Rabu, 24 Julai 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Nissan Serena S-Hybrid dilancar di Malaysia

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

ETCM yakin sambutan terhadap Nissan Serena S-Hybrid yang ditawarkan dengan harga RM149,500 seunit.

SHAH ALAM 23 Julai - Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan Nissan Serena S-Hybrid (S bermaksud Smart atau pintar) iaitu kenderaan pelbagai guna hibrid pertama di Malaysia dengan harga RM149,500 seunit.

Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, pihaknya telah menerima tempahan awal yang menggalakkan untuk model MPV baharu ini dan diunjur dapat dijual sebanyak 250 unit sebulan.

Menurutnya, selari dengan dasar kerajaan sejak beberapa tahun lalu untuk mempromosikan kenderaan hibrid dan Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicles atau EEV) di Malaysia, ETCM sangat optimistik atas pelancaran Nissan Serena S-Hybrid serba baharu ini.

Kami percaya bahawa MPV hibrid ini akan diterima baik oleh mereka yang mahukan sebuah MPV luas dengan pelbagai ciri berteknologi tinggi dan turut menawarkan penjimatan bahan api," katanya pada majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam di sini hari ini.

Menurut Nissan, model Serena S-Hybrid memiliki penjimatan bahan api yang terbaik dalam kelasnya iaitu 15.2 kilometer perliter (km/L) berdasarkan kepada ujian kitaran JC08 Jepun.

Kenderaan itu juga menawarkan ruang dalaman luas dengan lapan tempat duduk yang boleh diubah suai sehingga 14 kedudukan.

Rangkaian kuasa Nissan Serena S-Hybrid itu terdiri daripada satu sistem hibrid kompak yang terdiri daripada enjin petrol MR20DD empat silinder DOHC dengan Twin CVTC (Continuously Variable Valve Timing) dan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini bersama ciri Adaptive Shift Control (ASC).

Motor elektrik ECO menawarkan sumber kuasa yang cukup untuk membantu enjin dan proses janaan semula tenaga.

Sistem hibrid ini memiliki satu bateri tambahan untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan bagi menguasakan ECO Motor.

Enjin MR20DD ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 147ps pada 5,600rpm dan tork 210Nm pada 4,400rpm.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Pemain senior masih bagus'

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Aksi cemerlang yang ditampilkan oleh beberapa muka baharu dalam dua perlawanan persahabatan, baru-baru ini masih belum cukup untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk diserapkan dalam senarai kesebelasan utama.

Masih yakin dengan kelibat pemain-pemain senior, dia mendedahkan masih belum ada tempat secara automatik buat mereka tetapi tidak mahu bersikap terus menutup pintu kepada mereka jika mampu menampilkan rentak konsisten dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan di Jepun ini.

Bakal berdepan kelab J-League 1, Shimizu S-Pulse hari ini, Rajagobal berkata, dia sebagai jurulatih, lebih arif mana pemain yang wajar diturunkan dalam perlawanan itu nanti.

"Kita kena faham ini adalah perlawanan persahabatan dan ini adalah masa terbaik buat saya menguji semua pemain dan kalau ada yang menyerlah, mereka mungkin boleh menjadi pilihan terbaharu untuk menentang Bahrain nanti.

"Memang ada pemain baharu yang menyertai kami bermain cukup baik tetapi bila menjelang aksi sebenar di pentas antarabangsa, pemain yang lebih senior dan berpengalaman selalunya tidak menghampakan saya jika diberikan peluang.

"Saya tahu pemain mana yang boleh diharapkan bila tiba perlawanan sebenar," katanya.

Apa yang diperkatakan oleh Rajagobal itu pasti menjadi satu cabaran besar kepada buat pemain-pemain seperti Mohd. Nizad Ayub, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi dan Junior Eldstal untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang biarpun telah menunjukkan prestasi terpuji semasa perlawanan persahabatan berdepan Chonburi F.C dan Chelsea minggu lalu.

Apatah lagi bukan semua pemain senior dalam skuad pada waktu ini berada di tahap terbaik seperti Safee Sali, Mohd. Shakir Shaari dan Ahmad Fakri Saarani, namun ia masih belum mencukupi memenangi kepercayaan Rajagobal.

Jelasnya, bertemu Shimizu yang merupakan kelab dari liga utama Jepun, bukanlah sesuatu yang mudah tambahan kebanyakan pemainnya masih kepenatan melalui dua perlawanan dalam seminggu yang lalu.

"Perlawanan esok bukan mudah..kita akan bertemu pasukan dari J-League, tambahan sedang berpuasa lagi, saya bukan hendak memberi alasan tetapi inilah realiti pasukan kita sekarang.

"Kita juga menghadapi dua perlawanan dalam masa terdekat ditambah dengan menaiki penerbangan dari Malaysia ke Jepun, pemain saya tidak berada di tahap kecergasan yang dikehendaki," katanya.

Shimizu S-Pulse kini menduduki di tangga ke-11 J-League daripada 18 pasukan dengan 22 mata dari 17 perlawanan dan pada perlawanan terakhir, kelab yang dibimbing pengurus dari Iran, Afshin Ghotbi itu seri 2-2 bertemu Kashiwa Reyol pada 17 Julai lalu.

Juara Piala Liga Juara-Juara Asia tahun 1999/2000 itu diperkuatkan dengan beberapa pemain import seperti pertahanan dari Belanda, Calvin Jong-A-Pin serta dua pemain Korea Selatan, Lee Minsoo dan Lee Kije.

Selepas itu, Harimau Malaya dijadual bertemu Shonan Bellmare pada hari Sabtu sebelum menutup tirai aksi persahabatan di Jepun dengan menentang kelab J League 2, Tokyo Verdy, pada 31 Julai.

Mukhriz intai kerjasama kelab antarabangsa selepas terajui KFA

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
sukan@utusan.com.my

TIMBALAN Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (kiri) memakaikan kot Presiden KFA kepada Mukhriz selepas dipilih menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Kamal Basir

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir semalam dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bagi penggal 2013-2014.

Pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh sebanyak 28 perwakilan yang menyertai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Wisma Darul Aman, semalam.

Mukhriz yang ditemui pemberita selepas pemilihan itu berkata, beliau menerima amanah tersebut serta berazam untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak pasukan Kedah.

"Amanat ini amat berat memandangkan bola sepak memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat negeri ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada bekas Presiden KFA, Tan Sri Azizan Abdul Razak atas jasa dan sumbangan beliau kepada KFA.

"Azam saya sudah tentu Kedah berjaya menjadi gemilang semula dalam arena bola sepak dan saya yakin dengan formula mantap perkara ini tidak mustahil," katanya.

Menurut Mukhriz, bagi memantapkan lagi pasukan bola sepak Kedah, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kelab bola sepak antarabangsa bagi berkongsi ilmu dengan penggerak bola sepak di Kedah.

"Kita mahu mereka bekerjasama dengan kita berkongsi ilmu dalam bidang pengurusan pasukan, pengurusan stadium, kewangan, kelab peminat dan lain-lain lagi.

"Belum tiba masa untuk saya umumkan kelab mana, tapi sekarang memang kita tengah bincang dengan satu dua kelab," ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih sementara pasukan Kedah bagi saingan Liga Malaysia, Datuk Ahmad Shafie optimis bahawa pasukan Kenari akan mencipta kejayaan pada saingan Liga Malaysia nanti.

"Kita malap sekarang bukan makna kita tidak boleh menyinar, saya yakin kita boleh harungi Liga Malaysia dan berada pada tangga teratas.

"Saya juga percaya barisan pemain Kedah adalah terbaik dan potensi mereka harus digilap lagi," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Dua beradik maut, kereta dirempuh bas di Kuantan

Posted: 23 Jul 2013 11:33 PM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB

KUANTAN 24 Julai - Dua beradik maut selepas Proton Saga yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas dari arah belakang dalam kejadian di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan dekat Kompleks Mahkamah Kuantan di sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Arif Akmal Ab. Razak, 22, dan adiknya Aniq Ihsan, 16, yang menetap di Kampung Teluk Mahang, Jalan Gambang di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Berpeluang miliki lesen 'P' sah

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Arifin Che Mat (lima dari kiri) bersama-sama warga emas dan Orang Asli selepas penyerahan replika lesen 'P' sempena program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (SKSPJ) di Kampung Damak, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 24 Julai - Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (PSKSJPJ) di Kampung Damak, dekat sini baru-baru ini bertujuan mendekatkan JPJ dengan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak termasuk Orang Asli di kawasan pedalaman.

Program itu memberi peluang penduduk menyelesaikan urusan berkaitan lesen memandu, cukai jalan dan menukar nama pemilik kenderaan.

Sepanjang program itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), bomba daerah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pihak swasta turut berperanan mengetengahkan kesedaran mengenai kesihatan, penyalahgunaan dadah dan kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Arifin Che Mat berkata, program 'turun padang' JPJ bersama agensi lain itu bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai menyelesaikan hal ehwal pelesenan kenderaan dan lesen memandu.

"Program bersama penduduk luar bandar ini juga membuka peluang kepada JPJ memberi panduan berguna untuk Orang Asli dan warga emas memiliki lesen memandu 'P' secara sah," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan PSKSJPJ, di Sekolah Kebangsaan (SK) Damak, dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah JPJ negeri, Datuk Zakaria Man; Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor dan Ketua Penguat Kuasa Cawangan JPJ Raub, Dasiman Mat Zain.

Sempena program dua hari itu, sebanyak 502 penduduk terdiri daripada warga emas dan belia Melayu (340), Cina (13), India (2) dan Orang Asli (147) di sekitar Kampung Damak, Kampung Paya Petai, Kampung Merting dan Kuala Tahan daerah Jerantut berjaya lulus dan menerima lesen P.

Menurutnya, sambutan penduduk terhadap pemilikan lesen motosikal B2 (P) menunjukkan petanda positif dan sehingga kini JPJ berjaya mengeluarkan lesen berkenaan kepada 54,329 orang di seluruh negara menerusi 128 program sejak dilancarkan pada 2009.

Ujar beliau, di Pahang pula sebanyak 6,906 pemilik motosikal sudah memiliki lesen B2 (P) menerusi 13 program yang serupa dalam tempoh berkenaan.

Arifin berkata, JPJ juga memperkenal satu lagi perkhidmatan baharu untuk keselesaan orang ramai berurusan perlesenan, cukai jalan dan pembayaran saman menerusi kaunter bergerak beroperasi mengikut zon di Semenanjung mulai bulan ini.

Katanya, mulai awal bulan ini, JPJ menyediakan tiga buah van sebagai kaunter bergerak untuk kemudahan orang ramai melibatkan tiga buah zon.

Beliau berkata, van berkenaan berpusat di Zon Utara, iaitu di JPJ Kedah, Zon Selatan (JPJ Johor) dan Zon Tengah (JPJ Pahang) mula beroperasi awal bulan ini.

"Van yang dilengkapi talian internet untuk pelbagai urusan transaksi JPJ akan ditempatkan di lokasi negeri berkenaan dengan beroperasi mengikut jadual di kawasan kampung dan pinggir bandar termasuk menjelajah ke semua negeri dalam zon berkenaan.

"JPJ menyediakan tiga buah van bergerak sebagai peringkat percubaan dan sekiranya transaksi ini mendapat sambutan orang ramai, kita akan menambah lagi di setiap buah negeri sebuah van bagi tujuan mobiliti kaunter berkenaan," katanya.

Menurut Ariffin, JPJ juga bercadang melebarkan operasi van bergerak berkenaan ke Sarawak dan Sabah tidak lama lagi khususnya di lokasi luar bandar dan pekan kecil yang mempunyai rangkaian jalan darat untuk kemudahan penduduk di sana.

Katanya, kemudahan mobiliti kaunter berkenaan antara mekanisme JPJ untuk membantu penduduk yang memiliki kenderaan berurusan perlesenan, cukai jalan, pembayaran saman dan sebagainya khususnya perkhidmatan di lokasi yang agak jauh dari pejabat JPJ cawangan dan negeri.

Tambahnya, kemudahan mobiliti berkenaan antara alternatif yang efisien membantu penduduk sejajar dengan bidang transformasi sosial dan perkhidmatan bagi memenuhi aspirasi pembangunan kerajaan hari ini.

Aliran trafik Kuantan berubah

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 24 Julai - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengalu-alukan maklum balas orang ramai berhubung perubahan trafik di daerah ini yang diubah daripada dua hala kepada sehala melibatkan beberapa jalan utama bagi mengurangkan kesesakan bermula kelmarin.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, apa yang diharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu orang ramai tampil memberi pandangan dan cadangan bagi memperkemaskan lagi perubahan aliran trafik yang dibuat.

"Jalan mana yang perlu dibaiki atau tambah lagi, tanda amaran apa diperlukan, di mana kita (MPK) perlu letakkan, tapi saya rasa hari ini masuk hari ketiga pelaksanaannya, kita lihat keadaan menjadi semakin baik.

"Saya harap warga Kuantan bersabar kerana jika kita tidak mencuba kita tidak boleh berubah. Kali terakhir kita ubah Jalan Besar dan Jalan Mahkota daripada dua hala menjadi sehala adalah pada tahun 1979, semasa itu Menteri Besar adalah Allahyarham Datuk Abdul Rahim Abu Bakar.

"Maknanya sudah 34 tahun kita tidak melalukan perubahan kepada aliran trafik di daerah ini, jadi saya rasa sudah sampai masanya kita lakukan perubahan ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan 'Kami Prihatin' dan Bakul Ramadan kepada orang kurang upaya (OKU) Badan Kebajikan Bagi Insan Istimewa (Bakbiis) 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis MPK, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap.

Zulkifli berkata, MPK juga akan melakukan penambahbaikan bagi memastikan perubahan aliran trafik yang dilakukan berjaya direalisasikan.

"Pertamanya dari segi papan tanda, saya telah mengarahkan bahagian pembangunan MPK untuk menyediakan papan tunjuk arah yang lebih banyak lagi supaya memudahkan pengguna.

"Buat sementara waktu ini, kita juga menempatkan penguat kuasa MPK yang ditugaskan selama 24 jam untuk memastikan keadaan berjalan lancar. Kita juga berterima kasih kepada pihak yang turut membantu mengawal lalu lintas terutama pada waktu-waktu puncak," katanya.

Mengenai masalah orang ramai terutama pejalan kaki untuk melintas jalan akibat perubahan aliran trafik itu, beliau berkata, jejantas sedia ada perlu digunakan.

"Dalam pada itu, MPK dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melihat kesesuaian semasa lampu isyarat merah sebagai laluan orang ramai melintas. Ini kita sedia maklum kerana kereta pastinya lebih laju melalui jalan sehala," katanya.

'Ramsar adalah khazanah negara'

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

TEMERLOH 24 Julai - Pencerobohan di kawasan tanah lembap atau Ramsar di Tasik Bera bukan sahaja menjejaskan ekosistem dan biodiversiti di kawasan tersebut tetapi turut menjejaskan sektor pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kawasan tanah lembap seperti di Tasik Bera tidak banyak terdapat di dunia dan lokasi berkenaan adalah satu daripada produk pelancongan utama di negeri.

"Saya terkejut berikutan pendedahan mengenai pencerobohan hutan tanah lembap atau Ramsar hampir 400 hektar di Tasik Bera dan itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

"Rakyat perlu mempunyai kesedaran untuk bersama-sama menjaga khazanah negara demi kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan hidup generasi masa kini dan akan datang.

"Dan peranan memelihara khazanah negara bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak," katanya mengulas mengenai pencerobohan Ramsar Tasik Bera selepas Majlis Rahmat Ramadan di Masjid Felda Lakum, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengurus Felda Lakum, Hassan Mohd Ali.

Sehubungan itu, Mohd. Sharkar berkata, beliau akan meminta Jabatan Perhutanan negeri memberi taklimat mengenai pencerobohan hutan tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa kerajaan negeri yang akan datang.

Beliau juga menasihati rakyat menghormati undang-undang supaya tidak menceroboh kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan yang tidak boleh diterokai dan tidak ada maknanya jika ada undang-undang dan peraturan tetapi tidak dihormati.

"Saya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap penceroboh kerana Tasik Bera akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai kawasan pertandingan mengenali burung antarabangsa selepas Bukit Fraser.

"Kalau hutan seluas itu sudah dimusnahkan burung yang tinggal di kawasan itu akan berhijrah ke tempat lain dan secara tidak langsung menggagalkan usaha kerajaan negeri untuk menjadi kawasan itu sebagai produk pelancongan berasaskan alam sekitar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dua Ahli Parlimen didakwa

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Julai - Dua Ahli Parlimen, empat aktivis mahasiswa dan seorang anggota Sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dalam perhimpunan Black 505 di Padang Merbok, bulan lalu.

Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bersama aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd. Halim, Muhammad Safwan Anang @ Talib, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian dan anggota sekretariat PKR, Muhammad Adib Ishar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berlainan.

Mohd. Rafizi, 36, Siew Fook, 36, dan Muhammad Adib, 24, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Zainuddin Ahmad yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggunakan Padang Merbok untuk perhimpunan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini antara pukul 2 dan 6 petang, 22 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa atas pertuduhan pilihan, gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan itu iaitu 10 hari sebelum ia diadakan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta tersebut yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000.

Menurut undang-undang, Rafizi dan Siew Fook akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya jumlah denda ditetapkan melebihi RM2,000 jika mereka didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam N. Surendran dan Keppy Wong yang mewakili Mohd. Rafizi dan Muhammad Adib membantah atas alasan kes saman tidak memerlukan jaminan untuk dibebaskan.

Hakim Mat Ghani Abdullah kemudian membenarkan ketiga-tiga mereka dikenakan bon jaminan RM3,000 tanpa cagaran dan menetapkan pengurusan kes pada 23 September ini dan perbicaraan pada 7 Oktober depan.

Peguam Latheefa Koya turut mewakili Rafizi dan Muhammad Adib dalam kes tersebut manakala Siew Fook diwakili peguam Thomas Su.

Sementara itu, Adam Adli, 24, Muhammad Safwan, 24, Ekhsan Bukharee, 22, dan Mohamed Bukhairy, 23, pula didakwa menyertai perhimpunan yang diadakan di kawasan larangan, Masjid Ar-Rahman di Universiti Malaya antara pukul 12 tengah hari dan pukul 1.15 petang, 22 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad yang mengendalikan pendakwaan kes itu mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mat Ghani bagaimanapun menetapkan bon jaminan RM2,000 tanpa cagaran serta menetapkan pengurusan kes pada 23 September ini manakala perbicaraan bermula 21 Oktober depan.

Adam Adli diwakili Surendran manakala tiga lagi aktivis mahasiswa diwakili peguam Murni Hidayah Anuar.

Yang turut hadir di mahkamah ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Keputusan bantahan petisyen pilihan raya Nurul Izzah 1 Ogos

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Julai - Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun memohon Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar terhadap petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangannya yang dikemukakan oleh seorang pengundi kawasan tersebut.

Ini kerana menurut Mohd. Hafarizam, petisyen yang dikemukakan oleh Mohamad Sazali Kamilan itu perlu dibicarakan terlebih dahulu memandangkan dakwaan 'rasuah' yang dibuat oleh Nurul Izzah mempunyai merit untuk didengar dalam perbicaraan.

Beliau sehubungan itu memohon supaya bantahan awal itu ditolak dengan kos RM5,000 dibayar kepada Mohamad Sazali kerana berpendapat Nurul Izzah tidak sepatutnya memohon petisyen anak guamnya itu dibatalkan pada peringkat ini.

Sementara itu, barisan Peguam-peguam Kanan Persekutuan, Alice Yoke dan Amarjeet Singh yang mewakili Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Lembah Pantai dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggalkan mahkamah selepas mahkamah membenarkan permohonan Mohd. Hafarizam untuk mereka dikeluarkan sebagai pihak dalam petisyen tersebut.

Terdahulunya, peguam Edmund Bon yang mewakili Nurul Izzah selaku responden pertama memohon, petisyen Mohamad Sazali ditolak dengan kos atas alasan tindakan itu tidak menyatakan secara spesifik fitnah terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang didakwa disiarkan oleh portal berita, Malaysiakini.

Raja Nong Chik, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, turut hadir mendengar petisyen tersebut.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof yang mendengar bantahan awal Nurul Izzah akan membuat keputusan pada pukul 8 pagi, 1 Ogos ini.

Mahkamah sebelum itu menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Titiwangsa yang difailkan oleh Pas, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi bagi mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johari Abdul Ghani.

Hakim Zabariah berkata, Ahmad Zamri gagal mengemukakan fakta untuk menyokong dakwaannya bahawa ejen Johari mengamalkan rasuah dan ejen itu mengedarkan risalah yang boleh mempengaruhi pengundi.

Hakim Zabariah menolak petisyen itu dengan kos berjumlah RM70,000 selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Johari.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kes keracunan makanan di India, pengetua serah diri

Posted: 24 Jul 2013 10:05 AM PDT

NEW DELHI 25 Julai - Pengetua wanita yang diburu pihak berkuasa India ekoran kes keracunan makanan yang menyebabkan 23 pelajar mati, akhirnya menyerah diri kepada polis, semalam.

Meena Devi diburu oleh pihak polis sejak lebih seminggu lalu kerana dikaitkan kes kematian pelajar sekolahnya di Bihar akibat keracunan makanan selepas menjamah makanan percuma yang disediakan pihak sekolah.

Devi kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut. - REUTERS

Jepun kerah jet usir pesawat China

Posted: 24 Jul 2013 10:04 AM PDT

TOKYO 25 Julai - Jepun mengerahkan beberapa jet pejuangnya untuk mengusir sebuah pesawat tentera China yang memasuki ruang udara berhampiran kawasan pertikaian antara kedua-dua negara terbabit yang terletak Lautan Pasifik, semalam.

Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera dalam kenyataannya berkata, pesawat China itu terbang di antara pulau Okinawa dan pulau kecil Miyako di selatan negara ini sebelum berpatah semula ke Laut China Timur.

"Saya percaya tindakan China itu ada kaitan dengan rancangan Beijing untuk memperluaskan kawasan maritim," katanya. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Gajet pintar kawal diabetes

Posted: 22 Jul 2013 11:45 PM PDT

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Annie Chin (kiri) bersama Dr. Nor Azmi Kamaruddin ketika melancarkan aplikasi Bulan Ramadan, Diabetes dan Saya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KENCING manis atau diabetes antara penyakit keturunan yang amat digeruni kerana kesannya yang boleh menyebabkan penurunan kualiti hidup sepanjang hayat.

Segala-galanya perlu dijaga dan diawasi terutama sekali dalam bab pemakanan.

Apabila penyakit ini dibicarakan pada bulan Ramadan, sudah pasti ia memberi kesan kepada umat Islam yang menghidapnya.

Sekiranya mereka yang menghidap penyakit kencing manis jenis 2 (diabetes jenis 2) berpuasa, ia boleh menjejaskan aras gula darah dalam badan kerana mereka tidak makan pada waktu siang dan situasi ini lebih dikenali sebagai hipoglisemia.

Bila keadaan ini berlaku ia boleh mengakibatkan pesakit berada dalam keadaan tidak sedar dan sawan yang memerlukan rawatan kecemasan.

Begitupun, mengikut kajian yang dilakukan, hampir 79 peratus pesakit diabetes jenis 2 yang beragama Islam atau kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia tetap ingin menjalani ibadah berpuasa.

Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan masalah tersebut, sebuah syarikat khidmat kesihatan yang terkemuka, MSD, telah melancarkan sebuah aplikasi mudah alih Apple, Bulan Ramadan, Diabetes Dan Saya, dan kit maklumat Fakta Tentang Amalan Berpuasa Pada Bulan Ramadan.

Aplikasi serta kit maklumat tersebut dihasilkan untuk membantu pesakit-pesakit diabetes jenis 2 mengatasi kesulitan kesihatan yang mungkin dihadapi akibat mengubah pola pemakanan pada bulan Ramadan.

Menurut Pengarah Urusan MSD, Annie Chin, aplikasi serta kit maklumat tersebut terhasil apabila pihaknya menyedari cabaran dihadapi oleh jutaan pesakit diabetes Islam seluruh dunia yang tetap ingin berpuasa.

"Dengan memanfaatkan kuasa dan capaian teknologi mudah alih yang ada hari ini, kami ingin memberi peluang dan membantu pesakit-pesakit diabetes jenis 2 menunaikan kewajipan mereka sepanjang bulan Ramadan.

"Pada masa yang sama kami sentiasa berusaha menghasilkan alat-alat bantuan yang baharu dan lebih baik untuk menyokong masyarakat diabetes dengan pelbagai cara," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi dan kit maklumat tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbicara lanjut mengenai aplikasi yang dihasilkan, ulas Annie, ia mengandungi maklumat penting mengenai bulan Ramadan seperti waktu solat, waktu matahari terbit, dan waktu matahari terbenam.

Kesemuanya ini adalah berdasarkan kepada lokasi pengguna dan kompas di dalamnya yang menentukan arah kiblat.

Aplikasi ini juga mengandungi penjejak gula dalam darah yang memudahkan laporan dihantar mengenai aras glukosa kepada pengamal kesihatan sepanjang bulan Ramadan dan ia boleh dihantar terus melalui e-mel.

Pada masa yang sama, aplikasi ini juga memberikan saranan umum tentang aras gula darah yang mengharuskan pesakit berbuka puasa disebabkan risiko gula darah yang rendah.

Antara ciri penting yang lain ialah cadangan soalan-soalan yang boleh ditanya kepada pakar kesihatan sebelum mula berpuasa pada bulan Ramadan termasuklah sajian makanan dan rawatan yang boleh dijalani.

Mengenai kit maklumat pula, Annie memberitahu ia mengandungi fakta-fakta penting tentang amalan berpuasa, petua sebelum berpuasa, penjejak aras gula darah serta takwim untuk mencatatkan waktu solat dan waktu berbuka puasa.

Penyelidikan terbaharu menunjukkan bahawa kejadian gula darah rendah yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 nyata lebih kerap berlaku pada bulan Ramadan berbanding pada bulan-bulan lain.

Tidak ketinggalan kajian epidemiologi turut menunjukkan peningkatan 7.5 kali ganda pada kejadian hipoglisemia yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 pada bulan Ramadan.

Untuk kit maklumat, ia disediakan di semua pejabat Persatuan Diabetes Malaysia seluruh negara dan juga di kebanyakan klinik, hospital, dan farmasi.

Bagaimanapun, bagi aplikasi Bulan Ramadan, Diabetes Dan Saya, buat masa ini ia hanya boleh digunakan menerusi gajet pintar yang menggunakan platform sistem operasi iOS (iPhone, iPad, iTouch) atau di http://itunes.apple.com.

Dinasihat berbuka

Sementara itu, menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin, pesakit diabetes jenis 2 boleh menjalani ibadah puasa tetapi dengan syarat mereka perlu disiplin mengenai makanan yang diambil.

Katanya lagi, pesakit-pesakit diabetes jenis 2 digalakkan bersahur lambat tetapi disarankan agar berbuka puasa tepat pada masanya.

Jelas Profesor Dr. Nor Azmi, ini adalah untuk mengelakkan sebarang komplikasi berlaku akibat berpuasa seharian.

"Pesakit-pesakit diabetes jenis 2 sebenarnya perlu makan tepat pada waktunya untuk aliran darah yang normal. Tetapi jika sesuatu berlaku ketika berpuasa, mereka dinasihatkan agar segera berbuka puasa untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.

"Yang penting, sepanjang berpuasa, pesakit digalak mengawasi aras gula darah dengan lebih kerap pada waktu siang," katanya.

Beliau juga menyarankan agar pesakit-pesakit diabetes jenis 2 mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang.

Waktu bersahur pesakit diabetes disarankan mengambil makanan seperti gandum, semolina, dan kekacang kerana makanan ini merembeskan gula dengan perlahan.

Ketika berbuka puasa pula, makanan-makanan seperti buah-buahan serta yang berkarbohidrat amat digalakkan untuk merembeskan gula dengan cepat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Terima keadaan seadanya

Posted: 23 Jul 2013 10:57 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB

Shy8 turut berkebolehan untuk memasak beberapa jenis masakan tradisional.

KITE bakor je...' adalah antara ungkapan dialog popular yang dilafazkan oleh Usop Wilcha atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullai melalui filem arahan pengarah Mamat Khalid, filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR).

Walaupun filem tersebut telah menemui peminat pada Disember 2010 yang lalu, filem itulah yang benar-benar meninggalkan impak dalam karier seni Syed atau Syh8 sehingga kini.

Jelas pelakon berusia 48 tahun ini, walaupun dia pernah cuba untuk 'melarikan diri' daripada watak lakonannya itu, ternyata dia gagal kerana sehingga kini, peminat masih mengenalinya kerana lakonan yang berkesan itu.

"Saya harus akui kewujudan saya dalam industri hiburan ini banyak bergantung kepada watak tersebut dan sekiranya bukan disebabkan watak itu, mungkin saya langsung tidak akan dikenali.

"Sungguhpun begitu, saya ada juga cuba-cuba untuk membawakan watak-watak yang berbeza personalitinya seperti watak serius tetapi ternyata ia gagal meninggalkan impak kepada peminat.

"Mungkin kerana apabila mereka melihat muka saya, tiada lain yang mereka fikirkan selain daripada lakonan saya dalam filem arahan Mamat Khalid," katanya.

Dalam kehidupan seorang artis, populariti adalah antara perkara paling utama yang membezakan sama ada mereka berada pada tahap tersendiri ataupun hanya sekadar artis 'ala kadar' yang mengisi watak-watak sampingan.

Namun begitu dalam karier Shy8, popularitinya banyak bergantung kepada trilogi Kampung Pisang apabila filem kedua iaitu HKLBR mendapat sambutan hangat sehingga mencatat jualan mencecah RM8 juta.

Pada ketika itu jugalah populariti Shy8 mencecah tahap tertinggi apabila dialog dan lenggok tubuh badannya menjadi ikutan ramai sehingga mendapat tawaran menjadi penyampai radio bersama stesen radio popular, Hot FM.

Tetapi ternyata, aura populariti itu tidak kekal lama kerana projek-projek yang disertai oleh bapa kepada seorang anak lelaki ini tidak mendatangkan hasil seperti yang dijangkakan sebelum dia kembali popular setelah filem ketiga trilogi Kampung Pisang iaitu Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit menjengah pawagam pada Februari 2013.

"Saya akui populariti saya banyak meningkat apabila trilogi Kampung Pisang menemui peminatnya dan secara jujur, saya tidak mempunyai masalah dengan situasi tersebut.

"Pastinya setiap individu bergelar artis mahu popular setiap masa tetapi perkara seperti ini tidak dapat dipaksa dan ia datang dengan sendirinya.

"Walaupun popular secara 'bermusim', saya tetap bersyukur kerana lakonan saya dapat memberikan kesan kepada masyarakat dan itu sudah memadai buat diri saya," katanya lagi.

Lebihkan sahur berbanding berbuka

Sudah menjadi kebiasaan dalam bulan Ramadan ini, kita akan berbuka dengan kuantiti makanan yang tidak kurang banyaknya, namun berbeza bagi pelakon drama Cer Citer ini apabila dia melebihkan kuantiti makanan sewaktu bersahur.

Jelasnya, tabiat tersebut sudah lama dilakukannya iaitu sewaktu berbuka, dia hanya akan mengambil makanan-makanan ringan berbanding hidangan lauk pauk biasa.

"Sewaktu Ramadan, saya lebih gemar melebihkan pengambilan makanan ketika bersahur dan bukannya sewaktu berbuka.

"Bagi saya, cara ini membantu saya untuk meneruskan kerja-kerja seharian walaupun dalam keadaan menahan lapar dan dahaga di siang hari," katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Tambah Shy8 yang turut terlibat dengan beberapa projek drama bersiri seperti Demi Dia, Anak Imam Argentina dan Abang Long VS Kak Yong ini lagi, makanan ringan yang diambilnya sewaktu berbuka adalah seperti buah-buahan dan pelbagai kuih-muih.

"Saya memang jarang mengambil nasi berserta lauk pauk sewaktu berbuka sebaliknya makanan sedemikian banyak diambil sewaktu bersahur.

"Sewaktu berbuka, kebiasaannya saya hanya makan kuih ataupun makanan seperti murtabak dan pelbagai rojak," kata suami kepada Norafizah Abdul Aziz ini lagi.

Kembali kepada kekasih lama

Posted: 23 Jul 2013 10:57 PM PDT

PASANGAN Jennifer Lawrence dan Nicholas Houltini dilihat kembali berkasih.

CINTA Jennifer Lawrence dengan bekas kekasihnya, Nicholas Hoult amat kuat. Biarpun dia pernah berpisah dengan Nicholas selama enam bulan tetapi akhirnya dia kembali juga ke dalam dakapan lelaki itu.

Seperti dilapor Showbizspy, benih cinta mereka kembali bertaut sewaktu sama-sama membintangi filem X-Men: Days of Future Past baru-baru ini.

Tambah menarik apabila Lawrence dan Hoult masing-masing melakonkan watak Mystique dan Beast dalam filem tersebut.

"Mereka mulai menjalani penggambaran filem itu pada April lalu hanya sebagai teman. Tetapi pada suatu hari mereka dilihat berciuman di lokasi penggambaran tersebut," ungkap salah satu sumber kepada laporan itu.

Sumber terbabit turut menambah bahawa hubungan mereka makin dekat setelah itu. Lawrence bahkan sempat mengumumkan pada orang di sekitarnya bahawa dia telah jatuh cinta sekali lagi dengan bekas kekasihnya itu.

Lawrence dan Hoult sendiri sempat mengakhiri hubungan mereka pada Januari lalu sedangkan sebelum itu mereka telah berpasangan sebagai kekasih selama dua tahun.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Hadiah sempena Aidilfitri

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Salleh Yusup (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika melawat Jalan Sibu yang telah siap sambil diperhatikan oleh Tan Keng Chok (tiga dari kanan) dan P. Gunaseelan (kanan) di Taman Wahyu, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/FATHEEN ELLYN EZREEN ROSLI

KUALA LUMPUR 23 Julai - Penduduk Taman Wahyu menerima hadiah Aidilfitri lebih awal dan boleh menarik nafas lega apabila projek naik taraf Jalan Sibu di Taman Wahyu, di sini disiapkan sepenuhnya pada 15 Julai lalu.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup berkata, dengan siapnya projek itu sekali gus menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh penduduk mengenai keadaan jalan, perparitan dan alam sekitar di kawasan tersebut.

"Sebelum ini, kerap berlaku banjir di Jalan Sibu disebabkan sistem perparitan sedia ada tidak memuaskan dan sekarang jalan ini telah diperbaiki menjadi cantik.

"Sudah menjadi tanggungjawab pihak DBKL dalam memastikan keselesaan pengguna dan penduduk. Sehubungan itu, saya meminta mereka menjaga jalan ini dengan sebaik mungkin," katanya selepas sesi lawatan sempena penyiapan kerja menaik taraf jalan tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Tan Keng Chok dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, P. Gunaseelan.

Menurut Salleh, kerja-kerja tersebut telah dimulakan pada 18 Mac lalu dengan kos sebanyak RM1.08 juta.

"Jalan sepanjang 690 meter ini juga boleh digunakan sebagai jalan pintas oleh pengguna berikutan kesesakan di jalan utama," jelasnya.

Katanya, pihaknya bercadang untuk menyambungkan jalan tersebut ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wahyu dalam masa terdekat.

"Ini bagi memudahkan penduduk terbabit menggunakan jalan ini untuk berulang-alik dari tempat kerja ke rumah," ujarnya.

Sebelum ini penduduk membuat aduan kepada DBKL mengenai masalah yang timbul di kawasan jalan tersebut dibina bahu jalan berdebu dan berlopak akibat dijadikan tempat letak lori serta laluan kenderaan berat.

Selain itu, bahu jalan diselaputi belukar dan menjadi tempat pembuangan sampah secara haram, sekali gus menjadi tempat pembiakan hidupan liar.

Bangkai lori turut dibiarkan tersadai di bahu jalan, bengkel kenderaan menceroboh rezab jalan dan penduduk juga mendakwa kawasan itu sebelum ini tidak selamat buat pengguna jalan raya, terutamanya pejalan kaki.

Jentera BN Cheras diminta dekati kaum Cina

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor beramah mesra dengan tetamu pada majlis berbuka puasa di Surau As-Sodiqin di Taman Kobena, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR 23 Julai - Masyarakat Cina di Parlimen Cheras mampu kembali kepada Barisan Nasional (BN) jika golongan tersebut diberi penjelasan mengenai usaha kerajaan yang selama ini memperjuangkan kebajikan semua pihak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, walaupun kawasan tersebut tidak pernah dipegang oleh BN namun tidak mustahil mampu dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Jentera BN perlu giatkan lagi usaha untuk mendekati golongan tersebut dalam usaha mengenal pasti masalah dan keperluan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di surau As-Sodiqin, Taman Kobena, di sini semalam.

Jelasnya, kekalahan BN di kawasan majoriti masyarakat Cina bukan penghalang bagi mereka untuk lebih mendekati golongan tersebut.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menasihatkan ahli UMNO supaya bermuzakarah bagi mengelak perebutan jawatan sepanjang pemilihan di peringkat cawangan yang sedang berlangsung sejak Isnin lepas hingga 30 Ogos ini.

"Mereka perlu berpegang kepada Fasal 3 perlembagaan parti, yang antara lain menegaskan bahawa UMNO merupakan sebuah parti politik yang menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan agama Islam.

"Jadi dalam Islam duduk muzakarah dan berbincanglah siapa nak jadi ketua dan sebagainya," katanya.

Dalam majlis tersebut, Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada 200 penduduk di Parlimen Cheras.

Caj kenderaan kena tunda naik

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 23 Julai - Kereta dan motosikal yang ditahan di pusat penahanan kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan masing-masing dikenakan caj sebanyak RM100 dan RM50 sehari mulai 1 Ogos depan bagi mendisiplinkan pemilik kenderaan di ibu negara.

Selain caj penahanan, kenderaan yang didapati salah di bawah Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan (Fi bagi pengapitan, pengalihan dan penahanan kenderaan motor) 2012, Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu juga akan dikenakan caj bagi tindakan pengapitan (clamp) dan pengalihan yang baharu.

Caj semasa yang dikenakan untuk sebuah kereta yang ditunda ialah sebanyak RM50, notis kompaun sebanyak RM100 dan RM150 mengikut kategori. Bayaran menyimpan di pusat tahanan kenderaan pula ialah sebanyak RM5 sehari.

Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr. Ismail Stapa berkata, bagi kenderaan jenis motosikal termasuk beroda tiga, caj bagi pengapitan adalah RM20, pengalihan RM30 dan penahanan sehari sebanyak RM50.

"Caj untuk kereta bagi pengapitan adalah RM50, pengalihan dan penahanan sehari sebanyak RM100," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Ismail, bas dan lori yang berat tanpa muatan tidak lebih 3,000 kilogram pula akan dikenakan caj pengapitan sebanyak RM100, pengalihan RM300 dan penahanan RM200 sehari.

Katanya lagi, kenderaan berat seperti lori tangki, treler dan kenderaan lain yang berat tanpa muatan lebih daripada 3,000 kilogram pula akan dikenakan caj pengapitan sebanyak RM150, pengalihan RM400 dan penahanan RM300 sehari.

Ismail yang dihubungi kemudian berkata, caj baharu itu adalah diselaraskan dengan tindakan kompaun yang dikenakan oleh agensi penguat kuasa lain, termasuk polis.

"Caj baharu ini juga diperkenalkan bagi menyedarkan orang ramai agar lebih berdisiplin (apabila meletakkan kenderaan). Bila caj murah, orang buat tak kisah," katanya, merujuk kepada masalah halangan yang berlaku di jalan-jalan raya sekitar ibu negara akibat pemandu meletakkan kenderaan secara sesuka hati.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tempoh pajakan tidak disambung

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin menyampaikan sumbangan kepada salah penerima bantuan dalam majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa di Masjid Abidin Taman Seri Skudai, Johor Bahru kelmarin. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 23 Julai - Kerajaan negeri tidak berhasrat menyambung pajakan kepada pihak industri di kawasan Perindustrian Larkin di sini kerana lokasi tersebut tidak lagi sesuai untuk dijadikan kawasan industri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya kawasan tersebut akan dibangunkan semula menjadi lokasi perumahan yang menempatkan kediaman mampu milik.

Beliau berkata, pajakan tanah di kawasan tersebut dijangka tamat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang dan pihak industri masih mempunyai masa untuk mencari kawasan lain untuk meneruskan industri mereka.

"Ketika ini Larkin merupakan kawasan yang dipajak oleh pihak industri daripada kerajaan.

"Kita ingin nyatakan, pihak kerajaan tidak berhasrat untuk menyambung pajakan kepada pihak industri kerana sudah tidak sesuai dan kita bersedia membangunkannya sebagai kawasan bagi rumah mampu milik," katanya pada Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa daerah Johor Bahru di Masjid Abidin di Taman Sri Skudai di sini semalam.

Yang turut hadir ialah barisan anggota Exco dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran Abd. Rahman.

Kira-kira 140 golongan kurang berkemampuan terdiri daripada orang miskin, warga emas dan anak yatim di sekitar Taman Sri Skudai menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan harian.

Mohamed Khaled berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, namun pada masa sama membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan melantik ketua masyarakat bagi setiap kaum yang ada di negeri ini termasuk kaum Iban dan pribumi dari Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk membuat pelantikan tersebut kerana masyarakat Iban dan pribumi Sabah yang tinggal di negeri ini juga memerlukan ketua bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Pelantikan adalah sempena dengan kajian persempadanan semula kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor Bahru yang melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT)," katanya.

Kebun kelapa sawit, nanas terbakar lagi

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di kawasan kebun sawit di Parit Jono, Batu 13, Air Hitam, Muar, semalam.

MUAR 23 Julai - Tidak sampai sebulan ladang nanas milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13, Air Hitam dekat sini terbakar, enam buah kebun kelapa sawit dan nanas seluas lebih 10 hektar di kawasan berdekatan pula terbakar sejak semalam.

Kebakaran di kebun di sekitar Parit Jono, iaitu kira-kira dua kilometer dari ladang PPNJ itu bagaimanapun berjaya dikawal dan tinggal sebuah kebun dengan keluasan 8.9 hektar masih terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ariff Jini berkata, kerja-kerja memadam api yang memasuki hari kedua hari ini diteruskan bermula pukul 9 pagi ini serta melibatkan 30 anggota termasuk dua anggota bomba sukarelawan.

Menurutnya, sebanyak tiga buah jentera dan empat buah pam penyedut air digunakan dalam operasi itu.

"Kebakaran dijangka dapat dipadam sepenuhnya dalam masa dua hari lagi termasuk melibatkan bara tunggul kayu, pokok atau tanah gambut yang berpotensi untuk terbakar semula jika ditiup angin.

"Untuk itu, kita sudah buat empangan untuk menakung air di parit bersebelahan kebun yang terlibat dan pada masa ini kita tiada masalah dengan sumber air.

"Cabaran bomba adalah keadaan cuaca yang panas selain terpaksa bertugas dalam keadaan berpuasa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Beliau memberitahu, seorang anggota bomba turut cedera di bahagian muka akibat terjatuh.

Ariff berkata, kebun itu adalah milik persendirian dan punca kebakaran dipercayai daripada aktiviti membersihkan kebun untuk proses tanaman semula.

"Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kebakaran tersebut dimaklumkan orang awam sebelum 15 anggota bomba dikejarkan ke kebun berkenaan pagi semalam," katanya.

Menurutnya, lima lagi kawasan kebun yang terbakar di sekitar Parit Jono dapat dikawal daripada merebak ke kawasan berdekatan kerana pihaknya menerima maklumat lebih awal.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Matang pada usia muda

Posted: 23 Jul 2013 10:57 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar RASHID MAHFOF

NILDA Nadzri tidak menolak jodoh di usia muda.

JELAS terpancar ketegasan daripada nada suara dan cara anak gadis ini membawa diri. Walaupun baru berusia 23 tahun, Nilda Nadzri nyata mempunyai karisma kepimpinan tersendiri.

Manakan tidak, dia adalah majikan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan prestasi lima pekerja yang semuanya berusia lebih tua daripadanya.

Lalu apakah formula yang digunakan gadis ini dalam memenuhi misi perniagaannya?

"Seperti wanita lain, saya juga mempunyai emosi yang rapuh dan mudah menangis. Adakalanya tidak mampu berhadapan dengan pelbagai tekanan.

"Namun satu yang saya amat bersyukur kerana Allah mengurniakan kepada saya pekerja yang memang baik dan memahami kehendak saya.

"Saya akui bukan mudah mentadbir perniagaan pada usia muda. Tetapi itu jalan yang saya pilih. Walau apa jua cabarannya, saya akan cuba sedaya upaya mengatasi sebaik mungkin," jelas Nilda pada perkenalan kami di butiknya yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

Walaupun muda, kematangan Nilda jelas terpancar pada cara bercakap dan berfikir. Melihat daripada papan tanda perniagaan Butik Twistnya, tercatat tiga jenis perkhidmatan salon, spa dan fesyen.

Bagaimana gadis semudanya boleh menggalas tiga perniagaan serentak? Nilda berkongsi cerita.

"Sejak tingkatan tiga lagi saya sudah pandai menggunting rambut rakan dan kawan-kawan amat berpuas hati dengan hasilnya.

"Disebabkan minat, saya menanam cita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran. Namun selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya mendapat tawaran ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang sains kemanusiaan.

"Saya kenal diri saya. Saya tidak suka belajar bidang yang saya tidak minat. Jadi mengapa perlu saya membuang masa. Sedangkan saya boleh terus ke matlamat yang telah saya tanam sejak remaja lagi," cerita Nilda, mengimbau nostalgia ketika dia berusia 18 tahun.

Gadis kelahiran Pahang itu nekad tidak meneruskan pengajian di UIA. Sebaliknya mengambil kursus penggayaan rambut di Institut APT di Subang Jaya.

Nilda turut membuktikan semangatnya dengan bekerja di salon milik kaum lain pada hujung minggu semata-mata untuk menambah pengalaman.

Tidak mahu buang masa, Nilda memantapkan ilmu dengan mempelajari seni solekan pula.

"Rambut dan solekan memang sukar dipisahkan. Apabila sudah buat rambut, pelanggan akan tanya boleh atau tidak bersolek, jadi saya pun menambah skil tersebut.

"Tidak cukup dengan itu, saya turut belajar menjahit manik dan rekaan fesyen. Semuanya digabungkan bawah satu bumbung di Butik Twist yang telah menjalankan operasinya selama dua tahun," jelas Nilda yang merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik.

Mungkin darah perniagaan itu mengalir dalam diri Nilda menerusi bapanya yang merupakan ahli perniagaan berjaya.

Nilda juga mengakui, bapanya merupakan penasihat utama dalam dunia perniagaan.

Memajukan perniagaan

"Dalam selok belok pengurusan bapa saya memang banyak beri tunjuk ajar, saya pula perlu mencari idea bagaimana memajukan perniagaan terutama apabila persaingan di Shah Alam ini terlalu tinggi.

"Sebab itu saya mengambil inisiatif mereka pakaian yang saya pelajari daripada hasil pemerhatian dunia fesyen dari dalam dan luar negara," katanya.

Menurut Nilda, dia pernah ke luar negara sendirian untuk mendapat idea rekaan terbaru di pasaran sana.

"Saya memang jenis yang berani dan nekad. Kalau saya sukakan sesuatu saya akan berusaha mendapatkannya.

"Kini saya sedang dalam fokus menghasilkan busana untuk aktres Siti Saleha, pada sesetengah acara yang memerlukan rundingan gaya dan solekan, saya akan bersamanya," katanya yang juga pernah bekerjasama dengan beberapa orang kenamaan seperti Toh Puan Mahani Daim dan usahawan kecantikan terkenal Datin Muniroh Kassim serta anak perempuannya, Suhaila Suhaimy.

Nilda berkata, dalam dunia perniagaan dia sentiasa meletakkan kata-kata keramat bahawa pelanggan sentiasa betul sebagai keutamaan.

Baginya, walau apa pun bentuk pujian atau kritikan semuanya akan kembali kepada majikan bukan kepada pekerja.

"Pelanggan saya dari usia muda hingga tua. Inilah yang mengajar saya. Pengalaman membuatkan saya memang rasa lebih tua daripada usia sebenar. Ini juga mengajar saya untuk menjadi lebih baik dan matang.

"Selama dua tahun saya belajar memahami karakter pelanggan. Alhamdulillah saya makin serasi dengan apa jua situasi. Rahsianya, letakkan diri di tempat mereka, jadi lebih mudah memahami kemahuan mereka," jelas Nilda yang memperkenalkan rekaan fesyen terbaru setiap dua bulan.

Nilda turut mempunyai perancangan memajukan perniagaan dengan menambah cawangan. Dia juga mahu berkongsi ilmu kemahiran yang dimiliki.

"Kalau boleh saya mahu membuka akademi yang merangkumi kursus rambut, solekan, fesyen dan jahitan manik.

"Butik Twist juga tidak hanya terhad di sini. Kami ada menyertai bazar dan yang terkini kami menyertai kedai fesyen dalam talian terkenal, Fashion Valet," kata Nilda.

Padusi hasil tangan Che Ta

Posted: 23 Jul 2013 10:57 PM PDT

Rozita Che Wan menggayakan salah satu tudung hasil rekaannya sendiri.

Berkongsi perniagaan dengan adiknya yang juga pelakon, Ayu Raudah dan Rubytah, mereka sepakat menonjolkan nama Padusi untuk memperkenalkan produk.

Padusi dalam bahasa Minangkabau, Indonesia bermaksud seorang perempuan, wanita atau isteri yang bersifat lemah lembut dan ayu .

Tugas mereka cipta dan juga meletak renda pada tudung diserahkan sepenuhnya kepada Rozita dan Rubytah. Kedua-duanya mempunyai sentuhan kreatif menghasilkan rekaan tudung dan baju untuk kegunaan peribadi.

Sementara tugas pemasaran diserahkan kepada Ayu Raudah.

"Setiap kali melaram dengan koleksi tudung atau baju, ramai yang bertanya siapa pereka baju, dari mana boleh dapat tudung yang serupa. Jadi dengan niat awalnya untuk berkongsi hasil kreatif kami, Padusi kami tubuhkan sebagai pusat jualan tudung yang sangat eksklusif, unik, elegan dan glamor.

"Hanya mereka yang suka bergaya dan sabar untuk tampil menarik akan memilih tudung Padusi, kerana teknik pemakaian mengambil masa. Tetapi hasilnya memang cantik.

"Sengaja kami tonjolkan kelainan dalam berfesyen supaya berbeza dengan penawaran lambakan tudung di pasaran, sekali gus melambangkan personaliti kami yang suka bergaya," katanya.

Butik Padusi yang terletak di USJ 10, Subang Jaya, Selangor menawarkan kepelbagaian selendang yang kebanyakan dihasilkan daripada sutera satin, sutera krep dan syifon.

"Kain asas tudung kami beli di kedai-kedai tempatan sekitar Lembah Klang namun untuk hiasan renda saya beli di Dubai kerana banyak pilihan yang cantik-cantik.

"Saya pastikan setiap tudung diperincikan dengan hiasan tambahan dan berkualiti. Sebab itu semua hiasan menggunakan teknik jahitan secara manual iaitu menggunakan teknik jahitan tangan," katanya.

Jika jadual lakonan tidak padat, Rozita akan menghabiskan masa di butiknya untuk memastikan tudung-tudung yang ditawarkan mempunyai bekalan yang cukup untuk pelanggan.

"Walaupun hanya promosi melalui mulut ke mulut, setakat ini saya berpuas hati dengan jualan.

"Kerap kali juga pelanggan yang sama mengulangi butik untuk mendapatkan bekalan dan kadang kala membawa teman.

"Kebanyakan tudung Padusi untuk wanita yang rajin berhias dan berfesyen. Selendang tidak boleh hanya disarung, kerana memerlukan lebih masa untuk melilitnya.

"Namun hasilnya menarik dan sesuai untuk menghadiri majlis makan malam atau digayakan di Syawal yang mulia," ujarnya.

Melihat potensi tudung yang dihasilkan mendapat sambutan baik di kalangan wanita, Rozita bercadang untuk melantik stokis dan pengedar.

Bagaimana pun dia mengakui hasratnya itu hanya akan direalisasikan pada yang benar-benar serius.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved