Ahad, 9 Mac 2014

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pekida gesa kerajaan siasat gambar hina PM

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Ngah Ismail (tengah) bersama ahli Pekida berhimpun secara aman membantah penghinaan melampau terhadap Perdana Menteri di Taman Kerang, Kuantan, semalam. - UTUSAN/ AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 9 Mac - Kira-kira 100 ahli Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) berhimpun di Taman Kerang bagi mendesak siasatan segera berhubung penyebaran gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diubah suai secara keterlaluan bersama seekor babi.

Pengerusi Pekida negeri, Ngah Ismail berkata, gambar yang disebar melalui internet itu bukan sahaja menghina Perdana Menteri malah agama Islam.

"Kita buat perhimpunan ini bukan kerana politik tetapi untuk mempertahankan agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Ini merupakan satu perbuatan yang melampaui batas. Sepatutnya kita harus menghormati pemimpin negara tidak kira daripada parti politik mana sekali pun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebanyak tiga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini selepas perhimpunan itu diadakan.

Sementara itu, Ngah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuat siasatan dalam kadar segera dan tidak tegak-agak mengenakan tindakan sewajarnya kepada pihak terlibat.

"Kita tidak mahu hanya siasatan dijalankan tetapi tiada tindakan diambil. Rakyat sudah jemu dengan perkara seumpama itu.

"Kita mahu tindakan undang-undang diambil. Heret mereka terlibat ke muka pengadilan," katanya.

9 kenderaan kemalangan akibat asap tebal

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Beginilah keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan -Pekan berhampiran Penjara Penor akibat penglihatan terhad kerana kebakaran hutan di Kuantan, semalam. - utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 9 Mac - Sebanyak sembilan kenderaan termasuk dua lori merempuh antara satu sama lain gara-gara asap tebal akibat kebakaran hutan paya gambut di Jalan Kuantan-Pekan dekat Penjara Penor di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, kebakaran menyebabkan jarak penglihatan pemandu kenderaan terhad sehingga lima meter sahaja. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, tindakan beberapa pengguna jalan raya yang berdegil mahu menggunakan laluan itu menyebabkan kemalangan membabitkan tujuh kereta dan dua lori.

"Kita mengambil langkah menutup laluan berkenaan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku selain memudahkan anggota bomba memadam kebakaran.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu dari arah Kuantan dan Pekan dilencongkan menggunakan laluan alternatif melalui Perkampungan Pantai Sepat di sini.

"Laluan berkenaan akan ditutup sehingga kerja memadam kebakaran selesai serta selamat untuk pengguna jalan raya," katanya dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Jasmani berkata, dua anggota polis ditempatkan di kawasan berkenaan bagi mengawal lalu lintas selain tidak membenarkan orang awam melalu jalan terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Nazili Mahmood berkata, 64 pegawai dan anggota bomba bersama empat jentera ditempatkan di situ yang meliputi kawasan seluas 12 hektar.

Menurutnya, pihaknya berusaha memadamkan kebakaran terbabit yang telah berlanjutan kira-kira seminggu lalu bagi mengelak merebak di kawasan perumahan di tempat tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


36 maut serangan pusat pemeriksaan keselamatan

Posted: 09 Mar 2014 11:26 AM PDT

BAGHDAD 10 Mac - Sebanyak 36 orang termasuk pengebom berani mati terkorban dan 174 orang yang lain cedera dalam satu serangan yang menjadikan pusat pemeriksaan keselamatan sebagai sasaran utama di selatan negara ini, semalam.

Pengebom berani mati itu meletupkan diri sendiri di dalam sebuah kereta dengan bahan letupan ketika dia menghentikan kenderaan tersebut di pusat pemeriksaan di Hilla, kira-kira 100 kilometer di selatan Baghdad.

Hospital Hilla dipenuhi dengan mangsa serangan," kata seorang pegawai perubatan yang enggan mendedahkan namanya. - dpa

Polis Hamas tangkap ahli Fatah

Posted: 09 Mar 2014 10:34 AM PDT

GAZA CITY 10 Mac - Pihak polis di bawah pimpinan pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza, dilapor menahan berpuluh-puluh ahli pergerakan Fatah yang dipimpin oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, kelmarin.

Jurucakap Fatah, Hassan Ahmad berkata, kira-kira 20 anggota Fatah ditangkap ketika menghadiri satu majlis memperingati pejuang Palestin yang maut dibunuh tentera Israel di Khan Yunis, selatan kawasan yang dikuasai Hamas.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Luar Hamas, Islam Shahwan memaklumkan, polis terpaksa bertindak menangkap kesemua suspek kerana majlis itu diadakan tanpa permit. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Pelaburan berbalik pertanian di Aceh

Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT

Ruhaidini Abd Kadir
(aiman_dinie@yahoo.com)

Ismail Sabri meninjau projek ternakan lembu di Aceh Besar.

TRAGEDI tsunami yang melanda Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 masih menyimpan berjuta kesan bagi mereka yang merasakannya. Gempa yang berlaku kira-kira 32 kilometer dari Pantai Meulaboh Aceh disusuli oleh gelombang tsunami raksasa berukuran 8.9 skala Richter pada tanggal itu telah merosak dan menghancurkan hampir seluruh daerah pesisir Aceh hingga beberapa pulau lainnya.

Bencana tsunami yang dahsyat itu nyata telah menyorot mata dunia untuk menyaksikan betapa lemah dan tak berdayanya Aceh pada waktu itu selain trauma yang sangat mendalam ditanggung hingga kini oleh penduduk di Banda Aceh, sebahagian Aceh Besar, Aceh Jaya, Aceh Barat, Pidie serta Aceh Utara.

Hari ini - selepas hampir sedekad berlalu, Banda Aceh yang teruk terjejas sudah pesat membangun. Aktiviti perdagangan, perbankan, sistem pengangkutan dan telekomunikasi Banda Aceh yang pernah lumpuh secara total waktu tsunami sudah kembali pulih. Jalan raya sudah diturap semula, bangunan-bangunan dicat baru dan Banda Aceh kembali sibuk dengan hiruk-pikuk warga kotanya.

Hal ini diakui sendiri oleh Gabenor Aceh, Dr. Zaini Abdullah kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat lawatan kerja tiga hari ke Aceh dan Medan baru-baru ini bahawa pembangunan pesat yang dinikmati Aceh pada hari ini ialah hasil sumbangan kerajaan Indonesia selain sumbangan besar penderma antarabangsa.

Dr. Zaini, 73, bekas Menteri Luar dalam kerajaan buangan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang memenangi Pilihan Raya Gabenor Aceh pada 2012 turut mengakui, jika bersendirian sukar untuk Aceh bangkit semula meskipun untuk tempoh 20 tahun lagi.

Dianggarkan sebanyak AS$7 bilion (RM23.3 bilion) derma dan sumbangan asing bagi memulihkan Aceh. Sepanjang tempoh pasca tsunami lebih 130,000 rumah, 250 kilometer jalan baru, 18 hospital baru dan lain-lain bangunan kerajaan serta rumah anak yatim dan masjid dibina dengan bantuan negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Singapura, Turki, Arab Saudi, Oman termasuk Malaysia.

Lebih 80,000 hektar tanah pertanian kembali dipulihkan, antaranya sawah padi luas terbentang yang jelas boleh dilihat dari udara, selain 15,000 hektar untuk penternakan ikan.

Lawatan kerja Ismail Sabri ke Aceh baru-baru ini, nyata ia tidak hanya meningkatkan hubungan dua hala Malaysia- Indonesia khususnya Putrajaya-Aceh, malah memberi peluang kepada Malaysia untuk menjelaskan jenis pelaburan yang diingininya daripada Aceh pada masa akan datang, sejajar Program Transformasi Pertanian (Agriculture Tranformation Programme) yang telah dirangka oleh Ismail Sabri dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA).

Ismail Sabri semasa menghadiri majlis Makan Malam Forum Perniagaan Aceh-Malaysia di kediaman rasmi Gabenor Aceh pada Sabtu minggu lalu, mahu pelaburan Malaysia ke Aceh lebih ke arah situasi menang-menang. Dalam erti kata lain, Malaysia akan melaksanakan pelaburan berbalik (reverse investment) di Aceh pada tahun ini dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

Bekalan

Menerusi pelaburan bersifat pelaburan berbalik dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan itu, semua hasil produk diimport secara terus dari Aceh dan pada masa yang sama ia membuka peluang pasaran baru produk halal industri asas tani Malaysia ke pasaran Aceh pula.

Pelaburan bersifat pelaburan berbalik itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelabur Malaysia, malah kepada pengusaha produk halal industri asas tani negara untuk meneroka pasaran di Aceh.

Antara bidang yang ditekankan oleh Ismail Sabri ialah tumpuan kepada pelaburan dalam sektor baharu iaitu agro-makanan iaitu padi, sayur-sayuran, penternakan dan perikanan yang akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di wilayah Aceh pada tahun ini. Melalui anak syarikatnya PT Nafasindo, program ladang kontrak akan diwujudkan bersama peladang di Aceh untuk menjamin bekalan yang berterusan.

Sebelum ini, pelaburan NAFAS di Aceh hanya terhad dalam sektor kelapa sawit sejak 1996 melibatkan ladang seluas 13,000 hektar dengan tenaga kerja tempatan seramai 1,600 orang.

NAFAS yang berperanan sebagai badan induk pertubuhan peladang di Malaysia dengan keahlian lebih 800,000 di seluruh Malaysia kini mempunyai aset terkumpul di Aceh bernilai RM437 juta.

"Aceh mempunyai potensi yang sangat besar dan salah satu kekuatannya ialah tenaga kerja yang ramai. Faktor lain yang mendorong Malaysia membuat pelaburan di Aceh ialah budaya, sejarah dan agamanya yang sama dengan Malaysia, tegas Ismail Sabri yang diiringi 30 anggota delegasi yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah MOA ke Aceh.

Ismail Sabri memberitahu, Malaysia dan Aceh telah bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa teknikal bersama membincangkan projek-projek pertanian dan produk di Aceh yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA, Datuk Mohd Arif Ab. Rahman dan dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan FAMA, LPP, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) serta Jabatan Perkhidmatan Verterinar.

"Keputusan untuk membentuk jawatankuasa bersama itu dibuat berikutan rundingan antara saya dengan Dr. Zaini Abdullah pada Forum Perniagaan Aceh-Malaysia.

"Ada kemungkinan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan diminta terlibat dalam jawatankuasa teknikal bersama jika ada pelaburan yang melibatkan sektor padi di Aceh, jelas beliau.

Selain berkesempatan merasmikan pejabat baru PT Nafasindo di Banda Aceh bersama Gabenor Aceh pada Sabtu minggu lalu, Ismail Sabri dan rombongan turut melawat beberapa industri di Aceh seperti penternakan, kilang padi, pelabuhan dan kawasan industri.

Beliau melihat langsung industri penternakan ayam telur di GRD Farm dan kilang memproses padi yang terletak di Belang Bintang, Aceh Besar selain meninjau kawasan penternakan lembu di PT. Leumona Kutra Melaka, Aceh Besar yang sesuai bagi Malaysia memacu pelaburan.

Dalam lawatan kerja itu juga, Ismail Sabri melihat sendiri kesibukan sebahagian masyarakat Aceh yang masih menjadikan kawasan pantai sebagai sumber kehidupan dan ekonomi mereka seperti kawasan Lampulo dan Ulee Lheue di Banda Aceh yang hancur akibat bencana tsunami sembilan tahun lalu tetapi kini pesat dengan aktiviti sektor perikanan.

"Maklum balas yang diberikan pihak Aceh begitu baik selain potensi pelaburan yang terdapat di Aceh begitu besar. Aceh meletakkan harapan yang tinggi kepada Malaysia untuk terlibat sama membantu membangunkan wilayah itu.

"Delegasi dari Aceh akan datang ke Malaysia untuk mesyuarat pertama jawatankuasa teknikal itu pada 17 Mac depan dan ini menunjukkan minat serta kesungguhan mereka untuk bekerjasama, jelas Ismail Sabri.

Hikmah di sebalik tragedi tsunami hampir sedekad lalu - Aceh kini bukan sekadar kembali mengalami kepesatan ekonomi bahkan kedamaian dan kemakmuran. Aceh turut menawarkan ruang yang sangat kondusif dalam meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala Aceh-Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Misteri belum terungkai

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

OPERASI mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pihak berkuasa Indonesia setelah gagal menemui bangkai pesawat Boeing 737-400 Adam Air yang hilang pada 2007.

APABILA negara dihebohkan dengan kisah pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 hilang di perairan Laut China Selatan pada awal pagi Sabtu lalu, yang terlintas di fikiran kita sudah tentulah satu insiden hampir sama yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia.

Pada 1 Januari 2007, pesawat Adam Air KI574 jenis Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dari Bandung ke Manado secara tiba-tiba hilang dari radar tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan, dipercayai telah terhempas di Selat Majene, Sulawesi.

Kira-kira sebulan selepas itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk serpihan bangkai pesawat dan tragedi itu kemudiannya telah dilupakan oleh rakyat republik itu.

Bagaimanapun, tujuh bulan selepas itu, dua kotak hitam pesawat yang merakamkan data penerbangan dan perbualan juruterbang dalam kokpit berjaya ditemui.

Setelah sembilan bulan analisis dibuat oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS), ia merumuskan juruterbang telah mematikan alat pemanduan automatik bagi membaiki Sistem Rujukan Inersia (IRS).

Ketika sibuk membuat pembaikan tiada siapa yang menerbangkan pesawat sehingga menyebabkan ia mengiring ke kanan dan menjunam ke dalam laut.

Walaupun masih awal untuk merumuskan apa yang berlaku pada pesawat Boeing 777-200 milik MAS, sesuatu yang harus diakui bahawa Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) dalam misi menyelamat pesawat tersebut.

Seperti yang disebut oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pihaknya telah menerima laporan berhubung kehilangan isyarat pesawat itu pada 1.30 pagi iaitu 49 minit selepas pesawat itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

DCA telah bertindak serta-merta untuk mengesan semula kedudukan pesawat berkenaan dengan bantuan pihak-pihak berkenaan dari Vietnam dan Singapura.

Pihak MAS turut dimaklumkan dengan segera oleh DCA yang kemudiannya telah bertindak pantas memaklumkan kedutaan dan konsulat yang mempunyai rakyat yang menaiki pesawat tersebut.

Syarikat itu turut menubuhkan Pusat Kawalan Respons (RCC) bagi menyediakan maklumat berterusan, kemudahan perjalanan untuk kaum keluarga ke Kuala Lumpur, tempat tinggal, makanan dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa.

Segala yang dilakukan oleh syarikat itu seharusnya dihargai oleh semua pihak. Seperti yang telah diluah ayah kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohd. Sofuan Ibrahim yang turut hilang, Ibrahim Abd. Razak, MAS dan pihak-pihak berkaitan sangat membantu dalam menyediakan kemudahan tempat tinggal yang selesa dan akses maklumat.

"Alhamdulillah, tiada apa yang perlu dirisaukan dan rungutan, cuma hati sendiri yang masih belum tenang selagi perkara ini belum selesai," katanya kepada portal berita, Malaysia Gazette.

Satu lagi yang harus dipuji adalah kerjasama yang ditunjukkan oleh semua negara untuk melaksanakan operasi dan menyelamat termasuk Vietnam, China, Singapura, AS, Thailand, Indonesia dan terbaharu Australia di kawasan lautan yang kini menjadi pertikaian banyak negara.

Untuk mencari pesawat di lautan yang luas adalah cukup payah dan ia terbukti apabila bangkai pesawat Air France 447 jenis Airbus A330 yang terhempas di Lautan Atlantik pada 6 Jun 2009 hanya ditemui enam hari selepas itu dan kotak hitam pula hanya dapat dikeluarkan dari laut dua tahun kemudian.

Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai rekod bersih yang tidak pernah mengalami kemalangan udara dahsyat kecuali penerbangan MH653 yang meletup dan terhempas bersama 93 orang di Tanjung Kupang, Johor pada 1977; sebenarnya terdapat banyak faktor di luar kawalan yang mungkin menyebabkan tragedi itu berlaku.

Walaupun pesawat Boeing 777-200 itu dikatakan pernah mengalami patah pada hujung salah satu sayap setelah berlanggar dengan pesawat China Eastern Airline, Airbus A340 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, China pada 2012, masalah yang akan berlaku hanyalah ketika mendarat atau berlepas.

Sebaliknya, kata bekas jurutera keselamatan Boeing yang juga Pengarah Airsafe.com Foundation, Todd Curtis, tragedi berlaku ketika pesawat sedang dalam penerbangan dengan kelajuan tinggi.

"Satu kemungkinan adalah tragedi berlaku terlalu pantas sehingga juruterbang tidak sempat menghantar isyarat kecemasan," katanya lagi kepada AP.

Dalam pada itu, pensyarah yang pakar dalam kemalangan pesawat daripada Universiti Aeronautik Embry-Riddle, AS, William Waldock turut sependapat dengan Curtis bahawa tragedi yang berlaku adalah secara tiba-tiba dan sangat ganas sehingga alat penentu lokasi pesawat tidak berfungsi.

Menurut beliau, sekiranya berlaku kerosakan mekanikal termasuk kedua-kedua enjin tidak berfungsi, juruterbang masih mempunyai masa untuk membuat panggilan kecemasan.

Untuk rekod, Boeing 777-200 mempunyai rekod keselamatan yang paling selamat selama 18 tahun dengan hanya satu tragedi melibatkan pesawat Penerbangan Asiana yang terhempas dan membunuh tiga orang pada tahun lalu.

Para pakar keselamatan penerbangan kini berpendapat terdapat dua kemungkinan tragedi itu terjadi sama ada angkara pengganas atau juruterbang sendiri sengaja menghempaskan pesawat ke laut.

Perkara sama dinyatakan akhbar United Kingdom, Sunday Mirror yang memetik pakar antipengganas, Kolonel Richard Kemp, bahawa kumpulan militan Islam Uighurs atau mereka yang bersimpati dengan mereka mungkin terbabit dengan kejadian tersebut.

Walaupun terdapat petunjuk ke arah itu, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sehingga kotak hitam pesawat terbabit ditemui seperti dalam kes pesawat 737-400 Adam Air.

Tambahan pula, data pemantauan awal yang diperiksa oleh pihak tentera AS, Pentagon hari ini mencadangkan pesawat MAS yang hilang, tidak meletup di Laut China Selatan.

Merakyatkan perkhidmatan SPA

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

MAHMOOD ADAM

DALAM tempoh dua bulan pertama tahun ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menerima lebih setengah juta permohonan untuk berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan.

Jumlah itu adalah satu peningkatan mendadak jika dibandingkan dengan 2.1 juta permohonan sepanjang 2013.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, QAMARUL RIZAL di Putrajaya baru-baru ini, Pengerusi SPA, TAN SRI MAHMOOD ADAM menjelaskan peningkatan itu adalah hasil program transformasi yang bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan suruhanjaya itu.

Boleh ceritakan latar belakang SPA?

MAHMOOD: Ia ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 iaitu sama umur dengan kemerdekaan negara yang sudah nak masuk 57 tahun.

Terdapat enam tugas SPA yang termaktub dalam Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan termasuk urusan melantik lebih kurang 70 peratus daripada keseluruhan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

Urusan pelantikan lain dilakukan oleh pihak berkuasa lain iaitu seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

SPA juga tidak terlibat dalam pelantikan kakitangan badan berkanun seperti universiti, Felcra, Felda dan juga pihak berkuasa tempatan.

Pelantikan di peringkat negeri juga tidak dilakukan oleh SPA kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Di sembilan negeri lain, ia dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) masing-masing iaitu Johor, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Tugas lain adalah pengesahan dalam perkhidmatan, pemberian taraf berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan kawalan tatatertib.

Difahamkan banyak transformasi dilaksanakan SPA?

Setakat ini kita sudah ada 75 transformasi. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Maknanya apa sahaja dasar atau peraturan baharu yang kita nak buat hendaklah bagi memenuhi kehendak rakyat.

Ia juga selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menekankan supaya penjawat awam mempunyai sikap, cara bekerja dan cara berfikir yang sesuai dengan kehendak rakyat sekarang.

Inisiatif ini juga dibentuk dengan tujuan merakyatkan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan SPA.

Transformasi ini berasaskan tujuh prinsip iaitu tidak melibatkan pertambahan peruntukan kewangan, tidak memerlukan pertambahan jawatan dan tidak perlu kepada pindaan undang-undang.

Prinsip lain adalah berasaskan pendekatan yang popular dan sangat dikehendaki oleh orang ramai terutama pemohon pekerjaan, pelaksanaan yang menghasilkan impak menang-menang, bersifat besar dan mempunyai titik sentuhan.

Apakah contoh transformasi yang dibuat?

Kita telah panjangkan tempoh sah laku permohonan pekerjaan secara dalam talian (online) daripada setahun kepada lima tahun.

Kalau pemohon terlupa untuk membuat permohonan baharu selepas setahun, mereka masih berpeluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.

SPA juga mengadakan sesi temuduga pada waktu malam, hujung minggu dan secara panggilan telefon untuk kemudahan pemohon yang tidak dapat hadir pada waktu siang atau ketika hari bekerja.

Transformasi ini bersifat menang-menang kerana menggalakkan lebih ramai orang memohon pekerjaan sebagai penjawat awam dan pada masa sama memberi lebih banyak pilihan kepada SPA untuk memilih calon terbaik.

Kita juga membenarkan pemohon mendaftar sebanyak mana jawatan kerajaan yang dikehendaki dan bukannya maksimum 15 jawatan sahaja seperti sebelum ini.

Kita turut menghapuskan dasar One Step Lower bagi membolehkan calon berkelayakan lebih tinggi memohon jawatan gred rendah yang memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Mereka yang ditawar jawatan oleh SPA tetapi telah menolaknya sebelum ini juga tidak akan disenarai hitam.

Apa lagi transformasi yang akan dilaksanakan?

Kita sedang mengkaji semula 1,113 peraturan SPA bagi memastikan ia tidak bertindih dan masih relevan pada masa sekarang. Kita akan permudahkan peraturan terbabit supaya berpihak kepada penjawat awam dan mereka yang memohon pekerjaan.

Sejak Januari tahun ini, SPA turut mengadakan kursus percuma setiap Sabtu di seluruh negara bagi menerangkan kepada mereka yang berminat mengenai ciri-ciri pegawai kerajaan yang dikehendaki. Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, jumlah kehadiran melebihi 7,000 orang di seluruh negara.

Antara ciri yang disenaraikan adalah cepat, tepat dan berintegriti (CTI); produktif, kreatif dan inovatif (PCI) serta bersifat setia, berfikiran terbuka dan memudahkan rakyat (LOF).

Mereka juga diajar cara-cara menghadapi sesi temu duga SPA yang berdasarkan kepada kaedah Temuduga Berasaskan Kompetensi (CBI) dan psikometrik, cara-cara menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan sukatan pelajaran yang kita gunakan.

Apakah transformasi paling besar?

Ia adalah transformasi ke-75 yang dijangka mula dilaksanakan pada Jun ini melibatkan peperiksaan penjawat awam secara dalam talian.

Langkah-langkah keselamatan akan diperkenalkan bagi membolehkan peperiksaan melalui kaedah ini dijalankan dan tidak berlaku sebarang penipuan.

Kalau berlaku penipuan pun, kita masih mempunyai mekanisme untuk mengesannya iaitu ketika temu duga dan sesi penilaian lain.

Sebagai permulaan, peperiksaan dalam talian ini akan diadakan secara kecil-kecilan tanpa membabitkan penjawat awam yang ramai sebelum diperluas melibatkan peperiksaan paling besar iaitu Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang boleh mencecah 70,000 orang.

Peperiksaan dalam talian ini akan menjimatkan duit kerajaan sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun. Kita juga dapat menjimatkan masa, tenaga kerja dan kertas. Pegawai kita juga tidak perlu lagi pergi ke universiti luar negara bagi menguruskan peperiksaan untuk rakyat Malaysia yang merupakan pelajar tahun akhir di sana.

Bagaimana cara untuk memastikan individu mempunyai rekod jenayah tidak diambil bekerja?

Kalau dahulu, kakitangan awam akan menjalani tapisan keselamatan semasa mereka dalam tempoh percubaan iaitu antara satu hingga tiga tahun, sebelum disahkan jawatan. Ini bermakna tapisan dibuat semasa mereka sudahpun masuk ke dalam perkhidmatan awam.

Tetapi dengan transformasi yang dibuat, kita melaksanakan tapisan keselamatan sebelum calon menerima surat lantikan. Ini melibatkan tapisan taraf kewarganegaraan, status kebankrapan dan rekod jenayah.

Untuk tujuan itu, kita sudah wujudkan Sistem Semakan Maklumat Individu (SSMI) dengan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta agensi kerajaan lain.

Sejak dilancarkan pada tahun lepas, kita telah tapis kira-kira 37,000 pemohon dan terdapat 27 kes yang tersangkut kerana mempunyai rekod tidak memuaskan.

Berapakah jumlah permohonan pekerjaan yang diterima?

Untuk Januari dan Februari tahun ini, kita telah menerima 553,365 permohonan. Sepanjang tahun lepas pula, jumlah permohonan ialah 2.1 juta.

Ini adalah satu peningkatan besar dan puncanya besar kemungkinan pertama, mereka tertarik dengan gaji tinggi yang ditawarkan kerajaan. Keduanya, kerana tertarik dengan kemudahan-kemudahan yang diterima pegawai kerajaan dan ketiga, saya percaya mereka tertarik dengan ketelusan sistem pengambilan kakitangan kerajaan oleh SPA.

Pada 2013, kita sudah melantik 60,059 orang sebagai kakitangan kerajaan. Proses pengambilan ini dibuat secara berterusan apabila terdapat kekosongan jawatan.

Apakah langkah untuk menarik lebih ramai bukan Melayu?

Kita telah menyiarkan iklan kekosongan jawatan di akhbar-akhbar Cina dan Tamil serta mengadakan pertemuan dengan wakil media terbabit.

SPA juga telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji penyertaan kaum Cina dan India dan berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum itu secara berkala bagi mendapat pandangan mereka mengenai cara-cara menarik bukan Melayu serta mengubah persepsi negatif kaum berkenaan terhadap perkhidmatan awam.

Pegawai SPA juga pergi memberi penerangan di institusi pendidikan yang mempunyai ramai kaum Cina dan India seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Tafe. Kita juga telah mengadakan taklimat kerjaya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dengan kerjasama Gabungan Persatuan Cina Malaysia.

Berapakah pecahan angka pengambilan mengikut kaum?

Pada tahun lepas, kita menerima 1.7 juta permohonan daripada orang Melayu; 44,633 Cina; 75,361 India dan 295,461 kaum lain.

Pemohon Melayu yang dipanggil temu duga seramai 212,913 orang; daripada jumlah itu hanya 149,906 orang hadir manakala 45,392 orang berjaya mendapat pekerjaan.

Peratus kejayaan pemohon Melayu berdasarkan bilangan yang hadir temu duga dengan yang dilantik adalah 30.28 peratus.

Seramai 7,262 pemohon Cina dipanggil temuduga; namun hanya 4,694 orang hadir dan daripada jumlah itu, 2,901 orang berjaya. Peratus kejayaan adalah 61.80 iaitu yang tertinggi.

Daripada 7,373 orang pemohon India yang dipanggil temu duga pula, sejumlah 4,960 orang hadir dengan 2,018 orang berjaya memperoleh pekerjaan iaitu kejayaan 40.69 peratus.

Untuk dua bulan pertama tahun ini pula, kita menerima 440,019 permohonan daripada Melayu; 7,763 Cina; 14,622 India dan 90,961 kaum lain.

Yang kita telah lantik secara tetap, Melayu sebanyak 3,863 orang; Cina 223 orang; India 324 orang dan kaum lain 848 orang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Harap jodoh dengan Romie

Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my

Hanez Suraya

BIARPUN jiwa sedang bergelodak dek kontroversi yang melanda namun wajahnya tetap tenang kala berkongsi rasa hati bersama Pancaindera petang Khamis lalu.

Tentu sahaja dilabel perampas suami orang dan wanita perosak rumah tangga membuatkan hatinya pedih dan terhiris.

Malah situasi itu turut mencabar kesabaran diri lebih-lebih lagi apabila maruahnya diperlekehkan oleh sesetengah pihak.

Tidak mampu bertahan apabila sewenang-wenangnya diserang dengan kejian, Hanez Suraya Abdul Aziz tetap menafikan dia perampas walaupun lelaki itu suami orang. Lebih teruk lagi apabila dia dilaporkan berkata, kekasihnya seorang duda.

Memang nama Hanez Suraya cukup hangat diperkatakan sejak seminggu dua ini ekoran kontroversi kisah cintanya dengan Mr. R yang didakwanya duda tetapi sebenarnya masih suami orang.

Peliknya walaupun ternyata suami orang, masih berlaku tuduh menuduh dan cabar mencabar dengan isteri Mr. R . Tidak cukup dengan itu, Hanez dan Mr. R mengadakan sidang akhbar tetapi isteri Mr. R tidak ada di sidang akhbar itu. Penjelasan hanya sebelah pihak sahaja.

Sebenarnya bukan suatu yang luar biasa apabila artis wanita berkahwin dengan suami orang yang kaya, ternama dan berpengaruh. Ini perkara biasa dan sepatutnya sudah tidak menjadi kontroversi lagi. Perkara yang jarang berlaku sepatutnya menjadi kontroversi.

Sepatutnya dalam fenomena artis wanita berkahwin dengan suami orang, masyarakat tidak perlu lagi memberi perhatian yang melampau.

Berhadapan dengan pelbagai pandangan serong masyarakat Hanez mengakui bahawa dia terpaksa menghadapi dugaan besar dalam hidupnya itu.

"Kesabaran ada hadnya. Cukup-cukuplah saya berdepan dengan macam-macam kata nista sepanjang minggu lalu kini saya tidak akan berdiam diri," katanya membuka bicara dan mempertahankan dirinya bukan merampas suami orang.

Berani kerana benar. Itu tegas gadis berusia 29 tahun ini ketika ditemui untuk sesi fotografi di Shah Alam, Selangor. Ketika sesi fotografi berlangsung di satu sudut kelihatan kekasihnya, Mr. R atau Romie Razin Adilha bersama dua rakannya.

Ketika berbicara soal jodoh, Hanez sangat percaya dan yakin dengan lelaki yang bakal menjadi kepala keluarganya satu hari nanti.

"Apabila berkawan dengan mana-mana lelaki, saya akan siasat tentang latar belakangnya. Kalau dia sudah ada isteri, awal-awal lagi saya angkat kaki. Saya memang tak mahu suami orang! Tapi apabila bertemu dengan Romie Disember lalu , dia beritahu perkahwinannya bermasalah," ujarnya.

Tambah Hanez lagi, kejujuran dan keikhlasan lelaki itu menawan hatinya biarpun masih suami orang.

"Mungkin sebab itulah saya tidak berfikir panjang untuk serius dengan Romie hingga dia melamar awal Januari lalu," dakwanya.

Pun begitu apa yang dikesalkan Hanez apabila hubungannya itu disensasikan kerana lelaki itu bukan duda seperti yang diperkatakan sebelum itu.

Walhal kata Hanez, dia cuma kurang bernasib baik apabila hubungannya itu berlangsung saat rumah tangga Romie dengan isterinya, Nurliyana Abdul Manan bergolak.

Kesannya dia terkena tempias berbaur negatif daripada segelintir masyarakat yang berterusan menghukum tanpa mengetahui sebenarnya Hanez tidak mahu suami orang.

Mahu membersihkan nama yang didakwa tercalar kata Hanez, itu yang mendorong dia mengadakan sidang akhbar Rabu lalu. Turut hadir pada majlis itu ialah peguamnya Wan Nurliyana Abdul Rahman dan peguam Romie, Rubiah Jaffar.

Mengambil pendekatan tidak mahu lagi melarikan diri dia juga tidak takut untuk ke hadapan dan menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan kerana percaya dia berada di pihak yang benar.

Selain mahu segera membersihkan namanya yang tercalar kata Hanez, dia juga tidak peduli apabila tindakannya itu bakal mengundang kebencian masyarakat .

"Memang sukar untuk mengubah persepsi negatif yang sudah mendahului pemikiran segelintir pihak. Saya juga tahu usaha untuk menukar pandangan serong itu pasti tidak berjaya.

"Sebab dalam kalangan artis Malaysia yang pernah terpalit dengan cerita kontroversi pasti akan berterusan dilabel jahat oleh masyarakat yang berfikiran kolot. Teruslah memburukkan saya tidak kira di Twitter, facebook atau di mana saja, saya sudah tak kisah," katanya penuh makna untuk berdepan dengan masyarakat yang dilabelkan kolot itu.

Kahwin dengan Romie?

MENGULAS tentang perancangan masa depannya dengan Romie kata Hanez, dia tidak berani untuk bersuara kerana perkara itu masih kabur.

Mengakui pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin pada tahun ini tetapi perkara itu masih belum dapat dipastikan lagi.

Ini kerana tegasnya, soal jodoh adalah perkara di luar bidang kuasanya. Apa yang diharapkan pelakon ini adalah berdoa dojodohkan dengan Romie.

"Biarlah takdir yang menentukan hala tuju perancangan kami. Saya tidak mahu terburu-buru dalam perkara yang membabitkan masa depan. Romie ada komitmen sendiri. Biarlah dia dahulukan perkara penting dan menguruskan hal-hal perkahwinannya. Saya tak mahu masuk campur.

"Saya juga sama sekali tidak akan mendesak Romie untuk segera berkahwin dengan saya. Saya pun masih tahu malu," katanya yang mengakui akan mengundur diri andai Romie masih suami orang.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan dia terpikat dengan Romie kerana kekayaan sebaliknya kerana peribadi yang baik.

Kata Hanez, soal kekayaan Romie adalah isu kedua kerana yang penting kesediaan lelaki itu untuk menerima dia seadanya.

Katanya, "Kalau dapat bakal suami orang kaya itu adalah bonus tapi apa yang penting adalah hati budi."

Mengajukan persoalan tentang penerimaan keluarga kedua-dua belah pihak berhubung kontroversi itu , Hanez berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada mereka.

Dia mendakwa keluarga Romie memberi sokongan kuat kepadanya ketika berdepan dengan kemelut tersebut.

Dakwanya lagi, kata-kata semangat yang diberikan itu secara tidak langsung menambah keyakinannya untuk meneruskan hubungan dengan Romie.

Menganggap perang yang terjadi sebagai dugaan awal percintaan dengan Romie kata Hanez lagi, itu penilaian utama yang mencerminkan ketulusan cinta ahli perniagaan itu terhadapnya.

"Pada mulanya saya anggap Romie tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang berlaku tapi sebenarnya dia memang seorang lelaki yang gentleman. Pada masa yang sama, dia tidak pernah membuka cerita yang mengaibkan mana-mana pihak," katanya.

Sambung legasi Sudirman

Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my

Bersama ibu kesayangan, Rodziah Arshad (kanan) dan anak bongsunya, Sara Sasha.

JIKA ada usaha untuk mematahkan semangat Razman Azrai Zainudin atau Atai untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni, dia tidak akan memperdulikannya.

Bahkan anak saudara penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman Haji Arshad ini menegaskan dia perlu menyambung legasi perjuangan seni Sudirman yang terhenti lebih 25 tahun lalu.

Sementelah dia individu paling rapat dengan Sudirman, justeru kata Atai, sudah tiba masanya dia menyumbangkan sesuatu kepada industri hiburan.

"Apabila orang kata Atai sudah terlalu tua untuk menyertai semula industri hiburan Atai tidak marah. Sebab awal-awal lagi Atai sudah memperbetulkan niat sebelum memasuki bidang ini. Atai tidak perlukan glamor berlebihan.

"Cuma Atai mahu berkongsi bakat dan cerita-cerita arwah Cokman (panggilannya kepada Sudirman) yang selama ini Atai pendamkan," kata lelaki berusia 40 tahun ini.

Mengulas tentang pendorong utama yang menyebabkan Atai membuat kemunculan semula, berkata biarpun perasaannya berbelah bahagi untuk meneruskan perjuangan seni arwah bapa saudara pada peringkat permulaan namun permintaan peminat untuk mengetahui kehidupan dan perjuangan seni arwah selepas kematiannya pada 22 Februari 1992 yang mendorongnya untuk kembali ke dunia hiburan.

Berjaya membuang perasaan sedih dengan kehilangan Cokmannya, Atai mengakui perjuangan untuk bangkit semula itu memakan tempoh yang agak lama.

"Cokman yang jaga Atai masa Atai berumur 13 hingga 17 tahun. Sepanjang tempoh lima tahun itu, Cokman tidak pernah abaikan Atai malah jaga Atai macam anak sendiri.

"Jadi apabila Cokman pergi semasa usia Atai 18 tahun, hidup Atai sunyi sepi. Atai sudah tak ada tempat bermanja dan berkongsi suka duka.

"Memang Atai sedih dan tak ada semangat nak hidup. Jadi selepas (pemergiaan arwah) itu, Atai dengan dunia sendiri. Dah tak nak lagi bercerita tentang Cokman," kata penyimpan rahsia dan pengintip tidak rasmi Sudirman ini.

Pelajar cemerlang

Dek kesedihan yang melampau juga kata Atai, dia bertukar sikap daripada seorang yang malas belajar kepada pelajar yang cemerlang.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Atai juga melayakkan dia menyambung pelajaran di luar negara dengan biasiswa tajaan Mara.

Hanya fokus pada pelajaran kata Atai, dia juga pernah mendapat anugerah pelajar cemerlang sewaktu menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di Universiti Rhode Island, Amerika Syarikat (AS).

"Atai memang tak suka buku, Cokman pun tahu perkara itu. Puas juga Atai kena marah dengan dia tapi entah macam mana buku adalah teman hidup Atai apabila Cokman sudah tiada.

"Selain itu Atai juga berpatah arang dengan dunia hiburan," kata pemilik sarjana dalam bidang teknologi maklumat (IT) dari Universiti Staffordshire, United Kingdom (UK) ini lagi.

Atas sebab yang sama juga dia memilih untuk menimba pengalaman di bidang korporat selepas pulang ke tanah air pada penghujung tahun 90-an.

Pernah memegang jawatan penting di beberapa syarikat korporat tanah air kata Atai, pun begitu tidak bermakna dia melupakan bidang nyanyian.

Tambahan pula selepas keadaan keluarganya stabil, secara tidak langsung membuatkan Atai merancang untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Awal Januari lalu, Atai meletak jawatan sebagai Naib Presiden Pos Malaysia untuk memberi fokus dalam bidang nyanyian bagi meneruskan impian menjadi penyanyi.

Misi Atai

MENGULAS tentang perancangan seni Atai berkata, dia kini sedang mempromosikan single terbaharunya, Kul It yang boleh dibeli secara dalam talian menggunakan aplikasi telefon pintar iprinz.

Kata Atai, single itu cukup istimewa kerana menjadi lagu tempatan pertama yang boleh dikirim sebagai hadiah dalam bentuk poskad dengan harga RM9.

Kata Atai lagi, dia sengaja memilih Kul It kerana lagu itu berentak rancak berbanding lagu-lagu berentak balada nyanyian Sudirman yang diminati ramai.

"Saya tahu Kul It kurang diminati dan jarang kedengaran di radio sebab itu saya mengambil keputusan untuk merakamkan semula lagu itu.

"Kalau didengar semula Kul It, susunan lagu itu ada perubahan tapi masih mengekalkan keaslian struktur lagu," katanya yang bakal menghasilkan lebih banyak lagu rakyat yang disesuaikan dengan peredaran semasa.

Selain itu kata Atai, dia juga sedang merangka beberapa projek untuk menghidupkan kembali kegemilangan Sudirman yang merupakan aset hiburan tanah air itu.

Antara yang bakal diusahakan Atai ialah memaparkan riwayat sebenar Sudirman dalam bentuk visual, animasi, buku sejarah dan pementasan.

Pun begitu kata Atai, semua perancangan tersebut bakal direalisasikan jika mendapat sokongan daripada pelbagai pihak satu hari nanti.

"Ada banyak cerita yang orang tidak tahu tentang Cokman. Saya bersedia untuk berkongsi dengan masyarakat," katanya penuh makna.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Basuh baju guna aplikasi telefon pintar

Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT

Mesin basuh yang dinamakan WW9000 ialah mesin basuh pintar pertama di dunia.

UNTUK masa ini hanya terdapat dua jenis mesin basuh di pasaran iaitu semi automatik dan automatik.

Evolusi mesin basuh sememangnya sudah lama tidak berkembang, dan biasanya pengguna perlu pergi ke mesin basuh jika mereka menghadapi masalah dengan mesin itu.

Aktiviti membasuh mungkin merupakan satu tugas yang membosankan bagi sesetengah orang dan boleh menjadi beban jika jadual sibuk.

Memperuntukkan masa untuk memasukkan pakaian, menunggu pusingan habis, tempoh spin dan mengeluarkannya dari mesin basuh sebelum mengeringkannya pasti mengambil tempoh masa yang lama dan kadang-kadang membuatkan kita hilang masa begitu saja.

Terkini, Samsung telah mencipta mesin basuh pintar yang mudah dikawal menggunakan aplikasi pada telefon pintar.

Mesin basuh yang dinamakan WW9000 ialah mesin basuh pintar pertama di dunia yang membolehkan pengguna memula dan menghentikan kitaran aktiviti basuhan hanya dengan mengklik butang maya dari telefon pintar mereka.

Mesin sama membolehkan anda melaksanakan tugas-tugas lain ketika mesin mengendalikan pakaian.

Mesin ini mempunyai pelbagai ciri yang membolehkannya mengendalikan dobi pengguna dengan cara yang lebih baik.

Salah satu caranya adalah dengan kaedah mencuci berkelajuan tinggi yang membasuh pakaian hanya dalam tempoh satu jam apabila ia mengisi dram dengan air melalui bekalan air berkembar dengan cepat.

Ciri lain termasuk basuhan auto optimum yang menggunakan empat sensor dalam mesin bagi menentukan kitaran cucian yang betul untuk beban yang ditentukan dengan menetapkan suhu, masa, tempoh kitaran bilas dan putaran kelajuan bergantung kepada saiz beban dan bagaimana kotornya pakaian itu.

Mesin ini juga mempunyai kaedah pintar untuk mengendalikan kesan kotoran tertentu. Lebih baik, semua pilihan juga boleh dikendalikan melalui skrin sentuh di atas mesin.

Satu lagi fungsi menarik, ecobubble yang menjimatkan tenaga dengan melarutkan bahan pencuci dengan lebih cepat. Hal ini berlaku dengan menyerapkan air dan udara bersama-sama yang mewujudkan buih untuk membantu membubarkan detergen lebih cepat dan menjimatkan tenaga.

WW9000 boleh didapati di Malaysia pada Mei nanti namun sehingga kini Samsung masih belum menentukan harganya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Gaun kertas Mayhem

Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my

SI cilik yang digelar Mayhem Kelser, 4, sama seperti kanak-kanak perempuan seusianya iaitu meminati gaun ala puteri kisah dongeng yang indah.

Bezanya, Mayhem menghasilkan sendiri gaunnya, menggunakan kertas!

Menerusi laman Instagram ibunya, Angie Keiser iaitu @2sisters_angie, Mayhem dilihat menggayakan pelbagai gaun kertas rekaan sendiri, pakaian selebriti di karpet merah hingga ke gaun yang diperagakan oleh model.

Antara rekaan terbaru Mayhem yang dibantu oleh ibunya itu ialah gaun selebriti Hollywood ketika majlis karpet merah Anugerah Oscar baru-baru ini seperti Ellen DeGeneres, Jada Pinkett Smith dan Jennifer Lawrence.

Tidak sampai sehari gambar tersebut dimuat-naikkan, lebih 34,000 pengguna Instagram telah menekan butang like pada gambar tersebut.

Aktiviti antara ibu dan anak yang bermula sekadar suka-suka sejak sembilan bulan lalu kini menjadi tumpuan dunia kerana kecomelan pereka fesyen muda tersebut dengan rekaannya yang tersendiri.

Semuanya bermula apabila Angie menemui pakaiannya tersorok di dalam kotak barangan mainan Mayhem.

Dia lalu mencadangkan kepada puterinya itu supaya membuat sendiri gaun untuk dirinya menggunakan kertas berwarna dan pita pelekat.

Pasangan ibu dan anak ini kemudian semakin kreatif dengan menggunakan apa saja yang ada di dalam rumah mereka seperti tisu tandas, plastik, keranjang aluminium, majalah lama, skaf, cadar dan pelbagai lagi.

Cerita Angie, idea dan rekaan pakaian tersebut merupakan idea bersama. Memandangkan Mayhem terlalu kecil untuk menggunakan gunting, dia berdiri di sebelah ibunya dan memberi arahan untuk memotong corak yang diingini.

Myhem kemudian akan menampal bahagian-bahagian yang telah dipotong dengan bantuan ibunya membentuk pakaian yang boleh dipakai.

Mengagumkan untuk kanak-kanak usianya, Mayhem tahu pembahagian kertas dan cara menampal yang betul agar boleh dipakai.

Membunuh akibat dirasuk

Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT

Paparan tentang histeria dalam dua keluaran lalu diharap sedikit sebanyak dapat meluaskan minda anda mengenai gejala tersebut. Namun, untuk pengetahuan anda, subjek histeria pasti akan menjadi lebih misteri dan menyeronokkan kalau kita melihatnya dalam perspektif yang lebih luas.

Ini kerana, histeria telah digolongkan oleh ahli antropologi perubatan sebagai Sindrom Terikat Budaya (Culture Bound Syndrome - CBS). Apa pula CBS ini? Ia bermaksud sesuatu sindrom atau fenomena psikiatrik yang hanya berlaku dalam kelompok-kelompok tertentu sahaja. Atau, sindrom yang sama kategorinya tetapi dengan simptom, gejala serta karakter yang aneh dan berbeza (peculiar dan bizarre).

Misalnya, amuk dianggap hanya berlaku dalam kalangan masyarakat Nusantara sahaja, khususnya Melayu. Koro dalam kalangan masyarakat Cina, Hwa-byeong (Korea), Ashanti (Afrika Barat dan Ghana), Susto (Latin), Dhat (India), Fan Death (mati akibat deruan angin kipas - Korea), Bouffee delirante (Afrika Barat dan Haiti), Latah (Melayu) dan sebagainya.

Histeria pula, walaupun terjadi dalam semua masyarakat, tetapi lain bangsa dan suku kaum, lain pula gejalanya. Pelik, bukan? Contohnya Windigo yang berlaku dalam kalangan masyarakat Red Indian daripada suku kaum Chippewa, Cree dan Montagnais-naskapi di utara Amerika Syarikat.

Sindrom Windigo berlaku apabila lelaki suku kaum ini yang sedang berburu di dalam hutan terserempak dengan hantu raksasa yang mereka gelar sebagai windigo. Hantu ini rupanya seperti tengkorak. Jantungnya daripada ketulan ais dan merayau-rayau di dalam hutan pada musim sejuk. Windigo hidup dengan memakan manusia.

Lelaki Chippewa yang dirasuk windigo akan berubah karakternya menjadi ganas. Mereka menerkam kawan yang ikut berburu, kemudian menggigit leher dan merobek perutnya. Organ mayat seperti hati, jantung, usus dan paru-paru seterusnya dimakan mentah-mentah manakala darah dihirup seperti meminum air.

Mengapa ini berlaku? Benarkah wujud raksasa windigo? Pengkaji budaya mendapati, gejala ini terjadi kerana masyarakat tersebut tinggal di dalam komuniti kecil yang terasing di kawasan hutan yang sejuk dan bergantung hidup dengan berburu.

Apabila salji turun, makanan sukar dicari, menyebabkan mereka tertekan dan perlu mencari alternatif lain. Ketakutan yang melampau itulah menyebabkan munculnya gejala histerikal, lalu dikaitkan dengan hantu windigo.

Gejala histerikal dalam suku kaum Hehe dan Tanganyika di Tanzania tidak kurang ngerinya. Apabila diserang gangguan mental, mereka akan merayau-rayau dalam keadaan berbogel dan memakan sampah serta najis sendiri.

Masyarakat peribumi Kenya yang diserang gejala Kemba pula bukan setakat berbogel, malah menyerang dan membunuh orang lain. Yang wanitanya pula akan berbaring di atas jalan sepanjang hari tanpa seurat benang.

Kalau lelaki yang berbogel, mereka mengetuk pintu rumah jiran, ketawa dan lari lintang pukang apabila tuan rumah membuka pintu. Terdapat kes seorang lelaki melembing tujuh orang jirannya sampai mati!

Hampir sama dengan Kemba, mangsa gejala Pokot di Kenya bukan setakat meracau, malah membakar rumah. Terdapat kes mereka membakar rumah jiran pada waktu malam ketika keluarga jirannya sedang nyenyak tidur! Selain mencedera dan membunuh orang lain, penghidap gejala ini ada kalanya membunuh diri.

Sekarang saya ingin ceritakan kepada anda tentang CBS yang dikaitkan dengan misteri dan hantu. Untuk pengetahuan anda, terdapat satu gejala yang sering berlaku dalam masyarakat Eskimo yang diberi nama Pibloktoq. Gejala ini berlaku hanya ketika matahari tidak muncul di langit dalam tempoh yang lama dan suasana menjadi kelam serta gelap sepanjang hari.

Menurut masyarakat tersebut, ketika itulah hantu merayau dan merasuk mangsa, menyebabkan mereka menunjukkan tingkah laku yang menakutkan. Kebanyakan mangsa ialah wanita. Mangsa Pibloktoq akan mengoyakkan pakaian, kemudian merayau serta berguling-guling di atas hamparan ais dalam keadaan telanjang. Mereka berlari ke kawasan pergunungan, terjun ke dalam air yang sejuk dan separuh beku, atau mencampak orang lain ke dalam sungai tersebut.

Serangan berlangsung antara lima minit hingga beberapa jam. Apabila pulih, mangsa tidak dapat mengingati apa yag telah berlaku. Selain itu, mangsa Pibloktoq akan menjerit, menendang dan memusnahkan apa saja yang ada di sekeliling. Dalam hal ini, anjinglah yang selalu menjadi mangsa tendangan mereka!

Mengapa terjadi Pibloktoq? Pengkaji mengatakan, antara lainnya berpunca daripada diet masyarakat tersebut yang banyak memakan lemak serta organ haiwan. Perlu diketahui, organ mengandungi toksik dan kalau dimakan terlalu banyak boleh menjejaskan kesihatan serta membawa maut.

Biasanya ia berlaku dalam kalangan wanita yang baru kematian suami. Ini kerana mereka tertekan dan takut untuk mengharungi kehidupan tanpa suami di sisi. Masyarakat Hmong yang tinggal di Laos dan Vietnam pula sering mati secara mengejut ketika tidur (Sudden Unexpected Death Syndrome). Menurut masyarakat Hmong, semua ini angkara hantu Tsog tsuam yang menekan dada serta jantung mangsa ketika mereka sedang tidur.

Masyarakat Hmong percaya, Tsog tsuam akan terus mengamuk dan membunuh kalau tidak dilakukan upacara tertentu bagi meminta perlindungan roh nenek moyang.

Benarkah begitu? Selepas dikaji, didapati sebenarnya gejala tersebut berlaku bukanlah akibat hantu Tsog tsuam. Sebaliknya terjadi kerana masalah jantung yang dihidapi secara keturunan (genetik). Masyarakat Hmong mengaitkannya dengan hantu Tsog tsuam kerana cerita itulah yang disampaikan oleh mangsa-mangsa yang terselamat.

Selain Hmong, etnik-etnik lain seperti Khmer, Lao dan Vietnam juga mengalami sindrom ini. Hinggakan pelarian yang tinggal di luar negara kerana melarikan diri daripada pergolakan politik di rantau berkenaan pada 1970-an turut diserang sindrom Hmong. Dalam hal ini pengkaji percaya selain masalah genetik, penyakit jantung itu turut berlaku kerana tekanan serta ketakutan yang berpanjangan yang dialami mangsa akibat peperangan.

Susto pula CBS yang berlaku dalam kalangan masyarakat Latin. Ia merujuk kepada seseorang yang hilang semangat akibat terlalu terkejut. Antaranya, kerana terdengar salakan anjing, dihumban daripada kuda dan tidur di wad yang pesakitnya mati pada malam hari. Satu lagi punca ialah bermimpi didatangi hantu dan hantu itu menghalang roh mangsa daripada masuk semula ke dalam badannya.

Susto akan menyebabkan mangsanya resah, tidak dapat tidur dan menjadi lemah selepas terjaga. Mereka hilang selera makan, murung serta tidak suka melihat diri sendiri. Begitu juga dengan gejala Mal de ojo (Mediterrenean), Zar (Afrika Utara), Amafufunyana (Zulu dan Xhosa di Afrika Selatan), Grisi Siknis (Kaum Miskito di Amerika Tengah) dan banyak lagi. Okeylah cukup dengan histeria dan CBS, minggu depan kita beralih ke topik lain pula.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Paras Empangan Semenyih, Sg. Selangor makin susut

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

KUALA LUMPUR 9 Mac - Paras air di Empangan Semenyih dan Sungai Selangor terus menyusut manakala enam lagi empangan di Selangor masih tidak banyak berubah dalam tempoh seminggu lalu.

Berdasarkan data yang diambil daripada laman web rasmi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Empangan Semenyih menunjukkan penyusutan daripada 107.99 meter kepada paras 107.55 meter hari ini.

Manakala, Empangan Sungai Selangor turut menyusut kepada paras 193.75 meter semalam berbanding 194.10 meter kelmarin.

Enam lagi empangan di negeri Selangor pula tidak mengalami kenaikan, namun penurunannya juga tidak begitu mendadak sehingga 7 Mac lalu seperti paras air di Empangan Batu (100.23 meter), Klang Gates (89.76 meter), Kolam Takungan Sungai Labu (40.80 meter), Langat (215.03 meter), Sungai Tinggi (55.43 meter) dan Tasik Subang (37.99 meter).

Denggi dijangka terkawal menjelang minggu hadapan

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

KUALA LUMPUR 9 Mac - Wabak denggi dijangka terkawal menjelang minggu hadapan ekoran trend jangkitan yang tidak menunjukkan peningkatan atau penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 38 kes kematian dilaporkan akibat demam denggi sehingga kelmarin dan jumlah ini masih pada tahap rendah berbanding negara-negara lain.

"Jumlah kematian itu hanya mencatat kira-kira satu peratus berbanding 18,000 kes di seluruh negara," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan statistik laman web idengue.remotesensing.gov.my sehingga kelmarin, Selangor masih mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 100 kes dengan 105 lokaliti wabak semasa.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya mementingkan kebersihan di dalam rumah serta kawasan persekitaran kerana kedua-dua kawasan terbabit merupakan lokasi pembiakan nyamuk aedes.

"Menjadi tanggungjawab rakyat untuk memastikan persekitaran dan rumah mereka bersih tanpa membiarkan bekas takungan air sementara pihak bertanggungjawab akan terus menyembur asap secara berskala dalam usaha membanteras wabak tersebut," katanya.

Kumpulan Utusan promosi aktiviti kebudayaan

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Ezlina Alias (empat dari kiri) bersama artis-artis kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sebelum mengedarkan akhbar Mingguan Malaysia di Putrajaya, kelmarin.

PUTRAJAYA 9 Mac - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menaja akhbar Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia dan Kosmo! bernilai RM19,500 untuk edaran di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Pengarah Komunikasi Korporat jabatan tersebut, Ezlina Alias berkata, dengan menaja akhbar-akhbar keluaran Kumpulan Utusan, pihaknya dapat mempromosikan aktiviti kebudayaan secara lebih meluas.

Antara aktiviti yang akan berlangsung ialah pelancaran majlis Semarak Bangsawan pada 15 Mac ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Hari ini, saya dan artis-artis kebudayaan jabatan mengambil peluang mengedarkan akhbar ini di samping mempromosikan majlis Semarak Bangsawan itu," katanya selepas mengedarkan akhbar Mingguan Malaysia di Presint 9 di sini semalam.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Hijab Siti Nurhaliza by Ariani

Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT

Wardina, Siti Nurhaliza, Pengarah Pemasaran Ariani, Norhana Sharkhan dan Nurul Syuhada.

PENGGUNAAN fabrik berkualiti yang diimport dari Itali, Perancis, Jerman dan Turki menjadikan tudung dan selendang di bawah jenama Ariani mempunyai keistimewaan tersendiri. Malah, mampu menarik minat ramai pelanggan untuk memilikinya.

Ariani yang ditubuhkan pada April 2008 merupakan butik eksklusif yang menghasilkan tudung , selendang dan busana Muslim yang dimiliki sepenuhnya oleh Gedung Tekstil Jakel.

Pada Majlis Eksklusif Ariani baru-baru ini, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dipilih sebagi Ikon Ariani. Menariknya, peminat jenama ini boleh mendapatkan koleksi hijab Siti Nurhaliza by Ariani yang akan berada di pasaran pada 21 Mac depan.

Koleksi ini berbeza daripada koleksi sedia ada Ariani kerana menampilkan koleksi selendang pelbagai corak dan warna. Dalam pada itu, personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin dipilih sebagai duta baharu Ariani menggantikan Wardina Saffiyyah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


MH370: Tiada letupan di Laut China Selatan - Pentagon

Posted: 09 Mar 2014 03:07 AM PDT

NEW YORK 9 Mac - Data pemantauan awal yang diperiksa oleh Pentagon mencadangkan pesawat Malaysia Airlines yang hilang, tidak meletup di Laut China Selatan semalam.

Menurut akhbar The New York Times yang memetik pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS), satu sistem yang memantau letupan di seluruh dunia, tidak mengenal pasti sebarang tanda letupan. - Agensi

Pasport palsu: Siasatan dalaman dibuat

Posted: 09 Mar 2014 01:54 AM PST

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

PUTRAJAYA 9 Mac - Kementerian Dalam Negeri telah mengarahkan satu siasatan dalaman ekoran pembolosan dua pasport palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikesan berikutan misteri kehilangan pesawat MH 370 pagi semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan tersebut akan menyentuh pelbagai aspek dan ia akan diketuai oleh Ketua Pengarah Imigresen, Aloyah Mamat. - UTUSAN ONLINE

MH370: Kerajaan nafi lambat salur maklumat

Posted: 09 Mar 2014 01:50 AM PST

SEPANG 9 Mac - Kerajaan menafikan lambat menyalurkan sebarang berita dan maklumat terkini berhubung kehilangan pesawat MH370 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing sejak awal pagi semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setiap maklumat yang diperolehi perlu ditapis terlebih dahulu dan hanya maklumat tepat boleh disalurkan kepada orang ramai.

"Tiada guna sekiranya kita beri maklumat dengan cepat tetapi tidak benar dan hanya berbentuk spekulasi.

"Perkara ini hanya menyebabkan ada ahli keluarga yang sakit hati kerana mereka benar-benar memerlukan maklumat," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved