Ahad, 19 Januari 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Atlet paralimpik pamer peningkatan walau tidak capai sasaran

Posted: 19 Jan 2014 08:50 PM PST

NAYPYITAW 20 Jan. - Walaupun gagal mencapai sasaran 50 pingat emas, atlet paralimpik negara mempamerkan peningkatan prestasi di temasya Sukan Para Asean ketujuh di sini, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Abdul Jalil Abdullah.

Mengikut catatan tidak rasmi MSN, kontinjen negara menamatkan saingan lima hari di sini dengan mengumpul 49 pingat emas, 50 perak dan 36 gangsa.

"Walaupun sasaran kita kurang hanya satu pingat, ia bukanlah menunjukkan kemerosotan atlet kita di sini. Sebaliknya, pencapaian mereka amat membanggakan.

"Kebanyakan atlet yang membawa cabaran negara di sini bukanlah atlet sepenuh masa yang berpusat di MSN. Kita juga mengetengahkan lebih ramai atlet-atlet muda di sini dan pencapaian mereka amat membanggakan," kata Abdul Jalil pada sidang akhbar merumus pencapaian atlet di temasya dwitahunan itu.

Turut hadir ketua kontinjen negara ke Sukan Para Asean Myanmar Datuk Zakaria Musa.

Skuad olahraga menjadi penyumbang pingat terbanyak Malaysia dengan 36 pingat emas, melepasi sasaran awal mereka iaitu 32 pingat emas.

Malaysia turut meraih pingat emas melalui acara renang dengan enam pingat emas, manakala ping-pong satu pingat emas. - BERNAMA

Chong Wei juara kali ke-10

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

Najib Tun Razak mengalungkan pingat kepada Lee Chong Wei yang menewaskan Tommy Sugiarto dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. - Utusan/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR - Pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya memenuhi matlamatnya untuk merangkul gelaran Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia buat kali kesepuluh semalam, tetapi kemudian memberi isyarat dia mungkin bersara pada Disember depan.

Skuad negara mengutip dua kemenangan pada hari terakhir Siri Super Premier yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. Satu lagi kejayaan diraih oleh pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Lim Khim Wah, tetapi peminat badminton terpaksa bermuram apabila Chong Wei menyatakan hasratnya untuk bersara ketika sidang akhbar.

Chong Wei tidak mempunyai masalah untuk merangkul kemenangan selepas mudah mengalahkan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-19, 21-9 dalam tempoh 47 minit tetapi kenyataannya ingin bersara lebih mencuri tumpuan.

"Mungkin ini Terbuka Malaysia terakhir yang saya sertai, selepas Sukan Asia 2014 di Incheon (Korea Selatan) Oktober ini, saya tidak tahu akan terus bermain atau tidak. Jika keadaan saya tidak bagus saya akan bersara tahun ini pada Disember," katanya kepada wartawan.

Katanya, dia akan menilai prestasinya di Sukan Asia dan juga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark dan jika masih bebas daripada kecederaan mungkin dia akan meneruskan karier seperti biasa.

"Saya akan cuba dan fikirkannya semula kerana kita tidak tahu bagaimana prestasi saya selepas itu. Saya juga mempunyai banyak masalah peribadi, saya akan cuba sebaik mungkin tetapi tunggu hingga Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia berakhir.

"Tidak ada tekanan, bagi saya mungkin lebih kepada masalah peribadi, saya akan habiskan dulu aksi di beberapa kejohanan besar tahun ini kerana sebelum ini saya memang tertekan. Sekarang saya sudah mempunyai keluarga. Saya meninggalkan isteri (Datin Wong Mew Choo) dan anak (Kingston Lee) berbulan-bulan untuk menyertai kejohanan," katanya.

"Saya akan cuba untuk beraksi di Sukan Olimpik 2016 tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku kerana tiga tahun dari sekarang adalah tempoh yang lama, biar saya habiskan kejohanan besar yang bakal ditempuhi terlebih dahulu," katanya.

Ditanya mengenai kejuaraan Terbuka Malaysia semalam, Chong Wei berkata, dia berasa agak tertekan sepanjang seminggu kejohanan berlangsung kerana sangat teringin untuk muncul juara buat kali kesepuluh.

"Selepas menang saya berasa teruja. Walaupun pada set pertama Tommy mendahului, tetapi selepas menang set pertama saya sudah fikir akan menang mudah di set kedua. Bukan mudah untuk meraih kejuaraan kesepuluh, tambahan pula tahun ini (Terbuka Malaysia berstatus) Siri Super Premier.

"Isteri dan ibu saya melihat sendiri bagaimana muka saya begitu tertekan untuk muncul juara Terbuka Malaysia, saya sudah cuba yang terbaik dan selepas menjadi juara saya berasa bahu ini sungguh ringan kerana hilang tekanan," katanya.

Chong Wei membawa pulang AS$37,500 (RM123,637) manakala Tommy pula meraih AS$19,000 (RM62,643). Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, pemain China, Li Xuerui muncul juara perseorangan wanita selepas menumbangkan rakan senegara, Wang Shixian 21-16, 21-17 untuk membawa pulang RM123,637. Dalam acara beregu wanita, gandingan Bao Yixin-Tang Jinhua juga dari China mengetepikan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 21-19, 14-21, 21-13 untuk meraih AS$39,500 (RM115,424).

Penguasaan negara Tembok Besar dilengkapkan dengan kemenangan beregu campuran, Xu Chen-Ma Jin yang menumpaskan gandingan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen 21-11, 17-21, 21-13 untuk meraih hadiah wang tunai RM115,424.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Zahida Rafik diberi tempoh failkan pembelaan

Posted: 19 Jan 2014 09:13 PM PST

KUALA LUMPUR 20 Jan.- Pelakon Zahida Rafik yang disaman oleh bekas pemandu peribadinya, Noor Azman Azemi diberikan masa oleh Mahkamah Tinggi KL sehingga 4 Febuari ini untuk memfailkan pembelaannya dalam saman atas kata-kata fitnah terhadapnya dalam sebuah akhbar harian.

Tarikh itu ditetapkan oleh hakim Datuk Hue Siew Kheng ketika pengurusan kes saman itu di kamar beliau hari ini.

Mahkamah sehubungan itu menetapkan 14 Febuari untuk pengurusan kes saman tersebut.

Noor Azman, 39, memfailkan saman pada 27 November tahun lalu, dengan menamakan Zahida atau nama sebenarnya Zahida Mohamed Rafik, 38, pelakon yang pernah membintangi filem komedi 'Anak Mami The Movie,' sebagai pihak defendan.

Noor Azman selaku pihak plaintif mendakwa, ekoran perkataan fitnah itu dia dan keluarganya terpaksa menanggung malu dan peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan pada masa kini dan akan datang telah terjejas.

Selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, plaintif yang bekerja dengan pelakon itu selama tiga tahun bermula 2009, turut memohon perintah injuksi bagi menghalang defendan daripada terus memfitnahnya secara lisan, melalui media cetak atau internet. - UTUSAN ONLINE

Operasi mencari mangsa lemas dipertingkat

Posted: 19 Jan 2014 08:29 PM PST

BALIK PULAU 20 Jan. - Operasi mencari dan menyelamat Ku Muhmad Ilyas Ku Abdul Halim, 19, yang masih hilang selepas dipercayai lemas dalam kejadian di Pantai Keracut di sini kelmarin dipertingkatkan.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, J. Vijayan berkata, operasi mencari mangsa diteruskan kira-kira pukul 9 pagi ini.

"Bagi memperluaskan operasi mencari, pasukan penyelamat telah membuat pembahagian zon bersama agensi-agensi yang terlibat," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSANONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Tutor lonjak pencapaian UPSR

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Khodijah Aziz

KANDUNGAN akhbar pendidikan terbaharu Utusan Malaysia, Tutor yang kini memasuki kali kedua keluarannya tahun ini, diakui mampu membantu meningkatkan pencapaian murid sekali gus membaiki Gred Purata Sekolah (GPS) sekolah.

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang, pertaruhan sekolah melanggan Tutor bagi melengkapkan persediaan murid menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sangat berbaloi.

Hal ini kerana, menurut Guru Besarnya, Khodijah Aziz, peratus muridnya yang lulus dalam peperiksaan tersebut meningkat selepas menggunakan Tutor untuk membuat latihan ulang kaji dalam bilik darjah.

Katanya, murid-murid juga memberi kerjasama yang baik dan menunjukkan minat menggunakan Tutor dalam pembelajaran mereka sama ada dalam bilik darjah mahu pun di rumah.

Kita dapati Tutor amat membantu sekolah dalam melengkapkan persediaan murid dalam minggu-minggu terakhir UPSR, walaupun pada waktu itu, keadaan murid agak tertekan namun dengan adanya Tutor, ia sedikit sebanyak membantu melengkapkan persediaan mereka, katanya.

Beliau ditemui dalam majlis penyerahan Tutor UPSR sebanyak 400 naskhah di SK Ampang, Selangor baru-baru ini.

Selain itu, kata Khodijah, pihak sekolah berhasrat meluaskan penggunaan Tutor untuk murid Tahun 4 berbanding hanya diperuntukkan sebelum ini untuk Tahun 5 dan 6 di sekolah itu.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris SK Ampang, Rozina Abdullah berpendapat, kandungan Tutor khususnya mata pelajaran Bahasa Inggeris lebih lengkap dan padat dengan soalan berkualiti.

Semestinya pihak sekolah dan guru amat yakin untuk menggunakan Tutor memandangkan ia dihasilkan oleh guru pakar mata pelajaran dan disokong oleh Kementerian Pendidikan.

Malah, set soalan latih tubi yang terdapat pada Tutor ringkas dan padat, tidak terlalu sukar untuk difahami oleh murid, katanya.

Bagi murid Tahun 5, Mohd. Danish Danial Azrai, dia sudah serasi menggunakan Tutor selepas mula mengenalinya di pusat sumber sekolah.

Katanya, dia ada mencuba set soalan Tutor dan mendapati ia agak mencabar serta memerlukan rujukan dengan guru mata pelajaran.

Agak sukar melakukan soalan Tutor secara sendirian, kebiasaannya saya lakukan dengan rakan atau guru.

Biasanya guru akan suruh murid mencuba terlebih dahulu di rumah dan kami semua akan mencari penyelesaiannya bersama dengan guru keesokan harinya, katanya.

Bagi Nurizatul Humaira Hasbullah, 10 tahun, dia menggemari Tutor disebabkan ruang muka surat akhbar itu yang ceria dengan grafik berwarna dan kartun menarik.

Katanya, faktor itu mendatangkan suasana ceria dan murid tidak bosan menggunakan bahan tersebut di samping Tutor boleh dibaca pada bila-bila masa walaupun dalam bas awam ketika pulang ke rumah.

Untuk melanggan atau pertanyaan tentang akhbar pendidikan Tutor, hubungi Jabatan Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di talian03-89243977 atau Faizi Hamzah (019-2800516).

Memperkasakan motivasi, pengetahuan murid

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Peserta program Kemahiran Pengurusan Pembelajaran Strategik tekun mengikuti ceramah di SK Gunung Panjang, Perak, baru-baru ini.

SEBANYAK 150 murid sekolah rendah di sekitar Parlimen Kampar, Perak mendapat suntikan motivasi untuk memperkasakan keyakinan dan semangat mereka.

Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kampar merangkap Penasihat Yayasan Pendidikan Kampar, Datin Normah Hanum Datuk Ibrahim berkata, program ini dilaksanakan untuk membimbing murid sekolah ke arah kecemerlangan.

Tujuan program ini untuk memperkasakan semangat murid-murid sekolah rendah dalam usaha merealisasikan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025," katanya selepas tamat program Kemahiran Pengurusan Pembelajaran Strategik di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung Panjang, Perak, baru-baru ini.

Program kendalian Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain ini anjuran Yayasan Pendidikan Kampar dan Biro Pendidikan UMNO Kampar.

Modul pengisian program ini merangkumi aspek motivasi diri diintegrasikan dengan asas kemahiran belajar Abad ke-21.

Aspek kemahiran berfikir aras tinggi dilaksanakan secara merentas aktiviti.

Pihak yang berminat untuk mengadakan program ini di tempat masing-masing boleh mendapat maklumat lengkap melalui talian 019-5713745.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Beri sokongan program SASET

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
utusanktn@gmail.com

BENTONG 19 Jan. - Semua pihak di negeri ini digesa memberi sokongan penuh kepada program-program anjuran Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET) bagi memastikan usaha murni yayasan itu mampu mencapai matlamat diharapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sokongan padu terhadap program yayasan itu perlu diberikan perhatian semua pihak dan tidak terhad kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja.

"Usaha SASET amat baik dalam menyedarkan masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar yang memberi faedah kepada semua dan perlu diberi sokongan penuh.

"Saya percaya apabila semua pihak termasuk NGO lain memberi sokongan, matlamat SASET akan tercapai dengan jayanya," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Karnival Pencinta Alam 'Kesedaran Masyarakat Kepada Masyarakat' di Sekolah Menengah Kebangsaan Pelangai di sini semalam.

Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom yang juga penasihat SASET berkenan merasmikan karnival itu.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. James Dawos Mamit; Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Operasi SASET, Datuk Aida Jusuf.

Pada majlis itu Sultanah Kalsom turut berkenan menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada masyarakat di kawasan mukim Pelangai.

Menurut Adnan, penubuhan SASET amat signifikan dalam memupuk kesedaran tentang alam sekitar dan sikap menjaga kebersihan di kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berharap kesedaran tentang alam sekitar dan sikap menjaga kebersihan dapat disemai bermula dari rumah dan di bangku sekolah lagi.

"Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan mendidik anak mereka serta pelajar sekolah tentang nilai-nilai murni menjaga alam sekitar," katanya.

Sultanah Kalsom (kanan) diiringi Adnan Yaakob (berdiri dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak tadika pada majlis perasmian Karnival Pencinta Alam di SMK Pelangai, Bentong, kelmarin.

RM26j setiap tahun perkasa kelas KAFA

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

TEMERLOH 19 Jan. - Sebanyak RM26 juta diperuntukkan setiap tahun bagi melaksanakan kegiatan dan pembangunan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negeri ini.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Halimah Abdul Rahman berkata, peruntukan berkenaan disalurkan kepada 532 sekolah KAFA di negeri ini yang mempunyai sebanyak 60,000 orang murid.

"Kelas KAFA Pahang kini semakin berkembang maju dan mempunyai masa depan yang cerah yang mana kini lebih baik berbanding dahulu dan sentiasa mendapat sambutan daripada ibu bapa.

"Malah kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada kelas KAFA bagi meningkatkan mutu dan prestasi pembelajaran di sekolah berkenaan," katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Kuala Krau di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohammad Jaafar.

Menurut Halimah, peruntukan yang diberikan itu akan digunakan dengan sebaik-baiknya bagi pengajaran dan pembelajaran selain membayar gaji kira-kira 2,560 guru kelas berkenaan.

Sementara itu katanya, JAIP akan terus memantau dan memberikan bantuan berterusan kepada kelas KAFA di negeri ini dari semasa ke semasa.

Tambahnya, jabatan itu akan memastikan penubuhan kelas berkenaan mencapai matlamat dalam memberi pendidikan yang terbaik kepada masyarakat Islam di negeri ini.

32 ditahan dalam serbuan di pusat hiburan, pusat judi

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Sebahagian penjaga premis dan pelanggan yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Kuantan, malam semalam.

KUANTAN 19 Jan. - Polis menahan 32 orang termasuk tiga individu yang mempunyai rekod jenayah dalam operasi yang dijalankan di sekitar bandar ini malam tadi.

Operasi yang dilakukan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu melibatkan sebanyak 89 pegawai serta anggota dan diadakan selama lima jam bermula pukul 11 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan rumah urut, pusat hiburan dan pusat judi haram di sekitar bandar ini.

Beliau berkata, operasi itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan menyasarkan premis-premis tertentu berdasarkan maklumat yang diterima pihak polis.

Menurutnya, dalam operasi pusat judi haram, pihaknya menyerbu sembilan premis dan menahan 20 lelaki dan seorang wanita termasuk penjaga premis di Jalan Haji Ahmad, Jalan Dato Lim Hoe Lek dan Jalan Beserah.

"Dalam operasi itu kita mendapati salah satu pusat judi haram tersebut di Jalan Haji Ahmad dibuka bersebelahan dengan pusat snuker yang mempunyai lesen perniagaan sah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kegiatan mereka berjaya dihidu hasil maklumat orang awam dan kita menahan pelanggan termasuk penjaga premis terbabit untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, polis juga melakukan pemeriksaan terhadap lima premis pusat urut dan berjaya menahan sembilan wanita warga Thailand dan seorang lelaki dipercayai penjaga di salah sebuah premis tersebut.

Katanya, premis yang beroperasi di Jalan Beserah tersebut didapati membenarkan warga asing bekerja tanpa permit dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Bagi pusat hiburan pula, kita berjaya menyerbu satu pusat hiburan di Taman Kitasama, Jalan Beserah di sini dan menahan seorang lelaki dipercayai penjaga premis itu kerana beroperasi dengan lesen tamat tempoh," katanya.

Katanya, serbuan itu juga berjaya menahan tiga lelaki yang dikehendaki polis kerana mempunyai rekod jenayah atas pelbagai kesalahan dilakukan mereka sebelum ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Korban konflik politik Thailand meningkat

Posted: 19 Jan 2014 09:43 AM PST

BANGKOK 20 Jan. - Insiden keganasan yang dikaitkan dengan protes anti-kerajaan di Thailand setakat ini mengakibatkan sembilan nyawa terkorban dan hampir 600 orang cedera.

Namun, seramai 22 mangsa yang cedera masih berada di hospital, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan di bawah Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Perangkaan itu dikumpul sejak tercetusnya pertempuran di sekitar Universiti Ramkhumhaeng antara kumpulan yang menentang pemprotes anti-kerajaan dengan kumpulan Baju Merah (pro-Thaksin Shinawatra) pada 30 Nov hingga semalam.

Terbaharu, kemalangan jiwa terkini yang berlaku semalam apabila seorang daripada mangsa serangan bom tangan semasa perarakan pemprotes di Banthad Thond Jumaat lalu meninggal dunia akibat kecederaan.

Situasi yang begitu serius mencetuskan kebimbangan dalam kalangan beberapa negara dengan Kuwait dan Oman menasihatkan warga mereka meninggalkan Thailand.

Semalam, Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Thanasak Patimaprakorn, merayu kepada kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian dan sedia berkorban demi kepentingan negara, tetapi mengakui kesukaran mendapatkan orang tengah yang sedia diterima oleh kedua-dua pihak. - Bernama

Letupan di Bangkok, 30 cedera

Posted: 19 Jan 2014 11:19 AM PST

BEBERAPA anggota polis menjalankan siasatan di lokasi letupan bom di Monumen Victory di utara Bangkok, semalam. - AP

BANGKOK 19 Jan. - Kira-kira 30 orang cedera dalam dua kejadian letupan di ibu negara ini, hari ini ketika demonstrasi 'Tutup Bangkok' diteruskan oleh penunjuk perasaan antikerajaan.

Tidak dapat dipastikan punca letupan di Monumen Victory di utara Bangkok itu.

Namun, tiada kerosakan teruk dilaporkan di kawasan tersebut dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.34 petang (2.34 petang waktu Malaysia).

Pusat Perubatan Erawan berkata, mangsa yang cedera dibawa ke hospital berlainan di bandar raya ini untuk mendapatkan rawatan.

Saksi berkata, letupan berlaku selang dua minit antara satu sama lain.

Letupan pertama berlaku antara 100 meter dan 200 meter dari pentas yang dibina penunjuk perasaan dan letupan kedua berlaku berdekatan barisan peniaga yang menjual kemeja-T antikerajaan.

Dalam pada itu, seorang lelaki berumur 54 tahun cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di daerah Lad Prao, di sini malam tadi.

Pusat Perubatan Erawan berkata, lelaki tersebut telah menjalani pembedahan dan kini dirawat di unit rawatan rapi.

Masih belum dikenal pasti siapa dalang dalam serangan tersebut, namun penganalisis berkata, keganasan yang berterusan walaupun pada skala kecil, meningkatkan kemungkinan tentera melancarkan rampasan kuasa. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


American Hustle Filem Terbaik

Posted: 19 Jan 2014 11:22 AM PST

CATE BLANCHETT

LOS ANGELES 19 Jan. - Filem pembanterasan jenayah, American Hustle dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Screen Actors Guild 2014 yang berlangsung di Hollywood, semalam.

Pelakon kelahiran Australia, Cate Blanchett membawa pulang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem arahan Woody Allen iaitu Blue Jasmine, sementara Matthew McConaughey memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Dallas Buyers Club.

Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula diraih pelakon filem Dallas Buyers Club iaitu Jared Leto, manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menjadi milik Lupita Nyong'o menerusi filem seram 12 Years a Slave.

Drama bersiri Breaking Bad menggondol Anugerah Drama Terbaik dan Siri Komedi Terbaik menjadi milik filem Modern Family.

Filem American Hustle yang menceritakan tentang operasi Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada era 1970an, berjaya menenangi tiga anugerah pada Anugerah Golden Globes, baru-baru ini, selain turut dicalonkan dalam 10 kategori pada Anugerah Oscar yang akan berlangsung pada 2 Mac ini. - AFP

Bakat bukan cinta

Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

Bella Dally

LIMA tahun melayari hidup sebagai anak seni sebenarnya bukan satu tempoh masa yang panjang. Tempoh berkenaan selalunya masih dianggap fasa 'hijau' bagi seseorang anak seni.

Begitu juga dengan pemilik nama Bella Dally ini kerana ramai yang masih belum mengenali dirinya biarpun sudah banyak berlakon dalam drama-drama tempatan.

Bukan tidak berbakat cuma limpahan populariti dan gemerlapan sebagai anak seni masih belum dikecapi oleh Bella.

Pertama kali bertemu, nyata personanya cukup kuat. Ditambah dengan sikapnya yang merendah diri membuatkan gadis berusia 23 tahun ini bertambah manis.

"Saya sedar masih ramai yang belum mengenali diri saya. Kalau nak diikutkan perkara tersebut langsung tak memberikan persepsi negatif kepada diri saya sendiri.

"Tidak ada tekanan dan tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan dalam tempoh ini. Saya hanya menjaga kerja yang diamanahkan oleh pengarah dan selebihnya saya serahkan pada penonton.

"Bukan soal popular yang menjadi keutamaan tetapi apa yang lebih penting kualiti yang saya berikan setiap kali terlibat dalam mana-mana drama lakonan saya.

"Cuma terpulang kepada individu itu sendiri untuk merencanakan jalan mereka. Apa yang mereka mahu, mereka berhak lakukan," jelas Bella.

Tolak Nazim

Seperti yang diketahui ramai hubungan cinta antara Bella dan pelakon Nazim Othman bukan lagi rahsia.

Enggan mendedahkan perjalanan cinta yang sudah tiga tahun terjalin itu, Bella bagaimanapun tidak menafikan Nazim merupakan raja yang sedang bertahta dalam hatinya ketika ini.

Walaupun begitu dia sebenarnya berat mulut untuk terus berbicara tetang rasa cinta, bimbang disalah tafsir untuk meraih populariti melalui cara ini.

Akui Bella, dia kurang gemar jika kisah cintanya bersama lelaki berkenaan berterusan digembar-gemburkan di dada-dada akhbar mahupun menjadi perhatian masyarakat.

"Cukuplah anda tahu saya sudah tiga tahun mengenali Nazim dan hubungan kami baik-baik sahaja," tegas pelakon yang berasal dari Sabah ini lagi.

Bagi Bella bukan dia berahsia dengan ceritera cintanya namun ada perkara yang perlu disimpan sendiri di dalam lubuk hati tanpa perlu memberitahu kepada semua orang.

Tambahan pula Bella enggan dituduh menumpang populariti Nazim jika acap kali bercerita tentang lelaki berkenaan kepada umum.

"Saya tak suka kalau orang mengenali dan menggelar saya teman wanita Nazim. Saya tak perlu publisiti dengan cara itu kerana saya mampu berdiri sendiri.

"Kalau peminat mahu kenal saya biarlah melalui lakonan-lakonan saya dan kerjaya saya sahaja. Tak perlu kisah lain untuk popular.

"Kalau orang lain saya tak pasti. Semua orang berhak menentukan jalan mereka sendiri," tambahnya lagi.

Pilih Kasih

Memulakan perjalanan seni melalui program Pilih Kasih lima tahun lalu dia sendiri tidak pernah menyangka perjalanan hidupnya akan sampai ke tahap ini.

Jika tidak ada keberanian untuk menyertai uji bakat program berkenaan mungkin nama Bella Dally tidak wujud sebagai salah seorang pelakon baru yang perlu diberi perhatian.

Baginya, Pilih Kasih telah membuka jalan seluas-luasnya untuk dia mencari ilmu, menimba pengalaman dan memberikan rezeki kepada dirinya.

Sehingga kini wajahnya sudah menghiasi hampir 50 buah drama termasuk Friday I'm In Love, Miss Octopus, Kalimah Jiwa dan Vanila Coklat.

"Waktu mula-mula dulu memang saya hanya diberi peranan pembantu sahaja. Saya tak pernah ralat jauh sekali merungut. Semua itu merupakan pengalaman pertama dan pelajaran buat saya.

"Tahun demi tahun peranan saya mula berkembang dan diberi watak utama dalam banyak drama bersiri sehinggalah peminat mula mengenali saya dengan lebih dekat.

"Mungkin perjalanan kerjaya seni saya tak berapa pantas jika nak dibandingkan dengan orang lain. Tapi itu tak menjadi masalah besar.

"Saya sendiri tak mahu naik terlalu cepat tapi bakat tak seberapa. Kalau boleh biarlah kedua-duanya seiring dan menjadi memori manis untuk dikenang nanti," ujarnya.

Kematangan

Melewati hari-harinya Bella tidak menafikan yang dia kini lebih matang tentang hidup. Soal peribadi ditolak ke tepi dan dia tidak mahu mencampur-adukkan hal tersebut demi kelangsungan kerjayanya.

Menjelaskan perkara berikut, Bella tidak menafikan ada ketikanya dia tersepit setiap kali mendapat tawaran berlakon daripada banyak produksi.

Ada yang menawarkannya bayaran yang terlalu murah dan tak setimpal dengan apa yang perlu diberikan kepada naskah tersebut.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, dia menganggap perkara tersebut sebagai asam garam yang perlu dilalui oleh orang baru seperti dirinya.

"Saya bukan memilih tetapi jangan rendahkan harga saya sampai tahap yang tidak boleh diterima akal. Memang tak dinafikan ada produksi yang menawarkan harga begitu.

"Saya tahu nilai saya dan saya hanya bekerja dengan mereka yang menghargai bakat saya. Sebab itu saya pernah menolak beberapa tawaran sebelum ini," ujarnya.

Selain itu, Bella juga berpegang kepada prinsip untuk tidak tamak dengan mengambil banyak tawaran dalam satu-satu masa.

Dia masih ingat satu masa dahulu terpaksa berkejar-kejar ke dua lokasi berbeza akibat pertembungan jadual yang akhirnya menyusahkan semua pihak.

"Jangan tamak bila terima rezeki," katanya ringkas.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Muflis: Pihak ketiga lebih kejam

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Rumah teres dua tingkat di sebuah taman perumahan yang dilelong oleh pihak bank selepas pembelinya gagal menjelaskan bayaran pinjaman. - GAMBAR HIASAN.

KAWASAN di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Melaka, empat negeri paling kerap ketika ini mencatat kes lelongan rumah dan tanah.

Kes bankrap ketara di situ. Namun lebih teruk lagi, sekarang menjadi trend pula tindakan serentak dilaksanakan pihak bank ke atas individu terbabit.

Kadang-kala ada yang sepatutnya dilelong hartanya (rumah) dulu dan selepas itu baru diambil tindakan selanjutnya, tetapi ini tidak berlaku, Sebaliknya si individu dibankrapkan dulu. Sedangkan sepatutnya dilelong hartanya (rumah atau tanah) dan apabila sudah dilelong, berapa jumlah (duit) yang diperoleh, sudah boleh cover.

Ini bila bankrap, kuasa ke atas harta itu hilang, jadi bank boleh buat sesuka hati...lelong. Walhal, kalau seseorang itu bankrap, bank tak dapat apa-apa pun. Semacam suatu kepuasan pula untuk melepaskan geram atau dendam semata-mata," ujar Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif (gambar) ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam kes terbaharu yang diterima pihak 4PM melibatkan seorang bekas pengurus sebuah syarikat insurans. Dia dikatakan mengambil pinjaman perumahan. Nasib malangnya bermula apabila berhenti kerja pada 2010. Akibatnya, dia tidak dibenarkan untuk terus membayar ansuran bulanan memandangkan dia bukan lagi kakitangan di syarikat itu. Sepatutnya, kalau berhenti kerja, bekas majikan dalam tempoh setahun perlu memaklumkan kepada individu terbabit bahawa dia mesti kena buat pinjaman luar.

Antara tahun 2010 hingga 2012, dia dipanggil hadir di syarikat berkenaan. Dan akhirnya dia berjaya melunaskan RM25,000 bayaran bulanan untuk perjanjian sambung bayar yang diteruskan. Tetapi dalam tempoh tiga bulan, individu berkenaan tiba-tiba menerima surat lelong.

Yang peliknya, kata Rosland, tidak ada surat daripada bank mengatakan individu itu telah membayar tunai RM25,000 itu. Walaupun sudah dibuat pembayaran RM25,000 itu, tarikh lelong ditetapkan pada 6 Januari 2014.

Dia kemudian jumpa kami (4PM) untuk kaedah penyelesaiannya. Akhirnya lelongan ditangguhkan.

Untuk urusan penyelesaian, pihak kami tidak jumpa syarikat insurans terbabit tetapi menemui pengurusan Tabung Haji (TH) untuk menyelesaikannya, yang mana syarikat berkenaan di bawah TH," katanya.

Kes kedua yang diterima 4PM pula membabitkan seorang Mejar (B) yang meminjam wang daripada peminjam berlesen kira-kira RM100,000. Peminjam bagaimanapun cuma dapat bersih pinjaman RM85,000. Setelah dia buat bayaran RM200,000, hutang masih tidak selesai. Harta telah dikaveatkan, walhal sudah bayar RM200,000.

Selepas itu, kita panggil peminjam berlesen terbabit untuk runding, dia datang dan setuju untuk lepaskan mangsa dengan mensyaratkan kadar bayaran 1.8 peratus sebulan.

Mereka datang dengan gengnya, kemudian kami berunding lagi sehingga kami kenal pasti bahawa mereka ini (peminjam berlesen tadi) sebenarnya telah menyalahi Akta Pemberi Wang Pinjaman Wang 1951. Akhirnya, peminjam berlesen tarik diri.

Kalau tidak tuntutan mencecah hingga RM400,000 dengan setiap hari kalau lambat bayar dikenakan faedah RM5,000," kata Rosland lagi.

Kes seterusnya yang sedang ditangani oleh 4PM melibatkan pinjaman perumahan seorang individu dengan bank, yang akan dijual hartanya ke pihak ketiga. Pihak ketiga yang bukan bumiputera ini beribu pejabat di Hong Kong.

Tarikh lelong kemudian ditetapkan. Pihak peminjam bertemu dengan staf Rosland tiga hari sebelum tarikh lelongan.

Pihak kami kemudian membuat siasatan dan yakin kesilapan telah berlaku bahawa tanah milik orang Melayu tidak boleh dijual kepada bukan Melayu. Kami kemudian menemui seorang penolong pegawai daerah (ADO) yang kemudian memanggil pentadbir yang mahu tetapkan tarikh lelong.

Saya kemudian menarik perhatiannya...anda perasan tak apa yang berlaku bahawa ini tidak boleh dijual kepada bukan bumiputera. Akhirnya, didapati memang tidak boleh dibenarkan urusan jual beli, maka ditangguh lelongan itu," cerita Rosland.

Namun, sambung Rosland, kes itu tidak habis di situ. Tujuh bulan kemudian, tiba-tiba ditetapkan tarikh siasatan. Peminjam hadir sendiri dan kali ini nadanya berbeza pula. Dikatakan pula, sebuah bank telah dibenarkan untuk menjual tanah milik Melayu berkenaan.

Namun, setelah pihak kami siasat, rupa-rupanya urusan penjualan kepada pihak ketiga ini melibatkan nombor siri yang sama, iaitu nombor sirinya dengan nombor siri syarikat bukan bumiputera itu sama. Kes ini akhirnya tergantung tanpa ada pembeli," katanya.

Rosland memberitahu, terdapat beberapa bank yang mendapatkan perintah mahkamah untuk menjual cagaran kepada pihak ketiga jika berlaku tunggakan ansuran dalam tempoh yang lama.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana urusan pinjaman dilakukan antara bank dan peminjam. Sepatutnya perkara ini tidak boleh diluluskan oleh mahkamah walaupun pihak bank mempunyai hak untuk bertindak demikian.

Kita perlu mempersoalkan siapa dan apa kepentingan pihak ketiga ini? Biasanya mereka akan bertindak lebih kejam daripada bank iaitu mengambil tindakan muflis dengan rakus untuk menjual aset si peminjam.

Disebabkan ilmu yang cetek dalam menentukan hak, biasanya si peminjam tiada pilihan lain dan terpaksa menerima keputusan kejam pihak terbabit. Bahkan, mereka juga terpaksa menanggung hutang yang tinggal sekiranya nilai aset yang dijual tidak dapat menampung jumlah pinjaman sebenar," katanya.

Dalam hal ini, kata Rosland, 4PM sedia memainkan peranannya.

Bukan sekadar khidmat nasihat, bahkan menjadi orang tengah antara peminjam dengan bank bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan situasi menang-menang tanpa perlu membabitkan tindakan kebankrapan.

Melalui perbincangan dan menjadi orang tengah, 4PM berjaya menangguhkan beberapa kali lelongan awam di saat akhir termasuk pengisytiharan muflis ke atas peminjam.

4PM dan Rosland sendiri boleh dihubungi di talian 019-253 1000/019-397 1000 atau Web: http://www.ppppm.com.my/mainpage/, email: info@ppppm.com.my.

Bertindak secara luar biasa

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Hasan Malek membuat perbandingan harga di antara produk 1 Malaysia dengan produk jenama lain di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di Pudu Sentral, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, saya masih boleh tidur lena." Itu jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, DATUK SERI HASAN MALEK kepada wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan MOHD. SHARIZA ABDULLAH dalam pertemuan di Seremban, Khamis lalu.

Namun `tidur lena itu bukanlah bermaksud Hasan tidak prihatin dengan isu kenaikan harga barang yang kini menjadi rungutan rakyat tetapi beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak pernah duduk diam bagi mengurangkan beban rakyat.

Dalam pertemuan itu, Hasan juga mengulas langkah-langkah tegas yang sedang, telah dan akan dilakukan oleh kerajaan bagi menangani isu tersebut.

UTUSAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini berdepan tekanan dari segenap penjuru dalam isu kenaikan harga barangan. Bagaimana Datuk Seri menghadapi situasi ini?

HASAN: Sebenarnya isu ini berlaku setiap tahun, cuma dari segi tahapnya berbeza. Oleh kerana keadaan ini agak luar biasa sedikit apabila orang bercakap mengenainya di mana-mana, maka kita juga kena bertindak secara luar biasa.

Maknanya semua pihak perlu memainkan peranan sebab ini melibatkan pengguna dan rakyat. Rakyat mesti diberikan pemahaman dari mana punca kenaikan harga barang. Tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata, ia melibatkan bermacam-macam faktor seperti soal cuaca, perdagangan antarabangsa, tuntutan industri dan kelemahan rantaian pembekalan. Sebab itu kita perlu bertindak secara luar biasa dan bersepadu untuk menghadapi isu ini dengan langkah pertama, menerangkan kepada rakyat.

Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua menteri turun padang. Niat Perdana Menteri cukup jelas. Beliau hendak memperkukuhkan kedudukan fiskal kewangan negara dengan memotong subsidi, menaikkan tarif, memperkenalkan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan sebagainya.

Semuanya ke arah memastikan kedudukan fiskal kewangan negara bertambah mantap. Ini bagi membolehkan satu hari nanti kerajaan lagi mudah membawa banyak pembangunan dan kebajikan demi mensejahterakan rakyat.

Dalam proses itu kita perlulah berkorban sedikit, sebab itu selalu beliau sebut short-term pain for long-term gain (Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian). Dalam keadaan sekarang ini kita susah sikit supaya senang di kemudian hari nanti. Rakyat kena faham niat murni Perdana Menteri dalam keadaan sekarang supaya membantu, memberi pandangan atau syor. Beberapa hari lalu, saya kumpulkan semua pihak industri seperti industri gula, ayam dan tepung selain menemui pemimpin persatuan pengguna dengan memberi penerangan kepada mereka.

Yang paling penting di peringkat akar umbi. Sebab itu Perdana Menteri arahkan pemimpin-pemimpin turun padang bagi memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat. Alhamdulillah saya lihat perkara itu sudah mula berjalan dan dengan izin Allah SWT, ia akan reda sedikit dan saya lihat pun akan reda. Pihak industri pula amat menyokong kita.

Saya telah berjumpa dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan mereka faham tentang keadaan serta memberi jaminan tidak akan menaikkan harga.

Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup. Semua ini akan membantu kita. Yang pentingnya pengguna mesti dididik tentang peranan, kuasa dan hak mereka untuk menjadi pengguna bijak supaya tahu membuat pilihan atau memanfaatkan peluang yang ada seperti kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Saya memang berhasrat memperkasakan lagi gerakan kepenggunaan ini.

Pembangkang menggunakan isu harga barang dengan mempersoalkan mengapa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 semuanya naik termasuk harga barangan. Bagaimanakah kerajaan hendak menjelaskan perkara ini?

Kita sudah mendapat mandat dan kita balik kepada niat baik Perdana Menteri untuk memperkukuhkan ekonomi negara.

Kita menuju ke arah negara maju dan banyak perkara yang perlu dilakukan untuk menguatkan ekonomi.

Dalam keadaan hari ini, kita perlu menerima hakikat bersusah sedikit. Tetapi dalam keadaan itu pun, kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), KR1M dan kemudahan-kemudahan lain. Saya juga bersedia menerima idea daripada rakyat.

Dalam pada itu, kita kena tanam budaya berjimat dan berhemat dalam berbelanja. Budaya kita dahulu patut kita hidupkan balik.

Pengguna pula perlu berani tampil membuat aduan. Saya juga sudah tubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula akta-akta. Selain itu, kita ada pasukan pemikir terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman untuk membantu kementerian mencari kaedah bagi menangani masalah kos sara hidup.

Pembangkang ini sebenarnya banyak fakta yang diputarbelitkan. Mereka sengaja hendak mempermainkan perasaan rakyat yang akhirnya nanti akan diketahui ini semua hanya mainan politik seperti isu GST. Belum apa-apa sudah kata ini tidak betul, hendak menyusahkan rakyat.

Membangkang memang kerja mudah, hanya mencari kelemahan orang. Rakyat esok boleh menilai. Bagi saya, gerakan kepenggunaan mesti diperkasa dan dipergiatkan. Kita sekarang sedang menguruskan sebuah negara bangsa. Kelemahan kita adalah tidak menguar-uarkan kejayaan-kejayaan kita.

Pembangkang hanya memikirkan keuntungan politik. Ini bahaya kerana nanti boleh mewujudkan ketidaktentuan, ketidakstabilan dan huru-hara yang akhirnya rakyat akan menderita.

Di Amerika Syarikat, mereka mengadakan pilihan raya dan menerima keputusan serta kembali bekerjasama. Kalau (pembangkang) mahu menentang lagi, tunggu penggal seterusnya, atur strategi tetapi biar kami (kerajaan) lakukan tugas.

Itulah semangat yang sepatutnya ditunjukkan pembangkang, bukan hendak cari kelemahan sahaja. Kalau sayangkan negara, sama-samalah saling membantu. Bagi saya kita tirulah pendekatan negara maju.

Mungkin dari segi cara kerajaan mengendalikan situasi ini, ramai merasakan menteri dan kerajaan tidak serius. Bila sudah berlaku kenaikan harga barang baru hendak menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup.

Kerajaan sentiasa membincangkan isu-isu semasa setiap minggu. Kabinet merangka pelbagai program. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesti memainkan peranan sama. Tetapi pembangkang menguar-uarkan bermacam-macam pembohongan termasuk kononnya kerajaan hendak menggadaikan negara menerusi Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). Mereka menguar-uarkan sesuatu yang tidak betul.

Jentera kerajaan dilihat agak lambat dalam memberikan maklum balas terhadap isu-isu yang diputarbelitkan oleh pembangkang. Komen Datuk Seri?

Itu cuma persepsi. Ramai yang melihat seolah-olah kerajaan lambat bertindak. Sebenarnya, kerajaan telah melaksanakan banyak langkah dan program. Mungkin, kita perlu lebih agresif menguar-uarkan segala tindakan yang diambil oleh kerajaan dan kejayaan yang dicapai. Kita juga berharap rakyat mensyukuri segala nikmat yang mereka kecapi mengikut kepercayaan agama masing-masing. Negara ini bertuah kerana mempunyai pemimpin-pemimpin yang ikhlas meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan-kepentingan lain. Pihak pembangkang juga jangan terlalu ghairah mencari kelemahan kerajaan sahaja sehingga tidak dapat melihat hasil-hasil kejayaan pelbagai program yang dilaksanakan.

Adakah kaedah yang digunakan untuk menguar-uarkan program-program yang dilaksanakan kerajaan terlalu bombastik sehingga sukar difahami rakyat?

Kita perlu cari jalan untuk meningkatkan kesedaran rakyat. Saya sendiri sering turun padang ke kawasan kampung dan pedalaman. Secara umumnya, kualiti hidup rakyat termasuk masyarakat Orang Asli telah meningkat. Ada Orang Asli yang menjadi akauntan dan jurutera. Semuanya hasil kejayaan dasar-dasar kerajaan. Kita mesti memanfaatkan segala kemudahan dan peluang yang disediakan kerajaan.

Pada pandangan Datuk Seri, jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan itu mampu meredakan kemarahan rakyat terhadap kerajaan?

Saya lihat keadaan kembali reda setelah rakyat mendengar penjelasan daripada para pemimpin yang turun padang berjumpa mereka.

Jawatankuasa itu juga akan menggiatkan usaha mempromosi dan memperbanyakkan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk meringankan beban hidup rakyat. Akhirnya, masalah ini akan reda. Kerajaan sememangnya serius dan komited.

Ada pihak berpandangan penubuhan jawatankuasa Kabinet itu menunjukkan seolah-olah kerajaan panik.

Tidak. Sebenarnya jawatankuasa ini memang telah lama ditubuhkan malah inisiatif mengurangkan kos sara hidup rakyat turut dimasukkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang terkandung dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). Kita telah melaksanakan program-program seperti KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia secara berterusan.

Namun, bila isu kenaikan harga barang timbul, yang sering kedengaran suara pihak pembangkang yang bunyinya lantang tetapi tidak berisi. Mereka tahu cakap sahaja. Sekiranya ada kelemahan dalam program-program yang dijalankan, kerajaan akan perbaiki.

Program apakah yang dalam perancangan kerajaan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah?

Rakyat digalakkan mengamalkan budaya berjimat cermat dan berbelanja secara berhemat. Mereka perlu dididik dalam aspek ini.

Pembaziran seharusnya dikurangkan. Perdana Menteri juga telah mengumumkan 11 langkah penjimatan oleh kerajaan. Apabila kita berjimat, keadaan akan menjadi bertambah stabil. Program Menu Rakyat 1Malaysia yang disertai lebih 1,000 premis menjual makanan boleh membantu rakyat berjimat. Saya sendiri pernah bersarapan pagi di sebuah kedai yang menyertai program itu dengan berbelanja sebanyak RM2 sahaja. Pihak media juga boleh membantu dengan menguar-uarkan program-program sebegini.

Mungkinkah isu kenaikan harga barang ini berpunca daripada permainan' pihak industri itu sendiri?

Pada pandangan saya, memang ada. Cuma, saya tidak suka membuat tuduhan tanpa disokong dengan bukti. Saya menggalakkan orang ramai membuat aduan tentang kegiatan ini kepada kementerian malah mereka boleh melakukannya secara sulit. Saya telah menubuhkan jawatankuasa bersepadu untuk menangani kegiatan cetak rompak dan jenayah kolar putih. Kita sedang mendapatkan fakta. Setelah fakta diperolehi kita akan mencekup mereka. Agensi-agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut dilibatkan dalam jawatankuasa bersepadu itu.

Bercakap tentang soal penguatkuasaan, boleh Datuk Seri kongsikan kejayaan Ops Harga 2 yang dilancarkan KPDNKK setakat ini?

Dalam tempoh dua minggu pertama Januari 2014, sebanyak 147 kesalahan dikesan membabitkan pemborong dan peruncit dengan nilai rampasan sebanyak RM16,834 menerusi Ops Harga 2 yang dijalankan di seluruh negara. Jumlah kompaun pula sebanyak RM21,050. Kebanyakan kes melibatkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga dan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. Premis yang dikenakan notis perlu mengemukakan sebab mengapa mereka tidak meletakkan tanda harga dan bukti harga jualan.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,937,015 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara ke atas semua jenis perniagaan. Hasil pemeriksaan proaktif ini, sebanyak 8,705 kesalahan dikesan dengan nilai rampasan berjumlah RM34,098,496 dan kompaun RM527,011. Kes-kes berkenaan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Apakah strategi khas KPDNKK sendiri bagi menangani isu kenaikan harga barang agar tidak menjejaskan kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana?

Pada tahun ini, kementerian akan meningkatkan langkah-langkah agar tiada kegiatan pengambilan untung secara berlebihan atau kenaikan harga yang berpunca daripada kegiatan manipulasi.

Peniaga-peniaga yang didapati berbuat demikian akan diberi notis tunjuk sebab. Mereka yang gagal memberi maklum balas ke atas kenaikan ini akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kementerian juga berhubung secara terus dengan pihak industri khususnya pengilang dan peniaga bagi memantau kenaikan harga barangan serta perkhidmatan secara langsung. Kerajaan juga mengawal harga barangan keperluan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang dengan melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2014. Skim ini akan terus dilaksanakan bagi mengawal kenaikan harga barang keperluan semasa permintaan meningkat menjelang musim perayaan.

Pemantauan turut dijalankan ke atas pergerakan harga di pasaran dan penguatkuasaan undang-undang dilakukan sekiranya didapati berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

Kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas para peniaga jika tidak mematuhi arahan dan melanggar peraturan.

Kita serius dalam menangani isu ini dan akan memastikan peniaga yang tidak beretika dihadapkan ke mahkamah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Dunia baru Chef Zubir

Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto FAIRUZ IZYANA AYUB

CHEF Zubir mementingkan kualiti, rasa dan persembahan makanan di restorannya.

BAGI penonton setia rancangan realiti televisyen, MasterChef Malaysia, pasti teringin bersua muka dengan para jurinya yang terdiri daripada pakar bidang masakan, apa lagi menikmati air tangan mereka.

Sejak disiarkan pada tahun 2011, komen daripada Zubir Md. Zain atau Chef Zubir yang merupakan antara juri rancangan tersebut sentiasa dinanti-nantikan, kerana banyak ulasannya memberi inspirasi kepada peserta dan penonton.

Chef Zubir bukan calang-calang orang. Dia merupakan Ketua Pasukan untuk pasukan Chef Malaysia yang sering mengharumkan nama negara dalam beberapa pertandingan masakan di luar negara.

Anak kelahiran Kulim, Kedah ini mengabadikan diri selama 26 tahun dalam dunia masakan di hotel dengan berkhidmat di pelbagai hotel lima bintang.

Antaranya Hotel Hyatt, Sheraton, Marriott, Hilton dan Grand Plaza Park Royal, sebelum menyertai Hotel Le Meridien Kuala Lumpur (LMKL) pada 2004 dan berkhidmat selama sembilan tahun sebagai Eksekutif Sous Chef di sana sebelum bersara tiga bulan lalu.

Persaraannya adalah untuk memberi tumpuan kepada restoran ketiganya iaitu Wangsa Grill By Chef Zubir yang terletak di Wangsa Melawati selepas Laman Grill By Chef Zubir di Shah Alam dan Kajang.

"Ia merupakan keputusan yang amat berat memandangkan saya berkhidmat dengan hotel LMKL sejak dari pembukaannya lagi dan ia umpama rumah kedua saya.

"Namun, saya tidak menyesal dengan keputusan ini kerana dapat lebih menumpukan perhatian kepada restoran-restoran saya," ujarnya sambil memberitahu dia perlu berada di ketiga-tiga restorannya secara bergilir-gilir setiap hari.

Cabaran

Menurut Chef Zubir, sebelum ini, dia tidak pernah terfikir untuk membuka restoran sendiri kerana risiko yang agak tinggi.

Namun, dia memberanikan diri membuka restoran sendiri tiga tahun lalu bermula di Shah Alam.

"Antara cabaran sebagai `restaurateur chef' iaitu chef yang menguruskan restoran sendiri berbanding pemilik restoran biasa ialah jangkaan dan harapan daripada pelanggan.

"Jika dapat memuaskan 80 peratus daripada pelanggan setiap hari sekalipun sudah cukup bagus kerana 'rasa' adalah suatu yang cukup subjektif.

"Saya sentiasa menerima maklum balas daripada pelanggan kerana ia amat penting. Sebagai pelanggan, mereka ada hak berbuat demikian.

"Bagi saya, macam mana hebat sekalipun seorang chef itu, kita perlu merendah diri kerana setiap maklum balas dan komen daripada mereka diambil sebagai sesuatu yang positif untuk memperbaiki apa yang perlu," ujarnya.

Namun, atas pengalamannya dalam bidang masakan, beliau sendiri tidak pernah mengadu mengenai hidangan dan masakan sesebuah restoran lain.

Ini kerana baginya cara masakan adalah sesuatu yang amat universal. Setiap orang mempunyai cara masakan yang berbeza dan dia menghormati gaya masing-masing.

Sambung Chef Zubir, cabaran lain dalam menguruskan restoran sendiri ialah proses mencari pekerja yang berkelayakan selain memantau pembinaan restoran tersebut dari awal.

Masa lapang

Selain hebat di dapur, Chef Zubir juga mempunyai kecenderungan yang sama ketika di jalan raya.

Pada waktu lapang, Chef Zubir gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson sama ada berseorangan atau dengan rakan-rakannya. Baginya, aktiviti itu dapat menghilang tekanan penat bekerja.

Bapa kepada empat orang anak lelaki ini turut gemar menghabiskan masa bersama-sama keluarga seperti menonton wayang.

Ditanya sama ada Chef Zubir gemar memasak ketika berada di rumah, ujarnya ia diserahkan kepada isterinya.

"Tanyalah mana-mana chef sekalipun, dalam dua peratus sahaja yang memasak ketika di rumah," ujarnya yang sangat sinonim dengan loghat utara.

Saya hamba bukan isterinya

Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST

"RAMAI orang percaya kegagalan pertama, bukan bermakna gagal untuk selamanya, tetapi berlainan sekali dalam perjalanan hidup saya ini, kerana nasib baik tidak menyebelahi saya. Kehidupan saya sama seperti pepatah Melayu `keluar dari mulut harimau masuk mulut buaya.'' Itu cerita Norhawa ketika kami bertemu baru-baru ini.

"Perkahwinan pertama saya gagal setelah 16 tahun berumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Bekas suami saya dulu bukan orang pandai sangat, cuma bernasib baik bermula daripada berniaga kecil-kecilan, akhirnya dia berjaya mendapat kontrak besar dan selang beberapa tahun, dia kemudian gelar dirinya `businessman'.

"Kejayaan sebagai peniaga berjaya yang memakan masa yang tak sampai 5 tahun membuat dia cepat lupa diri setelah bergaul dengan ramai orang bisnes, mulalah jadi ahli kelab dan mula kenal padang golf. Terkejut saya kerana perubahannya mendadak. Saya nasihatkan dia jangan ego sangat, tetapi niat baik saya dituduh konon saya doakan kegagalannya.

"Mana ada isteri suka suami gagal, tetapi itulah adat manusia, bila dah berjaya dia lupa onak dan duri yang dia tempuh dulu. Dia lupa pernah pinjam duit ayah dan emak saya, dia lupa pernah gadaikan barang kemas saya. Janji nak ganti, tetapi semuanya lebur.

"Kerana dia tak pernah pegang duit banyak, dia mula berbelanja sesedap rasa. Perempuan mata duitan mula ramai dekat. Akhirnya terjebak dan dia nikah tanpa pengetahuan saya. Tiba-tiba saya terima surat cerai kerana wanita itu tak mahu dimadu.

"Setahun saya memujuk supaya rujuk kembali, tetapi rayuan saya macam 'anjing menyalak bukit' dia tak peduli langsung. Masalah besar saya, sudahlah diceraikan, nafkah 4 orang anak tak diberi, genap setahun saya kena kosongkan rumah, sebab rumah kena lelong. Mana nak pergi, kerja tak ada, ketika itulah saya tebalkan muka jumpa pegawai Majlis Perbandaran untuk dapatkan rumah flat. Nasib dapat, saya pindah cuma bawa kain baju sebab semua barang dalam rumah tak boleh keluar.

"Untuk teruskan hidup saya bekerja jadi cleanner – sebelah pagi, kerja kedai buku sekolah – petangnya, dan malam – terpaksa cari kerja tambahan bantu jiran berniaga. Sebab anak-anak dah besar, mereka perlukan belanja dan tambang bas untuk ke sekolah.

"Begitulah hidup saya selama enam tahun. Tak ada cuti kecuali kalau tauke tutup kedai hari cuti umum. Ketika bekerja itulah saya jumpa ramai kenalan yang bersimpati dengan saya. Termasuk kakitangan Majlis Perbandaran, kerana setiap bulan bayar sewa flat.

"Kerana ramai kawan jugalah saya dapat mengumpulkan ramai orang untuk program MP di kawasan tempat saya tinggal. Di situlah saya kenal Darwis. Dia banyak minta bantuan saya dapatkan program untuk bisnesnya. Bermula perkenalan biasa akhirnya kami jadi rapat.

"Bila dah rapat, dia banyak ceritakan masalah rumah tangganya. Kata dia, isterinya terlalu mengongkong hidupnya, suka memaki hamun dia depan orang dan macam-macam lagi. Malah katanya, kalau tak percaya saya boleh lihat perangai isterinya dari jauh.

"Memang saya tak percaya, tetapi saya pelik tengok perangai Darwis bila dapat panggilan isterinya, serta-merta nada perbualannya berubah, jika sebelumnya ketawa gembira dengan kawannya, dia terus terdiam, menggangguk dan mengaku akan lakukan segera apa yang diperintah. Malah dia tinggalkan kami bila isterinya suruh segera balik.

"Pernah dia tinggalkan meeting bila isterinya suruh ambil anaknya sebab ketinggalan van sekolah. Biasanya dia minta saya tolong bereskan. Kerana simpati jugalah akhirnya saya terima lamarannya untuk berkahwin. Katanya dia perlukan bantuan saya untuk meneruskan perniagaannya. Mulanya saya tak setuju, tetapi akhirnya saya mengaku kerana simpati.

"Kami nikah di Songkhla, semua perbelanjaan Darwis tanggung dengan bantuan seorang 'pakar' yang jadi orang tengah nikahkan orang di Siam. Bila balik saya suruh dia beritahu isterinya dan daftarkan perkahwinan di Malaysia. Saya tak mahu sembunyikan perkahwinan kerana saya mahu dia jujur dengan isterinya yang waktu itu sudah 26 tahun berkahwin.

"Malangnya selepas itu saya jadi mangsa serangan isterinya melalui telefon, di tempat kerja, malah ketika bantu Darwis bekerja. Tak cukup itu, isterinya fitnahkan saya kepada semua kawan, jiran dan sesiapa sahaja yang saya kenal bahawa saya gilakan laki orang. Dia menjerit memaki hamun saya depan Darwis. Tetapi Darwis tak berani bertindak, sebab takut kena maki atau kena baling batu. Biasanya isterinya ditemani anaknya sekali.

"Kerana sering kena control, Darwis tak berani keluar rumah buat bisnes dengan saya sebaliknya dia arahkan saya siapkan kerja, termasuklah jumpa pegawai Majlis, cari job baru, buat proposal dan sebagainya. Bila kerja selesai, dapat cek saya masukkan dalam akaun bank Darwis. Kerana perniagaan tambah maju Darwis suruh saya berhenti kerja, dia janji akan beri saya gaji. Katanya saya kena bantu sebab isterinya suka kacau.

"Tetapi malangnya Darwis lain macam sikit, bila duit bertambah dia jadi tamak, dia tak beri saya gaji seperti dijanjikan sedangkan saya perlu duit kerana saya ada anak.

"Empat tahun lamanya saya berkahwin dengan Darwis, hanya dua tahun pertama hidup saya senang, selebihnya hidup saya bukan tambah senang, sebaliknya lebih susah. Sebab nama aja saya bekerja tapi Darwis tak bagi duit, lebih menderita bila saya kena serang dengan isteri dan anak-anak Darwis dituduh kikis duit Darwis. Kerana mereka tahu perniagaan Darwis tambah maju. Tetapi mereka tak tahu saya yang uruskan.

"Kerana sering tak berduit, saya terpaksa bekerja kembali untuk dapatkan duit, kerana saya ada tanggungan. Tapi Darwis marah kerana bila saya bekerja, saya tak buat kerja dia. Bila balik rumah saya, Darwis jadi bengis, dia marahkan anak-anak saya kerana dah besar panjang tak mahu cari kerja sambilan. Kerana sering dimarah, anak sulung saya lari dari rumah. Kata Along dia 'kesian' tengok saya bekerja siang malam macam hamba, bantu Darwis buat bisnes tanpa sebarang upah dan bekerja jadi pembantu kedai. Tapi yang menyakitkan hatinya, isteri Darwis tuduh saya kikis duit Darwis.

"Darwis juga bencikan anak ketiga saya. Dia kata sombong, malas buat kerja sambilan. Sedangkan anak saya pendiam dan berpenyakit. Saya beritahu Darwis saya perlukan duit untuk sara anak, tapi dia tak beri seperti dijanjikan. Jadi saya terpaksa bekerja.

"Kerana tidak lagi uruskan bisnesnya, perniagaannya mula merosot. Darwis naik angin dan bertindak tidak mahu langsung datang ke rumah saya. Dua sebab saya tak bantu Darwis lagi, pertama kerana tak tahan diserang isteri pertama dan dituduh mengikis duit Darwis. Sebab kedua kerana saya tak ada duit nak sara anak sebab Darwis tak beri duit.

"Kata Darwis dia tinggalkan saya sebagai hukuman kerana tidak bantu dia buat bisnes. Itulah juga tindakan dia nikah dengan saya dulu sebagai nak ajar isteri pertamanya yang suka memaki hamun dia. Bila dia kahwin lagi, barulah isteri pertama kembali menyayanginya. Jadi bila dia tinggalkan saya, maka saya akan bantu dia buat bisnes semula. Isteri mesti dihukum supaya ikut perintah suami. Kini sudah 4 bulan saya ditinggalkan.

"Di sini saya ambil kesempatan ingin beritahu isteri dan anak-anak Darwis, saya tak pernah ambil duit dia. Setiap projek yang saya uruskan dibayar atas nama syarikat Darwis, bukan nama saya. Tiga buah rumah Darwis, satu pun saya tak ambil. Dan bisnesnya kekal nama Darwis. Selama ini setiap kerja yang saya buat diberi upah RM50 saja bukan RM5,000. Saya bekerja macam hamba bukan sebagai pekerja apa lagi sebagai isteri.

"Jadi jangan tuduh saya kahwin dengan Darwis kerana hartanya, sebaliknya Darwis nikah dengan saya kerana nak ajar isterinya yang garang itu.'' Demikian cerita Norhawa panjang lebar tentang nasibnya yang ditimpa dua kali malang dalam berumah tangga.

www.dcckmona.com

dcckmonaum@hotmail.com

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Lokasi K1M dikaji semula

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

Hilmi Yahaya

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kerajaan akan mengkaji semula lokasi beberapa buah Klinik 1Malaysia (K1M) daripada 240 buah yang telah diwujudkan berikutan kedudukannya yang dilihat tidak sesuai seperti beroperasi di pusat membeli-belah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, kajian semula wajar dilakukan memandangkan ada beberapa K1M hanya mencatatkan purata kedatangan pesakit 10 orang setiap hari yang dilihat tidak mencapai objektif penubuhan klinik tersebut.

"Selain itu, kerajaan juga merancang untuk menambah 50 lagi K1M pada tahun ini di lokasi-lokasi yang benar-benar sesuai khususnya di kawasan penempatan pinggir bandar termasuk luar bandar tetapi pada masa sama akan berusaha mengelakkan klinik tersebut daripada bersaing dengan klinik swasta sekitar.

"Diharapkan dengan mewujudkan lebih banyak K1M di seluruh negara akan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan asas khususnya di kawasan yang agak jauh daripada hospital kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar pengamal perubatan am (GP) anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya tentang laporan akhbar berhubung jumlah pesakit diabetis di negara ini yang dianggarkan sebanyak 4.6 juta orang, beliau memberitahu, jumlah itu amat membimbangkan kerana dijangkakan pesakit tersebut akan terus meningkat pada kadar 10 peratus setiap tahun.

Katanya, trend peningkatan penyakit diabetis juga perlu dikawal bukan sahaja oleh kerajaan tetapi perlu mendapat sokongan daripada masyarakat sendiri dengan mengawal tabiat pemakanan serta mengamalkan cara hidup sihat.

"Setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam memastikan kesihatan rakyat, bagaimanapun sekiranya orang ramai tidak ambil peduli tentang kesihatan diri sendiri sudah pasti penyakit ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun," ujarnya.

Kerajaan digesa bertindak

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

Nadzim Johan

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak pemborong yang memanipulasi harga barang sehingga menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak di seluruh negara baru-baru ini.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan sama juga perlu diambil terhadap pihak tertentu yang mendalangi kenaikan tersebut dengan niat membangkitkan kemarahan rakyat dan menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

Katanya, semua pihak termasuk polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu digerakkan untuk bertindak terhadap pihak berkenaan.

Kerajaan mesti elihat perkara ini secara serius. Kerajaan tidak boleh lembik dan sekadar memberi amaran, tetapi perlu ambil tindakan tegas terhadap pihak pemborong ini dan kilang fitnah yang memanipulasi kenaikan harga barang,"katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

UMNO Selangor anjur siri jelajah selamatkan akidah dan kalimah Allah

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

SHAH ALAM 18 Jan. - Lebih 600 orang hadir pada siri jelajah menyelamatkan akidah dan kalimah Allah yang dianjurkan oleh UMNO Selangor di Seksyen 24 di sini semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, siri jelajah itu dianjurkan sebagai usaha mempertahankan akidah umat Islam dan kalimah Allah yang jelas dari sisi undang-undang adalah hak mutlak penganut Islam di negeri ini.

Katanya, sebanyak 30 siri jelajah akan diadakan di seluruh Selangor bagi memperjelaskan kepada rakyat di negeri ini tentang isu kalimah Allah ini dan kesannya jika agama lain dibenarkan menggunakannya.

"Siri jelajah ini penting supaya umat Islam di negeri ini tahu tentang hak mereka dan kenapa kalimah Allah perlu dipertahankan dan seterusnya bersatu untuk mempertahankannya.

"Kita akan memberi penjelasan kepada rakyat Selangor tentang hak mutlak kalimah Allah ke atas umat Islam dari segi akidah dan undang-undang supaya kita tidak diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis itu.

Dalam siri jelajah tersebut, Noh yang berpendidikan undang-undang dan mahir dengan Perlembagaan Persekutuan kerana telah berkhidmat di pelbagai kementerian, menjadi penceramah untuk memperjelaskan tentang hak penggunaan kalimah Allah dari segi undang-undang.

Ceramah dari segi akidah pula disampaikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zein Isma Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari.

Noh dalam pada itu membidas pihak tertentu terutamanya pemimpin DAP yang mahu supaya siri jelajah ini dihentikan kerana disifatkan oleh mereka boleh mencetuskan keadaan yang tidak harmoni.

Beliau bagaimanapun menegaskan, jelajah itu adalah bagi mempertahankan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved