Khamis, 16 Mei 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


BMW lancar Z4 sDrive20i

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

BMW Z4 sDrive20i

KUALA LUMPUR 16 Mei - BMW Group Malaysia (BMW) hari ini melancarkan kereta sport baharu, Z4 sDrive20i dengan harga RM359,800 dan RM489,800 bagi varian M tanpa insurans.

Kedua-dua varian berkenaan menggunakan enjin baharu 2L empat silinder dengan caj turbo berkembar Vakvetronic dengan kuasa 184hp dan 245hp, manakala kuasa kilasan masing-masing adalah 270Nm.

Enjin baharu berkenaan menawarkan penjimatan minyak iaitu pada kadar 6.8 liter setiap 100 kilometer dan juga mengurangkan bunyi.

Z4 sDrive20i mampu memecut dari dari kedudukan pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 6.9 saat manakala Z4 sDrive28i M 5.5 saat.

Menggunakan transmisi lapan kelajuan, pemandu boleh menggunakan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Sport dan Sport+ untuk keseronokan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Dollah cari formula jinakkan Lions

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh M. RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my

Dollah Salleh

KUANTAN - Kemunculan semula pemain import Pahang dari Argentina, Matias Conti dijangka mampu membantu Tok Gajah membenam Lions XII dalam pertembungan Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini malam ini.

Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh berkata, ketiadaan Conti dalam tiga perlawanan sebelum ini memberi impak yang besar kepada pasukannya.

"Kita gagal mempamerkan aksi terbaik dalam pusingan kedua Liga Super dengan semua posisi tidak mampu mempamerkan corak permainan yang menarik, tidak seperti pusingan awal dahulu.

"Kita tidak ada pilihan melainkan menewaskan Lions XII di laman sendiri agar tidak terus tercicir mata kerana pasukan lain sedang mengekori rapat untuk bersaing merebut takhta liga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, berhadapan dengan anak buah V. Sundramoorthy bukan tugas yang mudah apatah lagi mereka kini memimpin carta liga dengan aksi cemerlang tanpa sebarang kekalahan sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, Dollah Salleh perlu mencorak pasukan dengan baik dan segala strategi yang disusun harus diikuti oleh semua pemain jika tidak mahu berputih mata di laman sendiri.

"Pahang tidak pernah menang dengan Lions XII dan saya amat berharap agar kembalinya Matias yang akan mengetuai jentera serangan mampu menghadiahkan seberapa banyak gol di hadapan penyokong sendiri," ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan agar para pemain tidak meletakkan keyakinan yang terlalu tinggi beraksi di laman sendiri kerana rekod telah membuktikan Pahang tidak menang semua perlawanan di Kuantan.

"Saya percaya semua penyokong Tok Gajah akan turun memenuhi stadium esok (hari ini) kerana mereka bakal disajikan dengan perlawanan yang hebat.

"Lions XII pasti menurunkan skuad terbaik mereka untuk terus mencacat kemenangan bagi menjamin kedudukan selesa sebagai pendahulu liga," jelasnya.

Thailand minat anjur Piala Dunia bersama Malaysia

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah bersama kejohanan bola sepak Piala Dunia 2034 dan mereka bersedia untuk melakukan proses bidaan seawal tahun depan.

Menurut Setiausaha Agung FAT, Ong-Arh Kosinkar, jika ada persetujuan untuk menjadi tuan rumah bersama Malaysia, negara itu akan memperkenal pelan 'Road to World Cup' bermula tahun depan.

"Setelah mendengar cadangan Malaysia (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengenai penganjuran Piala Dunia 2034, kami berasa teruja dan menyambut baik cadangan untuk menjadi tuan rumah bersama," kata ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, Thailand sememangnya berminat untuk menganjurkan Piala Dunia bersama Malaysia namun tahap keseriusan negara itu terhadap penganjuran tersebut bergantung kepada Kongres FAT pada September ini.

"Kami menyambut baik hasrat FAM yang secara terbuka bersetuju untuk membincangkan mengenai penganjuran Piala Dunia 2034 bersama rakan anggota ASEAN yang lain.

"Bagaimanapun saya percaya negara berpengaruh lain dalam sukan bola sepak Asia Tenggara seperti Vietnam dan Indonesia juga sudah tentu berminat untuk melibatkan diri dalam penganjuran ini.

"Masih terlalu awal untuk membincangkan kaedah terbaik membuat bidaan ini jika peraturan menetapkan dua negara sahaja menjadi tuan rumah," katanya.

Kelmarin Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan 2034 sebagai tahun paling sesuai buat negara Asia Tenggara khususnya Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Beliau membayangkan pada 2034 Malaysia mampu menjadi tuan rumah Piala Dunia bersama sebuah negara Asia Tenggara, seperti yang dilakukan Jepun-Korea Selatan pada 2002.

Tengku Abdullah menjelaskan negara anggota ASEAN dan ahli gabungan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) akan mengadakan mesyuarat pertama 19 Jun ini.

Sejak 1930, hanya sekali sahaja kejohanan berprestij ini dianjurkan secara bersama iaitu pada 2002 manakala bidaan Belgium-Belanda dan Sepanyol-Portugal untuk mendapatkan hak tuan rumah pada 2018 dan 2022 gagal. Setakat ini FIFA telah menetapkan Brazil menjadi tuan rumah 2014, Russia (2018) dan Qatar (2022).

Peluang untuk negara Asean menganjurkan Piala Dunia 2034 masih samar kerana Presiden FIFA, Sepp Blatter pernah mengeluarkan kenyataan tidak berminat untuk menerima bidaan penganjuran secara bersama.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Ingati jasa guru seumur hidup

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

Mohamad Hasan bersama sebahagian warga pendidik selepas menyampaikan anugerah pada Majlis Makan Malam sempena perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Padang MPS di Seremban, malam semalam. Turut kelihatan Abd. Ghafar Mahmud (dua dari kanan). - UTUSAN/ Abd. Razak Aid

SEREMBAN 16 Mei - Lebih 5,000 warga pendidik dari seluruh negara diraikan pada Majlis Makan Malam Negeri sempena perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42, 2013, di sini malam tadi.

Majlis anjuran kerajaan negeri itu diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dekat sini.

Majlis berkenaan adalah satu daripada 10 acara utama sambutan perayaan Hari Guru yang telah diatur mulai 30 April lalu hingga hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Kalsom Khalid.

Mohamad yang berucap pada majlis tersebut berkata, pengorbanan dan jasa seorang guru yang tidak pernah jemu dan penat mendidik seorang anak bangsa perlu dihargai dan diingati seumur hidup.

Katanya, dedikasi dan kesungguhan para guru telah membolehkan banyak dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan yang mentadbir negara ini sejak merdeka memperoleh kejayaan.

"Dasar-dasar yang membawa banyak perubahan kepada negara ini seperti Dasar Membasmi Kemiskinan dan Dasar Membasmi Buta Huruf kini menampakkan hasil apabila ramai rakyat negara ini sudah menjadi warga berilmu dan tidak lagi miskin seperti dulu," katanya.

Beliau turut mengingatkan warga pendidik agar bersyukur kerana sejarah pendidikan sejak 56 tahun lalu telah mengubah negara daripada miskin kepada negara membangun.

Jelasnya, peranan para guru semakin besar kerana fokus pendidikan hari ini tidak lagi mensasarkan kepada membasmi buta huruf, sebaliknya membangunkan modal insan yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

"Tidak lama lagi iaitu pada 2015, negara ini akan menjadi sebahagian daripada blok negara ASEAN yang besar sekali gus menjadikan cabaran yang mendatang semakin sengit.

"Kita perlu membuat persediaan daripada sekarang dengan melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing bagi masa tersebut," katanya.

Sempena majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan anugerah kepada para guru yang telah memberi sumbangan dalam bidang kepakaran masing-masing seperti anugerah inovatif, guru cemerlang, kepimpinan dan ikon guru.

Beliau turut menyampaikan Penghargaan Khas Jasa Bakti Lahad Datu kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian, Sakka Labacho; Guru Besar SK Lok Buani, Saabi Hasim dan guru SK Fajar Harapan, Catherine Gonolon

Anugerah itu bertujuan menghargai komitmen para guru besar dan guru tersebut yang sanggup mengadakan kelas ketika serangan pengganas Sulu di Lahad Datu, Mac lalu.

Hari Guru disambut meriah

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Mei - Sambutan Hari Guru bertemakan 'Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda' yang diraikan hari ini bagi mengenang jasa dan pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa, disambut secara sederhana namun meriah.

Tinjauan Bernama di beberapa sekolah sekitar ibu kota mendapati ada sekolah menunda sambutan Hari Guru kerana pelajar sedang menduduki peperiksaan namun ada juga yang meraikan sambutan itu hari ini.

Antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Kwok, Jalan Raja Laut yang akan menyambutnya pada 23 Mei kerana mahu pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan pertengahan tahun yang sedang diadakan.

Di Sekolah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan (SPKCP) Jalan Batu di sini, sambutan Hari Guru meriah dengan hilai tawa serta nyanyian lagu 'Terima Kasih Cikgu' oleh 38 pelajarnya diketuai adik Nurul Khairinna Ramlan, 8.

Pengetua SPKCP, Ahmad Baki Musli memberitahu, kekurangan deria penglihatan bukanlah penghalang pelajarnya turut serta dalam acara tahunan itu, namun mereka lebih bersemangat dan persediaan dilakukan lebih awal.

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Appar, Jalan Raja Laut pula menyambutnya selepas waktu rehat kerana 107 pelajarnya menduduki peperiksaan pertengahan tahun di sebelah pagi.

Sambutan bermula 11 pagi dengan pelajar berhimpun di pekarangan sekolah dan menyanyikan lagu Negaraku diikuti ucapan pengetua, K. K. Peramah dan bacaan amanat Menteri Pelajaran oleh pengetua.

"Semua pelajar dan guru serta ibu bapa bekerjasama menjayakan majlis hari ini dan walaupun mereka sedang menduduki peperiksaan, sambutan tetap meriah," katanya.

Di GEORGETOWN, tokoh guru swasta Pulau Pinang, A. Valliammal berkata, guru sekolah pendidikan khas perlu mengamalkan sikap kerja berpasukan dan sentiasa bertukar idea antara satu sama lain bagi mencari kaedah pembelajaran untuk mendidik pelajar istimewa.

"Cabaran mendidik pelajar istimewa berbeza dengan mengajar di sekolah biasa kerana itu sokongan dan bantuan daripada rakan tenaga pengajar lain amat perlu untuk meningkatkan motivasi diri dan barulah kita sentiasa bersemangat untuk bekerja," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Sukan ke-46 Sekolah Spastik Pulau Pinang di sini hari ini.

Valliammal, 65, berkhidmat di sekolah itu sejak 1975 berkata, guru juga perlu sentiasa kreatif meneroka teknik pengajaran baharu selari dengan senario pendidikan sekarang yang turut dipengaruhi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


SPR lapor polis tuduhan pembangkang

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis bagi meminta siasatan dijalankan terhadap segala tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang yang meragui ketelusan suruhanjaya tersebut sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Laporan dibuat oleh Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada pukul 5.13 petang ini.

Menurut sumber, laporan tersebut dibuat bagi meminta siasatan segera dijalankan terhadap tuduhan pembangkang mengenai isu pengundi hantu serta bekalan elektrik terputus.

Sebelum ini, pakatan pembangkang mempertikaikan keputusan PRU-13 yang didakwa tidak telus serta menyalahkan SPR hingga ada kumpulan propembangkang merancang untuk menganjurkan demosntrasi jalanan bagi menumbangkan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula bertekad untuk mengadakan lebih banyak perhimpunan secara terbuka di seluruh negara kononnya untuk membantah proses pilihan raya umum yang tidak adil.

Pemerhati luar yang terdiri daripada dalam dan luar negara walau bagaimanapun mengakui PRU-13 dijalankan dengan prinsip ketelusan dan semangat demokrasi.

Difahamkan, sebanyak 27 kawasan Parlimen dipertikaikan keputusannya dengan calon pakatan pembangkang telah kalah di kawasan itu.

habis

Ditembak lelaki berkain pelikat

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Azmi Ismail yang cedera ditembak di bahagian belakang dan paha menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - utusan/rosni masri.

BACHOK 16 Mei - Seorang tukang rumah cedera ditembak oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai kain pelikat ketika bersarapan di sebuah warung di Kampung Kemayan, Tawang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Azmi Ismail, 37, dari Kampung Pantai Senok cedera di belakang pinggang dan paha kanan selepas terkena dua das tembakan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut beliau, suspek melepaskan dua das tembakan, masing-masing mengenai bahagian belakang dan paha kanan mangsa.

"Ketika kejadian mangsa sedang bersarapan di kedai kopi berkenaan dan tiba-tiba muncul seorang suspek berbaju hitam dan berkain pelekat menaiki motosikal jenis Yamaha LC melepaskan tembakan dan mengenai mangsa," katanya di sini hari ini.

Saksi kejadian yang merupakan pemilik kedai berkenaan, Idayu Mustapa, 30, berkata, ketika kejadian dia bersama empat pelanggan berada di warung.

"Tiada siapa menyangka lelaki itu melepaskan tembakan kerana bunyi itu tidak begitu kuat malah kami ingat lelaki itu menggunakan pistol mainan.

"Mangsa sendiri malah sempat bertanya kepada dua pelanggan adakah suspek melepaskan tembakan. Namun setelah mangsa memeriksa belakang badan baru dia sedar dia ditembak," kata Idayu.

Idayu memberitahu, salah seorang pelanggan bergegas menghubungi ambulans manakala seorang lagi memberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.

"Saya tak sangka dia akan menembak kerana suspek berpakaian seperti baru balik dari masjid iaitu memakai kain pelekat dan baju Melayu.

"Sebelum menembak, dia ada berkata 'mu ni agah terlajak' (kamu ini berlagak sangat) dan melepaskan dua das tembakan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kes Mohd. Rafizi, bekas kerani disebut 10 Jun

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

SHAH ALAM 16 Mei - Kes Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, (PKR) Mohd. Rafizi Ramli dan seorang bekas kerani bank yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Jun ini.

Hakim G. Rames menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu rayuan yang dikemukakan oleh Mohd. Rafizi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Rayuan tersebut akan didengar pada 23 Mei ini.

Mohd. Rafizi, 36, dan Johari Mohamad, 42, yang hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam bela, Michelle Yesudas sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Haziq Razali.

Pada 23 November 2012, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menolak permohonan Mohd. Rafizi untuk mengetepikan pertuduhan itu selepas mendapati permohonan itu bersifat pramatang.

Mohd. Rafizi memfailkan permohonan itu pada 10 September tahun lalu atas alasan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen berkenaan bermotifkan politik.

Pada 1 Ogos 2012, Mohd. Rafizi mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendedahkan maklumat akaun bank tiga syarikat yang terlibat dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada konsultan media, Yusof Abdul Alin dan wartawan akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa mempunyai akses kepada salinan rumusan akaun Public Bank milik National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), National Meal & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan akaun peribadi Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

Mohd. Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.

Johari yang merupakan bekas kerani (bahagian kredit) Public Bank Bhd. cawangan Jinjang pula didakwa bersubahat dengan Mohd. Rafizi melakukan perbuatan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) akta tersebut dibaca bersama Seksyen 97(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Tiga pengarah, bekas pengarah Genneva bebas

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Mei - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga pengarah dan seorang bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (GSB), daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM100 juta.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian terhadap tiga pengarah syarikat itu iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan bekas pengarahnya, Liew Chee Wah, 59.

Keputusan tersebut dibuat setelah beliau mendapati keterangan pembelaan kesemua tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

''GSB tidak menjalankan sebarang aktiviti atau urus niaga yang tergolong dalam kategori pengambilan deposit secara haram.

''Keterangan pembelaan dan bukti yang dikemukakan menunjukkan GSB menjalankan perniagaan jual beli emas secara fizikal serta perniagaanya sememangnya wujud dan bukan rekaan semata-mata,'' ujar Rozana.

Kata beliau, pihak pendakwaan cuba membuktikan konsep jaminan beli balik atau buy back guarantee (BBG) sebagai mekanisme penerimaan deposit kerana menjanjikan pemulangan dan keuntungan pelaburan yang banyak.

Namun katanya, mahkamah berpendapat, diskaun atau rebat dan BBG serta konsep lantikan ejen merupakan satu bentuk promosi dan strategi perniagaan bagi menarik pelanggan untuk membeli dan menanam keyakinan ke atas emas yang dijualnya.

Menurut beliau, GSB juga melalui BBG memberi pilihan kepada pelanggannya sama ada untuk menjual balik emas kepada syarikat itu, menjualnya kepada yang lain, menyimpan sendiri atau membenarkan GSB menyimpan bagi pihak mereka.

Rozana berkata, keterangan di mahkamah menunjukkan GSB menjalankan aktiviti jual beli emas seperti yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Kata beliau, mahkamah tidak seharusnya menilai sama ada BBG merupakan strategi perniagaan yang salah, mengandaikan kerugian yang akan dialami oleh pembeli ataupun menetapkan bila masa sesuai untuk jual beli kerana setiap perniagaan mempunyai strategi masing-masing dan syarikat tersebut yang akan menanggung untung rugi.

Katanya, transaksi aliran keluar masuk yang dibuat oleh kesemua tertuduh melalui akaun-akaun yang dinyatakan dalam peruntukan adalah dibuat bagi tujuan pengendalian jual beli emas secara terus, bukannya wang penerimaan deposit daripada orang awam mahupun daripada hasil aktiviti haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Poh Weng didakwa atas 93 pertuduhan, Yuen Seng menghadapi 40 pertuduhan sementara Wai Leong dituduh atas 61 pertuduhan dan Chee Wah pula 30 pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kesemua tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesan yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama.

Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Chee Wah diwakili peguam Keppy Wong.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa memohon penggantungan pelaksanaan keputusan itu agar aset syarikat tersebut kekal dibekukan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Wong bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan keputusan itu adalah penting dan BNM patut mempertimbangkan semula pembekuan aset tersebut bagi membolehkan para pelabur mendapatkan kembali pelaburan mereka.

Rozana kemudian memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan permohonan pengantungan secara rasmi hari ini supaya beliau boleh mendengar permohonan itu esok.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Puting beliung badai Granbury

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

TEXAS 16 Mei - Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera apabila puting beliung membadai pekan Granbury di sini, semalam.

Pegawai polis Granbury, Roger Deeds berkata, puting beliung melanda dua kawasan penempatan di pekan terbabit pada kira-kira pukul 8 malam, menyebabkan banyak rumah musnah dan rosak teruk.

Jelasnya, pasukan penyelamat menemui beberapa mayat di dalam rumah dan di luar rumah.

Kira-kira 50 orang dikejarkan ke hospital Granbury dan 14 daripada mereka terpaksa dimasukkan ke wad akibat kecederaan serius, manakala dua lagi dipindahkan ke hospital Fort Worth.

Kami masih mengesan 14 penduduk yang tidak dapat dipastikan sama ada mereka hilang dalam kejadian semalam atau berada di tempat lain," katanya.

Jurucakap Pasukan Perubatan Bergerak MedStar, Matt Zavadsky melaporkan, sebanyak tiga ambulans dan sebuah bas perubatan dikerah dari Fort Worth ke Granbury untuk membantu kira-kira 100 mangsa yang cedera.

Dua kawasan penempatan yang dihuni kira-kira 8,000 penduduk di selatan pekan Granbury, kira-kira 105 kilometer di barat daya Dallas merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu.

Dalam perkembangan lain, kejadian di Granbury turut mencetuskan satu lagi pusaran puting beliung di barat daya Cleburne, sebuah bandar yang terletak kira-kira 40 kilometer dari tenggara Granbury.

Namun, tiada kematian atau kecederaan teruk dilaporkan dalam kejadian kedua itu.

Datuk Bandar Cleburne, Scott Cain berkata, hanya beberapa penduduk dilaporkan cedera ringan.

Saya juga tidak dapat menganggarkan jumlah kerosakan rumah penduduk akibat bencana itu.

Namun berdasarkan penilaian awal terhadap kerosakan bumbung rumah penduduk, angka kerugian mungkin tinggi," jelasnya. - AGENSI

Barisan Nusra bunuh 11 askar Syria

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Imej diambil dari sedutan video yang dimuat naik ke YouTube semalam, menunjukkan seorang anggota kumpulan pemberontak Barisan Nusra menembak tentera Syria di lokasi yang tidak dinyatakan. - AFP

BEIRUT 16 Mei - Anggota kumpulan pemberontak Barisan Nusra yang dikaitkan dengan militan al-Qaeda, membunuh 11 orang askar Syria, berdasarkan satu rakaman video yang disiarkan, semalam.

Dalam video tersebut, seorang lelaki yang memakai topeng menembak mangsa yang sedang melutut dan matanya ditutup.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di Deir al-Zor, wilayah utara Syria berdasarkan ucapan lelaki itu dalam video tersebut.

Mahkamah Syariah di wilayah Deir al-Zor menjatuhi hukuman mati ke atas tentera pengkhianat (kerajaan) yang membunuh saudara dan keluarga kita di Syria," jelas lelaki berkenaan.

Beberapa anggota kumpulan Barisan Nusra yang membelakangi bendera hitam, turut melaungkan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) setiap kali askar terbabit ditembak.

Malah penembak tersebut turut melepaskan tembakan berulang-ulang kali ke arah beberapa askar untuk memastikan mangsa mati.

Rakaman terbaharu itu merupakan video yang kedua disiarkan oleh Barisan Nusra dalam tempoh dua hari.

Kelmarin, satu rakaman video disiarkan dalam Internet oleh kumpulan berkenaan di wilayah Raqqa yang dikuasai kumpulan pemberontak.

Video itu menunjukkan tiga lelaki yang ditutup mata ditembak di bahagian kepala.

Seorang lelaki dalam video itu berkata, hukuman terhadap tiga lelaki tersebut merupakan tindakan balas dendam ke atas pembunuhan orang awam di pekan Banias dua minggu lalu.

Dalam kejadian di Banias, rakaman video dan foto merakamkan berpuluh-puluh mayat dalam keadaan cacat ditemui bergelimpangan di jalan, kebanyakannya mayat kanak-kanak. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


10 Exco Pahang angkat sumpah

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh MOHD. SHOFI MAT ISA dan SHAHRINNAHAR LATIB
utusanpahang@utusan.com.my

Adnan Yaakob bersama sebahagian Exco Pahang yang baharu dilantik pada majlis mengangkat sumpah di Istana Abu Bakar, di Pekan, semalam.

PEKAN 16 Mei - Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pahang hari ini mengangkat sumpah jawatan dan menerima tauliah pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu.

Upacara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah Exco berkenaan berlangsung di hadapan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini pada pukul 11 pagi.

Istiadat berkenaan menyaksikan bekas Exco pada penggal 2004-2008 yang merupakan ADUN Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin kembali dilantik pada penggal kali ini.

Empat muka lama pada penggal lalu yang dilantik semula ialah ADUN Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin; Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak (Benta); Datuk Wan Rosdy Wan Ismail (Jelai) dan Datuk Shafik Fauzan Sharif (Inderapura).

Lima lagi yang dilantik adalah muka baharu iaitu ADUN Chini, Datuk Abu Bakar Harun; Datuk Mohd. Johari Hussain (Tioman); Norol Azali Sulaiman (Guai); Datuk Shahaniza Shamsuddin (Kuala Sentul) dan Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau).

Yang berangkat sama ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Yang turut menyaksikan istiadat tersebut Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang buat penggal keempat, pada 9 Mei lalu dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), BN memenangi 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Dua Exco pada penggal lalu iaitu Datuk Ishak Muhamad dan Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz tidak bertanding dalam PRU-13, manakala dua lagi bekas Exco iaitu Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Datuk Hoh Khai Mun pula bertanding di kerusi Parlimen.

Seorang lagi Exco penggal lalu yang juga ADUN Cheka, Datuk Fong Koong Fuee pula berpegang kepada pendirian pucuk pimpinan MCA untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat Persekutuan atau negeri.

Sementara itu, Adnan ketika ditemui pemberita kemudiannya memaklumkan portfolio yang akan dipegang oleh setiap Exco hanya akan diumumkan Isnin ini bagi memastikan selaras dengan barisan Kabinet di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pada masa ini, beliau telah menyenaraikan 33 jawatankuasa yang berkaitan untuk dipegang oleh 10 Exco yang baharu dilantik hari ini.

"Portfolio yang akan diwujudkan mungkin tidak akan sama seperti sebelum ini kerana akan disusun semula mengikut Kabinet Persekutuan yang diumumkan semalam.

"Saya sendiri mungkin akan memegang portfolio antaranya seperti Jawatankuasa Khas Perpaduan dan Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli," katanya.

Jelasnya, pada Isnin ini juga beliau akan mengadakan mesyuarat dengan anggota Exco untuk membincangkan mengenai perubahan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, mengenai ketiadaan wakil MCA di dalam barisan Exco, Adnan berkata, itu adalah keputusan MCA sendiri yang tidak mahu menerima sebarang jawatan di dalam kerajaan negeri.

"Saya sudah bagi tahu dari awal, MCA jangan kalah, kalau kalah nanti tidak ada wakil dalam kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, saya telah tubuhkan Jawatankuasa Khas Perpaduan yang khusus untuk membantu masyarakat Cina di negeri ini dan akan dipengerusikan sendiri oleh saya," katanya.

Adnan berkata, beliau tidak mahu masyarakat Cina salah sangka terhadap penubuhan jawatankuasa ini kerana ia ditubuhkan bukan bersifat kelas kedua tetapi mahu membantu kaum itu.

72 unit komputer judi dirampas

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

TEMERLOH 16 Mei - Polis daerah ini merampas sebanyak 72 unit komputer dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian serta wang tunai berjumlah RM535 dalam tiga serbuan berasingan pada Isnin lalu dan semalam.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan tiga penjaga premis dan 13 pelanggan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam serbuan pertama pukul 12.30 tengah malam, polis menyerbu dua buah premis di Taman Rimba dan merampas 32 unit komputer serta pelbagai peralatan serta wang tunai RM350.

"Dalam serbuan kedua, pukul 11 malam di sebuah premis di taman Perindustrian Mentakab, semalam, polis merampas 40 unit komputer dan peralatannya serta wang tunai berjumlah RM185. Polis turut menahan seorang penjaga dan 11 pelanggan," katanya di sini hari ini.

Beliau seterusnya berkata, kesemua penjaga yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 4B(A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

Menurut beliau, mengikut Seksyen 4(1)(B) Enakmen Hiburan 1993 mereka disabitkan kesalahan akan didenda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara selama tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Turunkan bahan kempen

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

PRIHATIN PAHANG
Kuantan

Saudara Pengarang,

PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah lama berlalu, namun apa yang dikesali ialah bahan kempen parti-parti politik masih ada yang belum diturunkan di sebahagian tempat di negeri ini.

Walaupun sebahagian besar sudah diturunkan namun peliknya, mengapa masih ada yang berdegil untuk tidak menurunkan bahan ini secepat mungkin.

Benar tempoh akhir menurunkan bahan kempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah pada Ahad ini tetapi saya percaya perkara ini boleh dilakukan lebih awal.

Kegagalan menurunkan bahan kempen hanyalah mencacatkan pemandangan apatah lagi ada papan kempen misalnya yang senget menunggu masa menyembah bumi.

Malah ada bendera parti politik yang dipasang di jambatan tertentu sudah 'rebah' akibat dipukul angin sehingga membahayakan lalu lintas terutama penunggang motosikal.

Diharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat bertindak tegas memastikan parti politik terlibat dapat menurunkan bahan kempen mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan pada Ahad ini.

Jika ada yang masih gagal mematuhi peraturan dalam tempoh itu, maka elok benar deposit calon mereka ditarik balik agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Jangan hanya pandai memasang bahan kempen tetapi kemudian dibiarkan seolah-olah tiada pihak bertanggungjawab.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tanpa menteri, lebih agresif?

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Abdul Razak disambut oleh orang ramai ketika melakukan tinjauan di kawasan Parlimen P 98 Gombak di Taman Greenwood, semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, awal bulan ini. - BERNAMA

MENGAPA tiada menteri dari Selangor? Itu persoalan yang beberapa kali dilontarkan oleh rakan seperjuangan kepada penulis lewat petang kelmarin.

Bagi penulis yang berpeluang membuat liputan hampir tiga bulan proses dan perjalanan kempen 15 hari Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Selangor tempoh hari, maklum mengapa Kabinet baharu di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan sedemikian.

Perdana Menteri cukup sayangkan Selangor. Sebab itu beliau sanggup menjadi Pengerusi BN negeri itu semata-mata demi memastikan Selangor kembali ke pangkuan BN pada 5 Mei lalu. Beliau turun padang menemui rakyat negeri itu, malah hatinya sayu dan gembira apabila majoriti masyarakat Cina berasak-asak memenuhi majlisnya.

Namun, malangnya impian itu tidak dapat direalisasikan oleh barisan BN negeri sama ada yang dikendalikan oleh koordinatornya, mahukan timbalan pengerusi.

Berbanding timbalan pengerusi BN negeri, tanggungjawab dan peranan lebih besar diletakkan kepada pemimpin yang menjaga 'war room' BN di Tingkat 9, Bangunan UMNO di Shah Alam yang juga timbalan pengarah pilihan raya negeri. Tetapi malangnya dia dilihat gagal membawa manifestasi Pengerusi BN negeri.

'War room' BN di Selangor bagaikan 'hak eksklusif' dan menjadi bahan rungutan bukan sahaja daripada pihak media untuk memperoleh maklumat perkembangan mutakhir BN, malahan daripada ketua-ketua bahagian UMNO negeri sendiri.

Suatu ketika sekitar Januari lalu, penulis dalam pertemuan dengan seorang ketua bahagian UMNO bertanyakan apa pandangan ketua bahagian berkenaan mengenai 'war room' di Tingkat 9 itu. Penulis sudah dua kali masuk dan diberikan taklimat ringkas carta dan data-data berkaitan statistik pengundi dan serba sedikit strategi dan perancangan BN mendepani pakatan pembangkang.

Sedang asyik bercerita, ketua bahagian berkenaan terus 'mencelah' dan memberitahu: "Kami ketua-ketua bahagian tak pernah dijemput ke sana...tak tahu bagaimana bentuk 'war room' tu. Kalau tak percaya, anda boleh tanya ketua bahagian lain."

Semua pihak di UMNO dan BN Selangor cukup sedar betapa Selangor cukup penting. Ini bukan sahaja kepada parti pemerintah dan Najib sendiri tetapi lebih menyeluruh untuk negara.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bergantung harap kepada Selangor. Di negeri itulah berpusat dan berlegar sebahagian besar urusan dan aktiviti pelaburan, perdagangan dan perniagaan Malaysia.

Selangor di bawah pakatan pembangkang dan dengan BN mengendalikan Pusat , agak sukar untuk kedua-duanya berganding bahu yang akibatnya merencatkan kemasukan pelaburan asing.

Tanyalah Datuk Seri Noh Omar, berapa jumlah pelaburan sudah tersekat untuk pergi lebih jauh ke Selangor gara-gara 'main wayang' pakatan pembangkang mempolitikkan kelulusan loji rawatan Langat 2. Kalau tak salah, hampir 400 projek.

Tetapi ini semua kurang dihayati oleh BN negeri. Mereka kurang sedar bagaimana pertambahan pengundi muda Cina naik mencanak di Selangor. Sama ada kemungkinan ia satu strategi menerusi 'pemindahan sistematik' alamat-alamat para pengundi kaum itu, itu penulis serahkan kepada pertimbangan semua.

Namun, kalau diperhatikan 'strategi licik' menempatkan kumpulan-kumpulan penyokong parti di satu-satu tempat sebagai pengundi berdaftar, diakui taktik yang cukup berkesan dalam meraih kemenangan secara realistik dan pintas.

Kalau disemak statistik sehingga suku keempat atau Disember 2012, pertambahan pengundi Cina kedapatan di banyak kawasan di Selangor. Ia agak 'mencurigakan' meskipun mengikut saluran sah oleh SPR.

Di kawasan DUN Seri Serdang yang menyaksikan ketua pembangkang Selangor dari BN, Datuk Satim Diman menang di kerusi itu dengan 45 undi pada 2008, tiba-tiba pula menunjukkan pertambahan pengundi Cina di situ mencapai 10,638 orang.

Di DUN Subang Jaya, angka pertambahan itu mencecah 10,000 pengundi kaum itu. Di kawasan DUN Paya Jaras dalam Parlimen Subang yang mana penyandangnya dari UMNO, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor menang sekitar 600 undi pada 2008, gagal mengulangi kejayaan sama 5 Mei lalu. Lebih parah lagi Muhammad Bushro tewas lebih 5,000 undi di kawasannya yang turut memperlihatkan pertambahan pengundi Cina mencapai 6,000 orang.

Juga, sama ada sedar atau tidak, prinsip-prinsip asas seperti calon boleh menang di Selangor seolah-olah telah 'tercabul'. Ini ketara khususnya di kawasan Sepang. Orang yang layak bertanding, diserahkan kepada yang tidak berhak. Begitu sebaliknya.

Sebab itu Sepang menjadi 'ceritera penglipur lara' dengan perbuatan 'tikam dari belakang'. Itu belum termasuk sabotaj yang digerakkan oleh 'individu' terbabit sehingga calon BN tewas di tangan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Pelabuhan Klang.

Kelmarin, Najib mahukan BN setiap negeri khususnya Selangor menyematkan dalam sanubari bahawa sesuatu perlu dibuat.

BN Selangor daripada kalangan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC perlu bertindak.

Orang Cina barangkali telah terasa pada tarikan dan dividen politik DAP di Pulau Pinang dalam tiga empat tahun ini. Kerana itu kawasan-kawasan bandar besar seperti Kuching, Ipoh, Seremban serta Cheras, Bukit Bintang, Kepong merasakan MCA tidak boleh diharap dalam memperjuangkan nasib mereka.

BN Selangor harus bermuhasabah dan mencari jawapan tanda tanya tiada portfolio Kabinet untuk negeri selepas parti itu kalah teruk dalam PRU-13.

Jika telahan ini benar, sekurang-kurangnya BN Selangor khususnya UMNO perlu bangkit dan bersungguh-sungguh untuk menyarankan formula sekali gus kemenangan pada PRU-14.

Buktikan sekalipun tanpa jawatan menteri dari Selangor, perubahan secara drastik akan dilakukan untuk mengembalikan semula negeri itu ke pangkuan.

Selagi Melayu tidak bersatu, selagi BN negeri tidak merancang strategi dari sekarang, selagi itulah pihak-pihak tertentu akan lebih mudah 'memperkosa' negara bangsa.

Turunlah jenguk surau dan masjid di subuh hari atau setidak-tidaknya berjemaah semasa Maghrib mulai hari ini. Lihatlah di belakang pasar raya-pasar raya besar sekitar Shah Alam sudah ditumbuhi kondominium-kondominium mewah. Pembeli kondo yang juga penghuni di situ akan menjadi pengundi berdaftar di ibu negeri Selangor itu.

Bangkitkah dan tampillah dari sekarang agar menjelang PRU-14 tidak dianggap sekadar calon 'payung terjun'.

Jangan 'meliwat' fikiran rakyat

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Datuk Ahmad Maslan
Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

SEJAK beberapa tahun lalu pembangkang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelirukan rakyat, menimbulkan keraguan dan menghasut rakyat supaya tidak mempercayai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pelbagai tuduhan. Matlamat mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menjadi pemerintah dengan slogan "Road to Putrajaya".

Terkini selepas gagal menanam keraguan dan menghasut kebencian rakyat ketika berkempen dan pengundian dalam Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13), pembangkang telah mengadakan Himpunan Bantah PRU-13 yang bakal bersambung dengan beberapa siri himpunan.

Mereka tidak sabar untuk menunggu rakyat mengundi pada PRU-14 dalam lima tahun lagi. Mereka bimbang hasutan dan kebencian itu terhakis daripada penyokongnya dan sesetengah pihak.

PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN:

Hak Rakyat Memilih Menerusi Pilihan Raya, Bukan Himpunan

Pendekatannya masih sama iaitu dengan mengelirukan rakyat menggunakan pembohongan dan mengelirukan konon berlaku "penipuan besar-besaran". Atas alasan itu pembangkang mengajak rakyat mengadakan bantahan, himpunan dan demonstrasi jalanan untuk menukar kerajaan, tetapi cara ini adalah tidak demokratik dan tidak mengikut lunas-lunas undang-undang.

Perlembagaan negara menetapkan proses menentukan parti memerintah adalah menerusi pilihan raya, bukan menerusi himpunan, bantahan atau demonstrasi.

Proses pilihan raya yang sama jugalah yang pernah membolehkan bebas rakyat memilih pembangkang memerintah Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Demikian juga sistem demokrasi ini jugalah yang memberi kebebasan rakyat memilih BN menerajui Kerajaan Persekutuan bagi mengurus tadbir negara.

Kebebasan bersuara dan hak berhimpun secara aman adalah hak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, tetapi bukan sebagai proses pemilihan parti memerintah. Pembangkang sepatutnya memahami dengan jelas Perlembagaan negara dan proses demokrasi yang diamalkan oleh rakyat negara ini dan menghormati keputusan rakyat Malaysia menerusi PRU. Sistem yang sama digunakan di Negara-negara Komanwel, termasuk Australia yang sering menjadi rujukan pembangkang, malah Singapura dan Britain.

Petisyen Sebagai Bantahan Keputusan PRU

Himpunan aman dan demonstrasi jalanan tidak wajar disalahgunakan, sebaliknya bantahan terhadap proses pilihan raya hendaklah dibuat menerusi petisyen pilihan raya. Menurut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri tidak boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya yang difailkan ke Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan.

Petisyen adalah hak rakyat. Semua dakwaan dan bukti boleh dibentangkan untuk diadili oleh mahkamah. Sistem mahkamah Malaysia inilah yang selama ini pernah memberi peluang kepada pembangkang mahu pun BN untuk mendapat hak perbicaraan dan keadilan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar sudah pun menjelaskan, petisyen itu boleh dibuat dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan pilihan raya diwartakan. Menurutnya, SPR dijangka selesai mewartakan keputusan PRU-13 dalam masa dua minggu. Petisyen itu boleh dikemukakan di mahkamah tinggi di negeri masing-masing dan akan diselesaikan dalam masa enam bulan.

Pada PRU 2004, SPR menerima lebih 30 petisyen berhubung keputusan PRU dan petisyen paling banyak diterima pada PRU 1999 yang membabitkan 40 petisyen. Pada PRU 2008, hanya 26 petisyen dikemukakan sedangkan ketika itu berlaku tsunami politik yang tidak berpihak kepada BN.

Sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab perbuatan rasuah atau sebarang salah laku yang mungkin menjejaskan pilihan raya, ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Undi Popular Bukan Penentu Keputusan PRU

Sebaliknya pembangkang kini mendakwa mereka menang dan layak memerintah berdasarkan undi popular kerana telah memperolehi jumlah undi yang lebih tinggi daripada BN. Sedangkan undang-undang Malaysia menetapkan proses pilihan raya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, bukan jumlah undi popular.

Berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi kumpulan majoriti di Dewan Rakyat layak menerajui Kerajaan Persekutuan, manakala majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri akan mengurus tadbir sesebuah Kerajaan Negeri.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, BN berjaya menguasai majoriti Dewan Rakyat dengan memenangi 133 kerusi Parlimen dan menawan semula Kedah dan Perak apabila menguasai majoriti kerusi dua Dewan Undangan Negeri berkenaan. UMNO sendiri menambah kerusi Parlimen daripada 79 kepada 88 Parlimen.

Oleh itu, pembangkang yang sering mendakwa mereka pandai dan layak memerintah sepatutnya faham undang-undang negara ini dan jangan memalukan diri sendiri. Jangan 'meliwat' pengetahuan dan akal sendiri. Malulah dan hormatilah rakyat.

Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin Baria menjelaskan, BN berjaya meraih 47% undi popular, manakala PKR 20.0%, DAP 15.4% dan Pas 14.5% (jika dijumlahkan hanya 49.9%).

Sistem PRU di Malaysia bukanlah berdasarkan undi popular, tetapi keputusan menentukan majoriti adalah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti yang bertanding. Berdasarkan sistem ini, tentulah undi popular bagi kawasan bandar lebih tinggi daripada kawasan luar bandar kerana sesebuah kawasan Parlimen di bandar mempunyai jumlah pengundi yang jauh lebih banyak daripada Parlimen di pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.

Sempadan Parlimen di bandar pula lebih kecil, jadi penduduk atau pengundinya lebih padat, maka seseorang calon boleh melawati lebih ramai pengundi ketika berkempen berbanding luar bandar yang luas dan tidak padat untuk meraih undi popular.

Sebaliknya jika cadangan pembangkang untuk menyamaratakan jumlah pengundi bagi setiap Parlimen, kesannya tidak realistik dan tidak adil kepada wakil rakyat mahu pun penduduk kawasan berkenaan. Sebagai contoh jika kawasan Parlimen di Sarawak dipuratakan mengikut 60,000 pengundi, maka berkurangan daripada 31 kerusi kini kepada 18 kerusi sahaja (PRU-13: 1,083,972 pengundi).

Bayangkan seseorang Ahli Parlimen terpaksa menjaga satu kawasan yang sama luas atau lebih luas daripada sesebuah negeri di Semenanjung . Keadaan ini tidak adil bagi Ahli Parlimen berkenaan mahu pun rakyat di kawasan itu, di dalam mana-mana pun sistem yang ada.

PENGGUNAAN DAKWAT KEKAL:

Elak Bahaya Kanser & Penyakit Buah Pinggang

Antara perkara yang menjadi serangan utama pembangkang adalah penggunaan dakwat kekal yang pernah menjadi desakan mereka dahulu terhadap SPR. BN ingin menegaskan sokongan penuh kepada nasihat profesional pakar-pakar di Kementerian Kesihatan dan keputusan SPR untuk mengutamakan dan melindungi pengundi daripada bahaya kanser dan penyakit buah pinggang akibat kandungan bahan silver nitrat yang tinggi.

Dakwat kekal yang digunakan oleh SPR mengandungi 1% silver nitrat setelah menerima pakai nasihat pakar-pakar dari Kementerian Kesihatan. Kadar itu memadai untuk membolehkan dakwat itu kekal 30-70% di jari pengundi selama 10 jam. Untuk kekal lebih lama, kadar sodium nitrat perlu ditambah, tetapi risiko pengundi mendapat kanser akan lebih tinggi.

Bagaimanapun baru-baru ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata SPR bersikap terbuka dan akan meminta Kementerian Kesihatan untuk menilai semula sama ada kandungan kimia dalam dakwat kekal iaitu 'silver nitrat' sebanyak satu peratus dapat ditambah agar lebih tahan lama.

Penggunaan dakwat kekal telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan termaktub dalam undang-undang pilihan raya.

Malah, kaedah asas, pemotongan nama pengundi yang sudah datang mengundi oleh kaunter semakan SPR di pusat mengundi, pemotongan nama pengundi oleh petugas SPR (senarai bercetak dan senarai dalam komputer). Demikian juga pemotongan nama pengundi secara serentak oleh ejen calon-calon bertanding daripada senarai di tangan masing-masing. Kaedah rapi ini sudah memadai untuk mengelakkan penipuan atau mengundi lebih daripada sekali.

Tidak mungkin seorang pengundi dapat mengundi lagi jika dia datang kali kedua kerana namanya sudah dipotong oleh SPR dan wakil-wakil calon di dalam bilik mengundi. Kad pengenalan MyKad pula menjadi semakan utama ketika pengundi hadir sebelum menerima kertas undi.

KHABAR ANGIN GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK:

Hanya Hasutan Supaya Rakyat Meragui SPR

Pembangkang juga menipu rakyat dengan mengedar gambar dan visual palsu bagi menuduh SPR dan menghasut orang ramai dengan dakwaan berlaku gangguan bekalan elektrik ketika pengiraan undi, menuduh Pejabat Perdana Menteri membawa masuk 100,000 orang asing sebagi pengundi, polis mengiringi pengundi hantu dari luar negara, beg kertas undi dibuang dan konon pegawai SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 ketika pengiraan undi masih berjalan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad berkata, tiada kejadian seperti itu berlaku kerana beliau mengesahkan perkara itu dengan semua pengurus pilihan raya setiap negeri. Pengurus-pengurus pilihan raya di semua negeri melaporkan tiada insiden seperti didakwa.

Malah, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor pula menjelaskan apa yang berlaku hanya khabar angin berhubung gangguan bekalan elektrik semasa proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Polis di seluruh negara memantau proses dari awal mengundi sehingga keputusan diumumkan.

TUDUHAN WUJUD PENGUNDI HANTU:

Satu Lagi Cubaan Hasutan Jahat

Pembangkang juga terus menghasut rakyat konon wujud pengundi hantu. Kemasukan pekerja asing menerusi lapangan terbang adalah perkara biasa apabila ada permintaan, namun kehadiran mereka dieksploitasi untuk mengelirukan rakyat. Kemasukan pekerja asing yang sah di negara ini memang biasa diterbangkan secara berkumpulan oleh ejen pekerja asing. Hal ini bukan perkara baru baik di Semenanjung mahu pun bagi masyarakat Sabah atau Sarawak.

Pembangkang menuduh Pejabat Perdana Menteri membawa masuk 100,000 warga asing sebagai pengundi hantu. Hitungan biasa pun tidak munasabah sekali pun diangkut dengan pesawat Boeing 747 yang mampu membawa 400 penumpang.

Senarai penerbangan yang dihebahkan di internet juga hanya serkap jarang dan palsu. Hal ini sudah dijelaskan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, tiada kemasukan 'pengundi hantu' warga asing dari Bangladesh dan Filipina melalui beberapa penerbangan seperti didakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasil semakan polis, mendapati syarikat penerbangan seperti AirAsia menyediakan penerbangan tambahan atas permintaan orang ramai dan ini adalah amalan biasa seperti yang berlaku setiap kali musim perayaan.

Hanya warganegara Malaysia yang memegang MyKad yang berdaftar sahaja berhak mengundi. Pemegang MyKid belum layak mengundi, manakala warga asing yang memegang kad pengenalan pemastautin sementara dikenali sebagai MyKas tiada hak sebagai warga negara, termasuk tiada hak mengundi. Manakala gambar kad pengenalan yang bertaburan seperti dipaparkan dalam gambar di internet sebenarnya mempunyai kaitan dengan satu kes jenayah yang di Kedah pada 2011, bukan menjelang atau semasa PRU-13.

Tuduhan beg kertas undi dibuang juga tidak berasas kerana semua urusan beg dan peti undi sentiasa diawasi oleh setiap wakil calon yang bertanding. Manakala tuduhan pegawai SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 ketika proses mengira undi sedang berjalan tidak pernah dibuktikan berlaku.

Menghormati Mandat Rakyat

Oleh itu, Barisan Nasional hari ini mengajak rakyat beramai-ramai menyatakan ketegasan supaya pembangkang menerima dan menghormati proses demokrasi bagi memilih kerajaan memerintah yang telah ditetapkan menerusi pilihan raya seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Cukup-cukuplah berpolitik, rakyat mahukan pemimpin menumpukan kepada usaha memajukan negara. Janganlah diheret pelbagai pihak untuk memenuhi nafsu politik mereka untuk memerintah negara ini. Semua pihak, termasuk pembangkang berpeluang menawarkan diri bertanding lagi pada pilihan raya akan datang.

Rakyat sudah memilih, tibalah masa wakil rakyat yang menang bekerja. Parti yang memenangi majoriti kerusi di Parlimen mahu pun di DUN pula hendaklah melaksanakan tugas mengurus tadbir negara dan negeri masing-masing.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Luna Maya masih berhubungan dengan Ariel

Posted: 16 May 2013 04:08 AM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

LUNA MAYA

KUALA LUMPUR 16 Mei - Aktres dari negara jiran Luna Maya, 30, mengakui masih berhubungan dengan bekas vokalis kumpulan Noah, Ariel tetapi bukan sebagai pasangan kekasih, sebaliknya sekadar rakan perniagaan.

Luna dan Ariel sebelum ini dikaitkan dengan rakaman video lucah yang tersebar di internet pada 2010 sehingga menyebabkan bekas anggota kumpulan Peterpan itu merengkok di penjara.

"Masih berhubungan sebagai rakan bisnes kerana kami sama-sama menjalankan perniagaan kasut sejak tahun lalu. Bercakap soal hati, saya tidak mahu berkata apa-apa kerana tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan.

"Kalau hari ini saya berkata tidak, mana tahu akan datang bersama pula. Mesti saya malu nanti. Biarlah takdir yang menentukan. Apa yang pasti sekarang ini saya belum berpunya," katanya berterus terang.

Luna yang sebelum ini merupakan kekasih Ariel itu ditemui majlis promosi filem Pintu Harmonika arahannya bersama Ilya Sigma dan Sigi Wimala di sini hari ini.

Filem pertama arahan Luna itu diterbitkan oleh Malka Pictures dan bakal disiarkan secara serentak di pawagam seluruh Indonesia dan di saluran Astro First pada 23 Mei ini.

Jelas pengarah, penerbit, pelakon dan juga model kelahiran Bali itu, buat masa sekarang dia lebih senang memberi tumpuan pada kerjaya.

"Saya tidak akan terburu-buru mendirikan rumah tangga sehingga sudah bertemu dengan calon yang benar-benar memahami diri saya. Untuk apa saya berkahwin semata-mata menurut kehendak orang, sedangkan yang menderita nanti saya.

"Biarlah saya tumpukan perhatian pada kerjaya kerana buat masa sekarang saya lebih teruja mengarah, seperti anak kecil yang baharu mendapat permainan," katanya yang sebelum ini pernah mengarah filem pendek, Suci and the City. - UTUSAN ONLINE

Ning Baizura lancar lagu terbaharu

Posted: 16 May 2013 02:42 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR 16 Mei - Setelah tiga bulan bergelar ibu, Ning Baizura kembali ke pentas hiburan apabila melancarkan muzik video dan lagu pertamanya berjudul, Pelangi Untukmu daripada album terbaharunya.

Menurut Ning, album tersebut merupakan kerjasama dengan Universal Music Malaysia yang didedikasi untuk kanak-kanak.

"Saya berbangga kerana dapat melancarkan lagu ini setelah melahirnya anak saya, Ryan Sky Dalton.

"Apa yang saya hendak katakan, terima kasih kepada Universal kerana memberi peluang untuk saya menjadi ahli baru mereka dan saya sedia untuk mengembangkan sayap sebagai artis rakaman serta tampil dengan konsep yang berbeza," katanya ketika ditemui dalam majlis Blue Skies and Lullabies di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ning turut memperkenalkan anaknya yang dilahirkan pada 31 Januari lalu kepada pihak media.

Selain itu, Ning juga kini sedang menulis sebuah buku kanak-kanak bersama-sama album tersebut berinspirasikan pengalaman peribadinya menjadi seorang ibu. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bayi sihat, aktif

Posted: 16 May 2013 01:27 AM PDT

Dr. Mimita Magendra (tiga dari kanan) bersa ibubapa dan kanak-kanak yang hadir pada majlis Pencarian Johnson's Baby of the Year 2013, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

BAYI yang sihat melalui proses tumbesaran yang aktif sejak dilahirkan sehingga mencecah usia kanak-kanak.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan kesihatan bayi sentiasa dalam keadaan terbaik dan membesar dalam persekitaran yang tidak tercemar.

Pakar Kesihatan Profesional, Dr. Mimita Magendra berkata, tahap kecerdasan dan tumbesaran bayi yang sihat boleh dikesan seawal usia mereka mencecah sebulan.

"Bayi yang sihat dapat dikesan melalui fokus yang ditunjukkan mereka terhadap sesuatu perkara melalui tindakan dan cara berkomunikasi dengan kedua ibu bapa mahupun orang ramai.

"Cara mereka memandang dan memberi respon terhadap perkara yang berada di hadapan boleh juga menjadi kayu ukur sama ada mereka cerdas, aktif ataupun sebaliknya," katanya ditemui pada majlis pelancaran Pencarian Johnson's Baby of the Year 2013, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Begitupun kata Dr. Mimita, adalah perkara biasa untuk setiap bayi berkembang pada tahap yang berbeza.

Oleh itu beliau menambah, terdapat kemungkinan seseorang bayi itu agak lambat untuk mencapai peringkat pembesaran berbanding bayi yang sebayanya.

Mengenai Pencarian Johnson's Baby of the Year, beliau yang juga merupakan salah seorang juri pertandingan berkata, pemilihan berdasarkan kriteria yang menyeluruh yang direka oleh pakar kanak-kanak.

"Setiap bayi adalah unik dan comel, tetapi satu set kriteria pemilihan yang direka secara profesional akan memastikan kesaksamaan dalam proses penilaian.

"Kami menapis peserta dengan menentukan kesihatan fizikal mereka seperti tekstur kulit, rambut, ketinggian, berat badan serta perkembangan deria mereka.

"Pertumbuhan mental dan sosial bayi juga dinilai melalui tindak balas, koordinasi motor dan interaksi sosial mereka dengan orang lain," kata Dr. Mimita.

Sementara itu, pertandingan anjuran Johnson's Baby yang memasuki tahun ke 21 itu, menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, hamper Johnson's Baby bernilai RM1,000 dan penampilan eksklusif di kulit majalah tempatan.

Tempat kedua akan membawa pulang RM5,000 dan hamper serta tempat ketiga bernilai RM3,000 serta hamper. Selain itu, 17 orang peserta terakhir akan turut menerima wang sagu hati RM500 dan hamper bernilai RM100

Menangani anak bermasalah

Posted: 16 May 2013 01:27 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Ungkapan bahawa kanak-kanak merupakan generasi penyambung masa depan sudah terlalu kerap didengari.

Persoalannya bagaimana seorang kanak-kanak berpeluang untuk membesar dengan baik dan cemerlang dalam kehidupan jika sebahagian mereka berada dalam kategori kanak-kanak bermasalah.

Di Malaysia, di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (seksyen 2), kanak-kanak ditakrifkan sebagai individu yang berusia di bawah umur 18 tahun.

Dengan purata jumlah kanak-kanak seramai 34 peratus atau 9.8 juta daripada jumlah penduduk, tidak mustahil sebahagian daripada mereka berada dalam kategori kanak-kanak yang bermasalah.

Mantan Pengarah Bahagian Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nor Amni Yusoff berkata, kanak-kanak bermasalah boleh dikategori sebagai mereka yang menjadi mangsa penderaan emosi dan fizikal, terlibat dengan jenayah dan aktiviti tidak bermoral, serta memerlukan perlindungan dan pemulihan.

"Jenayah boleh dirujuk sebagai perlakuan salah laku yang melanggar nilai, norma, adat resam dan undang-undang yang dipakai.

"Manakala syariat Islam mendefinisikan sebagai perbuatan yang diharamkan oleh hukum syarak.

"Konsep salah laku adalah tingkahlaku yang menyimpang daripada norma atau adat dan struktur sosial yang menyebabkan matlamat yang ditetapkan tidak tercapai. Ia adalah suatu keadaan di mana sebilangan orang tertentu percaya bahawa suatu tindakan bersepadu untuk pemulihan," katanya.

Jelas Nor Amni lagi, beberapa punca berlaku masalah di kalangan kanak-kanak boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.

Antaranya, sikap ibu bapa yang mengabaikan anak-anak dan tidak konsisten dalam membentuk disiplin anak-anak, selain tidak bertanggungjawab dalam menjaga anak.

Kegagalan dalam berkomunikasi dan perhubungan yang tidak mesra antara anak dan bapa juga antara faktor yang menyumbang kepada kanak-kanak bermasalah.

"Selain itu, kurang didikan agama menyebabkan mereka tidak tahu menjaga batas-batas dalam pergaulan. Tersalah memilih rakan menyebabkan sebahagian dari mereka lebih selesa berkomunikasi dengan rakan sebaya sebagai pengganti kepada ibu bapa untuk menyuarakan masalah dan pendapat," ujarnya.

Nor Amni berkata, faktor persekitaran, masalah kemiskinan dan faktor dalaman remaja tersebut juga menyumbang kepada peningkatan jumlah kanak-kanak bermasalah.

Ujar beliau lagi, sebagai ibu bapa mereka perlu memiliki persediaan untuk menghadapi golongan anak-anak yang bermasalah.

Katanya, tiga perkata utama perlu dipraktikkan dalam diri ibu bapa yang merangkumi nilai kerjaya, keluarga dan diri sendiri supaya kehidupan menjadi seimbang dan bahagia.

"Ketiga-tiga aspek tersebut perlu seiring dan seimbang supaya objektif untuk mendidik dan memiliki keluarga bahagia berkesan. Mereka juga perlu memiliki nilai, sikap, kemahiran, pengetahuan dan pemahaman dalam diri," katanya.

Jelas beliau, untuk mengatasi golongan anak-anak yang bermasalah boleh dilakukan langkah pencegahan dari awal dengan beberapa kaedah.

"Keluarga berperanan memberikan kasih sayang dan mempunyai kemahiran dunia keibubapaan. Pendidikan secara formal dan tidak formal perlu seiring dengan tumbesaran mereka.

" Kewujudan undang-undang yang memberi perlindungan kepada mangsa serta saksi dan aktiviti kanak-kanak dan latihan kemahiran yang bersesuaian," katanya.

Katanya, dalam masa yang sama, bagi menangani masalah ini masyarakat, agensi-agensi sosial dan kerajaan perlu menggembeling tenaga untuk mengurangkan masalah yang semakin serius ini.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved