Rabu, 24 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tempoh pajakan tidak disambung

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin menyampaikan sumbangan kepada salah penerima bantuan dalam majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa di Masjid Abidin Taman Seri Skudai, Johor Bahru kelmarin. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 23 Julai - Kerajaan negeri tidak berhasrat menyambung pajakan kepada pihak industri di kawasan Perindustrian Larkin di sini kerana lokasi tersebut tidak lagi sesuai untuk dijadikan kawasan industri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya kawasan tersebut akan dibangunkan semula menjadi lokasi perumahan yang menempatkan kediaman mampu milik.

Beliau berkata, pajakan tanah di kawasan tersebut dijangka tamat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang dan pihak industri masih mempunyai masa untuk mencari kawasan lain untuk meneruskan industri mereka.

"Ketika ini Larkin merupakan kawasan yang dipajak oleh pihak industri daripada kerajaan.

"Kita ingin nyatakan, pihak kerajaan tidak berhasrat untuk menyambung pajakan kepada pihak industri kerana sudah tidak sesuai dan kita bersedia membangunkannya sebagai kawasan bagi rumah mampu milik," katanya pada Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa daerah Johor Bahru di Masjid Abidin di Taman Sri Skudai di sini semalam.

Yang turut hadir ialah barisan anggota Exco dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran Abd. Rahman.

Kira-kira 140 golongan kurang berkemampuan terdiri daripada orang miskin, warga emas dan anak yatim di sekitar Taman Sri Skudai menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan harian.

Mohamed Khaled berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, namun pada masa sama membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan melantik ketua masyarakat bagi setiap kaum yang ada di negeri ini termasuk kaum Iban dan pribumi dari Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk membuat pelantikan tersebut kerana masyarakat Iban dan pribumi Sabah yang tinggal di negeri ini juga memerlukan ketua bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Pelantikan adalah sempena dengan kajian persempadanan semula kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor Bahru yang melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT)," katanya.

Kebun kelapa sawit, nanas terbakar lagi

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di kawasan kebun sawit di Parit Jono, Batu 13, Air Hitam, Muar, semalam.

MUAR 23 Julai - Tidak sampai sebulan ladang nanas milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13, Air Hitam dekat sini terbakar, enam buah kebun kelapa sawit dan nanas seluas lebih 10 hektar di kawasan berdekatan pula terbakar sejak semalam.

Kebakaran di kebun di sekitar Parit Jono, iaitu kira-kira dua kilometer dari ladang PPNJ itu bagaimanapun berjaya dikawal dan tinggal sebuah kebun dengan keluasan 8.9 hektar masih terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ariff Jini berkata, kerja-kerja memadam api yang memasuki hari kedua hari ini diteruskan bermula pukul 9 pagi ini serta melibatkan 30 anggota termasuk dua anggota bomba sukarelawan.

Menurutnya, sebanyak tiga buah jentera dan empat buah pam penyedut air digunakan dalam operasi itu.

"Kebakaran dijangka dapat dipadam sepenuhnya dalam masa dua hari lagi termasuk melibatkan bara tunggul kayu, pokok atau tanah gambut yang berpotensi untuk terbakar semula jika ditiup angin.

"Untuk itu, kita sudah buat empangan untuk menakung air di parit bersebelahan kebun yang terlibat dan pada masa ini kita tiada masalah dengan sumber air.

"Cabaran bomba adalah keadaan cuaca yang panas selain terpaksa bertugas dalam keadaan berpuasa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Beliau memberitahu, seorang anggota bomba turut cedera di bahagian muka akibat terjatuh.

Ariff berkata, kebun itu adalah milik persendirian dan punca kebakaran dipercayai daripada aktiviti membersihkan kebun untuk proses tanaman semula.

"Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kebakaran tersebut dimaklumkan orang awam sebelum 15 anggota bomba dikejarkan ke kebun berkenaan pagi semalam," katanya.

Menurutnya, lima lagi kawasan kebun yang terbakar di sekitar Parit Jono dapat dikawal daripada merebak ke kawasan berdekatan kerana pihaknya menerima maklumat lebih awal.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved