Jumaat, 16 Ogos 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Raja buat pusingan-U

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Junior ELDSTAL

KUALA LUMPUR - Harimau Muda A mendapat suntikan semangat menjelang Pestabola Merdeka di Kuantan pada 7 hingga 14 September ini apabila pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal membuat pusingan-U dengan membenarkan Junior Eldstal dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim menyertai skuad Ong Kim Swee.

Keputusan itu dicapai selepas Rajagobal yang menemui Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, bersetuju melepaskan kedua-dua pemain itu demi kepentingan negara.

Keputusan memberikan semula kedua-dua pemain tersebut kepada Kim Swee juga disebabkan skuad kebangsaan hanya akan menghadapi satu perlawanan persahabatan berkelas A menentang China di Shanghai 10 September nanti.

Jelas Hamidin, tiada isu yang perlu dibangkitkan ekoran keputusan tersebut dan berharap kedua-dua jurulatih berpuas hati dengan keputusan yang telah dicapai serta kembali fokus kepada tugasan masing-masing.

Dalam pertemuan dengan saya hari ini (semalam), Rajagobal bersetuju memberikan dua pemain itu kepada Kim Swee untuk menghadapi Pestabola Merdeka kerana Harimau Malaya cuma berdepan satu perlawanan sahaja menentang China di Shanghai pada 10 September depan.

Rajagobal sedia menggunakan beberapa pemain muda (saingan Liga Super) yang lain sebagai pengganti Junior dan Nik Shahrul, jadi tiada masalah dalam soal ini.

Keputusan melepaskan kedua-dua pemain tersebut tidak dipaksa oleh sesiapa, ia dibuat secara suka rela oleh Rajagobal demi kepentingan Harimau Muda A pada Pestabola," katanya ketika dihubungi, semalam.

Rabu lalu, Kim Swee mendedahkan melalui perbincangan dengan Rajagobal, hanya dua pemain iaitu Junior dan Nik Shahrul akan diserap dalam skuad Harimau Malaya.

Pemain lain seperti Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd. Fadhli Shas boleh mewakili Malaysia dalam Pestabola dan perkara itu disambut baik olehnya.

Sementara itu, Kim Swee menyambut baik kesediaan Rajagobal melepaskan kedua-dua pemain tersebut.

Dia menyifatkan keputusan itu membolehkannya membuat persiapan sempurna untuk Sukan SEA kerana buat pertama kali dia dapat menggunakan semua pemain terbaik untuk beraksi dalam kejohanan kompetitif.

Selepas mendapat makluman mengenai perkara ini, saya rasa cukup teruja kerana dapat menggunakan dua pemain ini terutamanya Junior yang belum pernah beraksi bersama Harimau Muda A.

Inilah peluang terbaik saya mengumpulkan semua pemain terbaik yang saya ada di dalam satu skuad dan melihat sejauh mana kemampuan mereka berdua beraksi dengan pemain lain, ini satu persediaan yang baik sebelum kita ke Sukan SEA, " katanya.

Hamidin juga memberitahu, skuad kebangsaan Bangladesh yang dalam rangka menghadapi persiapan kejohanan Persekutuan Bola Sepak Piala Asia Selatan (SAFF) akan menguji pasukan Harimau Muda A di Stadium Darul Makmur, 22 Ogos ini pada pukul 5.30 petang.

Kedatangan mereka di sini sebenarnya mahu menguji pasukan kebangsaan kita namun tarikh yang diminta pada 22 Ogos itu, tetapi tidak boleh kerana Piala Malaysia telah bermula.

Jadi, FAM bersetuju memberikan ruang ini kepada Harimau Muda untuk menguji mereka dan berharap mereka boleh mengambil kesempatan berkenaan," katanya.

Gelanggang final di Shah Alam

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Afandi Hamzah

PETALING JAYA - Buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2011 perlawanan akhir Piala Malaysia akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam selepas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju memberikan laluan kepada kerja-kerja pembaikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil lebih awal.

Menurut Pengerusi JKPT FAM, Datuk Afandi Hamzah, keputusan itu dibuat ekoran gesaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengarahkan Stadium Nasional ditutup secepat mungkin bagi kerja penggantian rumput baru ekoran kontroversi yang melibatkan keengganan Barcelona beraksi di sana baru-baru ini.

Di samping itu, Afandi membayangkan gelanggang aksi kelayakan Piala Asia 2015 yang melibatkan pertemuan Harimau Malaya dengan Bahrain pada 15 Oktober nanti juga akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam.

"Mengikut jadual asal gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada 3 November di Stadium Nasional Bukit Jalil namun ekoran perkembangan terkini, JKPT FAM telah berbincang dengan PSM bagi mendapatkan penjelasan mengenai soal padang.

"KBS telah mengeluarkan arahan Stadium Nasional ditutup serta merta supaya kerja-kerja pembaikan agar segera dijalankan malahan proses pelantikan kontraktor sedang berlangsung.

"Kerja-kerja pembaikan ini akan mengikut perancangan akan bermula pada penghujung Oktober atau seawal November dan akan ditutup selama enam bulan, kemungkinan boleh digunakan pada bulan Jun 2014.

"Setelah berbincang, kami mencapai keputusan yang perlawanan akhir Piala Malaysia kekal pada tarikh yang sama cuma akan ke beralih ke Stadium Shah Alam dan kemungkinan besar juga melibatkan aksi kelayakan Piala Asia 2015 melibatkan pertemuan dengan Bahrain (15 Oktober) dan Qatar(19 November) akan dimainkan di Shah Alam, " katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat JKPT FAM di Wisma FAM, semalam.

Walaupun KBS membuat perancangan awal untuk menutup Stadium Nasional sebelum ini, insiden penukaran stadium perlawanan antara Malaysia dan Barcelona F.C pada 9 Ogos lalu dalam tempoh kurang 24 jam telah mencemarkan imej negara dan kurang profesional.

Dalam perkembangan lain, Afandi mengumumkan peraturan baru melibatkan perlawanan yang ditangguh ekoran masalah cuaca dan tiada lagi permulaan perlawanan semula selepas menerima surat daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Mengikut peraturan ini, jika perlawanan itu tertangguh disebabkan cuaca atau faktor-faktor yang lain, perlawanan itu akan disambung pada keesokkan harinya mengikut baki permainan yang tinggal dengan jaringan yang dibawa pada hari semalam akan kekal.

"Kedua-dua pasukan perlu menurunkan pemain yang sama dan kad yang dikutip akan diambil kira bagi menghabiskan jumlah minit yang belum selesai, " katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Ibu bapa disyaki dera anak lima tahun direman 3 hari

Posted: 16 Aug 2013 11:02 PM PDT

IPOH 17 Ogos - Polis semalam menahan ibu bapa kanak-kanak perempuan lima tahun yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana disyaki didera bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong.

Beliau berkata, lelaki berumur 39 tahun dan wanita berumur 30 tahun dari Menglembu itu ditahan reman selama tiga hari bermula semalam.

Katanya pasangan itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira l 1.30 petang semalam selepas diarah datang ke balai polis itu selepas polis menerima laporan bahawa kanak-kanak itu disyaki didera.

"Polis menghubungi serta mengarahkan kedua-dua mereka ke balai polis selepas menerima laporan daripada seorang doktor yang bertugas di HRPB selepas mengesyaki kanak-kanak itu telah didera berdasarkan hasil pemeriksaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berdasarkan laporan awal, beliau berkata, kanak-kanak itu dihantar ke hospital berkenaan oleh anggota keluarganya pada awal pagi semalam dan pemeriksaan doktor mendapati terdapat luka di seluruh badan kanak-kanak itu dipercayai dipukul dengan rotan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Jenayah di PP meningkat 4.7 peratus hingga Ogos

Posted: 16 Aug 2013 10:32 PM PDT

GEORGE TOWN 17 Ogos - Kadar jenayah di Pulau Pinang dalam tempoh Januari hingga pertengahan Ogos tahun ini meningkat sebanyak 281 kes atau 4.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan itu tidak melibatkan semua kategori jenayah selain jenayah samun tanpa senjata serta kecurian.

"Yang menunjukkan peningkatan ialah samun berkawan tanpa senjata api dan kecurian termasuk kecurian motor van.

"Pada pandangan saya, kadar kenaikan jenayah ini dapat kita bendung dengan kerjasama masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ulul Albab sempena sambutan Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pulau Pinang bersama Komuniti oleh Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah di sini, malam tadi. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Suri rumah dituduh dera amah

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
pengarang@utusan.com.my

CHAI Eng Fong didakwa atas pertuduhan mendera pembantu rumah warga Indonesia, Maria Roberta Sian (gambar kecil) di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, semalam.

PETALING JAYA 16 Ogos - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan memukul serta menyimbah air panas terhadap mangsa ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, Khamis lalu.

Chai Eng Fong, 40, turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memperdagangkan seorang wanita berusia berusia 30 tahun bagi maksud eksploitasi sebagai buruh paksa dengan cara menggunakan kekerasan dan paksaan.

Ibu kepada empat anak yang berusia antara 10 dan 17 tahun itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Eng Fong didakwa dengan niat mendatangkan cedera parah terhadap Maria Roberta Sian dengan memukul dan menyimbah air panas sehingga menyebabkan kecederaan di muka, kepala, telinga, kedua-dua payu dara, belakang badan serta paha.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di rumah tertuduh di No. 5, Jalan U5/84, Subang Bestari, Shah Alam, dekat sini kira-kira pukul 7 petang, 8 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap mangsa, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna merah jambu dan berseluar jeans pendek dilihat tenang sepanjang prosiding. Hanya suami tertuduh dilihat hadir di galeri awam mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah yang mengendalikan pendakwaan pada mulanya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh tetapi sekiranya mahkamah cenderung membenarkannya, beliau mencadangkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau memberitahu, jumlah tersebut tidak membebankan tertuduh kerana keluarga wanita itu mempunyai perniagaan besi.

Zhafran Rahim juga memohon agar tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Peguam T. H. Goh yang mewakili Eng Fong pula memohon agar jumlah tersebut dikurangkan dengan mengambil kira syarat tambahan yang dikemukakan oleh pendakwaan.

Hakim Rozina Ayob kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Beliau juga memerintah tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 September ini.

Peguam Rosal Azimin Hamad hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Kedutaan Indonesia.

Memetik laporan akhbar, mangsa bertindak melarikan diri dari rumah majikannya di Subang Bestari, dekat sini pada 8 Ogos lalu selepas menjadi mangsa dera sejak lapan bulan yang lalu.

Mangsa kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 7 malam pada hari yang sama dengan bantuan orang awam.

Pembantu rumah itu yang mengalami luka, lebam dan kesan parut di seluruh badan mendakwa majikan wanitanya itu memukulnya dengan menggunakan tangan, kaki dan objek seperti berus lantai.

Menurut mangsa, majikannya itu memukulnya kerana tidak berpuas hati dengan cara dia menjalankan kerja rumah.

Pemandu teksi suspek kes tembak mati pengasas AmBank didakwa

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Susulan kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank), Hussain Ahmad Najadi bulan lalu, seorang pemandu teksi yang dipercayai membawa suspek meninggalkan tempat kejadian itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki pistol dan peluru tanpa lesen.

Chew Siang Chee, 45, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Lelaki itu yang berpakaian kemeja putih dan berseluar hitam didakwa memiliki sepucuk pistol Walther Model PPK/S Cal.9 mm Kurz/380 ACP bersama satu magazine Walther Cal.9 mm Kurz yang menyalahi undang-undang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Siang Chee didakwa memiliki empat butir peluru hidup jenis 9mm (short)(S&B 9mm) tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di B-15-12 Kondominium Desa Cindaimas, Jalan Sekutu Persimpangan Jalan Kuchai Lama, Brickfields di sini pada pukul 5.45 petang, 3 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 tidak membolehkan tertuduh diikat jamin.

Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Ogos ini.

Sebaik sahaja selesai prosiding, tertuduh yang diwakili peguam bela Vincent Tey dilihat memeluk anak lelaki dan isterinya sebelum dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Dalam kejadian yang berlaku pada 29 Julai lalu itu, Hussain, 75, mati manakala isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini.

Hussain terkena dua das tembakan di dada dan mati di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan.

Menurut laporan akhbar, pihak polis masih mengesan suspek bernama Kong Swee Kuan, 44, atau lebih dikenali sebagai Sei Ngan Chai atau Ah Chian yang dipercayai masih berada di ibu negara walaupun serbuan ke atas rumahnya dua minggu lalu mendapati dia telah menghilangkan diri.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


4 anggota polis Thai maut depan tadika

Posted: 16 Aug 2013 11:08 AM PDT

BANGKOK 17 Ogos - Sebanyak empat anggota polis Thailand maut dalam satu serangan bom tangan dan senjata di hadapan sebuah tadika di Narathiwat, wilayah selatan negara ini, semalam.

Serangan dipercayai dilakukan kumpulan pemisah berlaku pada waktu petang ketika anggota tersebut mengadakan rondaan kereta di daerah Rueso yang menjadi `lokasi pemberontakan.

``Sebanyak empat anggota polis maut di dalam kenderaan mereka dalam kejadian di sebuah tadika, kata jurucakap balai polis Rueso, Mejar Denpong Temyod. - AFP

Raja Saudi sokong tindakan Mesir menentang 'keganasan'

Posted: 16 Aug 2013 11:07 AM PDT

RIYADH 17 Ogos - Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah semalam, menyeru negara-negara Arab supaya berdiri bersama-sama menentang `usaha menjejaskan kestabilan Mesir, dalam satu mesej bagi menyokong kepimpinan tentera negara itu.

``Arab Saudi, rakyatnya dan kerajaan hari ini berdiri bersama saudara kami di Mesir dalam menentang keganasan.

``Saya menyeru kepada mereka yang jujur di Mesir dan negara-negara Arab serta negara Islam berdiri sebagai seorang lelaki dan satu hati dalam menghadapi cubaan untuk menjejaskan kestabilan negara yang berada di barisan hadapan negara Arab dan sejarah Islam, katanya dalam siaran televisyen negara ini.

Arab Saudi merupakan sekutu rapat bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak dan mempunyai hubungan yang sukar dengan pergerakan Ikhwanul Muslimin. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Alternatif atasi masalah kekurangan bekalan ayam

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

RAUB 16 Ogos - Kerajaan perlu mengeluarkan permit mengimport ayam lebih awal pada musim perayaan sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan itu setiap kali menjelang Ramadan dan hari raya.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, langkah berkenaan secara tidak langsung mengekang kenaikan harga ayam membabitkan orang tengah seperti pembekal dan pemborong.

Menurutnya, sekiranya permit tersebut dikeluarkan awal, tidak akan berlaku kenaikan harga ayam, sebaliknya boleh distabilkan pada musim perayaan.

"Sepanjang bulan Ramadan pihak yang mendapat permit import boleh membawa masuk sejuta ekor ayam sehari bagi menampung permintaan dan tidak akan menjejaskan penternak terutama secara kecil-kecilan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri di Felda Lembah Klau di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan seorang pengguna dari Bentong, Nordin Musa yang meminta supaya kerajaan mengimport bagi mengatasi masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam menjelang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Dalam perkembangan sama, Shahiruddin turut mencadangkan sektor ternakan ayam turut disertai oleh agensi berkemampuan seperti Tabung Haji dan Felda supaya boleh diusahakan dalam skala besar.

"Pembabitan agensi terbabit boleh memecah monopoli pihak tertentu yang selama ini mengaut keuntungan secara melampau apabila mereka yang menjadi penentu pasaran harga ayam.

"Jika cadangan itu direalisasikan harga ayam akan menjadi stabil sekali gus mengurangkan kebergantungan ayam import sekiranya berlaku kenaikan harga dan kekurangan bekalan tersebut di pasaran," katanya.

Jangan malu daftar anak OKU dengan JKM

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Ahmad Nazlan Idris menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan OKU, warga emas dan anak-anak yatim di Kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - utusan/haris fadilah ahmad

JERANTUT 16 Ogos - Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) tidak perlu malu untuk mendaftarkan mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, kebajikan golongan itu akan dibela dan jaminan mereka tidak akan disisih daripada bantuan kerajaan sekurang-kurangnya meringankan beban ibu bapa dan ahli keluarga terbabit.

Menurutnya, ibu bapa perlu memanfaatkan agensi asuhan seperti Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan kelas pendidikan khas berdekatan tempat masing-masing supaya anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya khususnya mempelajari hidup berdikari.

"Sepanjang saya turun padang ke kampung dan pedalaman di daerah ini didapati terdapat ibu bapa belum mendaftar anak OKU mereka dengan JKM kerana enggan berbuat demikian.

"Saya mendapati masih ada ibu bapa yang tidak tahu langsung cara untuk mendaftar anak istimewa mereka dengan JKM," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk termasuk OKU dan anak yatim di Kampung Batu Balai di sini kelmarin.

Nazlan berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bertindak aktif membantu ibu bapa berkenaan mendaftarkan golongan OKU itu kepada JKM.

"Saya berharap ibu bapa menghantar anak istimewa tersebut menerima pendidikan khas di sekolah berdekatan untuk menggilap bakat dan kebolehan masing-masing termasuk akademik," katanya.

Menurutnya, golongan itu wajar diberi pendedahan berkaitan kemahiran psikomotor, perkembangan bahasa, sosial, pengurusan diri, menulis, membaca, melukis dan mengasah kreativiti selain terlibat dalam kursus vokasional serta kegiatan sukan.

"Pihak swasta dan orang perseorangan dialu-alukan tampil menyumbangkan dana kewangan atau keperluan tertentu dalam membantu anak OKU di kelas PDK yang terletak di bandar dan tanah rancangan Felda d sini," ujar beliau lagi.

Katanya, Pejabat Parlimen Jerantut akan bekerjasama dengan JKM untuk memantau pengurusan beberapa PDK di daerah ini dalam memberi bantuan prasarana yang membolehkan anak istimewa itu mampu belajar dengan selesa.

Mohd. Sharkar tumpu UMNO peringkat negeri

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

KUANTAN 16 Ogos - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin tidak akan menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan tertinggi parti pada pemilihan yang dijadualkan hujung tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Temerloh itu berkata, beliau ingin memberikan tumpuan ke arah membantu Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob membangunkan negeri serta memulihkan parti supaya terus diterima rakyat.

"UMNO negeri akan menyelesaikan semua mesyuarat bahagian dan cawangan terlebih dulu sebelum mencadangkan nama yang sesuai untuk diberi laluan bertanding pada pemilihan akhir tahun ini.

"Secara rasminya, boleh saya umumkan keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan sama ada Ahli Majlis Tertinggi atau apa-apa jawatan lain di peringkat Pusat. Bagaimanapun, bagi pemilihan peringkat UMNO Bahagian Temerloh, saya akan bertanding untuk mengekalkan jawatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Mohd. Sharkar berkata, banyak tugas yang perlu diselesaikan di peringkat UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri bagi memastikan kerajaan memperoleh kemenangan lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya rasa ada baiknya beri laluan kepada rakan-rakan lain yang berminat untuk bertanding pada pemilihan peringkat Pusat. Biarlah saya beri tumpuan membantu Menteri Besar memperkuatkan BN negeri.

"Kita telah kehilangan 13 kerusi kepada pembangkang pada pilihan raya umum lalu dan inisiatif memperkuatkan serta memperkasakan jentera parti perlu dilakukan bermula daripada sekarang.

"Saya yakin kita boleh merampas kembali kerusi itu daripada pembangkang jika kita mula bekerja keras dan memperkemaskan segala perancangan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Akhirnya Guan Eng hentikan 'drama'

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL dan KASTHURI JEEVENDRAN
pengarang@utusan.com.my

Lim Guan Eng berlalu meninggalkan wartawan yang ingin mendapatkan reaksi beliau sejurus mesyuarat tergempar DAP dipercayai berhubung pemilihan jawatankuasa CEC di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KEPUTUSAN DAP kelmarin yang memutuskan supaya pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti diadakan, dipercayai ada kaitan dengan desakan satu kumpulan dalam parti itu yang tidak menyokong Dinasti Lim.

Kumpulan ini sudah tidak mahu lagi DAP dipergunakan atas kepentingan peribadi. Dan tidak rela imej parti terus tercemar dari hari ke hari, bulan ke bulan.

Lagi pun Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung Lim Guan Eng sudah mengakui berlaku kesilapan pengiraan undi dalam pemilihan CEC 15 Disember lalu. Tetapi yang peliknya selama lapan bulan ini masih enggan melakukan pembetulan dan pemilihan semula.

Selain itu, DAP mahu mengelakkan persepsi rakyat terutama penyokong kuat kaum Cina mereka bahawa DAP adalah milik 'syarikat Sdn Bhd' anak beranak Kit Siang.

DAP tidak pernah lupa sejarah bagaimana sekitar akhir 1990-an selepas Guan Eng dipenjara kerana satu kes mahkamah, bapanya, Kit Siang telah menggunakan seluruh parti itu untuk membela nasib dan kebebasan anaknya. Ketika itu, Kit Siang dikatakan telah menguar-uarkan kononnya anaknya itu dipenjara kerana mempertahankan hak seorang gadis.

Dan apabila Kit Siang cuba mempergunakan DAP, ada kumpulan lain dalam parti itu yang tidak puas hati dan kecewa dengan caranya, telah cuba menggulingkan Kit Siang dan kroninya secara 'gerakan bawah tanah'.

Waktu itu DAP berpecah dua dengan Kit Siang terpaksa berdepan dengan kumpulan yang dikenali 'Knock Out Kit Siang (KOKS). Karpal Singh waktu itu berpihak kepada kumpulan Kit Siang.

Berikutan insiden itu, seorang pemimpin DAP, Teoh Teik Huat yang merupakan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan menganggotai kumpulan KOKS dibuang dengan cara kuku besi. Selain itu, jawatankuasa disiplin DAP turut bertindak ke atas pemimpin DAP lain yang tidak puas hati dengan Kit Siang seperti Wee Chee Keong, Gooi Hock Seng dan Teik Huat. Mereka bersama para penyokong masing-masing dipaksa untuk berhenti atau dipecat.

Masa itulah dikatakan bermulanya era Dinasti Lim.

Dan itulah punca mengapa Kit Siang dan Karpal Singh tewas untuk kali pertama masing-masing di kawasan Parlimen Bukit Bendera dan Jelutong pada pilihan raya umum 1999.

Mereka dikatakan dihukum oleh ahli parti dan pengundi berikutan krisis dalaman DAP waktu itu.

Dan terbaharu, malam kelmarin, sejarah seakan-akan berulang apabila penyokong dan akar umbi DAP kembali menolak cara Kit Siang dan Guan Eng yang didakwa mempergunakan parti untuk kepentingan mereka. Mereka tidak mahu agenda DAP menjadi agenda keluarga Kit Siang.

"Malam tadi (kelmarin) juga ada kumpulan yang memaksa Guan Eng mengadakan pemilihan semula CEC. Mereka mengatakan parti akan hancur jika ROS batalkan pendaftaran DAP.

"Mereka mahu Guan Eng hentikan drama ini sebab rakyat dah tahu apa yang DAP buat. Selama lapan bulan ini hanya Kit Siang dan Guan Eng sahaja yang enggan buat pemilihan semula. Kami pelik juga sebab setiap kali sebarang pemilihan diadakan sejak 47 tahun ini, mesti ada kalangan anak beranak mereka di ranking atas," kata seorang pemimpin kanan DAP kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Memang, hakikatnya DAP tidak boleh lari daripada mengadakan pemilihan semula CEC. Bukti begitu kuat mengatakan wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian. Antara dakwaan itu adalah DAP gagal memberikan notis kepada 753 anggota delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada pemilihan CEC ketika Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 di Pulau Pinang pada 15 Disember itu.

Siasatan ROS dijalankan setelah ahli DAP berterusan mendesak parti itu mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendakwa wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian.

Dakwaan lain adalah wujud 547 perwakilan 'haram' yang kebanyakannya dari Pulau Pinang yang telah diarah mengundi enam nama iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Chong Chieng Jin, Anthony Loke Siew Fook dan Vincent Wu Him Ven.

Sebelum itu atau lebih tepat lagi kira-kira tiga minggu selepas pemilihan tersebut berlangsung, DAP mengumumkan terdapat kesilapan teknikal dalam pengiraan undi pemilihan itu. Ekoran kesilapan itu, wakil Melayu, Zairil Khir Johari yang juga Setiausaha Politik Guan Eng berjaya menduduki kedudukan terakhir senarai CEC yang dipilih dengan 803 undi. Zairil yang sebelum itu hanya berada di tempat ke-39 melonjak ke tangga 20 menggantikan Vincent Wu yang sebelum itu berada di tangga keenam selepas undinya tersalah kira sehingga berjumlah 1,202.

Apa yang menimbulkan persoalan adalah kenapa kesilapan itu diumumkan hanya setelah pelbagai pihak menyifatkan parti itu telah menunjukkan wajah sebenar mereka yang cauvinis dan perkauman setelah tiada seorang pun daripada lapan calon Melayu yang bertanding berjaya merebut 20 jawatan CEC.

DAP cukup sedar bahawa mereka tidak boleh terlepas daripada tuduhan tidak telus dan tidak cekap ini.

Sebenarnya, sejak dari awal lagi, Guan Eng membuat kenyataan berdolak-dalik bagi mengelak daripada mengadakan pemilihan semula CEC.

Beliau mengenakan dua syarat jika mahu pemilihan itu diadakan iaitu pertama, ROS perlu mengemukakan alasan munasabah kenapa tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan DAP berhubung pemilihan CEC. Syarat kedua, DAP mahu ROS menyatakan apakah peruntukan yang diguna pakai oleh pertubuhan tersebut dalam mengeluarkan arahannya.

Namun, semua maklum itu cuma retorik Guan Eng. Kelmarin, Karpal akur bahawa DAP terpaksa beralah. Ini demi menyelamatkan parti itu daripada tindakan pembatalan pendaftaran oleh ROS.

Ambil iktibar daripada tragedi yang melanda Mesir

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh Azman Anuar

KRISIS politik di Mesir memuncak pada Rabu lalu apabila kira-kira 2,200 orang maut selepas polis dan tentera menggempur lokasi ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong bekas Presiden Muhammad Mursi di Kaherah. Kekejaman pasukan keselamatan Mesir itu membangkitkan kecaman dan kutukan daripada pemimpin dan masyarakat dunia.

Walaupun jauh beribu kilometer dari Kaherah, tetapi kita dapat melihat kesan dan iktibar apabila rebutan kuasa politik akhirnya boleh memudaratkan kehidupan rakyat.

Paling membimbangkan jika perang saudara antara kumpulan penyokong Mursi dengan pihak anti-Mursi tercetus.

Sentimen balas dendam bakal menjadi faktor utama dalam pergolakan di Mesir selepas ini, mungkin sama dengan apa yang berlaku kepada Iraq dan Syria sekarang.

Dalam situasi ini, bagaimana nasib lebih 3,000 rakyat dan pelajar Malaysia di sana?

Ketika pergolakan menjatuhkan Hosni Mubarak pada 2011, atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Malaysia menyediakan pengangkutan udara untuk membawa pelajar dan rakyat kita pulang ke tanah air. Syukur, hampir semua pelajar kita yang pulang terselamat daripada tindakan perusuh ketika itu.

Kita tidak lupa bagaimana tindakan sesetengah pihak dan suara-suara sumbang daripada kalangan pemimpin pembangkang yang mempertikaikan bantuan kerajaan itu.

Kali ini, jika operasi menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir dilakukan, utamakan mereka yang sedia menerima bantuan sahaja. Jangan dipaksa ahli dan penyokong parti pembangkang yang berada di Mesir untuk turut serta.

Bukalah mata dan fikiran kita seluas-luasnya. Apa yang berlaku di Syria untuk menjatuhkan Presiden Bashar Assad sejak dua tahun lalu menyebabkan rakyat negara itu hilang rasa selamat. Sekarang rakyat Mesir sedang melalui apa yang dirasai oleh rakyat Iraq dan Syria. Keamanan dan kemakmuran negara mereka sudah diragut oleh dua kumpulan yang saling bermusuhan dan berbunuhan.

Apakah yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq dan negara Islam lain hendak dibiarkan berlaku di Malaysia? Rusuhan, demonstrasi dan menentang undang-undang negara adalah suasana yang digemari oleh penyokong Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkang.

Bersyukurlah kita kerana pasukan polis dan tentera Malaysia tidak sekejam pasukan keselamatan negara lain yang telah kita saksikan cara mereka menyelesaikan penentang kerajaan.

Bersyukur juga kita kerana bermacam-macam strategi dan perhimpunan haram yang diatur oleh hulubalang parti pembangkang berkesudahan dengan kegagalan.

Beberapa kali usaha dan gerakan menghimpunkan ratusan ribu rakyat negara ini seperti yang berlaku di negara Asia Barat tidak berjaya malah ditolak oleh rakyat Malaysia yang mengutamakan keamanan dan kestabilan politik daripada kepentingan peribadi pemimpin pembangkang.

Sungguhpun begitu, puak-puak pembangkang tidak pernah putus asa meracuni pemikiran rakyat. Oleh itu, kerajaan Barisan Nasional yang terus diberi mandat kali ke-13 untuk mentadbir kerajaan Malaysia diharap - jangan berlembut dan terlalu beri muka kepada mana-mana pihak terutama dalam soal keselamatan negara.

Kita yakin, jika dibuat pungutan suara sekalipun, rakyat tidak tergamak untuk bersekongkol meletakkan Malaysia dalam keadaan huru-hara seperti di Mesir atau negara Arab yang bergolak.

Namun ada kegusaran bermain dalam minda rakyat. Selama ini pembunuh paling tinggi di Malaysia antaranya ialah kemalangan maut jalan raya. Tempat itu mungkin diambil alih tidak lama lagi jika kawalan dan pencegahan jenayah pembunuhan tidak dibendung.

Sebelum ini kita cuma tertanya-tanya tentang insiden tembak yang membunuh orang awam di Amerika Syarikat. Tetapi sejak April lalu, kes pembunuhan bagaikan sudah menular ke negara kita pula. Mangsa yang dibunuh pula bukan sahaja berprofil tinggi malah orang biasa seperti guru dan peniaga kecil.

Rakyat amat-amat mengharapkan penyelesaian kes-kes tembak ini dengan segera. Polis kena kuatkan kerja-kerja risikan dan siasatan.

Iktibar daripada tragedi di Mesir dan kes tembak di negara kita, maka kerajaan perlu undang-undang yang lebih tegas untuk menjaga keselamatan diri dan nyawa rakyat Malaysia.

Kerajaan bukan tidak pernah menarik balik undang-undang demi memenuhi kehendak rakyat dan pemimpin pembangkang. Oleh itu, atas faktor utama keselamatan dalam segala aspek maka eloklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) diperkenalkan semula.

Tak usah kerajaan berasa malu kerana bersikap buruk siku. Matlamat utama adalah untuk menyelesaikan krisis jenayah pembunuhan bersenjata api dan membendung jenayah dan gerakan yang menggugat keselamatan awam.

Undang-undang itu sebelum dimansuhkan, bukan bersifat zalim atau disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. Kita tahu kebaikannya dan kini kita sedar keburukannya apabila ia ditiadakan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Batik beri Amri, Rebecca peluang kedua

Posted: 15 Aug 2013 08:44 PM PDT

Oleh MELATI MOHD ARIFF

Pasangan suami-isteri Amri Yusoff dan Rebecca Crown menunjukkan antara produk batik ekslusif keluaran syarikat mereka, Coast Handmade Sdn. Bhd. yang boleh dijadikan cenderahati.

APABILA pegawai dagang Rebecca Crown hilang pekerjaan sebagai arkitek dengan firma Malaysia yang berpejabat di Kuala Lumpur sewaktu krisis kewangan 1998, dia tidak kembali ke tanah airnya.

Kampung halamannya terletak lebih 6,000 kilometer nun di Sydney, Australia.

Sebaliknya, dia mengemas beg untuk ke negeri pantai timur, Kelantan.

Rebecca yang berminat dalam bidang tekstil dan fabrik mahu belajar mengenai batik dan dia tidak keseorangan.

Rebecca berjaya memujuk mantan rakan sejawatnya, yang kini suaminya, Amri Yusoff untuk menemaninya.

"Saya diberhentikan kerja terlebih dahulu dan Amri mengalami nasib yang sama kira-kira enam bulan kemudian. Saya beritahu Amri yang saya berminat dalam batik lagi pun semasa saya datang ke Malaysia saya meminati tekstil dan fabrik.

"Saya minta Amri bawa saya ke kampungnya di Kelantan untuk lihat sama ada kami boleh buat perniagaan batik," Rebecca memberitahu penulis dalam wawancara di kediaman pasangan itu di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Amri yang turut sama ketika diwawancara mengakui meskipun dia dilahir dan dibesarkan di Kota Baharu, Kelantan, dia tidak pernah meminati batik dan tidak tahu menahu langsung mengenai industri itu.

Kedua-duanya, bagaimanapun yakin batik membuka peluang keemasan untuk mereka memulakan kehidupan baru setelah hilang pekerjaan.

Berkat usaha gigih serta penat-lelah, produk batik pasangan ini yang dipasarkan di bawah jenama Coast Handmade semakin terserlah keunggulannya.

Idea segar

Meskipun tidak ada pengalaman dalam perniagaan batik, kedua-dua Amri dan Rebecca mahu menghasilkan produk khusus untuk kegunaan rumah. Mereka juga mahu reka bentuk batik yang segar serta moden selari dengan sasaran gaya hidup di Australia.

Bermula secara sederhana, menggunakan khidmat pengeluar batik di Kelantan dengan Amri sebagai pereka bentuk utama, pasangan ini mula menghasilkan perhiasan rumah serta sarung untuk jualan di Sydney di bawah jenama Coast Living.

Ditanya mengenai pilihan nama label, Rebecca dengan pantas menjawab, "Amri berasal dari pantai timur dan saya sendiri datang dari Sydney yang terletak di pantai timur Australia.

"Kami fikir perkataan Coast sesuai dengan kami dan mencerminkan gaya santai rakyat Australia di mana kami mahu menjual produk batik kami," jelas Rebecca.

Bukan mudah

Menurut pasangan itu, produk batik mereka mendapat sambutan yang baik di Australia cuma yang mencabar ialah dari segi pengeluaran.

Amri menjelaskan apa yang mereka mahu pembuat batik lakukan untuk mereka sememangnya sukar.

"Kami tidak sedar pada masa itu, tetapi untuk pembuat batik menghasilkan saban kali warna yang sama adalah perubahan besar daripada apa yang mereka biasa lakukan, memandangkan pengkhususan mereka ialah batik eksklusif, di mana setiap helai batik adalah berbeza," katanya.

Mendengar kenyataan ini, Rebecca menambah: "Satu sahaja cara untuk memastikan produk yang dihasilkan menepati jangkaan pasaran ialah dengan berada di bengkel.

"Secara logistiknya bererti Amri perlu berada di Kelantan dan saya pula di Sydney untuk menjual produk kami."

Di sebalik masalah yang dihadapi, bisnes batik pasangan ini bertahan selama tiga tahun sebelum diberhentikan.

"Saya fikir pembuat batik yang membuat batik kami menarik nafas lega kerana kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan bisnes ini," kata Rebecca.

Bagaimanapun Amri berkata, secara jujurnya kesediaan pembuat batik untuk memenuhi keperluan mereka sepanjang bisnes batik ini berjalan memberikan banyak pengajaran untuk kami.

"Dalam banyak hal, kami merasa kejayaan kami hari ini adalah berdasarkan apa yang kami pelajari di kampung," Amri mencelah.

Pertandingan batik

Kembali kepada dunia korporat di Kuala Lumpur, Amri dan Rebecca mendirikan rumah tangga pada 2002 dan menimang cahaya mata pertama pada 2005. Pasangan ini kini mempunyai tiga orang anak, Mikhail berumur lapan tahun, Aden (empat tahun) dan Isabella (dua tahun).

Meskipun sibuk dengan pekerjaan serta keluarga, pasangan ini masih menaruh minat terhadap batik dan meluangkan masa untuk menghadiri majlis yang ada kaitan dengan batik.

Antaranya Piala Sri Endon, pertandingan reka bentuk batik mengambil sempena nama Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Kami mengikuti pertandingan ini selama beberapa tahun dan saya beritahu Amri, saya pasti dia boleh menang jika dia menyertainya," kata Rebecca.

Pada 2007 Amri menyertai pertandingan itu di bawah kategori hiasan dalaman rumah.

"Banyak yang perlu dilakukan. Kami diberi sebuah bilik hotel di Berjaya Times Square Hotel dan perlu menghiasnya dengan reka bentuk asli batik kami," kata Amri.

Segala kerja keras berbaloi apabila Amri mendapat tempat kedua.

"Saya mengharapkan menang tempat pertama tetapi pertandingan begitu sengit sekali. Saya menerima banyak pujian dan yang paling penting daripada Zuraidah Abdul Razak, Pengurus Besar Karyaneka pada masa itu yang bertanyakan sama ada saya berminat untuk menghasilkan beberapa produk batik untuk rangkaian kedai Karyaneka," kata Amri.

Peluang kedua

Memenangi tempat kedua dalam pertandingan Piala Sri Endon serta sokongan Zuraidah memberikan keyakinan kepada Amri untuk menceburi semula perniagaan batik.

Pada awalnya Amri menjalankan perniagaan batik ini bersendirian dan Karyaneka adalah pelanggan pertamanya.

"Saya begitu teruja bila menerima cek pertama bernilai RM1,000. Bila kita hasilkan sesuatu dengan tangan dan orang bayar untuk kerja tangan kita, rasa kepuasannya begitu menakjubkan," tambahnya.

Pasangan itu menjelaskan untuk cubaan kedua mereka dalam bisnes batik, mereka mengekalkan cita rasa selari dengan jenama awal Coastal Living tetapi kali ini fokus kepada produk cenderahati untuk pasaran Malaysia.

Menurut Rebecca, menjelang 2007, Malaysia adalah sebuah negara yang berbeza berbanding dengan apa yang dilihatnya pada lewat 90-an.

Pada pandangannya, kuasa belanja rakyat Malaysia telah meningkat dalam tempoh itu.

Perkembangan itu menyebabkan timbul keinginan untuk rakyat negara ini membeli produk yang lebih sofistikated dan bertaraf antarabangsa berbanding sebelumnya.

"Secara keseluruhannya suasana di Malaysia lebih bertenaga. Fenomena ini beserta dengan fokus kerajaan Malaysia untuk menarik pelancong antarabangsa menyakinkan kami ada potensi untuk cenderahati batik, buatan tangan yang mempunyai reka bentuk menarik.

"Inilah kisah permulaan Coast Handamade," kata Rebecca.

Nasi ayam bakar

Posted: 15 Aug 2013 08:44 PM PDT

Mohd. Fadzil Mohd. Halime (kanan) bersama rakan kongsinya, Hasnuddin Ahmad.

TIDAK hanya setakat itu, limpahan kicap cair dan juga pes cili menjadikan sajian nasi ayam bertambah enak apabila terasa kepedasan dan kemasinannya seimbang.

Hari ini kita boleh melihat di merata-rata tempat terdapatnya restoran yang menjual nasi ayam tidak kira nasi ayam biasa mahupun nasi ayam Hainan.

Jika kedua-dua sajian nasi ayam ini dapat dilihat perbezaan daripada cara masakan ayamnya iaitu goreng dan kukus, yang terbaharu kini berada di pasaran ialah nasi ayam bakar.

Yang membezakan hanyalah cara masakan ayamnya dan ia juga dilihat satu hidangan sihat apabila ia dimasak secara bakar.

Namun begitu, nasi yang disajikan masih lagi rasanya sama seperti nasi-nasi ayam lain yang dijual.

Menurut pemilik Restoran Rawang Nasi Ayam Bakar, Mohd. Fadzil Mohd. Halime, 45, idea untuk menghasilkan nasi ayam di mana ayamnya dibakar tercetus apabila terfikir bagaimana hendak menyajikan satu hidangan sihat kepada masyarakat.

Ini kerana menurutnya lagi, dengan keadaan sekeliling yang dilihat semakin tidak sihat, dia sebagai seorang pengusaha makanan ingin tampil sesuatu yang mampu memberi kebaikan kepada pelanggannya.

Berbicara lanjut mengenai nasi ayam yang dijual di restorannya, ulas Mohd. Fadzil, kedainya hanya menyajikan ayam segar setiap hari untuk dinikmati para pelanggannya.

Selain ingin menjaga kualiti, pihaknya juga percaya makanan yang dihasilkan daripada bahan-bahan segar rasanya sangat enak.

Kami di sini sememangnya menyajikan sajian segar di mana ayam-ayam untuk nasi ayam ini dibeli setiap hari untuk menjamin kesegarannya.

Ini secara tidak langsung nasi ayam di sini berkualiti dan pada masa yang sama kami turut menjaga setiap pelanggan yang hadir untuk menikmati hidangan di sini," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 12G, Jalan Pahat 15/J, Kompleks Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam.

Dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 12 tengah malam, Mohd. Fadzil menyatakan pihaknya membakar ayam dengan menggunakan periuk khas yang bernama Apollo.

Dengan periuk ini, ia mampu mengekalkan bau aroma ayam tersebut selain ayam tersebut akan dimasak sekata.

Bukan itu sahaja malah Mohd. Fadzil turut memberitahu keenakan pes cili yang disajikan di restorannya turut menggamit kehadiran pelanggan untuk menikmati nasi ayam bakar di situ.

Dihasilkan daripada resipi ibunya sendiri secara tidak langsung menjadikan gabungan ayam bakar dan juga pes cili tersebut satu hidangan yang lazat.

Pada masa yang sama keenakan rasa nasi itu sendiri, ayam serta pes cili yang dihidangkan bersama turut memainkan peranan penting dalam menentukan hidangan tersebut sedap ataupun tidak.

Nasi ayam yang disediakan di restoran ini juga lembut dan keenakannya ditambah pula dengan keranggupan timun jepun yang dihidangkan bersama ayam bakar.

Turut disajikan bersama semangkuk sup, Rawang Nasi Ayam Bakar juga boleh dinikmati bersama hidangan sampingan lain seperti kerabu mangga, taugeh celur, dan tauhu Jepun.

Hanya RM5.50 bagi sepinggan nasi ayam, ia dilihat satu harga yang amat berbaloi dan hidangan ini juga boleh didapati dalam bentuk set.

Untuk sepanjang bulan Ramadan ini, Restoran Rawang Nasi Ayam Bakar akan dibuka setiap hari tetapi hanya memulakan operasi pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

Jelas Mohd. Fadzil, pihaknya menyediakan hidangan dalam bentuk set yang berharga RM10, terdiri daripada nasi ayam, air (bandung cincau, sirap limau atau air panas), kuih-muih, dan bubur.

- MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kampung 50 tahun tiada air paip

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Paip yang telah siap dipasang tetapi tiada meter air di Kampung Kemensah Hulu di Hulu Klang, Selangor. - UTUSAN/Rabbani Jamian

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sebanyak 13 keluarga di kawasan setinggan Kampung Kemensah Hulu di Hulu Klang berharap isu ketiadaan bekalan air bersih ke kediaman mereka diselesaikan segera oleh pihak berkenaan.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memasang paip ke rumah mereka di bawah program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) 2011 yang siap pada tahun lalu, namun sehingga kini air paip belum dibekalkan ke rumah mereka dan meter belum dipasang.

Penduduk mendakwa, pihak kontraktor yang memasang paip itu memberitahu bahawa sambungan meter hanya boleh dilakukan jika mendapat kelulusan daripada Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB), Pejabat Daerah Gombak.

Ini menyebabkan penduduk terpaksa terus menggunakan air dari bukit berhampiran untuk kegunaan harian mereka, rutin yang mereka ulangi sejak kewujudan penempatan tersebut kira-kira 50 tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu baru-baru ini mendapati, kesemua rumah penduduk terbabit telah mempunyai paip besi tetapi tiada meter yang menyambungkannya dengan paip komunikasi di dalam rumah.

Seorang penduduk, Zaher Abu Bakar, 45, berkata, apa yang diharapkan oleh penduduk adalah untuk mendapatkan bekalan air bersih sahaja.

Bayangkan generasi dahulu yang mendiami penempatan ini hingga generasi sekarang hanya menikmati air dari bukit. Setiap kali waktu hujan, keadaan air bertukar menjadi keruh, membuatkan kami bimbang dengan tahap kesihatan kami.

Saya menetap di sini sejak kira-kira 22 tahun lalu, bila lagi kami mahu menikmati bekalan air bersih seperti orang lain walaupun kami berstatus penduduk setinggan. Kami telah membangkitkan isu ini dan memohon bekalan air sejak 2008 kepada wakil rakyat di sini.

Akhirnya, pihak kementerian berkenaan telah menyediakan paip utama ke sini pada tahun lalu. Pihak kontraktor menyuruh kami tunggu sehingga mendapat kelulusan PLB bagi permohonan pemasangan meter," katanya ketika ditemui.

Jirannya, Subki Mad Piah, 48, berkata pihak berwajib perlu segera menyelesaikan isu itu demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk terlibat.

Tanah yang kami diami ini merupakan tanah kerajaan. Jika dahulu, kami tidak tahu saluran untuk mengadukan permasalahan ini kerana ketika itu tiada paip air utama disediakan," jelasnya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wak Saimi, 78, juga berharap dapat merasai bekalan air bersih kerana telah berpuluh tahun menggunakan air dari bukit.

Pakcik mahu merasai bekalan air bersih. Di sini, telah disediakan bekalan elektrik tetapi bagaimana pula dengan bekalan air? Ia adalah keperluan utama manusia, itu lebih penting," ujarnya.

Mangsa kebakaran perlu pindah ke Bukit Jalil

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Kamariah Zihin (tiga dari kiri) dan keluarganya ketika melawat mangsa kebakaran Kampung Puah Bahagia yang kini berada di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kementerian Wilayah Persekutuan berjanji akan menempatkan 42 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Puah Bahagia dan Kampung Chubadak, Sentul di Projek Perumahan Rakyat (PPR) terdekat dengan rumah asal mereka jika terdapat kekosongan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, untuk sementara waktu semua mangsa, yang kini ditempatkan di Dewan Komuniti Taman Ibu Kota perlu berpindah ke PPR Bukit Jalil untuk memberi laluan kepada majlis perkahwinan yang akan diadakan di dewan itu esok.

"Buat masa ini memang tiada rumah PPR berdekatan yang kosong untuk menempatkan mangsa. Ada pihak tertentu yang cucuk jarum dengan mengatakan masih terdapat kekosongan di PPR Batu Muda.

"Sebenarnya itu untuk perpindahan penduduk setinggan yang terlibat dengan projek pelebaran jalan di Jalan Lingkaran Tengah II (JLT11) yang telah dijanjikan oleh kerajaan sejak sekian lama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran rumah panjang Bandar Baru Sentul di Dewan Komuniti Taman Ibu Kota hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, sebanyak 37 buah rumah, termasuk dua buah yang dihuni rakyat asing, musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 1250 pagi di Kampung Puah. Kejadian itu berlaku hanya sehari selepas tujuh buah rumah hangus dalam kejadian di Kampung Chubadak yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Sementara itu, rata-rata mangsa kebakaran yang ditemui berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak berkaitan kerana bertungkus-lumus membantu mereka.

Mereka turut berharap agar dipindahkan semula ke kawasan berdekatan memandangkan tiada kemudahan pengangkutan untuk mereka menjalankan aktiviti harian.

Che Senah Che Wil, 57, bagaimanapun berkata, dia menolak untuk dipindahkan ke PPR Bukit Jalil atas sebab kukuh.

"Makcik mempunyai masalah kesihatan yang serius dan perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur setiap minggu, dan jika berpindah ke sana (PPR Bukit Jalil) makcik tidak mempunyai kenderaan untuk berulang-alik ke hospital.

"Bagaimana pun makcik faham DBKL dan kementerian telah berusaha mencari penempatan untuk kami. Namun buat sementara waktu ini biarlah makcik tinggal di rumah anak sehingga dimaklumkan jika terdapat kekosongan di kawasan sekitar," ujarnya.

S. Ravi, 52, pula berkata, dia dan isteri berharap supaya kerajaan menempatkan mereka di kawasan yang lebih dekat.

"Anak-anak bersekolah di Sentul, isteri pula bekerja sebagai tukang cuci, dan saya pula mengalami kecederaan di kaki yang memerlukan saya kerap berjumpa dengan doktor. Memang kami akan mempunyai masalah besar jika lama tinggal di PPR Bukit Jalil.

"Saya harap pihak berkaitan bantu kami dan cari alternatif untuk menempatkan kami di kawasan berhampiran agar kami dapat menjalankan aktiviti harian dengan selesa," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut memberi sumbangan peribadi sebanyak RM500 kepada 42 keluarga mangsa tersebut.

JP Klang anjur program masyarakat sempena hari kemerdekaan

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Johnson Tee (enam dari kanan) bergambar bersama wakil penaja selepas sidang akhbar mengenai tiga program yang akan dijalankan oleh JP Daerah Klang sempena sambutan kemerdekaan negara di Klang, Selangor, semalam.

KLANG 16 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Jaksa Pendamai (JP) Daerah Klang akan menganjurkan beberapa program kemasyarakatan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-56, dengan kerjasama syarikat korporat ACMAR International.

Menurut Presiden JP Daerah Klang, Johnson Tee, antara program yang akan diadakan adalah pertandingan badminton, kempen derma darah dan meraikan sambutan hari kemerdekaan yang turut melibatkan Klang Executive Club (KEC) selaku pengelola.

"Kesemua program yang bakal diadakan sebenarnya merupakan acara tahunan yang dikelolakan oleh KEC sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.

"Namun tahun ini pihak KEC sudi mengadakan program-program tersebut dengan kerjasama JP Daerah Klang dan ACMAR International," katanya kepada pemberita di pejabat KEC di sini hari ini.

Mengulas lanjut Johnson berkata, pertandingan badminton akan diadakan pada 24 dan 25 Ogos ini di dewan badminton Sekolah Sri ACMAR, Bandar Baru Klang dan di KEC sendiri.

Katanya lagi, pertandingan tersebut melibatkan remaja bawah 18 tahun dan golongan dewasa dengan bayaran yuran penyertaan masing-masing RM40 dan RM50.

"Di samping acara sukan badminton, kami juga akan mengadakan kempen derma darah pada 25 Ogos dari pukul 9 pagi hingga 2 petang di KEC.

"Acara terakhir adalah sambutan kemerdekaan pada 30 Ogos bermula pukul 8.30 pagi yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


MDP harap penduduk lebih positif

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

PONTIAN 15 Ogos - Cadangan pembangunan sebuah tapak pelupusan sisa pepejal sanitari bernilai RM20 juta perlu diterima secara positif oleh penduduk bagi memastikan daerah ini tidak berhadapan dengan krisis sampah pada masa akan datang.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunus, tapak cadangan seluas 10.66 hektar di Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja itu akan menggantikan tapak pelupusan sampah sedia ada di Jalan Sawah, Pekan Nanas yang tidak lagi mampu beroperasi dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

"Ia dijangka dapat menampung kira-kira 160 tan bahan buangan yang diterima dari seluruh Pontian pada masa tersebut. Tapak cadangan pelupusan baru di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara penting memandangkan ketika ini sebanyak 120 tan sampah diterima oleh pusat pelupusan Jalan Sawah.

"Kami berharap cadangan ini dapat diterima oleh penduduk memandangkan jumlah sampah yang meningkat pada setiap hari memerlukan sistem pengurusan yang baik ditambah dengan pengunaan teknologi terkini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis dialog bersama penduduk kampung mengenai kajian penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari di Balai Raya Kampung Ulu Pulai, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar; ADUN Pekan Nanas daripada DAP, Yeo Tung Siong; Perunding Projek Asia Pacific Environmental (ASPEC), Datin Zaharah Mahmud dan Ketua Kampung Ulu Pulai, Abd. Aziz Layong.

Tambah Miswan, cadangan tapak pelupusan tersebut tidak akan menjejaskan penduduk berhampiran seperti di Ulu Choh, Kampung Ulu Pulai, Taman Mas Merah, Kampung Batu 26 dan Kampung Jeram Batu.

Bagaimanapun, kira-kira 100 penduduk yang menghadiri dialog tersebut menolak cadangan berkenaan kerana bimbang lokasinya yang dirasakan terlalu hampir dengan kawasan kampung sekali gus berisiko menjejaskan kehidupan seharian serta kualiti hidup 1,500 penghuninya.

Abd. Aziz menegaskan, penduduk tidak mahu melalui hari-hari yang diselubungi bau sampah walaupun pihak perunding memberi jaminan masalah tersebut tidak berlaku memandangkan tapak tersebut akan beroperasi selama 20 tahun.

"Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memastikan tapak pelupusan itu tidak dibina berhampiran Kampung Ulu Pulai dan bercadang membawanya kepada pengetahuan Menteri Besar Johor," ujarnya.

Kempen kesedaran kesihatan Regency-Handal Indah

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Sebahagian daripada kakitangan Regency Specialist Hospital dan Handal Indah bergambar kenangan selepas pelancaran bas kempen kesedaran untuk penduduk Johor Bahru dan Singapura di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 15 Ogos - Hospital Pakar Regency baru-baru ini menjalin kerjasama dengan Handal Indah Sdn. Bhd. untuk melancarkan bas yang dihiasi dengan tema hospital tersebut dengan tujuan meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan yang disediakan di negeri ini dan seberang Tambak Johor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chin Wei Jia berkata, bas yang diberi nama Regency Specialist Hospital Causeway Link Bus itu dipenuhi dengan imej para doktor, jururawat dan bangunan hospital tersebut dengan elemen warna jingga dan hijau untuk menarik perhatian ramai.

"Bermula Ogos, Regency akan terpapar di 10 buah bas yang melalui jalan tempatan Johor Bahru serta ke sebarang tambak di Woodlands.

"Kita menyasarkan rakyat tempatan yang bekerja atau tinggal berdekatan pusat bandar serta ratusan penduduk tetap Singapura yang menggunakan Tambak Johor setiap hari," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, moto Your Health, Our Passion yang ditulis di bahagian atas bas dapat menyematkan ingatan orang ramai terhadap Regency, selain menjadi inspirasi kepada kakitangan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

Sementara itu, Pengurus Operasi dan Pemasaran Handal Indah, Fang Lim berkata, kerjasama dengan Regency adalah salah satu usaha untuk menterjemah maklumat penjagaan kesihatan kepada masyarakat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


'Saya Ketua Menteri untuk semua'

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron (tengah) memotong kek pada Majlis Meraikan Genap 100 Hari Dilantik Sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 di pejabat Seri Negeri, Air Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad

MELAKA 15 Ogos - Ketua Menteri, Datuk Idris Haron menafikan beliau hanya mengutamakan orang Melayu sejak memegang tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada 7 Mei lalu.

Tegasnya, beliau tidak bersikap rasis terhadap kaum lain sebaliknya orang Cina, India, Chetty, Portugis dan lain-lain tidak pernah diabaikan, sebaliknya diberikan layanan sama rata.

''Dakwaan yang mengatakan saya hanya menjaga kepentingan orang Melayu dan bersikap rasis terhadap kaum lain di negeri ini adalah tidak benar sama sekali.

''Saya adalah Ketua Menteri untuk semua kaum, bukan hanya untuk satu kaum iaitu untuk orang Melayu atau Cina tetapi untuk semua kaum termasuk India, Portugis, Chetty dan sebagainya," katanya pada Majlis Meraikan Genap 100 Hari Dilantik Sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 Menggantikan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis serba ringkas itu, beliau memotong kek yang disumbangkan kakitangan Jabatan Ketua Menteri.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Datuk Latipah Omar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar.

Mengulas mengenai genap 100 hari beliau menjadi Ketua Menteri, Idris berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak yang tidak sangsi dengan kepimpinannya.

''Signifikannya genap 100 hari saya menjadi Ketua Menteri ialah untuk melihat saya berjaya melepasi tahap ini dengan sempurna.

''Alhamdulillah, dari hari pertama mengangkat sumpah seterusnya melantik Exco kemudian mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri serta agensi, menguruskan masa serta berdepan isu seperti Jonker Walk dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, sokongan padu daripada ahli mesyuarat kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan serta agensi lain banyak membantunya melaksanakan pentadbiran negeri tanpa sebarang masalah.

''Kalau nak diikutkan siapa Idris, berapa lama dia main politik, tetapi hari ini sudah duduk sebagai Ketua Menteri dan kerusi Perhubungan UMNO negeri tetapi ini adalah sokongan daripada abang dan kakak saya seperti Ahmad (Hamzah), Othman (Mohamad), Latipah (Omar) dan ramai lagi," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak termasuk rakyat untuk mengemudi Melaka ke mercu yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Infrastruktur, hartanah perlu dibangunkan

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

SEREMBAN 15 Ogos - Merancang pembangunan infrastruktur turut sama penting supaya ia tidak menyekat sebarang usaha pembangunan hartanah yang kini sedang rancak dalam pembinaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha yang komited itu tidak boleh dibuat sambil lewa kerana kedua-dua pembangunan itu hendaklah jalan seiring.

"Kalau kita tidak rancang dengan betul pembangunan infrastruktur ini, ia akan menjejaskan minat pemaju atau pelabur untuk membangunkan hartanah dan kilang mereka. Ia perlulah ada akses jalan raya yang baik," katanya di sini hari ini.

Tambah Mohamad, hal itu perlukan ketelitian dan kesungguhan merancang, kerana ia adalah aset jangka masa panjang, yang bukan sahaja menyaksikan pembangunan sekitarnya tetapi turut menempatkan kawasan perumahan baharu di pesisirnya.

"Sebab itu dalam waktu terdekat ini, kerajaan akan menyambung beberapa fasa lagi projek Jalan Lingkaran Tengah Seremban (MRRS), di mana ketika ini sedang dalam pembangunan melibatkan beberapa kawasan di Labu.

"Kita juga telah di peringkat akhir dan bersetuju untuk membina satu lebuh raya baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Seremban dan disambung ke Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).

"Selain itu juga, beberapa lagi jajaran jalan baharu juga akan dibina iaitu menghubungkan Seremban-Sendayan-LBJ-KLIA," katanya.

Justeru beliau optimis, dengan pembukaan jalan baharu itu kelak, Seremban akan menerima limpahan pembangunan dalam sebuah kawasan Lembah Klang yang besar.

"Ini akan memuncakkan lagi ekonomi negeri ini pada angka yang lebih selesa selepas merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2012 sebanyak 6.2 peratus," ujarnya.

Dalam masa yang sama, Mohamad akan meneruskan semua usaha mensejahterakan rakyat dan ia bukanlah projek yang boleh terhenti walaupun sedetik.

"Jika kita hentikan projek mensejahterakan rakyat ini, ia akan memusnahkan masa hadapan baik mereka. Ini akan dibuat berterusan, tanpa mengira tempoh 100 hari atau selebihnya. Ia adalah kerja yang patut dibuat setiap hari dan setiap detik waktu," katanya.

Melaka MITS Matta 2013 sasar RM20 juta

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

MELAKA 15 Ogos - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan perolehan sebanyak RM20 juta menerusi pameran Melaka MITS Matta Fair 2013 Ke-10 yang bermula 23 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, sasaran itu dapat dicapai berikutan kedatangan 40,000 pengunjung yang dijangka hadir pada pameran yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Menurutnya, pada pameran yang sama tahun lalu hasil jualan yang diperoleh daripada pameran tersebut sebanyak RM12 juta.

"Objektif utama Melaka MITS Matta Fair 2013 adalah untuk menyediakan platform bagi 50 pempamer dari dalam dan luar negara termasuk organisasi pelancongan mempromosikan pakej serta produk masing-masing.

"Pameran kali ini mendapat sokongan penuh pelbagai pihak termasuk pengendali kapal persiaran, taman tema, pengusaha hotel, bank, syarikat insurans dan telekomunikasi," katanya dalam sidang akhbar sempena pameran Melaka Mits Matta Fair 2013 di bilik Mesyuarat Rumah Media Melaka, Ayer Keroh dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Tourism Melaysia Melaka, Jefri Munir; Pengerusi MATTA Melaka, Amanda Yau dan Penasihat MATTA Melaka, Goh Hock Jin.

Menurut Ghazale, pameran yang akan berlangsung selama tiga hari itu akan dihadiri Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.

"Daripada 150 gerai pameran yang mengambil bahagian, 16 daripadanya merupakan gerai jualan milik Tourism Malaysia serta beberapa organisasi luar negara antaranya Macau Tourisme Office, Korea Tourisme Authority dan Taiwan Tourisme Bereau KL," katanya.

Beliau menambah, pameran tersebut secara tidak langsung juga mampu mempromosi negeri Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan terunggul di rantau Asia.

Sementara itu, Amanda berkata, berikutan kejayaan pameran Matta sebelum ini, penganjur juga semakin terdorong untuk memperbanyakkan lagi aktiviti bagi meningkatkan jualannya pada kali ini.

"Pihak penganjur dan pempamer yang mengambil bahagian akan menawarkan pelbagai tawaran hebat termasuk aktiviti menarik sebagai tarikan kepada pengunjung.

"Antaranya ialah hadiah cabutan bertuah berupa pakej penerbangan ke Eropah, kuiz pelancongan dan pertandingan mewarna yang terbuka kepada semua pengunjung sama ada mereka membeli pakej ataupun sekadar mengunjungi pameran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved