannya itu di sini hari ini.

Menurut Black, dia hanya mengenali bakal isterinya itu selama dua bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Nasib artis terus terbela

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

BAGI golongan artis, penubuhan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), badan khusus bagi menjaga kebajikan mereka adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.

Yayasan yang ditubuhkan sejak 25 Jun 2012 berperanan menyalurkan bantuan kewangan terutama kepada artis veteran yang sakit dan meninggal dunia.

Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, AIZZUL A. MAJID baru-baru ini, Presiden yayasan itu, DATUK D.J. DAVE, 66, menceritakan bagaimana tercetusnya idea menubuhkan yayasan berkenaan dan susah payah yang dihadapi pihaknya bagi memastikan ia dapat terus beroperasi membela nasib artis tempatan.

UTUSAN: Bagaimanakah bermulanya idea menubuhkan yayasan ini?

D.J. DAVE: Sebenarnya idea ini tercetus ketika saya pergi melawat rakan-rakan artis yang sedang sakit dan yang telah meninggal dunia.

Ketika itu saya terfikir kenapa saya tidak membuat sesuatu untuk membantu artis-artis yang seperjuangan dengan saya yang telah lama menghiburkan orang ramai.

Artis-artis ini sebenarnya turut memberi sumbangan kepada pembangunan negara, tetapi saya lihat peranan mereka telah dilupai dan tidak mendapat pengiktirafan.

Pada masa itulah, saya membuat keputusan untuk menubuhkan yayasan, supaya nasib artis terbela. Salah satu syarat untuk menubuhkan yayasan adalah ia perlu mempunyai dua individu sebagai pemegang amanah.

Setelah bertungkus lumus selama lapan bulan, akhirnya saya berjaya mendaftar yayasan ini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 25 Jun 2012. Selain saya, seorang lagi pemegang amanah adalah Datuk M. Nasir yang turut bertindak sebagai Naib Presiden. Exco-exco pula terdiri daripada Datuk Yusuf Haslam, Datuk A. Rahman Hassan, Kanaga dan Nancie Foo.

Kita adalah yayasan untuk membantu artis semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama. YA1M berbeza berbanding persatuan artis lain kerana kita memberi tumpuan untuk menjaga kebajikan artis dan tidak membuka keahlian secara langsung.

Mereka yang ingin memohon bantuan perlu menjadi ahli persatuan artis seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita).

Kenapa tumpuan diberikan bagi membantu artis veteran?

Ini kerana artis baharu, pendapatan mereka sekarang boleh dikatakan agak lumayan. Misalnya, satu persembahan mereka boleh dapat RM5,000 atau RM10,000.

Artis veteran pula walaupun telah lama berkecimpung dalam industri hiburan, pendapatan mereka ketika itu tidaklah banyak seperti sekarang.

Apabila artis veteran ini sudah berusia, mereka tidak mempunyai wang simpanan yang banyak untuk menyara hidup dan keadaan mereka juga mungkin cukup daif apabila tiada anak-anak untuk menjaga mereka.

Cukup malang sekali, para artis tidak mempunyai caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans. Artis veteran juga tidak mendapat pencen. Bagaimanapun, kita akan menolong artis baharu jika mereka sakit.

Pihak manakah yang menyumbang dana kepada yayasan?

Semasa saya mengadakan konsert Journey Through Song - Ingin Bersua di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga hari dari 1 Jun sehingga 3 Jun 2012 saya telah menetapkan hasrat kalau ada wang lebih daripada jualan tiket dan sumbangan penaja, saya akan memberi RM50,000 daripada wang saya kepada YA1M.

Alhamdulillah saya berjaya mengutip sedikit sebanyak dana terutama dengan sokongan daripada Celcom, Mah Sing Group dan Sogo. Lepas saya tolak semua perbelanjaan, saya dapat menderma jumlah yang dihasratkan kepada yayasan.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sangat prihatin dengan nasib golongan artis ketika melancarkan yayasan pada 11 November 2012 telah mengumumkan dana RM5 juta kepada pihak kami untuk tempoh dua tahun.

Jumlah sebanyak RM2 juta dalam bentuk geran telah diterima kita pada tahun lalu. Wang berkenaan sudah pun digunakan dan kita telah membuat permintaan pada tahun ini untuk mendapat dana selebihnya sebanyak RM3 juta.

Bagaimanakah dana RM2 juta ini dibelanjakan?

Dalam tempoh 10 bulan beroperasi, kita telah menyalurkan bantuan kewangan kepada 400 artis. Kita mengenal pasti artis-artis yang memerlukan bantuan melalui persatuan yang mewakili golongan berkenaan yang kebiasaannya akan menelefon kita.

Selain melalui persatuan, artis yang memerlukan bantuan juga boleh datang sendiri ke pejabat yayasan di No. 62A, Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur atau menelefon 03-22721080. Setiap bantuan yang dipohon perlu mempunyai surat pengesahan daripada mana-mana persatuan artis.

Turut layak menerima bantuan adalah artis Singapura yang berkecimpung dalam industri seni tanah air dengan syarat mereka telah lama menetap di negara ini dan mendapat taraf penduduk tetap Malaysia.

Bila ada artis yang sakit dan dimasukkan ke hospital, kita akan memberikan wang RM2,000 dan jika artis meninggal dunia, kita akan memberikan RM3,000 kepada keluarga mereka.

Mana-mana artis yang telah mencapai usia 60 tahun akan diberikan sagu hati RM2,000 sebagai penghargaan kepada mereka dan jumlah ini adalah jauh lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kita juga memberikan bantuan kewangan kepada artis yang ditempatkan di rumah orang tua seperti pelakon drama bersiri Empat Sekawan, Hoi Yuen Yuen, 60. Turut diberi bantuan adalah artis Sabah dan Sarawak yang telah banyak berjasa dalam menghiburkan masyarakat.

Jika ada artis sakit yang memerlukan bantuan dari segi peralatan seperti alat penyaman udara, kita juga akan memberikan sumbangan.

Bagaimanapun, bantuan kita tidak melibatkan sumbangan kepada artis yang mengalami kesempitan hidup atau miskin. Ini kerana kalau kita menolong, mereka akan menjadi terlalu selesa dan tidak mahu bekerja. Setiap artis perlu bekerja. Kemiskinan itu datang daripada kita sendiri, terutama apabila kita malas nak bekerja. Itu tak bolehlah. Kerajaan pun tak menggalakkan sikap seperti ini.

Bagaimana Datuk melihat prestasi yayasan sekarang?

Sebenarnya, saya telah meletakkan sasaran supaya YA1M diuruskan dengan cara yang sangat profesional dan dalam masa sama mengamalkan budaya berjimat cermat.

Antaranya kita telah melantik akauntan dan juruaudit antarabangsa iaitu KPMG untuk memantau semua pengeluaran dana. Saya sedar ini adalah duit kebajikan, yang bukan duit saya, tetapi diamanahkan kepada saya.

Sebagai langkah berjimat cermat, saya dan lain-lain Exco bekerja secara percuma dan tidak menerima sebarang gaji. Hanya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yayasan dan beberapa kakitangan sahaja yang dibayar gaji.

Pejabat kita juga disewa dengan kadar yang cukup rendah iaitu RM2,000 sebulan. Apabila baru masuk ke pejabat ini kita perlu melakukan pengubahsuaian dan untuk menjimatkan kos kita telah membuat tender terbuka dan pembida yang menawarkan harga paling rendah yang telah dipilih. Perabot juga semuanya kita beli sendiri dari IKEA kerana harganya lebih rendah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM17,000.

Kita memang berkira kerana mahu menjimatkan wang, untuk membolehkan sebanyak mungkin dana digunakan bagi membantu artis.

Apakah perancangan bagi menambah dana?

Kita sedar dana ini akan habis kalau tidak dijaga dengan baik. Sebab itu kita akan mengadakan konsert yang menampilkan 10 artis yang mempunyai nama bagi mengutip dana pada 3 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Orang perseorangan dan syarikat korporat yang ingin menyumbang boleh membeli meja-meja yang dijual pada majlis berkenaan pada harga RM5,000; RM10,000; RM50,000 dan RM100,000.

Selain itu, saya juga berharap artis baharu yang mempunyai wang lebih, dermalah kepada yayasan. Belilah meja, kerana mereka juga akan menjadi tua satu hari nanti. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka apabila tua nanti dan mereka mungkin akan memerlukan bantuan yayasan. Kalau mereka adakan konsert, bagilah sikit kepada kita.

Saya juga telah menulis kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi meminta mereka supaya memberikan pengecualian cukai kepada syarikat yang menyumbang wang kepada yayasan.

Apakah isu lain yang menghimpit artis?

Ketika Perdana Menteri melancarkan yayasan pada tahun lalu saya telah membangkitkan beberapa perkara. Antaranya saya kata, eloklah kalau artis ini mendapat pencen selepas mereka mencapai umur 60 tahun.

Perdana Menteri yang memberikan maklum balas segera telah menjelaskan, pencen untuk artis agak susah untuk dilaksanakan kerana sukar untuk menentukan kadar yang munasabah kerana setiap artis memberi sumbangan yang berbeza-beza, misalnya ada yang menghasilkan satu album dan ada pula mungkin mempunyai 30 album. Sebab itu, beliau memutuskan artis yang mencapai usia itu diberi bantuan kewangan sekali pada 2012 dan sekali lagi pada 2013.

Kedua, saya juga meminta kerajaan memperkenalkan insurans untuk golongan artis. Saya dengar cadangan ini telah diluluskan oleh kementerian berkenaan yang akan melibatkan semua artis yang telah mencapai usia 55 tahun.

Ketiga, saya telah meminta pengagihan royalti yang kini tidak munasabah dikaji semula supaya menepati piawaian antarabangsa. Sekarang artis mendapat sangat sedikit dan komposer yang mendapat lebih banyak.

Contohnya, katakan saya telah menghasilkan 40 album. Kalau ikut standard antarabangsa saya tidak perlu bekerja kuat lagi kerana boleh hidup dengan bayaran royalti sahaja. Tetapi ini tidak berlaku sekarang dan jumlah yang saya terima sangat sedikit.

Apa yang saya perjuangkan ini bukan untuk diri saya kerana saya sudah pun berusia 66 tahun. Sebaliknya saya harap, apa yang saya lakukan ini akan memberi manfaat kepada artis-artis baharu.

Boleh komen sikap artis muda yang boros berbelanja?

Inilah masalahnya apabila mereka mendapat pendapatan RM20,000 sebulan, mereka berbelanja RM25,000. Ini menyebabkan mereka terpaksa berhutang dan mengalami perbelanjaan defisit. Sepatutnya sebahagian wang itu disimpan untuk perbelanjaan hari tua atau dilaburkan ke dalam amanah saham.

Sebab itu kita juga bercadang untuk mengadakan seminar bagi meningkatkan kesedaran artis muda mengenai bagaimana caranya untuk menguruskan wang mereka. Seminar ini juga akan turut memberi pendedahan kepada artis mengenai perlunya mereka membeli insurans dan menguruskan kesihatan mereka dengan sebaik mungkin. Saya harap mereka dapat hadir kerana ia akan diadakan secara percuma.

Apakah nasihat kepada artis yang terjebak dalam aktiviti tidak bermoral?

Imej seorang artis adalah sangat penting kerana mereka akan menjadi contoh kepada masyarakat. Apabila menyentuh soal imej, ia sudah tentu melibatkan soal moral. Kalau moral kita tidak baik, ia akan memberi mesej yang salah kepada umum. Rakyat sepatutnya dapat mempelajari sesuatu yang baik daripada kita, bukannya perkara-perkara yang tidak baik.

Satu lagi perkara penting yang boleh menjejaskan imej artis adalah soal disiplin termasuk dalam cara kita berpakaian. Ingatlah, mana-mana artis yang tidak berdisiplin, mereka tidak boleh bertahan lama dalam industri hiburan.

Kira selesaikah sekadar memohon maaf?

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Oleh Fauziah Arof

"DIA sudah meminta maaf. Dia minta maaf kepada semua kaum wanita tahu tak? Bila orang sudah meminta maaf, maafkanlah dia. Inikan Hari Raya."

Itu kata-kata seorang rakan lelaki yang tiba-tiba masuk mencelah perbualan saya dan beberapa rakan wanita lain apabila kami membincangkan mengenai kenyataan maaf seorang penjawat awam yang kesnya kini dibawa ke mahkamah setelah aksinya memukul bertubi-tubi dan menendang isteri di depan anak-anak dirakamkan di dalam lif di sebuah hospital.

Rakaman yang telah tersebar luas di media-media sosial itu memang menggemparkan semua. Satu Malaysia boleh menyaksikan bagaimana seorang wanita disepak terajang oleh seorang lelaki hingga keluar lif.

Dan apabila kenyataan maaf dibuat oleh lelaki yang dituduh memukul sehingga mendatangkan kecederaan wanita itu di luar mahkamah, sudah tentu ia menimbulkan banyak reaksi dan persepsi yang bermacam-macam.

Sebagai ahli masyarakat yang menyaksikan rakaman tersebut, soal mencampuri urusan rumahtangga orang lain bukan lagi menjadi isunya apabila melihat tangan dan kaki digunakan untuk menyakiti tubuh badan wanita tersebut. Ini adalah soal keganasan yang membabitkan soal nyawa dan keselamatan yang perlu diberi perhatian.

Namun, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai kes ini. Sudah jadi kes mahkamah. Biarlah ia diselesaikan melalui peruntukan undang-undang. Kita biarkan mahkamah yang arif menentukan nasib si suami ini. Dan biar apa yang berlaku menjadi iktibar kepada pasangan berkenaan dan kita semua.

Yang menjadi isunya sekarang, kes-kes yang membabitkan keganasan dan penderaan wanita dikatakan semakin meningkat dan cara mangsa-mangsa itu disakiti memang tidak berperikemanusiaan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, kes keganasan terhadap wanita di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12 peratus apabila 2,576 kes dilaporkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 2,295 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan tersebut membimbangkan kerana jenayah berkenaan tidak mengenal mangsa sama ada wanita dewasa mahupun kanak-kanak perempuan.

Kini kita pun sudah biasa mendengar, kes-kes keganasan suami memukul isteri dengan macam-macam objek tali pinggang, kayu, besi atau dengan menyimbah asid, ada yang tergamak membakar isteri, membelasah teruk teman wanita dengan tangan, tukul dan macam-macam lagi.

Ini adalah satu penyakit yang amat serius di mana wanita dan anak-anak kecil dijadikan tempat untuk lelaki yang sering dikaitkan dengan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi berbanding wanita, untuk melepaskan perasaan marah.

Jika hendak mengajar pun, patutkah sampai kaki dan tangan naik ke tubuh badan seorang wanita? Apatah lagi seorang isteri sepatutnya dilindungi oleh suaminya daripada segala ancaman. Justeru mana-mana kes keganasan terhadap wanita tidak sepatutnya didiamkan. Ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa agar kita tidak menghalalkan perbuatan seperti ini.

Mungkin ada banyak lagi kes keganasan yang dipendamkan atas sebab rasa sayang, takut atau menyerahkan nasib kepada takdir. Inilah masalahnya. Mangsa sendiri yang seolah-olah menggalakkan lelaki yang tidak dapat mengawal perasaan marah ini bertindak dengan sesuka hati. Mereka ini hanya berani menunjuk kuat dan berlagak samseng pada wanita dan kanak-kanak.

Justeru Program Respek Wanita yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diharapkan memberi kesan yang positif dan dapat mengekang kes jenayah keganasan terhadap wanita.

Sebelum-sebelum ini pun, kita sudah ada banyak kempen kesedaran yang membabitkan penderaan.

Tetapi itulah, berapa banyak pun kempen kesedaran yang diadakan oleh kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak kiralah program kesedaran mengenai penderaan, pencegahan jenayah atau kempen jalan raya, ia selalunya dipandang remeh oleh kebanyakan daripada kita. Sebabnya, tentulah tiada kepentingan dan tidak kena pada batang hidung sendiri.

Dan banyak kes lain yang bukan membabitkan kes penderaan pun tidak boleh dianggap selesai bila orang yang melakukan perbuatan itu atau mengeluarkan kenyataan yang sensitif yang menyentuh kepentingan mana-mana kaum di negara ini misalnya, meminta maaf. Jika semuanya boleh selesai dengan cara minta maaf, apa perlunya undang-undang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Nyawa jadi taruhan?

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

Wan Rozita Wan Sulong menunjukkan butang lif yang rosak akibat perbuatan vandalisme di PPR 102 Seri Pantai, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Dengan hanya satu sentuhan jari ke butang, pengguna lif sudah boleh berada di puncak tertinggi bangunan kerajaan, syarikat swasta, pasar raya terkemuka atau perumahan bertingkat.

Ternyata, lif bukan calang-calang fungsinya kerana kemudahan tersebut boleh diibaratkan sebagai nadi kehidupan kepada orang ramai bagi menggantikan tangga.

'Pesawat pengangkat' itu merupakan kemudahan yang sentiasa membantu bukan sahaja orang normal tetapi orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu mengandung mahupun kanak-kanak.

Namun jika sistem operasi lif, penyelenggaraan dan alat-alat keselamatan yang dipasang di situ gagal berfungsi, ia bertukar menjadi sebaliknya.

Ibarat nyawa jadi taruhan begitulah kejadian seorang murid tahun lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di ibu kota maut tersepit lif rosak pada 17 Julai lalu perlu dijadikan pengajaran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa Khairul Amir Azri Lani, 11 maut akibat tersepit dalam lif yang tiba-tiba rosak sewaktu pulang dari sekolah.

Kelemahan pemantauan dan kegagalan kontraktor lif mematuhi skop kerja-kerja penyelenggaraanmengikut kontrak boleh menyumbang kepada kerosakan.

Malah, kekerapan operasi lif yang tinggi dan membawa muatan berlebihan dalam satu-satu masa juga tidak menolak kemungkinan yang boleh membawa kepada kerosakan.

Tetapi, satu perkara yang sering dikatakan mengganggu kelancaran operasi lif adalah perbuatan vandalisme.

Kurangnya keprihatinan penghuni menjaga lif seperti hak mereka sendiri menyebabkan ramai yang tidak ambil kisah terhadap aspek penjagaan kemudahan itu.

Difahamkan, kerosakan lif lebih banyak melibatkan pintu lif dan selebihnya kerosakan peralatan kerana dicuri atau dirosakkan.

Tambahan pula, sikap pengguna yang membawa motosikal menaiki lif, lif dibakar, menjadi tempat pembuangan sampah, mencuri butang dan getah pintu serta kanak-kanak bermain 'buka tutup' pintu turut menyumbang kepada kerosakan.

Bagaimanapun, sekiranya anda terperangkap dalam lif, jangan tekan loceng berkali-kali, jangan panik dan cuba mengetuk pintu berkali-kali kerana ruang udara di dalam lif kini membolehkan anda bernafas sehingga bantuan tiba.

DBKL peruntuk RM31.5 juta baiki 90 lif berusia lebih 15 tahun

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melakukan kerja-kerja penggantian melibatkan 90 buah lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendaliannya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerja-kerja yang akan bermula pada 2014 hingga 2019 itu akan dibuat selepas usia penggunaan sesebuah lif menjangkau 10 hingga lebih 15 tahun.

"Sebanyak RM31.5 juta diperuntukan untuk mengganti lif-lif tersebut sebagai perancangan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan akhbar ini mengenai masalah yang membelenggu perkhidmatan lif di PPR dan PA.

Pada 17 Julai lalu, seorang murid tahun lima mati akibat tersepit dalam lif yang rosak sewaktu pulang dari sekolah di PPR Desa Tun Razak, Cheras.

Tambah Ahmad Phesal, sebanyak 262 buah lif telah dibuat kerja-kerja penggantian setakat ini dan lif di PPR Desa Tun Razak telah dilakukan kerja-kerja tersebut pada 2010.

"Kini, terdapat lapan syarikat penyelenggaraan bertanggungjawab sepenuhnya melakukan kerja-kerja baik pulih, servis, penggantian peralatan termasuk pemantauan operasi lif harian di kesemua 523 lif.

"Skop kerja menservis termasuklah memeriksa, meminyak, mencuci, membaiki atau membetul semula, menyesuai semua atau mana-mana mekanisme lif yang dilakukan secara berkala pada setiap bulan dengan kos antara RM1,000 ke RM1,500," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan berkala setiap tiga bulan bersama-sama jurutera teknikal dan kontraktor bertauliah turut dilakukan.

"Malah, selaras dengan Akta Kilang dan Jentera 1967, pemeriksaan tahunan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), DBKL dan orang yang bertauliah (dari syarikat lif) juga dipatuhi," katanya yang memberitahu pemeriksaan terakhir JKKP di PPR Desa Tun Razak dibuat pada 4 Julai.

Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya mengenal pasti sebanyak 21 peratus aduan melibatkan kerosakan lif yang diterima sehingga Jun lalu adalah membabitkan perbuatan vandalisme.

"Oleh itu, kita bercadang untuk mempertingkat penguatkuasaan seperti mengeluarkan notis kompaun kepada pesalah laku penggunaan lif bagi mengelak lif menjadi mangsa vandalisme.

"Selaras dengan perjanjian penyewaan, DBKL akan mengambil tindakan penamatan perjanjian penyewaan, disamping menuntut kos ganti rugi daripada ketua penyewa seperti yang diambil terhadap penghuni PA Desa Rejang pada 23 Februari tahun lalu," tegasnya.

Selain itu, ujar Ahmad Phesal, DBKL sedang mengkaji untuk menempatkan sebanyak 250 penguat kuasa atau melantik pengawal secara kontrak di seluruh kawasan perumahan di bawah pentadbiran agensi itu.

"Kami juga akan meneliti sekiranya perlu untuk melantik lembaga pelawat seperti dilaksanakan di hospital selain penglibatan bersama persatuan penduduk dalam usaha memantau dan menjadi mata dan telinga kepada DBKL," katanya.

JMB sentiasa beri kerjasama

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) sentiasa memberi kerjasama dengan penghuni dengan memaklumkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung kerosakan lif.

Pengerusi JMB Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Mohd. Alizan Abidin berkata, langkah ini bagi memastikan sebarang kejadian tidak diingini berlaku melibatkan penghuni.

"Kita tidak mahu kejadian sama di PPR Desa Tun Razak berulang di tempat lain, jadi setiap kerosakan lif kita akan maklumkan segera kerana lif masih berada di bawah tanggungjawab DBKL.

"Malah, kami juga sering melaksanakan pemantauan bagi mengelak perbuatan vandalisme terhadap kemudahan itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Mohd. Alizan, pihaknya turut bercadang untuk memasang kamera litar tertutup bagi membendung perbuatan vandalisme itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi JMB Blok 102 PPR Seri Pantai, Wan Rozita Wan Sulong berkata, masalah kerosakan lif boleh dielakkan sekiranya semua pihak bekerjasama.

"Sekiranya lif tidak menjadi sasaran vandalisme dan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut jadual, ia mampu mengurangkan risiko kejadian seupamanya" katanya.

Tambah Wan Rozita, masalah lif rosak di PPR Seri Pantai sejak tiga tahun kebelakangan ini semakin berkurangan selepas kerja-kerja pemantuan dilaksanakan pihak JMB.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


JAS diminta bertindak tegas

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

PEMERHATI
Muar

PASUKAN Bomba dan Penyelamat Johor bertungkus lumus memadam kebakaran di kawasan kebun sawit di Parit Jono, Batu 13, Air Hitam, Muar, baru-baru ini.

Saudara Pengarang,

KEJADIAN kebakaran ladang dan kebun di kawasan Muar dan Bakri bukan perkara baharu kerana biasanya berlaku setiap tahun dalam bulan tertentu terutamanya musim panas atau kemarau.

Contohnya, baru-baru ini sudah dua kali berlaku kebakaran besar melibatkan kawasan yang luas iaitu ladang nanas seluas 12.9 hektar pada 19 Jun lalu diikuti enam kebun sawit dan nanas seluas 10 hektar, 22 Julai lalu.

Kedua-dua kawasan di Batu 13, Air Hitam, Bakri itu terletak tidak jauh antara satu sama lain dan dalam kebakaran pertama di tanah milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) itu, kerugian dianggarkan hampir RM100,000.

Pihak bomba dan penyelamat mengambil masa berhari-hari untuk memadamkan kebakaran dengan 15 hingga 30 anggota bersama beberapa jentera ditugaskan, malah ada yang terpaksa bermalam di tempat kejadian bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal.

Tindakan pantas bomba dan penyelamat mengawal kebakaran harus dipuji, namun kejadian seumpama itu boleh dicegah sekiranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) memainkan peranan dengan melakukan penguatkuasaan atau memantau keadaan.

JAS boleh mengeluarkan arahan kepada petani di kawasan terbabit supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, selain turun padang bertemu untuk memaklumkan mereka kerana kebanyakan kebakaran disebabkan aktiviti tersebut.

Pihak terbabit sudah tentu mempunyai jadual kemarau dan bulan tertentu bagi petani memulakan tanaman musim baharu, sekali gus membersihkan ladang dengan cara pembakaran terbuka.

Jabatan bertanggungjawab tidak perlu hanya mengharapkan bomba untuk memantau atau mengeluarkan arahan kepada petani atau orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka semasa cuaca panas melampau.

Agak malang apabila kedua-dua kebakaran besar itu kebetulan berlaku semasa daerah tersebut teruk dilanda jerebu dan sudah pastinya menjejaskan kualiti udara, apatah lagi kawasan itu merupakan tanah gambut yang mudah terbakar.

Justeru, diharap pihak JAS peka dengan perkara ini yang lazimnya berlaku setiap tahun dan tidak hanya datang ke kawasan terbabit apabila sudah berlaku kebakaran.

Hukum Islam tidak akan berganjak

Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT

A. RAHMAN MAHADI
Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM)

Saudara Pengarang,

KAMI Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) ingin mengingat dan memberi amaran serta membantah cadangan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) supaya meminda Perlembagaan negara berhubung peranan ibu bapa dalam penukaran agama anak di lima negeri.

Golongan ini dilihat 'buta' sejarah termasuk (Keluhuran Perlembagaan) di dalam Rukun Negara dan gagal menghayati kontrak sosial yang dipersetujui sejak sekian lama.

Kami ingin memberi amaran kepada Presiden Majlis Antara Agama, Jagir Singh:

"Kami orang Melayu Islam sudah tidak selesa dengan perbuatan menghina, memfitnah, provokasi sejak akhir-akhir ini yang semakin melampau. Kami rasa nama dan imej Islam telah terjejas teruk oleh perbuatan individu-individu bukan Islam dan dalam masa sama kami asyik mengingatkan umat Islam agar bersabar, bahkan menjadi bahan cemuhan sesama sendiri."

Perlu diingatkan, provokasi demi provokasi boleh mencetuskan perbalahan besar antara kaum.

Kami PPPMM ingin menarik perhatian kepada MCCBCHST agar mendalami Perlembagaan Persekutuan Perkara 12 (4) yang tidak perlu diselesaikan atau ditafsirkan.

Maka, tidak timbul dakwaan ibu bapa bukan Islam tidak mempunyai peluang untuk mendapat keadilan adalah tidak benar dan kami menganggap cubaan melakukan pindaan undang-undang itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan adalah mengelirukan.

Kami PPPMM berharap pihak MCCBCHST patut mengutamakan hubungan, bukan kepentingan agama sendiri sahaja.

Kami PPPMM juga berharap kerajaan tidak melayan pandangan MCCBCHST dan menggesa Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertegas kali ini.

Jangan terus bermain dengan amaran terhadap pihak-pihak yang memperlekehkan kesucian Islam, sama ada pemimpin komuniti, politik atau orang asing.

Ini kerana perkara ini boleh menjejaskan pandangan masyarakat tempatan dan luar negara terhadap usaha mempertahankan Islam iaitu agama rasmi Persekutuan yang perlu dipertahankan serta dilindungi oleh kerajaan.

Kami juga menganggap sistem pendidikan negara juga gagal mendidik orang bukan Melayu menguasai perkara asas seperti membezakan soal hak asasi, liberalisme dan kebebasan bersuara sehingga mereka bebas untuk menghina Islam secara sewenang-wenangnya.

Ini menyebabkan mereka menganggap perbuatan itu bukan satu kesalahan dari segi undang-undang, dengan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama yang memayungi Islam.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved