Khamis, 1 Ogos 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Perginya permata hoki negara

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

Oleh AZRAI MOHAMMAD dan ABDUL HAFIZ AHMAD
pengarang@utusan.com.my

Chua Boon Huat

PETALING JAYA - Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yakin skuad hoki negara tidak terjejas dengan fokus untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan dengan menjuarai Piala Asia, bulan ini sekalipun terasa kehilangan rakan sepasukan mendiang Chua Boon Huat, semalam.

Katanya, seluruh warga hoki negara akan sentiasa mengingati jasa mendiang yang mengumpul lebih 300 penampilan antarabangsa sejak menyarung jersi Malaysia yang meraih pingat perak Sukan Komanwel 1998, dan menyifatkannya kehilangan besar kepada sukan tanah air.

Saya sempat bertanya kepadanya (pada majlis penyampaian insentif kecemerlangan skuad hoki negara, kelmarin) mengenai tahap kecergasan dan berat badannya dan dia menjawab dengan positif dan berkata, sudah bersedia (ke Piala Asia di Ipoh mulai 24 Ogos ini).

Kita akan terasa kehilangannya. Jasanya tetap akan diingati semua namun saya harap tumpuan pasukan tidak terjejas dalam meneruskan perjuangan untuk layak ke pusingan akhir (Piala Dunia di The Hague, Belanda, tahun depan)," katanya di Pusat Perubatan Hospital Universiti Malaya di sini, semalam.

Boon Huat, 33, terbunuh dalam nahas jalan raya melibatkan kereta Proton Perdana yang dipandunya dengan sebuah lori di Kilometer 10.4, Lebuh Raya Damansara-Puchong dekat Stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi semalam.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Boon Huat, berkata, pemain itu akan sentiasa diingati sebagai tokoh teladan terbaik buat barisan pemain muda hoki apatah lagi dia merupakan satu-satunya pemain berketurunan Cina dalam skuad negara.

Sudah pasti sesuatu kaum itu bukanlah pengukur utama kejayaan sesebuah sukan tetapi kejayaan mendiang memasuki sebuah sukan yang dikuasai kaum tertentu apatah lagi sehingga ke peringkat antarabangsa, pastinya akan turut menjadi sumber inspirasi kepada barisan pemain baharu," katanya.

Kata ketua jurulatih negara, Paul Revington, mendiang Boon Huat merupakan pemain paling berdisiplin terutama selepas dipanggil semula menyertai skuad hoki kebangsaan di bawah kendaliannya bagi menghadapi Cabaran Juara-juara 1 di Argentina, tahun lalu.

Kata jurulatih warga Afrika Selatan ini, pemain kelahiran Melaka itu turut menunjukkan prestasi yang luar biasa biarpun selepas tiga tahun tersisih daripada skuad negara malah cukup membanggakannya setiap kali melihatnya melakukan persediaan di bilik persalinan.

Revington berkata: Dia tidak lokek memberikan tunjuk ajar kepada pemain yang lebih muda dalam pasukan negara. Dia seorang yang hebat dan saya percaya dia menyayangi setiap rakan sepasukannya."

Jurulatih skuad wanita, Nasihin Nubli Ibrahim tidak menyangka mendiang yang pernah menjadi rakan sepasukannya dalam skuad negara, menunjukkan kelakuan yang agak asing kebelakangan ini dengan sering bercerita tentang kisah silamnya.

Puasa bukan punca kalah teruk

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

Ahmad Shabery Cheek (tengah) pada majlis Pengumuman Kerjasama Astro dan Telekom Malaysia Untuk Kandungan Sukan Tempatan dan Antarabangsa di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar berkata, kekalahan teruk yang dialami skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan di Jepun mungkin disebabkan para pemain berpuasa dan perlawanan diadakan pada sebelah petang.

"Namun bagi saya itu tidak boleh dijadikan alasan sebagai punca kekalahan teruk skuad kebangsaan," kata ketua pasukan ATM itu pada Pengumuman Kerjasama Astro dan Telekom Malaysia (TM) Untuk Kandungan Sukan Tempatan dan Antarabangsa yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, semalam.

Yang turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa.

Hairuddin berpendapat, skuad negara juga perlu mengurangkan pembabitan dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus kelab dan hanya memberi tumpuan kepada pertemuan dengan pasukan kebangsaan negara lain.

Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan kepada tiga pasukan berstatus kelab di Jepun dan yang terbaru di belasah 0-5 oleh Tokyo Verdy, kelmarin menjejaskan maruah serta persepsi umum terhadap pasukan bimbingan Datuk K. Rajagobal itu.

Katanya, tiga kekalahan kepada pasukan berstatus kelab dan menyaksikan gawang Malaysia dibolosi sebanyak 12 kali hanya akan meletakkan skuad kebangsaan berada dalam situasi sukar apabila hendak mengatur perlawanan persahabatan pada masa akan datang.

"Mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan berstatus kelab ada kebaikan dan keburukannya. Kita kena mengambil kira soal ranking. Ranking amat penting, jika kedudukan kita jatuh, peluang untuk kita mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih baik agak sukar.

"Kekalahan tersebut hanya akan mengundang persepsi yang tidak baik terhadap skuad kebangsaan yang akan dianggap sebagai sebuah pasukan yang lemah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai khabar angin bahawa dia akan kembali ke pangkuan skuad Terengganu pada musim depan, Hairuddin berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai perpindahan kerana saingan Piala Malaysia baru sahaja hendak bermula dan tumpuannya kini hanya terarah kepada saingan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lelaki ditembak di petak kuning persimpangan

Posted: 01 Aug 2013 09:19 PM PDT

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Seorang pekerja kedai emas cedera parah apabila ditembak oleh dua individu menaiki motosikal di Pandan Indah dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8,45 pagi ketika mangsa memberhentikan kenderaan jenis Toyota Camry yang dinaikinya di dalam petak kuning di persimpangan berhampiran sebuah bank. - UTUSAN

Ubat kuat seks RM14.5j dirampas

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

Penguat kuasa Unit Farmasi, Kementerian Kesihatan memeriksa pelbagai jenis ubat perangsang seks yang dipercayai tiruan dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan di sebuah stor di Pandamaran, Klang semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

PELABUHAN KLANG 1 Ogos - Sebuah gudang pembekal perkhidmatan kejuruteraan di Pandamaran di sini antara tiga premis yang diserbu selepas dipercayai dijadikan tempat mengilang beberapa ubat perangsang seks yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Dua lagi serbuan dibuat di sebuah bangunan yang dijadikan pejabat jualan ubat perangsang seks tersebut di Taman Botanic di sini dan sebuah rumah kedai yang dipercayai dijadikan kilang dan stor ubat perangsang seks untuk dieksport di Sungai Buloh, Petaling Jaya.

Dalam serbuan di Taman Botanic dan Pandamaran yang dibuat oleh Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan itu, enam jenama ubat perangsang seks bernilai RM1.5 juta antaranya Vimax dipercayai tiruan dan Casa Grande yang dicampur dengan bahan kimia terlarang iaitu avanafil dirampas.

Ubat perangsang seks Casa Grande yang telah dihentikan pengeluarannya sejak 2010 itu juga didapati mengunakan hologram dipercayai milik anak syarikat kerajaan Selangor.

Sementara itu, serbuan di Sungai Buloh pula berjaya merampas ubat yang masih belum dijenamakan dengan label Rusia bernilai RM13 juta dipercayai untuk dieksport.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Wan Hamid Wan Ibrahim berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya membuat siasatan hasil aduan orang ramai yang mengalami kesan negatif selepas menggunakan Casa Grande yang dijual RM20 setiap kapsul pada Mac lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan, pihaknya mendapat maklumat tentang sebuah syarikat di Taman Botanic yang merupakan pejabat jualan ubat perangsang seks tersebut dan dua lagi premis yang dipercayai dijadikan tempat mengilang dan stor ubat-ubatan itu.

Menurut beliau, kesemua tiga premis tersebut akhirnya diserbu dan salah satunya iaitu di Pandamaran didapati digunakan untuk mengilang Casa Grande dan lima lagi ubat perangsang seks lain termasuk Vimax yang merupakan produk dari Kanada dan laris dijual di internet dengan harga RM380 sebotol.

"Vimax yang dirampas ini dipercayai tiruan kerana sepatutnya diproses dan dikilangkan di Kanada bukan di Pandamaran. Kita juga menemukan beberapa bukti termasuk kapsul, botol dan kotak kosong serta mesin memproses ubat di situ.

"Kita sedang menyiasat bagaimana jenama Casa Grande yang telah dihentikan pengeluarannya sejak 2010 tetapi masih dipasarkan malah dilengkapi hologram Kementerian Kesihatan milik anak syarikat kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas serbuan di Pandamaran di sini hari ini.

Wan Hamid berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga premis terlibat mempunyai kaitan tetapi tiada tangkapan dilakukan kerana pemilik premis sedang dikenal pasti.

Beliau berkata, syarikat di Taman Botanic itu juga sebelum ini pernah diserbu Kementerian Kesihatan atas kesalahan sama tetapi melibatkan ubat lain.

"Kita siasat kes kini mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM25,000 bagi kesalahan pertama, RM50,000 bagi kesalahan kedua atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," kata beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Hyundai labur RM8.5 juta

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
ekonomi@utusan.com.my

Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd., telah membuka pusat 3S yang bernilai RM8.5 juta di Klang, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Century Autohaus Sdn. Bhd. telah melabur sejumlah RM8.5 juta bagi membuka pusat 3S (pusat servis, jualan dan alat ganti) Hyundai di Klang hari ini.

Pusat tersebut akan memberi perkhidmatan kepada pelanggannya di Klang serta kawasan berhampiran seperti Shah Alam, Kuala Selangor dan Banting.

Ketua Hyundai Motor Company (HMC), Kim Hoo-Keun berkata, pihaknya kagum dengan peningkatan bilangan pusat 3S di Malaysia.

"Peningkatan jumlah pusat 3S menunjukkan peningkatan jualan kenderaan Hyundai atau Inokom di Malaysia dan saya gembira apabila pemandu negara ini melihat nilai yang ada untuk kenderaan Hyundai," katanya.

Menurut beliau, pusat 3S dengan ukuran kemudahan seluas 11,000 kaki persegi tersebut dibina di atas tanah seluas 18,000 kaki persegi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM), Lau Yit Mun berkata, pengembangan rangkaian pusat-pusat 3S Hyundai di seluruh negara adalah salah satu strategi syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan dan kepuasan pelanggan.

"Pada masa ini, Hyundai mempunyai empat peratus penguasaan pasaran di Selangor dan kami berharap dengan model baharu akan datang, Hyundai dapat meningkatkan penguasaan pasaran," ujarnya.

Katanya, pembukaan pusat 3S baharu tersebut selaras dengan Program Peningkatan Usahawan (DEP) Hyundai.

DEP diperkenalkan oleh HMC untuk mengukuhkan jenama Hyundai sejajar dengan imej korporat global Hyundai serta untuk meningkatkan pengalaman pemilikan pelanggan.

Pusat 3S terbabit terletak di Lot 25065, Jalan Jelai 10/KS1, Teluk Gadong Besar, Pelabuhan Klang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Ubah aliran trafik Kuantan

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

MUHAMMAD FAIZ HASHIM
Kuantan.

Keadaan jalan raya kini sesak di Kuantan walaupun bukan pada waktu puncak.

Saudara Pengarang,

Sejak kebelakangan ini, rata-rata masyarakat Kuantan bercerita hal laluan sehala di bandar ini. Ada memberi pandangan positif dan tidak kurang juga komen negatif atas sebab kesulitan dan jalan semakin sesak yang mereka alami.

Perlu kita ketahui dengan minda yang terbuka dan berlapang dada, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sememangnya berniat baik untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di bandar Kuantan dan tidak berniat langsung untuk menyusahkan masyarakat di daerah ini.

Namun, setiap perubahan dan perkara kebaikan yang mahu dilaksanakan mestilah ada salah silapnya dan pihak MPK cuba untuk memperbaiki dan menambah baik setiap perkara dilaksanakan.

Sebab itulah, laluan sehala dilaksanakan adalah dalam tempoh percubaan sehingga Oktober ini bagi pihak MPK mengkaji dan menilai setiap respons, pandangan dan cadangan daripada orang ramai untuk memastikan aliran trafik berada dalam keadaan yang terbaik.

Sesuatu perubahan pada perkara yang telah lama menjadi kebiasaan memanglah mengambil masa dan memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada pengguna jalan raya di Kuantan ini. Pengguna juga harus bijak merancang perjalanan bagi mengelakkan mengguna laluan yang telah diketahui sesak pada waktu tertentu.

Saya merasakan sekarang adalah masa terbaik untuk MPK mencuba laluan baharu iaitu waktu kenderaan betul-betul banyak terutama menjelang musim perayaan ini bagi mendapatkan bancian dan gambaran sebenar kesesakan yang berlaku.

Pastinya, setiap kesesakan yang berlaku ini adalah menjadi kayu pengukur kajian dan penilaian pihak MPK dalam tempoh percubaan untuk melakukan penambahbaikan dan mencari formula yang terbaik bagi menyelesaikannya.

Sebagai masyarakat Kuantan yang prihatin dan rasional, janganlah kita asyik menuding jari mencari kesalahan, sebaliknya marilah bersama-sama memberi cadangan dan pandangan bernas demi kesejahteraan bersama.

Sebagai contoh, cadangan demi penambahbaikan untuk melaksanakan sistem jalan sehala ini, sistem lampu isyarat mestilah diminimumkan.

Jika tetap ingin menggunakan lampu isyarat, MPK perlu memastikan di setiap jalan yang lurus contohnya dari Jalan Wong Ah Jang sehingga Jalan Tun Ismail, jika satu lampu isyarat hijau maka sepanjang jalan tersebut kesemua lampu isyarat mestilah hijau bagi memastikan kelancaran trafik.

Kaedah bulatan atau 'round about' juga boleh difikirkan terutama di persimpangan Jambatan Tanjung Lumpur-Telok Sisek bagi meminimumkan penggunaan lampu isyarat.

Penduduk dan pengguna jalan raya haruslah bersabar dan memberi peluang kepada MPK memikir dan melaksanakan kaedah terbaik untuk mengurangkan kesesakan yang semakin teruk.

Pastinya, pihak MPK terpaksa mengubah laluan-laluan yang memang kerap mengalami kesesakan terutama di waktu-waktu puncak.

Jika tidak dilakukan sekarang, bila lagi? Adakah mahu melaksanakannya ketika keadaan trafik benar-benar teruk dan lebih menyulitkan?

Hentikan sementara operasi lori bijih besi

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

MAT TEMPUA
Kuala Lipis.

Saudara Pengarang,

SAYA merupakan penduduk daerah Lipis meminta pihak berkuasa menghentikan sementara perjalanan lori muatan bijih besi dari loji di Kerambit ke bandar Kuantan atau tempat lain menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Cadangan itu berasas kerana bermula minggu ini orang ramai khususnya penduduk daerah Lipis dan Jerantut akan keluar berbelanja ke bandar Jerantut, Temerloh dan Kuantan.

Jika tidak dilaksanakan, perkara itu akan mengundang risiko keselamatan pengguna jalan raya serta menimbulkan ketidakselesaan dan lebih membimbangkan akan berlaku kemalangan sehingga kehilangan nyawa orang tersayang.

Lori berkenaan masih beroperasi melalui kawasan kampung di Lipis dan Jerantut untuk mengangkut bijih besi ke depot dan pelabuhan di Kuantan.

Saya menyatakan dalam ruangan ini kerana terdapat lori muatan melebih 80 tan melalui struktur jajaran sempit, berselekoh dan berbukit-bukau sehingga membimbangkan pengguna jalan raya lain terutamanya penunggang motosikal.

Lebih merisaukan apabila lori berkenaan kerap terkandas di laluan berbukit berdekatan Sungai Yap dan Kampung Besul, Jerantut dan Tanjong Buluh, Kerambit di Lipis.

Apa yang merisaukan pengguna jalan raya di sini akhirnya berlaku pada pertengahan Julai lalu apabila seorang pemandu maut setelah kenderaannya merempuh belakang lori muatan bijih timah ketika menuruni bukit.

Sejak lori besi ini beroperasi, keadaan jalan raya juga mengalami kerosakan terutama di laluan berdekatan Kampung Kerambit, Kampung Tanjung Buloh, Kampung Jeram Landak, Kampung Ganding dan Kampung Mela.

Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa supaya menghentikan buat sementara waktu operasi lori berkenaan selama lima hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Cadangan itu dianggap relevan untuk memberi keselesaan pengguna berbelanja dan bersantai tanpa memikirkan kejadian ngeri atau tekanan psikologi ketika berselisih dengan lori berkenaan.

210 asnaf terima sumbangan

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Mohyen Mosman (dua dari kanan) menyerahkan zakat Projek Ehsan Tabung Haji kepada golongan asnaf di Bandar Indera Mahkota, baru-baru ini.

KUANTAN 1 Ogos - Seramai 210 golongan asnaf dari negeri ini menerima sumbangan zakat RM500 setiap seorang menerusi Projek Ehsan Tabung Haji sempena Ramadan kali ini.

Pengarah Tabung Haji negeri, Datuk Mohyen Mosman berkata, keseluruhan zakat yang disampaikan semalam itu berjumlah RM105,000.

"Projek Ehsan yang diadakan pada bulan Ramadan setiap tahun ini adalah bersifat serampang dua mata, pertamanya bertujuan membantu golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

"Dalam masa sama, projek ini juga menjadi platform kepada Tabung Haji untuk mendekati dan mengeratkan lagi silaturahim serta memahami permasalahan yang dihadapi oleh komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Zakat Projek Ehsan Tabung Haji Negeri Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota di sini.

Mohyen berkata, Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawabnya dengan baik terutama dalam soal pembayaran zakat kepada setiap negeri di seluruh negara.

Beliau berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan Tabung Haji jelas memperlihatkan sifat prihatin terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


47 banduan Pakistan berjaya ditahan kembali

Posted: 01 Aug 2013 04:35 PM PDT

PESHAWAR 2 Ogos - Polis Pakistan berjaya memberkas kembali 47 orang banduan yang melarikan diri dari penjara ketika berlaku serangan kumpulan militan Taliban yang menyebabkan 13 orang terbunuh, kelmarin.

Menurut jurucakap penjara, kesemua banduan itu ditahan dalam satu operasi di samping beberapa orang menyerah diri.

Mereka terdiri daripada lima tahanan wanita selain seorang konstabel polis wanita yang telah dijadikan tebusan. - AFP

40 terbunuh di Beirut

Posted: 01 Aug 2013 04:32 PM PDT

BEIRUT 2 ogos - Seramai 40 orang terbunuh manakala lebih 120 yang lain cedera dalam satu letupan di tengah bandar Homs, di sini semalam.

Letupan kuat itu berlaku di daerah Wadi al-Dhahab, kawasan yang dikawal oleh tentera.

Menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, mangsa yang terlibat dalam letupan tersebut terdiri daripada orang awam dan tentera dengan beberapa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Benjy ceraikan isteri kali kedua

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

BENJY @ Khaeryll Benjamin Ibrahim dan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee hadir dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Setelah bercerai dan rujuk semula lima tahun lalu, pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy hari ini melafaz cerai talak satu sekali lagi terhadap isterinya, Safiya Stephanie Kar-Leng Lee di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Lafaz itu dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Khairul Azwadi Mohamed Noor setelah beliau membenarkan permohonan Safiya yang telah difailkan pada 11 Julai lalu.

Safiya, 30, diwakili peguam syarie, Hazirah Othman memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Benjy, 35, memberitahu mahkamah anak guamnya bersetuju dengan permohonan untuk berpisah secara baik itu.

Berdasarkan fakta kes yang dibentangkan Hafizah, pasangan itu yang dikurniakan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, Firdauz Juan Benjamin, telah tinggal berasingan sejak 2010.

Mereka yang bernikah pada 9 Februari 2004 pernah bercerai dengan talak satu pada 7 Julai 2008 namun rujuk semula pada hari yang sama.

Sebelum Benjy yang merupakan anak pelakon, Azean Irdawaty, melafazkan talak, Khairul Azwadi menasihatkan pasangan itu agar tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap anak mereka.

"Mahkamah tidak boleh paksa kamu tinggal bersama kerana takut kamu tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri namun kamu mempunyai anak.

"Selepas ini kamu akan membawa haluan masing-masing namun jangan beri tekanan kepada anak," katanya yang kemudian mengarahkan pasangan itu bersalaman.

Pasangan berkenaan bersalaman kira-kira lima minit sambil Benjy memperkatakan sesuatu kepada Safiya yang dilihat mengangguk-angguk kepala.

Wanita itu turut mencium tangan Benjy yang kemudian mencium dahi Safiya.

Mahkamah mengesahkan lafaz talak satu buat kali kedua itu dan mengarahkan Safiya menjalani tempoh idah sebanyak tiga kali suci.

Sementara itu, di luar mahkamah Benjy memberitahu para pemberita, keputusan untuk bercerai secara baik itu dibuat setelah mereka tidak lagi sehaluan.

"Masing-masing sudah buat hal sendiri namun kami masih berkawan kerana kami mempunyai anak malah penjagaan anak dibuat secara bersama," katanya.

Menurut pelakon yang sedang menghadapi tuduhan memiliki dadah jenis syabu, anaknya kini dipelihara oleh Safiya tetapi akan berada dalam jagaannya setiap hujung minggu.

"Tiada masalah berhubung hak penjagaan anak kerana kami telah ada persetujuan malah Hari Raya Aidilfitri ini saya akan beraya dengan anak saya kerana kami menetap di Kuala Lumpur," ujarnya.

Sepanjang prosiding hari ini, Benjy ditemani bapanya, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi.

Fitnah Anwar: Nallakaruppan dibenar merayu

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

PUTRAJAYA 1 Ogos - Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP), Senator Datuk S. Nallakaruppan dibenar merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan terdahulu yang mendapati beliau bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif membenarkan permohonan itu dan mengarahkan kedua-dua pihak menghujahkan dua persoalan undang-undang dalam rayuan kelak.

Antara persoalan itu ialah sama ada butiran mencukupi yang perlu disediakan oleh pembelaan dalam mematuhi permohonan agar butiran lanjutan dikemukakan, perlu diperiksa oleh ujian objektif yang ketat atau oleh ujian subjektif dengan mengambil kira keadaan keseluruhan kes.

Keadaan kes itu termasuk jurang masa di antara kejadian dan tempoh permohonan bagi butiran terperinci itu dikemukakan serta keupayaan ingatan individu dalam mengingati perincian masa dan tarikh.

Yang turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Ahmad Maarop dan Datin Paduka Zaleha Zahari.

Nallakaruppan diwakili oleh peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diwakili oleh R. Sivarasa.

Beliau memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi yang membatalkan pembelaannya dalam saman yang difailkan oleh Anwar.

Mahkamah Rayuan pada 21 Januari lalu berpendirian bahawa tindakan Mahkamah Tinggi menolak pembelaan Nallakaruppan adalah betul selepas dia gagal membekalkan butiran berhubung dakwaannya terhadap Anwar.

Pada 19 Jun tahun lalu, Hakim Datuk Su Geok Yiam ketika menolak pembelaan Nallakaruppan turut memerintahkan beliau membayar ganti rugi dan kos kepada Anwar yang akan ditaksir oleh Penolong Kanan Pendaftar.

Anwar memohon agar pembelaan Nallakaruppan dibatalkan setelah bekas rakan permainan tenis beliau itu gagal memberi butiran terperinci berhubung dakwaan terhadapnya.

Pada 23 November 2011, Mahkamah Rayuan memerintahkan Nallakaruppan mengemukakan butiran terperinci dalam tempoh dua minggu berhubung dakwaannya dalam satu majlis bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian, Magnum Corporation.

Butiran itu dimohon oleh Anwar dalam samannya terhadap Nallakaruppan bagi menuntut ganti rugi RM50 juta berikutan penerbitan artikel bertajuk 'Anwar Terima RM60 juta' yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia dan Sinar Harian, lima tahun lalu.

Nallakaruppan didakwa menyatakan: ''Anwar mengambil wang sebanyak itu daripada tangan saya sendiri'' ketika berucap dalam satu majlis anjuran Pemuda UMNO di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 23 Ogos 2008.

Bagaimanapun, Anwar mendakwa Nallakaruppan membuat tuduhan palsu berhubung penerimaan wang tersebut manakala Nallakaruppan dalam kenyataan pembelaannya pula mendakwa, Anwar memang menerima wang itu daripada orang tengah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Legasi Melayu dalam tamadun Islam

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM
Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Wilayah Persekutuan.

SEMANGAT perpaduan yang ditegakkan oleh masyarakat Melayu/Islam jelas terpancar pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri setiap tahun. - Gambar hiasan

BULAN Ramadan yang mulia ini, masyarakat Islam di negara kita menerima ujian daripada beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai dugaan terhadap kesabaran dan kewarasan pemikiran umat ini.

Pertama, peristiwa yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah oleh tindakan yang berbentuk diskriminasi terhadap pelajar-pelajar bukan Islam dengan 'memaksa' mereka minum dan makan dekat 'tandas'.

Kedua, keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa tindakan seorang suami, bapa kepada tiga orang anak, mengislamkan anak-anaknya tanpa keizinan ibunya yang masih kekal dalam agama asalnya, tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan.

Sebelum peristiwa ini pun, telah berlaku beberapa penghinaan terhadap umat Islam, termasuk lukisan dan komen sinikal daripada anak muda bukan Islam yang mempersenda ibadat puasa, iaitu menunjukkan sepasang manusia yang berbuka puasa dengan makanan yang bertanda logo Halal, tetapi mesejnya ialah makanan itu amatlah diragui tentang status halalnya.

Peristiwa terbaru yang menguji kesabaran umat Islam juga, ialah penglibatan anak-anak gadis Islam di dalam peraduan Ratu Cantik Malaysia, dan komen-komen pro atau kontranya, termasuk daripada orang Islam sendiri.

Malah, tidak lama dulu, satu keputusan telah pun dibuat di mahkamah tentang kebenaran peguam bukan Islam untuk menjadi peguam Syarie berdasarkan merit, bukan berdasarkan latar belakang agamanya.

Di samping itu kes "kalimah Allah" juga sedang menunggu perintah mahkamah yang akan mendengar bantahan terhadap penggunaan kalimah ini tidak lama lagi, dan bakal menjadi satu lagi kes besar kepada masyarakat Islam dan masyarakat berbilang kaum di negara kita ini.

Saya merasa kagum dan bersyukur kepada Allah SWT kerana nampaknya umat Islam yang menerima 'tamparan' yang agak hebat itu, tetap bersabar dan tidak menunjukkan sebarang reaksi kesal, marah secara melulu, atau bertindak di luar batas-batas tatasusila agama.

Hal ini besar kemungkinan berpunca daripada tabiat umat Islam, terutamanya orang Melayu kita yang sememangnya sering bertindak secara rasional dan meletakkan kepentingan bangsa dan negara di atas segala-segalanya.

Selain itu, kekuatan iman dan kepentingan sifat sabar yang sedang dipelajari daripada ajaran agama dalam bulan puasa ini, mungkin telah memberikan kekuatan kepada umat Islam sendiri supaya menambahkan ketenangan dan kesabarannya. Sebab itulah tidak ada sebarang reaksi mereka yang berdasarkan emosi atau sentimen melulu ketika menghadapi dugaan ini.

Orang Islam sendiri pada mulanya telah menyatakan kekesalan dan kemarahan mereka terhadap berita yang mengatakan bahawa kanak-kanak bukan Islam terpaksa makan dan minum di dalam tandas dalam bulan Ramadan ini, dan akhirnya mereka menerima dengan baik hakikat yang sebenarnya bahawa peristiwa yang berlaku itu bukanlah sebenarnya begitu, malah tempat makan minum ini adalah di dalam bilik persalinan yang tidak digunakan sebagai tandas, dan telah pun digunakan beberapa bulan lalu oleh semua pelajar, tanpa mengira agama dan keturunan, kerana kesempitan ruang kantin sekolah.

Alhamdulillah, nampaknya orang Islam tetap bersabar dan menyiasat kes ini dengan amat terbuka dan luas pemikiran, lalu tidaklah berlaku reaksi yang negatif, walaupun kemudiannya ternyata bahawa terdapat sesetengah kalangan yang ingin menjatuhkan pimpinan sekolah tersebut dan menghina umat Islam sendiri secara yang tidak langsung dengan menyebarkan gambar dan berita tersebut.

Dalam isu yang diputuskan oleh mahkamah tentang pengislaman kanak-kanak itu pula, nampaknya seperti biasa, warga negara kita menerima keputusan mahkamah dengan rela hati, dan tidak memberikan sebarang reaksi yang tidak bertamadun, kerana umat Islam khasnya di negara ini sering menerima realiti bagi segala peristiwa yang berlaku di negara ini, termasuk isu yang menyentuh agama dan keturunan bangsa sendiri, setelah melalui proses perundangan yang diamalkan di negara kita.

Negara kita mempunyai proses perundangan yang panjang untuk mencari keadilan pada akhirnya. Maka proses rayuan dan sebagainya tentulah akan diambil untuk mendapatkan keputusan mahkamah nanti.

Inilah sebenarnya sikap dan akhlak Islam yang seharusnya kita kekalkan, kerana dalam Islam pintu perundingan dan penyelesaian masalah sentiasa terbuka, iaitu sebarang krisis dan isu yang timbul di dalam masyarakat, hendaklah diselesaikan dengan penuh ilmu dan hikmah.

Malah bagi kita umat Islam di negara ini, tidak timbul jalan kekerasan atau keganasan untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian dan konflik yang berlaku di antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam, malah jalan yang sama sering diambil ketika berlaku perselisihan dan krisis di antara umat Islam sesama umat seagamanya.

Hal inilah yang saya rasakan bahawa orang Melayu yang menerima ajaran Islam dan menghayati akhlak dan moral Islam itu sememangnya amat komited kepada ajaran agamanya. Mereka menyedari tanggung jawabnya terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan mereka sentiasa menyedari akan falsafah perjuangan dalam menegakkan agama ini, iaitu tanpa mengorbankan prinsip dan ajaran asas agama Islam sendiri.

Melihat peristiwa yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq, Tunisia dan lain-lain lagi di negara para Nabi dan Rasul yang amat bergolak pada masa kini, saya sering bertanya apakah umat Islam di negara-negara tersebut tidak mempunyai keupayaan lagi untuk menahan marah dan nafsu ledakan emosi dan sentimen mereka ketika menghadapi krisis dalam negara mereka pada masa kini?

Apakah bulan puasa dan ibadat puasa yang sedang dilakukan pada masa kini juga tidak berdaya lagi mengajar mereka supaya bersabar dan berhikmah, dengan mencari jalan yang bijak untuk menyelesaikan masalah dan konflik mereka sesama sendiri itu?

Apakah ertinya puasa mereka dalam bulan Ramadan yang berkat ini sekiranya ibadat mulia itu disertai oleh perbuatan yang jelas bertentangan dengan roh dan semangat Ramadan sendiri? Di manakah ajaran dan pendidikan yang seharusnya mereka hayati dalam menghadapi tekanan dan krisis sesama mereka sehingga mereka sanggup menghalalkan perbuatan mereka yang jelas bertentangan dengan matlamat ajaran agama Islam sendiri?

Ini hanya sekadar beberapa perbandingan sepintas lalu tentang perbezaan tindakan umat Islam di rantau Nusantara, khususnya, umat Melayu, ketika menghadapi krisis yang amat mudah membangkitkan ledakan emosi dan sentimen keagamaan atau perkauman, malah taksub kepartian yang melulu.

Maka dalam melihat ke dunia Islam lain inilah saya melihat bahawa keberkatan persefahaman di antara umat Melayu dan kaum-kaum lain di negara kita inilah yang memungkinkan Malaysia mengamalkan dasar toleransi yang tinggi dalam kepelbagaian dimensi kehidupan kita.

Kita mengamalkan dasar 'perkongsian kuasa' (power sharing) yang amat bermakna dalam membangunkan negara dan bangsa kita, sehingga dasar ini telah membawa kita kepada kehidupan bersama secara aman dan damai (peaceful coexistence) selama ini.

Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh pelbagai kaum, termasuk orang Melayu dan umat Islam sendiri di negara ini, yang memungkinkan kita melahirkan satu masyarakat contoh yang terbaik dalam dunia ini dalam konteks masyarakat majmuk.

Oleh itu, saya merasakan bahawa dalam meneruskan legasi kekuatan toleransi umat Islam dan Melayu di rantau ini, khususnya di negara kita, maka seluruh dunia haruslah menghormati sentimen dan persefahaman ini.

Dalam konteks inilah juga saya telah mengemukakan idea agar legasi Melayu dalam perjuangan menegakkan Islam dengan segala contoh tauladan, kegigihan dan perjuangan yang penuh hikmah, pemikiran dan tamadunnya, seharusnya kita tonjolkan di dalam dunia umumnya, bahawa selain daripada masyarakat Asia Barat dan Afrika Utara, sebenarnya di sana terletak pusat pembangunan dan tamadun Islam, iaitu di tangan umat Islam dan orang Melayu, di rantau dunia yang terkenal sebagai Tanah Melayu dan bumi Nusantara yang selama ini diabaikan dalam sejarah pembangunan Islam dan tamadunnya.

Dunia antarabangsa seharusnya dapat mengenali Islam dan tamadun serta pemikirannya melalui masyarakat Melayu, dan masyarakat bukan Islam juga seharusnya menghargai sumbangan Melayu dalam membangun dan memahkotakan Islam sebagai agama perdamaian dalam dunia yang serba bergolak ini.

PPPM hak rakyat, bukan Dong Zong

Posted: 01 Aug 2013 11:20 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

MEMANG ada logiknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpegang kepada keputusan untuk tetap mahu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 6 September ini.

Ini disebabkan PPPM itu sendiri dicapai hasil pertemuan dengan rakyat pelbagai lapisan yang mengutarakan pelbagai isu pendidikan - yang disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan negara.

Sebenarnya, tidak ada sudahnya pun untuk kita melayan kehendak dan tentangan menggila Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

PPPM dihasilkan dari Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang diadakan sejak 29 April tahun lepas di 15 lokasi di seluruh negara.

Dalam suatu pertemuan penulis dengan Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin (gambar), beliau sendiri melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik'.

Dalam program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan.

Malah, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha Kementerian Pendidikan menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat.

"Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan.

"Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang.

"Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang hadir.

"Ini menunjukkan isu- isu pendidikan dirasakan semua orang dan merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya.

Sebenarnya DNPN yang menghasilkan PPPM merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan di bawah Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada kementerian itu dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.

Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.

Dialog tersebut menggunakan konsep townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara walk-in di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang.

Wan Mohd. Zahid sendiri dan beberapa lagi panel berada pada setiap townhall itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu.

Selain menggunakan kaedah townhall, pihaknya turut mengadakan pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi.

Bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan kepada 15 hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi peluang kepada mereka bercakap lebih lama.

Daripada siri persidangan meja bulat bagi dialog tersebut, rata-rata respons yang diberikan sangat memberangsangkan.

Kata Wan Mohd. Zahid kepada penulis: "Walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, kumpulan-kumpulan ini mengamalkan sikap profesional dalam menyuarakan pendapat bagi kebaikan masa depan sistem pendidikan negara.

"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di peringkat global."

Dianggarkan lebih 11,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan.

Panel dialog juga dengan tangan terbuka sentiasa menerima input daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun bertulis, menghantar memorandum dan sebagainya.

Penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter turut mendapat respons positif daripada masyarakat berhubung kajian semula pendidikan itu.

Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat, kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan negara ini.

Pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara.

Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya.

Kata beliau kepada penulis: "Kita mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan dalam proses dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita sebut, kita minta dia nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara keutamaan yang telah dikenal pasti.

"Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu.

"Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita sebenarnya mahu dengar pandangan dia."

Jadi, kalau begitu kenyataannya bermakna PPPM adalah hasil suara dan hak rakyat pelbagai lapisan dan kaum.

Maka dengan ini, bertepatanlah ketegasan Muhyiddin bahawa kerajaan tidak akan tunduk atau berasa takut dengan desakan Dong Zong kononnya PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular.

Malah agenda Dong Zong menyuarakan tuntutan terbabit amatlah diragui apabila Muhyiddin secara terbuka mencabar pertubuhan Cina itu membaca dan meneliti isi kandungan pelan berkenaan - yang tidak menyebut langsung usaha memansuhkan bahasa Mandarin atau sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Kita tidak tahu apa sebenarnya agenda Dong Zong.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Dambakan cahaya mata

Posted: 31 Jul 2013 11:45 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my

RAJA Farah bersama pengacara Rasa Halal Antarabangsa, Akhtar Sahari (dua dari kiri).

LAMA tidak mendengar kisah pelakon bernama Raja Farah, 25, yang kian menyepi selepas berkahwin dengan jejaka pilihan, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 28. Jarang sekali melihat kelibatnya dalam sebarang drama mahupun filem-filem tempatan.

Pernah ditanya soalan berkenaan suami yang dikatakan mengongkongnya untuk bergiat aktif dalam dunia seni lakonan, namun itu disangkal wanita cantik ini bulat-bulat.

"Kalau betul dia mengongkong, tidak mungkin saya akan menerima tawaran berlakon. Saya masih sayang lagi dunia lakonan ini.

"Cuma tidak dinafikan, suami saya akan menilai semula skrip yang dihantar kepada saya. Dia akan letakkan garis panduan yang perlu saya ikut.

"Banyak perkara yang perlu saya elakkan. Contohnya, babak berpegangan tangan. Kata suami pada saya, biarlah watak yang diambil itu sesuai dengan diri saya sekarang.

"Maksudnya perlu bersesuaian dengan imej yang saya bawa sekarang," katanya yang semakin manis berhijab.

Bukan sebab suami cemburu, menurut Raja Farah Raja Aziz itu adalah antara cara suami memberi kasih sayang secara ikhlas kepada dirinya demi menjaga keharmonian rumah tangga dengan sebaik mungkin.

Tambah Raja Farah, dia juga jika ingin mengambil tawaran berlakon perlu banyak meyakinkan suaminya agar keputusan dibuat tidak membatasi syarat-syarat yang diberikan suami.

Selain elak babak pegang tangan, kata Raja Farah, suami juga meletakkan beberapa syarat buat dirinya jika ingin menerima sebarang tawaran berlakon.

Antaranya, suami tidak membenarkan Raja Farah balik sehingga lewat malam. Paling lewat pun pukul 11 malam.

"Kadang-kadang saya memang tidak mahu menyusahkan suami saya untuk menghantar dan mengambil saya jika sudah lambat balik dari set penggambaran.

"Tapi kadang-kadang suami saya juga akan berada di lokasi untuk menemani saya jika waktu penggambaran sudah melepasi pukul 11 malam.

"Suami memang tidak berani untuk lepaskan saya balik sendiri kerana risau akan keselamatan saya. Jadi dia akan menawarkan diri menjadi peneman," katanya yang banyak meluangkan masa bersama keluarga sepanjang bulan Ramadan ini.

Katanya, masa bulan puasa sahaja dia akan menumpukan sepenuh perhatian bersama keluarga.

Berkongsi pengalaman berpuasa bersama keluarga, Raja Farah menceritakan antara kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan ialah dia mengalami sakit perut kronik dari waktu berbuka hingga sahur pada Ramadan tahun lalu.

"Ketika berbuka puasa bersama suami dan ibu saya minum air tebu dengan banyak. Biasalah apabila berbuka benda pertama yang saya ambil adalah minuman. Memang saya kuat minum ketika berbuka sehingga terlupa untuk makan.

"Air tebu yang saya minum membuatkan saya sakit perut sehingga waktu sahur dan perut saya menjadi tidak selesa. Memang sedih kerana biasanya saya seorang yang rajin bersahur dan akan makan ketika sahur. Kerana kejadian itu sahur dan puasa saya terganggu," katanya.

Masih menanti cahaya mata

Hampir tiga tahun usia perkahwinan itu, namun Raja Farah dan Megat masih belum dikurniakan cahaya mata.

Sebenarnya itulah yang dinantikan Raja Farah bersama suami sejak sekian lama. Namun dengan kesibukan masing-masing mereka cuma mampu berserah kepada Allah.

Raja Farah menjelaskan, dia dan suami sememangnya inginkan cahaya mata tetapi masih belum mempunyai rezeki lagi.

"Saya dan suami memang sedang berusaha ke arah itu. Kami ada juga pergi berjumpa doktor dan syukur tiada sebarang masalah dengan tahap kesuburan kami.

"Saya anggap belum ada rezeki daripada Allah S.W.T lagi. Mungkin tidak sekarang, tetapi mungkin bulan hadapan, tahun depan, Insya-Allah," katanya yang juga sibuk dengan perniagaan Snogurt.

Semua dugaan itu diambil oleh Raja Farah dengan positif. Apa yang penting, sikap memahami dan mengambil berat menjadi salah satu keistimewaan yang ada pada suaminya.

Tidak kurang juga, Raja Farah mengakui menjelang Hari Raya Aidilfitri ini, dia mungkin akan balik awal ke Kelantan kerana keinginannya untuk berjumpa seorang bidan kampung.

"Saya akan berurut. Semua saya ikhtiarkan kerana memang tidak sabar untuk mendapat anak," katanya yang juga akan mengambil peluang belajar memasak resipi daripada mentua.

Dalam pada itu, Raja Farah juga memberitahu keinginannya untuk mengerjakan umrah bersama suami.

"Sekarang masih sibuk dengan kerja masing-masing. Mungkin selepas ini, kami akan pergi umrah bersama-sama," ujarnya.

Belum selesai membeli

Posted: 31 Jul 2013 11:45 PM PDT

Didie dan suami, Isham bakal pulang beraya di kampung Didie di Melaka.

APABILA tiba bulan Ramadan, kebanyakan daripada kita akan mula memikirkan barang-barang keperluan dan juga persiapan untuk menghadapi ketibaan bulan Syawal yang menandakan sambutan Aidilfitri telah bermula.

Tetapi terdapat juga segelintir daripada kita yang lebih gemar untuk membeli-belah pada hari-hari terakhir Ramadan kerana merasakan mereka boleh mendapatkan barang-barang yang diidam pada harga yang lebih berpatutan berbanding jika membeli sebelumnya.

Begitulah juga situasi pelakon dan pengacara, Didie Alias berhubung persiapannya menjelang hari raya. Menurut Didie, dia sering merancang untuk membeli barang-barang sedikit awal daripada kebiasaan, namun ia tidak akan berjalan lancar.

"Persiapan raya saya sekeluarga pada waktu ini sejujurnya masih belum selesai, kerana saya sudah terbiasa membeli barang-barang keperluan pada beberapa hari terakhir Ramadan.

"Memang sedikit kelam-kabut dibuatnya tetapi semua benda yang dicari pasti akan ditemui. Ini berbeza sekiranya saya bercadang untuk berbelanja awal, ada sahaja yang tidak kena nanti," katanya kepada Hits.

Didie ditemui sewaktu menghadiri majlis Tribute Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, yang diadakan bertempat di N'dah Mahligai Restaurant & Catering, di Shah Alam baru-baru ini.

Tambah ibu kepada lima orang anak ini lagi, membeli belah pada saat akhir juga mempunyai kebaikan yang tersendiri apabila kebanyakan daripada barang yang dicari akan dijual pada harga tawaran.

"Sebagai contoh kuih raya, hari-hari terakhir Ramadan barang ini akan dijual pada harga borong yang sangat murah jika dibandingkan sewaktu awal Ramadan.

"Sekurang-kurang dapat juga saya berjimat sedikit dalam membeli barang-barang keperluan untuk diri dan keluarga nanti," katanya yang bakal pulang beraya ke Melaka, seperti kebiasaan.

Pada majlis itu juga, Didie turut bersama peminatnya yang menggelarkan diri mereka sebagai 'ladydidielovers' selain ditemani suami tercinta, Nur Isham Ismail, 37.

Antara projek wanita berusia 40 tahun yang bakal menemui peminat pada sambutan Aidilfitri tahun ini termasuklah filem alih suara, Madagascar 3, rancangan Lari-Lari Warna dan juga sebuah telemovie yang menyaksikan Didie berganding dengan Johan Raja Lawak iaitu Hantu Telur.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kawasan hutan tiada tindakan

Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Mokhtar Edan (kanan) dan rakannya Amran Ahmad menunjukkan kawasan hutan tidak dikenakan tindakan oleh MPAJ sedangkan tapak masjid yang bersih di tempat mereka berdiri diberikan notis amaran. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

SUBANG JAYA 31 Julai - Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerahkan notis amaran kepada Surau Al Madaniah di USJ 18 supaya membersihkan tapak masjid berdekatan surau berkenaan dilihat bukan sahaja tidak kena pada tempatnya tetapi menimbulkan rasa pelik di kalangan ahli kariah surau itu.

Ini kerana kawasan kosong seluas kira-kira dua hektar itu hanya ditumbuhi rumput berbanding sebuah kawasan tanah kosong dengan keluasan yang sama yang ditumbuhi hutan.

Ahli Jawatankuasa Surau Al Madaniah, Mokhtar Edan berkata, kawasan tapak masjid tersebut hanya ditumbuhi rumput sedangkan kawasan hutan berkenaan yang menjadi punca banyak masalah kepada penduduk sekitar tidak pernah diambil sebarang tindakan oleh MPSJ.

"Kami tidak bermaksud untuk membantah notis tersebut, malah kawasan tersebut telah pun kami bersihkan tetapi bagaimana dengan kawasan hutan yang berdekatan dengan surau ini, kenapa MPSJ tidak memastikan kawasan itu turut dibersihkan?," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mokhtar berkata, pihak surau menerima notis tersebut hasil aduan pihak-pihak tertentu pada 4 Julai lalu, sedangkan pada 6 Julai pihak surau sememangnya merancang untuk membersihkan tapak masjid tersebut yang hanya ditumbuhi rumput panjang.

"Tetapi seolah-olah ada berlaku double standard di sini, adakah benar tapak masjid itu kelihatan semak sedangkan hutan yang berhampiran itu lebih memberikan pelbagai masalah kepada pihak surau dan penduduk di sini.

"Kawasan hutan itu menjadi tempat persembunyian anjing-anjing liar. Sudah ada kejadian pelajar sekolah yang dikejar dan digigit anjing ketika mereka terpaksa melalui jalan berhampiran hutan tersebut untuk menuju ke surau bagi menunaikan solat Jumaat.

"Malah anjing-anjing liar tersebut pernah memasuki sehingga ke kawasan solat di surau ini dan ada rumah penduduk yang dimasuki ular dan musang yang kami percaya datang dari hutan tersebut," katanya.

Menurutnya, pihak surau telah mengadu masalah mengenai hutan tersebut kepada MPSJ namun tiada sebarang tindakan proaktif pernah diambil oleh pihak berkuasa tempatan itu.

"MPSJ memberi alasan mereka tidak dapat mengenal pasti pemilik tanah tersebut untuk dihantar notis amaran. Sedangkan ketika mereka menyerahkan notis kepada pihak surau, pegawai berkenaan dapat menyaksikan sendiri anjing-anjing yang berkeliaran yang sepatutnya mereka sudah boleh mengambil tindakan segera dan soal pemilik tuan tanah itu bukan lagi menjadi satu alasan," boleh dirujuk di pejabat berkaitan," katanya.

Selain terserempak dengan beberapa ekor anjing liar yang kemudiannya lari bersembunyi ke arah hutan, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan hutan berdekatan dengan kawasan perumahan USJ 18 itu telah mula dijadikan tempat pembuangan sampah.

"Lama-kelamaan jika terus dibiarkan akan menjadi tempat yang kotor dan sesuai untuk pembiakan nyamuk aedes dan pastinya nanti ada penduduk yang akan menjadi mangsa demam denggi," kata Mokhtar.

‘Sakit hati dikelilingi sampah haram’

Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

KESAN sampah yang dibakar dapat dilihat dengan jelas di lokasi pembuangan sampah secara haram di Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara, Petaling Jaya, Selangor. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

PETALING JAYA 31 Julai - Masalah timbunan sampah di sini telah berlarutan sejak tiga tahun lalu, namun tiada tindakan diambil oleh pihak bertanggungjawab."

Itu luahan beberapa pekerja bangunan komersial di Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara di sini yang terpaksa menghidu bau busuk, selain pemandangan menyakitkan mata ketika bekerja.

Lokasi itu terletak dalam kawasan perindustrian kecil dan bangunan perniagaan komersial selain perumahan iaitu bersebelahan dengan lebuh raya ke Sungai Buloh.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, sampah yang dilonggokkan di tepi jalan itu turut bertaburan hingga ke dalam longkang besar bersebelahan.

Pelbagai jenis sampah dapat dilihat di situ antaranya sisa dapur, makanan, tilam, kayu, kain, kotak dan perabot.

Lebih mengejutkan tebing longkang di situ yang turut runtuh dipenuhi sampah selain semak tebal yang berkemungkinan menjadi sarang habitat haiwan liar berbisa.

Air longkang mengalir dengan perlahan kerana laluannya terhalang oleh runtuhan tembok dan longgokan sampah pula boleh mengakibatkan banjir kilat.

Keadaan tersebut menjadi lebih kritikal apabila sampah tersebut turut dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika negara ini diancam krisis jerebu yang serius sejak kebelakangan ini.

Asap pembakaran sampah itu pastinya akan memburukkan lagi kualiti udara dan menjejaskan pemandangan persekitaran.

Sehubungan itu, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perlu bertindak segera sebelum keadaan lebih buruk berlaku.

MBPJ diminta tangani secara serius

Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT

PETALING JAYA 31 Julai - Beberapa pekerja di bangunan komersial di sekitar Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara di sini mahu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) segera melaksanakan tindakan serius terhadap masalah timbunan sampah di situ.

Mereka mendakwa pihak MBPJ seolah-olah berlepas tangan dan tidak serius untuk menangani masalah tersebut walaupun aduan telah beberapa kali dilaporkan oleh penduduk.

Peniaga, Hasrin Misran, 46, berkata, beliau dan para pekerjanya tidak sanggup menghidu bau busuk dari kawasan timbunan sampah itu kerana kedainya paling hampir dengan kawasan tersebut.

"Masalah ini telah sejak kami memulakan perniagaan di sini kira-kira tiga tahun lalu, tetapi ketika itu keadaan tidaklah seteruk sekarang.

"Saya pernah melihat bangkai seekor anjing yang diletakkan di dalam guni turut dibuang di situ.

"Bukan setakat orang di sini yang membuang sampah malah orang luar lebih suka datang ke sini untuk membuang sampah walaupun terdapat beberapa pondok sampah yang disediakan," katanya ketika ditemui.

Menurut Hasrin, walaupun terdapat kontraktor yang memungut sampah setiap hari di situ namun pihak tersebut hanya mengutip sampah yang ada di dalam tong besar sahaja.

Pekerjanya, Saiful Anuar Sitam, 32, berkata dia sering terserempak dengan lori-lori yang datang untuk membuang sampah haram di situ tidak mengira waktu.

"Apabila hujan, bau busuk semakin kuat dan banyak lalat masuk ke dalam premis kami. Kami amat tidak tahan dengan keadaan ini tetapi sampai bila? Walaupun pihak MBPJ telah datang melawat ke tapak berkenaan namun tiada tindakan pembersihan dilakukan," ujarnya.

Rakannya, Khairullah Misran, 37, pula kesal terhadap perbuatan individu yang membakar sampah tersebut sehingga menyebabkan pencemaran udara.

"Pembakaran itu dilakukan baru-baru ini ketika musim jerebu. Difahamkan, pembakaran itu bertujuan untuk menghilangkan bau busuk yang datang dari sampah itu," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tabika Kemas tetap relevan

Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
editor.johor@utusan.com.my

Kakitangan Kemas gembira sambil menunjukkan sijil anugerah cemerlang di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas dan Persaraan di Kompleks Islam Iskandar, Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU 31 Julai - Biarpun terdapat kelas pendidikan prasekolah yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan dan pusat bimbingan oleh pihak swasta, kewujudan dan fungsi taman bimbingan kanak-kanak (tabika) kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) masih dianggap relevan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kualiti pembelajaran di kesemua Tabika Kemas di negeri ini telah dipertingkatkan menerusi beberapa kaedah termasuk pengambilan guru baharu yang mempunyai kelulusan sehingga ke peringkat diploma.

Beliau berkata, hingga kini terdapat kira-kira 23,000 kanak-kanak mengikuti pendidikan di 1,177 kelas prasekolah melibatkan tenaga kerja seramai 2,700 orang di negeri ini.

"Selain itu, sebanyak 26 tabika di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) turut disediakan pihak kerajaan membabitkan 243 kanak-kanak selain 45 Tabika Permata di Johor dengan penyertaan 1,045 kanak-kanak.

"Saya amat yakin dan percaya Kemas akan terus relevan dalam memberi pendidikan awal kanak-kanak pada masa akan datang walaupun sudah banyak prasekolah dan tabika swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di negeri ini," katanya dalam ucapan perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas Johor 2013, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff.

Yang turut hadir Pengarah Kemas negeri, Taufik Mohd. Yusop dan kira-kira 200 kakitangan Kemas di seluruh negeri yang diraikan pada majlis berkenaan.

Menteri Besar berkata, Kemas juga bukan hanya menumpukan kepada pendidikan kanak-kanak, malah turut menjalankan tanggungjawab dan peranan lebih besar dalam pembangunan khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

"Secara keseluruhannya, saya melihat Kemas telah membantu sama ada Kerajaan Pusat mahupun negeri dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa dapat ditingkatkan bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Keenakan Ayu Sup Gear Box

Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

Rusdi Mohamad (kiri), Sulaima Sulaimi bersama anak mereka membuat persiapan sementara menanti pengunjung di gerai Ayu Sup Gear Box di Bazar Ramadan Pesta, Batu Pahat, baru-baru ini.

BATU PAHAT 31 Julai - Setiap kali Ramadan, muncul pelbagai jenis makanan dan minuman di setiap bazar di seluruh negara mengikut cita rasa masyarakat di kawasan tertentu.

Namun sup merupakan juadah wajib di setiap bazar Ramadan tidak kira walau di ceruk mana di negara ini sekali pun.

Bagi bazar Ramadan terbesar di daerah ini iaitu Bazar Ramadan Pesta di sini, Ayu Sup Gear Box antara yang menjadi tumpuan penduduk kerana rasa dan pelbagai jenis isi sup itu sendiri.

Mendengar cerita penduduk yang ke bazar itu, penulis turut tidak mahu ketinggalan berkongsi keenakan sup yang menjadi buah mulut penduduk di kawasan ini.

Sangkaan penulis sup tersebut diusahakan individu berpengalaman meleset selepas mengetahui perniagaan sup itu diusahakan sepasang suami isteri, Rusdi Mohamad, 49, dan Sulaima Sulaimi, 45.

Lebih sedap mata memandang, perniagaan pasangan itu dibantu empat anaknya yang berusia antara 11 hingga 21 tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Sulaima memberitahu, perniagaan itu diusahakan bersama suaminya sejak 15 tahun lalu di bazar Ramadan sama.

"Walaupun namanya sup gear box, tetapi isi sup yang disediakan terdiri daripada tulang kambing, ayam, paru, ekor, tulang, perut dan lidah, malah terdapat sup merah tulang kambing.

"Sejak mula berniaga di sini, kami bukan sekadar datang berniaga sebaliknya saya sentiasa berfikir menyediakan resipi terbaik yang mampu membuatkan pelanggan berpuas hati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Berikutan itu, Sulaima mengadunkan resipi asal sup gear box dengan adunan yang diciptanya sendiri bagi memastikan bukan sahaja sup sedap tetapi baunya juga mampu menarik perhatian pelanggan.

Katanya, konsep yang diguna pakai di gerainya adalah pelanggan diberi peluang memilih sendiri jenis isi sup serta kuantiti supaya lebih berpuas hati.

"Pelanggan akan diberi mangkuk untuk memilih isi sup dengan kuantiti sendiri, setelah selesai saya akan memberitahu harga sebelum membungkuskan sup tersebut. Dengan cara ini pelanggan dilihat lebih selesa," katanya.

Bagi harga pula, ujarnya, setiap bungkusan dikenakan harga antara RM3 hingga RM9 mengikut kuantiti dan jenis isi sup yang dipilih pelanggan.

Namun, tambahnya, sup yang paling mendapat sambutan dalam bulan Ramadan adalah sup tulang dan sup kambing.

Menurutnya, dia mempunyai pelanggan tetap bagi kedua-dua menu itu sejak beberapa tahun lalu manakala pelanggan lain pula kebiasaannya mahukan sup campur.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved