Selasa, 20 Ogos 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Ibu didakwa aniaya, dera anak secara kejam

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Chong Mee Chin dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan dan mendatangkan kecederaan terhadap anaknya di Mahkamah Majistret, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 20 Ogos - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan melakukan penganiayaan dan mendera anak perempuannya yang berusia lima tahun secara kejam, sembilan hari lalu.

Chong Mee Chin, 30, dari Taman Wang, Menglembu di sini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Suhaima Mohd. Nor kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Mee Chin yang memakai baju lokap warna ungu dilihat bersahaja serta menggelengkan kepala tanda mengaku tidak bersalah ketika jurubahasa bertanyakan pengakuan berhubung pertuduhan berkenaan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Ketika ini kanak-kanak malang berkenaan masih berada dalam keadaan koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Keadaannya dilaporkan semakin kritikal dan bergantung kepada mesin bantuan hayat.

Ekoran keadaan mangsa itu, mahkamah memerintahkan Mee Chin supaya tidak mendekati anaknya, meskipun tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin.

Suhaima juga mengarahkan wanita itu menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan dekat sini selama sebulan sementara menunggu sebutan semula kes pada 20 September ini.

Mee Chin didakwa melakukan penganiayaan ke atas anaknya itu dengan memukul kepala dan seluruh badannya menggunakan sebatang rotan di ruang tamu rumah nombor 19, Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu di sini kira-kira pukul 9 pagi, 12 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Mee Chin didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md. Yusof mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Terdahulu, Muhammad Fauzi memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin atas alasan kes tersebut mendapat perhatian ramai selain risiko wanita berkenaan mencederakan semula anaknya.

''Kes penderaan juga semakin meningkat di negara ini. Selain itu, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan serius kepada mangsa yang kini dalam keadaan koma dan dirawat di HRPB. Ini adalah kesalahan serius dan kritikal.

''Justeru, permohonan ini dibuat untuk menghalang sebarang perbuatan baru tertuduh terhadap mangsa memandangkan jika jaminan diberikan tertuduh berkemungkinan akan pergi kepada kanak-kanak berkenaan,'' katanya.

Peguam Chong Kok Yew yang mewakili tertuduh pula menyatakan, dalam keadaan kanak-kanak tersebut sedang dirawat di ICU, sudah tentu pihak hospital mengeluarkan perintah tidak membenarkan sesiapa melawatnya.

Beliau turut memohon mahkamah membatalkan pertuduhan kedua atas alasan Seksyen 325 Kanun Keseksaan adalah tidak sah memandangkan ia adalah seksyen hukuman dan sepatutnya pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 322 kanun yang sama.

''Mahkamah perlu membuat keputusan sama ada pertuduhan di bawah Seksyen 325 boleh berdiri sendiri atau sebaliknya.

''Tertuduh yang menghidapi tekanan mental juga mengakui ada merotan anaknya di bahagian kaki dan tangan tetapi bukan di kepala. Oleh itu, dia memohon supaya dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk menjalani ujian psikiatri,'' katanya.

Muhammad Fauzi kemudian menjelaskan, pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan adalah sah kerana Seksyen 322 kanun yang sama hanyalah seksyen huraian kepada seksyen berkenaan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Suhaima mengarahkan pihak pembelaan membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung bantahan mengenai pertuduhan itu.

Sementara itu, suami kepada Mee Chin berusia 39 tahun, sebelum ini turut direman bagi membantu siasatan bagaimanapun tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini, sebaliknya menjadi saksi utama pihak pendakwaan.

Pada 16 Ogos lalu, Pegawai Perubatan HRPB, Dr. Mohd. Safwan Adnan yang merawat kanak-kanak itu membuat aduan kepada polis selepas mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai didera.

Anak kedua daripada tiga beradik itu dibawa ke hospital oleh bapanya.

Susulan laporan polis itu, ibu bapa kanak-kanak itu direman lima hari mulai Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes itu.

Dua didakwa miliki dokumen, buku berkaitan Syiah

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

NUR Azah Abdul Halim di Mahkamah Rendah Syariah Taiping, Perak, semalam.

TAIPING 20 Ogos - Dua individu termasuk seorang doktor wanita dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak kerana memiliki dokumen dan buku berkaitan ajaran Syiah, pada awal bulan ini.

Dr. Nur Azah Abdul Halim, 41, dan Mohammad Ridzuan Yusof, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Syarie, Azman Saad.

Pengakuan tersebut disambut dengan ucapan 'Alhamdulillah' oleh kira-kira 50 orang awam dipercayai pengikut fahaman itu yang telah memenuhi ruang mahkamah sejak awal pagi lagi.

Mengikut pertuduhan, Nur Azah didakwa telah melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis di No 41, Jalan Medan Kamunting, Medan Kamunting dekat sini pada 5 Ogos lalu.

Mohammad Ridzuan pula didakwa melakukan kesalahan serupa pada tarikh yang sama di sebuah rumah di No. 125 Lorong Jelutong, Kampung Jana Sambungan, Kamunting dekat sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Pendakwa Syarie, Mohammad Syamil Azizan mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Azman membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin iaitu jumlah sama yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini.

Beliau menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Pada 5 Ogos lalu, kedua-dua tertuduh telah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh atas tuduhan itu bagi tujuan ikat jamin di hadapan Hakim Syarie, Muhammad Taifor Ahamad Rusdi.

Mengikut laporan akhbar, kedua-dua mereka telah ditahan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), 5 Ogos lalu di sini selepas menyerbu dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.

Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996.

Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Perak pada 4 Januari 2012 antara lain menyebut orang Islam dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen.

Selain itu, orang Islam dilarang menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi apa jua kemudahan dan bantuan.

Apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas perlu dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.

Sementara itu, galeri awam mahkamah hari ini penuh sesak dengan orang ramai yang disyaki pengikut fahaman berkenaan yang ingin mengikuti perkembangan kes tersebut.

Mereka juga dilihat berbuat bising dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan antaranya 'mahkamah paria' dan 'mahkamah mengarut' semasa prosiding berjalan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved