Khamis, 10 April 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kastam KLIA buat rampasan dadah terbesar

Posted: 10 Apr 2014 09:01 PM PDT

SEPANG 11 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat rampasan dadah terbesar dalam sejarah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila merampas dua bungkusan yang setelah diuji, positif dadah jenis methamphetamine seberat 66.75 kilogram.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, dadah bernilai lebih RM12.682 juta itu dikesan ketika tiba di gudang MAS Kargo KLIA dari Lagos, Nigeria pada Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE

Penculik Hua Yuan tuntut RM36.4j

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Ahmad Zahid Hamidi melihat Lina (bukan nama sebenar) dipeluk bersama ibunya semasa rancangan Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 pada segmen Mesej Dari Penjara di Sri Pentas, Petaling Jaya, semalam. - BERNAMA

PETALING JAYA 10 April - Kumpulan penculik yang melarikan dua warga asing di Resort Singamata di Semporna, Sabah baru-baru ini menuntut wang tebusan berjumlah 500 juta peso (RM36.4 juta) bagi membebaskan seorang mangsa berasal dari China, Gao Hua Yuan, 29.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuntutan itu dikemukakan menerusi satu nota tetapi tiada tuntutan terhadap seorang lagi mangsa yang merupakan pekerja wanita resort berkenaan berasal dari Filipina, Marcy Dayawan, 40.

"Kita telah menghantar satu pasukan terdiri daripada anggota polis dan jururunding untuk berunding dengan orang tengah kumpulan penculik berhubung tuntutan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu undangan program Wanita Hari Ini pada slot Mesej Dari Penjara yang disiarkan secara langsung di TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam 2 April lalu, Hua Yan yang juga seorang pelajar wanita dari Shanghai dan Dayawan atau Mimi diculik sekumpulan lelaki lengkap bersenjata dengan menaiki sebuah bot laju.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menegaskan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tidak gagal kerana ia melakukan aktiviti berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditentukan tanpa mengabaikan keselamatan di kawasan lain termasuk di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone).

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempengerusikan mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memperketatkan aktiviti di kawasan Esszone termasuk memperkemaskan kerjasama dengan pasukan keselamatan Filipina.

"Kita juga akan bekerjasama dengan pemilik hotel di kawasan Esszone. Terdapat 11 resort dan mereka diminta memasang kamera litar tertutup (CCTV) dengan paparan rakaman definisi tinggi di semua premis bagi memantau sebarang aktiviti," kata beliau.

Mengenai kes 14 anggota polis didapati positif dadah hasil daripada ujian saringan air kencing yang dijalankan ketika mereka menyertai Kursus Pemantapan Integriti di Kem Biro Tata Negara Ulu Kenas dekat Kuala Kangsar, Perak Isnin lalu, beliau berkata, tindakan lanjut akan ditentukan selepas bukti secara perubatan diperoleh dari Jabatan Kesihatan.

Sementara itu, beliau berkata, polis hanya akan mendedahkan hasil siasatan berhubung kes pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu termasuk rakaman sejumlah 180 percakapan apabila mempunyai bukti konklusif.

Mengenai tawaran balas beliau sebanyak RM501 kepada Datuk Seri Yong Teck Lee jika bekas Ketua Menteri Sabah tersebut berani menamparnya, Ahmad Zahid berkata, beliau sedang menunggu Teck Lee melawatnya jika cukup berani berbuat demikian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Saya sedia dicabar - Sultan Ahmad Shah

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah memberikan petanda yang baginda bersedia mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 30 tahun lalu.

Di samping itu, baginda secara jujur mengakui sedia dicabar oleh mana-mana individu dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 pada 25 Mei ini bagi merebut jawatan nombor satu di FAM itu kerana beranggapan sesiapa pun bebas untuk berbuat demikian.

Namun, Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak agar bersabar hingga 19 April ini untuk mengetahui pendiriannya sama ada akan mempertahankan jawatan presiden untuk penggal 2014-2018.

Pada tarikh itu, baginda dijangka mengumumkan keputusannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM.

"Ramai pihak bertanyakan sama ada saya pertahankan atau tidak (jawatan presiden), sabar...tunggu sahaja pada 19 April ini iaitu pada mesyuarat Exco (menyatakan pendirian).

"Saya tidak akan terburu-buru untuk menyatakan perkara ini dan apa yang hendak dibincangkan, saya tidak boleh maklumkan lagi namun saya masih lagi seorang presiden," katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan sumbangan kereta Proton oleh DRB-Hicom Berhad kepada FAM di Istana Pahang, di sini semalam.

Dalam majlis berkenaan, DRB-Hicom menyerahkan dua buah Proton Perdana, sebuah Proton Preve dan sebuah Proton Perdana kepada FAM DRB-Hicom turut menyumbangkan sebuah bas Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah.

DRB-Hicom diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil. Turut hadir ialah Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Mengetahui terdapat dua calon lain yang turut mendapat sokongan ahli gabungan FAM iaitu anakandanya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Timbalan Presiden FAM, dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baginda sama sekali tidak menghalang sekiranya ada mana-mana pihak ingin mencabarnya.

"Perkara normal kalau saya dicabar, dalam dunia ini kita kena bersaing dan perkara ini tidak terkecuali kepada diri saya.

"Saya juga manusia biasa seperti anda semua dan mengabdikan diri kepada Allah SWT, ini adalah sebuah negara bebas dan saya tidak halang sesiapa untuk menentang saya.

"Dalam media pun banyak artikel mengenai saya, ada yang baik dan ada yang tidak namun itu adalah tipikal bagi mana-mana media untuk bersikap kritikal kepada FAM," kata baginda.

Dalam perkembangan lain, baginda memaklumkan kompleks pentadbiran baharu FAM di Putrajaya akan disiapkan sepenuhnya dalam masa kurang dua tahun lagi.

Menurut baginda, kompleks itu turut menempatkan beberapa pusat latihan bola sepak bertaraf dunia, selain bangunan pentadbiran.

"Diharapkan apa yang dibuat oleh FAM ini akan menggembirakan semua pihak walaupun hakikatnya ada orang yang bersikap kritikal kepada kami namun itu lumrah, tiada sesiapa yang sempurna," katanya.

Kafa didesak pecat Darby

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Steve Darby dikritik teruk oleh peminat disebabkan prestasi hambar pasukan kelantan musim ini.

KOTA BHARU - Penyokong Kelantan terus mendesak Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) supaya menyingkirkan jurulatih kelahiran Liverpool, Steve Darby ekoran prestasi hambar The Red Warriors dalam persaingan Liga Super dan Piala AFC musim ini.

Kemarahan penyokong tegar The Red Warriors bagaikan sudah tidak dapat dibendung selepas pasukan kesayangan mereka tersingkir awal daripada Piala AFC 2014 setelah tumbang 2-3 kepada Yangon United dalam perlawanan kelima di peringkat kumpulan di gelanggang sendiri Selasa lalu.

Sehubungan itu, mereka mahu Kafa mengambil langkah segera dengan memecat Darby dalam usaha memulihkan semula imej pasukan yang tercalar teruk gara-gara aksi sumbang skuad didikannya.

Kelab Penyokong The Red Warriors (TRWKB) berpendapat, sudah tiba masa Kafa melakukan perubahan drastik, iaitu menyingkirkan jurulatih itu daripada terus membimbing pasukan dalam baki persaingan musim ini.

Presidennya, Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, kesabaran penyokong Kelantan sudah sampai ke kemuncak memandangkan Kafa mengambil masa yang terlalu lama untuk mengambil tindakan ke atas Darby.

"Saya akui bukan mudah mencari jurulatih lain tetapi berapa lama mereka mahu lihat Stadium Sultan Muhammad IV terus lesu tanpa kehadiran penyokong setia pada musim ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mohd. Zainy memberitahu, Darby jelas tidak mempunyai hala tuju sebenar dalam memacu pasukannya dan seakan-akan bingung sama ada mahu memberi keutamaan terhadap Piala AFC atau pun liga.

"Darby adalah satu-satunya jurulatih yang tidak konsisten dan gagal membawa kecemerlangan untuk pasukan ini. Beliau sudah kering idea kerana taktikal lapuknya tidak boleh dipakai. Beliau sudah tidak relevan menjadi jurulatih.

"Tiada guna muncul juara Piala FA semata-mata mahu beraksi dalam kempen Piala AFC tetapi kesudahannya berakhir dengan cara sebegini (tersingkir awal). Alasan jadual padat sukar diterima, kerana itulah hakikat yang perlu diterima jika kita mahu bertanding di pentas antarabangsa," ujarnya.

Mohd. Zaini berkata, pihaknya turut mencadangkan agar Kafa menggunakan kepakaran anak tempatan atau jurulatih lain bagi menggantikan Darby.

"Sebagai contohnya, bekas penolong jurulatih Kelantan musim lalu, Kamaruddin Mohamad mempunyai Lesen Kelas A.

"Apa salahnya kita beri peluang kepada dia seperti mana Pahang yang dibimbing Zainal Abidin Hassan pada musim ini," katanya.

Mohd. Zainy turut mendesak Kafa menamatkan kontrak penyerang Liberia, Francis Forkey Doe dan menggantikan dengan pemain lain sebelum jendela pendaftaran kedua pemain import berakhir pada 23 April ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Putin mahu Ukraine lunas hutang sumber tenaga

Posted: 10 Apr 2014 09:49 AM PDT

MOSCOW 11 April - Presiden Vladimir Putin mengutus surat kepada 18 ketua negara-negara Eropah, untuk memberi amaran bahawa beliau akan menghentikan bekalan gas kepada Ukraine sekiranya negara itu gagal melunaskan hutang sumber tenaganya kepada Rusia yang berjumlah 1.6 bilion euro (RM7.15 bilion).

"Syarikat gergasi gas, Gazprom mahukan bayaran pendahuluan untuk penghantaran gas dan sekiranya berlaku pelanggaran syarat-syarat pembayaran, penghantaran gas akan dihentikan," jelas Putin dalam surat itu.

Bagaimanapun, katanya, Rusia bersedia untuk mengambil bahagian dalam usaha mengembalikan semula kestabilan ekonomi Ukraine, dengan mengikut syarat Kesatuan Eropah. - AFP

Majlis Keselamatan PBB hantar tentera pengaman ke Republik Afrika Tengah

Posted: 10 Apr 2014 09:47 AM PDT

NEW YORK 11 April - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, sebulat suara mengundi untuk menghantar 12,000 tentera pengaman PBB ke Republik Afrika Tengah.

Resolusi yang dikemukakan oleh Perancis itu, bakal menyaksikan lebih daripada 10,000 orang tentera dan 1,800 anggota polis akan dikerahkan ke negara tersebut.

Misi bantuan tentera pengaman PBB dijadualkan mengambil alih tugasan daripada tentera Perancis dan Kesatuan Afrika yang sudah pun berada di sana pada 15 September depan. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sasar lahir 7,500 usahawan baharu

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Shahiruddin Ab. Moin (tengah) beramah mesra dengan pelajar selepas merasmikan Karnival Perniagaan dan Keusahawan Kolej Profesional Mara Indera Mahkota di Kuantan, kelmarin. -Utusan/MAHATHIR ALI

KUANTAN 10 April - Kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk melahirkan 7,500 usahawan baharu terutama dalam kalangan golongan muda menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihaknya menaikkan sasaran berbanding tahun lalu iaitu 5,000 usahawan berikutan penyertaan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar lepasan institut pengajian tinggi (IPT).

""Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus memberi sokongan terutama dari segi dana dan latihan bagi memantapkan lagi pembangunan usahawan dalam kalangan bumiputera.

"Program turun padang seperti Jelajah Informasi Pahang yang dilancarkan baru-baru ini juga mendapati sebahagian besar masyarakat tidak mempunyai maklumat mengenai saluran yang boleh mereka pergi untuk memulakan perniagaan sedangkan mereka mempunyai produk sendiri.

"Jadi perkara seperti ini dikenal pasti untuk diatasi dalam memastikan sasaran pada tahun ini dapat dicapai," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Perniagaan dan Keusahawan Kolej Profesional Mara Indera Mahkota (KPMIM)di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah KPMIM, Halimahton Saadiah Mohd. Taib.

Menurut Shahiruddin, beliau mencadangkan agar semua IPT di bawah Mara membawa para pelajar berkunjung ke pejabat Mara bagi diberi pendedahan cara menjadi usahawan yang berjaya.

"Selain itu, agensi berkaitan seperti Mara juga perlu sentiasa turun padang menemui masyarakat menerangkan peranan mereka terutama dalam melahirkan usahawan.

"IPT juga perlu sentiasa proaktif dalam menyuburkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar dengan menganjurkan pelbagai aktiviti dan dalam masa yang sama mengubah persepsi mereka agar tidak mengharapkan kerja makan gaji sahaja," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan sentiasa membantu kelab-kelab atau persatuan usahawan dan koperasi terutama dari segi dana sebagai menggalakkan lebih ramai usahawan Melayu di negeri ini.

300 penduduk bimbang air Sungai Lalang tercemar

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

KUALA LIPIS 10 April - Kira-kira 300 penduduk Kampung Lalang, Benta dekat sini melahirkan kebimbangan mengenai tahap pencemaran Sungai Lalang yang sejak sekian lama menjadi sumber air untuk projek penternakan ikan air tawar dan pengairan tanaman penduduk.

Menurut mereka, kualiti air sungai itu merosot teruk dengan dipenuhi lumpur sehingga berwarna perang sedangkan sebelum ini penduduk turut menggunakan air sungai berkenaan untuk mandi dan membasuh pakaian.

Pencemaran air sungai berkenaan dikatakan berpunca daripada pembuangan sisa berupa lumpur dan pasir dipercayai dari lombong bijih yang beroperasi di kawasan hulu hingga mengakibatkan banyak ikan air tawar yang diternak dalam sungai itu mati dua hari lepas.

Seorang penduduk Kampung Lalang, Badrulhishaf Ibrahim, 45, berkata, sungai itu yang membekalkan air kepada petani untuk mengairi tanaman kini sudah dicemari dengan lumpur dan sisa buangan tertentu.

"Sebelum ini, penduduk di sini mengambil air sungai ini untuk membasuh, mandi dan mengairi tanaman tetapi semenjak dua bulan ini keadaan air berubah warna malahan kedalaman sungai mulai cetek," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pihak yang terbabit dengan perlombongan di kawasan hulu perlu mencari alternatif mengelakkan sisa buangan ke sungai itu agar air kembali jernih dan sesuai untuk penternakan akuakultur.

Rakannya, Shamsulizzat Mohd. Norawi, 23, berkata, pihak berwajib perlu mengambil tindakan iaitu menyiasat mengenai punca sungai itu tercemar sehingga mengakibatkan banyak ikan air tawar mati.

"Penduduk di sini menghadapi kesukaran untuk mendapat keperluan air sebagai alternatif jika terputus bekalan air bersih dan tidak mengairi pertanian lagi kerana dikhuatiri akan mengancam kesihatan dan impak terhadap tanaman," katanya.

Tambahnya, pengusaha perlombongan di kawasan hulu perlu mengambil kira keselesaan penduduk dengan memastikan kebersihan sungai yang menjadi tempat penduduk bergantung sebagai sumber mengairi tanaman.

Kampus Ikip di Taman Pertanian jadi Pusat Industri Kreatif

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

KUANTAN 10 April - Kolej Antarabangsa Ikip (Ikip) akan melakukan transformasi ke atas kampus miliknya terutama di Kampus Taman Pertanian di sini untuk dijadikan sebagai sebuah Pusat Industri Kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, pihaknya telah dan sedang merangka program berkaitan untuk ditawarkan kepada pelajar yang berminat khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Antara programnya adalah seperti seni reka grafik, grafik multimedia, teknologi lukisan, animasi, videografi dan filem dokumentari.

"Program yang dibangunkan, disediakan dan ditawarkan adalah meliputi beberapa tahap iaitu persijilan, diploma dan ijazah pertama," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Satu Untuk Semua dan pelancaran Program Perintis Kreatif Muda di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Pameran Untuk Semua itu adalah pameran dari Fakulti Warisan, Pelancongan dan Seni Kreatif dengan mempamerkan hasil karya penuntut daripada Diploma Grafik dan Multimedia, Diploma Grafik dan Media Digital dan Seni Halus.

Mohamed Najib berkata, apabila program berkenaan ditawarkan di Ikip, pihaknya mengharapkan dapat menarik minat para pelajar terutama lepasan SPM untuk menyambung pelajaran di kolej berkenaan.

"Atas dasar itulah juga program seperti Pameran Untuk Semua ini dan Program Perintis Kreatif Muda ini diwujudkan.

"Kita mahu semua pihak memahami kesungguhan kami dalam memastikan agenda ke arah keterampilan bidang seni kreatif sebagai bidang utama dalam pendidikan ilmu pengetahuan dan kemahiran dapat direalisasikan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menjalankan pelan transformasi terhadap Jabatan Pengajian Kreatif kolej itu bagi menunjukkan kesungguhan mereka dalam menerajui bidang kreatif di negara ini.

"Pelan ini meliputi banyak aspek seperti pembangunan secara fizikal melibatkan infrastruktur, kemudahan pembelajaran, penyediaan dan pembangunan bidang kursus yang bersesuaian serta penyediaan tenaga pengajar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dua pemuda didakwa bunuh ejen pelancongan

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

DARI KIRI: Mohd. Shahrul Ruzaimy Maznan, Norazmi Ahmad

ALOR SETAR 10 April - Dua pemuda berdepan hukuman di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang ejen pelancongan yang mayatnya ditemui dengan kaki terikat di sebuah bilik hotel di sini bulan lalu.

Penganggur, Mohd. Shahrul Ruzaimy Maznan, 21, dan tukang besi, Norazmi Ahmad, 25, didakwa bersama-sama membunuh Michael Ibraham, 60, di sebuah bilik Hotel Regency, Jalan Sultan Badlishah dekat sini pada pukul 2.33 petang, 13 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh-tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd. Nor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Nurshahida menetapkan sebutan semula kes pada 4 Jun ini dan tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

Pada 14 Mac lalu, akhbar melaporkan seorang warga emas ditemui mati dengan kaki terikat di sebuah bilik hotel di sini.

Mayat lelaki tersebut ditemui seorang pekerja hotel terbabit setelah dia tidak mendaftar keluar pada waktu ditetapkan.

Pemandu teksi dapat ganti rugi RM400,000 anak mati dalam tahanan

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 April - Seorang pemandu teksi hari ini menerima ganti rugi RM401,000 ekoran kecuaian enam defendan sehingga menyebabkan kematian anaknya ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh, tujuh tahun lalu.

Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan demikian setelah Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad pada 12 Februari lalu membenarkan saman pemandu teksi itu, M. Ghaur Chandram, 57, terhadap keenam-enam defendan tersebut.

Peguam, Arnold Andrew yang mewakili Ghaur Chandram ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding di kamar hakim berkata, jumlah itu meliputi ganti rugi am RM100,000 dan ganti rugi teladan RM100,000 serta ganti rugi khas RM192,000.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua defendan, iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pengarah Penjara Sungai Buloh, Kerajaan Malaysia, pegawai perubatan bertugas di Hospital Penjara Sungai Buloh dan dua warden di penjara itu membayar kos pengebumian RM4,000 dan probet RM5,000.

Menurut Andrew, Hakim Nik Hasmat turut mengarahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM60,000.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, H. S. Huam. yang mewakili semua defendan memberitahu, pihaknya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan pada Februari lalu dan akan mendapatkan arahan sama ada akan merayu terhadap perintah hari ini.

Pada 12 Februari lalu, Ghaur Chandram menang dalam kes samannya terhadap Ketua Setiausaha KDN dan Pengarah Penjara Sungai Buloh yang dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam penghakiman tersebut, Hakim Nik Hasmat menyatakan terdapat kecuaian dilakukan pihak penjara Sungai Buloh ketika G. Uthayachandran, 23, yang ketika itu berada dalam tahanan mereka dan pihak responden sepatutnya bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan mangsa.

Uthayachandran yang ditahan ekoran kesalahan berkaitan dadah meninggal dunia pada 18 Mei 2008.

Hakim Nik Hasmat berkata, berdasarkan keterangan saksi, terdapat fakta menunjukkan mangsa yang berada dalam lokap, telah dibawa turun ke bawah ketika proses catuan makanan berlaku dan pegawai penjara tidak menutup pintu hingga menyebabkan mangsa diserbu banduan lain.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Ujian kesetiaan Pas dalam pakatan

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

DALAM memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud, adakah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ini bersama-sama Pas? - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

SEPANJANG menjalinkan persahabatan atau tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Pas telah menunjukkan semangat kesetiaan yang cukup luar biasa.

Disebabkan kesetiaan dan pengorbanan Pas ia memungkinkan pakatan pembangkang terus mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang dan Selangor, selain terus menguasai Kelantan.

Tiada siapa pun dalam kalangan pemimpin mahupun penyokong PKR atau DAP boleh mempertikaikan pengorbanan besar yang dilakukan oleh Pas dalam memantapkan pakatan pembangkang sehinggakan sejak 2008, pakatan itu berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Tidak cukup dengan itu, Pas juga merupakan penyumbang penyokong terbesar apabila ada himpunan jalanan yang hendak dilakukan oleh pembangkang dan jentera parti itu bertungkus lumus siang dan malam apabila ada pilihan raya bagi memastikan kemenangan sama ada calon Pas, PKR mahupun DAP.

Dan kini semangat kesetiaan dan pengorbanan Pas dalam pakatan itu bakal diuji apabila Pas melalui wakilnya di Parlimen akan membentangkan rang undang-undang persendirian bagi mendapatkan kebenaran untuk membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ketika Kerajaan Pusat sudah memberi laluan untuk kerajaan Pas Kelantan berbuat demikian manakala wakil BN di negeri itu menyatakan sokongan, kerajaan Pas Kelantan sedang giat membuat persiapan melalui Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Bagaimanapun seperti diduga, keghairahan dan keterujaan Pas itu bukan sahaja tidak dikongsi oleh PKR dan DAP, malah mereka secara terbuka menentang hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk membentang rang undang-undang itu.

DAP melalui Ketua Publisitinya, Tony Pua secara terbuka berkata, DAP tidak akan menyokong rang undang-undang yang mahu dikemukakan oleh Pas itu manakala Naib Presiden PKR, N.Surendran pula mengingatkan Pas bahawa pakatan pembangkang telah membuat keputusan yang jelas tentang hudud pada tahun 2011.

"Ketiga-tiga pihak secara terbuka mengumumkan bahawa tidak akan melaksanakan hudud kecuali mendapat persetujuan semua pihak dalam pakatan. Tidak ada kata sepakat tentang hal ini," kata Surendran.

Sebenarnya penentangan yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP bukanlah perkara baharu sebaliknya mengesahkan tafsiran selama ini bahawa Pas bukanlah dianggap kawan atau sahabat dalam pakatan tetapi sebaliknya sekadar platform untuk meraih sokongan daripada pengundi Melayu.

Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PKR dan DAP dalam perjuangan Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan jelas membuktikan mereka seolah-olah tidak mempunyai perasaan hormat kepada Pas.

"Kalau mahu menilai pengorbanan Pas dalam pakatan pembangkang ia terlalu besar, sepatutnya DAP dan PKR berkompromi dengan menyokong Pas dalam melaksanakan hudud di Kelantan tetapi terbuktikan kedua-dua parti itu khususnya DAP dulu, kini dan selamanya konsisten dengan pendirian mereka," kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Dalam bahasa mudahnya, PKR dan DAP hanya mahu memperalatkan Pas bagi menumbangkan BN dalam pilihan raya tidak kira sama ada pilihan raya kecil mahupun umum dan apabila Pas berusaha menegakkan perjuangan Islamnya maka parti itu akan ditentang habis-habisan.

Itulah yang berlaku sekarang apabila kedua-dua parti itu langsung tidak mempunyai rasa hormat untuk membenarkan Pas membentangkan rang undang-undang bagi pelaksanaan hukum hudud itu. Sebagai sahabat sepatutnya, PKR dan DAP menghormati prinsip perjuangan Pas.

Namun semua itu tidak berlaku kerana Pas hanya berkongsi misi dengan PKR dan DAP untuk meraih kuasa politik dan bukannya berkongsi prinsip perjuangan. Sebab itulah sejak awal lagi ramai pihak melihat tahaluf siyasi Pas dengan kedua-dua parti itu akhirnya akan merugikan Pas.

Dan sekarang apa yang dibimbangi sudah menjadi kenyataan. PKR dan DAP menunjukkan wajah sebenar mereka bahawa penentangan terhadap hukum hudud bukan sekadar kenyataan politik sebaliknya akan melibatkan tindakan politik apabila menyatakan akan menolak hukum itu apabila dibentangkan di Parlimen.

Bagaimanapun, harapan tetap diletakkan kepada Pas supaya tidak berundur walaupun setapak dalam memastikan rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen. Kalau benar Pas memperjuangkan Islam dan mahu menegakkan hukum hudud maka mereka perlu ada keberanian untuk melawan penentangan yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP.

Tambahan pula pelaksanaan hukum tersebut hanya di Kelantan yang 99 peratus penduduknya beragama Islam dan dari segi politik DAP tidak ada apa-apa pengaruh di negeri itu manakala PKR pula bagaikan hidup segan mati tak mahu serta mengharapkan ihsan politik Pas untuk terus bernyawa di Kelantan.

Oleh itu, persetankan bantahan mereka, kerajaan Pas Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob tidak perlu berasa gentar atau takut dengan ancaman politik PKR dan DAP.

Selama ini, Pas sentiasa menuding jari kepada Kerajaan Pusat apabila tidak dapat melaksanakan hukum hudud di Kelantan tetapi kini masalah itu sudah tidak ada.

Justeru, ini masanya untuk Pas membuktikan bahawa mereka bukannya pak turut apatah lagi hamba politik dalam pakatan pembangkang, sebaliknya Pas adalah sebuah parti bermaruah dan bermartabat serta sanggup menempuh apa sahaja bagi menegakkan perjuangan Islamnya.

Apatah lagi, Kerajaan Pas Kelantan sudah memberi jaminan bahawa mereka tidak akan memaksa bukan Islam di negeri itu untuk mematuhi hukum hudud sekiranya ia dilaksanakan tahun depan.

Selain itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut memberi jaminan, hukum hudud yang akan dikuatkuasakan di negeri itu hanya wajib ke atas umat Islam.

Justeru, PKR dan DAP yang kita tahu amat mengharapkan sokongan bukan Melayu atau mahu menunjukkan kononnya mereka pembela golongan itu tidak perlu bimbang.

Kalaulah benar PKR dan DAP memperjuangkan demokrasi maka mereka juga perlu memahami demokrasi juga membenarkan Pas membentangkan rang undang-undang berkaitan hukum hudud di Parlimen.

Dan dalam masa sama, pembentangan rang undang-undang itu akan menjadi titik tolak kepada Pas sendiri untuk menilai siapakah sebenar dalam kalangan pemimpin parti itu yang benar-benar berpegang kepada wadah perjuangan Islam Pas dan bukannya berkongsi keghairahan untuk merebut kuasa bersama PKR dan DAP.

Wasatiyyah dan indeks Maqasid Syariah

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

DARI JENDELA TOK KI

SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah baru-baru ini mengenai penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa adalah menarik untuk diteliti.

Ia adalah suatu saranan yang baik supaya negara-negara Islam dapat mengukur setakat mana lima prinsip dalam Maqasid Syariah telah dilaksana dan dirancang untuk dilaksana dalam negara masing-masing.

Maqasid Syariah berasaskan lima prinsip iaitu menjaga agama (Deen), nyawa (kehidupan), akal (ilmu dan pendidikan), maruah (jati diri Islami) dan harta benda (kekayaan sumber).

Allah mengurniakan sumber rahmah dan nikmat yang banyak di negara-negara Islam. Buminya yang subur dan hasil perut buminya yang banyak, suatu tamadun yang pernah lahir dan bertahan selama 700 tahun sebagai sumber refleksi, jumlah manusia melepasi 1.6 bilion yang memerlukan pemugaran kembali supaya kekuatan tamadun Islam memberi inspirasi bersama dengan kekuatan sumber hasil bumi dan sumber daya manusia yang banyak.

Umat Islam kini sudah hilang prioriti atau keutamaan. Peperangan, perseteruan, perpecahan, kebencian dan dendam kesumat menjadi pilihan mereka menyebabkan kelemahan yang sangat ketara berlaku.

Umat Islam memerlukan pendekatan bijaksana bagaimana strategi dan maslahah dapat disantuni supaya terelak menjadi mangsa pihak ketiga dengan mengambil pendekatan sederhana dan berimbang supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

Wasatiyyah seperti yang terungkap dalam Surah Al Baqarah : 143 adalah manifestasi pendekatan bijaksana dan adil supaya umat Islam menjadi saksi kepada contoh kemajuan dan perubahan bagi umat manusia seperti yang berlaku pada masa terdahulu.

Maqasid Syariah menuntut supaya agama terpelihara. Memelihara agama bukan sekadar menampilkan syiar yang sifatnya rohaniah semata tetapi Deenul Islam harus mampu dijana sebagai sumber tamadun.

Nyawa atau kehidupan umat Islam harus berada dalam tahap karamah insan supaya diri mereka terpelihara, tidak menjadi mangsa kepada eksploitasi pihak ketiga, jutaan terpinggir sebagai pelarian dan tahap kesihatan yang rendah bagi sesetengah negara.

Ia memerlukan strategi membangun akal fikir supaya sistem ilmu dan pendidikan yang sifatnya integratif dan holistik terjadi untuk menghasilkan modal insan yang mampu mencetuskan perubahan dan kemajuan.

Maruah atau jati diri Islami warga umat perlu dipertahan dan dikembang suburkan supaya keupayaan dan kejayaan umat Islam menjadi contoh terbaik kebangkitan "Order Baru Dunia" yang menjadikan ilmu yang bermanfaat dan teknologi yang terpedoman sebagai landasan memugar kekayaan yang dimiliki.

Malaysia boleh menjadi contoh kepada dunia Islam bagaimana pendekatan wasatiyyah yang diteroka sekian lama menghasilkan kemajuan dan perubahan yang boleh menjadi contoh kepada negara Islam yang lain. Kita tidak memilih jalan revolusi dan anarki dalam realiti masyarakat majmuk yang menuntut ketinggian kebijaksanaan.

Dalam bidang pendidikan integrasi dan Islamisasi ilmu terjadi, Pelan Pembangunan Pendidikan mengambil kira asas-asas negara yang fundamental dan menyediakan generasi penerus menghadapi cabaran globalisasi, Universiti Al-Quran bakal dibina dan menghasilkan graduan yang mempunyai daya kompetensi tinggi untuk hadir dalam sistem.

Dalam bidang ekonomi dan kewangan perbankan dan takaful Islam, sukuk dan waqaf berkembang sehingga Bank Rakyat yang patuh syariah menjadi tarikan peminjam dan pelabur Bukan Islam. Undang-undang keluarga Islam diperkemas, sistem mahkamah syariah dipertingkatkan, industri halal dimajukan dan dasar-dasar negara menyantuni kelompok miskin dan kebajikan golongan yang tidak bernasib menjadi agenda negara.

Pada hemat penulis, Malaysia harus mewujudkan Indeks Maqasid Syariahnya terlebih dahulu supaya suatu jawatankuasa di peringkat antarabangsa dibangunkan dan menjadikan model Malaysia sebagai model rujukan.

Umat Islam harus meletakkan wahdah atau kesatuan sesama umat sebagai keutamaan, bijaksana dalam mengurus krisis, cabaran dan kemenangan. Pendekatan berimbang (wasat) dan sederhana ternyata memberi kesan positif kepada perubahan dan kemajuan kerana ia adalah suatu proses dan tidak harus berlaku sikap gopoh dan melampau yang merugikan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Lupakan yang lalu

Posted: 09 Apr 2014 10:40 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar KAMAL BASIR

MISHA Omar dan tunang Firoz Ezzwan Rossly bersedia melangkah ke alam rumah tangga.

Akhirnya, selepas meniti badai dalam percintaan, tarikh 2 Mei telah dipilih oleh pelantun lagu Angin Syurga, Misha Omar untuk disatukan menjadi pasangan suami isteri bersama dengan Firos Ezzwan Rossly.

Misha mengumumkan tarikh pernikahannya itu dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.

Bukan senang sebenarnya hendak menuju ke hari bahagia untuk bakal raja sehari ini. Pelbagai dugaan dan tuduhan yang dilemparkan kepada Misha dihadapinya dengan tenang.

Bagi Misha, perkara yang sudah berlalu tidak perlu untuk dikenang kembali apatah lagi jika ia sesuatu yang mengaibkan diri seseorang itu.

Benda yang dah lepas, rasanya tidak perlu untuk diceritakan lagi. Biarlah ia menjadi antara dugaan yang perlu ditempuhi oleh saya," jelas Misha dengan senyuman.

Tatkala diuji dengan tohmahan dan kontroversi, Misha juga kini nampak lebih kuat selepas kehilangan arwah bapanya.

Saya reda dengan ketentuan tuhan. Kita doakan yang terbaik sahaja untuk arwah walaupun saya sedih sebab arwah tidak dapat melihat saya bersanding," ujarnya.

Mengulas mengenai tarikh perkahwinan tanggal 2 Mei itu, jelas Misha, tarikh itu sebenarnya dipilih kerana ibunya yang mahukan dia berkahwin pada bulan Rejab.

Sebelum ini, ibu memang ada memberitahu yang dia mahu kami memilih bulan Rejab sebagai tarikh untuk kami melangsungkan perkahwinan.

Selepas melihat kalendar dan kebetulan, tarikh 2 Mei yang dipilih itu memang jatuh pada bulan Rejab dan pada hari Jumaat.

Jadi, kami pun setuju untuk menetapkan 2 Mei itu sebagai mengambil berkat penghulu hari, Jumaat dan bulan Rejab," kata Misha yang akan mengadakan majlis resepsi di Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan.

Majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di sebelah pagi manakala resepsi perkahwinan pula akan diadakan di sebelah malam pada hari yang sama.

Walaupun dugaan demi dugaan yang diterima dan mengambil keputusan untuk berkahwin dalam masa hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi, Misha bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar.

Bila kita dah tetapkan tarikh itu, saya risau sebenarnya sebab tarikh itu sangat dekat dan tempoh untuk persiapan juga singkat.

Tetapi, Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan segala persiapan sedang berjalan," jelasnya syukur.

Sepanjang bergelar seorang penyanyi, insan yang paling rapat dengan kerjayanya ialah kakaknya, Mimie yang selama ini menguruskan kerjaya Misha.

Mengakui ia sesuatu yang sukar, jelas Misha, keputusan untuk berjauhan dengan kakaknya adalah satu yang sangat berat untuk dilakukan.

Selama ini, kakak saya adalah orang yang paling rapat dengan saya. Malah, tiada rahsia antara kami berdua. Semuanya dia tahu.

Saya sebenarnya rapat sangat dengan kakak saya. Boleh dikatakan, saya di mata kakak saya adalah seperti seorang kanak-kanak kecil," jelasnya.

Sangat manja

Tambah Misha, dia memang seorang yang sangat manja dengan kakaknya, malah kerja-kerja rumah juga dilakukan sendiri oleh kakaknya.

Selepas berkahwin takkanlah saya hendak mengharapkan kakak saya lagi. Jadi secara perlahan-perlahan, saya sedang belajar untuk menguruskan rumah tangga daripada kakak.

Selepas ini saya akan hidup berdikari dalam menguruskan hal rumah tangga. Semuanya satu proses pembelajaran buat saya setiap hari," ujarnya.

Tambah Misha, selepas berkahwin, dia akan berpindah ke kediaman yang baharu di Cheras dan turut membawa sekali anak angkatnya Muhammad Adam Emir, 8.

Tentang anak ini adalah satu perkara yang buat saya risau lagi kerana anak angkat saya, Adam dan anak angkat kakak, Arissa seakan tidak dapat menerima kenyataan yang mereka akan berpisah.

Memang nampaklah bila kita beritahu yang mereka akan hidup berasingan, kedua-duanya akan menunjukkan reaksi muka sedih," jelasnya.

Tambah Misha, perkara itu sangat berbeza dengan apa yang terjadi sebelum ini kerana kedua-duanya pasti akan bergaduh dan berasa tidak puas hati antara satu sama lain.

Tetapi kini, bila saya beritahu dah nak kahwin, mereka berdua banyak meluangkan masa bersama seakan-akan tahu yang selepas ini mereka akan jarang berjumpa.

Melihat gelagat mereka itu yang sebenarnya membuatkan saya berasa sedih," katanya.

Dua cerita, satu cinta

Posted: 09 Apr 2014 10:40 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar HAFIZ JOHARI

SELEPAS empat tahun bertunang, pasangan ini disatukan sebagai suami isteri dan kini meniti kebahagiaan dalam rumah tangga.

Sebuah kisah percintaan pasti bermula dengan bibit pertemuan sama ada pandang pertama, mahupun pertemuan yang tidak disangka.

Kisah yang kolum Cinta Kami ingin bawakan minggu ini adalah sorotan sebuah kisah cinta yang berbeza, tetapi membawa ke penghujung cerita yang sama, ke jenjang pelamin.

Bertemu dengan pelakon penuh karisma, Khir Rahman dan isterinya, Siti Jasmina Ibrahim, lembaran kisah silam dibuka kembali.

Menurut Khir, detik pertama bertemu dengan isterinya adalah ketika dia menonton persembahan akhir pelajar di Akademi Seni Kebangsaan (kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada tahun 1997.

Masa itu saya pergi atas undangan rakan-rakan dan saya nampak dia sedang membaca cerpen di atas pentas.

Jauh dalam hati saya berkata, saya suka dia, suara dia, lontaran bacaannya memang kena dengan peranannya di atas pentas ketika itu," jelasnya.

Secara kebetulan, jelas Khir, usai persembahan, dia terlihat kelibat isterinya itu dan menegurnya sambil mengucapkan tahniah atas persembahannya tadi.

Saya nampak dia, saya terus pergi jumpa dan cakap tahniah. Suara awak sedap dan awak membaca dengan baik. Rasanya itulah kali pertama saya berkomunikasi dengan dia," jelasnya.

Selepas itu, jelas Khir, mereka bertemu sekali lagi menerusi teater Jejak Pahlawan arahan Khalid Salleh di mana Khir menjadi teraju dalam teater tersebut.

Hendak dibuat cerita, isteri saya ketika itu turut terlibat sekali dalam produksi dan secara tak langsung, kami berjumpa tiap-tiap hari dan mula rapat," katanya.

Ditanya perasaan ketika itu sekadar rakan atau sudah mula menanam rasa cinta, jelas Khir, ketika itu rasanya memang sekadar rakan sahaja.

Tapi, kalau kita imbas kembali ketika itu, rasanya rasa cinta sudah mula berputik, tetapi masing-masing menyembunyikan perasaan itu," katanya tersenyum.

Menyambung cerita, jelas Khir, apa yang membuat mereka semakin rapat ialah ketika satu insiden sewaktu rakannya pengsan selepas makan.

Ketika itu, kami bawa dia ke hospital dan kami mula rapat sebab kami sering keluar berdua untuk melawat rakan kami itu," jelasnya.

Tidak mahu menyimpan rasa cinta yang semakin bersarang di hati, cerita Khir, pada satu hari ketika berada di rumahnya, dia menguatkan semangat untuk memberitahu sesuatu kepada isterinya.

Masa itu saya di rumah. Rasa resah, rindu semuanya di hati. Jadi saya telefon dia dan cakap yang saya sebenarnya suka pada dia dan berharap saya tidak bertepuk sebelah tangan.

Lepas saya cakap macam tu, dia cakap 'tak' dan masa itu adalah hari yang paling seronok sekali saya pernah rasa," katanya tertawa.

Dia bakal jaga saya

Berbeza pula ceritanya bagi Jasmina tentang kisah cintanya bersama dengan Khir. Malah, kisahnya menyorot lebih silam lagi berbanding kisah Khir.

Langsung bercerita, menurut Jasmina, semuanya bermula pada tahun 1994 dan ketika itu dia menjadi kumpulan pertama pelajar di ASK dan terlibat dengan teater Uda dan Dara yang dipentaskan dalam bahasa Inggeris.

Waktu itu, Khir memegang watak utama dalam teater itu. Tetapi masa latihan, saya tidak merasakan apa-apa perasaan terhadap dia.

Sehinggalah masuk hari kedua persembahan, ketika tunggu giliran saya untuk naik ke pentas, saya terlihat dia dan ada sesuatu yang berkata dalam diri saya.

Masa saya tengok muka dia, hati saya berkata yang orang ini akan jaga saya. Masa itu memang pelik kerana saya tak kenal dia pun. Lagipun, masa itu saya budak lagi," jelasnya.

Sambungnya, sampailah selepas empat tahun, Khir muncul lagi dalam hidupnya ketika dia usai membuat persembahan membaca cerpennya.

Tapi, selepas pertemuan singkat itu, Khir kembali menghilangkan diri membuatkan dia kembali mengabaikan perasaannya.

Lama selepas itu, saya baru pulang daripada Filipina, saya tidak tahu siapa pelakon yang terlibat dengan teater Khalid Salleh.

Bila dapat tahu yang Khir terlibat sekali, masa itu saya fikir yang dia dah datang kembali dan ini kali ketiga saya bertemu dengannya, jelasnya.

Bermula daripada teater itu, jelas Jasmina barulah mereka mula mengenali diri masing-masing dengan lebih rapat.

Saya selalu berdoa ketika itu supaya kalau betul Khir adalah jodoh saya, saya minta supaya jangan dijauhkan.

Selepas itu, Khir mengambil telefon dan meluahkan perasaannya kepada saya dan hati saya ketika itu merasakan memang dia adalah jodoh saya," jelasnya tersenyum.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kasih sayang pendorong kehidupan

Posted: 09 Apr 2014 10:40 PM PDT

Pada kursus yang diadakan untuk para remaja baru-baru ini, saya sungguh gembira apabila mendengar kenyataan tentang curahan kasih sayang ibu bapa terhadap mereka.

Saya sering mengingatkan, ketika belajar bukan sahaja memerlukan minda, tetapi juga hati. Perasaan mereka ini mesti tenteram dan diisi dengan kasih sayang terhadap diri, ibu bapa, keluarga, dan orang di sekeliling mereka.

Saya memberitahu bahawa mereka dilahirkan dengan hati yang bercahaya dan merah, sedia menerima kasih sayang, segala kebaikan dan mereka sememangnya bersikap penyayang.

Walaubagaimanapun, semakin membesar, mereka belajar memiliki perasaan hasad dengki dan sakit hati, terutamanya kepada ibu bapa sendiri apabila sesuatu yang tidak kena berlaku.

Golongan ini merasakan segala nasihat yang diberikan oleh ibu bapa bererti satu kemarahan buat mereka yang menyebabkan terbantut perkembangan dan pertumbuhan emosi mereka.

Mereka tidak dapat lagi merasai kasih sayang dan menerima nasihat serta menidakkan kepedihan hati sendiri untuk mengelakkan daripada lebih disakiti.

Jauh di sudut hati mereka, lukanya masih berdarah serta hati itu merintih mahukan kasih sayang. Namun, mereka tetap berlagak seperti tidak memerlukan sesiapa.

Sekiranya ibu bapa dan penjaga tidak peka, tidak mengetahuinya, akhirnya semua sudah terlambat.

Apabila kumpulan ini dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, mereka mengalami kekurangan dan kecacatan sikap sebagai ibu bapa.

Mereka tidak dapat menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak dan menyebabkan kesakitan di jiwa anak-anak, sama seperti yang dirasai mereka akibat perbuatan ibu bapa dan guru-guru.

Pada suatu hari, anak perempuan saya baru pulang dari pusat beli-belah dan kelihatan sungguh terganggu.

Rupa-rupanya dia telah terlihat seorang ibu mengugut untuk tidak menyayangi anak kecilnya hanya kerana anaknya itu tertumpahkan air dan buang air kecil di hadapan orang ramai.

Kata ibu itu: Ibu tidak sayang kamu lagi, kamu kencing di dalam seluar sedangkan ibu telah ingatkan, jangan Ibu malu dengan sikap kamu."

Mengapa anak saya sangat terganggu? Kerana dia faham akan akibat daripada insiden tersebut kepada jiwa anak sekecil itu kerana hatinya telah terguris.

Sekiranya emosi yang terluka itu tidak dirawat dan kepedihan itu terus bertapak di hati anak berkenaan, dikhuatiri akan melumpuhkan semangatnya untuk mencapai kejayaan. Walaupun kelihatan seperti sesuatu yang remeh, tetapi sebenarnya bukan, percayalah.

Kasih sayang ialah pendorong kehidupan. Apabila kita mahu mencari kekuatan diri, lihat kembali masa sewaktu kita lahir ke dunia ini sehingga berumur enam tahun.

Pada ketika ini jiwa kita dipenuhi dengan kasih sayang dan rasa sungguh menyayangi. Destinasi jiwa kita ialah kasih sayang dalam erti kata yang sebenar.

Jika ibu bapa mengimpikan anak-anak yang berjaya dan berjasa, belajarlah meraih kompetensi, iaitu sikap, skil dan ilmu untuk menjadi ibu bapa penyayang agar anak-anak cemerlang.

Sedikit percikan ilmu untuk menjadi ibu bapa penyang ini;

Ibu bapa yang sebegini telah mendefinisikan kepada anak-anak mereka tentang erti peraturan, batas serta sempadan tahap tingkah laku dalam kehidupan secara amnya dengan jelas. Kerana kasih sayang yang kuat terhadap anak-anak, mereka tegas. Keibupaan penuh kasih-sayang, tidak lari daripada ketegasan

Mereka melatih anak-anak untuk memahami batas-batas ini dan memberikan amaran yang jelas apabila anak-anak mereka mencabuli had batasan itu. Namun, mereka ialah jenis ibu bapa yang memberikan galakan dan mempamerkan kasih sayang mereka dengan jelas.

Mereka sanggup menghabiskan masa dengan anak-anak dan melakukan segala daya usaha untuk berkomunikasi dengan semua anak.

Anak-anak yang datang daripada keluarga begini biasanya mempunyai rasa hormat dan keyakinan diri yang tinggi serta menghormati peraturan, sama ada di sekolah, agama atau di mana-mana sahaja mereka berada.

Ramai ibu bapa mahu menjadi ibu bapa cemerlang, penuh kasih-sayang supaya anak-anak mereka berjaya namun ramai orang mengatakan kalau disayang sangat anak, nanti menjadi derhaka.

Namun, anda tahu di dalam hati, cara terbaik mendidik anak adalah dengan kasih-sayang.

Maka kerana itulah saya akan mengadakan seminar di KGPA Bukit Kiara pada 20 April ini, supaya ibu bapa akan menjadi lebih bulat hati, faham dan memperkasakan keibubapaan penuh kasih-sayang ini.

Mari kita berjumpa di Facebook Jelajah Kasih Bersama Ibu Rose atau http://in96ed.wix.com/projek-jelajah-kasih.

Sabun untuk Orang Asli

Posted: 09 Apr 2014 10:40 PM PDT

Majlis ringkas penyerahan sumbangan sabun Antabax kepada penduduk Orang Asli di perkampungan Kuala Mu, Perak, baru-baru ini.

Produk penjagaan diri yang diyakini berkesan serta boleh diharapkan dalam memupuk gaya hidup sihat dan bersih untuk seisi keluarga, Antabax baru-baru ini menyumbang kira-kira 250 buku sabun mandi kepada masyarakat Orang Asli di Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.

Sumbangan itu disampaikan oleh sukarelawan Orang Asli, Siti Khadijah Mohd Yusof, 46, di perkampungan Orang Asli Kuala Mu baru-baru ini.

Menerusi program yang dinamakan Mesra Rakyat Bersama Orang Asli itu, para sukarelawan turut menyediakan burger untuk diberi kepada anak-anak Orang Asli.

Menurut Siti Khadijah, program anjuran Team Pecah 4x4, Team Utara dan Amal Team itu melibatkan 29 sukarelawan yang menaiki lapan buah kenderaan pacuan empat roda.

Kesemua mereka turut membawa sumbangan makanan seperti burger, ais krim tajaan syarikat Embun; roti dan kek cawan tajaan Norbaini Cakes serta beras, gula, teh dan susu tepung tajaan Klinik Kerajaan Hulu Langat.

Lain-lain barang yang disumbangkan adalah sabun mandi dettol, ubat dan berus gigi serta pakaian.

Misi tersebut katanya, diketuai oleh Zuffree Jasmane, 32, manakala penasihat program, Shamsuri Osman, 52, dari Petronas.

Terdapat juga sukarelawan dari sektor awam dan swasta serta pelajar tahfiz Darul Quran.

Misi ini bertujuan membantu penduduk dari segi pendidikan moral dan suai kenal antara penduduk bandar dengan masyarakat Orang Asli di pedalaman," katanya.

Menyentuh mengenai tajaan sabun Antabax, katanya, pihaknya bersyukur dapat menerima sumbangan tersebut.

Kami telah membawa anak-anak Orang Asli ke sungai di kampung ini untuk mandi dengan menggunakan sabun tersebut.

Pada sebelah petang, pihak penganjur turut mengadakan sukaneka dan latihan praktikal mengenai cara-cara mengambil wuduk dan menggosok gigi.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya kini sedang berusaha mengumpul 400 helai telekung dewasa dan kanak-kanak untuk diagih-agihkan kepada masyarakat Orang Asli di beberapa kawasan pedalaman di seluruh negara.

Untuk menderma atau maklumat lanjut, sila hubungi Siti Khadijah di talian 017-2497901.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Stesen KL Monorel lebih selamat

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangrouyp.com.my

TREN baharu yang mempunyai empat gerabak tiba di Stesen Tun Sambathan, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 9 April - Aspek keselamatan di semua Stesen Monorel KL akan dipertingkatkan bagi mengelak risiko kemalangan dalam kalangan penumpang semasa menunggu tren.

Naib Presiden II Seksyen Monorel Jabatan Tren Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Shah Hazli Shahurudin berkata, pihaknya telah mula membina Sistem Pagar Automatik Platform (PAGS) di setiap stesen yang hanya akan terbuka apabila tren tiba dan berhenti.

Ujarnya, pemasang-an pagar itu dapat menghalang penumpang daripada terjatuh ke landasan sekali gus mengelak kemalangan tidak diingini.

Pada masa ini, ramai yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan tren monorel ke pejabat atau berkunjung dalam kawasan pusat bandar raya dan kita perlu pastikan keselamatan mereka terjamin.

RUANG dalam tren yang menarik dan kemas memberi lebih keselesaan kepada penumpang.

Platform menunggu tren di stesen-stesen yang terdedah tanpa pagar boleh mengundang padah dan kita tidak dapat menjangka malapetaka yang akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membawa wakil media melawat dan menaiki tren empat gerabak yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2015 di depot baharu berdekatan stesen KL Monorel Tun Sambanthan di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Presiden Eksekutif Jabatan Tren Prasarana, Muhammad Isom Azis.

Tren baharu yang kini berada di depot itu menjalani ujian dinamik antara lain tentang kecekapan sistem brek dan pintu, setiap hari dari pukul 12.30 malam hingga 4.30 pagi.

Sementara itu, Shah Hazli memberitahu, tren baharu itu bukan sahaja memiliki ciri-ciri keselamatan lebih baik malah mesra orang kurang upaya (OKU) antaranya ruang kerusi roda khas lengkap dengan tali pinggang keselamatan, sistem kamera litar tertutup serta alat pengesan asap.

Setiap permukaan lantai stesen juga dilitupi jubin khas yang boleh menjadi panduan kepada OKU sama ada untuk menuju ke tren atau keluar dari stesen," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang yang mengalami masalah penglihatan, Nakasha Mohsin, 22, memuji pembaharuan di stesen KL Monorel kerana ia membantu penumpang OKU untuk menggunakan pengangkutan tersebut.

Sebagai contoh, permukaan lantai baharu membantu melancarkan perjalanan saya kerana terdapat panduan untuk melencong ke kiri atau kanan sekali gus mengelak daripada terlanggar orang lain atau tersalah arah," ujarnya

'Seksa' menuju ke 'perhentian akhir'

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusangroup.com.my

Jalan masuk ke Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam, Selangor yang rosak dan tidak rata menyukarkan pemandu van jenazah dan kenderaan waris menuju ke tanah perkuburan dengan selesa.

SHAH ALAM 9 April - Beberapa tahun lalu, laluan menuju Tanah Perkuburan di Seksyen 21 di sini boleh dilalui van jenazah dan kenderaan waris dengan selesa.

Berbeza hari ini, keadaan jalan di situ rosak teruk sehingga menyusahkan urusan pengkebumian dan kelewatan urusan itu selesai.

Penduduk mendakwa, kerosakan jalan itu disebabkan lori sampah yang sering berulang-alik menggunakan laluan itu untuk ke kawasan pemindahan sampah yang terletak di kawasan bersebelahan.

Tambah mengecewakan, sikap tidak peka dan prihatin pihak berkuasa terhadap masalah itu menyebabkan keadaan jalan yang menempatkan tanah perkuburan Islam, penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian itu bertambah teruk.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terlibat hari ini mendapati dakwaan tersebut berasas apabila permukaan jalan di situ bukan sahaja tidak rata dan pecah malah berlubang-lubang umpama dibom periuk api dan peluru berpandu.

Berdasarkan pemerhatian, kerja-kerja pembaikan jalan perlu disegerakan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan orang ramai yang berurusan di tanah perkuburan itu.

Seorang pengunjung, Mohd. Faizal Mohd. Arif, 43, berkata, jalan ke tanah perkuburan memang jarang digunakan kecuali ada kematian, namun ia bukan alasan untuk pihak bertanggungjawab melakukan kerja-kerja baik pulih.

Katanya, tanah perkuburan merupakan perhentian terakhir manusia di alam fana ini maka secara rohaniahnya sudah pasti setiap jenazah dan jasad yang melalui laluan tersebut tidak 'diseksa' dengan kesan hentakan akibat tayar kereta melanggar jalan berlubang.

Memang ada dua jalan ke kawasan ini, tetapi jalan rosak ini merupakan laluan utama. Eloklah pihak bertanggungjawab mengambil tahu kerosakan jalan ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penduduk di Seksyen 16, Khozim Baharun, 56, berkata keadaan jalan di situ yang rosak teruk cukup menyedihkan.

Katanya, ketiadaan pihak berkuasa memantau kegiatan lori pengangkut sampah yang bebas keluar masuk menggunakan laluan itu memburukkan lagi keadaan.

Pihak bertanggungjawab yang mengawal-selia jalan di sini seharusnya peka terhadap masalah ini.

Lori yang keluar masuk dari tempat pelupusan sampah adakalanya keluar sesuka hati dan jika pemandu kereta mahupun van jenazah melalui jalan tersebut tidak berhati-hati, mereka pula berisiko ditimpa kecelakaan," ujarnya.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Nor Hisham Ses mendesak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyegerakan kerja-kerja pembaikan mana-mana jalan yang rosak di kawasan pentadbirannya.

Menurutnya, tiada guna kerajaan negeri mendabik dada mengatakan kantung mereka penuh dengan duit sedangkan infrastruktur sedia ada tidak sempurna.

MBSA perlu segera melantik kontraktor untuk memperbaiki jalan-jalan yang rosak terutama jalan ke tanah perkuburan tersebut.

Jika tiada peruntukan dijadikan alasan, pihak terbabit perlu menuntut kos pembaikan daripada kerajaan negeri kerana perkara ini membabitkan kebajikan dan kese-lamatan rakyat," ujarnya.

908 kes curi air dilaporkan sejak Januari lalu

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

SEORANG kakitangan Syabas memotong sambungan paip haram yang dibuat oleh pemilik sebuah ladang di Rawang, Selangor, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

RAWANG 9 April - Sebanyak 908 kes curi air dilaporkan dari Januari sehingga awal bulan ini ketika kebanyakan daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan mengalami masalah kekurangan bekalan sehingga terpaksa dicatu.

Ini menyebabkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) me-ngalami kehilangan air terawat sebanyak 1.29 juta liter padu yang menyebabkan kerugian sebanyak RM2.95 juta.

Pengarah Eksekutif Projek Syabas, Yusuf Badawi berkata, tindakan mencuri bekalan air dari paip-paip utama Syabas yang dilakukan sama ada untuk tujuan komersial atau domestik memburukkan lagi keadaan krisis air ketika ini.

Kegiatan itu menyebabkan tekanan air menjadi rendah sekali gus menyumbang kepada masalah gangguan bekalan air tidak berjadual," katanya dalam sidang akhbar selepas penguat kuasa Syabas menyerbu sebuah ladang tanaman bunga melur dan kandang lembu di Batu Arang di sini, hari ini.

Dalam serbuan tersebut, pengusaha ladang tersebut didapati membuat sambungan paip secara haram dari paip dan meter milik Syabas untuk tujuan tanaman dan ternakan lembu di kawasan itu.

Ini menyebabkan Syabas kehilangan sebanyak 4,900 ribu liter padu air yang kerugiannya bernilai RM11,000.

Siasatan juga mendapati pengusaha ladang dan menternak lembu tidak mempunyai akaun bekalan air yang sah.

Yusuf tidak menafikan kegiatan mencuri air semakin bertambah ekoran krisis bekalan air yang me-landa Lembah Klang.

Bagaimanapun, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka memnbuat sambungan haram bagi mendapatkan bekalan air yang boleh menyebabkan berlaku gangguan kepada jadual catuan air di kawasan lain yang sepatutnya menerima bekalan air," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan lain, sebuah syarikat kontraktor pembinaan kepada syarikat pemaju milik Perbadanan Kemajuan Ne-geri Selangor Infra, sebuah anak syarikat negeri Selangor didapati menceroboh sebuah premis Per-khidmatan Takungan Air milik Syabas di PJU 5 Kota Damansara.

Syarikat kontraktor itu didapati membina rumah kongsi, menyimpan bahan-bahan binaan dan membuang sisa-sisa binaan di premis terbabit.

Yusuf berkata, lot premis dan sebuah tangki air yang tidak aktif itu dipercayai diceroboh sejak hampir setahun lalu.

Pihak kontraktor tersebut ada membuat permohonan untuk menggunakan premis ini tetapi permohonan mereka ditolak oleh Syabas pada 31 Januari lalu.

Bagaimanapun, mereka didapati masih menceroboh kawasan ini sehingga hari ini," katanya.

Ujarnya, kontraktor itu boleh diambil tindakan melalui Seksyen 122 (1) (d) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lima dalang bakar rumah ditahan

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (dua dari kanan) menunjukkan pakaian seragam polis yang digunakan oleh penjenayah dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 9 April - Polis menahan lima lelaki yang dipercayai anggota kumpulan kongsi Gelap Geng 36 bagi membantu siasatan kes membakar sebuah rumah dan merosakkan cermin 15 kenderaan di Taman Seri Senai, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua suspek yang berusia 24 hingga 34 tahun itu ditahan di sekitar Senai dan Kulaijaya dalam beberapa siri serbuan antara pukul 7 pagi hingga 2 petang.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah bermotifkan dendam kerana mangsa pernah memukul salah seorang suspek semasa majlis sambutan hari jadi seorang kenalan mereka di Taman Bintang, di sini sehari sebelum kejadian.

"Berang dengan tindakan tersebut, suspek kemudiannya telah membawa beberapa orang rakannya dan bertindak membakar rumah mangsa dengan membaling bom petrol serta memecahkan cermin 15 buah kereta," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Mokhtar, turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah satu botol plastik berisi minyak petrol, sebuah buah motosikal dan dua bilah parang.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Kita sedang mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas iaitu N. Perumal, yang memegang kad pengenalan bernombor : 791020-04-5219, R.Kaliappan (7508220-01-6553) dan K.Thevarajan (861220-23-5421) yang masing-masing beralamat di Kulaijaya.

"Sehubungan itu, ahli keluarga atau orang ramai yang mengenai mereka diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi, Isnin lalu, anjung sebuah rumah di Taman Seri Senai terbakar manakala cermin hadapan 15 buah kereta yang diletakkan berhampiran kediaman tersebut dipecahkan.

PPM tahan tiga penyeludup diesel

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

JOHOR BAHRU 9 April - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan keluar minyak diesel di dua buah stesen minyak di Tampoi dan Jalan Skudai, di sini semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kesemua lelaki yang berusia antara 37 tahun hingga 49 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi bahan bakar itu ke dalam kenderaan masing-masing yang telah diubah suai pada pukul 12.40 tengah hari.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota yang menyertai Ops Landai telah membuat pemeriksaan terhadap dua buah kenderaan pacuan empat roda yang sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak.

"Pemeriksaan mendapati terdapat tangki tambahan pada kedua-dua kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam tangkapan kedua, pasukan sama telah menahan dan memeriksa sebuah lori yang sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki yang diubah suai.

Dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas sebuah lori, dua buah kenderaan pacuan empat roda dan 2,100 liter minyak diesel.

Khon Chiang berkata, maklumat risikan mendapati sindiket itu membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak di daerah ini dan dikumpulkan di dalam stor haram sebelum dibawa ke pesisir pantai dan seterusnya dipindahkan ke kapal tangki untuk diseludup ke luar negara.

"Kesemua yang ditahan dan barangan rampasan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor Bahru untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan atau memiliki barangan kawalan tanpa dokumen yang sah.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved